Tafsir Surah Ghafir Ayat 17 – 25 (Kisah Musa dan Firaun)

Surah 40. Ghafir, Ayat 17: Dalam ayat sebelum ini, telah disebut tentang Hari Akhirat. Sekarang Allah teruskan lagi penerangan tentang Hari itu. 

اليَومَ تُجزىٰ كُلُّ نَفسٍ بِما كَسَبَت ۚ لا ظُلمَ اليَومَ ۚ إِنَّ اللَّهَ سَريعُ الحِسابِ

Sahih International

This Day every soul will be recompensed for what it earned. No injustice today! Indeed, Allah is swift in account.

Malay

“Pada hari ini, tiap-tiap diri dibalas dengan apa yang telah diusahakannya; tidak ada hukuman yang tidak adil pada hari ini. Sesungguhnya Allah amat cepat hitungan hisabNya. 

 

 

الْيَوْمَ تُجْزَىٰ كُلُّ نَفْسٍ بِمَا كَسَبَتْ

Pada hari itu dibalas setiap jiwa dengan apa yang telah dilakukan.

Makhluk akan dibalas dengan apa yang mereka perbuat sahaja. Kalau tidak buat, tidak dapat balasan azab atau balasan pahala. Ini menolak pegangan kebanyakan orang kita yang percaya pahala boleh disedekahkan kepada orang yang sudah mati. Maka, mereka akan baca Surah Fatihah apabila dengar orang mati, mereka ada yang baca Quran selama beberapa hari untuk sedekahkah pahala bacaan kepada simati, dan ramai yang buat Majlis Tahlil supaya buat amal ibadat baca Quran dan zikir untuk dihadiah pahala kepada simati.

Ayat ini dengan jelas menolak pendapat itu. Maknanya, kalau nak dapat pahala, kena buat sendiri. Tidak boleh orang lain yang buat amal, tapi serahkan pahalanya kepada orang lain. Bukan ayat ini sahaja yang menolak pendapat sedekah pahala itu, tapi banyak ayat-ayat yang lain. Tidak ada dalil dari perbuatan mereka melainkan dalil-dalil yang tidak kuat sahaja. Maka eloklah berhenti dari melakukan perkara yang tidak berfaedah dan membazir wang dan masa. Seeloknya, kita buat yang sunnah sahaja, iaitu mendoakan supaya si mati diampunkan dosanya dan dimasukkan ke dalam syurga.

 

لَا ظُلْمَ الْيَوْمَ

Tidak dizalimi mereka pada hari itu.

Allah hendak memberitahu kepada kita bahawa Dia tidak zalim walaupun Dia boleh melakukan apa sahaja yang dikehendakiNya. Supaya kita jangan takut yang Dia akan memberi keputusan dengan zalim.

Banyak ayat dalam Quran berkenaan ‘tidak ada kezaliman’. Memang tidak ada kezaliman kerana pahala dibalas sekurang-kurangnya sepuluh kali ganda, dan boleh sampai berjuta-juta kali ganda.

Dosa pula, kalau buat satu, akan dibalas satu juga, tidak lebih, atau boleh diampun terus. Maknanya, tak zalimlah kalau macam tu.

Tidak akan dikurangkan sedikit pun balasan pahala kepada mereka yang melakukan kebaikan; tidak akan diazab kepada mereka yang tidak melakukan kesalahan.

Ini berbeza dengan dunia. Sebagai contoh, kalau di dunia kita kerja lebih, majikan kadang-kadang tidak beri gaji lebih pun, sebab dia tidak tahu kita buat kerja lebih itu; tapi Allah Maha Tahu dengan segala perbuatan kita.

Begitu juga, kadang-kadang di dunia, seseorang manusia boleh dijatuhkan hukuman di mahkamah kerana kesalahan yang mereka tidak buat. Mungkin mereka kena fitnah dan segala bukti menunjukkan mereka bersalah, maka mahkamah terpaksa buat keputusan yang mereka kena penjara dan sebagainya. Ini adalah kerana mahkamah tidak tahu; tapi Allah Maha Tahu apa yang kita lakukan dan apa yang kita tidak lakukan. Jadi, Allah tidak akan tersalah hukum makhluk.

 

إِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ

Sesungguhnya Allah menghisab amal manusia itu sangat cepat sekali.

Ini adalah lawan kepada ‘zalim’. Kalau di dunia, kalau penghakiman dilakukan lambat, ianya adalah satu kezaliman. Kadang-kadang kena tunggu bertahun-tahun barulah keputusan dibuat. Itu adalah kezaliman kepada mereka yang tertindas. Kerana mereka kena tunggu lama.

Tapi Allah tidak biarkan makhlukNya tunggu lama. Perbicaraan dan keputusan akan diberikan dalam masa setengah hari sahaja. Allah boleh buat penghakiman di Mahsyar serentak kepada semua orang pada satu masa. Boleh sahaja Allah buat dan tidak mustahil dengan Allah. Caranya, kita tidak tahu dan tidak perlu tahu. Mungkin akal kita tidak dapat terima bagaimana Allah boleh buat – tapi percayalah yang Allah mampu melakukannya.

Dan setiap orang akan jumpa Tuhan seorang, seorang. Duduk depan Tuhan. Dan akan ditanya, apa kamu buat untuk Aku atas umur kamu? Pada hari itu, orang lelaki akan ditanya lima soalan. Perempuan pula hanya ditanya tiga soalan sahaja. Soalan Munkar Nakir dalam kubur pula tiga soalan.

  1. Seumur hidup kamu, apa kamu buat untuk Allah?
  2. Ilmu ugama yang diberi, apa yang kamu buat untuk Tuhan? Nak jawap macam mana? Jadi, kena sebar balik pengetahuan agama yang kita dapat. Dan apabila sebar agama kepada orang lain, Allah akan balas dengan kebaikan. Kalau kita tidak boleh mengajar, kita ajak mereka ke kelas-kelas pengajian Sunnah. Kadang-kadang, memang kita rasa amat sukar. Amat susah nak cakap tentang perkara bidaah yang orang buat hari-hari. Rasa macam gunung atas kepala apabila kita nak sampaikan. Kerana amat ramai yang melakukan perkara bidaah, dan yang buatnya pula imam, mufti dan orang lain yang amat ramai. Tapi kita terpaksa beritahu juga. Kalau tak beritahu, kita akan dipanggil ‘syaitan bisu’. Maknanya jadi syaitan juga. Masuk neraka juga akhirnya.
  3. Harta kamu, selepas kamu keluarkan zakat dan sebagainya,  apa yang kamu buat untuk ugama Allah? Takkan nak kata apa yang kita beri di masjid pada hari Jumaat sahaja? Cukup sudah apa yang kita dah buat dulu. Mulakan perkara yang baik. Mula infakkan dan sedekahkan harta kita untuk jalan agama.
  4. Masa muda kamu, kamu buat apa untuk agama? Akan ditanya tentang umur masa muda sebab masa muda lain dengan masa tua. Masa tua, semua dah jadi baik, sudah mula pergi masjid; tapi masa muda, bagaimana? Waktu itu dugaan amat berat. Macam-macam perkara tak tentu hala yang kita nak buat. Maka, kalau kita sudah ada atas jalan agama masa kita muda, itu amat berharga.
  5. Masa sihat sebelum kamu sakit. Adakah kita isi masa lapang kita dengan perkara-perkara agama, atau kita hanya buang masa untuk keduniaan sahaja?

