Tafsir Surah al-Infithar Ayat 1 – 9 (Fizikal dan bathin manusia)

Pengenalan:

Surah ini hendak memberitahu kita semua bahawa di akhirat nanti tidak boleh lepas lari pengadilan Allah Taala. Kalau ditakdirkan masuk neraka, pun tidak dapat melarikan diri langsung. Dakwa Surah ini ada dalam ayat ke 16. Kebanyakan ayat-ayat dalam surah ini adalah ayat-ayat takhwif ukhrawi.


 

Ayat 1: Ini adalah keadaan yang terjadi selepas tiupan Sangkakala Pertama.

إِذَا السَّماءُ انفَطَرَت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Infiṭār: The Breaking Apart.

When the sky breaks apart

(MALAY)

Apabila langit terbelah,

 

Apabila langit terbelah. Kalimah إِذَا adalah untuk menarik perhatian manusia kepada kejadian yang akan terjadi di masa hadapan; juga إِذَا digunakan untuk menceritakan kejadian yang akan berlaku tiba-tiba. Kerana Kiamat itu nanti akan datang tiba-tiba. Mereka yang ditakdirkan melaluinya, akan terkejut dengan kedatangan Kiamat itu. Tiba-tiba sahaja Sangkakala berbunyi dan bermulalah Kiamat itu.

Di dalam surah Takweer, temanya adalah ‘kegelapan’ – kita telah baca bagaimana matahari akan hilang cahaya, keadaan malam yang menggelap dan sebagainya. Dan di dalam surah ini pula banyak disebut tentang ‘pecah’. Ini hendak menceritakan kedahsyatan Kiamat itu.

Kalimah انفَطَرَت dari katadasar فطر yang bermaksud belah dari hujung ke hujung. Juga bermaksud ‘mengoyakkan’. Ini hendak membayangkan kepada kita bagaimana langit dibelah dan dirosakkan dengan teruk sekali. Sekarang kita lihat langit itu nampak indah dan kukuh tapi tidak selamanya ia akan begitu. Akan tiba masanya ia akan dirosakkan. Allah mulakan surah ini dengan kejadian yang amat mengejutkan supaya kita beri perhatian dengan ayat-ayat seterusnya.

Penerima Quran yang pertama adalah orang-orang Arab. Jadi Allah bercakap dalam bahasa mereka dan dunia mereka yang mudah mereka lihat. Allah memberi bayangan bagaimana langit adalah seperti bumbung khemah. Ini adalah kerana khemah itu dibuat dari kain dan yang boleh dibelah, dikoyak dengan pisau. Alah nak memudahkan bangsa Arab memahami apa yang ingin disampaikan. Mereka disuruh bayangkan bagaimana terbelahnya langit itu adalah seperti bumbung khemah dibelahkan dengan pisau. Kerana Allah nak mudahkan kita faham, Allah bagi analogi yang mudah kita faham.


 

Ayat 2: Setelah sebut tentang langit, Allah sebut tentang bintang pula.

وَإِذَا الكَواكِبُ انتَثَرَت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when the stars fall, scattering,

(MALAY)

dan apabila bintang-bintang jatuh berserakan,

 

Apabila bintang-bintang bertaburan. Apabila langit telah dikoyakkan, tentu bintang-bintang-bintang juga akan jatuh berselerakan. Bayangkan bagaimana keadaannya jikalau mutiara yang ada di atas khemah dan khemah itu direntap? Tentu jatuhlah mutiara-mutiara itu bukan? Begitulah nanti dengan bintang bintang yang di langit. Inilah kaitan antara ayat 1 dan 2 dan Allah nak bagi kita faham dengan cara begini. Kalimah انتَثَرَت digunakan untuk sesuatu yang jatuh kerana digoncang kuat. Sekarang bayangkan beberapa mutiara yang diletak di atas cadar katil, dan kita rentap cadar itu, apa akan jadi kepada mutiara-mutiara itu? Begitulah dahsyatnya keadaan bintang-bintang nanti yang akan berselerakan macam mutiara kecil sahaja.

