Tafsir Surah al-Maidah Ayat 87 – 89 (Larangan berpantang makanan)

Ayat 87: Ini ayat untuk nafi syirik amali. Iaitu ada manusia yang haramkan perkara yang Allah telah halalkan. Dan ada yang halalkan perkara yang Allah telah haramkan. Dan perkara yang selalu berlaku adalah dalam hal pemakanan. Kita kena ingat, mana makanan yang Allah dah halalkan, tidak boleh diharamkan dengan berpantang. Kalau seseorang itu pernah berpantang, dia kena batalkan pantangnya itu dengan serta merta – wajib dia kena makan sebagai batalkan. Contohnya, katakanlah sebelum ini, dia keturunan Wan (di Kelantan) dan ada jenis ikan yang mereka tidak boleh makan. Dia kena batalkan pantangnya itu dengan memakan ikan jenis itu.

Jadi ayat ini ada kena mengena dengan berpantang. Orang Melayu kita banyak yang berpantang atas sebab-sebab tertentu – kerana bersalin, kerana mengamalkan ilmu khas, kerana keturunan dan sebagainya. Itu semua adalah perbuatan haram dan salah satu dari syirik amali. Kita tidak boleh berpantang kalau tanpa sebab yang haq, lainlah kalau doktor kata tidak boleh makan kerana sebab penyakit. Maka, jangan lagi kita berpantang dan ajar masyarakat kita berpantang kerana itu amalan itu boleh menyebabkan syirik amali.

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا لا تُحَرِّموا طَيِّباتِ ما أَحَلَّ اللَّهُ لَكُم وَلا تَعتَدوا ۚ إِنَّ اللَّهَ لا يُحِبُّ المُعتَدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, do not prohibit the good things which Allāh has made lawful to you and do not transgress. Indeed, Allāh does not like transgressors.

(MALAY)

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan apa-apa yang baik yang telah Allah halalkan bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.

 

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا لا تُحَرِّموا طَيِّباتِ ما أَحَلَّ اللَّهُ لَكُم

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan apa-apa yang baik yang telah Allah halalkan bagi kamu, 

Allah mengingatkan kita suapaya jangan memandai-mandai haramkan perkara yang Allah telah halalkan kepada kita. Pengharaman telah diletakkan dalam nas Quran dan Hadis dan jangan kita berlebihan pula dari nas.

Hukum asal, segala perkara dalam dunia ini adalah halal melainkan ada dalil untuk mengharamkannya. Nas hanya mengharamkan beberapa perkara sahaja. Selain dari itu, hukum tentangnya adalah senyap. Jadi, lebih banyak perkara yang halal dari yang haram. Malangnya, ada orang kita yang suka mengharamkan banyak perkara padahal tidak ada nas pun. Sikit-sikit haram, sikit-sikit haram. Ingatlah yang Islam bukanlah untuk mengharamkan sahaja. Itu bukanlah mentaliti Islam. Yang mana Allah telah haramkan, maka haramlah untuk kita, dan mana yang tidak disebut, maka halallah untuk kita. Dan kalau ada perkara yang nampak samar-samar, maka terpulang kepada kita. Kita kena nilai dengan akal yang waras dan lihatlah kepada kebaikan dan keburukan perkara itu. Kalau setelah kita kaji ianya buruk untuk kita, maka janganlah kita makan.

 

وَلا تَعتَدوا

dan janganlah kamu melampaui batas. 

Dan jangan melampau batas syariat dengan haramkan yang halal dan halalkan yang haram.

As-Sauri telah meriwayatkan dari Mansur, dari Abud Duha, dari Masruq yang menceritakan, “Ketika kami sedang berada di rumah Abdullah ibnu Mas’ud, maka disuguhkan kepadanya air susu perahan. Lalu ada seorang lelaki (dari para hadirin) yang menjauh. Abdullah ibnu Mas’ud berkata kepadanya, “Mendekatlah!” Lelaki itu berkata, ‘Sesungguhnya aku telah mengharamkan diriku meminumnya.’ Abdullah ibnu Mas’ud berkata, ‘Mendekatlah dan minumlah, dan bayarlah kifarat sumpahmu,’ lalu Abdullah ibnu Mas’ud membacakan firman-Nya: Hai orang-orang yang beriman, janganlah kalian haramkan apa-apa yang baik yang telah Allah halalkan bagi kalian. (Al-Maidah: 87), hingga akhir ayat.

Bukan dalam perkara makan sahaja kita tidak boleh melampau, tapi dalam banyak perkara lain.

