Tafsir Surah al-A’raf Ayat 77 – 81 (Kisah Nabi Luth a.s.)

Ayat 77:

فَعَقَرُوا النّاقَةَ وَعَتَوا عَن أَمرِ رَبِّهِم وَقالوا يا صالِحُ ائتِنا بِما تَعِدُنا إِن كُنتَ مِنَ المُرسَلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So they hamstrung the she-camel and were insolent toward the command of their Lord and said, “O Ṣāliḥ, bring us what you promise us, if you should be of the messengers.”

MALAY

Maka mereka pun menyembelih unta itu, dan mereka menderhaka terhadap perintah Tuhan mereka, sambil berkata: “Hai Soleh! Datangkanlah azab yang engkau telah janjikan kepada kami, jika betul engkau dari Rasul-rasul yang diutus (oleh Allah)”.

 

فَعَقَرُوا النّاقَةَ

Maka mereka pun menyembelih unta itu,

Tapi akhirnya mereka sembelih unta mukjizat itu. Setelah unta tersebut hidup bersama mereka cukup lama di kalangan mereka, dan mereka makin hebat dalam mendustakan Nabi Saleh a.s., maka mereka bertekad untuk membunuh unta betina itu dengan tujuan agar bahagian airnya dapat mereka peroleh setiap harinya – tidaklah lagi berkongsi air dengan unta itu kerana hari unta itu minum, mereka mereka tidak dapat minum air.

Menurut suatu pendapat, mereka semuanya sepakat untuk mem­bunuh unta betina itu. Qatadah mengatakan, telah sampai kepadaku suatu kisah yang mengatakan bahwa lelaki yang membunuh unta itu terlebih dahulu berkeliling menemui semua kaumnya untuk memperoleh persetujuan dalam membunuh unta itu; yang dimintai persetujuan termasuk kaum wanita yang berada di dalam khemah-khemah dan juga anak-anak.

Perbuatan membunuh unta itu disandarkan kepada keseluruhan kabilah, maka hal ini menunjukkan bahawa mereka semuanya setuju dengan perbuatannya.

 

وَعَتَوا عَن أَمرِ رَبِّهِم

dan mereka menderhaka terhadap perintah Tuhan mereka,

Mereka telah menderhaka arahan Allah. Lafaz عَتَوا dari katadasar عتو yang bermaksud melawan jenis hendak menunjuk mereka melawan. Kerana ada jenis melawan tapi di belakang sahaja. Tapi mereka ini memang melawan berdepan. Sengaja hendak menunjuk.

 

وَقالوا يا صالِحُ ائتِنا بِما تَعِدُنا إِن كُنتَ مِنَ المُرسَلينَ

dan mereka berkata: “Hai Soleh! Datangkanlah azab yang engkau telah janjikan kepada kami, jika betul engkau dari Rasul-rasul yang diutus

Lihatlah betapa kurang ajarnya mereka. Mereka telah bunuh unta mukjizat itu walaupun mereka tahu ada amaran tentang larangan mengganggu unta itu. Tapi mereka lakukan juga dan mereka kata bawalah ke mari azab itu.

Setelah mereka melakukan hal tersebut dan penyembelihan unta betina itu telah selesai mereka kerjakan, beritanya terdengar oleh Nabi Saleh a.s. Maka Nabi Saleh mendatangi mereka di saat mereka sedang berkumpul. Ketika Nabi Saleh melihat bahwa unta betina itu telah disembelih, ia menangis dan berkata, seperti yang dikisahkan oleh firman-Nya:

تَمَتَّعُوا فِي دَارِكُمْ ثَلاثَةَ أَيَّامٍ

Bersuku rialah kalian di rumah kalian selama tiga hari. (Hud: 65), hingga akhir ayat.

Pembunuhan unta tersebut terjadi pada hari Rabu. Pada petang harinya kesembilan orang lelaki yang telah membunuh unta itu telah bertekad akan membunuh Nabi Saleh pula. Mereka mengatakan, “Jika dia benar, maka berarti kita mendahuluinya mati sebelum kita mati (kerana azab). Jika dia dusta, maka kita timpakan kepadanya nasib yang sama seperti yang dialami untanya itu.”


