Tafsir Surah Fussilat Ayat 39 – 43 (Mengubah tafsir Qur’an)

Ayat 39: Ini adalah bahagian kedua dari surah Fussilat ini. Ini adalah Dalil Aqli kepada Qudrat Allah.

وَمِن ءآيٰتِهِ أَنَّكَ تَرَى الأَرضَ خٰشِعَةً فَإِذا أَنزَلنا عَلَيهَا الماءَ اهتَزَّت وَرَبَت ۚ إِنَّ الَّذي أَحياها لَمُحيِي المَوتىٰ ۚ إِنَّهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Sahih International

And of His signs is that you see the earth stilled, but when We send down upon it rain, it quivers and grows. Indeed, He who has given it life is the Giver of Life to the dead. Indeed, He is over all things competent.

Malay

Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya, engkau melihat bumi kosong sepi (dalam keadaan kering dan tandus), maka apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya serta suburlah tanamannya. Sesungguhnya Allah yang menghidupkannya sudah tentu berkuasa menghidupkan makhluk-makhluk yang telah mati; sesungguhnya Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

 

وَمِنْ ءآيٰتِهِ

Dan diantara dalil bukti lain,

Ada lagi tanda-tanda dalam alam yang boleh menunjukkan kepada kita tentang kewujudan dan kemuliaan Allah. Allah beri satu persatu bukti kepada kita. Supaya kita tidak ada alasan lagi untuk keliru. Kita kenalah lihat tanda-tanda itu.

 

أَنَّكَ تَرَى الْأَرْضَ خٰشِعَةً

Kamu boleh tengok bumi yang sudah gersang;

Iaitu bumi yang kering kontang kerana kemarau. Senyap tidak buat apa-apa, tidak jadi apa-apa. Macam orang yang ‘khusyuk’, duduk diam, lemah dan tunduk sahaja di hadapan Allah dalam solat.

 

فَإِذَا أَنْزَلْنَا عَلَيْهَا الْمَاءَ

Maka apabila Kami turunkan air ke atasnya

Pernah anda melihat bagaimana keadaan tumbuh-tumbuhan dalam musim kemarau? Semuanya layu dan lesu. Nampak pudar sahaja. Tapi lihatlah apabila Allah turunkan air hujan ke tanah yang gersang itu. Perubahan yang ketara akan berlaku.

 

اهْتَزَّتْ

bergerak-gerak tumbuh;

Bumi yang gersang itu tumbuh apabila Allah berikan air hujan kepada tanah itu. Kadang-kadang tidak banyak pun hujan yang turun. Kalau turun sepuluh minit pun dah cukup dah. Kita boleh lihat bezanya dengan keadaan sebelum itu.

Allah kata bumi itu atau tanaman itu bergerak-gerak. Memang tidak nampak dengan mata kasar kita, tapi kita yang selalu melihat rancangan tv, boleh banyangkan bagaimana tanaman itu sebenarnya bergerak sikit-sikit.

 

وَرَبَتْ

dan subur

Apabila sudah ada air, tanaman itu pun bergerak, mula menyerap air dari tanah dan bergerak subur.

 

إِنَّ الَّذِي أَحْيَاهَا

Sesungguhnya Dzat yang menghidupkan bumi yang kering tadi

Allah menunjukkan bagaimana Allah boleh menghidupkan sesuatu yang mati. Dia beri contoh bumi yang ‘mati’ boleh dihidupkan.

 

لَمُحْيِي الْمَوْتَىٰ

tentulah boleh hidupkan yang sudah mati.

Dengan satu jenis air sahaja, semua jenis tumbuhan boleh hidup. Allah menunjukkan contoh bagaimana Allah boleh menghidupkan tanah yang mati. Kalau Allah boleh menghidupkan tanah itu, tidakkah Allah juga boleh menghidupkan kamu kembali selepas kamu mati?

Jadi kenapa kamu hairan sangat kalau kamu akan hidup sesudah mati nanti? Orang Musyrikin Mekah tidak dapat menerima yang mereka akan hidup setelah mati nanti, dan kerana itu mereka menentang ajaran tauhid dari Nabi Muhammad.

 

إِنَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Sesungguhnya Allah Taala keatas segala sesuatu Maha Berkuasa sungguh

Ini adalah adalah Jumlah Ta’liliyah – Allah boleh buat apa sahaja yang Dia hendak kerana Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dalam ayat ini, Allah memberitahu bagaimana Dia yang hidupkan tanah yang mati dengan air.

Sebenarnya, Allah tidak perlukan pun air itu. Itu hanya sebagai asbab sahaja. Allah boleh hidupkan dengan sendiri pun boleh. Allah boleh buat apa-apa sahaja yang Dia hendak. Bukan tentang tumbuhan sahaja tapi dalam segala hal. Termasuk memasukkan mereka ke dalam neraka atau syurga.


 

Ayat 40: Takhwif Ukhrawi. Ini adalah tentang mereka yang melakukan ilhad. Ilhad bermaksud takwil ayat Qur’an dengan makna yang salah.

