Tafsir Surah Abasa Ayat 1 – 23 (Teguran kepada Nabi)

Pengenalan:

Allah hendak mengingatkan kita bahawa di Akhirat nanti, semua kita akan nafsi nafsi – sibuk dengan diri sendiri sahaja, tidak sempat dah nak tengok orang lain, tolong orang lain. Oleh itu, kita kena beringat dari sekarang. Kena fikirkan diri sendiri dan bersedia untuk menghadapinya. Jangan berharap ada orang yang akan tolong kita nanti di sana. Waktu itu tidak ada yang bertanya tentang keluarga mereka waktu itu. Kita akan berharap kepada amalan diri kita sahaja dan kita akan bersenderian. Oleh itu, semada di dunia ini pun kita kena duduk bersendirian sekali sekala untuk mengingat perkara ini. Sebelum terjadi yang sebenarnya di akhirat nanti. Sebab itu disyarakkan amalan iktikaf di masjid semasa Ramadhan untuk kita ingat tentang perkara ini. Kerana sewaktu iktikaf itu kita akan duduk bersendirian, tanpa ada hubungan dengan ahli keluarga dan kawan-kawan kita dah. Ianya adalah sebagai satu latihan untuk kita.

Di awal surah ini kita akan baca bagaimana Nabi Muhammad telah ditegur oleh Allah kerana kesilapan  yang baginda telah lakukan. Kita kena jelaskan perkara ini dari awal lagi supaya kita tidak salah anggap kepada Nabi pula – nauzubillahi min dzaalik. Jangan sekali-kali kita ada angggapan yang buruk terhadap Nabi kita. Kita kena faham yang waktu itu, Nabi bukan pilih kasih tapi baginda waktu itu sedang berdakwah kepada pemuka-pemuka Mekah. Yang datang kepada baginda untuk mendapatkan ilmu itu adalah Abdullah ibn Ummi Maktum, sepupu khadijah. Dia datang dan dia tidak tahu ada pemuka Mekah bersama dengan baginda kerana beliau itu seorang yang buta. Apabila dia datang dan bertanya-tanya kepada baginda, seolah-olah beliau mengganggu majlis Nabi. Dan waktu itulah Nabi berpaling dan bermuka masam kerana sahabat itu datang tidak kena masanya. Dan baginda berfikir waktu itu Abdullah sudah beriman dan lain kali boleh datang untuk diajar lagi, cuma waktu itu tidak sesuai kerana baginda sedang berhadapan dengan pemuka Quraish.

Akan tetapi Allah tegur Nabi, kerana dalam majlis mana pun, baginda tidak boleh asingkan sesiapa pun, semua kena boleh datang dengar apa yang baginda sampaikan. Dan inilah salah satu pelajaran yang kita boleh ambil dari surah ini. Kalau kita jadi seorang guru nanti, janganlah kita beza-bezakan antara anak murid kita nanti. Tidak kira apa kedudukan mereka pun. Sebagai contoh, katakanlah ada anak raja nak belajar, tapi dia nak belajar sendiri, tak mahu campur dengan anak orang lain. Ini tidak boleh dan kita tidak boleh layan. Ini telah terjadi kepada ulama besar kita Imam Bukhari. Waktu beliau sudah terkenal, ada raja nak hantar anak dia belajar, tapi dia nak dibuatkan satu majlis pembelajaran lain yang tidak bercampur dengan orang lain. Imam Bukhari kata tidak boleh kerana wahyu kena ajar sama rata kepada semua orang. Kerana jawapan begitu, raja itu marah sampai halau Imam Bukhari dari negaranya. Imam Bukhari tidak kisah untuk keluar kerana banyak negara lain yang sudah minta beliau datang mengajar ke negara mereka. Dalam perjalanan ke negara lain itulah yang beliau mati dalam perjalanan. Maknanya, Imam Bukhari pun pernah dihalau hanya kerana tidak mahu mengajar khusus kepada orang lain.

Jadi, tidak boleh kita nak bezakan antara orang untuk kita mengajar wahyu Allah dan oleh kerana perbuatan Nabi berpaling dan bermasam muka itu dari seorang sahabat yang buta, Allah telah tegur Nabi dalam surah ini. Ini adalah sebagai pengajaran untuk kita.

Perhubungan dengan surah sebelum ini. Dalam Surah an-Naaziat, Allah telah sebut tentang dua jenis manusia – yang derhaka dan yang takut dengan Allah dan kerana itu dia menahan nafsunya. Dan dalam Surah Abasa ini juga akan disebut tentang dua golongan. Kita akan belajar tentang golongan yang tidak kisah tentang agama dan yang kedua adalah mereka yang hendak belajar dan membersihkan dirinya dari kekotoran syirik.

Kembali kepada teguran Allah kepada Nabi Muhammad. Ini adalah satu perkara sensitif tentang Nabi Muhammad, jadi kita kena berhati-hati. Dalam surah yang lain, kita diajar adab dengan Nabi. Pernah ada sahabat yang ditegur kerana cara mereka yang tidak beradab dengan Nabi. Bayangkan ini bukan orang lain yang tegur tapi sampaikan mereka ditegur oleh Allah sendiri dan ini dalam surah al-Hujurat. Maknanya penting sangat menjaga adab dengan Nabi sampaikan Allah sendiri yang tegur dalam Quran!

Kita sekarang tidak hidup bersama Nabi jadi adakah pengajaran tentang adab ini penting? Tentu sekali ianya penting! Kita masih juga kena jaga adab kita dengan Nabi walaupun baginda tidak bersama dengan kita. Dan memang ada yang tidak beradab dengan baginda Nabi, sampaikan mereka tidak pandang pentingnya apa yang dilakukan oleh Nabi, apa yang diajar oleh Nabi, apa yang Nabi suruh kita buat dan sebagainya; dalam erti kata lain, tidak hormat hadis dan sebagainya. Mereka tidak pegang apa yang disampaikan dalam hadis itu sebagai penting. Mereka baca hadis yang menyebut apa yang Nabi lakukan dan sampaikan itu macam baca novel sahaja. Mereka tidak terkesan dengan apa yang mereka baca. Dan ini tidak patut kerana Nabi itu Rasul kita dan kita kena ikut apa yang baginda ajar dan lakukan. Segala apa yang baginda lakukan itu adalah perkara yang penting dan kita kena ikut. Kerana Nabi menjadi contoh tauladan kita. Kita kena sanjung Nabi Muhammad, Rasulullah.

