Tafsir Surah Fussilat Ayat 21 – 29 (Salah ikut guru)


 

Tafsir Dakwa Surah Fussilat Ayat 25

Ayat 21: Ini adalah ayat Takhwif Ukhrawi. Dalam ayat sebelum ini, telah disebut bagaimana tubuh badan mereka yang berdosa akan menjadi saksi bagi kesalahan yang dilakukan oleh tuannya. Oleh kerana mereka bimbang anggota tubuh mereka jadi saksi, mereka marah anggota mereka itu.

وَقالوا لِجُلودِهِم لِمَ شَهِدتُم عَلَينا ۖ قالوا أَنطَقَنَا اللَّهُ الَّذي أَنطَقَ كُلَّ شَيءٍ وَهُوَ خَلَقَكُم أَوَّلَ مَرَّةٍ وَإِلَيهِ تُرجَعونَ

Sahih International

And they will say to their skins, “Why have you testified against us?” They will say, “We were made to speak by Allah , who has made everything speak; and He created you the first time, and to Him you are returned.

Malay

Dan (setelah berlaku yang demikian), berkatalah mereka kepada kulit-kulit badan mereka: “Mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami?” Kulit-kulit badan mereka menjawab: “Allah yang berkuasa menjadikan tiap-tiap sesuatu pandai berkata-kata – telah menjadikan kami dapat berkata-kata; dan Dia lah yang menciptakan kamu pada mulanya, dan kepadaNyalah kamu dikembalikan (untuk menerima balasan).

 

وَقَالُوا لِجُلُودِهِمْ

Dan mereka berkata kepada kulit-kulit mereka,

Mereka berkata kepada tubuh badan mereka kerana terkejut dan takut.

 

لِمَ شَهِدْتُمْ عَلَيْنَا

kenapa jadi saksi ke atas kami?

Apabila kulit-kulit mereka jadi saksi, mereka marah kepada kulit-kulit mereka itu. Mereka kata, kenapa mereka buat begitu, sedangkan mereka sepatutnya bersama. Kalau mereka mengaku, nanti mereka sama-sama akan kena seksa.

Roh lah yang sebenarnya yang buat amal jahat. Yang menjalankannya adalah tangan-tangan dan kaki-kaki. Anggota badan hanya mengikut sahaja. Bukan mereka yang dipersalahkan.

 

قَالُوا أَنْطَقَنَا اللَّهُ

Mereka berkata, kami diberi berkata-kata oleh Allah.

Setelah tuan badan kata begitu, marah mereka, kulit-kulit itu akan berkata-kata mempertahankan diri mereka. Kalau di dunia, susah kita nak terima kejadian ini, tapi di akhirat nanti, Allah mampu nak jadikan apa sahaja. Jangan kita pelik.

Dalam dunia ini pun, kita boleh lihat sendiri bagaimana gerak badan kita boleh menceritakan apa sebenarnya dalam hati manusia. Mulut mungkin kata dia suka sesuatu, tapi dari kerdipan mata, kita boleh tahu bahawa dia sebenarnya tidak suka. Dari gerak badan pun, kita boleh tahu apakah maksud seseorang itu. Ini dinamakan ‘body language’. Kalau orang yang pandai membaca body language ini, dia boleh membaca apakah hati dan perasaan manusia lain. Itu pun seumpama tubuh badan berkata-kata juga. Di akhirat nanti, Allah boleh buat sampaikan mereka berkata-kata dengan secara zahir sekali.

 

الَّذِي أَنْطَقَ كُلَّ شَيْءٍ

yang berkuasa memberi kuasa bercakap kepada setiap sesuatu

Benda-benda yang tidak bernyawa, seperti bukit, pokok dan sebagainya, kita ingat mereka tidak bercakap. Tapi sebenarnya mereka berkata-kata dengan cara mereka. Kita sahaja yang tidak tahu.

 

وَهُوَ خَلَقَكُمْ أَوَّلَ مَرَّةٍ

Dan Dialah yang menciptakan kamu pada awal dulu.

Kamu dulu pun tak boleh bercakap juga dari mulanya, kemudian Allah yang membolehkan kamu berkata-kata apabila kamu sudah besar sedikit. Tuhan yang samalah juga yang memberi kami boleh bercakap.

Waktu kecil, memang kita tidak boleh bercakap. Tapi masih lagi ada komunikasi antara ibu dan anak. Apabila anak mengangis, seorang ibu itu boleh agak apakah sebabnya anak itu menangis. Mungkin dia kelaparan, mungkin lampinnya basah atau mungkin dia dalam keadaan tidak selesa. Allah telah atur semua itu untuk kemudahan kita.

 

وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

dan kepadaNyalah kamu dikembalikan

Samada kita suka atau tidak, beriman atau tidak, ingatlah bahawa kita semua akan dikembalikan kepada Allah untuk menerima balasan. Dan apabila Allah yang menjalankan penghakiman, tidak akan terlepas seperti yang terjadi di mahkamah di dunia. Kerana kalau di dunia, ada yang dapat menipu, ada saksi yang tidak dapat dipanggil, ada saksi yang menipu, tersalah nampak dan sebagainya. Tapi semua perkara itu tidak akan terjadi.

 


Ayat 22: Ini adalah idkhal ilahi – pencelahan Tuhan tentang apakah fahaman orang Musyrikin Mekah.

وَما كُنتُم تَستَتِرونَ أَن يَشهَدَ عَلَيكُم سَمعُكُم وَلا أَبصارُكُم وَلا جُلودُكُم وَلٰكِن ظَنَنتُم أَنَّ اللَّهَ لا يَعلَمُ كَثيرًا مِمّا تَعمَلونَ

Sahih International

And you were not covering yourselves, lest your hearing testify against you or your sight or your skins, but you assumed that Allah does not know much of what you do.

Malay

“Dan tidaklah kamu berselindung (ketika melakukan dosa di dunia dahulu) bukanlah kerana kamu bimbangkan pendengaran dan penglihatan serta kulit-kulit badan kamu menjadi saksi terhadap perbuatan-perbuatan kamu yang berdosa itu, akan tetapi kerana kamu menyangka bahawa Allah tidak mengetahui kebanyakan dosa yang kamu lakukan (secara bersembunyi itu).

 

وَمَا كُنْتُمْ تَسْتَتِرُونَ

Dan tidaklah kamu dulu bersembunyi

Kamu boleh bersembunyi dari manusia, tapi kamu tidak boleh bersembunyi dari anggota tubuh kamu sendiri. Tapi kamu sendiri pun tak berselindung dari anggota-anggota badan kamu semasa kamu melakukan kesalahan kamu itu. Sebab Arab Mekah tidak sangka tubuh badan mereka akan dapat berkata-kata di akhirat kelak. Kerana itulah mereka tidak berselindung pun dari tubuh badan mereka.

 

أَنْ يَشْهَدَ عَلَيْكُمْ سَمْعُكُمْ وَلَا أَبْصَارُكُمْ وَلَا جُلُودُكُمْ

dari bersaksi ke atas kamu pendengaran dan dan tidak penglihatan kamu dan tidak dari kulit-kulit kamu 

Ada satu salah faham dalam kalangan orang Arab Mekah pada zaman jahiliah. Mereka sangka yang kalau mereka cakap perlahan, Allah tidak dengar apa yang mereka katakan. Dan kalau mereka buat sesuatu perkara secara tersembunyi, Allah tidak tahu. Dan kalau selindung, Allah tak tahu apa yang mereka lakukan.

