Tafsir Surah Fussilat Ayat 12 – 20 (Kaum Aad dan Tsamud)

Ayat 12: Dalil Aqli Afaqi.

فَقَضاهُنَّ سَبعَ سَماواتٍ في يَومَينِ وَأَوحىٰ في كُلِّ سَماءٍ أَمرَها ۚ وَزَيَّنَّا السَّماءَ الدُّنيا بِمَصابيحَ وَحِفظًا ۚ ذٰلِكَ تَقديرُ العَزيزِ العَليمِ

Sahih International

And He completed them as seven heavens within two days and inspired in each heaven its command. And We adorned the nearest heaven with lamps and as protection. That is the determination of the Exalted in Might, the Knowing.

Malay

Lalu Ia menjadikannya tujuh langit, dalam dua masa; dan Ia memberitahu kepada tiap-tiap langit akan urusan dan keperluannya masing-masing. Dan Kami hiasi langit yang dekat (pada pandangan mata penduduk bumi) dengan bintang-bintang yang bersinar cemerlang serta memelihara langit itu dengan sebaik-baiknya. Demikianlah ketentuan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.

 

فَقَضَاهُنَّ سَبْعَ سَمَاوَاتٍ

Allahlah yang telah cipta tujuh langit

Tidaklah kita dapat memahami dengan tepat bagaimanakah rupa dan hakikat tujuh langit itu. Kalau dalam dunia ini pun kita tidak habis kaji lagi, apatah lagi alam langit yang di luar jangkauan kita. Berbagai pendapat diberikan oleh penafsir-penafsir dan pengkaji-pengkaji tentang apakah yang dimaksudkan dengan ‘tujuh langit’ ini. Tapi semua itu tidak lebih daripada tekaan-tekaan sahaja.

 

فِي يَوْمَيْنِ

dalam dua masa.

Allah jadikan bumi dalam ’empat masa’. Jadi jumlah kesemuanya penciptaan langit dan bumi adalah dalam ‘enam masa’.

 

وَأَوْحَىٰ فِي كُلِّ سَمَاءٍ أَمْرَهَا

Kemudian Allah perintah setiap lapisan langit arahan-arahan.

Ada sekian banyak matahari, bulan sekian banyak, gerak begini dan begitu dan lain-lain lagi arahan telah diberikan. Matahari akan duduk di tempat yang tetap, akan keluar ikut masanya yang telah ditetapkan. Begitu juga semua benda. Semuanya telah diberikan dengan arahan-arahan yang mereka kena ikut. Ianya akan berlaku sehingga ke Hari Kiamat. Semuanya telah diatur dengan begitu teliti dan tepat sekali, sampaikan kalau lari sikit sahaja, maka akan bertempiaranlah alam ini.

Setiap langit ada tugasnya masing-masing. Langit pertama buat ini, langit kedua buat itu dan sebagainya.

 

وَزَيَّنَّا السَّمَاءَ الدُّنْيَا 

Dan Kami hiasi langit dunia

Yang dimaksudkan dengan ‘langit dunia’ adalah langit yang kita boleh nampak. Selagi ada bintang, selagi itu ianya masih langit dunia yang pertama lagi. Kerana di atas dari langit dunia tidak diceritakan ada bintang-bintang. Hanya diceritakan berkenaan langit dunia sahaja yang ada bintang. Oleh itu, dari sini kita tahu, bahawa Allah telah meletakkan bintang-bintang itu untuk mencantikkan langit. Kita sahaja yang tidak perasan sebab kita jarang tengok langit.

Budaya kita bukan budaya yang tengok langit. Tambahan pula sekarang, dengan segala pencemaran alam, kita tak berapa nampak langit dan bintang-bintang yang indah itu. Tapi bangsa Arab adalah satu bangsa yang suka tengok langit. Mereka kadang-kadang akan tidur di bumbung rumah mereka dan melihat langit untuk mengisi masa lapang mereka. Bumbung rumah mereka bukan macam bumbung rumah kita. Bumbung rumah kita dalam bentuk sekarang kerana cuaca kita selalu hujan maka kena pakai bentuk tiga segi supaya air hujan senang turun. Tapi atap rumah bangsa Arab mendatar, sampaikan mereka boleh naik dan tidur di atasnya.

Begitu indahnya kerlipan bintang di malam hari. Dengan memerhatikannya, maka akan tertariklah perasaan kita untuk menghargai alam yang telah dijadikan Allah ini. Dalam surah Mulk, Allah telah menganjurkan kita untuk melihat alam langit berkali-kali.

 

بِمَصَابِيحَ

dengan lampu-lampu

Maksudnya, dengan bintang-bintang. Juga termasuk matahari dan bulan. Amat indah sekali pada malam yang cerah, kalau dapat melihat bintang-bintang di langit. Manusia telah meniru perhiasan asal yang dijadikan Allah ini dengan meletakkan lampu-lampu jalan dan lampu-lampu perhiasan di kota-kota dan bandar-bandar. Begitu juga lampu di rumah-rumah kita begitu cantik sekali.

 

وَحِفْظًا

dan pemeliharaannya.

Allahlah yang menjaga langit itu kerana kalau Allah tak jaga, bintang-bintang itu akan runtuh. Kalau bergerak sedikit sahaja dari kedudukan yang telah ditetapkan, maka akan mengganggu segala ekosistem alam ini yang akan menyebabkan semuanya akan berjatuhan dari orbit masing-masing dan akan menyebabkan perlanggaran antara satu sama lain.