Sebagai contoh, ada yang kata ayat Qur’an ada ‘khadam’, maka mereka reka amalan-amalan untuk panggil khadam-khadam itu. Itu adalah bohong kerana tidak ada dalil langsung tentangnya. Mereka adalah contoh orang yang menggunakan akal sahaja untuk sampai kepada sesuatu kefahaman. Ramai yang jenis tak mengaji yang percaya kepada benda-benda sebegini. Ada lagi yang takwil Qur’an ikut nafsu mereka sampai ada jadi syirik.

Ada yang kerana tidak belajar dengan betul, mereka salah faham tentang sesuatu ayat. Sebagai contoh, tentang ayat ‘wasilah’. Memang ada ayat wasilah dalam Qur’an dan dalam kitab-kitab tafsir kata, wasilah itu adalah dalam bentuk ibadat.

Tetapi ada pula guru yang sesat yang mengatakan wasilah itu adalah ‘wali’. Maka ramailah yang jahil yang menggunakan wali yang sudah mati sebagai wasilah mereka dalam ibadat dan dalam doa. Ini amat menyimpang dari makna asal. Ini adalah natijah dari tidak belajar tafsir Qur’an secara menyeluruh tapi tebuk ayat-ayat tertentu sahaja.

Yang lagi teruk adalah mereka yang tahu kebenaran, tapi mereka mengubah pemahaman ayat-ayat Allah. Mereka ambil ayat-ayat Allah, tapi mereka pusingkan maknanya untuk menyokong kehendak nafsu mereka. Mereka ambil hukum dari ayat Allah, tapi mereka ubah ikut kefahaman mereka.

Terdapat beberapa cara untuk menetapkan hukum:

1. Ubah hukum Allah. Contohnya, pengharaman daging babi. Ada yang kata dulu tidak boleh makan babi kerana daging itu kotor, ada ulat yang tidak boleh dibunuh, tapi sekarang mereka kata dah boleh makan pula sebab kita sudah tahu bagaimana nak membersihkannya, mengeluarkan ulat itu, maka babi sudah boleh dimakan.

Kalau ada yang buat begini, mereka jatuh kufur. Kerana mengubah hukum Allah yang jelas-jelas telah mengharamkan memakan daging babi.

2. Terdapat perbezaan pendapat antara ulama tentang sesuatu ayat. Ada orang yang menggunakan perbezaan pendapat ini untuk memilih pendapat yang salah. Ini adalah dosa.

3. Terdapat ijtihad apabila tiada hukum yang tepat dalam Qur’an dan sunnah. Oleh itu, ada ulama yang mencari jalan penyelesaian dengan menggunakan jalan ijtihad. Ini dibenarkan.

إِنَّ الَّذينَ يُلحِدونَ في ءآيٰتِنا لا يَخفَونَ عَلَينا ۗ أَفَمَن يُلقىٰ فِي النّارِ خَيرٌ أَم مَّن يَأتي ءآمِنًا يَومَ القِيٰمَةِ ۚ اعمَلوا ما شِئتُم ۖ إِنَّهُ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

Sahih International

Indeed, those who inject deviation into Our verses are not concealed from Us. So, is he who is cast into the Fire better or he who comes secure on the Day of Resurrection? Do whatever you will; indeed, He is Seeing of what you do.

Malay

Sebenarnya orang-orang yang menyeleweng dari jalan yang benar mengenai ayat-ayat keterangan Kami, tidak terselindung keadaan mereka dari (pengetahuan) Kami. (Kalau sudah demikian), maka adakah orang yang dihumbankan ke dalam neraka lebih baik, atau orang yang datang dalam keadaan aman dan selamat pada hari kiamat? (Katakanlah kepada orang-orang yang menyeleweng itu): “Buatlah apa yang kamu suka, sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu lakukan (dan akan membalasnya)”.

 

إِنَّ الَّذِينَ يُلْحِدُونَ فِي ءآيٰتِنَا

Sesungguhnya orang yang menyelewengkan ayat-ayat Kami

Perkataan يُلْحِدُونَ berasal dari kata ‘lahad’ seperti liang lahad kubur. Penggali kubur sepatutnya menggali kubur dengan elok, ikut saiz dan ikut bentuk, dan kemudian mereka buat satu ruang lain dalam lubang itu yang dinamakan ‘liang lahad’ dalam bahasa kita.

Jadi, ‘mulhid’ adalah orang yang menyeleweng. Jadi, maksud yang hendak disampaikan dalam ayat ini adalah mereka yang menyelewengkan ayat-ayat Allah.

Maksud ‘menyelewengkan’ ayat-ayat Allah adalah dengan memberi tafsiran yang salah dari yang sepatutnya. Antaranya seleweng ayat tentang tauhid. Ayat-ayat Qur’an mengajar dan mengajak kepada tauhid, tapi ada yang takwil membawa maksud lain. Allah beritahu tidak boleh tawasul, tapi ada ustaz yang mengajar boleh buat tawasul pula. Ini sudah seleweng maksud ayat Qur’an.