Sekarang kita lihat kalimah الكَواكِبُ. Dalam Quran, ada banyak jenis kalimat yang digunakan untuk bintang. Dan dalam ayat ini digunakan kalimah الكَواكِبُ pula. Allah gunakan nama-nama yang berbeza kerana hendak menyampaikan sesuatu yang berbeza dalam setiap ayat itu. Salah satu nama yang digunakan untuk bintang adalah an-najm. An-najm adalah yang bintang yang cerah dan kemudian malap dan kemudian cerah balik. الكَواكِبُ pula adalah jenis bintang yang gemerlapan, bintang yang besar. Bukan bintang yang kejap nampak kejap tidak, itu adalah an-najm. الكَواكِبُ adalah bintang yang dijadikan pedoman kepada pengembara di waktu malam kerana ia tetap ada. Orang Arab gunakan bintang ini sebagai penunjuk arah di padang pasir dan di lautan semasa mengembara. Kalau bintang itu jenis kejap ada, kejap tiada, tentu susah untuk dijadikan sebagai pedoman. Maknanya, Allah hendak memberitahu, walaupun bintang yang besar pun akan jatuh.

Allah juga gunakan isyarat ‘pedoman’ itu sebagai isyarat bagaimana pada hari itu, manusia akan kelihatan seperti tiada panduan. Kerana kerana keadaan jadi kelam kabut sangat. Perkara yang mereka biasa lihat, biasa pegang, akan jadi tidak menentu dan tidak tetap dah.


 

Ayat 3:

وَإِذَا البِحارُ فُجِّرَت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when the seas are erupted

(MALAY)

dan apabila lautan menjadikan meluap,

 

Apabila lautan pecah. Bayangkan macam tsunami keadaannya. Waktu itu air laut itu akan mendidih dan akan melimpah ruah. Kerana kalau air mendidih, ia akan melimpah ruah, bukan?

Bandingkan dengan ayat Takweer:6.

وَإِذَا البِحارُ سُجِّرَت

Dalam surah Takweer itu, digunakan kalimah سُجِّرَت. Maksud سُجِّرَت bermaksud mendidih kerana panas. Sedangkan lafaz فُجِّرَت dalam surah ini lebih kepada pergerakan air itu sendiri. Air itu akan membuak-buak sampai melimpah naik ke daratan. Bayangkan yang laut itu meletup dan melimpah merata-rata.


 

Ayat 4:

وَإِذَا القُبورُ بُعثِرَت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when the [contents of] graves are scattered [i.e., exposed],

(MALAY)

dan apabila kuburan-kuburan dibongkar,

 

Apabila kubur-kubur dipecahkan. Kalimah ‘qubur’ adalah tanah yang dikorek untuk simpan mayat. Pada masa itu, kubur akan dibongkar dan makhluk akan dikeluarkan dari kubur mereka. Maksudnya alam barzakh telah berakhir dan makhluk yang mati akan dihidupkan semula, semua akan keluar dari kubur masing-masing. Kalau sekarang, kita rasa kubur itu akan berkeadaan macam itu sahaja. Akan tetapi, kubur itu akan pecah juga dan segala apa yang ada di dalamnya akan dikeluarkan.

بُعثِرَت: bongkarkan sesuatu untuk mengeluarkan apa yang di dalamnya. Ini macam kita geledah beg untuk cari barang. Sampai kadang-kadang kita kena keluarkan semua apa yang ada di dalamnya. Begitulah nanti yang akan dilakukan kepada kubur kita nanti dan yang keluar dari kubur adalah mayat manusia.


 

Ayat 5: Ayat 1 – 4 tadi adalah lafaz-lafaz sumpah dari Allah. Sekarang Allah jawap bagi sumpah. Apabila semua itu terjadi nanti, apakah maksudnya?

عَلِمَت نَفسٌ ما قَدَّمَت وَأَخَّرَت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

A soul will [then] know what it has put forth and kept back.

(MALAY)

maka tiap-tiap jiwa akan mengetahui apa yang telah dihantarkan dahulu dan yang dilalaikannya.