Dan ia juga bermaksud langit dunia itu ada penjaga-penjaga dari kalangan malaikat yang akan merejam syaitan-syaitan dari kalangan jin yang cuba untuk mendengar-dengar berita dari langit. Sebelum Nabi Muhammad, jin-jin boleh naik ke langit untuk mencuri dengar berita dari langit. Tapi apabila baginda sudah dinaikkan sebagai Nabi, mereka sudah tidak boleh naik lagi ke langit, kerana mereka akan dilempar dengan bebola api oleh malaikat-malaikat penjaga di langit itu. Ini diterangkan dengan lebih lanjut di dalam surah Jin.

Ataupun bintang-bintang itu adalah satu sistem yang menjaga alam kita ini dari bahaya yang kita pun masih tak tahu lagi. Boleh diibaratkan bintang-bintang itu sebagai pagar yang memagar supaya menjaga keselamatan kita. Ini dipanggil Van Allen radiation belts.

 

ذَٰلِكَ تَقْدِيرُ الْعَزِيزِ

Demikianlah ketentuan Yang bersifat gagah perkasa

Semua yang kita lihat telah tersusun indah ini telah ditaqdirkan/ditentukan oleh Allah.

Allah maha berkuasa untuk buat segala itu. Kekuasaan Allah itu tidak ada tandingan. Tidak ada yang boleh buat seperti yang Allah telah buat itu. Jadi, mengapa tidak beribadat kepada Allah, tapi nak ibadat kepada yang tidak boleh buat perkara-perkara itu semua?

 

الْعَلِيمِ

Yang Maha Mengetahui akan sesuatu.

Allah Maha Tahu segala-galanya. Hanya sedikit sahaja kita tahu. Yang kita tahu itu pun hanyalah setelah Allah berikan pengetahuan kepada kita dan setelah Allah berikan sedikit akal kepada kita. Yang Maha Mengetahui hanyalah Allah sahaja. Tidak ada yang tahu tentang alam ini dengan sepenuhnya melainkan Allah sahaja. Kita memang cuba hendak mengetahuinya, tapi kita tidak akan dapat segala maklumat tentang alam ini. Yang saintis dapat kaji hanyalah langit pertama atau langit dunia sahaja, tidak lebih dari itu.

 


Ayat 13: Ini adalah ayat zajrun dan takhwif duniawi. Ini adalah ayat ancaman kepada orang kafir yang masih tidak mahu menerima iman yang diajarkan kepada mereka. Setelah diberikan peringatan yang jelas, tapi mereka masih juga engkar, maka sekarang telah sampai ayat ancaman kepada mereka dan juga kita.

Ada satu kisah bagaimana seorang musyrikin Mekah yang bernama Utbah telah memarahi Nabi kerana berdakwah. Baginda senyap sahaja dan kemudian membaca Surah Fussilat. Apabila sampai kepada ayat ini, Utbah telah menutup mulut Nabi kerana takut dengan ancaman dalam ayat ini:

فَإِن أَعرَضوا فَقُل أَنذَرتُكُم صاعِقَةً مِثلَ صاعِقَةِ عادٍ وَثَمودَ

Sahih International

But if they turn away, then say, “I have warned you of a thunderbolt like the thunderbolt [that struck] ‘Aad and Thamud.

Malay

Oleh itu, kalau mereka (yang musyrik) berpaling (daripada mengesakan Allah dan menurut jalan yang lurus), maka katakanlah (wahai Muhammad): “Aku memberi amaran kepada kamu dengan (azab yang dahsyat, iaitu) petir, seperti petir yang telah menyambar kaum Aad dan kaum Thamud!”

 

فَإِنْ أَعْرَضُوا

Dan sekiranya mereka berpaling 

Iaitu berpaling dari ajakan tauhid ini, masih juga buat syirik kepada Allah. Masih juga mereka kata hati mereka tertutup dan telinga mereka tersumbat seperti yang telah disebut dalam ayat 5.

 

فَقُل أَنذَرتُكُم صاعِقَةً

Maka katakanlah kepada mereka: Aku memberi ancaman kepada kamu, akan ditimpa petir,

صَاعِقَةً asalnya bermaksud orang yang ‘jatuh tidak sedar diri’. Seperti yang disebut dalam surah lain, bagaimana Nabi Musa jatuh tidak sedar diri apabila bukit Thur dihancurkan berdekatan dengannya, apabila baginda minta untuk melihat Allah. Jadi, صَاعِقَةً bermaksud bala yang amat mengejutkan sampai menyebabkan seseorang itu boleh jatuh pengsan kerana terkejut atau takut sangat. Selalunya ditafsirkan bala itu sebagai petir. Atau, ia juga boleh bermaksud azab jenis tempikan. Jenis tempikan yang menyebabkan manusia jatuh mati. Apabila ia datang, ia akan bakar habis satu kampung. Jadi, kalau nak terjemah sebagai petir sahaja tidak tepat.

 

مِثْلَ صَاعِقَةِ عَادٍ وَثَمُودَ

seperti petir yang telah menyambar kaum Aad dan Tsamud.

Apabila kedengaran petir atau tempikan itu, jantung manusia tercabut. Gunung akan runtuh. Datang dengan ribut dan gegaran yang amat kuat sekali. Ancaman itu kepada orang sekarang juga, jangan ingat hanya kepada mereka yang telah lalu sahaja. Sesiapa yang engkar, boleh dikenakan dengan azab macam itu juga. Ini bukan peringatan biasa. Bukan hanya cerita berkenaan orang dahulu sahaja. Kalau sekarang engkar pun boleh jadi macam ini. Jangan kita sangka tak boleh jadi kepada kita.