Di dalam kitab Sahihain disebutkan dari Siti Aisyah r.a. bahawa pernah ada segolongan orang dari kalangan sahabat Rasulullah Saw. bertanya kepada isteri-isteri Nabi Saw. tentang amal perbuatan Nabi Saw. yang bersifat peribadi. Maka sebahagian dari para sahabat itu ada yang kata, “Aku tidak akan makan daging.” Sebahagian yang lain mengatakan, “Aku tidak akan mengahwini wanita.” Dan sebahagian lagi mengatakan, “Aku tidak tidur di atas kasur.”Ketika hal itu sampai kepada Nabi Saw., maka baginda bersabda:

“مَا بَالُ أَقْوَامٍ يَقُولُ أَحَدُهُمْ كَذَا وَكَذَا، لَكِنِّي أَصُومُ وَأُفْطِرُ، وَأَنَامُ وَأَقُومُ، وَآكُلُ اللَّحْمَ، وَأَتَزَوَّجُ النِّسَاءَ، فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي”.

Apakah gerangan yang dialami oleh kaum, seseorang dari mereka mengatakan anu dan anu, tetapi aku puasa, berbuka, tidur, bangun, makan daging, dan kahwin dengan wanita. Maka barang siapa yang tidak suka dengan sunnah (tuntunan)ku, maka dia bukan dari golonganku.

 

إِنَّ اللَّهَ لا يُحِبُّ المُعتَدينَ

Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.

Allah tak suka perbuatan yang mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram. Malangnya, ramai yang buat begitu. Dan apa yang selalu terjadi adalah dalam pemakaian ‘pantang’. Selalunya selepas bersalin, bidan akan beritahu kepada wanita yang baru bersalin, beberapa jenis makanan yang pantang untuk dimakan. Dan orang kita akan ikut sahaja tanpa usul periksa. Ini juga termasuk dalam pengharaman kepada perkara yang halal. Mereka kata ianya bukanlah ‘haram’, ‘pantang’ sahaja. Tapi itu cuma penggunaan terma yang berbeza sahaja, dari segi hakikatnya, ia tetap pengharaman kepada perkara yang halal. Dan ini termasuk dalam perkara yang melampau.


 

Ayat 88: Sebaliknya Allah suruh kita gunakan perkara yang Allah telah halalkan. Kerana Allah telah jadikan untuk kita gunakan.

وَكُلوا مِمّا رَزَقَكُمُ اللَّهُ حَلالًا طَيِّبًا ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذي أَنتُم بِهِ مُؤمِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And eat of what Allāh has provided for you [which is] lawful and good. And fear Allāh, in whom you are believers.

(MALAY)

Dan makanlah makanan yang halal lagi baik dari apa yang Allah telah rezekikan kepadamu, dan bertakwalah kepada Allah yang kamu beriman kepada-Nya.

 

وَكُلوا مِمّا رَزَقَكُمُ اللَّهُ حَلالًا طَيِّبًا

Dan makanlah makanan yang halal lagi baik dari apa yang Allah telah rezekikan kepadamu,

Kita kena iktikad bahawa semua makanan adalah halal dan boleh dimakan kecuali kalau diharamkan dengan nas. Ianya mencakup apa sahaja yang Allah telah halalkan dan baik dari segi pemilikan. Maksudnya, kita memiliki makanan itu dengan cara baik, bukan barang curi. Dan keduanya, kena sembelih dengan cara benar.

Ayat ini tidaklah memberitahu kepada kita yang kita mesti makan semua makanan yang halal, kerana mungkin kita tidak suka makan. Kadang-kadang ada makanan halal tapi kita tidak kena dengan tekak kita, kita tidak ada selera nak memakannya. Mungkin kerana kita tidak biasa makan dari kecil lagi. Maka, tidak mengapalah kalau kita tidak makan, cuma jangan kita kata ianya tidak boleh dimakan.

Satu lagi hukum yang kita kena tahu, kalau selama hari ini kita pernah berpantang atas sesuatu makanan, maka wajib kena makan walaupun sekali. Itu adalah untuk memutuskan pantang kita itu. Makan sikit pun tidak mengapa.

Ayat ini juga memberitahu kita bahawa makanan yang halal adalah baik untuk kita.

