Tafsir Surah Takweer Ayat 1 – 14 (6 Perkara sebelum dan 6 selepas)

Pengenalan:

Surah ini adalah kesinambungan tentang kejadian pada hari Kiamat yang telah diceritakan di dalam surah Abasa sebelum surah ini. Surah ini menerangkan dengan lebih lanjut lagi tentang hari kiamat menyambung apa yang telah disebut dalam surah-surah sebelum ini. Dalam surah ini juga ada tentang risalah – kenabian Nabi Muhammad.

Akan terjadi enam perkara sebelum enam perkara pada Hari Kiamat nanti. Enam perkara selepas tiupan Sangkakala Pertama dan enam perkara lagi akan terjadi selepas tiupan yang kedua. Semua perkara ini akan terjadi sebelum Hisab Amal di Mahsyar. Surah ini menceritakan enam perkara yang pertama dan yang kedua.

Ar-Rabi’ ibnu Anas telah meriwayatkan dari Abul Aliyah, dari Ubay ibnu Ka’b yang mengatakan bahwa ada enam pertanda sebelum hari kiamat. Yaitu ketika manusia sedang berada di pasar-pasar mereka, tiba-tiba cahaya matahari lenyap. Dan ketika mereka dalam keadaan demikian, tiba-tiba bintang-bintang jatuh berserakan. Dan ketika mereka dalam keadaan demikian, tiba-tiba gunung-gunung jatuh ke permukaan bumi (yang datar), lalu bergerak dan menimbulkan gempa yang hebat dan terjadilah huru-hara, maka jin merasa kaget dan berdatangan kepada manusia, begitu pula sebaliknya manusia berdatangan kepada jin kerana kaget. Hewan-hewan ternak, burung-burung, dan haiwan-haiwan liar sebahagian darinya bercampur baur dengan yang lainnya menjadi satu kerana terkejut dengan peristiwa itu. dan apabila binatang-binatang liar dikumpulkan. (At-Takwir: 5) Yakni bercampur aduk menjadi satu. dan apabila unta-unta yang bunting ditinggalkan (tidak dipedulikan). (At-Takwir: 4) Yaitu diabaikan oleh para pemiliknya (karena mereka panik menyaksikan huru-hara hari kiamat itu). dan apabila lautan dipanaskan. (At-Takwir: 6)

Ini semua termasuk dalam ayat-ayat jenis takhwif ukhrawi.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّزَّاقِ، أَخْبَرَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ بَحِيرٍ الْقَاصُّ: أَنَّ عَبْدَ الرَّحْمَنِ بْنَ يَزِيدَ الصَّنْعَانِيَّ أَخْبَرَهُ: أَنَّهُ سَمِعَ ابْنَ عُمَرَ يَقُولُ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “مَنْ سَرَّه أَنْ يَنْظُرَ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ كَأَنَّهُ رأيُ عَيْنٍ فَلْيَقْرَأْ: ” إِذَا الشَّمْسُ كُوِّرَتْ “، وَ ” وإذَا السَّمَاءُ انفَطَرَتْ “، وَ ” إِذَا السَّمَاءُ انْشَقَّتْ “

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abdur Razzaq, telah menceritakan kepada kami Abdullah ibnu Buhairul Qas, bahwa Abdur Rahman ibnu Yazid As-San’ani pernah menceritakan kepadanya bahwa dia pernah mendengar Ibnu Umar mengatakan bahwa Rasulullah Saw. pernah bersabda: Barang siapa yang ingin memandang hari kiamat seakan-akan dia menyaksikannya dengan mata kepala sendiri, hendaklah ia membaca surat At-Takwir, surat Al-Infithar, dan surat Al-Insyiqaq.
Hal yang sama telah diriwayatkan oleh Imam Turmuzi, dari Al-Abbas ibnu Abdul Azim Al-Anbari, dari Abdur Razzaq dengan sanad yang sama.


 

Ayat 1: Perkara pertama yang akan terjadi.

