Tafsir Surah Fussilat Ayat 30 – 33 (Allah ajar cara berdakwah)

Ayat 30: Ayat ini adalah ayat Tabshir. Ayat ini dan tujuh ayat seterusnya adalah penjelasan tentang mereka yang mempunyai iman yang tinggi. Dengan melakukan dakwah, kita boleh sampai ke tahap ini.

ya_muqallibul

Doa untuk tetap hati dan pendirian atas agama Allah

إِنَّ الَّذينَ قالوا رَبُّنَا اللهُ ثُمَّ استَقٰموا تَتَنَزَّلُ عَلَيهِمُ المَلٰئِكَةُ أَلّا تَخافوا وَلا تَحزَنوا وَأَبشِروا بِالجَنَّةِ الَّتي كُنتُم توعَدونَ

Sahih International

Indeed, those who have said, “Our Lord is Allah ” and then remained on a right course – the angels will descend upon them, [saying], “Do not fear and do not grieve but receive good tidings of Paradise, which you were promised.

Malay

Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): “Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.

 

إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا

Sesungguhnya orang-orang yang berkata

Iaitu yang berkata dengan lidah dan juga hati. Sebab kalau kata dengan lidah sahaja, itu adalah munafik. Lidah dia kena berkata sepertimana hati dia yakin.

Untuk berkata ini pun kadang-kadang memang sukar, kalau kita berada dalam kalangan orang yang tidak sama fikrah (fikiran) mereka dengan kita. Tapi, Allah telah memuji mereka yang berani berkata dalam ayat ini.

 

رَبُّنَا اللهُ

Tuhan, Pencipta, Pemelihara kami adalah Allah

‘Rabb’ adalah satu perkataan yang komprehensif. Bukan hanya bermaksud ‘Tuhan’. Secara ringkasnya, rabb bermaksud yang ‘mencipta, memelihara dan menjaga’. Selepas Allah jadikan makhluk, Allah tidak biarkan begitu sahaja makhluk itu.

Kita juga mengaku bahawa Allah itu tuan kita dan kita adalah hamba kepadaNya. Kita akan taat kepadaNya sahaja. Sepertimana seorang hamba akan taat kepada tuan dia, begitulah kita dengan Allah.

 

ثُمَّ اسْتَقٰمُوا

Kemudian dia tetap dengan kepercayaan kata-kata dia itu

Mengucap syahadah mudah sahaja, tapi untuk tetap mengamalkannya, untuk tetap berdiri di atasnya, adalah susah. Ada sahaja yang menghalang. Mungkin keluarga kita, masyarakat kita, malah macam-macam lagi yang menghalang kita dari tetap atas iman. Kerana syaitan tidak akan biarkan begitu sahaja. Maka, kena ada usaha yang gigih untuk terus berpegang dengannya.

Lafaz اسْتَقَامُوا dari perkataan ‘qiyam’, iaitu bermaksud ‘berdiri’. Ini adalah isyarat seorang yang telah bangun berdiri selepas lama tidur. Dan untuk tetap berdiri walau apa pun yang terjadi. Kita tetap akan kata Allah itu adalah Tuhan kita dan tidak ada ilah-ilah yang lain.

‘Tetap’ (istiqamah) itu bukan sahaja untuk amalkan, tapi kena sebarkan. Dan memang akan kena ujian dalam dakwah. Tapi walau apa ujian yang sampai, kena tetap terus menyampaikan kepada manusia. Sampai mati, bukan sekejap-sekejap sahaja. Jangan cuba dakwah tapi kena tolak, kemudian berhenti pula. Kena teruskan berdakwah sampai bila-bila.

Walau apa pun yang terjadi, kita akan hanya sembah Allah sahaja, beribadat kepada Allah sahaja, seru kepada Allah sahaja, tidak akan melakukan perkara syirik walaupun masyarakat sekeliling kita tidak suka, tidak setuju, pandang cemuh pendirian kita. Sebagai contoh, kita tidak akan berdoa kepada selain dari Allah. Kita akan hanya terus berdoa kepada Allah sahaja, tanpa melalui perantaraan (tawasul).

Walaupun masyarakat sekeliling kita bertawasul dengan berbagai-bagai sembahan mereka. Sebagai contoh, setiap hari akan ada orang yang melakukan Majlis Tahlil. Kita tidak akan pergi kerana ini adalah majlis tawasul. Apa kaitan Majlis Tahlil itu dengan tawasul? Semasa memulakan majlis tahlil itu, tekong tahlil akan memulakan bacaan dengan membaca ‘ila hadratin nabiy, muhammadil mustafa, rasulullahi sollalahu alaihi wassalam, wa ala aalihi, wa ashaabihi…. dan seterusnya’. Itulah bacaan tawasul – iaitu menggunakan Nabi, keluarga baginda, para sahabat dan sebagainya sebagai perantara untuk menyampaikan doa kita supaya pahala amalan pada majlis tahlil itu diberikan kepada si-mati.

Amalan tawasul yang bermula dengan lafaz ‘ila hadratin‘ itu juga berleluasa dalam majlis-majlis lain, bukan setakat Majlis Tahlil sahaja. Antaranya, sebelum memulakan zikir-zikir tertentu, ramai yang memulakan zikir mereka dengan bacaan ila hadratin itu.

Kita kena istiqamah dalam menolak amalan-amalan tawasul ini dan amalan-amalan syirik yang lain. Bukanlah senang untuk tidak menghadirkan diri di majlis-majlis Tahlil ini. Kerana boleh dikatakan semua orang buat. Sikit-sikit Majlis Tahlil. Dan orang dah sangka ini adalah satu ibadat dalam agama. Kita yang tidak pergi ini pula yang dianggap sebagai ‘pelik’.

Dan masalahnya lagi, yang menghadirinya adalah orang-orang yang dianggap orang sebagai ‘orang agama’ dalam masyarakat – tok imam, tok bilal, qariah masjid, tok lebai dan sebagainya. Padahal ianya bukanlah satu anjuran dalam agama Islam. Tidak ada langsung contoh amalan ini dilakukan oleh Nabi dan para sahabat.

Oleh kerana ianya telah dianggap sebagai satu majlis agama Islam, maka kita yang tak pergi ini pula yang dianggap ‘pelik’. Mereka kata kita tidak bermasyarakat, memutuskan silaturrahim dan sebagainya.

Tapi, kita hendaklah istiqamah. Tetap teguh tidak menghadiri majlis-majlis bidaah dan syirik sebegini. Biarlah apa orang kata, biarlah apa yang mereka akan ejek kita. Semoga lama kelamaan masyarakat akan faham. Semoga lama kelamaan mereka akan tertanya-tanya kenapa kita tidak menghadiri majlis sebegini. Semoga mereka mencari sebabnya dan mereka bertemu punca kenapa kita tidak mahu menghadiri majlis sebegini.

