Tafsir Surah Ghafir Ayat 50 – 58 (Doa ahli Neraka)

Surah 40. Ghafir, Ayat 50: Dalam ayat sebelum ini, penghuni neraka telah datang untuk berjumpa dengan Penjaga Neraka dan memohon kepadanya untuk meringankan azab sedikit.

قَالُوا أَوَلَمْ تَكُ تَأْتِيكُمْ رُسُلُكُم بِالْبَيِّنَاتِ قَالُوا بَلَىٰ قَالُوا فَادْعُوا وَمَا دُعَاءُ الْكَافِرِينَ إِلَّا فِي ضَلَالٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They will say, “Did there not come to you your messengers with clear proofs?” They will say, “Yes.” They will reply, “Then supplicate [yourselves], but the supplication of the disbelievers is not except in error [i.e., futility].”

MALAY

Malaikat penjaga neraka menjawab: “Bukankah kamu telah didatangi Rasul-rasul kamu dengan membawa keterangan-keterangan (yang menyatakan akibat perbuatan derhaka kamu)?” Mereka menjawab: “Ya, telah datang”. Malaikat itu berkata: “Jika demikian, maka berdoalah kamu sendiri. Dan doa permohonan orang-orang yang kafir pada saat ini hanya menyebabkan mereka berada dalam keadaan dukacita dan kecewa sahaja”.

 

قَالُوا

Malaikat berkata:

Ini adalah jawapan dari Malaikat Penjaga Neraka itu.

 

أَوَلَمْ تَكُ تَأْتِيكُمْ رُسُلُكُم بِالْبَيِّنَاتِ

Tidakkah pernah datang kepada kamu rasul kamu bawa bukti? 

Tidakkah ada rasul yang menyampaikan ajaran tauhid kepada kamu semasa kamu hidup di dunia dulu. Atau kerana kita sekarang sudah tidak ada rasul, ia merujuk kepada guru atau pendakwah yang datang membacakan ayat-ayat Quran kepada manusia dulu semasa mereka hidup di dunia? Tidak adakah yang memberi peringatatan kepada kamu, sampai kamu masuk ke dalam neraka ini?

 

قَالُوا بَلَىٰ

Mereka menjawab: “Ya, telah datang”. 

Mereka kata “ada”. Kerana mereka tidak boleh tipu dah. Mereka kata ada, tapi mereka tidak dengar dan tidak ikut. Macam kita zaman sekarang, tentu pernah setiap orang diajak untuk mengamalkan tauhid. Samada kita perasan atau tidak, mahu terima atau tidak sahaja.

 

قَالُوا فَادْعُوا

Malaikat itu berkata: “Jika demikian, maka kamu berdoalah sendiri.

Malaikat kata: “kamu doalah sendiri”, kami kerja bukan untuk berdoa untuk kamu. Tapi tugas kami adalah untuk azab kamu. Malaikat pun suruh mereka doa sendiri kerana kalau mereka telah didatangi pendakwah, tentu mereka tahu yang doa kena terus kepada Allah.

Adakah makbul doa mereka? Penjelasan Tuhan:

 

وَمَا دُعَاءُ الْكَافِرِينَ إِلَّا فِي ضَلَالٍ

Dan tidaklah doa orang kafir dalam neraka itu melainkan sia-sia sahaja.

Memang mereka doa terus kepada Allah. Tapi tidak diterima lagi dah.

Inilah adalah idkhal ilahi (pencelahan Tuhan). Mungkin ada yang tertanya-tanya, oleh kerana malaikat itu sendiri yang suruh doa sendiri, adakah doa mereka akan diterima? Allah jawap, tidak sama sekali. Sia-sia sahaja kerana doa mereka itu tidak akan dilayan.

Ghafir 41-50


 

Surah 40. Ghafir, Ayat 51: Ini pula adalah ayat Tasliah – ayat pujukan kepada para Nabi dan penyebar dakwah tauhid.

إِنّا لَنَنصُرُ رُسُلَنا وَالَّذينَ آمَنوا فِي الحَياةِ الدُّنيا وَيَومَ يَقومُ الأَشهادُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, We will support Our messengers and those who believe during the life of this world and on the Day when the witnesses will stand –

MALAY

Sesungguhnya Kami tetap membela serta mempertahankan Rasul-rasul Kami dan orang-orang yang beriman – dalam kehidupan dunia ini dan pada saat bangkitnya saksi-saksi (pada hari kiamat)

 

إِنّا لَنَنصُرُ رُسُلَنا

Sesungguhnya Kami tetap membela serta mempertahankan Rasul-rasul Kami 

Dalam ayat ini, Allah berjanji untuk memberi bantuan kepada para RasulNya.