Ini adalah kerana mereka tidak ada pengetahuan yang lengkap tentang Allah. Ini adalah kerana mereka tidak ada kitab dan Nabi mereka, Nabi Ismail telah lama meninggalkan mereka. Mereka pun tidak ada kitab. Jadi ilmu yang mereka ada adalah ikut-ikutan dari tok nenek mereka sahaja, bukan berdasarkan kepada pengetahuan yang tepat berdasarkan agama yang sahih. Patut kalau tak tahu kenalah belajar dengan Nabi, tapi tidak. Macam masyarakat kita yang tak kenal Allah tapi degil tidak mahu belajar.

Begitu jugalah maklumat tentang Hari Akhirat yang mereka tidak tahu kerana mereka tidak ada ilmu tentangnya. Oleh kerana itu, semasa mereka buat dosa-dosa itu, mereka tak tutup pun mata atau telinga atau kulit mereka masa tu. Mereka tidak tahu bahawa semua anggota melihat apa yang kita lakukan dulu. Mereka pun tidak percaya yang mereka akan dibangkitkan kelak di akhirat. Pada mereka, apabila mereka mati, mereta terus mati dan tidak ada kebangkitan semula.

 

وَلَٰكِنْ ظَنَنْتُمْ أَنَّ اللَّهَ لَا يَعْلَمُ كَثِيرًا مِمَّا تَعْمَلُونَ

tapi kamu sangka bahawa Allah tak tahu kebanyakan dari dosa yang kamu lakukan,

maksudnya kamu sangka Allah tidak nak balas kebanyakan dari dosa-dosa yang kamu buat. Kamu rasa banyak dosa-dosa kamu itu Tuhan tak nak balas. Oleh kerana mereka ada perasaan dan pemahaman sebegitu, maka mereka rasa mereka bebas untuk buat apa sahaja yang mereka hendak.

Ada orang berfalsafah, setelah Tuhan menjadikan dunia ini, dia akan biarkan dunia ini sahaja, tidak kisah dah. Mereka juga kata Tuhan sibuk dengan perkara lain. Tidak ada masa nak tengok kita satu persatu. Itu adalah fahaman salah. Perkara kecil atau besar pun Allah akan ambil kira. Banyak ayat-ayat dalam Quran menyebut tentang bagaimana Allah akan mempersembahkan kepada manusia segala apa yang mereka kerjakan semasa di dunia. Mereka akan terkejut kerana begitu detail sekali Allah senaraikan perbuatan kita. Kita tidak sangka sampai begitu detail sekali.

 


Ayat 23:

وَذٰلِكُم ظَنُّكُمُ الَّذي ظَنَنتُم بِرَبِّكُم أَرداكُم فَأَصبَحتُم مِنَ الخاسِرينَ

Sahih International

And that was your assumption which you assumed about your Lord. It has brought you to ruin, and you have become among the losers.”

Malay

“Dan sangkaan kamu yang demikian, yang kamu sangka terhadap Tuhan kamu, itulah yang telah membinasakan kamu; (dengan sangkaan kamu yang salah itu) maka menjadilah kamu dari orang-orang yang rugi!”

 

وَذَٰلِكُمْ

Dan demikianlah bagi kamu 

Dan demikianlah salah faham kamu tentang Allah. Kamu sangka Allah tidak tahu apa yang kamu perbuat; kamu sangka Allah tidak nak balas perbuatan jahat kamu itu; kamu sangka kamu akan mati begitu sahaja tanpa dibangkitkan semula.

 

ظَنُّكُمُ الَّذِي ظَنَنْتُمْ بِرَبِّكُمْ

syak wasangka kamu terhadap Tuhan kamu sendiri

Begitulah syak wasangka kamu terhadap Allah. Iaitu kamu sangka Allah tidak melihat apa yang kamu lakukan.

Ada satu hadis yang diriwayatkan oleh Muslim dan Imam Ahmad yang berbunyi lebih kurang begini: Satu waktu, Ibn Mas’ud berada di bawah kiswah Kaabah lalu datanglah tiga orang yang nampaknya kurang faham tentang agama. Mereka berbisik-bisik sesama mereka. Lalu seorang diantara mereka berkata: “Apakah pendapatmu, adakah Allah mendengar percakapan kita ini?” Kawannya menjawap: “Kalau kita bicara dengan kuat, tentu Dia mendengar. Tapi kalau kita cakap perlahan-lahan, tidaklah didengarNya.” Yang seorang lagi menyampuk, “Kalau sebahagian telah didengarNya, tentu semua didengarNya.”

Ibn Mas’ud menyampaikan kisah kejadian ini kepada Nabi, maka turunlah ayat ini.

 

أَرْدَاكُمْ

yang ia menjatuhkan kamu

Salah faham tentang Allah itulah yang menyebabkan manusia masuk neraka. Apabila kita ada menyangka bahawa ada yang Allah tidak mendengar apa yang kita kata atau lakukan, akan menyebabkan kita tidak takut untuk melakukan kesalahan. Kita akan buat ikut suka kita. Buat dosa sana dan sini kerana kita ingat tidak ada yang melihat. Perasaan itu akan merosakkan kita. Allah akan membinasakan kita akhirnya nanti disebabkan salah faham kita itu.

Allah tidak terus memberikan azab kepada manusia. Oleh kerana itu, menyebabkan mereka rasa selesa dengan apa yang mereka lakukan dan mereka terus berada dalam kesesatan yang berterusan. Ini adalah ujian dari Allah. Tidaklah Allah sentiasa memberikan azab kepada manusia semasa manusia itu hidup di dunia. Kerana Allah mahu kita sedar sendiri.

 

فَأَصْبَحْتُمْ مِنَ الْخَاسِرِينَ

maka jadilah kamu termasuk golongan orang yang paling rugi. 

فَأَصْبَحْتُمْ bermaksud mereka berubah dari orang yang sepatutnya jadi baik kepada orang yang jahat. Seperti waktu subuh yang berubah dari malam kepada siang.

Mereka menjadi orang yang paling rugi kerana mereka akan dimasukkan ke dalam neraka.  Dan mereka bukan sahaja masuk, tapi mereka akan kekal dalam neraka kerana mereka pemegang geran neraka.

 

 


Ayat 24:

فَإِن يَصبِروا فَالنّارُ مَثوًى لَهُم ۖ وَإِن يَستَعتِبوا فَما هُم مِنَ المُعتَبينَ

Sahih International

So [even] if they are patient, the Fire is a residence for them; and if they ask to appease [ Allah], they will not be of those who are allowed to appease.

Malay

Oleh itu, sama ada mereka bersabar menderita azab atau sebaliknya (maka sama sahaja) kerana nerakalah tempat tinggal mereka; dan jika mereka memohon peluang untuk mendapat keredaan Allah, maka mereka bukanlah lagi dari orang-orang yang diterima permohonannya.

 

فَإِنْ يَصْبِرُوا

Dan sekiranya mereka sabar, 

Mereka akan kekal dalam neraka itu walaupun mereka sabar dalam menderita dalam neraka itu.

