Tafsir Surah Naaziat Ayat 15 – 33 (Kisah Nabi Musa)

Ayat 15: Sekarang kita boleh lihat bagaimana ada pertukaran topik dari ayat-ayat sebelum ini. Allah sekarang membawa kisah Nabi Musa a.s. kerana Allah hendak memberitahu bahawa bukanlah puak Musyrikin Mekah itu yang pertama sekali memberontak kepada Allah tapi sebelum itu pun sudah ada ramai lagi yang melakukannya dan Allah beri contoh kaum Nabi Musa a.s.

هَل أَتاكَ حَديثُ موسىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Has there reached you the story of Moses? –

(MALAY)

Sudah sampaikah kepadamu (ya Muhammad) kisah Musa.

Adakah kamu dengar tentang Musa? Dalam ayat ini, Allah bercakap terus kepada Nabi Muhammad. Ini adalah perubahan dari khitab kepada musyrikin sebelum ini. Allah sudah tak layan orang kafir dah.

Lafaz حَديثُ digunakan dalam ayat ini yang bermaksud ‘perkara baru’: Samada kisah itu tak pernah didengari atau pernah dengar tapi dah lupa kerana lama sangat. Jadi apabila ianya disebut, ianya macam perkara baru.

Juga boleh bermaksud, Allah nak ingatkan kembali kisah itu, walaupun sudah pernah didengar, seperti kisah itu adalah kisah baru, dan menunjukkan ianya masih lagi relevan dengan kita. Kerana benda baru tentunya relevan dengan kita, bukan? Ini adalah supaya kisah itu dibaca dengan nafas yang baru. Oleh itu, kisah ringkas tentang Musa disebut dalam surah ini tapi disebut dengan ringkas, maka kena rujuk kepada surah-surah yang lain.


Ayat 16:

إِذ ناداهُ رَبُّهُ بِالوادِ المُقَدَّسِ طُوًى

(SAHEEH INTERNATIONAL)

When his Lord called to him in the sacred valley of Ṭuwā,

(MALAY)

Tatkala Tuhannya memanggilnya di lembah suci ialah Lembah Thuwa;

Allah memanggil Nabi Musa a.s. untuk menerima wahyu. Lafaz nida’ bermaksud memanggil dengan kuat. Memang Allah memanggil Nabi Musa untuk bercakap denganNya tapi mestilah difahami sebagaimana yang layak bagi Allah. Kita tidak tahu bagaimana cara Allah memanggil itu, kerana ini adalah antara perkara yang termasuk dalam ayat-ayat mutashabihaat.

Lafaz المُقَدَّسِ bermaksud tempat untuk untuk membesarkan Allah. Ianya adalah tempat yang suci. Allah memanggil Nabi Musa a.s. untuk datang ke situ. Dan begitulah juga Nabi Muhammad dipanggil ke Gua Hira’ untuk menerima wahyu yang pertama untuk baginda. Semuanya dalam perancangan Allah.


Ayat 17: Apakah arahan yang Allah beri kepada Nabi Musa a.s.?

اذهَب إِلىٰ فِرعَونَ إِنَّهُ طَغىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

“Go to Pharaoh. Indeed, he has transgressed.

(MALAY)

“Pergilah kamu kepada Fir’aun, sesungguhnya dia telah melampaui batas,

Setelah Nabi Musa dilantik sebagai Rasul, Allah mengarahkan Nabi Musa untuk pergi berdakwah kepada Firaun sebab dia dah melampaui batas. Begitulah juga Nabi Muhammad disuruh untuk berdakwah kepada Quraish.

Lafaz طَغىٰ dari segi bahasa adalah macam laut yang melimpah dari pantainya. Inilah perumpamaan apabila manusia telah melampau batas. Kerana manusia ini ada had apa yang boleh dilakukannya, kerana Allah telah tetapkan had itu. Dan kita pun sudah tahu yang Firaun memang telah melampau. Bayangkan, dia telah menggelar dirinya rabb (tuhan) dan dia telah menghambakan Bani Israil dan entah apa lagi kesalahan yang dia telah lakukan. Tetapi dua perkara inilah yang pertama sekali disentuh oleh Nabi Musa kepada Firaun – tentang siapakah rabb yang sebenar dan tentang perhambaan Bani Israil.