 

وَالَّذينَ آمَنوا

dan orang-orang yang beriman

Bukan sahaja para Rasul mendapat janji Allah ini tapi orang-orang yang beriman sempurna juga. Mereka itu adalah pewaris yang mewarisi ilmu rasul. Dan mereka menyampaikan Qur’an kepada orang lain di zaman mereka. Mereka pun akan menghadapi dugaan juga dalam kerja dakwah mereka. Maka Allah memberi berita gembira kepada mereka. Ini memberi isyarat bahawa memang kita kena dakwah tauhid ini kepada manusia, tidak boleh lari dari melakukannya.

 

فِي الحَياةِ الدُّنيا

dalam kehidupan dunia ini 

Di dunia lagi mereka akan mendapat bantuan.

Mungkin timbul persoalan: bagaimana boleh dikatakan yang Allah membantu para Nabi dan orang-orang beriman di dunia ini, sedangkan ramai yang telah menerima dugaan yang amat berat semasa di dunia ini. Malah, para Nabi pun ada yang dihalau dari kampung halaman mereka, malah ada yang sampai dibunuh.

Ada dua jawapan:

Pertama, bukanlah semua Nabi itu dibunuh. Hanya sebahagian kecil sahaja. Samalah juga bagaimana dalam dunia ini, memang ada orang yang cacat, tapi kalau dibandingkan antara yang cacat dan yang sihat, yang sihat itu lebih banyak. Ini adalah kaedah yang Allah  gunakan.

Kedua, Allah akan balas mereka yang telah berbuat jahat kepada para Nabi dan orang beriman itu samada pembalasan itu terjadi semasa yang ditindas itu masih hidup lagi, atau setelah tiada. Sebagai contoh, kekejaman yang dilakukan kepada Nabi Musa oleh Firaun, Allah balas semasa baginda masih hidup lagi; dan ada yang dibalas setelah mereka mati, sebagai contoh dibalas dengan azab pembunuh Nabi Yahya. Yang pasti, mereka yang melakukan kekejaman kepada wali Allah, mereka tidak akan selamat. Di dalam kitab Sahih Bukhari disebutkan sebuah hadis melalui Abu Hurairah r.a., dari Rasulullah Saw. yang telah bersabda:

“يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى: مَنْ عَادَى لِي وَلِيًّا فَقَدْ بَارَزَنِي بِالْحَرْبِ”

Allah Swt. berfirman, “Barang siapa yang memusuhi kekasih-Ku, bererti dia terang-terangan menentang-Ku untuk perang.”

Dan tentunya mereka yang berperang dengan Allah tidak akan menang. Lihatlah bagaimana Nabi Muhammad dan para sahabat diselamatkan dan diberikan kemenangan demi kemenangan ke atas Musyrikin Mekah yang menentang mereka sampaikan kaum mukmin dapat menakluk Kota Mekah dari tangan mereka.

 

وَيَومَ يَقومُ الأَشهادُ

dan pada saat bangkitnya saksi-saksi 

Dan mereka juga akan diberi bantuan pada hari akhirat nanti apabila semua saksi akan bangkit memberikan penyaksian. Para malaikat, para Nabi, pendakwah, amal, malah tubuh badan sendiri akan jadi saksi di akhirat kelak.

Tentunya di akhirat nanti, kemenangan dan kemuliaan yang mereka terima akan lebih besar lagi.


 

Surah 40. Ghafir, Ayat 52: Dalam ayat ini, Allah sambung penerangan tentang يَومَ يَقومُ الأَشهادُ.

يَومَ لا يَنفَعُ الظّالِمينَ مَعذِرَتُهُم ۖ وَلَهُمُ اللَّعنَةُ وَلَهُم سوءُ الدّارِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The Day their excuse will not benefit the wrongdoers, and they will have the curse, and they will have the worst home [i.e., Hell].

MALAY

(Iaitu) pada hari yang tidak berguna bagi orang-orang yang zalim dalihan-dalihan mereka untuk melepaskan diri, dan mereka akan beroleh laknat, serta mereka beroleh seburuk-buruk tempat tinggal.

 

يَوْمَ لَا يَنْفَعُ الظَّالِمِينَ مَعْذِرَتُهُمْ

Hari yang tidak ada manfaat lagi bagi orang-orang zalim dalihan-dalihan mereka.

Dalam ayat ini, orang-orang zalim yang dimaksudkan adalah orang yang melakukan syirik. Tapi ada dalam Quran, yang zalim itu tidak bermakna melakukan syirik sahaja, tapi bermakna orang yang telah melakukan dosa yang banyak. Jadi, ada dua makna perkataan ‘zalim’ yang Allah gunakan dalam Quran. Jadi kerana Surah Ghafir ini adalah surah Makkiah, dan ianya adalah surah yang memperkatakan tentang aqidah, jadi makna zalim yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah orang yang melakukan syirik.

