Tafsir Surah Ghafir Ayat 34 – 40 (Hujah Lelaki Mukmin)

Surah 40. Ghafir, Ayat 34: Ini adalah sambungan dakwah dan hujah dari Lelaki Mukmin itu. Ini masih lagi dalam Bahagian Kedua dari syarah Lelaki Mukmin itu. Dalam bahagian ini terdapat sindiran kepada mereka yang tidak memikir panjang tentang agama dan akhirat.

وَلَقَد جاءَكُم يوسُفُ مِن قَبلُ بِالبَيِّناتِ فَما زِلتُم في شَكٍّ مِمّا جاءَكُم بِهِ ۖ حَتّىٰ إِذا هَلَكَ قُلتُم لَن يَبعَثَ اللَّهُ مِن بَعدِهِ رَسولًا ۚ كَذٰلِكَ يُضِلُّ اللَّهُ مَن هُوَ مُسرِفٌ مُرتابٌ

Sahih International

And Joseph had already come to you before with clear proofs, but you remained in doubt of that which he brought to you, until when he died, you said, ‘Never will Allah send a messenger after him.’ Thus does Allah leave astray he who is a transgressor and skeptic.”

Malay

“Dan demi sesungguhnya! Nabi Yusuf telah datang kepada kamu dahulu dengan membawa keterangan-keterangan (yang membuktikan kerasulannya), maka kamu tetap juga dalam keraguan mengenai apa yang disampaikannya kepada kamu sehingga apabila ia mati, kamu berkata: Allah tidak akan mengutuskan lagi Rasul sesudahnya; demikianlah Allah menyesatkan sesiapa yang melampau kederhakaannya, lagi yang ragu-ragu kepercayaannya (terhadap balasan Tuhannya), 

 

وَلَقَدْ جَاءَكُمْ يُوسُفُ مِن قَبْلُ

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu Nabi Yusuf sebelum ini”

Lelaki Mukmin itu mengingatkan kaumnya dengan kisah Nabi Yusuf a.s. Nabi Yusuf adalah seorang Rasul, tapi baginda juga seorang pemimpin yang besar. Walaupun dalam kedudukan yang tinggi, tapi beliau masih lagi beriman dan mengajak kepada tauhid kepada Allah.

Lelaki Mukmin itu hendak mengingatkan mereka bahawa mereka dahulu ada agama, kerana mereka ada Nabi di kalangan mereka, iaitu Nabi Yusuf a.s. Jangan lah pula lupa. Apa yang dibawa oleh Nabi Musa ini bukanlah perkara baru.

Sebelum ini, Lelaki Mukmin itu telah mengingatkan mereka kepada kaum Nuh, Aad dan Tsamud. Tetapi itu adalah kaum-kaum yang sudah sangat lama dari zaman mereka. Sekarang beliau mengingatkan mereka kepada Nabi Yusuf yang tidak lama masanya dengan mereka. Nabi Yusuf berada di Mesir dalam lebih kurang 400 tahun sebelum datangnya Nabi Musa a.s., jadi tidak lama masa dengan mereka. Masih segar lagi kisah Nabi Yusuf dalam ingatan mereka. Kisah Nabi Yusuf tentunya telah menjadi sejarah negara mereka dan tentunya mereka sebagai pemimpin negara tahu tentang kisah Nabi Yusuf itu.

Lelaki Mukmin itu hendak mengaitkan ajaran Nabi Musa dengan Nabi Yusuf. Dia hendak memberitahu bahawa sama sahaja ajaran Nabi Musa dan Nabi Yusuf itu.

بِالْبَيِّنَاتِ

“dengan bawa bukti dalil dari Allah”.

Dulu Nabi Yusuf datang kepada penduduk Mesir dengan bawa dalil-dalil bukti yang jelas dari Allah. Maka, sekarang pun Nabi Musa pun bawa dalil juga yang mereka boleh lihat dengan mata mereka sendiri.