Tetapi begitulah manusia, tidak suka dihadkan apa yang mereka boleh buat. Itu sebab ramai yang memberontak, kerana mereka tidak suka dikongkong, mereka nak buat apa sahaja yang mereka hendak. Tapi kita diajar dalam Islam, kita kena sedar siapa diri kita – kita adalah hamba dan Allah itu Tuhan, maka kita kena taat. Kita kena hinakan diri kita dan sedar kedudukan kita. Kalau susah untuk menerima perkara ini, maka akan susahlah untuk taat kepada Allah. Malangnya, ramai manusia yang rasa besar dan tinggi diri dan mereka rasa mereka tidak layak dikongkong. Tapi berapa kuat sangatlah mereka?


Ayat 18: Allah ajar Nabi Musa a.s. cara berdakwah kepada Firaun.

فَقُل هَل لَكَ إِلىٰ أَن تَزَكّىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And say to him, ‘Would you [be willing to] purify yourself

(MALAY)

dan katakanlah (kepada Fir’aun): “Adakah ada keinginan bagimu untuk membersihkan diri? (dari kesesatan)”.

Musa disuruh untuk bertanya kepada Firaun: ada tak sekelumit dalam hati kamu untuk menerima jalan kesucian? Kamu ada rasa nak cuci tak kekotoran yang ada dalam diri kamu? Iaitu dari kekotoran syirik yang selama ini telah diamalkan. Nabi Muhammad juga mengajak kaumnya membersihkan diri mereka dari amalan dan fahaman syirik. Begitu juga kita, dalam berdakwah, perkara pertama yang kita kena bersihkan adalah dari fahaman syirik.

Itulah lebih kurang soalan yang Musa disuruh tanya kepada Firaun. Maka inilah juga yang kita disuruh tanya kepada manusia lain. Kita nak tarik minat mereka untuk menyucikan diri. Kerana semua manusia ada perasaan untuk kebaikan, kerana Allah isikan fitrah itu dalam diri manusia. Cuma mereka yang kufur telah menutup fitrah itu.

Nabi Musa disuruh tanya kepada Firaun, kerana kalau ada lagi fitrah itu, maka ada harapan lagi untuk dia beriman. Kerana kena ada sekelumit kebenaran yang ada dalam roh manusia, barulah boleh terima dakwah kebenaran. Lafaz هَل لَكَ bermaksud: bukan sahaja kena ada sekelumit cahaya keimanan itu, tapi kena ada juga rasa hendak mengeluarkannya. Macam Firaun tentu ada perasaan itu, kerana Allah telah berikan kepada semua manusia, tapi samada dia nak keluarkan sahaja. Oleh itu, kalau kita berdakwah kepada manusia, suruh mereka dengar suara hati mereka. Ada yang boleh terima suara hati, tapi kalau nafsu menguasai diri, mereka akan pendamkan suara hati itu.

Penggunaan lafaz تَزَكّىٰ dalam ayat ini juga ada membawa maksud dari segi balaghah. Lafaz تَزَكّىٰ itu asal wazan yang sebenar adalah تَتَزَكّىٰ (tatazakka). Maknanya, ada pengurangan dari wazan yang asal, maksudnya: “tidakkah kau nampak boleh membersihkan ’sedikit’ pun dari hati engkau?” Kerana kalau تَتَزَكّىٰ digunakan, ia bermaksud penuh, sempurna. Kita nak ada sedikit sahaja pun jadilah untuk memulakan proses pembersihan hati itu.

