Tafsir Surah al-Ahqaf Ayat 1 – 5 (Yang diseru, tidak mendengar langsung)

Pengenalan:

Surah ini hendak menjawap tentang kekeliruan dalam berdoa. Ada salah faham dalam masyarakat kita yang selalunya menggunakan ‘tawasul’ yang dilarang dalam urusan doa mereka. Surah ini adalah salah satu dari surah ‘tujuh ha mim’ yang menjadi tafsir untuk ayat  وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ daripada surah Fatihah. Surah-surah hawamin itu adalah tentang ‘doa’ dimana kita diajar untuk hanya meminta kepada Allah, tanpa menggunakan perantaraan yang dilarang. Perantaraan itu dalam bahasa Arab dipanggil tawasul.

Seperti yang kita telah belajar sebelum ini, surah-surah Hamim Tujuh ini adalah berkenaan Tauhid dalam doa. Ini telah diberitahu dalam Surah Ghafir. Dan Dakwa surah ini sama seperti surah-surah Ha Mim yang lain – Tauhid dalam doa dan istianah. Cuma surah ini juga mempunya ‘Maksud’ surah yang tersendiri. Apabila diberitahu tentang tauhid dalam berdoa, maka ada kesamaran-kesamaran yang timbul dalam fikiran manusia. Untuk menjawap kesamaran-kesamaran itu, Allah turunkan 6 surah yang juga dimulai dengan lafaz haamin sebagai menjawap kesamaran dan kekeliruan itu. Dan Surah Ahqaf ini mempunyai satu kesamaran yang hendak diperjelaskan kekeliruannya.

Surah Fussilat menjawap kekeliruan manusia yang pertama. Mereka kata apabila mereka seru selain dari Allah, mereka dapat apa yang mereka kehendaki. Allah beritahu dalam surah Fussilat, segala apa yang mereka dapat itu bukanlah tanda bahawa apa yang mereka lakukan itu benar.

Selepas itu, Surah Shura pula menjawap kekeliruan kedua: ada dalil-dalil yang mengatakan bahawa seruan selain kepada Allah itu boleh. Surah Syurga ini memberitahu, dalil yang boleh diterima adalah dalil dari wahyu dan dalil selain dari wahyu yang membenarkan melakukan perkara yang dilarang dalam wahyu adalah tertolak.

Selepas itu, Surah Zukhruf telah menjawap kekeliruan yang ketiga: Ada yang hujah kata mereka tidak minta kepada selain Allah itu tetapi, mereka cuma seru sahaja untuk mendapatkan sokongan dan syafaat dari wali, Nabi atau malaikat itu supaya doa mereka makbul. Dan juga supaya mereka mendapat syafaat dari mereka di akhirat kelak. Mereka kata mereka tidak minta terus kepada seruan-seruan mereka itu kerana mereka tahu bahawa yang boleh memakbulkan doa hanya Allah sahaja. Allah memberitahu bahawa inilah juga fahaman Musyrikin Mekah. Kalau masyarakat Islam kita pun ada fahaman sebegini, maka mereka pun sama sahaja dengan Musyrikin Mekah. Ini dinamakan Syirik fi Syafa’at.

Surah Dukhan telah menjawap kekeliruan yang keempat: Kesamaran tentang doa timbul kerana ada manusia yang kata, selain Allah, ada makhluk lain yang boleh dengar juga doa manusia dan tahu isi hati manusia yang berdoa. Mereka kata begitu kerana akidah syirik mereka. Mereka kata ada makhluk-makhluk yang boleh mendengar seruan manusia yang berdoa kepada mereka kerana kerana Allah telah beri berkat kepada mereka kerana kelebihan dan kemulian mereka, sampai mereka boleh dengar seruan manusia, walaupun mereka telah mati. Dan sekurang-kurangnya, mereka kata yang diseru itu boleh membawakan doa mereka kepada Allah dan memberi keberkatan kepada mereka. Allah telah jawap dalam surah Dukhan bahawa hanya Dia sahaja yang Maha Mendengar dan tahu doa kita, dan kerana itu kita harus doa dan seru hanya kepada Allah.

