Tafsir Surah al-A’raf Ayat 131 – 134 (Bala yang dikenakan kepada kaum Firaun)

Ayat 131:

فَإِذا جاءَتهُمُ الحَسَنَةُ قالوا لَنا هٰذِهِ ۖ وَإِن تُصِبهُم سَيِّئَةٌ يَطَّيَّروا بِموسىٰ وَمَن مَعَهُ ۗ أَلا إِنَّما طائِرُهُم عِندَ اللَّهِ وَلٰكِنَّ أَكثَرَهُم لا يَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But when good [i.e., provision] came to them, they said, “This is ours [by right].” And if a bad [condition] struck them, they saw an evil omen in Moses and those with him. Unquestionably, their fortune is with Allāh, but most of them do not know.

MALAY

Kemudian apabila datang kepada mereka kesenangan mereka berkata: “Ini ialah hasil usaha kami”, dan jika mereka ditimpa kesusahan, mereka mengatakan sial itu disebabkan oleh Nabi Musa dan pengikut-pengikutnya. (Tuhan berfirman): Ketahuilah, sesungguhnya nahas dan malang mereka itu hanya di tetapkan di sisi Allah, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.

 

فَإِذا جاءَتهُمُ الحَسَنَةُ قالوا لَنا هٰذِهِ

apabila datang kepada mereka kesenangan mereka berkata: “Ini ialah hasil usaha kami”,

Apabila dikenakan kepada mereka yang tidak beriman itu dengan musibah dan apabila diberikan kembali kesenangan hidup kepada mereka, mereka kata memang mereka berhak untuk dapat kesenangan hidup itu. Mereka kata mereka dapat kesenangan itu adalah kerana hasil usaha mereka. Mereka tidak meletakkan qudrat Allah dalam hal itu.

Begitulah juga, kalau kita rasa kita berjaya kerana hasil usaha kita sahaja, maka samalah kita dengan fahaman sesat Firaun dan kaumnya itu.

 

وَإِن تُصِبهُم سَيِّئَةٌ يَطَّيَّروا بِموسىٰ وَمَن مَعَهُ

dan jika mereka ditimpa kesusahan, mereka mengatakan sial itu disebabkan oleh Nabi Musa dan pengikut-pengikutnya. 

Dan sekiranya mereka ditimpa musibah macam kemarau, mereka tuduh sial itu dengan Nabi Musa dan pengikut baginda yang beriman. Inilah satu kepercayaan yang karut yang mengatakan ada sial pada sesuatu. Jadi kalau kita pun kata ada orang sial, maka kita perangai macam Firaun dan pengikut Firaun. Ini pun banyak terjadi dalam masyarakat. Sebagai contoh, ada yang kata, semenjak dia berkawan dengan seseorang itu, hidup dia penuh sial. Ini adalah fahaman yang jauh dari agama.

Puak Firaun itu kata, mereka kena musibah itu sebab Nabi Musa dan pengikutnya yang beriman sudah tidak sembah tuhan-tuhan mereka lah. Begitulah juga kalau dari kalangan orang kita, yang kata kena bala kerana tak buat itu dan ini. Sebagai contoh, kalau ada diruntuhkan makam wali yang mereka sembah, kemudian datang bala, mereka kata sebab runtuhkan makam itulah. Sedangkan kalau makam itu dijadikan tempat pemujaan, memang kena diruntuhkan kerana ianya menyebabkan syirik.

 

أَلا إِنَّما طائِرُهُم عِندَ اللَّهِ

Ketahuilah, sesungguhnya malang mereka itu hanya di tetapkan di sisi Allah,

Sedangkan, sebenarnya asbab musibah itu di sisi Allah – semua yang terjadi adalah atas keputusan Allah. Bukan atas sial sesiapa sahaja.

 

وَلٰكِنَّ أَكثَرَهُم لا يَعلَمونَ

akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.

Ramai yang tidak memahami perkara ini. Mereka merasakan bahawa segala apa yang terjadi adalah hanya atas hasil usaha mereka sahaja. Mereka lupa bahawa segala usaha mereka tidak memberi bekas, melainkan kalau Allah yang kehendaki ia terjadi.


 

Ayat 132:

وَقالوا مَهما تَأتِنا بِهِ مِن آيَةٍ لِتَسحَرَنا بِها فَما نَحنُ لَكَ بِمُؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they said, “No matter what sign you bring us with which to bewitch us, we will not be believers in you.”

MALAY

Dan mereka berkata: “Walau apa sahaja (jenis-jenis) keterangan (mukjizat) yang engkau bawa kepada kami; (wahai Musa), untuk menjalankan sihirmu kepada kami, maka kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu”.

 

وَقالوا مَهما تَأتِنا بِهِ مِن آيَةٍ

Dan mereka berkata: “Walau apa sahaja (jenis-jenis) keterangan (mukjizat) yang engkau bawa kepada kami;

Mereka yang tidak mahu beriman dengan Nabi Musa kata, apa sahaja cara baginda dawa dalil kepada mereka, dengan tunjuk mukjizat dan dalil, mereka tidak akan beriman. Lafaz مَهما bermaksud ‘apa-apa sahaja’ dalam bentuk mubalaghah – bersangatan. Maknanya mereka nak tolak semuanya sekali.