إِذَا الشَّمسُ كُوِّرَت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

When the sun is wrapped up [in darkness]

(MALAY)

Apabila matahari digulung,

 

Surah ini berkenaan dengan kejadian di Hari Kiamat nanti. Kalimat إِذَا adalah adalah dalam bentuk present tense dan إِذ adalah dalam bentuk past tense. Jadi, apabila digunakan lafaz إِذَا dalam ayat ini, Allah suruh kita yakin yang Hari Kiamat itu pasti akan berlaku. Ini lain dengan kalau digunakan ‘ان’ yang bermaksud ‘jika’. Kiamat itu satu kepastian.

Allah suruh kita bayangkan apabila matahari كُوِّرَت (dilingkari) cahayanya dan ia akan menjadi malap. Kerana apabila sesuatu dilingkari sampai tertutup, tentulah ianya tertutup terus, seperti matahari yang telah dililit itu. Quran menggunakan kalimat dalam bentuk past tense (كُوِّرَت) walaupun tak terjadi lagi. Kenapa pula begitu? Sebab nak menunjukkan bahawa ianya pasti akan terjadi. Ini adalah salah satu kehebatan dalam Bahasa Arab yang kena belajar baru dapat faham.

Dalam Bahasa Arab, katakerja yang akan diletakkan dahulu dalam susunan ayat. Tapi dalam ayat ini, subjek (الشَّمسُ) yang disebut dahulu. Walaupun dari segi nahu Bahasa Arab, ini tidak salah tapi sudah terbalik dari yang kebiasaan. Dan kalau terbalik, itu suatu yang abnormal, memberi isyarat bahawa ada perkara yang hendak disampaikan secara tersirat. Apakah perkara itu? Kita kena ingat yang surah-surah juz amma ini turun di Mekah dan khitab pertama adalah kepada orang-orang Mekah yang menolak dakwah tauhid dan mereka tidak percaya kepada Hari Kebangkitan. Jadi kerana bercakap dengan orang yang tidak percaya, Allah ubah sikit susunan ayat supaya lain sikit dari normal supaya menarik perhatian mereka. Begitulah hebatnya Quran dan sebahagian dari ilmu ini kita boleh dapat kalau kita belajar ilmu balaghah.

Apabila membicarakan perkara sebegini, tentang azab, Allah bercakap dalam bentuk pasif. Maksudnya Allah tidak sebut pun yang Dia lah yang menggulung matahari itu. Padahal, pada hakikatnya, memang Allah lah yang melakukannya. Kalau kita tidak percaya dengan orang yang bercakap dengan kita, kita tidak mahu bercakap dengan dia atau yang disampaikan dari dia. Kerana sebelum cakap pun kita sudah tidak percaya. Oleh itu, Allah gunakan dalam bentuk pasif sahaja, tidak sebut yang Dia yang menggulung matahari itu. Allah tekankan tentang kejadian itu sendiri. Jangan tengok kepada siapa yang bercakap tapi lihatlah apa yang dikatakan. Dalam ayat ini, Allah menekankan tentang perkara, bukan DiriNya. Jadi dalam ayat ini, Allah tekankan tentang kejadian penggulungan matahari itu, sesuatu yang amat besar sekali.

Ayat ini dibacakan kepada mereka yang tidak mempercayai ayat-ayat Allah. Maka lihatlah nanti apabila matahari yang hari-hari kamu tengok itu, akan padam cahayanya. Orang Arab waktu itu memang melihat matahari kerana mereka memang melihat alam sepanjang masa. Mereka tidak ada tv dan handphone nak hadap, jadi alam adalah sesuatu yang amat rapat dengan mereka. Jadi kalau disebut yang matahari itu padam, tentu ia akan menarik perhatian mereka. Tentu mereka akan terkejut dan hendak melihat apakah yang akan disebutkan selepas itu. Oleh itu, Allah mulakan dengan sesuatu yang amat mengejutkan untuk menarik perhatian mereka.

Untuk bayangkan bagaimana kejadian كُوِّرَ itu, bayangkan seperti melilit turban yang diikat keliling kepala dan menutup kepala. Bayangan yang hendak disampaikan dalam ayat ini, matahari akan ditutup cahayanya. Bayangkan matahari yang begitu kuat cahayanya, tapi masih kena tutup cahayanya.


 

Ayat 2: Perkara kedua.