Surah Jathiya pula telah menjawap kesamaran yang kelima. Ada yang kata, kalau Allah hendak, Dia boleh beri ilah lain seperti Nabi dan wali itu boleh mendengar doa dan seruan mereka itu. Allah jawap yang dalam syariat Allah tentang akidah ini tidak ada sebarang kemungkinan. Syariat tentang akidah memang dah jelas kerana ianya adalah dalil yang qat’ie – dalil yang jelas, tidak ada kemungkinan lain. Dan Allah pun sudah larang seru kepada selain dari Dia dalam doa dan penyembahan dan terdapat dalam banyak ayat-ayat dalam Quran. Lalu bagaimana Allah benarkan perkara yang Dia sudah larang? Ini tidak mungkin.

Surah Ahqaf ini diturunkan untuk memperbetulkan kesamaran ke-enam dan terakhir dalam hal doa.

Maksud atau Dakwa surah ini adalah pada ayat 28 surah ini:

فَلَولا نَصَرَهُمُ الَّذينَ اتَّخَذوا مِن دونِ اللَّهِ قُربانًا آلِهَةً ۖ بَل ضَلّوا عَنهُم ۚ وَذٰلِكَ إِفكُهُم وَما كانوا يَفتَرونَ

Mengapa tidak mereka dibela oleh segala yang mereka sembah yang lain dari Allah sebagai penyembahan untuk mendekatkan diri (kepada Allah)? (Tetapi tidak), bahkan segala yang mereka sembah itu telah hilang lenyap dari mereka. Dan demikianlah akibat penyelewengan mereka dan kepercayaan yang mereka telah ada-adakan.

Puak yang tidak faham tauhid mengatakan: selain Allah, walau pun mereka tak dengar dan tidak dapat selesai masalah yang didoakan kepada mereka, sekurang-kurangnya boleh beri berkat kerana kedudukan mereka yang rapat dengan Allah. Dan banyak yang sudah menjadi. Kerana itu mereka terus buat. Kerana itu mereka pertahankan amalan doa kepada selain Allah dan amalan bertawasul dalam doa itu.

Allah kata selesai masalah bukan tanda ia benar. Allah memang boleh beri walau mereka seru selain Allah. Orang kafir memang banyak yang kaya dan kuasa. Tapi Dia humban mereka semua masuk neraka dan mereka akan kekal dalam neraka. Tapi mereka terus sesat kerana mereka hidup senang di dunia. Amalan syirik pun menjadi juga apabila mereka amalkan.

Allah tanya dan tempelak mereka: Kenapa roh-roh yang mereka seru itu tidak membantu mereka? Tidak dapat menyelamatkan mereka dari kekal dalam neraka, kenapa?

Lafaz قُربانًا bermaksud: ingin menghampirkan diri kepada Allah.  Ini ada disebut dalam Zumar:3

وَالَّذينَ اتَّخَذوا مِن دونِهِ أَولِياءَ ما نَعبُدُهُم إِلّا لِيُقَرِّبونا إِلَى اللَّهِ زُلفىٰ

Dan orang-orang yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): “Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya”,

Kerana tidak faham tauhid, ramai manusia yang mengambil selain Allah sebagai ilah.  Seperti yang kita telah jelaskan banyak kali, ilah itu adalah sebagai penyelesai masalah, penyempurna hajat, tempat sandaran hati manusia. Menjadikan selain Allah sebagai ilah adalah salah kerana segala sifat-sifat itu adalah sifat ketuhanan dan tidak boleh disandarkan kepada selain Allah.

Segala sembahan-sembahan dan tempat seruan mereka seperti Nabi, wali dan malaikat akan hilang dari bantu mereka. Mereka puja dan mereka seru sembahan-sembahan itu tapi tidak ada pun yang akan menolong mereka. Malangnya, mereka hanya tahu bila di akhirat sahaja nanti dan waktu itu sudah terlambat.

Mereka kata apa yang mereka lakukan dalam seruan dan sembahan selain Allah itu benar kerana menjadi – itu adalah إِفكُهُم – pembohongan kamu sahaja.

Dan apa yang mereka adalah يَفتَرونَ yang mereka ada-adakan sahaja. Mereka reka cara macam-macam untuk seru dan ibadat kepada selain Allah itu. Sebagai contoh, mereka guna daun itu ini, garam, bertih, lada hitam dan sebagainya. Memang mereka kena reka sendiri kerana tidak ada dalam wahyu atau amalan dari Nabi atau sahabat. Yang ajar dan suruh mereka buat begitu adalah jin. Dan jin itu telah mengajar dan membisikkan kepada mereka cara-cara yang salah itu sebab mereka sendiri memang puja jin tanpa pengetahuan mereka. Mereka bukannya puja roh Nabi, wali, malaikat tapi sebenarnya mereka puja jin.

