Tafsir Surah Ghafir Ayat 8 – 16 (Tauhid Dalam Doa)

Surah 40. Ghafir, Verse 8: Sambungan doa para malaikat-malaikat itu dari ayat sebelum ini:

Ghafir ayat 8 dan 9 doa para malaikat

Doa para malaikat meliputi hingga kepada kaum kerabat, pasangan, datuk nenek, zuriat sekaliannya supaya dimasukkan ke dalam syurga Adnin…

رَبَّنا وَأَدخِلهُم جَنّاتِ عَدنٍ الَّتي وَعَدتَهُم وَمَن صَلَحَ مِن آبائِهِم وَأَزواجِهِم وَذُرِّيّاتِهِم ۚ إِنَّكَ أَنتَ العَزيزُ الحَكيمُ

Sahih International

Our Lord, and admit them to gardens of perpetual residence which You have promised them and whoever was righteous among their fathers, their spouses and their offspring. Indeed, it is You who is the Exalted in Might, the Wise.

Malay

“Wahai Tuhan kami! Dan masukkanlah mereka ke dalam Syurga “Adn” yang Engkau telah janjikan kepada mereka; dan (masukkanlah bersama-sama mereka): orang-orang yang layak di antara ibu bapa mereka, dan isteri-isteri mereka, serta keturunan mereka. Sesungguhnya Engkaulah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

 

رَبَّنَا وَأَدْخِلْهُمْ جَنَّاتِ عَدْنٍ

Mereka berkata: “Wahai Tuhan kami masukkanlah mereka semua ke dalam syurga Adnin”

Mereka bukan sahaja mendoakan untuk kebaikan dunia sahaja kepada orang-orang yang beriman seperti dalam ayat sebelum ini; tapi dalam ayat ini, mereka juga mendoakan kebaikan akhirat untuk orang-orang yang beriman, bertaubat dan berada dalam jalan Allah. Mereka berdoa kepada Allah untuk memasukkan orang-orang yang beriman yang berakidah tauhid itu ke dalam syurga. Dalam ayat sebelum ini, para malaikat itu berdoa supaya diselamatkan mereka itu dari neraka. Tapi takkan selamat dari neraka sahaja, tapi tak masuk syurga pula, bukan? Maka, mereka tidak lupa untuk doa kepada Allah untuk memasukkan orang-orang yang telah disebut sebelum ini ke dalam syurga. Itulah tempat kembali yang paling baik.

 

الَّتِي وَعَدتَّهُمْ

“yang Kau telah janjikan kepada mereka”

Janji untuk memasukkan mereka yang beriman ke dalam syurga adalah janji dari Allah sendiri. Dan tentunya Allah tidak memungkiri janjiNya, seperti yang telah disebut dalam ayat-ayat yang lain.

 

وَمَن صَلَحَ

“Dan sesiapa yang soleh”

Dan bukan sahaja memasukkan mereka yang mengamalkan tauhid sahaja, tapi memasukkan juga ahli keluarga mereka. Tapi ahli keluarga itu kenalah mereka yang soleh sahaja.

 

مِنْ آبَائِهِمْ

“Daripada bapa-bapa mereka”

Dari bapa mereka ke atas. Iaitu termasuk datuk juga. Termasuk juga ibu.

 

وَأَزْوَاجِهِمْ

“Dan isteri-isteri mereka”.

Isteri yang solehah sahaja yang akan dimasukkan ke dalam syurga. Jadi kena cerita tentang tauhid dan agama yang benar kepada isteri kita. Jangan kita sahaja yang faham agama, tapi anak dan isteri tidak tahu. Kerana memang tanggungjawab seorang suami dan ayah untuk menyampaikan ajaran agama kepada anak dan isteri.

 

وَذُرِّيَّاتِهِمْ

“Dan zuriat-zuriat mereka.”

Anak-anak mereka yang mana beriman sahaja yang boleh masuk ke dalam syurga. Jadi kena jaga agama zuriat-zuriat kita. Daripada masa mengandung lagi, ibu kena sentiasa baca Quran. Dan ikut semua sunnah yang benar. Jangan buat amalan-amalan mengarut yang bukan dari ajaran Islam.

Lihatlah bagaimana malaikat-malaikat itu bukan sahaja mendoakan kepada orang-orang yang beriman sahaja, tapi mendoakan juga kepada keluarga mereka. Kerana kita bukan hanya mahukan kebaikan untuk diri kita, tapi untuk ahli keluarga kita juga.

Kalau kita masuk syurga pun, kita hendak sangat supaya kita dimasukkan sekali dengan ahli keluarga kita. Kita rapat dengan mereka semasa di dunia, maka tentunya kita mahu bersama dengan mereka di syurga juga.

Keluarga boleh duduk bersama dalam syurga kalau mereka semuanya ahli syurga. Katakanlah seorang anak sudah dapat masuk syurga, tapi di kedudukan yang rendah dari ayahnya. Ayahnya itu boleh minta supaya dinaikkan kedudukan anaknya itu sama dengannya supaya mereka boleh duduk bersama. Inilah rahmat Allah. Rahmat ini amat besar, kerana kalau di dunia, belum tentu ahli keluarga dapat duduk sekali kerana masing-masing ada keluarga masing-masing dan duduk pun jauh-jauh. Kadang-kadang hanya berjumpa masa hari raya sahaja. Jadi Allah boleh kumpulkan mereka itu duduk sekali dalam syurga dalam tempat yang sama. Tapi, kenalah masuk syurga dahulu. Kerana kalau keturunan mereka itu sudah masuk dalam neraka, tidaklah boleh nak keluarkan mereka dari neraka.

Oleh itu, apabila kita berdoa, jangan hanya mendoakan untuk diri kita sahaja, tapi doakan juga kepada ahli keluarga kita sekali. Belajarlah dari malaikat-malaikat ini, bagaimana cara doa mereka.

 

إِنَّكَ أَنتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

Sesungguhnya Engkau Maha Gagah dan Maha Bijaksana.

Allah maha berkuasa untuk menghukum sesiapa sahaja.

Tapi Allah Maha Bijaksana untuk menangguh hukum dan tidak terus memberi azab kepada manusia, supaya mereka ada peluang untuk bertaubat.

 


Surah 40. Ghafir, Verse 9:

وَقِهِمُ السَّيِّئَاتِ ۚ وَمَن تَقِ السَّيِّئَاتِ يَومَئِذٍ فَقَد رَحِمتَهُ ۚ وَذٰلِكَ هُوَ الفَوزُ العَظيمُ

Sahih International

And protect them from the evil consequences [of their deeds]. And he whom You protect from evil consequences that Day – You will have given him mercy. And that is the great attainment.”

Malay

“Dan peliharalah mereka dari (balasan) kejahatan-kejahatan (yang dilakukannya); dan (sebenarnya) sesiapa yang Engkau pelihara pada hari itu dari terkena (balasan) kejahatan-kejahatan (yang dilakukannya) maka sesungguhnya Engkau telah mengurniakan rahmat kepadanya; dan yang demikian itulah kemenangan yang besar (nilainya)”.

 

 

وَقِهِمُ السَّيِّئَاتِ

“Dan jauhilah/jagalah mereka daripada segala kejahatan dosa”.

