Tafsir Surah Fussilat Ayat 39 – 46 (Quran sebagai syifa’)

Ayat 39: Ini adalah bahagian kedua dari surah Fussilat ini. Ini adalah Dalil Aqli kepada Qudrat Allah.

وَمِن آياتِهِ أَنَّكَ تَرَى الأَرضَ خاشِعَةً فَإِذا أَنزَلنا عَلَيهَا الماءَ اهتَزَّت وَرَبَت ۚ إِنَّ الَّذي أَحياها لَمُحيِي المَوتىٰ ۚ إِنَّهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Sahih International

And of His signs is that you see the earth stilled, but when We send down upon it rain, it quivers and grows. Indeed, He who has given it life is the Giver of Life to the dead. Indeed, He is over all things competent.

Malay

Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya, engkau melihat bumi kosong sepi (dalam keadaan kering dan tandus), maka apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya serta suburlah tanamannya. Sesungguhnya Allah yang menghidupkannya sudah tentu berkuasa menghidupkan makhluk-makhluk yang telah mati; sesungguhnya Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

 

وَمِنْ آيَاتِهِ

Dan diantara dalil bukti lain,

Ada lagi tanda-tanda dalam alam yang boleh menunjukkan kepada kita tentang kewujudan dan kemuliaan Allah. Allah beri satu persatu bukti kepada kita. Supaya kita tidak ada alasan lagi untuk keliru. Kita kenalah lihat tanda-tanda itu.

 

 أَنَّكَ تَرَى الْأَرْضَ خَاشِعَةً

Kamu boleh tengok bumi yang sudah gersang;

Iaitu bumi yang kering kontang kerana kemarau. Senyap tidak buat apa-apa, tidak jadi apa-apa. Macam orang yang ‘khusyuk’, duduk diam, lemah dan tunduk sahaja di hadapan Allah dalam solat.

 

 فَإِذَا أَنْزَلْنَا عَلَيْهَا الْمَاءَ

Maka apabila Kami turunkan ke atasnya air

Pernah anda melihat bagaimana keadaan tumbuh-tumbuhan dalam musim kemarau? Semuanya layu dan lesu. Nampak pudar sahaja. Tapi lihatlah apabila Allah turunkan air hujan ke tanah yang gersang itu. Perubahan yang ketara akan berlaku.

 

اهْتَزَّتْ

bergerak-gerak tumbuh;

Bumi yang gersang itu tumbuh apabila Allah berikan air hujan kepada tanah itu. Kadang-kadang tidak banyak pun hujan yang turun. Kalau turun sepuluh minit pun dah cukup dah. Kita boleh lihat bezanya dengan keadaan sebelum itu. Allah kata bumi itu atau tanaman itu bergerak-gerak. Memang tidak nampak dengan mata kasar kita, tapi kita yang selalu melihat rancangan tv, boleh banyangkan bagaimana tanaman itu sebenarnya bergerak sikit-sikit.

 

وَرَبَتْ

dan subur

Apabila sudah ada air, tanaman itu pun bergerak, mula menyerap air dari tanah dan bergerak subur.

 

 إِنَّ الَّذِي أَحْيَاهَا

Sesungguhnya Dzat yang menghidupkan bumi yang kering tadi

Allah menunjukkan bagaimana Allah boleh menghidupkan sesuatu yang mati. Dia beri contoh bumi yang ‘mati’ boleh dihidupkan.

 

 لَمُحْيِي الْمَوْتَىٰ

tentulah boleh hidupkan yang sudah mati.

Dengan satu jenis air sahaja, semua jenis tumbuhan boleh hidup. Allah menunjukkan contoh bagaimana Allah boleh menghidupkan tanah yang mati. Kalau Allah boleh menghidupkan tanah itu, tidakkah Allah juga boleh menghidupkan kamu kembali selepas kamu mati? Jadi kenapa kamu hairan sangat kalau kamu akan hidup sesudah mati nanti? Orang Musyrikin Mekah tidak dapat menerima yang mereka akan hidup setelah mati nanti, dan kerana itu mereka menentang ajaran tauhid dari Nabi Muhammad.

 

 إِنَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Sesungguhnya Allah Taala keatas segala sesuatu Maha Berkuasa sungguh

Ini adalah adalah Jumlah Ta’liliyah – Allah boleh buat apa sahaja yang Dia hendak kerana Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dalam ayat ini, Allah memberitahu bagaimana Dia yang hidupkan tanah yang mati dengan air. Sebenarnya, Allah tidak perlukan pun air itu. Itu hanya sebagai asbab sahaja. Allah boleh hidupkan dengan sendiri pun boleh. Allah boleh buat apa-apa sahaja yang Dia hendak. Bukan tentang tumbuhan sahaja tapi dalam segala hal. Termasuk memasukkan mereka ke dalam neraka atau syurga.


 

Ayat 40: Takhwif Ukhrawi. Ini adalah tentang mereka yang melakukan ilhad. Ilhad bermaksud takwil ayat Qur’an dengan makna yang salah. Sebagai contoh, ada yang kata ayat Qur’an ada khadam, maka mereka reka amalan-amalan untuk panggil khadam-khadam itu. Itu adalah bohong kerana tidak ada dalil langsung tentangnya. Mereka adalah contoh mereka yang menggunakan akal sahaja untuk sampai kepada sesuatu kefahaman. Ramai yang jenis tak mengaji yang percaya kepada benda-benda sebegini. Ada lagi yang takwil Qur’an ikut nafsu mereka sampai ada jadi syirik.

Ada yang kerana tidak belajar dengan betul, mereka salah faham tentang sesuatu ayat. Sebagai contoh, tentang ayat ‘wasilah’. Memang ada ayat wasilah dalam Quran dan dalam kitab-kitab tafsir kata, wasilah itu adalah dalam bentuk ibadat. Tetapi ada pula guru yang sesat yang mengatakan wasilah itu adalah wali. Maka ramailah yang jahil yang menggunakan wali yang sudah mati sebagai wasilah mereka dalam ibadat dan dalam doa. Ini amat menyimpang dari makna asal. Ini adalah natijah dari tidak belajar tafsir Quran secara menyeluruh tapi tebuk ayat-ayat tertentu sahaja.

Yang lagi teruk adalah mereka yang tahu kebenaran, tapi mereka mengubah pemahaman ayat-ayat Allah. Mereka ambil ayat-ayat Allah, tapi mereka pusingkan maknanya untuk menyokong kehendak nafsu mereka. Mereka ambil hukum dari ayat Allah, tapi mereka ubah ikut kefahaman mereka.

Terdapat beberapa cara untuk menetapkan hukum:

1. Ubah hukum Allah. Contohnya, pengharaman daging babi. Ada yang kata dulu tidak boleh kerana daging itu kotor, ada ulat yang tidak boleh dibunuh, tapi sekarang mereka kata dah boleh makan pula sebab kita sudah tahu bagaimana nak membersihkannya, mengeluarkan ulat itu, maka babi sudah boleh dimakan. Kalau ada yang buat begini, mereka jatuh kufur. Kerana mengubah hukum Allah yang jelas-jelas telah mengharamkan memakan daging babi.

2. Terdapat perbezaan pendapat antara ulama tentang sesuatu ayat. Ada orang yang menggunakan perbezaan pendapat ini untuk memilih pendapat yang salah. Ini adalah dosa.

3. Terdapat ijtihad apabila tiada hukum yang tepat dalam Quran dan sunnah. Oleh itu, ada ulama yang mencari jalan penyelesaian dengan menggunakan jalan ijtihad. Ini dibenarkan.

إِنَّ الَّذينَ يُلحِدونَ في آياتِنا لا يَخفَونَ عَلَينا ۗ أَفَمَن يُلقىٰ فِي النّارِ خَيرٌ أَم مَن يَأتي آمِنًا يَومَ القِيامَةِ ۚ اعمَلوا ما شِئتُم ۖ إِنَّهُ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

Sahih International

Indeed, those who inject deviation into Our verses are not concealed from Us. So, is he who is cast into the Fire better or he who comes secure on the Day of Resurrection? Do whatever you will; indeed, He is Seeing of what you do.

Malay

Sebenarnya orang-orang yang menyeleweng dari jalan yang benar mengenai ayat-ayat keterangan Kami, tidak terselindung keadaan mereka dari (pengetahuan) Kami. (Kalau sudah demikian), maka adakah orang yang dihumbankan ke dalam neraka lebih baik, atau orang yang datang dalam keadaan aman dan selamat pada hari kiamat? (Katakanlah kepada orang-orang yang menyeleweng itu): “Buatlah apa yang kamu suka, sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu lakukan (dan akan membalasnya)”.

 

إِنَّ الَّذِينَ يُلْحِدُونَ فِي آيَاتِنَا

Sesungguhnya orang yang menyelewengkan ayat-ayat Kami

Perkataan يُلْحِدُونَ berasal dari kata ‘lahad’ seperti liang lahad kubur. Penggali kubur sepatutnya menggali kubur dengan elok, ikut saiz dan ikut bentuk, tapi mereka buat bengkang bengkok. Jadi, ‘mulhid’ adalah orang yang menyeleweng. Jadi, maksud yang hendak disampaikan dalam ayat ini adalah mereka yang menyelewengkan ayat-ayat Allah.

Maksud ‘menyelewengkan’ ayat-ayat Allah adalah dengan memberi tafsiran yang salah dari yang sepatutnya. Antaranya seleweng ayat tentang tauhid. Ayat-ayat Quran mengajar dan mengajak kepada tauhid, tapi ada yang takwil membawa maksud lain. Allah beritahu tidak boleh tawasul, tapi ustaz yang mengajar boleh buat tawasul pula. Ini sudah seleweng. Mereka seleweng sampaikan ayat tentang tauhid mereka jadikan ayat mengajak buat syirik. Tafsir itu pula tidak ada dalam kitab-kitab tafsir muktabar. Mereka sahaja yang pandai reka sendiri.

