Tafsir Surah Tawbah Ayat 112 – 114 (Larangan istighfar untuk kafir)

Ayat 112: Bagaimana kita tahu yang kita termasuk mereka yang berjaya mendapat perjanjian Allah itu? Sekarang disebutkan lagi kriteria-kriteria yang diperlukan. Ini juga adalah ayat Tabshir.

التّائِبونَ العابِدونَ الحامِدونَ السّائِحونَ الرّاكِعونَ السّاجِدونَ الآمِرونَ بِالمَعروفِ وَالنّاهونَ عَنِ المُنكَرِ وَالحافِظونَ لِحُدودِ اللَّهِ ۗ وَبَشِّرِ المُؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Such believers are] the repentant, the worshippers, the praisers [of Allāh], the travelers [for His cause], those who bow and prostrate [in prayer], those who enjoin what is right and forbid what is wrong, and those who observe the limits [set by] Allāh. And give good tidings to the believers.

(MALAY)

Mereka itu adalah orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji, yang mengembara, yang ruku’, yang sujud, yang menyuruh berbuat ma’ruf dan mencegah berbuat munkar dan yang memelihara hukum-hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang mukmin itu.

 

التّائِبونَ

Mereka itu adalah orang-orang yang bertaubat,

Golongan mukmin yang disebut dalam ayat sebelum ini, mereka selalu bertaubat. Kerana mereka sedar yang mereka banyak melakukan dosa, maka mereka sentiasa meminta ampun kepada Allah. Jadi, pertama sekali kena sedar lah yang kita ini sebagai manusia tidak sunyi dari melakukan dosa.

Dan taubat ini tidak perlu sampai melakukan Solat Taubat. Kerana ada yang sangka kena buat Solat Taubat pula. Taubat boleh dilakukan bila-bila masa sahaja, tidak perlu tunggu solat.

Salah satu syarat taubat adalah meninggalkan kesalahan yang kita telah buatkan sebelum itu. Kenalah menyesal dengan perbuatan kita dahulu yang salah itu dan tinggalkan terus. Dan kita kena tahu, kita kena tinggalkan terus perkara yang salah, bukan sedikit demi sedikit; kalau perbuatan baik, kita boleh buat sedikit demi sedikit, tapi kalau perbuatan yang salah, apabila kita tahu yang ianya salah, kita kena tinggalkan terus.

 

العابِدونَ

yang beribadat,

Mereka juga beribadat hanya kepada Allah. Bukanlah mereka mengaku beriman tapi tidak memperbanyakkan ibadat kepada Allah. Ibadat kena dilakukan berterusan. Mulakan dengan amalan yang mudah tapi istiqamah dalam melakukannya. Kemudian tambah dengan ibadah-ibadah lain.  Yang penting adalah istiqamah.

Ibadah ada banyak jenis ibadah – ada ibadah yang khusus dan ada yang ibadah dalam kehidupan kita. Ibadah khusus adalah seperti solat, zakat, haji dan puasa. Ada juga ibadah umum seperti menolong orang, berbuat baik kepada orang lain, dan macam-macam lagi.

Ada ibadah yang dilakukan dengan tangan kita, ada yang dengan mulut kita dan ada juga dengan hati kita. Segala jenis ibadah kita kena buat. Kita buat sebaik yang mungkin.

 

الحامِدونَ

yang memuji, 

Salah satu ibadat adalah berzikir dengan mulut dan juga dengan hati. Mereka sentiasa memuji Allah dan hanya memuji Allah. Tidak memuji dan memuja ilah-ilah yang lain. Mereka sedar yang mereka dapat melakukan taubat dan ibadah hanya kerana taufik dari Allah. Kalau Allah tak gerakkan, mereka pun tidak dapat buat. Maka mereka dengan ikhlas memuji Allah.

Dan mereka tidaklah beri pujian yang khas ini kepada sesiapa selain Allah. Tidaklah kita disuruh memuji Rasulullah dengan berlebihan. Dengan Rasulullah kita disuruh selawat sahaja. Maka tidaklah perlu buat majlis puji Rasul pula. Malangnya ramai dari kalangan orang Melayu yang memuja Nabi dengan berlebihan, terutama sekali selepas datangnya puak-puak Habib yang membawa ajaran yang sesat.