Ada dari kalangan orang kafir yang kata, kalaulah mereka masuk dalam neraka, mereka tidak kisah sangat. Kerana mereka sangka masuk neraka itu macam masuk dalam penjara sahaja. Dapat makan percuma, mereka kata. Dan kalau duduk penjara, bukankah nanti akan keluar juga? Jadi, mereka nak masuk dulu dan nak rasa macam mana neraka itu.

 

فَالنَّارُ مَثْوًى لَهُمْ

maka neraka jugalah tempat tinggal mereka.

Tapi, Allah hendak beritahu bahawa neraka bukanlah macam penjara dunia. Walaupun mereka itu semua sabar duduk dalam neraka, mereka akan kena kekal duduk juga di dalamnya.

Macam mana sabar pun mereka dalam neraka itu, mereka akan tetap tinggal di dalam neraka juga. Kerana waktu itu, nilai kesabaran tidak ada harga. Nilai sabar itu amat tinggi semasa hidup di dunia, bukan di neraka. Mereka ingatkan kalau sabar, boleh keluar akhirnya. Tapi mereka tak akan keluar neraka.

Oleh itu hendaklah kita sabar dengan dugaan semasa di dunia. Kesabaran adalah satu perkara yang dituntut dalam Islam. Kena sabar semasa di dunia, bukan nak sabar di neraka nanti.

 

وَإِنْ يَسْتَعْتِبُوا

Dan jika mereka minta diselamatkan,

Ada pula yang kata, kalau mereka masuk neraka nanti, mereka akan merayu habis-habisan supaya mereka dikeluarkan. Kalau mereka boleh rayu dengan penguasa, dengan pemimpin, dengan polis, takkan mereka tidak boleh rayu dengan penjaga neraka pula, bukan? Begitulah salah faham mereka tentang neraka.

 

فَمَا هُمْ مِنَ الْمُعْتَبِينَ

tidaklah mereka itu termasuk mereka yang akan diselamatkan.

Segala permintaan mereka tidak akan dilayan. Kerana telah terlambat untuk mereka mengubah hidup mereka. Yang patut mereka lakukan adalah perubahan semasa mereka hidup di dunia dulu.

Mereka tidak akan dilayan kerana mereka dulu semasa di dunia telah berkali-kali diberi peringatan. Dan Allah takkan ubah berita yang disampaikan dalam Qur’an tentang balasan azab yang akan dikenakan kepada mereka. Allah takkan mungkir janji seperti yang telah disebutkan tentang kesalahan akidah. Kalau ayat hukum, boleh ada nasikh mansukh lagi, tapi tidak dalam perkara akidah.

Maka, kenalah beringat-ingat. Jangan sesal di akhirat nanti.

Fussilat 19-24

 


Ayat 25: Ini ayat yang terpenting dalam surah ini. Inilah MAKSUD surah ini.

۞ وَقَيَّضنا لَهُم قُرَناءَ فَزَيَّنوا لَهُم ما بَينَ أَيديهِم وَما خَلفَهُم وَحَقَّ عَلَيهِمُ القَولُ في أُمَمٍ قَد خَلَت مِن قَبلِهِم مِنَ الجِنِّ وَالإِنسِ ۖ إِنَّهُم كانوا خاسِرينَ

Sahih International

And We appointed for them companions who made attractive to them what was before them and what was behind them [of sin], and the word has come into effect upon them among nations which had passed on before them of jinn and men. Indeed, they [all] were losers.

Malay

Dan Kami adakan untuk mereka teman-teman rapat (dari jin dan manusia), lalu teman-teman itu memperhiaskan kepada mereka (fahaman-fahaman sesat) mengenai perkara-perkara dunia yang ada di hadapan mereka, serta perkara-perkara lepas yang di belakang mereka; dan (dengan sebab itu) tetaplah hukuman (azab) atas mereka bersama-sama dengan umat umat (yang sesat) dari jin dan manusia yang terdahulu daripada mereka. Sesungguhnya mereka semuanya adalah golongan yang rugi (bawaan hidupnya).

 

وَقَيَّضْنَا لَهُمْ قُرَنَاءَ

Kami ‘hadiahkan’ kepada mereka teman-teman rapat.

Oleh kerana mereka telah ada fahaman yang syirik, maka mereka telah dihadiahkan oleh Allah dengan qurana’. Qurana’ adalah jamak kepada ‘qarin’.

Perkataan ‘qarin’ bermaksud yang ‘lekat bersama’. Iaitu akan ada makhluk yang akan lekat bersama kita dari kalangan jin syaitan. Setiap manusia ada seekor ‘qarin’. Termasuk juga Nabi Muhammad ada juga qarin, cuma qarin baginda telah diislamkan.

Syaitan-syaitan itu kenal kita, tahu apakah kegemaran kita, perangai kita dan sebagainya. Kerana mereka duduk rapat dengan kita, bersama dengan kita sepanjang masa. Oleh itu, mereka tahu apakah yang boleh menjatuhkan kita. Mereka akan menyuruh kita melakukan dosa dan mereka tahu bagaimana hendak memujuk kita.

Ataupun maksud yang boleh digunakan juga adalah: seorang yang biasa buat dosa, mereka akan selesa berada dengan mereka yang buat dosa yang sama dengan mereka juga. Oleh itu, ‘teman-teman rapat’ itu juga boleh jadi dari kalangan manusia. Iaitu yang menempek sahaja dengan mereka. Contohnya mereka yang menempek dengan pemimpin. Mereka akan memuji-muji perbuatan pemimpin itu. Ataupun kawan-kawan yang mengajak kepada melakukan keburukan.

 

فَزَيَّنُوا لَهُمْ

Mereka (Quranaa’ itu) akan menghiasi bagi mereka

‘Teman-teman rapat’ dari jin atau dari manusia itu akan membisikkan kepada kawannya itu, supaya dia memandang indah perbuatan kufur mereka. Mereka rasa molek dengan apa yang mereka buat itu. Walaupun perkara yang dibuat itu adalah perkara salah. Tapi tak rasa salah pun masa buat salah itu. Contohnya, banyak sekali wirid-wirid dari tarikat yang salah. Atau ajaran dari guru-guru yang tidak mengamalkan sunnah. Tapi mereka sangka betul dan nampak cantik perbuatan mereka itu. Syaitan akan buat bagi nampak molek sahaja perbuatan mereka itu. Mereka takkan tinggal perbuatan salah mereka itu kerana mereka rasa ianya molek.

Sebagai contoh, kalau kita tanya kepada orang yang mengamalkan tarekat, mereka amat sayang dengan amalan bidaah dan syirik mereka. Mereka akan kata, semasa mereka mengamalkan wirid mereka itu, mereka rasa amat tenang sekali. Ada yang kata, perasaan itu macam perasaan ‘jatuh cinta’. Ada yang kata, mereka tak dapat nak ceritakan kesedapan yang mereka dapat dari amalan mereka itu. Oleh itu, mereka sayang nak tinggalkan amalan salah itu.