 

لَا يَخْفَوْنَ عَلَيْنَا

Tidaklah tersembunyi dari Kami 

Tidak tersembunyi dosa yang mereka lakukan, tidak akan tersembunyi sedikit pun dari Allah. Samada kecil atau besar. Semuanya Allah nampak dan Allah ambil kira. Jangan kita sangka Allah nampak dosa yang besar-besar sahaja, yang kecil pun Allah nampak. Apabila Allah tahu tentang segala sesuatu, ini bermaksud Allah akan hukum mereka nanti sebagai balasan dari perbuatan mereka itu.

 

 أَفَمَنْ يُلْقَىٰ فِي النَّارِ خَيْرٌ

Apakah satu orang yang dicampak ke dalam neraka lebih baik,

Bermakna, orang yang menyeleweng ayat Quran akan dicampak ke dalam neraka. Adakah kamu rasa mereka itu telah mendapat kebaikan? Mereka dicampakkan ke dalam neraka kerana mereka itu adalah ‘zindiq’. Apakah maksud ‘zindiq’. Maksud zindiq adalah murtad tapi mereka mendakwa diri mereka muslim. Maksudnya, mereka tidak mengatakan mereka nak keluar Islam pun. Mereka sangka mereka itu muslim tapi sebenarnya mereka sudah terkeluar dari Islam tanpa mereka sedari.

 

 أَمْ مَنْ يَأْتِي آمِنًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ

atau seorang yang datang kepada Allah dengan tenteram pada hari kiamat?;

Iaitu mereka yang tenang aman kerana mereka tahu mereka tidak melakukan kesalahan semasa di dunia? Mana yang lebih baik? Tentulah yang beriman.

 

 اعْمَلُوا مَا شِئْتُمْ

Buatlah apa yang kamu nak buat.

Inilah kata-kata Allah kepada mereka. Buatlah apa yang kamu hendak buat.

Ini bukanlah nak beri kebenaran kepada mereka untuk berbuat sesuka hati mereka. Ini juga bukan suruhan. Ini dinamakan khitab tahdidi – ugutan. Kalau tak mahu dengar juga, maka Allah ugut mereka. Maksudnya ini adalah suruhan dengan ugutan. Sebenarnya bukan suruh pun.

Sebagai contoh, seorang ayah suruh anaknya buat kerja rumah. Tapi anak itu buat benda lain. Ayah dia kata: “buatlah apa yang kamu hendak buat.” Bukanlah ayah dia suruh dia buat apa yang dia nak buat sesuka hati dia, tapi ayah dia nak cakap bahawa dia akan kena hukum sekejap lagi.

 

 إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Sesungguhnya Dia Maha Melihat terhadap apa yang kamu lakukan. 

Tidak ada had kepada Allah untuk melihat. Allah melihat segalanya. Kita juga boleh melihat, tapi penglihatan kita terhad. Kalau kita dapat merasai Allah melihat setiap perbuatan kita, maka kita tentunya akan berhati-hati dalam setiap perbuatan kita.

Allah bukan nak beritahu yang Dia melihat sahaja. Tapi Dia hendak memberitahu yang Dia akan hukum nanti di atas kesalahan mereka.

Maulana Hadi – Fussilat 37-40


 

Ayat 41: Ayat 43 nanti adalah ayat syikayah. Ini adalah muqaddimah kepada ayat syikayah itu. Dalam ayat sebelum ini telah disebut mereka yang melakukan ilhad akan dibalas dengan balasan yang buruk. Sekarang diberikan penjelasan yang lebih lagi tentangnya. Siapakah yang buat ilhad itu?

إِنَّ الَّذينَ كَفَروا بِالذِّكرِ لَمّا جاءَهُم ۖ وَإِنَّهُ لَكِتابٌ عَزيزٌ

Sahih International

Indeed, those who disbelieve in the message after it has come to them. And indeed, it is a mighty Book.

Malay

Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar terhadap Al-Quran ketika sampainya kepada mereka, (akan ditimpa azab seksa yang tidak terperi); sedang Al-Quran itu, demi sesungguhnya sebuah Kitab Suci yang tidak dapat ditandingi,

 

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِالذِّكْرِ

Sesungguhnya orang-orang yang engkar kufur dengan Quran

Lafaz الذِّكْرِ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ‘Quran’; Kenapakah Quran digelar sebagai الذِّكْرِ – peringatan? Kerana Quran mengingatkan manusia tentang perkara yang sebenarnya mereka dah tahu. Bukanlah benda baru yang diingatkan kepada mereka. Kita sebenarnya telah tahu tentang Allah, tentang tugas kita dalam dunia ini apabila kita dilahirkan ke dunia ini – Quran cuma mengingatkan sahaja.

Engkar di sini bukan maknanya orang kafir yang kufur dengan Allah, tapi engkar dengan Quran. Kadang-kadang orang Islam pun engkar dengan ayat-ayat Quran juga. Itu adalah kerana mereka degil tidak mahu belajar Quran. Tidak teringin nak tahu tentang ayat-ayat Allah. Tidak terasa hendak tahu apakah yang Allah hendak dari mereka. Maka, mereka itu juga dikira engkar juga. Masalahnya, apabila mereka tidak belajar dan tidak tahu, mereka akan buat perkara yang salah. Syaitan akan sesatkan mereka kerana apabila mereka tidak tahu tentang Quran dan apakah maksudnya, mereka tidak tahu pun apa yang syaitan beritahu itu adalah salah. 

 

 لَمَّا جَاءَهُمْ

tatkala datang kepada mereka

Mereka tidak engkar dengan ayat-ayat Quran apabila ayat-ayat itu mereka baca, atau dibacakan kepada mereka. Selepas dibacakan, diberitahu pula apakah maksudnya, dan mereka tolak. Orang-orang Islam sayang kepada Quran dan selalu baca Quran. Tapi yang selalu terjadi, mereka tolak ‘maksud’ dari ayat-ayat Quran itu.

Ayat ini seperti tergantung. Tidak disebutkan apa yang akan terjadi kepada mereka. Ini adalah kerana balasan kepada mereka itu adalah amat berat sekali, sampai tak boleh nak sebut. Bagaimana mungkin mereka tidak diberikan dengan azab yang pedih, sedangkan peringatan telah berkali-kali diberikan kepada mereka. Oleh itu, Allah tidak perlu cakap pun apakah yang akan dikenakan kepada mereka. Kita tahu yang mereka akan dikenakan azab dan mereka akan tahu apabila mereka mendapat azab itu.

Kemudian Allah teruskan dengan menyebut sifat-sifat Quran itu.

 

 وَإِنَّهُ لَكِتَابٌ عَزِيزٌ

Sesungguhnya Quran itu suatu kitab yang besar tidak ada tandingannya.

Tidak ada sesiapa pun yang dapat membawakan semisal Quran itu. Allah telah beri cabaran demi cabaran untuk manusia mendatangkan ayat-ayat yang sama dengan Quran tapi tidak dapat dibawa oleh manusia yang hendak menentang Quran. Kalau mereka kata ianya bukan dari Tuhan tapi dari karangan dan tulisan tangan manusia, tentunya mereka pun boleh buat ayat-ayat Quran yang seperti itu juga bukan? Tapi, walaupun Allah telah berikan cabaran itu sudah lebih dari seribu tahun, musuh-musuh Islam masih tidak dapat lagi membuat surah mahu pun ayat yang menyerupai kehebatan Quran. Memang ramai yang mencuba, tapi tidak sama langsung.

Kitab Quran ini tidak dapat dikalahkan. Ianya akan tetap begitu. Kalau ada yang nak tukar ayat-ayat Quran, tidak akan berjaya. Dari dulu sampai sekarang, sama sahaja ayat-ayat itu. Di mana-mana pun sama sahaja. Di Malaysia, di China, sama sahaja. Padahal, ianya dicetak di berbagai-bagai tempat. Bukan ada satu tempat sahaja yang mencetaknya. Berapa ramai yang cuba hendak mengubah ayat Quran tapi tidak berjaya. Mereka tidak berjaya kerana kalau ada satu sahaja kesalahan dalam mana-mana ayat Quran, ianya akan dapat dikesan oleh mereka yang menghafal ayat-ayat Quran.

Quran tidak perlu dilindungi kerana Quran lah yang memberi perlindungan kepada kita. Kerana Allah sendiri telah berjanji dalam Quran untuk melindungi Quran.

Oleh kerana begini hebatnya Quran ini, kalau ada yang tidak mahu beriman dan mempelajarinya, itu adalah kerana degil sahaja.


 

Ayat 42: Apabila pihak musyrik kata, tentulah dalam Quran itu ada benda-benda yang tersilap, maka Tuhan kata:

لا يَأتيهِ الباطِلُ مِن بَينِ يَدَيهِ وَلا مِن خَلفِهِ ۖ تَنزيلٌ مِن حَكيمٍ حَميدٍ

Sahih International

Falsehood cannot approach it from before it or from behind it; [it is] a revelation from a [Lord who is] Wise and Praiseworthy.

Malay

Yang tidak dapat didatangi sebarang kepalsuan dari mana-mana arah dan seginya; ia diturunkan dari Tuhan Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Terpuji.

 

لَا يَأْتِيهِ الْبَاطِلُ

Tidak datang kepada Quran itu sebarang kata-kata tidak benar

Ini kerana Quran itu diturunkan dari Allah, Tuhan semesta alam. Semua ayat-ayat dalam Quran itu adalah yang haq belaka, yang benar-benar belaka. Tidak ada ayat-ayat dalam Quran itu yang salah, yang tidak sesuai dengan jiwa yang murni.