Mereka seleweng sampaikan ayat tentang tauhid mereka jadikan ayat mengajak buat syirik. Tafsir itu pula tidak ada dalam kitab-kitab tafsir muktabar. Mereka sahaja yang pandai reka sendiri. Atau mereka ambil pendapat yang salah dan sesat.

 

لَا يَخْفَوْنَ عَلَيْنَا

Tidaklah tersembunyi dari Kami 

Tidak tersembunyi dosa yang mereka lakukan, tidak akan tersembunyi sedikit pun dari Allah. Samada kecil atau besar. Semuanya Allah nampak dan Allah ambil kira. Jangan kita sangka Allah nampak dosa yang besar-besar sahaja, yang kecil pun Allah nampak. Apabila Allah tahu tentang segala sesuatu, ini bermaksud Allah akan hukum mereka nanti sebagai balasan dari perbuatan mereka itu.

 

أَفَمَنْ يُلْقَىٰ فِي النَّارِ خَيْرٌ

Apakah satu orang yang dicampak ke dalam neraka lebih baik,

Bermakna, orang yang menyeleweng ayat Qur’an akan dicampak ke dalam neraka.

Adakah kamu rasa mereka itu telah mendapat kebaikan? Mereka dicampakkan ke dalam neraka kerana mereka itu adalah ‘zindiq’. Apakah maksud ‘zindiq’. Maksud zindiq adalah murtad tapi mereka mendakwa diri mereka muslim. Mereka sangka mereka masih lagi muslim.

Maksudnya, mereka tidak mengatakan mereka nak keluar Islam pun. Mereka sangka mereka itu muslim tapi sebenarnya mereka sudah terkeluar dari Islam tanpa mereka sedari.

 

أَمْ مَّنْ يَأْتِي ءآمِنًا يَوْمَ الْقِيٰمَةِ

atau seorang yang datang kepada Allah dengan tenteram pada hari kiamat?;

Iaitu mereka yang tenang aman kerana mereka tahu mereka tidak melakukan kesalahan semasa di dunia? Mana yang lebih baik? Tentulah yang beriman.

 

اعْمَلُوا مَا شِئْتُمْ

Buatlah apa yang kamu nak buat.

Inilah kata-kata Allah kepada mereka. Buatlah apa yang kamu hendak buat.

Ini bukanlah nak beri kebenaran kepada mereka untuk berbuat sesuka hati mereka. Ini juga bukan suruhan. Ini dinamakan khitab tahdidi – ugutan. Kalau tak mahu dengar juga, maka Allah ugut mereka. Maksudnya ini adalah suruhan dengan ugutan. Sebenarnya bukan maksud ‘suruh’ pun.

Sebagai contoh, seorang ayah suruh anaknya buat kerja rumah. Tapi anak itu buat benda lain. Ayah dia kata: “buatlah apa yang kamu hendak buat.” Bukanlah ayah dia suruh dia buat apa yang dia nak buat sesuka hati dia, tapi ayah dia nak cakap bahawa dia akan kena hukum sekejap lagi. Kalau buat juga, memang akan kena rotan jawapnya.

 

إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Sesungguhnya Dia Maha Melihat terhadap apa yang kamu lakukan. 

Tidak ada had kepada Allah untuk melihat. Allah melihat segalanya. Kita juga boleh melihat, tapi penglihatan kita terhad. Kalau kita dapat merasai Allah melihat setiap perbuatan kita, maka kita tentunya akan berhati-hati dalam setiap perbuatan kita.

Allah bukan nak beritahu yang Dia melihat sahaja. Tapi Dia hendak memberitahu yang Dia akan hukum nanti di atas kesalahan mereka.


 

Ayat 41: Ayat 43 nanti adalah ayat syikayah. Ini adalah muqaddimah kepada ayat syikayah itu. 

Dalam ayat sebelum ini telah disebut mereka yang melakukan ilhad akan dibalas dengan balasan yang buruk. Sekarang diberikan penjelasan yang lebih lagi tentangnya. Siapakah yang buat ilhad itu?

إِنَّ الَّذينَ كَفَروا بِالذِّكرِ لَمّا جاءَهُم ۖ وَإِنَّهُ لَكِتٰبٌ عَزيزٌ

Sahih International

Indeed, those who disbelieve in the message after it has come to them. And indeed, it is a mighty Book.

Malay

Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar terhadap Al-Qur’an ketika sampainya kepada mereka, (akan ditimpa azab seksa yang tidak terperi); sedang Al-Qur’an itu, demi sesungguhnya sebuah Kitab Suci yang tidak dapat ditandingi,

 

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِالذِّكْرِ

Sesungguhnya orang-orang yang engkar kufur dengan Qur’an

Lafaz الذِّكْرِ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ‘Qur’an’;

Kenapakah Qur’an digelar sebagai الذِّكْرِ – peringatan? Kerana Qur’an mengingatkan manusia tentang perkara yang sebenarnya mereka dah tahu. Bukanlah benda baru yang diingatkan kepada mereka. Kita sebenarnya telah tahu tentang Allah, tentang tugas kita dalam dunia ini apabila kita dilahirkan ke dunia ini – Qur’an cuma mengingatkan sahaja. Ianya telah ada dalam fitrah kita.