Khulasahnya, di Akhirat nanti mereka tidak akan selamat. Dan yang penting adalah keselamatan kita di akhirat nanti. Jangan tengok zahir dunia sahaja. Surah Ahqaf ini nak ajar kita untuk lihat kepada hujung hidup kita nanti – di akhirat nanti. Jangan kita selamat di dunia sahaja, tapi kita hendak selamat di akhirat nanti. Dunia hanya sementara tapi akhirat yang kita akan kekal abadi. Kalau kita kekal dalam neraka, alangkah malangnya, tidak ada yang lagi malang dari itu.

Dalam surah ini banyak diberikan dalil-dalil supaya kita mengambil pengajaran, termasuk dalil dari kata-kata jin. Mereka pun ada yang beriman setelah mereka kenal dengan Quran. Dan jangan tertipu dengan hal jin ini. Ramai yang menggunakan khidmat jin sedangkan jin, termasuk Jin Islam tidak jumpa manusia dan tidak ada hubungan dengan manusia. Hinggakan Nabi Muhammad pun sekat para sahabat dari berjumpa dengan mereka. Kalau Nabi berjumpa dengan jin, Nabi akan pergi sendiri sahaja. Maka, jangan percaya kalau ada yang kata mereka berkawan dengan jin, menggunakan jin untuk kebaikan, jin mereka beritahu itu dan ini dan sebagainya. Ramai yang tertipu dengan jin, kononnya mereka kata jin-jin itu boleh dipercayai kerana mereka Jin Islam. Tapi, mana boleh percaya benda begitu, kerana mereka bukan ada IC untuk menunjukkan yang mereka benar-benar Jin Islam.


 

 

Ayat 1:

حم

 

Kita tidak tahu apa makna ayat ini. Ayat-ayat jenis ini dinamakan ayat-ayat Muqattaah. Kita hanya boleh tafsir ayat yang selepas dua ayat muqattaah ini sahaja.

Ini menyedarkan kita bahawa, kalau Allah tidak memberitahu apa-apa kepada kita, kita tidak akan tahu apa-apa. Bukanlah huruf-huruf Muqattaah ini tidak ada makna. Ada maknanya, cuma kita sahaja yang tak tahu. Kerana Allah tidak memberitahu kepada kita. Nabi Muhammad pun tidak pernah menceritakan apakah maknanya. Kita tahu tidak ada maklumat tentangnya, kerana tidak ada hadis yang Nabi memberitahu maknanya. Ada perkara yang Allah tak beritahu kepada kita, termasuklah kepada Nabi Muhammad.

Ini adalah satu ujian kepada orang yang alim – (orang berilmu). Ujian untuk lihat sama ada mereka boleh kata mereka ‘tidak tahu’. Untuk melihat samada mereka boleh mengaku kepada manusia bahawa mereka tidak tahu. Kerana mereka mungkin rasa malu untuk mengaku tidak tahu. Takut orang hairan kenapa mereka tidak tahu. Jadi, ada orang alim yang walaupun mereka tidak tahu dengan pasti, mereka akan jawap juga mengikut agak-agak mereka, walaupun mereka tahu maklumat itu tidak tepat. Ini mengingatkan kita kepada kisah bagaimana pernah satu rombongan dari jauh datang bertemu Imam Malik dengan membawa 18 soalan. Imam Malik hanya menjawap 3 sahaja soalan-soalan itu dan selainnya, Imam Malik jawap: ‘tidak tahu’.

Kepada kita yang tidak berilmu ini, ayat ini mengajar kita untuk mula belajar dengan ‘tidak tahu’. Dengan mempunyai fikiran yang kosong, bersedia untuk menerima ilmu. Kalau kita mulakan belajar sesuatu dengan idea lain yang sudah ada dalam fikiran kita, itu akan jadi satu gangguan kepada pemahaman kita.

Satu lagi, huruf-huruf Muqattaah ini mungkin diletakkan sebegitu rupa untuk menarik perhatian orang yang mendengar. Bangsa Arab adalah satu bangsa yang amat berbangga dengan penguasaan bahasa mereka. Penggunaan huruf Muqattaah ini tidak pernah mereka dengar. Jadi, apabila Quran menggunakan perkataan sebegini, mereka kehairanan dan mereka akan tertanya-tanya apakah yang hendak dibawa oleh ayat-ayat Quran itu. Oleh itu, mereka akan memberi perhatian kepada ayat-ayat yang seterusnya.