Malaikat berdoa semoga orang beriman itu tidak buat dosa. Atau tidak cenderung berbuat dosa. Jenis bukan orang yang buat dosa.

Atau, mereka mendoakan supaya mereka yang berdoa itu tidak menerima kesan yang buruk dari dosa-dosa yang mereka lakukan. Setiap dosa ada kesannya yang buruk – di dunia dan juga di akhirat.

Atau, kalau mereka buat dosa pun, mereka tidak buat dosa itu berkekalan. Minta Allah ampunkan dosa mereka. Dan minta Allah beri taufik kepada mereka untuk meminta ampun. Kadang-kadang manusia pun sudah lupa apakah dosa-dosa yang mereka lakukan sampai mereka tidak minta ampun. Tapi kalau Allah beri taufik kepada mereka, mereka akan teringat untuk minta ampun. Tengah bawa kereta, teringat dosa kita, maka waktu itu teruslah minta ampun. Allah sengaja ingatkan dosa kita supaya kita terus minta ampun dan kerana Dia yang ingatkan, maksudnya Dia nak ampunkan lah itu. Kerana kalau sudah diberi taufik itu meminta ampun, itu tandanya Allah sudah hendak memberi ampun. Maka, semoga dosa-dosa itu diampunkan semua sekali supaya boleh terus masuk ke dalam syurga dan tidak perlu masuk neraka dahulu.

 

وَمَن تَقِ السَّيِّئَاتِ يَوْمَئِذٍ فَقَدْ رَحِمْتَهُ

Dan sesiapa yang dijaga dari dosa, pada hari ini mereka telah dapat banyak rahmat.

Mereka yang diselamatkan dari kesan buruk dosa itu adalah mereka yang mendapat rahmat yang amat besar. ‘Hari’ dalam ayat ini, boleh jadi semasa di dunia dan juga di akhirat kelak. Boleh merangkumi kedua-duanya.

 

وَذَٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

Dan sesiapa yang dapat demikian itu, ialah mereka yang mendapat kejayaan agung.

Kejayaan yang agung sebenarnya adalah yang selamat di Mahsyar dan di akhirat. Bukanlah kejayaan yang di dunia. Yang penting sekali adalah kejayaan di akhirat kelak.

Begitu sekali panjang doa para malaikat itu. Maka beruntunglah mereka yang mengamalkan tauhid dalam ibadah dan tauhid dalam berdoa.

Ghafir 1-9

 


Surah 40. Ghafir, Verse 10: Ini pula adalah tentang mereka yang kufur. Selepas Allah menyentuh tentang mereka yang beriman, Allah menceritakan tentang mereka yang kufur pula. 

إِنَّ الَّذينَ كَفَروا يُنادَونَ لَمَقتُ اللَّهِ أَكبَرُ مِن مَقتِكُم أَنفُسَكُم إِذ تُدعَونَ إِلَى الإيمانِ فَتَكفُرونَ

Sahih International

Indeed, those who disbelieve will be addressed, “The hatred of Allah for you was [even] greater than your hatred of yourselves [this Day in Hell] when you were invited to faith, but you refused.”

Malay

Sesungguhnya orang-orang yang kafir akan dipanggil dan dikatakan kepada mereka (pada hari kiamat): “Demi sesungguhnya! Kebencian Allah (kepada kamu) lebih besar daripada kebencian kamu kepada diri sendiri, (sebabnya kerana) semasa kamu diseru dan diajak (di dunia dahulu) supaya beriman, (kamu enggan dan menolak), lalu kamu terus berkeadaan kufur”.

 

 

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا يُنَادَوْنَ

Dan sesungguhnya orang-orang yang kafir, akan dikatakan kepada mereka

Kata-kata ini akan disebut kepada mereka yang kufur semasa mereka sedang kena azab. Kafir yang dimaksudkan adalah ‘Kafir Degil’.

Kata-kata ini adalah sebagai menambah kesesalan kepada mereka. Sudahlah tubuh mereka diseksa, sekarang diseksa lagi dengan azab emosi.

 

لَمَقْتُ اللَّهِ أَكْبَرُ مِن مَّقْتِكُمْ أَنفُسَكُمْ

“Kemurkaan Allah Taala lebih besar daripada kemurkaan kamu kepada diri kamu sendiri”

Di Mahsyar nanti, mereka akan kata kepada diri mereka apabila mereka masuk neraka: “kenapalah kami tidak beriman dahulu?” Mereka akan marah dan benci kepada diri sendiri kerana tidak beriman semasa di dunia. Ayat ini mengatakan bahawa Allah lagi murka dan marah kepada mereka. Kemurkaan Allah itu semasa di dunia lagi. Cuma di akhirat, baru Dia balas.

Perkataan مَقْتُ bermaksud marah yang amat sangat apabila melihat orang lain melakukan perkara yang salah.

Mereka amat marah kepada diri mereka sendiri sampaikan mereka akan menggigit dan memakan jari-jari mereka. Begitu teruk kemarahan mereka kepada diri mereka.

 

إِذْ تُدْعَوْنَ إِلَى الْإِيمَانِ فَتَكْفُرُونَ

Kerana ketika mereka diseru beriman kepada Allah, mereka ingkar

Dulu, kamu telah diajak kepada kebenaran tapi kamu tidak mahu menerimanya. Sekarang, kamu sudah menyesal bukan? Kamu marah diri kamu sendiri sekarang, bukan? Allah lagi marah daripada apa yang kamu marah diri kamu itu.

Sewaktu manusia menolak untuk beriman dan mengamalkan tauhid, waktu itu Allah amat marah kepada mereka. Bayangkanlah apa yang akan terjadi kepada mereka yang apabila kita ajak mereka kepada jalan sunnah,  mereka menolak? Mereka tidak sedar yang waktu dan saat itu Allah amat marah kepada mereka. Semoga Allah buka hati mereka kepada iman sempurna dengan tidak mengamalkan syirik dan beramal atas jalan sunnah.

 


Surah 40. Ghafir, Verse 11:

قالوا رَبَّنا أَمَتَّنَا اثنَتَينِ وَأَحيَيتَنَا اثنَتَينِ فَاعتَرَفنا بِذُنوبِنا فَهَل إِلىٰ خُروجٍ مِن سَبيلٍ

Sahih International

They will say, “Our Lord, You made us lifeless twice and gave us life twice, and we have confessed our sins. So is there to an exit any way?”

Malay

Mereka menjawab: “Wahai Tuhan kami! Engkau telah menjadikan kami berkeadaan mati dua kali, dan telah menjadikan kami bersifat hidup dua kali, maka kami (sekarang) mengakui akan dosa-dosa kami. Oleh itu adakah sebarang jalan untuk (kami) keluar (dari neraka)?”

 

 

قَالُوا رَبَّنَا

Mereka berkata: “wahai Tuhan kami”

Sekarang baru mereka hendak mengaku yang Allah itu adalah Tuhan mereka. Lihatlah apa rayuan ahli-ahli neraka itu:

 

أَمَتَّنَا اثْنَتَيْنِ

“Kamu sudah matikan kami dua kali”

Pertama, sebelum kita dilahirkan ke dunia, kita dalam keadaan mati – kerana mati adalah keadaan ‘tanpa nyawa’, dan bukankah sebelum kita diberikan dengan nyawa dan dilahirkan ke dunia, kita dalam keadaan ‘mati’?; kemudian menjalani kehidupan kita di dunia, kemudian kita dimatikan sekali lagi. Itulah maksudnya, kita mati dua kali. Memang Allah lah yang mematikan kita. Tidak ada sesiapa lagi yang boleh buat begitu.

