Tafsir Surah Naaziat Ayat 1 – 14 (Keadaan Hari Kiamat)

Pengenalan:

Surah ini bersambung ceritanya dengan sebelumnya iaitu surah An-Naba’. Surah itu diakhiri dengan cerita tentang Hari Kiamat dan Surah an-Naziat ini terus bermula dengan Hari Kiamat.


Ayat 1:

وَالنّازِعاتِ غَرقًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

An-Nāzi‘āt: The Extractors.

By those [angels] who extract with violence¹

  • i.e., those who tear out the souls of those destined for Hell.

(MALAY)

Demi (malaikat-malaikat) yang mencabut (nyawa) dengan keras,

 

Ayat ini dimulai dengan Sumpah Allah. Allah bersumpah dengan Naaziat yang bermaksud malaikat yang mencabut. Allah tidak sebutkan secara tepat apakah yang malaikat itu cabut. Jadi perlukan penafsiran tentang perkara ini. Allah juga tidak menyebut dengan terang bahawa yang dimaksudkan adalah malaikat. Jadi, apa yang mencabut dan apa yang dicabut tidak disebut dengan jelas.

Pendapat majoriti mengatakan yang menarik dengan keras itu adalah malaikat. Dan yang ditarik itu adalah roh manusia yang telah sampai ajalnya. Dan roh yang dimaksudkan adalah roh manusia yang engkar semasa hidupnya. Oleh itu, jikalau penafsiran ini diterima, ayat ini bermaksud Allah bersumpah dengan malaikat yang menarik roh manusia yang jahat dengan kuat. Cara menarik roh itu keluar adalah roh itu masuk ke dalam tubuh manusia itu dan tarik roh itu keluar. Kita baca pun sudah terasa sakitnya.

Selain dari itu, kita sampaikan juga pendapat lain yang mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan ‘Naaziat’ ini bintang. Maksudnya, bintang yang dicabut jatuh dari langit.

Dan ada juga pendapat yang mengatakan ianya yang menarik itu adalah angin kuat yang mencabut pokok-pokok dan juga binaan seperti bangunan. Angin kuat itu bolehlah kita bayangkan macam tornedo. Allahu a’lam.

Terdapat beberapa subjek sumpah dalam surah ini. Dan dalam surah-surah lain pun ada sumpah-sumpah yang digunakan oleh Allah – sebagai contoh, Allah ada bersumpah dengan masa, dengan buah Tin dan sebagainya. Apakah gunanya sumpah dalam Quran? Ulama tafsir mengatakan Allah menggunakan sumpah dalam Quran kerana hendak memberi isyarat yang ada benda penting yang Allah hendak sampaikan. Dan perkara yang digunakan sebagai sumpah itu juga adalah penting. Allah hendak menekankan kepentingan perkara itu yang ada kena mengena dengan apa yang akan disebut dalam surah itu. Dalam ayat ini yang digunakan sebagai sumpah adalah malaikat yang mencabut nyawa. Selain dari itu, sumpah digunakan apabila orang yang kita bercakap itu tidak mahu percaya dengan apa yang kita sampaikan. Oleh itu, kalau kita nak tekankan apa yang kita nak cakap, kita akan gunakan sumpah. Ini perkara biasa dari dulu lagi. Sebagai contoh, kalau di mahkamah kita juga ada sumpah dulu sebelum cakap. Maknanya, orang itu hendak mengatakan bahawa apa yang dia hendak sampaikan adalah benar.

Maknanya, apabila digunakan sumpah, ia juga memberi isyarat bahawa orang yang menyampaikan perkara itu ada rasa marah. Dia marah sebab dia tahu apa yang hendak disampaikan itu tidaklah didengar oleh orang yang mendengar. Oleh itu, yang bercakap akan gunakan sumpah untuk tekankan. Begitu juga dalam Quran, ada masa Allah gunakan sumpah kerana Dia marah dan di waktu lain, Allah gunakan sumpah kerana orang tidak mahu percaya apa yang diberitahu. Jadi ada dua sebab kenapa sumpah digunakan dalam Quran.

Kembali kepada subjek sumpah yang digunakan (malaikat), Allah memberitahu kita yang Dia gunakan malaikat untuk seksa manusia yang derhaka. Dari mula cabut nyawa lagi manusia derhaka itu sudah diseksa. Allah marah sampaikan Allah arahkan malaikat yang mencabut nyawa itu, mencabut nyawa mereka dengan keras. Aduh, bayangkan, nak mati pun dah kena azab dah. Itu belum kira azab dalam kubur, azab di Mahsyar, azab di neraka lagi!