‘Engkar’ di sini bukan maknanya orang kafir yang kufur dengan Allah, tapi engkar dengan Qur’an. Kadang-kadang orang Islam pun ada yang engkar dengan ayat-ayat Qur’an juga. Itu adalah kerana mereka degil tidak mahu belajar Qur’an. Mereka tidak teringin nak tahu tentang ayat-ayat Allah.

Mereka tidak terasa hendak tahu apakah yang Allah hendak dari mereka. Maka, mereka itu juga dikira ‘engkar’ juga. Masalahnya, apabila mereka tidak belajar dan tidak tahu, mereka akan buat perkara yang salah. Syaitan akan sesatkan mereka kerana apabila mereka tidak tahu tentang Qur’an dan apakah makna ayat-ayat dalam Qur’an itu, mereka tidak tahu pun apa yang syaitan beritahu itu adalah salah. 

 

لَمَّا جَاءَهُمْ

tatkala datang kepada mereka

Mereka tidak engkar dengan ayat-ayat Qur’an apabila ayat-ayat itu mereka baca, atau dibacakan kepada mereka. Tapi apabila dibacakan dan diberitahu pula apakah maksudnya, barulah mereka tolak.

Orang-orang Islam memang sayang kepada Qur’an dan selalu baca Qur’an. Tapi yang selalu terjadi, mereka tolak ‘maksud’ dari ayat-ayat Qur’an itu. Ini adalah kerana ramai yang tidak belajar tafsir Qur’an.

Ayat ini seperti tergantung. Tidak disebutkan apa yang akan terjadi kepada mereka. Ini adalah kerana balasan kepada mereka itu adalah amat berat sekali, sampai tak boleh nak sebut pun. Bagaimana mungkin mereka tidak diberikan dengan azab yang pedih, sedangkan peringatan telah berkali-kali diberikan kepada mereka.

Oleh itu, Allah tidak perlu cakap pun apakah yang akan dikenakan kepada mereka. Kita tahu yang mereka akan dikenakan azab dan mereka akan tahu apabila mereka mendapat azab itu. Dan tentunya azab itu amat teruk dan pedih sekali.

Kemudian Allah teruskan dengan menyebut sifat-sifat Qur’an itu.

 

وَإِنَّهُ لَكِتٰبٌ عَزِيزٌ

Sesungguhnya Qur’an itu suatu kitab yang hebat, tidak ada tandingannya.

Tidak ada sesiapa pun yang dapat membawakan semisal Qur’an itu. Allah telah beri cabaran demi cabaran untuk manusia mendatangkan ayat-ayat yang sama dengan Qur’an tapi tidak dapat dibawa oleh manusia yang hendak menentang Qur’an.

Kalau mereka kata ianya bukan dari Tuhan tapi dari karangan dan tulisan tangan manusia, tentunya mereka pun boleh buat ayat-ayat Qur’an yang seperti itu juga, bukan? Tapi, walaupun Allah telah berikan cabaran itu sudah lebih dari seribu tahun, musuh-musuh Islam masih tidak dapat lagi membuat surah mahu pun ayat yang menyerupai kehebatan Qur’an. Memang ramai yang mencuba, tapi tidak sama langsung.

Kitab Qur’an ini tidak dapat dikalahkan. Ianya akan tetap begitu. Kalau ada yang nak tukar ayat-ayat Qur’an, tidak akan berjaya. Dari dulu sampai sekarang, sama sahaja ayat-ayat itu. Di mana-mana pun sama sahaja. Di Malaysia, di China, sama sahaja. Padahal, ianya dicetak di berbagai-bagai tempat. Bukan ada satu tempat sahaja yang mencetaknya.

Entah berapa ramai yang cuba hendak mengubah ayat Qur’an tapi tidak berjaya. Mereka tidak berjaya kerana kalau ada satu sahaja kesalahan dalam mana-mana ayat Qur’an, ianya akan dapat dikesan oleh mereka yang menghafal ayat-ayat Qur’an.

Qur’an tidak perlu dilindungi kerana Qur’an lah yang memberi perlindungan kepada kita. Kerana Allah sendiri telah berjanji untuk melindungi Qur’an.

Oleh kerana begini hebatnya Qur’an ini, kalau ada yang tidak mahu beriman dan mempelajarinya, itu adalah kerana degil sahaja.


 

Ayat 42: Pihak kafir sentiasa sahaja mencari kesalahan dalam Qur’an. Begitu juga dengan musyrikin Mekah. Apabila pihak musyrik kata: tentulah dalam Qur’an itu ada benda-benda yang tersilap, maka Tuhan jawap tuduhan mereka itu:

لّا يَأتيهِ البٰطِلُ مِن بَينِ يَدَيهِ وَلا مِن خَلفِهِ ۖ تَنزيلٌ مِّن حَكيمٍ حَميدٍ

Sahih International

Falsehood cannot approach it from before it or from behind it; [it is] a revelation from a [Lord who is] Wise and Praiseworthy.

Malay

Yang tidak dapat didatangi sebarang kepalsuan dari mana-mana arah dan seginya; ia diturunkan dari Tuhan Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Terpuji.

