Tafsir Surah al-A’raf Ayat 144 – 146 (Akibat lalai dari belajar tafsir)

Ayat 144:

قالَ يا موسىٰ إِنِّي اصطَفَيتُكَ عَلَى النّاسِ بِرِسالاتي وَبِكَلامي فَخُذ ما آتَيتُكَ وَكُن مِنَ الشّاكِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Allāh] said, “O Moses, I have chosen you over the people with My messages and My words [to you]. So take what I have given you and be among the grateful.”

MALAY

Allah berfirman: “Wahai Musa! Sesungguhnya Aku memilihmu melebihi umat manusia (yang ada pada zamanmu), dengan membawa perutusanKu (Kitab Taurat) dan dengan KalamKu; oleh itu, terimalah apa yang Aku kurniakan kepadamu, dan jadikanlah dirimu dari orang-orang yang bersyukur”.

 

قالَ يا موسىٰ إِنِّي اصطَفَيتُكَ عَلَى النّاسِ

Allah berfirman: “Wahai Musa! Sesungguhnya Aku memilihmu melebihi umat manusia

Allah pujuk Nabi Musa untuk menghilangkan kesedihan baginda. Allah beritahu yang Dia telah memilih baginda melebihi manusia lain pada zamannya.

Kalau dikira kedudukan para Rasul kita, kedudukan yang tertinggi sekali adalah Nabi Muhammad SAW. Kemudiannya adalah Nabi Ibrahim a.s. dan kerana itu baginda dikenali dengan gelaran Khalilullah (kekasih Allah) dan yang ketiga adalah Nabi Musa a.s. kerana baginda diberi kelebihan bercakap terus dengan Allah.

 

بِرِسالاتي وَبِكَلامي

dengan membawa perutusanKu (Kitab Taurat) dan dengan KalamKu; 

Allah pilih baginda dengan cara baginda diberikan kelebihan bawa dan sampaikan wahyu kepada manusia lain. Itu adalah penghormatan yang amat tinggi. Dalam banyak-banyak manusia, baginda dipilih oleh Allah.

Dan satu lagi kelebihan baginda, baginda boleh berbicara langsung dengan Allah. Dan ini adalah keistimewaan Nabi Musa, baginda sahaja yang dapat. Kerana itulah baginda dikenali dengan gelaran Kalimullah (Yang bercakap-cakap dengan Allah).

 

فَخُذ ما آتَيتُكَ

oleh itu, terimalah apa yang Aku kurniakan kepadamu, 

Allah mengarahkan Nabi Musa untuk berpeganglah dengan Kitab Taurat yang Dia telah beri kepada baginda untuk sampaikan. Amalkan dan sampaikan juga kepada manusia yang lain. Kita pun begitulah juga, kena belajar Quran ini sampai faham dan kemudian kena sampaikan dan ajar kepada masyarakat. Jangan baca tapi tak faham; jangan simpan di rumah Quran cantik, tapi tak baca langsung.

 

وَكُن مِنَ الشّاكِرينَ

dan jadikanlah dirimu dari orang-orang yang bersyukur”.

Dan hendaklah baginda bersyukur atas nikmat Taurat yang telah diberikan kepada baginda. Itu adalah sebesar-besar nikmat. Kita mensyukuri sesuatu nikmat itu dengan menggunakannya untuk kebaikan. Jadi, kita pun sudah dapat Quran. Dan kalau kita tidak gunakan Quran ini untuk kebaikan, digunakan untuk mengurus hidup kita, sebagai pedoman dalam diri dan masyarakat dan juga negara, maka kita tidak dikira mensyukuri nikmat itu sepenuhnya. Bayangkan, ada orang beri barang kepada kita, tapi kita tidak pakai, bagaimanakah itu?


 

Ayat 145:

وَكَتَبنا لَهُ فِي الأَلواحِ مِن كُلِّ شَيءٍ مَوعِظَةً وَتَفصيلًا لِكُلِّ شَيءٍ فَخُذها بِقُوَّةٍ وَأمُر قَومَكَ يَأخُذوا بِأَحسَنِها ۚ سَأُريكُم دارَ الفاسِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We wrote for him on the tablets [something] of all things – instruction and explanation for all things, [saying], “Take them with determination and order your people to take the best of it. I will show you the home of the defiantly disobedient.”¹

  • This is a severe warning from Allāh against rebellion.

MALAY

Dan Kami telah menuliskan bagi Nabi Musa pada Lauh-lauh (Taurat) itu, dari pelbagai jenis nasihat pengajaran dan penjelasan bagi tiap-tiap sesuatu (dasar Syariat dan hukum-hukumnya). Oleh itu, terimalah dia (dan amalkanlah wahai Musa) dengan bersungguh-sungguh, dan suruhlah kaummu berpegang (serta mengamalkan) yang sebaik-baiknya (iaitu suruhan-suruhannya). Aku akan perlihatkan kepada kamu akan negeri orang-orang yang fasik – derhaka”.

