Tafsir Surah Tawbah Ayat 97 – 99 (Munafik dari Arab Badwi)

Ayat 97: Semasa permulaan Islam di Mekah, tidak ada sangat sifat munafik. Kerana semasa di Mekah, orang yang masuk Islam itu betul-betul masuk kerana mahu kepada agama Islam. Mereka bukan masuk Islam kerana mahukan kesenangan dunia sebab mereka tidak nampak pun kesenangan dunia kerana ikut Nabi. Malah, mereka terpaksa menempah penderitaan kerana ikut Nabi. Mereka yang masuk Islam waktu itu kena bersedia untuk diseksa dan diganggu oleh mereka yang kufur dan lebih ramai dari mereka dan ada antara mereka yang ganas. Walaupun mereka tidak ada asas agama, baru mula belajar dengan Rasulullah, tapi kerana mereka ikhlas hendak mendampingkan diri dengan Allah, mereka telah selamat.

Akan tetapi keadaan tidak sama apabila Islam bertapak di Madinah. Di Madinah, mereka yang masuk Islam ada dua kemungkinan: kemungkinan pertama, mereka yang ikhlas masuk Islam seperti mereka yang masuk Islam semasa di Mekah dulu. Mereka yang jenis ini masuk Islam kerana hendak kepada kebenaran dan nak selamat dunia dan akhirat. Oleh itu mereka boleh buat perkara agama yang disuruh oleh Allah dan RasulNya, samada arahan itu mudah atau payah. Mereka sanggup pergi berjihad dan mengeluarkan infak dan mereka boleh buat apa sahaja yang Nabi ajar mereka buat.

Akan tetapi ada yang masuk agama di Madinah kerana tertekan oleh keadaan. Pada mereka, kalau mereka tak masuk Islam, nanti mereka kena berperang dengan orang Islam pula. Waktu itu, orang Islam sudah ada kedudukan, tidak seperti keadaan semasa permulaan Islam di Mekah. Jadi mereka yang sebegini terpaksa mengaku masuk Islam walaupun sebenarnya mereka tidak mahu. Maka waktu itu timbullah golongan munafikin. Iaitu mereka yang masuk agama Islam kerana tertekan dengan keadaan, terpaksa masuk Islam, dan bukan dengan kehendak hati mereka. Mereka buat itu kerana mahu keuntungan untuk mereka sahaja. Mereka akan lihat, kalau ada untung, mereka akan buat; kalau tidak ada untung dan menyusahkan mereka, mereka tidak mahu buat, seperti infak dan keluar jihad. Tetapi, Allah mahu manusia masuk Islam kerana kehendak sendiri, Allah tidak mahu ada yang masuk Islam kerana terpaksa.

Golongan munafik pula terbahagi kepada dua jenis waktu itu: ada yang duduk di kawasan bandar dan ada yang duduk di kawasan desa. Yang duduk dalam bandar pula, ada jenis kaum Yahudi dan ada jenis bangsa Arab. Dan di luar desa pula juga ada dua golongan: ada yang mudah jinak dengan Islam dan masuk Islam akhirnya walaupun asalnya mereka munafik, dan ada yang kepala keras tidak mahu langsung jinak kepada Islam. Jenis seperti mereka inilah yang tidak mahu menyertai kalau ada majlis wahyu dibaca. Kalau ada, mereka akan menjauhii. Oleh itu, hati mereka menjadi sangat keras. Sedangkan ada antara mereka yang lembut hati, mencari peluang untuk dengar wahyu dibacakan hingga hati mereka menjadi lembut dan mereka akhirnya masuk Islam setelah mereka faham. Ayat yang kita akan baca sebentar lagi ini adalah tentang Arab Badwi yang dua jenis itu. Yang membezakan antara dua mereka itu adalah samada hati mereka terbuka untuk mendengar wahyu atau tidak.

الأَعرابُ أَشَدُّ كُفرًا وَنِفاقًا وَأَجدَرُ أَلّا يَعلَموا حُدودَ ما أَنزَلَ اللَّهُ عَلىٰ رَسولِهِ ۗ وَاللَّهُ عَليمٌ حَكيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The bedouins are stronger in disbelief and hypocrisy and more likely not to know the limits of what [laws] Allāh has revealed to His Messenger. And Allāh is Knowing and Wise.

(MALAY)

Orang-orang Arab Badwi itu, lebih kuat kekafiran dan kemunafikannya, dan lebih berkemungkinan tidak mengetahui hukum-hukum yang diturunkan Allah kepada Rasul-Nya. Dan Allah Maha mengetahui lagi Maha Bijaksana.

