Tafsir Surah an-Nisa Ayat 148 – 154

Ayat 148: Ayat ini ada hubungan dengan ayat 136. Iman adalah perkara dalaman diri kita dan manusia lain tidak tahu. Kadangkala kalau berkawan dengan orang kafir, orang kafir mungkin desak dia ucap kalimah yang kufur. Atau seseorang muslim dipaksa untuk mengiyakan mana-mana pernyataan dan perbuatan kufur. Mungkin Muslim itu tidak terima, tetapi kerana takut dengan orang kafir itu, dia mungkin ucap juga dengan lidahnya. Allah maafkan dia dalam keadaan begitu kerana Allah hanya kira apa yang di dalam hati.

۞ لا يُحِبُّ اللَّهُ الجَهرَ بِالسّوءِ مِنَ القَولِ إِلّا مَن ظُلِمَ ۚ وَكانَ اللَّهُ سَميعًا عَليمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh does not like the public mention of evil except by one who has been wronged. And ever is Allāh Hearing and Knowing.

MALAY

Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang; kecuali oleh orang yang dianiayakan. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

 

لا يُحِبُّ اللَّهُ الجَهرَ بِالسّوءِ مِنَ القَولِ

Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan terang

Allah tidak suka orang yang lantang menyebut kalimah kufur. Ini adalah apabila kekufuran disebut secara lantang. Maknanya, tidak boleh berkata-kata sesuatu yang boleh diterjemahkan sebagai dia seorang yang kufur.

 

إِلّا مَن ظُلِمَ

kecuali oleh orang yang dianiayakan. 

Melainkan kalau seorang itu dizalimi dan dia kena cakap begitu. Sebagai contoh, ada orang letak pistol di kepalanya dan suruh dia mengaku dia seorang kafir. Kalau dia cakap, sedangkan hatinya tetap beriman, ini dimaafkan.

Atau, satu lagi tafsir:

kata-kata buruk atau keji itu dimaksudkan sebagai perbuatan zalim atau dosa.

Allah tidak suka seseorang menzahirkan dosa orang lain melainkan kalau yang sebut itu adalah mereka yang telah dizalimi. Allah tak suka kalau kita mendedahkan kesalahan orang lain di khalayak ramai. Oleh itu, jangan kita buka cerita tentang dosa-dosa yang telah dilakukan oleh orang lain, jangan mengumpat tentang mereka, jangan cari kesalahan mereka dan paparkan dalam Facebook atau sebagainya, jangan. Kecuali kalau dia telah dizalimi. Contohnya kalau dia telah kena tipu oleh suatu sindiket atau scam, maka bolehlah dia menceritakan kesalahan orang itu. Maksudnya, bolehlah dia mengadu, bawa kes dia kepada pihak polis, atau ke mahkamah. Tapi, kenalah dalam adab yang betul. Jangan berlebih-lebihan. Kena bawa kepada pihak yang berwajib, jangan sebar dalam Facebook pula. Dan kalau orang itu menipu tentang kita, tidaklah boleh kita mengada-adakan cerita tak benar tentang dia pula.

Kalau kita nampak seseorang melakukan kesalahan dalam agama, jangan canangkan kesalahan orang itu. Jangan jadi macam munafik yang apabila dengar sahaja  berita, terus sebarkan. Ini adalah kerana mereka suka bawa cerita tentang orang lain.share-di-facebook-aib-picsay

Tapi, begitupun, kalau kita sembunyikan kezaliman yang dilakukan terhadap kita itu, itu lebih bagus. Kerana mungkin orang itu buat silap dan kalau kita cerita kepada orang lain, orang itu akan terus rosak kredibiliti dia sampai bila-bila. Ada manusia yang jahat masa mudanya, tapi lama-lama dia mungkin akan bertaubat. Tapi kalau kita dah cerita tentang kesilapan dia masa lalu, tentu orang sudah pandang serong kepadanya, walaupun dia sudah jadi baik.

