Tafsir Surah al-Maidah Ayat 48 – 50 (Hukum Jahiliah)

Ayat 48: Selepas disebut tentang zaman Taurat dan kemudian zaman Injil, sekarang disebut zaman Quran pula.

وَأَنزَلنا إِلَيكَ الكِتابَ بِالحَقِّ مُصَدِّقًا لِما بَينَ يَدَيهِ مِنَ الكِتابِ وَمُهَيمِنًا عَلَيهِ ۖ فَاحكُم بَينَهُم بِما أَنزَلَ اللَّهُ ۖ وَلا تَتَّبِع أَهواءَهُم عَمّا جاءَكَ مِنَ الحَقِّ ۚ لِكُلٍّ جَعَلنا مِنكُم شِرعَةً وَمِنهاجًا ۚ وَلَو شاءَ اللَّهُ لَجَعَلَكُم أُمَّةً واحِدَةً وَلٰكِن لِيَبلُوَكُم في ما آتاكُم ۖ فَاستَبِقُوا الخَيراتِ ۚ إِلَى اللَّهِ مَرجِعُكُم جَميعًا فَيُنَبِّئُكُم بِما كُنتُم فيهِ تَختَلِفونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We have revealed to you, [O Muḥammad], the Book [i.e., the Qur’ān] in truth, confirming that which preceded it of the Scripture and as a criterion over it. So judge between them by what Allāh has revealed and do not follow their inclinations away from what has come to you of the truth. To each of you We prescribed a law and a method.¹ Had Allāh willed, He would have made you one nation [united in religion], but [He intended] to test you in what He has given you; so race to [all that is] good.² To Allāh is your return all together, and He will [then] inform you concerning that over which you used to differ.

  • Prior to this revelation, which supersedes all previous scriptures.
  • i.e., obedience to Allāh according to what He enjoined in the Qur’ān and through the sunnah of His Prophet ().

(MALAY)

Dan Kami telah turunkan kepadamu Kitab dengan membawa kebenaran, membenarkan apa yang sebelumnya, iaitu kitab-kitab (yang diturunkan sebelumnya) dan batu ujian terhadap kitab-kitab yang lain itu; maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu. Untuk tiap-tiap umat diantara kamu, Kami berikan aturan dan jalan yang terang. Sekiranya Allah menghendaki, niscaya kamu dijadikan-Nya satu umat (saja), tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberian-Nya kepadamu, maka berlumba-lumbalah berbuat kebajikan. Hanya kepada Allah-lah kembali kamu semuanya, lalu diberitahukan-Nya kepadamu apa yang telah kamu perselisihkan itu,

 

وَأَنزَلنا إِلَيكَ الكِتابَ بِالحَقِّ

Dan Kami telah turunkan kepadamu Kitab dengan membawa kebenaran,

Dalam ayat ini tidak disebut nama kitab itu, sebab kalau dalam Quran disebut ‘al-kitab’, ianya adalah al-Quran.

 

مُصَدِّقًا لِما بَينَ يَدَيهِ مِنَ الكِتابِ

membenarkan apa yang sebelumnya, iaitu kitab-kitab

Quran membenarkan segala isi kitab sebelumnya, iaitu Taurat, Zabur dan Injil. Semua kandungan dalam kitab-kitab itu digabungkan dan Allah jadikan satu kitab untuk Bani Israil. Dan sekarang, ajaran-ajaran yang ada dalam kitab-kitab itu telah dimuatkan dalam Quran.