 

لَّا يَأْتِيهِ الْبٰطِلُ

Tidak datang kepada Qur’an itu sebarang kata-kata tidak benar

Ini kerana Qur’an itu diturunkan dari Allah, Tuhan semesta alam. Semua ayat-ayat dalam Qur’an itu adalah yang haq belaka, yang benar-benar belaka. Tidak ada ayat-ayat dalam Qur’an itu yang salah, yang tidak sesuai dengan jiwa yang murni.

Qur’an itu juga terpelira dari dimasukkan anasir-anasir atau ayat-ayat yang bukan wahyu.

Orang-orang kafir yang mengkaji Qur’an telah cuba mencari apakah kesilapan yang ada dalam Qur’an. Mereka tak jumpa walau satu pun. Sampaikan orang kafir yang mulanya mencari kesilapan dalam Qur’an, ada yang akhirnya masuk Islam setelah menyedari kehebatan Qur’an.

Antara bukti yang Qur’an itu adalah dari Allah adalah: Qur’an memperkatakan tentang maklumat-maklumat sains yang takkan dapat difahami oleh manusia dahulukala. Semakin manusia maju dalam dunia sains, semakin jelas bahawa apa-apa perkara yang diperkatakan dalam Qur’an yang melibatkan elemen sains, semuanya betul belaka. Kalau ianya dari manusia, ia tidak akan jadi begitu.

 

 

مِنْ بَيْنِ يَدَيْهِ وَلَا مِنْ خَلْفِهِ

dari hadapan dan dan tidak dari belakang pun.

Qur’an itu akan terjaga dari dulu sampai sekarang. Dari semasa Qur’an itu diturunkan dan sampai bila-bila. Tidak akan ada perubahan. Dari mana-mana arah pun. Qur’an tidak boleh dikalahkan, walaupun ada orang yang cuba hendak merosakkannya datang dari berbagai arah – dari hadapan atau dari belakang. Orang Islam tidak perlu mempertahankan Qur’an kerana Qur’an itulah yang mempertahankan kita.

Pemahaman pertama yang kita boleh ambil adalah: syaitan tidak dapat mengganggu Qur’an dengan mengubah ayat-ayatnya – samada dari hadapan atau dari belakang. Dari arah mana pun mereka datang. Apakah maksudnya? Semasa ayat Qur’an ini diturunkan, jin syaitan tidak dapat mengganggu (intercept) penurunan Qur’an itu kerana ianya dibawa Jibrail, sehebat-hebat malaikat. Maka, jin syaitan tidak dapat nak dekati pun rombongan menurunkan Qur’an itu. Jadi, mereka tentu tidak dapat nak merosakkan atau memasukkan apa-apa dalam Qur’an itu. Jadi, Qur’an itu tulen, segalanya dari Allah.

Ini menolak pemahaman orang kafir yang mengatakan ada ayat-ayat Qur’an itu dimasukkan oleh syaitan ke dalam diri Nabi Muhammad SAW seperti buku ‘Satanic Verses’ yang ditulis oleh Salman Rushdie.

Pemahaman kedua: ‘di hadapan’ bermaksud sesuatu yang kita nampak kerana mata kita berada di hadapan. Bermaksud, manusia tidak boleh menukar Qur’an itu secara terang-terangan.

Di ‘belakang’ bermaksud, mengubah Qur’an secara senyap-senyap. Oleh itu, Qur’an tidak dapat diubah dengan cara senyap pun dan juga dengan cara terang-terangan pun tidak boleh. Cara nyata tidak boleh dan cara sembunyi pun tidak boleh.

 

 

تَنْزِيلٌ مِنْ حَكِيمٍ

Diturunkan Qur’an itu daripada yang Maha Bijaksana

Kerana Allah Maha Bijaksana, Dia pastikan semua ayat Qur’an itu tidak tersilap.

Dan maklumat yang disampaikan di dalamnya adalah tepat sekali, tidak ada kesalahan dan kesilapan langsung.

Dan disampaikan dengan cara yang terbaik, kerana Allah Maha Bijaksana. Tentulah Allah tahu bagaimana menyusun Qur’an dan memberi pengajaran kepada hambaNya.

 

حَمِيدٍ

Maha Terpuji.

Dan Allah sentiasa terpuji kerana Dia memiliki sifat-sifat yang amat mulia. Samada ada makhluk puji Allah atau tidak, Allah tetap terpuji.

Jadi, secara ringkasnya, ada empat sifat Qur’an yang telah disebutkan dalam dua ayat ini:

  1. عَزِيزٌ – tiada tandingan
  2. لَا يَأْتِيهِ الْبَاطِلُ – tiada perkara bathil di dalamnya
  3. مِنْ بَيْنِ يَدَيْهِ وَلَا مِنْ خَلْفِهِ – terpelihara dulu, kini dan selamanya
  4. تَنْزِيلٌ مِنْ حَكِيمٍ – ianya dari Allah yang Maha Bijaksana

Allah tekankan dalam ayat ini, bahawa Qur’an itu datang bukan dari orang lain, tapi dari Allah sendiri. Kalau ianya dari Allah, bagaimana kita boleh mengubahnya? Tambahan pula Allah telah berfirman bahawa Allah akan menjaganya. Kalau Allah dah kata begitu, memang tidak ada harapan untuk menukarnya lagi.

