Tafsir Surah Tawbah 41 – 43 (Tidak boleh beri izin kepada Munafik)

Ayat 41: Ini targhib kepada jihad. Dalam ayat sebelum ini, Allah telah beritahu kalau tidak menjalankan jihad, Allah akan seksa dan ganti dengan kaum lain, maka kenalah keluar berjihad. Sebelum kena tukar dengan kaum yang lain, baiklah berjihad di jalan Allah.

انفِروا خِفافًا وَثِقالًا وَجاهِدوا بِأَموالِكُم وَأَنفُسِكُم في سَبيلِ اللَّهِ ۚ ذٰلِكُم خَيرٌ لَكُم إِن كُنتُم تَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Go forth, whether light or heavy,¹ and strive with your wealth and your lives in the cause of Allāh. That is better for you, if you only knew.

  • i.e., young or old, riding or walking, in ease or in hardship – in all circumstances and conditions.

(MALAY)

Keluarlah kamu kamu berperang, baik dalam keadaan ringan mahupun berat, dan berjihadlah kamu dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.

 

انفِروا خِفافًا وَثِقالًا

Keluarlah kamu kamu berperang, baik dalam keadaan ringan mahupun berat,

Allah suruh umat Islam keluar menjalankan kewajipan jihad, samada dalam keadaan kamu rasa ringan untuk berperang atau kamu rasa berat hati. Perasaan berat dan ringan itu perasaan sahaja. Walau apa pun, kena keluar juga. Allah mewajibkan kaum mukmin untuk berangkat berperang bersama Rasulullah Saw. dalam keadaan apa pun, baik ia dalam keadaan semangat mahupun dalam keadaan malas, dan baik dalam keadaan sulit mahupun dalam keadaan mudah. Begitu juga, baik telah berusia lanjut maupun berusia muda, semuanya harus berangkat. Kerana itulah para sahabat, tetap juga pergi berperang walaupun pada usia mereka yang lanjut.

Ibnu Abu Najih telah meriwayatkan dari Mujahid sehubungan dengan firman-Nya: Berangkatlah kalian, baik dalam keadaan merasa ringan ataupun merasa berat. (At-Taubah: 41) Para sahabat mengatakan, di kalangan kami terdapat orang yang keberatan, orang yang mempunyai keperluan, orang yang miskin, orang yang sibuk, dan orang yang keadaannya mudah. Maka Allah menurunkan firman-Nya menolak alasan mereka. Tiada lain bagi mereka kecuali harus berangkat, baik dalam keadaan ringan ataupun merasa berat. Yakni mereka tetap harus berangkat dalam keadaan apa pun yang mereka alami.

Setelah ayat ini diturunkan, para sahabat merasa keberatan dengan perintah itu. Maka Allah me-mansukh-nya dengan firman Allah Swt.:

{لَيْسَ عَلَى الضُّعَفَاءِ وَلا عَلَى الْمَرْضَى وَلا عَلَى الَّذِينَ لَا يَجِدُونَ مَا يُنْفِقُونَ حَرَجٌ إِذَا نَصَحُوا لِلَّهِ وَرَسُولِهِ}

Tidak dosa (lantaran tidak pergi berjihad) atas orang-orang yang lemah, atas orang-orang yang sakit, dan atas orang-orang yang tidak memperoleh apa yang akan mereka nafkahkan, apabila mereka berlaku ikhlas kepada Allah dan Rasul-Nya. (At-Taubah: 91)

 

وَجاهِدوا بِأَموالِكُم وَأَنفُسِكُم في سَبيلِ اللَّهِ ۚ

dan berjihadlah kamu dengan harta dan dirimu di jalan Allah.

Yang penting adalah untuk keluar mempertahankan agama.

Jihad qital itu ada dua kemungkinan: ada fardhu yang kifayah – Ini adalah apabila tentera sahaja keluar jihad. Memang kalau tentera itu kerja mereka memang berperang dan mereka dibayar gaji untuk berperang; tapi ada juga yang dinamakan nafrul am – semua rakyat yang mampu kena keluar jihad. Ini macam yang diwajibkan dalam Perang Tabuk, tidak ada kezinan untuk tinggal di rumah waktu itu, kecuali yang diberi kebenaran kerana ada keuzuran. Ini adalah kerana Perang Tabuk itu umat Islam kena berdepan dengan tentera kafir yang ramai.