Kepada kita, walaupun kita tidak menguasai bahasa Arab, tetapi apabila kita baca huruf-huruf Muqattaah ini, ianya adalah satu penggunaan bahasa yang amat menarik perhatian kita. Kita akan rasa terpanggil untuk terus membaca ayat-ayat seterusnya. Begitulah keindahan Quran yang Allah telah turunkan untuk kita.

 


 

Ayat 2: Ayat Muqaddimah kepada surah ini.

تَنزيلُ الكِتابِ مِنَ اللَّهِ العَزيزِ الحَكيمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The revelation of the Book is from Allāh, the Exalted in Might, the Wise.

MALAY

Diturunkan Al-Quran ini, dari Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

 

تَنزِيلُ الْكِتَابِ

Turunnya Al-Quran ini,

Dalam ayat ini, Allah memperingatkan kita bahawa Quran itu diturunkan olehNya. Umumnya adalah bermaksud seluruh Quran ini diturunkan dan khususnya, ianya merujuk kepada surah ini;

Dari segi bahasa, perkataan تَنْزِيلُ  ini menunjukkan bahawa penurunan Quran itu mengambil masa yang lama, bukan sekaligus. Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad mengambil masa hampir 23 tahun lamanya. Allah mengambil masa untuk memberikan Quran ini kepada manusia. Kelebihannya, manusia dapat mengambil pengajaran sedikit demi sedikit. Ini mengajar kita bahawa untuk memahami Tafsir Quran ini, mengambil masa yang lama. Quran tidak boleh dipelajari dengan kelam kabut. Kita kena memahaminya dengan mendalam. Sekurang-kurangnya setakat yang kita mampu.

 

مِنَ اللَّهِ الْعَزِيزِ الْحَكِيمِ

dari Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Quran ini bukan daripada Nabi, malaikat atau wali-wali lain. Daripada Allah semata-mata. Rasul itu pesuruh Allah dan tugasnya menyampaikan Quran ini kepada kita, oleh itu Quran itu bukanlah dari kata-kata Rasul itu. Rasul itu bersifat sebagai hamba Allah semata-mata – menurut arahan Allah dan menyampaikan apa yang mereka telah disuruh untuk sampaikan. Manusia bersifat hamba dan sebagai hamba, kena ikut apa yang telah disampaikan oleh Allah. Begitu juga Malaikat, mereka juga taat kepada arahan dari Allah.

Dalam ayat ini, Allah hendak memberi amaran dan peringatan kepada kita: dengar baik-baik, Quran ini daripada Allah, bukan dari orang lain. Oleh itu, jangan kamu mempermainkannya. Jangan kamu buat tak endah kepadanya. Kenalah kamu belajar Quran itu dan tafsirnya sampai kamu faham. Bukan setakat baca sahaja, tapi tak faham apa yang hendak disampaikan dalam Quran itu. Malangnya, kebanyakan dari orang Islam hanya baca sahaja Quran ini tanpa memahami apa yang mereka baca. Oleh kerana itu, banyak perkara yang mereka langgar.

Sepatutnya kita menghargai ayat-ayat dari Quran ini kerana ianya dari Allah, Tuhan yang menjadikan kita, tapi amat sedih sekali, masyarakat kita kalau surat dari orang lain, dari kawan-kawan, dari kerajaan, dari majikan, malah surat dalam bentuk iklan pun mereka akan baca. Tapi, dengan Quran, mereka buat tak endah sahaja. Padahal ayat-ayat Quran itu bukan dari sesiapa melainkan Allah azza wajalla. Tidakkah kita malu dengan Allah? Sedangkan kalau surat dari kekasih kita, berkali-kali kita baca, berkali-kali kita tenung. Tapi apabila ‘surat’ dari Allah, kita buat biasa sahaja.

Ingatlah, Quran itu dari Allah. Kemudian Allah terangkan sifatNya. Kerana untuk mengenal Allah, Allah telah terangkan dalam Quran ini satu persatu tentang siapakah DiriNya.