 

Apabila semua dalam ayat 1 – 4 itu terjadi, manusia dan jin akan tahu apa yang telah dikerjakan dan apa yang telah ditinggalkan. Ini adalah penerangan tambahan dari ayat Takweer:14.

عَلِمَت نَفسٌ ما أَحضَرَت

maka tiap-tiap jiwa akan mengetahui apa yang telah dikerjakannya.

Manusia akan tahu apa yang telah dikerjakan dan apa yang telah ditinggalkan. Manusia akan menyesali apa perkara yang telah dibuatnya (yang dihantar ke depan), apa yang telah ditinggalkan. أَخَّرَت ‘yang ditinggalkan’ adalah apa yang sepatutnya dia buat tapi dia telah tinggalkan dari buat, dia tak buat.

Kalimah قَدَّمَت bermaksud sesuatu yang dihantar dahulu. Maknanya, segala amalan kita di dunia ini kita hantarkan dahulu dan akan menunggu kita di akhirat kelak. Kalau kita dah hantar surat, tidak boleh ambil balik, bukan? Begitu juga dengan amalan kita, kalau dah buat amalan, tidak boleh tukar balik, samada baik atau jahat. Kerana ianya telah dihantar ke hadapan, akan menunggu kita di akhirat. Siapa yang akan bawa? malaikat yang menulis. Oleh kerana kita tidak dapat tukar lagi, maka berhati-hatilah dengan amalan kita.

Ini adalah kerugian yang amat besar: kita ada peluang untuk buat baik tapi kita tidak ambil peluang. Ini seperti solat, derma dan sebagainya. Ini semja akan menjadi sebab penyesalan di akhirat nanti. Tetapi ada juga peluang untuk buat jahat tapi tidak diambil. Itu pun akan ditunjukkan juga. Dan kalau begitu, tentu seseorang itu akan suka nanti. Kerana perkara macam itu pun ada pahalanya. Sebagai contoh, katakanlah kita ada peluang untuk berzina, tapi kita tidak lakukan – meninggalkan perbuatan dosa itu juga akan dapat pahala.

Kalimat قَدَّمَت وَأَخَّرَت juga boleh bermaksud ‘dari amal yang awal dan paling akhir’. Iaitu amalan yang kita lakukan dari kita baligh sampailah kita mati nanti. Kadang-kadang kita berubah dari masa kita muda – masa muda buat kebaikan tapi hampir nak mati buat benda jahat. Itu adalah orang yang rugi sekali. Kerana amal kita dikira dengan amal yang akhir sekali kita lakukan.

Kalimat قَدَّمَت وَأَخَّرَت juga boleh bermaksud amal kita yang berterusan. Ada amal kita yang kita sudah mati pun ada lagi bertambah-tambah, samada yang baik atau yang tidak. Sebagai contoh, kita sedekahkan wang untuk buat masjid – selagi masjid itu ada, selagi itulah kita akan mendapat pahala berterusan; atau kita ajar seseorang untuk solat contohnya, setiap kali dia melakukan solat, kita akan dapat pahala, walaupun kita sudah mati nanti. Tapi, disebaliknya pula, kalau kita ajar orang berjudi, dan dia berjudi selepas itu, setiap kali dia berjudi, kita pun akan dapat dosa judi itu dari dia. Maka, kena berhati-hati. Kena pastikan kita ajar orang buat perkara yang baik, jangan buat perkara yang salah. Termasuk dalam perkara yang salah adalah amalan yang bidaah. Kalau dulu kita pernah ajar orang buat amalan bidaah, maka beritahu dia balik yang amalan itu salah dan kena tinggalkan.

Oleh itu, bila semua yang terjadi dalam ayat-ayat sebelum ini, maka barulah manusia teringat. Allah beritahu kita awal-awal supaya kita boleh bersedia. Jangan kita menyesal yang amat sangat.


 

Ayat 6: Ayat zajrun.

يا أَيُّهَا الإِنسانُ ما غَرَّكَ بِرَبِّكَ الكَريمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O mankind, what has deceived you concerning your Lord, the Generous,

(MALAY)

Hai manusia, apakah yang telah memperdayakan kamu (berbuat durhaka) terhadap Tuhanmu Yang Maha Pemurah.