 

السّائِحونَ

yang mengembara,

Mereka juga tidak duduk sahaja tetapi mereka juga keluar untuk berjihad dan berdakwah. Ini memerlukan pengorbanan yang tinggi.

Juga bermaksud sentiasa menunaikan puasa kerana Allah. Di antara amal yang paling utama ialah berpuasa, iaitu meninggalkan kelazatan makan dan minum serta bersetubuh. Mereka sanggup tinggalkan nikmat nafsu yang biasa mereka lakukan semata-mata kerana Allah.

Puasa juga ada kena mengena dengan pengembaraan kerana kita menahan diri kita dari perkara-perkara keduniaan yang kita biasa. Susah nak  tidur, nak mandi, nak solat dan sebagainya.

Jadi, ada dua makna yang boleh diambil dari lafaz siyahah dan kedua-duanya ada dalam riwayat:

قَالَ أَيْضًا: حَدَّثَنِي يُونُسُ، عَنِ ابْنِ وَهْبٍ، عَنْ عُمَرَ بْنِ الْحَارِثِ، عَنْ عَمْرِو بْنِ دِينَارٍ، عَنْ عُبَيد بْنِ عُمَير قَالَ: سُئِلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ السَّائِحِينَ فَقَالَ: “هُمُ الصَّائِمُونَ”

Ibnu Jarir mengatakan pula bahawa telah menceritakan kepadaku Yunus, dari Ibnu Wahb, dari Umar ibnul Hari s, dari Amr ibnu Dinar, dari Ubaid ibnu Umair yang mengatakan bahawa Nabi Saw. pernah ditanya mengenai makna as-saihun. Maka beliau menjawab: Mereka adalah orang-orang yang berpuasa.

Hadis ini berpredikat mursal lagi jayyid. Pendapat ini adalah pendapat yang paling sahih dan paling terkenal.

Itu adalah pendapat yang mengatakan lafaz siyahah bermaksud ‘puasa’. Dan ada riwayat lain, seperti apa yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud di dalam kitab Sunan-nya melalui hadis Abu Umamah, bahwa ada seorang lelaki bertanya, “Wahai Rasulullah, izinkanlah saya untuk ber-siyahah.” Maka Nabi Saw. menjawab melalui sabdanya:

“سِيَاحَةُ أُمَّتَيِ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ”

Siyahah umatku adalah berjihad di jalan Allah.

 

الرّاكِعونَ السّاجِدونَ

yang ruku’, yang sujud,

Mereka sentiasa rukuk dan sujud kerana Allah. Rukuk dan sujud ini adalah bahagian terpenting di dalam solat, jadi apa yang hendak dimaksudkan dengan potongan ayat ini adalah ‘solat’. Maksudnya, orang-orang mukmin menjaga solat mereka. Mereka jaga waktu solat, tidak tinggal solat dan mereka jaga solat mereka supaya jadi baik. Mereka perbaiki solat mereka ikut sunnah dan mereka cuba untuk khusyuk dalam solat mereka.

 

الآمِرونَ بِالمَعروفِ وَالنّاهونَ عَنِ المُنكَرِ

yang menyuruh berbuat ma’ruf dan mencegah berbuat munkar

Mereka sentiasa menjalankan amar makruf nahi munkar. Iaitu mereka akan mengajar manusia melakukan kebaikan dalam agama dan melarang mereka yang melakukan keburukan. Mereka akan ajak orang dan tegur orang. Tidaklah mereka tengok sahaja. Tidaklah mereka mendiamkan diri sahaja. Mereka menjalankan kerja dakwah mengajak orang kepada sunnah. Dan kalau mereka lihat ada orang yang buat kesalahan, buat perkara syirik, perkara bidaah dan perkara yang zalim, mereka akan tegur. Samada orang ikut atau tidak, itu ikut mereka yang diajak dan ditegur. Tapi kita telah menjalankan usaha kita untuk menegur. Ini kerana ada orang yang rasa takut nak tegur kalau ada orang tak ikut, atau dia rasa buang masa sahaja tegur kerana orang tak ikut pun. Ingatlah, yang kita boleh buat adalah ajak dan tegur sahaja. Samada mereka ikut atau tidak adalah di tangan Allah.