Akan tetapi masalah dengan Firaun, dia tidak nampak pun kesalahan yang dilakukannya. Maka dia tidak mahu dengar apa yang disampaikan oleh Nabi Musa a.s. Begitu jugalah dengan Musyrikin Mekah apabila Nabi Muhammad berdakwah kepada mereka. Kerana pada mereka, mereka tidak salah; pada mereka, yang sesatnya adalah Nabi. Begitu jugalah puak yang mengamalkan bidaah dan syirik dalam negara ini, mereka rasa mereka tidak salah, itulah sebabnya mereka tidak mahu menerima dakwah sunnah. Mereka rasa, puak yang bawa sunnah inilah yang sesat. Jadi, kita kena ajak mereka untuk cuba dengar suara hati mereka, ajar suara hati mereka untuk terima kebenaran.


Ayat 19: Selepas membersihkan diri dari syirik, barulah boleh terima hidayah. Kerana kalau hati tidak bersih dari syirik, hidayah tidak boleh masuk.

وَأَهدِيَكَ إِلىٰ رَبِّكَ فَتَخشىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And let me guide you to your Lord so you would fear [Him]?’ “

(MALAY)

Dan kamu akan ku tunjuk ke jalan Tuhanmu agar supaya kamu takut kepada-Nya?”

Dari sudut bahasa, ayat ini adalah sambungan terus dari ayat sebelumnya.

Musa a.s beritahu Firaun yang baginda boleh memberi hidayah kepada Firaun. Itu pun kalau Firaun mahu dengar. Lafaz yang digunakan dalam ayat ini adalah أَهدِيَ إِلىٰ. Lain dari lafaz yang digunakan dalam surah Fatihah bukan?

اهدِنَا الصِّراطَ المُستَقيمَ

Kerana dalam Surah Fatihah, hanya ada lafaz أَهدِيَ sahaja, tidak ada lafaz إِلىٰ. Kita telah katakan dalam syarah Surah Fatihah itu, bahawa ada beza jikalau ada إِلىٰ dan jikalau tidak ada. Kerana kalau أَهدِيَ sahaja, seperti dalam ayat Fatihah itu, ia bermaksud ‘pimpin’ dan bukan hanya ‘tunjuk jalan’ sahaja. Kalau tunjuk jalan, hanya tunjuk sahaja, tapi kalau pimpin, akan bersama dengan orang itu sehingga sampai ke destinasi. Oleh itu, kalau dalam surah ini, kalau digunakan lafaz أَهدِيَ untuk Firaun, yang bermaksud ‘pimpin’ sekali, tidak sesuai. Kerana kepada Firaun, Nabi Musa a.s. boleh berikan pengetahuan sahaja. Pertamanya, Firaun tidak mahu dipimpin pun, kalau dia mahu dengar pun sudah bagus; dan keduanya, kerana memang Nabi Musa a.s. hanya layak bagi pengetahuan sahaja, sedangkan yang boleh ‘memimpin’ itu hanya Allah sahaja seperti dalam surah Fatihah itu.

Dalam ayat ini, Nabi Musa kata beliau boleh tunjuk hidayah kepada Rabb – rububiyyah. Tidak digunakan lafaz Allah dalam ayat ini. Ini adalah kerana hendak tekankan sifat Rabb Allah, iaitu Tuhan yang mencipta, menjaga dan memelihara semua sekali alam ini. Kerana Firaun rasa dia tuhan, dia kata dia tuhan kerana dia rasa dia yang paling besar sekali. Jadi, perlu ditekankan yang dia bukan Tuhan, tapi ada Tuhan lain, Tuhan semesta alam.

Disebut tujuan untuk ditunjukkan hidayah itu adalah supaya paling kurang, Firaun itu jadi. Kerana kalau sudah tahu siapakah Rabb itu, akan menyebabkan seseorang itu takut. Sebab ilmu yang benarlah sahaja yang akan menyebabkan seseorang itu takut. Yang tidak takut adalah kerana tidak tahu, yang jahil sahaja.


Ayat 20: Selain dari bercakap, Nabi Musa a.s. juga telah menunjukkan mukjizat kepada Firaun. Ini adalah setelah Firaun minta bukti kerasulan baginda.

فَأَراهُ الآيَةَ الكُبرىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And he showed him the greatest sign,¹

  • i.e., the miracle of his staff becoming a great snake.