Yang paling penting kita kena jaga adalah akidah kita. Itulah perkara penting yang akan menentukan kita masuk syurga atau neraka. Kalau ada masalah dengan akidah, kita akan duduk di neraka, kekal tak keluar. Ini adalah kerana Allah sudah beritahu yang Dia tidak akan ampunkan dosa syirik. Kalau dosa lain, ada kemungkinan Allah boleh ampunkan lagi. Tapi kalau dosa syirik, tidak ada harapan.

 


Surah 40. Ghafir, Ayat 18: Ini adalah ayat Takhwif Ukhrawi

وَأَنذِرهُم يَومَ الآزِفَةِ إِذِ القُلوبُ لَدَى الحَناجِرِ كاظِمينَ ۚ ما لِلظّالِمينَ مِن حَميمٍ وَلا شَفيعٍ يُطاعُ

Sahih International

And warn them, [O Muhammad], of the Approaching Day, when hearts are at the throats, filled [with distress]. For the wrongdoers there will be no devoted friend and no intercessor [who is] obeyed.

Malay

Dan berilah amaran (wahai Muhammad) kepada mereka tentang (hari kiamat) yang dekat (masa datangnya), iaitu ketika hati seseorang merasa resah gelisah, kerana cemas takut, sambil masing-masing menahan perasaannya itu. (Pada saat itu) orang-orang yang zalim tidak akan mendapat seorang sahabatpun yang boleh membelanya, dan tidak akan mendapat pemberi syafaat yang diterima pertolongannya.

 

 

وَأَنذِرْهُمْ يَوْمَ الْآزِفَةِ

Dan berilah ancaman kepada mereka tentang hari yang mendekat

Tidak banyak masa antara kita dan Hari Kiamat itu. Kita sahaja yang rasa macam lama, tapi sebenarnya tidak. Adakah kita bersedia? Ianya amat dekat. Mati sahaja, terus bermula hari akhirat bagi kita, iaitu dalam alam kubur. Dan kita semuanya menunggu mati sahaja.

Ini adalah arahan dari Allah untuk Nabi dan kita sebagai penyambung tugas Nabi untuk memberitahu kepada manusia tentang Hari Kiamat.

 

إِذِ الْقُلُوبُ لَدَى الْحَنَاجِرِ

Ketika jantung naik ke halqum.

Ini adalah peribahasa Arab. Kenapa jantung naik sampai ke halqum? Kerana waktu itu dalam keadaan takut yang amat sangat. Rasa macam jantung nak pecah. Tidak pernah manusia mengalami rasa takut yang sebegini. Waktu itu semua dalam ketakutan, samada mereka akan dimasukkan ke dalam golongan yang selamat atau dimasukkan ke dalam golongan ahli neraka.

 

كَاظِمِينَ

memendam perasaan

Memendam perasaan atau menahan di halqum takut jantung keluar.

Mereka menahan ketakutan, kesedihan dan kesesalan dalam hati mereka. Mereka juga amat marah kepada diri sendiri kerana kesalahan yang mereka telah lakukan.

Mereka akan cuba tahan, tapi akhirnya akan keluar juga perasaan itu pada wajah mereka. Mereka akan rasa sesal yang amat sangat kerana peluang untuk menyelamatkan diri tidak ada lagi. Kerana peluang itu hanya ada semasa hidup di dunia. Tapi kalau lepaskan peluang itu, tidak ada apa lagi yang boleh dilakukan di akhirat kelak.

 

مَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ حَمِيمٍ

Tidak ada bagi orang-orang zalim ini sebarang teman rapat

Zalim yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah zalim dalam akidah – melakukan syirik. Mereka tidak akan ada yang akan menolong mereka. Kalau dalam dunia, kita ada kawan rapat yang akan membantu kita kalau kita ada masalah. Tapi di akhirat kelak, tidak ada sesiapa yang akan membantu.

Mungkin ada yang menaruh harapan kepada sembahan-sembahan mereka yang mereka sembah semasa di dunia dulu – Nabi, wali dan malaikat yang mereka puja, jadikan mereka sebagai wasilah, yang mereka seru dan sebagainya dulu. Puak-puak sesat rasa mungkin sembahan-sembahan mereka itu boleh menyelamatkan mereka, sebab semasa di dunia, mereka itu selalu puja dan seru sembahan itu. Tapi Allah jawap dalam ayat ini bahawa tidak ada harapan langsung.

 

وَلَا شَفِيعٍ يُطَاعُ

Dan tidak ada yang beri syafaat yang ditaati.

Tidak ada sesiapa yang akan boleh beri syafaat kepada mereka.

Dan kalau ada juga yang nak tolong beri syafaat kepada mereka, ianya tidak akan diterima – tidak akan ditaati syafaat mereka itu. Syafaat mereka itu tidak laku di sisi Allah.

Syafaat akan diterima kalau penerima syafaat itu layak untuk menerima syafaat. Oleh itu, orang yang buat syirik tidak layak menerima syafaat. Maka, kalau ada yang nak beri pun, mereka tidak akan dapat menerima syafaat itu.

Maka, janganlah kita berharap dan meminta-minta syafaat dalam dunia ini kalau dalam masa yang sama kita ada buat kezaliman kepada Allah. Itulah kezaliman syirik yang banyak dilakukan oleh manusia kerana mereka tidak sedar bahawa apa yang mereka lakukan selama hari ini adalah perkara syirik.