Apa sahaja alasan yang mereka ingin berikan, apa sahaja rekaan mereka hendak guna untuk jawap kepada Allah, tidak ada gunanya lagi. Alasan yang mereka akan beri nanti adalah alasan buat-buat sahaja kerana alasan yang sebenarnya tidak ada. Tidak akan diterima daripada mereka lagi. Mungkin mereka nak kata mereka sibuk sampai tak boleh nak belajar. Ini adalah alasan yang selalu digunakan oleh manusia apabila mereka diajak untuk belajar agama terutama sekali tafsir Quran. Mereka tidak nampak kepentingan belajar tafsir Quran dan belajar tentang Tauhid, sampaikan mereka jahil tentang Tauhid dan mereka mati dalam fahaman syirik.

 

وَلَهُمُ اللَّعْنَةُ

Dan bagi mereka laknat daripada Allah taala.

Sepanjang masa mereka akan mendapat laknat itu. Maknanya tidak akan dapat rahmat untuk keluar dari neraka. Tidak ada belas kasihan untuk mereka dari sesiapa sahaja. Ini adalah untuk orang yang telah melakukan syirik.

 

وَلَهُمْ سُوءُ الدَّارِ

Dan bagi mereka tempat tinggal yang paling buruk sekali,

Iaitu neraka. Mereka akan kekal di dalamnya.


 

Surah 40. Ghafir, Ayat 53: Ini adalah ayat dalil naqli kepada Dakwa surah dalam ayat 14. Allah hendak memberitahu kita bahawa bukan Nabi Muhammad sahaja yang seru tauhid dalam berdoa. Nabi Musa pun buat yang sama juga. Ini adalah kerana, Musyrikin Mekah kata apa yang Nabi Muhammad bawa itu adalah benda yang baru.

وَلَقَد آتَينا موسَى الهُدىٰ وَأَورَثنا بَني إِسرائيلَ الكِتابَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We had certainly given Moses guidance, and We caused the Children of Israel to inherit the Scripture

MALAY

Dan demi sesungguhnya! Kami telah memberikan Nabi Musa hidayah petunjuk dan Kami berikan kaum Bani Israil mewarisi Kitab Taurat,

 

وَلَقَدْ آتَيْنَا مُوسَى الْهُدَىٰ

Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Musa itu, petunjuk.

Iaitu kitab taurat. Dalam Kitab Taurat itu juga ada ajaran Tauhid.

 

وَأَوْرَثْنَا بَنِي إِسْرَائِيلَ الْكِتَابَ

Dan kami wariskan kitab itu kepada Bani Israil.

Bani Israil mewarisi Kitab Taurat itu dari Nabi Musa. Macam kita juga, mewarisi Quran itu dari Nabi Muhammad.

Jadi dalam kitab Taurat itu ada petunjuk. Begitu juga dalam Quran, ada petunjuk kepada umat Islam bagi sesiapa yang nak belajar. Iaitu mereka yang nak kembali cari jalan benar. Yang ada dalam hati mereka, niat ikhlas untuk mencari jalan yang lurus.


 

Surah 40. Ghafir, Ayat 54: Petunjuk itu dan peringatan dari kitab itu hanya boleh diterima oleh orang-orang yang mempunyai akal yang waras. Orang yang tidak berakal sempurna tidak berupaya nak terima ajaran dari Quran.

هُدًى وَذِكرىٰ لِأُولِي الأَلبابِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

As guidance and a reminder for those of understanding.

MALAY

Sebagai hidayah petunjuk dan peringatan bagi orang-orang yang berakal sempurna.

 

هُدًى

Sebagai hidayah petunjuk

Ilmu dalam Taurat sudah cukup untuk digunakan sebagai petunjuk. Sama juga dengan Qur’an. Dah cukup dah Quran ini sebenarnya kerana semua perkara tentang Tauhid sudah dijelaskan. Ianya cukup kepada mereka yang cari petunjuk dalam agama.

 

وَذِكرىٰ

dan peringatan

Taurat dan juga Quran menjadi satu peringatan yang boleh beri faedah kalau diamalkan. Ianya mengingatkan perkara yang kita selalu terlupa. Oleh kerana itulah kita kena selalu mengaji dan membaca Quran untuk mengingatkan kita. Kita kena sedar yang Syaitan akan selalu berusaha untuk melupakan kepada agama, maka kena selalu baca Quran dan selalu muzakarah. Muzakarah itu dapat mengingatkan kita kepada perkara-perkara yang kita mungkin terlepas pandang. Kalau kita seorang sahaja, mungkin kita terlupa dengan perkara-perkara itu.

 

لِأُولِي الأَلبابِ

bagi orang-orang yang berakal waras.

Taurat dan Quran itu sudah cukup untuk digunakan sebagai panduan kepada seluurh manusia tetapi yang menerimanya hanyalah mereka yang memiliki fikiran yang waras dalam agama. Siapakah Ulul Albab ini? Allah telah jelaskan ciri-ciri mereka dalam surah Ali Imran. Secara ringkasnya, mereka itu adalah mereka yang berfikir tentang dunia membawa kepada akhirat. Bukanlah maksudnya mereka itu orang yang pandai dalam hal keduniaan sebab orang kafir lagi pandai dari kita dari hal dunia.