 

Ayat 2: Sumpah yang kedua.

وَالنّاشِطاتِ نَشطًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [by] those who remove with ease¹

  • i.e., those angels who ease out the souls of those destined for Paradise.

(MALAY)

dan (malaikat-malaikat) yang mencabut (nyawa) dengan lemah-lembut,

 

Ini pula digunakan sumpah tentang malaikat yang ditugaskan untuk mencabut nyawa dengan lembut. Lafaz نَشطًا bermaksud ‘merungkai tali dengan senang’. Maknanya tali itu tak terbelit kuat dan kerana itu senang sahaja nak rungkaikan. Goyang-goyang sahaja tali dah boleh terungkai. Oleh kerana itu, tidak digunakan kekerasan. Malaikat itu senang sahaja nak mencabut nyawa. Ini adalah untuk orang yang baik-baik. Bandingkan dengan ayat yang pertama itu untuk orang kafir dan yang kedua ini untuk mukmin.

Begitulah layanan Allah untuk orang mukmin. Dari mula mati pun sudah dilayani dengan baik. Oleh itu, kalau mereka susah dalam dunia, mereka akan senang di akhirat dan dimulai dengan cara mati. Semoga kita tergolong dalam golongan ini.


 

Ayat 3: Sumpah yang ketiga.

وَالسّابِحاتِ سَبحًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [by] those who glide [as if] swimming¹

  • Speeding to execute Allāh’s commands.

(MALAY)

dan (malaikat-malaikat) yang bergerak dengan cepat,

 

Ini berkaitan dengan cara malaikat yang memasuki tubuh manusia untuk mencabut nyawa. Seperti yang telah disebut, malaikat mencabut nyawa dengan memasuki tubuh manusia. Malaikat itu memasuki tubuh manusia seperti berenang. Lafaz سَبحًا bermaksud berenang dengan tenang dan senang.


 

Ayat 4: Sumpah keempat.

فَالسّابِقاتِ سَبقًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those who race each other in a race¹

  • Racing to deliver the souls of the believers to Paradise.

(MALAY)

dan (malaikat-malaikat) yang berlumba dengan kencang,

 

Ini adalah sambungan ayat ke 3. Setelah malaikat itu mencabut nyawa manusia, mereka bersegera menemui Allah dengan roh manusia yang telah diambil.

Mereka berlumba sesama sendiri untuk menempatkan roh di tempatnya masing-masing. Roh orang beriman di tempatkan di Illiyin dekat dengan Arash. Dan roh orang kafir dibawa ke Sijjin iaitu di bawah bumi ke tujuh.


 

Ayat 5: Sumpah yang kelima

فَالمُدَبِّراتِ أَمرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those who arrange [each] matter,¹

  • According to Allāh’s decree.

(MALAY)

dan (malaikat-malaikat) yang mengatur urusan.

 

Ini pula tentang para malaikat yang mentadbirkan urusan Allah. Mereka mengatur atas arahan Allah. Seperti yang kita tahu, para malaikat diberikan berbagai tugasan yang khusus dan mereka menjalankan tugas mereka dengan tepat.

Para malaikat itu hanya mengikut arahan Tuhan sahaja. Mereka tidak boleh nak buat perkara yang tidak disuruh oleh Allah. Oleh itu, kalau ada masyarakat kita yang minta tolong kepada malaikat, itu adalah kerja bodoh sekali dan dapat dari ajaran syaitan. Sebagai contoh, ada pesilat yang mengamalkan zikir untuk malaikat besar yang empat untuk menjaga mereka kiri, kanan, depan dan belakang.

Setiap sumpah dalam Quran ada jawapnya. Iaitu apa yang Allah hendak sampaikan. Seperti yang kita sebut, ada benda penting yang hendak disampaikan dengan memulakan dengan sumpah-sumpah itu. Ini adalah jawap sumpahan. Ianya dihazafkan (disembunyikan) jadi tidak jelas. Jawap sumpah itu adalah: sebagaimana Allah gunakan malaikat untuk urusan dunia, untuk urusan akhirat pun mereka akan digunakan. Maksudnya, mereka itu akan digunakan di akhirat kelak dan kerana itu, hari kiamat itu pasti akan terjadi dan akhirat akan berlaku dan makhluk akan diberikan dengan yang telah dijanjikan.