 

Ayat 78: Inilah balasan yang dikenakan kepada mereka.

فَأَخَذَتهُمُ الرَّجفَةُ فَأَصبَحوا في دارِهِم جاثِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So the earthquake seized them, and they became within their home [corpses] fallen prone.

MALAY

Oleh itu, mereka pun dibinasakan oleh gempa bumi, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing.

 

فَأَخَذَتهُمُ الرَّجفَةُ

Oleh itu, mereka pun dibinasakan oleh gempa bumi,

Kerana kesalahan mereka, mereka telah ditimpa dengan gegaran dan tempikan. Gegaran itu dari bumi, dan tempikan itu dari langit. Ianya menyebabkan kekacauan yang amat sangat, ganas sekali.

 

فَأَصبَحوا في دارِهِم جاثِمينَ

lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing.

Gegaran dan tempikan itu telah mematikan mereka dan mereka jatuh sendiri dalam runtuhan rumah mereka, dalam keadaan mereka menyembah bumi. Lafaz فَأَصبَحوا bermaksud mereka jadi begitu apabila waktu subuh datang. Semua rumah mereka hancur. Lafaz جاثِمينَ asalnya digunakan untuk burung yang sudah tidak boleh terbang lagi, kerana sakit, hanya duduk di tanah sahaja. Memberi gambaran bahawa kaum Tsamud itu jatuh bergelempangan di tanah sahaja. Mayat merata-rata. Di awal kisah mereka telah disebut bagaimana mereka diberikan kekuatan tubuh badan. Tapi sekarang, disebut tentang mereka tidak ada kuasa langsung dan mereka mati dalam keadaan hina dina.


 

Ayat 79:

فَتَوَلّىٰ عَنهُم وَقالَ يا قَومِ لَقَد أَبلَغتُكُم رِسالَةَ رَبّي وَنَصَحتُ لَكُم وَلٰكِن لا تُحِبّونَ النّاصِحينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And he [i.e., Ṣāliḥ] turned away from them and said, “O my people, I had certainly conveyed to you the message of my Lord and advised you, but you do not like advisors.”

MALAY

Maka Nabi Soleh pun meninggalkan mereka sambil berkata: “Wahai kaumku! Aku telah menyampaikan kepada kamu perutusan Tuhanku, dan aku telah memberi nasihat kepada kamu, tetapi kamu tidak suka kepada orang-orang yang memberi nasihat”.

 

فَتَوَلّىٰ عَنهُم

Maka Nabi Soleh pun meninggalkan mereka

Seperti yang telah diberitahu sebelum ini, Allah menyelamatkan orang beriman dari dikenakan dengan azab itu. Mereka disuruh untuk menyelamatkan diri mereka.

 

وَقالَ يا قَومِ لَقَد أَبلَغتُكُم رِسالَةَ رَبّي

sambil berkata: “Wahai kaumku! Aku telah menyampaikan kepada kamu perutusan Tuhanku, 

Nabi Saleh memberitahu yang dia telah sampaikan wahyu dari Tuhan kepada mereka. Mungkin Nabi Saleh berkata sendirian sahaja, selepas mereka dihancurkan. Ini adalah sebagai madah sahaja, mengenang kekesalan atas perkara yang telah berlaku. Ungkapan ini merupakan kecaman dari Nabi Saleh a.s. terhadap kaumnya setelah Allah memusnahkan mereka karena menentangnya, membangkang terhadap perintah Allah, serta takabur tidak mau menerima kebenaran, dan berpaling dari petunjuk menuju kepada kebutaan.
Nabi Saleh mengatakan demikian kepada mereka setelah mereka dibinasakan sebagai kecaman dan cemoohan, karena mereka memang mendengarnya. Jangan pula dijadikan untuk mengatakan yang orang yang sudah mati mendengar suara mereka yang hidup. Ini adalah mukjizat yang Allah berikan waktu itu sahaja, sama seperti yang diberikan kepada Nabi Muhammad seperti yang disebutkan di dalam kitab Sahihain, bahawa ketika Rasulullah Saw. beroleh kemenangan dalam Perang Badar, maka beliau tinggal di Badar selama tiga hari. Setelah itu beliau memerintah­kan agar unta kendaraannya dipersiapkan untuk berangkat; hal ini terjadi setelah tiga malam berlangsung, iaitu pada penghujungnya. Rasulullah Saw. menaiki unta kendaraannya dan berjalan sampai di sumur Qulaib, lalu berhenti di dekatnya dan bersabda:

“يَا أَبَا جَهْلِ بْنَ هِشَامٍ، يَا عُتْبَةُ بْنَ رَبِيعَةَ، يَا شَيْبَةُ بْنَ رَبِيعَةَ، وَيَا فُلَانُ بْنَ فُلَانٍ: هَلْ وَجَدْتُمْ مَا وَعَدَ رَبُّكُمْ حَقًّا؟ فَإِنِّي وَجَدْتُ مَا وَعَدَنِي رَبِّي حَقًّا”. فَقَالَ لَهُ عُمَرُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، مَا تُكَلّم مِنْ أَقْوَامٍ قَدْ جُيِّفُوا؟ فَقَالَ: “وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، مَا أَنْتُمْ بِأَسْمَعَ لِمَا أَقُولُ مِنْهُمْ، وَلَكِنْ لَا يُجِيبُونَ”.

Hai Abu Jahal ibnu Hisyam, hai Atabah ibnu Rabi’ah, hai Syaibah ibnu Rabi’ah, dan hai Fulan bin Fulan, bukankah kalian sekarang telah menjumpai apa yang telah dijanjikan oleh Tuhan kalian sebagai suatu kenyataan. Kerana sesungguhnya aku pun telah menjumpai apa yang telah dijanjikan oleh Tuhanku kepadaku secara nyata. Maka Umar bertanya kepada Nabi Saw., “Wahai Rasulullah, mengapa engkau berbicara kepada orang-orang yang telah menjadi bangkai?” Rasulullah Saw. bersabda: Demi Tuhan yang jiwaku berada di dalam genggaman kekuasaan­Nya, kalian sekali-kali bukanlah orang-orang yang lebih mendengar perkataanku daripada mereka, tetapi mereka tidak dapat menjawab.

Kita kena terima kejadian ini sebagai mukjizat waktu itu sahaja, kerana tidak ada lagi contoh lain dimana Nabi buat perkara yang sama. Ramai yang keliru sampai menggunakan hadis ini sebagai dalil untuk menyatakan yang orang mati boleh mendengar, maka mereka buatlah seruan kepada ahli kubur dan sebagainya. Mereka gunakan dalil untuk buat perkara yang syirik – ini amat malang.

 

وَنَصَحتُ لَكُم وَلٰكِن لا تُحِبّونَ النّاصِحينَ

dan aku telah memberi nasihat kepada kamu, tetapi kamu tidak suka kepada orang-orang yang memberi nasihat”.

Dan baginda juga telah beri nasihat yang cukup kepada mereka. Tapi mereka sahaja yang tidak suka kepada yang memberi nasihat. Macam orang kita jugalah, marah betul kalau kita beri nasihat dan nasihat itu tidak kena dengan apa yang mereka rasa betul. Sebagai contoh, kalau kita kata yang amalan yang mereka lakukan itu adalah bidaah, mereka melenting kemarahan. Sedangkan sepatutnya mereka bersyukurlah ada orang yang beri nasihat. Kerana kalau tidak ada yang beri nasihat, siapa lagi yang akan ingatkan kita kalau kita buat perkara yang salah?

Ayat-ayat ini banyak menceritakan kemusnahan kaum – Kaum Nabi Nuh, kaum Aad dan juga kaum Tsamud. Ayat-ayat itu dibacakan kepada musyrikin Mekah yang sedang menolak Nabi Muhammad. Nabi Muhammad tidak mahukan kemusnahan kepada kaum baginda. Oleh itu, Allah sedang memberi peringatan kepada penduduk Mekah, janganlah jadi macam umat-umat terdahulu itu. Kerana Allah boleh sahaja kenakan semua azab itu kepada mereka juga.