فَمَا زِلْتُمْ فِي شَكٍّ مِّمَّا جَاءَكُم بِهِ

“Tapi kamu sentiasa berada dalam keraguan terhadap apa yang dia bawa kepada kamu”

Walaupun Nabi Yusuf bawa dalil keterangan yang jelas, tapi kamu masih juga tidak terima dakwah baginda tentang Tauhid. Masih juga ragu-ragu dengan apa yang baginda bawa. Tapi, kisah baginda menaikkan ekonomi dan negara Mesir, kamu terima, tapi tentang ajaran agama yang dibawakan, kamu buat tak kisah sahaja. Macam kita belajar tentang kehancuran tamadun-tamadun yang dahulu, seperti Aztech, Inca – kita belajar sejarah mereka, peninggalan mereka, kehidupan mereka. Memang kita belajar kisah sejarah mereka, tapi yang kita tidak ambil peduli adalah apakah agama mereka, kenapa mereka dihancurkan oleh Allah.

حَتَّىٰ إِذَا هَلَكَ قُلْتُمْ

“Sehingga dia sudah mati, kamu berkata”

Kaum Nabi Yusuf tolak baginda sampailah baginda wafat.

لَن يَبْعَثَ اللَّهُ مِن بَعْدِهِ رَسُولًا

“Tidak mungkin sama sekali Allah akan bangkitkan selepas Nabi Yusuf ini, rasul lain”.

Selepas Nabi Yusuf wafat, mereka kata tidak ada Rasul lagi selepas itu, maka mereka telah mencipta agama mereka dan mencipta amalan-amalan baru. Mereka terus meninggalkan ajaran Nabi Yusuf. Mereka nak kata dengan matinya Nabi Yusuf itu, maka matilah agama. Itu kata-kata mereka sahaja sedangkan Allah tidak pernah pun kata begitu. Walaupun seorang Nabi telah wafat, agama Islam tetap berjalan.

Ayat itu juga menunjukkan kesesalan mereka kerana tidak berpeluang beriman semasa Nabi Yusuf hidup dan sekarang mereka telah kehilangan seorang Rasul. Macam anak yang tidak berkhidmat kepada ibubapa mereka semasa mereka hidup, tapi bila dah mati, baru nak menyesal.

Maka, mereka menyesal kerana kehilangan Rasul. Tapi, sekarang mereka sedang ada seorang Rasul dari kalangan mereka. Kalau dulu mereka menyesal kerana kehilangan seorang Rasul yang mulia, sekarang di tengah-tengah mereka ada seorang lagi Rasul – maka hendaklah mereka ambil peluang keemasan itu. Janganlah ragu-ragu lagi dengan dia. Jangalah pisang berbuah dua kali. Ini adalah peluang untuk kamu semua. Tidakkah kamu mahu belajar dengan sejarah lampau?

Lelaki Mukmin itu berkata begitu untuk sindir mereka, betapa mereka lupa tentang kisah sejarah mereka sendiri.

كَذَٰلِكَ يُضِلُّ اللَّهُ مَنْ هُوَ مُسْرِفٌ

“Kerana itulah Allah telah menyesatkan sesiapa yang dulu melampaui batas”

Mereka melampau batas dalam kehidupan mereka. Mereka hidup dengan senang maka kerana itu mereka telah ambil peluang kehidupan dunia ini tanpa mengira apakah kesannya kepada akhirat mereka. Yang lebih penting, mereka melampau batas dalam hal akidah. Itulah perkara paling penting yang manusia kena jaga, tapi mereka melampau dalam hal itu.

مُّرْتَابٌ

“yang ragu-ragu”.

Mereka ragu-ragu dengan sesuatu yang jelas. Mesej yang dibawa oleh Nabi Yusuf adalah jelas tapi mereka ragu-ragu tidak mahu percaya.


Surah 40. Ghafir, Ayat 35: Jumlah badaliah. Allah menerangkan siapakah mereka.