Akan tetapi, dalam masa yang sama pula, ada juga yang hormat terlebih sampai naikkan kedudukan baginda terlalu tinggi sampai ke tahap mensyirikkan Nabi Muhammad dengan Allah. Mereka sampai kepada tahap menganggap Nabi Muhammad itu bukan manusia biasa. Sebagai contoh, ramai dari kalangan masyarakat kita yang percaya kepada konsep ‘Nur Muhammad’, iaitu perkara pertama yang dijadikan adalah Nur Muhammad dan apa sahaja yang benda dalam alam ini adalah asalnya dari Nur Muhammad itu. Dan mereka kata Nabi itu bukanlah manusia biasa, tapi baginda adalah ‘Nur’. Dan macam-macam lagi cara bagaimana manusia terlalu mengagongkan baginda sampai kepada tahap syirik. Ini semua adalah kerana jahil dan tidak faham konsep yang sunnah.

Jadi, kita dapat lihat bahawa ada dua extreme dalam perkara ini. Kita tidak tahu merendahkan baginda dan dalam masa yang sama, kita tidak mahu terlalu mengangkat kedudukan baginda pula. Oleh itu, kita kena tahu bagaimana hendak mencari jalan yang tengah. Tidak lain dan tidak bukan adalah dengan belajar dan terus belajar supaya kita dapat faham konsep ini.

Satu perkara yang kita ingat sebelum kita teruskan dengan tafsir surah ini, pegangan Ahli Sunnah adalah setiap Nabi tidak berdosa. Mereka itu adalah ‘maksum’ maksudnya bebas dari melakukan dosa. Setiap Nabi dipelihara oleh Allah dari melakukan dosa. Dan inilah pegangan kita dan jangan lari dari pegangan ini. Jadi, dalam kita lihat Allah menegur Nabi, kita kena faham bahawa bukanlah Allah tegur kerana Nabi berdosa.


 

Ayat 1:

عَبَسَ وَتَوَلّىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

‘Abasa: He Frowned.

He [i.e., the Prophet ()] frowned and turned away

(MALAY)

Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling,

 

Dia yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Nabi. Dan lafaz ‘abasa’ boleh bermaksud berkerut muka, bermasam muka. Dan kemudian baginda berpaling. Kejadian ini merujuk kepada perbuatan Nabi terhadap Abdullah ibn Ummi Maktum yang datang kepada baginda.

Baginda waktu itu sedang berdiskusi dan berdakwah kepada pemuka/ketua Quraish. Jarang baginda dapat berbuat begini kerana selalunya mereka menentang dan mengejek baginda. Jadi bila dapat peluang bercakap dengan mereka, baginda nak ambil peluang itu. Dalam riwayat ada disebut yang baginda waktu itu sedang berdakwah kepada Utbah bin Rabiah, Abu Jahal dan lain-lain. Waktu itu baginda nampak macam mereka memang sedang mendengar apa yang baginda cakapkan. Satu masalah yang baginda kena jaga adalah: orang kafir yang berkedudukan tinggi tidak mahu dikaitkan dengan orang yang lemah dan rendah kedudukan dalam masyarakat. Perkara ini bukan berlalu pada zaman Nabi Muhammad sahaja, tapi zaman Nabi-nabi lain pun. Jadi keadaan itu sedang berlaku waktu itu dan Nabi nak kena jaga sensitiviti itu juga. Mereka tidak mahu duduk-duduk dengan orang-orang miskin, jadi kalau mereka nampak Abdullah ibn Maktum itu, tentu mereka tentu rasa tak selesa dan akan pergi sahaja dari bercakap dengan Nabi. Nabi tidak mahu itu berlaku. Jadi baginda tidak mahu melayan Abdullah waktu itu.

Dan baginda sentiasa mencari jalan untuk dakwah. dan baginda nampak ini adalah salah satu cara yang akan menyebabkan Islam akan berkembang. baginda tengah dapat peluang maka baginda hendak ambil peluang itu.

Jadi apabila seorang muslim buta datang, baginda bermasam muka dan tidak mengendahkannya. Baginda merasakan yang orang buta itu mengganggu. Tambahan pula dia sudah seorang muslim. Jadi penekanan baginda waktu itu adalah kepada mereka yang baginda nak masukkan dalam Islam. Tambahan pula mereka adalah pemuka Quraish. Kalau mereka masuk Islam, maka akan banyaklah nanti yang akan mengikuti mereka. Oleh itu kalau kita lihat dari segi logik, tidak salah apa yang baginda lakukan. Ada strategi yang bermain dalam kepala baginda dan itu adalah untuk kebaikan Islam juga.

Tambahan pula, Abdullah ibn Ummi Maktum itu seorang yang buta, jadi tidak nampak pun Nabi bermasam muka dan berpaling. Bukanlah Nabi berkata apa-apa. Tentu sekali dia tak perasan pun apa yang Nabi lakukan, jadi dia tidaklah terasa dalam hatinya, bukan?

Akan tetapi Allah tetap tegur Nabi kerana standard yang diletakkan kepada seorang Nabi itu amat tinggi, tidak sama macam orang lain. Kerana itu kalau ada benda kecil pun Allah akan tegur perbuatan Nabi. Sedangkan perkara itu kalau kita yang buat, tidak salah pun. Dan ia memang tidak salah, tapi kepada Nabi, walaupun tidak salah, Allah sudah tegur dah. Ini adalah kerana standard kita tidak sama; sebagai contoh, solat malam adalah sunat untuk kita, tapi wajib untuk baginda.

Abdullah ibn Maktum seorang yang buta, jadi dia tidak nampak wajah dan tindakan Nabi. Apabila dia menegur baginda dan baginda tidak layan, dia tidak nampak yang baginda tidak mahu melayannya waktu itu. Jadi dia menegur lagi Nabi untuk Nabi mengajarkannya ilmu Islam berulang kali. Sebab dia sangka Nabi tak dengar dan dia cakap lagi kuat. Tambahan pula, kalau buta, dia akan menguatkan lagi suaranya nak bagi orang lain dengar. Biasanya orang buta akan buat begitu kerana deria mata mereka tiada. dia minta Nabi ajar dia. Dan dia panggil baginda berkali-kali pula. Jadi ianya mengganggu Nabi yang sedang berdakwah.

Teguran dari Allah ini juga adalah satu lagi hujah mengatakan yang Nabi tidak menulis sendiri Quran seperti yang dituduh dari dulu sampai sekarang. Fikirkan, kalau baginda yang tulis sendiri, takkan baginda akan tegur diri baginda sendiri, bukan? Tapi baginda bersyukur kerana mendapat teguran itu. Kerana selepas itu, setiap kali baginda bertemu dengan Abdullah, baginda akan panggil beliau dengan panggilan yang menghormati beliau. Kerana kepada baginda, oleh sebab beliaulah, baginda ditegur.

