Tafsir Surah Fussilat Ayat 47 – 54 (Quran dan Sains)

Ayat 47: Ini adalah dalil aqli ilmi – hanya Allah sahaja yang tahu segala perkara ghaib, maka kenalah kita sembah dan seru Dia sahaja. 

Seperti telah disebut sebelum ini, Surah Fussilat ini mengajar kita untuk berdakwah kepada manusia. Dalam kita berdakwah itu, akan ada sahaja yang akan bertanya bilakah akan terjadinya hari Kiamat? Maka, Allah ajar kita bagaimana hendak menjawap soalan sebegitu.

Allah sahaja tahu bila kiamat

Cuba-cuba meramal bilakah hari kiamat adalah kerja syirik.

۞ إِلَيهِ يُرَدُّ عِلمُ السّاعَةِ ۚ وَما تَخرُجُ مِن ثَمَراتٍ مِن أَكمامِها وَما تَحمِلُ مِن أُنثىٰ وَلا تَضَعُ إِلّا بِعِلمِهِ ۚ وَيَومَ يُناديهِم أَينَ شُرَكائي قالوا آذَنّاكَ ما مِنّا مِن شَهيدٍ

Sahih International

To him [alone] is attributed knowledge of the Hour. And fruits emerge not from their coverings nor does a female conceive or give birth except with His knowledge. And the Day He will call to them, “Where are My ‘partners’?” they will say, “We announce to You that there is [no longer] among us any witness [to that].”

Malay

Kepada (ilmu pengetahuan) Allah jua lah kembalinya soal mengetahui masa datangnya hari kiamat; dan (demikianlah tiap-tiap apa yang akan berlaku, kerana) sebiji buah (umpamanya) tidak akan keluar dari kelopaknya, dan seorang ibu tidak akan mengandung dan tidak akan melahirkan anak, melainkan (pada masa dan keadaan yang betul tepat) dengan pengetahuan Allah. Dan pada hari Tuhan menyeru mereka (yang musyrik, dengan bertanya kepada mereka): “Mana dia makhluk-makhluk yang kamu sifatkan menjadi sekutu-sekutuKu?” Mereka menjawab: “Kami mengakui kepadaMu (wahai Tuhan kami), bahawa tidak ada di antara kami seorang pun yang mahu menjadi saksi (kerana anggapan kami dahulu telah nyata salahnya)!”

 

 إِلَيْهِ يُرَدُّ عِلْمُ السَّاعَةِ

Kepada Allah sahaja kembalinya semua ilmu tentang Kiamat;

Apabila susunan perkataan dalam Quran itu dalam bentuk yang abnormal, seperti dalam ayat ini, ianya hendak membawa maksud eksklusif – bermakna, *hanya* Allah sahaja yang tahu. Maksudnya, tidak ada sesiapa lagi yang tahu bilakah akan terjadinya hari kiamat itu. Susunan yang normal dalam bahasa Arab adalah begini:  يُرَدُّ إِلَيْهِ عِلْمُ السَّاعَةِ. Tapi Allah susun ayat ini begini:  إِلَيْهِ يُرَدُّ عِلْمُ السَّاعَةِ. Itulah maksudnya, susunan ayat ini adalah dalam bentuk yang abnormal. Apabila susunan dalam bentuk yang abnormal, bermaksud ada makna yang hendak disampaikan seperti yang kita telah sebut di atas.

Bilakah terjadinya hari kiamat itu tidak diberitahu kepada Nabi Muhammad, Jibrail atau sesiapa pun. Yang pasti, ianya akan berlaku, cuma tidak diketahui bilakah ianya akan terjadi. Kalau orang tanya kepada kita bila kiamat, kita kena jawap, ‘hanya Allah yang tahu’ kerana ianya adalah dalam ilmu Allah. Dan begitulah juga jawapan Nabi Muhammad kalau ditanya tentang perkara ini.

Maksudnya, ilmu yang penuh tentang Hari Kiamat itu, Allah sahaja yang tahu, kita hanya sikit-sikit sahaja. Cukup buat pengetahuan kita sahaja dan apa yang Allah hendak kita tahu dan tidak lebih dari itu. Kerana perkara ini adalah perkara ghaib, maka apa-apa sahaja maklumat tentangnya, memelukan dalil dari nas yang sahih.

Jangan malu untuk mengaku kita tidak tahu. Mungkin kita rasa segan kalau kita tidak dapat jawap. Kita juga jangan rasa ini adalah sebagai lari dari menjawap soalan yang diberikan kepada kita. Allah beri kita alasan kenapakah tidak salah kalau kita jawab begitu:

 

وَمَا تَخْرُجُ مِنْ ثَمَرَاتٍ مِنْ أَكْمَامِهَا

dan tidak keluar dari buah-buah dari kelopaknya

Ini adalah kerana memang banyak benda dalam dunia ini yang kita tidak tahu. Bukan tentang hari kiamat sahaja kita tak tahu.

Sebagai contoh, tentang buah-buahan yang membesar dalam kelopaknya. Tidaklah yang tahu berapa banyak dan apa yang keluar dari kelopak tanaman itu melainkan Allah sahaja. Berapa banyak buah yang akan keluar, kita tak tahu. Kita hanya boleh agak-agak sahaja dan tidak ada maklumat yang tepat dan penuh tentangnya. Jadi tak boleh kita nak kata buah akan banyak keluar dari pemerhatian kita. Sebab kita tak tahu bilangan buah yang akan keluar itu. Bunga dari buah itu mungkin nampak banyak. Tapi berapa banyak buah yang akan keluar itu ditentukan oleh Allah dan Dia sahaja yang tahu berapa banyak akan keluar. Walaupun kita nampak banyak dan kita sangka akan banyak buah. Kita juga tidak tahu apakah buah yang kita beli di pasar itu manis atau tidak. Kita ketuklah buah itu macam mana pun, kita cuma boleh agak sahaja. Sebab pengetahuan kita terhad. Yang pasti tahu hanyalah Allah sahaja.

Kita tidak perlu tahu pun. Jadi tidak perlu malu kalau kita tidak tahu. Petani yang menanam buah-buahan itu pun tidak tahu apakah buah yang mereka tanam itu akan jadi baik atau tidak, manis atau masam. Tapi mereka terus tanam juga.