(MALAY)

Lalu Musa memperlihatkan kepadanya mukjizat yang paling besar.

Allah menunjukkan kepada Firaun mukjizat yang paling besar iaitu tongkat Nabi Musa yang menjadi ular. Tujuan ditunjukkan mukjizat ini adalah untuk beri Firaun percaya bahawa Nabi Musa itu benar-benar seorang Rasul. Kerana kalau bukan Rasul, tentu tidak boleh mengeluarkan mukjizat.

Mukjizat yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah tongkat Nabi Musa menjadi ular. Kenapa mufassirin mengatakan yang الآيَةَ الكُبرىٰ (randa yang paling besar) itu adalah tongkat menjadi ular itu? Sedangkan, bukan itu sahaja mukjizat yang ditunjukkan kepada beliau. Dari ayat-ayat yang lain, kita tahu bahawa Nabi Musa juga menunjukkan mukjizat tangan baginda bercahaya. Tapi itu tidaklah dikatakan sebagai الآيَةَ الكُبرىٰ. Ini adalah kerana walaupun Firaun ada diberikan dengan mukjizat yang lain, tapi yang paling dia takut adalah ular. Ini kita dapat tahu kerana apabila dia suruh ahli sihir lawan Nabi Musa a.s., Firaun suruh mereka lawan dengan mukjizat ular itu. Sebab itu apabila pertembungan antara Nabi Musa dan ahli-ahli sihir yang ramai itu, mereka menggunakan tongkat dan tali mereka untuk menjelma menjadi ular (menggunakan sihir). Jadi kita dapat tahu, itulah yang ditumpukan oleh Firaun, bukan yang lain.

Akan tetapi, kita tahu yang sihir mereka itu tidaklah dapat mengalahkan mukjizat Nabi Musa. Tongkat yang menjadi ular itu telah memakan semua ular-ular jelmaan sihir mereka. Ini juga menunjukkan itu adalah mukjizat yang terbesar. Sehinggakan ahli-ahli sihir Firaun itu semuanya masuk Islam apabila melihat keajaiban itu. Sebab mereka hanya menipu mata orang-orang yang melihat sihir mereka. Tetapi mereka tidaklah dapat menukar tali mereka menjadi ular. Mereka tipu mata orang sahaja, sedangkan tongkat Nabi Musa memang benar-benar menjadi ular dengan kuasa Allah.

Ini ada persamaan dengan Musyrikin Mekah, bagaimana mereka juga ditunjukkan dengan mukjizat yang terbesar – iaitu Quran. Kalau dengar mukjizat yang dapat dilihat dengan mata pun ada umat terdahulu yang tolak, jadi jangan pelik kalau ada juga yang menolak mukjizat Quran itu.


Ayat 21: Setelah ditunjukkan dengan mukjizat itu, apakah reaksi Firaun?

فَكَذَّبَ وَعَصىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But he [i.e., Pharaoh] denied and disobeyed.

(MALAY)

Tetapi Fir’aun mendustakan dan mendurhakai.

Firaun tidak mahu menerima kebenaran walaupun ianya ada di depan mata.

Dua benda disebut dalam ayat ini: yang pertama adalah takzib (mendustakan). Maksudnya dia tidak mahu terima. Tapi tidak disebut Firaun mendustakan apa, Allah biarkan terbuka sahaja. Ini adalah kerana semua benda yang Nabi Musa bawa, dia tolak. Termasuklah dia mendustakan apakah yang ada dalam hatinya. Begitulah juga yang dilakukan oleh Quraish terhadap Nabi Muhammad. Mereka juga telah takzib kepada Nabi Muhammad.

Yang kedua, isyan (derhaka). Lafaz isyan digunakan kalau seseorang itu engkar kepada sesuatu yang dia dah tahu dah yang ianya adalah baik. Dia tahu yang sesuatu itu baik, tapi masih nak tolak lagi.


Ayat 22: Kemudian, apa yang Firaun lakukan?

ثُمَّ أَدبَرَ يَسعىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then he turned his back, striving [i.e., plotting].

