Tafsir Surah Abasa Ayat 24 – 42 (Lihat pada makanan kita)

Ayat 24: Dalil aqli tentang tauhid.

فَليَنظُرِ الإِنسانُ إِلىٰ طَعامِهِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then let mankind look at his food –

(MALAY)

maka hendaklah manusia itu memperhatikan makanannya.

Allah beri dalil dengan suruh manusia perkara yang biasa sahaja – makanan kita yang kita hadap setiap hari itu. Manusia hendaklah melihat dengan teliti apa yang dimakannya. Lafaz نظرِ bukan sahaja melihat tapi renung dengan betul-betul, dan memikirkan tentangnya. Kerana kalau kita nak fikirkan sesuatu dengan mendalam, kita kena tengok lama-lama dan fokus kepada sesuatu itu. Baru dapat faham.


Ayat 25: Makanan yang kita makan itu, bukan terjadi begitu sahaja, tapi ada proses bagaimana ianya dijadikan. Allah menceritakan tentangnya:

أَنّا صَبَبنَا الماءَ صَبًّا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

How We poured down water in torrents,

(MALAY)

Sesungguhnya Kami benar-benar telah mencurahkan air (dari langit),

Sesungguhnya Allah yang telah menurunkan air dengan banyak. صَبًّا bermaksud mencurah-curah turun. Air itu tidak datang sendiri. Allah suruh kita fikirkan, dari mana datang air itu dan siapakah yang menurunkannya? Tentulah dari Allah dan Allah ingatkan kita dalam ayat ini.


Ayat 26:

ثُمَّ شَقَقنَا الأَرضَ شَقًّا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then We broke open the earth, splitting [it with sprouts],

(MALAY)

kemudian Kami belah bumi dengan sebaik-baiknya,

Dan Allah telah memecahkan bumi (sesuai untuk bercucuk tanam). Allah jadikan bumi merekah dan gembur. Air senang masuk untuk mengairi tanam-tanaman itu. Ini juga penting supaya tanaman boleh bergerak dan hidup. Siapakah yang menggemburkan tanah itu? Allah ingatkan kita yang Dialah yang melakukannya.


Ayat 27:

فَأَنبَتنا فيها حَبًّا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And caused to grow within it grain

(MALAY)

lalu Kami tumbuhkan biji-bijian di bumi itu,

Selepas Allah jadikan tanah merekah dan gembur, Allah tumbuhkan biji bijian. dan Allah jadikan ia hidup subur. Allah sebutkan makanan yang penting atau makanan ruji dulu. Kerana inilah makanan yang dimakan banyak sekali oleh manusia, seperti gandum, beras dan sebagainya.


Ayat 28:

وَعِنَبًا وَقَضبًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And grapes and herbage

(MALAY)

anggur dan sayur-sayuran,

Dan Allah menumbuhkan buah anggur dan sayur-sayuran dengan menurukan air dan dalam tanah yang merekah itu.


Ayat 29:

وَزَيتونًا وَنَخلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And olive and palm trees

(MALAY)

zaitun dan kurma,

Buah zaitun dan kurma. Makanan ni makanan yang mewah kalau dibandingkan dengan yang sebelumnya.

Buah zaitun cukup dikenal dan dapat dijadikan sebagai lauk, begitu pula minyaknya. Bahkan minyaknya dapat digunakan untuk meminyaki tubuh dan juga sebagai bahan bakar untuk lampu.

Sedangkan buat tamar juga banyak kegunaan dan boleh digunakan dengan bermacam-macam cara.

Allah sebut jenis-jenis makanan ini kerana makanan inilah yang dikenali oleh masyarakat Arab waktu itu dan dekat dengan hati mereka. Bukanlah buahan dan makanan itu sahaja yang ada. Allah sebut perkara yang biasa dikenali kepada penerima pertama wahyu ini supaya mereka dapat mengaitkan dengan diri mereka.