 

Ayat 80: Sekarang kita masuk kepada kisah keempat dan kisah kelima. Kedua-dua kisah seterusnya ini adalah sebagai penerangan kepada Dakwa yang kedua: iaitu kena jaga syariat dan ikut wahyu dan jangan ikut hawa nafsu.

Oleh itu, ada enam kisah para Nabi – tiga yang pertama adalah untuk menjelaskan Dakwa Pertama; Kisah keempat dan kelima adalah untuk menjelaskan Dakwa Kedua dan Kisah keenam nanti untuk menjelaskan Dakwah ketiga. Surah al-A’raf ini ada tiga Dakwa.

وَلوطًا إِذ قالَ لِقَومِهِ أَتَأتونَ الفاحِشَةَ ما سَبَقَكُم بِها مِن أَحَدٍ مِنَ العالَمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [We had sent] Lot when he said to his people, “Do you commit such immorality as no one has preceded you with from among the worlds [i.e., peoples]?

MALAY

Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: “Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu?

 

وَلوطًا

Dan Nabi Luth 

Allah juga telah mengutus Nabi Luth kepada kaumnya. Nama penuh Luth adalah Ibnu Haran ibnu Azar,

Ada tafsir yang mengatakan yang Nabi Luth dan kaumnya itu adalah dari bangsa berlainan. Maknanya, Nabi Luth datang dari luar. Ini mungkin benar kerana baginda sebenarnya adalah anak saudara lelaki Nabi Ibrahim Al-Khalil a.s. Baginda telah beriman bersama Nabi Ibrahim a.s. dan telah hijrah ke tanah Syam bersamanya. Kemudian Allah mengutus Nabi Luth kepada kaum Sodom dan daerah-daerah sekitarnya untuk menyeru mereka agar menyembah Allah Swt., memerintahkan mengerjakan kebajikan, dan melarang mereka melakukan perbuatan mungkar. Saat itu kaum Sodom tenggelam di dalam perbuatan-perbuatan yang berdosa, hal-hal yang diharamkan, serta perbuatan fahisyah yang mereka adakan sendiri dan belum pernah dilakukan oleh seorang pun dari kalangan Bani Adam dan juga oleh lainnya; iaitu mendatangi jenis laki-laki, bukannya jenis perempuan (homoseks).

 

إِذ قالَ لِقَومِهِ أَتَأتونَ الفاحِشَةَ

Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: “Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji,

Nabi Luth a.s. disuruh oleh Allah untuk memperbaiki amalan punah kaum itu dimana orang lelaki mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu mereka – sekarang dikenali sebagai amalan homoseksual yang juga semakin banyak diamalkan oleh masyarakat kita. Ianya adalah satu perbuatan yang hina dan keji. Ianya tidak diterima langsung oleh agama Islam.

 

ما سَبَقَكُم بِها مِن أَحَدٍ مِنَ العالَمينَ

yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu?

Dalam ayat ini, jelas menunjukkan bahawa yang pertama sekali melakukan amalan homoseksual ini adalah kaum Nabi Luth itu. Kerana sebelum itu tidak pernah ada lagi dilakukan oleh manusia. Maksudnya, amalan homoseksual ini tidak normal, ianya adalah perkara yang baru.

Zaman sekarang, boleh dikatakan sudah merebak perbuatan homoseksual ini. Tapi masih lagi dipandang serong oleh masyarakat. Walaupun ada gerakan untuk membebaskan pengamal ini, tapi belum lagi sampai ke tahap itu. Gerakan itu berusaha untuk menjadikan perbuatan homoseksual ini sebagai normal, tidak ada apa sebenarnya. Dan filem-filem dari Barat tidak membantu langsung. Dalam filem-filem itu, ditunjukkan bagaimana orang yang mengamalkan homoseksual ini macam orang normal sahaja, mereka ditindas dan dipandang serong sampai kalau kita tengok tanpa iman, kita rasa macam tidak ada masalah pun dengan orang homoseksual ini. Dan filem itu buat, sampaikan kalau kita yang tidak suka kepada homoseksual, kita pula yang ada masalah, masya Allah! Sampaikan pening para pemimpin dunia sekarang, tidak boleh nak mengatakan sangat berkenaan homoseksual ini kerana takut mereka hilang undi kerana pengamal homoseksual semakin ramai. Dan ada kalangan pemimpin negara yang homoseksual.

