Tafsir Surah al-A’raf Ayat 28 – 30 (Ikut amalan tok nenek)

Ayat 28:

وَإِذا فَعَلوا فاحِشَةً قالوا وَجَدنا عَلَيها آباءَنا وَاللَّهُ أَمَرَنا بِها ۗ قُل إِنَّ اللَّهَ لا يَأمُرُ بِالفَحشاءِ ۖ أَتَقولونَ عَلَى اللَّهِ ما لا تَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when they commit an immorality, they say, “We found our fathers doing it, and Allāh has ordered us to do it.” Say, “Indeed, Allāh does not order immorality. Do you say about Allāh that which you do not know?”

(MALAY)

Dan apabila mereka melakukan perbuatan keji, mereka berkata: “Kami mendapati nenek moyang kami mengerjakan yang demikian itu, dan Allah menyuruh kami mengerjakannya”. Katakanlah: “Sesungguhnya Allah tidak menyuruh (mengerjakan) perbuatan yang keji”. Adakah kamu mengada-adakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui?

 

وَإِذا فَعَلوا فاحِشَةً قالوا وَجَدنا عَلَيها آباءَنا

Dan apabila mereka melakukan perbuatan keji, mereka berkata: “Kami mendapati nenek moyang kami mengerjakan yang demikian itu,

Lafaz فاحِشَةً bermaksud penderhakaan yang memalukan, yang terjadi kerana telah dibisik oleh syaitan. Apabila mereka ditegur kerana melakukan perkara فاحِشَةً, mereka akan berkata – “kami dapati amalan ini datuk nenek kami dulu dah lama buat dah. Kami ikut sahaja, takkan salah? Kalau salah, tentu mereka tidak buat.”

Seperti kita telah sebut, musyrikin Mekah tawaf di Kaabah dalam keadaan telanjang. Mereka kata amalan itu telah lama dilakukan oleh tok nenek mereka. Mereka ikut sahaja. Jadi kalau orang kita pun kata mereka ikut amalan tok nenek, sudah lama dilakukan di negara ini, maka alasan mereka itu sama sahaja dengan alasan musyrikin Mekah. Ianya sama kerana akidah mereka pun sama sahaja macam musyrikin Mekah itu. Iaitu akidah ikut-ikutan sahaja, tidak mahu nak fikirkan adakah ianya benar ada dalam agama atau tidak.  Oleh itu, ada dua kemungkinan apakah yang dimaksudkan dengan lafaz فاحِشَةً itu dari segi asbabun nuzul ayat ini:

  1. tawaf sambil telanjang.
  2. lafaz labbaikallah mereka tambah dengan kalimah syirik – “tidak ada syirik kecuali yang tuhan setuju”. syaitan suruh campur kalimah yang lain. Iaitu mereka nak kata, ada perbuatan syirik yang Allah benarkan.

Orang-orang Arab di masa lalu selain kabilah Quraisy, bila mereka melakukan tawaf, maka mereka melakukannya tanpa berpakaian (telanjang bulat). Mereka andaikan yang mereka tidak mahu melakukan tawaf dengan memakai pakaian yang biasa mereka pakai untuk bermaksiat kepada Allah. Sedangkan orang-orang Quraisy yang dikenal dengan sebutan Al-Hamas selalu melakukan tawaf mereka dengan memakai pakaian mereka. Orang Arab lain bila diberi pinjaman pakaian oleh orang Hamas, maka mereka memakainya untuk bertawaf; dan orang yang mempunyai pakaian baru, maka dipakainya untuk bertawaf, lalu ia membuangnya tanpa ada seorang pun yang mahu mengambil­nya. Barang siapa yang tidak mempunyai pakaian baru, tidak pula ada seorang Hamas yang mahu meminjamkan pakaian kepadanya, maka ia tawaf dengan telanjang bulat. Adakalanya terdapat seorang wanita melakukan tawaf dengan telanjang bulat, kemudian ia menjadikan sesuatu pada kemaluannya guna menutupi apa yang dapat ditutupinya, lalu ia berkata: Hari ini kelihatan sebahagian atau seluruhnya; dan apa yang tampak darinya, maka saya tidak akan menghalalkannya.
Tetapi kebanyakan yang dilakukan oleh kaum wanita bila bertawaf di malam hari adalah telanjang. Hal ini merupakan suatu tradisi yang mereka buat-buat sendiri yang mereka warisi dari nenek moyang mereka. Mereka mempunyai keyakinan bahwa perbuatan nenek moyang mereka itu bersandarkan kepada perintah Allah dan syariat-Nya.