Dan supaya mereka pun tidak menganjurkan Majlis Tahlil dan kalau mereka tak anjur pun, mereka pun tidak menghadirinya. Lama kelamaan, demand untuk Majlis Tahlil pun tidak ada atau berkurangan. Dan semoga kita tergolong dalam golongan mereka yang jadi pemangkin untuk menghapuskan satu majlis bidaah yang mungkar.

Tapi, mereka yang belum lagi mencapai tahap istiqamah ini, mereka akan pergi juga ke majlis ini. Samada mereka tahu ianya salah atau tidak, kita tidak pasti. Ada kemungkinan, ada yang tidak setuju dengan majlis sebegini, tapi kerana takut dikata orang, takut dipandang serong oleh orang, takut kena chop sebagai orang yang tidak bermasyarakat, sebagai pemecah belah masyarakat, mereka pergi akhirnya. Itu belum istiqamah lagi maknanya.

Perkataan yang kita mungkin biasa sudah dengar adalah istiqamah – berpegang teguh. Anjuran istiqamah ini pun ada disebut dalam hadis Nabi:

عَنْ أَبِي عَمْرو، وَقِيْلَ : أَبِي عَمْرَةَ سُفْيَانُ بْنِ عَبْدِ اللهِ الثَّقَفِي رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قُلْتُ : يَا رَسُوْلَ اللهِ قُلْ لِي فِي اْلإِسْلاَمِ قَوْلاً لاَ أَسْأَلُ عَنْهُ أَحَداً غَيْرَكَ . قَالَ : قُلْ آمَنْتُ بِاللهِ ثُمَّ اسْتَقِمْ

Dari Abu Amr, -ada juga yang mengatakan- Abu ‘Amrah, Suufyan bin Abdillah Ats Tsaqofi radhiallahuanhu dia berkata, saya berkata : Wahai Rasulullah shollallohu ‘alaihi wa sallam, katakan kepada saya tentang Islam sebuah perkataan yang tidak saya tanyakan kepada seorangpun selainmu. Beliau bersabda: Katakanlah: saya beriman kepada Allah, kemudian berpegang teguhlah. (Riwayat Muslim).

Apakah ganjaran kepada mereka yang istiqamah ini? Apakah yang Allah janjikan?

 

تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلَائِكَةُ

Maka akan turun para malaikat ke atasnya;

Iaitu para malaikat menyambutnya semasa dia mati. Allah nak beri semangat dan sebagai tasliah kepada orang mukmin yang menjalankan tugas sebagai seorang muslim sejati.

Ianya adalah satu anugerah besar yang Allah beri kepada orang beriman. Dikatakan seramai 500 malaikat akan sambut roh itu semasa masuk kubur. Kepada orang beriman, Allah akan berikan bantuan kepada mereka. Semasa dia hendak mati, Allah akan beri dia nampak beratus-ratus malaikat kepadanya.

Apa yang mereka akan kata? Mereka akan memberikan kita berita-berita gembira dan yang akan menenangkan kita. Semoga kita mendapat anugerah ini apabila kita mati nanti.

Dari penggunaan perkataan تَتَنَزَّلُ  itu pun ada sebabnya juga. Dalam perkataan ini, ada dua ‘ta’. Dalam bahasa Arab, apabila ada penambahan huruf, ianya menambah makna. Jadi perkataan تَتَنَزَّلُ  bukan hanya ‘turun’ sahaja. Ianya bermaksud banyak kali turun. Kerana ramainya penurunan malaikat kepada orang yang mati kerana ramai orang yang mati dalam dunia setiap hari.

Ada juga yang mengatakan bahawa ini juga bermaksud semasa kita hidup, malaikat akan diturunkan kepada kita untuk memberi bantuan semangat kepada kita. Kalau dalam ayat 29 surah ini dan ayat-ayat lain, ada diceritakan bagaimana ada manusia yang tidak beriman sempurna akan ditemani oleh jin dan manusia yang jahat semasa mereka di dunia. Syaitan-syaitan dari golongan jin dan manusia akan membisikkan keburukan kepada mereka – suruh mereka buat perkara yang jahat dan bidaah. Tapi, kepada mereka yang beriman dan istiqamah, mereka akan ditemani oleh malaikat. Malaikat itu akan membisikkan perkara yang baik-baik sahaja kepada kita dan memberi semangat kepada kita. Allahu a’lam.

Pendapat ini disokong oleh hadis-hadis Nabi, antaranya:

Dari Abdullah bin Mas’ud, bahawa Nabi bersabda: “Sesungguhnya bagi syaitan ada bisikan kepada anak Adam dan bagi Malaikat ada pula bisikan. Adapun bisikan syaitan ialah menjanjikan yang buruk-buruk dan mendustakan kebenaran. Dan adapun bisikan malaikat ialah menjanjikan yang benar dan menerima kebenaran dengan jujur. Kalau pernah terdapat demikian, ketahuilah bahawa itu adalah dari Allah, maka pujilah Allah. Dan barangsiapa yang mendapat selain itu, maka hendaklah dia berlindung kepada Allah daripada syaitan.” Riwayat Tirmidhi dan an-Nasa’i.

 

أَلَّا تَخَافُوا

Kamu jangan takut;

Inilah kata-kata malaikat itu. Jangan kamu takut tentang apa yang akan kamu hadapi di hadapan nanti. Jangan takut untuk hadapi akhirat yang telah bermula untuk kamu.

Memang kita akan takut dan kerana itulah malaikat itu akan beri pujukan dan ketenangan. Kerana ianya telah diuruskan dengan baik untuk kita. Jangan takut samada kamu akan masuk neraka, kerana kamu akan diselamatkan; Ini penting kerana macam kita pergi ke tempat yang baru, kita akan rasa kekok. Dan sekarang pula adalah negari akhirat, tentulah lagi menakutkan, maka kalau ada yang sambut kita, jadi kawan sebagai teman kita, itu adalah nikmat yang amat besar.

Malaikat-malaikat itu akan berkata, “jangan takut jangan bimbang, tuan duduk tepi, biar kami tolong jawap kepada malaikat Munkar Nakir”. Inilah yang diberikan kepada orang beriman. Tak payah baca talqin, tak payah masak pulut kuning dan sebagainya. Nak ajar dalam talqin apa lagi? Kerana malaikat sama malaikat yang akan jawapkan bagi pihak kita. Mereka yang buat baca talqin itu sebab mereka nak duit, sebab boleh dapat upah dengan bacakan talqin tu. Sebab itu mereka ajar masyarakat kita kena buat talqin. Padahal, talqin itu tidak ada dalam agama Islam.

 

وَلَا تَحْزَنُوا

jangan kamu bimbang

Jangan bimbang akan apa yang akan kamu tinggalkan di rumah dan di dunia. Jangan ingat dah pasal kereta dan apa semua harta yang ditinggalkan. Jangan risaukan tentang keluarga kamu – semuanya akan diuruskan. Lagi pun, hartabenda dan keluarga itu tidak ada ertinya sama sekali kalau dibandingkan dengan nikmat yang menunggu di alam akhirat nanti.

