Tafsir Surah Ghafir Ayat 59 – 66 (Sombong dalam doa)

berdoa_thumb[6]

Ayat 59: Ayat tentang hari akhirat, sambungan dari ayat-ayat tentang Akhirat sebelum ini. Allah mengingatkan kita kembali kepada Hari Kiamat dan Hari Akhirat.

إِنَّ السّاعَةَ لَآتِيَةٌ لا رَيبَ فيها وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يُؤمِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, the Hour is coming – no doubt about it – but most of the people do not believe.

MALAY

Sesungguhnya hari kiamat tetap akan datang, tidak ada sebarang syak tentang kedatangannya; akan tetapi kebanyakan manusia tidak beriman (akan hakikat itu).

 

إِنَّ السَّاعَةَ لَآتِيَةٌ

Sesungguhnya kiamat itu pasti akan datang

Samada kamu percaya atau tidak percaya kepada Hari Kiamat, ia pasti akan datang. Mana kita tahu yang Kiamat itu pasti ada? Kerana Allah yang beritahu dan kita percaya sungguh kepada Allah.

 

لَا رَيْبَ فِيهَا

Tidak ada keraguan padanya

Tidak syak lagi. Kita orang Islam semua tahu dan terima tentang kedatangan Hari Kiamat itu. Tapi kenapa kebanyakan dari kita menjalani kehidupan kita macam ianya tidak akan berlaku? Kerana ramai yang hidup macam tidak takut kepada Hari Kiamat.

 

 وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يُؤْمِنُونَ

Tetapi kebanyakan dari manusia itu tidak juga mahu beriman.

Kebanyakan manusia memang tidak beriman sempurna. Mereka tidak berpegang kepada akidah tauhid, terutama tauhid dalam berdoa. Walaupun orang Islam sekalipun. Mereka masih juga nak berdoa kepada selain dari Allah. Masih juga lagi hendak mengamalkan tawasul menggunakan perantaraan Nabi, wali dan malaikat. Apabila ditegur dengan kesalahan itu, mereka tetap mempertahankannya dengan memberikan hujah-hujah bathil.


 

Ayat 60: I’adah iaitu diulangi semula Dakwa surah. Nak ingatkan maksud surah iaitu doa hanya kepada Allah.

قالَ رَبُّكُمُ ادعوني أَستَجِب لَكُم ۚ إِنَّ الَّذينَ يَستَكبِرونَ عَن عِبادَتي سَيَدخُلونَ جَهَنَّمَ داخِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And your Lord says, “Call upon Me; I will respond to you.” Indeed, those who disdain My worship will enter Hell [rendered] contemptible.

MALAY

Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.

 

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي

Dan berkata Tuhan kamu: Doalah kepada Aku sahaja.

Tidak boleh bersama orang lain. Tidak boleh minta kepada selain dari Allah. Tidak boleh juga kita minta perantaraan sampaikan doa kita – tawasul.

Allah dengan sifat segala kemurahanNya, suruh kita berdoa kepada Dia. Dia buka pintu kepada kita, untuk minta apa sahaja yang kita hendak. Allah suka kalau kita minta kepada dia. Kalau manusia, semurah mana pun dia, kalau selalu sangat minta, akhirnya dia akan menyampah juga, bukan? Hal yang semakna telah disebutkan di dalam syair yang mengatakan:

اللهُ يَغْضبُ إِنْ تركْتَ سُؤَالهُ … وَبُنيُّ آدمَ حِينَ يُسألُ يَغْضَبُ …

Allah murka bila engkau tidak meminta kepada-Nya, sedangkan Bani Adam marah manakala diminta.

Seperti yang kita selalu sebut, doa itu juga adalah ibadah. Jadi, apabila kita berdoa, kita sebenarnya sedang melakukan ibadah. Alangkah pemurahnya Allah, minta kepada Dia pun dikira sebagai ibadah. Diriwayatkan dari Abû Dâud dan Al-Turmudzî

الدّعاء هو العبادة
Artinya: “Doa itu adalah lbadah.

Jadi, ini adalah galakan untuk berdoa. Dan berdoa memang ada dalam setiap amal ibadah pun. Dari Anas bin Malik dari Nabi saw yang bersabda:

الدُّعَاءُ مُخُّ الْعِبَادَةِ
Doa adalah inti ibadah

Maksudnya, dalam setiap ibadah, doa adalah elemen penting dalam ibadah itu. Contohnya, dalam solat juga ada doa, dalam mengerjakan Haji juga ada doa.

 

 أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Aku akan makbulkan doa bagi kamu

Allah berjanji yang kalau kita berdoa kepadaNya, Dia akan jawap doa itu.

Jumlah muqaddar dalam ayat ini – sekiranya Allah kehendaki. Samada doa itu dimakbulkan atau tidak, ianya mengikut iradah (kehendak) Allah. Jangan kita sangka semua doa kita akan dimakbulkan. Kerana ramai yang marah, mereka telah banyak berdoa, tapi Allah tak perkenankan lagi. Maka, mereka rasa, buat apa nak doa kepada Allah?

Itu adalah fahaman yang salah. Siapa kita yang Allah kena ikut cakap dan kehendak kita? Ingatlah siapa kita ini. Kita ini hamba sahaja, janganlah rasa lebih lagi dari itu. Kena ingat satu perkara: Kita WAJIB doa kepada Allah; tapi Allah HARUS sahaja untuk memakbulkannya. Ikut Allah samada nak beri apa kita hendak atau tidak. Allah boleh makbulkan, atau Allah boleh berikan benda lain dari apa yang kita minta. Mungkin kita minta satu perkara dan Allah perkara lain yang kita lebih memerlukan. Allah lebih tahu apa yang kita perlukan; atau Allah boleh sahaja tidak berikan apa-apa kepada kita dalam dunia ini dan Allah akan ganti permintaan kita itu dengan balasan di akhirat kelak. Dan balasan itu tentunya lebih baik berkali ganda kalau dibandingkan dengan apa yang kita minta di dunia dahulu. Sampaikan ahli syurga berkata alangkah baik kalau semua doa mereka tidak dimakbulkan di dunia dahulu, supaya mereka boleh dapat balasannya di akhirat sahaja.