Orang-orang kafir yang mengkaji Quran telah cuba mencari apakah kesilapan yang ada dalam Quran. Mereka tak jumpa walau satu pun. Sampaikan orang kafir yang mulanya mencari kesilapan dalam Quran, tapi akhirnya masuk Islam setelah menyedari kehebatan Quran.

Antara bukti yang Quran itu adalah dari Allah adalah: Quran memperkatakan tentang maklumat-maklumat sains yang takkan dapat difahami oleh manusia dahulukala. Semakin manusia maju dalam dunia sains, semakin jelas bahawa apa-apa perkara yang diperkatakan dalam Quran yang melibatkan elemen sains, semuanya betul belaka. Kalau ianya dari manusia, ia tidak akan jadi begitu.

 

 

مِنْ بَيْنِ يَدَيْهِ وَلَا مِنْ خَلْفِهِ

dari hadapan dan dan tidak dari belakang pun.

Quran itu akan terjaga dari dulu sampai sekarang. Dari semasa Quran itu diturunkan dan sampai bila-bila. Tidak akan ada perubahan. Dari mana-mana arah pun. Quran tidak boleh dikalahkan, walaupun ada orang yang cuba hendak merosakkannya datang dari berbagai arah – dari hadapan atau dari belakang. Orang Islam tidak perlu mempertahankan Quran kerana Quran itulah yang mempertahankan kita.

Pemahaman pertama yang kita boleh ambil adalah: syaitan tidak dapat mengganggu Quran dengan mengubah ayat-ayatnya – samada dari hadapan atau dari belakang. Dari arah mana pun mereka datang. Apakah maksudnya? Semasa ayat Quran ini diturunkan, jin syaitan tidak dapat mengganggu (intercept) penurunan Quran itu kerana ianya dibawa Jibrail, sehebat-hebat malaikat. Dan bukan Jibrail seorang sahaja yang turun, malah Jibrail ditemani oleh entah berapa ramai malaikat-malaikat lain. Maka, jin syaitan tidak dapat nak dekati pun rombongan menurunkan Quran itu. Jadi, mereka tentu tidak dapat nak merosakkan atau memasukkan apa-apa dalam Quran itu. Jadi, Quran itu tulen, segalanya dari Allah.

Pemahaman kedua: ‘di hadapan’ bermaksud sesuatu yang kita nampak kerana mata kita berada di hadapan. Bermaksud, manusia tidak boleh menukar Quran itu secara terang-terangan.

Di belakang bermaksud, mengubah Quran secara senyap-senyap. Cara terang-terangan tidak boleh dan cara sembunyi pun tidak boleh.

 

 

تَنْزِيلٌ مِنْ حَكِيمٍ

Diturunkan Quran itu daripada yang Maha Bijaksana

Kerana Dia Maha Bijaksana, Dia pastikan semua ayat Quran itu tidak tersilap. Dan maklumat yang disampaikan di dalamnya adalah tepat sekali, tidak ada kesalahan dan kesilapan langsung.

 

حَمِيدٍ

Maha Terpuji.

Dan Allah sentiasa terpuji kerana Dia memiliki sifat-sifat yang amat mulia. Jadi, secara ringkasnya, ada empat sifat Quran yang telah disebutkan dalam dua ayat ini:

  1. Ianya عَزِيزٌ – tiada tandingan
  2. لَا يَأْتِيهِ الْبَاطِلُ – tiada perkara bathil di dalamnya
  3. مِنْ بَيْنِ يَدَيْهِ وَلَا مِنْ خَلْفِهِ – terpelihara dulu, kini dan selamanya
  4. تَنْزِيلٌ مِنْ حَكِيمٍ – ianya dari Allah yang Maha Bijaksana

Allah tekankan dalam ayat ini, bahawa Quran itu datang bukan dari orang lain, tapi dari Allah sendiri. Kalau ianya dari Allah, bagaimana kita boleh mengubahnya? Tambahan pula Allah telah berfirman bahawa Allah akan menjaganya. Kalau Allah dah kata begitu, memang tidak ada harapan untuk menukarnya lagi.

Tidak dinafikan ada kesilapan ulama-ulama di dalam kitab-kitab tafsir-tafsir yang sebelum ini. Mereka bukan sengaja tapi tersilap penafsiran. Ini tidak mustahil kerana mereka itu manusia. Dan mereka telah berusaha bersungguh-sungguh dalam menafsirkan ayat-ayat itu mengikut kefahaman dan ilmu yang mereka ada pada waktu itu. Maka Tuhan akan hantar orang lain pula untuk memperbetulkan ulama yang tersilap itu. Maka, janganlah hairan kalau ada penafsiran ulama-ulama dahulu yang tidak dipakai. Bukannya kita tolak semua, tapi tidaklah juga kita menerima semua sekali.

Antara tafsir yang masyhur adalah Tafsir Jalalyn. Antara termasyhur dalam dunia sekarang. Ada beberapa kesilapan di dalamnya dan orang-orang kemudian darinya telah memperbetulkan kesilapan itu. Begitu juga dalam Sahih Bukhari pun, ada sedikit kesilapan. Maknanya, manusia tidak akan terlepas dari tersilap. Yang tak silapnya adalah Quran sahaja. Kalau ada tersilap baris sahaja, akan ada orang yang akan memperbaikinya. Ada juga lagi tafsir-tafsir yang ada salah dalam tafsiran mereka. Begitu juga dengan Tafsir Hamka pun ada silapnya. Ini biasa, dan kerana itu kita kena meneruskan pengajian kita. Begitu jugalah dengan usaha tafsir yang kita sedang lakukan ini. Kita mencuba sedaya upaya untuk memasukkan perkara yang benar, tapi kalau ada tersalah, semoga Allah tunjukkan supaya kita boleh betulkan.

Banyak kesilapan dalam pentafsiran itu adalah berkenaan dengan cerita israiliyat. Iaitu kisah-kisah yang diambil dari Bani Israil. Ianya banyak termasuk dalam teks tulisan pengajaran agama Islam kerana selepas ramai orang Yahudi masuk Islam, mereka telah menceritakan pemahaman mereka tentang sesuatu kejadian pada zaman yang lampau. Selalunya berkenaan dengan kisah-kisah Nabi.

Contohnya, sebenarnya Nabi Yusuf tidak pernah kahwin dengan Zulaikha. Kenalah kita ingat bahawa Zulaikhalah yang telah mengkhianati Nabi Yusuf. Tentulah tidak patut kalau baginda berkahwin dengan Zulaikha yang telah mengkhianatinya. Tidak ada dalil yang menyatakan bahawa Nabi Yusuf telah kahwin dengan Zulaikha. Kalau ada, maka seseorang itu kena bawa dalil

Dan cerita salah tentang Nabi Nuh pun ada. Sewaktu terjadi banjir besar itu bumi telah ditenggelami oleh laut. Gunung paling tinggi masa itu pun ditelenggelami oleh air. Gelombang air waktu itu seperti gunung besarnya. Ada cerita tentang jenis kapal nabi Nuh – dari apa ianya dibuat, bentuknya dan sebagainya. Itu adalah karut. Ada pula cerita pasal seorang perempuan yang tidak kena banjir. Apabila Nabi tanya dia selepas itu kenapa dia tak kena banjir, perempuan itu kata, dia pun tidak tahu ada banjir. Padahal, banjir itu terjadi seluruh dunia. Itulah yang karutnya.

Begitu juga kisah karut tentang Nabi Sulaiman. Ada pula kisah karut tentang bagaimana baginda hilang kerajaan kerana hilang cincinnya. Dikatakan bagaimana Ifrit telah mengambil cincin itu dan Nabi Sulaiman pula jatuh dari kerajaan dan jadi nelayan. Kemudian baginda kena kahwin dengan seorang perempuan huduh iaitu anak ketua kapal. Semasa memukat, dikatakan baginda terjumpa cincin kerajaan baginda yang telah dicuri itu dalam perut ikan. Apabila pakai cincin itu kembali, Nabi Sulaiman telah mendapat balik kuasanya dan telah memerintah balik. Itulah cerita-cerita karut. Tapi malangnya, ini semua diajar di suratkhabar dan tv dan sebagainya.

Maknanya, yang hendak diberitahu adalah, tidak ada dalam Quran benda-benda bathil. Yang bathil itu adalah cerita dari manusia. Macam kepercayaan kepada cincin Nabi Sulaiman. Kalau percaya cerita itu, maknanya, Nabi Sulaiman pun ada buat syirik juga. Nauuzubillah. Dan ada pula cerita dia ada buku sihir pula. Sampai ada dikatakan ilmu sihir pun dia ada amalkan. Syaitan nak mengatakan bahawa Nabi Sulaiman pun pakai sihir juga. Satu lagi cerita pasal Balqis selak kain semasa di istana Nabi Sulaiman dan Nabi Sulaiman dikatakan nampak betis Balqis. Tapi dalam Quran dikatakan bahawa Balqis baru hendak menyelak tapi tak selak lagi. Jadi nak kena dibetulkan dari tafsir Quran yang kita belajar ini. Kalau tidak diperbetulkan, maka ianya sampai boleh menyebabkan kita terjatuh ke lembah kesyirikan.


 

Ayat 43: Ayat ini mengandungi syikayah (rungutan) tentang umat dan juga tasliah (pujukan) kepada Nabi Muhammad. Ayat-ayat sebelum ini adalah muqaddimah kepada ayat syikayah ini. Walaupun Quran itu hebat dan mulia, tapi ada juga yang menentang dan tidak menerimanya. Macam-macam mereka kata dan tuduh yang tidak elok dengan Quran. Begitulah yang terjadi kalau sudah tidak suka. Sudahlah tidak belajar, nak mengutuk pula mereka yang mengajar.