Kaum Aad dan Tsamud adalah bangsa Arab tua yang telah punah. Jadi, orang-orang Quraish kenal mereka itu dan tahu apa yang terjadi kepada mereka. Maka, Allah mengingatkan mereka tentang apakah yang terjadi kepada dua kaum itu. Semoga mereka sedar dan takut akan terjadinya perkara yang sama kepada mereka.

Nota: sampai ayat inilah Nabi bacakan kepada Utbah. Apabila sampai ke ayat ini, Utbah menutup mulut Nabi, kerana tak sanggup lagi dengar kata-kata dari ayat Quran. Selepas selama beberapa hari, Utbah tak keluar rumah. Kerana dia terkesan sangat dengan ayat-ayat yang dibacakan. Kerana dia takut dengan apa yang akan terjadi. Kerana dia tahu apa yang Nabi Muhammad cakap, ianya akan terjadi.

Apabila orang-orang Quraish jumpa dia kembali selepas beberapa hari, mereka tanya dia kenapa dia hilang? Utbah jawap dia diam kerana dia takut akan jatuh bala ke atas mereka. Dia takut akan ditimpa bala yang dikenakan kepada Aad dan Tsamud.

Azab yang ditimpakan kepada Kaum Aad dan Tsamud digunakan dalam ayat ini, kerana ini adalah ayat-ayat Mekah. Dan ayat-ayat Quran memang mula ditujukan kepada Bangsa Arab. Bangsa Arab memang kenal dengan dua kaum ini. Dan mereka tahu bahawa kaum itu kena bala kerana mereka tidak menerima Nabi-nabi mereka. Ini mengajar kita dalam dakwah – menggunakan contoh orang-orang terdahulu supaya memberi kesan kepada orang yang kita dakwah itu.

Seperti telah disebut sebelum ini, susunan dakwah adalah memberi motivasi kepada mereka dahulu sebelum mereka ditakutkan dengan azab. Lihatlah susunan ayat-ayat dalam surah ini. Allah mulakan dengan menceritakan tentang DiriNya, siapakah Dia, apa yang Dia telah buat dan sebagainya. Hanya selepas mereka masih tidak mahu terima barulah diberikan ancaman kepada mereka tentang azab yang mereka akan terima kalau mereka tidak mahu terima dakwah itu.

 


Ayat 14: Ayat sebelum ini, Allah kata tentang bala yang menimpa Kaum Aad dan Tsamud. Dalam ayat ini, Allah memberi penerangan tentang dua kaum itu.

إِذ جاءَتهُمُ الرُّسُلُ مِن بَينِ أَيديهِم وَمِن خَلفِهِم أَلّا تَعبُدوا إِلَّا اللَّهَ ۖ قالوا لَو شاءَ رَبُّنا لَأَنزَلَ مَلائِكَةً فَإِنّا بِما أُرسِلتُم بِهِ كافِرونَ

Sahih International

[That occurred] when the messengers had come to them before them and after them, [saying], “Worship not except Allah .” They said, “If our Lord had willed, He would have sent down the angels, so indeed we, in that with which you have been sent, are disbelievers.”

Malay

(Mereka ditimpa azab itu) kerana semasa mereka didatangi Rasul-rasul (memberikan berbagai penjelasan) mengenai keadaan hidup mereka di dunia dan di akhirat (sambil melarang mereka): “Janganlah kamu menyembah melainkan Allah”, mereka menjawab: “Jika Tuhan kami hendak (mengutus Rasul-rasul) tentulah Ia akan menurunkan malaikat; oleh itu sesungguhnya kami kufur ingkar akan apa yang (kamu katakan): kamu diutus membawanya!”

 

إِذْ جَاءَتْهُمُ الرُّسُلُ مِنْ بَيْنِ أَيْدِيهِمْ وَمِنْ خَلْفِهِمْ

Ketika datang kepada mereka rasul-rasul dari depan dan dari belakang mereka,

Maknanya rasul-rasul itu datang zaman itu dan zaman sebelumnya. Dengan berbagai-bagai cara mereka berdakwah. Macam guru sekarang sebar agama dari setiap tempat mereka datang untuk sebar agama. Dari dulu sampai sekarang, akan ada sahaja penyebar Tauhid.

Dan berbagai-bagai cara digunakan oleh pendakwah itu untuk menyampaikan dakwah itu kepada manusia. Dan mereka akan datang tidak tentu masa, mereka akan terus mencari peluang untuk berdakwah kepada umat. Tidaklah malam sahaja, atau siang sahaja.

Semua guru-guru dan rasul-rasul dulu akan bawa satu kalimah:

 

أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا اللَّهَ

“jangan kamu puja melainkan kepada Allah sahaja”.

Itulah dakwah Nabi, dakwah para pendakwah dari dulu sampai sekarang. Kalau dulu, ada para Rasul, para Nabi dan para pendakwah. Kalau sekarang, hanya ada pendakwah sahaja. Oleh itu, seorang pendakwah, seorang ulama, hendaklah bawa dakwah ini, kata-kata ini. Mereka hendaklah mengajar tentang Allah, tentang tauhid dan tentang melakukan ibadat kepada Allah sahaja. Kalau mereka tidak bawa kalimah ini, mereka adalah ulama su’ – ulama yang jahat. Kalau kita berjumpa dengan mereka, janganlah belajar dengan mereka, hendaklah kita tinggalkan mereka.

 

قالوا لَو شاءَ رَبُّنا لَأَنزَلَ مَلائِكَةً

Orang-orang Musyrik itu berkata: Jika Tuhan kami hendak, tentulah Dia akan turunkan malaikat-malaikat.