 

 إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي

Sesungguhnya orang-orang yang sombong dalam ibadat dia kepadaKu 

Lafaz ‘ibadat’ dalam ayat ini adalah ‘doa’ kerana surah ini adalah tentang tauhid dalam berdoa.

Allah menyentuh tentang mereka yang sombong untuk berdoa kepada Allah sahaja. Mereka ada juga doa kepada Allah, tapi dalam masa yang sama, mereka doa juga kepada Nabi, wali, malaikat atau jin. Allah kata mereka ‘sombong’.

Sombong itu maksudnya dia nak pakai broker juga dalam berdoa. Kalau mereka doa sendiri, mereka akan gunakan Nabi, wali atau malaikat dalam doa mereka. Dan kalau mereka tidak doa sendiri, mereka akan minta orang lain yang doakan – samada ahli surau atau masjid, tok imam, tok guru dan sebagainya. Sedangkan, yang eloknya adalah doa sendiri sahaja.

Kenapa dikatakan orang itu ‘sombong’? Kenapa digunakan perkataan itu? Untuk memahaminya, mungkin boleh kita gunakan satu analogi. Katakanlah, kita nak derma duit kepada orang kampung. Kita pun beri makluman kepada orang kampung, datang sahaja ke rumah kita, kita akan beri duit. Syaratnya, kena datang sendiri. Semua orang datang, tapi ada seorang yang tidak datang, tapi dia hantar ‘wakil’ untuk ambilkan duit itu.  Apa kata kita kepada orang itu? [Wah, sombongnya, nak datang sendiri ambil duit pun tidak mahu!] Harap analogi ini dapat memberi faham kepada pembaca. Begitulah perumpaan mereka yang ‘sombong’ nak minta sendiri kepada Allah. Mereka meminta kepada Allah melalui perantaraan. Melalui broker.

Kenapa ramai yang tidak doa sendiri? Bila ditanya, mereka akan kata mereka dah doa dah sendiri, tapi orang-orang masjid itu lebih ‘hampir’ dengan Tuhan dan doa mereka lebih makbul kerana mereka selalu ke masjid. Ini adalah fahaman yang salah yang berlawanan dengan makna ayat ini. Ingatlah yang ayat ini adalah ayat umum kepada semua umat Islam.

Masalah sebenarnya adalah mereka takut mereka dulu-dulu dah banyak buat salah. Tak berapa pandai agama dan tak pandai baca Quran. [Takkan orang macam kita ni Tuhan nak perkenankan doa kita?] Begitulah perasaan mereka. Perasaan itu berlawanan dengan ayat ini dan ayat-ayat lain. Allah tidak pernah kata Dia pilih kasih dalam menerima doa hambaNya.

Lihatlah kepada agama lain macam agama Hindu. Penganut Hindu pun kalau mereka ada hajat, mereka akan minta sami mereka doakan untuk mereka. Kenapa orang Hindu tidak berdoa sendiri kepada tuhan dia? Kerana pada mereka, sami itu lebih hampir kepada tuhan, tidak berkahwin, tidak makan makanan daging dan sebagainya. Jadi sama sahaja macam kebanyakan dari kita yang jahil agama kerana mereka pun kata orang-orang masjid itu lebih hampir dengan Allah. Dan semasa sami angkat doa, orang yang berhajat itu pun ada sekali – sama juga dengan orang kita. Dan selepas sami itu selesai membacakan doa, dia akan beri duit kepada sami tu. Kita, selepas tok imam selesai doa Solat Hajat, yang ada hajat itu akan beri sampul duit berisi wang kepada tok imam itu dan orang yang tolong doakan dalam majlis itu, akan dijamu dengan makanan. Jadi, sama sahajalah kita dan mereka kalau kita pun buat macam itu.

Orang Hindu, kalau kita dapat jumpa mereka, tanyalah kepada mereka samada patung yang mereka sembah itu, adakah tuhan mereka? Mereka akan jawap itu bukan tuhan mereka. Mereka sedar yang mereka sendiri yang buat berhala itu. Mereka tahu yang itu adalah hanya barang sahaja. Mereka kata, mereka pun tidak bodoh sampai menganggap itu tuhan mereka. Jadi apakah dia berhala itu? Apa yang patung itu lambangkan? Apakah yang mereka sembah itu? Mereka akan kata itu adalah mewakili ‘dewa’ mereka. Tanyalah lagi kepada mereka: adakah dewa awak ini tuhan? Mereka akan kata, tidak. Mereka kata dewa itulah yang akan bawa doa mereka kepada ‘tuhan yang satu’. Nama tuhan itu? Mereka tak tahu nama tuhan itu. Jadi, dewa itu bukanlah tuhan pada pemahaman mereka. Jadi, kepada mereka, tuhanlah yang menyempurnakan doa itu. Kenapa tidak doa sendiri kepada tuhan? Mereka akan kata mereka banyak dosa, dan doa mereka tidak akan dimakbulkan. Tapi tok sami itu orang yang baik, maka doa sami itu akan sampai. Mereka ada sekali semasa sami itu berdoa. Tok sami akan doa kepada dewa, dan dewa akan bawa doa itu kepada tuhan. Selepas itu mereka akan beri duit kepada tok sami itu.

Tanya pula kepada Tok Cha. Yang mereka sembah itu adalah ‘wali’ mereka. Tok cha akan doa kepada wali dan sampaikan kepada tuhan juga. Lepas itu mereka akan beri duit kepada tok cha itu.