Mungkin baik kalau kita jelaskan lagi maksud ‘abasa’. Ia lain dengan lafaz kalaha – iaitu rasa terganggu sangat sampai gigit gigi. Lafaz abasa ini adalah rasa terganggu tapi kerut dahi sahaja, tidak sampai ke muka pun. Maknanya sikit sangat.

Walaupun sedikit sahaja, tapi Allah tetap tegur baginda kerana baginda dijadikan sebagai contoh dalam banyak perkara. Sebagai Nabi, sebagai suami, sebagai sahabat, sebagai bapa dan sebagainya. Salah satunya sebagai pemimpin kepada orang mukmin. Seorang pemimipn kena sayang kepada pengikut. Dan kalau pemimpin tunjuk rasa tidak suka kepada pengikut, tentu mereka pun tidak suka dan akan menjauhkan diri. Tapi Nabi mempunyai akhlak yang amat mulia dan baik sekali. Dalam hal Nabi, semua para sahabat rasa merekalah yang Nabi paling sayang kerana cara baginda melayan mereka. Baginda layan mereka dengan begitu hebat sekali sampaikan semua sahabat terasa dekat dengan baginda. Kita pun tidak boleh buat macam itu. Tapi kita kena cuba untuk mengikuti akhlak baginda setakat yang kita boleh.

Jadi, walaupun Nabi berkerut dahinya, tapi Abdullah tidak nampak, bukan? Jadi kenapa Nabi kena tegur juga? Kerana mungkin ada orang yang miskin dan lemah yang lain yang ternampak. Takut-takut nanti mereka akan rasa rupanya Nabi melebihkan orang yang ada kedudukan. Jadi Allah menjelaskan dalam surah ini, mengatakan yang Allah tidak merendahkan mereka. Allah beritahu yang mereka selalu dipandang tinggi oleh Allah sampaikan Allah mengingatkan baginda untuk menghormati mereka juga. Allah suruh baginda berlembut dengan para sahabat, tidak kira kedudukan mereka di dunia.  Kalau Nabi bersikap keras dengan mereka, tentu mereka akan lari dari baginda dan mereka akan tinggalkan Islam selama-lamanya. Sampaikan dalam Surah Ali Imran, baginda disuruh bermesyuarat dengan para sahabat dalam perkara-perkara yang penting macam nak pergi berperang dan sebagainya. Inilah cara kepemimpinan yang tinggi yang Allah sendiri ajar kepada baginda.

Walaupun ayat ini adalah teguran kepada Rasulullah, tapi lihatlah bagaimana Allah tegur Nabi – dengan lembut sekali. Allah tidak kata “kamu bermasam muka”, “kamu berpaling” tapi Allah berfirman: dia, dia… kerana Allah tidak cakap tepat dengan Nabi. Maknanya itu adalah menegur dalam nada lembut. Kerana kalau cakap terus kepada seseorang, itu tanda marah benar. Kita dapat tahu perkara ini kalau kita faham susunan Bahasa Arab. Ia adalah satu seni yang dipanggil balaghah. Jadi dari bahasa pun kita dapat ambil pengetahuan yang Allah bersifat rahmah kepada Nabi.


 

Ayat 2:

أَن جاءَهُ الأَعمىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Because there came to him the blind man,¹ [interrupting].

  • ‘Abdullāh, the son of Umm Maktūm.

(MALAY)

kerana telah datang seorang buta kepadanya.

 

Lelaki buta yang datang itu adalah Abdullah ibn al-Maktoom, sepupu kepada Khadijah isteri Rasulullah. Jadi dia ada kena mengena dengan Nabi dari pertalian perkahwinan. Beliau adalah antara yang terawal masuk Islam. Jadi Abdullah ini bukan orang lain dengan Nabi. Ada satu hadis yang biasa kita dengar yang menyebut nama beliau:

قَالَ ابْنُ أَبِي حَاتِمٍ: حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ مَنْصُورٍ الرَّمَادِيُّ، حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ صَالِحٍ، حَدَّثَنَا اللَّيْثُ، حَدَّثَنَا يُونُسُ، عَنِ ابْنِ شِهَابٍ قَالَ: قَالَ سَالِمِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عمر: سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يَقُولُ: “إِنَّ بِلَالًا يُؤَذِّنُ بِلَيْلٍ، فَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى تَسْمَعُوا أَذَانَ ابْنِ أُمِّ مَكْتُومٍ”. وَهُوَ الْأَعْمَى الَّذِي أَنْزَلَ اللَّهُ فِيهِ: (عَبَسَ وَتَوَلَّى * أَنْ جَاءَهُ الأعْمَى) وَكَانَ يُؤَذِّنُ مَعَ بِلَالٍ. قَالَ سَالِمٌ: وَكَانَ رَجُلا ضريرَ الْبَصَرِ، فَلَمْ يَكْ يُؤَذِّنُ حَتَّى يَقُولَ لَهُ النَّاسُ-حِينَ يَنْظُرُونَ إِلَى بُزُوغِ الْفَجْرِ-: أذَّن

Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ahmad ibnu Mansur Ar-Ramadi, telah menceritakan kepada kami Abdullah ibnu Saleh, telah menceritakan kepada kami Al-Lais, telah menceritakan kepadaku Yunus, dari Ibnu Syihab yang mengatakan bahawa Salim ibnu Abdullah telah meriwayatkan dari Abdullah ibnu Umar yang mengatakan bahawa Rasulullah Saw. pernah bersabda: Sesungguhnya Bilal azan di malam hari, maka makan dan minumlah kamu hingga kamu mendengar seruan azan Ibnu Ummi Maktum. Dia adalah seorang buta yang disebutkan oleh Allah Swt. dalam firman-Nya: Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling, kerana telah datang seorang buta kepadanya. (‘Abasa: 1-2) Tersebutlah pula bahawa dia menjadi juru azan bersama Bilal. Salim melanjutkan, bahawa Ibnu Ummi Maktum adalah seorang buta, maka dia belum menyerukan suara azannya sebelum orang-orang berkata kepadanya saat mereka melihat cahaya fajar subuh, “Azanlah!”

Dia ingin sekali mendapat pengajaran daripada baginda, tetapi beliau tidak nampak yang baginda sedang sibuk kerana dia seorang yang buta. Jadi, bila Nabi tak jawap panggilan dia, dia terus bertanya-tanya lagi. Dan lagi satu, kerana dia buta, dia tidak nampak Nabi berkerut dahi baginda dan memalingkan mukanya.

Allah gunakan lafaz جاءَ dalam ayat ini dan bukan أتى, kerana lafaz جاءَ lebih kuat, maknanya dia datang dengan bersungguh-sungguh. Dia berkata: “berilah aku petunjuk”. Atau, “Wahai Rasulullah, ajarilah aku dengan apa yang telah Allah ajarkan kepadamu.”