الَّذينَ يُجادِلونَ في آياتِ اللَّهِ بِغَيرِ سُلطانٍ أَتاهُم ۖ كَبُرَ مَقتًا عِندَ اللَّهِ وَعِندَ الَّذينَ آمَنوا ۚ كَذٰلِكَ يَطبَعُ اللَّهُ عَلىٰ كُلِّ قَلبِ مُتَكَبِّرٍ جَبّارٍ

Sahih International

Those who dispute concerning the signs of Allah without an authority having come to them – great is hatred [of them] in the sight of Allah and in the sight of those who have believed. Thus does Allah seal over every heart [belonging to] an arrogant tyrant.

Malay

“(Iaitu) orang-orang yang membantah mengenai maksud ayat-ayat Allah dengan tidak ada sebarang bukti yang sampai kepada mereka (dari pihak yang diakui benarnya). (Bantahan yang demikian) besar kebenciannya dan kemurkaannya di sisi hukum Allah dan di sisi bawaan orang-orang yang beriman. Demikianlah Allah meteraikan atas hati tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi bermaharajalela pencerobohannya!” 

 

الَّذِينَ يُجَادِلُونَ فِي آيَاتِ اللَّهِ

“Orang-orang yang membantah tentang ayat-ayat Allah”

Itulah mereka yang menolak ayat-ayat Allah itu dengan mempersoalkannya, menolaknya. Firaun dan pengikutnya mengatakan yang mukjizat yang ditunjukkan oleh Nabi Musa itu adalah ‘sihir’.

Kalau zaman sekarang, ayat-ayat Allah adalah ayat Quran. Ramai yang membantah ayat Quran, antaranya dengan menunjukkan terdapat perbezaan antara ayat-ayat Quran itu. Ataupun mereka menafsir ayat-ayat Allah dengan cara yang salah. Ataupun, apabila kita beritahu mereka tentang maksud sesuatu ayat itu, mereka akan tolak dan berhujah dengan kita menidakkan apa yang kita beritahu kepada mereka. Padahal mereka sendiri tidak belajar tafsir, tapi kata apa yang kita sampaikan dari tafsir itu pula yang salah. Ini amat pelik, orang yang tidak belajar, kata tafsiran kita pula yang salah.

Ini adalah peringkat ketiga kesesatan manusia. Peringkat Pertama: mereka ragu-ragu tentang agama; Peringkat Kedua: mereka akan berada dalam kesesatan kerana mereka telah ada ragu-ragu; Peringkat Ketiga: mereka membantah; Peringkat Keempat: apabila mereka terus membantah, Allah akan ‘kunci mati’ hati mereka dari beriman – Khatmul Qalbi.

4 peringkat hati rosak

Jangan ada sikap begini dalam diri kita.

بِغَيْرِ سُلْطَانٍ أَتَاهُمْ

dengan tanpa bukti yang di bawa kepada mereka,

Mereka membantah atau memberi hujah-hujah mereka itu tanpa ada bukti. Ataupun mereka tafsir sendiri ayat-ayat Quran tanpa belajar tafsir, tapi mereka buat macam mereka tahu. Kita meraikan perbezaan pendapat dan percambahan ilmu. Tapi kalau nak berhujah, kenalah bawa dalil, jangan pakai tolak sahaja tanpa beri dalil dan hujah yang nyata.

Ramai yang tidak belajar, tapi memandai nak tafsir sendiri ayat-ayat Quran. Mereka merujuk kepada sumber-sumber yang tidak boleh dipercayai, maka mereka telah salah faham. Ini adalah amat bahaya. Kita kena belajar tafsir dengan guru yang tahu ilmu-ilmu tafsir. Kalau kita silap memilih guru dan sumber pembelajaran, kita akan terjatuh ke dalam lembah kesesatan.

كَبُرَ مَقْتًا عِندَ اللَّهِ وَعِندَ الَّذِينَ آمَنُوا

Amat besar kemurkaan di sisi Allah dan di sisi orang-orang yang beriman

Besar sekali salah mereka itu, sampaikan Allah murka kepada mereka yang membantah ayat-ayat Allah. Jangan main-main kalau Allah dah marah.