Mereka kata, kalau betul Tuhan hendak beri dakwah kepada kami, tentu Dia akan turunkan malaikat kepada mereka. Itu baru betul, kata mereka. Baru kami nak ikut, mereka kata.

Mereka juga kata: kalau dia seorang Nabi, tentu ada malaikat yang akan menemani Nabi. Mereka kata kepada Nabi: Takkan kamu jalan kaki seorang diri sahaja? Mereka ejek Nabi Muhammad.

Tapi, kalaulah seorang Nabi itu seorang malaikat, tentu mereka tak akan ikut juga. Mereka akan kata: “Kami dan kamu lain. Kamu bolehlah buat semua yang Allah suruh itu. Kamu tak perlu makan, minum, kerja dan sebagainya. Tapi kami perlu buat semua itu.” Dan kalau betullah Allah turunkan malaikat, tidaklah dalam rupa malaikat sebab manusia tidak boleh nampak malaikat – maka tentu malaikat turun sebagai rupa manusia. Tentu mereka tolak juga sebab mereka itu bukan malaikat, tapi manusia biasa sahaja. Sebab itulah Allah turunkan manusia sebagai Nabi untuk dijadikan contoh bahawa seorang manusia pun boleh buat apa yang Allah hendak.

Yang sebenarnya, mereka tolak Nabi, tolak wahyu, jadi macam-macam alasan yang mereka berikan. Macam ahli bidaah sekarang yang tolak para sahabat. Mereka tidaklah kata mereka tolak Nabi, tolak sahabat sahaja, tapi sebenarnya yang mereka tolak adalah Nabi.

Atau, mereka mengejek Rasul dalam ayat ini. Kerana sebelum itu Rasul telah memberi peringatan kepada mereka bahawa kalau mereka tidak ikut beriman dan mengamalkan ajaran tauhid, Allah boleh menurunkan azab kepada mereka dengan diturunkan malaikat. Malaikat itu akan menghancurkan mereka. Maka, apabila mereka tidak mahu terima dakwah itu, mereka ejek dengan mengatakan kalau betul, Allah boleh sahaja turunkan malaikat untuk mengazab mereka. Mereka mengejek-ngejek penyampai dakwah itu. Begitu teruknya mereka.

Jadi, ada berbagai-bagai ‘wajah’ apabila puak musyrikin menyebut tentang malaikat itu.

 

فَإِنّا بِما أُرسِلتُم بِهِ كافِرونَ

Sesungguhnya kami, terhadap apa yang kamu diutuskan dengannya itu, kami engkar.

Yang mereka tolak adalah ajakan Nabi supaya tidak mensyirikkan Allah itu, itu yang mereka tolak. Ajaran tauhid yang dibawa oleh Nabi itu mereka tolak.

Mereka degil untuk terima. Mereka akan kata guru-guru mereka ajar macam itu dan macam ini. Takkan guru-guru mereka itu salah. Guru mereka ilmu tinggi juga. Itu adalah alasan mereka. Apabila mereka engkar itu maknanya mereka telah kufur.

Tapi jangan kata kepada mereka bahawa mereka kafir. Kena ubah strategi dalam berdakwah kepada mereka. Kerana kita tidak tahu hujung mereka itu macam mana nanti. Mungkin mereka akan bertaubat dan menerima tauhid kemudian hari. Jangan kita kutuk mereka sampai mereka terus tidak mahu menerima ajakan kita di lain kali. Kita hendaklah berlembut dengan mereka dalam dakwah.

 


Ayat 15:

فَأَمّا عادٌ فَاستَكبَروا فِي الأَرضِ بِغَيرِ الحَقِّ وَقالوا مَن أَشَدُّ مِنّا قُوَّةً ۖ أَوَلَم يَرَوا أَنَّ اللَّهَ الَّذي خَلَقَهُم هُوَ أَشَدُّ مِنهُم قُوَّةً ۖ وَكانوا بِآياتِنا يَجحَدونَ

Sahih International

As for ‘Aad, they were arrogant upon the earth without right and said, “Who is greater than us in strength?” Did they not consider that Allah who created them was greater than them in strength? But they were rejecting Our signs.

Malay

Adapun kaum Aad, maka mereka berlaku sombong takbur di muka bumi dengan tiada sebarang alasan yang benar, serta berkata: “Siapakah yang lebih kuat dari kami?” Dan (mengapa mereka bersikap demikian?) Tidakkah mereka memerhatikan bahawa Allah yang menciptakan mereka (dari tiada kepada ada) adalah lebih besar kekuatanNya dari mereka? Dan sememangnya mereka sengaja mengingkari tanda-tanda kekuatan Kami (sedang mereka sedia mengetahuinya).

 

فَأَمَّا عَادٌ فَاسْتَكْبَرُوا فِي الْأَرْضِ بِغَيْرِ الْحَقِّ

Maka adapun kaum Aad itu, mereka orang yang sombong di muka bumi tanpa kebenaran

Kaum Aad telah diutus dengan Nabi mereka, Nabi Hud. Mereka jadi sombong kerana Allah kurniakan mereka badan yang besar dan kuat. Lebih dari manusia biasa. Oleh kerana itu, mereka sombong untuk terima kebenaran tentang tauhid.

Mereka tolak ajakan tauhid itu mentah-mentah sahaja, tanpa bawa dalil pun. Sedangkan Nabi datang ajar tauhid dengan bawa dalil.

