Tafsir Surah Anfal Ayat 1 – 4 (Muqaddimah)

Pengenalan: Latarbelakang Sejarah

Di dalam surah al-A’raf kita telah belajar tentang puak yang dimusnahkan dalam dunia ini kerana mereka puak yang degil. Inilah sunnatullah – Allah hancurkan kaum yang kuat menentang Rasul mereka. Tetapi kalau begitu, bagaimana pula dengan Musyrikin Mekah? Bukankah mereka juga telah menentang Nabi Muhammad, malah membuat rancangan untuk membunuh baginda? Kalau kaum terdahulu dihancurkan dan dikenakan dengan azab oleh Allah, tidakkah mereka juga patut dikenakan dengan perkara yang sama?

Mereka juga dikenakan dengan azab tapi cara mereka lain sedikit – mereka dikenakan dengan pukulan serangan dari para sahabat. Allah beri kelebihan kepada Nabi dan sahabat, azab yang dikenakan adalah dengan tangan mereka sendiri.

Selalunya Allah akan kenakan puak yang menentang dakwah dengan musibah-musibah kecil sebelum dikenakan dengan azab yang besar yang menghancurkan. Tujuan musibah kecil itu adalah untuk merendahkan ego mereka dan supaya mereka memikirkan tentang kebenaran dan sepatutnya mereka kembali kepada ajaran Tauhid yang benar. Sebagai contoh, kaum Firaun dikenakan dengan 9 azab kecil dahulu sebelum mereka ditenggelamkan dalam laut. Jadi, bagaimana pula dengan musyrikin Mekah? Manakah azab kecil mereka? Itulah dia kekalahan demi kekalahan perang yang mereka alami sebelum kekalahan akhir sekali pada Pembukaan Mekah. Oleh itu, Surah Anfal diturunkan selepas Perang Badr dan di dalamnya ada menceritakan kemenangan Badr itu. Puak Musyrikin Mekah telah mengalami kekalahan yang teruk, sebagai isyarat yang mereka akan terus jatuh selepas itu. Ianya sebagai tanda dari Allah, dan sepatutnya mereka kembali menilai pandangan mereka terhadap Islam.

Kejadian Perang Badr itu berlaku 6 bulan Hijrah. Ianya adalah satu peristiwa yang amat bersejarah. Pertama sekali, penghijrahan Nabi Muhammad dan sahabat ke Madinah dan tidak lama selepas itu, peperangan Badr. Kedua-dua peristiwa ini bukan sahaja sejarah dalam Islam, tapi ianya juga adalah sejarah dunia. Jadi kita kena tahu sejarah kita ini supaya tidak disalahertikan oleh masyarakat dunia yang lain. Mereka mungkin tidak faham apakah yang terjadi, jadi mungkin kalau kita bertanya dengan mereka, kalau kita rujuk mereka, pembacaan mereka tentang peristiwa ini tidak seperti yang sepatutnya. Mereka mungkin mendakwa, peperangan ini dimulakan oleh umat Islam. Sedangkan ini bukanlah salahlaku dari pihak muslim. Dan kalau tidak dijelaskan, nanti manusia menyangka yang umat Islam ini adalah umat yang suka berperang dan suka menyerang orang lain yang tidak sehaluan dengan mereka. Sebab itu kita kena faham Quran, hadis dan sirah. Semuanya berkait. Kita kena pertahankan tohmahan manusia terhadap Nabi Muhammad. Kita kena beri kefahaman kepada manusia tentang Islam dan untuk melakukannya, kita sendiri kenalah faham tentang perkara itu. In sha Allah, kita akan belajar dalam surah ini sedikit.

Kita kena faham, peperangan terjadi kerana 3 sebab:

  • Serang balas
  • Mempertahankan diri
  • Serangan awal.

Dalam semua undang-undang, termasuk undang-undang moden, mempertahankan diri diterima sebagai hak individu. Ianya sama dalam undang-undang Islam dan bukan Islam. Kalau sesiapa yang mempertahankan diri, tidak boleh dipersalahkan dan ini diterima dalam masyarakat pun. Bagaimana keadaan umat Islam di Mekah semasa awal Islam? Tidakkah mereka diserang dan dihenyak dengan teruk sekali? Waktu itu, kalau mereka bertindak dengan mempertahankan diri, tidaklah mereka bersalah. Tapi, di awal Islam, umat Islam disuruh untuk tidak bertindak langsung. Kerana waktu itu adalah waktu untuk berdakwah dan belum lagi untuk berjihad. Jadi, walaupun Musyrikin Mekah telah melampau dalam layanan dan penindasan mereka terhadap umat Islam, tapi umat Islam hanya protes tanpa kekasaran (non-violent protest). Walaupun mungkin ada yang melihat perkara ini sebagai satu kelemahan, tapi ianya ada kelebihan. Kerana apabila satu pihak menindas dan satu pihak lagi tidak bertindas balas, orang luar yang melihat akan timbul rasa belas kasihan dalam diri mereka. Ianya membuka hati mereka terhadap Islam.

Begitulah kita telah diajar dan kita kena amalkan perkara ini. Zaman ini, kita boleh lihat bagaimana penindasan dilakukan terhadap umat Islam dalam media massa dan negara-negara tertentu. Mereka yang benci kepada Islam, menunggu sahaja orang Islam untuk bertindak balas dan mereka akan gunakan isu itu untuk menyatakan yang Islam adalah ganas. Maka, jangan kita jatuh dalam perangkap mereka. Sebagai contoh, mereka sengaja sahaja buat karikatur Nabi Muhammad dan tunggu sahaja tindakan kita. Malangnya, ramai yang terjatuh dalam perangkap itu dan telah bertindak melampau batas.

