Tafsir Surah an-Naba’ Ayat 1 – 16 (Qudrat Allah)

Pengenalan:

Ada pertalian antara surah sebelum surah an-Naba’ ini. Memang begitulah cara Quran. Ada pertalian antara hujungh surah sebelum itu dan permulaan surah yang selepasnya. Sebelum ini adalah surah Mursalat. Surah itu ada mengatakan tentang orang yang menipu dalam agama. Mereka bukan sahaja menipu tapi mereka mengatakan orang yang menyebar agama itu menipu. Mereka menidakkan ajaran yang dibawa oleh orang yang menyebar agama itu. Maka dalam ayat ini dibawakan juga tentang mereka. Iaitu bagaimanakah cara mereka menidakkan ajaran penyebar agama itu.


Ayat 1: 

عَمَّ يَتَساءَلونَ

Sahih International

About what are they asking one another?

Malay

Tentang apakah mereka bertanya-tanya?

Perangai orang Mekah, apabila mereka dengar dari Nabi kisah-kisah tentang akhirat, tentang perkara-perkara ghaib dan tentang agama secara keseluruhanya, ianya asing sekali bagai mereka kerana pertama kali mereka dengar tentang perkara itu. Mereka telah lama tidak ada Rasul dan mereka tidak ada Kitab yang menjadi rujukan mereka. Oleh itu, mereka tidak ada maklumat tentang agama melainkan andaian dan rekaan mereka sahaja. Mereka itu jahil tentang agama, dan kerana itulah mereka telah melakukan banyak kesalahan dalam agama, walaupun mereka mengaku yang mereka itu mengikut Nabi Ibrahim.

Sepatutnya, kalau mereka jenis tak pernah dengar, memang tidak ada maklumat, kenalah mereka dengar dulu. Tapi tidak, mereka sebaliknya menentang apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad. Begitulah, kalau jahil tapi tapi dia sedang dia jahil, masih boleh diajar lagi; tapi kalau jahil dan sombong pula untuk terima, itu yang susah. Begitulah sifat kebanyakan orang Mekah yang dihadapi oleh Nabi Muhammad dan para sahabat. Padahal dulu, mereka juga minta supaya mereka diberikan dengan kitab kerana mereka pun tahu mereka tidak pernah ada kitab. Sepatutnya mereka sedarlah diri itu jahil, bila ada yang beritahu, maka terimalah. Begitu jugalah dengan kebanyakan dari masyarakat muslim negara kita – ilmu tidak ada, tapi apabila disampaikan dengan perkara yang mereka tidak pernah dengar, lain dengan apa yang mereka biasa dengar, mereka melenting. Sepatutnya dengarlah dahulu dan lihatlah apakah hujah yang disampaikan oleh pendakwah dan guru yang mengajar.

Oleh itu, surah ini dimulai tentang apa yang kaum kafir Quraish itu bertanya-tanya sesama sendiri tentang dakwah Nabi. Mereka itu bertanya bukan tanya nak tahu, tapi nak merendahkan apa yang telah disampaikan oleh Nabi Muhammad. Mereka merendahkan dakwah Nabi itu dengan cara soalan bodoh.  Mereka mengejek-ngejek ajaran Nabi yang pada mereka, tidak masuk akal, pada akal mereka yang cetek. Mereka omokkan Allah dan Quran. Lain cara tanya kalau benar hendak mengetahui kebenaran dengan cara hendak mengejek. Mereka bertanya itu contohnya macam ini: “eh, kau ada dengar tak apa yang mereka cakapkan itu? Apa maksud mereka agaknya ha? Dari mana agaknya mereka dapat? Ajaran salah manalah mereka dapat ni? Kau boleh percaya kah cerita macam itu?”. Mereka nak mengejek apa yang dibawa oleh Nabi dan dan begitulah cara orang-orang jahil mengejek ajaran yang dibawa oleh pendakwah tauhid.