 

Surah 40. Ghafir, Ayat 55: Ini adalah ayat Tasliah untuk memujuk hati hambaNya yang berjuang untuk menegakkan agama Allah dengan menyampaikan dakwah.

فَاصبِر إِنَّ وَعدَ اللَّهِ حَقٌّ وَاستَغفِر لِذَنبِكَ وَسَبِّح بِحَمدِ رَبِّكَ بِالعَشِيِّ وَالإِبكارِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So be patient, [O Muḥammad]. Indeed, the promise of Allāh is truth. And ask forgiveness for your sin1 and exalt [Allāh] with praise of your Lord in the evening and the morning.

  • What is intended is “fault” or “error” in judgement, since all prophets were protected by Allāh from falling into sin. The implication is that all believers should seek forgiveness for their sins.

MALAY

(Setelah engkau mengetahui perihal Nabi Musa dan umatnya) maka bersabarlah (wahai Muhammad, dalam perjuangan menegakkan Islam); sesungguhnya janji Allah (untuk menjayakanmu) adalah benar. Dan pohonlah ampun bagi salah silapmu, serta bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu pada waktu pagi dan petang.

 

فَاصْبِرْ

Bersabarlah kamu. 

Allah menyuruh Nabi dan kita semua untuk bersabar. Ingatlah bahawa dengan sabar juga, kita akan dapat pahala. Allah berikan dugaan untuk kita, supaya kita dapat pahala tambahan dengan sabar itu.

Terdapat satu hadis berkenaan dengan hal sabar ini. Satu hari, apabila Nabi sudah solat, baginda mendengar seorang sahabat yang sedang berdoa. Sahabat itu sedang berdoa: “Berilah pada aku, sabar”. Maka Nabi berkata kepadanya: “adakah kamu nak minta bala?”

Sebab sabar tidak akan datang, melainkan bala datang dahulu. Kerana bala dan sabar adalah serangkai. Ini bermakna, sesiapa minta untuk jadi seorang yang sabar, bermakna dia minta bala. Kita sebenarnya disuruh untuk sabar apabila datang bala kepada kita. Apa yang boleh kita berdoa adalah supaya kita tidak ditimpakan dugaan yang kita tidak dapat hadapi. Doa ini ada di dalam surah Baqarah:286 iaitu surah terakhir dalam surah Baqarah. Pakailah doa dalam ayat yang telah Allah berikan dalam ayat ini dan jangan kita reka doa-doa yang lain.

Maka bersabarlah dalam usaha untuk melaksanakan syariat yang telah Allah berikan kepada kita. Terdapat dugaan di dalam menjalankan perintah Allah. Seperti Allah menguji manusia kadang-kadang puasa dalam musim sejuk, dan kadang-kadang dalam musim panas.

Dan satu lagi, bersabarlah untuk memegang sunnah Nabi. Ini adalah satu perkara yang payah sekali untuk kita lakukan. Banyak perbuatan manusia yang kita lihat adalah bercanggah dengan syariat. Contohnya, menyambut perayaan Maulidur Rasul. Ini adalah satu perbuatan bid’ah dan amat ramai sekali umat Islam di dunia meraikannya, padahal ianya adalah satu perbuatan yang salah dan sia-sia. Ia menjadi masalah kepada kita untuk tidak menyambutnya kerana ianya disambut oleh majoriti umat Islam. Orang akan memandang serong kepada kita kalau kita tidak menyambutnya. Mereka akan kata kita tidak sayangkan Nabi Muhammad pula. Jadi, kena bersabar dalam menghadapi tohmahan dari orang-orang yang sebegini.

 

إِنَّ وَعْدَ اللَّهِ حَقٌّ

Sesungguhnya janji Allah taala itu benar.

Iaitu janji Allah untuk memberi syurga kepada manusia adalah benar. Dan bersabarlah kerana janji Allah untuk memberi balasan baik kepada mereka yang bersabar adalah benar. Ianya pasti datang, cuma lambat atau cepat sahaja.

Jadi inilah pelembut hati kita – semasa kita kena dugaan itu, kenanglah yang Allah akan beri balasan baik kepada mereka yang sabar. Tapi kena sabarlah dan jangan merungut, kerana kalau merungut, itu sudah tidak termasuk dalam golongan yang sabar.

 

وَاسْتَغْفِرْ لِذَنْبِكَ

Hendaklah kamu minta ampun dosa-dosamu.

Dalam masa bersabar itu, sibukkan diri dengan amalan kebaikan. Salah satunya istighfar atas dosa kita. Ayat ini asal khitabnya kepada Nabi Muhammad, tapi bukanlah bermaksud Nabi Muhammad ada dosa. Nabi Muhammad tidak berdosa kerana fahaman kita, semua Nabi adalah maksum – tidak berdosa. Ianya adalah untuk mengajar umat, untuk selalu istighfar.