 

وَأَحْيَيْتَنَا اثْنَتَيْنِ

“dan Kamu sudah hidupkan kami dua kali”

Kita dihidupkan kali pertama apabila kita dilahirkan dan kemudian kita mati setelah menjalani kehidupan di dunia; hidup yang kedua adalah apabila kita dihidupkan kembali pada Hari Akhirat.

Jadi, kita dua kali hidup dan dua kali mati. Mereka sekarang sedang mengaku yang hidup dan mati mereka itu adalah dari Allah belaka. Mereka juga sedang merayu dengan Allah – Allah telah berikan mati dan hidup dua kali – apa salahnya bagi hidup sekali lagi?

 

فَاعْتَرَفْنَا بِذُنُوبِنَا

“kami mengaku semua dosa-dosa kami”

Setelah masuk neraka baru mereka mengaku dengan dosa-dosa mereka. Mereka mengaku itu kerana mereka nak bodek Allah. Mereka mengaku yang selama mereka di dunia, mereka telah melakukan banyak dosa, terutama sekali dosa dalam tauhid, dosa tidak berdoa hanya kepada Allah sahaja. Mereka sedang mengaku yang mereka dahulu telah melakukan syirik dalam berdoa. Tapi itu semuanya tidak berguna lagi. Kerana, sepatutnya kita mengaku dosa kita semasa kita di dunia lagi. Sekarang bila di akhirat, tidak laku dah segala penyesalan. Cakaplah apa sahaja, mengakulah apa sahaja, tapi ia tidak berguna lagi. Amatlah malang sekali kalau manusia hanya menyedari setelah mereka mati.

 

فَهَلْ إِلَىٰ خُرُوجٍ مِّن سَبِيلٍ

“Maka tidakkah ada jalan keluar dari neraka ini?”

Mereka mula dengan berkata bahawa Allah telah berikan kehidupan dan kematian dua kali tapi mereka telah mensia-siakannya. Itu sebenarnya hanyalah mukaddimah kata-kata mereka sahaja. Mereka sebenarnya ada hajat yang besar nak minta kepada Allah. Sekarang, mereka meminta supaya Allah memberikan mereka kehidupan kembali ke dunia supaya mereka boleh beriman dan beramal soleh, tidak melakukan syirik dalam berdoa lagi. Banyak kali kita boleh baca dalam Quran permintaan sebegini. Dalam Sajdah:12,

وَلَو تَرىٰ إِذِ المُجرِمونَ ناكِسو رُءوسِهِم عِندَ رَبِّهِم رَبَّنا أَبصَرنا وَسَمِعنا فَارجِعنا نَعمَل صالِحًا إِنّا موقِنونَ
Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): “Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin”.

Juga dalam An’am:27,

وَلَو تَرىٰ إِذ وُقِفوا عَلَى النّارِ فَقالوا يا لَيتَنا نُرَدُّ وَلا نُكَذِّبَ بِآياتِ رَبِّنا وَنَكونَ مِنَ المُؤمِنينَ
Dan sungguh ngeri jika engkau melihat ketika mereka didirikan di tepi neraka (untuk menyaksikan azabnya yang tidak terperi), lalu mereka berkata: “Wahai kiranya kami dikembalikan ke dunia, dan kami tidak akan mendustakan lagi ayat-ayat keterangan Tuhan kami, dan menjadilah kami dari golongan yang beriman”.

Tetapi, bagaimana cara mereka minta pun supaya dikembalikan ke dunia, permintaan mereka itu tidak akan dilayan. Sudah terlambat.

 


Surah 40. Ghafir, Verse 12: Allah jawap doa mereka yang telah disebut dalam ayat sebelum ini. 

ذٰلِكُم بِأَنَّهُ إِذا دُعِيَ اللَّهُ وَحدَهُ كَفَرتُم ۖ وَإِن يُشرَك بِهِ تُؤمِنوا ۚ فَالحُكمُ لِلَّهِ العَلِيِّ الكَبيرِ

Sahih International

[They will be told], “That is because, when Allah was called upon alone, you disbelieved; but if others were associated with Him, you believed. So the judgement is with Allah , the Most High, the Grand.”

Malay

(Lalu dikatakan kepada mereka): “Azab yang kamu berada padanya itu adalah kerana keadaan kamu apabila Allah Yang Maha Esa sahaja diseru dan disembah, kamu kufur (dan menolak cara bertauhid itu); dan apabila dipersekutukan sesuatu dengan Allah, kamu percaya (dan menerima bawaan syirik itu). Maka kuasa menjalankan keadilan adalah hak Allah, Yang Maha Tinggi (dari apa yang dipersekutukan), lagi Yang Maha Besar (pemerintahanNya)”.

 

 

ذَٰلِكُم بِأَنَّهُ إِذَا دُعِيَ اللَّهُ وَحْدَهُ

Dan demikianlah bagi kamu kerana kamu sebelum ini ketika diseru ibadat dan doa hanya kepada Dia sahaja,

Pengakuan mereka sebelum ini tidak diterima lagi. Kerana ia sudah terlambat. Mereka tidak akan dipulangkan kembali ke dunia untuk memulakan kembali kehidupan yang baru.

Ini adalah kerana mereka dimasukkan ke neraka itu adalah kerana kesalahan mereka sendiri. Kita telah disuruh untuk buat ibadat HANYA kepada Allah; kita juga diajar, berdoa HANYA kepada Allah sahaja. Tapi apakah yang dilakukan oleh manusia yang dimasukkan ke dalam neraka itu?

 

كَفَرْتُمْ

kamu semua ingkar.

Mereka telah diajar kepada tauhid semasa mereka di dunia, tapi mereka engkar untuk berdoa hanya kepada Allah sahaja. Contohnya, mereka melakukan solat hajat berjemaah, sedangkan solat hajat berjemaah itu adalah satu contoh menggunakan perantaraan dalam beribadat. Mereka menyeru kepada berbagai-bagai wali, Nabi dan malaikat untuk menyampaikan doa mereka, tanpa ada dalil pun perbuatan itu pernah dibuat atau diajar oleh Nabi.

Solat untuk meminta hajat tidak boleh berjemaah. Kerana solat sebegini tidak pernah diajar oleh Nabi dan tidak pernah dilakukan oleh sahabat. Orang kemudianlah yang mereka-reka cara berdoa dengan solat hajat ini.

Kita memang disarankan untuk meminta pertolongan dengan solat. Tapi itu adalah solat sunat. Iaitu kita melakukan amal ibadat sebelum kita meminta doa kepada Allah. Tapi, apabila dilakukan solat sunat itu, manusia memberikan nama ‘Solat Hajat’ kepada solat itu, padahal tiada nama yang Nabi beri. Jadi bila dah ada nama, mulalah kita tanya rakaat pertama baca apa, rakaat kedua baca apa dan sebagainya. Nabi sendiri tidak pernah buat macam tu. Nabi sendiri tidak pernah buat solat hajat berjemaah. Kalau minta hujan, itu memang ada solat berjemaah kerana minta hujan, iaitu dinamakan solat Istisqa’. Tapi dalam permintaan kepada Allah, tidak pernah Nabi buat sepertimana yang dilakukan oleh orang-orang kita sekarang. Berbagai-bagai hujah dan dalil yang diberi oleh mereka untuk membenarkannya, tapi tidak ada satu pun dalil yang boleh dipakai untuk membolehkan Solat Hajat berjemaah. Tapi, apabila kita beritahu yang tidak ada Solat Hajat dalam Islam, mereka engkar, mereka bantah, mereka nak buat juga.

