Tafsir Surah al-A’raf Ayat 19 – 22 (Tipu daya Iblis kepada Adam)

Ayat 19: Ini adalah penyempurnaan kisah tentang Iblis dan bagaimana permulaan dia hendak menyesatkan manusia. Dalam ayat ini, Allah memberitahu tentang nasihat kepada Nabi Adam supaya dengar nasihat dariNya dan jangan dengar nasihat dari yang lain.

وَيا آدَمُ اسكُن أَنتَ وَزَوجُكَ الجَنَّةَ فَكُلا مِن حَيثُ شِئتُما وَلا تَقرَبا هٰذِهِ الشَّجَرَةَ فَتَكونا مِنَ الظّالِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And “O Adam, dwell, you and your wife, in Paradise and eat from wherever you will but do not approach this tree, lest you be among the wrongdoers.”

(MALAY)

(Dan Allah berfirman): “Hai Adam bertempat tinggallah kamu dan isterimu di syurga serta makanlah olehmu berdua (buah-buahan) di mana saja yang kamu sukai, dan janganlah kamu berdua mendekati pohon ini, lalu menjadilah kamu berdua termasuk orang-orang yang zalim”.

 

وَيا آدَمُ اسكُن أَنتَ وَزَوجُكَ الجَنَّةَ

(Dan Allah berfirman): “Hai Adam bertempat tinggallah kamu dan isterimu di syurga

Setelah Allah menjadikan Nabi Adam, dan kemudian menjadikan Hawa, mereka telah ditetapkan untuk tinggal di dalam syurga. Jadi ini adalah kebenaran untuk mereka duduk dalam syurga. Lihatlah bagaimana Allah bercakap terus kepada Nabi Adam kerana baginda adalah ketua keluarga dan bertanggungjawab kepada keluarga baginda itu. Bagindalah yang sebenarnya membuat keputusan keluarga. Jadi, ini berlawanan dengan pendapat sesat Kristian yang mengatakan Hawa lah yang telah buat keputusan untuk makan pokok larangan itu dan telah menghasut Nabi Adam. Ini tidak benar.

 

فَكُلا مِن حَيثُ شِئتُما

serta makanlah olehmu berdua di mana saja yang kamu sukai,

Allah kata mereka boleh makan di mana sahaja yang mereka ingin. Boleh makan apa sahaja yang mereka hendak dari syurga itu.

Lihatlah bagaimana kali ini Allah berkata kepada kedua-dua Nabi Adam dan Hawa. Kerana kali ini bukan tentang tanggungjawab, tapi tentang menikmati kehidupan. Allah suruh mereka menikmati kehidupan dalam syurga itu.

 

وَلا تَقرَبا هٰذِهِ الشَّجَرَةَ

dan janganlah kamu berdua mendekati pohon ini,

Boleh buat apa sahaja, makan apa sahaja yang ada di syurga itu, cuma ada satu syarah sahaja: jangan hampiri pokok ini. Oleh itu, semua perkara boleh, cuma satu sahaja tidak boleh. Kalau macam itu, patutnya tidaklah ada masalah. Dan kali ini Allah berkata kepada kedua-dua mereka, kerana ini adalah perkara yang amat penting, jadi kena sampaikan kepada kedunya sekali.

 

فَتَكونا مِنَ الظّالِمينَ

lalu menjadilah kamu berdua termasuk orang-orang yang zalim”.

Tapi kalau mereka hampiri juga, Allah beri amaran awal-awal yang mereka berdua akan jadi golongan zalim, kerana langgar larangan.


 

Ayat 20: Nabi Adam dan Hawa telah diingatkan untuk tidak mendekati pokok larangan itu, tapi syaitan telah ambil peluang untuk menghasut mereka. Dalam banyak benda yang boleh dinikmati oleh mereka berdua, benda yang satu yang tidak boleh itulah yang syaitan akan gunakan sebagai penyebab untuk menjatuhkan Nabi Adam a.s.

فَوَسوَسَ لَهُمَا الشَّيطانُ لِيُبدِيَ لَهُما ما وورِيَ عَنهُما مِن سَوآتِهِما وَقالَ ما نَهاكُما رَبُّكُما عَن هٰذِهِ الشَّجَرَةِ إِلّا أَن تَكونا مَلَكَينِ أَو تَكونا مِنَ الخالِدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But Satan whispered to them to make apparent to them that which was concealed from them of their private parts. He said, “Your Lord did not forbid you this tree except that you become angels or become of the immortal.”