Oleh itu, jangan takut menghadapi alam kubur ini dan jangan bimbang apa yang kamu akan tinggalkan di dunia.

 

وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ

Dan terimalah khabar gembira 

Iaitu mereka dijanjikan dengan syurga. Adakah balasan yang lebih baik dari balasan syurga? Bukankah itu yang kita harapkan sangat-sangat? Setiap hari kita minta syurga dan sekarang, malaikat janji yang kita akan masuk ke syurga.

Masa di syurga adalah tempat untuk bergembira. Hidup untuk memenuhi keinginan nafsu sahaja. Tidak ada lagi tanggungjawab ibadat yang perlu dipenuhi.

 

الَّتِي كُنْتُمْ تُوعَدُونَ

yang dijanjikan kepada kamu dulu. 

Dulu semasa di dunia, telah dijanjikan kepada kita semua, kalau buat baik, beriman, tidak buat syirik, maka kita akan dimasukkan ke dalam syurga. Berkali-kali telah disebut, berkali-kali telah diingatkan kepada kita. Maka, pada hari ini, janji itu akan ditepati.


Balaghah: Hazfu wa zikru. Jenis الإختزال (al-ikhtizal)

Dimana ada hazaf (pembuangan) huruf dalam lafaz ayat Qur’an. Ini seumpama penggunaan shorthand. Ada hazaf dari fi’il. Dibuang huruf untuk menunjukkan peristiwa itu lebih kecil atu kurang dari segi kuantiti; atau masa kejadian itu lebih pendek. Sebagai contoh, kalaulah penggunaan al-ikhtizal ini ada dalam bahasa Melayu, kalau digunakan kalimah ‘makan’, itu bermaksud makan yang biasa. Tetapi, kalau buang huruf n dan perkataan makan itu jadi ‘maka’, maksudnya makan yang sekejap sahaja tidak seperti biasa, atau makan sikit sangat tidak seperti biasa. Tapi tidaklah penggunaan ikhtizal ini ada dalam bahasa Melayu.

Dalam ayat Fussilat ini, kalimah yang digunakan adalah تَتَنَزَّلُ sedangkan kita boleh bandingkan dengan kalimah تَنَزَّلُ dalam Qadr:4

تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِم مِّن كُلِّ أَمْرٍ

Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);

Kedua-dua ayat ini tentang turunnya malaikat berjumpa hamba yang layak. Tapi di dalam Qadr:4, lafaz yang digunakan adalah تَنَزَّلُ sahaja sedangkan di Fussilat:30 ini, kalimah تَتَنَزَّلُ digunakan. Dan memang lafaz تَتَنَزَّلُ adalah yang sebenarnya dari segi bahasa. Jadi dalam Qadr:4 ini ada hazaf satu huruf ت. Kenapa?

Kerana peristiwa itu kurang dari segi kekerapan. Kerana Lailatul Qadr berlaku sekali sahaja setahun. Sedangkan kejadian pada Fussilat:30 berlaku kepada orang yang istiqamah dalam agama dan telah sampai ajal mereka. Dari segi kuantiti itu lebih banyak terjadi dari Lailatul Qadr. Kerana sentiasa sahaja ada yang mati setiap hari, bukan?


Ayat 31: Ini adalah tentang orang yang baik dan rapat dengan tauhid dan Qur’an. Jika kita begitu, Allah akan takdirkan malaikat suka dengan kita dan duduk rapat dengan kita.

Yang jauh dari Allah dan tidak taat, malaikat tak suka duduk dekat dan syaitan yang akan rapat. Maka manusia kena ikhtiar buat perkara yang malaikat suka. Contohnya, kena selalu duduk di Masjid.

نَحنُ أَولِياؤُكُم فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا وَفِي الآخِرَةِ ۖ وَلَكُم فيها ما تَشتَهي أَنفُسُكُم وَلَكُم فيها ما تَدَّعونَ

Sahih International

We [angels] were your allies in worldly life and [are so] in the Hereafter. And you will have therein whatever your souls desire, and you will have therein whatever you request [or wish]

Malay

“Kamilah penolong-penolong kamu dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat; dan kamu akan beroleh – pada hari akhirat – apa yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh – pada hari itu – apa yang kamu cita-citakan mendapatnya.

 

نَحْنُ أَوْلِيَاؤُكُمْ فِي الْحَيَوٰةِ الدُّنْيَا

Kamilah yang menjaga kamu dulu semasa kamu hidup di dunia.

Ini adalah kata-kata para malaikat yang menyambut ahli syurga itu.

Lafaz أَوْلِيَاؤُكُمْ datang dari kata asal ‘wali’. Wali adalah mereka yang kita boleh harapkan, yang kita boleh percaya, yang mahu membantu kita, yang rapat dengan kita. Merekalah yang menjadi teman dan sahabat setia kepada orang mukmin semasa di dunia dulu.

Ayat ini menguatkan lagi pendapat yang mengatakan bahawa malaikat-malaikat juga berdamping dengan manusia semasa hidup di dunia lagi, bukan hanya semasa hendak mati dan selepas mati. Mereka itulah yang gerak kita bangun dari tidur sambil bisikkan kepada kita supaya bangun solat. Mereka jugalah yang beri kita mimpi-mimpi yang baik. Juga beri ilham yang baik-baik. Mereka itu juga memberikan sokongan kepada kita sampai kita rasa yakin dan teguh dalam menghadapi segala kemungkinan apa jua pun.

Dalam masa yang sama, syaitan pun boleh buat begitu juga. Maka, ada bisikan baik dan dan ada bisikan jahat. Hari-hari malaikat dan syaitan akan membisikkan kepada kita. Keduanya berusaha untuk membisikkan kepada kita. Dan mana yang kita dengar itu bergantung kepada diri kita dan amalan kita. Kalau amalan kita baik, maka malaikatlah yang akan berdamping dengan kita. Begitu juga, kalau amalan kita adalah amalan bidaah dan syirik, yang akan berdamping dengan kita adalah syaitan.

Malaikat-malaikat itulah juga yang menghalau syaitan-syaitan itu dari kacau kita. Kalau malaikat yang berdamping dengan kita, tidaklah berani syaitan nak datang dekat. Maka, kenalah buat amalan yang menyebabkan malaikat datang dekat. Itulah amalan-amalan tauhid dan sunnah. Jangan buat amalan bidaah, kerana syaitan suka amalan yang bidaah. Bila kita buat amalan bidaah, syaitan akan duduk dekat sekali dengan kita.

Orang kita selalu takut dengan jin, bukan? Maka, kalau malaikat sentiasa bersama kita, nak takut apa lagi? Tentu jin akan takut untuk kacau kita dan ganggu kita.

 

وَفِي الْآخِرَةِ

dan di akhirat 

Di akhirat kelak pun mereka akan jadi penjaga ahli tauhid dan ahli syurga itu. Kita memerlukan bantuan dan teman dari kalangan malaikat di dunia dan juga di akhirat. Itulah teman yang baik. Waktu itu, selain dari malaikat sudah tinggalkan kita dah.