 

Ayat 6: Sekarang kita masuk ke dalam bahagian (paragraph) yang baru. Kerana kita boleh baca bagaimana ritma ayat ini sudah bertukar. Itu sebagai tanda bahawa sudah masuk paragraph baru. Sekarang akan dibicarakan tentang pihak musyrikin yang tidak percaya tentang adanya akhirat. Kalau kita baca dalam Surah Naba’, telah disebut ketidakpercayaan mereka dahulu, kemudian baru disebut tentang kiamat. Dan dalam surah Naaziat ini, disebut tentang kiamat dulu kemudian ketidakpercayaan mereka. Ada penukaran di situ. Menunjukkan keindahan bahasa Quran.

Ayat ini adalah jenis Takhwif Duniawi.

يَومَ تَرجُفُ الرّاجِفَةُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

On the Day the blast [of the Horn] will convulse [creation],

(MALAY)

(Sesungguhnya kamu akan dibangkitkan) pada hari ketika tiupan pertama menggoncang alam,

 

Pada hari akan digoncangkan apa yang akan digoncang; Allah menceritakan keadaan yang mengharukan apabila bumi akan digoncangkan. Iaitu apabila tiupan Sangkakala Pertama dibunyikan. Allah gunakan lafaz الرّاجِفَةُ iaitu gegaran pada permulaan gempa bumi. Tapi sebenarnya, lihatlah, Allah tidak sebut tentang bumi dalam ayat ini. Jadi bagaimana kita tahu yang Allah sedang memperkatakan tentang ‘bumi’? Ini kita dapat tahu apabila kita baca ayat-ayat lain, kita tahu yang dimaksudkan adalah bumi ini. Allah cuma kata yang akan digoncang, akan digoncang. Ini memberitahu yang memang dunia ini akan digoncangkan dan kemudiannya akan dihancurkan. Dan itu memang tujuan akhir bumi ini dijadikan. Bukanlah bumi ini akan kekal sampai bila-bila. Ianya adalah medan untuk menguji manusia dengan ujian-ujian yang akan menentukan samada dia layak masuk syurga atau tempatnya di Neraka. Apabila ujian telah selesai, maka bumi telah menjalankan tugasnya dan ia tidak perlu lagi. Kerana manusia bukannya tinggal di bumi selepas dia mati dan dibangkitkan. Kerana selepas kebangkitan semula, akhirnya manusia akan ditempatkan samada di syurga atau di neraka, dua sahaja.


 

Ayat 7: 

تَتبَعُهَا الرّادِفَةُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

There will follow it the subsequent [one].

(MALAY)

tiupan pertama itu diiringi oleh tiupan kedua.

 

Diikuti dengan yang mengikutinya. Juga tidak disebutkan apakah yang ‘mengikuti’ itu. Lafaz الرّادِفَةُ adalah yang ikut, macam seorang yang duduk di belakang orang lain atas kuda. Oleh itu, dalam ayat ke 6 tadi, itu adalah tiupan sangkakala yang pertama yang akan mematikan semua makhluk. Dan ayat ke 7 ini adalah tentang tiupan yang kedua yang akan menghidupkan makhluk semua sekali dan bersedia untuk alam akhirat.


 

Ayat 8: Apakah keadaan manusia waktu itu?

قُلوبٌ يَومَئِذٍ واجِفَةٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Hearts,¹ that Day, will tremble,

  • Those of the disbelievers who denied the Resurrection.

(MALAY)

Hati manusia pada waktu itu sangat takut,

 

Jantung sesetengah manusia akan berdebar yang amat sangat pada hari itu. Kerana tidak ada ال dalam lafaz قُلوبٌ ini, maka ia bermaksud bukanlah semua jantung akan bergetar. Hanya mereka yang tidak mempercayai Hari Kebangkitan sahaja yang akan berdebar-debar, kerana apa yang mereka tidak percayai memang terjadi benar-benar dan sekarang berada di depan matanya dengan nyata. Tentulah dia takut sangat waktu itu kerana dia tidak bersedia. Lafaz واجِفَةٌ digunakan juga untuk menyebut tentang binatang yang ditampar, dipukul untuk suruh dengan cepat. Jadi kita boleh bayangkan bagaimana keadaan manusia waktu itu dalam ketakutan seperti binatang yang ditampar.