(MALAY)

Maka syaitan membisikkan fikiran jahat kepada keduanya untuk menampakkan kepada keduanya apa yang tertutup dari mereka iaitu auratnya dan syaitan berkata: “Tuhan kamu tidak melarangmu dan mendekati pohon ini, melainkan supaya kamu berdua tidak menjadi malaikat atau tidak menjadi orang-orang yang kekal (dalam syurga)”.

 

فَوَسوَسَ لَهُمَا الشَّيطانُ

Maka syaitan membisikkan fikiran jahat kepada keduanya

Syaitan telah membisikkan was-was kepada mereka berdua. Syaitan telah tahu apakah yang telah dilarang kepada mereka dan syaitan mengambil peluang itu untuk menjerumuskan mereka supaya tidak taat kepada Allah.

Tujuan syaitan adalah nak mereka berdua derhaka kepada Tuhan sahaja. Waswasa dari segi bahasa maksudnyanya datang dari belakang supaya tidak nampak siapa yang membisikkan, kemudian bisik, kemudian hilang, datang kembali bisik dan hilang kembali. Dan terus melakukan perkara yang sama berulang-ulang. Bisik dari belakang dan hialng supaya orang yang dibisikkan itu bila dia toleh ke belakang, dia tidak nampak dia yang bisikkan. Oleh itu, proses was-was itu berjaya bukanlah dengan syaitan bisikkan sekali sahaja, tapi berkali-kali.

Syaitan tidak kelihatan kepada mereka berdua; jadi tidaklah sama kisah ini seperti yang ada dalam tradisi Kristian yang menggambarkan syaitan datang dalam bentuk ular yang menghasut mereka. Itu adalah dongeng mereka sahaja.

 

لِيُبدِيَ لَهُما ما وورِيَ عَنهُما مِن سَوآتِهِما

untuk menampakkan kepada keduanya apa yang tertutup dari mereka iaitu auratnya

 

Akhirnya Nabi Adam dan Hawa telah termakan bisikan Iblis dan hasil dari kesalahan mereka itu, nampaklah kepada mereka berdua aurat mereka yang biasanya tertutup. Perlu diingatkan bahawa tujuan asal syaitan bukanlah untuk menelanjangkan mereka berdua. Tujuan syaitan adalah untuk mereka derhaka kepada Allah sahaja. Cuma kemudian mereka ditelanjangkan hasil dari perbuatan mereka. Jadi, huruf lam dalam lafaz لِيُبدِيَ bukan bermaksud ’tujuan’.

 

وَقالَ ما نَهاكُما رَبُّكُما عَن هٰذِهِ الشَّجَرَةِ إِلّا أَن تَكونا مَلَكَينِ

dan syaitan berkata: “Tuhan kamu tidak melarangmu dan mendekati pohon ini, melainkan supaya kamu berdua tidak menjadi malaikat 

Di atas adalah huraian bagi maksud ‘was-was’. Sekarang diberitahu apakah kata-kata syaitan kepada mereka berdua untuk menipu mereka. Syaitan telah tipu mereka dengan mengatakan, sebenarnya Allah tidak halang mereka berdua dari makan dari pokok itu melainkan Dia bimbang mereka berdua jadi malaikat.

Ini sebenarnya tidak masuk akal. Kenapa pula Nabi Adam dan Hawa hendak jadi malaikat? Sedangkankan malaikat sebelum ini telah diarahkan oleh Allah untuk memuliakan Nabi Adam, maknanya Nabi Adam lebih tinggi kedudukan dari mereka. Ini menunjukkan yang was-was syaitan tidak semestinya kena masuk akal. Perkara mengarut pun mereka akan bisikkan. Tapi kerana selalu dia datang dan pergi membisikkan benda yang sama, menyebabkan manusia boleh termakan.

 

أَو تَكونا مِنَ الخالِدينَ

atau tidak menjadi orang-orang yang kekal

Hasutan kedua syaitan: Allah tidak mahu kamu kekal dalam syurga. Iaitu mereka masih manusia tapi kekal dalam syurga. Syaitan ingatkan mereka berdua bahawa, bukankah Allah telah kata yang Allah jadikan Adam sebagai khalifah di bumi? Jadi dia hasut dengan kata kalau tak mahu pergi ke bumi, kena makan dari pokok itulah. Dia juga kata, dia kena keluar dari syurga itu sebab dia tidak makan pokok itulah.