Minta ampun untuk dosa kita semua sekali. Jangan malu nak minta Allah ampunkan dosa kita. Tidak kira banyak mana pun dosa kita, mintalah ampun. Kadang-kadang ada yang malu nak minta Allah ampunkan semua dosa kita, takut kita minta lebih pula. Padahal, Allah boleh sahaja nak ampunkan semua dosa kita sekali.

Satu lagi, apabila orang tolak kita, syaitan akan tunjukkan keburukan orang yang tolak kita itu. Ada kemungkinan kita boleh ambil kesempatan itu untuk serang dia balik. Dan kalau kita lakukan begitu, kita pula yang akan berdosa kerana serang dia balik. Maka Allah ajar kita untuk fikirkan dosa kita, bukan untuk fikirkan dosa orang lain.

 

وَسَبِّح بِحَمدِ رَبِّكَ بِالعَشِيِّ وَالإِبكارِ

serta bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu pada waktu pagi dan petang.

Selain dari istighfar, hendaklah kamu sentiasa menyucikan sifat-sifat syirik yang ada dalam hati. Itulah maksud tasbih. Ada ramai orang yang sebut ‘subhanallah’, tapi mereka tidak faham apakah maksud tasbih itu sendiri. Amat malang kalau ada yang selalu bertasbih, tapi dalam masa yang sama mereka melakukan syirik. Mulut mereka menyucikan Allah dari sifat syirik, tapi mereka pula yang buat syirik. Tidak kena apa yang disebut dengan mulut dan perbuatan mereka. Ini adalah kerana tidak belajar sahaja.

Dan kamu juga kena sentiasalah memuji Tuhan kamu. Iaitu dengan baca tahmid (alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah). Oleh itu, ada zikir yang berbentuh tasbih (menyucikan) dan ada zikir dalam bentuk puji. Begitulah dalam syahadah kita la ilaha illallah, ada nafi dan ada ithbat, dimana kita menafikan sifat-sifat yang tidak patut dengan Allah dan kemudian kita menetapkan sifat-sifat yang sesuai dengan Allah.

Senangnya, kita buat semua sekali, iaitu dengan berzikir astaghfirullah, Subhanallah, walhamdulillah, wa la ilaha illallah, wallahu akbar. Dan lain-lain zikir yang sunnah dari Nabi. Jangan pula ambil amalan zikir dari sumber yang tidak dapat dikenalpasti. Banyak berlegar dalam masyarakat kita, amalan-amalan yang salah. Kalau tidak belajar, boleh tertipu. Antaranya yang diambil dari kitab-kitab yang tidak merujuk kepada sunnah. Sebab itu kita selalu pesan, kena belajar tafsir dan hadis Nabi sebelum merujuk kepada kitab-kitab yang ada di pasaran.

Apabila dikatakan waktu pagi dan petang, maknanya sepanjang masa. Dalam masa yang sama, ada zikir-zikir masnoon yang Nabi ajar yang diamalkan mengikut waktu-waktu tertentu. Ada yang dibaca pagi, ada yang dibaca petang. Boleh rujuk kepada kitab-kitab Sunnah seperti Hisnul Muslim untuk mendapatkan amalan-amalan ini. Zikir-zikir yang ada dalam kitab ini dinamakan Zikir-zikir Masnoon, iaitu amalan zikir harian yang ada sumber dari Nabi Muhammad, melalui sanad-sanad yang sahih.

Allah ajar kita untuk sibukkan diri dengan amal ibadat. Lafaz ‘tasbih’ itu juga boleh bermaksud ‘solat sunat’. Selaku buat solat sunat.

Jangan kita fikir tentang rancangan jahat manusia dan apa-apa yang mereka kata tentang kita dan kepada kita. Kalau kita buat sesuatu yang baik, kita akan terlupa dengan perkara-perkara yang tidak perlu kita fikirkan. Kerana kita bukan boleh ubah pun apa yang mereka katakan itu. Kalau mereka ada perancangan jahat, kita pun tidak boleh buat apa-apa pun. Jadi buang masa kalau kita cuba nak lawan perancangan mereka, atau kita cuba nak jawap dakwaan-dakwaan mereka itu. Lebih baik kita buat amal sahaja, dan serahkan perkara mereka kepada Allah untuk diuruskan. Allah lebih tahu apa nak buat dengan mereka.

Semoga dengan mengamalkan zikir-zikir itu, dapat menghilangkan kesedihan hati. Sebab selalunya hati kita tidak tahan. Dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.

Kalau kena kutuk, kena hina itu, rasa macam nak lawan balik pun ada. Tapi itulah bahayanya kalau kita lawan balik. Kerana takut sampai kita buat dosa pula dengan melawan mereka dengan menggunakan kata-kata huduh yang tidak patut.