Soalan dan cemuhan itu didengar juga oleh Nabi dan para sahabat. Tapi lihatlah, Allah sendiri yang jawap. Allah nak beritahu yang Dia juga mendengar dan Dia tidak suka dengan kata-kata mereka itu. Antara yang mereka tanyakan semasa mereka bertanya sesama mereka adalah tentang ‘kebangkitan semula’, tentang kiamat. Kerana itulah dalam ayat ini akan dijelaskan kepada mereka satu persatu hujah tentang Hari Kiamat itu.

Walaupun asbabun nuzul ayat ini adalah tentang Musyrikin Mekah, tapi zaman sekarang pun terjadi juga perkara ini setiap hari di laman web contohnya: kita boleh lihat persoalan tentang agama ditanya dengan cara ejekan oleh ramai orang dan kadangkala kita cuba nak menjawap tohmahan orang kafir itu (dan orang Islam juga). Kadangkala mungkin buang masa kerana bukan sekarang sahaja mereka bertanya. Dari dulu lagi dah ada orang kafir yang buat macam ini. Mereka sentiasa akan cuba menimbulkan isu yang hendak merendahkan ajaran Islam. Kalau kita beritahu pun, mereka bukannya hendak dengar pun. Oleh itu, kenalah kita pandai memilih manakah soalan yang hendak dilayan. Kerana kalau kita pakai layan sahaja, kita akan buang masa kita sahaja.


Ayat 2: Berita apakah yang mereka tertanya-tanya sangat itu?

عَنِ النَّبَإِ العَظيمِ

Sahih International

About the great news –

Malay

Tentang berita yang besar, (berita kebangkitan manusia hidup semula menerima balasannya).

Lafaz النَّبَإِ bermaksud ‘berita yang besar’. Bukan setakat khabar sahaja. Kalau khabar (berita biasa) itu, digunakan lafaz ‘khabar’ sahaja. Sebagai contoh, berita biasa (khabar) itu adalah berita pukul 8 yang kita tengok hari-hari dalam berita di TV. Tapi berita besar adalah berita tentang kejadian tsunami contohnya. Jadi, berita-berita besar dalam Quran ini bukanlah untuk kita baca sahaja, tapi ada tindakan yang kita kena lakukan – samada kita kena berhenti melakukannya kerana ianya salah, atau kita kena lakukannya kerana Allah suruh kita buat.

Lafaz ‘Nabi’ juga diambil dari kata yang sama, kerana para Nabi itu membawa berita besar kepada umat mereka.

Kemudian Allah tambah lafaz العَظيمِ pula untuk menambah kekuatan tentang berita itu. Lafaz النَّبَإِ itu sendiri sudah satu tanda yang ianya adalah berita besar, ditambah lagi dengan lafaz penguat, العَظيمِ.

Ia juga ada satu lagi kesan kepada kita, apabila kita dengar berita jenis النَّبَإِ, ianya memerlukan kita untuk berbuat sesuatu. Bukanlah lepas dengar itu, kita buat biasa macam tidak ada apa-apa yang perlu kita buat, seperti yang kita tengok dalam berita jam 8 itu. Sebagai contoh, kalau ada yang beritahu berita bangunan kita sedang terbakar, tempat kita tinggal akan dilanda tsunami, takkan kita nak duduk diam sahaja.

Dan ia bermaksud perkara yang benar-benar akan terjadi, bukan kejadian abstrak. Hari Kiamat dan Kebangkitan Semula adalah suatu perkara yang benar-benar akan berlaku secara nyata, bukan secara spiritual. Syurga dan neraka itu nyata benar, bukan dalam fikiran sahaja. Sebab ada agama yang tak terima kejadian kebangkitan semula, syurga dan neraka. Mereka kata itu semua dalam minda sahaja. Itu adalah pandangan yang salah kerana memang kiamat, syurga dan neraka akan terjadi, tidak syak lagi. Kalau kita berdegil dari menerimanya, kita akan ada masalah besar nanti dan akan rugi sebesar-besar rugi.