Penganut kitab-kitab wahyu sebelum Nabi Muhammad sepatutnya apabila nampak kesamaan yang ada pada Quran itu dengan apa yang mereka faham, sepatutnya itu menjadikan mereka yakin dengan Islam. Seperti yang disebutkan oleh Allah melalui firman-Nya:

{إِنَّ الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ مِنْ قَبْلِهِ إِذَا يُتْلَى عَلَيْهِمْ يَخِرُّونَ لِلأذْقَانِ سُجَّدًا وَيَقُولُونَ سُبْحَانَ رَبِّنَا إِنْ كَانَ وَعْدُ رَبِّنَا لَمَفْعُولا}

Sesungguhnya orang-orang yang diberi pengetahuan sebelumnya, apabila Al-Qur’an dibacakan kepada mereka, mereka menyungkur atas muka mereka sambil bersujud, dan mereka berkata, “Maha­suci Tuhan kami; sesungguhnya janji Tuhan Kami pasti dipenuhi.” (Al-Isra: 107-108)

 

وَمُهَيمِنًا عَلَيهِ

dan batu ujian terhadap kitab-kitab yang lain itu;

Maksud وَمُهَيمِنًا: untuk jaga. Inilah tugas kita kepada kitab-kitab sebelum ini. Kitab-kitab itu sudah tidak ada lagi yang asal, kerana telah banyak diubah oleh pemuka agama mereka. Jadi, untuk tahu apakah ajaran yang benar dari agama, maka kena periksa dengan kandungan Quran. Kalau ianya sama dengan kandungan Quran, maka benarlah ia.

Dalam penafsiran ayat-ayat Quran, banyak yang menggunakan kisah-kisah Israiliyat. Iaitu kisah-kisah yang disampaikan dari Bani Israil yang telah masuk Islam. Kita kena berhati-hati dalam menerima kisah-kisah itu. Walaubagaimana pun, ada yang berhujah, kita kena juga lihat kandungan kisah-kisah itu. Ini adalah kerana Quran cuma sebut kisah-kisah dahulu secara ringkas sahaja. Kadang-kadang kita tidak tahu apakah kisah disebalik perkara yang disebut secara ringkas dalam Quran. Oleh kerana itu, ada pendapat yang kata kita boleh gunakan maklumat dari sumber Israiliyat asalkan tidak berlawanan dengan apa yang ada dalam Quran. Tapi kita masih kena amat berhati-hati. Kita kena terima bahawa masih ada lagi kebenaran yang ada dalam kitab-kitab dahulu walaupun telah banyak diubah. Lalu bagaimana kita hendak tahu manakah kisah yang benar? Itulah yang disebut dalam ayat ini, kayu pengukur adalah pada Quran, bukan sebaliknya. al-Quranlah yang muhaimin dan bukan sebaliknya. Kita kena pandang Quran yang dominan. Oleh itu, kalau ada kisah-kisah yang kita baca, kena selarikan dengan Quran. Bukannya kita kena periksa kisah yang disampaikan dalam Quran dengan periksa apa yang ada dalam kitab-kitab terdahulu.

Walau bagaimana pun, kita adalah kerja yang amat besar dan tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya. Ianya kena dilakukan oleh ulama-ulama kita yang ada pengetahuan yang luas. Zaman kita sekarang memang ada ulama yang mengkaji kitab-kitab dahulu. Jadi, tugas ini bukan boleh dilakukan oleh orang biasa.

Oleh itu, Quran adalah batu pengukur bagi kitab-kitab lain. Oleh itu, kita orang awam ini tak perlu belajar kitab lain sebab dalam Quran sudah ada segala perkara yang kita perlu tahu. Segala perkara tentang agama, kena bandingkan dengan Quran. Oleh itu, cukup bagi kita hanya belajar Quran. Kita kena ingat ayat ini dengan baik sekali. Jadi, kalau ada orang yang sampaikan perkara dari kitab lain yang berlainan dengan Quran, maka kita tahulah bahawa telah ada pengubahsuaian yang dilakukan dalam kitab-kitab itu. Kita kena ingat bahawa kitab-kitab itu tidak tulen lagi semuanya. Hanya Quran sahaja yang diberi janji oleh Allah yang akan dijagaNya sampai Kiamat seperti firmanNya:

{إِنَّا نَحْنُ نزلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ}

Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Qur’an, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya. (Al-Hijr: 9)

 

فَاحكُم بَينَهُم بِما أَنزَلَ اللَّهُ

maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang Allah turunkan 

Setelah kita belajar tafsir Quran, maka buatlah kepuusan dengan kitab ini yang Allah telah turunkan. Iaitu dengan Quran ini, bukan dengan kitab-kitab yang lain. Penganut agama-agama sebelum Islam memang kena tinggalkan kitab-kitab mereka dan beramal dan berhukum dengan Quran sahaja sekarang.