Tidak dinafikan ada kesilapan ulama-ulama di dalam kitab-kitab tafsir-tafsir yang sebelum ini. Mereka bukan sengaja tapi tersilap penafsiran. Ini tidak mustahil kerana mereka itu manusia dan manusia memang akan buat kesilapan. Dan mereka telah berusaha bersungguh-sungguh dalam menafsirkan ayat-ayat itu mengikut kefahaman dan ilmu yang mereka ada pada waktu itu.

Maka Tuhan akan hantar orang lain pula untuk memperbetulkan ulama yang tersilap itu. Maka, janganlah hairan kalau ada penafsiran ulama-ulama dahulu yang tidak dipakai. Bukannya kita tolak semua, tapi tidaklah juga kita menerima semua sekali. Ini adalah kerana ada ulama-ulama yang buat kerja untuk meneliti kitab-kitab yang ada.

Antara tafsir yang masyhur adalah Tafsir Jalalyn. Ianya adalah antara kitab tafsir termasyhur dalam dunia sekarang. Ada beberapa kesilapan di dalamnya dan orang-orang kemudian darinya telah memperbetulkan kesilapan itu.

Maknanya, manusia tidak akan terlepas dari tersilap. Yang tak silapnya adalah Qur’an sahaja. Kalau ada tersilap baris sahaja, akan ada orang yang akan perasan dan menegurnya.

Ada juga lagi tafsir-tafsir yang ada salah dalam tafsiran mereka. Begitu juga dengan Tafsir Hamka pun ada silapnya. Ini biasa, dan kerana itu kita kena meneruskan pengajian kita. Begitu jugalah dengan usaha tafsir yang kita sedang lakukan ini. Kita mencuba sedaya upaya untuk memasukkan perkara yang benar, tapi kalau ada tersalah, semoga Allah tunjukkan supaya kita boleh betulkan. Maka jangan berhenti belajar dan menambah ilmu.

Banyak kesilapan dalam pentafsiran itu adalah berkenaan dengan cerita israiliyat. Iaitu kisah-kisah yang diambil dari Bani Israil. Ianya banyak termasuk dalam teks tulisan pengajaran agama Islam kerana selepas ramai orang Yahudi masuk Islam, mereka telah menceritakan pemahaman mereka tentang sesuatu kejadian pada zaman yang lampau. Selalunya berkenaan dengan kisah-kisah para Nabi.

Contohnya, sebenarnya Nabi Yusuf tidak pernah kahwin dengan Zulaikha (tidak ada daill tentang perkara ini). Kenalah kita ingat bahawa Zulaikhalah yang telah mengkhianati Nabi Yusuf a.s. Tentulah tidak patut kalau baginda berkahwin dengan Zulaikha yang telah mengkhianatinya. Tidak ada dalil yang menyatakan bahawa Nabi Yusuf telah kahwin dengan Zulaikha. Kalau ada, maka seseorang itu kena bawa dalil. Kalau tidak ada yang sahih, maka senyapkan sahaja.

Dan cerita salah tentang Nabi Nuh pun ada. Sewaktu terjadi banjir besar itu bumi telah ditenggelami oleh laut. Gunung paling tinggi masa itu pun ditelenggelami oleh air. Gelombang air waktu itu seperti gunung besarnya. Ada cerita tentang jenis kapal nabi Nuh – dari apa ianya dibuat, bentuknya dan sebagainya. Itu adalah karut. Ada pula cerita pasal seorang perempuan yang tidak kena banjir. Apabila Nabi Nuh tanya dia selepas itu kenapa dia tak kena banjir, perempuan itu kata, dia pun tidak tahu ada banjir. Padahal, banjir itu terjadi seluruh dunia. Itulah yang karutnya.

Begitu juga kisah karut tentang Nabi Sulaiman. Ada pula kisah karut tentang bagaimana baginda hilang kerajaan kerana hilang cincin baginda. Dikatakan bagaimana Ifrit telah mengambil cincin itu dan Nabi Sulaiman pula jatuh dari kerajaan dan jadi nelayan. Kemudian baginda kena kahwin dengan seorang perempuan huduh iaitu anak ketua kapal. Semasa memukat, dikatakan baginda terjumpa cincin kerajaan baginda yang telah dicuri itu dalam perut ikan. Apabila pakai cincin itu kembali, Nabi Sulaiman telah mendapat balik kuasanya dan telah memerintah balik.

Itulah cerita-cerita karut. Tapi malangnya, ini semua diajar di suratkhabar dan tv dan sebagainya. Ada ustaz-ustaz yang ajar perkara ini di masjid dan surau. Memang ianya ada dalam kitab-kitab tafsir lama, tapi tidaklah bermakna ianya terus betul.