Tanya kepada Kristian pula. Mereka akan kata yang Jesus bukan tuhan tapi ‘anak tuhan’. Tuhan bagi kuasa kepada dia untuk menyelesaikan masalah yang kecil-kecil. Kalau yang besar-besar, terus kena minta kepada ‘Tuhan Bapa’. Tapi kenapa tidak doa terus kepada Tuhan Bapa? Sebab mereka banyak dosa. Mereka sampaikan kepada paderi, paderi akan sampaikan kepada Jesus dan Jesus akan sampaikan kepada Tuhan Bapa. Lepas itu mereka pun akan beri duit juga kepada paderi itu.

Tanya kepada Cina pula. Tokkong itu bukan tuhan mereka. Tokkong itu adalah ‘tok nenek’ mereka yang baik-baik semasa hidup di dunia dulu. Mereka berdoa kepada tok nenek mereka yang alim, yang pada mereka sudah dapat duduk dalam syurga kerana mereka orang yang baik-baik. Mereka anggap kerajaan tuhan macam kerajaan dunia. Mereka sangka tentulah tok nenek mereka dapat kerja di istana tuhan. Apabila minta tolong tok nenek, mereka anggap tok nenek itu boleh sampaikan permintaan mereka kepada tuhan. Umpamanya, tok nenek mereka itu boleh ketuk pintu tuhan dan sampaikan hajat manusia. Begitulah anggapan mereka.

Itu semua adalah dinamakan ‘perantaraan’. Apa sahaja perantaan yang digunakan adalah syirik kepada Allah. Ingatlah yang tidak ada makhluk yang ada sifat Tuhan. Jadi kenapa kita seru wali, malaikat dan Nabi? Itu adalah syirik. Mereka itu memang makhluk yang mulia di sisi Allah tapi kita telah salah dalam menggunakan mereka.

 

 سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ

Allah akan masukkan dia ke dalam neraka jahanam hina dina.

Kerana kesalahan syirik yang manusia lakukan kerana melanggar arahan untuk bertauhid dalam doa itu, mereka akan dimasukkan ke dalam neraka. Dan cara mereka masuk itu adalah penuh kehinaan. Jadi, ini bukan perkara yang ringan, tapi ianya sesuatu yang amat berat sekali.

Ambillah doa seperti dalam bahagian awal surah Ali Imran. Kemudian selawat kepada Nabi sekali. Cara ini adalah lafaz dari hadith. Nama-nama Allah eloklah digunakan untuk memudahkan dikabulkan doa kita. Kemudian, barulah kita kata: “ya Allah, Engkaulah yang menjadikan tujuh langit dah tujuh bumi, dan segala sesuatu, Kamulah yang mengurus mentadbir semua”. Iaitu kita puji Allah.

Kemudian, kita sambung. ”Ya Allah, aku ada satu masalah besar. Masalahnya ialah aku takut masuk nerakaMu, Tuhanku”. Kerana masalah yang besar untuk kita adalah takut masuk neraka. “Maka jauhlah aku dari nerakaMu dan masukkan aku ke dalam syurgaMu. Tapi tidak dapat masuk syurga kalau ada dosa. Maka aku minta ampun segala dosaku, ya Allah. Dosa syirik dan dosa kecil dan besar. Walau macam mana pun aku ada masalah kecil di dunia. Makbulkanlah doaku”. Maka doalah apa yang hendak dipinta.

Sebelum kita doa, eloklah kita buatlah amalan ibadat dahulu, seperti solat, kerana amal ibadat adalah muqaddimah kepada doa. Lepas itu kita berdoalah apa sahaja yang kita hendak. Tapi, janganlah pula buat ‘Solat Hajat’. Yang sebenarnya Solat Hajat itu tidak ada dalam syariat. Siapa ada hajat, solatlah dua rakaat. Itu sahaja, tapi kita beri nama ‘hajat’ kepada solat itu. Jadi kenalah reka apa nak baca pada rakaat pertama dan kedua. Jadi, itu semua adalah rekaan semata.

Tidak ada hadis pun Nabi pernah buat Solat Hajat dulu masa nak pergi berperang atau pada bila-bila masa pun. Tapi sekarang, kita sikit-sikit, Solat Hajat. Kebanyakan masjid yang diimami oleh imam yang jahil, akan meneruskan Solat Hajat berjemaah selepas Solat Jumaat. Jangan anda pula terlibat solat sama dengan mereka. Cepat-cepatlah tinggalkan masjid itu. Ingatlah bahawa sahabat kena seksa pun mereka tidak buat Solat Hajat. Tidak pernah diceritakan dalam hadis yang mereka telah melakukan solat hajat beramai-ramai. Ingatlah bahawa Solat Hajat berjemaah itu adalah syirik kepada Allah kerana menggunakan perantaraan. Dan ianya tentu amalan yang bidaah kerana reka amalan baru dalam agama Islam. Kita dah kata dalam Fatihah, “kepada Kamu sahaja kami sembah dan kepada Kamu sahaja kami minta tolong.” Tapi, kita minta tolong kepada imam dan orang ramai untuk mendoakan untuk kita. Ini tidak kena.

Kemudian kita sambung lagi: “Sekiranya kamu makbulkan doaku, sesungguhnya Engkaulah Tuhanku. Sekiranya Engkau tidak makbulkan doaku, itu adalah hakMu ya Allah. Tetapi kalau Kamu tidak makbulkan doa aku, kepada siapa lagi aku nak doa?” Takkan nak pakai perantaraan pula?

Pakai Bahasa Melayu sahaja pun boleh untuk kita berdoa. Tuhan kita tahu bahasa Melayu kan? Kadangkala ianya lebih molek lagi kerana apabila kita faham apa yang kita sebutkan, itu lebih memberi erti kerana kita lebih khusyuk dalam doa kalau kita tahu apakah yang kita sebut. Kerana kalau sebut dalam bahasa Arab, kita pun tidak faham apa yang kita bacakan.