Masing-masing pasukan yang muslim dan pasukan yang kufur akan ada rasa berat dan ringan. Tapi pihak muslim kena tabahkan hati dan terus sahaja ke medan perang.

Kalau kita pada zaman sekarang tidak ada perang qital, maka kita jalankan usaha kita dengan cara lain. Kita kena sampaikan juga dakwah. Apabila perlu tenaga kita dalam menegakkan Islam, kita kena ke hadapan dan tawarkan diri. Kerana kalau bukan kita yang pertahankan Islam, siapa lagi? Sebagai contoh, kalau ada yang buat fitnah tentang Islam, maka kita lah yang kena pertahankan dengan berhujah dengan mereka yang membuat tohmahan itu; kalau ada aktiviti dakwah yang memerlukan sumbangan kita, berilah sumbangan itu. Samada dengan tenaga kudrat kita atau dengan bantuan kewangan.

 

ذٰلِكُم خَيرٌ لَكُم إِن كُنتُم تَعلَمونَ

Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.

Kalaulah kita tahu kelebihan yang ada dalam jihad ini, tentu kita tidak akan menahan diri kita. Tentu kita tidak rasa berat hati untuk berperang. Tapi malangnya kadang-kadang iman kita lemah dan tidak nampak.


 

Ayat 42: Dalam Perang Tabuk itu, orang mukmin semua pergi keluar jihad kecuali lapan orang. Selain dari itu semua mukmin pergi berperang kecuali mereka yang dibenarkan untuk bertahan di Madinah. Dari 8 orang itu, 5 orang dari kumpulan Lubabah dan 3 lagi dari kumpulan Kaab bin Malik. Mereka itu mukmin tapi ada masalah pada mereka, mereka tidak pergi.

Selain dari itu, ada ramai lagi golongan munafik yang tidak pergi berperang. Kumpulan Munafik itu pula ada 4 golongan. Dua kumpulan yang pertama adalah:

  1. ada yang minta izin kepada Nabi untuk tidak berjihad
  2. ada yang tidak minta izin pun dan apabila Nabi balik, baru mereka beri alasan.

Allah beri teguran kepada mereka dalam ayat ini. Munafik itu tidak pergi berperang kerana munafik itu pilih keuntungan dunia.

لَو كانَ عَرَضًا قَريبًا وَسَفَرًا قاصِدًا لَاتَّبَعوكَ وَلٰكِن بَعُدَت عَلَيهِمُ الشُّقَّةُ ۚ وَسَيَحلِفونَ بِاللَّهِ لَوِ استَطَعنا لَخَرَجنا مَعَكُم يُهلِكونَ أَنفُسَهُم وَاللَّهُ يَعلَمُ إِنَّهُم لَكاذِبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Had it been a near [i.e., easy] gain and a moderate trip, they [i.e., the hypocrites] would have followed you, but distant to them was the journey. And they will swear by Allāh,¹ “If we were able, we would have gone forth with you,” destroying themselves [through false oaths], and Allāh knows that indeed they are liars.

  • When you return from the Tabūk expedition.

(MALAY)

Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak seberapa jauh, pastilah mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka. Mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah: “Jikalau kami sanggup tentulah kami berangkat bersama-samamu”. Mereka membinasakan diri mereka sendiri dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta.

 

لَو كانَ عَرَضًا قَريبًا

Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh

Menurut Ibnu Abbas, yang dimaksud dengan ‘aradan qariban ialah ghanimah (rampasan perang) yang dekat (mudah diperoleh). Allah beritahu apa yang dalam hati orang-orang Munafik itu: sekiranya apa yang dijanjikan itu mudah dapat, mereka akan ikut serta. Mereka tidak mahu susah payah. Mereka tidak mahu berkorban untuk agama. Mereka nak benda yang senang sahaja, yang mudah dicapai. Adakah kita pun macam itu juga?

 

وَسَفَرًا قاصِدًا

dan perjalanan yang tidak seberapa jauh,

Dan kalau untuk mendapatkannya, perjalanan pun dekat, tidak susah sangat. Seperti yang telah disebut sebelum ini, Perang Tabuk itu adalah satu tempat yang jauh dan musim itu sedang panas pula.

