Tafsir Surah Fussilat Ayat 1 – 11 (Nabi Muhammad bukan Nur)

Pengenalan:

Tauhid dalam berdoa dijelaskan dalam tujuh surah dan kesemua tujuh surah itu dimulakan dengan ayat Muqatta’ah ‘haa mim‘. Surah-surah itu menunjukkan apakah kesalahan yang dilakukan oleh masyarakat Islam kita. Apa yang masyarakat kita buat sekarang sebenarnya dalam hal berdoa banyak yang bertentangan dengan Quran. Diharap anda yang membaca tafsir ini membuka hati, minda dan iman anda untuk menilai semula apakah yang dilakukan dalam masyarakat kita. Jangan kerana kita sudah biasa buat sesuatu perkara itu, kita rasa ianya adalah benar belaka. Kita kena nilai perbuatan amalan kita itu dengan Quran dan juga hadis yang sahih.

Surah Hamim 7 tauhid dalam berdoa

Dalam surah Ghafir, kita telah belajar Dakwa dalam surah itu untuk seru hanya Allah sahaja dalam berdoa. Terutama dalam perkara yang luar asbab. Boleh jadi kufur atau dosa besar kalau kita minta dan seru kepada selain Allah. Contoh perkara luar asbab adalah seperti permintaan dijauhkan dari bala. Iaitu perkara-perkara yang tidak boleh diselesaikan oleh selain dari Allah. Kerana hanya Allah sahaja yang boleh menyelamatkan kita dari bala.

Kalau kita minta tolong kepada makhluk dalam perkara dalam asbab, masih boleh lagi, tapi tidak boleh bergantung harap sangat. Contohnya, kita minta tolong seorang doktor berikan rawatan kepada kita. Tapi kita memang tidak boleh berharap sangat kepada doktor itu kerana dia boleh usaha sahaja, tapi yang menyembuhkan adalah Allah. Kalau kita bergantung kepada doktor, itu akan melemahkan keimanan kepada Allah. Begitu juga dalam perkara-perkara yang lain. Walaupun kita minta tolong kepada orang lain, kita masih kena letak pengharapan kepada Allah.

Sebab itu dalam perbuatan kita, Nabi ajar doa dan zikir kepada Allah. Supaya kita sentiasa ingat untuk bergantung kepada Allah. Sebab kita tidak tolak asbab sebab kita hanyalah manusia. Tapi dalam melakukan perkara-perkara yang biasa, kita diajar doa dan zikir kepada Allah. Sebagai contoh, masa nak makan kita diajar baca Basmalah. Sebab nak ingatkan bahawa Allah yang beri rezeki itu kepada kita. Lepas makan pun Nabi ajar doa makan supaya tidak rosak akidah kita.

Surah ini dinamakan ‘Hamim Fussilat’ atau ‘Hamim Sajdah’. Kerana ada ayat sajdah di dalam surah ini. Nama-nama surah diberikan kerana terdapat perkara-perkara utama di dalamnya. Sebab itu kadang-kadang satu-satu surah itu ada lebih dari satu nama. Fussilat diambil dari kata dasar fasila yang bermaksud menjelaskan sesuatu perkara itu dengan detail dengan mengkategorikannya satu persatu. Apabila kita baca surah ini, kita akan lihat bagaimana Allah akan ketegorikan mana yang iman dan mana yang kufur dan dijelaskan dengan sejelas-jelasnya.

Surah ini turun di Mekah. Semua surah Hamim Tujuh ini turun di Mekah. Seperti yang kita tahu, surah-surah yang diturunkan di Mekah mengandungi kandungan dakwah tauhid yang banyak.

Dan turunnya surah ini berturut-turut sampai lengkap. Surah-surah yang lain kebanyakannya turun tidak berturutan. Kebanyakan surah turun sikit-sikit dan bercampur surah antara satu sama lain. Nabilah yang kemudian beritahu dimana ayat-ayat Quran itu patut disusun.

Kesemua surah yang dimulakan dengan Ha-Mim ini menceritakan tentang kepentingan Quran. Selepas sahaja disebut huruf Ha-Mim itu, terus disebut tentang Quran. Ini adalah kerana Quran menekankan bahawa dakwah perlu dilakukan dengan menggunakan Quran.

Kesemua surah ha-mim ini juga menyebut tentang Nabi Musa a.s. dan usaha dakwahnya. Kalau kita ikut logik kita, sepatutnya kisah Nabi Musa sepatutnya diletakkan dalam surah-surah Madinah kerana di Madinahlah baru orang Islam banyak berjumpa dengan orang Yahudi. Tapi kenapa ada kisah Musa dalam surah-surah Makkiyah? Ini adalah kerana surah-surah ini hendak memberikan kekuatan kepada Nabi dan kepada sahabat yang waktu itu amat sikit. Mereka sedang ditindas orang kafir dan kehidupan mereka amat susah sekali. Mereka dah mula rasa putus asa dan mereka rasa amat susah sangat memegang ajaran tauhid. Oleh itu, Allah hendak memberitahu mereka bahawa bukan mereka sahaja yang mengalami masalah itu. Umat Nabi Musa pun melalui perkara yang sama juga. Zaman dulu pun ada Nabi dan ada pengikut-pengikut mereka dan juga penentang-penentang mereka.

Semasa surah ini diturunkan, gangguan kepada orang Islam telah meninggi sekali. Mereka juga sampai sudah mula hendak beri rasuah kepada Nabi. Yang dihantar kepada Nabi untuk menyampaikannya adalah Utbah ibn Rabiah. Beliau adalah seorang pemimpin yang dihormati di Mekah. Dia pun mula berjumpa dengan Nabi dan mula marah-marah kepada Nabi. Dia kata Nabi telah memecah-belahkan umat Arab. Antara suami isteri, ayah dan anak dan sebagainya. Dia kata, kalau Nabi hendak perempuan, dia boleh berikan siapa sahaja Nabi hendak; kalau Nabi hendak harta, mereka boleh beri; kalau Nabi hendak kedudukan, mereka boleh angkat baginda jadi Raja Tanah Arab; apa sahaja yang Nabi hendak, mereka boleh berikan. Asalkan baginda berhenti dari mendakwah agamanya. Nabi Muhammad biarkan sahaja Utbah mengomel. Kemudian, Nabi terus membaca surah Fussilat ini sampai ke ayat ke 26. Apabila sampai kepada ayat itu, Utbah tutup mulut Nabi dengan tangannya kerana dia tidak sanggup lagi dengar ayat-ayat Quran itu.

Surah ini juga menekankan kepentingan para sahabat bersatu padu. Ini amat penting kerana mereka waktu itu amat sedikit.

Surah ini juga banyak menekankan tentang dakwah. Dan surah ini menekankan bahawa dakwah itu perlu dilakukan dengan menggunakan Quran. Kita kena belajar tafsir Quran dan selepas itu, hendaklah kita sampaikan tafsir Quran kepada manusia yang lain. Malangnya, dalam banyak usaha dakwah kepada masyarakat, penggunaan Quran tidak ditekankan. Mereka ramai yang guna muzik, guna kisah-kisah, guna perkara-perkara lain, tapi Quran tidak digunakan secara utama. Itu adalah salah kerana kita kena ingat bahawa Nabi berdakwah menggunakan Quran. Kalau kita tidak mampu hendak menyampaikan tafsir itu, hendaklah kita mengajak mereka untuk belajar tafsir Quran di kelas-kelas yang ada. Dengan itu, saya menjemput saudara-saudari sekelian yang membaca blog ini untuk datang ke kelas pengajian tafsir Quran yang sudah banyak ada sekarang.

Kekeliruan yang hendak dicerita dalam surah ini adalah tentang ‘seru selain daripada Allah‘, dan mereka yang melakukan perbuatan itu kata, mereka dapat amalan itu daripada tok nenek atau guru-guru mereka yang ajar. Bukannya mereka reka sendiri. Mereka juga akan kata bahawa dengan perbuatan seru itu, mereka dapat juga apa yang mereka hendak, Allah makbulkan juga. Walaupun mereka minta tolong kepada penunggu pun dapat juga. Allah hendak memberitahu dalam surah ini yang dapat atau ‘menjadi’nya sesuatu perkara itu bukan dalil kepada benarnya perbuatan itu.

Contohnya, kita biasa lihat perayaan Thaipusam. Mereka boleh jalan kaki 23 batu di tengah jalan tanpa pakai kasut. Sambil itu mereka menari-nari. Macam-macam mereka buat di badan mereka. Sangkut limaulah, cucuk lidahlah dan sebagainya. Mereka tak rasa sakit pun. Mereka telah puasa tiga bulan sebelum melakukan perkara-perkara karut itu. Mereka boleh buat perkara yang menakjubkan itu sebenarnya kerana mereka telah dimasuki jin. Mereka tikam tubuh mereka sana dan sini dengan bawa Kavadi sambil berkaki ayam. Bukan itu sahaja, mereka akan naik 260 tangga Batu Caves itu. Sambil jalan tu mereka jamah kepala orang-orang yang berdekatan untuk beri berkat kepada mereka. Mereka kata mereka buat semua itu semoga tuhan ampun dosa mereka. Dan mereka buat semua itu supaya periuk makanan mereka sentiasa penuh dengan makanan pada tahun itu. Maknanya, mereka memohon rezeki sepanjang tahun untuk mereka dan keluarga. Mereka juga hendakkan berkat dari tuhan. Mereka tak rasa sakit atas apa yang mereka buat. Tak luka dan tiada kesan langsung selepas tiga hari. Telah ‘menjadi’ apa yang mereka buat itu. Adakah ‘menjadi’ itu tanda betul perbuatan mereka itu? Tentu tidak, kerana mereka agama Hindu dan kita pun tahu yang agama Hindu adalah agama yang syirik. Jadi, kalau hal berdoa dengan cara yang syirik dalam masyarakat kita, kenapa kita terima dan kata ianya benar kerana apa yang dilakukan oleh mereka itu ‘menjadi’?

Allah membenarkan perbuatan mereka itu berjaya, walaupun ianya dari akidah yang salah. Kerana semua kejadian adalah atas keizinan Allah juga. Allah benarkan mereka kufur kalau mereka nak kufur. Ini ada diceritakan dalam Ayat ke 25 surah ini nanti. Allah berikan syaitan sebagai teman rapat dan Allah bagi mereka rasa ‘betul’ perbuatan mereka. Mereka nampak bahawa benarlah apa yang mereka buat itu. Oleh kerana perbuatan mereka itu, telah ditetapkan atas mereka keputusan azab beserta umat-umat yang telah berlalu sebelum mereka. Syaitan yang bersama mereka itu dinamakan Quranaa’. Quranaa’ itu adalah teman rapat yang terdiri dari jin dan guru-guru yang mengajar ajaran salah.