 

وَإِن يُشْرَكْ بِهِ تُؤْمِنُوا

dan apabila kamu diajar syirik kepada Allah, kamu beriman.

Bermaksud, mereka percaya kepada ajakan syirik yang diajak oleh guru-guru sesat mereka semasa mereka di dunia. Apabila diajak kepada tauhid, mereka tolak, tapi apabila diajak kepada melakukan syirik, mereka terima pula. Contohnya bila dikatakan apabila nak belah mulut kena pakai cincin, mereka pakat-pakat suka nak buat; bila diajar doa kena sebut nama wali songo, Syeikh Abdul Qadir Jailani, mereka suka dan terus amalkan; dan banyak lagi.

Masyarakat kita, dalam amalan yang melibatkan syirik, mereka cukup-cukup suka. Tapi kalau nak buat perkara-perkara sunnah, mereka cukup payah.

 

فَالْحُكْمُ لِلَّهِ

Keputusan itu milik Allah. 

Samada kamu suka ataupun tidak, ketetapan agama datangnya dari Allah. Kita kena ikut syariat yang Allah telah tetapkan.

Juga bermaksud, segala keputusan semuanya di Tangan Allah. Apakah keputusan Allah dalam ayat ini? Keputusan untuk memasukkan ke dalam neraka, mereka yang melakukan syirik kepadaNya. Tidak ada sesiapa yang dapat mengubah keputusan Allah. Keputusan muktamad adalah milik Allah sahaja. Segala permintaan mereka untuk dikembalikan ke dunia tidak dilayan.

 

الْعَلِيِّ الْكَبِير

yang Maha Tinggi lagi Maha Besar.

Kita kena ikut ketetapan agama yang Allah telah berikan kepada kita kerana Dialah sahaja yang Maha Tinggi dan Maha Besar.

 


Surah 40. Ghafir, Verse 13: Ini adalah targhib kepada Dakwa surah ini.  

هُوَ الَّذي يُريكُم آياتِهِ وَيُنَزِّلُ لَكُم مِنَ السَّماءِ رِزقًا ۚ وَما يَتَذَكَّرُ إِلّا مَن يُنيبُ

Sahih International

It is He who shows you His signs and sends down to you from the sky, provision. But none will remember except he who turns back [in repentance].

Malay

Dia lah Tuhan yang memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda keesaanNya dan kekuasaanNya (untuk kehidupan rohani kamu), dan yang menurunkan (untuk jasmani kamu) sebab-sebab rezeki dari langit. Dan tiadalah yang ingat serta mengambil pelajaran (dari yang demikian) melainkan orang yang sentiasa bertumpu (kepada Allah).

 

 

هُوَ الَّذي يُريكُم آياتِهِ

Dia lah Tuhan yang memperlihatkan kepada kamu tanda-tandaNya,

Allah menunjukkan segala bukti QudratNya. Allah hendak memberitahu bahawa Dia ada Qudrat, dan Qudrat itu hanya ada pada Dia sahaja.

Allah telah memperlihatkan tanda-tandaNya kepada manusia. Maknanya, Allah bukan ajak kosong, tapi Allah beri dengan tanda dan dalil sekali.

Kenapakah manusia boleh lagi melakukan syirik kepada Allah, sedangkan Allah telah memberikan entah berapa banyak tanda-tanda kewujudanNya dalam alam ini dan juga dalam ayat-ayat Quran.

Allah telah memberikan kepada kita banyak tanda-tanda, sebagaimana yang Allah telah sebut dalam Fussilat:37 –

وَمِن آياتِهِ اللَّيلُ وَالنَّهارُ وَالشَّمسُ وَالقَمَرُ

Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah malam dan siang, serta matahari dan bulan.

Dan Allah telah memberi tanda tinggalan kaum-kaum dahulu sebagai peringatan dan tanda kepada kita sebagaimana Allah telah sebut dalam Ankaboot:35

وَلَقَد تَرَكنا مِنها آيَةً بَيِّنَةً لِقَومٍ يَعقِلونَ

Dan demi sesungguhnya, Kami telah tinggalkan bekas-bekasnya sebagai tanda yang jelas bagi orang-orang yang mahu menggunakan akalnya.

Sebagai contoh, Allah telah meninggalkan kesan-kesan tempat yang telah dihancurkan kerana kesyirikan manusia, dan Allah telah meninggalkan kesan bahtera Nabi Nuh untuk peringatan kepada manusia.

Allah juga telah memberikan tanda dalam diri kita sendiri seperti yang Allah telah sebut dalam Fussilat:53,

سَنُريهِم آياتِنا فِي الآفاقِ وَفي أَنفُسِهِم حَتّىٰ يَتَبَيَّنَ لَهُم أَنَّهُ الحَقُّ

Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di ufuk-ufuk dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar.

Allah memberikan tanda dalam alam ini di merata-rata tempat dan juga dalam diri kita sendiri. Apabila kita melihat diri kita dengan segala keindahan dan kehebatan tubuh badan kita sendiri, memberitahu kita bahawa tentunya ada Pencipta yang Maha Agung yang menjadikan segalanya ini.

Dengan segala tanda-tanda yang Allah telah berikan kepada manusia, kenapakah lagi manusia boleh melakukan syirik kepadaNya?

 

وَيُنَزِّلُ لَكُم مِنَ السَّماءِ رِزقًا

dan yang menurunkan untuk kamu dari langit, rezeki.

Allah telah menurunkan ‘sebab-sebab turunnya rezeki’ kepada kita dari langit. Sebagai contoh, dari langit itu turunnya air hujan; dan dari langit juga turunnya pancaran matahari; dengan keduanya, telah menyebabkan tumbuhnya tumbuh-tumbuhan dan tanam-tanaman; dengan tanaman itu, memberi makan kepada kita dan kepada binatang-binatang. Dan ada antara binatang itu kita jadikan bahan makanan kita juga.

Rezeki yang turun dari langit itu juga boleh bermaksud ‘keputusan’ yang turun dariNya untuk memberi rezeki kepada kita. Maknanya, apa-apa sahaja rezeki yang dapat kepada kita adalah dari keputusanNya. Rezeki itu telah ditetapkan untuk kita. Kalau bukan rezeki kita, kita tidak akan dapat.

Ringkasnya, rezeki datangnya dari Allah. Maka kenapa berdoa lagi kepada selain Allah? Kenapa tidak tumpukan doa kita hanya kepada Allah sahaja? Maka mintalah dengan Allah sahaja, tidak perlu menggunakan perantaraan.

 

وَما يَتَذَكَّرُ إِلّا مَن يُنيبُ

Dan tiadalah yang ingat serta mengambil pelajaran (dari yang demikian) melainkan orang yang pulang (kepada Allah).