Maknanya, yang hendak diberitahu adalah, tidak ada dalam Qur’an benda-benda bathil. Yang bathil itu adalah cerita dari manusia. Macam kepercayaan kepada cincin Nabi Sulaiman dan lain-lain itu. Kalau percaya cerita itu, maknanya, Nabi Sulaiman pun ada buat syirik juga. Nauuzubillah. Dan ada pula cerita dia ada buku sihir pula. Sampai ada dikatakan ilmu sihir pun dia ada amalkan. Syaitan nak mengatakan bahawa Nabi Sulaiman pun pakai sihir juga.

Satu lagi cerita pasal Balqis selak kain semasa di istana Nabi Sulaiman dan Nabi Sulaiman dikatakan nampak betis Balqis. Tapi dalam Qur’an dikatakan bahawa Balqis baru hendak menyelak tapi tak selak lagi. Jadi nak kena diperbetulkan tafsir Qur’an yang orang kita selalu belajar ini. Kalau tidak diperbetulkan, maka ianya sampai boleh menyebabkan kita terjatuh ke lembah kesyirikan.


 

Ayat 43: Ayat ini mengandungi syikayah (rungutan) tentang umat dan juga tasliah (pujukan) kepada Nabi Muhammad.

Ayat-ayat sebelum ini adalah muqaddimah kepada ayat syikayah ini. Walaupun Qur’an itu hebat dan mulia, tapi ada juga yang menentang dan tidak menerimanya. Macam-macam mereka kata dan tuduhan yang tidak elok tentang Qur’an yang mereka sebarkan. Begitulah yang terjadi kalau sudah tidak suka. Sudahlah tidak belajar, nak mengutuk pula mereka yang mengajar.

مّا يُقالُ لَكَ إِلّا ما قَد قيلَ لِلرُّسُلِ مِن قَبلِكَ ۚ إِنَّ رَبَّكَ لَذو مَغفِرَةٍ وَذو عِقابٍ أَليمٍ

Sahih International

Nothing is said to you, [O Muhammad], except what was already said to the messengers before you. Indeed, your Lord is a possessor of forgiveness and a possessor of painful penalty.

Malay

Apa yang dikatakan kepadamu tidak lain seperti yang pernah dikatakan kepada Rasul-rasul yang terdahulu daripadamu. Sesungguhnya Tuhanmu berkuasa penuh melimpahkan keampunanNya dan berkuasa penuh menimpakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

 

مَّا يُقَالُ لَكَ

Tidak dikatakan kepada kamu 

Iaitu kata-kata yang menyakitkan hati Nabi Muhammad daripada para penentang baginda. Nabi Muhammad terkesan dengan kata-kata orang kafir musyrikin itu kepadanya. Sudahlah mereka tak terima, kemudian mereka tolak, kemudian mereka reka macam-macam tohmahan kepada baginda dan tentang ayat-ayat Qur’an pula.

Macam kita juga ada yang mengalami perkara ini. Iaitu apabila kita mengajak orang lain kepada Islam, kepada tauhid dan kepada kebaikan, mereka tak mahu terima. Tidak terima itu satu hal. Tapi ada yang bukan sahaja tak mahu terima, mereka kata macam-macam kepada kita. Mereka kata: “Macamlah kamu pandai sangat”, “baru belajar sikit dah ingat pandai”, “baru belajar satu guru dah kata macam-macam, belajar lagi lah baru kau tahu!”, dan macam-macam lagi.

Mereka juga ada yang beri nama yang macam-macam kepada kita, antaranya panggil kita Wahhabi, anak Pak Wahab, Kaum Muda dan macam-macam lagi. Ada yang kata kita pula sesat. Sepertimana Nabi juga pernah dikatakan sesat juga oleh musyrikin Mekah.

Tentang Qur’an, mereka kata tafsir yang kita beritahu kepada mereka itu tidak benar, kita reka sendiri, guru kita sesat dan macam-macam lagi. Sedangkan mereka sendiri tidak belajar, tapi mereka kata kita yang belajar pula yang salah. Ini memang pelik sekali, tapi itulah yang terjadi. Pelik sebab yang tak belajar pula kata kita salah. Kita tanya balik mana yang benar, dia tidak boleh beritahu pula.

Sebagaimana kata-kata itu menyakitkan hati kita, ia juga menyakitkan hati baginda. Kita manusia, Nabi pun manusia juga, ada perasaan. Kita mengharap orang terima dakwah kita, dan kita pun mengajak mereka dengan ikhlas kerana kita mahukan kebaikan untuk mereka. Kita ajak kepada agama kerana kita kasihan kepada mereka, kita tak mahu mereka buat salah dan masuk neraka. Tapi mereka menolak kita, mengejek kita, mengata yang buruk-buruk kepada kita, perli kita, bagi nama buruk kepada kita, pulau kita dan sebagainya, tentulah kita terasa hati bukan?

Allah nak beritahu bahawa Allah tahu apa yang dikatakan itu.

 

إِلَّا مَا قَدْ قِيلَ لِلرُّسُلِ مِنْ قَبْلِكَ

melainkan telah dikatakan seperti ini kepada rasul-rasul sebelum kamu.