Untuk faham ayat ini, kena rujuk juga dalam ayat Zukhruf:36: sesiapa yang tidak peduli peringatan tuhan ar-Rahman, iaitu sesiapa yang tak peduli nak belajar tafsir Quran, Allah akan ‘hadiahkan’ dia dengan seekor syaitan sebagai Personal Adviser- kawan rapat. Mereka itu akan memesongkan orang itu dari jalan Allah. Mula-mula seekor sahaja, tapi apabila mereka semakin bertambah melakukan kesalahan syirik, maka syaitan itu akan bertambah dan berlapis-lapis. Tapi mereka menyangka mereka sekarang sedang terpimpin. Mereka rasa begitu kerana mereka sembahyang tak tinggal dan amalan agama yang lain mereka dah buat seperti puasa dan berzikir dan sebagainya. Tapi mereka tak nak belajar maksud Quran sebab tak rasa penting belajar tafsir. Mereka rasa mereka dah betul dah. Jadi, walaupun seseorang yang rajin baca Quran, hafal quran, tapi jika dia tak belajar tafsir Quran, belum tentu lagi dia benar. Sebab dia tak tahu apakah perbuatan salah yang dia buat. Dia cuma membaca Quran tanpa memahami apakah yang mahu disampaikan oleh Quran itu.

Dalam surah ini, selain dari menyentuh tentang tauhid dalam berdoa, ia juga mengandungi jawapan kepada kesamaran tentang tauhid dalam berdoa. Surah Ghafir sudah menekankan kepentingan seru hanya Allah dalam berdoa. Tetapi, ada kesamaran manusia dalam berdoa.  Ada 6 keraguan penting yang dijawab dalam 6 surah Ha Mim. Kesamaran pertama dijawab dalam surah Fussilat ini.

Apakah kesamaran itu? Apabila ada yang seru selain Allah, tapi ‘menjadi’ apa yang mereka hendak walaupun mereka berdoa kepada selain dari Allah. Sebagai contoh, mereka dapat sembuhkan penyakit, dapat jalan atas air dan macam-macam lagi. Kenapa boleh ‘menjadi’ sedangkan agama kata tak boleh doa dan seru selain Allah? Kalau tak boleh, takkan Allah beri jadi, bukan? Kemudian mereka kata, dengan mereka mengamalkan amalan dan doa-doa tertentu, ada wali datang malam-malam dalam mimpi mereka dan mengajar mereka tentang agama dan ilmu rahsia. Itulah kesamaran mereka yang mengamalkan syirik dalam doa. Dan kerana itu, mereka meneruskan amalan syirik mereka itu.

Dan mereka yang seru selain Allah, dapat mimpi pula yang dikatakan wali datang dan macam-macam lagi mimpi yang mereka tafsir sebagai berita gembira kepada mereka. Kononnya ada ‘wali’ yang ajar ilmu kepada mereka. Kita kena ingat bahawa yang datang dalam mimpi itu adalah jin dan jin hanya datang kepada mereka yang akidah bermasalah. Mimpi itu karut dan tidak boleh untuk dijadikan sebagai hujah dan dalil. Mana mungkin boleh dijadikan sebagai dalil kerana Syaitan yang datang sebenarnya. Syaitan itu datang kerana memang mereka dah ada hubungan dengan syaitan. Itu adalah jin syaitan jenis qurana’ atau qarin. Allah memang beri kepada mereka kerana mereka sudah ada akidah yang salah. Jadi ingatlah yang mimpi bukan tanda syariat.

Syaitan pandai menipu manusia. Ini adalah salah satu cara yang mereka lakukan: jin akan menimpakan kesusahan kepada seseorang dan mereka juga yang menghilangkannya apabila orang itu melakukan amalan yang syirik. Syaitan akan datang ke dalam mimpi orang itu dan mengajarkan bagaimana hendak menyelesaikan masalah itu. Dan apa yang perlu dilakukan itu adalah amalan syirik. Allah boleh lakukan perkara ini sebagai ujian kepada manusia.

Tidaklah ‘menjadi’ amalan seruan mereka itu sebagai tanda yang amalan yang mereka buat itu benar. Bukanlah itu menjadi tanda yang Allah suka dengan apa yang mereka telah lakukan. Ini adalah silap faham manusia yang amat besar. Mereka dapat apa yang mereka kehendaki tanpa ada masalah. Tapi tidaklah bermakna Allah redha. Macam duit rompak, elok sahaja pakai duit itu. Ada yang tolong orang susah dengan duit rompak itu pun. Tapi kena ingat, yang haram tetap haram. Segala yang nampak menjadi itu, adalah ujian dari Allah sahaja, untuk melihat samada manusia nak pegang dengan sebab amalan mereka ‘menjadi’, atau mereka nak pakai wahyu yang jelas melarang perbuatan mereka itu.

Tidaklah ‘menjadi’ amalan seruan mereka itu sebagai tanda yang amalan yang mereka buat itu benar. Bukanlah itu menjadi tanda yang Allah suka dengan apa yang mereka telah lakukan. Ini adalah silap faham manusia yang amat besar. Mereka dapat apa yang mereka kehendaki tanpa ada masalah. Tapi tidaklah bermakna Allah redha. Macam duit rompak, elok sahaja pakai duit itu. Ada yang tolong orang susah dengan duit rompak itu pun. Tapi kena ingat, yang haram tetap haram.

Gula yang dibeli dengan duit haram tetap juga manis rasanya. Tidaklah pula gula yang dibeli dengan duit haram bertukar rasa jadi masam.

Fussilat ayat 25 tafsir sunnah

Tema atau Dakwa Surah Fussilat.

Ayat 25 adalah Maksud Surah ini dan ianya menjawap kesamaran ini. Dalam ayat itu, Allah memberitahu yang Dia akan memberi qarin (syaitan yang berdamping) kepada mereka yang mengamalkan amalan syirik. Qarin itu menjadi penguat kepada mereka untuk terus mengamalkan akidah syirik mereka. Qarin itu berkawan dengan mereka kerana mereka sendiri yang jauh dari Quran dan anti kepada ajaran Quran. Sedangkan Quran lah pegangan kita. Kerana kesalahan mereka itu, Allah sengaja butakan mata hati mereka.

Qarin itu akan memperlihatkan amalan syirik mereka yang di depan dan di belakang nampak betul pada pandangan mereka. Dalam semua keadaan, mereka akan tipu kita. Dalam bermuamalat dalam masyarakat, dalam ibadat dan dalam kehidupan kita. Setiap ruang akan digunakan oleh Qurana’ itu.

Qarin itu menampakkan melalui cara mimpi atau secara yaqazah (muncul nyata dengan mata). Itu semua boleh sahaja, dalam qudrat Allah, sebagai ujian buat manusia. Selalunya, dalam bentuk bisikan pada telinga. Kalau dah teruk sangat buat amalan syirik, seseorang itu boleh dengar seperti ada orang berbisik pada telinga mereka. Itu terjadi kepada mereka yang memang sudah teruk sangat dah, sudah lama mereka beramal dengan amalan syirik dah. Mereka jenis begitu, amat susah nak terima tauhid. Mereka rasa mereka sudah sampai level yang tinggi dalam ilmu mereka dan kerana itu mereka sukar untuk buat fahaman dan amalan salah mereka itu.

Qarin itu akan bagi orang yang mengamalkan syirik itu, mereka nampak syirik yang mereka amalkan itu adalah tauhid, dan bidaah yang mereka amalkan itu mereka sangka sunnah. Oleh itu, qarin itu telah menutup racun dengan menampakkan ianya sebagai penawar. Kalau tidak belajar tafsir Quran, maka akan senang tertipu. Kerana syaitan amat licik sekali dalam memperdayakan manusia.

Kerana itu, maka tsabitlah mereka masuk neraka selama lamanya. Maka terjadilah janji Allah untuk memenuhkan neraka dengan jin dan manusia.

Nanti apabila sampai pada ayat itu, kita akan menafsirkan dengan lebih jelas lagi.


Ayat 1:

حم

Hamim.

Ini adalah salah satu dari ayat-ayat Muqattaah. Kita tak tahu maknanya. Kita mulakan belajar tafsir surah ini dengan tidak tahu apakah maksudnya. Maknanya, kita tidak akan tahu selagi Tuhan tak bagi tahu maksud ayat ini. Kalau Tuhan tak ajar kepada kita, kita tak akan tahu apa-apa pun. Kita telah sentuh tentang perkara ini dalam surah-surah lain yang ada juga huruf-huruf muqattaah ini.


Ayat 2: Allah hendak menceritakan kedudukan dan kelebihan Quran. Apabila kita tahu nilai tinggi sesuatu perkara itu, barulah kita nak cari. Kita sanggup bergadai untuk mendapatkan sesuatu kalau kita tahu sesuatu perkara itu tinggi nilainya. Oleh itu, Allah hendak memberitahu bahawa Quran itu bukan sebarangan.

تَنزيلٌ مِنَ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ

Sahih International

[This is] a revelation from the Entirely Merciful, the Especially Merciful –

Malay

Turunnya Kitab ini dari Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

 

تَنْزِيلٌ

Penurunan; 

Tidak disebut apa yang diturunkan, tapi kita tahu bahawa ianya adalah kitab Quran yang kita sedang baca ini. Penurunan Quran itu selama 23 tahun secara beransur-ansur. Penurunan Quran itu diturunkan sedikit demi sedikit supaya umat yang menerimanya dan dapat memahaminya dengan jelas. Kalau turun terus banyak, tentulah mereka akan rasa berat untuk memahaminya.

Begitu juga dengan kita. Walaupun pada kita telah ada Quran yang lengkap, tapi untuk kita memahaminya, kita belajar tafsir Quran ini sedikit demi sedikit, ayat demi ayat. Bukan terus belajar dengan banyak, tapi pemahaman kurang. Biarlah ayat yang kita belajar itu sedikit, tapi pemahaman kita mendalam. Kita belajar mana yang boleh dahulu, amalkan mana yang kita dah faham, kemudian tambah lagi ayat yang baru. Jangan kelam kabut nak habiskan sebanyak mungkin ayat Quran, tapi pemahaman kita sedikit sahaja. Akhirnya, kita tidak mengamalkan mana yang kita dah tahu, kerana kita sibuk nak habiskan belajar. Kerana kita nak berbangga dengan orang: ‘Aku dah habis belajar tafsir 30 juzuk, dah habis satu Quran aku belajar” – tapi tak faham makna yang hendak Allah sampaikan.

 

مِنَ الرَّحْمَٰنِ 

daripada Tuhan yang bersifat ar-Rahman.

Juga tidak disebut siapakah yang bersifat Rahman dalam ayat ini. Tetapi kita tahu dan Arab Mekah pun tahu bahawa yang dimaksudkan adalah Allah Taala.

Sifat Penyayang Ar-Rahman adalah seperti sifat penyayang seorang bapa. Seorang bapa sanggup melihat anaknya menderita agar anak itu belajar erti hidup. Begitulah Allah sanggup melihat hambaNya terseksa di dunia dalam nak buat ibadat. Seperti seorang bapa yang sanggup tengok anak dia susah sebab nak ajar dia sesuatu. Dan memang dunia ini adalah tempat ujian pun. Oleh itu, Allah sanggup lihat hambaNya yang beriman susah duduk dalam dunia kerana hendak tegakkan Quran ini. Kerana bukan senang nak tegakkan semua yang tertulis dalam Quran itu. Orang benci, orang lawan dan orang kata macam-macam.

