Tafsir Surah Tawbah Ayat 30 – 31 (Menjadikan ulama sebagai tuhan)

Ayat 30: Mungkin ada orang Islam yang beranggapan, Ahli Kitab itu lebih kurang sama sahaja dengan Islam dan tidak patut diserang. Tapi Allah membetulkan fahaman mereka itu dengan menyatakan yang akidah mereka jauh berbeza dengan Islam.

Oleh itu, ayat ini adalah huraian kenapa mereka dikatakan ‘tidak beriman’. Allah hendak memberitahu kita, apakah yang dimaksudkan mereka tidak beriman itu. Di manakah kesalahan mereka?

وَقالَتِ اليَهودُ عُزَيرٌ ابنُ اللَّهِ وَقالَتِ النَّصارَى المَسيحُ ابنُ اللَّهِ ۖ ذٰلِكَ قَولُهُم بِأَفواهِهِم ۖ يُضاهِئونَ قَولَ الَّذينَ كَفَروا مِن قَبلُ ۚ قاتَلَهُمُ اللَّهُ ۚ أَنّىٰ يُؤفَكونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The Jews say, “Ezra is the son of Allāh”; and the Christians say, “The Messiah is the son of Allāh.” That is their statement from their mouths; they imitate the saying of those who disbelieved before [them]. May Allāh destroy them; how are they deluded?

(MALAY)

Orang-orang Yahudi berkata: “Uzair itu Anak Allah” dan orang-orang Nasrani berkata: “Al Masih itu Anak Allah”. Demikianlah itu ucapan mereka dengan mulut mereka, mereka meniru perkataan orang-orang kafir yang terdahulu. Dilaknati Allah mereka, bagaimana mereka sampai berpaling?

 

وَقالَتِ اليَهودُ عُزَيرٌ ابنُ اللَّهِ

Orang-orang Yahudi berkata: “Uzair itu Anak Allah”

Allah tegaskan kepada muslimin, yang mereka kena perangi golongan yang kata para Nabi itu Anak Allah. ‘anak’ di sini maksudnya ‘wakil’. sekadar anak itu tidaklah hebat, tapi mereka nak jadi Nabi-nabi itu sebagai wakil mereka kepada Allah. Iaitu pertalian dan tawasul mereka dengan Allah. Mereka seru dan berdoa kepada para Nabi itu. Tujuan diseru mereka itu adalah untuk menyempurnakan hajat mereka. Inilah tawasul yang selalu kita tekankan dalam penulisan blog ini dari mula lagi.

Dalam akidah penganut Yahudi, Nabi Uzair a.s. itu adalah ‘Anak Allah’. Ini adalah salah satu perkara di mana mereka buat syirik. Dengan mengangkat Nabi Uzair itu sebagai ‘Anak Allah’, mereka hendak menjadikan baginda sebagai wakil mereka kepada Allah. Ini adalah akidah syirik yang kufur.

Kita kena faham bahawa ‘syirik’ adalah salah satu jenis ‘kekufuran’. Bukanlah syirik sahaja sebagai syarat untuk jadi kufur. Dan syirik itu pun banyak jenis dan salah satunya menjadikan seseorang sebagai ‘wakil Allah’. Dan bukanlah semua penganut Yahudi memperkatakan yang Uzair itu Anak Allah, tapi mereka tetap juga kufur.

 

وَقالَتِ النَّصارَى المَسيحُ ابنُ اللَّهِ

dan orang-orang Nasrani berkata: “Al Masih itu Anak Allah”.

Dan puak Nasara pula kata Nabi Isa a.s. itu adalah Anak Allah juga. Ini adalah salah satu dari fahaman konsep Triniti Kristian. Kerana ada yang sampai mengatakan Jesus itu sendiri Tuhan. Ini pun adalah akidah kufur mereka.

Allah menganjurkan kepada kaum mukmin untuk memerangi orang-orang kafir dari kalangan Ahli Kitab —yaitu orang-orang Yahudi dan Nasrani— kerana mereka telah mengucapkan perkataan yang sangat keji itu dan membuat kedustaan terhadap Allah Swt.

Bagaimana pula dengan kita? Kita belum sampai kepada tahap mengatakan Nabi Muhammad itu sebagai Anak Allah lagi setakat yang satu tahu. Tapi saya tahu ada puak tarekat yang kata Nabi Muhammad itu sendiri adalah Allah dalam bentuk manusia.