Inilah cara syaitan buat was-was. Sebelum ini, Allah kata ‘jangan dekati’ sahaja, tapi syaitan yang bohong dengan mengisikan tempat kosong – ‘kenapa’? Padahal Allah tidak perlu beri sebab, kena taat sahaja. Kerana kepandaian syaitan menipu inilah, ramai manusia terpedaya dengan syaitan.

Oleh itu, kononnya dia beritahu hikmah larangan Tuhan. Sepatutnya apabila Allah larang sahaja, tidak perlulah nak fikirkan sangat kenapa Allah larang. Inilah bahayanya apabila tidak yakin dengan arahan Allah dan mula pakai akal untuk menterjemahkan larangan Allah, maka manusia akan rebah dalam kesesatan. Syaitan akan pastikan manusia guna akal dan tidak yakin dengan wahyu.


 

Ayat 21: Ini adalah tambahan kata-kata syaitan untuk menguatkan bisikan was-was.

وَقاسَمَهُما إِنّي لَكُما لَمِنَ النّاصِحينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And he swore [by Allāh] to them, “Indeed, I am to you from among the sincere advisors.”

(MALAY)

Dan dia (syaitan) bersumpah kepada keduanya. “Sesungguhnya aku adalah termasuk orang yang memberi nasihat kepada kamu berdua”,

 

Syaitan telah bersumpah kepada mereka berdua dengan menggunakan nama Allah. Dia bersumpah kerana dia nak kata dia benar dalam kata-katanya itu. Bersungguh-sungguh dia menggunakan nama Allah untuk menipu. Dia kata dengarlah nasihat dia sebab dia dulu pun sudah lama duduk dalam syurga jadi dia ada pengalaman.

Sebab itu, kita jangan terpedaya dengan mereka yang menggunakan sumpah di dalam hujah mereka.

Tujuan dia adalah dia nak kata dia sangat prihatin dan hendak beri nasihat sahaja kepada mereka. Dia nak kata dia ikhlas dalam menasihati mereka. Kerana dia hendak mereka dengar bisikan jahatnya itu. Dia kata dia nasihat itu untuk kebaikan mereka.

Oleh kerana dia telah menggunakan sumpah dengan nama Allah, telah menambah kepercayaan kepada Nabi Adam dan Hawa kerana mereka tak sangka akan ada orang yang sanggup menipu dengan nama Allah.


 

Ayat 22:

فَدَلّاهُما بِغُرورٍ ۚ فَلَمّا ذاقَا الشَّجَرَةَ بَدَت لَهُما سَوآتُهُما وَطَفِقا يَخصِفانِ عَلَيهِما مِن وَرَقِ الجَنَّةِ ۖ وَناداهُما رَبُّهُما أَلَم أَنهَكُما عَن تِلكُمَا الشَّجَرَةِ وَأَقُل لَكُما إِنَّ الشَّيطانَ لَكُما عَدُوٌّ مُبينٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So he made them fall, through deception. And when they tasted of the tree, their private parts became apparent to them, and they began to fasten together over themselves from the leaves of Paradise. And their Lord called to them, “Did I not forbid you from that tree and tell you that Satan is to you a clear enemy?”

(MALAY)

maka syaitan menjatuhkan keduanya (untuk memakan buah itu) dengan tipu daya. Tatkala keduanya telah merasai buah pokok itu, nampaklah bagi keduanya aurat-auratnya, dan mulailah keduanya menutupinya dengan daun-daun syurga. Kemudian Tuhan mereka menyeru mereka: “Bukankah Aku telah melarang kamu berdua dari pohon itu dan Aku katakan kepadamu: “Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu berdua?”

 

فَدَلّاهُما بِغُرورٍ

Maka syaitan menjatuhkan keduanya (untuk memakan buah itu) dengan tipu daya. 