Ayat 3: Sampai ke hari ini puak kafir masih lagi berselisih, masih lagi tertanya-tanya.

الَّذي هُم فيهِ مُختَلِفونَ

Sahih International

That over which they are in disagreement.

Malay

Yang mereka (ragu-ragu dan) berselisihan mengenainya.

Mereka tidak bersetuju sesama mereka. Lafaz مُختَلِفونَ  dalam bentuk isim (katakerja) itu memberi isyarat yang mereka ‘sentiasa’ tidak bersetuju. Bukan pada zaman Nabi Muhammad sahaja. Ini adalah salah satu dari keindahan bahasa Arab yang memberi isyarat dengan cara yang unik.

Mereka sendiri tidak pasti samada berita itu benar atau tidak. Ada yang rasa ianya benar, dan ada yang tidak percaya langsung. Mereka tidak yakin. Jadi mereka terus dalam keraguan.

Ataupun maksud ikhtilaf itu, selain tidak bersetuju, mereka ada idea mereka sendiri tentang apakah yang akan terjadi. Mereka reka sendiri fahaman mereka sendiri, walaupun tidak ada dalil. Oleh itu, ada yang kata mereka boleh menggunakan perantaraan (tawasul) atau mendapat syafaat untuk menyelamatkan mereka di hari kebangkitan nanti. Mereka rasa mereka selamat kerana mereka sangka akan ada yang akan menyelamatkan mereka. Itu boleh jadi wali, Nabi atau malaikat. Kerana mereka selalu sembah dan buat ibadat kepada Nabi, wali dan malaikat itu. Malangnya, sampai sekarang pun fahaman ini pun ada juga di kalangan masyarakat Islam yang jahil tentang tauhid dan tentang agama. Kerana itu ramai dari kalangan orang Islam sendiri yang pergi ke kubur wali dan malaikat; beri salam kepada Nabi, wali dan malaikat; kirim bacaan Fatihah kepada Nabi dan wali. Itu adalah amalan-amalan yang salah dan syirik. Mereka buat semua itu, antara lain adalah untuk mendapat syafaat (pertolongan) dari Nabi, wali dan malaikat itu.

Selain itu, ada juga yang bawa fahaman yang makhluk semua akan pergi ke syurga. Asalkan mereka itu orang yang ‘baik’.

Ada yang kata mereka ramai dan Allah takkan sempat nak hukum semua makhluk. Dan macam-macam lagi fahaman yang mengarut-ngarut. Semuanya adalah atas andaian mereka sendiri.


Ayat 4:

كَلّا سَيَعلَمونَ

Sahih International

No! They are going to know.

Malay

Jangan! (Janganlah mereka bersikap demikian!) Mereka akan mengetahui (dengan yakin tentang kebenaran hari balasan itu).

كَلّا

Jangan!

Allah berkata dengan tegas: jangan lagilah berselisih. Ini adalah perkara begitu tidak boleh nak berselisih kerana datangnya dari Allah dan disampaikan oleh RasulNya. Kalau tak tahu, kena belajar dan tahu apakah yang disampaikan dalam wahyu Allah.

Penggunaan lafaz كَلّا juga boleh difahamkan sebagai ‘berhenti’ atau ‘tidak’. ‘berhenti’ itu untuk suruh kaum kafir ini berhenti dari bercakap benda-benda yang mengarut lagi. Contohnya mereka kata Allah ada anak, takkan Allah ada masa nak kawal manusia dan sebagainya. Juga Allah menidakkan fahaman salah mereka itu. Fahaman-fahaman salah itu jangan digunakan lagi.