 

وَكَتَبنا لَهُ فِي الأَلواحِ مِن كُلِّ شَيءٍ

Dan Kami telah menuliskan bagi Nabi Musa pada Lauh-lauh itu, semua perkara

Menurut suatu pendapat, lauh-lauh itu diberikan kepada Musa sebelum baginda menerima kitab Taurat. Lauh itu maksudnya ‘tablet’. Iaitu batu yang dipahat. Bagaimana rupanya, kita tidak tahu.

Apakah yang dimaksudkan dengan ‘semua perkara’ itu? Takkanlah semua perkara tentang dunia ini ditulis pula. Maksudnya adalah untuk semua perkara yang berhajat kepada agama. Semua perkara yang perlu diketahui tentang agama. Menurut suatu pendapat, bahawa Allah Swt. menuliskan di dalamnya semua pelajaran dan hukum-hukum yang terinci menerangkan tentang halal dan haram.

Macam dalam Quran, semua perkara tentang agama telah disentuh. Tapi tidaklah diperjelaskan satu persatu – kerana itu kita memerlukan kepada hadis.

 

مَوعِظَةً وَتَفصيلًا لِكُلِّ شَيءٍ

dari pelbagai jenis nasihat pengajaran dan penjelasan bagi tiap-tiap sesuatu

Dijelaskan dalam Taurat itu tentang perkara yang penting dalam agama, sebagai nasihat dan huraian bagi keperluan hukum syariat. Begitulah juga dengan Quran yang ada pada kita ini.

 

فَخُذها بِقُوَّةٍ

Oleh itu, peganglah dia dengan bersungguh-sungguh,

Setelah baginda tahu bahawa segala penjelasan yang penting ada dalam Taurat itu, maka baginda disuruh untuk berpeganglah dengan kuat bersunguh-sungguh. Begitu juga, disuruh untuk berpegang dengan Quran. Maksud ‘berpegang’ itu, kenalah belajar dan amalkan dengan bersungguh-sungguh. Jangan main-main, jangan pakai mana yang kita suka sahaja dan tinggalkan mana yang kita tak mahu nak buat. Itu tidak bersungguh-sungguh namanya.

 

وَأمُر قَومَكَ يَأخُذوا بِأَحسَنِها

dan suruhlah kaummu berpegang yang sebaik-baiknya

Dan wahyu Taurat itu bukan sahaja untuk baginda, tapi baginda untuk kaum baginda juga maka Allah suruh Nabi Musa sampaikan kepada kaumnya juga. Begitulah kita yang sudah belajar ini, kena sampaikan wahyu kepada manusia.

Kena lakukan ‘sebaik-baiknya’ bermaksud kena usaha untuk buat sehabis baik. Kena ada usaha dan bukannya sambil lewa sahaja. Dalam agama, kita kena gerakkan diri kita untuk belajar, untuk beribadat dan kena cari masa. Bukannya hanya belajar dan beribadat apabila ada masa luang sahaja. Kalau begitu, tentu akan ada sahaja perkara lain yang lebih penting. Syaitan akan sibukkan kita dengan perkara-perkara lain nanti. Malangnya, begitulah yang selalu dihadapi oleh masyarakat kita. Kalau kita ajak belajar, dia akan akan dia tengah sibuk dengan anak, dengan kerja, dengan rumah, dengan hobi dia dan sebagainya. Sampai ke tua dia jadi manusia yang jahil tentang agama.

 

سَأُريكُم دارَ الفاسِقينَ

Aku akan perlihatkan kepada kamu akan negeri orang-orang yang fasik”.

Maksudnya Allah akan memperlihatkan kepada mereka semua, dengan maksudnya memberikan kepada baginda dan Bani Israil itu, daerah bumi Baitulmaqdis yang waktu itu sedang diduduki oleh orang-orang fasik. Begitulah, apabila mereka sanggup melakukan perkara yang besar, maka mereka diberikan dengan dugaan yang lebih besar dan pulangan yang lebih besar. Iaitu memasuki Baitulmaqdis. Tapi semuanya bermula dengan perkara yang kecil-kecil dahulu. Belajar dan amalkan mana yang kita sudah belajar itu.

Dan pastikan kita belajar dan amalkan perkara yang sunnah. Amal ibadat yang bukan sunnah adalah sia-sia, tidak mendatang pahala.


 

Ayat 146:

سَأَصرِفُ عَن آياتِيَ الَّذينَ يَتَكَبَّرونَ فِي الأَرضِ بِغَيرِ الحَقِّ وَإِن يَرَوا كُلَّ آيَةٍ لا يُؤمِنوا بِها وَإِن يَرَوا سَبيلَ الرُّشدِ لا يَتَّخِذوهُ سَبيلًا وَإِن يَرَوا سَبيلَ الغَيِّ يَتَّخِذوهُ سَبيلًا ۚ ذٰلِكَ بِأَنَّهُم كَذَّبوا بِآياتِنا وَكانوا عَنها غافِلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

I will turn away from My signs those who are arrogant upon the earth without right; and if they should see every sign, they will not believe in it. And if they see the way of consciousness,¹ they will not adopt it as a way; but if they see the way of error, they will adopt it as a way. That is because they have denied Our signs and they were heedless of them.