Ingatlah bahawa keindahan dan kesedapan yang mereka dapat itu adalah kerana ianya telah dicantikkan oleh syaitan. Apabila sesuatu amalan itu salah, syaitan tak kacau. Buat apa dia nak kacau, sebab memang amalan itu dah salah. Tapi, kalau kita buat perkara yang sunnah, yang benar dalam landasan Islam, akan ada rasa berat sahaja. Nak buat malas, dan kalau dah buat, sekejap sahaja sudah rasa mengantuk. Sebab syaitan akan bertumpu-tumpu nak kacau kita. Kita akan rasa berat nak baca Quran, rasa malas nak solat sunat dan solat malam. Kerana mereka tak suka kita buat amalan yang benar.

Ayat ini juga bermaksud, ada juak-juak pemimpin yang menempek dengan pemimpin itu yang akan memuji sahaja apakah keputusan pemimpin itu. Mereka puji tak tentu pasal. Semua yang dibuat pemimpin itu cantik sahaja mereka kata.

Atau ada kawan-kawan mereka dari kalangan manusia yang memuji-muji amalan salah yang mereka telah buat itu. Mereka beri sokongan dan pujian kepada pengamal amalan salah itu. Mereka kata hebat sekali amalan yang telah dilakukan oleh kawannya itu.

 

مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ

apa yang di depan dan belakang mereka.

Depan bermaksud masa hadapan. Mereka akan bisikkan kepada kita, kalau buat begini, akan dapat ini, dapat itu.

Atau, ia juga bermaksud yang mereka sedang lakukan. Mereka akan puji amalan salah yang sedang dilakukan.

Belakang, bermaksud dia cantikkan kepada kita apa yang telah terjadi dahulu kepada kita. Dia akan kata kita dulu tak buat salah banyak pun, kalau dibandingkan dengan orang lain. Kerana kalau kita menyesal dengan perbuatan kita dahulu, kita tak berani nak buat salah lagi. Oleh itu, dia akan bisikkan kepada kita yang kita ni tak banyak dosa pun, masih okay lagi. Padahal, dah banyak salah dah kita buat.

Atau, dia akan kata, sudah banyak amalan yang kita dah buat. Maka, tentu dah banyak pahala dah kita dapat.

 

وَحَقَّ عَلَيْهِمُ الْقَوْلُ

Dan ditetapkan kepada mereka keputusan azab.

Maka, tetapkan mereka mendapat azab yang telah dijanjikan oleh Allah.

 

فِي أُمَمٍ قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِهِمْ

bersama umat-umat yang telah lalu

Mereka akan dikenakan dengan azab sama seperti mereka yang berperangai sama macam mereka. Macam kaum Aad dan kaum Tsamud itu.

Begitu juga kita akan dapat balasan sama macam apa yang akan terjadi kepada tok nenek kita dahulu juga kalau kita amalkan amalan salah yang sama macam mereka. Kerana kita banyak ikut amalan tok nenek kita dahulu. Benda yang dah lama mereka amalkan, kita sangkakan ianya betul belaka walaupun kalau diperiksa dengan amalan Nabi dan sahabat, mereka tidak buat begitu.

 

مِنَ الْجِنِّ 

dari golongan jin.

Mereka akan duduk di neraka dengan syaitan dari kalangan jin yang mengajar dan menyesatkan manusia.

Jin banyak yang menyesatkan manusia. Mereka akan membisikkan ajaran-ajaran salah kepada manusia supaya manusia puja mereka. Sebab itu orang yang mengamalkan wirid-wirid sebegini senang diganggu hantu. Sekolah-sekolah agama, pelajarnya senang kena histeria. Kerana mereka diajar dengan perkara-perkara dan amalan-amalan yang salah.

 

وَالْإِنْسِ

dan dari golongan manusia. 

Dan mereka akan duduk bersama dengan manusia-manusia yang mengamalkan amalan salah.

Termasuk dalam golongan manusia adalah guru yang mengajar ilmu salah. Kita jangan ingat yang menjauhkan kita dari jalan Allah itu hanya syaitan dari golongan jin sahaja. Syaitan itu ada juga dari kalangan manusia. Kalau jin itu menjauhkan kita dari jalan Allah, ia adalah syaitan. Dan kalau yang menjauhkan kita dari jalan Allah itu adalah manusia, dia juga syaitan. Syaitan dari golongan manusia.

 

إِنَّهُمْ كَانُوا خَاسِرِينَ

Sesungguhnya mereka rugi sebenar-benar rugi.

Mereka akan rugi dunia dan di akhirat nanti mereka akan dapat azab yang lebih pedih. Amat rugi sekali kerana mereka tidak mengambil peluang menjalani kehidupan yang baik semasa di dunia. Amat rugi sekali kerana mereka tidak mendengar kata-kata dari pendakwah yang mengajak mereka kepada jalan tauhid dan mengamalkan amalan sunnah. Amat rugi sekali kerana mereka mengamalkan amalan bidaah dengan susah payah tapi tidaklah ianya diterima dan diberi pahala, malah akan menjerumuskan mereka ke lembah kehinaan.

Amalan bidaah juga amat bahaya. Kerana mereka yang mengamalkan bidaah itu sebenarnya menolak sunnah. Mereka sahaja tidak sedar. Dan menolak sunnah adalah kesalahan yang amat berat sekali. Dan kalau yang mereka tolak itu adalah wahyu, itu adalah kufur. Sebab itu jangan main-main dengan amalan bidaah ini. Kita hendaklah meninggalkan terus amalan bidaah.

Masalahnya, kerana salah belajar, ramai dari kalangan kita tidak tahu apakah maksud ‘bidaah’ itu. Berbagai-bagai sangkaan yang salah dalam kalangan masyarakat tentang maksud bidaah. Antara yang selalu disebut-sebut adalah ‘Bidaah Hasanah’. Banyak salah faham tentang bidaah hasanah ini sampaikan manusia tidak takut hendak beramal dengan amalan bidaah kerana ada guru dan ustaz yang kata tidak mengapa, kerana amalan itu adalah ‘Bidaah Hasanah’.

 


 

Ayat 26: Ini Syikayah iaitu rungutan Allah tentang orang-orang musyrikin. Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Quran, mereka akan berkata:

وَقالَ الَّذينَ كَفَروا لا تَسمَعوا لِهٰذَا القُرآنِ وَالغَوا فيهِ لَعَلَّكُم تَغلِبونَ

 

Sahih International

And those who disbelieve say, “Do not listen to this Qur’an and speak noisily during [the recitation of] it that perhaps you will overcome.”

Malay

Dan orang-orang yang kafir berkata: “Janganlah kamu mendengar Al-Quran ini dan tentanglah dia (dengan nyanyian-nyanyian dan jeritan-jeritan riuh rendah serta tepuk sorak), supaya kamu berjaya (mengganggu bacaan atau menenggelamkan suara pembacanya)!”

 

وَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا

Dan berkata orang-orang kafir itu,

Iaitu orang-orang kafir Quraish waktu itu. Mereka yang berkata begitu adalah jenis yang teruk sangat sampai tak mahu terima langsung dan sampai menentang.
Kalau zaman sekarang, mereka itu adalah orang-orang yang kafir degil. Mereka tidak mahu berpegang dengan ajaran dari Quran, terutama sekali ajaran tentang tauhid.

 

 لَا تَسْمَعُوا لِهَٰذَا الْقُرْآنِ

kamu jangan dengar Quran ini.