Ada dua yang disebut telah marah dalam ayat ini: Allah dan orang-orang yang beriman. Bukan Allah sahaja yang marah, tapi orang-orang yang beriman juga akan marah. Orang-orang yang beriman, apabila mendengar orang menyalahgunakan ayat-ayat Allah, sepatutnya marah dengan perbuatan orang itu.

Dan orang yang beriman itu tidak tengok sahaja, tetapi dia akan mempertahankan ayat-ayat Allah. Lihatlah apa yang telah dilakukan oleh Lelaki Mukmin itu – dia telah bangun mempertahankan dakwah Nabi Musa a.s. walaupun ianya boleh membahayakan nyawanya sendiri.

كَذَٰلِكَ يَطْبَعُ اللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ قَلْبِ مُتَكَبِّرٍ جَبَّارٍ

Demikiannya Allah kunci setiap hati yang sombong, ganas terhadap manusia.

Inilah Peringkat Keempat dan peringkat terakhir dari kesesatan manusia. Hati mereka akan dikunci mati dari terima kebenaran. Maksudnya, setiap hati yang ada sifat sombong dan ganas itu akan dikunci oleh Allah. Mereka sombong dengan Allah dan ganas dengan manusia. Kesannya: walaupun dia ditunjukkan dengan kebenaran, dia tidak boleh faham dan tidak akan terima – kerana Allah dah kunci mati hati dia.

Lihatlah apa yang terjadi kepada Firaun, apabila dia membantah ayat-ayat Allah, Allah telah kunci mati hatinya, sampaikan walaupun datang kepadanya berbagai-bagai dalil kebenaran, dia tidak juga boleh beriman.


Surah 40. Ghafir, Ayat 36: Lihatlah apa jawapan Firaun setelah mendengar syarah dari Lelaki Mukmin itu – bukannya dia nak beriman, tapi dia tetap nak lawan juga. Ini adalah kata-katanya yang mencelah syarahan yang disampaikan oleh Lelaki Mukmin itu. Dia rasa kalau dia tidak mencelah, Lelaki Mukmin itu akan menyebabkan ramai orang akan beriman dengan Nabi Musa.

وَقالَ فِرعَونُ يا هامانُ ابنِ لي صَرحًا لَعَلّي أَبلُغُ الأَسبابَ

Sahih International

And Pharaoh said, “O Haman, construct for me a tower that I might reach the ways –

Malay

Dan Firaun pula berkata: “Hai Haman! Binalah untukku sebuah bangunan yang tinggi, semoga aku sampai ke jalan-jalan (yang aku hendak menujunya) 

 

وَقَالَ فِرْعَوْنُ يَا هَامَانُ

Dan berkata Firaun, “Wahai Haman”,

Firaun nak lawan dengan jenaka. Selepas mendengar kata-kata Lelaki Mukmin itu, beliau telah datang dengan satu lagi hujah dia untuk mempermain-mainkan agama. Dia tukar kepada topik yang lain. Dia buat begitu kerana hendak mengalih pandangan rakyat yang juga sedang mendengar kata-kata Musa dan Lelaki Mukmin itu. Begitulah, apabila seseorang itu menentang ayat-ayat Allah, Allah akan menzahirkan kebodohannya.

Kadang-kadang kita memberitahu satu perkara yang serius, tapi orang yang tidak beriman akan tukar topik dan buat lawak untuk mempermain-mainkan kita. Sebagai contoh, kita sebut tentang bidaah, mereka akan buat lawak – “kalau macam tu, tak boleh pakai keretalah kita, kena pakai unta sahaja kalau nak ke mana-mana! Sebab Nabi tidak pakai kereta, Nabi pakai unta!”. Itu adalah kata-kata sinis dari orang yang bodoh jahil.

ابْنِ لِي صَرْحًا

“Bina untuk aku satu menara tinggi”

Perkataan صَرْحًا bermaksud menara yang cantik, yang dihias. Firaun suruh Haman binakan untuk dia satu menara yang tinggi.