 

Ayat 3:

وَما يُدريكَ لَعَلَّهُ يَزَّكّىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But what would make you perceive, [O Muḥammad], that perhaps he might be purified¹

  • As a result of what he learns from you.

(MALAY)

Bagaimanakah kamu nak tahu, barangkali ia ingin membersihkan dirinya (dari dosa),

Nabi ditanya dalam ayat ini: mana kamu tahu, mungkin dia akan dapat ilmu dan beramal dan dapat membersihkan jiwanya dengan perantaraan wahyu itu. Dia nak jadi orang yang baik, buang yang buruk. Tapi kamu berpaling darinya pula.

Tapi, apakah cara untuk baginda dapat tahu? Kerana baginda tidak dapat baca hati manusia. Ayat ini adalah sebagai hujah untuk mempertahan Nabi. Maknanya, Allah pertahankan Nabi untuk mengatakan yang Nabi tidak bersalah sebenarnya. Allah pertahankan baginda dengan jelaskan kenapa Nabi tidak tahu. Kalau Nabi tidak tahu, bagaimana Nabi hendak dipersalahkan? Dan bukanlah tugas Nabi untuk melihat ke dalam hati manusia. Nabi juga manusia dan sebagai manusia, kita tak dapat nak mengagak apakah di dalam hati manusia. Lelaki buta yang dia datang itu, baginda tidak tahu samada dia hendak membersihkan dirinya atau tidak.

Allah memberitahu dalam ayat ini yang Abdullah ibn Ummi Maktoom itu datang untuk membersihkan jiwanya. Dan dari ayat ini, kita boleh lihat bahawa tujuan kita belajar bukanlah untuk kita tahu sesuatu supaya jadi pandai, lebih dari orang lain, tetapi hujungnya adalah untuk membersihkan hati kita. Itulah tujuan belajar dan kalau lain dari yang ini, amatlah malang sekali. Kita kena ingatkan diri kita, kita bukan belajar untuk dapatkan ilmu supaya kita jadi pandai, tapi yang pentingnya untuk bersihkan diri kita. Perbetulkan tujuan kita belajar agama. Kerana mungkin ramai yang belajar untuk jadi pandai sahaja, untuk dapat sijil untuk cari makan dengan mengajar, untuk berdebat dengan orang, untuk merendahkan orang lain, untuk dipuji kerana pandai dan macam-macam lagi. Itu semua adalah tujuan yang salah.

Dalam ayat ini, lafaz يَزَّكّىٰ digunakan. Dalam bahasa Arab, ianya tidak dalam wazan yang lengkap. yang lengkap adalah يَتزَّكّىٰ (yatazakka). Apabila ada pengurangan dari wazan asal, maknanya ada pengurangan dari segi makna untuk menunjukkan yang ianya tidak sempurna. Maknanya, pembersihan jiwa itu tidaklah sempurna. Dan ini memang benar kerana kalau sekali berjumpa dengan Nabi, tidaklah dapat bersihkan hati terus. Memang adalah dapat sedikit tapi pembersihan memerlukan usaha dari orang yang hendak membersihkan jiwanya. Tidaklah jumpa Nabi boleh terus bersih jiwa.


 

Ayat 4:

أَو يَذَّكَّرُ فَتَنفَعَهُ الذِّكرىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Or be reminded and the remembrance would benefit him?

(MALAY)

atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran, lalu pengajaran itu memberi manfaat kepadanya?

 

Abdullah Maktoom mahu mendapatkan ilmu wahyu dari Nabi. Sifat Quran sebagai pemberi peringatan kepada manusia disebut dalam ayat ini. Ianya adalah satu peringatan yang kuat dan yang besar sekali. Oleh itu, jangan pandang ringan pembelajaran wahyu dari Quran ini. Abdullah datang kerana ingin mendapat pengajaran dari Quran dan dari peringatan itu akan memberi manfaat kepada dirinya.

Tetapi yang boleh manfaat itu hayalah kepada mereka yang mahu mendapat peringatan, yang berusaha. Kerana kalau seseorang itu mahu, memang akan mendapat peringatan. Oleh itu, kita kenalah berusaha untuk mempelajar tafsir Quran ini dengan bersungguh-sunguh. Kena berusaha kerana bukanlah ianya senang, tapi tidaklah ia susah sangat sampai kita tidak boleh untuk memahaminya.


 

Ayat 5:

أَمّا مَنِ استَغنىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

As for he who thinks himself without need,¹

  • i.e., without need of faith or need of Allāh (subḥānahu wa ta‘ālā). Here it is in reference to a certain influential member of the Quraysh whom the Prophet () had hoped to bring to Islām.

(MALAY)

Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup,

 

Lafaz استَغنىٰ bermaksud seseorang yang lalai, heedless, cuai dan rasa serba cukup tidak perlukan apa-apa bantuan pun. Seumpaman seorang yang kaya sangat sampai tidak kisah dengan duit pun. Kata-kata ini merujuk kepada pemuka-pemuka Quraish yang merasakan mereka tidak memerlukan sesiapa pun untuk membantu mereka. Allah bandingkan sifat mereka dengan Abdullah Maktoom yang memang mahu membersihkan diri dia dan dia telah pergi kepada Nabi untuk mendapatkan ilmu wahyu. Sedangkan pemuka Quraish itu mereka rasa mereka sudah cukup, semua dah ada. Tapi hanya mereka sahaja yang rasa macam itu, padahal mereka memang memerlukan bantuan dalam hal agama.

Orang yang rasa diri sudah cukup itu memang susah untuk diajar. Kalau manusia itu rasa mereka ada kekurangan, tidak semua mereka tahu, maka mereka akan buka telinga untuk dengar pendapat dan ilmu dari orang lain lagi. Begitulah zaman sekarang, banyak ustaz dari lepasan universiti atau pondok atau pesantren yang sudah belajar agama. Tapi mereka tidak belajar aliran sunnah, maka banyak masalah yang mereka tidak kemas lagi. Tapi oleh kerana mereka ada pelajaran agama, mereka tidak dapat terima apabila ada orang yang beritahu perkara lain dari apa yang mereka telah belajar. Mereka rasa mereka sudah pandai, tidak boleh diajar lagi, maka mereka berterusan dalam fahaman agama mereka yang tidak semestinya benar.

Pemuka Quraish itu memang datang jumpa Nabi tapi bukan nak belajar, tapi cuma nak berdebat. Mereka itu sifatnya sombong untuk menerima kebenaran. Kerana mereka sangka diri mereka sudah besar. Begitulah juga, sekarang pun ada juga manusia yang suka berdebat, bertanya tanya bukan nak belajar, tapi nak berdiskusi, isi masa kosong sahaja.