Tapi malangnya, ramai yang menyampaikan doa mereka melalui perantaraan. Dan itulah yang syirik. Yang dibolehkan tawasul hanyalah kepada iman kita dan kepada ibadat kita, dan menggunakan nama-nama Allah sebagai tawasul kita. Itu lagi senang. Jangan tawasul dengan orang, samada Nabi, wali atau malaikat sekalipun.

Kalau kita nak orang lain doakan kepada kita, kita hanya kata begini: “ingatlah saya dalam doa anda”. Iaitu tanpa menceritakan apakah hajat kita.

Kalau hal dunia, kena kita doa sendiri, tanpa minta orang lain tolong doakan. Paling kuat pun, kita cerita sahaja masalah kita kepada orang lain. Tapi jangan suruh dia mendoakan untuk kita. Kalau orang itu hendak mendoakan untuk kita, dia akan doa sendiri tanpa perlu kita minta.

Ingatlah, bahawa Allah dah berjanji akan memakbulkan doa kita seperti ayat di atas. Itu adalah janji Allah tu. Doa kepada Dia sahaja. Kalau anak minta mak doa, tidak mengapa. Kalau doakan orang sakit pun, tidak apa.


 

Ayat 61: Kenapa kita kena minta kepada Dia sahaja? Allah beri dalil kenapa. Ini adalah jenis Dalil Aqli Afaqi.

اللَّهُ الَّذي جَعَلَ لَكُمُ اللَّيلَ لِتَسكُنوا فيهِ وَالنَّهارَ مُبصِرًا ۚ إِنَّ اللَّهَ لَذو فَضلٍ عَلَى النّاسِ وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَشكُرونَ

Sahih International

It is Allah who made for you the night that you may rest therein and the day giving sight. Indeed, Allah is full of bounty to the people, but most of the people are not grateful.

Malay

Allah yang menjadikan malam untuk kamu supaya kamu berehat padanya, dan menjadikan siang terang-benderang (supaya kamu berusaha). Sesungguhnya Allah sentiasa melimpah-limpah kurniaNya kepada manusia seluruhnya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.

 

اللَّهُ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ اللَّيْلَ لِتَسْكُنُوا فِيهِ

Allahlah menjadikan untuk kamu malam supaya kamu dapat berehat padanya.

Maknanya Dia yang cipta malam, bukanlah malam itu terjadi sendiri. Ianya adalah terjadi dengan Qudrat Allah. Mungkin kita lihat malam itu terjadi apabila matahari telah tenggelam. Tapi matahari tenggelam itu adalah atas arahan Allah juga, bukan?

Apabila kita lihat siang bertukar menjadi malam, ingatlah yang itu adalah kerja Allah. Bukannya ia terjadi sendiri. Fikirkan, di akhirat nanti, tiada ada pertukaran siang dan malam. Di syurga nanti, tidak ada malam, siang sahaja sentiasa. Di neraka, tidak ada siang, hanya malam sahaja.

Untuk mengingat perubahan siang kepada malam dan malam kepada siang ini, Nabi telah ajar kita doa pagi dan petang. Setiap kali kita baca doa itu, kita patut ingat bahawa Allah sedang menukar waktu siang menjadi malam dan waktu malam menjadi siang. Boleh rujuk di sini.

Jadi, Allah jadi malam itu sebagai waktu untuk kita berehat setelah penat bekerja dan beribah sepanjang hari. Maka kenalah kita ambil peluang itu. Jangan sibuk untuk buat kerja lagi dan terus buat ibadah sampai tidak tidur langsung. Islam tidak suruh buat begitu.

 

وَالنَّهَارَ مُبْصِرًا

Dan Dia jadikan siang terang benderang, cerah.

Tujuannya supaya kamu dapat cari makan. Supaya malam kamu boleh buat ibadat kepada Allah. Maknanya, cari rezeki adalah untuk beribadat kepada Allah. Jangan hanya kata siang untuk bekerja sahaja. Bekerja itu adalah untuk senang beribadat. Kembalikan segala perbuatan kita kepada hendak ibadat kepada Allah. Kerana tujuan kita hidup di dunia adalah untuk beribadah kepada Allah, bukannya untuk bekerja sahaja.

 

إِنَّ اللَّهَ لَذُو فَضْلٍ عَلَى النَّاسِ

Sesungguhnya Allah mempunyai kurnian yang besar kepada semua manusia

Banyak yang Allah telah beri kepada kita dan banyak lagi yang Allah simpan untuk beri kepada kita. Lafaz فَضْلٍ bermaksud pemberian yang tidak setimpal dengan kelayakan kita. Walaupun kita tidak layak terima, tapi Allah beri berlebihan kepada kita.

 

 وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَشْكُرُونَ

Tetapi kebanyakan manusia tidak pandai nak bersyukur.

Kebanyakan manusia tidak tahu macam mana nak bersyukur. Allah beri kesenangan yang banyak dan peluang untuk kenal dan dekati Dia. Tapi ramai yang tak sedar tentang perkara itu kerana mereka tidak kisah. Semua nikmat Allah, mereka nak pakai tapi tidak pula mahu dekati Allah. Itulah dikatakan mereka tidak pandai berterima kasih kepada Allah.


 

Ayat 62: Selepas Allah memberitahu Kuasa penuhNya untuk mencipta, inilah natijah atau kesan kepada kita. Inilah yang kita kena rasa.

ذٰلِكُمُ اللَّهُ رَبُّكُم خالِقُ كُلِّ شَيءٍ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ ۖ فَأَنّىٰ تُؤفَكونَ

Sahih International

That is Allah , your Lord, Creator of all things; there is no deity except Him, so how are you deluded?