لَّعَلِّي أَبْلُغُ الْأَسْبَابَ

“supaya aku sampai ke jalan-jalan”.

الْأَسْبَابَ adalah dari kata ‘sabab’ yang bermaksud ‘cara’ – cara untuk sampai ke satu-satu tempat, kepada satu-satu maksud. Sebagai contoh, sebab apa kita memanjat pokok Tamar? Sebab nak kutip buat Tamar. Dia suruh Haman bina menara tinggi itu kononnya dia jumpa Tuhan Nabi Musa.

Dia telah mengalih pandangan rakyatnya kepada Dzat Allah. Padahal Allah hanya boleh dikenali dengan SifatNya, bukannya boleh berjumpa dengan Dia semasa di dunia. Begitulah juga golongan yang kurang belajar, mereka banyak membincangkan tentang keberadaan Allah di Arasy. Padahal kita tidak perlu pun berbincang tentang perkara itu.


Surah 40. Ghafir, Ayat 37:

أَسبابَ السَّماواتِ فَأَطَّلِعَ إِلىٰ إِلٰهِ موسىٰ وَإِنّي لَأَظُنُّهُ كاذِبًا ۚ وَكَذٰلِكَ زُيِّنَ لِفِرعَونَ سوءُ عَمَلِهِ وَصُدَّ عَنِ السَّبيلِ ۚ وَما كَيدُ فِرعَونَ إِلّا في تَبابٍ

Sahih International

The ways into the heavens – so that I may look at the deity of Moses; but indeed, I think he is a liar.” And thus was made attractive to Pharaoh the evil of his deed, and he was averted from the [right] way. And the plan of Pharaoh was not except in ruin.

Malay

“(Iaitu) ke pintu-pintu langit, supaya aku dapat melihat Tuhan Musa; dan sesungguhnya aku percaya Musa itu seorang pendusta!” Demikianlah diperhiaskan (oleh Syaitan) kepada Firaun akan perbuatannya yang buruk itu untuk dipandang baik, serta ia dihalangi dari jalan yang benar; dan tipu daya Firaun itu tidak membawanya melainkan ke dalam kerugian dan kebinasaan. 

 

أَسْبَابَ السَّمَاوَاتِ

“Jalan naik ke langit”,

Untuk pergi dari satu langit ke langit yang lain.

فَأَطَّلِعَ إِلَىٰ إِلَٰهِ مُوسَى

“Supaya aku boleh tengok sendiri Tuhan Musa”.

Kenapa Firaun hendak ke langit untuk melihat Tuhan? Kerana Nabi Musa beritahu beliau yang Allah berada di langit. Sebab itulah dia hendak dibinakan menara yang tinggi untuk dia mendaki ke langit yang tinggi.

Maknanya, Firaun pun tahu yang Allah di langit. Kerana Nabi Musa beritahu begitu. Jadi, kalau orang kita kata ‘Allah ada di mana-mana’, ‘Allah wujud tanpa bertempat’, itu maknanya mereka itu lebih teruk lagi pemahaman mereka dari Firaun!

وَإِنِّي لَأَظُنُّهُ كَاذِبًا

“Dan sesungguhnya aku yakin yang dia pendusta besar”.

Dia kata Nabi Musa itu pembohong besar kerana Nabi Musa kata ada Tuhan di langit yang bernama Allah. Dia nak kata yang dia sahaja tuhan, dan tidak ada tuhan yang lain. Dia kata Nabi Musa menipu sahaja.

وَكَذَٰلِكَ زُيِّنَ لِفِرْعَوْنَ سُوءُ عَمَلِهِ

Begitulah, dihiasi elok kepada Firaun segala keburukan yang diamalkannya

Dinampakkan cantik sahaja hujah-hujah Firaun itu kepada dirinya. Dia rasa dia pandai dan bijak kerana boleh memberikan hujah-hujah yang sebegitu. Padahal, mana boleh lihat Dzat Allah. Dia rasa bangga kerana dia telah memalukan Nabi Musa.