 

 وَمَا تَحْمِلُ مِنْ أُنْثَىٰ

dan apa yang dikandung oleh betina

Seorang perempuan tidak tahu hal kedudukan anak yang dikandungnya itu. Ibu itu tidak tahu bagaimanakah keadaan anaknya itu. Anak yang akan lahir itu, kita tak tahu akan jadi macam mana. Cantikkah, sihatkah, pandaikah dan sebagainya, kita tidak tahu. Allah sahaja yang tahu. Bila akan lahir pun hanya Allah yang tahu. Doktor cuma boleh agak sahaja dengan menggunakan segala mesin dan pengetahuan dan pengalamannya.

Disebut dalam ayat ini perkataan أُنْثَىٰ yang bermaksud ‘betina’, kerana bukanlah yang mengandung itu dari jenis manusia sahaja, tapi dari semua jenis betina. Kambing betina, lembu betina dan sebagainya yang sedang mengandung.

 

وَلَا تَضَعُ  إِلَّا بِعِلْمِهِ

dan tidak dilahirkan, melainkan dengan pengetahuanNya;

Kita pun tidak tahu samada anak yang akan dilahirkan itu lelaki atau perempuan. Kecuali doktor dah scan, dia boleh nampak anggota, dia boleh agak lelaki atau perempuan yang akan keluar dari kandungan itu. Tapi masa mula mengandung, doktor sendiri tak tahu. Bila dah besar sedikit kandungan itu, baru doktor boleh cuba agak. Boleh jadi syirik kalau kita kata kita tahu. Kita tidak boleh kata: ‘dalam firasat saya, akan keluar anak lelaki ni’, dan kata-kata sebegitu. Dia tidak boleh kata ‘mesti’. Kalau dia kata ‘insya Allah’, boleh lagi. Kerana doktor dengan segala peralatan pun doktor itu boleh agak sahaja. Berapa banyak perempuan mengandung yang diberitahu oleh doktor bahawa anaknya itu nanti adalah anak lelaki, tapi apabila lahir, rupanya anak perempuan.

Ini semua adalah hendak memberitahu tentang ilmu Allah. Allah sahaja yang maha tahu dengan sempurna. Kita sebagai manusia tidak tahu tentang perkara-perkara ghaib melainkan apa yang Allah telah beritahu sahaja. Siapa yang kata dia tahu perkara-perkara ini, dia telah melakukan ‘syirik dalam ilmu’. Kerana dia seperti mengatakan dia ada kuasa Allah pula. Itu adalah syirik kerana meduakan sifat Allah. Allah sahaja yang ada sifat itu tapi kita pula kata ada makhluk lain yang tahu. Jadi, kena berhati-hati dalam kata-kata kita. Jangan kita sampai kata perkara yang boleh menyebabkan syirik pula.

 

 وَيَوْمَ يُنَادِيهِمْ

Dan pada hari diseru (orang-orang musyrikin) itu;

Ini adalah takhwif ukhrawi (ancaman akhirat). Ini adalah kejadian di Mahsyar. Mereka akan diseru dengan kuat, di khalayak ramai, supaya semua orang boleh dengar. Apakah seruan itu?

 

 أَيْنَ شُرَكَائِي

Mana dia sekutu-sekutu Aku?

Allah tanya itu kerana hendak menghina. Kalau orang Kristian, Tuhan tanya: mana dia Nabi Isa? Kepada orang Hindu, mana dia berhala-berhala kamu dulu? Mana dia? Huraian ayat ini duduk di dalam surah Yunus:28

Maknanya, sekutu-sekutu itu adalah Nabi-nabi, wali-wali dan malaikat-malaikat. Mengadakan majlis-majlis tertentu,  beri salam kepada mereka, seru mereka, sedekah Fatihah kepada mereka. Itulah seruan yang syirik. Bila belajar tafsir Quran, baru tahu bahawa setiap satu yang diseru itu adalah jin belaka. Kerana nabi, wali malaikat tidak terima pun salam atau seruan yang manusia beri kepada mereka. Rupanya kita berikan salam kepada jin-jin selama hari ini. Dah belajar tafsir baru tahu.

Syirik seru Nabi dan Wali

Seru Nabi yang dah wafat? Seru minta syafaat pula tu! Syirik berganda!!

 

 

قَالُوا آذَنَّاكَ  مَا مِنَّا مِنْ شَهِيدٍ

Mereka berkata: kami memperdengarkan kepada Kamu bahawa tidak ada antara kami ini yang akan menjadi saksi

Mereka dah mula bohong kepada Allah. Mereka tidak mahu mengaku. Sekarang mereka tidak mengaku yang mereka dulu buat syirik, seru selain dari Allah. Mereka kata, tidak akan ada saksi yang akan kata mereka pernah buat. Mereka ingat mereka boleh tipu kepada Allah.

Ataupun, boleh jadi ayat ini bermaksud: mereka-mereka yang diseru oleh musyrikin itu tidak akan menjadi saksi bahawa mereka dulu suruh puak-puak musyrik itu puja mereka dulu. Mereka tidak pernah suruh dan mereka tidak pernah dapat pujaan dari mereka dulu. Sia-sia sahaja amalan syirik seperti beri salam, hadiah Fatihah, seruan dalam qasidah dan sebagainya itu.

Ataupun bermaksud, mereka pada hari itu tidak bersaksi, tidak mengaku yang Allah ada sekutu. Waktu itu telah jelas nyata bahawa kekuasaan penuh hanya ada pada Allah sahaja, mana mungkin ada yang berani mengaku ada sekutu bagi Allah?

Ataupun kita boleh kata, pada hari itu tak nampak pun sembahan-sembahan mereka itu, pujaan-pujaan mereka itu. Mereka yang telah buat salah semasa di dunia mengharap semoga mereka diberi bantuan tapi mereka yang diharapkan tidak nampak pun batang hidung mereka.


 

Ayat 48: Ayat ini adalah penolakan kepada fahaman adanya Syafaat Qahriyah. Fahaman ini adalah salah kerana percaya yang Allah akan memberi pengampunan kerana gerun atau malu pada seseorang. Oleh kerana ada fahaman salah ini, ada yang memuja dan menyeru kepada ilah seperti Nabi, wali dan malaikat kerana mereka sangka kalau mereka baik dengan wali, Nabi dan malaikat itu, Allah segan nak kenakan azab kepada mereka.

وَضَلَّ عَنهُم ما كانوا يَدعونَ مِن قَبلُ ۖ وَظَنّوا ما لَهُم مِن مَحيصٍ

Sahih International

And lost from them will be those they were invoking before, and they will be certain that they have no place of escape.