Malay

Yang bersifat demikian ialah Allah, Tuhan kamu; yang menciptakan tiap-tiap sesuatu (dari tiada kepada ada); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; maka bagaimana kamu dapat dipalingkan (daripada menyembahNya)?

 

ذَٰلِكُمُ اللَّهُ

Sifat-sifat yang demikian itulah Allah.

Hanya Allah sahaja yang mempunyai Sifat-sifat itu. Maka sembah dan seru kepadaNya sahajalah dalam doa kita. Jangan lagi doa pakai tawasul.

 

رَبُّكُمْ

Pencipta Pemelihara kamu.

Dialah yang telah menjadikan kamu, dan setelah dijadikan kamu, tidaklah dibiarkan sahaja. Dialah juga yang memelihara, menjaga dan mengurus segala keperluan kamu. Kalau Allah sahaja yang mengurus kita, kenapa lagi kita nak minta kepada entiti lain? Memang tidak patut. Orang lain buat kerja, tapi orang lain yang dapat nama pula.

 

خَالِقُ كُلِّ شَيْءٍ

Dialah yang mencipta segala sesuatu.

Semua roh yang kamu puja itu tidak boleh buat apa-apa pun. Malaikat, Nabi atau wali-wali, tidak dapat mencipta apa pun. Hanya Allahlah sahaja yang mencipta segala sesuatu.

 

 لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ

Tidak ada tempat yang boleh bergantung harap untuk berdoa melainkan dia sahaja

Dialah sahaja tempat untuk kita meletakkan pengharapan kita dan tempat kita berdoa. Tidak patut kalau doa kepada yang lain, kerana mereka bukan ilah. Rujuk perbincangan ilah di sini.

 

 فَأَنَّىٰ تُؤْفَكُونَ

Macam mana lagi boleh kamu terpesong? 

Macam mana lagi boleh kamu minta kepada makhluk lain lagi dalam hal berdoa? Allah dah beritahu dah, sudah beri segala bukti dan dalil, tapi masih lagi terpesong.

Masalahnya, kita tak pandai nak berdoa. Itu sahaja. Yang kita dah tahu, masa doa makbul adalah pada waktu sepertiga malam. Tapi kita tak pernah nak dapat bangun malam pun. Kita pun dah tahu yang tempat makbul doa adalah di Mekah. Di situ adalah tempat yang diberkati. Seperti di pintu Kaabah, Hijr Ismail, Maqam Ibrahim, Masjidil Haram, Raudhah dan sebagainya. Semua itu adalah tempat berkat dan makbul doa. Tapi kalau tak dapat pergi Mekah, tidak berpeluanglah nak berdoa. Macam tak adil pula Tuhan kalau kita tak dapat peluang. Betulkah begitu? Tidak.

Nabi pernah bersabda, doa selepas azan sebelum iqamah adalah mustajab jika dilakukan di masjid. Tapi doa itu kena di masjid. Maknanya, lima kali ada tempat makbul doa. Maknanya, ada peluang juga. Selepas solat jemaah juga makbul doa. Tapi kita sahaja tak tahu sebab ustaz-ustaz yang biasa tak ajar. Masalahnya, apabila kita tak tahu tempat yang makbul itu, kita mulalah minta tolong perantaraan dalam doa.

Dalam surah Qasas, ada kisah tentang Nabi Musa telah tolong dua anak Nabi Syuaib untuk ambil air untuk binatang-binatang peliharaan mereka. Orang lain angkat tudung perigi yang berat untuk tutup perigi untuk menghalang anak-anak Nabi Syuaib mengambil air di perigi itu. Kerana mereka itu anak Nabi Syuaib dan mereka tak suka Nabi Syuaib. Nabi Musa tanya mereka kenapa mereka yang buat kerja mengembala pula? Mereka jawap ayah mereka tidak ada pekerja nak tolong. Sebab tidak ada orang nak bekerja dengan mereka. Maka merekalah yang kena buat. Maka Nabi Musa angkat tudung perigi dan tolong mereka. Mereka pun kemudian pergi. Nabi Musa kemudian angkat doa kepada Allah. Maknanya, selepas kita tolong orang, makbul doa.

Ada lagi masa yang makbul doa: Apabila kita ziarah ibu bapa kita, makbul doa. Buat baik kepada ibubapa, makbul doa. Tolong jiran; Ziarah orang sakit; Selepas menderma; selepas belajar ugama. Itu semua tempat makbul doa dan banyak lagi tempat-tempat lain.

Cara berdoa pula. Ketahuilah, bahawa Allah faham apa sahaja bahasa yang kita gunakan. Sebab Dia Tuhan kita. Tentulah Dia faham kalau kita guna bahasa melayu. Tapi kita pula dibebani dengan pemahaman yang kalau tidak baca doa dalam bahasa arab, doa tidak makbul. Kita kena doa dalam bahasa Arab hanyalah dalam solat sahaja. Sebab kalau baca doa selain dari bahasa Arab dalam solat, solat itu akan batal. Di luar solat, kita boleh guna apa sahaja bahasa. Jadi, kalau boleh gunakan bahasa sendiri, tentulah lebih senang kita nak berdoa. Tak perlu lagi nak pakai ustaz atau orang alim sebab kita sendiri dah boleh berdoa.

Yang masalah dengan kita adalah kita nak macam-macam tapi dosa kita tak minta ampun pun lagi. Maka, adakah anda agak Tuhan akan makbulkan doa kita? Jadi apa sahaja masalah kita yang kita nak sampaikan hajat kita kepada Allah supaya menyelesaikan masalah itu, maka kenalah kita sebelum itu minta ampun atas dosa-dosa kita. Kita ini banyak sangat dosa kepada Allah. Tapi banyak yang tak minta ampun, tapi masalah dia yang banyak itu, dia nak Allah selesaikan. Maka, sebelum kita menceritakan hajat kita kepada Allah, mintalah ampun dulu.