Ayat 30:

وَحَدائِقَ غُلبًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And gardens of dense shrubbery

(MALAY)

kebun-kebun (yang) lebat,

Dan taman-taman yang hijau subur, yang lebat. حَدائِقَ adalah taman yang dijaga yang di dalamnya adalah kehidupan menghijau yang lebat. Ini adalah sesuatu yang amat menarik perhatian orang Arab kerana secara umumnya, mereka tidak mempunyai banyak tempat sebegitu, kerana mereka hidup di padang pasir yang gersang.


Ayat 31:

وَفاكِهَةً وَأَبًّا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And fruit and grass –

(MALAY)

dan buah-buahan serta rumput-rumputan,

Segala jenis buahan yang sedap-sedap dan rumput rumputan untuk binatang. Sebelum ini Allah sebut untuk manusia sahaja dan sekarang, أَبًّا adalah rumput untuk makanan binatang sahaja. Allah sebutkan makanan manusia dengan banyak kerana nak cerita semua makanan itu untuk manusia. Dan makanan untuk binatang pun, tapi binatang itu untuk kegunaan kita juga – kita makan binatang itu dan kita gunakan untuk kemudahan kita.

Asal lafaz فاكِهَةً adalah ‘gembira’. Digunakan untuk buah-buahan kerana kalau manusia makan buah-buahan, mereka akan jadi gembira.

Ibnu Abbas mengatakan bahwa fakihah adalah buah yang dimakan dalam keadaan segar, sedangkan al-abb artinya tumbuhan yang hanya dimakan oleh binatang ternak dan tidak dimakan oleh manusia. Menurut riwayat lain yang bersumber darinya, disebutkan ianya adalah rumput untuk haiwan temak.


Ayat 32: Kesimpulan untuk segala makanan yang telah disebut sebelum ini, selepas Allah suruh kita tengok dan renung kepada segala makanan itu.

مَتاعًا لَكُم وَلِأَنعامِكُم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[As] enjoyment [i.e., provision] for you and your grazing livestock.

(MALAY)

untuk kesenanganmu dan untuk binatang-binatang ternakmu.

Sebagai faedah untuk kamu dan ternakan kamu. Allah sebut manusia dulu (لَكُم) sebab  manusia lebih penting dari binatang. Malah, binatang-binantang itu pun dijadikan untuk kita.

Allah sebut tentang makanan dan jasaNya untuk mengajak manusia untuk kembali kepada agama yang benar. Allah mengenangkan jasaNya kepada manusia supaya manusia ingat siapakah yang telah memberi segala itu kepada mereka. Kalau orang buat kebaikan untuk kita, tentulah kita akan sayang kepada dia, ikut cakap dia, bukan? Bagaimana pula kalau semua yang kita ada dari Allah? Tentulah segala apa yang Allah suruh kita buat, kita kena taat, bukan? Dalam istilah psikologi, ini dipanggil positive reinforcement. Maknaya, tengoklah apa jasa yang Allah telah berikan kita, kenanglah jasa Allah. Ini sepatutnya membawa manusia kepada Islam.


Ayat 33: Ayat takhwif ukhrawi. Sekarang sudah diberi ancaman kalau tidak mahu terima juga positive reinforcement yang telah disebutkan sebelum ini. Kalau dengan manusia, untuk kita beri nasihat, kita suruh dia ingat balik jasa kita dah buat kepadanya. Tapi kalau dia masih berdegil, mulalah kita beri ancaman kepadanya, bukan?

فَإِذا جاءَتِ الصّاخَّةُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But when there comes the Deafening Blast¹

  • The piercing blast of the Horn which signals resurrection. Aṣ-Ṣākhkhah is also a name for the Day of Resurrection.