Begitulah manusia, akan menggunakan berbagai-bagai alasan dan hujah untuk bagi nampak amalan mereka benar juga. Kalau mereka sudah mengamalkan amalan syirik dan bidaah dari keturunan yang dulu, mereka nak amalkan juga. Kalau ditegur, mereka ada yang beri alasan macam dalam ayat ini. Mereka tak mahu nak kalah, tak mahu nak tinggalkan. Maka mereka akan berusaha bersungguh-sungguh cari alasan, tak kiralah dari mana alasan itu datang, masuk akal atau tidak. Janji mereka nak cakap juga yang amalan mereka itu tidak salah. Kalau dengan beri alasan itu, mereka nampak bodoh, mereka tidak kisah pun. Janji nak cakap juga.

Maka, kita jangan terkeliru dengan jawapan sebegini. Allah telah berikan terus apakah jawapan yang diberikan oleh musyrikin Mekah ini supaya kita tahu alasan itu kerana alasan itu akan diulang-ulang sampai kiamat pun. Sekarang memang ramai yang cakap macam itu, tidak kiralah samada orang itu adalah orang awam atau pun ustaz. Yang hairannya, yang dikatakan ‘ustaz’ pun bagi alasan yang sama juga. Mereka tidak perasan yang alasan mereka itu sama sahaja dengan alasan musyrikin Mekah. Ini menunjukkan mereka sendiri tidak belajar tafsir Quran, tahu baca sahaja, tapi tak faham maksud. Malang sekali kalau masyarakat belajar dengan mereka.

Maka, jangan kita terima alasan macam ini. Ini alasan puak jahiliyah. Alasan ini tidak ada nilai. Allah sebutkan alasan mereka kerana Allah tahu memang mereka akan kata macam itu. Jadi, kalau sesiapa beri alasan ini, beritahu mereka yang alasan mereka sama dengan alasan musyrikin Mekah, maka tinggalkanlah alasan itu, carilah alasan lain. Kita kena tetap dengan pendirian dan manhaj kita, iaitu kena ikut Quran dan Sunnah, bukannya ikut tok nenek. Segala amalan orang-orang dahulu, kena periksa balik samada selari atau tidak dengan agama, jangan pakai ambil dan amalkan sahaja.

 

وَاللَّهُ أَمَرَنا بِها

dan Allah menyuruh kami mengerjakannya”. 

Dan mereka tambah dengan kata, Allah lah yang menyuruh mereka buat, kerana tok nenek mereka pun buat juga. Mereka sangka, ‘takkan’ salah amalan tok nenek mereka itu pula. Inilah yang dinamakan dalil ‘takkan’. Mereka kata: ‘takkan’ tok nenek mereka tak tahu mana yang salah, mana yang betul. Entah berapa ramai yang sesat, kerana menggunakan dalil ‘takkan’ ini.

Memang tok nenek mereka buat dan mereka ikut, tapi lihatlah bagaimana mereka kata Allah pula yang suruh, padahal mana ada Allah yang suruh. Kalau nak ikut tok nenek, kata tok nenek sahajalah yang mereka ikut, jangan kata Allah pula yang suruh. Kerana itu adalah satu penipuan yang besar kerana menggunakan nama Allah. Kerana kalau Allah yang suruh, mana dia dalil yang kata Allah suruh itu?

Oleh itu, ringkasnya mereka buat perkara yang keji itu tapi mereka kata Allah yang suruh mereka buat begitu. Kerana tok nenek mereka dah lama buat dan mereka kata takkan tok nenek buat perkara yang salah. Mereka sangka, kalau mereka buat, maknanya Allah lah yang suruh mereka buat.

 

قُل إِنَّ اللَّهَ لا يَأمُرُ بِالفَحشاءِ

Katakanlah: “Sesungguhnya Allah tidak menyuruh (mengerjakan) perbuatan yang keji”.

Allah suruh kita jawap kepada mereka: Allah tidak buat arahan untuk buat فاحِشَةً’. Kenapa Allah nak suruh buat benda yang tidak patut sedangkan ada banyak lagi amalan yang halal lain yang ada. Banyak lagi amalan sunnah yang lain, belum dibuat lagi pun, tapi kenapa nak buat juga amalan yang tidak ada dalil itu?