 

لَاتَّبَعوكَ

pastilah mereka mengikutimu,

Kalau senang dapat dan perjalanan tidak jauh, Allah kata nescaya puak munafikin itu akan ikut serta orang-orang mukmin. Kenapa mereka akan pergi juga? Sebab mereka rasa perang tak susah dan kalau pergi, boleh dapat harta ghanimah nanti. Mereka nak harta rampasan perang sebenarnya. Itulah yang dimaksud dengan عَرَضًا iaitu pulangan yang nampak dengan mata. Sedangkan pahala dan balasan syurga tidak nampak, bukan?

 

وَلٰكِن بَعُدَت عَلَيهِمُ الشُّقَّةُ ۚ

tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka.

Akan tetapi Tabuk itu nampak jauh bagi mereka, maka mereka tidak mahu pergi. Yang dimaksud dengan syuqqah ialah jauh, dalam kes Perang Tabuk, mereka kena menuju ke negeri Syam. Mereka rasa payah kalau mereka menyertainya. Jadi puak munafik tidak pergi dan ada antara mereka yang tidak pergi jumpa Nabi pun untuk minta keizinan pelepasan. Sepatutnya, kerana ini adalah nafrul am, maka semua kena pergi dan kalau tidak boleh pergi, kena beritahu kepada Nabi menjelaskan kenapa tidak boleh pergi.

Jadi, mereka tidak jumpa Nabi untuk minta izin tidak sertai perang dan apabila Nabi balik dari peperangan, baru mereka jumpa Nabi.

 

وَسَيَحلِفونَ بِاللَّهِ لَوِ استَطَعنا لَخَرَجنا مَعَكُم

Mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah: “Jikalau kami sanggup tentulah kami berangkat bersama-samamu”.

Allah beritahu, pasti mereka akan datang kepada Nabi dan bersumpah dengan nama Allah: kalau kami mampu, kami pergi juga; akan tetapi kami tidak mampu, dengan beri berbagai alasan.

Sampai ada yang kata, sebab Nabi pergi berperang dengan ‘orang putih’, dan orang-orang perempuan mereka cantik bermata biru, mereka kata mereka takut nanti kalau mereka nampak, mereka akan terpikat dan rosak diri mereka pula nanti. Mereka kata nafsu mereka lemah dan elok mereka duduk di Madinah sahaja.

 

يُهلِكونَ أَنفُسَهُم

Mereka membinasakan diri mereka sendiri 

Allah beritahu bohongan mereka itulah yang membinakan diri mereka kerana mereka berbohong. Mereka beri alasan sahaja dan Allah tahu yang ianya tidak benar kerana Allah tahu apa yang ada dalam hati mereka. Kita memang tidak tahu, tapi Allah tahu.

 

وَاللَّهُ يَعلَمُ إِنَّهُم لَكاذِبونَ

dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta.

Allah tahu yang mereka memang berbohong dan Allah beritahu Nabi Muhammad kerana baginda tidak tahu apa yang ada dalam hati mereka. Kerana baginda itu manusia sahaja dan tidak dapat baca niat dan bisikan hati manusia. Sampaikan Allah sendiri yang beritahu, barulah Nabi tahu.

Maulana Hadi: Taubah 28 – 42


 

Ayat 43: Ayat Zajrun kepada Nabi Muhammad. Kenapa pula Allah tegur baginda?

Kita kena faham keadaan waktu itu. Semasa Perang Tabuk, jihad telah diwajibkan kepada semua yang mampu pergi. Apabila telah diwajibkan, maka kalau ada yang tidak dapat pergi, mereka kena minta izin dari Nabi untuk tidak pergi. Inilah disiplin yang diajar dalam hal ini. Kita dalam kerja pun kena ada disiplin, bukan? Kita kena ikut cara dan protokol tempat kerja kita – kalau tidak dapat kerja, kenalah laporkan kepada majikan atau kepada HR. Takkan buat tahu sahaja dan ambil cuti sendiri, bukan? Ini penting, kerana kalau tidak ada protokol, maka akan kacau bilau satu-satu organisasi itu.