Siapakah yang layak untuk memperkenalkan diri? Tentulah orang itu sendiri yang selayaknya memperkenalkan DiriNya sendiri. Kalau orang tak kenal saya, tentulah saya orang yang paling layak untuk kenalkan diri saya, bukan? Bagaimana pula dengan Allah? Tentulah Allah paling layak mengenalkan DiriNya, sifatNya, kemahuanNya dan kebenciaanNya. Dan Allah memang telah terangkan siapa DiriNya dalam Quran ini. Dan ditambah lagi dengan pemberitahuan dari NabiNya Muhammad SAW yang paling kenal Allah.

Maka, nak kenal Allah, kenalah belajar Tafsir Quran kerana Allah telah terangkan mengenai DiriNya dalam Quran dengan banyak sekali. Bukannya belajar tarekat untuk mengenal Allah dengan cara yang tidak sahih. Mereka itu mereka-reka sahaja cara untuk mengenal Allah. Mereka kononnya nak kenal Allah dengan cara cepat, tapi mereka tertipu. Mereka reka cara-cara yang salah, dengan cara yang bidaah, malah dengan cara yang syirik pun ada. Cara amalan mereka itu tidak pernah diajar oleh Nabi. Yang cipta cara yang mereka buat itu adalah mereka sendiri. Maka, berhati-hatilah dengan gerakan tarekat dan tasauf yang banyak dalam negara ini dan serata dunia.

Allah sebut dalam ayat ini yang Dia bersifat Maha Perkasa. Kalau kamu nak lawan Allah, Dia boleh kalahkan kamu. Tidak lemah Dia oleh sebab penentangan kamu terhadapNya. Dia Maha Perkasa dan tidak dapat dikalahkan oleh sesiapa pun. Dia kebal daripada segala ancaman musuh dan tidak terkesan oleh semua kata-kata dan perbuatan kita. Allah tidak pun akan terkesan daripada apa perkara sekalipun. KerajaanNya tetap seperti biasa. Tidak siapa boleh menentangNya. Sama ada kita nak terima atau tidak, Dia tetap Maha Perkasa. Bukan dengan keingkaran kita boleh menyebabkan Allah jadi kurang martabatNya.

Tidak seperti manusia di dunia. Kita ambil contoh seorang raja. Raja akan menjadi lemah jika rakyat menentangnya atau tidak memberi sokongan kepadanya. Tanpa rakyat, seseorang raja itu tidak berkuasa. Termasuk juga mana-mana ketua atau pemimpin. Kalau mereka ditentang, lemahlah mereka kerana mereka memerlukan sokongan dari orang bawahan. Jika tiada sokongan, rebahlah seseorang ketua atau pemimpin itu. Akan tetapi, Allah tidak begitu sifatNya. Walaupun seluruh makhluk menentangNya, kuasa Allah tidak akan sedikit pun berkurangan. Dan jika  kita semua mengamalkan Islam mengikut apa yang Dia syariatkan pun, tidak akan menyebabkan Dia bertambah perkasa. Dia perkasa dengan sendiri, bukan disebabkan sokongan dan kepatuhan kita. Bukan dipengaruhi oleh apa-apa faktor.

Allah Maha Sempurna, tidak terkesan dengan sebarang perbuatan kita. Maka wajiblah kita menerima Quran kerana Allah menegaskan bahawa turunnya Quran adalah daripada Allah yang bersifat Al-Aziz. Kalau kita mendapat arahan dari pihak berkuasa, kita akan patuh kerana mereka itu yang berkuasa. Sekarang, yang Maha Kuasa adalah Allah, tidakkah layak untuk kita patuh kepadaNya? Ada lagikah yang lagi perkasa dari Allah?

Disebabkan sifatNya yang tiada tandingan, Allah boleh buat apa-apa sahaja, kepada siapa-siapa sahaja, mengikut kehendakNya. Untuk lebih faham apakah maksud Maha Perkasa, mari kita buat satu contoh. Katakanlah di satu negeri, ada samseng yang menakutkan semua orang. Polis, askar mahupun ulama, semuanya takut. Maka disebabkan semua orang takut kepadanya, si samseng ini bebas melakukan apa sahaja tindakan yang diingininya, pada bila-bila masa yang dia mahu. Perkara sebegini sebenarnya, tidak berlaku pada manusia. Sekuat manapun seseorang samseng itu, mustahil baginya untuk mengalahkan semua orang. Tidak akan ada yang bersifat sebegitu dalam alam ini. Sifat Maha Berkuasa hanya ada pada Allah.