 

أَتَقولونَ عَلَى اللَّهِ ما لا تَعلَمونَ

Adakah kamu mengada-adakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui?

Adakah patutkah kamu kata tentang Allah dalam perkara yang kamu tidak tahu dengan sebenarnya? Mereka yang beri alasan dan hujah yang tidak boleh dijadikan sebagai dalil itu adalah mereka yang tidak mempunyai ilmu sebenarnya.


 

Ayat 29:

قُل أَمَرَ رَبّي بِالقِسطِ ۖ وَأَقيموا وُجوهَكُم عِندَ كُلِّ مَسجِدٍ وَادعوهُ مُخلِصينَ لَهُ الدّينَ ۚ كَما بَدَأَكُم تَعودونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, [O Muḥammad], “My Lord has ordered justice and that you direct yourselves [to the Qiblah] at every place [or time] of prostration, and invoke Him, sincere to Him in religion.” Just as He originated you, you will return [to life] –

(MALAY)

Katakanlah: “Tuhanku menyuruh menjalankan keadilan”. Dan (katakanlah): “Luruskanlah mukamu di setiap sembahyang dan sembahlah Allah dengan mengikhlaskan ketaatanmu kepada-Nya. Sebagaimana Dia telah menciptakan kamu pada permulaan (demikian pulalah kamu akan kembali kepada-Nya)”.

 

قُل أَمَرَ رَبّي بِالقِسطِ

Katakanlah: “Tuhanku menyuruh menjalankan keadilan”. 

Beritahu mereka: Tuhan aku memerintah aku untuk melakukan perkara yang adil. Apakah yang dimaksudkan dengan perkara yang adil itu? Itulah kalimah la ilaaha illallah. Iaitu kita adil dengan Allah.

Juga boleh juga bermaksud asalnya iaitu berlaku adil dalam setiap perkara.

 

وَأَقيموا وُجوهَكُم عِندَ كُلِّ مَسجِدٍ

Dan (katakanlah): “Luruskanlah mukamu di setiap sembahyang

Dan supaya kamu semua dirikan solat di setiap tempat sujud (masjid). Maksud ‘lurus’ itu adalah ikhlaskanlah diri kamu dalam sujud kamu itu. Begitulah, dalam setiap perbuatan taat kita kepada Allah, kena buat dalam ikhlas. Kerana Allah tidak akan menerima amal kebaikan yang tidak ikhlas.

Jadi, kena amalkan tauhid (adil) dan kena ikhlas. Kalau kita buat amal kebaikan banyak mana pun, tapi ada fahaman syirik dalam diri kita, segala amal kebaikan itu tidak ada nilai langsung. Jadi, kena belajar tentang tauhid supaya kita tidak melakukan kesalahan dalam tauhid. Takut sia-sia sahaja segala solat, puasa dan zakat yang kita keluarkan.

 

وَادعوهُ مُخلِصينَ لَهُ الدّينَ

dan sembahlah Allah dengan mengikhlaskan ketaatanmu kepada-Nya. 

Dan hendaklah kita seru Allah hanya kepada Dia sahaja tidak dicampur dengan seru kepada yang lain. Waktu solat itu kena ingat kepada Allah, solat dengan khusyuk.

 

كَما بَدَأَكُم تَعودونَ

Sebagaimana Dia telah menciptakan kamu pada permulaan (demikian pulalah kamu akan kembali kepada-Nya)”.

Seperti mana kamu mula dijadikan, kamu akan kembali begitu juga di akhirat nanti. Allah masukkan tentang akhirat dalam ayat ini. Kamu lahir tanpa pakaian dan kamu akan mati pun tanpa pakai juga. Di awal dan hujung tidak berpakaian, maka di tengah kehidupan kita, hendaklah kita berpakaian.


 

Ayat 30:

فَريقًا هَدىٰ وَفَريقًا حَقَّ عَلَيهِمُ الضَّلالَةُ ۗ إِنَّهُمُ اتَّخَذُوا الشَّياطينَ أَولِياءَ مِن دونِ اللَّهِ وَيَحسَبونَ أَنَّهُم مُهتَدونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

A group [of you] He guided, and a group deserved [to be in] error. Indeed, they [i.e., the latter] had taken the devils as allies instead of Allāh while they thought that they were guided.