Akan tetapi baginda tidak tahu pun dalam hati mereka. Samalah macam Nabi Musa yang tidak tahu pun dalam hati Firaun, maka baginda terus dakwah sahaja kepada Firaun seperti yang disuruh.


 

Ayat 6:

فَأَنتَ لَهُ تَصَدّىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

To him you give attention.

(MALAY)

maka kamu melayaninya.

 

Allah tegur Nabi: kepada mereka, kamu layan pula. Dan bersungguh-sungguh pula. Ini adalah kerana lafaz صَدّىٰ bermaksud ‘lantunan’ seperti bola yang dilantun. Oleh itu صَدّىٰ bermaksud pergi dan kemudian pergi lagi. Allah sebut tentang Nabi yang tetap pergi kepada pemuka Quraish berkali-kali. Ini macam seorang penjual bola yang sentiasa melantun berkali kali bolanya kerana ingin menjual bola itu kepada seseorang.

Allah tak suka Nabi macam itu. Allah nak Nabi mengajar kepada mereka yang nak belajar sahaja. Macam pemuka Quraish, kalau sudah diberi dakwah, tapi tak mahu juga untuk terima dan belajar, jangan lagi dicari-cari mereka. Allah sudah beritahu yang mereka itu sombong, rasa mereka serba cukup dah. Oleh itu, nampak rendah maruah Nabi dan Islam kalau baginda buat begitu. Dalam lafaz صَدّىٰ ini, nampak Nabi sahaja yang pergi mencari dan mengadap mereka, ajak mereka berkali-kali untuk terima agama tauhid, tapi mereka tak balas pun. Jadi, nampak terdesak pula. Allah tak mahu Nabi terdesak memerlukan mereka untuk masuk Islam. Allah suruh Nabi berhenti dari buat begitu. Memang Nabi kena dakwah kepada mereka, tapi kalau mereka tidak mahu, biarkan sahaja, mereka yang rugi, jangan pula terhegeh-hegeh hendakkan mereka.

Akan tetapi, kita telah sebutkan sebelum ini, sebenarnya Nabi hendak sangat mereka beriman supaya semakin ramai yang beriman dengan agama yang benar. Niat baginda memang baik.


 

Ayat 7:

وَما عَلَيكَ أَلّا يَزَّكّىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And not upon you [is any blame] if he will not be purified.¹

  • The Prophet () was responsible only for conveying the message, not for ultimate guidance.

(MALAY)

Padahal tidak ada (celaan) atasmu apabila dia tidak membersihkan diri (beriman).

 

Allah buka apa yang dalam hati mereka, dimana Allah beritahu yang mereka memang tidak mahu membersihkan hati mereka. Kita dapat faham begini kerana Allah letak أَلّا dalam lafaz ini. Bukan Allah kata, ‘kalau mereka tidak bersihkan diri’, tapi Allah kata ‘apabila dia tidak membersihkan diri’. Itu bukanlah salah Nabi dan Allah nyatakan dengan jelas dalam ayat ini.

Dan lagi satu makna yang kita boleh ambil dari ayat ini, bukan tanggungjawab Nabi pun kalau mereka tidak bersihkan hati mereka. Kerana itu adalah tanggungjawab mereka. Dalam surah lain disebut yang Nabi hanya beri ancaman sahaja, sampaikan sahaja,  pemberi peringatan sahaja. Maksudnya, kalau memang mereka tidak mahu terima agama tauhid dan belajar dengan Nabi, itu bukan salah baginda. Kerana tugas baginda hanya menyampaikan sahaja.

Begitu jugalah kita dengan orang yang kita dakwahkan. Bukan tanggungjawab kita untuk memastikan mereka beriman atau tidak; tanggungjawab kita adalah menyampaikan sahaja, dengan cara terbaik yang kita boleh lakukan. Kalau mereka tidak terima juga, bukan salah kita, kalau kita sudah sampaikan.


 

Ayat 8:

وَأَمّا مَن جاءَكَ يَسعىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But as for he who came to you striving [for knowledge]

(MALAY)

Dan adapun orang yang datang kepadamu dengan bersegera (untuk mendapatkan pengajaran),

 

Lafaz يَسعىٰ bermaksud seseorang yang berjalan laju, tapi tak sampai tahap berlari. Ayat ini hendak menjelaskan bagaimana Abdullah Maktoom itu datang dengan bersungguh-sungguh. Dia datang dengan bersemangat sebab dia memang hendak mendapat ilmu dan berbeza dengan pemuka Quraish yang rasa diri mereka cukup dan tidak memerlukan apa-apa.


 

Ayat 9:

وَهُوَ يَخشىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

While he fears [Allāh],

(MALAY)

sedang ia takut kepada (Allah),

 

Abdullah ibn Maktoom takut dengan Allah. Dan takut kepada Allah adalah penting. Apabila diberitahu yang beliau takut, maknanya dalam masa yang sama, ada yang tidak takut iaitu Musyrikin Mekah.


 

Ayat 10:

فَأَنتَ عَنهُ تَلَهّىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

From him you are distracted.

(MALAY)

maka kamu mengabaikannya.

 

lafaz تَلَهّىٰ dari katasar لهو yang bermaksud bergembira, hiduran – sesuatu yang kita buat sampai leka, terlupa kepada perkara yang lebih penting lagi. Begitulah kita dengan hiburan, bukan? Allah nak beritahu kepada Nabi, yang baginda telah leka dengan perkara yang lain, sampaikan baginda terlupa kepada Abdullah Maktoom itu. Nabi telah melebihkan orang lain yang tidaklah lagi penting dari orang buta ini. Dalam masa yang sama, Allah hendak memberitahu kita yang orang buta ini lagi penting dari pemuka-pemuka Quraish itu. Allah tahu hati orang kafir itu dan hati Abdullah itu. Allah beritahu Nabi jangan buang masa dengan mereka yang tidak mahu belajar, tidak mahu berubah.

Kalau kita berdakwah dan kita lihat ada harapan yang orang itu mahu kebenaran, maka tidaklah salah kalau kita teruskan. Kerana kita tidak tahu samada dia akan terima kebenaran atau tidak. Kerana kita tidak tahu dalam hati manusia. Akan tetapi dalam kes ini, Allah beritahu sendiri kepada baginda, kerana Allah tahu apa yang dalam hati mereka. Oleh itu, jangan salah faham dengan ayat ini – ayat ini bukanlah suruh kita jangan hiraukan dakwah kepada non-muslim. Kita kena tetap terus dakwah kepada mereka.