Tetapi, jikalau seseorang itu melakukan kezaliman, dan kalau kita tidak halang dia dengan melaporkan kesalahan yang dilakukannya, dia mungkin buat kepada orang lain pula. Dalam hal itu, eloknya kita laporkan kepada pihak yang berwajib.

Kadang-kadang kita perlu menceritakan kezaliman yang telah dilakukan kepada diri kita. Seperti satu hadis:

حَدَّثَنَا عَمْرُو بْنُ عَلِيٍّ، حَدَّثَنَا صَفْوَانُ بْنُ عِيسَى، حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عَجْلان، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ؛ أَنَّ رَجُلًا أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: إِنْ لِي جَارًا يُؤْذِينِي، فَقَالَ لَهُ: “أَخْرِجْ مَتَاعَكَ فَضَعْهُ عَلَى الطَّرِيقِ”. فَأَخَذَ الرَّجُلُ مَتَاعَهُ فَطَرَحَهُ عَلَى الطَّرِيقِ، فَجَعَلَ كُلُّ مَنْ مَرَّ بِهِ قَالَ: مَالَكَ؟ قَالَ: جَارِي يُؤْذِينِي. فَيَقُولُ: اللَّهُمَّ الْعَنْهُ، اللَّهُمَّ أَخْزِهِ! قَالَ: فَقَالَ الرَّجُلُ: ارْجِعْ إِلَى مَنْزِلِكَ، وَقَالَ لَا أُوذِيكَ أَبَدًا”.

telah menceritakan kepada kami Amr ibnu Ali, telah menceritakan kepada kami Safwan ibnu Isa, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Ajlan, dari ayahnya, dari Abu Hurairah, bahwa seorang lelaki datang kepada Nabi Saw., lalu bertanya, “Sesungguhnya aku mempunyai seorang tetangga yang selalu menyakiti diriku.” Maka Nabi Saw. bersabda kepadanya: Keluarkanlah semua barang milikmu dan letakkanlah di tengah jalan. Kemudian lelaki itu mengambil semua barang miliknya, lalu ia lemparkan ke jalan. Maka setiap orang yang lewat bertanya, “Mengapa kamu ini?” Ia menjawab, “Tetanggaku selalu menyakitiku.” Orang tersebut mengucapkan, “Ya Allah, laknatilah dia. Ya Allah, hinakanlah dia.” Akhirnya tetangganya itu berkata, “Kembalilah ke rumahmu. Demi Allah, aku tidak akan menyakitimu lagi untuk selamanya.”
Imam Abu Daud meriwayatkannya di dalam Kitabul Adab,

 

وَكانَ اللَّهُ سَميعًا عَليمًا

Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Allah dengar apa yang disebut oleh sesiapa sahaja. Maka, kenalah jaga mulut kita, jangan asyik nak cerita tentang orang sahaj.

Tapi Allah tahu apa yang dalam hati hambaNya. Kalau hamba itu terpaksa mengatakan tentang perkara-perkara yang boleh menyebabkan kekufuran, Allah tahu apa yang dalam isi hatinya. Mungkin dia tidak maksudnya, tapi dia terpaksa berkata begitu.

 


 

Ayat 149: Allah suruh makhluk beriman dan jangan main-main. Tapi kalau terpaksa sebut perkara kufur, itu dimaafkan.

إِن تُبدوا خَيرًا أَو تُخفوهُ أَو تَعفوا عَن سوءٍ فَإِنَّ اللَّهَ كانَ عَفُوًّا قَديرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

If [instead] you show [some] good or conceal it or pardon an offense – indeed, Allāh is ever Pardoning and Competent.1
  • Allāh is always able to exact retribution, although He pardons out of His grace.

MALAY

Jika kamu melahirkan sesuatu kebaikan, atau menyembunyikannya, atau kamu memaafkan kesalahan (yang dilakukan terhadap kamu), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pemaaf lagi Maha Kuasa.