Sudahlah mereka tidak mahu beriman dan beramal dengan Quran, mereka larang dan halang orang lain pula dari belajar maksud dari Quran. Ini jenis ketua masyarakat yang sudah nampak banyak dari masyarakat yang sudah masuk Islam sebab dengar Qur’an. Maka, mereka telah melakukan segala macam usaha untuk menghalang manusia dari dengar Quran. Kalau zaman sekarang pun ada juga. Ada yang kata tak boleh belajar tafsir sebab ilmu tinggi sangat tidak ada ilmu asas. Akhirnya menyebabkan ramai manusia yang rasa mereka tidak akan mampu memahami Quran maka mereka tidak belajar tafsir Quran dan mereka terus berada dalam kejahilan.

Mereka akan buat macam mana pun, asalkan orang lain tidak dengar ajaran Quran itu. Kalau zaman dahulu, kalau ada yang membaca ayat Quran, mereka akan buat bunyi bising supaya bacaan Quran itu tidak kedengaran.

Kenapa mereka kata jangan dengar ‘Quran’ ini? Kenapa tak kata jangan dengar ‘Muhammad itu’? Ini adalah kerana dakwah Nabi memang menggunakan Quran sahaja, iaitu baginda akan membacakan ayat-ayat Quran kepada manusia dalam dakwah baginda. Maka, apabila mereka nak halang dakwah Nabi, mereka akan kata, jangan dengan ‘Quran’, kerana mereka tahu baginda menggunakan Quran untuk berdakwah. Begitulah dakwah yang disampaikan oleh Quran. Malangnya, pendakwah sekarang tidak menggunakan ayat-ayat Quran sebagai methode dakwah mereka, tapi mereka menggunakan cara-cara lain, macam kisah lawak, cerita-cerita sejarah, lagu-lagu nasyid dan sebagainya, tapi ayat Quran tidak dibacakan, ditafsirkan. Itu tidak mengikut sunnah yang dilakukan oleh Nabi dalam berdakwah. Ini bermakna, keberkatan yang sepatutnya kita dapat, tidak ada. Kerana kita tidak ikut cara Nabi. Macam mereka rasa ayat-ayat Quran itu tidak cukup mantap untuk digunakan sebagai dakwah. Atau mereka sendiri tidak tahu ayat-ayat Quran? Mereka sendiri tidak belajar tafsir Quran?

 

 وَالْغَوْا فِيهِ

Kamu buatlah bising,

Salah satu cara untuk mereka halang orang dari dengar Quran adalah mereka akan buat bising. Ada yang bersiul, ada yang bertepuk tangan dan sebagainya.

Mereka juga buat acara lain supaya orang tak pergi kepada mereka yang membaca Quran. Mereka buat tempat untuk orang bercerita dan berpenglipur lara. Supaya orang ramai datang ke tempat penglipurlara itu dan tidak pergi ke tempat bacaan Quran. Beginilah yang mereka lakukan pada zaman Nabi Muhammad. Mereka akan buat tempat lain untuk menarik perhatian manusia dari pergi ke tempat Nabi mengajar Quran.

Dan kalau mereka masuk pun dalam majlis Nabi, mereka disuruh untuk buat bising dalam majlis itu supaya manusia tidak dapat nak belajar Quran.

Kalau zaman sekarang, ada orang yang akan buat kacau dalam majlis orang belajar Quran. Mereka akan halang orang untuk pergi ke kelas yang mengajar tafsir. Kalau belajar lain, tidak mengapa, asalkan jangan belajar Quran. Kalau ada yang hendak belajar tafsir Quran, mereka akan kehairanan – mereka akan tanya: “kenapa nak belajar tafsir?”. Kalau mereka datang belajar dalam kelas yang mengajar tafsir, mereka akan tanya soalan-soalan yang bodoh dan merepek untuk mengganggu pengajaran dalam kelas itu.

Ada yang melaporkan kepada pihak berkuasa dengan memberi tohmahan yang mereka yang mengajar tafsir itu mengajar ajaran yang sesat, sampaikan mereka yang mengajar tafsir, ada yang ditangkap. Atau mereka akan membuat tohmahan kepada masyarakat, sampaikan masyarakat tidak mahu terima mereka yang mengajar tafsir, sampaikan mereka yang mengajar, tidak dijemput lagi untuk mengajar.

Kemudian kalau kita ajak mereka untuk belajar tafsir Quran, mereka akan beri bermacam alasan – mereka nak belajar baca Quran dululah, belajar bahasa Arab dululah, nak belajar fekah dululah, nak belajar itu dan ini dulu. Akhirnya mereka tidak belajar pun tafsir Quran.

Musyrikin Mekah suruh masyarakat mereka وَالْغَوْا iaitu buat perkara yang lagha – perkara yang tidak ada faedah. Supaya mereka terganggu sampai tidak mendengar ayat Quran. Jadi, kalau kita cerita tentang perkara selain dari apa yang ada dalam Quran, ditakuti kita termasuk dalam golongan musyrikin Mekah. Mereka tak bagi masyarakat bercakap tentang Quran. Mereka akan suruh bercakap tentang perkara-perkara lain. Mereka akan bawa tajuk-tajuk lain. Kalau bercakap tentang ayat Quran, mereka rasa tak selesa. Jadi, kalau kita pun ada masalah untuk bercakap-cakap tentang ayat-ayat Quran, itu menunjukkan yang kita ada masalah yang besar.

Atau kalau bercakap tentang ayat-ayat Quran, mereka akan cuba menafsirkan ayat itu dalam maksud yang lain. Mereka akan kata: “maksud ayat ini sebenarnya begini, begitu”. Sebagai contoh, mereka akan kata, ayat-ayat Quran itu ada maksud lain. Padahal, mereka tak belajar pun tafsir Quran. Ada yang tafsir dengan pemahaman sendiri pun ada. Ada yang hanya google sahaja apa yang mereka hendak. Padahal, belum tentu apa yang ada dalam google dan internet itu benar.

Ada juga yang belajar benda-benda lain sebelum lihat terjemahan Quran, maka apabila mereka lihat ayat-ayat Quran, mereka terjemah ayat Quran itu ikut pemahaman mereka yang sudah salah itu. Sebagai contoh, ada yang kata, Syurga dan neraka bukannya ada, tapi itu adalah kerana Allah hendak menakut-nakutkan manusia sahaja. Kerana mereka kata, orang-orang Arab waktu itu akal mereka lemah, jadi mereka kena ditakutkan dengan benda-benda yang tidak wujud. Mereka ditakutkan supaya mereka dengar kata dan akan buat perkara-perkara yang baik. Seperti anak-anak kita, yang kita takutkan dengan hantu supaya mereka ikut cakap kita. Ma sha Allah. Itu adalah pemahaman yang jauh dari agama dan amat merbahaya. Tapi mereka kata begitu, kerana mereka telah baca tentang agama dari maklumat yang salah. Jadi, apabila mereka baca ayat-ayat Quran, mereka samakan pemahaman mereka sebelum itu dengan ayat Quran. Padahal, sepatutnya ayat Quran menjadi fahaman yang utama. Sebab itu para sahabat tidak akan membenarkan anak-anak mereka belajar benda lain sebelum mereka habis belajar tafsir Quran, supaya segala fahaman dan pembelajaran mereka akan berdasarkan kepada fahaman Quran. Bukan sebaliknya.