وَإِذَا النُّجومُ انكَدَرَت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when the stars fall, dispersing,

(MALAY)

dan apabila bintang-bintang berjatuhan,

 

Apabila bintang-bintang hilang warnanya (انكَدَرَ) dan jatuh berselerakan. Orang Arab memang kebiasaan mereka melihat bintang. Malam-malam mereka tidak apa sangat nak buat, jadi kadang-kadang mereka akan baring melihat bintang sahaja. Sampai kebiasaan mereka adalah tidur di atas bumbung rumah dinaungi bintang malam sahaja. Sekarang memang kita tidak perasan warna bintang pun sebab kita jarang nampak. Sudahlah kita jarang tengok dan kalau nak tengok pun, negara kita banyak awan, jadi bintang itu tidak berapa kelihatan. Tetapi orang Arab memang selalu tengok, dan ini adalah satu lagi kejadian yang menghairankan dan juga menakutkan. Maka berilah perhatian kepada ayat-ayat seterusnya.

Jadi siang dan malam pun akan hancur apabila datangnya Kiamat. Dalam ayat 1, tentang siang – apabila matahari dimalapkan; sekarang bintang yang keluar malam hari pun jadi malap juga. Siang tiada, malam pun tiada, apa lagi yang ada?


 

Ayat 3: Perkara ketiga.

وَإِذَا الجِبالُ سُيِّرَت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when the mountains are removed

(MALAY)

dan apabila gunung-gunung digerakkan,

 

Apabila gunung ganang bergerak, bergerak secara selamba. Bayangkan, gunung yang  dulunya berdiri kukuh sekarang hancur dan bergerak begitu sahaja. سيرَ bermaksud bergerak dengan cara biasa, selamba. Ini adalah kerana gunung yang besar dan kukuh itu akan hancur dan menjadi debu dan terbang ditiup angin. Mereka yang melihatnya nanti sampai tak percaya matanya nanti. Ianya adalah sesuatu yang tidak disangka langsung. Kerana sekarang kalau gempa bumi pun, gunung masih berdiri kukuh.


 

Ayat 4: Perkara keempat.

وَإِذَا العِشارُ عُطِّلَت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when full-term she-camels¹ are neglected

  • Those ten months pregnant and nearing delivery. This verse alludes to distraction from the most valued of possessions.

(MALAY)

dan apabila unta-unta yang bunting sepuluh bulang ditinggalkan (tidak diperdulikan)

 

Apabila unta yang telah bunting sepuluh bulan (العِشارُ dari عشرُ yang bermaksud ‘sepuluh’) ditinggalkan begitu sahaja. Sebab semua orang sibuk dengan kejadian Hari Kiamat. Pada orang Arab, unta bunting 10 bulan begitu berharga sekali kerana sudah hampir hendak bersalin dan mereka tidak akan tinggalkan begitu sahaja kerana mereka sayang sangat kepada unta itu waktu itu. Kerana itulah harta mereka yang paling bernilai. Tapi itupun tuannya buat tak kisah dah. Kerana waktu itu manusia sudah tidak fikirkan pun tentang harta benda mereka. Padahal semasa hidup dulu mereka jaga sungguh, tapi bila dah Kiamat, terus lupa langsung apa yang mereka ada, apa yang mereka sayang.

عطلَ bermaksud jadi tidak bernilai, tidak berguna lagi. Dibiarkan begitu sahaja. Tiada siapa yang kisah, jalan sendiri sahaja. Kerana semua sibuk dengan keadaan hari kiamat yang mengejutkan. Macam kalau rumah kita sedang terbakar, kita tidak kisah tentang berapa duit kita dalam bank dah waktu itu kan? Memang nanti waktu Kiamat nanti orang sudah tidak ada unta dah, tapi ini adalah gambaran kepada keadaan di mana barang yang paling kita sayang, kita tinggalkan begitu sahaja.

Isyarat kepada kehamilan sudah disebut di sini. Nanti akan disebut tentang kehamilan lagi, apabila sampai pada ayat bagaimana anak perempuan yang baru lahir disebut.


 

Ayat 5: Perkara kelima.