Dan sifat Penyayang Allah boleh memberi apa sahaja kepada hambaNya tidak kira samada mereka itu seorang Muslim atau kafir. Kerana sifat penyayang ini menyeluruh kepada semua makhluk. Kita sudah bincangkan perkara ini dalam tafsir surah Fatihah.

 

الرَّحِيمِ

ar-Rahim

Ini adalah sifat Allah yang amat sayang kepada makhlukNya. Lagi sayang dari seorang emak yang sayangkan anak dia. Seorang emak itu terlalu sayang kepada anaknya, sampai tidak sanggup melihat anaknya menderita. Tidak sama sayang seorang emak dengan seorang bapa. Allah pula berpuluh-puluh kali ganda lagi sayangNya dari sayang emak itu kepada anaknya.

Ini pula sifat penyayang yang khusus kepada hambaNya yang mukmin. Mereka akan dimasukkan ke dalam syurga dan dosa mereka akan diampunkan. Apabila Dia telah mengampun dosa seseorang makhluk, Dia tidak akan ungkit lagi. Dan Dia akan memberikan segala macam nikmat kepada hambaNya itu dengan nikmat yang tidak terkira.

Sifat raheem Allah ini tidak sanggup lihat hambaNya menderita dalam neraka kalau semasa di dunia mereka telah menegakkan Quran. Maka, Allah akan masukkan ke dalam syurga.

Penerangan tentang ar-rahman dan ar-raheem ini dibincangkan dengan panjang lebar lagi dalam surah Fatihah.

Allah nak beritahu kepada kita, bahawa Allah turunkan Quran ini kepada kita atas sifat penyayangNya itu. Kerana Allah sayang kepada kitalah, Allah berikan petunjuk berupa Quran ini kepada kita. Supaya kita jadikan sebagai pedoman. Supaya kita tidak buat salah. Supaya kita hidup harmoni di dunia ini dengan panduan yang diberikan dalam Quran. Dan supaya kita selamat di akhirat kelak. Apabila kita faham begini, maka kita akan memandang Quran ini sebagai satu pemberian yang tinggi dan hebat dari Allah. Macam kalau kita terima hadiah dari ibubapa kita, tentulah kita sayang pemberian itu kerana kita tahu mereka beri hadiah itu kerana mereka sayang kepada kita. Kalau pemberian hadiah yang tidak seberapa itu pun kita dah hargai, apatah lagi Quran yang amat hebat ini?


Ayat 3: Ini adalah targhib kepada mempelajari makna-makna dalam Quran.

كِتابٌ فُصِّلَت آياتُهُ قُرآنًا عَرَبِيًّا لِقَومٍ يَعلَمونَ

Sahih International

A Book whose verses have been detailed, an Arabic Qur’an for a people who know,

Malay

Sebuah Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya satu persatu; iaitu Al-Quran yang diturunkan dalam bahasa Arab bagi faedah orang-orang yang mengambil tahu dan memahami kandungannya.

 

كِتَابٌ فُصِّلَتْ آيَاتُهُ

Sebuah kitab yang dijelaskan ayatnya.

فُصِّلَتْ bermaksud ayat-ayat Quran itu dipecahkan dan diperjelaskan satu persatu. Supaya mudah difahami. Itulah cara Quran. Seperti juga kalau sesuatu perkara itu besar, maka untuk memudahkannya, kita pecahkan perkara itu satu persatu supaya kita mudah faham. Contohnya, untuk kita faham biologi, kita akan pecahkan perbincangan tentang tubuh badan manusia itu ikut bahagian tubuh, kemudian kita akan belajar satu persatu bahagian tubuh itu. Dan kemudian kita kaitkan kepada keseluruhan badan.

Quran ini adalah kitab yang jelas. Terutama sekali bab akidah. Sampaikan tidak perlu lagi nak rujuk kitab-kitab lain kerana Quran telah menjelaskan tentang akidah dan tauhid dengan sejelas-jelasnya dan diulang berkali-kali.

Setiap apa yang dalam hati manusia itu telah ada dalam Quran ini. Yang dulu, sekarang dan akan datang. Kalau tidak kena pada ayat ini, kena pada ayat lain. Kadang-kadang, apabila kita baca sesuatu ayat itu, rasa macam ianya memperkatakan tentang diri kita sahaja. Begitulah ayat-ayat Quran yang jelas nyata itu. Ianya menyentuh hati kita. Yang tak jelas adalah kerana tak belajar sahaja. Bukan sebab ayat itu tidak jelas. Jadi, untuk tahu apa yang hendak disampaikan oleh Allah dalam Quran, kenalah belajar tafsir Quran ini. Malangnya, masyarakat kita, ramai yang tak tahu pun tentang kepentingan belajar tafsir Quran ini. Macam-macam ilmu mereka belajar, macam-macam kitab mereka baca, tapi Quran itu mereka tak faham lagi pun.

 

قُرْآنًا عَرَبِيًّا

Quran itu berbahasa Arab.

Bahasa Arab adalah satu bahasa yang amat mantap. Tepat bahasanya. Ianya bahasa yang amat kaya kalau dibandingkan dengan bahasa-bahasa lain. Ianya adalah bahasa Nabi kita. Cuma, kalau ada orang yang kata ianya bahasa Syurga, itu belum tentu lagi kerana tidak ada dalil yang sah mengatakan sedemikian.

Bahasa Arab juga adalah bahasa yang indah. Tambahan pula apabila digunakan dalam pembacaan Quran. Telah sampai kepada kita, bukan sahaja matan Quran, tapi cara membacanya juga – tajwid. Nak baca Quran pun sudah diajar dengan cara yang indah, yang menyebabkan hati kita tersentuh apabila membacanya.

Allah memberitahu kepada kita bahawa Quran itu adalah satu ‘kitab’ dan ianya adalah satu kitab yang jelas. Salah satu sebab ianya jelas adalah kerana ianya diturunkan dalam bahasa Arab. Kalau Quran itu dalam bahasa Melayu, nak kena pakai satu treller lori baru boleh sampai maksud yang hendak disampaikan. Tapi Quran pakai 30 juzuk sahaja.

Oleh itu, ini memberi motivasi kepada kita untuk belajar bahasa Arab, terutama sekali bahasa Arab yang digunakan dalam Quran.

Maksud perkataan ‘Quran’ itu adalah ‘kitab yang sentiasa dibaca’. Tidak ada kitab lain melebihi Quran dari segi bacaannya. Tidak ada kitab lain yang dibaca macam kitab Quran. Tidak ada mana-mana kitab dalam dunia ini yang dihafal seperti Quran. Kitab lain pun memang manusia ada baca juga, tapi sekali sekala sahaja, dan lepas baca tu simpan tak tengok lagi selalunya.

Quran itu untuk semua orang, tapi yang terima adalah:

 

لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

bagi kaum yang mahu mengetahui.

Quran ini ditujukan kepada semua manusia, tapi yang menerimanya adalah mereka yang mahu mengetahui kebenaran. Mereka akan mengetahuinya setelah mereka belajar makna-makna ayat-ayat Quran itu. Iaitu setelah mereka belajar tafsir. Tetapi mestilah dimulai dengan kehendak inginkan kepada kebenaran. Ingin tahu adalah sifat ‘inabah’ yang membawa kefahaman. Untuk faham pula, kena belajar tafsir. Bukan hanya membaca dan menghafal sahaja. Dan mereka belajar tafsir itu dengan guru-guru yang tahu. Iaitu guru yang sudah belajar tafsir.

Mereka yang hendak mengetahui itu adalah mereka yang hendak kenal Allah dan hendak kembali kepada Allah. Dalam hatinya ada perasaan: ihdinas siraat mustaqim. Iaitu mereka berdoa kepada Allah: “Pimpinlah aku ke jalan yang lurus”.

Tapi malangnya, kebanyakan dalam masyarakat kita, sudah tidak mengetahui ayat-ayat Quran itu, dan mereka pun tidak ingin hendak mengetahui. Samada mereka rasa mereka dah pandai sampai tak payah belajar lagi, atau mereka rasa mereka tak perlu tahu. Mereka tidak kisah samada apa yang mereka buat itu benar atau tidak. Salah atau betul mereka tak kisah. Macam mereka pun tak kisah samada mereka masuk syurga atau neraka. Adakah begitu? Kita kata begini berdasarkan dari pengamalan kita yang mengajak ramai orang datang ikut belajar tafsir tapi mereka tak mahu datang. Mereka tidak nampak kepentingan belajar tafsir Quran. Mereka lebih selesa belajar perkara-perkara lain. Samada perkara bukan agama ataupun tidak. Ada yang memang mahu belajar agama, tapi mereka lebih selesa belajar kitab-kitab karangan manusia. Bukan kita kata salah, tapi kenapa mereka tidak belajar dahulu kitab yang paling agung, iaitu Kitab Quran ini? Ianya bukanlah karangan manusia tapi ianya adalah kalam Allah yang Maha Mulia. Kenapakah manusia masih lagi tidak ambil endah tentang ayat-ayat Allah ini?

Secara ringkasnya, keseluruhan ayat ini memberitahu kepada kita bahawa salah satu sifat Quran itu adalah ianya jelas. Dalam ayat seterusnya, akan disebutkan sifat-sifat lain Quran itu. Yang mengetahui kejelasan ayat Quran itu adalah mereka yang belajar. Lalu bagaimana mereka yang tidak belajar? Mereka itulah yang tidak faham Quran. Mereka rasa Quran itu macam sesuatu yang amat asing bagi mereka. Sebelum mereka belajar lagi, mereka sudah cakap yang Quran itu susah untuk dipelajari. Jadi, mereka akan belajar kitab-kitab karangan manusia, sedangkan kitab-kitab itu tidak terselamat dari kesilapan. Apabila ada dalam kitab itu kesilapan, maka mereka pun akan tersilap juga. Padahal, apa yang ada dalam Quran adalah amat jelas sekali dan selamat dari kesilapan.

Mereka yang tidak mahu kebenaran, akan melarang dan menghalang manusia dari belajar Quran. Mereka kata nak belajar Quran itu bukan senang – macam-macam kena belajar dulu. Kena belajar bahasa Arab, nahu dan sorof dan macam-macam lagi. Akhirnya, manusia rasa susah nak belajar tafsir Quran. Mereka hanya suruh anak murid belajar baca sahaja Quran, tapi nak faham Quran itu tak perlu. Mereka hanya belajar agama dengan guru-guru yang guru-guru itu sendiri pun tidak belajar tafsir Quran. Jadi, dari dulu sampai sekarang, manusia duduk dalam kejahilan. Hasilnya, mereka akan buat perkara-perkara yang dilarang dalam Quran. Dan antara perkara yang dilarang dalam Quran adalah syirik. Oleh itu, apabila manusia tidak belajar tafsir Quran, mereka akan buat perkara syirik kerana mereka sendiri tidak faham apakah syirik itu sebenarnya.