 

إِن تُبدوا خَيرًا أَو تُخفوهُ

Jika kamu menzahirkan sesuatu kebaikan, atau menyembunyikannya, 

Samada kita tunjuk atau kita rahsiakan amal kebaikan kita, Allah tahu kebaikan yang kita telah buat dan apabila Allah tahu, maknanya Allah akan balas. Antara dua perkara ini, tidak sebut kebaikan yang telah dilakukan itu lebih afdhal kerana bimbang riak. Kerana kalau kita tunjukkan, mungkin ada sedikit rasa ingin menunjuk kepada manusia. Maka, seeloknya tidak ditunjukkan langsung.

 

أَو تَعفوا عَن سوءٍ

atau kamu memaafkan kesalahan

Perkara seterusnya, kalau seseorang itu tidak menyebut keburukan yang orang buat terhadap dirinya itu, lebih baik bagi dirinya. Memberi maaf lebih baik. Bukanlah larangan untuk menyebut kezaliman yang telah dilakukan. Boleh sebut, tapi kalau tak sebut lebih baik. Ini ada kaitan dengan ayat sebelum ini tentang mengatakan keburukan orang lain.

 

فَإِنَّ اللَّهَ كانَ عَفُوًّا قَديرًا

maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pemaaf lagi Maha Kuasa.

Allah mengingatkan kepada kita bahawa Dia sendiri bersifat Maha Pemaaf. Contohilah Allah – Dia mampu untuk menghukum hambaNya, tapi Dia banyak maafkan kesalahan hambaNya.

Dia Maha Kuasa, mempunyai segala Qudrat, tapi Dia tidak terus memberi azab atau membalas kesalahan makhluk, dan Dia memberi peluang kepada makhluk. Kalau Allah boleh buat begitu, apakah tidak elok kalau kita pun begitu juga?

 


 

Ayat 150: Ini adalah ayat teguran kepada ahli kitab. Ayat-ayat sebelum ini banyak tentang ketaatan kepada Nabi. Sekarang disebut bagaimana mereka pisahkan antara Nabi dan Allah.

إِنَّ الَّذينَ يَكفُرونَ بِاللَّهِ وَرُسُلِهِ وَيُريدونَ أَن يُفَرِّقوا بَينَ اللَّهِ وَرُسُلِهِ وَيَقولونَ نُؤمِنُ بِبَعضٍ وَنَكفُرُ بِبَعضٍ وَيُريدونَ أَن يَتَّخِذوا بَينَ ذٰلِكَ سَبيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, those who disbelieve in Allāh and His messengers and wish to discriminate between Allāh and His messengers and say, “We believe in some and disbelieve in others,” and wish to adopt a way in between –

 

MALAY

Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada Allah dan Rasul-rasulNya, dan (orang-orang yang) hendak membeza-bezakan iman mereka di antara Allah dan Rasul-rasulNya, dan (orang-orang yang) berkata: “Kami beriman kepada setengah Rasul-rasul itu dan kufur ingkar kepada setengahnya yang lain”, serta bertujuan hendak mengambil jalan lain antara iman dan kufur itu:

 

إِنَّ الَّذينَ يَكفُرونَ بِاللَّهِ وَرُسُلِهِ

Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada Allah dan Rasul-rasulNya, 

Ini adalah tentang mereka yang sememangnya tidak beriman dengan Allah dan RasulNya. Tapi mereka melakukan perancangan yang jahat.

 

وَيُريدونَ أَن يُفَرِّقوا بَينَ اللَّهِ وَرُسُلِهِ

dan hendak membeza-bezakan iman mereka di antara Allah dan Rasul-rasulNya, 

Mereka ingin bezakan iman kepada Allah dan iman kepada Rasul. Mereka kononnya nak terima Allah tapi tidak mahu terima Nabi.