 

الأَعرابُ أَشَدُّ كُفرًا وَنِفاقًا

Orang-orang Arab Badwi itu, lebih kuat kekafiran dan kemunafikannya,

Golongan Arab Badwi yang munafik itu adalah golongan yang paling keras menentang Islam walaupun mereka mengaku sudah masuk Islam. Mereka itu digelar Arab Badwi kerana mereka tinggal di luar bandar, di padang pasir dalam khemah. Mereka ini adalah golongan yang tidak mengenal lagi erti tamadun dan adab-adab bermasyarakat. Kalau kita sekarang, panggil mereka ini jenis ‘orang bukit’.

Merekalah yang kuat kufurnya dan golongan yang paling teruk sifat munafiknya.

 

وَأَجدَرُ أَلّا يَعلَموا حُدودَ ما أَنزَلَ اللَّهُ عَلىٰ رَسولِهِ

dan lebih berkemungkinan tidak mengetahui hukum-hukum yang diturunkan Allah kepada Rasul-Nya. 

Kerana mereka tidak terbuka lagi kepada ilmu agama, maka mereka paling layak tidak dapat mengetahui sempadan atau batasan (hudud) undang-agama Allah. Mereka tidak boleh memahami lagi kerana mereka duduk jauh dari suasana dan mereka pun tidak berusaha mencari suasana ilmu. Mereka tetap dalam kejahilan mereka itu. Oleh itu, mereka tidak tahu hukum-hukum Allah.

Mengingat sifat keras dan kasar kebanyakan terjadi di kalangan penduduk pedalaman, maka Allah tidak pernah mengutus seorang rasul pun dari kalangan mereka, dan sesungguhnya kerasulan itu hanya terjadi di kalangan penduduk kota, seperti yang disebutkan oleh Allah Swt. dalam firman-Nya:

{وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ إِلا رِجَالا نُوحِي إِلَيْهِمْ مِنْ أَهْلِ الْقُرَى}

Kami tidak mengutus sebelum kamu, melainkan orang laki-laki yang Kami berikan wahyu kepadanya di antara penduduk kota. (Yusuf: 109)

 

وَاللَّهُ عَليمٌ حَكيمٌ

Dan Allah Maha mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Allah maha mengetahi keadaan mereka dan Allah maha bijaksana dalam menguruskan hal mereka.

Allah Maha Mengetahui terhadap orang yang berhak untuk Dia ajarkan iman dan ilmu kepadanya, lagi Mahabijaksana dalam pembahagian ilmu, kebodohan, iman, kekufuran, dan kemunafikan di antara hamba-hamba-Nya; tidak ada yang bertanya kepada-Nya tentang apa yang dilakukan­Nya berkat ilmu dan kebijaksanaan-Nya.


 

Ayat 98:

وَمِنَ الأَعرابِ مَن يَتَّخِذُ ما يُنفِقُ مَغرَمًا وَيَتَرَبَّصُ بِكُمُ الدَّوائِرَ ۚ عَلَيهِم دائِرَةُ السَّوءِ ۗ وَاللَّهُ سَميعٌ عَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And among the bedouins are some who consider what they spend as a loss¹ and await for you turns of misfortune. Upon them will be a misfortune of evil. And Allāh is Hearing and Knowing.

  • i.e., a fine or penalty.

(MALAY)

Di antara orang-orang Arab Badwi itu ada orang yang memandang apa yang dinafkahkannya (di jalan Allah), sebagai suatu kerugian, dan mereka menanti-nanti marabahaya menimpamu, sedangkan merekalah yang akan ditimpa marabahaya. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

 

وَمِنَ الأَعرابِ مَن يَتَّخِذُ ما يُنفِقُ مَغرَمًا

Di antara orang-orang Arab Badwi itu ada orang yang memandang apa yang dinafkahkannya, sebagai suatu kerugian,

Ada dari golongan Arab Badwi itu yang beranggapan yang arahan untuk infakkan harta adalah arahan yang membebankan mereka. Mereka tidak suka kena infak, samada dari jenis zakat atau sedekah. Kerana pada mereka, harta itu susah nak dapat tapi kena beri kepada orang lain pula. Pada mereka itu adalah kerugian yang besar – sudahlah susah dapat, kena beri pula. Jadi mereka benci kepada orang Madinah, kerana zaman itu amil zakat akan datang kutip harta mereka untuk diambil sebagai zakat dan mereka itu datang dari Madinah.