 

Dalam surah sebelum ini, ada soalan: dan dalam surah ini juga ada soalan. Dalam Takweer, Allah tanya: فَأَينَ تَذهَبونَ “ke mana kamu semua nak pergi?”. Dalam ayat ini, soalan yang diberikan lagi berat: Allah bertanya kepada mereka yang telah mengerjakan perbuatan mungkar dan dosa, apakah yang telah menipu mereka? Apakah yang telah menyebabkan mereka lupa kepada Allah? Apa yang menipu mereka sampai mereka sanggup buat segala dosa itu?

Setelah apa yang Allah telah berikan kepada mereka, telah ajar mereka, tapi mereka masih lagi buat syiri, buat dosa, maka tentu ada sesuatu yang menyebabkan mereka terpesong, bukan? Allah tanya dengan keras: Siapa yang menipu kamu ni? غَرَّ bermaksud apabila seorang sedang lalai dan kita ambil sesuatu dari mereka macam duit mereka. Selalu pelancong kena macam ini bila pergi ke tempat baru. Begitulah, kalau kita lalai dalam kehidupan dunia ini, yang ambil peluang adalah syaitan. Syaitan akan tunggu sahaja bila masa kita lalai, lupa padaNya.

Allah gunakan lafaz rabb dalam ayat ini kerana Allah nak ingatkan kita tentang sifatNya yang menjaga dan mengurus kita, tuan kita. Allah ingatkan kita yang kita adalah hambaNya. Allah dah berikan segalanya, tapi manusia tetap lupa kepada Allah.

Allah mengingatkan kepada kita dengan SifatNya كَريمِ. الكَريمِ bermaksud mulia dan juga boleh bermaksud pemurah. Allah dah pemurah dah, bagi macam-macam kepada kita. Tapi ramai manusia yang ambil peluang dengan kemurahan Allah itu. Begitulah kadang-kadang kalau guru kita baik dan lembut, pelajar ramai yang ambil peluang dengan kebaikan guru itu. Tak sama kalau guru garang, sebab pelajar akan takut. Tapi, bayangkan waktu guru itu nak beri keputusan kertas ujian, guru itu kata: “saya dulu baik dengan kamu, kenapa kamu buat macam ini?” Bagaimana perasaan pelajar itu nanti? Tentu perasaan dia akan remuk. Dan sekarang bayangkan Allah telah beri macam-macam dah. Tapi kita masih lagi buat salah, tidak kisah dengan Allah – baca balik ayat ini: kenapa kamu masih buat salah lagi? Kerana masih engkar lagi? Sedangkan Aku telah beri macam-macam kepada kamu?

الإِنسانُ bermaksud ‘mudah lupa’. Begitulah, manusia yang lupa mereka kena taat dengan Allah. Sedangkan makhluk lain seperti binatang, tumbuhan dan alam lain tidak lupa dengan tanggungjawab mereka.

Jadi apa yang melupakan kita kepada tanggungjawab kita? Ini adalah kerna kita terpesona dengan dunia sampai terlupa kepada tanggungjawap kita kepada Allah. Sedangkan Allah telah begitu pemurah dengan kita, dan Allah telah muliakan kita.


 

Ayat 7: Apakah maksud Allah muliakan manusia? Allah kenangkan balik apa yang Dia telah lakukan buat kita.

الَّذي خَلَقَكَ فَسَوّاكَ فَعَدَلَكَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Who created you, proportioned you, and balanced you?

(MALAY)

Yang telah menciptakan kamu lalu menyempurnakan kejadianmu dan menjadikan kamu seimbang,

 

Manusia ramai yang lupa kepada Allah yang telah menjadikan mereka. Menjadikan manusia dari tidak ada kepada ada.

Kemudian Allah فَسَوّاكَ (menyempurnakan kamu). Iaitu Allah perbaiki keadaan diri kita supaya jadi lebih baik. Ini macam syarikat kereta yang finetune kereta sebelum dijual. Kereta itu sudah ada, tapi diperbaiki lagi.