ما يُقالُ لَكَ إِلّا ما قَد قيلَ لِلرُّسُلِ مِن قَبلِكَ ۚ إِنَّ رَبَّكَ لَذو مَغفِرَةٍ وَذو عِقابٍ أَليمٍ

Sahih International

Nothing is said to you, [O Muhammad], except what was already said to the messengers before you. Indeed, your Lord is a possessor of forgiveness and a possessor of painful penalty.

Malay

Apa yang dikatakan kepadamu (wahai Muhammad, dari celaan-celaan golongan yang ingkar, tidak lain) hanyalah seperti yang pernah dikatakan kepada Rasul-rasul yang terdahulu daripadamu. (Oleh itu bersabarlah dengan cekal hati menghadapinya), sesungguhnya Tuhanmu berkuasa penuh melimpahkan keampunanNya (kepada orang-orang yang taat), dan berkuasa penuh menimpakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya (kepada orang-orang yang ingkar).

 

مَا يُقَالُ لَكَ

Tidak dikatakan kepada kamu 

Iaitu kata-kata yang menyakitkan hati Nabi Muhammad. Nabi terkesan dengan kata-kata orang kafir kepadanya. Sudahlah mereka tak terima, mereka tolak, kemudian mereka reka macam-macam tohmahan kepada baginda dan tentang ayat-ayat Quran itu. Macam kita juga, apabila kita mengajak orang lain kepada Islam, kepada buat baik, mereka tak mahu terima. Bukan sahaja tak mahu terima, mereka kata macam-macam kepada kita. Mereka kata: “Macamlah kamu pandai sangat”, “baru belajar sikit dah ingat pandai”, “baru belajar satu guru dah kata macam-macam, belajar lagi lah baru kau tahu”, dan macam-macam lagi. Mereka juga beri nama yang macam-macam kepada kita, antaranya panggil kita Wahhabi, anak Pak Wahab, Kaum Muda dan macam-macam lagi. Ada yang kata kita pula sesat. Sepertimana Nabi juga pernah dikatakan sesat juga oleh mereka.

Tentang Quran, mereka kata tafsir yang kita beritahu kepada mereka itu tidak benar, kita reka sendiri, guru kita sesat dan macam-macam lagi. Sedangkan mereka sendiri tidak belajar, tapi mereka kata kita yang belajar pula yang salah. Ini memang pelik sekali, tapi itulah yang terjadi.

Sebagaimana kata-kata itu menyakitkan hati kita, ia juga menyakitkan hati baginda. Kita manusia, Nabi pun manusia juga, ada perasaan. Kita mengharap orang terima dakwah kita, dan kita pun mengajak mereka dengan ikhlas kerana kita mahukan kebaikan untuk mereka. Kita ajak kepada agama kerana kita kasihan kepada mereka, kita tak mahu mereka buat salah dan masuk neraka. Tapi mereka menolak kita, mengejek kita, mengata yang buruk-buruk kepada kita, perli kita, bagi nama buruk kepada kita, pulau kita dan sebagainya.

Allah nak beritahu bahawa Allah tahu apa yang dikatakan itu.

 

 إِلَّا مَا قَدْ قِيلَ لِلرُّسُلِ مِنْ قَبْلِكَ

melainkan telah dikatakan seperti ini kepada rasul-rasul sebelum kamu.

Bukanlah apa yang Nabi hadapi dalam melakukan dakwah ini benda yang baru. Allah kata, nabi-nabi dulu pun kena macam itu juga. Oleh itu, ada tasliah dalam ayat ini. Jangan sedih, jangan risau sangat kerana ini adalah sunnatullah – sudah ditetapkan oleh Allah dari dulu lagi. Manusia sama sahaja, dari dulu, sekarang dan sampai bila-bila. Ada sahaja yang tidak mahu terima ajaran dari wahyu itu macam mana baik pun cara kita sampaikan kepada mereka. Bayangkan, Nabi Muhammad yang paling baik itu pun, mereka tidak terima, apatah lagi kita? Jadi, kalau kita pun ditolak, jadi jangan terkesan sangat – ingat yang Nabi Muhammad pun pernah kena tolak.

Maknanya, siapa yang mengajar tauhid ini, untuk memperbetulkan akidah manusia, orang akan kata yang tidak baik kepadanya dan itulah yang telah kena kepada nabi-nabi terdahulu. Akan dikatakan perkara yang sama kepada kita juga. Ada yang kata kita mengajar sihir, sesat dan sebagainya.

Maka, bersabarlah dengan kata-kata mereka. Banyak ayat-ayat dalam Quran yang memperkatakan perkara ini. Diulang-ulang kata-kata yang lebih kurang sama dalam berbagai-bagai surah kerana ianya sentiasa terjadi. Allah nak pujuk hati pendakwah tauhid. Kalau kita tahu yang orang lain pun kena perkara yang sama, maka adalah terubat sedikit rasa sakit di hati.

 

 إِنَّ رَبَّكَ  لَذُو مَغْفِرَةٍ

Sesungguhnya Tuhan kamu yang mencipta dan memelihara kamu itu, mempunyai keampunan yang besar

Inilah natijah kalau sabar dengan apa yang dikatakan kepada kita. Allah akan tutup segala dosa kita. Allah gunakan kata ‘rabb’, tidak digunakan perkataan ‘Allah’ kerana Allah hendak menekankan bahawa Dia lah yang telah menjadikan, menjaga dan memelihara semua makhluk dan Allah lah juga yang akan menjaga dan memelihara baginda dan mereka yang menyebarkan tauhid. Kerana maksud ‘rabb’ bukan sahaja bermaksud ‘Tuhan’ seperti yang selalu diterjemah itu, tapi ianya lebih lagi. Ia bermaksud ‘Tuhan yang mencipta, menjadikan, memelihara dan menjaga’, malah lebih lagi. Allah nak ingatkan kepada kita tentang sifatNya yang telah banyak membantu kita selama ini. Dan Allah akan terus membantu kita dalam perjalanan hidup kita. Tidak pernah Allah tinggalkan kita.

Perkataan مَغْفِرَةٍ bermaksud ‘keampunan yang besar’ – dimana Allah akan mengampunkan semua sekali dosa-dosa kita dan pengampunan ini akan diberikan kepada mereka-mereka yang bersabar; Kepada Nabi yang sabar dalam melakukan tugas baginda; kepada para sahabat yang terus tetap dalam Islam bersama baginda walaupun mereka menerima tentangan dan seksaan dari orang kafir; dan kepada kita yang sabar berdakwah mengajar manusia kepada tauhid.

Kita perlu bersabar dengan apa yang dikatakan kepada kita yang telah berdakwah kepada manusia. Kerana dalam dakwah ini, banyak orang yang tidak suka. Mereka kata kita macam-macam – wahhabi lah, puak sesat lah dan sebagainya. Apa yang kita boleh buat? Kita hanya boleh bersabar. Jangan kita lawan kata-kata mereka dengan kata-kata yang buruk pula. Sebaliknya telah disebut sebelum ini yang kita kena balas dengan balasan yang baik supaya mereka dapat menerima dakwah kita.

 

وَذُو عِقَابٍ أَلِيمٍ

dan mempunyai balasan yang amat pedih 

Kepada mereka yang kufur pula, akan diberikan balasan yang pedih.

Tuhan yang sama, tapi bertindak berbeza kepada orang yang berbeza. Kepada yang baik, menerima ajaran dari Quran, Allah akan balas dengan kebaikan. Kepada yang jahat, tolak tauhid, tolak sunnah, Allah akan balas dengan balasan yang buruk. Tetapi apa yang setimpal dengan perbuatan mereka dan tidak lebih dari itu. Allah tidak zalim. Allah akan beri apa yang layak kepada seseorang itu.


 

Ayat 44: Ada Jumlah Muqaddar yang tidak dimasukkan: Musyrikin Mekah kata kepada Nabi, kalau Quran itu betul, mestilah ia turun dalam bahasa lain. Kerana Nabi Muhammad itu memang orang Arab, kalau bawa kitab yang dari bahasa Arab juga, tidak ada apa yang menarik – biasa sahaja nampaknya kepada mereka. Kalau dalam bahasa Arab, entah-entah Nabi Muhammad buat sendiri ayat-ayat Quran itu. Sepatutnya bawalah kitab dalam bahasa lain. Itu kata mereka. Itu sebenarnya adalah alasan dari mereka untuk tidak ikut sahaja.

Macam kalau ada orang yang kutuk kalau kita mengajar dalam bahasa Melayu. Mereka kata ajar dalam bahasa Inggeris barulah ada standard sikit.

Oleh kerana soalan mereka itu ada sedikit bernas, maka Allah jawap apa yang dikatakan mereka:

وَلَو جَعَلناهُ قُرآنًا أَعجَمِيًّا لَقالوا لَولا فُصِّلَت آياتُهُ ۖ أَأَعجَمِيٌّ وَعَرَبِيٌّ ۗ قُل هُوَ لِلَّذينَ آمَنوا هُدًى وَشِفاءٌ ۖ وَالَّذينَ لا يُؤمِنونَ في آذانِهِم وَقرٌ وَهُوَ عَلَيهِم عَمًى ۚ أُولٰئِكَ يُنادَونَ مِن مَكانٍ بَعيدٍ

Sahih International

And if We had made it a non-Arabic Qur’an, they would have said, “Why are its verses not explained in detail [in our language]? Is it a foreign [recitation] and an Arab [messenger]?” Say, “It is, for those who believe, a guidance and cure.” And those who do not believe – in their ears is deafness, and it is upon them blindness. Those are being called from a distant place.