Bukanlah apa yang Nabi hadapi dalam melakukan dakwah ini benda yang baru. Allah kata, nabi-nabi dulu pun kena macam itu juga.

Oleh itu, ada tasliah (pujukan) dalam ayat ini. Jangan sedih, jangan risau sangat kerana ini adalah sunnatullah – sudah ditetapkan oleh Allah dari dulu lagi. Manusia sama sahaja, dari dulu, sekarang dan sampai bila-bila, akan ada sahaja yang tidak mahu terima ajaran dari wahyu itu macam mana baik pun cara kita sampaikan kepada mereka. Dan akan ada yang menentang.

Bayangkan, Nabi Muhammad yang paling baik itu pun, mereka tidak terima, apatah lagi kita? Jadi, kalau kita pun ditolak, dituduh dan dikasari, jadi jangan terkesan sangat – ingatlah yang Nabi Muhammad pun pernah kena tolak.

Maknanya, siapa yang mengajar tauhid ini, untuk memperbetulkan akidah manusia, orang akan kata yang tidak baik kepadanya dan itulah yang telah kena kepada nabi-nabi terdahulu. Akan dikatakan perkara yang sama kepada kita juga. Ada yang kata kita mengajar sihir, sesat dan sebagainya.

Maka, bersabarlah dengan kata-kata mereka. Banyak ayat-ayat dalam Qur’an yang memperkatakan perkara ini. Diulang-ulang kata-kata yang lebih kurang sama dalam berbagai-bagai surah kerana ianya sentiasa terjadi.

Allah nak pujuk hati pendakwah tauhid. Kalau kita tahu yang orang lain pun kena perkara yang sama, maka adalah terubat sedikit rasa sakit di hati. Kalau kita demam dan kita pun dengar ada orang lain pun demam juga, sedikit sebanyak ada kurang sikit kan demam kita?

 

إِنَّ رَبَّكَ  لَذُو مَغْفِرَةٍ

Sesungguhnya Tuhan kamu yang mencipta dan memelihara kamu itu, mempunyai keampunan yang besar

Inilah natijah kalau sabar dengan apa yang dikatakan kepada kita. Iaitu Allah akan tutup segala dosa kita. Dan inilah yang kita amat harapkan.

Allah gunakan kata ‘rabb’, tidak digunakan perkataan ‘Allah’ dalam ayat ini kerana Allah hendak menekankan bahawa Dia lah yang telah menjadikan, menjaga dan memelihara semua makhluk dan Allah lah juga yang akan menjaga dan memelihara baginda dan mereka yang menyebarkan tauhid.

Ini kerana maksud ‘rabb’ bukan sahaja bermaksud ‘Tuhan’ seperti yang selalu diterjemah itu, tapi ianya lebih lagi. Ia bermaksud ‘Tuhan yang mencipta, menjadikan, memelihara dan menjaga’, malah lebih lagi. Allah nak ingatkan kepada kita tentang sifatNya yang telah banyak membantu kita selama ini. Dan Allah akan terus membantu kita dalam perjalanan hidup kita. Tidak pernah Allah tinggalkan kita.

Perkataan مَغْفِرَةٍ bermaksud ‘keampunan yang besar’ – dimana Allah akan mengampunkan semua sekali dosa-dosa kita dan pengampunan ini akan diberikan kepada mereka-mereka yang bersabar; Kepada Nabi yang sabar dalam melakukan tugas baginda; kepada para sahabat yang terus tetap dalam Islam bersama baginda walaupun mereka menerima tentangan dan seksaan dari orang kafir; dan kepada kita yang sabar berdakwah mengajak manusia kepada tauhid.

Kita perlu bersabar dengan apa yang dikatakan kepada kita yang telah berdakwah kepada manusia. Kerana dalam dakwah ini, banyak orang yang tidak suka. Mereka kata kita macam-macam – wahhabi lah, puak sesat lah dan sebagainya.

Apa yang kita boleh buat? Kita hanya boleh bersabar. Jangan kita lawan kata-kata mereka dengan kata-kata yang buruk pula. Sebaliknya telah disebut sebelum ini yang kita kena balas dengan balasan yang baik supaya mereka dapat menerima dakwah kita.

 

وَذُو عِقَابٍ أَلِيمٍ

dan mempunyai balasan yang amat pedih 

Kepada mereka yang kufur pula, akan diberikan balasan yang pedih.

Tuhan yang sama, tapi bertindak berbeza kepada orang yang berbeza. Kepada yang baik, menerima ajaran dari Qur’an, Allah akan balas dengan kebaikan. Kepada yang jahat, tolak tauhid, tolak sunnah, tolak pendakwah, Allah akan balas dengan balasan yang buruk.

Allah akan balas dengan yang setimpal dengan perbuatan mereka dan tidak lebih dari itu. Allah tidak zalim. Allah akan beri apa yang layak kepada seseorang itu.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 13 November 2017


Rujukan:

Maulana Hadi

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

Abdul Nasir Jangda

Tafsir Ibnu Kathir

Tafsir Al-Azhar Dr. Hamka

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 041: Fussilat and tagged . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s