Telah banyak pengajaran dan tanda-tanda yang telah diberikan kepada kita, tapi yang hanya dapat mengambil pengajaran adalah mereka yang mahu pulang kepada Allah. Iaitu mereka yang ada sifat ‘inabah’. Mereka itu adalah manusia yang mahukan kebenaran. Mereka tertanya-tanya apakah kebenaran itu dan mereka mencari-cari. Apabila mereka mencari, maka Allah akan mudahkan jalan untuk mereka menjumpainya.

Mereka itulah yang sentiasa mengadapkan wajahnya kepada Allah, mengharap kepada Allah, sentiasa ingat kepada Allah, sentiasa memulangkan nasibnya kepada Allah. Hanya mereka yang sebegini sahaja yang boleh mengambil pelajaran dan peringatan dari tanda-tanda yang Allah telah berikan. Tetapi kebanyakan manusia tidak begitu.

Dakwa maksud surah ghafir

Surah 40. Ghafir, Verse 14: Setelah kita diberikan dengan dalil-dalil itu, maka Allah beritahu apakah yang perlu kita lakukan.

فَادعُوا اللَّهَ مُخلِصينَ لَهُ الدّينَ وَلَو كَرِهَ الكافِرونَ

Sahih International

So invoke Allah, [being] sincere to Him in religion, although the disbelievers dislike it.

Malay

Oleh itu maka sembahlah kamu akan Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya (dan menjauhi bawaan syirik), sekalipun orang-orang kafir tidak menyukai (amalan kamu yang demikian).

فَادعُوا اللَّهَ

Oleh itu maka sembahlah kamu akan Allah

Huruf فَ dalam lafaz فَادعُوا ini dinamakan fa’ fasihah. الفاء الفصيحة. Maknanya ayat yang selepasnya merujuk ayat-ayat sebelumnya. Allah hendak memberitahu, selepas diberitahu dengan diberikan berbagai dalil dan hujah dalam ayat-ayat sebelumnya, ‘maka’ seru dan sembahlah Allah sahaja. Bukankah sebelum ini telah belajar bagaimana Allah sahaja yang mempunyai sifat ilah? Kalau begitu, mintalah doa kepada Allah sahaja. Jangan minta kepada yang selain Allah.

 

Kita kena faham bahawa lafaz ‘sembah’ bukan hanya bermaksud ibadat seperti rukuk dan sujud sahaja, tetapi ia juga bermaksud ‘doa’. Doa juga salah satu perkara ibadat, malah ianya adalah ibadah yang paling penting. Dalam hadis ada disebut bahawa doa itu adalah ‘otak’ ibadah. Dan memang dalam setiap ibadah ada doa sebenarnya. Inilah yang tidak difahami oleh kebanyakan manusia. Mereka tidak faham apakah maksud ibadat itu sendiri.

Oleh itu, ayat ini memberitahu kepada kita, hanya doa kepada Allah sahaja, jangan doa kepada selain dari Allah.

Dan jangan juga guna perantaraan sesiapa sahaja dalam doa itu, tidak wali, Nabi atau malaikat pun. Kita tidak memerlukan sesiapa pun untuk menyampaikan doa kita kepada Allah. Sebaliknya, terus sahaja doa kepada Allah. Kerana Allah dengar semua doa kita.

 

مُخلِصينَ لَهُ الدّينَ

dengan mengikhlaskan seruan dan ibadat kepadaNya

Maksud ‘ikhlas’ itu adalah tidak mencampurkan ibadah dan doa kepada selain dari Allah. Itu bermaksud kita kena menjauhi amalan syirik dalam ibadat dan dalam doa. Jauhi syirik itu adalah dengan tidak beribadat kepada selain dari Allah. Tapi untuk menjauhi syirik itu, kita kenalah kenal apakah yang dimaksudkan dengan ‘syirik’. Kerana tidak faham maksud syirik lah, ramai dari kalangan orang kita yang buat perkara syirik kerana mereka tidak sangka yang itu adalah syirik.

Apabila dikatakan ‘ibadat’, kita jangan buat ibadat kepada entiti yang lain. Maka, kalau kita berzikir, jangan kita berzikir kepada selain Allah – termasuk kepada Nabi Muhammad pun. Jangan kita seru Nabi Muhammad, kerana kita hanya boleh seru Allah sahaja. Lalu bagaimana dengan puak-puak Habib yang sedang mengajar masyarakat kita menyeru Nabi Muhammad dalam majlis-majlis Selawat mereka? Mereka juga mengajar masyarakat kita untuk menyebut kubur-kubur yang kononnya kubur para wali.

Dan seperti yang kita telah sebut, sembah dan ibadat itu termasuk juga dengan ‘doa’, maka kita hanya boleh berdoa kepada Allah sahaja. Terus sahaja doa kepada Allah. Jangan minta kepada selain dari Allah, rasanya ramai yang faham kerana mereka tahu yang Allah sahaja yang boleh mengabulkan doa. Tapi ramai yang keliru adalah tentang tawasul (perantara). Ramai yang sampaikan doa mereka kepada Nabi, wali atau malaikat supaya Nabi, wali dan malaikat itu sampaikan pula kepada Allah. Ini adalah perbuatan yang salah. Kerana Allah Maha Mendengar, maka apa sahaja yang kita doa, Allah akan mendengar doa kita itu. Tidak perlu kita nak sampaikan kepada entiti lain.

Oleh itu, jangan juga kita gunakan perantaraan (Tawasul) dalam doa kita. Kita terus doa kepada Allah sahaja. Allah suruh kita ibadah dan doa kepadaNya sahaja. Inilah konsep La ilaaha illa Allah yang kita perlu terapkan dalam diri kita. Oleh itu, ini juga mengajar kita, dalam kita berdoa, hendaklah kita menekankan ketauhidan Allah itu. Sebagai contoh, lihatlah bagaimana doa Nabi Yunus a.s. semasa baginda di dalam perut ikan yang Allah ceritakan dalam Anbiya:87 –

لا إِلٰهَ إِلّا أَنتَ سُبحانَكَ إِنّي كُنتُ مِنَ الظّالِمينَ

“Sesungguhnya tiada ilah melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri”.

Lihatlah bagaimana dalam doa Nabi Yunus a.s. itu, baginda memulakan dengan penekanan tauhid – لا إِلٰهَ إِلّا أَنتَ. Begitulah cara yang molek untuk kita memulakan doa. Tetapkan tauhid dalam fahaman kita, kemudian berdoalah.

 

وَلَو كَرِهَ الكافِرونَ

sekalipun orang-orang kafir tidak menyukai 

Apabila dikatakan bahawa orang kafir tidak suka, ia bermaksud mereka tidak akan duduk diam tengok kita hanya berdoa kepada Allah sahaja, ibadat kepada Allah sahaja, kerana mereka benci dengan cara begitu. Mereka akan kacau, mereka akan lawan kita kerana mereka hendak pisahkan kita dari tauhid. Mereka tidak rela kita duduk dalam tauhid. Oleh itu, kita kena dakwah kepada mereka kerana kalau tidak, orang yang asalnya mahu amal tauhid pun lambat laun akan jadi syirik juga. Oleh kerana orang kafir hendak mematikan syirik, maka kita kena perjuangkan tauhid.