 

وَالحافِظونَ لِحُدودِ اللَّهِ ۗ

dan yang memelihara hukum-hukum Allah.

Mereka juga sentiasa menjaga sempadan syariat Allah. Mereka tidak buat lebih dari yang dibenarkan. Mereka jaga hukum yang Allah telah tetapkan.

Dari segi balaghah, kita boleh lihat ada perbezaan dalam potongan ayat ini. Kalau kita perhatikan, potongan ayat ini dimulakan dengan و iaitu dalam وَالحافِظونَ, sedangkan dalam potongan yang lain-lain tidak, cuma ada ال sahaja iaitu dalam التّائِبونَ, العابِدونَ dan seterusnya. Kenapa begitu? Tentu ada sebabnya, bukan?

Ini adalah kerana, segala yang disebut sebelum ini, iaitu bertaubat, beribadat, memuji Allah, mengembara, ruku’ dan sujud, amar makruf nahi munkar, semua itu berjalan sepanjang masa, sepanjang zaman, kena digerakkan. Tapi untuk menegakkan hukum hudud, bukan tetap boleh dijalankan setiap masa. Ini memerlukan kuasa kerajaan. Seperti Rasulullah hanya dapat menjalankan hukum hudud hanya apabila mendapat kuasa kerajaan di Madinah. Oleh itu, lafaz وَالحافِظونَ ada mengandungi huruf و kerana hendak membezakan antara perbuatan menjaga hukum hudud dengan perkara-perkara yang lain.

Jadi, itulah sifat-sifat orang-orang Mukmin. Allah beritahu sifat mereka satu persatu supaya jelas kepada semua orang. Ini penting, kerana kalau orang munafik, mereka pun kata mereka mukmin. Tapi kata-kata seseorang itu boleh dinilai dengan perbuatan mereka. Kalau setakat cakap sahaja di mulut tapi tidak ditunjukkan dengan perbuatan, tidaklah dikira.

 

وَبَشِّرِ المُؤمِنينَ

Dan gembirakanlah orang-orang mukmin itu.

Allah sendiri beri berita gembira ini kepada orang mukmin. Alangkah beruntungnya! Alangkah sukanya!


 

Ayat 113:

ما كانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذينَ آمَنوا أَن يَستَغفِروا لِلمُشرِكينَ وَلَو كانوا أُولي قُربىٰ مِن بَعدِ ما تَبَيَّنَ لَهُم أَنَّهُم أَصحابُ الجَحيمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is not for the Prophet and those who have believed to ask forgiveness for the polytheists, even if they were relatives, after it has become clear to them that they are companions of Hellfire.

(MALAY)

Tiadalah sepatutnya bagi Nabi dan orang-orang yang beriman memintakan ampun (kepada Allah) bagi orang-orang musyrik, walaupun orang-orang musyrik itu adalah kaum kerabat(nya), sesudah jelas bagi mereka, bahwasanya orang-orang musyrik itu adalah penghuni neraka jahanam.

ما كانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذينَ آمَنوا أَن يَستَغفِروا لِلمُشرِكينَ

Tiadalah sepatutnya bagi Nabi dan orang-orang yang beriman memintakan ampun (kepada Allah) bagi orang-orang musyrik,

Tidak boleh bagi Nabi dan mukmin untuk istighfar (minta ampun) untuk orang yang mati syirik. Iaitu kalau jelas mereka itu telah mati syirik. Kalau Nabi, baginda dapat wahyu siapa yang mati kafir, tetapi pada zaman kita, tidak tahu. Tapi kalau jelas dari perbuatan dia yang seorang yang kafir, telah melakukan syirik, maka kita tidak boleh doa kepada Allah untuk ampunkan dia. Kerana tiada keampunan untuk dosa syirik.