Malay

Dan (pada saat itu) hilang lenyaplah dari mereka apa yang mereka sembah dahulu (yang diharapkan pertolongannya), dan yakinlah mereka bahawa tidak ada sebarang jalan untuk mereka melepaskan diri (dari azab seksa).

 

وَضَلَّ عَنْهُمْ مَا كَانُوا يَدْعُونَ مِنْ قَبْلُ

Hilang dari mereka apa yang dulu mereka seru kepadanya;

Dulu Nabi-nabi, wali-wali, malaikat yang pernah mereka seru tidak mengaku belaka yang mereka pernah suruh mereka disembah. Yang menyeru sangkakan bahawa entiti-entiti yang mereka seru itu akan memberi pertolongan kepada mereka di akhirat kelak, tapi tidak. Mereka tidak ada yang akan menolong. Tidak ada sesiapa yang akan menolong mereka. Hilang lenyap dari mereka.

 

وَظَنُّوا مَا لَهُمْ مِنْ مَحِيصٍ

Maka yakinlah mereka bahawa tidak ada sebarang jalan untuk mereka melepaskan diri

مَحِيصٍ bermaksud satu tempat yang menyelamatkan kita dari bahaya. Dalam dunia, kalau kita kena kejar, mungkin ada tempat untuk lari dan berlindung. Tapi di akhirat tidak akan ada tempat macam itu. Mereka tak akan dapat melepaskan diri lagi. Mereka sendiri dah nampak dah. Mereka sendiri dah tahu nasib mereka. Kalau di dunia, manusia boleh cari jalan keluar nak melarikan diri. Macam kita tengok filem action, ada sahaja jalan keluar walaupun musuh telah kepung keliling mereka, tapi ada sahaja jalan keluar. Tapi tidak ada jalan keluar apabila di akhirat kelak.

Apabila tidak ada sembahan mereka yang membantu mereka di akhirat itu, mereka tahu mereka tidak akan ada peluang untuk keluar dari neraka. Kerana akidah mereka yang salah. Kalau mereka hanya melakukan amalan salah, masih ada harapan lagi untuk keluar dari neraka lagi. Hatta kalau salah bunuh orang pun, ada harapan nak masuk syurga lagi. Tapi kalau akidah salah, buat amalan yang syirik, tidak ada harapan lagi.


 

Ayat 49: Ini adalah ayat Syikayah. Sekarang Allah menceritakan sifat-sifat orang-orang yang kufur itu. Bagaimanakah psikologi mereka dalam menghadapi masalah dan dugaan dalam hidup.

لا يَسأَمُ الإِنسانُ مِن دُعاءِ الخَيرِ وَإِن مَسَّهُ الشَّرُّ فَيَئوسٌ قَنوطٌ

Sahih International

Man is not weary of supplication for good [things], but if evil touches him, he is hopeless and despairing.

Malay

Manusia tidak jemu-jemu memohon kebaikan. Dan kalau ia ditimpa kesusahan maka menjadilah ia seorang yang sangat berputus asa, lagi sangat nyata kesan putus harapnya (dari rahmat pertolongan Allah).

 

لَا يَسْأَمُ الْإِنْسَانُ  مِنْ دُعَاءِ الْخَيْرِ

Tidak jemu-jemu insan yang kufur itu berdoa untuk untuk kebaikan;

Mereka sentiasa mahukan kebaikan datang kepada mereka. Mereka nak rumah cantik, duit banyak, kesihatan yang baik dan sebagainya. Mereka tak jemu-jemu mengharap semua itu. Tidak jemu-jemu mereka berdoa. Mereka tidak jemu hendak mendapatkan harta dan kesenangan di dunia. Kalau mereka yang kafir, mereka akan tetap rajin berdoa kepada tuhan sembahan mereka seperti berhala, dewa, dan sebagainya.

Dan banyak yang Allah dah berikan kepada mereka kerana Allah Maha Pemurah. Dan apabila diberikan kebaikan kepada mereka, mereka tidak bersyukur pun. Mereka perasan mereka layak dapat nikmat itu, maka mereka tidak bersyukur pun. Ini dinamakan ‘kufur nikmat’. Ini adalah perangai orang kafir. Maka, kita sebagai orang Islam, jangan jadi begini. Apabila Allah telah berikan nikmat kepada kita, jangan kita lupa bahawa itu adalah pemberian dari Allah.

Mereka hanya doa tentang hal dunia sahaja. Ini mengajar kita supaya kita jangan doa untuk kebaikan dunia sahaja. Orang kafir itu hanya minta panjang umur, sihat tubuh badan dan rezeki sahaja tapi mereka tidak minta kebaikan di akhirat. Memang boleh minta kebaikan dunia, tapi jangan minta itu sahaja.

 

 وَإِنْ مَسَّهُ الشَّرُّ

Dan apabila dirasakan kepada mereka bala, 

Apabila perkataan إِنْ digunakan, itu menunjukkan perkara itu jarang-jarang berlaku. Selalunya mereka akan dapat kebaikan, tapi sekala-sekala mereka akan diberikan dengan kesusahan. Itu pun sebagai ujian sahaja. Allah memang akan mengenakan ujian kepada makhlukNya. Dan dunia ini memang tempat ujian pun.

Tambahan pula, perkataan yang digunakan adalah مَسَّ , iaitu bermaksud ‘rasa sedikit’. Bukanlah masalah yang diberikan kepada mereka itu masalah yang besar sangat pun.

 

فَيَئُوسٌ

mereka putus asa

Mereka rasa nasib mereka akan terus malang. Mereka tak nampak kebaikan akan datang kepada mereka di masa hadapan. Hanya kerana waktu itu mereka bernasib malang. Padahal, nasib masih boleh berubah lagi. Tapi Allah menceritakan sifat mereka yang tidak beriman. Apabila mereka dapat nasib yang teruk, mereka terus ingat sampai bila-bila mereka akan jadi begitu. Mereka tidak ada mengharap kepada Allah.

 

قَنُوطٌ

hilang daya usaha;

Mereka punya putus ada sampai tak boleh buat kerja dah. Tak boleh nak usaha dah. Mereka bersifat pessimistik sungguh. Mereka akan baring sahaja di rumah, menangisi nasib mereka. Mereka akan kata: “kenapalah nasib aku ini malang sangat?”, “Kenapalah Tuhan buat aku jadi begini?”. Mereka hanya menangisi nasib sahaja, tak buat apa-apa. Mereka tak buat apa-apa usaha untuk mengubah kedudukan mereka. Mereka hanya menyerah kepada takdir sahaja.