Malay

Dan kalaulah Al-Quran itu Kami jadikan (bacaan) dalam bahasa asing, tentulah mereka akan berkata: “Mengapa tidak dijelaskan ayat-ayatnya (dalam bahasa yang kami fahami)? Patutkah Kitab itu berbahasa asing sedang Rasul yang membawanya berbangsa Arab?” Katakanlah (wahai Muhammad): “Al-Quran itu, menjadi (cahaya) petunjuk serta penawar bagi orang-orang yang beriman; dan sebaliknya orang-orang yang tidak beriman, (Al-Quran itu) menjadi sebagai satu penyakit yang menyumbat telinga mereka (bukan penawar); dan ia juga merupakan gelap-gelita yang menimpa (pandangan) mereka (bukan cahaya yang menerangi). Mereka itu – (dengan perbuatan melarikan diri dari ajaran Al-Quran, tidak ubahnya seperti) orang-orang yang diseru dari tempat yang jauh (masakan mereka dapat mendengar dengan betul atau melihat dengan nyata)”.

 

وَلَوْ جَعَلْنَاهُ قُرْآنًا أَعْجَمِيًّا

Kalau sekiranya Kami jadikan Quran ini dalam bahasa bukan Arab,

أَعْجَمِيًّا bermaksud ‘bahasa yang selain dari bahasa Arab’. Orang bukan Arab pun dipanggil A’jami. Dari segi bahasa asal, ia bermaksud ‘seseorang yang cakap gagap’. Ia juga bermaksud ‘seseorang yang bodoh – tak tahu bercakap’. Kepada orang Arab, sesiapa yang tidak tahu bercakap bahasa Arab, mereka itu orang yang bodoh – tidak tahu bercakap. Ini adalah kerana mereka bangga sungguh dengan keindahan bahasa Arab mereka. Waktu itu mereka bangsa yang pandai dalam bahasa, pandai buat puisi. Sampaikan, kalau kita suruh mereka buat puisi, mereka terus boleh buat waktu itu juga, tak perlu fikir panjang.

 

 لَقَالُوا لَوْلَا فُصِّلَتْ آيَاتُهُ

nescaya mereka akan kata: “kenapa ayat ini tidak dijelaskan sejelas-jelasnya?”; 

Kalaulah Allah ikut kata mereka, turunkan Quran dalam bahasa selain dari bahasa Arab, mereka akan kata lain pula. Mereka akan kata, kenapa tak turunkan dalam bahasa Arab pula. Kenapa diturunkan dalam bahasa yang mereka tak faham?

Maknanya, semuanya salah pada mata mereka. Serba tak kena kepada mereka kerana mereka memang tak suka. Itu semua adalah alasan mereka sahaja. Apabila manusia itu tidak suka, tidak mahu terima, mereka akan memberi berbagai-bagai alasan. Kadang-kadang alasan yang kita tak pernah dengar pun ada. Kadang-kadang alasan yang kita tak sangka pun mereka boleh terfikir dalam kepala otak mereka.

فُصِّلَتْ iaitu nama surah ini bermaksud ‘diterangkan sejelas-jelasnya’. Tujuan diturunkan dalam bahasa Arab adalah supaya mereka mudah faham kerana dalam bahasa mereka. Oleh itu, ini juga mengajar kita supaya dalam kita berdakwah, hendaklah kita menggunakan bahasa yang mudah fahami oleh orang yang kita dakwah. Kalau kita berdakwah kepada bangsa Melayu, kita pakailah bahasa Melayu, kalau kepada bangsa Cina, kita pakailah bahasa Cina. Bukan itu sahaja, kita hendaklah menggunakan lenggok bahasa yang mereka mudah faham. Kalau mereka orang kampung, kita gunakan bahasa kampung juga. Jangan kita gunakan bahasa Universiti pula dengan mereka. Yang penting, maklumat sampai kepada mereka.

 

 أَأَعْجَمِيٌّ وَعَرَبِيٌّ

Patutkah Quran dalam bahasa A’jam sedangkan Nabi itu orang Arab?

Patutkah Quran itu diberikan dalam bahasa selain Arab kepada seorang Nabi yang berbangsa Arab dan bercakap Arab? Dan umat pertama baginda pula adalah bangsa Arab? Tentulah tidak patut.

Itulah sebabnya Quran itu diturunkan dalam bahasa Arab yang jelas. Dan memang bahasa Arab itu adalah bahasa yang hebat. Sesuatu makna boleh disampaikan dalam perkataan yang sedikit. Yang tidak ada dalam bahasa selain dari bahasa Arab. Kalau kita tahu sedikit tentang bahasa Arab, kita akan faham apakah yang dimaksudkan dengan keindahan dan kehebatan bahasa Arab itu. Ianya tidak sama dengan bahasa lain. Maka, elok sangatlah kalau kita dapat meluangkan masa untuk mendalami sedikit bahasa Arab itu supaya kita dapat memahami apakah yang hendak disampaikan oleh Allah kepada kita.

 

قُلْ هُوَ لِلَّذِينَ آمَنُوا

Katakanlah: bahawasanya Quran itu untuk orang yang beriman sempurna.

Quran itu diturunkan untuk seluruh manusia, tetapi yang boleh terima adalah mereka yang beriman sempurna sahaja. Iaitu mereka yang nak cari jalan kebenaran. Mungkin mereka tidak beriman lagi, tapi mereka ada keinginan untuk tahu kebenaran. Kalau kita ada iman, Quran itu akan menjadi petunjuk kepada hidayah. Tapi kalau tidak beriman, kita tidak ambil peduli pun. Atau kita ubah-ubah makna ayat Quran itu. Kita pandai-pandai sendiri kata ayat Quran ini makna ini, makna itu, padahal bukan belajar pun, cuma memandai-mandai sahaja. Itu adalah jenis orang yang hendak mencari-cari dalil untuk membenarkan perbuatan mereka. Dalil yang sah tidak ada, tapi mereka akan korek sampaikan kalau yang ada kena sikit-sikit pun, mereka nak pakai juga. Kalau tak jumpa juga, mereka akan pakai hadis yang dhaif atau maudhu’. Kalau tidak ada, mereka akan reka guna akal mereka.

Sebagai contoh, ada sahaja orang-orang yang tidak tahu Quran, menggunakan juga ayat-ayat Quran sebagai hujah mereka. Sebagai contoh, mereka akan menggunakan ayat Quran untuk mengatakan memang dalam Quran ada suruhan supaya zikir dilakukan beramai-ramai. Tapi itu sebenarnya salah kerana mereka tidak faham apakah maksud dan bahasa Arab.

 

هُدًى

sumber petunjuk.

Banyak sumber petunjuk terdapat dalam Quran. Asalkan kita mahu mempelajarinya. Ianya akan menjadi petunjuk kepada kita untuk kehidupan dunia dan akhirat. Cara bagaimana menjalani kehidupan di dunia supaya kita akan selamat di akhirat.

Mungkin ada yang bertanya, kenapa kita orang Melayu tapi Qur’an dalam bahasa Arab? Jawapnya adalah kerana Qur’an ini bahasanya mudah. Kalau terjemah boleh difahami dengam mudah. Allah pilih bahasa Arab kerana ianya adalah bahasa terkaya dan terbaik. Ianya terbaik sampai boleh dilagukan kerana memang ianya adalah bahasa yang sedap didengari. Ini kelebihan bahasa Arab yang tidak ada dalam bahasa lain. Jadi, Allah pilih satu bahasa sahaja kerana takkan nak turun Qur’an dalam 200 bahasa?

 

وَشِفَاءٌ

dan ubat bagi segala penyakit; 

Syirik adalah satu penyakit. Dengan kita belajar tafsir Quran, kita akan faham tentang masalah syirik dan apakah yang dimaksudkan syirik itu. Ayat-ayat Quran membuka pintu ilmu dan memberitahu kepada kita manakah fahaman-fahaman yang syirik yang dilakukan oleh manusia. Ianya juga akan mengajar kita tentang Allah dan fahaman-fahaman yang betul. Penyakit syirik dapat disembuhkan dengan belajar tafsir Quran. Orang yang masih melakukan syirik walaupun mereka mengaku beragama Islam adalah kerana mereka tidak belajar tafsir Quran.

Ada juga jenis penyakit yang dalam bentuk hati seperti riak,ujub, takabbur, angkuh, cemburu buta, busuk hati dan lain-lain lagi. Sesiapa yang belajar tafsir Quran, penyakit hatinya akan terubat. Bukannya dengan mengamalkan selawat syifa’ yang banyak diamalkan oleh masyarakat kita. Kerana dalam selawat itu dikatakan bahawa Nabi akan menyembuhkan penyakit hati. Bolehkah begitu? Adakah Nabi mempunyai kelebihan itu? Tentulah tidak, kerana Nabi pun manusia. Hanya Allah sahaja yang boleh mengubati penyakit hati kita. Kalau amalkan selawat itu adalah syirik kerana meminta berkat kepada Nabi. Mereka berharap semoga mereka mendapat keberkatan dari Nabi. Ini adalah satu fahaman yang salah kerana Nabi tidak boleh beri berkat kepada kita. Memang Nabi ada berkat, tapi Nabi tidak boleh beri berkat kepada kita. Sebagai contoh, kalau bapa kita dapat pangkat dato’ dari dua negeri, adakah boleh dia beri satu dato’ kepada kita? Tentulah tidak boleh. Kerana pangkat dato’ itu diberikan kepada bapa kita sahaja. Begitulah juga dengan Nabi. Walaupun Nabi itu ada keberkatan, tapi Nabi tidak boleh beri keberkatan itu kepada umatnya. Ini adalah masalah salah faham dengan ‘tabarruk’. Tabarruk memang ada dalam Islam, tapi bukanlah seperti faham masyarakat kita.

Lafaz selawat-selawat yang direka itu tidak ada dalam hadis mana-mana pun. Yang mencipta selawat itu adalah manusia, bukan lafaz dari Nabi. Sedangkan Nabi sendiri sudah ajar kepada umatnya lafaz-lafaz selawat yang betul. Tidak perlu kita hendak mencipta dan amalkan selawat yang selain darinya. Yang betulnya, untuk menghilangkan penyakit hati adalah dengan belajar tafsir Quran. Kalau dulu ada amalkan selawat itu, bertaubatlah kepada Allah. Jangan degil pula. Janganlah kerana ramai orang amalkan, ramai yang berkesan apabila mengamalkannya, kita ingat ianya adalah benar.