 

لِتَسحَرَنا بِها

untuk menjalankan sihirmu kepada kami,

Mereka menambah dengan mengatakan apa yang Nabi Musa bawa itu adalah sihir belaka untuk menipu mereka. Begitulah juga yang dikatakan oleh Musyrikin Mekah kepada Nabi Muhammad. Kerana mereka lihat bagaimana ramai yang mendengar ajaran Quran dari baginda masuk Islam, maka mereka kata orang yang masuk Islam itu sudah kena sihir. Dan zaman sekarang pun ada juga yang kata begitu. Ada orang yang kata ustaz-ustaz yang mengajar tafsir Quran telah menyihir orang lain dengan Quran. Ma sha Allah, sama sahaja mereka dengan pengikut Firaun.

 

فَما نَحنُ لَكَ بِمُؤمِنينَ

maka kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu”.

Mereka tegaskan kepada Nabi Musa yang mereka tidak akan beriman langsung kepada baginda. Sifat beginilah yang menyebabkan mereka langsung tidak beriman sampai bila-bila dan mereka dikenakan dengan azab. Kerana mereka ada sifat yang terus menolak. Tidak mahu mendengar langsung. Begitulah yang terjadi kepada orang kita pun kalau mereka ada sifat begitu. Dalam hati mereka, awal-awal lagi dah tolak dari dengar pengajaran tafsir Quran. Mereka tidak mahu nak buka telinga dan dengar dahulu. Mereka tolak sebelum dengar. Padahal, kalau nak tolak pun, dengarlah dulu apa yang hendak dikatakan oleh mereka yang mengajar itu.


 

Ayat 133:

فَأَرسَلنا عَلَيهِمُ الطّوفانَ وَالجَرادَ وَالقُمَّلَ وَالضَّفادِعَ وَالدَّمَ آياتٍ مُفَصَّلاتٍ فَاستَكبَروا وَكانوا قَومًا مُجرِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So We sent upon them the flood and locusts and lice and frogs and blood as distinct signs, but they were arrogant and were a criminal people.

MALAY

(Allah berfirman): Kami pun menghantarkan kepada mereka taufan, dan belalang, dan kutu, dan katak, dan darah, sebagai tanda-tanda dan bukti yang jelas nyata, maka mereka juga tetap berlaku sombong takbur dan menjadi kaum yang menderhaka.

 

فَأَرسَلنا عَلَيهِمُ الطّوفانَ

Maka Kami pun menghantarkan kepada mereka taufan,

Allah beri bukti yang Allah boleh hukum mereka di dunia ini dengan jelas. Ada beberapa musibah yang dikenakan kepada mereka kerana mereka menolak kebenaran yang disampaikan oleh Nabi Musa. Yang pertama disebut adalah taufan. Dari lafaz yang membawa maksud berpusing. Dari lafaz yang sama juga digunakan untuk tawaf. Dan taufan itu bukankah ianya berpusing-pusing?

 

وَالجَرادَ وَالقُمَّلَ وَالضَّفادِعَ وَالدَّمَ

dan belalang, dan kutu, dan katak, dan darah, 

Dan mereka diganggu oleh belalang. Waktu itu belalang ada di mana-mana – dalam rumah, luar rumah, atas katil, bawah katil dan sebagainya. Nak makan minum pun susah. Dan belalang itu merosakkan tanaman mereka. Ada dikatakan bahawa belalang-belalang itu memakan habis semua paku pintu-pintu mereka tanpa memakan kayunya.

Kemudian mereka dikenakan dengan gangguan kutu yang ada di mana-mana. Tak boleh nak buang sebab banyak sangat. Ianya adalah ulat yang keluar dari bebijian, kepada mereka. Tersebutlah bahawa seseorang lelaki bila keluar dengan membawa sepuluh karung biji gandum ke tempat penggilingannya, maka begitu ia sampai ke tempat penggilingannya tiada yang tersisa kecuali hanya tiga genggam gandum saja (semuanya berubah menjadi ulat).

Kemudian dikenakan dengan gangguan katak yang datang entah dari mana tapi ada di merata-rata tempat. Tiada seorang pun yang duduk melainkan seluruh negeri penuh dengan katak sampai mencapai dagunya. Dan bila seseorang hendak berkata, begitu ia membuka mulutnya, maka pasti ada katak yang masuk ke dalam mulutnya.

Kemudian darah di mana-mana. Sehingga tidak sekali-kali mereka mengambil air minum —baik dari sungai ataupun dari sumur-sumur— melainkan mereka menjumpai air itu dalam bekasnya berubah menjadi merah, iaitu berubah menjadi darah segar.

 

 

آياتٍ مُفَصَّلاتٍ

sebagai tanda-tanda yang jelas nyata, 

Semua itu menjadi tanda yang jelas bagi mereka bahawa mereka telah melakukan kesalahan kerana menolak kebenaran.