 

Ayat 11:

كَلّا إِنَّها تَذكِرَةٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

No! Indeed, they [i.e., these verses] are a reminder;

(MALAY)

Sekali-kali jangan (demikian)! Sesungguhnya ajaran-ajaran Tuhan itu adalah suatu peringatan,

 

كَلّا Kalla! Ada banyak penafsiran tentang lafaz ini. Yang pertama, ia mungkin Allah sedang menempelak orang kafir. Kerana ia adalah sambungan kepada ayat-ayat sebelum ini. Sebagai teguran berat kepada mereka. Maksudnya, Nabi tidak ada masa nak layan mereka semua lagi. Lagi elok kalau Nabi layan orang yang nak ikhlas hendak belajar.

Atau lafaz كَلّا itu sebagai penekanan kepada apa yang hendak disebutkan selepasnya. Allah nak tekankan yang sesungguhnya Quran ini adalah peringatan yang maha besar. Kenapa Quran digelar sebagai pemberi peringatan? Bukankah ia bawa benda yang baru? Sedangkan kalau mengingatkan, tentulah kepada perkara yang kita sudah tahu, bukan? Tidak sebenarnya kerana Quran mengingatkan manusia kembali tentang syahadah kita semasa kita dijadikan dahulu. Ini disebut dalam Al A’raaf Ayat 172.

وَإِذ أَخَذَ رَبُّكَ مِن بَني آدَمَ مِن ظُهورِهِم ذُرِّيَّتَهُم وَأَشهَدَهُم عَلىٰ أَنفُسِهِم أَلَستُ بِرَبِّكُم ۖ قالوا بَلىٰ ۛ شَهِدنا ۛ أَن تَقولوا يَومَ القِيامَةِ إِنّا كُنّا عَن هٰذا غافِلينَ

Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): “Bukankah Aku ini Tuhanmu?” Mereka menjawab: “Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi”. (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan: “Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan)”,

Maknanya, dalam diri kita sebenarnya sudah ada fitrah untuk mendapat peringatan kerana kita sudah kenal Allah dari sebelum kita dikeluarkan ke dunia lagi. Akan tetapi kita sudah lupa tentangnya. Kerana itulah ada agama-agama yang lain dari Islam, sedangkan Islamlah agama fitrah. Agama lain itu terjadi kerana manusia sudah lupa perjanjian dan ikrar mereka sebelum mereka lahir. Oleh itu, wahyu mengingatkan kembali kita kepada apa yang kita telah ikrarkan dahulu. Ini bukan peringatan dari manusia tetapi dari Allah sendiri. Kalau mereka tak mahu dengar, bukan salahmu Muhammad!

Atau Allah menegur Nabi dengan lafaz كَلّا yang bermaksud ‘jangan begitu’. Maknanya, Nabi tak boleh begitu terhadap Abdullah Maktoum itu. Quran ini adalah untuk semua orang, tidak boleh dibahagi-bahagikan, tidak boleh dikhususkan kepada orang-orang tertentu sahaja. Oleh itu Allah suruh Nabi jangan lebihkan orang kafir itu dari orang mukmin.


 

Ayat 12:

فَمَن شاءَ ذَكَرَهُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So whoever wills may remember it.¹

  • The revelation. Or “Him,” i.e., Allāh (subḥānahu wa ta‘ālā).

(MALAY)

maka barangsiapa yang menghendaki, tentulah ia mengingatinya,

 

Kepada siapa yang mahu, akan mendapat peringatan. Tugasmu hanya menyampaikan.  Sesiapa yang hendak, dia boleh ambil, terpulang kepada mereka. Iaitu mereka yang masih ada lagi cahaya fitrah. Yang masih mahu mendengar suara hatinya.

Jadi, adakah kita mahu mendengar suara hati kita dan belajar Quran ini sampai kita boleh faham? Sepatutnya begitulah sikap kita terhadap Quran. Kita kena ada usaha untuk mempelajari dan memahaminya. Kita belajar tafsir, belajar bahasa Arab, belajar bahasa Quran, baca berulang-ulang supaya kita lebih faham dan amalkan apa yang kita belajar. Tapi kalau tidak faham, bagaimana kita hendak amalkan? Akhirnya, kita kena sampaikan kepada orang lain, kerana itulah yang Allah suruh kita lakukan. Adakah kita lakukan semua itu? Berapa ramai yang tidak kisah sahaja mereka tidak faham Quran? Dan berapa ramai yang salah faham dengan pelajaran Tafsir Quran ini, sampai ada yang kata kita tidak akan dapat faham, bukan bidang kita, sampai mereka tidak belajar langsung? Dan bagaimana pula yang sampai sanggup melarang orang lain dari belajar kerana takut sesat?


 

Ayat 13: Allah sambung cerita tentang Quran. Kenapa Quran itu hebat?

في صُحُفٍ مُكَرَّمَةٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[It is recorded] in honored sheets,

(MALAY)

di dalam kitab-kitab yang dimuliakan,

 

Quran itu tersimpan di dalam suhuf yang mulia. Lafaz صُحُفٍ bermaksud helaian-helaian. Allah memberitahu betapa mulianya Quran ini. Allah menyebut tentang Quran yang asal, yang disimpan di Lauh ul Mahfuz. Ianya bukan kitab yang sebarangan, ianya amat tinggi, tapi ramai yang buat tidak tahu sahaja. Allah nak beritahu, kalau mereka tidak inginkan, tidak endahkan perkara yang mulia, mereka pun tidak layak kerana mereka itu rendah. Jadi tidak perlu terdesak sangat nak hulur kepada mereka. Ianya adalah sesuatu yang mulia sampaikan tidak layak untuk disogok-sogok kepada orang yang tidak mahukannya.


 

Ayat 14:

مَرفوعَةٍ مُطَهَّرَةٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Exalted and purified,

(MALAY)

yang ditinggikan lagi disucikan,

 

Quran itu bersifat yang tinggi dan suci. Allah menekankan bahawa wahyu yang dibawa Nabi adalah tinggi dan suci. Jadi mereka yang tak mahu mendengarnya adalah di dalam kerugian.

Kalau ia tinggi tidak dapat dicapai dan ianya suci, maksudnya Quran itu terjaga dari kekotoran dan penipuan. Tidak boleh sesiapa pun memasukkan perkara yang salah di dalamnya, juga tidak dapat dikurangkan. Maka salahlah fahaman puak Syiah yang mengatakan Quran yang ada sekarang ini telah diubah, malah banyak yang dikurangkan.

Oleh kerana mulia dan tinggi Quran itu, mereka yang mendengar Quran ini sepatutnya rasa beruntung. Tidak layak kalau mereka pandang rendah wahyu itu.


 

Ayat 15:

بِأَيدي سَفَرَةٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Carried] by the hands of messenger-angels,

(MALAY)

di tangan para penulis,

 

Lafaz سَفَرَةٍ bermaksud ‘penulis’. Siapakah yang dimaksudkan?