Ataupun lafaz كَلّا itu sebagai penekanan. Allah nak tekankan apa yang hendak disampaikan: pasti kamu akan mengetahui. Macam kita kalau bercakap dengan orang lain dan kita hendak tekankan sesuatu, kita cakap, “tak, kau kena buat juga…”. Padahal, penggunaan kata ‘tak’ itu, tidak ada makna dalam ayat itu. Cuma digunakan sebagai penekanan sahaja.

 

سَيَعلَمونَ

Mereka akan mengetahui 

Berhentilah bising, kerana pasti mereka akan tahu juga akhirnya nanti. Kalau tak terima sekarang, mereka akan tahu apabila dah mati nanti. Waktu mati sahaja, baru akan tahu, dan kalau waktu itu baru terima, sudah terlambat.

Huruf س dalam lafaz سَيَعلَمونَ itu menunjukkan yang ianya sudah dekat dah pun. Jangan kita sangka ianya lama lagi. Kita ingat kita lama lagi hidup? Kita ke sana dan ke mari, tiba-tiba sudah sampai masa untuk mati.


Ayat 5:

ثُمَّ كَلّا سَيَعلَمونَ

Sahih International

Then, no! They are going to know.

Malay

Sekali lagi jangan! (Janganlah mereka berselisihan!) Mereka akan mengetahui kelak (tentang apa yang akan menimpa mereka).

Allah ulang sekali lagi ayat yang sama. Pengulangan ayat yang lebih kurang sama juga ada dua pengertian:

  1. Ianya bermaksud penekanan dari Allah. Iaitu mubalaghah (bersangatan). Allah nak tekankan kemarahanNya kerana mereka tidak percaya. Kalau orang tidak percaya kepada kita, kadang-kadang kita akan cakap lagi dan lagi untuk tekankan kepada dia.
  2. Kaum kafir akan tahu dua kali. Satu, pada kebangkitan semula (Kiamat) dan kedua, pada hari mereka melihat neraka. Maknanya, dua kali akan ditunjukkan kepada mereka tentang kebenaran yang telah dibawa oleh Nabi itu. Kedua-dua waktu itu akan menyebabkan mereka menyesal sangat. Atau, dua kali yang dimaksudkan adalah: ‘kiamat kecil’ dan ‘kiamat besar’. Kerana mati kita adalah ‘kiamat kecil’. Waktu itu dah tahu dah bahawa apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad itu adalah benar. Dan sekali lagi mereka akan tahu, apabila dibangkitkan semula pada hari kiamat besar.

Ayat 6: Di sini juga kita boleh melihat bagaimana Quran membahagikan bahagian-bahagian dalam Quran. Dalam Quran, tidak ada paragraph. Kita boleh tahu sesuatu kisah itu berpindah ke topik yang baru dengan perbezaan ritma di hujung ayat. Kalau kita lihat dari ayat 1 sampai ayat 5, hujungnya sama sahaja semua ada ون di hujung ayat. Kecuali pada ayat ke 2, hujungnya lain sedikit. Itupun kita boleh lihat kesinambungan antara ayat 2 dan ayat 3. Kedua ayat itu bersambung sebenarnya. Dan sekarang, dalam ayat 6, kita akan lihat ritma yang digunakan akan berubah. Menunjukkan masuk ke bahagian perbincangan yang baru.

أَلَم نَجعَلِ الأَرضَ مِهادًا

Sahih International

Have We not made the earth a resting place?

Malay

(Mengapa kamu ragu-ragukan kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang telah mati?) Bukankah Kami telah menjadikan bumi (terbentang luas) sebagai hamparan?

Akhirat ini semuanya adalah terjadi dari Qudrat Allah. Allah berkuasa untuk buat, sebab Dia memang berkuasa. Dia boleh lakukan apa sahaja. Tapi puak musyrikin Mekah tidak percaya ada entiti yang boleh buat semua itu. Nabi kata semua akan dibangkitkan sekali, semua akan dibuat perkiraan hisab, syurga begitu besar, neraka begitu besar, mereka rasa takkanlah ada yang boleh buat begitu. Maka Allah beritahu mereka QudratNya yang telah melakukan macam-macam dah pun. Pertama sekali Allah beritahu yang Dia lah yang menjadikan bumi yang besar ini. Bumi bukan jadi sendiri tapi Allah yang jadikan. Allah beritahu yang bumi begini punya besar pun Dia boleh jadikan.