Tapi ingatlah yang perbuatan homoseksual adalah perbuatan yang terkeji. Ianya tidak dapat diterima langsung oleh masyarakat dan lebih-lebih lagi dalam agama – sampai bila-bila. Hukuman yang dikenakan ke atas mereka yang mengamalkan homoseksual adalah berat sekali, dimana terpulang kepada khalifah. Ada khalifah yang menjalankan hukuman dibuang dari atas bukit sampai mati.

Yang pasti, ianya adalah satu penyakit dan mesti dibenteras dan dicari ubatnya. Ianya adalah penyakit psikologi. Ianya mengubah benda yang normal menjadi tidak normal. Normalnya adalah seorang lelaki akan mengadakan hubungan kelamin dengan wanita, bukan dengan lelaki lain. Tapi penyakit ini selalunya menyerang manusia di awal usia mereka. Kadang-kadang ada kanak-kanak yang sudah ada perasaan lain macam terhadap sesama jenis mereka dari kecil lagi. Selalunya ini terjadi apabila mereka melihat bahan lucah. Inilah masalah yang kita hadapi sekarang – media massa yang terlalu terbuka sampaikan benda yang tidak elok pun senang untuk didapati.

Oleh itu, sebagai ibubapa, kita kena mainkan perasan kita untuk mengawal apa yang masuk ke dalam minda anak-anak kita. Kalau kita biarkan sahaja, mereka akan dapat bahan kotor dengan mudah dan nanti susah untuk dibersihkan. Sebagai contoh, jangan biarkan anak-anak dengan bahan media seperti komputer dan tablet tanpa kawalan. Jangan biarkan mereka memakainya tanpa kita dapat melihat apa yang mereka sedang lihat. Macam komputer, pastikan ianya ada di ruang tamu, bukan dalam bilik mereka sampaikan kita tidak tahu apa yang mereka sedang lihat. Kita kena lakukan perkara ini kerana tidak ada sesiapa pun yang terselamat dari bahaya ini. Kalau kita buat senyap pun tentang perkara ini, ianya tidak akan pergi ke mana, ianya tetap ada.


 

Ayat 81: Ini adalah huraian bagi maksud lafaz الفاحِشَةَ yang telah disebut dalam ayat sebelum ini.

إِنَّكُم لَتَأتونَ الرِّجالَ شَهوَةً مِن دونِ النِّساءِ ۚ بَل أَنتُم قَومٌ مُسرِفونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, you approach men with desire, instead of women. Rather, you are a transgressing people.”

MALAY

“Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas”.

 

إِنَّكُم لَتَأتونَ الرِّجالَ شَهوَةً مِن دونِ النِّساءِ

“Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan,

Sepatutnya seorang lelaki mempunyai nafsu terhadap wanita, inilah yang normal. Tapi kalau lelaki ada nafsu terhadap lelaki lain, tidak ada nafsu terhadap perempuan, ini adalah masalah yang besar. Inilah terjadi dalam kaum Nabi Luth a.s.

 

بَل أَنتُم قَومٌ مُسرِفونَ

bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas”.

Mereka dikatakan melampau batas itu kerana boleh jadi kerana mereka telah melakukan syirik. Iaitu jenis syirik amali. Iaitu apabila mereka katakan halal bagi lelaki mendatangi lelaki. Itu adalah haram, tapi apabila mereka katakan ianya halal, itu bermaksud mereka telah mengubah hukum yang Allah telah tetapkan. Buat hukum halal haram adalah haq Allah, dan kalau kita ambil haq itu, itulah yang dinamakan syirik.

Atau maksud melampau batas itu boleh jadi kerana dalam perbuatan homoseksual, mereka membazir benih kerana lelaki tidak boleh mengandung.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 007: al-A'raf and tagged , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s