Pendapat jumhur mengatakan ianya adalah malaikat; maksudnya, Quran itu terpelihara di tangan malaikat-malaikat yang menyalinnya dari Lauhul Mahfuz. Ibnu Jarir mengatakan bahawa pendapat yang sahih ialah yang mengatakan bahwa safarah adalah para malaikat yang menghubungkan antara Allah Swt. dengan makhluk-Nya. Dan termasuk ke dalam pengertian ini dikatakan safir, yang ertinya orang yang menghubungkan di antara kedua belah pihak yang bersangkutan untuk tujuan perdamaian dan kebaikan. Maka, safarah dalam ayat ini bermaksud penghubung antara Allah dan makhlukNya.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ، حَدَّثَنَا هِشَامٌ، عَنْ قَتَادَةَ، عَنْ زُرَارة بْنِ أَوْفَى، عَنِ سَعْدِ بْنِ هِشَامٍ، عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “الَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَهُوَ مَاهِرٌ بِهِ مَعَ السَّفَرَةِ الْكِرَامِ الْبَرَرَةِ، وَالَّذِي يَقْرَؤُهُ وَهُوَ عَلَيْهِ شَاقٌّ لَهُ أَجْرَانِ”.

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ismail, telah menceritakan kepada kami Hisyam, dari Qatadah, dari Zurarah ibnu Aufa, dari Sa’d ibnu Hisyam, dari ayahnya, dari Aisyah r.a. yang mengatakan bahawa Rasulullah Saw. pernah bersabda: Orang yang membaca Al-Qur’an, sedangkan dia pandai membacanya (kelak akan dihimpunkan) bersama-sama dengan para safarah yang mulia lagi berbakti. Adapun orang yang membacanya, sedangkan dia melakukannya dengan berat, baginya dua pahala.

Ada juga yang mengatakan ia merujuk kepada para penulis Rasulullah yang ditugaskan untuk menyalin Quran selepas dibacakan oleh Nabi. Akan tetapi pendapat yang lebih kukuh adalah merujuk kepada para malaikat.


 

Ayat 16:

كِرامٍ بَرَرَةٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Noble and dutiful.

(MALAY)

yang mulia lagi berbakti.

 

Malaikat yang mulia lagi banyak berbakti. Allah nak beritahu kepada kita betapa mulianya Quran dan peringatan itu. Oleh kerana kedudukan Quran itu, maka para malaikat yang tinggi dan mulia yang menyalin Quran itu. Dan manusia amat beruntung untuk dapat mempelajarinya. Oleh itu, kalau mereka tidak mahu dengar maka bukan salah Nabi. Yang rugi adalah mereka. Bagaimana Quran yang mulia itu mereka tidak hiraukan? Bagaimana masyarakat kita boleh belajar agama tapi tidak belajar lagi tafsir Quran? Kitab berjela-jela mereka belajar, tapi tafsir Quran belum lagi.


 

Ayat 17:

قُتِلَ الإِنسانُ ما أَكفَرَهُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Destroyed [i.e., cursed] is man;¹ how disbelieving is he.

  • i.e., those who deny Allāh’s message.

(MALAY)

Binasalah manusia; alangkah amat sangat kekafirannya?

 

Lafaz قُتِلَ الإِنسانُ bermaksud ‘semoga binasalah manusia!’. Kalimat ini ditujukan kepada manusia yang mendustakan hari berbangkit. Ini adalah teguran yang amat berat dalam Bahasa Arab. Kenapa mereka sampai dimarahi begitu sekali?

Kerana betapa besar kekufuran mereka. Setelah mereka mendengar peringatan dari Allah dan Nabi, masih lagi mereka mahu kufur? Lafaz ما أَكفَرَهُ adalah uslub ta’jub, kerana sangat hairan dengan sikap mereka. Kerana mereka sanggup membinasakan diri mereka sendiri dengan tidak menghiraukan wahyu Allah. Dia banyak berdusta tanpa sandaran, bahkan hanya menurut ilusinya yang menganggap hari kiamat itu mustahil terjadi, dia tidak mempunyai pengetahuan sama sekali dalam hal ini. Sudah teruk sangat mereka itu.

Atau, lafaz ما أَكفَرَهُ boleh bermaksud ‘apa yang menyebabkan mereka boleh jadi kufur?’ Kenapa setelah ditunjukkan dengan peringatan yang hebat dari Quran itu, mereka masih lagi tidak mahu percaya? Dalam surah sebelum ini telah diceritakan bagaimana Firaun (Naaziat: 20-21) telah ditunjukkan segala mukjizat dan tanda, masih lagi tidak beriman.

فَأَراهُ الآيَةَ الكُبرىٰ

Lalu Musa memperlihatkan kepadanya mukjizat yang besar.

فَكَذَّبَ وَعَصىٰ

Tetapi Fir’aun mendustakan dan mendurhakai.

 

Walaupun Firaun telah ditunjukkan dengan mukjizat yang besar, Firaun masih lagi tidak mahu beriman. Maka, mereka pun jadi macam itu juga. Manusia yang telah ditunjukkan dengan mukjizat yang paling hebat, iaitu Quran, tapi masih lagi tidak mahu percaya. Maka mereka itu lebih teruk dari Firaun. Musyrikin Mekah paling teruk kerana mereka menolak wahyu itu di depan Nabi sendiri, alangkah celakanya mereka.


 

Ayat 18: Allah tegur orang yang engkar. Dalam bahasa kita zaman sekarang, ‘sekolah’kan mereka.

مِن أَيِّ شَيءٍ خَلَقَهُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

From what thing [i.e., substance] did He create him?

(MALAY)

Dari apakah Allah menciptakannya?

 

Allah mempersoalkan, yang manusia berlagak ni, dia lupakah yang dia jadi dari apa? Dia kena fikir sikit dari benda apa yang Allah ciptakan dia. Kenapa nak sombong sangat?


 

Ayat 19: Selepas Allah tanya, Allah sendiri yang jawap untuk ingatkan mereka.

مِن نُطفَةٍ خَلَقَهُ فَقَدَّرَهُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

From a sperm-drop He created him and destined for him;¹

  • His proportions, provisions, life span, etc.

(MALAY)

Dari setitis mani, Allah menciptakannya, lalu menentukannya.

 

Allah ingatkan yang manusia dijadikan dari air mani yang hina. Kenapa hina? Kerana kalau kena pada baju kita, kan kita buang? Kalau jatuh ke tanah, ayam tak patuk, itik pun tak sudu. Maknanya, asal kejadian manusia itu bukanlah dari benda yang mulia, tapi dari benda yang tidak ada apa-apa nilai pun.