(MALAY)

Kemudian dia berpaling dan berusaha menentang (Musa).

Firaun telah membelakangi Nabi Musa dari perjumpamaan dengan baginda dan kemudian dia يَسعىٰ – mundar mandir mencari jalan bagaimana nak melawan Musa. Digunakan mundar mandir itu sebagai isyarat bahawa dia sedang berfikir. Dia merancang tapi perancangan yang tidak panjang (idbar beza dengan tadbir) kerana dia dah terdesak. Dia terdesak kerana ramai sudah mula percaya kepada Nabi Musa, termasuk dari kalangan para menteri dia pun. Dia dalam kerisauan kerana semakin dia tolak Nabi Musa, semakin Nabi Musa berjaya tunjukkan kebenaran. Jadi dia tengah tak betul dah, duduk tak senang dan dia berjalan mundar mandir sibuk berfikir apa yang dia nak buat.


Ayat 23: Firaun sudah tahu apa yang dia hendak buat:

فَحَشَرَ فَنادىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And he gathered [his people] and called out

(MALAY)

Maka dia mengumpulkan (pembesar-pembesarnya) lalu berseru memanggil kaumnya.

Dia mengumpulkan rakyatnya. Allah menggunakan lafaz حَشَرَ, bukan جمع yang juga bermaksud ‘kumpulkan’. Ia ada makna yang berbeza kerana lafaz حَشَرَ itu digunakan untuk  mengumpul binatang dan berkata dengan kasar kepada binatang. Begitulah cara dia panggil rakyatnya.

Firaun kena paksa mereka datang jumpa dia dan beritahu mereka apa yang mereka kena percaya. Sebelum ini, dia tidak akan bercakap dengan rakyat marhaen, tapi kali ini sebab terdesak, dia cakap juga. Dia kena buat rapat umum untuk menjelaskan kedudukan dan cuba untuk mengawal pemikiran rakyatnya.


Ayat 24: Apa yang dia hendak beritahu kepada rakyatnya?

فَقالَ أَنا رَبُّكُمُ الأَعلىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And said, “I am your most exalted lord.”

(MALAY)

(Seraya) berkata: “Akulah tuhanmu yang paling tinggi”.

Dia menegaskan sekali lagi bahawa dia adalah tuhan mereka. Rakyat memang sudah tahu sebab sebelum ini pun dia memang pernah dakwa macam itu dah pun. Jadi, apa lainnya kali ini? Kenapa dia kena cakap lagi? Kali ini dia rasa yang dia kena cakap juga lagi sebab rakyat dah semakin nak percaya kepada Nabi Musa. Jadi dia nak tekankan balik, kena ingatkan mereka balik. Kerana dalam dakwah Nabi Musa, baginda selalu menekankan siapa Rabb yang sebenar, iaitu Allah, dan dia rasa dia kena lawan balik.

Apakah maksud dia yang dia itu tuhan mereka yang ‘paling tinggi’? Maksudnya, paling tinggi dari patung-patung yang dia buat. Maknanya, mereka ada juga sembah patung-patung tuhan yang lain, tapi dalam banyak-banyak patung itu, dialah yang paling tinggi. Jadi, kalau rakyat datang ke kuit, mereka akan sembah patung dan bila sampai ke Firaun, mereka kena sujud.


Ayat 25: Ayat Takhwif duniawi dan ukhrawi

فَأَخَذَهُ اللَّهُ نَكالَ الآخِرَةِ وَالأولىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So Allāh seized him in exemplary punishment for the last and the first [transgression].¹

  • i.e., for Pharaoh’s setting himself up as a deity and for his previous oppression of the people and denial of Moses.

(MALAY)

Maka Allah mengazabnya dengan azab di akhirat dan azab di dunia.