Manusia tidaklah layak untuk sombong di mukabumi. Apalah yang hendak disombongkan? Padahal mereka tidak akan selamat kalau Allah tidak memberikan mereka keselamatan. Tidakkah mereka ingat dari apa mereka dijadikan? Mereka dijadikan dari tanah dan dari air mani yang hina asalnya. Berapa banyak lagi kejadian alam ini yang lebih hebat dari mereka. Tapi mereka masih lagi sombong? Itulah yang dimaksudkan mereka sombong tanpa hak. Mereka sebenarnya tidak layak sombong, tapi mereka sombong juga.

 

وَقَالُوا مَنْ أَشَدُّ مِنَّا قُوَّةً

Mereka berkata: “siapakah yang lebih kuat dari kami?”

Kaum Aad adalah jenis manusia gergasi. Ada riwayat mengatakan mereka 20 kaki tinggi. Mereka memang kuat dan besar; maknanya mereka tolak wahyu kerana mereka ada kelebihan dunia.

Rasul mereka adalah Nabi Hud. Mereka tinggal dalam bukit di Petra. Mereka pahat bukit-bukit itu dan dijadikan rumah mereka. Begitulah hebatnya mereka. Hadis Nabi kata, mereka boleh cabut pokok tamar dengan sebelah tangan sahaja. Begitulah kuatnya tubuh badan mereka. Mereka jadi sombong kerana mereka manusia yang paling besar sekali. Yang orang lain kecil macam biasa. Bukan semua manusia besar macam mereka. Mereka mati dengan tidak tinggal baka satu pun.

Begitulah bahayanya kalau Allah telah beri kelebihan kepada manusia dalam kehidupan dunia ini. Ianya adalah ujian kepada manusia. Kalau mereka berada di kedudukan yang tinggi, amat susah untuk terima kebenaran.

 

أَوَلَمْ يَرَوْا أَنَّ اللَّهَ الَّذِي خَلَقَهُمْ هُوَ أَشَدُّ مِنْهُمْ قُوَّةً

Tidakkah mereka lihat? Allah yang menciptakan mereka, Dia yang lebih kuat dari mereka.

Tidakkah mereka memperhatikan? Tidakkah mereka memikirkan?

Adakah mereka lupa siapa itu Allah? Iaitu Tuhan yang telah menjadikan mereka.

Tentulah yang menciptakan mereka lagi kuat. Cubalah bandingkan diri mereka dengan Allah pula. Selama hari ini, mereka cuma bandingkan dengan manusia lain sahaja, memanglah mereka lebih kuat dari mereka. Tapi kalau dengan Allah, bolehkah mereka lawan? Tentu tidak.

 

وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يَجْحَدُونَ

Dan mereka dulu terhadap ayat-ayat kami, membantah.

Mereka menolak wahyu dari Allah. Begitulah kebanyakan dari manusia zaman sekarang. Cara nak tahu orang yang kufur senang sahaja. Iaitu apabila ayat Quran dibaca kepada mereka, mereka akan bantah.

 


Ayat 16: Takhwif Duniawi. Mereka menentang pesanan dan dakwah yang disampaikan oleh Nabi mereka, Hud a.s. Maka, mereka telah diberikan azab seksa semasa di dunia lagi.

فَأَرسَلنا عَلَيهِم ريحًا صَرصَرًا في أَيّامٍ نَحِساتٍ لِنُذيقَهُم عَذابَ الخِزيِ فِي الحَياةِ الدُّنيا ۖ وَلَعَذابُ الآخِرَةِ أَخزىٰ ۖ وَهُم لا يُنصَرونَ

Sahih International

So We sent upon them a screaming wind during days of misfortune to make them taste the punishment of disgrace in the worldly life; but the punishment of the Hereafter is more disgracing, and they will not be helped.

Malay

Lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut yang kencang dalam beberapa hari yang nahas malang, kerana Kami hendak merasakan mereka azab seksa yang menghina dalam kehidupan dunia; dan sesungguhnya azab seksa hari akhirat lebih besar kehinaannya; sedang mereka tidak diberikan pertolongan (menghindarkan azab itu).

 

فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ رِيحًا صَرْصَرًا

Kami utuskan kepada mereka itu azab angin ribut yang kencang

Angin itu adalah jenis angin yang amat sejuk. Apabila mereka kena angin itu, mereka jadi beku kekerasan. Mereka mati dalam keadaan berdiri. Bila jatuh, mereka pecah berkecai. Itulah sebabnya tiada kesan mereka untuk kita lihat.

 

فِي أَيَّامٍ نَحِسَاتٍ

dalam beberapa hari yang penuh sial

Hari-hari itu adalah hari yang sial kerana mereka tidak berpeluang untuk bertaubat. Bilangan hari itu kurang dari sepuluh hari. Iaitu selama tujuh malam lapan hari seperti disebut dalam Haqqah:7. Bayangkan kalau angin puting beliung yang selama 5 minit berpusing di sesuatu tempat pun akan menyebabkan hancur luluh satu-satu kawasan itu. Tapi kepada kaum Aad, angin itu sudahlah sejuk, tapi mengganas selama tujuh hari dan tujuh malam. Memang hancur terus semuanya.

Allah kata hari itu adalah hari yang sial kepada mereka. Tetapi, kepada kita, tidak ada hari yang sial sebenarnya. Macam kita sekarang, ada yang kata tidak boleh kahwin pada bulan Muharram kerana kalau kahwin dalam bulan Muharram, ianya sial. Dan ada juga kalangan masyarakat kita yang pilih hari-hari tertentu sebagai sial juga. Itu semua adalah fahaman yang karut. Tapi apa yang Allah maksudkan adalah hari yang spesifik dikenakan kepada Kaum itu adalah hari yang sial untuk mereka.