(MALAY)

Dan apabila datang suara yang memekakkan (tiupan sangkakala yang kedua),

Apabila datang jeritan yang amat kuat. الصّاخَّةُ adalah jeritan yang amat kuat. Kaum musyrik mendengar pesanan dan dakwah Nabi tapi mereka tak mahu mendengar. Mereka tidak endahkan. Tapi mereka takkan dapat melawan apabila pekikan yang kuat itu akan datang nanti. itu sebab Allah gunakan azab jenis jeritan kepada mereka. Kerana degil sangat nak dengar, maka Allah beri azab. الصّاخَّةُ adalah jeritan yang sangat kuat sampaikan kalau dengar, boleh terus jadi pekak. Allah nak beritahu mereka: sekarang kamu boleh tutup telinga kamu dari dengar nasihat, tapi lihatlah nanti apa yang akan kena kepada kamu.

الصّاخَّةُ itu akan datang pada Hari Kiamat nanti. Hari yang semua makhluk akan dimatikan. Hari yang menentukan permulaan Hari Kiamat. Kemudian Allah sebutkan apa yang akan terjadi pada hari itu dalam ayat seterusnya.


Ayat 34:

يَومَ يَفِرُّ المَرءُ مِن أَخيهِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

On the Day a man will flee from his brother

(MALAY)

pada hari ketika manusia lari dari saudaranya,

Pada hari itu, manusia akan lari dari saudaranya kerana tidak mahu menolong saudaranya itu. Lafaz المَرءُ yang digunakan dalam ayat ini dan bukan الرجل yang juga terjemahan kasarnya adalah lelaki juga. Ini adalah kerana المَرءُ selalunya bermaksud orang yang tidak mementingkan diri sendiri, seorang yang sanggup korbankan dirinya untuk tolong orang. Akan tetapi, Allah nak beritahu, orang yang macam ni pun akan lari dari saudaranya.

Lafaz يَفِرُّ bermaksud lari dari sesuatu yang menakutkan. Sampai begitu sekali mereka lari dari saudara mara mereka. Padahal, sepatutnya dengan saudara mara kitalah, kita akan rapat bukan? Kalau di dunialah yang kita selalu bersama dengan mereka, bukan?

Selalunya, kalau kita ada masalah dan nak cari perlindungan, kita akan cari saudara kita, bukan? Akan tetapi kali ini, mereka lari dari saudarnya sendiri. Keadaan sudah jadi terbalik pula. Kenapa? Sebab ada hak hak saudaranya yang tidak dia penuhi. Oleh kerana saudaranya itu rapat dengan kita, tentu kita banyak berurusan dengan mereka. Akan tetapi, kadang-kadang dengan saudara mara kitalah yang kita ada masalah, berkelahi, bertegang urat, tidak bertegur sapa lagi dan macam-macam masalah lagi; sedangkan, dengan orang lain baik-baik sahaja. Sampaikan kadang-kadang manusia tidak memenuhi hak-hak saudara mereka pun ada.

Oleh itu, di akhirat nanti, apabila dia nampak saudara mara dia, dia akan lari. Sebelum mereka mengadu yang ada hak mereka yang tidak memenuhinya semasa di dunia. dan waktu di akhirat nanti, semua akan kisah, tidak boleh nak kasi chance dah, walaupun dengan saudara mara. jadi bila dia nampak saudar dia, dia teringat yang dia tidak penuhi hak saudaranya itu. Jadi dia takut saudaranya itu akan tuntut dari dia, maka dia akan lari awal-awal lagi. Bila nampak sahaja, dia akan teringat segala kesalahan yang dia telah lakukan kepada saudaranya itu, maka dia akan lari. Begitulah yang akan terjadi kalau kita tidak jaga hubungan baik dengan saudara mara kita semasa di dunia.


Ayat 35: Selepas saudara mara kita, siapa lagi yang kita lebih rapat?

وَأُمِّهِ وَأَبيهِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And his mother and his father

(MALAY)

dari ibu dan bapanya,

Bukan sahaja dia akan lari dari saudara maranya sahaja, tapi dengan emak dan ayahnya pun dia akan lari. Sedangkan siapa ibubapa kita? Merekalah yang telah melahirkan kita, menjaga dan membesarkan kita. Kita paling rapat dengan mereka. Sepatutnya dengan merekalah kita berbakti. Tapi manusia akan lari dari ibubapa mereka kerana mak dan ayah akan menuntut segala pemberian mereka semasa di dunia dulu. Manusia akan tahu yang ibubapa mereka akan minta pahala dari anaknya itu. Mereka akan ungkit segala jasa mereka. Jadi anak itu akan awal-awal lari dari ibubapanya.