Selain daripada selawat Syifa’, satu lagi selawat yang ada unsur Syirik adalah Selawat Tafrijiyyah. Dalam selawat Tafrijiyyah, mengatakan yang Nabi Muhammad boleh menyelesaikan dan merungkaikan segala masalah. Mungkin mereka yang membaca dan mengamalkan bacaan selawat Syifa’ dan Selawat Tafrijiyyah itu tidak tahu bahasa Arab agaknya. Mereka cuma mengikut sahaja apa yang dilakukan oleh orang lain. Mereka sendiri tidak belajar. Kalau ada orang yang nampak alim sahaja, mereka terus terima tanpa usul periksa.

Kita juga dalam selawat, selalu menambah ‘Sayyidina’ – yang bermakna ‘Penghulu kami’. Tidak ada dalam hadis sahih mana-mana yang kata sahabat Nabi pernah panggil Nabi dengan panggilan ‘Sayyidina’. Maka, kalau kita pakai gelaran itu kepada Nabi, adalah tidak tepat. Baginda adalah penghulu segala rasul. Bukan seorang penghulu kepada kita. Sedangkan Nabi pernah melarang umatnya memanggil baginda dengan gelaran ‘sayyid’.

Abdullah bin al-Syikhir radhiallahu ‘anh berkata: Aku bersama rombongan Bani ‘Amir telah berkunjung menemui Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. (Ketika bertemu) kami berkata: “Anda sayyidina.” Namun Rasulullah terus membalas: “al-Sayyid ialah Allah Tabaraka wa Ta’ala.” Lalu kami berkata: “Namun anda adalah yang paling utama dan paling mulia di antara kami!” Rasulullah menjawab: “Berkatalah dengan apa yang kalian katakan atau sebahagian dari apa yang kalian katakan, akan tetapi janganlah kalian terpengaruh dengan syaitan.” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 4172/4806]

Bahaya kita mengamalkan selawat kalau kita salah faham maksudnya. Kerana lafaz-lafaz selawat telah diajar oleh Nabi dan telah disebut dalam hadis-hadis yang sahih. Pakailah lafaz-lafaz yang telah diajar Nabi. Itulah yang terbaik kerana ianya diajar sendiri oleh Nabi. Adakah kurang ajaran dari Nabi sampai kita kena pakai ajaran dari orang lain?

Yang sebetulnya, itu adalah pujian yang berlebihan terhadap Nabi, sedangkan Nabi sudah menegur kita untuk berhati-hati dalam perkara ini:

Anas bin Malik radhiallahu ‘anh berkata, bahawa seorang lelaki berkata: “Wahai Muhammad! Wahai Sayyidina dan wahai putera sayyidana! Orang yang terbaik di antara kami dan putera orang yang terbaik di antara kami! Maka Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Wahai manusia! Aku mengingatkankan kalian untuk bertaqwa, janganlah sehingga kalian terikut-ikut dengan syaitan. Saya Muhammad bin Abdillah, hamba Allah dan Rasul-Nya. Demi Allah! Aku tidak menyukai kalian mengangkatku lebih tinggi daripada kedudukan yang telah Allah berikan kepadaku.” [Musnad Ahmad, no: 12551 dan sanadnya dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arna’uth dan rakan-rakannya]

Satu lagi perkara yang hendak disentuh di sini, tentang bilakah selawat itu dibaca. Sebenarnya, bila-bila masa sahaja kita boleh selawat. Tanpa perlu apa-apa sebab. Tapi, orang kita selalunya mengamalkan selawat dalam waktu-waktu tertentu. Seperti satu amalan khas pula. Antaranya, selalu kita diajar, apabila nak makan ubat, selawat tiga kali. Datang dari mana amalan itu? Nabi tak pernah ajar. Ditakuti ada dalam hati kita satu qasad yang mengatakan, Nabi ada terlibat dalam memberi kesembuhan kepada kita. Kalau ada qasad yang sebegitu, itu sudah masuk ke lembah kesyirikan – kerana yang menyembuhkan kita adalah Allah. Kalau kita kata ada makhluk lain yang boleh menyebabkan kita sembuh, itu adalah satu kesyirikan. Baca bismillah lah sahaja semasa makan ubat sambil mengharap Allah akan sembuhkan kita. Kerana yang menyembuhkan penyakit kita adalah Allah.

Begitu juga, tak payah kita nak baca selawat dalam keadaan-keadaan tertentu, sebagai contoh, semasa basuh sayur, basuh baju, semasa bersalam atau sebagainya. Ditakuti kita sampai kepada tahap ‘memuja’ Nabi Muhammad pula. Kita tidak boleh puja sesuatu makhluk bersama dengan Allah, walaupun ianya adalah Nabi Muhammad. Selawat itu memang dianjurkan bila-bila masa sahaja, tapi apabila ianya dikhususkan untuk sesuatu perbuatan, ianya sudah termasuk dalam perbuatan bidaah dan menambah dalam hal agama.

Satu lagi, ulama juga mengambil dalil dari ayat ini bahawa ayat-ayat Quran juga boleh digunakan sebagai ruqyah sebagai usaha untuk menyembuhkan penyakit fizikal manusia. Tapi kena berhati-hati dalam perkara ini jangan sampai kita tersalah langkah. Sebagai contoh, kita ambil perumpamaan satu pistol. Pistol itu adalah satu alat yang merbahaya dan boleh jadi bermanfaat. Kalau seseorang pandai menggunanya, maka ianya boleh jadi sesuatu yang bermanfaat. Boleh digunakan untuk menjaga keselamatan, bunuh musuh dan sebagainya. Tapi kalau seseorang tidak pandai menggunakannya, ianya boleh mengambil nyawa orang yang tidak bersalah. Begitu juga dengan ayat-ayat Quran. Ianya adalah sesuatu yang mempunyai kuasa. Tapi kalau orang yang tidak tahu menggunakannya, tapi dia mengamalkannya juga, dia mungkin boleh tersalah guna. Ianya juga boleh menyebabkan dia jatuh berdosa kalau dia tidak faham apa yang dia lakukan. Sebagai contoh, kalau dia gunakan ayat Quran dan orang yang diruqyah itu sembuh, mungkin dia terfikir dalam hatinya bahawa ayat Quran itulah yang menyembuhkan orang itu. Maka, itu adalah satu fahaman yang salah dan syirik. Kerana yang menyembuhkan itu adalah Allah.

Dan juga kita lihat banyak manusia yang menjalankan kerja-kerja penyembuhan ini, menggunakan ayat-ayat Quran sebagai ‘tangkal’. Mereka akan baca dan tiup kepada pesakit dengan niat untuk menyembuhkan penyakit itu. Mereka tak faham pun apa yang mereka baca itu. Ini dah jadi macam Harry Porter yang menggunakan bacaan ayat-ayat tertentu untuk buat sihir sahaja. Ingatlah bahawa ayat Quran itu dijadikan sebagai pedoman untuk kita, bukan sebagai ‘azimat’ untuk kita.

Bagaimana dengan hadis-hadis yang menunjukkan sahabat menggunakan Fatihah sebagai ruqyah? Kalau sudah ada dalil yang sahih yang mengatakan Fatihah itu sebagai ruqyah, maka ianya boleh diterima kerana Nabi sendiri telah mengiyakannya. Tapi tidaklah kita boleh kata ayat-ayat yang lain pun begitu juga.

Cara yang selamat adalah: kita baca ayat Quran sebagai satu amalan ibadat. Kemudian kita baca doa. Kerana doa lebih makbul selepas kita melakukan satu-satu ibadat. Maka, baca Quran sebagai ibadat dan selepas itu kita doa semoga Allah sembuhkan orang yang sakit itu. Ini lebih selamat dari kita melakukan perkara yang tidak pasti.

Oleh itu, kita rosak bersetuju dengan sesetengah individu yang mengeluarkan senarai ayat-ayat tertentu boleh menyembuhkan penyakit ini dan itu. Atau sesuatu ayat digunakan untuk tujuan mendapatkan sesuatu. Kita telah sentuh isu itu di sini. Allahu a’lam.

 

 وَالَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ

dan orang-orang yang tidak beriman,

Sebelum ini telah disebut tentang orang-orang yang beriman dan bagaimana mereka boleh mendapat manfaat dengan belajar tafsir Quran dan mengamalkannya. Mereka akan mendapat banyak kebaikan dan dapat menyembuhkan segala jenis penyakit.

Sekarang dikatakan pula tentang orang-orang yang tidak beriman dengan akidah tauhid. Mereka tidak mahu menerima ajaran Quran. Mereka tidak mahu pun belajar tafsir untuk mengetahui apakah maksud ayat-ayat Quran itu. Mereka langsung tidak mendapat manfaat dari pembacaan ayat-ayat Quran itu. Walaupun mungkin mereka sendiri selalu membaca Quran – tapi jikalau mereka tidak faham, mereka tidak akan tahu apakah yang hendak disampaikan oleh Allah.

 

 فِي آذَانِهِمْ وَقْرٌ

dalam telinga mereka ada sumbatan. 