 

Ayat 63: Ini adalah ayat Zajrun – ayat ancaman dari Allah:

كَذٰلِكَ يُؤفَكُ الَّذينَ كانوا بِآياتِ اللَّهِ يَجحَدونَ

Sahih International

Thus were those [before you] deluded who were rejecting the signs of Allah .

Malay

Sebagaimana terpalingnya mereka itu (daripada menyembah Allah), terpaling juga orang-orang yang mengingkari keterangan-keterangan Allah.

 

كَذَٰلِكَ

Begitulah.

Ini memasukkan orang dulu dan orang sekarang yang ada sifat yang serupa. Inilah yang dimaksudkan dengan huruf ‘kaf’ itu. Maknanya, orang dulu terpesong, orang sekarang pun ada yang terpesong juga.

 

يُؤْفَكُ الَّذِينَ كَانُوا

dipesongkan orang-orang yang mereka dulunya,

Bukan Allah sengaja nak pesongkan mereka, tapi mereka terpesong itu kerana ada kesalahan mereka.

 

بِآيَاتِ اللَّهِ يَجْحَدُونَ

dengan ayat-ayat Allah dengan mereka engkar. 

Iaitu mereka sendiri yang engkar dengan ayat-ayat Allah. Apabila diajar belajar tafsir Quran, mereka tidak mahu belajar, buat tak endah sahaja. Apabila diberitahu maksud tafsir sesuatu ayat itu, mereka tidak mahu terima, kata kita tafsir salah pula. Dan macam-macam cara lagi mereka engkar.


 

Ayat 64: Ini adalah Dalil Aqli Afaqi. Allah suruh kita lihat alam ini.

اللَّهُ الَّذي جَعَلَ لَكُمُ الأَرضَ قَرارًا وَالسَّماءَ بِناءً وَصَوَّرَكُم فَأَحسَنَ صُوَرَكُم وَرَزَقَكُم مِنَ الطَّيِّباتِ ۚ ذٰلِكُمُ اللَّهُ رَبُّكُم ۖ فَتَبارَكَ اللَّهُ رَبُّ العالَمينَ

Sahih International

It is Allah who made for you the earth a place of settlement and the sky a ceiling and formed you and perfected your forms and provided you with good things. That is Allah , your Lord; then blessed is Allah , Lord of the worlds.

Malay

Allah yang menjadikan bumi sebagai tempat penetapan untuk kamu, dan langit sebagai bumbung yang kukuh binaannya; dan Ia membentuk kamu lalu memperelokkan rupa kamu, serta dikurniakan kepada kamu dari benda-benda yang baik lagi halal. Yang demikian (kekuasaanNya dan kemurahanNya) ialah Allah Tuhan kamu; maka nyatalah kelebihan dan kemurahan Allah, Tuhan sekalian alam.

 

اللَّهُ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ قَرَارًا

Allahlah yang menjadikan untuk kamu bumi itu tempat yang tetap 

Apabila Allah jadikan bumi ini duduk dengan tetap, mudahlah kita nak guna bumi ini dan duduk di atasnya. Kalaulah bumi ini bergerak-gerak, kita nak buat rumah pun tak boleh. Bukit itu pun akan runtuh semua sekali, jadi rata. Lama-lama semua masuk dalam laut kalau bumi tidak berhenti bergegar. Memang ada tempat yang sekali sekala ada gegaran. Tapi itu sekejap sahaja. Allah nak tunjukkan, kalaulah bumi ini sentiasa bergegar macam itu sahaja sepanjang, tentu kita tidak dapat hidup. Jadi, bila kita dengar berita ada tempat dapat gegaran, maka bersyukurlah kepada Allah kerana Dia tidak jadikan tempat kita tinggal bergegar macam itu dan Allah tidak jadikan seluruh dunia ini bergegar macam itu.

 

وَالسَّمَاءَ بِنَاءً

Dan langit itu sebagai bumbung 

Allah jadikan langit sebagai bumbung kita. Dan hebatnya penciptaan Allah, langit yang begitu hebat pun, Allah bina tanpa tiang. Tidak ada kerosakan apa-apa pun yang kita boleh lihat pada langit itu.

 

 وَصَوَّرَكُمْ فَأَحْسَنَ صُوَرَكُمْ

Dialah yang membuat rupa kamu dalam sebaik-baik rupa paras.

Ini adalah Dalil Aqli Anfusi. Kalau bandingkan rupa kita dengan beruk, jauh sangat rupa kita. Kita ni Allah telah jadikan sebagai sebaik-baik makhluk. Dan Allah telah berikan kelebihan kepada kita manusia, ada perasaan dan ada otak, kalau dibandingkan dengan haiwan.

 

وَرَزَقَكُمْ مِنَ الطَّيِّبَاتِ

Dan Dialah yang memberikan kamu rezeki dari yang baik-baik.

Kita dapat yang baik-baik sahaja. Macam lembu, makan rumput sahaja hari-hari. Tak sama makanan kita dah haiwan. Begitu elok dan disediakan dengan baik sekali segala makanan kita.

 

 ذَٰلِكُمُ اللَّهُ رَبُّكُمْ

yang mempunyai sifat sedemikian itu adalah Allah, Tuhan yang mencipta, memelihara kamu

Oleh kerana Dia sudah beri segala kelebihan kepada kita, kenapa tidak berdoa hanya kepada Dia sahaja? Kenapa nak gunakan tawasul dalam berdoa?

 

فَتَبَارَكَ اللَّهُ رَبُّ الْعَالَمِينَ

Maha berkat Allah milik Allah yang mencipta dan memelihara bumi.

‘Maha Berkat’ itu adalah hak Allah. Hanya Allah yang ada berkat, dan yang selain Allah adalah ‘penerima berkat’. Maka kalau ada sesiapa yang boleh beri berkat, dia kena boleh cipta bumi ini juga. Tapi banyak kekeliruan dalam hal ‘berkat’ ini kerana kebanyakan masyarakat kita tidak belajar tafsir Quran dan senang ditipu oleh guru yang sesat. Sampai sekarang, ada yang nak ambil berkat dari ustaz, dari guru, dari barang dan sebagainya.