Mungkin ada yang akan bertanya: takkan emak dan ayah akan buat perkara macam itu. Bukankah segala apa yang mereka lakukan semasa di dunia dulu, mereka ikhlas? Jangan sangka begitu, kerana di akhirat nanti keadaan akan jadi berlainan sangat. Waktu itu nafsi-nafsi – ingat hanya untuk diri sendiri sahaja. Sudah tidak kisah tentang orang lain lagi, yang penting dan fokus mereka adalah untuk menyelamatkan diri sendiri – tidak kira samada mereka terpaksa menyusahkan atau menjatuhkan anak sendiri atau ibubapa sendiri.


Ayat 36: Siapa lagi yang lebih rapat dari ibubapa? Tentulah keluarga sendiri, iaitu anak isteri sendiri.

وَصاحِبَتِهِ وَبَنيهِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And his wife and his children,

(MALAY)

dari isteri dan anak-anaknya.

Dan mereka sanggup lari jauh dari isteri dan anak-anaknya. Padahal, mereka itulah yang paling rapat dengan kamu. Dulu berkongsi hidup dengan mereka. Bayangkan hidup bertahun tahun dengan isteri, mungkin tidak pernah berenggang walau sehari. Kemudian setelah sekejap sahaja berdua, dikurniakan anak dan anak itulah penghubung kasih sayang, buah hati pengarang jantung semasa di dunia dulu.

Tapi, seseorang itu akan lari dari isterinya dan lagi teruk, dengan anak yang sepatutnya dia lindungi. Sedangkan, siapa yang paling seseorang itu sayang, kalau bukan anaknya? Kalau di dunia dulu, bila dia pandang anak dia pun dia rasa segala penat masa balik kerja hilang. Jikalau tak jumpa sehari suntuk anaknya itu pun dia dah rindu. Tapi di akhirat nanti, dia nampak sahaja anaknya itu, dia akan lari kerana takut. Alangkah lain dengan apa yang kita tidak sangka. Jadi ini adalah perkara serius. Bukan sahaja suami akan lari dari isteri, isteri pun akan lari dari suami. Bukan ayah akan lari dari anaknya, ibu pun akan lari dan anak pun akan lari dari mereka.

Kenapa mereka lari? Kerana mereka teringat yang mereka dulu ada buat salah dengan ahli mereka itu, samada pada emak, pada anak, pada pasangan hidup masing-masing. Mereka takut kena tuntut di akhirat kelak. Kerana mereka yang dizalimi boleh menuntut hak-hak mereka. Jadi dia tidak sanggup nak serahkan apa-apa untuk mereka. Kerana waktu itu, hak-hak itu tidak boleh dipenuhi dengan wang ringgit lagi. Mereka kena bayar dengan pahala. Dan kalau pahala mereka habis diberi kepada orang lain, mereka kena ambil dosa orang itu untuk ditanggung.

Itu sebab pentingnya untuk kita penuhkan hak orang-orang yang dekat dengan kita semasa di dunia. Supaya kita tidak mengalami keadaan begini.

Jadi Allah hendak beritahu kita, pada hari itu, kita semua akan memikirkan tentang hal diri sendiri sahaja. Dalam surah sebelum ini, telah diberitahu kepada kita yang di akhirat nanti, semua orang akan ingat balik segala apa yang dia telah lakukan semasa di dunia – semua, setiap satu dan tidak ada tertinggal. Kalau di dunia, macam-macam kita lupa, tapi ingatan kita akan jadi sempurna di akhirat kelak. Dan oleh kerana dia sudah ingat semuanya, maka dia sudah tidak tentu arah sebab dia telah ingat segala kesalahan yang dia telah buat. Dan waktu itu dia tak mahu nak fikirkan bagaimana dia nak balas balik kesalahannya kepada orang lain. Dia juga tidak mahu nak tolong walau sesiapa pun kerana dia sendiri ada masalah dia sendiri. Tidak kira siapa pun, walaupun yang sangat dekat dengan dirinya.