Mereka tidak dapat mendengar penjelasan yang banyak sekali ada dalam Quran itu. Mereka mungkin baca sendiri ayat-ayat Quran itu hari-hari, tapi mereka tidak faham apakah yang mereka baca kerana mereka tidak belajar. Oleh itu, mereka ada buat kesilapan yang mereka sendiri tidak sangka mereka sedang lakukan. Kalau diberikan nasihat kepada mereka, mereka pun tidak dapat mendengar. Kerana mereka seperti pekak. Ada telinga, tapi tidak digunakan. Macam kita bercakap dengan orang, tapi kita boleh lihat pada mukanya, dia tidak faham apa yang kita katakan. Macam dia tidak dengar apa kita kata. Itulah perumpamaan yang Allah berikan, seperti mereka ada sumbatan dalam telinga mereka yang menghalang mereka dari mendengar. Ini bukan sumbatan fizikal, kalau korek telinga mereka, tak keluar sumbatan itu. Ini adalah pemahaman mereka yang kurang kerana dalam hati mereka, mereka memang tidak mahu terima.

 

 وَهُوَ عَلَيْهِمْ عَمًى

dan mereka buta terhadap Quran itu.

Tak faham langsung apabila dibacakan ayat Quran kepada mereka. Mereka tidak nampak kebenaran yang ditunjukkan oleh Allah dalam kalamNya itu. Walaupun berkali-kali mereka diberitahu tentang ayat Quran itu tapi kalau hati menolak, mereka tidak nampak. Allah sudah tarik kebolehan mereka untuk menerima hidayah kerana mereka sudah sampai kepada tahap kufur peringkat keempat.

 

أُولَٰئِكَ  يُنَادَوْنَ مِنْ مَكَانٍ بَعِيدٍ

Orang-orang yang bersifat seperti ini seperti seorang yang diseru dari tempat yang jauh sekali.

Macam kita panggil orang yang jauh. Dia dengar, tapi tak dengar dengan jelas dan tidak tahu apakah yang disebut. Dia tak perasan yang kita sedang panggil dia. Dia dengar sayup-sayup sahaja suara kita. Sudahlah telinga mereka ada sumbatan, tak nampak dengan jelas pula. Maka, kalau kita panggil orang yang macam itu, mereka tak tahu kita panggil mereka. Walaupun mereka di hadapan kita, mereka tidak mendengar dan melihat. Mereka tidak dapat faham.

Ayat ini juga sebagai isyarat bahawa mereka itu telah jauh tersasar dari agama. Jauh sangat sampai susah untuk kembali. Orang yang seperti ini, bukan tidak boleh kembali, tapi kena usaha lebih sikit dengan mereka. Kena berusaha bersungguh-sungguh dan berkali-kali kena dakwah kepada mereka, baru mereka boleh terima – itu pun kalau Allah izinkan.

Kata-kata yang lebih kurang sama telah Allah sebutkan dalam 2:171


 

Ayat 45: Ini adalah satu lagi kesamaran yang asalnya datang dari Yahudi dan mungkin mereka telah ajar kepada Musyrikin Mekah. Mereka kata tak sama cara Qur’an diturunkan dengan cara Taurat yang turun lengkap. Mereka kata, kalau betul Qur’an itu kitab dari Tuhan, mestilah turun terus lengkap macam Taurat itu. Mereka kata, entah-entah sebab Nabi Muhammad keluarkan sikit-sikit itu sebab Nabi Muhammad yang buat sikit-sikit ikut kemampuan dia.

Allah jawap juga hujah dan tohmahan ini sebab bernas juga. Allah tempelak mereka, yang Taurat diturunkan sekaligus pun kamu tidak pakai juga, maka jangan salahkan kitab lah. Kalau sudah degil pun tidak akan terima juga walaupun turun sedikit demi sedikit atau turun lengkap. Memang akan ada yang beriman dan akan ada yang tolak. Quran pun begitu juga, pasti ada yang tolak kerana memang akan ada jenis yang tidak mahu beriman.

وَلَقَد آتَينا موسَى الكِتابَ فَاختُلِفَ فيهِ ۗ وَلَولا كَلِمَةٌ سَبَقَت مِن رَبِّكَ لَقُضِيَ بَينَهُم ۚ وَإِنَّهُم لَفي شَكٍّ مِنهُ مُريبٍ

Sahih International

And We had already given Moses the Scripture, but it came under disagreement. And if not for a word that preceded from your Lord, it would have been concluded between them. And indeed they are, concerning the Qur’an, in disquieting doubt.

Malay

Dan (janganlah engkau merasa kecewa wahai Muhammad tentang keingkaran kaummu, kerana) demi sesungguhnya! Kami telah memberi kepada Nabi Musa Kitab Taurat, lalu berlaku pertentangan mengenainya. Dan kalaulah tidak kerana telah terdahulu kalimah ketetapan dari Tuhanmu (untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa yang tertentu), tentulah dijatuhkan hukuman azab dengan serta merta kepada mereka. Dan sesungguhnya mereka (kaummu) masih menaruh syak yang meragukan tentang (kebenaran Al-Quran) itu.

 

وَلَقَدْ آتَيْنَا مُوسَى الْكِتَابَ

Dan sesungguhnya Kami telah wahyukan kepada Nabi Musa kitab, 

Iaitu Kitab Taurat telah diberikan kepada Nabi Musa a.s. Ia telah diturunkan kepada Nabi Musa lengkap bertulis.

 

 فَاخْتُلِفَ فِيهِ

Mereka pun berselisih tentangnya;

Bani Israil yang telah diberikan dengan Taurat itu pun tidak beriman dengan Taurat itu. Bukan dengan Quran sahaja manusia berselisih, Taurat dulu pun mereka selisih juga. Perkara yang sama terjadi kepada Nabi Muhammad sepertimana yang terjadi kepada Nabi Musa dan Nabi-nabi lain pun. Akan ada sahaja yang menentang kebenaran. Tidaklah perlu hairan. Penolakan manusia dengan wahyu Allah itu bukanlah kerana ianya diturunkan sedikit demi sedikit atau sekali gus. Itu semua alasan sahaja.

Ayat ini sekali lagi hendak memujuk Nabi dan para sahabat yang menjalankan dakwah. Mereka diberitahu, bukan sekarang sahaja mereka kena bantah, umat-umat yang dahulu pun telah membantah Rasul dan Nabi mereka.

 

 وَلَوْلَا كَلِمَةٌ سَبَقَتْ مِنْ رَبِّكَ

Kalau tidaklah kerana suatu kalimah yang telah terdahulu daripada Tuhan kamu; 

Ini ada satu soalan lagi. Mereka yang menentang wahyu itu berhujah: azab tak datang pun kepada mereka walaupun mereka dikatakan menolak wahyu itu. Sedangkan berkali-kali Nabi Muhammad mengatakan bahawa kalau tolak, Allah boleh kenakan azab di dunia lagi.

Allah jawab dalam ayat ini: kalau bukan kerana Allah telah tetapkan mereka akan kena azab pada waktu tertentu, tentu mereka akan kena azab terus waktu itu juga. Sebenarnya mereka tak terus kena azab kerana Allah dah set bila masa mereka akan kena azab. Jangan sangka tidak kena langsung sebab tak kena kena lagi.

Apakah ‘kalimah’ itu? Itulah janji Allah kepada DiriNya untuk melewat-lewatkan azab. Iaitu Allah akan menangguhkan azab sampai kita mati, baru Dia azab kita.

 

 لَقُضِيَ بَيْنَهُمْ

tentu Allah akan beri keputusan kepada mereka.

Semasa dalam dunia, Allah akan beri kita buat apa yang kita nak buat. Allah tak terus turunkan azab kalau kita buat syirik, kalau kita buat dosa. Walaupun Allah mampu untuk beri azab sekarang pun. Tapi Allah biarkan sahaja orang kafir dalam kesesatan. Tapi tunggulah nanti di akhirat kelak. Kadang-kadang orang yang buat syirik dan buat dosa, mereka sangka mereka tak salah. Mereka sangka, kalau mereka buat salah, tentulah Allah dah beri azab kepada mereka. Jatuh sakitkah, kena panah petirkah dan sebagainya. Tapi Allah tak buat begitu, kerana Allah dah janji kepada DiriNya yang Dia akan lewatkan azab itu.

Oleh kerana mereka tak kena azab semasa di dunia, mereka sangka mereka dalam kebenaran. Itu adalah satu pemahaman yang amat salah. Oleh itu, kita fahamlah kenapa ramai sangat yang buat syirik tapi tak takut apa. Kerana mereka ingat mereka tak kena apa-apa bala, mereka sangka Allah redha dengan perbuatan mereka.

Pemahaman kedua, ayat ini memberitahu kepada kita bahawa di akhirat kelak, Allah akan buat penghakiman antara yang salah dan yang benar. Dalam dunia, mereka kata kita yang salah. Mereka beri hujah macam-macam asalkan mereka tidak perlu terima ajaran Quran itu. Mereka beri hujah akal, hujah tok guru mereka dan macam-macam lagi hujah batil dari mereka. Kadang-kadang mereka lagi pandai berhujah dari kita. Mereka pun selalunya lagi banyak pengikut yang mengiringi mereka. Pendapat mereka adalah pendapat popular, kerana memang ramai yang pegang fahaman macam mereka juga. Yang betul-betul beriman bukannya ramai. Kita kena ingat, Islam ini bukanlah agama demokrasi – kalau dalam demokrasi, tentu yang ramai akan menang. Tapi Islam tidak begitu. Kalau seluruh dunia umat buat perkara salah, tidaklah perkara salah itu jadi benar. Yang benar tetap benar dan yang salah tetap salah.

Jadi, dari luarannya, mereka nampak macam berada di pihak yang benar. Tapi, siapakah yang benar sebenar-benarnya? Allah akan beritahu kelak di akhirat. Tapi, waktu itu sudah terlambat. Kalau waktu itu baru mereka nampak mereka di pihak yang salah, mereka tidak ada peluang untuk kembali ke dunia untuk memperbetulkan keadaan lagi. Mereka kena terima hukuman yang akan diberikan kepada mereka.