Kalau kita sentuh sedikit tentang bahasa yang digunakan dalam Quran, kita akan perasan bahawa terdapat banyak lafaz ‘takut’ yang digunakan dalam Quran. Ianya digunakan untuk memberitahu kepada kita dengan lebih jelas, apakah jenis takut itu. Kerana takut itu ada bermacam-macam. Kalau dalam bahasa Melayu, kalau takut, boleh dikatakan satu takut sahaja. Tapi Bahasa Arab adalah bahasa yang kaya dan mempunyai banyak kategori.

  • khauf – Ini adalah perasaan takut yang dirasai oleh manusia kalau dia rasa akan ada kesakitan pada tubuhnya. Mungkin takut kenal pukul, contohnya.
  • khash’yah – Ini adalah takut kepada sesuatu kerana kebesaran atau hebatnya sesuatu kejadian itu. Sebagai contoh, apabila kita sudah baca ayat-ayat Quran tentang kehebatan dan kesusahan yang besar di akhirat kelak, maka inilah perasaan takut itu.
  • khusyuk – Lafaz ini kita selalu dengar – khusyuk dalam solat. Ini adalah jenis takut yang nampak pada muka dan tubuh manusia. Kerana takut sangat, sampai memberi kesan kepada tubuhnya sekali. Sebab itu, digunakan untuk menyebut sifat solat, kerana dalam solat itu, kita sedang mengadap Allah dan kita sangat takut sampai tubuh kita pun menunjukkan ketakutan itu. Kita waktu itu tidak bergerak dan tunduk taat sahaja. Sebab itu pergerakan tubuh kita dalam solat terkawal.
  • taqwa’ – Ini juga kita selalu dengar. Salah satu dari maksud taqwa adalah takut. Tapi ianya takut kepada kesan dari perbuatan kita. Oleh itu, orang yang taqwa, mereka akan jaga perbuatan mereka kerana mereka takut segala perbuatan mereka itu akan dibalas di akhirat nanti. Mereka akan takut nak buat amalan dan perbuatan yang salah dan berdosa. Oleh itu, mereka akan berjaga-jaga dan berhati-hati dalam perbuatan mereka.  Beginilah yang kita patut lakukan.
  • hazar – ini seperti yang disebut dalam Baqarah – Ini adalah perbuatan lari dari apa yang ditakuti – maksudnya, jenis takut sampai dia akan mengelak atau melarikan diri.
  • rauq – terkejut kerana takut. Ini seperti keadaan Nabi Ibrahim ketika baginda pertama kali berjumpa dengan malaikat yang datang ke rumahnya. Baginda takut apabila mereka tidak makan hidangan yang baginda sediakan kepada mereka. Kerana kebiasaan kaum mereka, kalau seseorang itu datang untuk membunuh tuan rumah, dia tidak akan makan makanan yang disediakan oleh tuan rumah. Oleh kerana mereka tidak makan hidangan, maka Nabi Ibrahim pun terkejut.
  • awjasa – Ini adalah jenis takut setelah mendengar sesuatu yang menakutkan; juga digunakan untuk rasa takut tapi tidak ditunjukkan di luar, disimpan dalam hati sahaja. Orang yang rasa takut itu, akan simpan perasaan itu dalam hati dia, tidak tunjukkan pada mukanya. Ini ada disebut apabila Nabi Musa melihat sihir-sihir yang ditunjukkan oleh ahli sihir.
  • wajal – Ini adalah jenis takut yang masuk ke dalam hati seseorang. Sebagai contoh, apabila seseorang itu membaca ayat Quran.
  • rahab – Perasaan takut untuk mengecewakan orang lain. Sebagai contoh, ada orang yang kita hormati, maka kita takut untuk buat sesuatu yang boleh mengecewakan orang itu kerana kita hormat dia.
  • ra’ab – Jenis takut yang amat sangat, sampai menyebabkan seseorang itu tidak boleh berfikir dengan betul, sampai membuatkan dia buat sesuatu yang  bodoh. Dia buat silap itu kerana dia dalam keadaan takut sangat.
  • ashfaqa – Takut ke atas orang lain, bukan diri kita. Sebagai contoh, kita sedang jaga anak kita dan kita takut dia jatuh masuk longkang semasa sedang berjalan-jalan.
  • wajf (seperti yang digunakan dalam ayat ini) – Perasaan takut yang bercampur dengan rasa tidak selesa. Juga bermaksud takut yang amat sangat sampai hati berdegup kencang macam larian kuda, sampai boleh dengar degupan jantung itu. Inilah perasaan takut yang dialami oleh mereka yang disebut dalam ayat ini – takut yang amat sangat. Allah jadikan hati mereka takut sangat kerana semasa di dunia dulu mereka tidak takut langsung buat dosa dan kesalahan.