Sebenarnya, mereka jadi begitu kerana mereka dihasut oleh syaitan. Syaitanlah yang menggerakkan mereka untuk mengganggu kita. Kalau ikut mereka sendiri, mereka pun mungkin tidak kisah pun kita nak buat apa. Tapi syaitan tidak mahu manusia mati dalam tauhid. Jadi mereka akan gerakkan orang-orang kafir untuk membawa manusia jauh dari tauhid. Jadi, ayat ini memberitahu kita bahawa ada perancangan dari orang kafir hendak memusnahkan tauhid. Mungkin kita nampak mereka duduk diam, tapi mereka tidak duduk diam sebenarnya.

Orang-orang kafir tidak suka dengan cara amalan kita yang demikian. Mereka tidak suka hanya menyembah satu Tuhan sahaja, maka kerana itulah mereka akan sembah banyak-banyak tuhan. Mereka kata, kalau banyak tuhan, lagi bagus daripada satu. Kerana itulah, mereka ada banyak upacara-upacara penyembahan kepada dewa ini dan dewa itu.

Orang kafir tidak berdoa terus kepada Allah. Mereka akan menggunakan perantaraan mereka untuk menyampaikan doa dan pengharapan mereka kepada tuhan. Mereka akan minta Nabi, wali dan malaikat untuk menyampaikan doa mereka.

Kristian – mereka menyampaikan doa kepada Jesus untuk menyampaikan doa kepada Tuhan Bapa.

Hindu – dewa-dewa yang mereka sembah itu adalah para malaikat sebenarnya. Mereka jadikan malaikat-malaikat itu dalam bentuk patung dan mereka sampaikan doa mereka kepada malaikat-malaikat itu supaya menyampaikan doa mereka kepada ‘tuhan yang satu’.

Toism – mereka menyembah tok nenek mereka yang telah mati, untuk menyampaikan doa mereka kepada tuhan. Kerana mereka sangka, kerana tok nenek mereka itu adalah orang yang baik-baik, telah jadi wali, tentulah mereka boleh sampaikan doa kepada tuhan.

Jadi, di atas adalah contoh salah faham agama lain dalam hal berdoa.

Bagaimana pula dengan orang kita? Orang kita yang tidak faham apakah maksud ‘tauhid dalam berdoa’, menyampaikan doa kepada ketiga-tiganya sekali! Ada yang doa kepada wali seperti Wali Songo, Sheikh Abdul Qadir Jalani; ada yang berdoa kepada para Nabi, seperti mereka minta kepada Nabi Zakariya, ada yang minta kepada Nabi Muhammad; dan ada yang berdoa kepada para malaikat, seperti meminta perlindungan daripada Jibrail dan sebagainya. Maka, kalau orang kita buat begitu, mereka lebih teruk dalam orang-orang kafir! Orang kafir pakai satu sahaja, tapi kita pakai sampai tiga-tiga terus!

Sebenarnya, orang Islam kita pun banyak terpedaya dan sama sahaja amalan dengan agama orang kafir. Banyak buat ibadat kepada entiti lain. Ada majlis untuk wali ini dan wali itu. Sebagai contoh, mereka akan buat Majlis Haul (meraikan kematian) untuk wali ini dan itu. Mereka akan buat majlis memperingati wali-wali itu kerana mereka hendak berdoa kepada wali-wali yang sudah mati itu untuk menyampaikan permintaan mereka kepada Allah. Itulah yang dinamakan tawasul yang dilarang.

Oleh itu, belajarlah beribadat dengan cara Islam. Jangan ikut cara ibadat orang-orang kafir. Pastikan yang cara ibadat kita tidak sama dengan ibadat mereka. Maka, kenalah tahu sedikit sebanyak apakah akidah dan cara ibadat mereka supaya boleh dibandingkan dengan cara-cara ibadat kita. Jangan pula kita kutuk mereka kerana kafir, tapi bila diperiksa, akidah kita dan mereka sama sahaja.

Ayat ini juga memberitahu kita bahawa orang kafir tidak suka dengan cara hidup Islam kita. Mereka mahu supaya kita ikut cara hidup mereka. Kerana itu mereka mempropagandakan cara kehidupan kita dalam media massa yang mereka kawal. Oleh kerana itu, kita boleh lihat bagaimana masyarakat Islam kita banyak yang terpengaruh dengan cara hidup barat. Mereka lah yang kata kalau pakai tudung tutup aurat, itu adalah perkara yang mengawal wanita kita, jadi tidak elok pakai tudung, mereka kata. Dan macam-macam lagi. Mereka akan kutuk dan kritik amalan dan cara hidup kita dan mereka promosikan cara hidup mereka supaya kita ikut.


 

Surah 40. Ghafir, Verse 15:

رَفيعُ الدَّرَجاتِ ذُو العَرشِ يُلقِي الرّوحَ مِن أَمرِهِ عَلىٰ مَن يَشاءُ مِن عِبادِهِ لِيُنذِرَ يَومَ التَّلاقِ

Malay

Dia lah Yang Maha tinggi darjat kebesaranNya, yang mempunyai Arasy (yang melambangkan keagungan dan kekuasaanNya); Ia memberikan wahyu dari hal perintahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya (yang telah dipilih menjadi RasulNya), supaya Ia memberi amaran (kepada manusia) tentang hari pertemuan,

 

 

رَفيعُ الدَّرَجاتِ

Dia lah Yang Maha tinggi darjat kedudukanNya,

Allahlah yang paling tinggi kedudukanNya. Tidak ada yang lebih tinggi derajat dari derajat Allah.

Sudahlah Dia mempunyai derajat yang paling tinggi, Dialah juga yang menaikkan derajat seseorang yang dikehendakiNya. Maksudnya, Allah akan naikkan darjat mereka yang membela tauhid.

Sebagai contoh, Allah boleh menaikkan derajat ahli syurga untuk menaiki syurga yang lebih tinggi lagi; satu lagi contoh, Allah menaikkan derajat mereka yang ada ilmu.

 

ذُو العَرشِ

yang mempunyai Arasy 

Arasy adalah makhluk Allah yang paling besar dan hebat. Ianya adalah makhluk Allah yang paling tinggi. Allah masukkan tentang Arasy dalam ayat ini kerana Allah boleh naikkan darjat mereka yang membela tauhid ke ketinggian Arasy.

Allahlah tuan Arasy yang maha tinggi dan maha hebat itu. Oleh itu, kalau Arasy itu pun dipunyai oleh Allah, maka Allah itu sendiri tentu lebih hebat. Jadi, ayat ini untuk melambangkan keagungan dan kekuasaanNya.

 

يُلقِي الرّوحَ مِن أَمرِهِ عَلىٰ مَن يَشاءُ مِن عِبادِهِ

Ia memberikan wahyu dari hal perintahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya (yang telah dipilih menjadi RasulNya),

Perkataan الرّوحَ boleh membawa banyak maksud. Bukan setakat ‘roh’ yang kita faham sahaja. Roh juga boleh bermaksud Malaikat Jibrail. Roh juga boleh bermaksud ‘Quran’. Jadi, kena disesuaikan dengan ayat.

‘Roh’ dalam ayat ini bermaksud ‘wahyu’. Tidak ada khilaf di kalangan ulama tafsir, ‘roh’ dalam ayat ini, bermaksud ‘wahyu’. Wahyu itu diberikan dengan perintahNya, kepada sesiapa yang dikehendakiNya.