Macam sekarang, dalam majlis-majlis ilmu agama, tidak ada disebutkan tentang Quran pun. Seperti Quran itu tidak penting. Mereka akan berbincang dan bercakap macam-macam, tapi mana ayat Qurannya? Kalau ada pun, mereka akan panggil seorang Qari untuk memulakan majlis itu dengan membaca beberapa potong ayat-ayat Quran. Ataupun mereka akan baca ayat Quran tapi tidak dijelaskan apakah pemahaman yang boleh diambil dari ayat itu. Begitulah jauhnya manusia dari Quran. Padahal Quran itu dari Allah. Kenapakah mereka tidak ambil peduli dengan kata-kata dari Allah sendiri? Dan ada yang kata Quran kena ditafsirkan kembali. Padahal mereka belum pun belajar apakah maksud ayat-ayat Quran itu. Mereka ingat Quran itu pula kena ikut faham mereka, bukan mereka yang kena ikut faham Quran.

Kalau dalam masyarakat kita, yang menghalang Quran itu bukanlah orang yang tidak membaca Quran. Ramai yang baca ayat-ayat Quran, sebab mereka suka dan tenang apabila membaca ayat-ayat Quran. Mereka tahu akan dapat pahala kalau baca ayat Quran. Mereka pun sayang Quran. Tapi setakat membaca sahaja, tapi tidak sampai untuk memahaminya. Menjadilah mereka seperti burung belatok sahaja, hanya boleh cakap, tapi tidak faham yang dicakap. Mereka itu tahu baca Quran, tapi tidak tahu langsung makna dari Quran itu. Maka mereka baca, tapi mereka buat perkara yang dilarang dalam Quran itu.

 

 لَعَلَّكُمْ تَغْلِبُونَ

mudah-mudahan kamu berjaya mengatasi.

Mereka ingat dengan mereka buat bunyi bising, dapat mengalahkan Quran. Amat salah sekali anggapan mereka. Mereka akan kalah akhirnya. Setakat mana mereka boleh halang orang dari dengar Quran? Kalau mereka buka tempat penceritaan, orang pun lama-lama bosan dengar cerita yang sama. Quran akan tetap menang.

Dari ini kita boleh faham bahawa mereka tahu bahawa ayat Quran itu adalah benar, sampai mereka yang kena mengatasi ayat Quran itu. Dan mereka tahu bahawa ianya sesuatu yang hebat. Sampaikan mereka hanya boleh berharap sahaja untuk mengatasinya. Lihatlah dalam ayat ini, mereka berkata ‘mudah-mudahan’ – mereka berharap sahaja.

Ini adalah kerana Quran itu sendiri adalah mukjizat. Ianya dapat mengubah manusia serta merta. Ianya tidak sama dengan kitab-kitab yang lain. Kerana kalau mereka mendengar ayat-ayat Quran dibacakan, mereka difahamkan dengan apa yang mereka dengar, dan kalau mereka membuka hati mereka waktu itu, mereka boleh terus berubah kepada beriman dengan Quran.

Yang berkata dalam ayat ini adalah ketua-ketua masyarakat Musyrikin Mekah. Kalau di Malaysia, yang menghalang tafsir Quran dari diajar adalah orang-orang yang ada pangkat dalam agama juga. Mereka takut kalau masyarakat tahu apakah kandungan Quran, mereka sudah tidak ada kelebihan lagi. Kerana apa yang mereka bawa sebenarnya tidak sama dengan apa yang diajar dalam Quran. Apabila masyarakat tidak tahu Quran, mereka senang nak cakap apa-apa dan masyarakat senang sahaja percaya. Tapi tidak lagi kalau masyarakat sudah faham Quran.

 


Ayat 27: Takhwif Ukhrawi

فَلَنُذيقَنَّ الَّذينَ كَفَروا عَذابًا شَديدًا وَلَنَجزِيَنَّهُم أَسوَأَ الَّذي كانوا يَعمَلونَ

Sahih International

But We will surely cause those who disbelieve to taste a severe punishment, and We will surely recompense them for the worst of what they had been doing.

Malay

Maka, demi sesungguhnya! Kami akan merasakan orang-orang yang kafir itu azab seksa yang seberat-beratnya, dan Kami akan membalas mereka dengan seburuk-buruk balasan bagi apa yang mereka telah kerjakan.

 

فَلَنُذِيقَنَّ  الَّذِينَ كَفَرُوا  عَذَابًا شَدِيدًا

Pasti, tidak syak lagi, Kami akan beri orang-orang yang engkar itu rasa azab yang pedih;

Ada penekanan yang kuat dalam ayat ini. Maknanya, mereka pasti akan dikenakan. Iaitu mereka yang menghalang Quran dari diajar kepada manusia. Sudahlah mereka tidak mahu terima, tapi mereka halang pula lagi. Mereka berusaha untuk tentang dan palingkan orang lain dari Quran.

Mereka akan dikenakan dengan azab yang sangat keras, sangat pedih. Ada penekanan dengan perkataan شَدِيدًا ini. Oleh itu, ia bukan azab yang biasa. Di dunia lagi mereka akan merasa kesempitan fikiran. Mereka mencuba sedaya upaya hendak menghalang dakwah Islam, semakin dilawan, semakin Islam berkembang.

 

وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ  أَسْوَأَ الَّذِي كَانُوا يَعْمَلُونَ

Dan pasti Kami akan balas kepada mereka berdasarkan kesalahan yang paling buruk dahulu.

Mula-mula Allah akan beri mereka ‘rasa’ sahaja, tapi selepas itu mereka akan rasa betul-betul. Macam makan juga, mula-mula akan rasa dahulu. Selepas itu baru makan betul-betul. Ada peningkatan dari segi penggunaan bahasa yang digunakan dalam ayat ini.

Balasan yang dikenakan kepada mereka itu adalah kerana kesalahan buruk yang mereka amalkan. Dan kesalahan mereka itu banyak. Tapi mereka akan dibalas mengikut kadar kesalahan mereka yang paling buruk sekali. Dan dosa yang paling jahat sekali adalah dosa syirik.

 

 


Ayat 28:

ذٰلِكَ جَزاءُ أَعداءِ اللَّهِ النّارُ ۖ لَهُم فيها دارُ الخُلدِ ۖ جَزاءً بِما كانوا بِآياتِنا يَجحَدونَ

Sahih International

That is the recompense of the enemies of Allah – the Fire. For them therein is the home of eternity as recompense for what they, of Our verses, were rejecting.

Malay

Demikianlah keadaannya balasan musuh-musuh Allah iaitu neraka; disediakan untuk mereka tempat tinggal yang kekal didalamnya, sebagai balasan bagi perbuatan mereka sentiasa mengingkari ayat-ayat Kami.

 

ذَٰلِكَ جَزَاءُ أَعْدَاءِ اللَّهِ النَّارُ

Itulah balasan bagi musuh-musuh Allah, iaitu api neraka

جَزَاءُ adalah balasan yang mereka akan terima, tapi maksud perkataan itu ada elemen yang ianya akan berterusan diterima oleh mereka. Oleh itu, bukan sahaja mereka akan kena azab, tapi mereka akan terus menerima azab itu. Kalau dalam dunia, kalau seorang membunuh ramai orang, paling banyak dia boleh dibunuh balas adalah sekali sahaja kerana dia hanya ada satu nyawa sahaja. Tapi kalau di akhirat nanti, Allah bunuh dia berkali-kali.