 

Ayat 9:

أَبصارُها خاشِعَةٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Their eyes¹ humbled.

  • Those of the disbelievers.

(MALAY)

Pandangannya tunduk.

Pandangan matanya akan tunduk kerana ketakutan. Seperti yang kita telah sebut di atas, khusyuk itu adalah takut yang membawa kepada perubadan fizikal seseorang – dalam ayat ini, mata mereka akan tunduk takut dan patuh. Pandangan mereka akan tunduk malu dan juga menyesal. Ini adalah khusus untuk orang kafir sahaja.

Ada juga yang berpendapat, mata hati mereka yang akan ketakutan. Ini adalah kerana, Allah menggunakan lafaz أَبصارُها, bukan أَبصارُهم, dimanakan dhomir ها itu merujuk kepada hati yang disebut dalam ayat 8 sebelum ini.

Ayat ini mengajar yang mata hati itu boleh melihat. Mata hati tidak sama dengan mata kita yang digunakan untuk melihat alam ini. Kalau ada iman dalam hati, segala yang kita lihat, akan mengingatkan kita kepada Allah. Sebagai contoh, kalau kita lihat keindahan alam, kita teringat Allah kerana kita sedar dan yakin yang Allah lah yang menjadikan alam yang indah ini. Tapi kalau semasa di dunia mata hati kita tidak mahu melihat kebesaran Allah taala, maka di akhirat nanti mata hati kita akan melihat ketakutan yang amat sangat. Waktu itu baru mereka nak khusyuk tapi sudah terlambat.


 

Ayat 10: Ini adalah ayat jenis Syikayah. Kenapakah mereka jadi begitu di akhirat nanti? Apakah kesalahan mereka dan sikap mereka semasa di dunia dahulu? Allah nak jelaskan kepada kita.

Seperti yang kita telah sebutkan, ada perbezaan antara Surah an-Naba’ dan Surah an-Naaziat ini. Dalam Naba’, disebut tentang puak kafir yang tidak percaya kepada Hari Kiamat, kemudian baru disebut tentang hari kiamat; dalam Surah Naaziat ini, dimulakan dengan disebut tentang hari kiamat dan akhirat dulu.

يَقولونَ أَإِنّا لَمَردودونَ فِي الحافِرَةِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They are [presently] saying, “Will we indeed be returned to [our] former state [of life]?

(KEMENTERIAN AGAMA INDONESIA)

(Orang-orang kafir) berkata: “Apakah sesungguhnya kami benar-benar dikembalikan kepada kehidupan semula?

 

Mereka mengejek semasa mereka di dunia dulu. Mereka tidak percaya langsung yang mereka akan dikembalikan kepada keadaan asal. Mereka kata, takkan dah mati nak kena balik lagi? Ini adalah kerana mereka gunakan akal mereka yang cetek.


 

Ayat 11:

أَإِذا كُنّا عِظامًا نَخِرَةً

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Even if we should be decayed bones?”¹

  • The disbelievers say this in ridicule of the warning.

(MALAY)

Apakah (akan dibangkitkan juga) apabila kami telah menjadi tulang belulang yang hancur lumat?”

 

Mereka kata bolehkah mereka dikembalikan apabila tulang temulang mereka telah reput dan hancur? Kalau dikatakan dihidupkan balik selepas baru mati beberapa hari, bolehlah kalau nak terima pun. Tapi mereka berhujah, kalau tulang pun dah hancur jadi debu, takkan boleh kembali lagi? Mereka kata itu adalah perkara yang mustahil.


 

Ayat 12:

قالوا تِلكَ إِذًا كَرَّةٌ خاسِرَةٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They say, “That, then, would be a losing return.”¹

  • i.e., “If that were so, we would not be able to escape punishment.”

(MALAY)

Mereka berkata: “Kalau demikian, itu adalah suatu pengembalian yang merugikan”.