 

لِنُذِيقَهُمْ عَذَابَ الْخِزْيِ

Supaya Kami dapat rasakan kepada mereka itu azab yang menghinakan

Kerana sebelum ini mereka berlagak kerana mereka kata mereka kuat. Sekarang, mereka dihadapkan dengan satu lagi kuasa yang lebih kuat dari mereka. Berapa kuat pun mereka, mereka tidak dapat menahan dari azab itu. Mereka jatuh bergelimpangan seorang demi seorang. Terus hancur apa yang mereka usahakan selama ini.

Azab itu dikatakan sebagai ‘menghinakan’ kerana mereka habis hayat di dunia ini kerana azab dari Allah. Nanti semua orang akan tahu di akhirat kelak.

 

فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا

dalam kehidupan dunia

Sebenaraya, jarang Allah memberikan azab kepada manusia yang engkar semasa mereka di dunia. Tapi kerana teruk sangat kaum Aad itu, Allah telah beri azab kepada mereka semasa mereka di dunia lagi. Ianya menjadi peringatan kepada kita bahawa Allah boleh sahaja menurunkan azab kepada kita semasa di dunia.

 

وَلَعَذَابُ الْآخِرَةِ أَخْزَىٰ

dan bagi mereka azab di akhirat kelak lebih teruk lagi.

Walaupun mereka telah menerima azab semasa di dunia, tapi azab itu walau bagaimana teruk pun, tidaklah sama dengan azab di akhirat kelak. Mereka ini sudahlah kena azab di dunia, azab di akhirat pun mereka akan kena lagi.

Azab di akhirat itu lebih menghinakan lagi. Lebih teruk lagi. Kenapa? Kerana kalau azab di dunia, apabila mati, azab itu tidak kena kepada kita lagi. Macam mereka yang kena seksa di dunia ini dengan orang lain, mereka akan minta supaya mereka dimatikan sahaja, kerana mereka tahu, kalau dah mati, mereka tidak akan rasa azab itu lagi. Tapi di akhirat kelak, tidak ada kematian. Macam nak mati, tapi tak mati-mati. Dekat-dekat nak mati, tapi dihidupkan balik. Berterusan sampai bila-bila. Ma sha Allah. Adakah sanggup kita nak terima azab itu?

 

وَهُمْ لَا يُنْصَرُونَ

Dan mereka tidak akan diberi pertolongan

Tidak akan mendapat bantuan dari sesiapa pun dan dari arah mana pun. Tujuh malam lapan hari mereka dilanda dengan angin itu yang ada kesejukan di dalamnya. Kita selalunya takut dengan azab api. Tapi Allah sebut tentang azab sejuk dalam ayat ini. Sejuk pun adalah sesuatu yang menyeksakan. Di neraka nanti, kita selalu dengar tentang api yang panas yang membakar kita. Tapi mungkin kita tidak pernah dengar bahawa di neraka juga ada tempat yang sangat sejuk. Ya, memang ada.

Sudahlah mereka kena azab yang teruk di dunia, mereka juga akan kena azab di akhirat kelak dan mereka tidak akan dapat ditolong oleh sesiapa pun. Tidak akan ada sesiapa pun yang akan menolong mereka.

 


Ayat 17.

وَأَمّا ثَمودُ فَهَدَيناهُم فَاستَحَبُّوا العَمىٰ عَلَى الهُدىٰ فَأَخَذَتهُم صاعِقَةُ العَذابِ الهونِ بِما كانوا يَكسِبونَ

Sahih International

And as for Thamud, We guided them, but they preferred blindness over guidance, so the thunderbolt of humiliating punishment seized them for what they used to earn.

Malay

Adapun kaum Thamud, maka Kami beri petunjuk kepadanya, lalu mereka mengutamakan kesesatan dari hidayah petunjuk; mereka pun disambar oleh petir azab yang menghina dengan sebab apa yang mereka telah lakukan.

 

وَأَمَّا ثَمُودُ

Dan adapun kaum Tsamud,

Dari segi sejarah, Kaum Tsamud ini datangnya selepas Kaum Aad.

Peninggalan kaum Tsamud

Peninggalan kaum Tsamud

 

فَهَدَيْنَاهُمْ

Kami tunjuk kepada mereka hidayah.

Dengan dibawakan kepada mereka seorang Rasul. Rasul yang diutuskan kepada mereka adalah Nabi Saleh. Mesej yang disampaikan kepada mereka sama sahaja seperti yang disampaikan oleh rasul-rasul yang dahulu dan kemudian darinya, iaitu sembah Allah sahaja.

Untuk orang kafir, apabila dikatakan diberikan ‘hidayah’ kepada mereka, ianya bermaksud sebagai tunjuk jalan sahaja. Penunjuk jalan sudah sampai kepada mereka, tapi mereka sahaja yang tidak mahu terima. Kalau sudah peluk Islam, barulah boleh diterjemahkan sebagai ‘pimpin’. Iaitu mereka yang telah beriman, apabila hidayah diberikan kepada mereka, ianya memimpin mereka ke jalan yang lurus.

 

فَاسْتَحَبُّوا الْعَمَىٰ عَلَى الْهُدَىٰ 

Mereka lebih suka/sayang kepada buta (kegelapan hati) dari memilih hidayat Allah. 

Mereka dah tahu manakah kebenaran, tapi mereka masih juga masih nak terima kesesatan. Maka, banyaklah bantahan mereka kepada seruan Nabi Saleh. Atas keengganan mereka, mereka telah mengemukakan satu syarat untuk mereka beriman. Kalau syarat itu dipenuhi, mereka kata mereka bersedia untuk beriman dan menuruti ajaran Nabi Saleh. Mereka telah minta kepada Nabi mereka, Nabi Saleh sebagai bukti kenabian untuk mengeluarkan unta dari batu.