Teruk sekali gelaran yang diberikan kepada mereka: musuh-musuh Allah. Kalau bermusuh dengan Allah, bolehkah mereka selamat lagi? Memang tidak ada harapan langsung.

 

لَهُمْ فِيهَا دَارُ الْخُلْدِ

Bagi mereka dalam neraka itu, negeri yang kekal abadi.

Apabila digunakan perkataan فِيهَا, itu bermaksud mereka akan tinggal tetap di dalamnya, mereka tidak akan dapat keluar. Kalau orang beriman, ada juga yang akan masuk dalam neraka kerana mereka ada dosa yang perlu dibersihkan. Tapi, akhirnya mereka akan keluar neraka dan masuk syurga. Mereka itu dikenali sebagai jahannamiyyun.

Tapi mereka yang disebut dalam ayat ini, mereka tidak ada peluang untuk keluar langsung. Mereka akan kekal abadi dalam neraka. Adakah ini berbaloi?

Kesalahan mereka buat semasa di dunia, bukannya sepanjang masa. Ada waktu tertentu sahaja yang mereka buat dosa. Kadangkala mereka mengalah juga. Tapi di akhirat akan diazab sentiasa, tiada cuti langsung.

 

جَزَاءً بِمَا كَانُوا بِآيَاتِنَا يَجْحَدُونَ

Ini sebagai balasan terhadap apa yang mereka dulu tentang ayat-ayat Kami bila dibaca dulu, mereka membantah.

Apabila ada perkataan كَانُوا, itu bermaksud mereka berkali-kali membantah. Bukan sekali dua sahaja. Ini adalah kerana bukan sekali dua sahaja Nabi Muhammad berdakwah kepada mereka dan membacakan ayat Quran kepada mereka – banyak kali. Tapi setiap kali, mereka akan bantah. Dan yang paling mereka bantah itu adalah ayat-ayat Tauhid. Itu yang mereka paling susah untuk terima.

Mereka jadi kufur kerana apabila ayat Quran dibacakan, mereka faham tapi enggan terima. Mereka bantah di khalayak ramai, tapi dalam hati mereka, mereka tahu bahawa ianya adalah benar. Jadi, maksud يَجْحَدُونَ adalah membantah dalam faham. Oleh itu, mereka ini adalah jenis ‘kafir degil’, bukan ‘kafir jahil’.

Abu Jahal dan sahabat-sahabatnya sebenarnya selalu mendengar ayat Quran dibacakan pada malam hari secara senyap-senyap. Kerana mereka tahu bahawa ianya benar dan mereka pun terhibur apabila mendengar bacaannya. Mereka tahu dalam hati mereka bahawa ianya adalah benar, tapi kerana mereka sombong dan mereka takut kedudukan mereka akan tergugat, mereka tidak terima dan mereka tentang.

 


Ayat 29: Sebelum ini telah disebut tentang ketua-ketua masyarakat yang menentang dakwah. Memang bahaya kalau ikut pemimpin sahaja tanpa usul periksa. Kerana kalau mereka salah, kita pun akan terpalit lagi. Tapi dalam ayat ini, Allah mengingatkan kita bahawa ada golongan-golongan yang bukan dari kalangan pemimpin-pemimpin. Mereka itulah golongan yang biasa sahaja. Mereka itu mengikut sahaja kerana mereka kurang ilmu. Kurang ilmu kerana malas belajar dan enggan belajar.

Maka, kita hendaklah beri perhatian kepada mereka. Kita kena dakwah kepada mereka dengan memberikan dakwah Quran dengan sejelas-jelasnya kepada mereka. Kena ajak mereka datang belajar agama yang benar. Mungkin mereka akan dapat terima dakwah kita kalau Allah beri hidayah dan mereka akan tinggalkan kesesatan yang diajar oleh guru-guru mereka itu.

وَقالَ الَّذينَ كَفَروا رَبَّنا أَرِنَا اللَّذَينِ أَضَلّانا مِنَ الجِنِّ وَالإِنسِ نَجعَلهُما تَحتَ أَقدامِنا لِيَكونا مِنَ الأَسفَلينَ

Sahih International

And those who disbelieved will [then] say, “Our Lord, show us those who misled us of the jinn and men [so] we may put them under our feet that they will be among the lowest.”

Malay

Dan orang-orang yang kafir berkata: “Wahai Tuhan kami! Perlihatkanlah kepada kami dua golongan yang telah menyesatkan kami dari jin dan manusia, untuk kami meletakkan mereka di bawah tapak kaki kami, supaya mereka menjadi golongan yang terkebawah dalam kehinaan”.

 

وَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا

Dan berkata orang-orang yang kafir yang engkar itu.

Mana-mana golongan yang seru tok wali, seru malaikat, seru Nabi, semua mereka dipanggil kafir belaka. Sedangkan mereka pakai serban, jubah dan janggut panjang.

Ini adalah jenis kafir yang lain dengan mereka yang sebelum ini menyuruh supaya buat bising apabila dibacakan ayat Quran. Kafir dalam ayat ini adalah ‘kafir pengikut’. Mereka jadi pak turut sahaja dengan apa kata orang, tanpa mereka usul periksa lagi. Memang ramai dalam dunia orang yang sebegini. Mereka akan kata: “ustaz ini kata macam ini”, “ustaz itu kata benda ni baik untuk dilakukan”, “ustaz itu kata ini adalah bidaah hasanah”, dan macam-macam lagi. Allah telah berikan mereka akal, tapi mereka tak guna.

Mereka semasa di dunia hanya mengikut sahaja kata orang. Orang yang mengajak kepada kesesatan itu selalunya pandai dalam hujah mereka, ada kelebihan yang menyebabkan ramai orang ikut mereka. Dan kerana mengikut orang itu, mereka telah melakukan kekafiran. Mereka juga dimasukkan ke dalam neraka. Sebab walaupun mereka ikut orang, mereka pun buat salah juga. Mereka takkan terlepas. Mereka takkan dilepaskan dengan mereka hanya berkata: “Tapi kami ikut si fulan dan si fulan.”. Takkan lepas dari azab Allah. Tapi apabila mereka dimasukkan ke dalam neraka, mereka tak puas hati. Lihatlah apa kata mereka kepada Allah:

 

رَبَّنَا أَرِنَا اللَّذَيْنِ أَضَلَّانَا مِنَ الْجِنِّ وَالْإِنْسِ

“Wahai Tuhan kami, tunjukkan kepada kami dua puak yang menyesatkan kami dari kalangan jin dan manusia

Yang berkata dalam ayat ini adalah anak-anak murid yang belajar dengan tok guru mereka yang mengajar ajaran yang salah. Mereka itu mengikut sahaja kata-kata pemimpin, guru  mereka tanpa mereka buat kerja lebih sikit untuk memastikan mereka itu benar atau tidak. Mereka malas nak fikir. Tapi, disebabkan mereka ikut ajaran salah guru dan pemimpin mereka, mereka dah masuk dalam neraka dah.

Sekarang, mereka dah masuk neraka, mereka dah marah dah. Mereka nak tengok siapa yang telah menyesatkan mereka itu. Iaitu dua puak dari puak jin dan puak manusia. “Kami nak tengok mereka. Tolong bawa mereka kepada kami.” Mereka nak dipanggilkan manakah syaitan-syaitan yang banyak-banyak tu, manakah yang telah menyesatkan dia semasa di dunia dulu.