Kuasa Allah itu tanpa ada had batasan. Selalunya, kalau seseorang manusia ada kuasa, mereka akan menyalahgunakan kuasa mereka itu. Mereka akan tindas orang, buat sesuka hati mereka. Allah memang Maha Perkasa, tapi Allah sertakan sifat kedua:

Allah Maha Berkuasa dan tidak boleh dikalahkan. Tapi sifat itu diimbangi dengan sifatNya yang Maha Bijaksana. Allah tidak menyalahgunakan kekuasaan yang dimilikiNya itu.

Allah Maha Bijaksana dalam menetapkan hukum. Apa sahaja hukum yang Allah tetapkan, pada kemudian hari nanti akan nampak hikmahnya. Apa sahaja yang Allah tetapkan kepada manusia tidak akan bercelaru. Allah yang tetapkan manusia ada yang kaya dan ada yang miskin. Tetapi ia bukanlah sebagai penyebab orang itu menjadi tidak dapat menerima agama Allah. Ada yang ibu bapanya musyrik, tapi masuk Islam juga akhirnya.

Semua hukum Allah sama ada sunat, wajib dan sebagainya yang telah ditetapkanNya tidak akan bercelaru dengan kaedah dunia. Bila dikaji, ia sebenarnya amat bersesuaian dengan dunia. Kalau tidak selari, bermakna kaedah yang kita gunakan yang tidak betul. Allah cipta manusia sebaik-baiknya untuk layak terima Quran. Jangan kata seseorang itu bebal tak boleh belajar Quran. Kerana Allah telah jadikan dia dalam sebaik-baik kejadian, dan dia pasti boleh terima pengajaran Quran.

Ayat ini juga berbentuk ancaman, di mana keputusan di akhirat kelak, adalah mengikut keadilanNya. Mengikut hukum yang Dia telah tetapkan. Siapa kufur, masuk neraka. Siapa beramal soleh, masuk syurga. Semua hukum Allah telah tentukan. Hanya Allah sahaja yang boleh buat hukum. Manusia mengikut hukum, bukan membuat hukum. Nak buat hukum, mesti Al Hakim. Kerana Allah Maha Bijaksana. Sebab itu dalam mahkamah kita panggil yang memberi kehakiman itu hakim – yang bijaksana.

Dia sememangnya Maha Bijaksana, sebagai contoh, Allah akan menangguh-nangguhkan azab kepada manusia untuk memberi peluang agar manusia bertaubatAllah tidak terus beri hukuman azab kepada manusia. Tidaklah apabila kita tinggalkan solat, kita terus jatuh sakit, terus mati dan sebagainya. Tidaklah orang yang sembah patung Hindu itu jadi apa-apa, sakit perut, kena sambar petir atau sebagainya. Allah biarkan sahaja. Supaya mereka ada peluang untuk bertaubat. Tapi apabila mereka mati dan mereka tidak bertaubat, maka siaplah tempat mereka di neraka.

Maksud al-Hakim ada dua: Yang Maha Bijaksana dan yang menetapkan hukum.

  1. Quran itu diturunkan dari Allah yang Maha Bijaksana. Maka, kandungan Quran itu mengandungi tatacara bagaimana untuk menjalani kehidupan dengan bijaksana. Hendaklah kita mengikutinya. Kalau kita mengikuti ajaran dalam Quran itu, kita adalah orang yang bijak.
  2. Dalam Quran itu juga, mengandungi hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh Allah. Maka hendaklah kita mengikutinya dengan sebaik mungkin.

Ayat 3: Dalil Aqli kepada Tauhid. Allah suruh kita lihat pada alam ini sebagai dalil. Dan ada mengandungi zajrun.

ما خَلَقنَا السَّماواتِ وَالأَرضَ وَما بَينَهُما إِلّا بِالحَقِّ وَأَجَلٍ مُسَمًّى ۚ وَالَّذينَ كَفَروا عَمّا أُنذِروا مُعرِضونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

We did not create the heavens and earth and what is between them except in truth and [for] a specified term. But those who disbelieve, from that of which they are warned, are turning away.

MALAY

(Ingatlah), tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya melainkan dengan ada gunanya yang benar dan dengan ada masa penghujungnya yang tertentu (yang padanya dijalankan pembalasan); dan orang-orang yang kafir berpaling dari menerima peringatan yang diberikan kepada mereka mengenainya.