Dan setelah Allah jadikan kita, Dia menentukan perjalanan hidup kita. Dia telah mentakdirkan apa yang akan jadi dengan kita: bagaimana rupa kita, kulit, pandai atau tidak, tinggal di mana, siapa kenalan kita, ada penyakit atau tidak, apa kerja kita, anak kita akan dapat berapa, semua sekali. dari sekecil-kecilnya hingga ke sebesar-besarnya.  Semua telah ditakdirkan sebelum jadi manusia lagi. Jadi ini adalah cerita sebelum manusia itu keluar lagi dari perut ibunya. Itu semua kita tidak dapat tentukan sendiri. Semuanya Allah yang atur dan kita kena terima sahaja.

Tapi manusia masih lagi sampai hati nak melawan Allah? Allah yang tentukan rupa bentuk dia dan kemudia Allah yang taqdirkan semua, tapi manusia sombong juga lagi?


 

Ayat 20: Kemudian Allah lahirkan manusia itu.

ثُمَّ السَّبيلَ يَسَّرَهُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then He eased the way for him;¹

  • Into this world (i.e., his birth). It may also refer to life itself, which has been made easier by Allāh’s guidance.

(MALAY)

Kemudian Dia memudahkan jalannya.

 

Dan Allah memudahkan jalan untuk manusia keluar dari perut ibunya. Ikut laluan rahim  keluar dari ibu. Allah yang mudahkan. Ianya satu proses yang kalau difikirkan amat susah – bayangkan bayi itu besar, tapi boleh keluar ikut laluan yang sempit. Tapi Allah mudahkan dengan QudratNya.

Dan boleh juga bermaksud, Allah memudahkan dia di dalam perjalanan hidupnya. Selepas Allah taqdir kita lahir, kita dimudahkan dalam kehidupan kita. Segala keperluan kita Allah berikan. Dari kita bayi, tak tahu bercakap lagi, Allah ilhamkan kepada ibubapa kita untuk memberi kita makan, beri belaian dan kasih sayang.

Dan ketiga, Allah juga memudahkan dia untuk mendapat petunjuk: setiap manusia telah dibekalkan dengan fitrah mahukan kebenaran, kenal Allah dan ini telah diletakkan di dalam sanubari manusia. Kemudian Allah bangkitkan para Rasul, ada kitab wahyu dan lain-lain lagi sumber petunjuk. Ini seperti yang disebut dalam ayat yang lain:

إِنَّا هَدَيْناهُ السَّبِيلَ إِمَّا شاكِراً وَإِمَّا كَفُوراً

Sesungguhnya Kami telah menunjukinya jalan yang lurus; ada yang bersyukur dan ada pula yang kafir. (Al-Insan: 3)

Memang ada banyak petunjuk telah diberikan, tapi kalau manusia tidak mahu terima, itu adalah kerana mereka sombong sahaja.


 

Ayat 21: Masih lagi pada perjalanan hidup manusia. Akhirnya manusia itu mati.

ثُمَّ أَماتَهُ فَأَقبَرَهُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then He causes his death and provides a grave for him.¹

  • To conceal his decaying body.

(MALAY)

kemudian Dia mematikannya dan memasukkannya ke dalam kubur,

 

Dan kemudian manusia akan dimatikan dan dikuburkan. Lafaz ‘kubur’ maksudnya ‘dimasukkan dalam tanah’, samada ada kubur atau tidak; kerana kalau tak tanam pun dalam kubur seperti yang biasa kita lihat, setiap manusia itu akan jadi hancur jadi tanah dan akan masuk ke tanah juga. Sebagai contoh, kalau dibakar, mati dalam laut, di mana sahaja, akhirnya akan hancur dan turun ke tanah juga.

Allah nak ingatkan manusia, mati pun kamu tidak dapat kawal – sudahlah hidup kamu pun kamu tidak dapat kawal, mati pun kamu tidak dapat kawal, tapi masih nak sombong lagi?

Akhirnya kamu akan menjadi tanah. Tanah pun satu bahan yang kamu pandang jijik. Kamu basuh dari badan dan pakaian kalau kena pada kamu. Lihatlah, asal dari air mani yang hina dan akhirnya jadi tanah yang hina juga. Lihatlah, betapa hinanya manusia. Tapi hairan, masih nak sombong lagi.


 

Ayat 22: Mati bukanlah satu penentuan, bukan penamat; tidak habis lagi kisah manusia walaupun telah mati.

ثُمَّ إِذا شاءَ أَنشَرَهُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then when He wills, He will resurrect him.

(MALAY)

kemudian bila Dia menghendaki, Dia membangkitkannya kembali.

 

Dan kalau Dia hendak (kalau Allah yang hendak, bukan kita), maka Dia akan menghidupkan kita kembali.

Dari segi bahasa, kita boleh lihat bagaimana apabila manusia dihidupkan kembali, ianya dilakukan dengan cepat, tidak perlu proses lagi. Allah boleh buat begitu, terus bangkit sahaja. Sedangkan semasa lahir, Allah jadikan ada proses, air mani bercantum dengan telur ibu, melekat di dinding rahim, duduk dalam rahim selama 9 bulan dan seterusnya, tapi bila nak hidupkan balik, Allah hidupkan begitu sahaja. Kerana Allah tidak perlukan pun segala proses itu. Sengaja Allah hendak manusia lahir dengan cara begitu walaupun sebenarnya kalau Allah kehendaki, dia boleh terus jadikan sahaja manusia dalam sekelip mata.


 

Ayat 23: Setelah Allah menceritakan perjalanan hidup manusia, sekarang Allah tegur kesalahan manusia yang engkar.

كَلّا لَمّا يَقضِ ما أَمَرَهُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

No! He [i.e., man] has not yet accomplished what He commanded him.

(MALAY)

Sekali-kali jangan; manusia itu belum melaksanakan apa yang diperintahkan Allah kepadanya,

 

Sekali lagi kita bertemu dengan lafaz كَلّا – seperti kita telah sebut sebelum ini, ia adalah lafaz penekanan. Allah nak tekankan apa yang akan disebutkan selepas itu. Kerana penting, Allah letak lafaz untuk menunjukkan penekanan.

Atau lafaz كَلّا bermaksud ‘jangan begitu’. Jangan teruskan segala perbuatan salah mereka itu. Kena ubah keadaan mereka.

Lafaz يَقضِ bermaksud – menjalankan tanggungjawab. Allah mengatakan manusia ramai yang belum menjalankan tanggungjawab mereka sepenuhnya lagi sebagai hambaNya.

Apabila digunakan lafaz لَمّا, maksudnya sampai sekarang manusia masih lagi tidak memenuhi perintah Allah. Tapi masih ada harapan lagi, selagi belum mati, masih ada harapan lagi. Oleh itu selepas dengar segala teguran ini, berubahlah.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 080: Abasa and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s