Kalau mereka tidak melakukan syirik, maka ada harapan untuk dapat syafaat lagi. Kerana ada orang yang tidak melakukan syirik, tapi kerana mereka banyak dosa, maka mereka dimasukkan ke dalam neraka. Tapi Allah boleh benarkan Nabi dan orang-orang lain memberi syafaat kepada mereka. Tapi ianya hanya terbuka kepada mereka yang tidak mengamalkan syirik, tidak berdoa kepada selain dari Allah. Tapi, kalau di dunia dahulu, mereka bertawasul kepada para Nabi, wali dan malaikat, tidak ada harapan lagi. Kerana mereka mengamalkan syirik dalam berdoa.

 


Surah 40. Ghafir, Ayat 19: Allah hendak memberitahu yang Dia Mengetahui segala yang dilakukan oleh makhlukNya. Makhluk kadang-kadang lupa apa yang telah dilakukan kerana memang manusia bersifat pelupa. Kelmarin buat, hari ini sudah lupa. Tapi Allah tahu. Masalahnya, apabila manusia lupa dengan dosa yang telah dilakukan, maka mereka rasa bebas dan tidak rasa bersalah. 

يَعلَمُ خائِنَةَ الأَعيُنِ وَما تُخفِي الصُّدورُ

Sahih International

He knows that which deceives the eyes and what the breasts conceal.

Malay

Allah mengetahui pengkhianatan pandangan mata seseorang, serta mengetahui akan apa yang tersembunyi di dalam hati. 

 

 

يَعْلَمُ خَائِنَةَ الْأَعْيُنِ

Allah mengetahui khianat mata.

Allah tahu apakah kesalahan yang dilakukan oleh mata manusia. Ada orang yang tengok maksiat dengan hujung-hujung mata. Kepala tak gerak, tapi mata curi pandang. Sebagai contoh, mata orang lelaki yang nakal melihat kepada perempuan yang bukan mahramnya. Kalau kali pertama kita terlihat, itu dimaafkan. Tapi kalau kita melihat semula, itulah yang salah. Inilah satu masalah dengan mata, ianya senang sangat nak buat salah dengan mata ini. Inilah dugaan kepada kita.

Allah hendak memberitahu kita, perkara sekecil pandangan mata yang mencuri-curi tengok pun akan dibentangkan dan akan diadili. Kalau yang kecil pun kena bentang, apatah lagi kalau perkara yang besar-besar? Ma sha Allah.

Ada orang yang melakukan kesalahan dengan kerlingan mata sahaja. Contohnya, dia sedang bercakap dengan seseorang dan dalam masa yang sama, dia akan kerling kepada orang yang di belakang untuk melakukan khianat kepada lelaki yang di hadapannya. Orang itu mungkin tidak tahu, tapi Allah tahu.

Termasuk juga dalam perkara ini adalah melihat perkara yang kita tidak patut lihat, seperti kita lihat surat-surat rahsia orang lain, hak-hak orang lain, fail-fail orang lain. Kita ingat tidak ada sesiapa yang tahu, tapi Allah tahu. Allah Maha Tahu apa yang dilihat oleh mata kita. Oleh itu, berhati-hatilah dengan pandangan mata kita.

 

وَمَا تُخْفِي الصُّدُورُ

Dan apa yang tersembunyi dalam dada.

Pandangan mata adalah kesalahan zahir yang dilakukan oleh manusia. Bagaimana pula kalau perkara dalam hati? Allah beritahu dalam ayat ini yang Dia juga Maha Tahu apa yang dalam hati kita. Allah akan balas dengan apa yang disimpan dalam hati kita. Kadang-kadang mulut kita kata lain, tapi hati kata lain.

Tapi, yang diambil kira adalah perkara yang ada niat. Kalau lintasan hati sahaja, tidaklah dipertanggungjawabkan. Kerana lintasan hati sentiasa sahaja ada, tapi tidak sampai ke tahap ‘niat’ lagi. Niat adalah apabila sudah ada kehendak untuk melakukan sesuatu.

 


Surah 40. Ghafir, Ayat 20: Ini adalah ayat Tanwirul Dakwa – Tambahan kepada Dakwa Surah

وَاللَّهُ يَقضي بِالحَقِّ ۖ وَالَّذينَ يَدعونَ مِن دونِهِ لا يَقضونَ بِشَيءٍ ۗ إِنَّ اللَّهَ هُوَ السَّميعُ البَصيرُ

Sahih International

And Allah judges with truth, while those they invoke besides Him judge not with anything. Indeed, Allah – He is the Hearing, the Seeing.

Malay

Dan Allah memutuskan hukum dengan adil, sedang yang mereka sembah yang lain dari Allah – tidak dapat memberikan sebarang keputusan. Sesungguhnya Allah Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat. 

 

 

وَاللَّهُ يَقْضِي بِالْحَقِّ

Dan Allah beri keputusan dengan benar.

Allah boleh buat keputusan dengan adil, kerana Allah tahu segala-galanya. Dalam ayat sebelum ini, kita telah diberitahu yang Allah tahu apa yang kita lihat dan apa yang kita simpan dalam hati kita. Kalau Allah sudah tahu segalanya, maka keputusan yang Allah buat tentulah tepat. Kalau dalam dunia, seorang hakim tidak tahu segala-galanya – dia tidak tahu apakah sebenarnya yang kita lakukan, apa yang kita lihat dan apa yang kita simpan dalam hati kita. Oleh itu, keputusan yang seorang hakim itu buat belum tentu tepat. Dia hanya boleh membuat keputusan berdasarkan luaran sahaja. Tapi, Allah tidak begitu. Keputusan yang Allah buat adalah adil, kerana Allah tahu segala-galanya.

Ayat ini juga bermaksud, Allah menentukan (taqdir) segala kejadian di dunia. Allah yang menentukan siapa yang akan dapat apa semasa mereka di dunia. Semua yang terjadi dalam alam ini adalah atas keputusan Allah yang dilakukan atas kebijaksanaanNya.

 

وَالَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِهِ

dan yang diseru selain dariNya,

Bermaksud segala seruan-seruan merangkumi Nabi, wali, malaikat dan jin yang diseru oleh manusia.

 

لَا يَقْضُونَ بِشَيْءٍ

mereka tidak boleh membuat keputusan apa-apa pun

Sembahan-sembahan yang diseru selain Allah itu tidak dapat membuat keputusan apa-apa kerana mereka tidak ada pengetahuan sepertimana yang Allah ada. Allah telah beritahu yang Dia Maha Mengetahui segala-galanya, termasuk pandangan mata kita dan apa yang ada dalam dada kita – oleh itu, Allah sahaja yang boleh memberi keputusan yang adil.