Ada penekanan dalam ayat ini kerana Allah ulang perkataan فِي dalam ayat ini, walaupun dari segi bahasa Arab, tidak perlu. Allah boleh sebut: نَحنُ أَولِياؤُكُم فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا وَالآخِرَةِ dan ia membawa makna yang sama dah. Kalau tiada pun kita dah faham dah bahawa malaikat-malaikat itu akan jadi wali kita di dunia dan akhirat. Tapi, kalau Allah ulang perkataan فِي itu, maka, ianya adalah kerana nak tekankan kepentingan dunia dan kepentingan akhirat.

Malaikatlah pendamping manusia yang beriman itu yang menemani mereka semasa mereka bersendirian dalam kubur, ketika tiupan sangkakala, memberikan khabar keamanan pada hari kebangkitan dan perhimpunan serta akan membawa mereka melintasi Titian Sirat dan menyampaikan mereka ke dalam Syurga.

Semoga kita semua diberikan bantuan yang amat diperlukan ini nanti, in sha Allah. Tapi, untuk mendapatkannya, kenalah amalan ajaran tauhid yang benar. Kena ambil ajaran tauhid dari Qur’an, bukannya dari pengajaran Sifat 20.

 

وَلَكُمْ فِيهَا مَا تَشْتَهِي أَنْفُسُكُمْ

Dan bagi kamu dalam syurga itu, apa sahaja keinginan syahwat dirimu.

Benda yang kita dah tahu ada dalam syurga dan kita nampak ada dalam syurga, memang akan diberikan kepada kita. Itulah nikmat-nikmat yang tersedia ada dalam syurga yang tidak terkira banyaknya. Semuanya telah tersedia ada dalam syurga. Ini adalah nikmat-nikmat yang berhubungan dengan jasmani. Umpamanya mahligai-mahligai dan istana, piala emas dan perak, layanan dari bidadari, tempat berteduh yang subur, taman-taman yang indah dan sebagainya.

Ada yang telah diberitahu kepada kita melalui ayat-ayat Qur’an dan hadis-hadis Nabi. Tapi banyak lagi yang tidak diberitahu kepada kita kerana akal fikiran kita tidak dapat memahaminya. Sampai di syurga baru tahu ada benda-benda itu. Itu pun kita akan dapat juga.

Perkataan تَشْتَهِي berasal dari perkataan ‘syahwat’, iaitu keinginan nafsu kita. Semasa kita di dunia, macam-macam keindahan dunia yang menarik minta dan nafsu kita, syahwat kita pun mahu, tapi kita yang beriman tahu bahawa ianya salah, maka kita tinggalkan, kita tak layan keinginan nafsu kita itu. Bukan kita tak mahu, tapi kita tahu ianya salah. Seperti keinginan kita kepada lelaki atau perempuan, berehat, makan dengan banyak, wang dan kemewahan dan sebagainya. Itu adalah normal.

Maknanya, keinginan kita memang ada sebenarnya. Tapi kita sahaja yang tahan kerana kita tahu ianya salah. Oleh kerana itu kita tahan nafsu kita semasa di dunia, kerana kita tidak mahu sampai melakukan perkara yang dilarang. Oleh kerana kita tahan nafsu kita di dunia, Allah akan puaskan nafsu kita nanti di akhirat nanti. Apa sahaja yang kita hendak, Allah akan berikan kepada kita. Kerana kita telah tahan nafsu itu semasa di dunia kerana kita taat kepada Allah.

Jadi Allah akan beri macam-macam di syurga nanti. Cakap sahaja hendak apa. Dan kalau tak cakap pun, kita akan dapat. Dalam hati teringin apa sahaja, akan diberikan. Sebagai contoh, kita nampak burung sedang terbang, terdetik di hati kita untuk makan burung panggang, burung itu akan dipanggang untuk kita.

 

وَلَكُمْ فِيهَا مَا تَدَّعُونَ

dan bagi kamu di dalamnya, apa sahaja yang kamu minta.

Iaitu benda-benda yang kita tak tahu pun yang ianya ada. Apabila dimasukkan ke dalam syurga, akan ditunjukkan kepada ahli syurga benda-benda yang dia tak tahu wujud pun dulu. Ini pun ada dalam syurga, malah banyak lagi, kerana pengetahuan kita tentang alam ini amatlah sedikit – banyak lagi yang kita tidak tahu dari yang kita tahu. Selagi kita nampak dalam pandangan kita itu, semuanya adalah untuk kita. Semuanya berkhidmat untuk kita.

Semasa kita di dunia, berbagai-bagai perkara kita doa kepada Allah. Tapi ada yang Allah tidak berikan semasa di dunia. Segala apa yang kita doakan semasa di dunia itu, akan diberikan di akhirat kalau Allah tidak berikan semasa kita di dunia dulu. Sampaikan, ada riwayat yang mengatakan, apabila di akhirat nanti, ahli syurga akan lihat pemberian Allah sebagai ganti atas doa mereka yang tidak dimakbulkan semasa mereka di dunia.

Bukan Allah tidak dengar doa itu, cuma Allah tak beri semasa di dunia. Allah akan ganti dengan yang lain dan ganti itu terlebih baik dari apa yang mereka minta, sampaikan mereka berkata: “alangkah baiknya kalau doa kita semasa di dunia dulu tidak ada satu pun dimakbulkan, supaya kita akan mendapat gantinya di akhirat ini.” Kerana ganti yang di akhirat lebih baik lagi dari apa yang mereka doakan.

Begitulah nikmat kehidupan dalam syurga. Kita tidak dapat bayangkan. Apa yang kita tahu adalah maklumat-maklumat yang diberikan kepada kita dalam nas-nas Qur’an dan hadis yang sahih.

Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa nikmat yang diberikan dalam potongan ayat ini adalah nikmat bersifat rohaniah. Dibandingkan dengan potongan ayat yang sebelumnya yang bersifat jasmaniah. Oleh itu, nikmat yang akan diberikan kepada ahli syurga ada yang berbentuk jasmaniah dan ada yang berbentuk rohaniah.

Kemuncak nikmat yang bersifat rohaniah itu, pertamanya: mendapat keredhaan Allah. Itu adalah satu nikmat yang amat besar sekali. Dan yang lebih tinggi lagi dari tu adalah: diberi kesempatan menghadap Allah dan mengadap WajahNya dan ini adalah kemuncak kebahagian dalam syurga.

Kita amat berharap untuk dapat masuk syurga. Ada juga yang rasa mereka akan dapat masuk syurga kerana mereka sangka mereka sebagai orang Islam akan dapat syafaat dari Nabi. Mari kita periksa kefahaman kita tentang syafaat ini. Kerana banyak orang salah faham tentang maksud syafaat ini.

Apabila kita di Mahsyar nanti, Nabi boleh bagi syafaat dengan ‘batas-batasnya’. Nabi akan diberikan izin untuk memberi syafaat kepada manusia selepas Nabi sujud selama ’empat puluh’. Tak tahu ’empat puluh’ apa – empat puluh harikah, empat puluh bulankah atau empat puluh tahun.