Selepas Nabi hijrah ke Madinah, 6 bulan pertama itu adalah untuk menguruskan kenegaraan Islam. Terdapat 3 perkara penting yang telah ditetapkan oleh baginda:

  1. Didirikan masjid sebagai tempat pengurusan. Ianya macam parlimen sesebuah negara sekarang. Ianya menjadi tempat pengumpulan masyarakat, tempat belajar dan banyak lagi gunanya masjid itu.
  2. Baginda telah menjalinkan perhubungan persaudaraan antara Muhajirin dan Ansar. Baginda berjaya menjalinkan pertalian yang mesra dan menjadikan dua puak itu sama rata. Jauh berbeza dengan dunia sekarang. Kalau kita lihat dalam dunia sekarang, gologan pendatang selalunya dipandang rendah dan mereka selalunya tinggal di kawasan yang tidak berapa elok. Tapi Nabi Muhammad telah berjaya mengubah pandangan puak Ansar terhadap Muhajirin sampaikan terdapat pertalian yang baik dan tidak ada caci mencaci antara mereka.
  3. Perjanjian damai dengan puak Yahudi yang menjadi jiran mereka di Madinah. Mereka semua berjanji untuk mempertahankan Madinah dari puak musuh yang datang menyerang. Walaupun terdapat perbezaan antara agama, tapi perjanjian tetap telah dijalinkan dan kata sepakat telah dicapai.

Setelah 6 bulan berlalu, dan setelah Islam mendapat tempat di dunia, Nabi Muhammad telah menghantar pasukan yang kecil untuk meninjau laluan perdagangan yang digunakan oleh puak Mekah. Misi serangan telah dihantar untuk menyerang kafilah perdagangan untuk merampas aset perniagaan. Ini adalah serangan ekonomi terhadap puak Mekah. Ini tidak salah, walau dalam undang-undang antarabangsa moden pun. Ini adalah kerana puak Muhajirin telah dihalau dari tempat asal mereka dan mereka layak untuk menyerang balas. Ini bukanlah termasuk dalam aktiviti pengganas (terroris). Mereka sebenarnya menyerang puak yang telah menzalimi mereka. Kalau orang bukan Islam pun faham keadaan ini. Kalau kita dihalau dari negara asal kita, dan kita serang balik mereka yang telah menghalau kita, semua orang faham dan tidak salahkan kita. Begitu jugalah yang telah dilakukan oleh puak Islam yang diketuai oleh Nabi Muhammad.

Setelah penghijrahan, Nabi nampak bagaimana Musyrikin Mekah terus berniaga, dan baginda sedar yang mereka sedang mengumpulkan harta untuk lawan Islam. Nabi telah memberi cadangan untuk menyekat rombongan perniagaan mereka. Ini adalah kerana keuntungan dari perniagaan mereka itu untuk menguatkan kekufuran. abu sufyan dapat tahu yang umat Islam keluar. dia telah hantar maklumat ke mekah, kalau kamu tak sekat muhammad, kami dan harta akan dirampas. abu jahal kumpul orang mekah. pegang kelambu kaabah dan doa supaya Allah beri kemenangan kepada yang haq. Allah zahirkan doa dia dengan beri kemenangan kepada muslim. abu sufyan ikut jalan laut dan lepas. dia beritahu ke abu jahal. tapi abu jahal dan keluar dah dan tidak akan undur ke belakang apabila dah keluar untuk berperang.

Salah seorang dari ahli perniagaan yang terkenal dan berjaya adalah Abu Sufyan. Nabi Muhammad telah mendapat maklumat yang Abu Sufyan sedang menghala balik ke Mekah dari Syam. Baginda bersama dengan 300 orang lebih dari para sahabat telah keluar untuk menyekat rombongan perniagaan itu. Beliau selalunya melalui jalan perdagangan yang melalui Badr kerana laluan itu adalah laluan yang pendek. Nabi Muhammad telah mengarahkan pasukan baginda untuk merampas harta Abu Sufyan. Tetapi rancangan itu tidak berjaya kerana mereka terlambat dan rombongan kafilah Abu Sufyan telah melepasi Badr apabila pasukan yang dihantar oleh baginda Nabi sampai ke situ. Ini adalah kerana Abu Sufyan telah tahu rancangan puak Islam terhadap beliau. Dan beliau telah sempat menghantar permintaan bantuan kepada orang Mekah dengan memberitahu yang beliau sedang diserang oleh puak muslim. Dan ini telah menaikkan kemarahan Musyrikin Mekah kerana ini adalah serangan kepada ekonomi mereka.

Dalam masa yang sama, ada satu lagi pasukan yang dihantar ke satu tempat yang bernama Nakhla dengan tujuan untuk mengintai sahaja. Tetapi mereka yang mengintip itu telah dikesan dan telah terjadi pertempuran antara puak Islam dan puak Kafir Mekah dan ada dari puak kafir itu yang terbunuh dan harta mereka telah dirampas. Sebenarnya Nabi suruh mereka mengintip sahaja dan bukanlah untuk menyerang lagi. Mereka yang selamat telah pergi ke Mekah dan melaporkan apa yang terjadi. Dalam masa yang sama juga, mesej dari Abu Sufyan juga telah sampai kepada orang Mekah. Maka terjadilah satu mesyuarat di kalangan puak Mekah. Ada antara orang Mekah yang tidak kisah mana dengan apa yang berlaku kepada orang Islam. Memang ada yang benci sungguh kepada Nabi Muhammad seperti Abu Jahal dan kuncu-kuncunya, tapi ada yang berada atas pagar. Pada mereka yang di atas pagar itu, tidak ada salahnya Nabi Muhammad dan mereka yang mahu beriman dengan baginda, tambahan pula kalau mereka bagus, itu adalah kebanggaan untuk mereka kerana mereka datang dari Mekah juga. Jadi, mereka tidak membenti Nabi Muhammad dan umat Islam dan mereka hendak membiarkan sahaja mereka. Tapi dengan dua kejadian yang sedang berlaku itu, mereka pun sudah berfikir dua kali. Kerana mereka sudah mula nampak yang muslim sudah menjadi ancaman kepada ekonomi mereka. Jadi, puak yang membenci Islam sudah mendapat sokongan dari pihak yang berada di atas pagar itu. Maka, satu pasukan tentera sudah dikumpulkan untuk menyerang umat Islam di Madinah.