Ia juga bermakna azab itu lama dan bukan sebentar sahaja. Ini adalah kerana Allah nak ajar mereka. Azab itu datang satu persatu, bukan datang sekali gus. Mula-mula datang taufan, dan bila taufan dah habis didatangkan dengan belalang dan seterusnya.

 

فَاستَكبَروا وَكانوا قَومًا مُجرِمينَ

maka mereka juga tetap berlaku sombong takbur dan menjadi kaum yang berdosa.

Walaupun sudah dikenakan dengan berbagai-bagai bala bencana itu, mereka masih lagi sombong untuk terima kebenaran. Memang lah mereka kaum yang amat degil. Mereka terus melakukan dosa tanpa henti.


 

Ayat 134:

وَلَمّا وَقَعَ عَلَيهِمُ الرِّجزُ قالوا يا موسَى ادعُ لَنا رَبَّكَ بِما عَهِدَ عِندَكَ ۖ لَئِن كَشَفتَ عَنَّا الرِّجزَ لَنُؤمِنَنَّ لَكَ وَلَنُرسِلَنَّ مَعَكَ بَني إِسرائيلَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when the punishment descended upon them, they said, “O Moses, invoke for us your Lord by what He has promised you. If you [can] remove the punishment from us, we will surely believe you, and we will send with you the Children of Israel.”

MALAY

Dan apabila azab yang tersebut itu menimpa mereka, mereka (merayu dengan) berkata: “Wahai Musa! Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami dengan janji yang telah diberikanNya kepadamu. Sesungguhnya jika engkau hapuskan azab itu daripada kami, tentulah kami akan beriman kepadamu, dan sudah tentu kami akan membebaskan kaum Bani Israil (pergi) bersamamu”.

 

وَلَمّا وَقَعَ عَلَيهِمُ الرِّجزُ

Dan apabila azab yang tersebut itu menimpa mereka, 

Iaitu setiap kali datang satu-satu azab itu. Lafaz الرِّجزُ selalunya digunakan untuk puisi yang yang mengandungi lafaz-lafaz yang menakutkan untuk menakutkan musuh. Ianya sesuatu yang menyebabkan fikiran kita terganggu. Dalam konteks ayat ini, ia merujuk kepada bala-bala yang dikenakan kepada Firaun dan pengikutnya itu – taufan, belalang dan sebagainya.

 

قالوا يا موسَى ادعُ لَنا رَبَّكَ بِما عَهِدَ عِندَكَ

mereka berkata: “Wahai Musa! Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami dengan janji yang telah diberikanNya kepadamu. 

Setiap kali mereka ditimpa dengan azab itu, mereka akan datang jumpa Nabi Musa dan merayu kepada baginda. Mereka suruh baginda doa kepada Allah. Sebelum ini mereka tolak baginda, tapi bila dah ada masalah, pandai pula cari baginda untuk menyelesaikan masalah mereka. Beginilah perangai orang yang kufur. Bila dah susah, baru nak cari Tuhan.

Yang dimaksudkan dengan janji yang telah diberikan kepada baginda itu adalah janji yang Allah akan makbul doa Nabi. Mereka nak kata, kalau kamu benar Nabi, maka doalah kepada Tuhan kamu itu.

Ayat ini juga menunjukkan bagaimana ketua-ketua kaum itu tidak tahu nak buat apa, sampai terpaksa pergi cari Nabi Musa. Kalau sebelum itu, mereka berlagak sangat.

 

لَئِن كَشَفتَ عَنَّا الرِّجزَ لَنُؤمِنَنَّ لَكَ

Sesungguhnya jika engkau hapuskan azab itu daripada kami, tentulah kami akan ikut kepadamu, 

Mereka bukan datang dengan tangan kosong, tapi mereka datang dengan bawa janji. Mereka kata kalau bala itu diangkat dari mereka, mereka akan ikut cakap baginda. Kerana mereka sudah tidak tahu nak buat apa lagi. Tapi bukanlah mereka nak beriman sepenuhnya. Lihatlah lafaz yang digunakan adalah لَكَ (kepada engkau). Kalau mereka benar-benar beriman, lafaz yang digunakan adalah بك. Maknanya, mereka nak kata, mereka akan ikutlah apa yang disampaikan oleh baginda kerana ‘terpaksa’.

 

وَلَنُرسِلَنَّ مَعَكَ بَني إِسرائيلَ

dan kami akan membebaskan kaum Bani Israil (pergi) bersamamu”.

Dan mereka berjanji akan melepaskan Bani Israil yang mereka perhambakan itu, kepada Nabi Musa. Kerana ini adalah salah satu dari perkara yang diminta oleh baginda. Sebelum itu mereka tak layan langsung kerana Bani Israil itu adalah hamba-hamba mereka, jadi mereka tak mahu nak melepaskan tenaga kerja mereka. Tapi mereka terpaksa untuk menawarkan perkara itu sekarang kerana mereka sudah tahu yang mereka tidak ada apa cara lagi nak buat untuk menyelamatkan diri mereka.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 007: al-A'raf. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s