وَإِذَا الوُحوشُ حُشِرَت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when the wild beasts are gathered

(MALAY)

dan apabila binatang-binatang liar dikumpulkan,

 

Binatang-binatang yang liar pun akan dihimpunkan. Sehingga mereka boleh datang berhimpun bersama di tempat manusia. الوُحوشُ bermaksud binatang-binatang buas, yang dulunya kalau keadaan normal tak boleh duduk bersama. Jenis binatang yang tidak jinak dan tidak boleh dijinakkan. Kalau di dunia, ianya boleh terjadi semasa banjir dan ada kawasan kecil sahaja yang kering, jadi binatang dan berkumpul. Kalau jadi keadaan yang mengharukan, barulah semua akan kumpul di situ. Sekarang kalau keadaan biasa, binatang-binatang itu kalau nampak manusia, mereka akan lari jauh-jauh; tapi kali ini mereka boleh berkumpul dengan manusia, kerana mereka pun takut juga. Mereka pun terkesan dengan keributan Hari Kiamat itu sampai tidak kisah pun dengan kebiasaan mereka. Sebab ada perkara lain yang lebih besar lagi yang dirisaukan.

Dalam surah Abasa sebelum ini, telah disebut bagaimana ada manusia lari dari sesama manusia, tapi sekarang disebut binatang berkumpul. Kedua-dua perkara itu adalah lari dari kebiasaan. Kerana manusia selalunya berkumpul, tapi hari akhirat mereka akan menjauhkan diri dari orang lain; binatang ini pula jenis duduk berjauhan, tapi hari akhirat, mereka akan berkumpul. Keadaan jadi mengejutkan sangat sampai kebiasaan pun ditinggalkan dan jadi terbalik.


 

Ayat 6: Perkara keenam.

وَإِذَا البِحارُ سُجِّرَت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when the seas are filled with flame¹

  • Or “when the seas have overflowed [into each other].”

(MALAY)

dan apabila lautan dijadikan meluap

 

Apabila semua lautan di dunia ini akan menggelegak dan menjadi seperti minyak yang akan dinyalakan dan api akan memarak dengan teruk sekali. Ini memberi isyarat yang air lautan akan menjadi seperti minyak yang akan menyemarakkan api. Sepatutnya air memadamkan api, bukan? Tapi kali ini ia yang akan membakar pula. Ada yang kata ini mungkin kerana datang dari api yang berada di dasar laut. Kerana ada kajian yang mengatakan di bawah dasar laut itu adalah kandungan larva dan larva itu akan melimpah ruah.

Habis tentang 6 perkara yang akan terjadi apabila Sangkakala Pertama ditiupkan.


 

Ayat 7: Ini pula adalah enam perkara yang terjadi selepas Tiupan Sangkakala Kedua. Iaitu selepas semua makhluk dihidupkan kembali. Ini perkara pertama yang akan berlaku.

وَإِذَا النُّفوسُ زُوِّجَت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when the souls are paired¹

  • With another like soul. It can also mean “joined” (with their groups or sects).

(MALAY)

dan apabila ruh-ruh dipertemukan (dengan tubuh)

 

Apabila tiap-tiap diri akan dipasangkan dengan pasangannya. Selepas tiupan sangkakala kedua, semua roh akan ditemukan semua dengan badannya. Masa mati dahulu, roh diceraikan dari badan dan apabila dibangkitkan kembali, roh akan dipertemukan dengan tubuhnya semula.

Satu pendapat (daripada Saidina Umar) mengatakan maksud ayat ini adalah makhluk yang baik akan dipasangkan dengan makhluk yang baik juga, dan diri yang jahat akan dipasangkan dengan diri yang jahat juga. Pendapat ini dikuatkan lagi dengan ayat-ayat lain yang mengatakan manusia akan dibahagikan kepada tiga puak: ada puak kanan, puak kiri dan mereka yang dekat dengan Allah (muqarraboon). Juga telah disebut dalam satu hadis:

قَالَ ابْنُ أَبِي حَاتِمٍ: حَدَّثَنَا أَبِي، حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ الصَّبَّاحِ الْبَزَّارُ، حَدَّثَنَا الْوَلِيدُ بْنُ أَبِي ثَوْرٍ، عَنْ سمَاك، عَنِ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ أَنَّهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: {وَإِذَا النُّفُوسُ زُوِّجَتْ} قَالَ: الضُّرَبَاءُ، كُلُّ رَجُلٍ مَعَ كُلِّ قَوْمٍ كَانُوا يَعْمَلُونَ عَمَلَهُ”، وَذَلِكَ بِأَنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يَقُولُ: {وَكُنْتُمْ أَزْوَاجًا ثَلاثَةً فَأَصْحَابُ الْمَيْمَنَةِ مَا أَصْحَابُ الْمَيْمَنَةِ وَأَصْحَابُ الْمَشْأَمَةِ مَا أَصْحَابُ الْمَشْأَمَةِ وَالسَّابِقُونَ السَّابِقُونَ} [الْوَاقِعَةِ: 7 -10] ، قَالَ: هُمُ الضُّرَبَاءُ

Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami ayahku, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnus Sabah Al-Bazzar, telah menceritakan kepada kami Al-Walid ibnu Abu Saur, dari Sammak, dari An-Nu’man ibnu Basyir yang mengatakan bahawa Rasulullah Saw. membaca firman-Nya: dan apabila roh-roh dipertemukan (dengan tubuh). (At-Takwir: 7) Lalu baginda Saw. bersabda, bahawa yang dimaksud adalah teman-teman sejawat; setiap lelaki dikumpulkan dengan kaum yang mempunyai amal yang sama dengannya. Demikian itu kerana Allah Swt. telah berfirman: dan kamu menjadi tiga golongan. Yaitu golongan kanan. Alangkah mulianya golongan kanan itu. Dan golongan kiri. Alangkah sengsaranya golongan kiri itu. Dan orang-orang yang paling dahulu beriman, merekalah yang paling dulu (masuk syurga). (Al-Waqi’ah: 7-10Mereka adalah bergolong-golongan, masing-masing orang dihimpunkan bersama dengan golongannya yang seamalan dengannya.


 

Ayat 8: Perkara kedua.

وَإِذَا المَوءودَةُ سُئِلَت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when the girl [who was] buried alive is asked

(MALAY)

dan apabila bayi-bayi perempuan yang dikubur hidup-hidup ditanya,

 

Apabila Allah bertanya kepada bayi perempuan yang telah dibunuh semasa kecil iaitu semasa dilahirkan. Kenapa Allah tanya kepada anak kecil itu sedangkan dia tidak tahu apa-apa lagi? Ini adalah kerana Allah marah sangat sampai Dia tidak mahu bercakap dengan ayahnya lagi. Allah tak tanya kepada ayah kenapa buat begitu, tapi terus tanya kepada anak yang dibunuh itu terus. Kenapa tanya kepada anak itu? Kerana waktu dia dibunuh, dia tidak dapat mempertahankan dirinya, sekarang Allah beri kelebihan itu kepada mereka. Begitulah di akhirat nanti, mereka yang ditindas, yang tidak ada peluang untuk mempertahankan diri, mereka akan diberi peluang untuk berhujah. Tentulah anak itu tidak salah apa-apa sampai menyebabkan dia dibunuh.

Ada anak perempuan yang dibunuh semasa kecil lagi semasa zaman Jahiliah. Begitulah keadaannya sebelum kedatangan Islam. Kerana mereka tidak suka sungguh kalau yang lahir adalah anak perempuan. Kerana pada mereka, ia menghina mereka kerana tidak boleh dapat anak lelaki – kelelakian mereka tercabar. Dan anak perempuan menyusahkan – kena dijaga dari kecil sampai besar dan kemudian kena beri kepada orang lain sebagai isteri – macam bukan pelaburan yang bagus pula. Dan lagi, mereka tidak dapat tolong dalam keluarga, dalam perang dan dalam cari nafkah. Inilah kepercayaan orang musyrik waktu itu. Begitulah kalau dah jadi musyrik, mereka sampai boleh buat perkara yang tidak disangka boleh dilakukan oleh manusia. Ini adalah kerana mereka telah dikawal oleh syaitan.

Sebelum ini telah disebut tentang unta yang bunting sepuluh bulan. Bayangkan, unta bunting mereka suka dan jaga baik-baik, tapi isteri mereka lahirkan anak perempuan mereka marah pula, sampai mereka sanggup bunuh. Ada yang dah siap buat lubang dah bila isteri mereka hendak bersalin – kalau anak perempuan, terus masuk lubang. Dan ada yang bawa isteri mereka jauh dari kampung halaman kalau mengandung kerana dia tidak mahu orang tahu dia dapat nak perempuan. Kalau dapat anak lelaki, barulah dia bawa isterinya itu balik dengan anak barunya itu; kalau tidak, terus dibunuh sahaja. lihatlah betapa teruknya mereka dan dah terbalik dah otak mereka.