Nabi Saleh telah memohon kepada Allah supaya diperkenan apa yang mereka minta itu. Allah memperkenankan tapi dengan syarat juga. Iaitu air yang mereka minum perlu dibahagi hari. Satu hari untuk Kaum Tsamud dan satu hari lagi untuk unta itu. Pada hari yang diperuntukkan unta itu minum, penduduk kaum Tsamud tidak boleh mengambil air itu. Dan pada hari untuk kaum Tsamud mengambil air, unta itu akan pergi jauh ke padang pasir dan tidak bertemu manusia. Kaum Tsamud bersetuju dengan syarat itu.

Setelah syarat itu dipersetujui, unta itu pun dijadikan dengan izin Allah dan berlakulah pembahagian air untuk beberapa waktu lamanya. Ada sebahagian dari kaum itu beriman dan sebahagian lagi memilih kebutaan dari petunjuk seperti yang disebut dalam ayat ini.

Maknanya, mereka memilih kegelapan daripada mendapat hidayat Allah. Mulanya kehidupan mereka aman dengan bimbingan Nabi Saleh. Tetapi, dari godaan iblis, terdapat golongan pemuda yang tidak senang dengan ketenteraman itu. Mereka itu adalah peminum tuak dan marah apabila air perlu dibahagi hari. Kerana air tuak mesti dicampur dengan air biasa untuk dibancuh. Dan pada suatu hari, pekedai tidak ada air biasa dan hari itu pula adalah hari unta meminum. Pada malam itu, mereka melanggar janji dengan mengambil air dari telaga padahal hari itu adalah hari unta. Apabila ada yang marah mereka, timbul keinginan dalam hati mereka untuk membunuh terus unta itu. Oleh itu, pada hari Nabi Saleh berdakwah ke tempat lain, mereka telah pergi membunuh unta itu.

Bukan itu sahaja, mereka kemudiannya telah merancang hendak membunuh Nabi Saleh sendiri. Tapi perancangan Allah melebihi segalanya. Sebelum sempat mereka hendak membunuh Nabi Saleh, mereka telah dikenakan dengan azab.

 

فَأَخَذَتْهُمْ صَاعِقَةُ

Maka Kami timpa ke atas mereka sambaran petir (dan tempikan yang kuat)

Dalam ayat ini, disebut mereka disambar petir. Dalam ayat yang lain ada disebut mereka mereka didengarkan dengan pekikan yang kuat. Dalam ayat lain, ada pula disebut mereka dikenakan dengan gempa. Dari sini, kita boleh dapat tahu bahawa semuanya itu dikenakan kepada kaum Tsamud ini. Satu persatu mereka dikenakan dengan azab sampaikan mereka mati kesemuanya.

 

الْعَذَابِ الْهُونِ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

azab yang menghinakan kerana apa yang mereka lakukan.

Iaitu kerana akibat akidah syirik kepada Allah. Mereka tidak mahu terima hidayah yang Allah telah tawarkan. Mereka telah memungkiri janji yang mereka buat sendiri dengan Allah supaya tidak melanggar hari yang dibahagikan penggunaan air itu. Mereka kemudiannya telah membunuh unta itu dan kemudian mereka telah merancang untuk membunuh Nabi Saleh sendiri. Jadi, apa yang dikenakan kepada mereka ini adalah atas apa yang mereka lakukan. Ianya adalah salah mereka sendiri.

 


Ayat 18: Setelah panjang beberapa ayat tentang takhwif, sekarang diberikan ayat tabshir. Ini pula balasan kepada mereka yang beriman, yang menerima akidah tauhid, yang menerima ajaran wahyu.

وَنَجَّينَا الَّذينَ آمَنوا وَكانوا يَتَّقونَ

Sahih International

And We saved those who believed and used to fear Allah .

Malay

Dan Kami selamatkan orang-orang yang beriman serta mereka tetap bertaqwa.

 

وَنَجَّيْنَا الَّذِينَ آمَنُوا

Dan Kami selamatkan orang beriman.

Kaum mereka yang beriman dalam kalangan bangsa-bangsa itu, Allah selamatkan mereka dari dikenakan dengan azab itu. Sebelum azab itu diturunkan kepada kaum itu, mereka telah diarahkan untuk meninggalkan tempat itu.

Iman dalam ayat ini adalah beriman dengan akidah tauhid.

 

وَكَانُوا يَتَّقُونَ

kerana mereka dulu orang yang jaga hukum,

Dan taqwa dalam ayat ini bermaksud mereka itu menjaga hukum. Kerana mereka orang yang taat kepada Allah Taala, mereka telah diselamatkan.

Ini bermakna, kalau kita beriman dan bertaqwa kepada Allah, Allah akan selamatkan kita. Allah akan memberi jalan keluar kepada kita. Kita serahkan sahaja keperluan dan keselamatan kita kepada Allah.

Fussilat 1-18


Ayat 19: Ini adalah ayat Takhwif Ukhrawi.

وَيَومَ يُحشَرُ أَعداءُ اللَّهِ إِلَى النّارِ فَهُم يوزَعونَ

Sahih International

And [mention, O Muhammad], the Day when the enemies of Allah will be gathered to the Fire while they are [driven] assembled in rows,

Malay

Dan (ingatlah) hari dihimpun musuh-musuh Allah untuk dibawa ke neraka, lalu mereka dijaga serta diatur keadaan dan perjalanannya masing-masing.

