Tafsir Surah al-Maidah Ayat 107 – 108 (Cara bersumpah dalam persaksian di mahkamah)

Ayat 107: Ini sambungan dari kisah seorang sahabat yang meninggal dan telah berwasiat dengan menggunakan dua saksi Nasara, telah diceritakan dalam ayat sebelum ini.

Sambungan kisah asbabun nuzul: Tidak lama selepas itu, barang yang dikatakan tidak ada itu telah dijumpai di Mekah. Orang yang memegang barang itu kata, dia telah membelinya dari dua orang Nasara itu. Padahal sebelum itu, dua orang Nasara itu sudah bersumpah yang barang itu tidak ada. Dari itu telah terbukti yang dua orang Nasara yang menjadi saksi itu yang telah menjual kepada orang di Mekah. Perkara itu telah dirujuk kembali kepada Nabi Muhammad kerana ada bukti baru yang timbul. Apabila dibawa bukti ini jumpa Nabi, dua orang Nasara itu telah ditanya kembali. Mereka kata mereka telah beli jag itu dari simati. Apabila mereka kata begitu, keluarga simati telah meminta bukti pembelian itu. Dan memang tiada bukti terjadinya jual beli beli itu. Maka Nabi suruh keluarga itu bersumpah yang barang itu adalah barang mereka kerana ada tulisan kertas yang menyatakan demikian. Dari segi hukum, sekarang keluarga si mati pula yang bersumpah. Dan apabila keluarga sudah bersumpah, barang itu kena diberikan kepada orang yang bersumpah.

Oleh itu, apabila berlaku dakwaan dan pembelaan, dimana pendakwa kata itu barang dia dan sepatutnya dia kena beri bukti. Tapi kalau boleh bersumpah, kes itu boleh selesai dengan diberikan barang itu atas sumpah mereka.

Keluarga itu kata itu hak mereka kerana ada dalam senarai barang wasiat simati. Dalam masa yang sama, Nasara kata mereka telah beli dari simati. Jadi itu adalah dakwaan dua nasara itu. Apabila mereka kata beli, mereka kena bawa bukti dan mereka kata tidak ada. Apabila tidak ada, pendakwaan (keluarga) yang kena bersumpah untuk mengatakan yang barang itu adalah barang mereka yang ditinggalkan oleh simati. Apabila telah bersumpah, barang menjadi milik mereka. Kembalilah barang itu kepada keluarga setelah bersumpah.

فَإِن عُثِرَ عَلىٰ أَنَّهُمَا استَحَقّا إِثمًا فَآخَرانِ يَقومانِ مَقامَهُما مِنَ الَّذينَ استَحَقَّ عَلَيهِمُ الأَولَيانِ فَيُقسِمانِ بِاللَّهِ لَشَهادَتُنا أَحَقُّ مِن شَهادَتِهِما وَمَا اعتَدَينا إِنّا إِذًا لَمِنَ الظّالِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But if it is found that those two were guilty of sin [i.e., perjury], let two others stand in their place [who are] foremost [in claim] from those who have a lawful right. And let them swear by Allāh, “Our testimony is truer than their testimony, and we have not transgressed. Indeed, we would then be of the wrongdoers.”

(MALAY)

Jika diketahui bahawa kedua (saksi itu) membuat dosa, maka dua orang yang lain di antara ahli waris yang berhak yang lebih dekat kepada orang yang meninggal (memajukan tuntutan) untuk menggantikannya, lalu keduanya bersumpah dengan nama Allah: “Sesungguhnya persaksian kami lebih layak diterima daripada persaksian kedua saksi itu, dan kami tidak melanggar batas, sesungguhnya kami kalau demikian tentulah termasuk orang yang menganiaya diri sendiri”.

 

فَإِن عُثِرَ عَلىٰ أَنَّهُمَا استَحَقّا إِثمًا

Jika diketahui bahawa kedua (saksi itu) membuat dosa,

Dalam kes asbabun nuzul itu, telah diketahui oleh waris bahawa dua orang saksi yang bersumpah sebelum itu telah melakukan dosa kerana barang yang mereka kata mereka tidak tahu itu, memang ada pun, terjumpa di Mekah dan orang yang memegangnya mengatakan dia telah memberi dari kedua mereka. Asalnya mereka kata tidak tahu menahu, tapi rupanya mereka telah jual. Oleh itu mereka berhak dapat dosa.

Oleh itu, ini adalah hukum berkenaan saksi yang menipu.