Dalam masa yang sama, ada makanan yang halal, tapi tidak baik untuk kita. Iaitu kalau kita ada penyakit, ada jenis-jenis makanan yang kita tidak boleh makan setelah dinasihati oleh doktor. Ataupun, kalau kita makan makanan itu, terus kita sakit. Maka, tidak mengapalah kalau kita tidak mahu makan. Ianya tetap halal, dan orang lain boleh makan makanan itu, cuma kita sahaja yang tidak boleh makan.

 

وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذي أَنتُم بِهِ مُؤمِنونَ

dan bertakwalah kepada Allah yang kamu beriman kepada-Nya.

Bertaqwa itu bermaksud jaga hukum yang Allah telah tetapkan kepada kita. Jangan tambah dan jangan kurang. Itu pun kalau kamu rasa kamu beriman kepada Allah. Ini menunjukkan bahawa taqwa dan iman itu tidak sama. Orang yang beriman, belum tentu lagi dia bertaqwa. Kerana iman itu setakat percaya sahaja, tapi taqwa itu maksudnya dia taat sekali kepada hukum yang Allah telah tetapkan.

Maulana Hadi: Maidah 54-88


 

Ayat 89: Allah yang buat ketetapan samada sesuatu perkara itu halal atau haram. Dan kita sebagai hamba tidak ada hak untuk tukar ketetapan Allah. Oleh itu, tahlil (menghalalkan) dan tahrim (mengharamkan) adalah hak Allah. Dan kalau kita buat juga, kita telah kufur atas ‘syirik amali’ – kita telah mengamalkan sesuatu yang syirik – kita telah mengambil haq Allah, maksudnya kita telah mensyirikkan Allah.

Sebelum ini ayat tentang tidak boleh haramkan makan perkara yang halal. Jadi, mungkin ada yang telah bersumpah untuk tidak makan sesuatu makanan. Atau dia telah bersumpah untuk tidak melakukan perkara yang harus. Kalau kita bersumpah, kita kena menjalankan sumpah itu. Tapi hanyalah dalam perkara yang harus sahaja. Maknanya tidak boleh kita bersumpah untuk melakukan perkara yang haram. Dan kalau kita sumpah dan langgar sumpah itu, kena bayar kifarah. Kifarah adalah denda.

لا يُؤاخِذُكُمُ اللَّهُ بِاللَّغوِ في أَيمانِكُم وَلٰكِن يُؤاخِذُكُم بِما عَقَّدتُمُ الأَيمانَ ۖ فَكَفّارَتُهُ إِطعامُ عَشَرَةِ مَساكينَ مِن أَوسَطِ ما تُطعِمونَ أَهليكُم أَو كِسوَتُهُم أَو تَحريرُ رَقَبَةٍ ۖ فَمَن لَم يَجِد فَصِيامُ ثَلاثَةِ أَيّامٍ ۚ ذٰلِكَ كَفّارَةُ أَيمانِكُم إِذا حَلَفتُم ۚ وَاحفَظوا أَيمانَكُم ۚ كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُم آياتِهِ لَعَلَّكُم تَشكُرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh will not impose blame upon you for what is meaningless¹ in your oaths, but He will impose blame upon you for [breaking] what you intended of oaths. So its expiation² is the feeding of ten needy people from the average of that which you feed your [own] families or clothing them or the freeing of a slave. But whoever cannot find [or afford it] – then a fast of three days [is required]. That is the expiation for oaths when you have sworn. But guard your oaths.³ Thus does Allāh make clear to you His verses [i.e., revealed law] that you may be grateful.

  • i.e., what is sworn to only out of habit of speech or what one utters carelessly without true intent.
  • i.e., that for a deliberate oath.
  • i.e., do not take oaths indiscriminately or swear to do that which is sinful, requiring expiation.

(MALAY)

Allah tidak menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpahmu yang tidak dimaksud (untuk bersumpah), tetapi Dia menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpah yang kamu sengaja, maka kaffarat (melanggar) sumpah itu, ialah memberi makan sepuluh orang miskin, iaitu dari makanan yang biasa kamu berikan kepada keluargamu, atau memberi pakaian kepada mereka atau memerdekakan seorang budak. Barang siapa tidak sanggup melakukan yang demikian, maka kaffaratnya puasa selama tiga hari. Yang demikian itu adalah kaffarat sumpah-sumpahmu bila kamu bersumpah (dan kamu langgar). Dan jagalah sumpahmu. Demikianlah Allah menerangkan kepadamu hukum-hukum-Nya agar kamu bersyukur (kepada-Nya).