Jadi, ini adalah perangai orang kufur, maka kita jangan buat perangai macam ini.

Mereka lupa kepada Allah, mereka tidak berpaling kepada Allah. Sepatutnya, apabila masalah menimpa, waktu itulah kita kembali buat baik, kembali buat amal ibadat yang baik, berdoa bersungguh-sungguh kepada Allah supaya Allah berikan kebaikan kembali kepada kita. Tapi mereka tidak begitu. Mereka jadi murung, hanya menangisi masalah yang mereka hadapi itu.

Kita kena ada usaha dalam hidup kita. Kalau kita kena buang kerja, kita kena usaha untuk mendapatkan pekerjaan baru. Kalau kita ditinggalkan kekasih, isteri, suami dan sebagainya, itu bukan penghujung hidup. Kita masih boleh lagi dapat pengganti mereka. Boleh lagi kita usaha untuk dapat pasangan hidup yang baru. Seperti kata pepatah Melayu: bunga bukan sekuntum, kumbang bukan seekor. Tapi, orang yang tidak beriman, mereka terus ingat mereka tidak akan dapat pasangan lain dah. Mereka ingat nak mati sahaja, mereka rasa lebih baik mereka mati sahaja. Sampai ada juga yang bunuh diri pun ada.

Sepatutnya kita usaha seboleh mungkin dan serahkan nasib kita kepada Allah. Dan jangan lupa berdoa kepada Allah. Berdoa terus kepada Allah, jangan minta orang lain doakan untuk kita. Itu juga adalah tawasul yang tidak patut dilakukan. Jangan minta tok imam doakan, guru doakan atau sesiapa sahaja, doa terus sahaja kepada Allah. Dan jangan bertawasul kepada Nabi, wali atau malaikat dalam doa kita. Jangan lupa yang surah-surah Hamim Tujuh ini adalah tentang berdoa dan seru terus kepada Allah sahaja tanpa melalui perantara.

Jangan jadi seperti Musyrikin Mekah dalam berdoa. Musyrikin Mekah dulu, mereka seru kepada roh-roh wali, Nabi dan malaikat untuk minta diselesaikan masalah mereka. Apabila masalah tidak selesai, mereka akan putus asa dengan roh-roh pujaan itu dan kembali berdoa kepada Allah. Mereka memang ada berdoa kepada Allah dalam hal yang besar tapi dalam hal-hal kecil, mereka akan berdoa kepada roh-roh pujaan mereka yang selain dari Allah. Sebab pada mereka, Allah telah beri sebahagian dari kuasa mengurus kepada makhlukNya yang terpilih. Tapi dalam mereka minta kepada roh-roh pujaan itu, kadangkala tak selesai pun masalah mereka dan tak menjadi perkara yang mereka minta. Maka mereka pun doa terus kepada Allah dan ada yang Allah makbulkan. Tapi apabila selesai masalah mereka itu, atau mereka dapat yang mereka kehendaki, mereka tidak kata perkara itu selesai kerana Allah tapi mereka kata ia dari sebab lain.

Puak musyrikin memang tidak jemu meminta kepada sembahan-sembahan mereka untuk kebaikan dunia. Macam-macam cara mereka akan lakukan untuk mendapatkannya. Tapi bila masalah tak selesai, mereka jadi putus asa dan putus harap.


 

Ayat 50: Ini sambungan sikap mereka dari ayat sebelum ini:

وَلَئِن أَذَقناهُ رَحمَةً مِنّا مِن بَعدِ ضَرّاءَ مَسَّتهُ لَيَقولَنَّ هٰذا لي وَما أَظُنُّ السّاعَةَ قائِمَةً وَلَئِن رُجِعتُ إِلىٰ رَبّي إِنَّ لي عِندَهُ لَلحُسنىٰ ۚ فَلَنُنَبِّئَنَّ الَّذينَ كَفَروا بِما عَمِلوا وَلَنُذيقَنَّهُم مِن عَذابٍ غَليظٍ

Sahih International

And if We let him taste mercy from Us after an adversity which has touched him, he will surely say, “This is [due] to me, and I do not think the Hour will occur; and [even] if I should be returned to my Lord, indeed, for me there will be with Him the best.” But We will surely inform those who disbelieved about what they did, and We will surely make them taste a massive punishment.

Malay

Dan demi sesungguhnya! Jika Kami beri dia merasai sesuatu rahmat dari Kami sesudah ia ditimpa sesuatu kesusahan, berkatalah ia (dengan sikap tidak bersyukur): “Ini ialah hakku (hasil usahaku semata-mata), dan aku tidak fikir bahawa hari kiamat akan berlaku; dan kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhanku (sekalipun), sudah tentu aku akan beroleh kebaikan di sisiNya (seperti kesenanganku sekarang ini)!” Maka demi sesungguhnya! Kami akan memberi tahu kepada orang-orang yang kufur ingkar itu akan keburukan apa yang mereka telah kerjakan, dan Kami akan beri mereka merasai azab seksa yang seberat-beratnya.

 

وَلَئِنْ أَذَقْنَاهُ رَحْمَةً مِنَّا

Dan sekiranya Kami beri dia suatu rahmat dari Kami

Rahmat yang dimaksudkan adalah rahmat am, iaitu rahmat yang semua orang boleh dapat. Tidak kira samada mereka itu beriman atau tidak. Allah ingatkan kita dalam ayat ini bahawa nikmat itu sebenarnya dari Allah. Tidaklah lama Allah berikan kesusahan kepada manusia. Sekejap sahaja sebenarnya, maka kita hanya perlu bersabar dan berusaha sahaja. Selepas sekian lama, Allah akan berikan kebaikan kepadanya balik.

 

 مِنْ بَعْدِ ضَرَّاءَ مَسَّتْهُ

selepas kesusahan dirasakan kepadanya

Selepas mereka ditimpa malang, Allah akan beri mereka keluar dari masalah itu. Perniagaan mereka yang jatuh, dapat naik balik. Kesihatan mereka dulu teruk, mereka sekarang dah sihat balik, dan sebagainya.

 

 لَيَقُولَنَّ هَٰذَا لِي

maka sikufur itu akan berkata: ini adalah hasil dari usaha aku;

Kita tidak bersyukur kepada Allah, padahal sebelum itu dia yang berdoa kepada Tuhan, tapi bila dah dapat, dia kata hasil usaha dia pula.