Dari golongan manusia adalah ketua-ketua mereka, Tok-Tok guru, ustaz-ustaz yang mana yang mengajar mereka ajaran-ajaran sesat, ajaran-ajaran salah, ajaran-ajaran bidaah semasa mereka di dunia. Mereka dulu percaya kepada guru-guru mereka itu. Mereka ikut sahaja apa yang guru mereka kata dan ajar. Mereka tak buka minda dan iman mereka untuk belajar Quran. Kalau mereka belajar tafsir Quran, mereka akan nampak kesalahan yang telah diajar oleh guru mereka itu. Kalau mereka belajar tafsir Quran dan hadis yang sahih, mereka tidak akan mudah nak terima kata-kata guru mereka itu. Kerana dalil yang diberikan oleh guru-guru itu adalah amat lemah sekali.

 

نَجْعَلْهُمَا تَحْتَ أَقْدَامِنَا

“Supaya kami jadikan mereka (jin dan manusia itu) dibawah tapak kaki kami.

Sekarang mereka dah menyesal. Sekarang mereka dah nak balas dendam kepada guru-guru mereka itu dan jin syaitan yang mereka puja dulu semasa di dunia tanpa sedar. Mereka nak pijak-pijak mereka itu dengan tapak kaki mereka. Kerana guru-guru itulah dan jin syaitan itulah yang ajar kepada mereka fahaman dan ajaran yang salah dulu.

Mereka yang ikut pun salah juga sebab ikut sahaja tanpa usul periksa – dua-dua memang salah. Jangan salahkan mereka yang mengajar sahaja, yang mengikut pun salah juga kerana mengikut. Yang mengajar amalan bidaah sekarang, senang sahaja mereka ajar kerana masyarakat kita hanya terima sahaja, tanpa usul periksa. Kalaulah masyarakat kita pandai tanya dalil – “dari mana amalan ini ustaz?” – tentulah guru-guru itu tidak berani nak ajar perkara bidaah. Kerana mereka akan pastikan bahawa mereka boleh jawap kalau anak murid tanya.

Masyarakat kita juga mudah sangat nak terima kisah-kisah mengarut dari ustaz tukang cerita dalam Malaysia ini. Tidak pernah nak tanya: “betul ke kisah ini ustaz? Lain macam sahaja saya dengar, macam tak masuk akal sahaja…”. Maka tukang-tukang cerita karut itu sedap mulut sahaja nak sampaikan. Mereka pun rasa hebat sahaja bila sampaikan kisah-kisah karut itu. Alhamdulillah, boleh dikatakan ada sedikit pembaharuan dari dulu. Kalau dulu, langsung tidak ada yang berani tanya. Sekarang, dah ada yang mula tanya. Cuma sekarang, masih lagi yang ditanya pula kena marah kerana dikatakan kurang ajar. Yang marah-marah itu adalah mereka yang jahil, yang senang percaya, yang hormat tak tentu pasal.

 

 لِيَكُونَا مِنَ الْأَسْفَلِينَ

“supaya mereka betul-betul terkebawah dalam kehinaan.”

Supaya mereka itu jadi lebih hina dari kami. Supaya mereka kena lebih teruk dari kami. Lebih dimalukan dari kami. Kerana merekalah sebabnya kami jadi begini.

Tidaklah berguna langsung permintaan mereka ini. Tidak akan diberikan kelulusan oleh Allah. Takkan Allah nak beri kejadian seperti ini berlaku di hadapanNya nanti? Sedangkan segala manusia lain, segala malaikat dan makhluk lain akan berdiri bersaf-saf di hadapan Allah waktu itu?

Ini cerita nak pukul mereka dalam neraka kerana nak balas dendam. Sebab masa itu baru zahir, siapakah tok guru dia yang sebenarnya. Baru mereka nampak kesalahan yang guru mereka ajar dan amalkan dulu. Dulu semasa di dunia, mereka nampak hebat apa yang guru mereka buat. Mereka ingat guru mereka dah alim sangat dah. Kalau guru mereka kena tegur dengan mereka yang belajar, mereka akan pertahan guru-guru mereka, siap nak pukul pun ada. Walaupun apa yang guru mereka buat itu tidak ada asas dalam agama, tapi mereka nampak molek sahaja perbuatan guru itu. Tapi, hakikatnya, dua-dua dalam neraka dah waktu itu. Nak panggil guru mereka itu, hanya nak balas dendam sahaja, bukan boleh keluarkan dia dari neraka pun.

Macam-macam contoh ajaran guru yang karut. Ada guru yang baca wirid pada batu kerikil dan dia tandakan pada batu kerikil itu. Setiap seribu kali baca wirid, dia simpan satu batu. Dia siap pesan, bila dia mati, suruh ditanam dengan batu-batu itu sebagai bukti amalan dia. Dia kata batu itulah nanti yang akan berzikir untuk dia nanti. Anak-anak murid sangka hebat benar guru mereka itu. Mereka tak tahu bahawa itu adalah amalan yang salah, tidak ada asas dalam agama. Padahal semua makhluk seperti batu, burung dan lain-lain, memang berzikir dah, tapi berzikir kepada Allah – bukan untuk manusia. Yang ada, Malaikat ada yang berdoa untuk manusia dalam keadaan tertentu. Contohnya, di dalam Quran diberitahu bahawa Malaikat akan mendoakan kepada orang yang beriman. Dan kita juga diberitahu di dalam Hadis, bahawa sesiapa yang ziarah orang sakit, 70 ribu malaikat akan istighfar untuk dia. Walaupun yang dia ziarah itu sakit mata sahaja. Itu semua disebut dalam hadis yang sahih. Kalau hadis sahih cakap, barulah kita boleh terima. Kerana perkara-perkara ini adalah perkara-perkara ghaib, yang kita sendiri tidak dapat tahu tentangnya kalau Nabi tak tahu. Jadi, memang malaikat ada yang tolong doakan untuk kita dengan syarat-syarat tertentu. Tapi kalau kata batu ada yang tolong doakan, itu tidak ada dalil. Ini adalah satu contoh sahaja. Banyak lagi contoh-contoh lain yang ada dalam amalan masyarakat kita. Kita harap dengan pembelajaran tafsir Quran ini, anda boleh bezakan mana yang betul dan mana yang salah.

Inilah dalil yang kukuh supaya kita jangan ikut orang sahaja. Selalu kita jumpa, apabila dibawakan ayat Quran dan hadis Nabi sebagai dalil, ada antara manusia yang akan berkata: “perkara ini dah lama dah ustaz-ustaz dulu bincangkan, kita ikut mereka sahaja”, “takkan ulama-ulama dulu salah”, “takkan tok nenek kita dulu nak masuk neraka semuanya” dan lain-lain lagi kata-kata mereka. Allah ingatkan kepada kita supaya jangan jadi begini. Nanti kita akan menyesal kalau kita berfikiran begitu. Mereka itulah nanti yang akan cari balik tok guru mereka kerana marah nanti. Waktu itu, menyesal air mata darah pun tidak berguna.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya. 


Rujukan:

Maulana Hadi

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

Syeikh Nasir Jangda

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 041: Fussilat and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s