Seperti yang telah disebut, hanya Allah sahaja yang taqdirkan segala kejadian dalam alam ini. Selain dari Allah tidak boleh. Oleh itu, kenapa nak seru selain Allah?

 

إِنَّ اللَّهَ هُوَ السَّمِيعُ

SesungguhNya Allah Maha Mendengar.

Ini adalah Jumlah Ta’liliyah. Oleh kerana Allah Maha Mendengar segala-galanya, maka sepatutnya hanya kepada Dia sahaja tempat kita berdoa kerana selain Allah tidak mendengar.

Allah juga Maha Mendengar rintihan orang yang sebar agama. Dan kata-kata orang yang mengutuk mereka yang sebar agama. Semua itu akan dibalas oleh Allah nanti di akhirat.

 

الْبَصِيرُ

Dia Maha Melihat. 

Begitu juga, oleh kerana Allah sahaja yang Maha Melihat segalanya, Dialah sahaja tempat berdoa kerana selain Allah, tidak mempunyai kuasa ini.

Allah Maha Melihat usaha orang yang sebar agama, orang yang taat kepada agama dan juga orang-orang yang engkar.

Oleh itu, hanya Allah sahaja yang boleh membuat keputusan yang adil. Dan hanya Allah sahaja yang layak diseru.

Ghafir 10-20

 


 

Surah 40. Ghafir, Ayat 21: Ini adalah ayat Takhwif Duniawi. Selepas Allah memberitahu dalam ayat-ayat sebelum ini kejadian dan balasan yang boleh dikenakan di akhirat, Allah sekarang hendak memberi kita semua, terutama Musyrikin Mekah itu, bahawa azab itu bukan sahaja boleh dikenakan di akhirat sahaja, tapi boleh dikenakan semasa di dunia lagi pun. 

Allah ceritakan juga tentang azab yang di dunia, kerana manusia kadang-kadang terkesan kalau apa-apa terjadi kepada mereka semasa di dunia, kerana mereka amat mementingkan dunia. Bila mereka dengar tentang azab di akhirat, mereka mungkin rasa jauh sahaja dari mereka lagi. Allah amat kenal hambaNya, maka Dia tahu bagaimana nak mengingatkan manusia.

۞ أَوَلَم يَسيروا فِي الأَرضِ فَيَنظُروا كَيفَ كانَ عاقِبَةُ الَّذينَ كانوا مِن قَبلِهِم ۚ كانوا هُم أَشَدَّ مِنهُم قُوَّةً وَآثارًا فِي الأَرضِ فَأَخَذَهُمُ اللَّهُ بِذُنوبِهِم وَما كانَ لَهُم مِنَ اللَّهِ مِن واقٍ

Sahih International

Have they not traveled through the land and observed how was the end of those who were before them? They were greater than them in strength and in impression on the land, but Allah seized them for their sins. And they had not from Allah any protector.

Malay

Tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi, dengan itu tidakkah mereka memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu dari mereka? Orang-orang itu adalah orang-orang yang lebih dari mereka tentang kekuatan tenaga dan tentang kesan-kesan usaha pembangunan di muka bumi. Maka sekalipun demikian, Allah binasakan mereka dengan sebab dosa-dosa mereka, dan tiadalah bagi mereka sesiapapun yang dapat menyelamatkan mereka dari azab Allah. 

 

 

أَوَلَمْ يَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ

Tidakkah mereka pergi bermusafir di muka bumi

Dengan mengembara di atas dunia ini, kita boleh belajar banyak benda, bukan?

Ayat ini bukanlah suruhan kepada kita untuk mengembara di dunia melihat tempat-tempat kemusnahan kaum-kaum yang degil. Kerana ada larangan dari Nabi untuk berbuat demikian. Kerana tidak perlu kita pergi ke tempat-tempat itu. Cuma kalau mereka yang menentang, barulah disuruh mereka pergi ke tempat-tempat itu.

 

فَيَنظُرُوا

dan perhatikan.

Perhatikanlah apa yang ada dalam dunia ini. Sebagai contoh, perhatikan tempat tinggalan Firaun, tempat kaum Aad, kaum Madyan dan sebagainya. Atau tentang mereka yang membunuh Nabi Yahya dalam surah Yaasin, iaitu di Antioch.

 

كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الَّذِينَ كَانُوا مِن قَبْلِهِمْ

bagaimanakah kesudahan orang-orang yang dahulu sebelum mereka?

Kita boleh tengok contoh mereka yang buat syirik dulu. Boleh nampak kesan-kesan peninggalan mereka. Kita boleh lihat bagaimana mereka yang telah melakukan kesalahan terhadap Allah, Allah telah binasakan mereka.

Memang mereka hebat semasa kehidupan di dunia dahulu, tapi kita bukan nak tengok kehidupan mereka semasa di dunia, tapi apakah kesudahan mereka. Kita nak tengok bagaimana mereka semasa mereka hendak mati. Mereka telah dimusnahkan dan oleh kerana itu, cara mereka hidup tidak boleh diikuti. Kerana itu kita disuruh ikut orang yang telah mati yang telah selamat, seperti para sahabat. Kerana mereka mati dalam iman. Kalau kita ikut cara orang yang masih hidup, mereka belum tentu lagi akan selamat kerana fitnah masih ada atas mereka dan kita tidak tahu adakah cara mereka selamat atau tidak.

Bolehlah kalau kita nak ikut mereka yang masih hidup, tapi kena pastikan yang mereka itu ikut cara-cara mereka yang telah mati.

 

كَانُوا هُمْ أَشَدَّ مِنْهُمْ قُوَّةً

Mereka dulu lebih kuat dari mereka

Tubuh badan mereka itu lebih kuat dari orang-orang Mekah. Kaum Aad boleh cabut pokok kurma dengan sebelah tangan sahaja. Kaum-kaum yang lain pun kuat-kuat juga, hebat-hebat juga. Sebab itulah mereka boleh bina Piramid, buat rumah dari batu-batu gunung.

Allah nak beritahu Musyrikin Mekah supaya jangan berlagak dengan apa kehebatan yang mereka ada – orang-orang dahulu yang dimusnahkan itu lebih kuat dari mereka pun, tapi dimusnahkan juga akhirnya. Kalau nak dibandingkan orang-orang dahulu dengan Musyrikin Mekah yang sedang tolak Nabi waktu itu, mereka tidak ada apa-apa. Tapi dalam tidak ada apa-apa itu, mereka masih lagi nak degil dari terima ajaran wahyu.