وَصُدَّ عَنِ السَّبِيلِ

Dan dia telah dihalang dari jalan benar

Dia telah dijauhkan dari jalan yang benar kerana dia telah menolak kebenaran dari awal lagi.

وَمَا كَيْدُ فِرْعَوْنَ إِلَّا فِي تَبَابٍ

Dan tidaklah tipu daya Firaun melainkan dalam kebinasaan.

Ini adalah idkhal ilahi (pencelahan Tuhan). Mungkin timbul persoalan di fikiran pembaca Quran, adakah berjaya apa yang hendak dilakukan oleh Firaun itu? Allah mencelah di hujung ayat ini untuk memberitahu yang tipu daya Firaun itu tidak berjaya.

Ghafir 26-37


Surah 40. Ghafir, Ayat 38: Ini adalah hujah balas dari Lelaki Mukmin itu apabila Firaun kata nak dibinakan menara yang tinggi:

وَقالَ الَّذي آمَنَ يا قَومِ اتَّبِعونِ أَهدِكُم سَبيلَ الرَّشادِ

Sahih International

And he who believed said, “O my people, follow me, I will guide you to the way of right conduct.

Malay

Dan berkatalah pula orang beriman itu: “Wahai kaumku! Turutlah (nasihatku), aku akan menunjukkan kepada kamu jalan yang benar. 

 

وَقَالَ الَّذِي آمَنَ

dan berkata orang yang beriman itu,

Lelaki Mukmin itu tak layan pun kata-kata Firaun itu. Buat apa nak layan lawak dan kata-kata bodoh orang yang tidak beriman? Dia meneruskan kata-kata dakwahnya kepada kaumnya itu.

يَا قَوْمِ اتَّبِعُونِ

“Wahai kaumku, ikutilah sahaja aku”

Kenapa Lelaki Mukmin itu cakap ikut dirinya, sedangkan Nabi Musa masih ada lagi? Maksudnya, ikut beliau yang telah beriman dengan Allah dan Nabi Musa.

أَهْدِكُمْ سَبِيلَ الرَّشَادِ

“Aku akan pimpin kamu kepada jalan yang benar”.

Bila Firaun cakap macam ayat sebelum ini di dalam majlis bersama rakyatnya itu, Lelaki Mukmin itu nampak orang macam nak percaya dengan Firaun dan semakin nak ikut jejak langkah Firaun. Maka dia kata cepat-cepat ajak mereka ikut dia. Macam kalau kita nampak anak kita sedang lepak dengan orang hisap dadah. Nak syarah di situ dah tak sempat dah. Kita ajak dia balik terus supaya nanti kita nasihat dia di rumah.

Lelaki Mukmin itu mengajak kaumnya kepada jalan yang benar, bukannya jalan yang diajak oleh Firaun itu seperti yang disebut oleh Firaun dalam ayat 29. Lelaki Mukmin itu hendak memberitahu yang apa yang diajak oleh Firaun itu adalah jalan yang sesat dan jalan yang dia ajak itulah jalan yang benar. Jalan yang benar adalah dengan beriman kerana itulah jalan yang selamat untuk dunia dan akhirat.


Surah 40. Ghafir, Ayat 39: Ini adalah ayat tazhid dari dunia dan targhib kepada Akhirat. Sesungguhnya kesesatan manusia banyak disebabkan oleh cintakan dan tertarik dengan keindahan dunia sahaja. Allah mengingatkan kepada kita yang membaca Quran ini supaya jangan tertipu dengan kehidupan dunia.

يا قَومِ إِنَّما هٰذِهِ الحَياةُ الدُّنيا مَتاعٌ وَإِنَّ الآخِرَةَ هِيَ دارُ القَرارِ

Sahih International

O my people, this worldly life is only [temporary] enjoyment, and indeed, the Hereafter – that is the home of [permanent] settlement.

Malay

“Wahai kaumku! Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (untuk sementara waktu sahaja), dan sesungguhnya hari akhirat itulah sahaja negeri yang kekal. 