 

Surah 40. Ghafir, Ayat 56: Ayat Zajrun

إِنَّ الَّذينَ يُجادِلونَ في آياتِ اللَّهِ بِغَيرِ سُلطانٍ أَتاهُم ۙ إِن في صُدورِهِم إِلّا كِبرٌ ما هُم بِبالِغيهِ ۚ فَاستَعِذ بِاللَّهِ ۖ إِنَّهُ هُوَ السَّميعُ البَصيرُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, those who dispute concerning the signs of Allāh without [any] authority having come to them – there is not within their breasts except pride, [the extent of] which they cannot reach. So seek refuge in Allāh. Indeed, it is He who is the Hearing, the Seeing.

MALAY

Sesungguhnya orang-orang yang membantah mengenai maksud ayat-ayat Tuhanmu dengan tidak berdasarkan sebarang bukti yang sampai kepada mereka (dari pihak yang diakui benarnya), tidak ada dalam dada mereka melainkan perasaan mahukan kebesaran (untuk mengatasimu), kemahuan yang mereka tidak sekali-kali akan dapat mencapainya. Oleh itu mintalah perlindungan kepada Allah (dari angkara mereka); sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.

 

إِنَّ الَّذِينَ يُجَادِلُونَ فِي آيَاتِ اللَّهِ

Sesungguhnya orang-orang yang membantah ayat-ayat Allah,

Iaitu mereka yang tak senang dengan ayat Quran ini, sentiasa membantah pengajaran dari tafsir Quran. Apabila kita beritahu makna sesuatu ayat berdasarkan pengajaran tafsir, mereka akan bantah. Kerana berlawanan dengan faham mereka yang salah, dan kerana berlawanan dengan kehendak nafsu mereka.

 

بِغَيْرِ سُلْطَانٍ أَتَاهُمْ

tanpa dalil bukti yang datang pada mereka.

Mereka hanya menggunakan akal sebagai dalil mereka. Mereka kata “takkan salam keliling tak molek”. Iaitu sekarang yang banyak dilakukan oleh jemaah selepas solat, iaitu bersalam ramai-ramai. Sampai satu masalah pula kepada kita kalau nak beritahu bahawa perbuatan itu salah. Yang  mengajarnya dulu adalah gerakan al-Arqam yang telah diharamkan dulu. Mereka nampak pada mata mereka bahawa perbuatan itu baik. Padahal, Sunnah Nabi hanyalah bersalam kepada orang yang berada dikiri dan kanan kita sahaja. Sekarang ni kita perlu menyekat perbuatan ini dari terus dibuat. Sekali-sekala buat pun tak boleh dah. Sebab sekarang ia sudah jadi macam syariat dah.

Kalau mereka bantah dengan beri dalil dan bukti sahih, tidaklah mengapa. Tapi mereka bantah dengan bantahan kosong sahaja. Ini memang tidak patut. Kita bukan larang orang tidak setuju dengan kita, dan kadang-kadang mungkin kita ada kesalahan. Tapi kenalah ada perbandingan ilmu dan perbincangan yang berlandaskan ilmu. Kalau bantah kosong sahaja, pakai akal sahaja, semua orang boleh. Akhirnya semua ada fahaman masing-masing dan ini tidak patut. Kerana yang kita mahu adalah kebenaran.

 

إِنْ فِي صُدُورِهِمْ إِلَّا كِبْرٌ

Dalam hati mereka itu tidak ada lain melainkan kesombongan.

Mereka sombong untuk terima kebenaran. Mereka tidak terima itu bukan kerana tidak tahu, tapi kerana degil sahaja. Walaupun kebenaran telah datang di hadapan mereka, tapi mereka sombong tidak mahu terima. Mereka hendak berada di tempat yang tinggi, sampai tidak mahu terima pendapat orang lain.

 

مَا هُمْ بِبَالِغِيهِ

sedangkan mereka tak akan boleh mencapainya

Sedangkan mereka tidak akan dapat mencapai kedudukan yang mereka hendak itu. Mereka hanya perasan sahaja yang mereka berada di kedudukan yang tinggi. Tidak akan sesiapa mencapai darjat yang tinggi melainkan kalau Allah mahu.

Dan Allah tidak suka orang yang membesarkan diri, orang yang sombong. Kerana sombong itu adalah sifat Allah – al-Mutakabbir. Allah tidak suka kalau ada orang lain yang juga ada perasaan sebegitu, kerana itu adalah haqNya.

 

فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ

Hendaklah kamu minta perlindungan kepada Allah.

Kalau ada orang yang sebegini berhadapan dengan kita, maka mintalah perlindungan kepada Allah dari kesan buruk dari mereka. Serahkan kepada Allah sahaja. Kerana Allah akan menjaga hambaNya yang mukmin dan beri kemenangan kepada orang mukmin. Mintalah kepada Allah untuk apa sahaja yang kesulitan yang kita hadapi.

 

إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ

Sesungguhnya Dia Maha Mendengar.

Dia Maha Mendengar doa kita kepadaNya. Tidak ada sembahan lain yang boleh mendengar doa kita.

Dia juga mendengar apa sahaja kata-kata orang kepada kita. Jadi jangan risaulah, bukan Allah tidak tahu.

Dan Allah mendengar apa kata hati kita kepada orang lain.