فَعَدَلَكَ (menyeimbangkan kamu) maksudnya kita diberi dengan kelebihan ada keseimbangan. Memang banyak keseimbangan yang disentuh dalam Quran; bila ada syurga, ada neraka, ada kiri dan ada kanan, ada malam dan ada siang dan macam-macam lagi. Kita sebagai manusia diajar untuk jadi seimbang – antara individu dan masyarakat, ibadat peribadi dan ibadat berjemaah, contohnya. Ini adalah satu perbincangan yang luas. Tapi secara dasarnya, dalam macam-macam hal kita diseimbangkan.

Allah jadikan kita dalam bentuk yang terbaik sekali apabila kita seimbang. Sebagai contoh, kita ada fizikal yang sifat batin sekali. Sebagai contoh, kita ada mata, dan mata itu boleh melihat – mata itu fizikal dan kebolehan melihat itu adalah sifat bathin; kita ada lubang telinga dan boleh mendengar. Tidak semua jadi begitu kerana kadang ada manusia yang ada benda yang fizikal tapi sifat bathin tidak ada – mata yang fizikal ada, tapi tidak dapat melihat.

Sifat keseimbanganlah yang menjadi topik terpenting dalam surah ini. Allah mengajar kita supaya jangan tengok fizikal luaran sahaja, tapi lihatlah ke dalam diri kita. Jangan cantikkan diri kita sahaja, tapi kenalah cantikkan batin kita juga.

Untuk faham dan terima Quran pun, kena ada nur keimanan dalam hati kita, baru boleh terima. Mungkin ada yang tanya, apakah hujah yang paling kuat untuk orang kafir menerima hujah dalam Quran? Adakah ayat-ayat yang boleh mengubah mereka dari kafir kepada beriman? Kita jawap, untuk menerima hujah dalam Quran, kenalah ada sedikit nur iman dalam hati manusia. Kerana untuk terima Quran, bukanlah dengan hujah intelek sahaja. Kena ada nur dalam hati manusia itu supaya terbuka untuk terima. Dan nur iman ini semua manusia telah diberikan dalam fitrah manusia, samada mereka nak matikan atau tidak fitrah itu. Macam Firaun, dia telah diberikan dengan segala hujah, ditunjukkan dengan segala mukjizat yang besar-besar, tapi kerana nur iman langsung tidak ada dalam hati dia, dia tidak terima segala hujah itu. Sedangkan ahli sihir pun teruk juga asalnya, tapi mereka ada nur lagi dalam hati mereka, maka mereka dapat terima. Oleh itu, orang yang kafir, kalau mereka membuka hati mereka untuk menerima kebenaran, tentu mereka boleh terima hujah yang ada dalam Quran. Tapi kalau mereka telah matikan langsung nur itu, cakaplah apa sahaja, berilah apa ayat pun, mereka tidak akan terima.


 

Ayat 8:

في أَيِّ صورَةٍ ما شاءَ رَكَّبَكَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

In whatever form He willed has He assembled you.

(MALAY)

dalam bentuk apa saja yang Dia kehendaki, Dia menyusun tubuhmu.

 

صورَةٍ adalah sesuatu yang berbentuk yang kita boleh tengok dan boleh dibandingkan, dibezakan dengan bentuk lain. Macam bentuk fizikal kita boleh dibandingkan dengan lembu, dengan monyet dan nampak perbezaannya. Allah menjadikan kita dalam apa saja bentuk yang Dia kehendaki. رَكَّبَكَ secara literal bermaksud ‘meletakkan sesuatu’. Allah boleh letakkan kita dalam apa bentuk apa pun. Bayangkan kanak-kanak yang bermain lego – dia letak dan letak pecahan lego itu sampai jadi satu bentuk. Allah yang tentukan macam mana rupa kita, dan kita memang hanya boleh menerima sahaja.Kita tidak boleh nak minta dijadikan dalam bentuk lain, rupa lain. Kalau tak cantik pun, tak cantiklah.