Tidak kurang juga yang ambil berkat dari Nabi. Memang Nabi itu berkat, tapi Nabi tidak boleh beri berkat kepada manusia. Berkat ini katakanlah macam pangkat dato’. Seseorang itu tak boleh nak beri pangkat dato’ itu kepada anak dia walau dia ada sepuluh pangkat dato’ yang diterimanya dari berlainan negeri. Maka, yang hanya boleh beri berkat adalah Allah taala sahaja.

Ghafir 51-64


 

Ayat 65: Ulangan Dakwa sekali lagi.

هُوَ الحَيُّ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ فَادعوهُ مُخلِصينَ لَهُ الدّينَ ۗ الحَمدُ لِلَّهِ رَبِّ العالَمينَ

Sahih International

He is the Ever-Living; there is no deity except Him, so call upon Him, [being] sincere to Him in religion. [All] praise is [due] to Allah , Lord of the worlds.

Malay

Dia lah Yang Tetap Hidup; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; maka sembahlah kamu akan Dia dengan mengikhlaskan amal ugama kamu kepadaNya semata-mata. Segala puji tertentu bagi Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

 

هُوَ الْحَيُّ

Dialah yang Maha Hidup.

Allah lah sahaja yang tak pernah mati-mati, dulu atau akan datang. Selain dari Allah, mati belaka. Jadi macam mana nak bergantung harap kepada mereka yang mati, telah mati atau akan mati? Maka, bergantung kepada Allahlah sahaja; seru dan doa kepada Allah sahaja, kerana Dia sahaja yang Maha Hidup. Jadi kita dapat pasti bahawa ada yang dapat mendengar doa kita kerana Dia tidak mati-mati.

 

لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ

Tidak ada ilah melainkan Dia sahaja.

Tidak ada ilah sebagai sandaran hati kita melaikan Allah sahaja. Tidak ada tempat pengharapan kita dalam segala permintaan dan doa kita melainkan kepada Allah sahaja. Ini barulah pemahaman yang jelas tentang syahadah itu. Kerana kalau kita hanya kata: “Tiada tuhan melainkan Allah”, tak cukup lagi pemahaman tu.

 

فَادْعُوهُ

Hendaklah kamu doa kepada Dia sahaja.

Diulangi lagi Dakwa Surah kerana kepentingan perkara ini. Hendaklah mengesakan Allah dalam doa. Doa hanya kepada Allah sahaja, jangan minta kepada yang selain Allah. Dan terus doa kepada Allah, tanpa melalui perantaraan (tawasul).

 

مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ

Tulus ikhlas kepada Dia sahaja dalam berdoa.

Perkataan ‘deen‘ disini bermaksud ‘doa’. Dalam berdoa, jangan campur doa kepada selain Allah. Ikhlas itu bermaksud tidak bercampur dengan apa-apa. Dalam bahasa kita, dipanggil ‘tulen’. Kalau kita berdoa kepada Allah, tapi dalam masa yang sama, kita seru kepada selain Allah, itu adalah syirik. Oleh itu, jangan seru kepada Nabi, wali, malaikat dan jin. Terus sahaja seru kepada Allah sahaja.

Jangan doa macam orang Buddha, Hindu dan agama-agama lain. Mereka juga mengharap sangat-sangat kepada sembahan mereka, tapi tidak diterima ibadat doa mereka itu. Kena ikhlas sepertimana yang diajar oleh Tuhan dan Nabi. Kalau tak ikut macam tu, ikhlas macam mana pun tidak akan diterima. Apa sahaja ibadat yang dibuat, ikhlas macam mana pun, tapi bukan dari yang Nabi suruh, tidak akan diterima. Selain amalan yang diajar Nabi, dinamakan ‘bidaah‘. Siapa yang kata bidaah boleh buat, dia telah dusta kepada Allah. Sebab Tuhan atau Nabi tak pernah bagitahu pun boleh buat amalan-amalan bidaah yang mereka buat itu. Mereka akan dihadapkan ke hadapan Allah taala di akhirat nanti dan akan ditanya kenapa mereka buat amalan bidaah itu. Kita kalau dusta sesama kita pun, kita dah marah dah. Tapi ini dusta kepada Allah, lagi zalim. Ingatlah, bahawa kalau kita kata Allah akan beri pahala kepada ibadah yang Allah tidak pernah beritahu, maka dia dusta kepada Allah.

 

 الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

Segala puji bagi Allah Tuhan sekelian alam.

Janganlah kita memuji Allah dengan lafaz pujian di mulut sahaja, tapi ikutilah dengan amalan dan cara yang telah diajarNya dan disampaikan melalui NabiNya.

nota: habis bahagian pertama surah Ghafir ini. Seperti yang kita telah sebut, ada dua bahagian kepada surah ini.


 

Ayat 66. Di dalam bahagian kedua ini juga ada Dakwa dan dalil diberikan untuk menyokong Dakwa itu. Ianya mengulang apa yang telah disampaikan dalam bahagian pertama: untuk menguatkan lagi hujah tentang Tauhid dalam doa.

Ayat ini adalah Dalil Wahyu. Nak beritahu bahawa apa yang Nabi sampaikan tentang Tauhid dalam doa ini bukanlah dari rekaan baginda sendiri tapi ianya adalah dari Allah. Seperti yang kita telah sebut dalam perbincangan istilah, Dalil Wahyu adalah titah khas yang Allah berikan kepada Nabi untuk dijalankan oleh baginda.