Dia ingat memang dia layak dapat kebaikan itu, jadi dia tidak bersyukur kepada Allah yang sebenarnya telah memberi kepadanya nikmat itu. Ramai orang yang lupa bahawa segala kebaikan yang mereka dapat itu sebenarnya dari Allah. Waktu susah senang nak ingat Allah, tapi kadang-kadang bila dapat kesenangan, amat susah nak ingat kepada Allah.

 

وَمَا أَظُنُّ السَّاعَةَ قَائِمَةً

Dan aku tidak yakin hari kiamat itu akan berlaku.

Mereka ingat mereka akan hidup berterusan. Mereka ingat mereka tidak akan ditimpa malang lagi.

 

وَلَئِنْ رُجِعْتُ إِلَىٰ رَبِّ

Dan sekiranya aku dikembalikan kepada Tuhan aku,

Mereka tidak yakin Hari Kiamat itu akan berlaku. Tapi mereka kata, kalau-kalaulah memang hari kiamat itu akan terjadi…. kalau-kalau…..

 

 إِنَّ لِي عِنْدَهُ لَلْحُسْنَىٰ

maka tentu aku akan dapat kebaikan dari sisi Tuhan.

Kerana dia dapat kebaikan di dunia, mereka rasa mereka orang yang terpilih. Mereka ingat, kalau terpilih di dunia, tentunya mereka pun terpilih di akhirat kelak. Padahal, tidak begitu sebenarnya. Kerana kejayaan dan kedudukan di dunia, bukanlah tanda kejayaan di akhirat. Bukanlah kesenangan dan kejayaan di dunia itu sebagai tanda yang Allah sayang kepada kita. Ramai yang salah faham tentang perkara ini, termasuklah orang Islam sekali pun.

Ramai juga yang sedap hati, ingat mereka akan dapat kebaikan di akhirat kelak. Antara sebab mereka fikir begitu adalah sebab dulu dia banyak derma. Tapi dia derma itu bukan kerana Allah. Dia tidak akan derma kalau tak dapat projek. Ada kepentingan yang dia mahukan dengan derma itu. Semasa derma pun panggil orang media ramai-ramai datang untuk rakam pemberiannya itu. Supaya dia boleh berbangga dan menunjuk kepada orang lain – riak. Sebenarnya, telah batal ibadat derma itu kerana dia buat bukan kerana Allah. Bukan ibadat derma sahaja, tapi ibadat-ibadat lain pun kalau kita buat tidak ikhlas, tapi mengharapkan pujian dari orang lain, maka akan terbatal ibadat itu.

 

فَلَنُنَبِّئَنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا  بِمَا عَمِلُوا

Kemudian Kami akan cerita balik kepada mereka terhadap apa yang mereka telah lakukan.

Tujuan Allah cerita balik itu bukan sebab nak buat wayang, tapi kerana nak balas balik perbuatan mereka itu.

 

وَلَنُذِيقَنَّهُمْ مِنْ عَذَابٍ غَلِيظٍ

Dan Kami akan beri mereka azab yang berat.

Orang yang selalu dapat benda yang bagus, mereka dah tak boleh nak susah sikit pun. Tapi, nanti di akhirat, mereka-mereka itu akan diberikan dengan azab yang berat. Bayangkan mereka itu kalau susah sedikit di dunia pun sudah tidak boleh terima, bayangkan mereka akan dapat azab yang teruk sekali di akhirat nanti. Agaknya, mereka boleh tahankah? Tentu tidak boleh.


 

Ayat 51: Ayat Zajrun (teguran). Allah menceritakan tentang sifat manusia yang tidak beriman. Apabila mereka mendapat nikmat, mereka berpaling dari bersyukur kepada Allah; tapi apabila mereka ditimpa kesusahan, mereka berdoa panjang kepada Allah. Semoga kita tidak mempunyai sifat yang sebegini.

وَإِذا أَنعَمنا عَلَى الإِنسانِ أَعرَضَ وَنَأىٰ بِجانِبِهِ وَإِذا مَسَّهُ الشَّرُّ فَذو دُعاءٍ عَريضٍ

Sahih International

And when We bestow favor upon man, he turns away and distances himself; but when evil touches him, then he is full of extensive supplication.

Malay

Dan apabila Kami kurniakan nikmat kepada manusia, berpalinglah dia serta menjauhkan diri (dari bersyukur); dan apabila ia ditimpa kesusahan, maka ia berdoa merayu dengan panjang lanjut.

 

وَإِذَا أَنْعَمْنَا عَلَى الْإِنْسَانِ

Dan apabila Kami kurniakan nikmat kepada insan,

Apabila digunakan kata عَلَى, bermaksud apabila Allah memberikan nikmat yang mencurah-curah kepada manusia. Kita boleh bayangkan bagaimana air terjun yang mencurah jatuh ke atas manusia yang berada di bawahnya.

Allah ingatkan kepada kita dalam ayat ini, Dia yang beri nikmat itu. Cuma Allah beri dengan perantaraan asbab. Tidaklah nikmat itu jatuh tergolek, tapi ada cara yang Allah jadikan untuk tolong kita. Sebagai contoh, perniagaan kita jatuh, kita bankrap. Allah boleh hantar seseorang yang beri idea baru untuk perniagaan, sampai perniagaan itu maju balik. Memang ada orang yang tolong, tapi dia datang itu kerana dihantar oleh Allah, dari perancangan Dia juga. Ini yang manusia susah nak nampak.

 

أَعْرَضَ

dia berpaling 

Mereka berpaling dari apa? Mereka berpaling dari bersyukur kepada Allah, kerana mereka tidak nampak ‘tangan’ Allah dalam membantu mereka, menghilangkan masalah mereka itu. Mereka nampak yang tolong mereka itu adalah manusia, diri mereka, kepandaian mereka, nasib mereka, apa sahaja, cuma bukan Allah. Mereka tidak buka pintu hati mereka untuk melihat bahawa Allahlah yang menguruskan semuanya.

Apakah maksud ‘berpaling dari bersyukur’ itu? Kalau kita bersyukur dengan Allah, tentulah kita akan taat kepada Allah. Tapi kalau kita tidak bersyukur, maknanya kita tidak buat seperti apa yang Allah hendak kita lakukan.