Dalam dunia sekarang, ada gerakan yang ajak kepada Interfaith. Kononnya hendak menyatukan agama di dunia sekarang yang berbeza-beza. Mereka kata, manusia ini sebenarnya sama yang menyembah Tuhan yang satu, tapi Nabi-nabi sahaja yang berbeza, dan nabi-nabi itulah yang menyebabkan perbezaan antara manusia itu. Oleh itu, gerakan ini kata, kalau nak samakan semua sekali, semua kena pegang Tuhan sahaja dan kena tolak Nabi. Kerana mereka kata, nabi-nabi itulah yang menyebabkan perbezaaan kefahaman agama antara manusia.

Begitulah yang dilakukan oleh Yahudi dahulu dan sekarang dilakukan kembali oleh manusia yang jahil. Mereka kata para Nabi-nabilah yang memecah belahkan manusia sedangkan Tuhan satu sahaja. Jadi, mereka kata kalau nak bersatu, kena buang semua nabi-nabi itu.

 

وَيَقولونَ نُؤمِنُ بِبَعضٍ وَنَكفُرُ بِبَعضٍ

Mereka berkata: “Kami beriman kepada setengah Rasul-rasul itu dan kufur ingkar kepada setengahnya yang lain”, 

Ini seperti yang dilakukan oleh Yahudi yang terima Taurat, tapi tolak Injil. Nasara pula terima Injil tapi tolak Qur’an. Maknanya, mereka hanya terima nabi mereka sahaja, tapi tidak terima Nabi yang lain.

Kemudian ada manusia yang mengaku Islam tapi dalam masa yang sama, mereka tolak hadis. Mereka kata macam-macam yang buruk tentang hadis. Antaranya, mereka kata hadis tidak boleh dipercayai kerana takkan boleh dipercayai benda yang disebut-sebut oleh manusia dan disampaikan dari seorang manusia kepada manusia yang lain dalam masa 1,400 tahun. Mereka kata, dalam keadaan normal, tentu ada yang tersalah cakap dan tersalah dengar. Oleh itu, mereka kata jangan pakai hadis, cuma pakai Quran sahaja.

Dan ada yang lebih teruk, sampai menjatuhkan kedudukan Nabi Muhammad asalkan boleh menolak Nabi. Mereka kata baginda ada buat salah dan sebagainya. Dan tidak kurang juga yang mempersoalkan kedudukan para sahabat dengan mengatakan ada sahabat yang menokok tambah dalam hadis yang disampaikan.

Ada yang kata agama kena progresif dan kena perbaharui agama dan tolak yang lama. Apabila ini terjadi, maka senanglah mereka hendak mengubah agama supaya ikut fahaman mereka yang salah dan dangkal.

 

وَيُريدونَ أَن يَتَّخِذوا بَينَ ذٰلِكَ سَبيلًا

serta bertujuan hendak mengambil jalan lain antara iman dan kufur itu:

Mereka ingin ambil jalan tengah antara terima agama dan tolak agama. Maknanya, mereka tidak terima semua dan tidak tolak semua. Mereka pilih-pilih mana yang kena dengan nafsu dan tekak mereka.

Kalau orang kita sekarang, ramai yang terima Qur’an sebagai satu yang mulia dan dari Allah, tapi mereka tak terima terjemahan Nabi tentang Qur’an. Kalau dah tolak, bolehlah mereka nak terjemah dan tafsir ikut hawa nafsu mereka. Ini ramai yang dilakukan oleh mereka. Jadi, nampak  macam mereka tidaklah tolak Quran secara menyeluruh, sebab mereka masih baca lagi, tapi mereka tidak belajar tafsir, sampaikan mereka hanya baca sahaja dan mereka faham Quran cara mereka sendiri sahaja.

 


 

Ayat 151: Allah nak beritahu, tak boleh begitu.

أُولٰئِكَ هُمُ الكافِرونَ حَقًّا ۚ وَأَعتَدنا لِلكافِرينَ عَذابًا مُهينًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those are the disbelievers, truly. And We have prepared for the disbelievers a humiliating punishment.