 

ما خَلَقنَا السَّماواتِ وَالأَرضَ وَما بَينَهُما إِلّا بِالحَقِّ

tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya melainkan dengan ada gunanya yang benar

Tidaklah Allah jadikan alam ini sia-sia sahaja. Allah jadikan alam ini untuk zahirkan kebenaran yang Allah sahaja pencipta dan Allah sahaja tempat puja dan seru dalam doa.

 

وَأَجَلٍ مُسَمًّى

dan dengan ada masa penghujungnya yang tertentu

Allah telah tetapkan yang alam ini akan musnah juga akhirnya apabila telah sampai masa. Masa itu telah Allah tetapkan, tapi Dia sahaja yang tahu. Alam ini adalah tempat ujian sahaja bagi makhluk dan apabila telah selesai ujian untuk manusia, ianya akan dihancurkan. Macam juga pencawang pada bangunan yang digunakan semasa membina bangunan. Apabila bangunan sudah siap, pencawang itu semua akan dimusnahkan kerana tidak ada gunanya lagi.

Apabila sampai waktu Kiamat dan masa bumi dihancurkan, tidak akan ada penangguhan lagi walau sesaat. Dan ia tidak ada terjadi lebih awal dari yang ditentukan Allah.

 

وَالَّذينَ كَفَروا عَمّا أُنذِروا مُعرِضونَ

dan orang-orang yang engkar, mereka berpaling dari menerima peringatan yang diberikan kepada mereka.

Manusia yang engkar tidak endah kepada peringatan dan ancaman yang diberikan kepada mereka. Walau berkali-kali disampaikan kepada mereka, mereka tidak mahu mendengar dan taat kepada arahan Allah. Mereka itu tidak kisah kepada ancaman hari kiamat yang pasti akan datang itu. Dan mereka itu nanti adalah mereka yang amat-amat rugi di akhirat kelak kerana mereka tidak membuat persiapan untuk menghadapi akhirat. Sebaliknya mereka buat amalan yang salah, antaranya seru kepada selain dari Allah dalam doa mereka.


 

 

Ayat 4: 

قُل أَرَأَيتُم ما تَدعونَ مِن دونِ اللَّهِ أَروني ماذا خَلَقوا مِنَ الأَرضِ أَم لَهُم شِركٌ فِي السَّماواتِ ۖ ائتوني بِكِتابٍ مِن قَبلِ هٰذا أَو أَثارَةٍ مِن عِلمٍ إِن كُنتُم صادِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, [O Muḥammad], “Have you considered that which you invoke besides Allāh? Show me what they have created of the earth; or did they have partnership in [creation of] the heavens? Bring me a scripture [revealed] before this or a [remaining] trace of knowledge, if you should be truthful.”

MALAY

Katakanlah (wahai Muhammad kepada orang-orang musyrik yang menentangmu): “Sudahkah kamu mengetahui kekuasaan dan kelayakan makhluk – makhluk yang kamu seru dan sembah yang lain dari Allah? Tunjukkanlah kepadaku apakah yang mereka ciptakan dari bahagian bumi ini? Atau adakah mereka mempunyai sebarang perkongsian (dengan Allah) dalam mencipta dan menguruskan langit? Bawalah kamu kepadaku sebuah Kitab (dari Allah) yang lain dari Al-Quran ini, atau sebarang keterangan yang berdasarkan ilmu (peninggalan orang-orang yang telah lalu) kalau betul kamu orang-orang yang benar (tentang dakwaan kamu itu)!”

 

قُل أَرَأَيتُم ما تَدعونَ مِن دونِ اللَّهِ

Katakanlah: “Adakah kamu fikirkan tentang makhluk – makhluk yang kamu seru dan sembah yang lain dari Allah?

Allah ajar Nabi untuk tanya dan berhujah dengan puak yang menentang. Kalau nak seru sesiapa: samada wali, Nabi, malaikat atau jin, kenalah tanya samada mereka ada jasa.

 

أَروني ماذا خَلَقوا مِنَ الأَرضِ

Tunjukkanlah kepadaku apakah yang mereka ciptakan dari bahagian bumi ini?

Adakah mana-mana tempat yang wali, Nabi atau malaikat itu ada cipta sesuatu dari tidak ada kepada ada? Tentu tidak ada kerana kuasa mencipta dan menjadikan hanya ada pada Allah sahaja. Musyrikin Mekah pun tahu perkara ini.

 

أَم لَهُم شِركٌ فِي السَّماواتِ

Atau adakah mereka mempunyai sebarang perkongsian (dengan Allah) dalam mencipta dan menguruskan langit?