 

الْبَصِيرُ

Maha melihat.

Maha melihat tindak tanduk orang kepada kita dan tindak tanduk kita kepada orang. Jadi, hendaklah kita berhati-hati dengan kelakuan kita kepada orang lain. Kalau orang lain buat jahat, jangan kita pun nak buat jahat sekali sama macam mereka.


 

Surah 40. Ghafir, Ayat 57: Dalam dunia ini, kita tahu bahawa benda-benda besar macam langit, bulan, matahari dan lain-lain adalah ciptaan Allah. Maka dari itu, kita boleh ambil dalil bahawa benda-benda kecil pun Tuhan boleh buat. Dalil sebegini dipanggil ‘dalil inni’.

Ini adalah dalil aqli tentang adanya Hari Kiamat. Orang musyrikin Mekah tidak percaya adanya kehidupan selepas kematian. Maka, Allah berikan dalil kepada mereka dalam ayat ini.

لَخَلقُ السَّماواتِ وَالأَرضِ أَكبَرُ مِن خَلقِ النّاسِ وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The creation of the heavens and earth is greater than the creation of mankind, but most of the people do not know.

MALAY

Demi sesungguhnya, menciptakan langit dan bumi (dari tiada kepada ada) lebih besar (dan lebih menakjubkan) daripada menciptakan manusia dan menghidupkannya semula (sesudah matinya); akan tetapi kebanyakan manusia (yang mengingkari hari kiamat) tidak mengetahui.

 

لَخَلْقُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ

Sesungguhnya, penciptaan langit dan bumi

Allah menyuruh kita melihat kepada dua makhluk yang paling besar yang kita boleh nampak. Tentu ada lagi makhluk lain yang lebih besar, seperti Arasy, tapi kita tidak boleh nampak. Maka, Allah suruh kita lihat kepada langit dan bumi yang besar ini.

 

أَكْبَرُ مِنْ خَلْقِ النَّاسِ

lebih besar dari penciptaan manusia.

Tentulah kita pun tahu, langit dan bumi ini lebih besar dari manusia. Kalau kita lihat secara zahir, kita tentu sangka untuk cipta langit dan bumi lagi payah dari cipta manusia. Tapi bagi Allah, serupa sahaja dua-dua penciptaan ini – mudah sahaja bagi Allah. Kerana nanti semua manusia akan bangkit serentak apabila ditiupkan sangkakala. Padahal, masa nak jadikan makhlukNya dulu, ikut proses – dari mani, disimpan dalam rahim ibu, dan kemudian melalui proses sakit bersalin. Proses-proses ini adalah kerana Allah nak tunjukkan kehebatan Dia. Padahal, sepertimana Dia boleh membangkitkan semua makhluk sekaligus pada hari akhirat nanti, Dia boleh sahaja menjadikan manusia yang pertama kali itu dengan terus sahaja tanpa melalui proses-proses di atas tadi.

Dan sangatlah hebatnya alam ini.Semua bintang yang kita boleh lihat dengan teropong dan segala bintang yang samada kita boleh nampak atau tidak di cakerawala itu adalah semuanya sekali dibawah langit pertama. Ada 4 billion matahari. Tak terkira banyaknya bintang-bintang itu. Dan semuanya duduk di bawah langit pertama. Orang yang terakhir masuk syurga itu nanti (setelah entah berapa lama diazab di neraka), akan diberikan kepadanya kerajaan sebesar sepuluh kali ganda saiz bumi ini. Walaupun dikatakan berat ibadah dia itu adalah hanya sebesar zarah sahaja. Tapi walaupun amalan ibadah dia sedikit sangat, dan dosa dia banyak sampai dia diazab dahulu di neraka, dia tidak melakukan syirik kepada Tuhan. Mungkin dia kena masuk neraka selama ribu tahun, kita pun tidak tahu. Kalau dia pernah buat syirik semasa di dunia, dia dah bertaubat sebelum dia mati.

Jadi ingatlah, setiap malam, semasa nak tidur, kena istighfar kepada Allah supaya ampunkan semua sekali dosa-dosa kita. Supaya kalaulah mati malam itu, tinggal sedikit sahajalah dosa kita. Tiap-tiap malam kena minta ampun. Dan kita kena mengharap bahawa Allah akan ampunkan. Jangan kita buruk sangka yang Allah tak ampunkan. Kalau kita ada melakukan syirik, itu kena minta ampun khas. Maksudnya, kena sebut yang kita minta ampun atas dosa-dosa syirik kita. Begitu juga dengan dosa-dosa besar seperti zina, minum arak dan apa-apa dosa besar. Dosa-dosa seperti itu, kita kena sebut satu persatu. Kalau dosa-dosa kecil, dah diampunkan selepas solat. Tapi macam mana nak minta ampun kalau kita sendiri tak tahu apa yang kita buat itu adalah perbuatan syirik? Kita mungkin sangka perbuatan kita itu tidak salah kerana kita tidak belajar. Tak boleh guna alasan tidak tahu di hadapan Allah nanti.