Dalam mesej permintaan pertolongan dari Abu Sufyan, beliau telah meminta pasukan tentera dari Mekah untuk terus ke Badr kerana dia mendapat maklumat yang pasukan Islam akan menunggu di sana. Dalam masa yang sama, Abu Sufyan sendiri telah melalui jalan yang jauh menuju ke Mekah. Umat Islam pun terus ke Badr kerana hendak menahan kafilah Abu Sufyan. Dan tanpa mereka sedari, mereka akan berhadapan dengan tentera dari Mekah yang jauh lebih ramai dari mereka: pasukan Islam hanya dalam tiga ratus orang dan pasukan dari Mekah dalam seribu orang – tiga kali ganda dari bilangan pasukan Muslim. Dan pasukan Muslim tidak ada kelengkapan perang sedangkan pasukan dari Mekah datang dengan segala kelengkapan untuk berperang. Jadi, memang tidak sama kekuatan kedua-dua pasukan ini.

Pasukan tentera dari Mekah sudah sampai dahulu ke Badr dan mereka telah mengambil tempat yang berdekatan dengan sumber air. Nabi Muhammad telah diberi wahyu tentang apa yang telah berlaku – kedatangan tentera kafir Mekah dan kafilah Abu Sufyan yang telah lepas jauh dari mereka. Baginda telah diberi pilihan oleh Allah samada untuk berperang dengan tentera dari Mekah atau mengejar kafilah Abu Sufyan. Pasukan tentera Mekah itu ramai dan lengkap dan kafilah Abu Sufyan itu sedikit sahaja dan banyak harta bersamanya. Nampaknya pilihan untuk mengejar Abu Sufyan itu adalah lebih mudah mengikut logik akal. Baginda diberi pilihan untuk memilih dan Allah menjanjikan kemenangan tidak kira mana satu pilihan baginda. Akhirnya keputusan telah dibuat oleh baginda bersama dengan sahabat yang lain untuk berperang dengan tentera dari Mekah.

Salaupun asal tujuan mereka keluar itu adalah untuk merampas harta perniagaan, tapi apabila rombongan perniagaan yang hendak dirampas itu telah tiada, Allah tetap suruh mereka tunggu juga. Ingat bahawa mereka itu keluar dengan ala kadar sahaja, tidak sempurna dari sudut persedian peperangan. Tentera Islam pula waktu itu duduk di kawasan berpasir kering sedangkan orang kafir duduk di tempat yang ada air. Allah beri bantuan dengan turunkan hujan dan tempat orang kafir jadi lecah dan tempat tentera Islam jadi basah dan molek. Akhirnya peperangan itu telah berjaya. Walaupun harta dari rombongan perniagaan mereka tidak dapat, tapi umat Islam telah dapat membunuh kepala perang yang menentang Islam selama hari ini. Sebanyak 70 musyrikin yang dibunuh dan 70 orang lagi ditawan. Dengan kejayaan Perang Badr ini, Allah hendak zahirkan kepada manusia, apabila ada bantuan Allah, tentu ada kemenangan walau dalam apa keadaan pun. Dan Allah hendak memberitahu, kalau manusia menentang Allah, walaupun mereka kuat, mereka akan kalah juga akhirnya. Kita sebagai orang yang beriman, ambillah tertib dan cara Badr ini dalam peperangan. Jangan fikirkan kekuatan yang ada pada orang kafir, tapi kena tengok apa yang ada pada orang Islam.

Harta Rampasan:

Nama surah ini adalah Surah Anfal. Secara kasarnya, ia bermaksud ‘harta rampasan perang’. Ada satu lagi istilah untuk harta rampasan, iaitu ‘ghanimah’. Tapi yang digunakan sebagai nama surah ini adalah Anfal. Lafaz Anfal dari katadasar nafala yang bermaksud ‘lebihan’. Ini hendak menunjukkan bahawa harta rampasan itu adalah lebihan, bonus sahaja, bukannya tujuan asal peperangan itu.

Ada juga pendapat yang mengatakan, lafaz anfal bermaksud satu jenis harta rampasan yang diambil dari tubuh badan musuh – baju besi, perisai, topi besi, pedang dan sebagainya. Iaitu sesuatu yang boleh diambil setelah musuh dikalahkan. Ini biasa pada zaman itu.

Bangsa Arab sudah biasa berperang sekian lama. Waktu itu, apabila peperangan berlaku, selepas peperangan habis, setiap individu akan mengambil apa sahaja yang ditinggalkan di dalam peperangan itu – perisai, pedang, emas, perak, baju besi dan sebagainya. Apa sahaja yang tinggal, orang yang pertama jumpa, boleh amil. Dan waktu itu Islam masih baru lagi dan tidak ada lagi hukum tentang harta rampasan. Dan apabila pasukan Islam bersedia untuk berperang, Nabi Muhammad sebagai ketua perang, telah membuat rancangan perang, termasuk meletakkan kedudukan tentera di tempat-tempat tertentu. Ada yang bertanggungjawab berada di hadapan dan ada yang di belakang. Ini bermakna, mereka yang duduk di belakang tidak mendapat peluang untuk mengambil harta rampasan yang ditinggalkan pihak musuh kerana mereka duduk di belakang. Jadi, telah timbul isu tentang pembahagian harta rampasan ini. Jadi, antara lain, surah ini diturunkan sebagai penetapan polisi tentang pembahagian harta rampasan perang.