Allah telah menjadikan Firaun sebagai tanda peringatan bagi orang-orang yang mengingkari Allah. نَكالَ adalah rantai pada kaki yang dikenakan kepada banduan supaya banduan tidak dapat bergerak dan selalunya ikat bersama dengan banduan lain. Ini dilakukan dan ditunjukkan kepada khalayak ramai sebagai hukuman, supaya orang lain yang nampak, tidak berani nak buat macam mereka, takut untuk jadi macam mereka yang kena نَكالَ itu. Jadi, ini adalah cara untuk menakutkan orang. Allah jadikan Firaun sebagai نَكالَ, supaya manusia lain ingat, jangan jadi macam dia.

Hukuman dan azab yang dikenakan kepada Firaun ini menjadi pengajaran kepada manusia dari dulu sampai hujung waktu الآخِرَةِ وَالأولىٰ. Ianya dijadikan sebagai contoh yang paling teruk. Ia juga boleh bermakna: Firaun dikenakan dengan hukuman akhirat dan dunia sekali.

Ini juga sebagai peringatan kepada kafir Quraish yang sedang mengingkari Nabi Muhammad. Mereka disuruh untuk ambillah peringatan ini: orang yang lebih kuat dari kamu pun dah kena teruk, janganlah kamu pun jadi macam dia.

Allah juga beri pujukan kepada Nabi, buat sahaja kerja dan jangan risau. Orang yang lebih teruk dari Quraish itu pun Allah dah kalahkan; jadi, ayat ini untuk takutkan Quraish dan dalam masa yang sama, pujukan kepada Nabi; dua dalam satu.


Ayat 26:

إِنَّ في ذٰلِكَ لَعِبرَةً لِمَن يَخشىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed in that is a lesson [i.e., warning] for whoever would fear [Allāh].

(MALAY)

Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat pelajaran bagi orang yang takut (kepada Tuhannya).

Kisah Nabi Musa dan Firaun ini adalah sebagai peringatan kepada kita semua. Lafaz عِبرَةً itu adalah satu perasaan yang boleh membawa seseorang kepada hampir menangis kerana terkesan sangat. Oleh itu, orang itu akan ambil pengajaran betul kalau begitu.

Peringatan ini diberikan kepada semua orang tapi yang mengambil peringatan adalah mereka yang ada sifat takut kepada Allah. Ianya adalah peringatan kepada mereka yang takutkan sesuatu yang lebih besar dari dirinya. Hanya orang yang ada perasaan takut dalam hatinya sahaja yang boleh menerima peringatan ini.


Ayat 27: Sekarang kita memasuki topik yang baru dan kita dapat tahu kerana ritma hujung ayat pun sudah tukar. Kali ini memasuki topik melihat alam. Allah suruh kita lihat di sekeliling kita untuk mengambil pengajaran. Ini adalah dalil aqli adanya Kiamat.

أَأَنتُم أَشَدُّ خَلقًا أَمِ السَّماءُ ۚ بَناها

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Are you a more difficult creation or is the heaven? He [i.e., Allāh] constructed it.

(MALAY)

Apakah kamu lebih sulit penciptaanya ataukah langit? Allah telah membinanya,

Allah suruh kita manusia lihat langit yang begitu indah dan besar itu dan cubalah fikir, mana yang lagi susah nak buat? Agak-agaknya, manusiakah atau pun langit yang amat luas itu? Tentulah langit itu lebih besar penciptaannya dari penciptaan manusia. Ini jelas disebut dalam firmanNya yang lain:

لَخَلْقُ السَّماواتِ وَالْأَرْضِ أَكْبَرُ مِنْ خَلْقِ النَّاسِ

Sesungguhnya penciptaan langit dan bumi lebih besar daripada penciptaan manusia. (Al-Mu’min: 57)

Langit adalah apa sahaja yang di atas kita. Allah yang membinanya, dengan segala kehebatan. Jadi, kalau langit yang begitu besar pun Allah mampu untuk menjadikannya, tentulah Allah mampu untuk menjadikan Hari Pembalasan dan apa-apa sahaja? Seperti yang disebut dalam firman yang lain:

أَوَلَيْسَ الَّذِي خَلَقَ السَّماواتِ وَالْأَرْضَ بِقادِرٍ عَلى أَنْ يَخْلُقَ مِثْلَهُمْ بَلى وَهُوَ الْخَلَّاقُ الْعَلِيمُ

Dan tidakkah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi itu berkuasa menciptakan yang serupa dengan itu? Benar. Dia berkuasa. Dan Dialah Maha Pencipta lagi Maha Mengetahui. (Yaasin: 81)


Ayat 28:

رَفَعَ سَمكَها فَسَوّاها

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He raised its ceiling and proportioned it.