Kembali kepada dalil yang hendak disampaikan oleh Allah – Allah suruh kita tengok langit dan bumi ini. Keduanya adalah makhluk yang besar yang Allah mampu buat. Bandingkan dengan diri manusia yang lebih kerdil dari keduanya itu. Kalau langit dan bumi yang begitu besar pun Allah pun mampu buat, apatah lagi untuk menghidupkan kembali manusia selepas Hari Kiamat kelak? Tentulah Allah mampu.

 

وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ

Tapi kebanyakan manusia itu tidak mengetahui.

Mereka tidak tahu kerana mereka tidak mahu berfikir. Mereka hendak ikut juga hawa nafsu mereka dan kerana itu mereka tidak mahu menerima ada kehidupan selepas kematian. Kerana kalau mereka terima kehidupan selepas kematian, mereka tidaklah boleh sesuka hati selama mereka hidup ini. Sekarang mereka boleh buat apa sahaja yang mereka hendak buat, kerana mereka yakin yang mereka tidak akan dipertanggungjawabkan selepas itu.


 

Surah 40. Ghafir, Ayat 58: Sekarang pula adalah dalil jenis linni – sebab sesuatu perkara itu terjadi. Oleh kerana manusia perangainya tidak sama, maka hasilnya pun tidak sama. Walaupun dalil yang sama diberikan, tetapi penerimaan manusia tidak sama.

وَما يَستَوِي الأَعمىٰ وَالبَصيرُ وَالَّذينَ آمَنوا وَعَمِلُوا الصّالِحاتِ وَلَا المُسيءُ ۚ قَليلًا ما تَتَذَكَّرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And not equal are the blind and the seeing, nor are those who believe and do righteous deeds and the evildoer. Little do you remember.

MALAY

Dan sememangnya tidaklah sama orang yang buta dan orang yang melihat, dan juga tidaklah sama orang-orang yang beriman serta beramal soleh dengan orang yang melakukan kejahatan. (Meskipun hakikat ini jelas nyata, tetapi) sedikit sangat kamu beringat dan insaf.

 

وَمَا يَسْتَوِي الْأَعْمَىٰ وَالْبَصِيرُ

Apakah sama seorang pekak lagi buta, dengan seorang yang celik?

Allah memberi contoh fizikal yang kita boleh lihat dalam alam ini. Semuanya dapat membezakan antara orang celik dan orang yang buta, bukan? Seterusnya Allah hendak memberikan perbandingan yang sedikit abstrak – orang yang beriman dan orang yang tidak.

Allah hendak memberikan perumpamaan orang yang celik hati dengan orang yang celik fizikal. Dan orang yang buta hati umpama orang yang buta fizikal.

 

وَالَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ

Dan orang yang beriman sempurna dan beramal soleh

Allah hendak membuat perbandingan. Dia suruh kita lihat mereka yang baik, iaitu mereka yang beriman sempurna. Iman sempurna adalah tauhid tanpa syirik. Ada banyak jenis syirik dan surah ini adalah tentang syirik dalam berdoa. Jadi, mereka yang beriman sempurna adalah mereka yang tidak menggunakan perantaraan dalam doa mereka.

Mereka juga beramal dengan amalan yang soleh. Amalan yang soleh adalah amalan yang ada contoh dari Nabi. Bukannya amalan yang bidaah seperti yang banyak dilakukan oleh kebanyakan orang.

 

وَلَا الْمُسِيءُ

Dengan satu orang yang melakukan dosa?

Tentulah mereka yang beriman dan beramal soleh itu jauh bezanya dengan orang yang berbuat dosa. Antara dosa yang banyak dilakukan tanpa disedari adalah dosa syirik dan dosa bidaah. Oleh kerana tidak faham makna syirik dan bidaah, maka ramailah dari kalangan masyarakat kita yang buat dosa tersebut. Tapi mereka tidak tahu yang ianya berdosa kerana mereka tidak belajar. Atau, mereka belajar dengan guru yang salah.

Mereka itu amat berbeza dengan orang yang beriman dan beramal soleh, seumpama beza orang yang celik dengan orang yang buta.

 

قَلِيلًا مَا تَتَذَكَّرُونَ

Sedikit sahaja mereka yang dapat peringatan.

Tetapi perbandingan ini tidak dapat difahami oleh semua orang. Hanya sedikit sahaja yang faham. Mereka yang buat bidaah itu, tidak dapat faham kenapa salah perbuatan mereka itu. Mereka bermati-matian akan mempertahankan amalann bidaah mereka itu, dengan memberi berbagai-bagai dalil. Sebenarnya hujah yang mereka berikan itu bukanlah dalil, atau mereka salah faham dengan dalil yang ada. Kalau belajar Quran dan Sunnah dengan cara yang betul, in sha Allah, akan dapat faham.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan:

Maulana Hadi

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 040: Ghafir and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s