Tidakkah Allah telah menjadikan keseluruhan bumi ini sebagai hamparan? Lafaz مِهادًا ada persamaan dengan مهد iaitu ‘buaian’. Buaian itu jadi tempat istirehat dan rasa senang kita di atasnya. Maka senanglah kita hidup atas dunia ini. Ayat-ayat sebelumnya dalam surah-surah yang lain menceritakan tentang kejadian hari Kiamat seperti bumi terbelah dan sebagainya. Orang kafir mengatakan tuhan jenis apa ini, kenapa ganas sangat? Tapi Allah menjawab dengan mengatakan Allah telah memberikan segalanya kepada manusia. Kesenangan Allah telah beri pun kepada manusia di dunia ini.

Mungkin kita tidak nampak pertalian antara topik ini dengan topik sebelum ini. Tapi sebenarnya ada. Topik yang baru dimasuki ini adalah juga untuk menjelaskan tentang apakah yang telah disebutkan sebelum ini.

Allah menceritakan tentang perbuatanNya dan jasaNya kepada manusia. Antara sebab orang kafir tidak boleh percaya tentang hari Kiamat adalah kerana akal fikiran mereka tak dapat terima akan kejadian macam itu. Mereka tak dapat terima ada satu kuasa yang cukup besar sampai boleh menjadikan hari kiamat itu satu kenyataan. Kerana benda semua itu besar-besar belaka – langit hancur, bumi terbelah, gunung jadi debu dan sebagainya. Semua itu menyebabkan mereka tak dapat nak terima. Itu adalah kerana mereka guna akal mereka yang cetek. Dan mereka lihat kepada diri mereka sendiri, yang memangnya tidak akan mampu nak buat semua itu. Tentulah mereka dan Allah lain. Kalau mereka tak mampu buat, tidaklah boleh kata Allah tak mampu buat pula sebab Allah itu lain dari manusia.

Jadi dalam ayat ini dan ayat-ayat seterusnya, Allah membandingkan perbuatan manusia dan perbuatan Allah. Pertama, tentang bumi. Bandingkan bumi ini dengan rumah kita. Manusia boleh membuat rumah untuk didiami, bukan? Macam-macam jenis rumah kita boleh buat. Tapi Allah nak bandingkan, kalau manusia buat rumah sebagai tempat istirehat, Allah jadikan seluruh bumi ini sebagai tempat istirehat! Rumah kita ramai boleh duduk, tapi bumi ini seluruh makhluk bumi boleh duduk! Sekarang bandingkan usaha manusia dan perbuatan Allah. Tidak sama langsung.


Ayat 7:

وَالجِبالَ أَوتادًا

Sahih International

And the mountains as stakes?

Malay

Dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya?

Sekarang Allah gunakan perbandingan gunung ganang pula. Bangsa Arab pun biasa tengok bukit dan gunung dan mereka terpesona dengan kebesaran dan kekuatan gunung ganang itu. Allah bandingkan gunung ganang dengan pasak pula. Pasak itu adalah bahagian terpenting dalam khemah, bukan? Allah menjadikan perumpaan khemah kepada manusia Arab sebab mereka biasa pakai khemah. Dan pasak itu amat penting kepada khemah itu. Kalau khemah memerlukan peg (pasak) dan bumi juga memerlukan pasak. Dan pasak untuk bumi adalah gunung ganang! Ini boleh dinamakan proses ‘isostasi‘ dan boleh dijelaskan dalam bentuk sains. Apabila kerak bumi ada pasak, maka tegaplah kedudukan hamparan bumi dan bolehlah kita hidup mudah di atasnya. Kalau bergerak sahaja, tentu kita susah.