Setelah berjaya dalam peperangan itu, inilah kali pertama mereka dapat harta rampasan. Mereka boleh dapat pedang, duit yang berlonggok, baju besi, topi besi dan sebagainya. Waktu itu, kelengkapan tentera memang mahal. Dan kelengkapan perang Musyrikin Mekah memang hebat, dengan baju besi dan pedang yang bertatah emas. Allah berikan segala itu sebagai harta rampasan kepada umat Islam yang berjuang di Badr. Tetapi mereka tak tahu nak buat macam mana untuk membahagikan harta rampasan itu. Ada yang kata yang di depan yang ambil dulu. Sementara orang yang berperang di belakang kata lain pula. Oleh itu Allah turunkan surah Anfal supaya mereka jangan berebut kerana mereka kena ingat, tujuan asal peperangan itu bukan nak ambil harta rampasan dari peperangan dengan musyrikin Mekah, tapi untuk merampas harta rombongan perniagaan Abu Sufyan. Allah yang berikan harta rampasan itu kepada mereka, Allah yang susun mereka datang berperang, Allah yang beri kemenangan kepada mereka. Oleh kerana semua dalam takdir Allah dan kerana takdir Allah, maka biar Allah lah yang beri sendiri.


Muqaddimah Surah: 

Apakah kaitan surah ini dengan surah-surah sebelumnya? Maksud surah ini adalah tentang perang. Setelah tahu siapakah empat golongan sesat yang kita perlu jauhi (diberitahu dalam surah Baqarah sampai surah Maidah), kita disuruh tabligh kepada manusia dan sampaikan ajaran tauhid kepada manusia supaya kita dan mereka tidak jadi empat golongan sesat itu. Ini telah disampaikan dalam surah al-A’raf.

Dalam rangka dakwah dan menegakkan agama, kita tidak sekadar tabligh dengan lidah sahaja, tapi kadangkala perlu dijalankan dengan pedang. Inilah yang hendak disampaikan dalam surah Anfal dan Tawbah. Ini perlu dilakukan kalau manusia masih degil dengan akidah syirik mereka dan menghalang usaha dakwah dijalankan. Selain dari menyebarkan dakwah, umat Islam pun boleh hasil dari berperang dengan orang kafir, boleh dapat harta mereka pula. Oleh kerana harta yang mereka dapat itu adalah dengan cara haram, kita boleh ambil dari mereka. Dan harta yang kita dapat itu adalah dengan cara yang paling halal sekali kerana bukan senang nak dapat.

Surah Anfal ini turun semasa awal Hijrah dan surah Tawbah pula diturunkan akhir Hijrah tetapi kita boleh lihat yang ianya duduk berdekatan. Ini adalah kerana isi di dalamnya  berdekatan (tentang perang), maka ianya disusun berdekatan dalam Quran. Kita kena faham yang susun atur itu pula adalah tawqifi dengan wahyu dari Allah. Bukanlah Nabi atau sahabat yang susun sendiri.

Dalam surah Anfal ini, kita akan dapat belajar bagaimana perperangan itu ada syarat yang perlu dipenuhi. Tidak boleh kita nak umumkan perang sendiri, kerana kena ada khalifah yang umumkan. Tidak pernah ada perang dalam sejarah Islam tanpa wujudnya khalifah. Dan khalifah itu adalah khalifah dunia – khalifah mukmin, bukannya khalifah sesuatu negara. Dan pemerintahan khalifah yang terakhir adalah Khalifah Uthmaniah. Amat penting untuk dunia Islam mempunyai khalifah, kerana kalau tidak ada khalifah, umat Islam akan berperang sesama sendiri. Oleh itu, kita kena menegakkan kembali pemerintahan berkhalifah kerana apabila ada khalifah baru kita ada sistem. Oleh itu, tidak boleh berperang lagi, kena tunggu sampai ada khalifah barulah boleh kita menjalankan tugas jihad perang kita. Oleh kerana ada kekurangan ini sekarang, waktu ini kita kena sebarkan agama supaya lebih ramai manusia faham agama Islam dan sanggup berjuang di dalam menegakkannya. Dakwah kepada kesedaran agama kena ada dahulu, kerana kalau umat Islam ada khalifah pun, tapi tak faham agama, tak kena juga. Oleh itu, kita kena gembling tenaga untuk ajar manusia tentang agama tauhid supaya manusia faham apakah tanggungjawab kita sebagai manusia di mukabumi Allah ini. Malangnya, sekarang umat Islam tahu cari makan sahaja dan ini adalah amat menyedihkan sekali. Begitu ramai yang mendakwa mereka beragama Islam sahaja tapi tak tahu apa yang ada dalam agama. Kalau ada tahu agama pun, mereka tahu secara ala kadar sahaja.

Surah Anfal ini terbahagi kepada dua bahagian. Seperti yang kita sebut, Dakwanya adalah peperangan. Itulah jihad atas tauhid. Jihad untuk menegakkan tauhid. Bukan perang sembrono sahaja.

Ayat 1 – 40 adalah bahagian pertama. Tentang pembahagian harta rampasan perang. Menceritakan 7 sebab kerana harta rampasan peperangan (anfal) itu perlu dibahagikan oleh Allah. Kita akan faham kenapa Allah yang kena tentukan sendiri pembahagian harta rampasan itu kepada hambaNya yang berperang. Di dalam bahagian ini juga, terdapat 5 undang-undang perang. Mereka yang menjalankan jihad perlu memahami undang-undang ini kerana ianya berhubung dengan perhubungan antara askar dan ketua.