Walaupun tidak ada yang mengatakan Nabi Muhammad itu anak Allah, tapi ramai dari kalangan masyarakat kita yang jahil, menggunakan Nabi Muhammad sebagai wakil mereka kepada Allah. Mereka akan berdoa kepada Nabi Muhammad untuk sampaikan doa mereka kepada Allah; ada yang menggunakan keberkatan Nabi sebagai wasilah untuk memakbulkan doa mereka; ini juga adalah amalan kufur dan syirik.

 

ذٰلِكَ قَولُهُم بِأَفواهِهِم

Demikianlah itu ucapan mereka dengan mulut mereka, 

Itu semua adalah perkataan dari lidah mereka sahaja, dan bukannya datang dari agama mereka yang asal. Kerana Nabi mereka tidaklah memperkatakan sedemikian. Oleh itu, apa yang mereka lafazkan dan iktikadkan itu bukan wahyu tapi hasil dari nafsu mereka.

Begitu juga, ajaran yang mengatakan Nabi Muhammad itu sebagai wakil Allah, boleh bertawasul dengan baginda, boleh menggunakan keberkatan baginda dalam berdoa, itu pun tidak ada dalam agama Islam tapi ajaran yang datang kemudian.

 

يُضاهِئونَ قَولَ الَّذينَ كَفَروا مِن قَبلُ

mereka meniru perkataan orang-orang kafir yang terdahulu. 

Sebenarnya, mereka cuma meniru perkataan orang kafir sebelum mereka itu yang tidak ada ilmu dari kitab wahyu. Semua itu adalah fahaman datuk nenek mereka yang telah kufur dari akidah yang benar. Mereka pakai semula dan ulang-ulang sahaja. Kerana agama Yahudi dan agama Nasari yang asal tidak begitu. Sebagai contoh, fahaman Kristian sekarang ini diambil dari seorang lelaki yang bernama Paul yang telah reka fahaman baru dalam agama Kristian. Dialah yang mula-mula kata Nabi Isa itu adalah anak Tuhan. Tapi fahaman sesatnya itu telah dipakai oleh penganut Kristian waktu itu, sampailah sekarang. Kerana mereka mengikut ajaran sesat golongan sebelum mereka, maka mereka pun jadi sesat seperti mereka juga.

Dengan jugalah dengan fahaman sesat masyarakat kita tentang tawasul ini. Ianya datang dari ajaran tok nenek kita juga yang tersilap tentang agama. Tapi masyarakat kita tidak teliti dalam mengambil ilmu, maka mereka terima pakai sahaja apa yang disampaikan oleh mereka. Apabila kita tegur, mereka akan jawap: “takkan mereka salah?”.

 

قاتَلَهُمُ اللَّهُ

Dilaknati Allah mereka,

Menurut Ibnu Abbas, makna ayat ini ialah ‘semoga Allah melaknati mereka’. Semoga Allah laknat mereka kerana akidah mereka punah. Janganlah kita pun ada akidah sesat yang sama. Malangnya, ramai juga yang ada akidah seumpama mereka itu.

 

أَنّىٰ يُؤفَكونَ

bagaimana mereka sampai berpaling?

Wahyu telah diberikan kepada mereka, lalu bagaimana mereka boleh terpesong? Inilah yang akan terjadi kalau wahyu ditinggalkan tapi mengambil pendapat manusia yang tidak disandarkan kepada wahyu Allah yang jelas.

 


Ayat 31: Ayat sebelum ini adalah kufur dari segi iktikad. Sekarang kufur dari segi perbuatan pula.

‎اتَّخَذوا أَحبارَهُم وَرُهبانَهُم أَربابًا مِن دونِ اللَّهِ وَالمَسيحَ ابنَ مَريَمَ وَما أُمِروا إِلّا لِيَعبُدوا إِلٰهًا واحِدًا ۖ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ ۚ سُبحانَهُ عَمّا يُشرِكونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They have taken their scholars and monks as lords besides Allāh,¹ and [also] the Messiah, the son of Mary.¹ And they were not commanded except to worship one God; there is no deity except Him. Exalted is He above whatever they associate with Him.