Bandingkan perbuatan manusia dan perbuatan Allah. Tentu tidak sama. Manusia pasakkan kayu pada khemah kecil sahaja, sedangkan Allah pasakkan gunung pada bumi! Jadi macam mana mereka nak kata bahawa Allah tak mampu nak buat semua apa yang telah disebut dalam Quran itu?


Ayat 8:

وَخَلَقناكُم أَزواجًا

Sahih International

And We created you in pairs

Malay

Dan Kami telah menciptakan kamu berpasang-pasang?

Dan Allah lah yang menjadikan semua makhlukNya berpasangan. Termasuklah manusia ada pasangannya – ada lelaki dan perempuan. Kita semua ada pasangan kita masing-masing, siapa kah yang menjadikan pasangan itu buat kita? Memang kita cari pasangan kita, kemudian berkahwin, tapi siapakah yang jadikan pasangan itu untuk kita?

Dalam alam juga begitu – ada matahari dan ada bulan; ada atas dan bawah; kiri dan kanan dan semuanya sekali ada pasangan.

Kita tidak mampu nak buat apa-apa dalam hal ini. Kalau kita telah dijadikan sebagai lelaki oleh Allah, kita tidak boleh nak ubah apa yang telah ditakdirkan. Allah yang jadikan kita berpasangan. Kita tak mampu nak buat sendiri. Jantina kita pun kita tak dapat nak tentukan kerana kita makhluk yang lemah. Allah yang boleh jadikan kita, dan pasangan buat kita, tentulah Dia mampu untuk menjadikan hari pembalasan, bangunkan kembali semua makhlukNya. Kalau Dia boleh jadikan dari tidak ada kepada ada, kemudian matikan makhluk itu, tentulah Dia juga boleh jadikan semula.


Ayat 9:

وَجَعَلنا نَومَكُم سُباتًا

Sahih International

And made your sleep [a means for] rest

Malay

Dan Kami telah menjadikan tidur kamu untuk berehat?

Dan Allah telah menjadikan malam untuk kita berehat. Lafaz سُباتًا asalnya bermaksud ‘memotong’. Maksudnya kita dipotong dari nyawa kita semasa kita tidur. Waktu kita tidur, roh kita keluar dan kita dah tak dapat kawal dah kerana telah terputus dari kita. Ia juga bermaksud seseorang yang tidur itu ‘terputus’ dari kehidupan juga. Seolah-olah macam kita dah mati dah. Orang panggil kita pun mungkin kita tak dengar dah. Orang lompat dan buat muka lawak depan kita pun kita tak perasan.

Nanti apabila kita mati, kita pun akan jadi begitu juga. Tapi pemotongan roh dari tubuh itu kekal selepas mati. Masa tidur bolehlah roh itu masuk balik.

Tiada siapa yang dapat kawal roh kita nak keluar atau tidak. Kita tidak ada kuasa. Kalau orang kafir pun kena terima perkara ini. Mereka pun tahu yang mereka tidak boleh kawal bila mereka mati, malah mereka tidak boleh kawal tidur pun. Berapa ramai yang tahan tidur, sengkang mata, tapi kalau dah penat sangat, dia tertidur juga? Ini dinamakan ‘micro sleep’. Selalu terjadi semasa memandu. Semasa memandu, dan kalau mengantuk sangat, otak kita akan ambil keputusan untuk tidur sendiri kerana badan dah penat sangat.


Ayat 10: Tadi cerita tentang malam, sekarang Allah ceritakan tentang siang pula. Ayat sebelum itu telah disebut tentang ‘pasangan’. Pasangan malam adalah siang, bukan?

وَجَعَلنَا اللَّيلَ لِباسًا

Sahih International

And made the night as clothing

Malay

Dan Kami telah menjadikan malam (dengan gelapnya) sebagai pakaian (yang melindungi)?