Selagi mana dia masih hidup, kita boleh doa supaya Allah beri hidayat kepada orang yang kufur itu. Tetapi apabila sudah mati dan pada zahirnya mereka mati kufur, kita tidak boleh minta keampunan untuk mereka. Oleh itu, hukumnya diharamkan untuk kita minta ampun bagi pihak mereka.

 

وَلَو كانوا أُولي قُربىٰ

walaupun orang-orang musyrik itu adalah kaum kerabat(nya), 

Tidak boleh sama sekali minta ampun bagi pihak mereka, atas dosa syirik mereka itu, sekali pun yang mati syirik itu kaum kerabat kita sendiri. Sudah tidak boleh buat apa lagi untuk mereka. Dan ini memang payah untuk kita menerimanya, kerana tentunya kita sayang kepada ahli keluarga kita. Kita mahu mereka selamat di akhirat nanti. Tapi tetap tidak boleh lakukan apa-apa dan kita kena terima perkara ini dengan dada yang lapang. Serahkan kepada Allah sahaja.

Kerana susahnya perkara ini, kita ada contoh pada para Nabi kita. Kita akan lihat bagaimana Nabi Ibrahim pun mengalami masalah yang sama dan juga Nabi Muhammad sendiri, apabila bapa saudaranya, Abu Talib meninggal dunia. Allah ceritakan hal mereka, supaya kita dapat tahu, yang para Nabi kita pun mengalami masalah yang sama juga.

 

مِن بَعدِ ما تَبَيَّنَ لَهُم أَنَّهُم أَصحابُ الجَحيمِ

sesudah jelas bagi mereka, bahwasanya orang-orang musyrik itu adalah penghuni neraka jahanam.

Kita tidak boleh minta ampun untuk mereka, apabila telah jelas yang mereka mati dalam keadaan kafir. Kita kena ingat yang kita tidak tahu hati manusia, samada mereka kufur atau tidak. Kecuali kalau mereka jelas melakukan perkara syirik dan kita tahu sendiri. Dan kita telah berikan segala dalil dan nasihat kepada mereka, tapi mereka tetap menolak.


 

Ayat 114: Allah bawakan kisah Nabi Ibrahims a.s. kepada kita sebagai pedoman kita.

وَما كانَ استِغفارُ إِبراهيمَ لِأَبيهِ إِلّا عَن مَوعِدَةٍ وَعَدَها إِيّاهُ فَلَمّا تَبَيَّنَ لَهُ أَنَّهُ عَدُوٌّ لِلَّهِ تَبَرَّأَ مِنهُ ۚ إِنَّ إِبراهيمَ لَأَوّاهٌ حَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the request of forgiveness of Abraham for his father was only because of a promise he had made to him. But when it became apparent to him [i.e., Abraham] that he [i.e., the father] was an enemy to Allāh, he disassociated himself from him. Indeed was Abraham compassionate and patient.

(MALAY)

Dan permintaan ampun dari Ibrahim (kepada Allah) untuk bapanya tidak lain hanyalah kerana janji yang telah diikrarkannya kepada bapanya itu. Maka, tatkala jelas bagi Ibrahim bahawa bapanya itu adalah musuh Allah, maka Ibrahim berlepas diri dari padanya. Sesungguhnya Ibrahim adalah seorang yang sangat lembut hatinya lagi penyantun.

 

وَما كانَ استِغفارُ إِبراهيمَ لِأَبيهِ إِلّا عَن مَوعِدَةٍ وَعَدَها إِيّاهُ

Dan permintaan ampun dari Ibrahim (kepada Allah) untuk bapanya tidak lain hanyalah kerana janji yang telah diikrarkannya kepada bapanya itu.

Mungkin ada yang berhujah, Nabi Ibrahim pernah meminta ampun kepada Allah bagi pihak ayahnya, Azar. Dan memang Nabi ibrahim pernah doa untuk ayah dia, kerana masa itu baginda tidak tahu yang itu adalah salah. Dan apabila baginda tahu salah, baginda berhenti. Jadi tidak boleh jadikan perbuatan Nabi ibrahim itu sebagai dalil.