  • i.e., reason and integrity.

MALAY

Aku akan memalingkan (hati) orang-orang yang sombong takbur di muka bumi dengan tiada alasan yang benar dari (memahami) ayat-ayatKu (yang menunjukkan kekuasaanKu); dan mereka (yang bersifat demikian) jika mereka melihat sebarang keterangan (bukti), mereka tidak beriman kepadanya, dan jika mereka melihat jalan yang (membawa kepada) hidayah petunjuk, mereka tidak mengambilnya sebagai jalan yang dilalui. Dan sebaliknya jika mereka melihat jalan kesesatan, mereka terus mengambilnya sebagai jalan yang dilalui. Yang demikian itu, kerana mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka sentiasa lalai daripadanya.

 

سَأَصرِفُ عَن آياتِيَ الَّذينَ يَتَكَبَّرونَ فِي الأَرضِ بِغَيرِ الحَقِّ

Aku akan memalingkan (hati) orang-orang yang sombong takbur di muka bumi dengan tiada alasan yang benar dari (memahami) ayat-ayatKu

Allah akan palingkan mereka dari memahami ayat-ayatNya. Siapa yang akan dipalingkan? Itulah mereka yang sombong dari terima kebenaran, tanpa alasan benar. Kalau mereka tolak kerana ada alasan, bolehlah dibincangkan, tapi mereka tolak begitu sahaja. Allah akan tolak mereka dari memahami ayat-ayat Allah kerana mereka tidak layak. Mereka sendiri yang tidak mahu kebenaran. Jadi jangan sombong untuk mendengar penjelasan dari orang yang sampaikan wahyu kepada kita. Kena buka telinga dan dengar dahulu apa yang hendak disampaikan itu.

Apabila Allah tutup hati mereka, itu dinamakan Khatmul Qalbi.

 

وَإِن يَرَوا كُلَّ آيَةٍ لا يُؤمِنوا بِها

dan jika mereka melihat sebarang keterangan (bukti), mereka tidak beriman kepadanya,

Orang-orang yang telah ditutup hati mereka, kalau pun mereka nampak setiap dalil pun, mereka tidak akan beriman. Inilah jenis orang-orang yang kalau kita beri ayat Quran pun, mereka tidak kisah, tidak mahu nak ubah sikap mereka. Macam ayat Quran itu tidak ada makna apa-apa pun pada mereka. Hati mereka telah keras.

 

وَإِن يَرَوا سَبيلَ الرُّشدِ لا يَتَّخِذوهُ سَبيلًا

dan jika mereka melihat jalan yang (membawa kepada) hidayah petunjuk, mereka tidak mengambilnya sebagai jalan yang dilalui.

Kalau nampak jalan menuju kebenaran, mereka tidak ambil jalan itu. Mereka tidak mengambil manhaj sunnah. Yang mereka pegang adalah jalan yang ramai dipakai oleh orang, walaupun jalan itu tidak semestinya benar. Kalau kita kata sesuatu amalan dan pendapat itu salah, mereka balas: ramai orang yang buat macam ini.

 

وَإِن يَرَوا سَبيلَ الغَيِّ يَتَّخِذوهُ سَبيلًا ۚ

Dan sebaliknya jika mereka melihat jalan kesesatan, mereka terus mengambilnya sebagai jalan yang dilalui.

Sebaliknya, jika mereka nampak jalan sesat, mereka terus jadikan jalan itu tempat laluan mereka. Mereka pakai jalan yang salah. Kerana mereka sudah tidak mahu mana satu jalan yang benar. Kerana mereka telah tolak wahyu. Apabila mereka tolak wahyu, mereka sudah tidak ada kayu ukur untuk memastikan mana jalan yang benar dan mana jalan yang tidak. Oleh itu, ramai yang sangka mereka beriman, mereka sudah alim, mereka ahli ibadat, tapi mereka beriman yang salah, mereka alim dalam ilmu yang salah dan mereka buat ibadat yang tidak benar, ibadat yang bidaah.

 

ذٰلِكَ بِأَنَّهُم كَذَّبوا بِآياتِنا

Yang demikian itu, kerana mereka mendustakan ayat-ayat Kami

Mereka jadi begitu kerana mereka tolak ayat-ayat Allah dari dibaca dan dijelaskan kepada mereka. Kalau kita beritahu, mereka kata itu adalah ‘dusta’.

وَكانوا عَنها غافِلينَ

dan mereka sentiasa lalai daripadanya.

Kenapa mereka sampai sanggup mendustakan ayat-ayat Allah? Kerana asalnya mereka lalai dari mempelajarinya. Mereka buat tidak kisah kepada ayat-ayat Allah. Pelajaran lain mereka belajar, tapi tafsir Quran mereka tidak belajar. Mereka tidak buat usaha pun untuk mengetahui apakah maksud ayat-ayat Quran itu. Mereka lalai dari belajar tentang Quran. Ilmu feqah, ilmu hadis, mereka belajar, tapi tidak belajar lagi tafsir Quran, tidak berguna juga.

Maulana Hadi Al A’raf 103-146

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 007: al-A'raf. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s