Yang dimaksudkan dengan ‘batas’ itu adalah, Nabi hanya boleh beri syafaat kepada mereka yang baginda boleh beri syafaat sahaja. Selepas beberapa lama, Nabi sujud untuk syafaat kedua. Dikeluarkan mereka yang dalam neraka. Iaitu mereka yang kena duduk dalam neraka sebab ada dosa-dosa yang mereka telah lakukan. Seperti tinggal solat dan sebagainya. Maknanya kalau tidak ada syafaat Nabi, tidak tahu berapa lama baru mereka akan dapat keluar dari neraka. Kerana tentulah banyak dosa-dosa kita. Bayangkan pula dengan mereka yang curi, pernah melakukan zina dan sebagainya? Termasuk juga mereka yang tak pergi Haji kalau dah layak pergi haji, dan banyak lagi dosa-dosa yang kita lakukan.

Maka, mereka yang beriman, tapi pernah melakukan dosa, amat memerlukan syafaat dari Nabi. Apabila dikeluarkan sebahagian dari neraka, ada lagi tak keluar. Nabi sujud lagi, dapat syafaat ketiga. Dikeluarkan dari neraka itu, orang-orang yang beriman yang nilai ibadat mereka lebih kecil dari zarah. Semua akan dapat syafaat jikalau tidak buat syirik kepada Allah. Kerana kalau ada buat syirik (dan tak bertaubat), tidak akan keluar sampai bila-bila. Jadi, kalau ada buat syirik, tidak ada harapan. Persoalannya, adakah semua orang Islam sudah tahu apakah syirik itu? Kerana ramai yang buat syirik tanpa mereka perasan kerana mereka tidak belajar apakah tauhid dan apakah syirik. Dan nak tahu syirik dan tauhid itu kena belajar tafsir. Tapi berapa ramai sahaja yang belajar tafsir Qur’an? 

Tapi, amat banyak yang salah faham tentang syafaat ini. Ramai yang minta syafaat dari Nabi sekarang. Ketahuilah bahawa kalau minta syafaat sekarang, tidak boleh. Yang minta syafaat dengan Nabi, itu adalah amalan yang salah. Sebab Nabi hanya akan dapat beri syafaat itu semasa di akhirat kelak. Kita telah sebutkan bahawa Nabi akan dibenarkan untuk beri syafaat selepas baginda sujud dan memuji Allah selama ’empat puluh’. Bukannya Nabi akan dengar permintaan kita sekarang kerana Nabi telah wafat.

Kerana itu kalau nak minta sekarang pun, Nabi tak dapat nak bantu kerana baginda dah wafat dah pun. Bagaimana kita hendak minta sesuatu kepada orang yang telah mati? Bagaimana kita tahu yang Nabi dengar permintaan kita itu? Adakah ada dalil yang mengatakan Nabi dengar permintaan kita kepadanya?

Tidak ada dalil yang sahih yang mengatakan Nabi suruh kita minta syafaat kepadanya sekarang. Dan tidak ada dalil yang mengatakan Nabi apabila telah mati, dapat dengar permintaan kita. Yang kata Nabi boleh dengar itu, hanyalah ‘agak-agak’ mereka sahaja. Janganlah kita faham agama ini dengan ‘agak-agak’ sahaja – kerana ada yang kata: “Takkan Allah tak beri Nabi dengar permintaan kita, bukankah dia itu Nabi yang amat mulia?”. Itu adalah kata-kata hujah yang bukan dari nas yang sahih – maka ianya langsung tidak boleh dipegang sebagai hujah.

Jadi kita kenalah bertaubat dari apa kesalahan yang kita sudah buat. Samada dosa kecil, dosa besar, atau dosa syirik pun. Kerana kita mungkin pernah buat dosa syirik dahulu kerana kita tidak tahu. Supaya kita dapat syafaat dari Nabi Muhammad nanti.

Dan kenalah belajar tafsir Qur’an dari guru yang benar. Kerana selepas belajar tafsir, baru tahu bahawa ada perbuatan yang kita buat dulu, sebenarnya perbuatan syirik yang kita tak sedar. Maka, perbuatan dahulu yang salah itu kita minta ampun kepada Allah kerana kita tak tahu.

Bagaimana pula kalau kita tahu yang kita pernah buat syirik? Kita hanya perlu minta ampun kepada Allah dengan ikhlas sahaja. Itulah syariat yang telah diajar kepada kita. Lain dengan umat lain yang dahulu dari kita. Macam kalau umat Nabi Musa dulu, untuk bertaubat, kawan kena bunuh kawan sendiri, kena bunuh dirilah kiranya, baru diterima taubat itu. Sedangkan kita hanya kena taubat dengan hati sahaja.

Itulah salah satu dari rahmat Allah kepada kita. Bayangkan kalau kena bunuh diri baru diterima taubat syirik itu, entah berapa kerat sahaja orang kita yang tinggal?


 

Ayat 32:

نُزُلًا مِّن غَفورٍ رَّحيمٍ

Sahih International

As accommodation from a [Lord who is] Forgiving and Merciful.”

Malay

“(Pemberian-pemberian yang serba mewah itu) sebagai sambutan penghormatan dari Allah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani!”

 

نُزُلًا

Sebagai satu hidangan tetamu;

Hidangan adalah satu cara menghormati tetamu yang datang. Dari dulu sampai sekarang, beginilah yang kita akan buat. Kalau orang datang rumah kita, makanan pun sudah bukan makanan biasa yang kita makan hari-hari, tapi kita akan hidangkan makanan yang istimewa, bukan? Begitulah Allah beritahu yang layanan Allah bukanlah layanan biasa, tetapi layanan melayan tetamu. Semakin besar dan tinggi kedudukan tetamu itu, semakin hebat hidangan yang akan diberikan kepadanya.

Bergantung juga kepada mereka yang menyambut itu. Tidak sama kalau kita pergi ke rumah orang miskin dan orang kaya. Orang miskin akan layan juga kita, tapi terhadlah apa yang mereka boleh beri kepada kita. Kalau tuan rumah itu adalah orang kaya, maka jamuannya tentu lebih hebat lagi. Bayangkan pula kalau kita tetamu Allah? Dan kita pula adalah mereka yang beriman dan tetap istiqamah dalam memegang syariat yang telah ditetapkanNya? Bagaimana agaknya jamuan yang akan kita dapat itu? Tidak terbayang dalam akal fikiran kita yang cetek ini.

Apakah maksud نُزُلًا? Ianya adalah ‘pembuka selera’. Kerana perkataan itu bermaksud dari segi bahasa adalah ‘tetamu yang baru sampai.’ Apabila dah sampai, dah duduk sekejap, itu bermaksud dia sudah jadi ‘tetamu’, bukan lagi نُزُلًا. Lalu apa yang kita berikan kepada tetamu kita yang baru sampai? Kita akan berikan minuman ringan dan makanan ringan dahulu. Bagi air sirapkah, bagi kacang dulukah – iaitu makanan yang ringan-ringan sahaja dulu, sebab dia baru sampai, belum masuk bilik tetamu lagi, belum mandi dan bersiap lagi. Lepas semua dah siap sedia, barulah akan bagi makan nasi ayamkah, briyani kambingkah dan sebagainya – maksudnya makanan utama.