 

وَلا تَتَّبِع أَهواءَهُم عَمّا جاءَكَ مِنَ الحَقِّ

dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu. 

Jangan ikut hawa nafsu. Kalau perkara agama bercanggah dengan dalil yang ada dalam Quran, itu sebab ikut nafsu. Jadi jangan ikut hawa nafsu mereka yang lari dari kebenaran. Yang dimaksudkan dalam ayat asalnya adalah golongan Yahudi kerana mereka memalsukan perkara yang hak melalui berbagai macam perkara yang mereka ajukan kepadamu; janganlah kamu teperdaya oleh mereka, kerana sesungguhnya mereka adalah orang-orang pendusta, kafir lagi penghianat. Jangan ikut mereka yang ikut hawa nafsu mereka. Kalau zaman sekarang, ada berbagai-bagai jenis golongan lagi yang kita kena berhati-hati jangan terikut dengan cara mereka. Manusia kena pastikan bahawa keinginan nafsu mereka kena diselarikan dengan apa yang disampaikan dalam Quran.

 

لِكُلٍّ جَعَلنا مِنكُم شِرعَةً وَمِنهاجًا

Untuk tiap-tiap umat diantara kamu, Kami berikan aturan dan jalan yang terang. 

Cara ibadat dan adat antara zaman, tidak sama. Syariat dari zaman ke zaman tidak sama. Sebab itulah kandungan Kitab Taurat dan Quran berlainan dari segi syariat. Sebagai contoh, cara solat dan cara berpuasa tidak sama dari satu umat ke satu umat. Memang Allah telah buat begitu mengikut kebijaksaan Dia. Kalau ikut akal kita yang cetek ini, tentu kita fikir, kenapa tidak diberikan syariat yang sama sahaja dari dulu sampai sekarang. Tapi Allah lebih mengetahui apa yang manusia perlukan mengikut zaman masing-masing. Oleh kerana itu, bagi setiap umat, Allah telah jadikan syariat dan jalan agama yang jelas yang sesuai untuk mereka. Maksud syariat dan manhaj mempunyai makna lebih kurang sahaja. Lebih tepat lagi, lafaz minhaj itu bermaksud, ‘jalan agama’.

Kalau kita cuba tafsirkan dengan lebih lanjut lagi, lafaz ‘syariat‘ itu dari bahasa, datang dari lafaz syuru’ – bermaksud permulaan perjalanan yang membawa kepada air. Kepada orang Arab, itu adalah perjalanan yang membawa kepada kehidupan. Kerana mereka tinggal di kawasan padang pasir dan air adalah sumber yang tidak banyak macam kita di negara kita. Oleh kerana itu, pada mereka, lafaz ‘syariat’ itu adalah bermakna sekali kerana ianya sesuatu yang membawa mereka kepada kehidupan; ia juga bermaksud ‘pemulaan’, jadi ianya boleh juga ditafsirkan sebagai permulaan kepada Islam. Oleh itu, langkah pertama dalam agama ini adalah melihat kepada syariat. Kemudian baru kita mencari ‘wasilah’ untuk mendekatkan diri kepada Allah. Jadi syariat itu perlu dilalui dan dipenuhi dahulu sebagai langkah pertama.