Balaghah: Terdapat keindahan susunan dalam ayat-ayat ini. Kita boleh lihat bawa susunan yang digunakan adalah susunan yang mendekat. Disebut mereka yang jauh dulu dengan kita (saudara mara) dan akhirnya diakhiri dengan insan yang paling dekat dengan kita (anak). Bandingkan dengan susunan dalam Maarij:11-14. Dalam surah Maarij itu, susunan yang digunakan adalah susunan menaik: dimulai dengan anak kita sehingga kepada seluruh manusia. Kenapa ada perbezaan dalam susunan itu?

Inilah keindahan susunan dalam Quran. Dalam surah Maarij itu, ianya berkenaan dengan tindakan hendak menebus seseorang untuk menyelamatkan diri. Kalau kita hendak menebus, tentulah kita mulakan dengan apa yang rapat dengan kita, kerana seolah-olah kita memilikinya. Iaitu anak kita sendiri. Tapi dalam Surah Abasa ini, ianya berkenaan menjauhkan diri dari seseorang. Kalau kita terpaksa menjauhkan diri dari seseorang, tentulah kita akan memulakan dengan orang jauh dari kita dahulu. Sebagai contoh, kalau kita kena berpindah dan kita tidak sanggup untuk berpisah dengan ahli keluarga kita, bukan? Tapi kalau terpaksa juga, kita susun supaya yang kita jauh dahulu adalah saudara kita yang paling jauh dahulu.


Ayat 37: Kenapa kita tidak sempat dan tak sanggup nak memikirkan tentang hal orang lain?

لِكُلِّ امرِئٍ مِنهُم يَومَئِذٍ شَأنٌ يُغنيهِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

For every man, that Day, will be a matter adequate for him.¹

  • i.e., to occupy him. He will be concerned only with himself, thus forgetting all others.

(MALAY)

Setiap orang dari mereka pada hari itu mempunyai urusan yang cukup menyibukkannya.

Pada hari itu semua orang akan sibuk dengan hal masing-masing. Memikirkan tentang perbuatan mereka di dunia, menyesali segala perbuatan mereka, takut apa yang akan  jadi kepada mereka, selamat atau tidak? Oleh kerana itu, setiap manusia tidak sempat nak fikirkan pasal orang lain. Lafaz امرِئٍ adalah dari lafaz المَرءُ dan seperti yang kita telah sebut sebelum ini, المَرءُ adalah orang yang mementingkan orang lain. Akan tetapi orang macam itu pun akan sibuk dengan diri dia sahaja. Kerana keadaan di akhirat yang begitu membimbangkan mereka.

شَأنٌ bermaksud perkara yang penting, tugas yang penting. Oleh itu, mereka amat sibuk dengan perkara yang amat penting yang melibatkan diri mereka. Antaranya mereka sibuk memikirkan apa yang mereka telah buat dan bagaimana nak menyelamatkan diri mereka.

يُغنيهِ pula bermaksud mereka sibuk sangat sampai tak ingat benda lain. Waktu itu, benda lain jadi tidak penting kerana dia sedang memikirkan satu perkara yang amat menekan kepada fikirannya. Macam kita tengah sibuk buat kerja yang amat penting, dan anak kita datang tunjuk gambar yang dia lukis. Kita waktu itu, tengok acuh tidak acuh sahaja kerana kita sedang siapkan kerja kita yang perlu dihantar segera. Begitulah lebih kurang perasaan mereka di akhirat nanti. Tidak sempat nak tengok orang lain, nak cari kawan lama untuk borak-borak, nak cari ahli keluarga untuk periksa samada mereka selamat atau tidak.