MALAY

Mereka itulah orang-orang yang kafir dengan sebenar-benarnya. Dan Kami telah menyediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang menghina.

 

أُولٰئِكَ هُمُ الكافِرونَ حَقًّا

Mereka itulah orang-orang yang kafir dengan sebenar-benarnya. 

Mereka yang buat begitu kafir sebenar. Nak jadi kafir bukan kena tolak semua, tolak satu ayat Quran sahaja dah kafir dah. Tambahan pula kalau tolak mana-mana Nabi. Kalau niat mereka memang nak bezakan Nabi dari agama, maka sudah kafir dah.

Umat yang mengaku sebagai Islam pun ada begitu.

 

وَأَعتَدنا لِلكافِرينَ عَذابًا مُهينًا

Dan Kami telah menyediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang menghina.

Inilah nasib mereka nanti di akhirat, mereka akan kekal dalam neraka.

 


 

Ayat 152: Sebaliknya, Allah memberitahu siapakah yang selamat.

وَالَّذينَ آمَنوا بِاللَّهِ وَرُسُلِهِ وَلَم يُفَرِّقوا بَينَ أَحَدٍ مِنهُم أُولٰئِكَ سَوفَ يُؤتيهِم أُجورَهُم ۗ وَكانَ اللَّهُ غَفورًا رَحيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But they who believe in Allāh and His messengers and do not discriminate between any of them – to those He is going to give their rewards. And ever is Allāh Forgiving and Merciful.

MALAY

Dan orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya dan mereka pula tidak membeza-bezakan (imannya terhadap) seseorang pun di antara Rasul-rasul itu, (maka) mereka yang demikian, Allah akan memberi mereka pahala mereka. Dan (ingatlah) adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

 

وَالَّذينَ آمَنوا بِاللَّهِ وَرُسُلِهِ

Dan orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya

Yang sepatutnya, kena beriman dengan Allah dan semua rasul-rasulNya, bukan satu sahaja.

 

وَلَم يُفَرِّقوا بَينَ أَحَدٍ مِنهُم

dan mereka pula tidak membeza-bezakan seseorang pun di antara Rasul-rasul itu, 

Tidak bezakan antara rasul-rasul itu. Kita terima semua sekali dari mereka dari segi akidah tapi tidak dari segi syariat, sebab zaman untuk amalkan syariat mereka sudah berlalu.

Tak boleh tolak mana-mana kitab dan mana-mana Nabi.

 

أُولٰئِكَ سَوفَ يُؤتيهِم أُجورَهُم

mereka yang demikian, Allah akan memberi mereka pahala mereka.

Mereka yang tidak tolak mana-mana Nabi dan mana-mana kitablah yang akan mendapat balasan baik dari Allah.

 

وَكانَ اللَّهُ غَفورًا رَحيمًا

Dan (ingatlah) adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Allah memberitahu sifatNya yang Maha Pengampun dan kasih kepada makhlukNya. Walaupun seseorang itu beriman, tapi mereka masih akan lakukan kesilapan, kerana manusia memang tidak sunyi dari melakukan kesilapan dan dosa. Maka Allah kata Allah akan ampunkan dosa-dosa mereka. Walaupun buat sudah betul tapi sebagai manusia, tetap akan lakukan kesalahan. Asalkan dia menjaga akidahnya dan menerima semua Nabi. Kerana kalau mereka ada masalah dengan akidah, mereka tidak akan diberi maaf lagi, kerana Allah telah beritahu dalam ayat yang lain yang Dia tidak akan memaafkan kesalahan syirik.

 


 

Ayat 153: Ini adalah jawapan bagi ayat 163. Mereka yang tidak mahu beriman, menggunakan alasan kenapa Qur’an tak turun sekaligus macam Taurat. Orang-orang Yahudi memang macam-macam kata mereka dan permintaan mereka yang tidak patut kepada Nabi Muhammad. Maka, Allah mengajar Nabi bagaimana hendak melayan dan menjawap mereka.