Allah menjadikan malam itu dan tutup pandangan mata kita untuk kita rehat. Malam seperti ‘pakaian’ yang menyeliputi manusia. Banyak kejadian berlaku di malam hari dan kita tidak nampak. Ramai yang mengambil peluang untuk menyorok di malam hari kerana pandangan mata sedang dilindungi, susah orang nak nampak. Kerana kegelapan itulah juga penyamun dan kecurian bermaharajalela dengan banyak kalau dibandingkan dengan siang.

Allah menjadikan gelap malam itu sebagai satu suasana di mana manusia berasa tenang semasa malam.

Dan seperti juga malam, kita tidak dapat kawal bila datangnya malam. Allah yang kawal. Malam itu bukannya terjadi sendiri, bukan bergerak sendiri kerana tiadanya matahari. Buktinya, nanti ada masa bila hari lebih panjang dari biasa. Kerana Allah kawal siang itu supaya malam tidak datang seperti yang biasa. Maknanya, memang kita boleh jelaskan kedatangan malam dan siang itu kerana peredaran matahari, tapi kalau Allah tahan, bagaimana?


Ayat 11: 

وَجَعَلنَا النَّهارَ مَعاشًا

Sahih International

And made the day for livelihood

Malay

Dan Kami telah menjadikan siang (dengan cahaya terangnya) – masa untuk mencari rezeki?

Sebelum ini Allah sebut gunanya malam – untuk berehat. Dan siang pula secara umumnya masa untuk manusia mencari rezeki untuk kehidupan. Petani memang perlukan matahari untuk tanaman mereka tumbuh subur. Dan mereka yang bekerja pun selalunya bekerja di siang hari kerana senang nampak apa yang dilakukan. Walaupun memang ada orang yang kerja malam, tapi Allah menyebut kebiasaan yang dilakukan oleh manusia.


Ayat 12: Ayat-ayat sebelum ini tentang benda-benda yang Allah jadikan untuk kita gunakan. Sekarang Allah sebut tentang alam atas pula.

وَبَنَينا فَوقَكُم سَبعًا شِدادًا

Sahih International

And constructed above you seven strong [heavens]

Malay

Dan Kami telah membina di atas kamu tujuh petala (langit) yang kuat kukuh?

Dan Allah menjadikan di atas manusia tujuh langit yang kukuh. Allah suruh kita tengok alam langit, tengok bintang, tengok matahari, dan cari jika ada kerosakan padanya. Tentu tidak ada. Begitu kukuh sekali binaan yang Allah buat. Bandingkan dengan binaan kita. Kita pun ada bina seperti bangunan, rumah dan sebagainya, tapi tak sama macam binaan yang Allah jadikan. Binaan kita tidak sempurna dan tentu ada kerosakan di mana-mana, retak di sana sini. Tapi binaan Allah langsung tidak ada perkara itu. Maka sedarlah beza kita dengan Allah. Allah boleh jadikan langit itu dengan sebegitu benar dan indah, dan tentu juga Allah mampu untuk menjadikan alam kiamat nanti. Allah boleh jadikan Mahsyar sebagai tempat untuk semua makhlukNya dari yang mula dicipta sampai yang terakhir sekali dimatikan untuk berkumpul. Tidak ada masalah untuk Allah.


Ayat 13: Selepas disebutkan tentang langit, Allah terus menyebut antara benda yang ada di langit itu. Pertamanya adalah matahari.

وَجَعَلنا سِراجًا وَهّاجًا

 78_13.png

Sahih International

And made [therein] a burning lamp

Malay

Dan Kami telah mengadakan matahari menjadi lampu yang terang-benderang cahayanya?

Lafaz سِراجًا asalnya adalah apa sahaja yang mengeluarkan cahaya termasuk lampu pelita. Lafaz وَهّاجًا pula bermaksud sesuatu yang membakar. Yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah matahari. Allah lah yang menjadikan matahari yang bersinar itu.