Maka, hendaklah kita menjadi orang yang ‘tahu’. Belajarlah tafsir Quran itu supaya kita tahu apakah agama ini sebenarnya. Tidaklah susah untuk belajar tafsir Quran itu. Ianya menggunakan bahasa yang mudah difahami. Tidak perlu belajar bahasa Arab sampai mahir pun, dah boleh faham. Kalau tahu bahasa Arab, lagi bagus. Tapi, jangan jadikan bahasa Arab sebagai halangan untuk belajar tafsir Quran.

 


Ayat 4: Ini adalah dua lagi kualiti Quran. Dan ayat ini juga mengandungi zajrun bagi mereka yang tidak mahu belajar tafsir.

بَشيرًا وَنَذيرًا فَأَعرَضَ أَكثَرُهُم فَهُم لا يَسمَعونَ

Sahih International

As a giver of good tidings and a warner; but most of them turn away, so they do not hear.

Malay

Ia membawa berita yang mengembirakan (bagi orang-orang yang beriman) dan membawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar); dalam pada itu kebanyakan mereka berpaling ingkar (tidak mahu mengetahui dan memahaminya), maka dengan sebab itu mereka tidak menerima dan tidak mematuhinya.

 

بَشِيرًا

Membawa berita gembira.

Dalam Quran itu adalah berita gembira. Iaitu kisah-kisah yang menggembirakan, seperti berita bahawa orang yang soleh boleh masuk syurga, boleh jumpa Tuhan dan sebagainya lagi. Ini memberi motivasi kepada manusia.

Di dunia lagi kita sudah boleh periksa diri kita samada amalan dan tindak tanduk kita sama dengan Quran atau tidak. Sebab itulah Nabi Muhammad boleh kata Abu Bakr akan masuk syurga kerana perbuatan beliau itu sama sahaja seperti yang disuruh dalam Quran.

 

وَنَذِيرًا

dan ada ancaman 

Ancaman itu bagi yang engkar pula. Iaitu kehinaan semasa hidup di muka bumi, dan akhirnya, bila mati nanti akan diazab di akhirat dengan lebih teruk lagi.

Jadi, dalam Quran itu ada berita baik dan ada ancaman. Banyak ayat-ayat dalam Quran yang tergolong dalam dua kategori ini. Berulang-ulang kali diingatkan kepada manusia. Kerana manusia itu perlu selalu diberi ingat. Selalu kita terlupa dalam kesibukan kita dalam dunia ini. Sebab itulah kita disuruh selalu membaca Quran – supaya kita mendapat peringatan dalam dua perkara ini.

Oleh itu, Quran ini mempunyai dua sifat – memberi berita gembira dan juga memberi ancaman. Dua kualiti ini juga disebut tentang Nabi Muhammad. Kerana Nabi juga memberi berita gembira dan memberi ancaman kepada manusia.

Allah sebut beri berita gembira dulu sebelum beri ancaman.

 

فَأَعْرَضَ أَكْثَرُهُمْ

tapi, kebanyakan mereka masih juga berpaling.

Orang kafir Quraish tidak juga mahu menerima berita gembira dan ancaman yang diberikan dalam Quran. Mereka tolak mentah-mentah. Walaupun mereka tahu itu adalah kebenaran. Mereka sendiri terpesona dengan kehebatan dan keindahan Quran. Tapi, kerana sombong, mereka berpaling juga.

Ayat ini jangan kita sangka untuk orang-orang kafir Mekah sahaja. Dalam masyarakat kita sekarang pun amat ramai yang berpaling dari Quran. Mereka tak nak belajar tafsir Quran dan tak nak ikut Quran. Yang tak nak belajar Quran itu adalah orang yang sombong seperti yang dijelaskan dalam surah Zumar:32. Ayat itu bermaksud: Tidakkah neraka jahanam itu tempat yang paling sesuai bagi orang yang sombong tidak mahu belajar Quran?

Bayangkan kebodohan masyarakat kita yang tidak mahu belajar Quran yang mulia ini. Jibrail dah ajar ayat-ayat Quran kepada Nabi, dan Nabi pula ajar kepada sahabat dan dari sahabat sampai kepada kita. Tapi kita simpan sahaja Quran itu. Kita cuai untuk belajar. Tuhan panggil mereka-mereka yang seperti ini ‘sombong’. Dah ada dengan kita, tapi kita simpan sahaja tak nak belajar. Amatlah rugi sekali mereka-mereka itu.

 

فَهُمْ لَا يَسْمَعُونَ

Maka mereka tidak mahu mendengar.

Mereka tidak suka mendengar ajaran dari Quran. Oleh kerana itu, mereka jadi kufur. Asalnya kerana tidak mahu dengar sahaja. Mereka akan menyesal nanti di akhirat nanti seperti yang disebut dalam ayat Mulk:10. Mereka menyesal kerana tidak mahu mendengar ajaran dalam wahyu.

Oleh itu, ini mengajar kita yang mendengar adalah amat penting sekali. Kerana kalau tidak dengar, kita akan menyesal nanti. Kerana awal permulaan kepada mendapat kebenaran adalah kesanggupun untuk mendengar dulu tafsir Quran. Tapi malangnya, ramai yang dengar pun tidak mahu.

Selepas mendengar, kenalah pula ikut. Kerana belum tentu lagi yang mendengar itu akan ikut, kerana ada juga yang setelah mendengar, mereka degil untuk ikut. Ini kena minta taufik dari Allah supaya beri kekuatan kepada kita untuk menerapkan apa yang kita telah belajar dalam kehidupan seharian kita. Kerana kalau Allah tidak beri taufik, kita memang tidak boleh nak amalkan. Atau, kita boleh amal, tapi tidak istiqamah.

 

Kisah berkenaan surah ini: 

Pernah seorang lelaki bernama Utbah bin Rabiah pernah dihantar oleh orang Quraish untuk berjumpa dengan Nabi dan berhujah dengan baginda. Maka, Utbah telah berjumpa dan macam-macam dia kata kepada Nabi. Nabi hanya biarkan dia habis bercakap. Kemudian Nabi mula membacakan surah Fussilat ini kepada beliau.

Imam Muhammad bin Ishaq bin Yasar dalam kitab Siirah menyebutkan bahawa Muhammad bin Ka’ab al-Qurazhi berkata, telah diceritakan bahawa suatu hari, Utbah bin Rabi’ah yang merupakan seorang pembesar ketika duduk-duduk di tempat perkumpulan kaum Quraisy berkata, dan ketika itu Rasulullah sedang duduk sendiri di dalam masjid:  “Hai kaum Quraisy, bolehkah aku menemui Muhammad untuk membicarakan dan memperbincangkan beberapa hal, mudah-mudahan dia dapat menerima sebahagiannya, lalu kita dapat memberikan apa sahaja yang dia inginkan dan dia pun menghentikan aksinya terhadap kita.”

Ketika itu Saidina Hamzah telah masuk Islam dan mereka pun melihat bahawa para Sahabat Rasulullah semakin bertambah banyak. Mereka pun menjawab:  “Tentu, wahai Abul Walid. Temui dan berbicaralah kepadanya.” Lalu ‘Utbah pun berdiri menemui Rasulullah, sampai duduk di hadapannya dan berkata: “Hai anak saudaraku, sesungguhnya engkau berasal dari golongan kami, dimana aku tahu keluarga dan kedudukan keturunanmu. Sesungguhnya engkau telah membawa suatu perkara besar kepada kaummu, yang dengannya engkau memecah-belah kesatuan mereka, engkau bodohkan akal fikiran mereka, engkau cela sembahan dan agama mereka serta engkau kafirkan nenek moyang mereka yang telah pergi. Dengarkanlah aku, aku hendak mengajukan kepadamu beberapa hal yang perlu engkau tinjau kembali. Mudah-mudahan engkau menerima sebahagiannya.”

Lalu Rasulullah menjawab: “Katakanlah hal Abul Walid, aku mendengarkan.” ‘Utbah melanjutkan perkataannya: “Hai anak saudaraku, jika dengan hal yang engkau bawa ini engkau menginginkan harta, kami akan menghimpun harta-harta kami hingga engkau menjadi orang yang paling banyak hartanya. Jika engkau menghendaki kemuliaan, kami akan mengangkatmu sebagai pemimpin kami, hingga kami tidak memutuskan perkara tanpamu. Jika engkau menginginkan kekuasaan, maka kami akan mengangkatmu sebagai raja kami. Jika yang engkau alami ini adalah kerana penyakit yang tidak mampu engkau tolak dari dirimu, maka kami akan carikan untukmu beberapa orang tabib dan kami sumbangkan harta-harta kami, hingga engkau sembuh darinya.”

Hingga ketika Utbah telah selesai dan didengarkan oleh Rasulullah, baginda pun bertanya: “Apakah engkau telah selesai, hai Abul Walid?” Dia menjawab: “Ya.” Nabi berkata: “Dengarkanlah dariku.” Dia menjawab: “Lakukanlah.” Baginda pun membaca ayat pertama dari Surah Fussilat. Ketika ‘Utbah mendengarnya, dia diam dan meletakkan kedua tangannya ke belakang punggungnya sambil bersandar mendengarkannya, dan baginda meneruskan membaca Surah Fussilat hingga Rasulullah sampai pada ayat Sajdah, maka baginda pun sujud. Kemudian baginda berkata: “Engkau telah mendengar apa yang telah engkau dengar tadi, hai Abul Walid.”

Utbah lalu berdiri menemui para sahabatnya, maka sebahagian mereka saling berkata dengan sebahagian yang lain: “Kami bersumpah demi Allah, Abul Walid datang dengan wajah yang berbeza dari (tadi) sewaktu dia pergi.” Ketika dia duduk, mereka berkata: “Apa yang terjadi padamu hai Abul Walid?” Dia menjawab: “Aku telah mendengar suatu perkataan yang demi Allah belum pernah aku mendengar perkataan seperti itu sedikitpun. Demi Allah, itu bukanlah sihir, bukan pula sya’ir dan bukan pula ramalan. Hai bangsa Quraish, taatlah kepadaku dan jadikan ketaatan kalian itu untukku. Biarkanlah laki-laki itu dengan apa yang disampaikannya. Jauhkanlah diri kalian darinya. Demi Allah, perkataannya yang baru sahaja aku dengar akan mempunyai berita besar. Jika bangsa Arab lain dapat mematahkannya, biarlah dia dipatahkan oleh orang lain. Dan jika dia menguasai bangsa Arab, maka kerajaannya bererti kerajaan kalian, kehormatannya bererti kehormatan kalian dan kalian akan menjadi manusia yang paling berbahagia.”

Mereka berkata: “Demi Allah, hai Abul Walid, engkau telah disihir oleh lisannya.” Dia menjawab: “Ini pendapatku. Silalah kalian lakukan apa sahaja yang kalian pandang (ingin) untuk kalian.”


Ayat 5: Ini adalah ayat Syikayah – rungutan Allah. Allah menceritakan apakah alasan orang yang tidak beriman apabila kita berdakwah kepada mereka.