Maka syaitan telah menyebabkan kedua-duanya tergelincir sehingga diturunkan ke dunia dengan menggunakan tipu daya. Dia telah berjaya menipu dan mengheret mereka untuk melakukan apa yang dia kehendaki dengan cara yang licik dan perlahan-lahan. Ianya tidaklah berlaku dengan segera tapi mengambil masa yang lama. Penyabar sekali syaitan dalam memujuk Nabi Adam dan Hawa. Inilah cara syaitan yang kita belajar dalam ayat ini. Iblis dan kuncu-kuncu syaitan yang lain memang pandai dalam menggunakan taktik-taktik untuk menjatuhkan manusia. Mereka tidak akan berhenti selagi manusia itu hidup. Kalau mereka kena lari meninggalkan manusia sekejap, mereka akan datang lagi. Sebagai contoh, kalau dilaungkan azan, mereka akan lari. Tapi mereka akan datang lagi. Mereka akan menggunakan apa sahaja peluang yang ada untuk menipu kita. Dan mereka memang kenal sangat dengan perangai kita, kelemahan kita, apa yang kita suka dan sebagainya. Semoga Allah melindungi kita dari was-was syaitan itu.

 

فَلَمّا ذاقَا الشَّجَرَةَ بَدَت لَهُما سَوآتُهُما

Tatkala keduanya telah merasai buah pokok itu, nampaklah bagi keduanya aurat-auratnya, 

Apabila mereka berdua telah rasa pokok itu, serta merta terbuka aurat mereka berdua. Dalam banyak ayat-ayat Quran menceritakan tentang kejadian ini, selalunya digunakan lafaz ‘pokok’ sahaja. Tapi itu adalah dari segi bahasa sahaja. Dalam bahasa Arab, apabila dikatakan merasai pokok itu, maknanya ada buah yang dimakan.

Selepas mereka memakan atau merasa buah itu, maka teruslah terbuka aurat mereka yang selama ini tertutup dengan pakaian mereka. Ada tafsir yang mengatakan yang sebelum itu, aurat mereka tertutup dengan nur (cahaya).

 

وَطَفِقا يَخصِفانِ عَلَيهِما مِن وَرَقِ الجَنَّةِ

dan mulailah keduanya menutupinya dengan daun-daun syurga.

Maka mulailah mereka berdua cuba tutup aurat mereka dengan daun-daun dari pokok yang ada dalam syurga. Jadi pakaian yang Allah beri, Allah tarik balik. Mereka kena susah payah cari daun. Mereka lekatkan pada tubuh badan mereka masing-masing. Inilah permulaan manusia mengalami perasaan malu yang amat sangat. Allah tidak ajar pun mereka perasaan malu itu, tapi mereka tahu sendiri. Ini bermaksud yang perasaan malu itu sudah ada dalam diri manusia, Allah telah letakkan. Tak ajar pun sudah tahu. Kita bukannya binatang yang tidak tahu erti malu kalau tidak berpakaian. Maka kalau ada yang suka berbogel, itu bukan sifat asal manusia, tapi itu adalah sifat binatang dan tidak normal untuk manusia.

 

وَناداهُما رَبُّهُما أَلَم أَنهَكُما عَن تِلكُمَا الشَّجَرَةِ

Kemudian Tuhan mereka menyeru mereka: “Bukankah Aku telah melarang kamu berdua dari pohon itu?

Sekarang, Allah ingatkan balik peringatan yang Dia telah sampaikan kepada mereka berdua, bukannya mereka tidak tahu. Bukankah Aku telah larang? Bukankah larangan dah tsabit dah?

 

وَأَقُل لَكُما إِنَّ الشَّيطانَ لَكُما عَدُوٌّ مُبينٌ

dan Aku katakan kepadamu: “Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu berdua?”

Dan Allah ingatkan mereka, bukankah Dia telah beritahu mereka berdua yang syaitan adalah musuh mereka yang jelas nyata? Kalau dah jelas yang syaitan itu adalah musuh yang nyata, tidak ada apa yang dia beri sebagai nasihat yang untuk kebaikan manusia. Segala benda yang datang dari mereka adalah tipu sahaja. Oleh itu, kalau ada idea yang bercanggah dengan wahyu, lain dari apa yang Allah suruh dan tetapkan, ingatlah yang itu adalah dari syaitan. Syaitan hendak merosakkan manusia sahaja. Kalau dah belajar wahyu dan ada perkara yang bercanggah dengannya, kita dah tahu yang ia adalah dari syaitan. Tapi kalau tidak belajar wahyu, macam mana nak tahu? Itulah sebabnya kita tekankan kepada pembaca sekelian untuk belajar dan memahami wahyu ini dengan sebaik mungkin. Kena ada usaha untuk belajar.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 007: al-A'raf. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s