۞ قُل إِنّي نُهيتُ أَن أَعبُدَ الَّذينَ تَدعونَ مِن دونِ اللَّهِ لَمّا جاءَنِيَ البَيِّناتُ مِن رَبّي وَأُمِرتُ أَن أُسلِمَ لِرَبِّ العالَمينَ

Sahih International

Say, [O Muhammad], “Indeed, I have been forbidden to worship those you call upon besides Allah once the clear proofs have come to me from my Lord, and I have been commanded to submit to the Lord of the worlds.”

Malay

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku dilarang menyembah benda-benda yang kamu sembah yang lain dari Allah – setelah datang kepadaku keterangan-keterangan yang jelas nyata dari Tuhanku; dan aku diperintahkan supaya tunduk taat bulat-bulat kepada perintah Tuhan sekalian alam”.

 

قُلْ

Beritahu kepada mereka wahai Muhammad

Inilah Dalil Wahyi yang dimaksudkan: Nabi Muhammad disuruh untuk sampaikan kepada manusia. Kalau Nabi Muhammad nak amalkan agama Islam bersendirian, Musyrikin Mekah tak marah pun. Kerana memang banyak jenis agama pun semasa di Mekah dan Tanah Arab dulu pun. Yang mereka marah adalah kerana Nabi Muhammad menyampaikan ajaran Islam kepada manusia. Tapi baginda tidak ada pilihan lain, kerana memang menyampaikan ajaran Tauhid adalah arahan khusus dari Allah.

Begitu jugalah kita, kalau kita selepas belajar ini, buat senyap sahaja, tidak ada sesiapa yang marah kepada kita. Sebab kita tak buat kerja. Tapi kalau kita buat kerja dakwah seperti yang diarahkan kepada Nabi Muhammad ini, memang kita akan bertemu dengan banyak penentang.

 

إِنّي نُهيتُ أَن أَعبُدَ الَّذينَ تَدعونَ مِن دونِ اللَّهِ

“Sesungguhnya aku dilarang menyembah benda-benda yang kamu sembah yang lain dari Allah

Nabi disuruh beritahu kepada Musyrikin Mekah: Sesungguhnya aku ini dilarang untuk sembah, puja, kirim salam samada kepada malaikat ini, malaikat itu, Nabi-nabi, roh-roh yang sudah mati, samada wali ataupun tidak sepertimana yang kamu seru mereka itu. Maknanya, apa yang kamu buat, aku takkan buat.

Sampai satu waktu, Musyrikin Mekah telah datang kepada Nabi Muhammad untuk berkompromi. Mereka kononnya nak cari jalan tengah antara mereka dan baginda. Mereka kata tak payahlah mereka terus berbalah, pakailah ajaran dua-dua. Tahun ini kita beramal dengan ajaran Nabi, tahun depan beramal dengan apa yang mereka telah lama amalkan (iaitu amalan syirik). Itulah sebabnya Nabi disuruh beri jawapan sebegini. Kerana tidak ada kompromi dalam hal tauhid dan syirik. Islam tidaklah macam agama lain yang boleh campur-campur amalan dan fahaman mereka.

Macam dalam negara kita, begitu ramai yang mengaku Islam tapi bermacam-macam cara doa mereka. Cara-cara itu tidak ada dalil dalam agama, tapi diajar oleh guru-guru yang sesat. Jangan kita ikut cara-cara mereka itu.

 

لَمّا جاءَنِيَ البَيِّناتُ مِن رَبّي

apabila sudah datang kepada aku dalil bukti yang nyata dari Tuhanku

Kalau dulu kita pernah buat, itu sebab kita pun jahil, tak belajar tentang Tauhid, tidak belajar tafsir Quran, tidak belajar tentang tawasul. Tapi sekarang kita dah tahu mana boleh buat, mana yang tak boleh buat, takkan kita nak buat lagi?

Ayat ini bukanlah hendak menceritakan yang Nabi Muhammad dulu ada buat syirik dalam berdoa, tapi apabila surah dapat wahyu, baginda berhenti. Sebenarnya, Nabi tidak pernah melakukan syirik. Cuma waktu itu baginda tidak ada dalil, dan sekarang sudah ada dalil.

 

وَأُمِرتُ أَن أُسلِمَ لِرَبِّ العالَمينَ

Dan aku juga diperintahkan supaya serah diri bulat-bulat kepada pencipta, pemelihara, penjaga langit dan bumi, 

Kita telah diperintahkan untuk menyerahkan diri kita sepenuhnya kepada pencipta dan pemelihara alam semesta ini, iaitu Allah taala.

Apakah yang dimaksudkan dengan serah diri semuanya. Maksudnya kena terima semuanya yang telah disampaikan oleh Allah dan Nabi. Jangan tolak sikit pun. Jangan jadi macam apa yang dilakukan oleh satu negeri yang telah mengubah hukum Faraid. Mereka tolak ayat-ayat Faraid itu seperti mereka mengatakan bahawa pendapat mereka lebih baik dari Allah. Kerana harta Faraid itu mereka beri kepada perempuan semuanya sekali. Padahal apa yang disuruh Allah dalam Quran, lain. Maknanya, ada beberapa ayat Quran yang mereka dah tolak. Padahal negeri itu ada mufti. Memang lah mereka tidak pernah kata mereka ‘tolak’ ayat Quran, tapi perbuatan mereka itu sudah menunjukkan mereka tolak. Sebab mereka tolak dengan tidak pakai.

Itu sebagai contoh. Islam ini kita kena terima semua sekali, tidak boleh sikit-sikit dan jangan tolak walau satu pun. Berlapang dada untuk terima apa yang telah disampaikan dalam wahyu. Janganlah kita dah selalu amal tawasul, tapi apabila diberitahu ada ayat dalam Quran yang larang tawasul, kita tolak tepi ayat Quran itu dan tetap nak tawasul juga.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan: 

Maulana Hadi

Ustaz Rosman

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 040: Ghafir and tagged , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s