Oleh itu, apa yang telah disebutkan sebelum ini hanya sebagai ‘pembuka selera’ sahaja. Sesuatu yang diberikan sebelum ‘main course’ diberikan. Sesuatu yang hebat tapi masih sebagai ‘pembuka selera’ sahaja. Apa yang Allah akan berikan selepas itu adalah lebih baik lagi, sampai tidak boleh disebut kerana akal manusia yang lemah tidak akan dapat faham.

 

مِّنْ غَفُورٍ

daripada Dzat yang maha mengampun,

Allah menyebut sifatNya dalam ayat ini. Allah telah memberi ampun kepada ahli syurga supaya mereka dapat masuk syurga. Memang kita sebagai manusia, tentunya banyak kesilapan dan dosa yang kita telah lakukan. Tapi kerana Allah ampunkan, maka dapatlah kita masuk ke dalam syurga.

Maka, kita mungkin tertanya-tanya adakah kita layak masuk syurga Allah yang hebat itu? Maka dalam ayat ini Allah memberitahu kepada kita bahawa Dia adalah Maha mengampun. Segala dosa yang kita lakukan itu Allah boleh ampunkan, kalau Allah mahu. Maka, hendaklah kita selalu minta ampun dan bertaubat kepada Allah.

 

رَّحِيمٍ

Yang amat belas kasihan.

Allah tak sanggup melihat makhlukNya yang beriman itu kena azab di neraka. Ketahuilah bahawa Allah amat sayangkan makhlukNya yang beriman dan mengamalkan tauhid. Seperti seorang emak sayangkan anak dia, malah Allah lebih sayang lagi sebanyak 70 kali ganda. Bayangkan seorang emak itu tak sanggup nak tengok anak dia masuk penjara walaupun dia tahu anaknya itu seorang yang jahat.

Maka, takkan Allah sanggup nak masukkan makhlukNya yang Dia sayang itu ke dalam neraka. Kerana Dia sayang kepada makhlukNya lah yang Dia letak sifatNya yang maha pengampun. Supaya tak masuk dalam neraka dan sebaliknya Dia akan masukkan ke dalam syurga dan diberikan segala nikmat dalam syurga itu. Tapi, nikmat di syurga itu hanyalah kepada mereka yang beriman.


 

Ayat 33: Ayat ini ditujukan kepada mereka yang berdakwah kepada orang lain. Iaitu orang yang minat kepada Qur’an. Mereka inilah juga yang sanggup berkata: “Tuhan kami adalah Allah”. Mereka bukan setakat cakap sahaja tapi mereka buat kerja dengan mengajak manusia ke arah Allah dan wahyu.

Ini berlawanan dengan ayat syikayah (rungutan Allah) sebelum ini tentang mereka yang menghalang orang lain dari mendengar ayat-ayat Qur’an. Begitulah mereka yang anti Qur’an akan halang orang lain dari belajar tafsir Qur’an. Kebalikan dari menghalang orang mendengar Qur’an, adalah mengajak mereka kepada Qur’an itu sendiri.

Ini adalah satu ayat yang penting dalam surah ini. Ianya adalah salah satu fokus dalam surah Fussilat – Iaitu melakukan dakwah. Tema penting dalam surah ini adalah tentang dakwah selain daripada berkenaan tauhid dalam doa.

وَمَن أَحسَنُ قَولًا مِّمَّن دَعا إِلَى اللهِ وَعَمِلَ صٰلِحًا وَقالَ إِنَّني مِنَ المُسلِمينَ

Sahih International

And who is better in speech than one who invites to Allah and does righteousness and says, “Indeed, I am of the Muslims.”

Malay

Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!”

 

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا

Dan siapa yang lebih baik kata-katanya.

Maknanya, tidak ada lagi yang lebih baik seruannya. Ada dua elemen disini:
1. Tiada yang lebih baik dari seruan itu
2. Tiada siapa yang lebih baik dari orang yang menyeru itu.

Ayat ini dalam bentuk pertanyaan. Tapi ianya adalah pertanyaan yang berbentuk retorik. Iaitu nak mengatakan bahawa tidak ada lagi yang lebih baik. Macam orang kata: “siapa lagi yang lebih kuat?” – bunyi macam tanya, tapi sebenarnya dia nak kata dialah yang paling kuat.

Yang dimasuksudkan ‘kata-kata yang terbaik’ itu adalah kata-kata seruan dakwah. Ini adalah satu tugas dan amalan yang mulia. Iaitu mengajak orang kepada agama. Bukan senang kerja ini. Tak ramai yang hendak memikirkan hal agama ini. Selalunya ramai buat tak kisah sahaja.

Tambahan pula kalau yang kita dakwah itu adalah orang yang degil – seperti yang disebut dalam ayat 5 surah ini. Mereka kata hati mereka tertutup dari dakwah itu, dalam telinga mereka ada sumbatan dari dakwah itu dan ada dinding antara mereka dan agama. Selalunya mereka tidak cakap, tapi itulah yang dalam hati mereka sebenarnya.

Maka, kerja dakwah itu adalah kerja yang amat sukar. Kalau ianya sukar, maka ianya adalah satu perkara yang memerlukan orang yang ada kualiti yang tinggi. Maka, kerana itulah Allah kata tidak ada lagi seruan yang lebih mulia dari seruan dakwah itu. Dan tidak ada siapa lagi yang lebih dari mereka yang mengerjakan dakwah itu.

Usaha dakwah adalah usaha-usaha para Rasul. Kalau kita pun menjalankan kerja dakwah, kita pun menjalankan usaha-usaha yang dijalankan oleh rasul-rasul. Kita meneruskan usaha mereka kerana sekarang tidak akan diturunkan Nabi lagi dalam dunia ini. Yang ada hanyalah penyampai-penyampai dakwah seperti kita. Semoga Allah meletakkan kita dalam golongan mereka.

 

مِّمَّنْ دَعَا إِلَى اللهِ

daripada yang seru kepada Allah.

Dakwah yang utama adalah mengajak manusia kembali kepada Allah iaitu kembali kepada tauhid. Maknanya, mereka bukan hanya menyelamatkan diri sendiri sahaja, tapi ajak juga orang lain. Kalau disambungkan dengan potongan ayat sebelum ini, ayat penuhnya adalah: Tidak ada seruan yang lebih baik dari seruan dakwah. Dan juga bermaksud, tidak ada orang yang lebih baik dari orang yang berdakwah.