 

فَآخَرانِ يَقومانِ مَقامَهُما مِنَ الَّذينَ استَحَقَّ عَلَيهِمُ الأَولَيانِ

maka dua orang yang lain di antara ahli waris yang berhak yang lebih dekat kepada orang yang meninggal (memajukan tuntutan) untuk menggantikannya, 

Apabila saksi yang asal telah menipu dalam sumpah mereka, maka kena pakai saksi yang lain. Dalam kes ini, kena ambil sumpah dari keluarga yang lebih mempunyai hak dari dua saksi yang asal. Dalam kes ini, dinaikkan saksi pula dari keluarga waris yang telah dizalimi. Ini adalah kerana mereka yang paling dekat dengan simati.

Hukum yang boleh diambil: dalil kena ada pada orang yang mendakwa dan sumpah ada pada orang yang membela. Yang mendakwa kena bawa dalil dan yang membela kalau tidak ada bukti, dia pakai sumpah; inilah kaedah yang boleh dipakai sampai ke hari ini. kita kena tahu tentang perkara ini. Kena faham kaedah ini.

nota: Ini sama juga dengan kes ada orang yang kata ada amalan dari syariat. Mereka dakwa amalan itu wujud. Oleh kerana mereka yang kata ada, maka mereka kena keluarkan dalil. Kemudian ada pula yang kata tidak tsabit amalan itu. Maka yang kata tidak tsabit itu tidak perlu keluarkan dalil – mereka yang kata amalan itu ada lah yang kena keluarkan dalil. Oleh itu, jangan pula minta dalil tidak ada – itu tidak kena dan satu kebodohan. Orang ramai sekarang, bila kita amalan bidaah tidak ada dalam Islam, mereka pula minta dalil dari kita. Itu sudah terbalik. Patutnya mereka yang kata amalan itu ada yang kena bawa dalil – dalil pula samada Quran atau hadis sahih. Oleh itu, kita kena faham yang menang kepada yang kata sesuatu amalan itu tidak ada. Malangnya ramai yang tidak faham tentang prosedur ini, sampaikan mereka bawa dalil yang bathil – antaranya mereka akan bawa dalil ‘takkan’ pula [takkan tidak ada Majlis Tahlil itu… dah lama orang kita amalkan]. Dalil ‘takkan’ itu bukan dalil. Susah nak layan orang yang jahil sebegini.

Kembali kepada kes asbabun nuzul ini: dua saksi nasara itu telah mendakwa mereka beli jag itu dari si mati. Itu sudah dikira sebagai dakwaan. Apabila mereka dakwa yang mereka telah beli, mereka kena bawa bukti sebab tuan asal sudah mati untuk beri kepastian. Apabila tidak ada saksi, keluarga waris pula yang akan jadi pembela. Maka dua orang lain pula yang jadi pengganti sebagai sumpah balas, iaitu puak waris.

 

فَيُقسِمانِ بِاللَّهِ

lalu keduanya bersumpah dengan nama Allah: 

Maka mereka pun kena bersumpah dengan nama Allah juga. Tidak boleh bersumpah dengan nama selain Allah.

 

لَشَهادَتُنا أَحَقُّ مِن شَهادَتِهِما

“Sesungguhnya persaksian kami lebih layak diterima daripada persaksian kedua saksi itu, 

Lafaz sumpah mereka sebegini: demi Allah, sumpah kami lebih berhak diterima dari sumpahan mereka berdua sebelum ini. Kerana sebelum itu, sudah ada dua saksi yang bersumpah. Maka, kena tolak sumpah mereka dahulu. Kena kata yang sumpah orang yang awal tidak boleh pakai, mereka telah buat khianat.

 

وَمَا اعتَدَينا

dan kami tidak melanggar batas,

Dan kami tidak melampaui batas dan menzalimi dalam sumpah ini. Maknanya, benar-benar sumpah dan tidak ada pembohongan dalam sumpah ini.

Juga maksudnya, mereka tidak melampau dalam kata saksi yang awal telah khianat. Kerana itu bukan perkara yang boleh diambil mudah (mengatakan orang lain telah buat khianat. Kena pastikan yang mereka memang telah buat khianat, jangan tuduh melulu)

 

إِنّا إِذًا لَمِنَ الظّالِمينَ

sesungguhnya kami kalau demikian tentulah termasuk orang yang menganiaya diri sendiri”.

Mereka mengaku, kalau mereka melampau dalam sumpah mereka itu, menipu dalam sumpah, maka mereka akan termasuk dalam gologan yang zalim.

Dalam asbabun nuzul ayat ini, apabila mereka telah bersumpah sebegitu, maka barang yang hilang dari senarai simati itu diserahkan kepada mereka.