Lafaz ‘minhaj‘ pula bermaksud jalan secara keseluruhan. Ianya adalah jalan yang jelas. Laluan yang membawa kepada air itu tidak semestinya jelas, tapi apabila dikatakan jalan itu sebagai ‘minhaj’, ianya adalah laluan yang jelas. Oleh itu, ia adalah satu penjelasan kepada syariah. Ianya jalan yang perlu kita ikut dan lalui. Kalau dalam zaman sekarang, bahasa yang sesuai untuk digunakan untuk menerangkan maksudnya adalah ‘metodologi’. Ini penting untuk diketahui kerana Allah bukan sahaja memberi hukum syariat tapi diberikanNya juga jalan bagaimana untuk mencapainya. Setiap Nabi diberikan dengan syariat dan manhaj yang berlainan. Untuk memahami keduanya, kita perlu belajar seerah.

 

وَلَو شاءَ اللَّهُ لَجَعَلَكُم أُمَّةً واحِدَةً

Sekiranya Allah menghendaki, niscaya kamu dijadikan-Nya satu umat

Allah boleh nak jadikan kamu semua umat beriman sahaja, tidak derhaka langsung. Bukannya Allah tidak mampu. Ini kerana ada manusia yang berhujah, kenapa Allah tidak jadikan semua manusia ini beriman sahaja? Bukannya Allah tidak boleh buat – lihatlah bagaimana Allah telah menjadi para malaikat itu semuanya beriman sahaja, tidak derhaka langsung walau sedikit pun.

Tapi Allah yang Maha Bijaksana telah memberi pilihan kepada manusia untuk memilih jalan sendiri untuk menguji makhlukNya. Begitulah yang telah ditetapkan kepada kita, untuk masuk syurga, kena uji dulu di dunia. Tapi Allah uji makhluk dengan perkara yang semua makhluk boleh buat. Allah uji dengan hukum Dia yang boleh untuk diikuti, tapi ada yang boleh ikut dan ada yang tidak boleh ikut.

 

فَاستَبِقُوا الخَيراتِ

maka berlumba-lumbalah berbuat kebajikan. 

Maka apabila masing-masing umat ada syariat, tujuannya bukan nak bandingkan mana syariat yang lebih bagus, tapi Allah hendak lihat siapa yang boleh buat paling banyak kebaikan. Iaitu siapa yang buat lagi banyak dan lagi baik. Maka berlumbalah untuk buat kebajikan. Ingatlah yang kita datang sekali sahaja di dunia.

Buat sahajalah syariat itu. Dan jangan kacau kerja Tuhan dan jangan kritik syariat yang telah ada. Dan jangan tambah-tambah syariat yang telah lengkap itu.

 

إِلَى اللَّهِ مَرجِعُكُم جَميعًا

Hanya kepada Allah-lah kembali kamu semuanya,

Ingatlah yang kita tak pergi ke lain tapi akan tetap mengadap Allah. Waktu itu kita datang dengan bawa amal-amal kita ke dunia. Adakah kita rasa cukup dengan amal kebaikan yang kita telah lakukan?

 

فَيُنَبِّئُكُم بِما كُنتُم فيهِ تَختَلِفونَ

lalu diberitahukan-Nya kepadamu apa yang telah kamu perselisihkan itu,

Semasa di dunia, kita ada banyak perselisihan. Ada yang tidak bersetuju dengan apa yang telah disampaikan kepada mereka. Mereka rasa tidak puas hati apabila apa yang mereka lakukan dikatakan salah. Maka Allah beritahu dalam ayat ini, yang semuanya akan dihadapkan kepadaNya dan Dia akan cerita balik perselisihan kita itu. Maka, semasa di dunia, hendaklah kita pastikan apa yang kita lakukan itu adalah benar dan bukan hanya buat tanpa ada dalil. Kerana apa kita nak jawap depan Allah taala nanti kalau apa yang kita telah lakukan selama di dunia dulu rupanya tidak ada dalil?