قَالَ ابْنُ أَبِي حَاتِمٍ: حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عَمَّارِ بْنِ الْحَارِثِ، حَدَّثَنَا الْوَلِيدُ بْنُ صَالِحٍ، حَدَّثَنَا ثَابِتٌ أَبُو زَيْدٍ الْعَبَّادَانِيُّ، عَنْ هِلَالِ بْنِ خَبَّاب، عَنْ سَعِيدِ بْنِ جُبَيْرٍ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ” تُحْشَرُونَ حُفَاةً عُرَاةً مُشَاةً غُرلا ” قَالَ: فَقَالَتْ زوجته: يا رسول الله، أوَ يرى بَعْضُنَا عَوْرَةَ بَعْضٍ؟ قَالَ: ” (لِكُلِّ امْرِئٍ مِنْهُمْ يَوْمَئِذٍ شَأْنٌ يُغْنِيهِ) أَوْ قَالَ: “مَا أَشْغَلَهُ عَنِ النَّظَرِ”.

Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Ammar ibnul Haris Al-Walid ibnu Saleh. telah menceritakan kepada kami Sabit alias Abu Zaid Al-Ubadani, dari Hilal ibnu Khabbab, dari Sa’id ibnu Jubair, dari Ibnu Abbas yang mengatakan bahwa Rasulullah Saw. pernah bersabda: Kelak kalian akan dihimpunkan (di hari kiamat) dalam keadaan tidak beralas kaki, telanjang, jalan kaki lagi dalam keadaan tidak bersunat (berkhitan). Maka salah seorang isteri beliau Saw. ada yang bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah kita dapat melihat (yang lain), atau sebahagian dari kita dapat melihat aurat sebahagian yang lainnya?” Maka Rasulullah Saw. menjawab: Tiap-tiap orang dari mereka di hari itu disibukkan dengan urusannya sendiri —atau— sibuk dengan urusannya sendiri hingga tidak sempat memandang (orang lain).

Imam Nasai telah meriwayatkan hadis ini secara tunggal dengan sanad yang sama, dari Abu Daud, dari Arim, dari Sabit ibnu Yazid alias Ibnu Zaid Al-Ahwal Al-Basri salah seorang siqah, dari Hilal ibnu Khabab, dari Sa’id ibnu Jubair, dari Ibnu Abbas dengan lafaz yang sama.


Ayat 38: Allah memberitahu ada dua golongan kelak.

وُجوهٌ يَومَئِذٍ مُسفِرَةٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Some] faces, that Day, will be bright –

(MALAY)

Ada muka pada hari itu berseri-seri,

Ini adalah keadaan muka beberapa orang iaitu mukminin. Muka orang-orang beriman pada hari itu akan tersenyum kegembiraan.

Maksud سفِرَةٌ (safarah) adalah ‘dibuka’, ‘ditunjukkan’. Iatu sesuatu yang tertutup, kemudian dibuka. Makna senyuman orang-orang beriman itu ‘dibuka’. Mungkin semasa di dunia kehidupan mereka hidup dalam keadaan yang payah dan senyuman mereka ‘tertutup’. Tetapi pada hari pembalasan ini senyuman mereka dibuka. tapi Allah ‘buka’ kesusahan mereka itu. Tidak ada kesusahan di akhirat untuk mereka, hanya nikmat sahaja.

Tentu kita mahu sekali supaya wajah kita pun bergembira pada hari itu, bukan? Kalau begitu, hendaklah kita menjalani kehidupan kita seperti orang mukmin juga. Barulah dapat kelebihan itu.


Ayat 39:

ضاحِكَةٌ مُستَبشِرَةٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Laughing, rejoicing at good news.

(MALAY)

tertawa dan bergembira ria,

ضاحِكَةٌ bermaksud ketawa yang tidak terkawal, sampai gigi gusi pun nampak, siap berbunyi lagi. Mukminin tertawa lagi bersukaria dengan berita gembira yang diberikan kepada mereka yang mereka akan dimasukkan dalam syurga. Mereka gembira sangat kerana mereka mendapat balasan yang baik. Kegembiraan mereka terserlah pada wajah mereka. Alangkah beruntungnya mereka! Semoga kita termasuk dalam golongan ini hendaknya… ameen.