Ayat 41 – hingga akhir surah adalah pengulanan semula perkara-perkara yang telah disentuh dalam bahagian pertama. Cuma ada perbezaan sedikit. Dalam bahagian kedua ini, ada 5 sebab yang diberikan kenapa harta rampasan itu Allah yang bahagikan sendiri kepada pejuang. Dan kali ini ada 7 undang-undang untuk tentera: 2 untuk rakyat biasa dan 5 untuk pemimpin.


Ayat 1: Ini tentang pembahagian harta rampasan perang: oleh kerana segala harta rampasan adalah hak Allah, maka kena dengar apakah yang Allah syaratkan tentang pembahagiannya. ‘

يَسأَلونَكَ عَنِ الأَنفالِ ۖ قُلِ الأَنفالُ لِلَّهِ وَالرَّسولِ ۖ فَاتَّقُوا اللَّهَ وَأَصلِحوا ذاتَ بَينِكُم ۖ وَأَطيعُوا اللَّهَ وَرَسولَهُ إِن كُنتُم مُؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They ask you, [O Muḥammad], about the bounties [of war]. Say, “The [decision concerning] bounties is for Allāh and the Messenger.” So fear Allāh and amend that which is between you and obey Allāh and His Messenger, if you should be believers.

(MALAY)

Mereka menanyakan kepadamu tentang (pembagian) harta rampasan perang. Katakanlah: “Harta rampasan perang kepunyaan Allah dan Rasul, oleh sebab itu bertakwalah kepada Allah dan perbaikilah perhubungan di antara sesamamu; dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya jika kamu adalah orang-orang yang beriman”.

يَسأَلونَكَ عَنِ الأَنفالِ

Mereka menanyakan kepadamu tentang (pembagian) harta rampasan perang. 

Selepas kemenangan dalam peperangan Badr, dan umat Islam telah mengumpulkan harta rampasan, mereka telah datang kepada Nabi Muhammad menanyakan bagaimanakah harta itu akan dibahagikan. Kerana ini adalah kali pertama umat Islam berperang dan mereka tidak mencapai kata sepakat tentangnya.

 قُلِ الأَنفالُ لِلَّهِ وَالرَّسولِ

Katakanlah: “Harta rampasan perang kepunyaan Allah dan Rasul,

Ibnu Abbas telah mengatakan, “Yang dimaksud dengan anfal ialah ganimah (harta rampasan perang). Pada awal mulanya harta rampasan perang hanyalah untuk Rasulullah Saw., tiada seorang pun yang berhak mengambilnya barang sedikit pun.”

Umat Islam diberitahu yang harta rampasan itu kena serahkan kepada Allah dan Rasul untuk dibahagikan. Berapa banyak bahagian itu perlu ditentukan oleh Allah dan Rasul. Bukan tentera yang tentukan. Bahagian itu akan diajarkan dalam ayat lain.

Ayat ini juga membawa maksud yang harta rampasan itu adalah kepunyaan Allah dna RasulNya. Habis cerita – jangan nak sibuk berkelahi lagi tentang bahagian siapa, siapa dapat banyak mana dan sebagainya. Ini adalah kerana para sahabat sudah ada yang berbeza pendapat. Jadi Allah nak tutup kes itu. Kalau dah Allah dan Rasul yang punya, jangan nak sibuk-sibuk lagi. Bahagian itu akan diberitahu dalam ayat yang lain – lambat lagi akan diberitahu. Sedangkan ayat-ayat awal ini adalah nasihat kepada mereka. Memang Allah nak beritahu pembahagian itu, tapi sebelum itu umat Islam kena ditegur tentang apakah yang lebih penting dari harta itu sahaja. Jangan pentingkan harta.

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Salamah, dari Ibnu Ishaq, dari Abdur Rahman, dari Sulaiman ibnu Musa, dari Mak-hul, dari Abu Umamah yang menceritakan bahwa ia pernah bertanya kepada Ubadah tentang makna Al-Anfal. Maka Ubadah menjawab bahwa ayat ini diturunkan berkenaan dengan orang-orang yang ikut dalam Perang Badr, iaitu ketika kami berselisih pendapat tentang harta rampasan sehingga pekerti kami menjadi buruk kerananya. Maka Allah Swt. mencabutnya dari tangan kami dan menjadikannya di bawah kekuasaan tangan Rasulullah Saw. Kemudian Rasulullah Saw. membahggikannya di antara sesama kami dengan pembagian yang rata.

Imam Ahmad mengatakan pula bahawa telah menceritakan kepada kami Abu Mu’awiyah ibnu Umar, telah menceritakan kepada kami Abi Ishaq, dari Abdur Rahman ibnul Haris ibnu Abdullah ibnu Ayyasy ibnu Abu Rabi’ah, dari Sulaiman ibnu Musa, dari Abu Salamah, dari Abu Umamah, dari Ubadah ibnus Samit yang menceritakan, “Kami berangkat bersama Rasulullah Saw., dan saya ikut berperang bersamanya di medan Perang Badr. Kedua belah pasukan bertempur dan Allah mengalahkan musuh kami. Kemudian segolongan dari kami mengejar pasukan musuh yang melarikan diri dan memerangi mereka, sedangkan segolongan lagi tetap berada di medan perang, mengumpulkan ghanimah. Segolongan yang lainnya ada tetap di markas pasukan kaum muslim menjaga keselamatan Rasulullah Saw. agar jangan diserang oleh musuh saat sedang dalam keadaan lalai. Dan pada malam harinya sebahagian di antara pasukan kaum muslim berebutan ghanimah dengan sebahagian yang lainnya. Orang-orang yang mengumpulkan ghanimah mengatakan, ‘Kamilah yang mengumpul­kannya, maka tiada seorang pun yang beroleh bahagian selain kami.’ Sedangkan orang-orang yang pergi mengejar musuh mengatakan, “Kalian bukanlah orang-orang yang lebih berhak padanya daripada kami. Kamilah yang menjadi benteng Nabi Saw. dari pasukan musuh, dan kami berhasil mengalahkan mereka. Dan orang-orang yang tetap mengawal Rasulullah Saw. berkata, ‘Kami merasa khawatir bila musuh menyerang Rasulullah. Saw. dengan serangan dari belakang saat tidak terkawal, sehingga kami sibuk dengan pekerjaan kami.’ Maka saat itulah turun firman Allah Swt.: Mereka menanyakan kepadamu tentang (pembahagian) harta rampasan perang. Katakanlah, “Harta rampasan perang itu kepunyaan Allah dan Rasul, sebab itu bertakwalah kepada Allah dan perbaikilah hubungan di antara sesama kalian.” (Al-Anfal: 1) Maka Rasulullah Saw. membagi-bagikannya di antara semua kaum muslim.