 

لا يُؤاخِذُكُمُ اللَّهُ بِاللَّغوِ في أَيمانِكُم

Allah tidak menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpahmu yang tidak dimaksud

Allah tidak hukum manusia dengan sumpahan yang tidak niat. Ada yang cakap sahaja di mulut tapi dia tidak berniat dalam hati. Ini adalah kerana kebiasaan orang Arab yang suka bersumpah, tapi mereka tidak berniat sangat. Itu hanya cakap-cakap kosong sahaja. Sebagai contoh, mereka kata begini: wallahi, aku takkan bercakap dengan kamu lagi; wallahi aku akan bunuh kamu…. dan sebagainya. Ianya bergantung kepada niat. Mungkin dia cakap itu semasa dia marah dan tak fikir apa yang dia cakap.

 

وَلٰكِن يُؤاخِذُكُم بِما عَقَّدتُمُ الأَيمانَ

tetapi Dia menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpah yang kamu sengaja,

Tetapi Allah akan hukum atas niat manusia yang sengaja. Yang dia cakap dengan mulut, dan dia tekad dalam hati untuk menjalankannya.

 

فَكَفّارَتُهُ إِطعامُ عَشَرَةِ مَساكينَ

maka kaffarat (melanggar) sumpah itu, ialah memberi makan sepuluh orang miskin, 

Mungkin selepas dia telah bersumpah, dia menyesal kerana berkata begitu. Maka dia hendak langgar sumpah dia itu, tidak mahu meneruskannya lagi. Maka kalau langgar sumpah, kena bayar kifarah sebagai denda. Salah satu cara adalah bagi makan sepuluh orang miskin.

 

مِن أَوسَطِ ما تُطعِمونَ أَهليكُم

iaitu dari makanan yang biasa kamu berikan kepada keluargamu, 

Iaitu beri makanan dari jenis yang biasa beri makan kepada keluarga sendiri. Kalau nasi, nasi lah, kalau roti, roti lah. Kalau biasa makan dengan lauk, kena beri dengan lauk sekali. Kalau biasa makan beras gred A, maka beri makan beras gred A lah juga.

 

أَو كِسوَتُهُم

atau memberi pakaian kepada mereka

Atau, bagi pakaian kepada mereka yang miskin, sepertimana pakaian yang diberi kepada keluarga sendiri. Walaupun tidak disebut sepertimana pakaian keluarga sendiri, tapi ianya boleh difahami.

 

أَو تَحريرُ رَقَبَةٍ

atau memerdekakan seorang budak.

Atau memerdekakan hamba.

Tiga pilihan di atas itu adalah kalau ada harta. Bagaimana kalau seorang yang hendak melanggar sumpahnya itu tidak ada harta?

 

فَمَن لَم يَجِد فَصِيامُ ثَلاثَةِ أَيّامٍ

Barang siapa tidak sanggup melakukan yang demikian, maka kaffaratnya puasa selama tiga hari.

Kalau tidak ada harta, gantinya adalah puasa tiga hari.

 

ذٰلِكَ كَفّارَةُ أَيمانِكُم إِذا حَلَفتُم

Yang demikian itu adalah kaffarat sumpah-sumpahmu bila kamu bersumpah

Itulah empat jenis pilihan penebus kesalahan langgar sumpah. حَلَفتُم bermaksud apabila seseorang itu telah buat komitmen atas sumpahnya, iaitu dia benar-benar berniat atas sumpah itu, bukan cakap main-main.

 

وَاحفَظوا أَيمانَكُم

Dan jagalah sumpahmu.

Jangan tinggalkan sumpah itu tanpa membayar kaffarah.

Yang sebaiknya, hendaklah jaga sumpah, jangan langgar. Kalau sudah bersumpah, kena jalankan.

Dan lagi satu, dari awal lagi, jangan buat sumpah yang akan menyebabkan susah diri sendiri juga nanti. Jangan kerana mulut, badan binasa. Mulut tu kena jagalah sikit. Kalau dah kena bayar kaffarah itu, jangan marahlah sebab ianya datang pun dari kamu juga.

 

كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُم آياتِهِ لَعَلَّكُم تَشكُرونَ

Demikianlah Allah menerangkan kepadamu hukum-hukum-Nya agar kamu bersyukur

Kita kena bersyukur kerana Allah beri jalan untuk langgar sumpah kita. Walaupun kena bayar kaffarah, tapi itu lebih baik dari kita tidak buat apa-apa dan kemudian di akhirat nanti kita kena hukum sebab langgar sumpah. Kerana kalau langgar sumpah, Allah akan marah. Sumpah bukan perkara yang boleh dibuat main.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 005: al-Maidah and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s