(MALAY)

Sebahagian diberi-Nya petunjuk dan sebahagian lagi telah pasti kesesatan bagi mereka. Sesungguhnya mereka menjadikan syaitan-syaitan pelindung (mereka) selain Allah, dan mereka mengira bahawa mereka mendapat petunjuk.

 

فَريقًا هَدىٰ

Sebahagian diberi-Nya petunjuk

Sebahagian dari manusia mendapat hidayah petunjuk dari Allah. Mereka ini adalah orang yang beriman sempurna.

Di dalam kitab Sahihain disebutkan:

“فَأَمَّا مَنْ كَانَ مِنْكُمْ مِنْ أَهْلِ السَّعَادَةِ فَسَيُيَسَّرُ لِعَمَلِ أَهْلِ السَّعَادَةِ، وَأَمَّا مَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الشَّقَاوَةِ فَسَيُيَسَّرُ لِعَمَلِ أَهْلِ الشَّقَاوَةِ”

Adapun orang yang telah ditakdirkan termasuk orang-orang yang berbahagia, maka dimudahkan baginya jalan mengerjakan amal orang-orang yang bahagia. Dan adapun orang yang telah ditakdir­kan termasuk orang-orang yang celaka, maka dimudahkan baginya mengerjakan amal perbuatan orang-orang yang celaka.

 

وَفَريقًا حَقَّ عَلَيهِمُ الضَّلالَةُ

dan sebahagian lagi telah pasti kesesatan bagi mereka. 

Dan ada pula puak yang telah tetap kesesatan atas mereka. Kalau kita dakwah kepada mereka macam mana pun, mereka tetap tidak akan beriman. Kerana mereka sendiri tidak mahu beriman.

 

إِنَّهُمُ اتَّخَذُوا الشَّياطينَ أَولِياءَ مِن دونِ اللَّهِ

Sesungguhnya mereka menjadikan syaitan-syaitan pelindung (mereka) selain Allah,

Ini adalah kerana mereka telah jadikan syaitan sebagai pelindung, pemimpin dan teman rapat mereka. Sepatutnya mereka menjadikan Allah sebagai wali, tapi mereka telah tertipu dengan pujuk dan bisikan syaitan, maka mereka telah disesatkan oleh syaitan.

 

وَيَحسَبونَ أَنَّهُم مُهتَدونَ

dan mereka mengira bahawa mereka mendapat petunjuk.

Malangnya, mereka sangka mereka terpimpin, mereka sangka mereka mendapat hidayah. Mereka tidak sedar yang sebenarnya mereka sedang melakukan kesalahan dalam agama. Ini macam kebanyakan dari golongan kita yang mengamalkan amalan yang bidaah dan tidak ada masalah untuk mereka mengamalkannya. Mereka suka dan bangga mengamalkannya dan mereka rasa mereka telah mendapat banyak pahala dan Allah suka. Ini adalah golongan yang susah untuk didakwah. Kerana mereka rasa mereka sudah pandai sedangkan mereka ini jahil. Inilah yang dipanggil jahil murakkab. Iaitu orang jahil yang sangka mereka pandai. Mereka yakin sungguh yang mereka itu dalam kebenaran. Kalau mereka sedar mereka jahil, senanglah untuk kita dakwah dan ajar mereka, bukan? Tapi kalau mereka rasa mereka telah benar, telah pandai, itu memang susah. Semoga kita tidak termasuk dalam golongan mereka.

Ibnu Jarir mengatakan bahawa ini merupakan dalil yang paling jelas untuk menolak kekeliruan orang yang menduga bahawa Allah tidak mengazab seseorang kerana maksiat yang dikerjakannya atau kesesatan yang diyakininya, melainkan bila ia melakukannya sesudah adanya pengetahuan darinya yang membenarkan sikapnya itu, lalu ia mengerjakannya dengan penuh rasa keingkaran terhadap Tuhannya. Seandainya memang demikian, niscaya tidak ada bezanya antara golongan orang-orang yang sesat yang menduga bahawa dirinya mendapat petunjuk, dengan golongan orang-orang yang mendapat petunjuk sesungguhnya. Allah Swt. telah menjelaskan dan membezakan peristilahan keduanya dan hukum-hukum mengenai keduanya dalam ayat ini.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 007: al-A'raf. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s