 

وَآثَارًا فِي الْأَرْضِ

Dan mereka meninggalkan lebih banyak kesan sejarah di muka bumi.

Contohnya kesan Firaun yang kita boleh lihat sampai hari ini. Orang Mekah itu tidak ada apa-apa. Bahan makanan pun mereka bergantung kepada Syam dan Yaman sahaja.

 

فَأَخَذَهُمُ اللَّهُ بِذُنُوبِهِمْ

mereka diazab oleh Allah kerana dosa-dosa syirik mereka.

Bukan kerana mereka kuat/gagah/banyak pembangunan yang menyebabkan mereka diazab, tapi kerana dosa syirik mereka dahulu. Allah tak pandang apakah kejayaan keduniaan seseorang. Yang dipandang adalah apa yang mereka lakukan dalam agama. Oleh kerana mereka sesat, Allah hancurkan mereka sehancur-hancurnya – langsung tidak tinggal zuriat langsung.

Inilah ancaman dari Allah – Allah boleh sahaja untuk menurunkan azab kepada manusia yang engkar kepadaNya. Jangan kita ingat kita selamat. Kita pun Allah boleh kenakan azab sebegitu kalau Allah hendak.

 

وَمَا كَانَ لَهُم مِّنَ اللَّهِ مِن وَاقٍ

Dan tidak ada bagi mereka selain Allah sebarang penyelamat.

Mereka sangka ada yang akan menyelamatkan mereka, tetapi itu adalah harapan yang sia-sia sahaja.

 


Surah 40. Ghafir, Ayat 22: Dalam ayat sebelum ini telah disebut tentang mereka yang telah dikenakan dengan azab kerana mereka berbuat dosa. Dosa apakah yang mereka lakukan? Ianya dijelaskan dalam ayat ini. Dosa mereka adalah dosa tolak wahyu. Itulah dosa paling berat sekali.

 

ذٰلِكَ بِأَنَّهُم كانَت تَأتيهِم رُسُلُهُم بِالبَيِّناتِ فَكَفَروا فَأَخَذَهُمُ اللَّهُ ۚ إِنَّهُ قَوِيٌّ شَديدُ العِقابِ

Sahih International

That was because their messengers were coming to them with clear proofs, but they disbelieved, so Allah seized them. Indeed, He is Powerful and severe in punishment.

Malay

(Kebinasaan mereka) yang demikian ialah kerana mereka sentiasa didatangi Rasul-rasul yang diutuskan kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan (hukum-hukum dan mukjizat) yang jelas nyata, maka mereka kufur ingkar, lalu Allah menyeksa mereka, sesungguhnya Allah adalah Maha Kuat lagi Maha berat azab seksaNya. 

 

 

ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ كَانَت تَّأْتِيهِمْ رُسُلُهُم

Demikianlah mereka dulu telah datang kepada mereka rasul-rasul mereka

Allah ingatkan kepada Musyrikin Mekah dan mereka yang seperti mereka, kaum-kaum itu dihancurkan kerana mereka buat perangai mereka yang salah, yang sama seperti yang sedang dilakukan oleh Musyrikin Mekah dan musyrik mana-mana dalam dunia.

Mereka yang telah diazab di dunia seperti Tsamud, Aad, Firaun dan kaumnya itu, mereka juga telah didatangi oleh para Rasul.

Kalau orang-orang dahulu telah didatangi oleh Rasul mereka, bagaimana dengan kita?; kita tidak ada rasul dan Nabi lagi, tapi akan ada penyebar tauhid yang akan menceritakan hal tauhid kepada kita.

 

بِالْبَيِّنَاتِ

dengan bawa bukti-bukti jelas

Rasul-rasul itu telah datang membawa bukti-bukti yang jelas dari Allah. Mereka bawa wahyu, bawa hujah, bawa mukjizat. Segala itu dibawa untuk membuktikan kepada kaum mereka bahawa apa yang mereka bawa adalah kebenaran dari Allah.

 

فَكَفَرُوا

tapi mereka engkar.

Mereka engkar untuk terima dakwah dan ajakan tauhid itu. Kerana engkar, mereka jadi kafir

Ini bermakna, bila Quran dibacakan kepada orang dan orang itu tak nak terima, mereka akan menjadi kafir terus. Tak perlu pijak Quran lagi dah. Iaitu apabila mereka faham maksud ayat Quran, tapi masih tak mahu terima. Mereka menutup kebenaran dengan enggan terima.

 

فَأَخَذَهُمُ اللَّهُ

Maka Allah azab mereka

Allah beri azab kerana mereka engkar, bukan kerana Allah suka nak beri azab.

 

إِنَّهُ قَوِيٌّ

Sesungguhnya Allah itu Dzat yang Maha Gagah Perkasa

Oleh kerana Allah Maha Gagah Perkasa, Allah boleh sahaja menurunkan apa sahaja azab yang dikehendakiNya kepada makhluk.

 

شَدِيدُ الْعِقَابِ

Amat keras balasanNya.

Apabila Allah mengenakan azabNya kepada makhluk, azab itu amat keras. Memang tidak akan tertanggung.

 


Surah 40. Ghafir, Ayat 23: Sebelum ini telah disebut ayat-ayat Takhwif Ukhrawi. Sekarang Allah membawakan kisah Nabi Musa a.s. sebagai contoh takhwif duniawi. Sebelum ini telah disebut bagaimana kaum-kaum dahulu telah didatangi dengan para Rasul mereka, tapi mereka menolak dakwah para Rasul itu. Sekarang disebut Kisah Nabi Musa sebagai bandingan supaya manusia boleh melihat bagaimana Nabi Musa telah mendatangi Firaun dan telah ditolak oleh Firaun. Allah menggunakan pendekatan bercerita kepada manusia. Kerana Allah tahu sifat manusia yang suka kepada cerita. Manusia boleh duduk lama kalau dengar cerita, sampaikan kalau cerita hantu pun mereka suka dengar dan percaya. Maka, Allah nak beritahu kisah yang benar kepada mereka. 

وَلَقَد أَرسَلنا موسىٰ بِآياتِنا وَسُلطانٍ مُبينٍ

Sahih International

And We did certainly send Moses with Our signs and a clear authority

Malay

Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutuskan Nabi Musa membawa ayat-ayat Kami dan bukti (mukjizat) yang jelas nyata 

 

 

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا مُوسَى

Sesungguhnya Kami telah utus Musa

Nabi Musa adalah salah satu Nabi yang Ulul Azmi. Banyak kisah baginda dalam Quran. Baginda telah diutus kepada Firaun dan bangsa Qibtinya, dan juga Bani Israil.