 

Ayat 108:

ذٰلِكَ أَدنىٰ أَن يَأتوا بِالشَّهادَةِ عَلىٰ وَجهِها أَو يَخافوا أَن تُرَدَّ أَيمانٌ بَعدَ أَيمانِهِم ۗ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاسمَعوا ۗ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الفاسِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That is more likely that they will give testimony according to its [true] objective, or [at least] they would fear that [other] oaths might be taken after their oaths. And fear Allāh and listen [i.e., obey Him]; and Allāh does not guide the defiantly disobedient people.

(MALAY)

Itu lebih dekat untuk (menjadikan para saksi) mengemukakan persaksiannya menurut apa yang sebenarnya, dan (lebih dekat untuk menjadikan mereka) merasa takut akan dikembalikan sumpahnya (kepada ahli waris) sesudah mereka bersumpah. Dan bertakwalah kepada Allah dan dengarkanlah (perintah-Nya). Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.

 

ذٰلِكَ أَدنىٰ أَن يَأتوا بِالشَّهادَةِ عَلىٰ وَجهِها

Itu lebih dekat untuk (menjadikan para saksi) mengemukakan persaksiannya menurut apa yang sebenarnya,

Ini adalah cara bersumpah yang lebih mudah untuk umat Islam dan lebih hampir dengan cara terbaik kepada mereka yang memberi penyaksian. Maka pakailah cara sumpah sebegini. Apabila digunakan sumpah sebegini, ianya akan mengeluarkan kisah yang sebenar.

 

أَن تُرَدَّ أَيمانٌ بَعدَ أَيمانِهِم

dan (lebih dekat untuk menjadikan mereka) merasa takut akan dikembalikan sumpahnya (kepada ahli waris) sesudah mereka bersumpah. 

Atau sumpah yang sebegini akan menyebabkan mereka bimbang kalau-kalau ditolak sumpah mereka selepas dibuat oleh sumpahan yang benar. Dengan cara ini maka semua kena beringat, jangan senang-senang nak sumpah palsu. Kerana mereka kena tahu, kalau ada kesilapan, mahkamah akan panggil balik. Tidaklah semestinya mereka sumpah sahaja, terus dipakai. Masih ada lagi cara untuk sumpah mereka ditolak.

 

وَاتَّقُوا اللَّهَ

Dan bertakwalah kepada Allah

Yang penting, hendaklah bertaqwa dan hendaklah takut kepada Allah. Kalau tidak takut kepada Allah, hukum apa pun tak jadi. Mereka yang tidak takut kepada Allah, akan langgar sahaja mana-mana hukum Allah. Tapi mereka kena ingat yang mereka yang dikenakan dengan azab nanti.

 

وَاسمَعوا

dan dengarkanlah

Maksunya, dengar dan taatlah hukum yang ada dalam wahyu. Jangan memandai buat hukum sendiri. Allah telah beri syariat untuk kita pakai undang-undang dariNya, yang tentunya bagus. Janganlah pakai undang-undang manusia kalau Allah telah tetapkan hukum. Malangnya, orang kita sendiri pun tidak kaji hukum yang Allah telah turunkan. Ramai yang lebih selesa pakai hukum dan undang-undang buatan manusia pula. Ini tidak patut. Selalunya yang terjadi, mereka tidak tahu pun sebenarnya dalam Islam sudah ada undang-undang tersebut. Mereka tidak tahu kerana mereka tidak belajar.

 

وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الفاسِقينَ

Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.

Allah tidak akan beri pimpinan kepada kaum yang fasik; iaitu mereka yang keluar dari ketaatan. Mereka tidak ada niat untuk taat pun kepada hukum-hukum Allah.

Oleh itu, secara ringkasnya, maksud besar ayat ini adalah kena bersumpah dengan nama Allah. Tidak boleh bersumpah guna nama selain Allah. Walaupun orang yang diminta sumpah itu adalah orang bukan Islam sekali pun. Kena sesuaikan sumpah mereka supaya sebut nama Allah juga. Ini penting kerana ini adalah isu akidah. Ianya berkait rapat dengan pegangan akidah kita.

Dalam ayat ini sudah ada teguran dari Allah kerana asalnya Nabi suruh mereka bersumpah dengan nama apa sahaja yang mereka takut – iaitu dengan nama Nabi Isa (Jesus) dan sebagainya. Tetapi Allah tegur dengan beritahu bersumpah mesti atas nama Allah kerana Dia sahaja yang mahu tahu segala perkara. Oleh itu, kena ingat: hanya nama Allah sahaja yang berhak digunakan dalam sumpah.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 005: al-Maidah and tagged . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s