Mereka juga berpaling daripada Quran dan ugama. Kerana kebanyakan manusia, apabila mereka dapat banyak kebaikan dan nikmat di dunia, mereka akan berpaling dari agama. Sudah tidak hiraukan agama kerana sibuk dengan kelebihan dunia yang mereka dapat. Mereka akan hidup berpoya-poya. Bukanlah semua orang, tapi kebanyakan dari manusia. Ini realiti kehidupan. Kadang kita tengok orang yang tidak seberapa, baik sahaja, tapi apabila dah diberi kekayaan dan kuasa oleh Allah, mereka dah jadi lain macam dah.

Mereka tidak memikirkan tentang dari mana datangnya nikmat itu. Mereka tidak bersyukur dan berterima kasih kepada Allah. Malah, dia jadi sombong dengan segala nikmat yang dia dapat itu. Dia rasa segala kelebihan yang dia dapat itu adalah dari kelebihan yang ada padanya. Sedangkan, Allah beritahu dalam ayat ini, Allah yang beri nikmat itu kepada mereka. Oleh kerana itu, kalau kita dapat nikmat, ingatlah bahawa nikmat itu dari Allah, maka bersyukurlah kepada Allah. Sepatutnya segala nikmat yang kita dapat, akan merapatkan lagi kita dengan Allah, bukan menjauhkan kita dari Allah. Kerana kalau seseorang beri sesuatu kepada kita, selalu tolong kita, tentulah kita akan rapat dengan dia, bukan? Dan siapakah yang paling banyak memberikan kepada kita? Tentunya Allah.

 

وَنَأَىٰ بِجَانِبِهِ

dan menjauhkan diri dari tepinya

Ini bermakna, setelah menjauhkan diri, dia lebih menjauhkan lagi dari agama. Dia jadi sombong dan berlagak.

Janganlah jadi seperti orang kufur ini. Sifat orang mukmin, akan bersyukur apabila mendapat nikmat dan bersabar apabila mendapat kesusahan. Seperti sabda Nabi:

“Menakjubkan orang yang beriman itu. Tiap-tiap peristiwanya baik belaka. Dan tidak ada yang begitu seorang pun kecuali orang mukmin. Bila dia ditimpa kesenangan, dia bersyukur, maka menjadi baik buat dia. Dan jika ditimpa kesusahan, dia bersabar. Itu pun menjadikan baik buat dia.”

 

وَإِذَا مَسَّهُ الشَّرُّ

Dan apabila ditimpa kesusahan kepada dia,

Apabila ‘disentuh’ dengan kesusahan. Lihatkan penggunaan kata مَسَّ, yang bermakna ‘sentuh’ – ini bermaksud kesusahan itu sedikit sahaja, bukan banyak pun.

 

فَذُو دُعَاءٍ عَرِيضٍ

maka dia akan doa yang panjang-panjang; 

Bila kesusahan kena kepadanya, dia akan doa dah macam tok wali dah. Doa sampai jatuh tangan dia sebab lenguh. Datang pula guru yang salah, mengajar macam-macam perkara yang salah untuk mendapatkan sesuatu. Baca zikir itu, buat solat hajat begini, pergi jumpa Tok Wali itu dan ini, pergi ke maqam Habib Noh, habib lain, kubur keramat itu dan ini dan sebagainya.

Syirik doa minta hajat di makam kubur wali

Kenapa minta hajat di kubur? Bahkan ada yang bercakap-cakap dengan roh wali mengadukan hajat minta dipenuhi. Syirik dalam berdoa!

Perkataan عَرِيضٍ bermaksud kata-kata yang panjang berjela tapi sedikit maknanya. Mereka baca doa panjang-panjang tapi perkataan yang disebut tidak bemakna. Kata-kata kosong sahaja. Ini adalah kerana mereka tidak tahu cara berdoa. Berdoa panjang, tapi hanya meminta macam-macam. Tapi dosa kesalahan mereka tak sebut pun, tidak mengaku pun bahawa selama ini mereka telah buat banyak kesalahan. Sepatutnya, dalam kita berdoa, hendaklah kita mengaku kesalahan kita, mengaku depan Allah bahawa kita banyak dosa dan kita menyesal dan minta ampun atas dosa kita itu.

Begitulah masyarakat kita. Kalau dah kena masalah, baru nak berdoa kepada Allah. Kalau ada yang berubah perangai jadi baik pun, masyarakat pun dah dapat agak dia itu mesti ada masalah. Tapi, orang itu apabila dia dapat kelebihan, dia akan berpoya-poya balik seperti asal dia, macam tidak pernah ada masalah sebelum itu.

Jangan pula ayat ini sebagai menolak orang yang berdoa panjang-panjang. Berdoa, panjang atau pendek, secara dasarnya, memang elok. Cuma jangan buat begitu kalau ada masalah sahaja. Hendaklah kita ingat Allah dikala senang, supaya Allah ingat kepada kita dikala kita susah. Seperti juga kalau kita minta tolong dengan manusia. Kalau kita cuma jumpa dia pada masa susah sahaja, tentulah dia tidak suka. Tapi kalau waktu senang kita datang jumpa dia, lawat dia, tentulah dia senang hati nak tolong kita kalau kita ditimpa malang. Begitulah dengan Allah, kalau waktu senang kita ingat Dia, Dia akan ingat kita pada waktu kita susah. Jangan waktu susah sahaja nak berdoa kepada Dia, buat ibadat kepada Dia. Itu bukan sifat orang Mukmin.


 

Ayat 52: Ini adalah rumusan penutup kepada rungutan dari Allah. Berkali-kali Allah suruh manusia beriman dengan Quran dan ajaran yang ada di dalamnya, tapi kalau mereka menolak juga, inilah yang Allah suruh kita tanya kepada mereka, supaya mereka dapat memikirkan.

Ini juga adalah dalil wahyi kerana Allah yang suruh Nabi berkata begitu.

قُل أَرَأَيتُم إِن كانَ مِن عِندِ اللَّهِ ثُمَّ كَفَرتُم بِهِ مَن أَضَلُّ مِمَّن هُوَ في شِقاقٍ بَعيدٍ

Sahih International

Say, “Have you considered: if the Qur’an is from Allah and you disbelieved in it, who would be more astray than one who is in extreme dissension?”

Malay

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sudahkah nampak baiknya keadaan kamu jika Al-Quran ini (yang datangnya) dari Allah kemudian kamu mengingkarinya? Siapakah yang lebih sesat daripada orang yang tetap berada dalam perbalahan dan pertentangan, yang menyimpang jauh dari kebenaran?”