Langkah pertama adalah memperbetulkan diri kita. Itu telah disebut dalam ayat-ayat sebelum ini – antaranya ayat ke 6 dimana Allah suruh kita beriman dan istiqamah dalam iman itu. Oleh itu, langkah pertama dakwah adalah membetulkan diri kita dulu. Macam mana kita nak ajak orang lain kalau diri kita sendiri pun tidak betul? Macam kalau kita naik kapalterbang, kalau ada kekurangan oksigen, kita kena pakai oksigen itu dulu sebelum beri kepada orang-orang bawah jagaan kita, bukan? Jadi kena mulakan dengan diri kita dahulu.

Selepas kita membetulkan diri kita, maka kita ajak orang lain pula. Memang tidak boleh duduk diam setelah belajar tafsir. Kena jalankan kerja dengan sampaikan kepada orang lain pula. Macam juga Rasulullah setelah mendapat wahyu, baginda sampaikan kepada umat.

Tapi memang kena ingat bahawa mereka yang sampaikan wahyu kepada manusia akan kena berlawan dengan mereka yang anti ajaran Qur’an macam Nabi juga Nabi telah dilawan dengan puak baginda sendiri.

Lihatlah ayat ini, ianya menekankan kepada kita bahawa tujuan dakwah itu adalah ‘menyeru kepada Allah’. Maka, itulah dakwah yang pertama-tama kali. Itulah dakwah yang paling mulia. Iaitu mengajak kepada tauhid. Mengajak manusia kepada ibadat hanya kepada Allah, dan menyeru hanya Allah sahaja dalam doa.

Bukannya kita terus tegur tentang amalan orang lain. Bukan terus cerita pasal bidaah, tidak. Kerana mereka akan susah hendak terima kalau kita terus tegur tentang ibadat. Bagaimana mereka hendak terima sedangkan mereka pun belum rapat lagi dengan Allah? Mereka pun belum faham tentang Allah?

Oleh itu yang mula sekali adalah memperkenalkan kepada mereka siapakah Allah itu dengan sifat-sifatNya. Kemudian kita beritahu mereka bahawa hanya ibadat kepada Allah sahaja. Kemudian ajar doa hanya kepada Allah sahaja dan tinggalkan amalan tawasul yang banyak dilakukan oleh manusia. Apabila mereka dah terima, barulah senang untuk mengajar kepada membetulkan amal ibadat.

Nota: ada juga yang menafsirkan ayat ini merujuk kepada para Muazzin yang melaungkan azan. Kerana mereka yang menyeru manusia untuk melakukan solat. Allahu a’lam.

 

وَعَمِلَ صٰلِحًا

dan dia sendiri buat amal-amal soleh.

Bukan sahaja dia beriman dan mengajak orang lain beriman, tapi dia juga melakukan amal yang soleh. Bukan hanya pandai cakap sahaja, tapi kena buat juga amalan yang soleh. Amalan yang soleh adalah amalan yang diajar oleh Nabi. Iaitu yang ada sandaran dari amalan Nabi. Bukan amalan rekaan dari manusia dan ulama-ulama, ustaz-ustaz. Iaitu, bukanlah amalan yang bidaah. Amalan bidaah adalah amalan yang melawan amalan sunnah, sebab itu ianya adalah amalan yang buruk. Dia juga mengajak orang dengan dia sendiri melakukan amalan soleh. Kerana dia menunjukkan contoh teladan yang baik kepada manusia lain.

Oleh kerana itu, amal yang soleh juga adalah satu cara dakwah. Iaitu dakwah dengan cara perbuatan. Dakwah itu ada dua cara penyampaian: dengan mulut dan dengan perbuatan. Dengan mulut adalah kita seru orang dan kita beri dalil hujah kepada mereka.

Dengan perbuatan adalah kita buat amalan yang soleh, ibadat yang diajar Nabi dan lain-lain amalan. Amalan sedekah, tolong orang dan sebagainya itu pun adalah amal yang soleh juga kerana ianya juga telah dianjurkan dalam Islam. Apabila orang melihat kita buat perkara-perkara ini, mereka akan nampak kesungguhan kita. Mereka tidaklah kata kita ini hanya pandai cakap sahaja – cakap tak serupa bikin – tapi kita juga amalkan apa yang kita cakapkan.

Bukankah dalam ayat sebelum ini telah disebutkan tentang istiqamah? Kenapa diulang lagi berbuat amalan soleh lagi dalam ayat ini? Ini kerana dulu disebut berbuat amal ibadat yang soleh untuk memperbaiki diri sendiri. Dalam ayat ini, diingatkan manusia yang berdakwah supaya jangan lupa diri sendiri dalam melakukan dakwah.

Dalam kita dakwah orang lain itu, jangan lupa diri kita pun kena berbuat amal ibadat. Jangan kita sangka, apabila kita sudah berdakwah, kita sudah selamat dan tak payah buat amal ibadat dah. Kerja dakwah kena jalan, amal ibadat kena jalan juga dalam masa yang sama.

Kadang-kadang orang berdakwah, kelemahan mereka adalah mereka dah kurang solat, dah kurang zikir sebab mereka sangka dah diganti dengan kerja dakwah itu. Jangan kita jadi begitu. Sebaliknya, kita kena menambahkan amal-amal soleh kita lagi.

Dalam kita buat kerja dakwah, mengajak orang lain kepada Allah, kita memerlukan ‘kekuatan dalaman’. Kekuatan dalaman itu datang dari mana? Ianya dari Allah dan Allah akan beri kepada mereka yang melakukan ibadat kepadaNya. Ingatlah bagaimana Nabi pun disuruh oleh Allah untuk melakukan solat malam walaupun pada siangnya baginda telah berhempas pulas berdakwah kepada bangsa Quraish dan bangsa Arab. Tapi, malamnya Allah suruh Nabi kerjakan solat malam pula.

Ini adalah kerana solat itu memberi kekuatan kepada Nabi sebenarnya. Begitu juga kita – amalan amal ibadat yang kita buat itu sebenarnya memberikan kekuatan kepada kita. Memang kita memerlukan kekuatan itu. Kerana bukan nak senang nak hadapi orang yang kebanyakannya akan menentang. Oleh itu, dalam kita melakukan dakwah, kita kena tambah amal ibadat kita.

Dalam ayat ini, digunakan perkataan dalam bentuk biasa, iaitu صَالِحًاSelalunya, dalam Qur’an disebutkan perkataan amal soleh dalam bentuk الصَّالِحَاتِ. Perkataan الصَّالِحَاتِ bermaksud amal-amal khusus, seperti solat, zakat dan sebagainya – iaitu amalan yang memang dah wajib kena buat – kalau tak dakwah pun, memang kena buat juga kerana itu adalah fardhu ain.

Tapi perkataan صَالِحًا bermaksud amal-amal yang umum, iaitu seperti solat tahajjud, sedekah, baca Qur’an, tambah ilmu dan sebagainya. Itu semua bukanlah amalan yang fardhu, tapi ianya adalah amalan sunat yang banyak mengandungi kelebihan di dalamnya. Ini adalah kerana mereka yang berdakwah, memerlukan tambahan dari amalan yang biasa. Mereka kena buat lebih lagi dari yang wajib.