Perlu juga diingat, bahawa kejadian ini tidaklah berlaku kepada seluruh bangsa Arab, lebih-lebih bagi puak Quraish. Ianya hanya berlaku di kalangan setengah-setengah qabilah Bani Tamim dan Asad. Dalam isu ini ada kisah yang tidak benar, tapi berlegar dalam masyarakat kita. Iaitu tentang Saidina Umar pernah membunuh anak perempuannya. Ini adalah kisah yang tidak benar tapi direka oleh puak Syiah untuk memburukkan beliau. Fikirkanlah, beliau adalah bangsa Quraish dan bangsa Quraish tidak buat perkara ini. Keduanya, kalau dia bunuh anak perempuannya, macam mana dia ada anak perempuan (Habsah) yang berkahwin dengan Nabi Muhammad? Jadi, tidak benar Umar pernah membunuh anak perempuannya.

Kenapa ada disentuh tentang anak-anak perempuan yang dibunuh? Ini adalah kerana dakwah para Nabi menyentuh kesalahan-kesalahan yang dilakukan pada zaman mereka. Sebagai contoh, pada zaman Nabi Luth – homoseksual; zaman Nabi Musa – amalan sihir; Oleh itu, pada zaman Nabi Muhammad, kerana ada masalah sembelih anak, maka Quran menyentuh perkara itu. Oleh kerana itu, kita kena tengok apakah masalah zaman kita. Mungkin boleh dikatakan zaman kita ini ada masalah riba, masalah media massa yang terbuka sangat dan macam-macam lagi. Jadi kita kena buat kajian apakah masalah zaman kita dan kita kena tegur dan baiki. Kita kena ikut sunnah Quran yang menegur tentang masalah-masalah manusia zaman Nabi-Nabi sebelum ini dan menyebut tentang kezaliman yang telah dikenakan kepada mereka.

Semua masalah-masalah yang ada itu adalah panyakit masyarakat itu dan ada yang menanggung kesusahan kerananya. Maka Allah menyentuh kesalahan yang ada pada setiap zaman untuk memberi keadilan kepada mereka yang tertindas, supaya nasib mereka dijaga. Begitu jugalah dengan kita. Kalau masalah riba yang kita sentuh, ia sebenarnya untuk menjaga ekonomi rakyat, kerana riba ini memberi kekayaan melampau kepada mereka yang ada duit dan menindas dengan teruk sekali mereka yang tidak ada duit.


 

Ayat 9:

بِأَيِّ ذَنبٍ قُتِلَت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

For what sin she was killed

(MALAY)

kerana dosa apakah dia dibunuh,

 

Anak-anak perempuan yang dibunuh itu akan ditanya, dosa apakah mereka dibunuh? Allah tanya kepada anak itu sendiri. ada salahkah kamu dibunuh? Kalau dosa besar sudah tentu tidak ada, dosa kecil ada tak? Kalau dah lahir-lahir kena bunuh, tentu tidak ada dosa langsung.

Allah tanya sendiri kepada anak-anak perempuan itu kerana mereka tidak ada peluang untuk mempertahankan diri mereka semasa mereka dibunuh dulu. Dan kerana tidak ada sesiapa pun yang mempertahankan mereka juga. Kerana kalau bunuh seseorang yang dari puak lain, orang dari puak itu ada yang akan membalas dendam, balas balik, marah atau buat apa sahaja, bukan? Tetapi kalau ayah bunuh anak sendiri, tidak ada sesiapa yang akan tanya, marah atau balaskan untuk bayi itu. Maka Allah beri peluang kepada anak-anak perempuan untuk bercakap, untuk didengari suara mereka.

Dan ini akan lebih menakutkan mereka yang telah membunuh anak-anak perempuan mereka. Mereka dengar sahaja bagaimana anak-anak mereka yang mereka telah zalimi itu ditanya. Kerana sesungguhnya apabila orang yang teraniaya ditanya, maka terlebih lagi beratnya hukuman yang dikenakan terhadap pelaku aniaya.