 

قُلْ أَرَأَيْتُمْ إِنْ كَانَ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ

Katakan kepada mereka: Tidakkah engkau lihat?: Sekiranya Quran ini betul-betul dari Allah,

Tentulah Quran itu dari Allah. Tapi Allah hendak beri satu perumpamaan. Kalau betullah Quran itu dari Allah, apa akan jadi kepada kamu kalau kamu tak beriman kepadanya?

 

ثُمَّ كَفَرْتُمْ بِهِ

kemudian kamu kufur kepadanya;

Kufur itu boleh jadi macam-macam – samada tak mahu belajar atau tak mahu ikut isi kandungnya, apabila dibacakan kepadanya, dia tolak, apabila diajak belajar, tak mahu; itu semua termasuk dalam rangka ‘kufur’ kepada Quran.

Ada jumlah muqaddar di sini: Cubalah kamu fikir, kalau betul segala ayat dalam Quran itu benar, apakah akan jadi kepada kamu. Tidakkah kamu takut? Tidakkah kamu melihat? Tidakkah kamu memikirkan?

Memanglah Quran itu dari Allah – orang yang beriman memang dah terima. Tapi kepada mereka yang tidak beriman, suruh mereka fikirkan: kalau betul-betul Quran ini betul dari Allah, bagaimana?

 

مَنْ أَضَلُّ مِمَّنْ هُوَ فِي شِقَاقٍ بَعِيدٍ

Siapakah yang lebih sesat dari seorang yang duduk dalam persimpangan yang jauh sekali? 

Allah tambah lagi soalan untuk mereka memikirkan lagi: Sesiapa yang ada persimpangan dan konflik dengan Quran bermakna dia ada konflik dengan Allah. Kalau dibacakan ayat Quran dan mereka tolak, mereka bukan tolak kita, tapi sebenarnya mereka menolak Allah, Tuhan sekelian alam. Adakah mereka hendak lawan Allah? Mereka tidak akan menang kalau mereka lawan dengan Allah.

Ini adalah seperti satu jalan terakhir dalam kita berdakwah kepada mereka. Apabila kita baca, mereka tolak juga tidak terima walaupun setelah berkali-kali kita berikan ayat-ayat Quran yang jelas, maka kita kena buat macam ini. Berikan mereka berfikir: Kalau betul ayat Quran itu dari Tuhan, apa kamu nak buat untuk menyelamatkan diri kamu nanti?


 

Ayat 53: Takhwif Duniawi. Amaran di dunia.

سَنُريهِم آياتِنا فِي الآفاقِ وَفي أَنفُسِهِم حَتّىٰ يَتَبَيَّنَ لَهُم أَنَّهُ الحَقُّ ۗ أَوَلَم يَكفِ بِرَبِّكَ أَنَّهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ شَهيدٌ

Sahih International

We will show them Our signs in the horizons and within themselves until it becomes clear to them that it is the truth. But is it not sufficient concerning your Lord that He is, over all things, a Witness?

Malay

Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?

 

سَنُرِيهِمْ آيَاتِنَا فِي الْآفَاقِ

Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda Kami di segala penjuru;

Lihatlah alam ini dengan mata hati: kalau pergi tepi pantai atau di kaki bukit, atau di mana-mana sahaja, boleh nampak kebesaran Allah Taala. Kita akan dapat lihat betapa indahnya alam ini. Sepatutnya apabila kita melihat kepada ufuk, kita akan melihat betapa hebatnya kuasa Allah. Kalau alam yang begini cantik pun kita lihat hebat, apatah lagi Allah yang menjadikannya? Adakah sembahan-sembahan mereka selain Allah dari Nabi, wali dan malaikat itu ada buat apa-apa?

Perkataan سَنُرِيهِمْ bermaksud ‘akan ditunjukkan’. Manusia pada zaman dahulu tidak nampak kebenaran-kebenaran itu. Tapi semakin lama masa berlalu, semakin kemajuan sains bertambah, semakin terbuka kebenaran-kebenaran itu. Semakin ditunjukkan kepada kita kebenaran-kebenaran yang disebut dalam Quran itu. Ayat-ayat Quran bersesuaian dengan sains.

 

وَفِي أَنْفُسِهِمْ

dan juga pada diri mereka sendiri;

Kajilah kehebatan kejadian kita – sekali jantung berdenyut, perjalanannya sejauh jarak mengelilingi dunia. Tidak berhenti lagi ianya mengalir dari semenjak kita dalam perut ibu kita sampailah kita mati nanti. Dan banyak lagi kehebatan-kehebatan pada diri kita sendiri. Semakin sains meneroka kehebatan diri kita, semakin kita rasa hebatnya Allah yang telah menjadikan diri kita ini.

Segala alam ini dijadikan kepada kita untuk dilihat untuk kita fikirkan. Allah gunakan dua jenis tempat: satu adalah tempat yang jauh – (ufuk) dan satu lagi tempat yang dekat – (diri kita sendiri) sebagai contoh. Bermakna, ada banyak lagi perkara antara dua perkara itu yang boleh menjadi tanda kekuasaan dan kehebatan Allah.

 

حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُ الْحَقُّ

Sehingga nyata jelas bagi mereka bahawasanya ayat-ayat Quran adalah benar;

Kebenaran apa yang hendak dibawakan dalam Quran? Itulah kebenaran bahawa Allah yang menciptakan segala sesuatu ini, maka kepadaNya sahajalah kita minta. Jangan minta kepada yang lain, sebab yang selain dari Allah, tidaklah berupaya mencipta apa-apa pun. Dan minta terus kepada Allah, tanpa melalui perantaraan. Itulah tauhid dalam berdoa. Tidak boleh guna perantaraan kerana itulah tawasul dan tawasul itu haram dalam agama Islam.

Allah kata Allah akan tunjukkan kebenaran yang ada dalam Quran. Lihatlah sekarang, bagaimana kadang-kadang sains baru dapat jumpa kebenaran yang telah lama disebut dalam Quran. Zaman sekarang baru manusia dapat faham dengan lebih dalam lagi.

Sebagai contoh, Quran menyebut ‘alaq’ untuk zigot bayi. Dari segi bahasa, ‘alaq’ bermaksud ‘lintah’. Sekarang, apabila manusia dah boleh lihat dalam perut ibu, boleh besarkan penglihatan kita dengan menggunakan mikroskop, barulah jelas nampak bahawa memang zigot bayi itu macam lintah.