مُستَبشِرَةٌ maksudnya penuh gembira kerana berita gembira yang diberikan kepada seseorang. Kalimat مُستَبشِرَةٌ berasal dari kalimat بشِرَ yang bermaksud ‘kulit’. Oleh itu, kalimat istibshar bermaksud gembira sangat sampai dicabut kulit yang tidak gembira.


Ayat 40: Tadi tentang orang mukmin, sekarang tentang mereka yang kafir dan fasik.

وَوُجوهٌ يَومَئِذٍ عَلَيها غَبَرَةٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [other] faces, that Day, will have upon them dust.

(MALAY)

dan banyak (pula) muka pada hari itu tertutup debu,

غَبَرَةٌ bermaksud debu yang terbang di angin dan akhirnya melekat pada sesuatu dan susah untuk dibersihkan. Sebagai contoh, kalau melekat pada rambut, wajah dan baju kita, susah untuk dibersihkan.

Oleh itu, ada orang yang muka mereka penuh berdebu, maksudnya isyarat yang muka mereka nampak kotor tidak berseri. Ini kerana mereka telah mendengar berita buruk yang diberikan kepada mereka. Tentunya muka orang yang berdebu tidak menarik langsung. Mereka mereka kesedihan yang amat sangat kerana kesusahan pada hari itu dan ketakutan yang mereka sedang alami.

Digunakan isyarat muka dalam ayat ini kerana kalau hina pada muka adalah penghinaan yang paling besar dalam Bahasa Arab dan Allah gunakan cara itu untuk mereka. Supaya Musyrikin Mekah tahu betapa hinanya mereka nanti di akhirat kalau mereka tidak ubah perangai mereka dan masih menentang dakwah tauhid.


Ayat 41:

تَرهَقُها قَتَرَةٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Blackness will cover them.

(MALAY)

dan ditutup lagi oleh kegelapan.

Mereka juga akan diliputi pula dengan hitam legam dan gelap gelita. رهَقُ bermaksud sesuatu yang membayangi sesuatu dengan cara kuat. Maknanya kegelapan itu akan menguasai mereka. Mereka tidak boleh buat apa-apa lagi.

Sementara قَتَرَةٌ pula bermaksud asap yang di atas kayu yang terbakar. Ianya adalah asap yang hitam. Mereka akan dinaungi dan dikelubungi oleh asap hitam itu.


Ayat 42: Siapakah mereka yang akan menghadapi nasib malang ini?

أُولٰئِكَ هُمُ الكَفَرَةُ الفَجَرَةُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those are the disbelievers, the wicked ones.

(MALAY)

Mereka itulah orang-orang kafir lagi durhaka.

Mereka kufur dan kufur itu pula dengan nyata. الفَجَرَةُ bermaksud ‘terang terangan’. Mereka kufur dengan cara yang ganas. Seperti fajar yang memecah kegelapan malam. Maknanya mereka bukan sahaja berbuat dosa, tapi buat dengan terang terangan. Kerana ada juga orang yang buat dosa, tapi buat senyap-senyap. Maknanya mereka itu jenis tak malu dan tak takut pun dengan buat dosa. Macam juga puak Habib yang buat Majlis Mawlid yang bidaah itu terang-terangan, menyeru-nyerus Nabi terang-terangan, sampai penuh stadium. Mereka terkinja-kinja buat perangai yang tidak elok, memalukan umat Islam. Kalau kita tegur, lagi besar mereka buat.

Mereka yang dulunya rasa cukup di dunia ini akan merasa takut dan sedih.

Tetapi mereka yang takut kepada Allah dan ingat hari akhirat, mereka akan bergembira.

Maulana Hadi: Surah Abasa

Allahu a’lam. TAMAT SURAH ABASA. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah Takweer. 


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 080: Abasa. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s