* By their obedience to them rather than to what Allāh ordained.

* By their worship of him in conjunction with Allāh.

(MALAY)

Mereka menjadikan orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah dan (juga mereka mempertuhankan) Al Masih putera Maryam, padahal mereka hanya disuruh menyembah Tuhan yang Esa, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia. Maha suci Allah dari apa yang mereka persekutukan.

 

اتَّخَذوا أَحبارَهُم وَرُهبانَهُم أَربابًا مِن دونِ اللَّهِ

Mereka menjadikan orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah

Lafaz أَحبارَهُم itu dari katadasar حبرَ yang bermaksud ‘dakwat’. Ulama mereka itu banyak membaca dan menulis sampaikan mereka dikaitkan dengan dakwat. Mereka banyak membaca dan menulis sampaikan jari-jari mereka ada kesan dakwat. Kerana itulah mereka digelar ‘rahib’.

Lafaz وَرُهبانَهُم dari katadasar رهب yang bermaksud ‘takut’. Ini adalah biarawan mereka yang banyak menyendiri dan bermeditasi. Kalau dalam agama kita, jenis orang sufi itu. Mereka itu adalah penganut Nasara yang jenis ekstrem. Sebab itulah ada pendapat yang mengatakan ajaran sufi itu diambil dari puak Nasara. Kerana apa yang mereka lakukan itu tidak ada dalam Islam pun. Setelah dikaji, rupanya ceduk dari Kristian. Kenapa dikaitkan mereka itu dengan ‘takut’? Kerana mereka takut dengan keduniaan. Mereka nak bermunajat kepada Tuhan sahaja. Mereka tidak mahu ada kena mengena dengan dunia. Dan ini bukan ada ajaran dalam Islam. Islam tidak suruh kita tolak dunia terus. Itulah sebabnya pelik kalau golongan sufi dan tarekat ini – tidak kena dengan Islam.

Dari segi amalan dan perbuatan mereka, mereka telah jadikan ulama dan ahli ibadat mereka sebagai tuhan, selain dari Allah. Kalau kita kata begini, mereka akan marah kerana mereka kata mereka tidak sembah pun ulama dan rahib-rahib itu macam mereka sembah Allah. Dan kita pun tengok tidaklah mereka buat macam itu, jadi macam mana pula? Ada satu hadis tentang perkara ini, iaitu seorang lelaki yang sudah masuk Islam, namanya Adi bin Hatim, tapi dia belum jelas tentang agama Islam kerana baru masuk Islam.  Dan bila dia dengar ayat ini, dia kata semasa di Kristian, dia tidak seru dan puja pun ulama dan rahib mereka. Nabi beritahu, tidakkah dia ikut hukum yang mereka fatwa? Dia kata memang ada. Maknanya, penganut itu ikut sahaja fatwa yang mereka beri macam mereka ikut arahan Tuhan. Oleh itu, apabila pemuka agama mereka halalkan yang haram dan halalkan yang haram, mereka ikut mereka. Tidakkah itu menjadikan pemuka agama mereka itu sebagai tuhan? Kerana sepatutnya mengharamkan dan menghalalkan adalah haq Tuhan. Dan kerana mereka mengiyakan apa yang dikatakan oleh ulama dan rahib mereka itu, mereka juga telah kufur.

Imam Ahmad, Imam Turmuzi, dan Imam Ibnu Jarir telah meriwayatkan melalui berbagai jalur dari Addi ibnu Hatim r.a. yang menceritakan:

أَنَّهُ لَمَّا بَلَغَتْهُ دَعْوَةُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فرَّ إِلَى الشَّامِ، وَكَانَ قَدْ تَنَصَّرَ فِي الْجَاهِلِيَّةِ، فَأُسِرَتْ أُخْتُهُ وَجَمَاعَةٌ مِنْ قَوْمِهِ، ثمَّ منَّ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى أُخْتِهِ وَأَعْطَاهَا، فَرَجَعَتْ إِلَى أَخِيهَا، ورَغَّبته فِي الْإِسْلَامِ وَفِي الْقُدُومِ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَدِمَ عَدِيّ الْمَدِينَةَ، وَكَانَ رَئِيسًا فِي قَوْمِهِ طَيِّئٍ، وَأَبُوهُ حَاتِمٌ الطَّائِيُّ الْمَشْهُورُ بِالْكَرَمِ، فتحدَّث النَّاسُ بِقُدُومِهِ، فَدَخَلَ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَفِي عُنُقِ عَدِيّ صَلِيبٌ مِنْ فِضَّةٍ، فَقَرَأَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ هَذِهِ الْآيَةَ: {اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ} قَالَ: فَقُلْتُ: إِنَّهُمْ لَمْ يَعْبُدُوهُمْ. فَقَالَ: “بَلَى، إِنَّهُمْ حَرَّمُوا عَلَيْهِمُ الْحَلَالَ، وَأَحَلُّوا لَهُمُ الْحَرَامَ، فَاتَّبَعُوهُمْ، فَذَلِكَ عِبَادَتُهُمْ إِيَّاهُمْ”. وَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “يَا عَدِيُّ، مَا تَقُولُ؟ أيُفرّك أَنْ يُقَالَ: اللَّهُ أَكْبَرُ؟ فَهَلْ تَعْلَمُ شَيْئًا أَكْبَرَ مِنَ اللَّهِ؟ مَا يُفرك؟ أَيُفِرُّكَ أَنْ يُقَالَ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ؟ فَهَلْ تَعْلَمُ مِنْ إِلَهٍ إِلَّا اللَّهُ”؟ ثُمَّ دَعَاهُ إِلَى الْإِسْلَامِ فَأَسْلَمَ، وَشَهِدَ شَهَادَةَ الْحَقِّ، قَالَ: فَلَقَدْ رأيتُ وَجْهَهُ اسْتَبْشَرَ ثُمَّ قَالَ: “إِنَّ الْيَهُودَ مَغْضُوبٌ عَلَيْهِمْ، وَالنَّصَارَى ضَالُّونَ”

bahawa ketika sampai kepadanya dakwah dari Rasulullah Saw., ia lari ke negeri Syam. Sejak zaman Jahiliah ia telah masuk agama Nasrani, kemudian saudara perempuannya ditahan bersama sejumlah orang dari kaumnya. Lalu Rasulullah Saw. menganugerahkan kebebasan kepada saudara perempuan Addi ibnu Hatim dan memberinya hadiah. Saudara perempuan Addi ibnu Hatim kembali kepada saudara lelakinya dan menganjurkannya untuk masuk Islam dan menghadap kepada Rasulullah Saw. Akhirnya Addi datang ke Madinah. Dia adalah pemimpin kaumnya, yaitu kabilah Tayyi’; dan ayahnya (yaitu Hatim At-Tai’) terkenal dengan kedermawanannya. Maka orang-orang Madinah ramai membicarakan kedatangan Addi ibnu Hatim. Addi masuk menemui Rasulullah Saw., sedangkan pada leher Addi tergantung salib yang terbuat dari perak. Saat itu Rasulullah Saw. sedang membacakan firman-Nya: Mereka menjadikan orang-orang alim dan rahib-rahib mereka sebagai Tuhan selain Allah. (At-Taubah: 31) Addi melanjutkan kisahnya, bahawa ia menjawab, “Sesungguhnya mereka tidak menyembahnya.” Rasulullah Saw. bersabda: Tidak, sesungguhnya mereka mengharamkan hal yang halal bagi para pengikutnya dan menghalalkan hal yang haram bagi mereka, lalu mereka mengikutinya; yang demikian itulah ibadah mereka kepada orang-orang alim dan rahib-rahib mereka. Kemudian Rasulullah Saw. bersabda, “Hai Addi, bagaimanakah pendapatmu. Apakah membahayakan bila dikatakan Allah MahabesarApakah kamu mengetahui sesuatu yang lebih besar daripada Allah bila Allah menimpakan bahaya kepadamu? Apakah membahayakanmu bila dikatakan bahawa tidak ada Tuhan selain Allah? Apakah kamu mengetahui ada Tuhan selain Allah?” Rasulullah Saw. mengajaknya masuk Islam. Akhirnya Addi masuk Islam dan mengucapkan syahadat yang benar. Addi melanjutkan kisahnya, bahawa setelah itu ia melihat wajah Rasulullah Saw. bersinar ceria, lalu bersabda: Sesungguhnya orang-orang Yahudi itu dimurkai dan orang-orang Nasrani itu orang-orang yang sesat.