 

بِآيَاتِنَا

dengan bawa tanda-tanda,

Iaitu wahyu Allah. Ini wahyu sebelum Kitab Taurat kerana Nabi Musa hanya terima kitab Taurat selepas dia seberang laut. Wahyu Allah dalam ayat ini adalah wahyu-wahyu yang dia terima dari mertua dia iaitu Nabi Shuaib dan yang dia terima di bukit Tursina. Atau pun mungkin boleh bermaksud wahyu-wahyu lain yang diterimanya sebelum mendapat Kitab Taurat.

Tanda-tanda selain daripada wahyu, ia juga bermaksud mukijzat yang ditunjukkan oleh Nabi Musa. Antaranya tongkatnya yang menjadi ular, tangannya yang bercahaya, tongkatnya yang membelah laut, tongkatnya yang mengeluarkan air dan berbagai-bagai lagi mukjizat yang ditunjukkan oleh baginda kepada kaumnya.

Mukjizat adalah suatu kejadian yang luar biasa sebagai tanda kenabian. Ianya diberikan kepada para Nabi, kerana apabila hendak menyuruh manusia ikut mereka, mereka kena tunjuk bukti. Zaman Nabi Musa, masyarakat waktu itu kagum kepada sihir, jadi baginda diberikan dengan mukjizat yang nampak macam sihir, tapi bukan sihir.

 

وَسُلْطَانٍ مُّبِينٍ

dan bukti-bukti yang jelas nyata

Yang dimaksudkan adalah mukjizat yang diberikan kepada Nabi Musa. Mukjizat pertama yang ditunjukkan adalah tongkat yang boleh menjadi ular dan tangan baginda yang bercahaya.

Nabi Musa juga telah diberikan dengan kebolehan untuk berhujah dengan baik. Bayangkan, baginda telah diberikan kekuatan untuk pergi berdakwah dan berhujah dengan Firaun di istana Firaun! Itu adalah sesuatu yang berat. Berhujah dengan Firaun bukanlah senang kerana Firaun amat bijak dan pandai berdalih. Tapi Nabi Musa dapat memberikan hujah baginda dengan jelas dan kemas. Soal jawab hujah antara Firaun dan Nabi Musa itu banyak terdapat dalam surah-surah yang lain.

 


Surah 40. Ghafir, Ayat 24:

إِلىٰ فِرعَونَ وَهامانَ وَقارونَ فَقالوا ساحِرٌ كَذّابٌ

Sahih International

To Pharaoh, Haman and Qarun; but they said, “[He is] a magician and a liar.”

Malay

Kepada Firaun dan Haman serta Qarun; maka mereka (menuduhnya dengan) berkata: “Ia seorang ahli sihir, lagi pendusta!” 

 

 

إِلَىٰ فِرْعَوْنَ وَهَامَانَ وَقَارُونَ

Kepada Firaun dan Haman dan Qarun.

Firaun adalah Raja Mesir waktu itu. Beliau memerintah bangsa Qibti dan juga Bani Israil. Dia memerintah dengan cara menyeluruh. Maknanya, dia bukan sahaja memerintah dari segi politik tapi dari segi agama juga, kerana beliau mengaku sebagai tuhan – maka semua kena ikut dia.

Haman pula adalah penasihat Firaun.

Qarun pula dikatakan sebagai penjaga khazanah kerajaan. Qarun sebenarnya bukan orang Qibti tetapi dari Bani Israil. Tapi kerana dia tidak mahu bayar zakat, dia sanggup duduk bersama dengan Firaun kerana Firaun kata tidak perlu bayar zakat. Dia sebenarnya adalah sepupu Nabi Musa, maka dia sebenarnya adalah dari Bani Israil. Dalam ayat Qasas:76 ada disebut bagaimana beliau adalah dari bani Israil.

۞ إِنَّ قارونَ كانَ مِن قَومِ موسىٰ فَبَغىٰ عَلَيهِم ۖ وَآتَيناهُ مِنَ الكُنوزِ ما إِنَّ مَفاتِحَهُ لَتَنوءُ بِالعُصبَةِ أُولِي القُوَّةِ إِذ قالَ لَهُ قَومُهُ لا تَفرَح ۖ إِنَّ اللَّهَ لا يُحِبُّ الفَرِحينَ
Sesungguhnya Qarun adalah ia dari kaum Nabi Musa, kemudian ia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka; dan Kami telah mengurniakannya dari berbagai jenis kekayaan yang anak-anak kuncinya menjadi beban yang sungguh berat untuk dipikul oleh sebilangan orang yang kuat sasa. (Ia berlaku sombong) ketika kaumnya berkata kepadanya: “Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah. (seperti lagakmu itu).

Dan kerana dia amat kaya, dia dapat kedudukan dalam kerajaan Firaun. Dia dilantik oleh Firaun untuk menjadi wakil Bani Israil. Dan sifat dia seperti Firaun juga. Maka sebab itu Tuhan simpulkan tiga-tiga sekali dalam ayat ini. Mereka itu adalah kepala-kepala penjahat. Tentunya di bawah mereka ada ramai lagi kuncu-kuncu mereka.

Qibti itu adalah nama satu bangsa. Keturunan mereka ramai yang beragama Kristian dan dipanggil Coptic Christian. Firaun dan Haman telah mati menyeberangi laut Merah semasa mengejar Nabi Musa. Qarun tu mati selepas seberang, sebab dia dapat seberang bersama Nabi Musa. Kerana semua bangsa Yahudi diperintah pergi seberang. Tapi kemudian dia telah mati tenggelam dalam bumi. Dia telah bawa harta yang banyak semasa menyeberangi laut Merah itu. Bayangkan tiga perempuan diperlukan untuk pegang baju dia semasa dia berjalan. Tapi bila Nabi Musa minta zakat dia tak mahu beri. Sebab itu dia dimatikan dengan cara ditenggelamkan di bawah Bukit Tursina.

Dalam ayat ini, dikatakan bahawa Nabi Musa dihantar kepada mereka bertiga. Tentulah bukan kepada mereka bertiga sahaja, kerana baginda juga adalah Rasul kepada Bani Israil dan juga kepada bangsa Qibti. Tapi mereka bertiga disebut secara khusus kerana mereka adalah pemuka masyarakat Mesir waktu itu. Kalau mesej diberikan kepada ketua kerajaan, itu bermaksud mesej dakwah itu juga kepada orang bawahan mereka juga.