 

يَا قَوْمِ إِنَّمَا هَٰذِهِ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا مَتَاعٌ

“Wahai kaumku, sesungguhnya kehidupan dunia ini adalah kesenangan sementara sahaja”.

Ianya sekejap sahaja dan tidak lama lagi ianya akan hilang – kita semua akan mati dalam masa yang singkat. Keindahan dunia yang kita bangga-banggakan dan kejar siang dan malam ini tidak kekal lama, tidak boleh dibawa mati pun. Jadi jangan tertumpu kepada dunia sahaja sampai lupakan tentang akhirat.

Allah mengingatkan kepada kita bahawa dunia itu hanya kesenangan yang sedikit. Ianya Hina lagi sedikit. Bukannya tidak ada kesenangan langsung, tapi sedikit sangat dan hina sangat kalau dibandingkan dengan akhirat. Perkataan مَتَاعٌ dalam bahasa Arab adalah kain buruk yang digunakan oleh wanita untuk halang darah haidh keluar. Begitulah Allah gunakan perumpamaan مَتَاعٌ untuk nisbah kepada dunia.

Allah tahu sifat hambaNya, maka Dia beri peringatan dalam ayat ini. Allah ajar manusia untuk korbankan dunia untuk dapat akhirat.

Lelaki Mukmin itu berkata begitu kerana dia nampak rakyatnya mementingkan dunia. Mereka mendambakan pemberian keduniaan dari Firaun. Itu sebabnya mereka susah nak terima kebenaran. Lelaki Mukmin itu hendak memberitahu mereka bahawa yang mereka harapkan dari Firaun itu adalah angan-angan kosong sahaja. Kerana yang menjadi kaya-raya adalah Firaun sahaja dan konco-konconya. Rakyat yang lain hanya dapat saki baki sahaja. Maka, janganlah tertipu.

Lelaki Mukmin ini tinggal dalam istana Firaun. Tentulah kedudukan beliau amat tinggi dalam masyarakat. Tetapi, dengan berkata seperti apa yang telah dikatakannya itu, dia boleh kehilangan segala-galanya dalam dunia. Tapi dia tidak kisah. Kerana dia lebih mementingkan akhirat.

وَإِنَّ الْآخِرَةَ هِيَ دَارُ الْقَرَارِ

“Dan sesungguhnya akhirat itu adalah tempat kekal”.

Di akhiratlah yang kita semua akan kekal dan tidak akan ke mana-mana. Samada kekal dalam syurga atau kekal dalam neraka kalau mengamalkan syirik. Kalau dunia ini, tempat singgahan sahaja. Jadi kenapa nak pentingkan dunia sedangkan ianya sekejap sahaja.

Ingatlah yang semasa di akhirat kelak, tidak pakai harta dan duit dunia, tapi menggunakan amal kebaikan kita di dunia.

Maka, kalau kita susah dan derita sedikit semasa di dunia ini, apalah salahnya…kerana kita akan mendapat balasan yang lebih banyak lagi kekal di akhirat kelak.


Surah 40. Ghafir, Ayat 40: Ayat ini adalah idkhal ilahi. Allah hendak memberitahu peraturan di akhirat.

مَن عَمِلَ سَيِّئَةً فَلا يُجزىٰ إِلّا مِثلَها ۖ وَمَن عَمِلَ صالِحًا مِن ذَكَرٍ أَو أُنثىٰ وَهُوَ مُؤمِنٌ فَأُولٰئِكَ يَدخُلونَ الجَنَّةَ يُرزَقونَ فيها بِغَيرِ حِسابٍ

Sahih International

Whoever does an evil deed will not be recompensed except by the like thereof; but whoever does righteousness, whether male or female, while he is a believer – those will enter Paradise, being given provision therein without account.

Malay

“Sesiapa yang mengerjakan sesuatu perbuatan jahat maka ia tidak dibalas melainkan dengan kejahatan yang sebanding dengannya; dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh – dari lelaki atau perempuan – sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga; mereka beroleh rezeki di dalam Syurga itu dengan tidak dihitung. 