Mujahid mengatakan bahwa makna yang dimaksud ialah mirip dengan ayah, atau ibu, atau paman dari pihak ibu ataukah paman dari pihak ayah, menurut apa yang dikehendaki-Nya. Di dalam kitab Sahihain telah disebutkan dari Abu Hurairah:

أَنَّ رَجُلا قَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّ امْرَأَتِي وَلَدت غُلامًا أسودَ؟. قَالَ: “هَلْ لَكَ مِنْ إِبِلٍ؟ “. قَالَ: نَعَمْ. قَالَ: “فَمَا أَلْوَانُهَا؟ ” قَالَ: حُمر. قَالَ: “فَهَلْ فِيهَا مَنْ أورَق؟ ” قَالَ: نَعَمْ. قَالَ: “فَأَنَّى أَتَاهَا ذَلِكَ؟ ” قَالَ: عَسَى أَنْ يَكُونَ نَزْعَةَ عِرْق. قَالَ: “وَهَذَا عَسَى أَنْ يَكُونَ نَزْعَةَ عِرْقٍ”

bahawa pernah seorang lelaki bertanya, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya isteriku telah melahirkan anak laki-laki yang berkulit hitam.” Rasulullah Saw. balik bertanya, “Apakah engkau mempunyai ternak unta?” Lelaki itu menjawab, “Ya.”Nabi Saw. bertanya, “Apakah warna bulunya?” Lelaki itu menjawab, “Merah:” Rasulullah Saw. bertanya, “Apakah di antaranya ada yang berbulu kelabu?” Lelaki itu menjawab, “Benar, ada.” Rasulullah Saw. bertanya, “Lalu dari manakah ia?” Lelaki itu menjawab, “Barangkali dari keturunannya yang dahulu.” Rasulullah Saw. bersabda, “Dan barangkali anakmu ini pun sama berasal dari moyangnya yang dahulu.”

Makna yang dimaksud dari berbagai pendapat para mufassir, dapat disimpulkan bahawa Allah Swt. berkuasa untuk menciptakan nutfah (air mani) menjadi manusia yang buruk rupanya seperti haiwan yang rupanya menjijikkan. Tetapi berkat kekuasaan-Nya dan kasih sayang-Nya kepada makhluk-Nya, Dia menciptakan manusia dalam bentuk yang baik, tegak, sempurna, dan indah penampilan serta rupanya.

Apa-apa sahaja yang Allah lakukan terhadap kita, itu adalah hak Allah, Allah boleh lakukan. Termasuk qada’ dan qadar kita. Kita kena terima sahaja. Tapi malangnya, ada orang yang mempersoalkan Allah. Mereka tidak dapat terima apa yang Allah tentukan pada dirinya. Mereka kata mereka tidak buat salah pun, tapi mereka kena juga segala macam musibah – mereka persoal pula: “kenapa Allah buat kami jadi begini”? Kerana tidak dapat terima ketetapan inilah, ramai yang tanya: kenapa ada kesusahan dalam dunia? Kenapa ada orang yang cacat? Dan macam-macam lagi persoalan mereka. Kerana itu ada golongan yang atheis yang tidak percaya kewujudan Tuhan – kerana pada mereka, macam mana mereka nak terima tuhan yang sebegini? Kenapa ada tuhan yang kejam? Bagaimana kita nak jawap persoalan yang sebegini?

Jawapannya ada dalam kalimah Rabb – Allah itu Tuhan kita dan kita adalah hambaNya. Kita tidak ada kuasa apa-apa pun untuk persoal. Kita kena terima dengan lapang dada yang kita tidak ada hak nak mempersoalkan apa yang Allah lakukan terhadap kita. Macam seorang hamba di dunia yang tidak ada hak apa-apa pun. Zaman sekarang kita sudah tidak ada hamba abdi dah. Tapi dari pengetahuan kita semasa zaman ada hamba dulu, memang seorang hamba tidak ada hak untuk mempersoalkan arahan tuannya. Kerana mereka memang tidak ada hak. Begitulah juga kita dengan Allah, kita adalah hak Dia. Samalah juga, kalau kita ada barang yang memang kita punya, kita boleh buat apa sahaja yang kita hendak dengannya – nak pakai, nak buang, nak musnahkan, apa sahaja. Dalam ayat ini, Allah ingatkan kita yang kita tidak boleh nak persoalkan Allah apa sahaja Dia nak buat dengan rupa kita – begitulah kalau tidak ada hak untuk mempersoalkan apa yang Allah lakukan dengan rupa kita, begitu jugalah kita tidak ada hak untuk mempersoalkan apa yang Allah nak buat dengan nasib kita.