Nabi Musa jumpa mereka dan dakwah kepada mereka tentang tiga perkara penting – tauhid, risalah dan akhirat. Inilah ringkasan agama. Kalau kita nak dakwah kepada manusia pun, kena sebut tentang tiga perkara ini. Mula ajar mereka tentang Allah sikit, kemudian tentang Sunnah Nabi sikit dan kemudian ingatkan tentang syurga neraka.

 

فَقَالُوا سَاحِرٌ كَذَّابٌ

Mereka berkata: Musa ini tukang sihir, amat pendusta.

Jawapan mereka bertiga sama sahaja. Mereka bukan kata dia pendusta sikit-sikit. Mereka kata dia ‘amat pendusta’. Mereka mengatakan apa yang ditunjukkan oleh Nabi Musa itu adalah sihir sahaja; dan ajakan dakwah Nabi Musa itu hanyalah tipuan sahaja. Itulah dakwaan mereka.

Sebelum ini telah disebut bahawa Nabi Musa menyampaikan mukjizat dan hujah, bukan? Jadi mereka menolak dengan memberi bantahan kepada dua perkara itu:

1. Untuk tolak Mukjizat – mereka katakan itu adalah sihir belaka. Apabila Nabi Musa dan Nabi Harun datang berdakwah kepada mereka, Firaun minta Nabi Musa tunjukkan dalil. Maka Nabi Musa telah tunjukkan dalil tongkat menjadi ular dan tangan baginda yang bercahaya. Tapi Firaun kata apa yang Nabi Musa tunjuk itu adalah sihir belaka. Mereka kata begitu supaya rakyat yang tengok mukjizat yang Nabi Musa tunjukkan itu, tidaklah mereka percaya. Rakyat memang terpegun dengan mukjizat yang ditunjukkan, tapi apabila dituduh ianya sihir, maka rakyat tidaklah rasa takjub lagi.

2. Untuk tolak Hujah – mereka katakan hujah-hujah Nabi Musa a.s. itu adalah tipuan sahaja. Mereka tuduh Nabi Musa dan Nabi Harun sebagai penipu supaya rakyat tidak percaya kepada kata-kata mereka berdua.

Rakyat yang mula hendak percaya kepada dua Rasul itu pun telah tertutup untuk menerima dakwah dengan label dan tuduhan yang diberikan. Tambahan pula yang kata itu adalah Firaun, Haman dan Qarun. Iaitu orang-orang yang berkuasa dan kaya dalam masyarakat dan kerana itu mereka dipercayai. Inilah kelemahan manusia – apabila yang berkata-kata itu adalah mereka yang berkuasa, mereka mudah percaya. Padahal, tidaklah mereka yang berkedudukan itu semestinya benar. Segala kata-kata manusia perlu diteliti dahulu barulah diterima. Tidaklah terus terima sahaja.

Begitulah yang terjadi dalam masyarakat Islam kita sekarang. Kalau yang berkata tentang agama itu orang-orang besar, orang-orang yang masuk suratkhabar dan media massa seperti TV, senang masyarakat nak terima apa yang mereka katakan. Walaupun mereka tidak memberikan dalil pun dalam hujah mereka. Tapi kebanyakan manusia memang akan terkesan dengan mereka yang ada kuasa dan terkenal.

 


Surah 40. Ghafir, Ayat 25: Nabi Musa tidak berhenti dakwah walaupun ditolak. Maknanya kita pun kalau menjalankan dakwah, tidak boleh berhenti. Nabi Musa tidak terikat dan terkesan dengan kata-kata manusia. Ini dinamakan sifat istiqlal. Jangan kita kena tuduh sebagai wahabi, sudah takut hendak berdakwah.

Kenapa Allah suruh Nabi Musa berdakwah kepada Firaun sedangkan Dia tahu yang Firaun tidak akan beriman? Kerana walaupun Firaun tidak akan beriman, dakwah yang dilakukan oleh Nabi Musa itu akan memberi kesan kepada baginda. Macam mengasah pisau – batu tidak jadi apa-apa, tapi pisau itu akan jadi semakin tajam.

Apabila Nabi Musa datang lagi untuk berdakwah, Firaun telah buat satu rancangan untuk memporak perandakan Bani Israil yang mula ikut Nabi Musa dengan mengeluarkan arahan bunuh kepada Bani Israil yang beriman dengan Nabi Musa. Itulah cara Firaun.

Ini adalah arahan bunuh kali kedua. Kali pertama dulu adalah semasa Nabi Musa dilahirkan.

 

فَلَمّا جاءَهُم بِالحَقِّ مِن عِندِنا قالُوا اقتُلوا أَبناءَ الَّذينَ آمَنوا مَعَهُ وَاستَحيوا نِساءَهُم ۚ وَما كَيدُ الكافِرينَ إِلّا في ضَلالٍ

Sahih International

And when he brought them the truth from Us, they said, “Kill the sons of those who have believed with him and keep their women alive.” But the plan of the disbelievers is not except in error.

Malay

Setelah Nabi Musa datang kepada mereka dengan membawa kebenaran dari sisi Kami, mereka berkata (dengan marahnya): “Bunuhlah anak-anak lelaki orang-orang yang beriman yang mengikutnya, dan biarkan hidup anak-anak perempuan mereka”. (Tetapi usaha) dan tipu daya orang-orang kafir itu hanya menyebabkan mereka tenggelam dalam kesesatan dan kebinasaan sahaja. 

 

 

فَلَمَّا جَاءَهُم بِالْحَقِّ

Dan apabila sudah datang kepada mereka kebenaran,

Apabila Nabi Musa datang kembali kepada Firaun. Maknanya, mereka tidak terkesan dengan penolakan Firaun dan pengikutnya sebelum itu. Nabi Musa tetap datang berdakwah lagi.

Nabi Musa dan Nabi Harun datang bukannya dengan tangan kosong. Tapi mereka datang dengan bawa wahyu dan bawa mukjizat.

 

مِنْ عِندِنَا

daripada Kami.

Dalil-dalil itu semua adalah dari Allah sendiri.

Nabi Musa telah bawa dalil yang jelas nyata dari Allah. Setelah berdakwah dan memberitahu kebenaran, Nabi Musa telah meminta Firaun untuk membebaskan Bani Israil. Firaun tidak mahu menurut. Ini adalah cerita sebelum mereka semua ditenggelamkan dalam laut. Sebelum itu ada cerita panjang lagi. Firaun pernah merancang untuk membunuh Nabi Musa. Nabi Musa telah angkat doa bila dia nak bunuh. Dan baginda telah diselamatkan.