Quran menyebut bahawa besi itu ‘diturunkan’. Kalau diturunkan, bermakna besi itu bukan berasal dari dunia tapi jatuh dari tempat lain. Sekarang, barulah saintis dapat tahu bahawa memang besi itu adalah jatuhan meteor dari langit.

Ayat-ayat seperti itu sepatutnya menambahkan iman kita. Islam tidak lari dari sains. Semakin sains semakin maju, semakin jelas nampak kebenaran Quran.

Ayat-ayat sebegitu adalah salah satu dari mukjizat Quran. Ini akan lebih banyak dipelajari jikalau kita mempelajari satu bidang ilmu yang dikenali sebagai i’jazul Qur’an.

 

أَوَلَمْ يَكْفِ بِرَبِّكَ

Apakah tidak cukup bagi kamu dengan Tuhan kamu sahaja?

Ini adalah dalil aqli. Nampak dari segi luaran, Nabi Muhammad tidak ada apa-apa untuk mempertahankan diri baginda dari serangan penentang mereka. Allah hendak memberitahu, tidak cukupkah kalau baginda berharap dan bergantung kepada Allah sahaja? Tentu cukup.

Dan hendak memberitahu kita tentang tauhid dalam berdoa: Tidak cukupkah Allah sebagai tempat untuk kita berharap? Pohon dan ibadat hanya kepada Allah. Harap hanya kepada Allah sahaja. Tidak perlu berharap kepada yang lain. Tidak perlu berharap kepada makhluk. Kalau kita berharap kepada makhluk, kita akan kecewa. Kerana makhluk tidak punya apa-apa.

Maka, berdoalah terus kepada Allah. Allah tidak perlu perantaraan dalam doa. Allah tidak memerlukan ‘broker’ untuk menyampaikan hasrat kita. Allah tahu apa yang kita hendak.

 

 أَنَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ شَهِيدٌ

Sesungguhnya Dia itu atas segala sesuatu itu sedang menyaksi.

Allah melihat segalanya apa yang kita lakukan. Allah tahu apa yang kita perlukan. Tidak perlu cakap pun Allah dah tahu apa yang kita hendak. Tapi Allah hendak mendengar kita meminta kepadaNya.


 

Ayat 54: Takhwif Duniawi

أَلا إِنَّهُم في مِريَةٍ مِن لِقاءِ رَبِّهِم ۗ أَلا إِنَّهُ بِكُلِّ شَيءٍ مُحيطٌ

Sahih International

Unquestionably, they are in doubt about the meeting with their Lord. Unquestionably He is, of all things, encompassing.

Malay

Ingatlah! Sesungguhnya mereka (yang kufur ingkar) sentiasa berada di dalam keadaan syak – ragu-ragu tentang pertemuan dengan Tuhan mereka. Ingatlah! Sesungguhnya Allah Maha Meliputi pengetahuanNya akan tiap-tiap sesuatu.

 

أَلَا إِنَّهُمْ فِي مِرْيَةٍ

Ketahuilah semua, sesungguhnya mereka duduk dalam keraguan

Perkataan مِرْيَةٍ digunakan apabila seseorang ragu dengan sesuatu yang jelas nyata. Ayat-ayat Quran itu jelas nyata dah, tapi mereka masih lagi tak percaya. Kalau ayat-ayat tentang Tauhid yang ada dalam Quran, memang sudah cukup untuk digunakan oleh manusia faham apakah maksud tauhid itu – berkali-kali diulang-ulang.

Tapi mereka yang degil masih lagi beri hujah dan alasan yang macam-macam untuk tolak kebenaran yang ada dalam Quran ini. Ini semua adalah kerana mereka tidak belajar tafsir Quran. Mereka tidak faham apa yang hendak disampaikan oleh Allah. Masyarakat kita hanya pandai membaca Quran sahaja, tapi mereka tak faham makna dalam Quran. Alangkah sedihnya, alangkah ruginya.

 

مِنْ لِقَاءِ رَبِّهِمْ

terhadap perjumpaan dengan Tuhan mereka;

Mereka tak yakin dengan pertemuan dengan Allah. Kalau kita tanya, memang mereka akan jawap yang mereka akan berjumpa dengan Tuhan. Tapi, kalau kita lihat bagaimana mereka menjalankan kehidupan mereka, macam mereka tak percaya. Keyakinan iman untuk berjumpa dengan Allah tidak kelihatan dalam diri mereka. Mereka macam tidak takut untuk bertemu dengan Allah dan terpaksa menjelaskan kenapa mereka menolak tauhid dalam ibadah dan tauhid dalam berdoa. Kalau di dunia, mereka boleh beri berbagai-bagai hujah mereka, tapi nanti di hadapan Allah, mereka sangka mereka boleh berhujah dengan Allah?

 

أَلَا إِنَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ مُحِيطٌ

Ketahuilah! Sesungguhnya Allah terhadap segala sesuatu itu meliputi. 

KerajaanNya, ilmuNya, semuanya meliputi alam. Tidak ada harapan untuk mereka keluar dari liputan Allah. Maka buatlah apa kamu nak buat, kamu tidak akan lepas.

Penutup:

Surah ini dimulakan berkenaan Quran. Bagaimana Quran itu dijelaskan – fussilat – dengan sejelas-jelasnya. Tidak ada keraguan. Dan di hujung surah, ditunjukkan bagaimana ada kebenaran-kebenaran yang boleh dijelaskan dengan sains.

Selain dari memperkatakan tentang Tauhid dalam Doa, surah ini juga tentang dakwah. Dakwah itu mesti menggunakan Quran. Surah ini bermula tentang Quran dan akhirnya tentang Quran semula. Ini mengajar kita supaya dakwah itu dimulakan dengan Quran dan diakhiri dengan Quran juga. Itulah sunah dakwah Nabi kita. Kalau kita tidak pakai Quran dalam dakwah kita, ada masalah dalam dakwah kita.

Maulana Hadi – Fussilat 41-54

Allahu a’lam.


Alhamdulillah. Sekian tafsir surah Fussilat. Semoga mendapat manfaat dan semoga Allah beri kefahaman kepada kita untuk memahaminya. Lompat ke surah yang seterusnya, surah Ash-Shura

Rujukan:

Maulana Hadi

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

Abdul Nasir Jangda

Tafsir Ibnu Kathir

Tafsir Al-Azhar Dr. Hamka

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 041: Fussilat. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s