Atau ada kata sembahan-sembahan selain Allah itu boleh tolong buat Allah sekali langit itu kalau dia tidak buat semua pun. Ada kongsi buatkah dengan Allah? Tentu juga tidak ada.

 

ائتوني بِكِتابٍ مِن قَبلِ هٰذا

Bawalah kamu kepadaku sebuah Kitab (dari Allah) yang lain dari Al-Quran ini,

Atau, kalau memang mereka tidak boleh mencipta atau berkongsi dalam mencipta, tunjukkan kitab wahyu yang sebelum Qur’an yang kata seru selain Allah itu boleh.

 

أَو أَثارَةٍ مِن عِلمٍ

atau sebarang keterangan dari ilmu 

Atau sakit baki peninggalan ilmu wahyu yang boleh dijadikan hujah yang mengatakan boleh seru selain Allah. Kenalah bawa cebisan ilmu yang boleh dipercayai – jangan bawa kisah dongeng pula. Kalau sebutir kitab lengkap tidak ada kerana dah dimakan anai-anai, sekurang bawa sehelai pun jadi lah. Bolehkah?

 

إِن كُنتُم صادِقينَ

kalau betul kamu orang-orang yang benar

Kamu kuat sangat kata boleh seru selain Allah, maka bawalah dalil yang kamu ada. Atau kamu hanya cakap sahaja? Atau kamu dapat ilmu itu dari tok nenek kamu sahaja?

Kalau tak boleh bawa dalil, maka tentunya itu adalah fahaman sesat.


 

Ayat 5: 

وَمَن أَضَلُّ مِمَّن يَدعو مِن دونِ اللَّهِ مَن لا يَستَجيبُ لَهُ إِلىٰ يَومِ القِيامَةِ وَهُم عَن دُعائِهِم غافِلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And who is more astray than he who invokes besides Allāh those who will not respond to him until the Day of Resurrection [i.e., never], and they, of their invocation, are unaware.

MALAY

Dan tidak ada yang lebih sesat daripada orang yang menyeru sesuatu yang lain dari Allah, yang tidak dapat menyahut atau memberikan sebarang pertolongan kepadanya (dari dunia) hinggalah ke hari kiamat, sedang makhluk-makhluk yang mereka sembah itu tidak menyedari permohonan mereka.

 

وَمَن أَضَلُّ مِمَّن يَدعو مِن دونِ اللَّهِ

Dan tidak ada yang lebih sesat daripada orang yang menyeru sesuatu yang lain dari Allah, 

Ada lagikah yang lebih sesat dari orang yang menyeru selain Allah? Tidak ada. Merekalah yang paling sesat sekali. Allah amat marah kepada mereka yang menyeru selain Allah.

 

مَن لا يَستَجيبُ لَهُ إِلىٰ يَومِ القِيامَةِ

yang tidak dapat menyahut hinggalah ke hari kiamat,

Mereka yang diseru itu tidaklah dapat menyahut seruan mereka yang menyeru itu sampai ke hari kiamat pun. Mereka bertepuk sebelah tangan sahaja. Serulah banyak mana pun, mereka tidak akan sahut, kerana mereka telah mati. Orang yang mati tidak boleh dengar seruan orang yang hidup. Kalau malaikat mendengar pun, mereka tidak boleh menolong manusia yang menyeru mereka, kerana mereka hanya taat kepada suruhan Allah. Kalau Allah tidak benarkan atau arahkan mereka berbuat apa-apa, mereka takkan buat.

Mereka yang diseru itu sudahlah tidak dengar, dan kalau mereka mendengar pun, mereka tidak boleh tolong buat apa pun.

 

وَهُم عَن دُعائِهِم غافِلونَ

sedang makhluk-makhluk yang mereka sembah itu tidak menyedari permohonan mereka.

Allah jelaskan dalam ayat ini, mereka yang diseru itu: samada Nabi, wali atau malaikat, tidak menyedari pun seruan yang diberikan kepada mereka. Mereka itu telah tiada di dunia ini dan tidak dapat mendengar (mereka dalam alam Barzakh), dan malaikat tidak dijadikan untuk menyahut seruan mereka yang menyeru mereka. Malaikat hanya dengar arahan dari Allah sahaja. Oleh itu, yang menyembah itu hanya bertepuk sebelah tangan sahaja.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


 

Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 046: al-Ahqaf. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s