وَقالوا قُلوبُنا في أَكِنَّةٍ مِمّا تَدعونا إِلَيهِ وَفي آذانِنا وَقرٌ وَمِن بَينِنا وَبَينِكَ حِجابٌ فَاعمَل إِنَّنا عامِلونَ

Sahih International

And they say, “Our hearts are within coverings from that to which you invite us, and in our ears is deafness, and between us and you is a partition, so work; indeed, we are working.”

Malay

Dan mereka berkata: “Hati kami dalam tutupan yang berlapis-lapis (menghalang kami) daripada memahami apa yang engkau serukan kami kepadanya, dan pada telinga kami penyumbat (menjadikan kami tidak dapat mendengarnya), serta di antara kami denganmu ada sekatan (yang memisahkan fahaman kita); oleh itu, bekerjalah engkau (untuk ugamamu), sesungguhnya kami juga tetap bekerja (untuk mempertahankan kepercayaan kami)! ”

 

وَقَالُوا

Mereka berkata,

Yang dimaksudkan adalah orang-orang Musyrikin Mekah masa itu dan orang-orang musyrik sekarang. Ini adalah kalangan mereka yang sanggup menjawap, kurang ajar dengan Nabi. Mereka tergamak berkata begini depan Nabi. Sedangkan, ramai juga yang menolak tapi mereka tidak berkata apa-apa.

 

قُلُوبُنَا فِي أَكِنَّةٍ

Hati kami dalam tutupan

Setelah berkali-kali Nabi mengajak mereka kepada Islam, hati mereka masih lagi tertutup. Begitu juga ramai dari kalangan kita macam itu juga. Ada yang tolak berdepan dengan kita, dan ada yang depan kita senyap, tapi belakang kita menolak apa yang kita beritahu kepada mereka tentang maksud-maksud Quran. Begitulah sifat manusia.

Kenapa mereka kata begitu? Kerana mereka rasa diri mereka sudah cukup. Begitulah ramai dari kalangan masyarakat kita yang rasa sudah mengamalkan Islam dah, mereka solat, puasa dan infak. Oleh kerana itu, mereka tidak ada usaha nak periksa diri mereka dengan Quran.

 

مِمَّا تَدْعُونَا إِلَيْهِ

daripada mendengar ajakan kamu; 

Mereka menolak ajakan kepada tauhid kepada mengesakan Allah. Lafaz مِمَّا dalam ayat ini adalah ‘ajakan tauhid’. Mereka sendiri mengaku mereka tak mampu nak dengar. Mereka tak boleh nak terima.

 

وَفِي آذَانِنَا وَقْرٌ

Dan pada telinga kami ada sumbatan.

Ada dua makna dari ayat ini:

  1. Mereka pilih untuk tidak dengar apa yang disampaikan oleh pendakwah
  2. Hati mereka sudah penuh dengan ilmu lain, sampai tidak boleh nak masuk lagi ajaran baru ini. Mereka rasa diri mereka sudah cukup ilmu sampai tidak perlu dengar. Oleh itu, ayat ini bukan maksudnya mereka tidak mampu dengar, tapi mereka rasa mereka tidak perlu dengar.

 

وَمِنْ بَيْنِنَا وَبَيْنِكَ حِجَابٌ

Dan diantara kami dan kamu ada hijab. 

Iaitu hijab maknawi. Tak nampak hijab tu, tapi ada. Mereka telah dihijab terus, sampai tak boleh nampak. Kita cakap macam mana pun, mereka tidak dapat terima.

 

فَاعْمَلْ

Maka kau buatlah amalan kamu,

Mereka yang tolak tauhid itu berkata: kamu amallah ikut ajaran yang kamu kata Tuhan ajar itu. Iaitu amalan-amalan kamu yang kamu kata ikut sunnah itu. Mereka tidak mahu ikut.

 

إِنَّنَا عَامِلُونَ

Kami pula akan beramal

Iaitu mereka nak beramal dengan cara tok nenek mereka ajar. Ayat ini adalah ayat engkar. Apa yang diajar kepada mereka, mereka tidak mahu terima. Mereka kata: “Takkan tok nenek kami semua nak masuk neraka?” Ini adalah alasan ikut akal. Iaitu dalil mengikut hawa nafsu. Sepatutnya kena bagi dalil dari Quran dan Hadis. Maka siapa yang cakap macam ini adalah sama macam percakapan kaum Musyrikin Mekah. Kerana jawapan itu adalah jawapan musyrikin. Mereka tolak hujah Quran dan Hadis yang kita bawa. Kalau tolak, bermakna mereka degil dan telah kufur. Mereka hanya mahu mengikut jejak langkah tok nenek mereka sahaja.

Mereka ikut sahaja amalan yang telah diajar oleh orang dulu-dulu, ustaz-ustaz mereka, guru-guru mereka, tanpa usul periksa. Mereka tidak berani minta dalil dari guru mereka kerana mereka telah diajar, kalau minta dalil, itu tanda lemah iman. Dengan kata-kata itu sahaja, telah menutup mulut mereka dari bertanya. Maka, masyarakat kita terus jadi bodoh dan tidak berfikir. Hanya terima bulat-bulat cerita-cerita dan ajaran-ajaran salah dari guru dan ustaz mereka.

Selalu kita dengar hujah sebegini. Selepas diberikan hujah-hujah kita dari Quran dan hadis yang sahih, mereka masih lagi tolak. Akhirnya mereka akan kata, “engkau beramallah cara engkau dan guru engkau, kami nak amal seperti cara guru kami ajar, sebab kami yakin dengan apa yang guru kami sampaikan”.

 


Ayat 6: Ini adalah Dalil Wahyi. Dalam ayat ini, Allah mengajar kita bagaimana berdakwah. Apabila dakwah kita tidak diterima, kita balas dengan baik dan rendah diri.

قُل إِنَّما أَنا بَشَرٌ مِثلُكُم يوحىٰ إِلَيَّ أَنَّما إِلٰهُكُم إِلٰهٌ واحِدٌ فَاستَقيموا إِلَيهِ وَاستَغفِروهُ ۗ وَوَيلٌ لِلمُشرِكينَ

Sahih International

Say, O [Muhammad], “I am only a man like you to whom it has been revealed that your god is but one God; so take a straight course to Him and seek His forgiveness.” And woe to those who associate others with Allah –

Malay

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu; diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang Satu; maka hendaklah kamu tetap teguh di atas jalan yang betul lurus (yang membawa kepada mencapai keredaanNya), serta pohonlah kepadaNya supaya mengampuni (dosa-dosa kamu yang telah lalu). Dan (ingatlah), kecelakaan besar bagi orang-orang yang mempersekutukanNya (dengan sesuatu yang lain),

 

قُلْ

Kata kepada mereka:

Syaitan bisikkan kepada Musyrikin Mekah yang mereka mahu ikut wahyu, dengan syarat Nabi itu mesti bukan manusia biasa. Mereka kata mereka tidak dapat terima apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad itu kerana Nabi nampak sama sahaja. Allah ajar cara jawab.

 

إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ مِثْلُكُمْ

sesungguhnya aku ini adalah manusia seperti kamu,

Nabi Muhammad itu juga kahwin, ada anak, pegi pasar sama-sama dengan manusia lainnya. Ini adalah satu langkah merendahkan diri. Mengatakan bahawa tidak ada kelebihan diri dari orang yang didakwah itu. Sama-sama manusia, sama-sama ada keperluan dalam hidup.

Jangan lawan negatif mereka dengan negatif juga. Kalau mereka kasar dengan kita, jangan kita kasar balik kepada mereka.

Ini juga mengajar kita bahawa Nabi Muhammad itu bukan ‘nur’ tapi manusia biasa sahaja. Ini penting untuk diberitahu kerana ramai sekali dalam masyarakat kita yang percaya Nabi Muhammd bukan manusia biasa tapi ‘Nur Muhammad’. Kerana salah faham inilah, sampai ada fatwa yang kata: kalau ada yang kata Nabi itu nur, jatuh kufur murtad sebab tolak ayat Qur’an. Sebab apabila digunakan perkataan بَشَرٌ, mesti ada kulit macam manusia biasa.

 

يُوحَىٰ إِلَيَّ

diberi wahyu kepadaku. 

Cuma bezanya antara Nabi Muhammad dan manusia lain, baginda diwahyukan dengan Quran dan diberi pangkat kenabian. Nabi Muhammad dapat Quran langsung dari Jibrail sedangkan manusia lain dapat wahyu dari pengajian. Oleh itu, kita ini juga adalah penerima wahyu dan perlu menyampaikan kepada umat yang lain.

Dan kita pula yang sedang belajar tafsir ini, beza kita dengan orang lain adalah kita belajar wahyu, dan mereka tidak belajar. Begitulah cara kita cakap kepada orang lain yang tidak belajar.

 

أَنَّما إِلٰهُكُم إِلٰهٌ واحِدٌ 

Sesungguhnya Tuhan kamu yang wajib disembah, adalah Tuhan yang Maha Esa

Ini adalah kesimpulan dari 30 juzuk Quran. Tidak ada ilah, tidak ada pujaan, nabi, rasul, malaikat, wali, orang, binatang, keris azimat, cincin, geliga dan sebagainya lagi yang ada sifat ilah, melainkan Allah sahaja yang ada sifat ilah itu. Pengharapan hati kita kepada Allah sahaja. Maka, oleh kerana Dia sahaja yang ada sifat ilah, maka kita sembah hanya Dia sahaja dan doa kepada Dia sahaja.

Ilah itu adalah tempat sandaran hati kita seperti yang telah disebut dalam Usul Tafsir.

 

فَاسْتَقِيمُوا إِلَيْهِ

Hendaklah kamu berpegang teguh dengan tauhid ini

Hendaklah berpegang dengan tauhid ini dengan sedaya upaya. Agama ini amat luas, tapi yang paling penting adalah tentang tauhid. Maka, hendaklah berpegang dengan kuat. Jaga tauhid dalam ibadat dan dalam doa.

Satu lagi, ia menganjurkan kita untuk tawajuh (fokus) kepada Allah dalam setiap perkara. Kena ingat yang Allah ada melihat kita.

 

وَاسْتَغْفِرُوهُ

dan hendaklah kamu minta ampun kepadaNya

Istighfarlah dari dosa syirik kalau kita pernah lakukan dulu, kerana selagi tak minta ampun, selagi itu ibadat kita yang kita buat, tak diterima. Termasuklah sembahyang, haji, baca Quran, itu semua tidak diterima kalau kita kita ada mengamalkan syirik. Tak diterima apa-apa pun amalan kerana tak keluar dari kesyirikan. Kerana dia tidak masuk Islam pun lagi. Jadi macam orang kafir yang puasa. Walaupun mereka lapar macam kita juga, tapi tidak diterima puasa mereka, kerana mereka bukan orang Islam. Kerana syarat diterima amal seseorang itu adalah dia itu seorang Islam yang tidak melakukan syirik.