 

Ayat 49:

وَأَنِ احكُم بَينَهُم بِما أَنزَلَ اللَّهُ وَلا تَتَّبِع أَهواءَهُم وَاحذَرهُم أَن يَفتِنوكَ عَن بَعضِ ما أَنزَلَ اللَّهُ إِلَيكَ ۖ فَإِن تَوَلَّوا فَاعلَم أَنَّما يُريدُ اللَّهُ أَن يُصيبَهُم بِبَعضِ ذُنوبِهِم ۗ وَإِنَّ كَثيرًا مِنَ النّاسِ لَفاسِقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And judge, [O Muḥammad], between them by what Allāh has revealed and do not follow their inclinations and beware of them, lest they tempt you away from some of what Allāh has revealed to you. And if they turn away – then know that Allāh only intends to afflict them with some of their [own] sins. And indeed, many among the people are defiantly disobedient.

(MALAY)

dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu. Jika mereka berpaling (dari hukum yang telah diturunkan Allah), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah menghendaki akan menimpakan mushibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasik.

 

وَأَنِ احكُم بَينَهُم بِما أَنزَلَ اللَّهُ

dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah,

Ini adalah suruhan Allah kepada manusia untuk berhukum dengan hukum Allah. Ayat seperti ini berulang-ulang dalam surah Maidah kerana waktu surah ini diturunkan, Islam sudah ada negara dan kena ada hukum untuk menguruskan manusia.

 

وَلا تَتَّبِع أَهواءَهُم

dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. 

Nabi Muhammad diingatkan untuk berpegang dengan hukum yang ada dalam Quran dan jangan ikut hawa nafsu mereka yang tidak mahu kepada kebenaran. Ada ramai manusia yang cuba hendak memesongkan diri mereka dari undang-undang yang sebenar. Maka kita kena hendaklah berpaling dari mereka dan jangan ikut mereka.

 

وَاحذَرهُم أَن يَفتِنوكَ عَن بَعضِ ما أَنزَلَ اللَّهُ إِلَيكَ

Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu. 

Allah ingatkan kepada Nabi dan kepada kita untuk berwaspadalah dengan mereka. Mereka itu kalau boleh hendak menggelincirkan kita dengan soal macam-macam perkara yang telah diturunkan dalam wahyu. Kalau kita terikut dengan mereka, ia boleh melupakan kamu dari syariat sebenar. Cara yang mereka gunakan, mereka akan banyak tanya sebab nak kenakan kita, nak jerat kita dengan soalan-soalan mereka. Mereka akan tanya banyak soalan dan mungkin dari seratus soalan itu, entah satu yang kita tidak boleh jawap, jadi mereka kata kita dah kalah. Padahal satu sahaja tak dapat jawap.

 

فَإِن تَوَلَّوا فَاعلَم أَنَّما يُريدُ اللَّهُ أَن يُصيبَهُم بِبَعضِ ذُنوبِهِم

Jika mereka berpaling, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah menghendaki akan menimpakan mushibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa-dosa mereka.

Allah memberi ancaman, sekiranya mereka berpaling dari ikut keputusan wahyu, maka ketahuilah yang Allah akan azab mereka. Yakinlah tentang perkara ini.

Allah akan menimpakan mereka dengan musibah, hasil dari sebahagian dosa yang telah mereka lakukan di dunia. Di dunia mereka akan kena musibah dan di akhirat kelak mereka akan dikenakan dengan azab neraka. Begitulah, zaman berzaman ada sahaja yang meninggalkan Islam. Kita tidak perlu hairan kerana Allah telah jelaskan dalam ayat ini. Mereka itu keluar Islam kerana mereka itu telah ditakdirkan akan diazab oleh Allah. Mereka sendiri yang tolak syariat yang Allah telah sediakan. Mereka ragu-ragu dengan hukum yang Allah telah gariskan kerana mereka dari asal lagi tidak kisah dengan hukum-hukum itu. Sebagai contoh, mereka akan mempersoalkan Hukum Hudud sampai mereka rasa agama Islam ini tidak benar kerana memberikan hukum yang mereka rasa tidak sesuai dengan zaman sekarang.