Dan tidaklah istighfar Nabi ibrahim untuk ayah dia itu, melainkan kerana janji baginda. Kerana baginda pernah berjanji kepada ayahnya untuk berdoa kepada Allah supaya Allah ampunkan dosa ayahnya itu. Ini ada terdapat dalam Maryam:47. Ini adalah ketika ayahnya menghalaunya dari sisinya.

 

فَلَمّا تَبَيَّنَ لَهُ أَنَّهُ عَدُوٌّ لِلَّهِ تَبَرَّأَ مِنهُ

Maka, tatkala jelas bagi Ibrahim bahawa bapanya itu adalah musuh Allah, maka Ibrahim berlepas diri dari padanya. 

Dan apabila telah jelas kepada baginda, melalui wahyu, bahawanya ayah dia musuh ketat Allah, maka baginda berlepas diri dari terus melakukan istighfar bagi pihak ayahnya. Allah beritahu baginda yang ayahnya itu mati kafir.

Salah satu nama surah ini adalah Surah Bara’ah (berlepas diri). Musyrikin Mekah menuduh Rasulullah meninggalkan amalan tok nenek mereka, tidak hiraukan perasaan kaum baginda dan macam-macam lagi. Tapi lihatlah bagaimana Nabi pertama yang memisahkan diri baginda dari kaumnya yang melakukan syirik adalah Nabi Ibrahim a.s. Dan puak Musyrikin Mekah mengatakan yang mereka dari keturunan Nabi Ibrahim sendiri. Maka, janganlah salahkan Nabi Muhammad. Kerana bukan baginda yang mual-mula melakukan perkara itu pun. Memang mereka patut disisihkan. Oleh itu, meninggalkan mereka yang melakukan syirik adalah termasuk dalam perkara yang sunnah. Jangan rasa bersalah kalau kita tidak bersama dengan akidah ahli keluarga kita yang syirik. Kerana kita lebih pentingkan redha Allah dari redha manusia, termasuk ahli keluarga kita pun.

 

إِنَّ إِبراهيمَ لَأَوّاهٌ حَليمٌ

Sesungguhnya Ibrahim adalah seorang yang sangat lembut hatinya lagi penyantun.

Kemudian Allah memuji Nabi Ibrahim: sesungguhnya Nabi ibrahim itu seorang Nabi yang sangat lembut hati, sangat tabah dalam menempuh segala ujian. Walaupun baginda dikenakan dengan berbagai ujian, baginda tetap tabah dan masih berharap kepada Allah lagi. Sentiasa mengadapkan wajah baginda kepada Allah.

Dan baginda seorang yang amat penyantun dan sensitif dengan keadaan orang lain. Dia sangat sayang kepada keluarganya. Sebab itulah baginda susah untuk tinggalkan ayahnya itu. Baginda telah memberikan berbagai nasihat kepada ayahnya, tapi ayahnya tidak mahu mendengar nasihatnya itu. Sehinggalah ayahnya sendiri menghalau baginda, barulah baginda tinggalkan ayahnya itu. Baginda dapat menerima keadaan itu kerana baginda amat taat kepada Allah. Maka kita pun kenalah taat kepada Allah juga dalam hal ini. Walaupun kita amat kasih kepada ahli keluarga kita, mungkin ibubapa kita sendiri, tapi kita tetap lebih sayangkan Allah daripada mereka. Mereka jatuh nombor dua dalam hati kita. Kalau Allah kata tidak boleh minta ampun untuk mereka, maka janganlah kita melawan. Kerana kita tidak boleh buat apa pun – Allah sahaja yang boleh ampunkan mereka, dan Allah sudah kata yang Dia tidak akan ampunkan mereka yang melakukan syirik. Mereka kena bertaubat semasa mereka hidup. Kalau sudah mati, tidak ada harapan lagi. Maka kenalah kita beri nasihat kepada ahli keluarga kita sementara mereka masih hidup lagi.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 009: Tawbah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s