(MALAY)

Dia meninggikan bumbungnya lalu menyempurnakannya,

Allah menaikkan bahagian langit yang paling tinggi itu sampai kita tak nampak langsung. سَمكَ adalah siling, iaitu bahagian tertinggi sesuatu bangunan. Ketinggian sesuatu bangunan bergantung kepada tingginya bahagian atasnya. Kalau bahagian atas / bumbung itu sudah ditinggikan, sampai kita tidak nampak pun hujung langit itu, maka itu sudah amat tinggi.

Dan selepas itu Allah mencantikkannya sampai tiada langsung kekurangan. Jadi, mana satu agaknya yang susah nak buat? Tentulah langit itu lagi susah nak buat kalau nak dibandingkan dengan manusia.


Ayat 29:

وَأَغطَشَ لَيلَها وَأَخرَجَ ضُحاها

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And He darkened its night and extracted its brightness.¹

  • i.e., created the day from within the surrounding darkness.

(MALAY)

dan Dia menjadikan malamnya gelap gelita, dan menjadikan siangnya terang benderang.

أَغطَشَ adalah malam yang gelap dimana kita tak boleh nampak apa di hadapan kita. Iaitu sudah tidak jelas apakah yang di depan kita, lembukah atau orangkah sebab gelap sangat. Ada banyak lafaz digunakan untuk gelapnya malam dalam Quran, kerana kegelapan malam itu ada banyak peringkat.

ضُحا pula adalah waktu siang yang terang, sampaikan senang kita nak tengok. Masyarakat kita biasa dengan dhuha kerana ramai yang suka Solat Dhuha. Solat Dhuha itu dilakukan waktu dhuha.

Allah lah yang menjadikan malam itu gelap dan siang dalam cahaya. Siang dan malam itu tidak terjadi sendiri, tapi Allah lah yang menentukan dan menguruskannya. Setiap pagi, mahahari akan mengadap Allah menunggu arahan Allah. Kalau Allah tidak benarkan matahari keluar, maka tidaklah siang hari itu.

Siang dan malam ini adalah satu imbalan bagaimana Allah memasukkan manusia ke dalam cahaya kebenaran tauhid, keluar daripada cahaya kegelapan syirik. Begitulah wahyu; sebelum datang wahyu kepada manusia, tidak jelas manakah yang benar. Manusia telah ada perasaan untuk beribadat kepada Tuhan (dari fitrah), tapi tidak kenal Tuhan yang mana, bagaimana nak melakukan ibadat kepada Tuhan itu; maka Allah bangkitkan para Rasul untuk mengajar manusia dan Allah turunkan wahyu sebagai rujukan manusia.


Ayat 30:

وَالأَرضَ بَعدَ ذٰلِكَ دَحاها

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And after that He spread the earth.

(MALAY)

Dan bumi sesudah itu dihamparkan-Nya.

Selepas itu Allah menjadikan bumi ini luas. Senang kita hidup di atas bumi ini, berjalan di atasnya dan melakukan pekerjaan.

Baru-baru ini ada pertelingkahan dalam media bagaimana ada pihak yang mengatakan sebenarnya bumi ini mendatar dan bukannya bulan seperti yang kita diajar dari sekolah lagi. Pihak yang mengatakan demikian, mendakwa yang teori ‘Bumi adalah bulat’, adalah penipuan manusia paling besar sekali. Ini adalah sesuatu yang pelik sampaikan ada kalangan umat Islam pun terbawa-bawa dalam pertelingkan ini. Ada yang menggunakan ayat ini sebagai dalil yang bumi ini datar (flat). Mereka kata: lihat, dalam Quran pun kata ayat kata dunia datar!