Allah yang akan kekalkan wahyu dalam diri hambaNya yang memperjuangkan tauhid.

Allah lah yang memilih sesiapa yang dikehendakiNya untuk menerima wahyu itu. Tidak ada sesiapa pun yang mempunyai hak untuk menentukan siapa yang mendapat wahyu itu. Allah juga tidak tersalah pilih sesiapa yang dikehendakiNya itu. Jadi, tidak ada sesiapa yang layak mempersoalkan. Maka, salahlah pemahaman sesetengah golongan Syiah yang sampai sanggup mengatakan yang Jibrail telah tersalah pilih memberi wahyu kepada Nabi Muhammad SAW. Mereka kata, Allah suruh beri wahyu kepada Saidina Ali, tapi Jibrail pula yang tersalah pilih beri wahyu kepada Nabi Muhammad.

Semua makhluk adalah hambaNya, jadi ikut Allah kepada siapa yang Dia hendak beri wahyu itu. Maka, salahlah juga puak Yahudi yang mempersoalkan Allah kerana memberi wahyu dan pangkat kenabian kepada Nabi Muhammad. Seperti yang kita telah tahu, mereka hanya mahu mengikut Nabi dari kalangan mereka sahaja. Oleh itu, apabila wahyu diberikan kepada bangsa Arab, mereka tidak dapat terima.

 

لِيُنذِرَ يَومَ التَّلاقِ

supaya Ia memberi amaran tentang Hari Pertemuan,

Apakah tujuan wahyu yang diturunkan kepada kita? Untuk mengingatkan kita kepada Hari Kiamat. Kerana rahmatNyalah kita diperingatkan dengan Hari itu. Dan kita kena teruskan rahmat itu dengan menyampaikan ajaran tauhid ini kepada manusia.

Kenapa Hari Kiamat dinamakan dengan ‘Hari Pertemuan’? Iaitu apabila manusia bertemu dengan amalan mereka yang telah mereka lakukan di dunia. Mereka akan dibalas berdasarkan amalan itu. Kalau amalan baik, akan dibalas baik; dan kalau amalan buruk, pun akan dibalas juga. Oleh itu, ingatlah yang amalan kita semasa di dunia, tidak akan hilang begitu sahaja. Kita akan berjumpa dengan amalan kita itu. Ada yang gembira dan ada yang menyesal pada hari itu.

Selain dari itu, manusia juga akan berjumpa sesama sendiri. Semua sekali akan berkumpul di satu tempat. Yang menzalimi akan bertemu dengan yang dizalimi. Kalau di dunia, bolehlah mereka selamat, tapi di Hari Kiamat, mereka tidak akan selamat; Ahli keluarga yang sudah lama tidak bertemu juga akan bertemu. Manusia juga akan bertemu dengan Nabi mereka. Sebagai contoh, kita akan dapat bertemu dengan Nabi Muhammad di Telaga Kautsar kalau kita mengamalkan sunnah.

Pada hari itu, pertemuan itu juga bermaksud pertemuan dengan Allah. Bagaimana cara kita nak jumpa Allah? Adakah kita hendak bertemu dengan Allah dalam Allah suka kepada kita atau Allah benci kepada kita? Tentunya kita hendak Allah suka dengan kita, kasih kepada kita. Kalau begitu, hendaklah kita menjalankan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya.

Pada hari itu juga, roh akan bertemu kembali dengan tubuh badan.

Pada hari itu juga, penduduk bumi akan bertemu dengan penduduk langit. Selama hari ini, kita mendengar sahaja kisah mereka.

Mereka yang berbuat syirik juga akan bertemu dengan sembahan syirik mereka. Kalau menyembah wali, jin, maka mereka akan bertemu dengan wali dan jin mereka itu. Waktu itu mereka akan menyesal yang amat sangat. Sepatutnya mereka menyembah Allah sahaja, tapi mereka sembah entiti lain pula. Semua yang disembah itu tidak mengaku yang mereka pernah suruh manusia sembah mereka. Jadi rugilah segala perbuatan sembahan mereka kepada entiti-entiti itu.


 

Surah 40. Ghafir, Ayat 16: Jumlah badaliah kepada ayat sebelum ini. Bagaimana keadaan pada ‘Hari Pertemuan’ itu? Allah beri gambarannya dalam ayat ini. 

يَومَ هُم بارِزونَ ۖ لا يَخفىٰ عَلَى اللَّهِ مِنهُم شَيءٌ ۚ لِمَنِ المُلكُ اليَومَ ۖ لِلَّهِ الواحِدِ القَهّارِ

Sahih International

The Day they come forth nothing concerning them will be concealed from Allah . To whom belongs [all] sovereignty this Day? To Allah , the One, the Prevailing.

Malay

Iaitu hari mereka keluar (dari kubur masing-masing) dengan jelas nyata; tidak akan tersembunyi kepada Allah sesuatupun dari hal keadaan mereka. (Pada saat itu Allah berfirman): “Siapakah yang menguasai kerajaan pada hari ini? “Dikuasai oleh Allah Yang Maha Esa, lagi Yang Mengatasi kekuasaanNya segala-galanya! 

 

 

يَوْمَ هُم بَارِزُونَ

Pada hari mereka dibangkitkan

Iaitu pada hari mereka dibangkitkan dari kubur masing-masing. Mereka akan dizahirkan dari kubur masing-masing. Ada makhluk yang ada kubur dan ada yang tidak, umpamanya mereka yang mati dibaham harimau – mereka tidak ada kubur, tapi mereka akan dizahirkan ke Mahsyar.

Semua akan jelas kelihatan, tidak boleh menyorok di mana-mana. Tidak kira di mana mereka mati dahulu, mereka akan tetap dibangkitkan dan akan dikumpulkan di satu tempat. Tidak kira samada tubuh badan mereka hancur atau dibakar dan telah menjadi abu – semua akan dibangkitkan dan terpampang kelihatan kepada semua. Mereka akan terlanjang bulat. Waktu itu, tidak boleh menyorok apa-apa.

 

لَا يَخْفَىٰ عَلَى اللَّهِ مِنْهُمْ شَيْءٌ

Tak tersembunyi sedikitpun kepada Allah tentang mereka itu.

Semua sekali akan dihadapkan di hadapan Allah. Tidak akan ada yang tersembunyi. Tidak akan tersembunyi amal zahir ataupun amal batin dari Allah. Hendaklah kita berusaha di dunia ini supaya amal yang baik sahaja yang akan zahir.

Bayangkan, semua sekali akan bertelanjang di hadapan Allah. Kita semua akan mengadap Allah dalam keadaan asal kita. Semua dalam keadaan berlutut bersaf-saf dalam keadaan telanjang. Memang tidak ada apa yang tersembunyi dari Allah semasa di dunia pun, tapi pada hari akhirat nanti, nampak jelas tanpa syak lagi kepada semua. Kalau di dunia, ada yang sangka ada perkara yang Allah tak tahu. Di Hari Kiamat nanti, semua akan jelas yang tidak ada apa yang tersembunyi dari Allah. Barulah mereka akan sedar dengan sesedar-sedarnya.

 

لِّمَنِ الْمُلْكُ الْيَوْمَ

Pada hari ini kerajaan ini milik siapa?