 

Ayat 10: Perkara ketiga.

وَإِذَا الصُّحُفُ نُشِرَت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when the pages¹ are spread [i.e., made public]

  • On which are recorded the deeds of all people.

(MALAY)

dan apabila catatan-catatan (amal perbuatan manusia) dibuka,

 

Selepas tiupan Sangkalala Kedua dibunyikan, buku amalan manusia dibuka. الصُّحُفُ adalah lembaran yang digunakan untuk menulis dan membaca. Ianya merujuk kepada kitab yang menulis segala amalan kita. Kerana bersama kita adalah malaikat yang menulis sahaja apa sahaja yang kita lakukan sepanjang hari. Mereka akan tulis perkara kecil dan besar.

Digunakan kalimat نُشِرَت (dihamparkan) kerana buku catatan amal itu akan dibuka macam scroll. Bukan macam buku yang kita ada sekarang ini. Tapi ianya akan panjang, dan bila dibuka, ianya akan terbentang di hadapan dan panjangnya adalah sejauh mata memandang. Kerana banyak perbuatan yang ditulis, dari yang sekecil-kecilnya sampai sebesar-besarnya. Oleh itu, memang banyak yang akan tertulis di dalamnya.

Jadi الصُّحُفُ merujuk kepada buku kitab amalan kita. Tetapi ia juga boleh digunakan untuk untuk merujuk kepada wahyu dari Allah dalam bentuk tulisan – Kitab Wahyu; dalam kes kita, tentulah Quran. Ini memberi isyarat kepada kita, kalau kita tidak endahkan الصُّحُفُ yang dalam bentuk wahyu itu (Quran), kita akan ada masalah dengan الصُّحُفُ dalam bentuk amalan kita. Maknanya ada kaitan, bukan? Maka, kalau orang Islam kita buat tidak kisah sahaja tentang pembelajaran tafsir Quran ini, bagaimana mereka beramal? Adakah amalan mereka itu ikut seperti yang dikehendaki oleh Quran? Janganlah kita jadi orang yang menyesal apabila melihat Kitab Amalannya seperti firman-Nya:

يَوْمَ تَجِدُ كُلُّ نَفْسٍ مَا عَمِلَتْ مِنْ خَيْرٍ مُحْضَراً وَما عَمِلَتْ مِنْ سُوءٍ تَوَدُّ لَوْ أَنَّ بَيْنَها وَبَيْنَهُ أَمَداً بَعِيداً

Pada hari ketika tiap-tiap diri mendapati segala kebajikan yang dilakukan(nya) dihadapkan (di mukanya), begitu (juga) kejahatan yang telah dikerjakannya; ia ingin kalau kiranya antara ia dengan hari itu ada masa yang jauh. (Ali Imran: 30)


 

Ayat 11: Perkara keempat. Sekarang sambung balik tentang langit yang ditinggalkan selepas ayat kedua.

وَإِذَا السَّماءُ كُشِطَت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when the sky is stripped away

(MALAY)

dan apabila langit dilenyapkan,

 

Kalimah كُشِطَت (dilapah) yang dan jadi ‘langit dilapah’. Kenapa digunakan begitu? Ini adalah hendak memberi bayangan kepada kita, kerana apabila kulit binatang dilapah, warnanya akan merah kerana darah. Dan begitulah nanti pada Hari Kiamat nanti, kerana dalam ayat lain, disebut bagaimana pada kiamat nanti, warna langit akan menjadi merah. Langit yang sekarang kita lihat warna kebiruan, tapi akan jadi kemerahan. Kenapa langit menjadi merah? Kerana langit menjadi merah kerana memantulkan keadaan bumi waktu semasa. Sekarang bumi tenang, maka warnanya biru kerana reflect warna laut. Nanti apabila bumi kacau bilau, warnanya akan menjadi merah.

Maksud kedua, langit itu seperti kulit yang dilapah kulitnya, dicabut dari tempatnya.


 

Ayat 12: Perkara kelima.