Masyarakat pun melakukan kesalahan yang sama juga sebenarnya. Kita banyak hanya berpegang sahaja kepada pendapat yang dikeluarkan oleh ulama atau ustaz. Kita tidak tanya pun dari mana dalil yang mereka bawa itu – adakah dari wahyu. Selalunya ada pendapat yang dikeluarkan itu dari manusia sahaja, yang didapati dalam kitab. Kita bukan tolak pendapat ulama atau kitab. Tapi ulama atau kitab itu kenalah naqalkan/bawakan dalil dari wahyu – samada Quran atau hadis sahih. Malangnya, masyarakat kita malah berfikir, maka apa sahaja yang keluar dari mulut manusia yang pandang sebagai ada faham agama, mereka terima bulat-bulat. Ulama dan ustaz pula garang – kalau ditanya dalil, ramai yang marah. Sedangkan mereka sendiri sepatutnya bawa dalil awal-awal lagi. Kerana agama ini tertegak atas nas. Bukannya kitab itu dan ini. Tidak semua dalam kitab itu benar. Kerana terlalu percaya apa yang ada dalam kitablah yang menyebabkan agama kita ini sedang bercelaru. Kerana banyak sangat pendapat yang tidak diambil dari nas yang sahih.

 

وَالمَسيحَ ابنَ مَريَمَ

dan Al Masih putera Maryam,

Dan ada antara mereka juga menjadikan Nabi Isa sebagai tuhan. Mereka angkat kedudukan baginda melebihi yang sepatutnya. Inilah juga yang kita takut terjadi dalam masyarakat kita. Ada yang mengangkat kedudukan Nabi Muhammad melebihi dari yang sepatutnya. Sedangkan Nabi sendiri sudah berpesan jangan buat begitu. Sebagai contoh, ada yang minta berkat terus dengan Nabi, minta syafaat terus dengan Nabi; dan macam-macam lagi perkara salah yang dilakukan; termasuk ada yang kata Nabi Muhammad itu bukan ‘manusia biasa’ sedangkan Nabi Muhammad sendiri disuruh beritahu bahawa baginda adalah manusia – ini terdapat dalam banyak ayat Quran. Tetapi masyarakat kita tidak faham Quran kerana tidak terasa nak belajar tafsir Quran.

 

وَما أُمِروا إِلّا لِيَعبُدوا إِلٰهًا واحِدًا

padahal mereka hanya disuruh menyembah Tuhan yang Esa, 

Puak-puak ahli kitab itu telah melakukan kesalahan mengangkat selain Allah sebagai tuhan, sebagai ilah sembahan dan seruan mereka. Sedangkan mereka tidak diarahkan dalam kitab mereka melainkan untuk sembah Allah yang esa sahaja. Ajaran menaikkan kedudukan makhluk lebih dari sepatutnya tidak ada dalam kitab mereka pun. Sebagai contoh, tidak ada dalam Injil itu yang mengatakan yang Nabi Isa itu adalah tuhan, malah sebagai anak Tuhan pun. Tapi ianya disebut dalam kitab-kitab tulisan tangan manusia. Mereka lebih mempelajari dan mempercayai apa yang ditulis dalam kitab. Begitulah yang terjadi dalam masyarakat Islam kita pun – pegang sangat ajaran dalam kitab seolah-olah itulah wahyu.

Ramai yang marah kalau kita sebut begini – mereka kata mana ada mereka menjadikan para Nabi sebagai ilah. Mereka yang kata begitu adalah kerana mereka tidak faham konsep ilah. Ketahuilah, merkea yang seru Nabi itu telah menjadikan Nabi itu sebagai ilah. Padahal ilah itu hanya Allah sahaja. Oleh itu, mereka menduakan ilah, bukan menduakan Allah. Oleh itu kena faham dimanakah salahnya.

Termasuk kesalahan yang disebut dalam ayat ini adalah menerima hukum yang disyariatkan oleh manusia, itu juga menduakan ilah. Kalau dalam Kristian, mereka menjadi Pope mereka sebagai pembuat hukum. Bagaimana dengan kita? Tidakkah kita juga menjadikan mereka yang dipanggil sebagai ‘ulama’ sebagai pembuat hukum?

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

 


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 009: Tawbah and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s