فَاتَّقُوا اللَّهَ وَأَصلِحوا ذاتَ بَينِكُم

bertakwalah kepada Allah dan perbaikilah perhubungan di antara sesamamu;

Yang paling penting, kena taqwa. Kena sedar tentang Allah, takut tentang Allah, jaga hukum-hukum Allah dalam segenap peringkat kehidupan.

Dan mereka hendaklah memperbaiki hubungan antara mereka. Mereka hendaklah ‘islah’ (melakukan pembaikan), jangan berdengki dan iri hati, benci sesama sendiri. Mereka kena perbaiki hubungan di kalangan mereka. Jangan bertelagah tentang pembahagian harta rampasan lagi.

 

وَأَطيعُوا اللَّهَ وَرَسولَهُ إِن كُنتُم مُؤمِنينَ

dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya jika kamu adalah orang-orang yang beriman”.

Kenalah mereka taat kepada perintah Allah dan Rasul. Yakni terimalah apa yang dibahagikan Nabi Saw. kepada kalian, kerana sesungguhnya pembahagian yang dilakukan olehnya semata-mata hanyalah berdasarkan apa yang diperintahkan oleh Allah kepadanya, yaitu berdasarkan keadilan dan kebijaksanaan.

Itu pun kalau mereka itu mengaku beriman. Kalau tidak beriman, tidak mengapalah, buatlah apa yang kamu hendak buat. Tapi kalau kamu kata itu orang mukmin, inikah sifat orang mukmin? Adakah orang mukmin akan bertelagah tentang harta pula?


Ayat 2: Allah beritahu kalau orang mukmin, bagaimana sifat mereka.

إِنَّمَا المُؤمِنونَ الَّذينَ إِذا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَت قُلوبُهُم وَإِذا تُلِيَت عَلَيهِم آياتُهُ زادَتهُم إيمانًا وَعَلىٰ رَبِّهِم يَتَوَكَّلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The believers are only those who, when Allāh is mentioned, their hearts become fearful, and when His verses are recited to them, it increases them in faith; and upon their Lord they rely –

(MALAY)

Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka, dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal.

إِنَّمَا المُؤمِنونَ الَّذينَ إِذا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَت قُلوبُهُم

Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gementarlah hati mereka,

Allah mula menyebut tentang sifat-sifat orang mukmin. Tidak habis di sini sahaja sifat orang mukmin itu. Ada lagi disebut dalam ayat lain di hujung nanti di ayat 74. Dalam ayat ini dimulakan dengan lafaz إِنَّمَا (hanya). Ini menunjukkan hanya mereka yang ada sifat-sifat ini sahaja yang boleh dikira mukmin. Kalau tidak ada, tak boleh mengaku sebagai mukmin. Ayat-ayat begini hanya disebut empat kali dalam Quran dan ada dua ayat dalam surah ini sahaja. Kita kena tanya diri kita sendiri: “aku ada sifat-sifat ini atau tidak?”.

Lihatlah bagaimana cerita dalam surah ini dari ayat pertama tentang harta rampasan, dan tiba-tiba bertukar berkenaan iman. Ini mengajar umat Islam tentang prioriti: tengok dan baiki mana yang penting dahulu.

Allah ajar kita, sekiranya kita beriman, bagaimanakah sifat orang mukmin itu? Yang pertama: apabila disebut Allah di depan mereka, akan gementar hati mereka. Ini adalah kerana mereka kenal Allah dari sifat-sifatNya yang telah disebut dalam Quran. Dan mereka beriman dengan ayat-ayat itu. Oleh kerana itu, apabila disebut nama Allah sahaja, mereka sudah takut dah. Inilah alamat orang mukmin sebenar. Mereka jadi beritu kerana mereka kenal benar Allah itu.

Lafaz وَجِلَت diambil dari katadasar وجل iaitu jenis takut yang menyebabkan bulu roma naik. Ianya adalah takut yang sangat. Tidak kisah dari mana datangnya ketakutan itu. Asalkan nama Allah disebut sahaja, dari Quran, dari hadis, dari kata orang, hati mereka dah gementar dah, bulu roma menegak.

وَإِذا تُلِيَت عَلَيهِم آياتُهُ زادَتهُم إيمانًا

dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka,

Nama Allah itu boleh datang dari mana-mana sahaja, tapi salah satunya datang dari Quran. Dan apabila dibacakan ayat Quran, atau mereka baca sendiri, iman mereka bertambah. Apabila dikatakan ‘bertambah’ maknanya iman mereka sudah ada dah. Oleh itu, iman yang sudah ada, bertambah lagi. Iman itu bertambah kerana semakin banyak ayat Allah yang dipelajari. Dan kerana dibaca berkali-kali, mereka semakin faham maksudnya. Dan mereka semakin meningkat iman mereka. Sebab itulah kita mementingkan pembelajaran tafsir Quran ini kerana kalau baca Quran tapi tidak faham, tidak dapat peringkat iman yang sebegini. Berapa ramai dari kalangan kita yang baca Quran, tapi tak faham langsung apa yang mereka baca?