Bayangkan kalau ada orang kita yang melakukan syirik tanpa mereka ketahui. Mereka tidak berniat nak buat syirik sebenarnya, tapi kerana mereka tak belajar, mereka buat perkara syirik. Sebagai contoh, mereka percaya dengan bomoh dan mereka menggunakan khidmat bomoh itu. Ada bermacam-macam lagi perbuatan syirik yang masyarakat kita buat yang mereka tidak tahu bahawa itu adalah perkara syirik. Ini bermakna, segala amal ibadat mereka belum lagi diterima oleh Allah. Kerana amal ibadat hanya diterima dari mereka yang tidak melakukan syirik. Alangkah kesiannya mereka. Susah payah mereka solat, puasa dan sebagainya. Berapa banyak duit yang mereka habiskan untuk pergi umrah dan buat Haji, tapi masih lagi tidak diterima dan tidak diberi pahala atas perbuatan amal ibadat mereka itu. Alangkah ruginya

Doa ampun dosa syirik tafsir sunnah

Doa mohon ampunan dosa syirik yang diketahui juga dosa syirik  yang tak disedari atau tak tahu. Tapi syaratnya mesti ada usaha belajar. Kalau dalam proses belajar jawab tak tahu masih ada harapan diampunkan. Kalau malas belajar, jawab tak tahu memang dicop sombong dengan Quran.

Jadi kena minta ampun dosa syirik dulu, kemudian baru minta ampun dosa-dosa yang lain. Kita selalunya akan minta ampun dari dosa-dosa yang banyak kita lakukan, tapi dosa syirik kita tak minta ampun lagi. Kita tak minta ampun kerana kita senang hati, kita ingat tentulah kita tidak buat syirik kerana kita orang Islam. Tapi betulkah begitu? Adakah kamu tahu apakah yang dimaksudkan dengan perbuatan dan faham syirik sampai kamu kata kamu tak pernah buat?

Kita minta ampun kepada Allah supaya mengampunkan mana-mana dosa syirik kita yang kita tahu kita dah buat dulu, dan mana-mana dosa syirik yang kita tak tahu kita dah buat. Iaitu dosa syirik yang kita buat tanpa sedar kerana kita tak belajar lagi. Sambung lagi doa kita itu: “Walaubagaimanapun Ya Allah, aku tak mahu mengulang dosa syirik yang aku buat itu dulu, maka ajarkan kepada aku ya Allah, mana syirik yang aku buat.” Kena minta macam tu, kerana kadang-kadang kita tak tahu mana dosa syirik yang kita lakukan.

Ayat ini juga menganjurkan kita untuk sentiasa minta ampun. Seseorang itu kena istighfar walaupun dalam melakukan taat. Kerana takut ada amalan tak cukup seperti yang Allah kehendaki. Mungkin ada amalan yang kita buat dalam lalai.

 

وَوَيْلٌ لِلْمُشْرِكِينَ

Celaka besarlah bagi orang-orang yang mensyirikkan Allah

Celaka bagi mereka yang mengamalkan syirik dan tidak mahu bertaubat. Dalam dunia ini lagi mereka akan melalui kehidupan yang sempit, dan di akhirat kelak mereka akan dibalas dengan azab yang amat pedih sekali. Dan mereka akan kekal dalam neraka, dengan tidak ada peluang untuk keluar kerana Allah telah beritahu yang Dia tidak akan maafkan dosa mereka yang syirik.

 


Ayat 7: Apabila akidah sudah tidak betul, maka amalan pun sudah tentu tidak betul juga. Ayat diatas menyebut tentang celakalah kepada orang yang musyrik. Siapakah orang-orang Musyrik itu?

الَّذينَ لا يُؤتونَ الزَّكاةَ وَهُم بِالآخِرَةِ هُم كافِرونَ

Sahih International

Those who do not give zakah, and in the Hereafter they are disbelievers.

Malay

“Iaitu orang-orang yang tidak memberi zakat (untuk membersihkan jiwa dan hartabendanya) dan mereka pula kufur ingkar akan adanya hari akhirat”.

 

الَّذِينَ لَا يُؤْتُونَ الزَّكَاةَ

Orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat.

Maka, orang yang imannya benar, mereka akan taat untuk keluarkan zakat. Walaupun ianya berat juga kerana nak kena keluarkan harta dari hasil usaha kita juga. Tapi kerana taat kepada Allah, kita lakukan juga. Kalau musyrikin, mereka tidak akan keluarkan kerana mereka tidak taat kepada Allah.

Apakah yang dimaksudkan zakat dalam ayat ini? Kenapa digunakan perkataan ‘zakat’ dalam ayat ini, padahal mereka adalah orang kafir, dan memang orang kafir tak bayar zakat pun. Makna ‘zakat’ dalam ayat ini adalah membersihkan hati dari syirik kepada Allah. Kerana ayat ini diturunkan di Mekah, jadi tiada lagi arahan mengeluarkan zakat. Ayat ini menceritakan tentang kriteria orang Musyrik yang tidak keluar dari kesyirikan. Mereka tidak mahu terima lafaz la ilaha illa Allah.

Atau ada yang kata, zakat di sini adalah ‘sedekah’, kerana rukun zakat hanya mula difardhukan di Madinah, maka kalau dikatakan zakat semasa di Mekah, ianya bermaksud ‘sedekah’.

Atau, ada juga yang mengatakan bahawa di Mekah lagi sudah ada arahan untuk mengeluarkan zakat. Cuma ada kelainan sedikit dari zakat yang ditetapkan di Madinah nanti. Semasa di Mekah, awal Islam, zakat yang dikeluarkan adalah apa sahaja lebihan dari keperluan harian. Kalau ada lebih sahaja, dah kena keluarkan dah. Hanya apabila di Madinah sahaja dikeluarkan arahan baru berdasarkan kadar-kadar 2.5% dan sebagainya.

Kenapa disebut zakat dalam ayat ini dan bukan solat? Selalunya kalau amalan yang diberi sebagai contoh adalah amalan Solat, tapi kali ini disebut zakat pula. Ini adalah kerana sepatutnya mereka berlaku baik kepada orang Muslim yang lain. Orang yang baik tahu bahawa mereka tidak boleh hidup sendiri. Dan dengan mengeluarkan zakat, itu dapat mengeratkan hubungan sesama manusia yang dalam masa yang sama, adalah satu ibadat yang mendapat pahala dari Allah. Mereka yang beriman tahu bahawa segala harta yang Allah berikan kepada mereka, sebahagiannya untuk orang lain. Untuk mereka salurkan dalam bentuk zakat atau sedekah. Tapi kalau orang tak beriman, mereka tak nampak perkara itu. Mereka hanya tahu nak kumpul harta sebanyak mungkin. Mereka suka untuk kira-kira harta mereka yang semakin bertambah dan bertambah. Mereka lupa bahawa apabila mereka mati, mereka tidak boleh nak bawa harta itu bersama mereka. Tapi mereka memang tidak memikirkan perkara itu.

 

وَهُمْ بِالْآخِرَةِ هُمْ كَافِرُونَ

Dan mereka tentang akhirat itu enggan percaya.

Mereka tak percaya yang mereka akan dibangkitkan selepas mereka mati kelak. Musyrikin Mekah tolak adanya akhirat kerana ianya tidak nampak dengan mata; dan mereka pun tidak ada kitab, maka maklumat ini tidak sampai kepada mereka.

Ataupun, mereka tahu bahawa mereka akan dibangkitkan kelak, kerana mereka orang Islam. Mereka belajar di sekolah agama dulu bahawa ada Hari Kiamat yang semuanya akan dibangkitkan kelak. Tapi, mereka hidup dalam dunia ini, seperti mereka tak percaya mereka akan dibangkitkan kelak. Kerana kita boleh lihat bagaimana bezanya orang yang percaya dengan orang yang tidak percaya. Orang yang percaya benar dengan hari kebangkitan, mereka akan takut nak buat dosa kerana mereka tahu bahawa mereka akan disoal dan akan dibalas dengan perbuatan salah mereka kalau mereka buat. Tapi orang yang tidak percaya sungguh, mereka buat tak tahu sahaja. Macam mereka tak tahu perbuatan maksiat mereka itu adalah satu dosa. Kita pula bagaimana?


Ayat 8: Ini adalah Ayat Tabshir Duniawi – ayat gembira. Selepas disebut tentang sifat orang kafir dan orang yang tidak beriman, sekarang Allah sebutkan pula sifat orang yang beriman. Dan apakah balasan yang mereka akan terima.

إِنَّ الَّذينَ آمَنوا وَعَمِلُوا الصّالِحاتِ لَهُم أَجرٌ غَيرُ مَمنونٍ

Sahih International

Indeed, those who believe and do righteous deeds – for them is a reward uninterrupted.

Malay

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh, mereka beroleh balasan pahala yang tidak putus-putus.

 

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا

Sesungguhnya orang-orang yang beriman sempurna,

Orang yang beriman sempurna adalah mereka yang tidak buat syirik. Mereka berpegang sungguh-sungguh dengan Tauhid. Kita sebutkan ‘beriman sempurna’ dalam tafsir kita ini kerana ianya ada beza dengan orang yang ‘beriman’ sahaja. Ada ramai yang beriman, percaya kepada Allah, Nabi, malaikat dan sebagainya, tapi iman mereka tidak sempurna. Contohnya, mereka memang percaya kewujudan Tuhan, tapi dalam masa yang sama mereka buat perkara-perkara syirik juga. Itulah maksudnya orang yang tidak ‘beriman sempurna’.

 

وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ

dan berbuat amal soleh

Mereka sanggup beramal kerana itu adalah arahan dari Allah. Iaitu beramal ibadat sebagaimana ibadat yang diajar oleh Nabi. Iaitu beramal dengan amal yang sunnah – yang ada contoh dari Nabi.

Ibadat yang tidak diajar Nabi adalah bidaah, tidak kira samada ibadat itu cantik pada mata kita atau tidak. Dalam bidaah itu sebenarnya ada elemen syirik di dalamnya. Syirik dalam perkara bidaah itu adalah, apabila kita kata Tuhan akan beri pahala di atas perbuatan bidaah itu. Itu sebenarnya kita berdusta atas nama Allah. Iaitu apabila kita kata Tuhan akan bagi pahala kalau buat sesuatu ibadat itu padahal Allah dan Nabi tidak kata pun. Manusia yang mereka amalan itu sahaja yang kata begitu – mereka pandai-pandai cakap. Kalau kita dusta sesama kita pun kita dah marah dah. Tambahan pula kalau kita dusta atas nama Allah. Tapi, di manakah syiriknya? Syiriknya adalah kerana kita ambil tugas Allah. Sepatutnya Allah yang beritahu kita samada amalan itu baik atau tidak, dapat pahala atau tidak, tapi kita sendiri yang pandai-pandai kata ianya adalah amalan baik dan akan dapat pahala.

Mereka nanti akan dihadapkan di hadapan Allah Taala saksi-saksi akan bahawa mereka telah berdusta atas nama Allah. Laknat Allah akan dikenakan ke atas mereka. Maksud ‘laknat’ itu adalah mereka tidak akan ada peluang untuk masuk syurga.

Oleh itu, kita hendaklah menjaga amalan kita. Kenalah kita buat amalan yang sunnah-sunnah sahaja. Kena belajar cari dalil tentang sesuatu amalan itu. Jangan pakai ikut sahaja orang lain buat.