Walaupun kita tidak dapat tahu dengan pasti, selagi kita tidak dapat pergi ke angkasa dan ambil sendiri gambar bumi ini, ayat ini juga digunakan sebagai dalil bahawa bumi ini bulat sebenarnya. Ini adalah kerana lafaz دحى digunakan untuk menceritakan telur ostrich. Oleh itu, ramai yang mengatakan inilah dalil bahawa bumi ini adalah berbentuk bulat, dan bertepatan dengan pandangan sains yang majoriti. Allahu a’lam.

Oleh itu, maksud terbentang luas, terhampar ini bukanlah bermaksud bumi ini datar, tapi kerana besarnya bumi ini, kita tidak terasa kebulatan bumi ini. Kita rasa ianya terhampar luas sahaja. Ayat ini juga boleh dijadikan sebagai peringatan bahawa kita semua akan dibangkitkan di tanah yang luas di Mahshar kelak. Kita hidup di tanah yang luas dan akan dibangkitkan nanti di tanah yang luas juga.


Ayat 31:

أَخرَجَ مِنها ماءَها وَمَرعاها

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He extracted from it its water and its pasture,

(MALAY)

Ia memancarkan daripadanya mata airnya, dan (menumbuhkan) tumbuh-tumbuhannya.

Allah mengeluarkan air dari bumi itu dalam bentuk mataair. Bukan sahaja Allah turunkan air dari langit tapi ada sumber air dari dalam tanah juga. Air adalah sumber kehidupan dan Allah beri banyak sumber itu merata-rata.

Dari air itu, Allah keluarkan tumbuh-tumbuhan dari bumi untuk kita. Dengan tumbuh-tumbuhan itu, kita dan binatang boleh makan dan dapat hidup di mukabumi ini. Allah tidak sahaja jadikan kita dan bumi, tapi Allah beri sumber kehidupan untuk kita. Itulah Rabb – Dia bukan sahaja cipta dan jadikan kita, tapi Dia juga memelihara dan menjaga kita dari sebelum kita lahir lagi sampailah bila-bila. Dalam ayat lain, kita diberitahu yang bumi ini adalah untuk kegunaan kita.


Ayat 32:

وَالجِبالَ أَرساها

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the mountains He set firmly

(MALAY)

Dan gunung-gunung dijadikan-Nya dengan teguh,

Dan Allah mengukuhkan gunung-ganang. Kalau dalam ayat Naba’:7, disebut bagaimana gunung-ganang itu sebagai ‘pasak’. Kalau sudah jadi pasak, maka ianya teguh tidak bergerak. Ianya adalah sesuatu yang besar dan menakjubkan kalau kita tengok. Orang-orang Arab pun terpesona dengan gunung, kerana itulah Allah sebut dalam Quran. Allah kaitkan hujahNya dengan perkara-perkara yang mereka biasa, yang mereka suka dan mereka pandang tinggi.


Ayat 33:

مَتاعًا لَكُم وَلِأَنعامِكُم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

As enjoyment [i.e., provision] for you and your grazing livestock.

(MALAY)

(semua itu) untuk kesenanganmu dan untuk binatang-binatang ternakmu.

Segala apa yang ada atas bumi ni adalah untuk kegunaan kita. Perkataan مَتاعًا adalah sesuatu yang kita gunakan, tapi tidaklah bernilai mana. Seumpama lain buruk untuk membasuh pinggan. Ianya adalah untuk kegunaan sahaja, tapi tidaklah kalau ianya hilang, kita resah gelisah bukan? Begitulah, dunia dikatakan sebagai tempat untuk kita tinggal dan gunakan segala yang tapi jangan letak dalam hati sangat. Iaitu tidaklah sampai ianya kita fikirkan sangat, kejar sampai tertinggal tentang akhirat pula. Kerana akhirat itu lebih kekal dan lebih hebat lagi dari dunia. Malangnya, ramai yang terperangkap dengan keindahan dunia sampaikan terlupa tentang akhirat.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 079: an-Naaziat and tagged , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s