Kesesatan mereka itu sebenarnya telah direncanakan oleh takdir Allah dan kebijaksanaan-Nya terhadap mereka, iaitu Dia hendak memalingkan mereka dari jalan hidayah disebabkan dosa-dosa mereka yang terdahulu yang menyebabkan kesesatan dan pembangkangan mereka.

 

وَإِنَّ كَثيرًا مِنَ النّاسِ لَفاسِقونَ

Dan sesungguhnya kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasik.

Sedarlah yang kebanyakan manusia itu bersifat fasik. Fasik maksudnya derhaka kepada Allah. Dan memang mereka itu ramai lagi dari orang yang beriman, jadi jangan ikut suara majoriti. Kadang-kadang kita terikut-ikut dengan suara majoriti sampaikan kita pun terjerumus juga. Ingatlah yang mereka yang duduk dalam Islam pun ramai yang masuk neraka. Ini berlaku kalau mereka tak mahu pakai syariat dari Quran. Memang begitulah Allah dah sebut dah. Walaupun mereka itu mengaku muslim kerana tidak semestinya kalau mereka mengaku muslim mereka akan terus beriman atau terus mengikut lunas-lunas agama Islam.


 

Ayat 50: Apabila manusia tidak mahu pakai syariat yang sebenar, mereka tentunya akan pakai yang tidak syariat. Itu dipanggil jahiliah kerana ia bukan syariat sebenar.

أَفَحُكمَ الجاهِلِيَّةِ يَبغونَ ۚ وَمَن أَحسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكمًا لِقَومٍ يوقِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then is it the judgement of [the time of] ignorance they desire? But who is better than Allāh in judgement for a people who are certain [in faith].

(MALAY)

Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?

 

أَفَحُكمَ الجاهِلِيَّةِ يَبغونَ

Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki,

Sudah ada hukum syariat dari Allah tapi adakah hukum jahiliah juga yang mereka cari? ‘Jahil’ itu maksudnya ikut perasaan sahaja, tidak guna akal fikiran yang waras dan buat apa sahaja yang timbul dalam hati. Juga termasuk membuat sesuatu dengan tergesa-gesa. Kerana bukankah masa tergesa-gesa itu kita tidak guna akal sangat bukan?

Malangnya, zaman sekarang memang manusia tidak menggunakan akal mereka yang waras sangat. Mereka banyaknya ikut perasaan sahaja. Lihatlah bagaimana kita termakan dengan iklan-iklan di media sampaikan kita beli dan pakai perkara yang kita tidak perlukan tapi kerana kita hendak memuaskan nafsu kita dan hendka menunjuk-nunjuk sahaja kepada orang lain. Inilah jahiliah zaman moden sekarang – consumerism.

Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami ayahku, telah menceritakan kepada kami Hilal ibnu Fayyad, telah menceritakan kepada kami Abu Ubaidah An-Naji yang telah mencerita­kan bahawa ia pernah mendengar Al-Hasan berkata, “Barang siapa yang memutuskan perkara bukan dengan hukum Allah, maka hukum Jahiliah yang dipakainya.”

 

وَمَن أَحسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكمًا

dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah

Tapi siapa lagi yang lebih elok yang beri hukum dari Allah? Hukum dari Allah lah yang lebih sesuai dan tepat untuk kita kerana Allah yang menjadikan kita, jadi Dia tahu apa yang kita perlukan dan apa yang baik untuk diri kita.

 

لِقَومٍ يوقِنونَ

bagi orang-orang yang yakin

Syariat itu diberikan kepada semua manusia, tapi yang menggunakannya adalah mereka yang yakin sahaja. Iaitu mereka yang yakin bahawa syariat yang Allah berikan kepada kita itu adalah untuk kebaikan kita juga. Dan kalau kita tidak mengamalkan syariat itu, kita sendiri yang akan rugi.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

 

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 005: al-Maidah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s