 

وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Dan dia telah berkata: sesungguhnya aku ini terdiri dari seorang yang serah diri sepenuhnya kepada Tuhan.

Mereka ini adalah golongan anti-syirik. Kalau zaman Nabi, mereka itu berlawanan dengan musyrikin Mekah. Mereka dulu berlawanan dengan fahaman dan amalan musyrikin Mekah. Kerana mereka kata begitu, mereka telah ditentang dan disakiti. Kalau zaman sekarang, kalau beritahu belajar tauhid, maka akan dilawan oleh pihak yang amalkan syirik dan bidaah. Macam zaman Nabi, bahaya kalau sahabat sebut mereka belajar dengan Nabi Muhammad. Begitulah dugaan kepada mereka yang berpegang kepada Sunnah.

Ini adalah satu deklarasi kebanggaan. Perkataan إِنَّنِي itu ada penekanan (tahkik) – kerana selalunya digunakan إِنَّي sahaja. Perkataan ini adalah dari seorang yang bangga menjadi seorang Muslim. Mungkin kita rasa biasa sahaja jadi muslim, bukan? Tapi bayangkan deklarasi ini dikatakan pada zaman Nabi Muhammad, iaitu waktu orang Islam ditindas dan dipandang serong. Bukan senang untuk mereka berkata begitu. Ianya memerlukan kekuatan dalaman yang tinggi.

Dalam segala hal, kita berserah diri kepada Allah. Itulah maksud ‘muslim’ dari segi bahasa – serahkan sepenuhnya kepada Allah. Dan taat sepenuhnya kepada Allah. Kita ikut apa yang Allah suruh kita buat dan tinggalkan apa yang Allah larang. Jangan memandai-mandai buat perkara baru dalam agama. Yang memandai dalam perkara agama itu adalah perkara yang bidaah.

Dan deklarasi diri sebagai seorang Muslim adalah satu deklarasi yang merendahkan diri dari orang yang memperkatakannya. Kerana dia mengaku yang dia hanya seorang manusia biasa, yang sama sahaja kedudukannya dengan orang lain. Semua orang adalah dalam status yang sama – muslim.

Dalam dia mengajak orang lain kepada agama, bukanlah dia mengatakan yang dia lebih tinggi kedudukannya dari orang lain. Kita hanya menjalankan suruhan Allah sahaja untuk menyampaikan agama. Bukanlah dia dari golongan Habib yang kerana kononnya mereka keturunan Nabi, mereka lebih lagi dari orang lain, bukan. Bukanlah kerana mereka dulu keturunan Tok Kenali atau mana-mana ulama, sudah semestinya mereka sudah pandai dan sudah selamat, bukan. Itu semua tidak menjanjikan apa-apa, sebenarnya kalau amalan yang dilakukan adalah berlainan dengan ajaran tauhid dan sunnah.

Dalam ayat ini, seorang pendakwah itu mesti mengatakan bahawa mereka sama sahaja kedudukan mereka dengan orang lain. Tidak ada yang lebih dari orang lain dalam agama ini. Ini memang bahaya kerana kalau kita dah mula berdakwah, telah mula mengajar orang lain, ada kelas pengajian, manusia akan melayan kita lain macam. Mereka sangka doa kita dah mujarab, mereka akan minta kita beri ayat-ayat nak baca dan amalkan (sebagai azimat), mereka akan minta kita sembuhkan mereka, mereka akan tanya macam-macam hal dan kita akan jawap begitu begini dan sebagainya. Kalau kita tidak berhati-hati, kita mungkin akan ada rasa tinggi diri. Kalau itu terjadi, itu adalah satu perkara yang malang sekali.

Kita juga jangan tinggikan sangat kedudukan guru-guru kita. Jangan kita layan mereka lain macam sampai mereka pun rasa mereka tinggi dari kita. Atau kita harapkan mereka boleh buat sesuatu yang lebih dari seorang manusia. Atau kita sangka mereka tahu semua perkara – sampaikan kalau ada benda yang mereka tak tahu, kita rasa hairan dan kita rasa mereka ada kurang pula. Memanglah mereka pasti ada kekurangan, kerana mereka pun manusia macam kita juga. Mereka pun ada kehidupan biasa juga. Mereka pun ada buat silap. Bukan semua hal agama mereka tahu – ada juga benda yang mereka tak tahu. Tidak ada manusia yang tahu semuanya. Ilmu itu amat luas, ada yang guru kita tahu dan ada yang guru kita tidak tahu. Itulah sebabnya kita kena berguru dengan ramai orang.

Dan janganlah pula ada guru yang macam tak suka kalau anak murid dia belajar dengan orang lain. Kalau ada yang macam itu, maknanya ada masalah pada guru itu. Guru macam itu kita kena berhati-hati, jangan lama dengan guru itu takut kita pula yang ada masalah nanti.

Kita sebutkan di sini kerana kadang-kadang kita tengok bagaimana pelajar-pelajar agama layan guru-guru mereka terutama guru tarekat, kita pun kesian tengok mereka. Terlalu berlebihan sangat. Macam jadi hamba dengan guru mereka. Apa sahaja yang guru mereka kata, itulah agama pada mereka.

Sampaikan kalau ada guru lain beri pendapat yang lain sikit, mereka tak terima – mereka hanya ikut pendapat guru mereka sahaja. Itu sudah bahaya – kerana hal agama hendaklah disokong dengan dalil dari nas yang sahih. Bukan boleh ikut pendapat guru sahaja. Kadang-kadang guru itu tak jumpa dalil, maka dia hanya dapat beri pendapat dia sahaja. Bukan dalil tidak ada, tapi dia yang tak jumpa. Seperti kita telah sebut tadi, bukan semua guru tahu semua perkara.

Ini juga mengingatkan kita tujuan dakwah kita. Kita mengajak manusia kepada Islam. Bukan kepada satu-satu organisasi, satu-satu persatuan, satu-satu ideologi, bukan. Dalam Islam, tidak ada kumpulan-kumpulan. Yang ada, hanya satu – menjadi Muslim. Tidaklah ada kumpulan ‘ahli sunnah wal jamaah’, Aswaja, Jemaah Tabligh, kumpulan Salaf, kumpulan Arqam, Hizbut Tahrir, kumpulan itu dan ini.

Maka kerana itu kalau orang tanya kita dari kumpulan mana pun, kita cakap kita tidak dari mana-mana kumpulan, kita cuma jawap kita ini adalah Muslim.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 30 Oktober 2017


Rujukan:

Maulana Hadi

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

Abdul Nasir Jangda

Tafsir Ibnu Kathir

Tafsir Al-Azhar Dr. Hamka

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 041: Fussilat and tagged , . Bookmark the permalink.

One Response to Tafsir Surah Fussilat Ayat 30 – 33 (Allah ajar cara berdakwah)

  1. widodo says:

    top markotop , seneng sekali saya mebacanya, syukron

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s