 

وَإِنَّهُمْ لَفِي شَكٍّ مِنْهُ

Sesungguhnya mereka duduk dalam syak wasangka tentangnya 

Iaitu mereka syak wasangka dengan ajakan kepada mengesakan Allah sahaja. Mereka tolak untuk ibadat hanya kepada Allah. Oleh itu, jangan kongsi ibadat kepada Allah dengan ibadat kepada sesiapa pun walau dengan Nabi Muhammad pun.

Tafsir kedua: Mereka tanya-tanya tentang azab yang tak turun itu pun, mereka sebenarnya dalam ragu-ragu. Dalam hati mereka takut juga kalau-kalau mereka dikenakan dengan azab. Kerana mereka dah dengar kisah kaum terdahulu yang telah kena azab dan mereka pun dah ada rasa yang mereka pun akan kena azab juga. Mereka tidak pernah yakin yang mereka tidak akan kena azab itu.

 

مُرِيبٍ

menjadikan orang lain pun syak juga.

Sudahlah mereka tak percaya kepada tauhid, mereka pun buat orang lain syak dan tak percaya juga. Mereka akan beri hujah mereka yang batil, sampaikan orang yang tidak ada ilmu pun akan percaya kepada mereka juga. Dan memang ramai dalam negara ini dan masyarakat kita yang tidak berilmu. Perkara agama ini hanya ikut-ikutan sahaja kepada mereka. Mereka akan terima sahaja apa yang disampaikan kepada mereka kerana yang menyampaikannya orang besar, nampak alim, nampak banyak pengikut dan sebagainya. Oleh kerana ramai ‘agamawan’ di negara ini yang berpegang bahawa bidaah itu boleh dibuat, maka ramailah dari masyarakat yang setuju dengan mereka. Sampai mereka pun syak tentang agama.


 

Ayat 46:

مَن عَمِلَ صالِحًا فَلِنَفسِهِ ۖ وَمَن أَساءَ فَعَلَيها ۗ وَما رَبُّكَ بِظَلّامٍ لِلعَبيدِ

Sahih International

Whoever does righteousness – it is for his [own] soul; and whoever does evil [does so] against it. And your Lord is not ever unjust to [His] servants.

Malay

Sesiapa yang mengerjakan amal soleh maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang berbuat kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya.

 

مَنْ عَمِلَ صَالِحًا

Sesiapa yang buat amal soleh

Ingatlah bahawa amal soleh adalah amal ibadat yang diajar oleh Nabi. Iaitu ada contoh bagaimana Nabi sendiri ada ajar amalan tersebut. Bukan amal ibadat yang direka oleh manusia. Amal yang direka oleh manusia dinamakan ‘bidaah’. Itu bukan amal soleh, tapi amal bidaah. Amal bidaah tidak diterima, tidak mendapat pahala. Antara yang kita boleh sebut adalah solat Hajat, Majlis Tahlil, Maulidur Rasul, Talqin, Kenduri Arwah dan sebagainya lagi. Banyak sangat amalan bidaah yang dilakukan oleh masyarakat sekarang.

 

فَلِنَفْسِهِ

ianya untuk dirinya sahaja.

Segala faedah dari amal ibadat itu adalah untuk pembuatnya, bukan untuk Allah. Allah tidak memerlukan ibadah kita.

Sesiapa yang buat amal ibadat yang soleh, dia akan mendapat pahala. Tapi kalau amalan itu tidak soleh, tapi amalan bidaah, tidak dapat pahala langsung dari Allah. Bukan sahaja tidak dapat pahala, tapi dia akan dapat dosa pula dari perbuatannya itu.

Ayat ini juga hendak memberitahu, sesiapa yang buat amal ibadat, dia sahaja yang akan dapat pahala itu. Bukan orang lain. Kena buat sendiri amal itu, baru dapat. Tak boleh buat ibadat untuk dikirimkan pahala kepada orang lain. Maknanya, tidak betul perbuatan ‘tahlil arwah’. Majlis Tahlil yang banyak dilakukan oleh masyarakat kita sekarang adalah majlis dimana ramai-ramai akan akan baca Quran, baca zikir dan mereka niatkan supaya pahala dari amalan mereka dalam majlis itu ‘dihadiahkan’ kepada simati. Tapi, kita boleh lihat dalam ayat ini, bahawa sesiapa yang buat amal ibadat yang soleh, pahalanya kepada dirinya sahaja. Tidak ada konsep ‘sedekah pahala’ kepada orang lain. Kalau seseorang itu sudah mati, dia tidak boleh buat amal ibadat lagi, maka dia tidak dapat pahala lagi dah. Ada pengecualian yang telah disebut oleh Nabi – seperti sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan doa anak kepada ibubapanya. Itu sahaja.

Untuk lebih mudah faham, katakanlah esok kita ada peperiksaan. Takkan kita kata kepada kawan kita: “tidak mengapa, malam ini aku akan baca buku, esok kau boleh jawap soalan punya.” Kalau kita hendak faham dan senang nak jawap soalan peperiksaan, kita kena baca sendirilah buku itu, bukan kawan kita yang bacakan.

Paling menyedihkan, manusia ramai yang kononnya ‘pandai agama’, menjadikan perbuatan sedekah pahala ini sebagai sumber pendapatan pula. Mereka akan beri borang dan edarkan kepada masyarakat terutama bulan Ramadhan. Mereka akan tawarkan khidmat untuk baca Quran yang akan disedekahkan kepada simati bagi pihak kita. Kita cuma perlu bayar wang sahaja kepada mereka. Paling kurang yang saya tengok sekarang, RM10 untuk satu kepala. Modalnya, cuma air liur dan masa sahaja. Kalaulah agama begitu mudah, maka orang-orang kaya, tidak perlu buat amal ibadat semasa mereka hidup. Selepas mereka mati, mereka wasiatkan sahaja kepada anak-anak mereka untuk upah orang untuk baca Quran untuk diri mereka. Adakah agama begitu? Kasihan kepada mereka yang miskin, tentunya tempat mereka di neraka kerana mereka tidak ada wang untuk upah orang sedekah pahala kepada mereka. Teruk sekali mereka meletakkan agama Islam ini kepada mata masyarakat – hanya orang kaya sahaja yang boleh lepas, yang miskin, pandai-pandailah buat sendiri.

Begitu juga mereka yang setiap kali dengar ada orang yang baru mati, mereka akan kata: “al-fatihah”. Kerana mereka nak sedekah pahala kepada orang mati itu. Entah dari mana mereka dapat ajaran itu, kita pun tidak pasti. Tapi ianya tidak pernah diajar oleh Nabi, tidak pernah diajar dan dibuat oleh para sahabat. Berhentilah dari buat amalan-amalan yang bukan dari Nabi. Nanti akan ada sahaja benda-benda pelik yang manusia akan reka dan sandarkan kepada agama, lalu apa akan jadi kepada agama kita ini?

 

وَمَنْ أَسَاءَ فَعَلَيْهَا

Sesiapa buat dosa, untuk dirinya sahaja;

Kalau sesiapa yang buat dosa, dia sendirilah yang tanggung. Bukanlah kita buat dosa, orang lain yang tanggung.

Tapi, ada pengecualian juga dalam hal ini. Kita akan tanggung dosa orang lain, jikalau kita yang ajar dia buat dosa itu. Sebagai contoh, kita ajar dia main judi. Setiap kali dia berjudi, orang itu akan dapat dosa berjudi, dan orang yang ajar dia berjudi itu pun akan dapat dosa. Maka, walaupun dia sudah mati, tapi dosanya akan bertambah-tambah selagi orang yang diajarnya itu masih lagi melakukan dosa itu.

Bagaimana pula kalau kita ajar seseorang untuk buat amalan bidaah? Orang yang buat amalan bidaah itu akan dapat dosa, dan kita yang ajar dia pun akan dapat dosa juga.

Begitu juga, kalau kita dah ajar anak kita untuk buat baik, contohnya suruh dia pakai tudung, tapi dia tak pakai juga, kita tak tanggung dosa dia. Kerana kita dah suruh dia pakai tudung. Dia sahaja yang akan tanggung dosa itu. Lainlah kalau kita yang suruh dia buka tudung, itu memang kita yang akan tanggung bersama dengan dia.

 

وَمَا رَبُّكَ بِظَلَّامٍ لِلْعَبِيدِ

Dan tidaklah Tuhan kamu itu ingin menzalimi hamba-hambaNya.

Apa sahaja hukuman yang Allah berikan kepada seseorang makhluk, orang itu memang patut terima. Allah tidak akan menzalimi hambaNya. Kalau orang itu tidak layak terima azab itu, tapi Allah azab juga, tentulah Allah zalim kalau begitu.

Allah juga tidak menghukum seseorang melainkan setelah diberikan dakwah kepada mereka. Telah sampai kepada mereka rasul, Nabi atau pendakwah yang mengajarkan kepada mereka apa yang baik dan apa yang buruk. Jadi, dari sini, ada manusia yang duduk di pendalaman dunia ini yang tidak pernah sampai dakwah kepada mereka, Allah tidak mengazab mereka.

Maka, jangan salahkan Allah. Allah telah berikan ajaran kepada manusia. Manusia sahaja yang tak mahu ikut. Allah azab pun bukan kerana Allah itu zalim. Sikit pun Allah tidak ada zalim. Walaupun azab itu bunyi berat sungguh. Sebab Allah dah bagi segala dalil dan nak ubah pun senang sahaja sebenarnya, bukan Allah suruh buat kerja susah. Kalau kita belajar agama ini dengan saksama, kita akan lihat bahawa agama Islam ini mudah sebenarnya, tidak payah. Tidaklah agama ini suruh buat benda yang tidak patut-patut.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan:

Maulana Hadi

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

Abdul Nasir Jangda

Tafsir Ibnu Kathir

Tafsir Al-Azhar Dr. Hamka

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 041: Fussilat and tagged . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s