Bandingkan sifat ini dengan sifat orang munafik seperti firman-Nya:

{وَإِذَا مَا أُنزلَتْ سُورَةٌ فَمِنْهُمْ مَنْ يَقُولُ أَيُّكُمْ زَادَتْهُ هَذِهِ إِيمَانًا فَأَمَّا الَّذِينَ آمَنُوا فَزَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَهُمْ يَسْتَبْشِرُونَ}

Dan apabila diturunkan suatu surat, maka di antara mereka (orang-orang munafik) ada yang berkata, “Siapakah di antara kalian yang bertambah imannya dengan (turunnya) surat ini?” Adapun orang-orang yang beriman, maka surat ini menambah imannya sedang mereka merasa gembira (At-Taubah: 124)

Maknanya, orang munafik rasa biasa sahaja apabila mereka dengar ayat-ayat Allah. Maka, kalau kita pun macam itu juga, baca Quran macam baca novel, maknanya ada masalah dalam hati kita.

Imam Bukhari dan lain-lainnya dari kalangan para imam mengambil kesimpulan dalil dari ayat ini dan ayat-ayat lainnya yang semakna, bahawa iman itu dapat bertambah (dan dapat berkurang), serta iman itu dalam hati mempunyai naik turunnya. Ianya tidak statik. Jadi kena lakukan sesuatu untuk menaikkan iman kita dan meninggalkan perkara buruk yang dapat menurunkan iman kita.

وَعَلىٰ رَبِّهِم يَتَوَكَّلونَ

dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal.

Sifat kedua orang mukmin, mereka tawakkal kepada Allah. Maksudnya mereka serahkan urusan mereka kepada Allah. Termasuklah urusan pembahagian harta rampasan itu mereka serahkan kepada Allah. Bila ada sifat begini, barulah mudah. Senangnya ikut peratuan Allah sahaja. Dalam apa-apa perkara sahaja, kena tanya Allah nak macam mana? Bila dah tahu apa yang Allah hendak kita lakukan, maka lakukan tanpa rasa terkilan.

Oleh itu, ini ayat teguran kepada para sahabat. Dan kita pun tahu bagaimana iman para sahabat itu – sudah tentunya iman mereka lebih tinggi dari kita. Mereka pun lebih faham agama dari kita. Jadi, kalau para sahabat pun kena tegur macam itu, kita macam mana lah pula?

Ibnu Abbas mengatakan bahawa orang-orang munafik itu tiada sesuatu pun dari sebutan nama Allah yang dapat mempengaruhi hati mereka untuk mendorong mereka mengerjakan hal-hal yang difardukan-Nya. Mereka sama sekali tidak beriman kepada sesuatu pun dari ayat-ayat Allah, tidak bertawakal, tidak solat apabila sendirian, dan tidak menunaikan zakat harta bendanya. Maka Allah menyebutkan bahawa mereka bukan orang-orang yang beriman.


Ayat 3: Tambahan kepada sifat orang mukmin:

الَّذينَ يُقيمونَ الصَّلاةَ وَمِمّا رَزَقناهُم يُنفِقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The ones who establish prayer, and from what We have provided them, they spend.

(MALAY)

(yaitu) orang-orang yang mendirikan solat dan yang menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.

الَّذينَ يُقيمونَ الصَّلاةَ

orang-orang yang mendirikan solat 

Dalam ayat sebelum ini telah disebut apakah perasaan dan hati dalaman orang mukmin itu. Dan sifat orang mukmin itu bukan dalam hati sahaja, tapi kenalah ditunukkan pada amalan. Dan amalan badani mereka, mereka dapat mendirikan solat. Mereka melakukan ibadat seperti yang Allah kehendaki. Solat adalah contoh kepada amalan badan yang perlu dilakukan kerana ianya adalah amalan yang paling baik.

Dan dalam ayat sebelum ini telah disebut tentang Quran, dan dalam solat adalah cara terbaik untuk mengingat kepada Quran. Sebab itulah penting untuk kita hafal ayat-ayat Quran dan kita baca dalam solat. Kerana waktu solat, kita tidak buat apa-apa lagi, melainkan fikiran kita pada Allah dan ibadat solat sahaja. Waktu itu kita fokus, jadi kalau kita baca Quran, kita memang menelitinya dan benar-benar membacanya. Itulah yang dilakukan oleh para sahabat – mereka meneliti dan tadabbur Quran dalam solat mereka. Maka kenalah mula menghafal Quran. Hafallah setakat yang boleh. Quran itu mudah untuk dihafal kerana ada keberkatan dan keindahan di dalamnya. Ramai yang boleh melakukannya, kenapa tidak anda?

Sehubungan dengan ayat ini, Qatadah mengatakan bahawa mendirikan salat ialah memelihara waktu-waktu penunaiannya, wudunya, rukuk dan sujudnya.
Muqatil ibnu Hayyan mengatakan, mendirikan salat artinya memelihara waktu-waktu penunaiannya; menyempurnakan bersuanya, melakukan rukuk dan sujudnya dengan sempurna, membaca Al-Qur’an di dalamnya, serta membaca tasyahhud dan salawat untuk Nabi Saw. Kesimpulannya: kena jaga amalan solat kita dan perbaiki sampai jadi sempurna. Jangan hanya rasa cukup dengan ilmu solat yang kita belajar semasa kita sekolah rendah dahulu. Kenalah kita belajar sifat solat Nabi supaya kita dapat memperbaiki solat kita.