 

لَهُمْ أَجْرٌ غَيْرُ مَمْنُونٍ

Bagi mereka pahala tidak putus-putus.

Mereka sentiasa dapat pahala. Akhirnya akan masuk syurga dan kekal di dalamnya. Ingat, amalan bidaah tidak ada pahala, malah mengundang dosa. Amat rugi sekali kalau buang masa buat amalan yang tidak ada sunnahnya.

أَجْرٌ bermaksud upah yang diberikan kepada pelaku amal yang soleh.

Maksud pertama ayat ini, mereka yang beriman sempurna dan mengerjakan amal yang soleh, mereka akan dimasukkan ke dalam syurga dan kenikmatan dalam syurga itu tidak akan putus-putus – ia akan berkekalan sampai bila-bila. Mereka yang masuk syurga tidak akan keluar daripadanya. Mereka akan kekal abadi di dalamnya. Itulah maksud ‘tidak putus-putus’.

Maksud kedua, Allah beri balasan itu percuma sahaja, tanpa diungkit apa yang Dia telah berikan kepada kita. Allah tidak ungkit amalan kita yang sedikit. Dan Allah tidak ungkit yang kita boleh buat amalan itu pun kerana Dia yang beri taufik juga.

Kalau seseorang itu sentiasa melakukan ibadah yang soleh, tapi tiba-tiba dia tidak boleh buat, kerana sesuatu perkara, mungkin dia sakit, Allah akan tetap beri pahala yang sama. Itulah bermaksud pahala mereka itu tidak putus.

Satu lagi contoh, kalau semasa muda, dia selalu solat berjemaah di masjid. Tapi apabila tua, dia tidak mampu lagi untuk berjemaah ke masjid, dia solat di rumah sahaja. Walaupun dia solat di rumah, tapi kerana dulu semasa dia mampu, dia pergi ke masjid, Allah akan tulis solatnya itu pun sebagai berjemaah juga. Ini juga maksud pahala itu tidak putus.

Atau mereka yang sedekah sesuatu yang terus digunakan oleh manusia. Sebagai contoh, dia ada derma untuk buat masjid. Selagi masjid itu digunakan, pahala akan diberikan kepadanya tidak putus-putus, walaupun dia sudah tiada lagi.

Ataupun dia ada ajar ilmu yang bermanfaat kepada manusia lain. Sebagai contoh, dia ajar seseorang untuk baca Quran. Setiap kali orang itu baca Quran, dia akan dapat pahala bacaan orang itu juga. Pahala itu tidak putus-putus walaupun dia sudah tiada lagi.

 


Ayat 9: Dalil Aqli Afaqi

۞ قُل أَئِنَّكُم لَتَكفُرونَ بِالَّذي خَلَقَ الأَرضَ في يَومَينِ وَتَجعَلونَ لَهُ أَندادًا ۚ ذٰلِكَ رَبُّ العالَمينَ

Sahih International

Say, “Do you indeed disbelieve in He who created the earth in two days and attribute to Him equals? That is the Lord of the worlds.”

Malay

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya tidak patut kamu kufur kepada Tuhan yang menciptakan bumi dalam dua masa, dan kamu adakan sekutu-sekutu bagiNya! Yang demikian (sifatNya dan kekuasaanNya) ialah Allah, Tuhan sekalian alam,

 

قُلْ

Tanya mereka

Setiap kali ada perkataan ini, ianya ditujukan kepada Nabi Muhammad. Ini adalah perkataan penting. Kalau Allah ada kata begini, kita kena berikan perhatian yang khas. Ia bukan sahaja diberikan kepada Nabi, tapi diteruskan kepada kita juga. Memang asalnya ianya kepada Nabi Muhammad, tapi kita sebagai umat yang meneruskan perjuangan dakwah baginda, akan menerima ayat ini untuk diamalkan.

 

أَئِنَّكُم لَتَكفُرونَ بِالَّذي خَلَقَ الأَرضَ في يَومَينِ

adakah patut kamu kufur kepada Dzat yang mencipta bumi dalam dua masa.

Kufur yang dimaksudkan adalah tolak tauhid.

Allah hendak memberitahu kita bahawa segala ciptaan, Dia sahaja yang buat. Tidak ada selain Allah yang boleh buat. Kalau seruan dan sembahan yang kamu sembah itu ada buat sesuatu dari alam ini, bolehlah kalau nak sembah mereka. Tapi mereka buat lalat seekor pun tidak boleh, maka mereka tidak layak disembah.

Tentang ‘dua masa’ itu, ada yang kata: hari Ahad dan hari Isnin. Ada yang kata dalam dua hari, tapi lebih sesuai kalau kita kata dalam ‘dua masa’. Kerana semasa dijadikan dunia itu, matahari belum ada lagi, jadi tidak ada ‘hari’ lagi seperti yang kita faham sekarang.

Ada orang kafir yang percaya adanya Tuhan yang satu, tapi mereka rasa Tuhan itu perlukan pertolongan. Tapi Allah berhujah dalam ayat ini, kenapa pula Allah perlukan pertolongan sedangkan Dia buat tujuh lapis bumi itu dalam dua masa bersendirian sahaja? Dia tidak memerlukan pertolongan sesiapa pun. Dialah yang Maha Berkuasa untuk melakukan apa sahaja, maka tentulah tidak patut kalau manusia kufur kepadaNya.

 

وَتَجْعَلُونَ لَهُ أَنْدَادًا

Dan kamu jadikan bagi Allah, tandingan-tandingan

Adakah patut kamu jadikan tandingan bagi Allah? Allah kamu sembah dan ada yang selain Allah yang kamu sembah juga, seperti Allah kena bertanding dengan mereka pula untuk mendapat penyembahan dari kamu. Tentulah tidak patut sama sekali. Adakah yang kamu jadikan sekutu itu boleh mencipta alam ini? Adakah semasa Allah cipta alam ini, Dia memerlukan pertolongan dari entiti-entiti lain? Tentulah tidak. Allah buat alam ini sendirian berhad sahaja. Tidak memerlukan gotong royong macam kita kalau nak buat masjid. Tidak.

Perkataan أَنْدَادًا bermaksud ‘tandingan-tandingan’, iaitu mereka yang kita jadikan setaraf dengan Allah. Iaitu kita sembah Allah, tapi dalam masa yang sama, sembah mereka juga. Orang kafir Mekah bukanlah mereka tidak sembah Allah. Mereka juga kenal Allah dan tahu Allah itu Tuhan. Tapi dalam masa yang sama, mereka sembah juga sembahan-sembahan lain, yang mereka anggap sebagai ‘tuhan-tuhan kecil’.

Orang kita ada juga buat begini. Tidaklah mereka sembah dengan jelas أَنْدَادًا lain. Tapi, mereka ada faham bahawa ada makhluk yang ada kuasa macam Allah. Contohnya, ada antara kita yang jumpa tok guru dan dia bagi kita mandi air jampi, untuk sembuhkan penyakit kita. Ini adalah satu fahaman syirik. Kerana yang menyembuhkan adalah Allah, bukan air jampi guru itu.

Begitulah keadaan kebanyakan manusia. Mereka percaya kepada selain Allah yang tolong mereka. Seperti yang telah disebut di dalam Surah Az-Zumar:8. Bila mereka dapat bala, mereka condong kepada ketaatan. Mereka akan jadi orang yang baik, sudah mula pergi masjid, bila jumpa orang sahaja, mereka akan bagi salam. Doa pun panjang-panjang. Kemudian apabila diberi nikmat baru yang ditukar daripada bala yang mereka alami itu, hilang segala masalah mereka, terus mereka lupa kepada Allah yang mereka doa pada mulanya. Mereka buat macam bukan Allah yang menyelamatkan mereka, tapi tok guru, azimat, dan sebagainya. Ini kerana mereka nampak masalah mereka selesai selepas mereka mandi air jampi guru, doa dari tok guru, azimat yang guru bagi dan sebagainya. Ini seperti tidak mengaku adanya Allah.

Atau, jika ada orang yang berkata: “kalau tanpa dia ni tolong saya, dah lama saya mati.” Kufur terus kalau cakap macam tu. Yang betul adalah kata begini: “melalui awaklah Allah tolong saya”. Itu baru betul.

Orang yang sesat ni jadi bodoh yang pelik. Mereka percaya benda-benda mengarut macam agama Hindu dah. Sanggup buat benda-benda yang jijik. Sanggup makan benda kotor sebab ada guru yang kata kena makan begitu. Macam-macam yang masyarakat kita buat dari amalan yang salah kerana ditipu oleh guru yang sesat. Tidak perlu kita perincikan di sini. Kita pun sudah tahu masyarakat kita macam mana.

 

ذٰلِكَ رَبُّ العالَمينَ

Yang ada sifat itu, adalah Tuhan yang mencipta dan memelihara sekian alam.

Allah Maha Berkuasa, Allah tidak memerlukan penolong apa pun. Dialah Tuhan yang mencipta, dan sesudah dicipta olehNya alam ini, Dia yang mentadbir dan memelihara alam ini dan menguruskannya dari sekecil-kecil perkara ke sebesar-besar perkara. Tidak ada yang selain dari Allah yang boleh buat perkara itu. Rabb kita hanya satu sahaja. Lalu kenapa nak sembah dan seru selain Allah?

 


Ayat 10: Sekarang diberikan lagi dalil kenapa kita kena puja Allah sahaja. Orang kafir Mekah menyembah berhala, malaikat dan jin, padahal Allah lah yang menjadikan alam ini, bukan berhala-berhala dan sembahan-sembahan lain. Masyarakat kita juga ada yang menyembah selain dari Allah, padahal bukan entiti-entiti selain Allah itu yang menjadikan alam ini.

وَجَعَلَ فيها رَواسِيَ مِن فَوقِها وَبارَكَ فيها وَقَدَّرَ فيها أَقواتَها في أَربَعَةِ أَيّامٍ سَواءً لِلسّائِلينَ

Sahih International

And He placed on the earth firmly set mountains over its surface, and He blessed it and determined therein its [creatures’] sustenance in four days without distinction – for [the information] of those who ask.

Malay

Dan Ia menjadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya (tersergam tinggi) di atasnya, serta Ia melimpahkan berkat padanya, dan Ia menentukan ada padaNya bahan-bahan keperluan hidup penduduknya, sekadar yang menyamai hajat yang diminta dan dikehendaki oleh keadaan mereka; (semuanya itu berlaku) dalam empat masa.

 

وَجَعَلَ فِيهَا رَوَاسِيَ مِنْ فَوْقِهَا

Dan Allah menjadikan gunung-gunung  di atas bumi itu

Allah sahaja yang boleh buat gunung ganang itu. Gunanya gunung ganang itu adalah supaya bumi kukuh dan tidak bergegar. Allah jadikan gunung-ganang sebagai pasak untuk menjadikan bumi ini stabil. Kerana bumi ini sentiasa berpusing. Kalau tidak ada pasak, tentu sudah bergegar. Kalaulah bergegar, semua rumah akan runtuh, bumi akan jadi rata dan akhirnya akan masuk ke dalam laut. Semua tanah yang ada di bumi ini, kuantitinya muat kalau masuk dalam laut. Tak tinggal tanah langsung dah. Kerana air laut lebih banyak dari tanah.