Bandingkan dengan api yang kita nyalakan. Kita pun ada juga nyalakan api tapi tak sama dengan matahari. Api pada matahari itu telah lama menyala dan entah bila akan padam. Dan matahari itu memberi sinaran kepada semua makhlukNya yang memerlukan. Terlalu banyak gunanya sinaran matahari itu. Siang hari yang disebut dalam ayat sebelum ini memerlukan matahari untuk membolehkan kita nampak di siang hari itu. Kalau tidak ada matahari, susah kita nak buat kerja. Nanti akan disebutkan tentang tumbuh-tumbuhan, yang tidak dapat hidup kalau tidak mendapat pancaran sinar matahari.


Ayat 14: Dari atas juga, ada awan yang darinya diturunkan air, yang juga diperlukan oleh kita untuk hidup.

وَأَنزَلنا مِنَ المُعصِراتِ ماءً ثَجّاجًا

Sahih International

And sent down, from the rain clouds, pouring water

Malay

Dan Kami telah menurunkan dari awan, air (hujan) yang mencurah-curah, –

Lafaz المُعصِراتِ diambil dari katadasar عصر yang bermaksud ‘perah’. Jadi lafaz المُعصِراتِ bermaksud ‘yang diperah’. Macam kita perah baju basah untuk mengeluarkan air dari baju itu. Allah hendak memberitahu bahawa awan itu seolah-olah diperah untuk mengeluarkan air. Kalau awan dalam bahasa Arab adalah سحابة. Allah hendak memberitahu, bahawa Dia lah yang menjadikan awan yang mengandungi air. Awan itu Allah juga yang kawal. Dia lah yang menentukan manakah tempat air hujan akan diturunkan dan berapa banyak.

Allah memberi air yang berlimpah ruah untuk manusia. Air itu untuk kebaikan manusia dan kadangkala boleh juga menyusahkan manusia. Kerana kalau banyak sangat, sampai boleh banjir dan merosakkan tanaman dan kehidupan di dunia. Ini menunjukkan yang kita bergantung kepada Allah. Kalau Allah tak beri air kita susah, dan kalau Dia beri banyak sangat pun susah. Tapi sebagai hamba, memang kita bergantung kepada Allah. Allah boleh buat apa sahaja yang Dia hendak.


Ayat 15:

لِنُخرِجَ بِهِ حَبًّا وَنَباتًا

Sahih International

That We may bring forth thereby grain and vegetation

Malay

Untuk Kami mengeluarkan dengan air itu, biji-bijian dan tumbuh-tumbuhan, –

Dengan air itu dapat mengeluarkan segala bentuk tanaman. Lafaz حَبًّا digunakan untuk segala bentuk tanaman yang bijirin. Sedangkan lafaz نَباتًا pula untuk segala jenis tanaman yang jenis lain seperti rumput dan sayur-sayuran. Kedua-duanya menjadi sumber makanan kita.


Ayat 16:

وَجَنّاتٍ أَلفافًا

 78_16.png

Sahih International

And gardens of entwined growth.

Malay

Serta kebun-kebun yang subur bertaut-taut pokoknya?

Dengan air hujan itu juga dapat menumbuhkan taman-taman dan kebun dengan segala jenis tumbuhan yang yang lebat. Lafaz أَلفافًا bermaksud menyeliputi sekeliling. Kalau kita lihat tanaman dan kebun yang lebat, memang tanaman itu bertaut antara satu sama lain.

Allah lah yang boleh menjadikan semua itu dengan QudratNya. Dengan Qudrat yang sama akan menghidupkan yang telah mati. Dan dengan Qudrat yang sama juga akan buat hari perhitungan. Kalau Allah boleh jadikan segala itu untuk keperluan kita, takkan Allah tidak boleh jadikan Hari Pembalasan itu?

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 078: an-Naba'. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s