وَإِذَا الجَحيمُ سُعِّرَت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when Hellfire is set ablaze

(MALAY)

dan apabila neraka Jahim dinyalakan,

 

Apabila api neraka dinyalakan. سُعِّرَت bermaksud api yang dijadikan tinggi, semakin bersemarak, semakin membesar panas. Quran menceritakan tentang ketinggian api neraka jahanam itu. Muka manusia yang engkar jadi hitam seperti yang disebut dalam Abasa:40-41 sebelum ini, kerana api inilah. Neraka itu dinyalakan dan dibawakan dekat kepada mereka yang engkar dan kerana itu muka mereka jadi gelap, berdebu.


 

Ayat 13: Perkara keenam.

وَإِذَا الجَنَّةُ أُزلِفَت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when Paradise is brought near,

(MALAY)

dan apabila syurga didekatkan,

 

Apabila syurga dibawakan dekat dengan orang mukmin. Syurga itu didekatkan kepada mereka semasa mereka menunggu di Mahsyar. Ini dijadikan sebagai satu penghormatan kepada para mukmin. Macam beri hadiah kepada mereka, dan sebelum dimasukkan, ditunjukkan dahulu syurga itu.

Ini sebagai salah satu lagi dalil yang syurga itu memang telah ada. Ia menunggu sahaja orang mukmin untuk masuk ke dalamnya. Ini menolak fahaman golongan Muktalizah yang kata syurga neraka tidak ada lagi.

Dalam surah sebelum ini, dalam Abasa:48-49, telah dikatakan yang muka orang mukmin bergembira dan mereka tertawa kegembiraan, kenapa? Kerana mereka tengok syurga inilah. Mereka dah tahu yang mereka akan dapat masuk ke dalamnya, maka mereka telah gembira.


 

Ayat 14: Dari ayat 7 sampai ayat 13, telah banyak disebut إِذَا, إِذَا. Persoalannya, apa yang hendak disampaikan? Apakah yang akan terjadi apabila jiwa disatukan dengan tubuh, anak perempuan yang dibunuh ditanya, kitab amalan dibukakan, langit dilapah, neraka dipanaskan dan syurga didekatkan? Ayat ini adalah jawapan kepada ayat-ayat sebelum ini.

عَلِمَت نَفسٌ ما أَحضَرَت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

A soul will [then] know what it has brought [with it].¹

  • i.e., all of one’s deeds from worldly life, which have accompanied the soul to the Hereafter.

(MALAY)

maka tiap-tiap jiwa akan mengetahui apa yang telah dikerjakannya.

 

Apabila semua yang di atas tadi berlaku, maka tiap-tiap orang akan tahu apa yang dibawanya sebagai amalan. Mereka akan lihat sendiri Kitab Amalan mereka dan mereka dah tahu dah apa keputusannya. Mereka pun teringat baliklah segala perbuatan salah mereka di dunia, segala peluang untuk buat baik yang mereka lepaskan, segala tanggungjawab yang mereka tidak penuhi semasa di dunia. Seperti firman Allah Swt.:

يُنَبَّؤُا الْإِنْسانُ يَوْمَئِذٍ بِما قَدَّمَ وَأَخَّرَ

Pada hari itu diberitakan kepada manusia apa yang telah dikerjakannya dan apa yang dilalaikannya. (Al-Qiyamah:13)

Tapi waktu itu sudah terlambat nak buat apa-apa lagi. Waktu itulah mereka sibuk dengan nasib mereka seperti yang disebut dalam Abasa:37 sebelum ini. Mereka ini seumpama macam pelajar yang kena bentang kerja rumah dia ke hadapan cikgu. Tapi dia tahu kerjanya tidak siap, banyak yang salah. Jadi dia tak mahu nak bentangkan sebenarnya, tapi terpaksa juga kena buat. Itu baru kerja rumah, kalau kerja kita sepanjang hidup bagaimana pula?

Dikatakan semua orang akan takut, tidak kira siapa. Walaupun orang itu orang mukmin kerana orang beriman pun takut juga sebab pengadilan belum selesai lagi. Dan apabila belum selesai, mereka tidak tahu nasib mereka. Macam pelajar tunggu keputusan peperiksaan – walaupun mereka pelajar yang baik, dah belajar bersungguh-sungguh dan jawap sebaik mungkin, tapi masih takut juga kerana selagi tidak lihat keputusan peperiksaan, belum tentu selamat lagi.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 081: Takweer and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s