Pada hari itu, Allah akan tanya kepada semua: Kerajaan ini milik siapa pada hari ini?

Ada dua pendapat tentang kejadian ini: Samada Allah tanya kepada semua makhluk atau Allah tanya itu semasa makhluk semua sudah mati. Kenapa Allah tanya kalau tiada ada sesiapa yang boleh jawap? Kerana Allah hendak tsabitkan kekuasan mutlaqNya.

Atau, Allah tanya dua kali: sekali waktu semua telah mati, dan kali kedua selepas semua makhluk dibangkitkan.

 

لِلَّهِ الْوَاحِدِ الْقَهَّارِ

Milik Allah Tuhan yang tunggal yang Maha Esa dan Maha Mengalahkan.

Inilah jawapan makhluk kepada soalan Allah tadi. Pada hari itu, semua makhluk akan jawap yang kerajaan adalah milik tunggal Allah.

Dua kali ayat ini keluar, lagi sekali semasa tiupan sangkakala pertama. Waktu itu, tiada makhluk yang jawap sebab semua dah mati. Tuhan sendiri jawab waktu itu. Di Mahsyar, dikatakan sekali lagi ayat ini, dan makhluk semuanya akan jawap.

Cuba bayangkan keadaan di masa itu. Tiada siapa berani bersuara. Melainkan bisik-bisik sahaja. Mereka hanya berani bertanya-tanya sesama sendiri: “Dah berapa lama dah tunggu ni?” Berpeluh-peluh semuanya. Semua tak bergerak ke mana-mana. Mahsyar itu keadaannya rata macam air. Maka, hendaklah kita jawap dengan jawapan ini semasa kita di dunia lagi. Tunduk kepada Allah sahaja dalam akidah dan syariat. Kalau kita tunduk semasa di dunia lagi, maka kita akan selamat di akhirat. Jangan kita hanya sebut di Mahsyar sahaja, tidak selamat kalau begitu.

Semua makhluk bersusun bersaf-saf. 120 saf adalah orang mukmin yang dapat masuk syurga tanpa hisab. 80 saf dari mereka adalah umat Nabi Muhammad. Kita semua kena berharap kita masuk dalam 80 saf tu. Kalau tak, kena tunggu syafaat kedua baru dapat masuk syurga iaitu selepas masuk neraka dulu.

Ada 4 syafaat semua sekali. Yang pertama adalah mereka yang masuk syurga tanpa hisab. Hanya dibacakan sahaja apa yang telah mereka lakukan.

Kedua, umat Islam yang kena masuk neraka dulu. Ini adalah mereka yang tidak ada melakukan syirik tapi ada dosa. Mereka kena dimasukkan ke dalam neraka dahulu untuk membersihkan dosa mereka. Entah berapa tahun kena tinggal dalam neraka. Ribu juta tahun mereka mungkin kena duduk dalam neraka. Tanpa syafaat, manusia tidak boleh keluar dari neraka. Jadi, mereka adalah orang beriman, tapi ada dosa. Maka, Nabi pun sujud di Arash. Nabi minta beri syafaat untuk dikeluarkan mereka dari dalam neraka. Kalau kira dosa, tak lepas lagi, kena duduk lagi dalam neraka sebenarnya. Tapi, Allah akan membenarkan Nabi untuk mengeluarkan mereka.

Syafaat ketiga, akan diberikan kepada orang yang amal ibadat mereka sebanyak duit satu dinar nilainya. Nabi sujud lagi entah berapa lama setelah kumpulan pertama dikeluarkan. Maknanya, waktu itu mereka kena azab dalam neraka. Setelah Nabi diberikan dengan kuasa syafaat, barulah dikeluarkan mereka yang dalam neraka.

Syafaat keempat, Nabi sujud lagi untuk keluarkan saki baki mereka yang tinggal, yang amal ibadat mereka lebih kecil dari debu. Tapi mereka tidak melakukan syirik kepada Allah taala. Mungkin juga mereka ada buat syirik, tapi dah bertaubat sebelum mereka mati.

Orang yang tidak belajar tafsir, tidak faham tentang syafaat. Mereka mengharapkan syafaat, sampai ada yang minta syafaat di kubur Nabi dengan cara yang salah. Sebab mereka nak minta syafaat, tapi cara mereka adalah salah. Bukan begitu caranya. Sebenarnya, syafaat itu tidak payah diminta-minta, Allah akan beri sendiri.

Macam mana pula dengan iman? Iman ada tingkatan-tingkatan. Mungkin seseorang tu tak banyak amal, tapi banyak iman. Contoh, seorang pergi ke hotel makan malam. Ada bos yang dia hormati, tetamu  dan sebagainya. Mereka order arak. Ajak dia minum. Tapi dia tak minum. Tak minum kerana iman. Bukan buat ibadat masa tu, tapi ada iman. Ada pulak pelayan datang, ajak dia minum lagi. Masih tak minum juga. Itu lagi tinggi gred dia dari yang mula-mula tadi. Pelayan tu duduk atas riba dia pula. Tapi masih lagi tak minum. Itu gred lagi tinggi. Iman dia pada hari itu ditimbang. Iman adalah sesuatu yang abstrak, Tuhan sahaja yang tahu nilainya. Jadi, ibadat satu hal, iman adalah satu hal. Kemudian, tubuh badan juga ditimbang. Rezeki yang haram, ada makan tak?

Jadi mungkin ada orang yang ibadat tak banyak, tapi imannya kuat. Sebab ada orang yang imannya lemah.

Kalau semua itu berat dari dosa, maka syurganya tempatnya.

Lagi satu adalah keikhlasan hati. Satu perkara yang abstak jugak. Tuhan sahaja yang tahu apa ikhlas itu. Ikhlas pun ada banyak jenis. Jadi walaupun kecil perkara dibuatnya, tapi kalau tinggi ikhlasnya, maka ianya akan bermanfaat untuk dirinya. Kuasa Tuhan untuk beri kepada sesiapa yang dikehendakiNya.

Ihsan pula adalah satu perkara yang kita payah nak cakap. Ianya adalah apabila seseorang itu berasa Tuhan sedang tengok dia masa dia sedang beribadat.

Satu lagi adalah ihsan sesama manusia dan ihsan sesama makhluk. Ingatlah cerita seorang pelacur Yahudi, dia berjalan di padang pasir dan nampak seekor anjing yang haus dan dia turun masuk dalam perigi, ambil air guna kasut dan beri minum kepada anjing itu. Allah ampunkan segala doasanya. Itu adalah ihsan manusia kepada makhluk. Itupun Tuhan buat kira. Bayangkan, seekor anjing diberi minum dengan kasut, juga diampun dosa.

Yang pasti, dia kenalah status seorang Islam. Baru akan bermanfaat apa yang dia lakukan. Kalau seorang kafir bersedekah pun, dia akan dibalas dengan kebaikan semasa di muka bumi, supaya mereka tidak boleh nak minta lagi di akhirat. Lihatlah bagaimana mana-mana orang kafir yang kuat sedekah, mereka akan dapat lagi banyak kekayaan semasa di dunia lagi. Tapi tiada bahagian untuk dia di akhirat nanti.

Kita berharap supaya tak dengar dan nampak pun neraka itu.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan: 

Maulana Hadi

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 040: Ghafir. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s