Sebenarnya, itulah yang sepatutnya dilakukan oleh pegawai zakat yang ambil dari orang kaya dan beri kepada orang miskin. Maknanya, mereka buat kerja dan sebab itu mereka layak untuk terima sebahagian dari kutipan zakat itu. Mereka layak kerana mereka buat kerja. Mereka yang akan kira harta orang kaya dan mereka yang buat kiraan berapa harta zakat yang perlu diberikan. Kemudian mereka kutip dan mereka bawa pemberian zakat itu kepada mereka yang memerlukan (asnaf). Apabila mereka buat kerja, orang kaya tak penat nak hantar zakat dan orang miskin pun tidak penat untuk pergi dan kutip zakat. Mereka tetap di tempat mereka, dan amil zakat yang datang dan beri bantuan zakat kepada mereka. Malangnya, zaman kita lain dah. Sekarang kita pun tak tahu mana orang kaya dan mana orang miskin. Amil zakat tunggu sahaja di pusat pungutan zakat. Asnaf pula yang kena datang ke pusat pungutan dan kena minta zakat. Dan asnaf itu sampai kena merayu. Kena isi borang dan ditanya macam-macam soalan. Memang susah untuk mereka dapat zakat dari pusat pungutan zakat. Mungkin ada yang rasa, baik tak payah pergi minta, sebab nak pergi pun senang. Dan mereka orang susah dan tidak berpelajaran, bukannya pandai isi borang. Kalau tanya, kena marah pula! Ini sudah tak kena cara dah. Padahal Allah dan Nabi dah ajar dah caranya. Kerana itu, kita berbangga apabila ada usaha di Negeri Perlis untuk kerajaan Negeri Perlis sendiri pergi ke ceruk-ceruk kampung dan cari orang yang hendak diberikan zakat. Ini adalah kerja yang mulia. Malangnya, Negeri Perlis ini adalah negeri yang paling dipandang serong oleh ramai orang kerana mereka mengamalkan Islam cara sunnah. Ramai yang kata, Negeri Perlis adalah tempat pembiakan Wahabi. Mereka yang kata begini adalah mereka yang amal jahil sekali. Maaf, kerana luahan rasa tentang zakat dan tentang Negeri Perlis ini.

 

وَيَتَرَبَّصُ بِكُمُ الدَّوائِرَ

dan mereka menanti-nanti marabahaya menimpamu,

Kembali kepada suasana pada zaman Nabi dan tentang Arab Badwi itu. Apabila amil zakat datang kepada Arab Badwi itu, mereka benci kerana kepada orang dari Madinah itu kerana mereka rasa orang Madinah itu datang untuk senang-senang sahaja ambil harta mereka yang mereka telah susah payah cari. Ini adalah kerana mereka tidak faham agama dan tidak tahu ada keberkatan pada pemberian zakat itu. Sebenarnya tidak patut mereka benci kerana amil pun memang ambil benda yang patut-patut sahaja. Mereka tidaklah mengambil harta yang terbaik, tidak yang terburuk, tapi pertengahan sahaja. Akan tetapi orang kaya dari kalangan Arab Badwi itu tidak tahu semua itu, mereka nampak yang buruk sahaja. Ada antara mereka yang rasa harta zakat yang mereka kena keluarkan itu adalah sebagai satu penalti مَغرَمًا ke atas mereka.

Dan oleh kerana benci sangat, mereka menunggu-nunggu bala bencana untuk kena kepada orang Madinah. Mereka berharap supaya kerajaan bertukar, tidak ada lagi Islam, tidak ada lagi pungutan zakat. Kerana inilah, apabila Nabi Muhammad wafat sahaja, ada yang tidak mahu mengeluarkan zakat lagi. Sampaikan Abu Bakr yang menjadi khalifah Islam selepas Nabi wafat kena memerangi mereka.

 

عَلَيهِم دائِرَةُ السَّوءِ

sedangkan merekalah yang akan ditimpa marabahaya.

Mereka mahu bencara kena kepada kerajaan Islam, tetapi Allah kata sebenarnya bencara buruk akan jatuh ke atas mereka. Ini adalah kerana kebodohan dan kejahilan mereka. Oleh kerana mereka jahil tentang keberkatan zakat, maka mereka tidak keluarkan zakat dan tidak mendapat keberkatan, malah keburukan kerana menentang hukum Allah.

 

وَاللَّهُ سَميعٌ عَليمٌ

Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Allah memberitahu apa yang dalam hati mereka dalam Quran ini. Kerana Allah Maha Tahu apa yang dalam hati mereka. Walaupun mereka itu duduk jauh dari Madinah dan mereka bercakap sesama mereka sahaja tentang ketidakpuasan hati mereka itu, tapi Allah Maha Mendengar dan Allah sebut balik dalam Quran ini supaya semua orang tahu.

Allah Maha Mendengar doa hamba-hamba-Nya, lagi Maha Mengetahui siapa yang berhak mendapat kemenangan dan siapa yang berhak mendapat kekalahan (kehinaan).