Dari kerana keengganan mereka untuk menerima kebenaran, Allah telah beri mereka azab dalam bentuk belalang. Berjuta belalang telah menjelma. Tananam semuanya habis dimakan oleh belalang-belalang itu. Kerana tidak ada cara lain lagi, maka Firaun telah menghantar utusan untuk Nabi Musa doa kepada Allah. Firaun telah berjanji untuk beriman kalau bala itu diangkat. Bila bala itu diangkat, dia masih nak bunuh Nabi Musa juga lagi. Maka Allah turunkan bala dengan katak pula. Berjuta katak puru berada di mana-mana. Sekali lagi dia minta Musa doakan kepada Allah. Sekali lagi dia berjanji untuk beriman jikalau bala itu diangkat.

Sembilan bala besar semuanya sekali. Ada hama yang menyebabkan gatal, sampai tak boleh tidur; Ribut petir; Air semuanya jadi darah, sampai air untuk diminum pun jadi darah; Ini adalah cerita yang akhir sebelum menyeberangi laut. Sebelum itu, cerita Nabi Musa bertanding dengan ahli-ahli sihir. Akan disebutkan apabila kita sampai kepada ayat itu nanti.

 

قَالُوا اقْتُلُوا أَبْنَاءَ الَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ

Mereka berkata: bunuhlah anak-anak lelaki yang beriman bersamanya.

Mereka telah memberi arahan untuk membunuh anak lelaki Bani Israil yang telah beriman dengan Nabi Musa. Supaya tidak ada lagi keturunan Bani Israil lagi. Kerana marah sangat dia atas perbuatan Nabi Musa itu.

Ini menunjukkan bahawa Firaun dan mereka yang bersekongkol dengannya telah menggunakan keganasan untuk mengawal rakyat mereka. Mereka menggunakan kekerasan dan pembunuhan untuk mematikan kebenaran. Mereka telah menjadikan perbuatan beriman dengan Nabi Musa sebagai satu jenayah yang boleh menyebabkan mereka dibunuh. Mereka sanggup lakukan ini untuk menghalang rakyat dari menerima dakwah Islam. Ini tentunya telah menyebabkan ramai yang takut masuk Islam.

Ini adalah kenyataan kedua yang Firaun buat untuk bunuh anak lelaki. Pertama, semasa Nabi Musa dilahirkan. Yang kali ini arahan Firaun ini tidak sempat dijalankan. Tak sempat bunuh.

Kenapa Firaun nak bunuh buat begitu? Kerana dia hendak halang Nabi Musa dari datang berdakwah sahaja. Dan supaya pengikut baginda tinggalkan baginda. Tapi kenapa tidak disuruh bunuh sahaja Nabi Musa? Bukankah lagi senang begitu? Kerana sebenarnya, dia takut juga kepada Nabi Musa. Dia sedar yang kalau dia ganggu Nabi Musa, akan ada masalah kepada dirinya. Dia bukan tidak tahu yang Nabi Musa itu adalah Nabi kerana dia seorang yang cerdik. Tapi dia tidak boleh terima sahaja.

 

وَاسْتَحْيُوا نِسَاءَهُمْ

dan biarkan perempuan-perempuan mereka hidup

Dan anak anak perempuan pula dibiarkan hidup. Tapi bukan biarkan sahaja, tapi mereka akan dijadikan sebagai kuli, hamba, malah sebagai hamba seks sekali. Jadi ianya lebih menyakitkan hati lagi dari kena bunuh. Kerana apabila anak lelaki dibunuh, terus tanam dan lama-lama mungkin boleh lupa. Tapi apabila melihat anak-anak perempuan mereka dijadikan hamba dan terseksa sepanjang hari, itu lebih menyakitkan.

Mereka dibiarkan hidup supaya boleh jadi gundik-gundik orang lelaki mereka. Supaya keturunan Bani Israil itu hilang, kerana tiada lelaki dah dari kalangan mereka. Ini adalah seksaan secara mental dengan memalukan dan merendahkan kedudukan bangsa Israil itu. Supaya anak yang keluar bukan lagi bangsa Israil sepenuhnya.

 

وَمَا كَيْدُ الْكَافِرِينَ إِلَّا فِي ضَلَالٍ

Dan tidaklah rancangan orang kafir itu melainkan sia-sia sahaja.

Allah jawap dalam ayat ini kerana tentu ada timbul persoalan: Adakah segala rancangan dan usaha Firaun itu berjaya? Ada idkhal ilahi (pencelahan Tuhan) di sini. Idkhal ilahi adalah jawapan dari Allah kepada persoalan yang mungkin timbul dalam fikiran manusia. Allah jawap terus supaya tidak ada anggapan yang salah. Mungkin ada yang tertanya adakah berjaya rancangan Firaun itu? Allah terus memberitahu dalam ayat ini bahawa rancangan Firaun itu tidak berjaya. Tujuan mereka melakukan arahan itu adalah supaya Nabi Musa menghentikan dakwah baginda. Tapi tujuan mereka itu tidak berjaya. Apa yang mereka rancangkan itu telah gagal. Masih ada juga yang beriman dan masuk Islam.

Dalam bentuk pemahaman yang umum, apa-apa rancangan untuk menjatuhkan agama Islam akan dimusnahkan oleh Allah. Allah akan memberi pertolongan dan bantuan kepada agamaNya. Walaupun begitu ramai yang ingin menjatuhkan Islam, ianya tetap subur.

Kalau seseorang itu telah ditakdirkan akan beriman, Islam akan sampai kepadanya juga. Sebagai contoh, lihatlah bagaimana orang kafir mahu menyalahkan agama Islam dengan mengatakan orang Islamlah yang menyebabkan runtuhnya World Trade Center pada 9/11. Tetapi rancangan itu telah memakan diri mereka – ramai yang hendak mengetahui tentang Islam kerana kejadian itu dikaitkan dengan agama Islam – maka mereka telah mencari maklumat tentang agama Islam dan akhirnya apabila mereka mengetahui betapa indahnya Islam, sampaikan ramai yang telah menganut agama Islam! Rancangan jahat mereka adalah untuk menjatuhkan Islam, tapi Allah telah menggagalkan rancangan itu, sebaliknya ramai pula yang masuk Islam kerana rancangan jahat mereka itu.

Ghafir 21-25

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya. 


Rujukan: 

Maulana Hadi

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubari

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 040: Ghafir. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s