Masalah besar bagi mukmin di Madinah adalah golongan munafik. Mereka itu adalah ‘api dalam sekam’, ‘gunting dalam lipatan’. Mereka bercampur gaul dengan puak mukmin dan berlagak sebagai seorang yang beriman, tapi sebenarnya tidak. Mereka itu tidak boleh dipercayai sebenarnya kerana mereka mungkin boleh pecahkan rahsia umat Islam. Tambahan pula waktu itu sedang zaman peperangan dengan puak kafir, puak Ahli Kitab. Tapi golongan mukmin tidak kenal siapakah golongan munafik kerana perkara munafik itu dalam hati dan kita tidak dapat baca hati orang, bukan?

Oleh itu, Perang Tabuk adalah satu peluang untuk puak mukmin tahu siapakah yang munafik. Kalau ada yang tidak pergi berperang, maka tahulah yang mereka itu munafik dan kena berhati-hati dengan mereka. Ini adalah peluang kerana lain dari peperangan sebelum itu. Peperangan sebelum itu adalah fardhu Kifayah sahaja, tidak wajib, jadi kalau puak munafik tidak pergi, mereka tidak boleh dipersalahkan kerana memang tidak wajib pun. Mereka yang tidak mahu pergi pun tidak pergi minta izin. Tapi Perang Tabuk ini Allah telah jadikan sebagai peluang untuk membongkar hati puak munafik itu.

Tetapi, apabila diwajibkan berjihad ke Tabuk, ada dari kalangan golongan munafik yang minta izin dari Nabi, dan Nabi Muhammad seorang yang berhati lembut, telah beri izin kepada mereka untuk tidak menyertai Perang Tabuk itu. Maka hilanglah peluang untuk mengetahui siapa yang munafik. Kerana kalau ditanya kenapa mereka tidak pergi, merkea boleh jawap: “Rasulullah dan benarkan kami tidak sertai perang ini”.

Jadi, kerana itulah Nabi Muhammad ditegur oleh Allah dalam ayat ini.

عَفَا اللَّهُ عَنكَ لِمَ أَذِنتَ لَهُم حَتّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكَ الَّذينَ صَدَقوا وَتَعلَمَ الكاذِبينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

May Allāh pardon you, [O Muḥammad]; why did you give them permission [to remain behind]? [You should not have] until it was evident to you who were truthful and you knew [who were] the liars.

(MALAY)

Semoga Allah memaafkanmu. Mengapa kamu memberi izin kepada mereka (untuk tidak pergi berperang), sebelum jelas bagimu orang-orang yang benar (dalam keuzurannya) dan sebelum kamu ketahui orang-orang yang berdusta?

 

عَفَا اللَّهُ عَنكَ

Semoga Allah memaafkanmu. 

Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami ayahku, telah menceritakan kepada kami Abu Husain ibnu Sulaiman Ar-Razi, telah menceritakan kepada kami Sufyan ibnu Uyaynah, dari Mis’ar, dari Aun yang mengatakan, “Apakah kalian pernah mendengar suatu teguran yang lebih baik daripada ayat ini? Yaitu seruan yang menyatakan pemberian maaf sebelum penyaksian.” Allah Swt. telah berfirman: Semoga Allah memaafkanmu. Mengapa kamu memberi izin kepada mereka (untuk tidak pergi berperang)? (At-Taubah: 43)

Selalunya sebelum peperangan, Nabi tidak memberitahu kepada puak muslim, ke mana mereka akan berperang. Ini adalah sebagai taktik peperangan kerana takut musuh dalam selimut sampaikan berita kepada orang kafir. Sebagai contoh, kadangkala kalau baginda hendak menyerang di timur, baginda akan tanya khabar bahagian barat; mana tempat ada air, tempat persinggahan dan sebagainya; itu adalah untuk mengelirukan musuh dalam selimut – supaya mereka beritahu kepada kawan mereka dari pihak musuh yang Nabi nak serang ke barat. Tetapi esoknya Nabi hantar tentera ke arah lain. Inilah hikmah Nabi dalam strategi peperangan.