 

Ayat 99: Tapi ada juga golongan yang baik:

وَمِنَ الأَعرابِ مَن يُؤمِنُ بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ وَيَتَّخِذُ ما يُنفِقُ قُرُباتٍ عِندَ اللَّهِ وَصَلَواتِ الرَّسولِ ۚ أَلا إِنَّها قُربَةٌ لَهُم ۚ سَيُدخِلُهُمُ اللَّهُ في رَحمَتِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ غَفورٌ رَحيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But among the bedouins are some who believe in Allāh and the Last Day and consider what they spend as means of nearness to Allāh and of [obtaining] invocations of the Messenger. Unquestionably, it is a means of nearness for them. Allāh will admit them to His mercy. Indeed, Allāh is Forgiving and Merciful.

(MALAY)

Di antara orang-orang Arab Badwi itu ada orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, dan memandang apa yang dinafkahkannya (di jalan Allah) itu, sebagai jalan untuk mendekatkannya kepada Allah dan sebagai jalan untuk memperoleh doa Rasul. Ketahuilah, sesungguhnya nafkah itu adalah suatu jalan bagi mereka untuk mendekatkan diri (kepada Allah). Kelak Allah akan memasukan mereka ke dalam rahmat (syurga)Nya; Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

 

وَمِنَ الأَعرابِ مَن يُؤمِنُ بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ

Di antara orang-orang Arab Badwi itu ada orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian,

Bukanlah semua Arab Badwi begitu seperti yang disebut dalam dua ayat sebelum ini. Masih ada yang buat suasana ilmu di kalangan mereka supaya sentiasa dapat dengar wahyu dan kerana itu maklumat wahyu sampai dalam diri mereka. Oleh kerana itu, mereka betul-betul dapat mengetahui agama Islam dengan cara yang sebenarnya. Jadi, jangan kita kata secara umum yang semua puak Arab Badwi itu sesat semuanya. Dan mereka ada keimanan yang sebenar. Mereka beriman kepada Allah dan Hari Akhirat.

Oleh itu, kita kenalah bermesra dengan majlis ilmu. Kalau boleh, buat majlis ilmu di kawasan kita. Kalau tidak ada, maka carilah majlis ilmu di tempat lain. Dan kalau tidak ada juga, kita masih boleh mendapat ilmu dengan mendengar ceramah-ceramah online sekarang. Tapi pastikanlah yang ceramah agama itu dari asatizah yang Sunnah.

 

وَيَتَّخِذُ ما يُنفِقُ قُرُباتٍ عِندَ اللَّهِ

dan memandang apa yang dinafkahkannya (di jalan Allah) itu, sebagai jalan untuk mendekatkannya kepada Allah

Dan kerana mereka belajar agama dan dengar wahyu dibacakan, mereka faham yang apa sahaja yang mereka infakkan pada jalan Allah adalah satu perkara yang boleh menghampirkan diri mereka kepada Allah.

 

وَصَلَواتِ الرَّسولِ

dan sebagai jalan untuk memperoleh doa Rasul.

Dan mereka sedar yang infak yang mereka keluarkan itu akan meneybabkan mereka mendapat doa dari Rasulullah. Dan tentunya doa Rasulullah makbul.

Kalau zaman sekarang, Rasul tidak ada maka tidaklah dapat doa Rasulullah secara langsung. Tapi kita masih akan dapat doa juga. Ini adalah kerana, apabila seseorang itu beri zakat, penerima zakat akan doakan kebaikan orang yang beri zakat itu. Oleh itu, ada puak Arab Badwi yang beri zakat untuk dapat rapat dengan Allah dan untuk dapat doa Nabi. Mereka inilah orang yang baik dan faham agama. Kerana mereka belajar wahyu. Itulah, nak dapat perkara macam ini kerana belajarlah.

 

أَلا إِنَّها قُربَةٌ لَهُم

Ketahuilah, sesungguhnya nafkah itu adalah suatu jalan bagi mereka untuk mendekatkan diri

Allah beritahu yang sesungguhnya memang zakat dan infak itu jalan yang boleh menghampirkan mereka kepada Allah. Mereka akan dapat apa yang mereka hajatkan.

 

سَيُدخِلُهُمُ اللَّهُ في رَحمَتِهِ

Kelak Allah akan memasukan mereka ke dalam rahmatNya; 

Inilah makna قُربَةٌ: mereka akan dimasukkan ke dalam rahmat khas Allah – yang akan lindung mereka dari azab. Dan rahmat khas itu juga bermaksud mereka akan dimasukkan ke dalam syurga.

 

إِنَّ اللَّهَ غَفورٌ رَحيمٌ

Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Allah Maha Pengampun – kalau ada dosa-dosa mereka dalam mana-mana kesilapan dan kesalahan dosa yang mereka lakukan, Allah masih boleh ampun lagi. Kerana Allah amat sayang kepada hambaNya.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 009: Tawbah and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s