وَمِمّا رَزَقناهُم يُنفِقونَ

dan yang menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.

Sekarang disebut amalan harta pula. Harta adalah sesuatu yang amat berharga bagi kebanyakan manusia. Kerana mereka rasa mereka susah payah untuk mendapatkannya. Tapi orang mukmin itu, mereka akan infakkan harta yang mereka ada. Kerana mereka tahu, harta yang mereka ada itu pun dari Allah juga, bukan dari usaha mereka sangat pun. Allah hanya menjadikan mereka sebagai medium pemberi sahaja. Oleh itu, jangan kita sangka harta yang kita ada itu untuk kita sahaja. Allah berikan lebihan harta kepada kita, untuk kita sampaikan kepada orang lain juga. Dengan cara itu, kita pun dapat tambah pahala kita kerana berikan kepada orang lain.

Sekarang bandingkan dengan awal surah ini, dimana para sahabat sibuk bertanya tentang bagaimana nak bahagikan harta rampasan. Sebaliknya sekarang, Allah hendak memberitahu, jangan sibukkan diri dengan apa yang mereka akan dapat, tapi hendaklah sibukkan dengan memikirkan apakah yang kita boleh berikan kepada orang lain.


Ayat 4: Tabshir. Disebutkan balasan yang akan diberikan kepada mereka yang benar-benar beriman.

أُولٰئِكَ هُمُ المُؤمِنونَ حَقًّا ۚ لَهُم دَرَجاتٌ عِندَ رَبِّهِم وَمَغفِرَةٌ وَرِزقٌ كَريمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those are the believers, truly. For them are degrees [of high position] with their Lord and forgiveness and noble provision.

(MALAY)

Itulah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan memperoleh beberapa derajat ketinggian di sisi Tuhannya dan ampunan serta rezeki (nikmat) yang mulia.

أُولٰئِكَ هُمُ المُؤمِنونَ حَقًّا

Itulah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. 

Mereka yang ada lima sifat-sifat itu, barulah boleh dikira sebagai mukmin sebenar. Kalau setakat kata diri seorang mukmin, tapi sifat-sifat itu tidak ada, jangan mimpilah. Allah tekan kepentingan sifat-sifat itu dengan penggunaan lafaz حَقًّا dalam ayat ini. Merekalah itu sebenar-benar orang beriman, Allah memberi chop itu kepada mereka – alangkah indahnya kalau kita pun termasuk dalam golongan ini juga.

لَهُم دَرَجاتٌ عِندَ رَبِّهِم

Mereka akan memperoleh beberapa derajat ketinggian di sisi Tuhannya

Dan di akhirat nanti, mereka akan dapat banyak darjat di sini Tuhan. Ahli syurga itu sebahagian mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripada sebagian yang lain, maka orang yang berada di atas kedudukan yang tinggi dapat melihat orang yang kedudukannya berada di bawahnya. Akan tetapi, orang yang berada di tingkatan bawah tidak mempunyai pandangan bahawa tiada seorang pun yang lebih utama daripada dirinya. Kerana itulah di dalam kitab Sahihain disebutkan bahwa Rasulullah Saw. telah bersabda:

“إِنَّ أَهْلَ علِّيين لَيَرَاهُمْ مَنْ أَسْفَلُ مِنْهُمْ كَمَا تَرَوْنَ الْكَوْكَبَ الْغَابِرَ فِي أُفُقٍ مِنْ آفَاقِ السَّمَاءِ”، قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ، تِلْكَ مَنَازِلُ الْأَنْبِيَاءِ، لَا يَنَالُهَا غَيْرُهُمْ؟ فَقَالَ: “بَلَى، وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ رِجَالٌ آمَنُوا بِاللَّهِ وَصَدَّقُوا الْمُرْسَلِينَ”

Sesungguhnya ahli ‘Illiyyin (syurga yang paling tinggi) benar-benar dapat dilihat oleh orang-orang yang ada di bawah mereka, sebagaimana kalian melihat bintang-bintang yang jauh berada di ufuk langit yang sangat luas. Mereka (para sahabat) bertanya, “Wahai Rasulullah, syurga ‘Illiyyin itu tentu kedudukan para nabi, dan tidak dapat diraih oleh selain mereka.” Rasulullah Saw. menjawab: Tidak, demi Tuhan yang jiwaku berada di dalam genggaman kekuasaan-Nya, bahkan (termasuk pula) orang-orang yang beriman kepada Allah dan membenarkan para rasul.

Kenapa disebut beberapa darjat? Macam juga orang kita di dunia ini, kadang-kadang ada yang dapat banyak pingat kepujian dari negara dan dari sultan. Begitulah juga di akhirat nanti, ada orang mukmin yang dapat darjat seorang penderma, seorang yang suka baca Quran, darjat suka puasa dan sebagainya.

وَمَغفِرَةٌ

dan ampunan

Dan mereka akan mendapat keampunan. Orang yang beriman, tidak semestinya dia tidak ada dosa. Setiap manusia akan berdosa. Cuma dosa mereka itu adalah dosa-dosa kecil sahaja dan Allah akan ampunkan segala dosa mereka itu sampai tidak perlu dimasukkan ke dalam neraka. Inilah harapan kita.

وَرِزقٌ كَريمٌ

serta rezeki (nikmat) yang mulia.

Dan mereka akan mendapat rezeki dari sisi Tuhan mereka. Di dunia pun kita memang ada dapat rezeki juga, tapi di akhirat nanti, mereka yang masuk syurga akan mendapat rezeki yang كَريمٌ yang mulia. Ini adalah tahap rezeki yang tertinggi. Tentunya tidak sama dengan rezeki yang diberikan semasa di dunia.

Dengan ini maka selesailah muqaddimah kepada surah Anfal ini.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 008: Anfal. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s