Akan tetapi lain dengan Perang Tabuk. Awal-awal lagi Nabi sudah beritahu yang mereka akan pergi ke Tabuk. Itu adalah tempat paling jauh yang pasukan tentera Islam pernah pergi. Dan waktu itu musim pula musim panas. Bagi penduduk Madinah, tanaman utama mereka adalah kurma dan masa itulah buah kurma akan dikutip kerana sudah masak dan ranum. Ini adalah kerana pada musim panas, lagi manis buah itu. Dan kita jangan lupa yang hasil tahunan mereka bergantung kepada pokok kurma itu. Dan kalau belum dapat hasil lagi, sementara nak dapat tuaian, tapi nak kena pergi jihad, puak muslim selalunya akan berhutang dengan Yahudi yang mereka kenal untuk dapatkan modal pergi berjihad. Mereka tidak jadikan kekurangan wang sebagai alasan untuk tidak berjihad. Dan nanti bila dah ada hasil kurma, mereka akan bayar balik kepada Yahudi yang mereka pinjam itu. Tapi sekarang, masa mereka nak tuai hasil pula yang Nabi suruh pergi ke Tabuk, sudahlah jauh dan panas. Dan dalam perang ini, tidak ada yang terkecuali dimana semua kena pergi, tidak macam perang-perang yang lain. Ini adalah perang yang lain adalah fardhu kifayah, sedangka Perang Tabuk ini adalah fardhu ain atau dinamakan nafrul am.

Allah sebenarnya tidak mahu Nabi izin sesiapa pun untuk tinggal, melainkan kalau ada uzur syar’ie. Tujuannya kerana Allah nak tunjukkan siapakah yang munafik. Nanti akan dapat lihat bagaimana yang tidak pergi jihad itulah yang munafik. Allah buat begini supaya orang-orang mukmin senang kenal mereka selepas itu. Begitulah cara untuk mengenal orang munafik dan selepas ini sampai bila-bila, kalau infak dan jihad disyariatkan dan ada yang tidak menyertainya atau menghulurkan infak, mereka itu adalah munafik. Inilah satu kaedah pengecaman yang Allah telah berikan kepada kita. Ianya berguna kepada khalifah negara Islam supaya mereka dapat gunakan kaedah ini untuk tahu siapa munafik dan mereka bolehlah berjaga-jaga dengan mereka. Kerana bahaya kalau ada munafik dalam negara kerana mereka boleh menghancurkan umat Islam dari dalam.

Tetapi masalahnya, Nabi ada beri izin kepada para munafik yang datang kepada baginda dan beri alasan berbagai-bagai untuk tidak menyertai Perang Tabuk ini dan Nabi telah beri izin. Dan dengan sebab izin itu, orang mukmin tidak dapat nak tahu, samada orang yang tidak pergi perang itu adalah kerana mereka munafik atau kerana Nabi telah izin.

Oleh kerana Nabi telah beri izin kepada mereka, Allah tegur Nabi. Tetapi Allah telah maafkan awal-awal lagi kesalahan Nabi kerana telah beri izin kepada puak-puak munafik itu. Lihat permulaan ayat ini, terlebih dahulu Allah maafkan dulu kesalahan Nabi sebelum Allah tegur. Ini menunjukkan sayangnya Allah kepada baginda. Tapi tegur tetap kena tegur juga.

 

لِمَ أَذِنتَ لَهُم

Mengapa kamu memberi izin kepada mereka

Inilah teguran Allah kepada baginda: kenapa kamu telah beri izin kepada mereka, sedangkan Allah tidak beri izin. Ini adalah perang yang fardhu ain, bukan fardhu kifayah. Tentulah suka hati munafik sebab dapat izin dari baginda. Dan mukmin lain tidak tahu samada orang yang tidak pergi jihad itu munafik atau kerana dapat izin dari Nabi. jadi Allah tegur Nabi, kenapalah baginda gopoh dengan beri izin kepada mereka?

 

حَتّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكَ الَّذينَ صَدَقوا

sebelum jelas bagimu orang-orang yang benar

Sepatutnya baginda tidak beri izin sehingga nyata kepada baginda siapa orang yang benar. Iaitu, mereka yang pergi berjihad ke Tabuk itulah yang benar dalam iman mereka dan merekalah orang mukmin. Oleh itu, selepas itu, jangan lagi beri izin kepada mereka yang datang minta izin tanpa memberikan alasan yang benar.

 

وَتَعلَمَ الكاذِبينَ

dan sebelum kamu ketahui orang-orang yang berdusta?

Sepatutnya Nabi tidak beri izin nyata kepada baginda siapa yang bohong.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 009: Tawbah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s