Allah jadikan pasak untuk bumi, supaya lapisan bumi ini tetap.

Allah jadikan pasak untuk bumi, supaya lapisan bumi ini tetap.

Gunung ganang itu juga dijadikan sebagai pehambat angin. Menahan angin dari jadi kuat sangat. Kalau tidak ada penahan, tentunya angin itu jadi lebih kuat dan kita pun boleh diterbangkan olehnya.

gunung sebagai penghalang angin

gunung sebagai penghalang angin

Satu lagi sebab Allah jadikan gunung-ganang adalah supaya kita boleh lihat gunung-ganang yang gagah dan indah itu dan memikirkan siapakah yang boleh mencipta sesuatu yang sebegitu hebat? Ianya akan memberi kita satu perasaan yang merendahkan diri kita dan takjub dengan satu kuasa yang Maha Hebat. Itulah Allah yang Maha Berkuasa. Oleh itu, lihatlah alam semesta ini dan fikirkan di manakah kedudukan kita yang serba kerdil ini.

 

وَبَارَكَ فِيهَا

dan Allah memberi berkat yang banyak kepada bumi itu.

Iaitu dengan Allah buat gunung-gunung itu, maka akan mengalir anak-anak sungai yang kemudiannya akan jadi sungai yang besar. Kalau tiada gunung, maka tiadalah sungai. Jadi bumi akan jadi padang pasir sahaja. Jadi dengan air mengalir itu, ditumbuhkan pokok-pokok. Di tempat lain pula, Allah adakan salji, dan bila musim panas, salji akan jadi air yang mengalir. Nak hurai tentang berkat ini, ada dalam surah al-Mulk ayat pertama.

Allah beri kelebihan dan guna pada bumi itu, bukan duduk diam sahaja. Allah memberkati bumi ini supaya kita dapat tinggal di dalamnya dengan selesa. Segala keperluan telah diberikan kepada kita supaya dapat menakluk bumi ini untuk didiami.

 

وَقَدَّرَ فِيهَا أَقْوَاتَهَا

dan Dia menentukan berapa banyak keperluannya.

Allah telah tentukan kadar keperluan yang diperlukan oleh makhlukNya. Berapa banyak air hujan diturunkan, berapa banyak pokok yang patut tumbuh, serangga apa dan binatang apa yang diperlukan di tempat itu. Kalau kita tengok rancangan kehidupan dalam media, seperti rancangan ‘National Geographic’, kita akan dapat tahu bagaimana telah ditentukan segala keperluan untuk tempat itu. Semuanya sesuai.

Kalau Allah tak tentukan berapa banyak air yang sesuai untuk kehidupan, akan tumbuh terlalu banyak pokok, sampai nanti tak cukup baja untuk beri tumbuh-tumbuhan itu hidup. Pokok itu sendiri akan mati sebab tak cukup baja. Atau kalau pokok banyak sangat, kita tidak ada tempat nak tinggal dah. Allah sudah tentukan keperluan kehidupan sampaikan semua makhluk flora dan fauna akan dapat keperluan mereka.

Dia juga yang menentukan makanan-makanan sebagai rezeki. Semua kadar itu telah ditentukan oleh Allah yang Maha Bijaksana. Allah berikan kadar itu ikut keperluan. Allah sahaja yang tahu keperluan semua makhluk. Kita walaupun telah mengkaji bertahun-tahun, masih banyak lagi perkara yang kita tidak tahu.

 

فِي أَرْبَعَةِ أَيَّامٍ

dalam empat masa.

Bukan ’empat hari’, tapi ’empat masa’. Kerana semasa Allah cipta bumi, ‘hari’ tiada lagi. Kerana untuk ada ‘hari’, kena ada matahari, tapi matahari belum dicipta lagi. Maka, seeloknya kita gunakan dalam empat ‘masa’.

Allah telah katakan bahawa Allah telah mencipta bumi selama 2 hari, kemudian ada ayat lain yang Allah kata langit diciptakan dalam masa 2 hari. Sekarang dikatakan bahawa segala alam dalam dunia ini dijadikan dalam 4 hari. Kalau kita campur semua, akan jadi 8 hari. Tapi, kita jangan kira begitu. Tidaklah Allah perlu buat semua itu satu persatu. Ada yang Allah buat pada masa yang sama. Contohnya, semasa Allah menjadikan keperluan dalam alam ini, dalam masa yang sama juga, Allah boleh ciptakan langit juga.

Ataupun, dalam ayat sebelum ini, disebut penciptaan bumi selama ‘dua hari’. Dan pengisian keperluan pula mengambail masa ‘dua hari’. Setelah dicampur, itulah sampai kepada maksud ’empat hari’. Allahu a’lam.

Kenapa alam ini dijadikan dalam ‘enam masa’? Sedangkan dalam ayat lain, Allah kata kalau Dia hendak jadikan sesuatu, Dia hanya kata: Kun – jadilah, maka ianya fayakun – akan terjadi.

Allah kata Dia gunakan ‘enam masa’ kerana kalau kita menjadikan sesuatu perkara yang penting, kita akan berikan masa tumpuan kepadanya. Kita luangkan masa untuknya, kita tidak kelam kabut untuk menyudahkannya. Walaupun Allah boleh sahaja jadikan dengan cara kun fayakun juga. Ulama kata, Allah hendak mengajar kita: kalau kita melakukan sesuatu yang penting, maka luangkan masa untuk melakukannya. Jangan tergesa-gesa.

Ada ulama yang mengatakan perkataan ‘enam hari’ yang digunakan dalam ayat ini merujuk kepada masa juga. Kerana dalam ayat lain, ada disebut bahawa satu hari bersamaan dengan seribu tahun. Jadi, kalau begitu, mungkin masa penciptaan langit dan bumi mengambil masa selama 6 ribu tahun. Allahu a’lam.

Masa dalam alam ini adalah relatif. Kalau dalam dunia, kita faham apakah maksud ‘sehari’ itu. Tapi itu di bumi, kalau di planet lain, tidak sama. Satu hari di Planet Marikh mungkin selama setahun kita. Jadi, boleh jadi banyak pemahaman tentang masa penciptaan alam ini. Tidaklah perlu kita memikirkan dengan lama sangat. Kerana akal kita yang lemah ini tidak dapat memahaminya dan tidak dapat menjangkau maksud sebenarnya. Ianya sesuatu yang tidak perlu difikirkan sangat.

 

سَوَاءً لِلسَّائِلِينَ

Sama seperti bagi orang yang bertanya.

Yahudi dan Kristian dah tahu cerita ini ada dalam kitab mereka. Jadi mereka akan tanya Nabi. Soalan ini sesuai dengan orang yang bertanya. Jawapan ini diberikan kepada mereka yang bertanya itu. Iaitu, jawapannya sama macam yang telah ada dalam kitab suci mereka. Ianya sama sahaja kerana Tuhan yang sama, bukan Tuhan yang lain pun.

Juga bermaksud, ianya akan diberikan kepada mereka yang mencari – mencari sumber kehidupan dari dunia ini. Akan diberikan kepada mereka rezeki yang mereka cari kalau Allah kehendaki. Allah berikan سَوَاءً (sama) – sama kepada semua orang. Semua mempunyai kebarangkalian yang sama untuk mendapatkannya.

 

 


Ayat 11:

ثُمَّ استَوىٰ إِلَى السَّماءِ وَهِيَ دُخانٌ فَقالَ لَها وَلِلأَرضِ ائتِيا طَوعًا أَو كَرهًا قالَتا أَتَينا طائِعينَ

Sahih International

Then He directed Himself to the heaven while it was smoke and said to it and to the earth, “Come [into being], willingly or by compulsion.” They said, “We have come willingly.”

Malay

Kemudian Ia menunjukkan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit sedang langit itu masih berupa asap; lalu Ia berfirman kepadanya dan kepada bumi: “Turutlah kamu berdua akan perintahKu, sama ada dengan sukarela atau dengan paksa!” Keduanya menjawab: “Kami berdua sedia menurut – patuh dengan sukarela”

 

ثُمَّ اسْتَوَىٰ إِلَى السَّمَاءِ

Kemudian Allah beri tumpuan kepada langit.

Banyak persoalan tentang maksud perkataan اسْتَوَىٰ ini. Untuk kita percaya kepada Allah, kita kena percaya sepertimana yang Allah telah beritahu kepada kita. Kita percaya apa yang layak bagi Allah.

Selepas Allah selesai mencipta bumi, Allah qasad untuk mencipta langit pula dan Allah memberikan tumpuan untuk mencipta langit.

 

وَهِيَ دُخَانٌ

Langit masa itu masih dalam bentuk asap.

Langit tiada lagi dalam bentuk sekarang. Ianya dalam bentuk gas. Belum dalam bentuk berlapis tujuh lagi.

 

فَقَالَ لَهَا وَلِلْأَرْضِ

Tuhan perintah kepada langit dan bumi

Ini adalah titah Allah kepada bumi dan langit yang telah diciptaNya itu.

 

ائْتِيَا طَوْعًا أَوْ كَرْهًا

datanglah kamu kepadaKu, samada dengan taat atau terpaksa.

Maksudnya, Allah menyuruh alam ini untuk bergerak. Semua dalam alam ini sentiasa bergerak. Saintis telah mendapati bahawa apa sahaja dalam alam ini sentiasa bergerak, termasuk atom, iaitu bahan yang paling kecil yang kita tahu, ia pun bergerak juga.

Tentunya kalau Allah telah beri arahan kepada langit dan bumi, mereka terpaksa ikut. Mereka taat dalam bentuk takwini – mereka tidak ada pilihan untuk menolak seperti yang diberikan kepada manusia. Jadi kenapa Allah cakap begini kepada mereka? Kerana hendak menunjukkan ketaatan yang ada pada langit dan bumi. Tak macam kita, apabila disuruh taat, macam-macam alasan yang kita buat. Lihatlah apa yang alam jawap kepada Allah:

 

قَالَتَا أَتَيْنَا طَائِعِينَ

Maka kedua-dua berkata: “kami datang kepada Kamu dengan taat”.

Langit dan bumi datang kepada Allah dengan taat dan dengan sukarela. Maksudnya, bumi dan langit bergerak seperti yang dikehendaki oleh Allah. Begitulah Allah menceritakan bagaimana makhluk Dia yang besar pun taat kepadaNya. Tapi, amat malang sekali, kebanyakan manusia tak buat macam tu. Mereka tidak taat kepada hukum Allah. Mereka sebaliknya taat kepada nafsu mereka dan juga syaitan yang membisikkan perkara yang tidak elok.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


 

Rujukan:

Maulana Hadi

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

Abdul Nasir Jangda

Tafsir Ibnu Kathir

Tafsir Al-Azhar Dr. Hamka

 

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 041: Fussilat and tagged . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s