 

وَيَوْمَ يُحْشَرُ

Dan pada hari dikumpulkan

Iaitu pada hari manusia dan makhluk semuanya akan dikumpulkan di Mahsyar dan akan diadili mereka atas apa yang mereka lakukan semasa di dunia. Ini belum lagi dimasukkan ke dalam neraka. Walaupun belum masuk lagi, tapi dah mula kena azab sikit-sikit. Kita kata ‘sikit’, kerana kalau dibandingkan dengan apabila dimasukkan ke dalam neraka, neraka lagi teruk. Tapi sebelum dimasukkan ke neraka itu pun, di Mahsyar lagi dah tahu dah apakah nasib mereka nanti. Layanan yang Allah berikan kepada orang yang beriman dan orang engkar tidak sama.

Kita berharap semoga kita mendapat kemudahan semasa di Mahsyar nanti. Kerana tidak dapat dibayangkan betapa payahnya keadaan di sana nanti. Kerana akan dibangkitkan serentak semua sekali manusia, dari yang mula hidup sampailah kepada manusia yang terakhir sekali mati di Hari Kiamat nanti. Tentulah ramai sekali himpunan makhluk waktu itu.

 

أَعْدَاءُ اللَّهِ

musuh-musuh Allah.

Mereka itu adalah yang hidup di dunia bercanggah dengan ajaran wahyu. Mereka adalah dikira sebagai ‘musuh Allah’ kerana mereka menentang tauhid. Mereka yang tidak mahu menerima ajaran tauhid dan hukum-hukum Allah. Mereka yang engkar kepada Allah.

 

إِلَى النَّارِ

kepada neraka jahanam.

Mereka akan dimasukkan ke neraka selepas dibacakan kesalahan-kesalahan mereka semasa di dunia.

 

فَهُمْ يُوزَعُونَ

lalu mereka dirantai dalam kumpulan; 

Mereka akan dipecahkan ikut kumpulan dan dirantai bersama mengikut kumpulan masing-masing. Mereka akan diheret oleh malaikat ke neraka.

 


Ayat 20: Sebelum mereka dimasukkan ke dalam neraka, mereka diadili dahulu.

حَتّىٰ إِذا ما جاءوها شَهِدَ عَلَيهِم سَمعُهُم وَأَبصارُهُم وَجُلودُهُم بِما كانوا يَعمَلونَ

Sahih International

Until, when they reach it, their hearing and their eyes and their skins will testify against them of what they used to do.

Malay

Sehingga apabila mereka sampai ke neraka, (maka) pendengaran dan penglihatan serta kulit-kulit badan mereka menjadi saksi terhadap mereka, mengenai apa yang mereka telah kerjakan.

 

حَتَّىٰ إِذَا مَا جَاءُوهَا

Maka apabila mereka sampai

Iaitu apabila mereka sampai di pintu neraka. Tapi belum dimasukkan lagi. Akan diceritakan keadaan mereka.

 

شَهِدَ عَلَيْهِمْ سَمْعُهُمْ وَأَبْصَارُهُمْ وَجُلُودُهُمْ

maka bersaksi ke atas mereka pendengaran mereka, penglihatan mereka dan kulit mereka. 

Apabila mereka sampai di luar pintu neraka, sekali lagi mereka diperiksa tentang apakah yang mereka telah lakukan semasa mereka di dunia, sampai menyebabkan mereka dimasukkan ke dalam neraka. Mereka akan diberikan dengan saksi-saksi yang akan menceritakan apakah yang mereka telah lakukan. Kalau saksi dari kalangan manusia, sudah biasa, kali ini disebut saksi dari anggota badan sendiri.

Bila sebut kulit, maksudnya seluruh anggota yang ada kulit. Kalau nak sebut semua panjang pula. Allah jadikan segala anggota badan hidup dan boleh berkata. Mana nak lari lagi waktu itu? Mulut mereka mungkin tidak mengaku tentang kesalahan yang mereka lakukan, tapi sekarang, anggota badan mereka sendiri yang akan menjadi saksi atas kesalahan yang telah dilakukan oleh tuan badan mereka. Kalau di dunia, mungkin ada jenayah yang kita buat yang tidak ada orang lain nampak, maka kita boleh terselamat. Tapi, anggota badan kita sentiasa ada bersama kita dan menyaksikan apa yang kita buat semasa kita di dunia. Mereka memang terlibat dengan perbuatan itu. Mereka akan jadi saksi atas kita. Tubuh badan kita pun nanti tidak akan setia kepada kita. Mereka lebih takut dengan Allah daripada takut kepada tuan badan.

Ada satu riwayat, bagaimana pada suatu hari, Nabi tersenyum. Sahabat bertanya kenapa baginda tersenyum. Nabi jawap, kerana baginda teringat hujah yang akan dikeluarkan oleh orang kufur di hadapan Allah. Mereka akan kata mereka hendak diadakan saksi untuk mereka di akhirat seperti juga kalau di dunia, dalam mahkamah ada saksi. Allah kata memang ada saksi, iaitu cukup dengan diri mereka sahaja. Iaitu pendengaran, penglihatan dan kulit mereka sendiri akan jadi saksi.

 

بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

terhadap apa yang mereka lakukan.

Semua anggota badan akan jadi saksi bagi mereka. Ayat yang sama ada dalam disebut surah Yaasin.

Bukankah tangan yang memegang, mata yang melihat, telinga mendengar dan kulit merasa segala apa yang kesalahan yang mereka lakukan semasa di dunia?

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


 

Rujukan: 

Maulana Hadi

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

Syeikh Nasir Jangda

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar

 

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 041: Fussilat. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s