Kita kena ingat yang kita tidak bayar apa-apa pun kepada Allah atas segala apa yang kita ada. Allah beri secara percuma sahaja kerana Dia rabb. Dan kerana itu, kalau apa pun yang Allah kenakan kepada kita, Dia tetap rabb kita. Inilah yang penting sekali kita kena faham dari Quran – Dia Tuhan dan kita hamba. Dan kerana itu kita kena terima sahaja. Dan kalau ada yang susah nak terima, mereka akan ada masalah. Tidak kiralah samada orang kafir atau orang Islam sekali pun.


 

Ayat 9: Tapi apa yang manusia buat?

كَلّا بَل تُكَذِّبونَ بِالدّينِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

No! But you deny the Recompense.

(MALAY)

Tidak!, bahkan kamu mendustakan hari pembalasan.

 

كَلّا – Lafaz ini sebagai penekanan yang Allah marah dengan manusia yang engkar. Selepas diberi segalanya oleh Allah, masih ada lagi yang tidak mahu taat kepada Allah.

Maksud ‘dusta’ adalah tidak percaya. Kamu sendiri yang tidak percaya kepada hari pembalasan. takzeeb (mendustakan) – terjadi apabila kita kata seseorang itu menipu, menuduh orang itu sebagai penipu, tapi tuduhan kita itu sendiri adalah penipuan. Apabila seseorang itu kata yang orang yang memberitahu itu menipu, maknanya dia tidak percaya dengan perkara yang disampikan. Siapa yang mereka kata menipu? Mereka yang engkar itu melakukan takzeeb terhadap deen (agama) sendiri. Bayangkan, mereka kata agama ini yang menipu. Seolah-olah apabila deen/agama kata kena A, mereka kata itu adalah penipuan.

Mari kita berbincang sedikit tentang kalimah الدّينِ. Ini adalah satu kalimah yang biasa kita dengar dan baca. Jadi ada banyak sekali pemahaman dan perbincangan tentang perkara ini. Kita cuba bincangkan dengan ringkas sahaja di sini. Kalimah الدّينِ diambil dari katadasar دين (dayn) – pinjaman. Ini terjadi apabila kita ambil sesuatu dan kita kena bayar balik. Inilah sebenarnya konsep agama Islam – segala apa yang kita dapat dalam dunia ini, kita kena bayar balik. Kita bayar dengan kita melakukan taat kepada Allah – apa yang Allah suruh, kita kena lakukan. Itu sudah cukup sebagai bayaran kepada pemberian Allah. Memang tidak sama nilai taat kita itu kalau dibandingkan dengan segala nikmat yang Allah berikan kepada kita, tapi Allah kata itu sudah cukup, maka alhamdulillah hutang kita terlangsai kalau begitu.

Begitu juga, apa yang kita buat di dunia akan dibayar kepada kita. Setiap kita ada yang perlu kita bayar/berikan – kita kena bayar kepada ahli keluarga kita, anak-anak kita, suami isteri kita, kepada pemimpin dan sebagainya. Itu semua adalah dalam bentuk tanggungjawab. Dan kalau kita tidak penuh, maka ada yang kita hutang, dan kalau hutang, nanti kena tuntut. Masalahnya, dituntut itu nanti di akhirat dan itu akan menyusahkan kita. Dan segala apa yang kita lakukan pun akan dibayar juga – maknanya akan dibalas di akhirat kelak – samada baik atau buruk. Kalau baik di balas baik dan kalau jahat akan dibalas buruk pula.

Jadi Allah marah sekali dengan mereka yang mendustakan deen, mendustakan agama. Macam-macam cara manusia boleh lakukan dalam mendustakan agama itu. Di dalam surah sebelum ini, mereka kata Nabi majnun (gila). Itu adalah salah satu dari menipu deen.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 082: al-Infithar and tagged , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s