 

Penggunaan lafaz قالوا itu adalah dalam past tense. Apakah maksudnya? Apabila digunakan lafaz yang berbentuk past tense, itu memberi isyarat bahawa mereka jarang berkata begitu. Ini adalah salah satu balaghah dalam Quran. Lihatlah bagaimana dalam ayat sebelum ini, digunakan lafaz يَقولونَ yang dalam bentuk present tense. Kalau past tense yang digunakan, untuk menunjukkan sekali sekala sahaja perkara itu dilakukan. Sebagai contoh, dalam Suran Anfal, ada disebut tentang membunuh dengan sengaja dan membunuh tanpa sengaja. Lihatlah bagaimana kalau bunuh dengan sengaja, Allah gunakan present tense kerana ini selalu terjadi. Akan tetapi kalau bunuh tidak sengaja, digunakan lafaz past tense. Ini adalah kerana orang yang membunuh dengan sengaja, dia mungkin membunuh lagi kerana itu mungkin perangai dia, tapi orang yang membunuh secara tidak sengaja, takkan dia buat lagi. Tentulah dia akan berhati-hati lagi supaya dia takkan tersilap bunuh orang lagi.

Oleh itu, ini adalah jenis orang yang adalah juga berfikir tentang perkara ini – mereka dapat berfikir bahawa, kalau benarlah mereka akan dihidupkan, tentulah ini adalah perkara yang menakutkan kerana tentu mereka tidak selamat. Akan tetapi mungkin mereka masih berkata begitu dalam bentuk sarcastic juga sebab mereka tetap tidak percaya.


 

Ayat 13: Sekarang Allah jawap kata-kata mereka itu.

فَإِنَّما هِيَ زَجرَةٌ واحِدَةٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, it will be but one shout,

(MALAY)

Sesungguhnya pengembalian itu hanyalah satu kali tiupan saja,

 

Allah menutup isu yang mereka timbulkan itu dengan mengatakan bahawa sekali tempik sahaja mereka akan dikembalikan. Tak payah nak sibuk-sibu, senang sahaja bagi Allah. Mereka penatlah memikirkan bagaimana Allah nak hidupkan balik mereka yang telah lama mati dah jadi hancur dengan tulang-tulang sekali, Allah kata senang sahaja Dia nak hidupkan balik. Sekali tempikan sahaja. Lafaz زَجرَةٌ adalah jenis tempikan yang kuat. Yang dimaksudkan adalah tiupan Sangkakala yang kedua.


 

Ayat 14: Selepas mereka dibangkitkan, apa yang akan terjadi?

فَإِذا هُم بِالسّاهِرَةِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And suddenly they will be [alert] upon the earth’s surface.

(MALAY)

maka dengan serta merta mereka hidup kembali di permukaan bumi.

 

Allah beritahu, selepas ditempikkan itu, manusia akan dibangkitkan dari tidur di dunia ini dan akan menghadapi kehidupan yang sebenarnya di akhirat nanti. Lafaz  السّاهِرَةِ bermaksud tidur yang telah hilang. Ia juga digunakan untuk tempat. Digunakan dalam bahasa Arab untuk menceritakan keadaan seseorang yang mengembara di padang pasir dan malam telah sampai dan dia perlu tidur. Tapi tempat itu adalah padang yang luas terbentang dan tidak ada tempat berlindung. Maka dia berada dalam keadaan tidak selesa kerana apa sahaja boleh menyerangnya, jadi tidur dia pun tidak selesa – tidur telah hilang. Oleh itu, ia digunakan untuk perasaan dan juga digunakan sebagai tempat: padang yang luas yang mendatar. Begitulah keadaan tempat yang kita semua akan dihidupkan kembali – Mahsyar.

Ibnu Abbas mengatakan bahawa as-sahirah ertinya bumi seluruhnya. Hal yang sama dikatakan oleh Sa’id ibnu Jubair, Qatadah, dan Abu Saleh. Ikrimah, Al-Hasan, Ad-Dahhak, dan Ibnu Zaid mengatakan bahawa as-sahirah artinya permukaan bumi.

Tetapi bumi tersebut bukanlah seperti bumi kita sekarang, melainkan bumi lain yang belum pernah dikerjakan suatu dosa pun di atas permukaannya dan belum pernah dialirkan setitis darah pun padanya. Ini seperti yang disebutkan dalam firman-Nya:

يَوْمَ تُبَدَّلُ الْأَرْضُ غَيْرَ الْأَرْضِ وَالسَّماواتُ وَبَرَزُوا لِلَّهِ الْواحِدِ الْقَهَّارِ

(Yaitu) pada hari (ketika) bumi diganti dengan bumi yang lain dan (demikian pula) langit, dan mereka semua (di padang mahsyar) berkumpul menghadap ke hadirat Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa. (Ibrahim: 48)

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 079: an-Naaziat and tagged , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s