 

مَنْ عَمِلَ سَيِّئَةً

Sesiapa yang berbuat dosa

Sebagai manusia biasa, tentulah ada melakukan dosa juga.

فَلَا يُجْزَىٰ إِلَّا مِثْلَهَا

dia tidak akan dibalas melainkan seperti itu juga.

Buat satu dosa, dibalas satu. Sama sahaja dengan kesalahan yang telah dilakukan.  Tidak lebih dari itu. Lihatlah betapa pemurahnya Allah. Allah hanya balas dengan apa yang sepatutnya sahaja kalau hambaNya melakukan dosa. Sekarang lihat pula kalau hambaNya melakukan ketaatan.

وَمَنْ عَمِلَ صَالِحًا

Dan sesiapa yang beramal soleh,

Amal soleh bermaksud amal ibadat seperti yang Nabi Musa ajar, dan kalau zaman sekarang, macam Nabi Muhammad ajar. Bukannya amal ibadat bidaah yang tidak ada ambilan dari Quran atau hadis.

مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ

Baik dia lelaki atau dia perempuan, dan dia itu beriman

Amalan yang soleh akan dibalas, dengan syarat, orang itu beriman penuh. Beriman penuh bermaksud, seseorang itu tidak syirik. Kerana kalau dia ada amalan atau fahaman yang syirik, walau baik macam mana pun amalannya, amalan itu tidak akan diterima oleh Allah sedikit pun.

Dan untuk tahu apakah syirik itu, kena belajar. Kerana kadang-kadang, ada kalangan orang Islam sendiri yang tidak tahu makna syirik, sampaikan mereka melakukan amalan syirik tanpa mereka sedari.

Allah beritahu kalau lelaki, atau perempuan yang buat amal kebaikan, mereka akan mendapat balasan. Maksudnya, Allah tidak pilih bulu. Sesiapa sahaja yang melakukan kebaikan akan dibalas dengan kebaikan juga. Tidaklah kena jadi lelaki, jadi kaya, jadi pemimpin, baru dibalas. Semua hambaNya ada peluang untuk mendapat balasan yang baik.

Lafaz مُؤْمِنٌ membawa dua maksud: Pertama, yang melakukan amal soleh itu mestilah berakidah tauhid, dan kedua, amalan itu dilakukan ikhlas. Kerana kalau tidak ikhlas, ianya tidak diterima.

فَأُولَٰئِكَ يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ

Mereka yang bersifat seperti itu akan dimasukkan ke dalam syurga.

Inilah balasan yang kita semua dambakan. Tidakkah kita mahu masuk ke dalam syurga?

يُرْزَقُونَ فِيهَا بِغَيْرِ حِسَابٍ

diberi rezeki kepadanya tanpa hisab.

Tidak terkira banyaknya, sampai tidak boleh dikira.

Atau mereka akan dimasukkan tanpa hisab – terus masuk syurga tanpa melalui perkiraan Hisab di Mahsyar.

Atau mereka akan diberi tanpa had – tidaklah dikatakan mereka dah makan banyak sangat, sudah tidak dapat lagi dah.

Inilah kata-kata dari Lelaki Mukmin itu. Bagaimana dia tahu macam-macam? Kerana dia telah mendengar ceramah-ceramah dan dakwah dari Nabi Musa a.s. sampaikan dia sendiri boleh berdakwah kepada kaumnya. Kita pun kenalah macam itu juga. Jangan senyap sahaja. Jangan kata ustaz dan ulama sahaja yang boleh berdakwah dan berceramah. Kita kena cakap apa yang kita tahu. Islam ini mudah sahaja. Boleh dipelajar dan boleh kita sampaikan kepada orang lain. Ianya bukan perkara yang mustahil.

Ghafir 38-40

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan:

Maulana Hadi

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Ibn Kathir

 

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 040: Ghafir and tagged , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s