يَسأَلُكَ أَهلُ الكِتابِ أَن تُنَزِّلَ عَلَيهِم كِتابًا مِنَ السَّماءِ ۚ فَقَد سَأَلوا موسىٰ أَكبَرَ مِن ذٰلِكَ فَقالوا أَرِنَا اللَّهَ جَهرَةً فَأَخَذَتهُمُ الصّاعِقَةُ بِظُلمِهِم ۚ ثُمَّ اتَّخَذُوا العِجلَ مِن بَعدِ ما جاءَتهُمُ البَيِّناتُ فَعَفَونا عَن ذٰلِكَ ۚ وَآتَينا موسىٰ سُلطانًا مُبينًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The People of the Scripture ask you to bring down to them a book from the heaven. But they had asked of Moses [even] greater than that and said, “Show us Allāh outright,” so the thunderbolt struck them for their wrongdoing. Then they took the calf [for worship] after clear evidences had come to them, and We pardoned that. And We gave Moses a clear authority.

MALAY

Ahli Kitab (kaum Yahudi) meminta kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menurunkan kepada mereka sebuah Kitab dari langit. (Janganlah engkau merasa pelik), kerana sesungguhnya mereka telah meminta kepada Nabi Musa lebih besar dari itu. Mereka berkata: “(Wahai Musa) perlihatkanlah Allah kepada kami dengan nyata (supaya kami dapat melihatNya dan percaya kepadaNya)”. Lalu mereka disambar oleh petir dengan sebab kezaliman mereka (menderhaka kepada Allah); kemudian mereka pula menyembah (patung) anak lembu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan (mukjizat), lalu Kami maafkan mereka dari perbuatan yang sedemikian itu (ketika mereka bertaubat). Dan Kami telah memberi kepada Nabi Musa kekuasaan yang nyata (untuk mengalahkan kaum yang kafir itu).

 

يَسأَلُكَ أَهلُ الكِتابِ أَن تُنَزِّلَ عَلَيهِم كِتابًا مِنَ السَّماءِ

Ahli Kitab (kaum Yahudi) meminta kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menurunkan kepada mereka sebuah Kitab dari langit. 

Mereka minta kitab Quran diberikan sekaligus, baru mereka nak beriman. Mereka tak percaya kepada Nabi Muhammad dan mereka nak Nabi buktikan dengan turunkan kitab dari langit dengan lengkap, bukan sikit-sikit macam yang dilakukan oleh Allah.

 

فَقَد سَأَلوا موسىٰ أَكبَرَ مِن ذٰلِكَ

sesungguhnya mereka telah meminta kepada Nabi Musa lebih besar dari itu. 

Allah jawap permintaan mereka yang tidak patut itu, dalam bentuk zajrun. Dulu puak Mereka telah minta soalan yang tidak ada faedah kepada Nabi mereka (Nabi Musa) dan permintaan mereka itu lebih dahsyat. Jadi, jangan hairan dengan permintaan mereka kali ini.

Ini juga mengajar kita sebagai pendakwah, memang orang yang degil tidak mahu menerima kebenaran, mereka akan minta macam-macam hujah dan dalil yang tidak masuk akal. Mereka cuma hendak memberi alasan dan helah sahaja untuk tidak terima kebenaran.

 

فَقالوا أَرِنَا اللَّهَ جَهرَةً

Mereka berkata: “(Wahai Musa) perlihatkanlah Allah kepada kami dengan nyata”

Apakah yang mereka telah minta dahulu? Mereka minta nak lihat Allah terang-terangan, dengan mata zahir. Ini adalah soalan yang memang tidak patut dan kurang ajar sekali.

Jadi, alasan mereka meminta macam-macam itu bukanlah datang dari hati yang ikhlas hendak beriman. Kerana dulu pun kaum mereka kebanyakannya tidak beriman, sekarang pun begitulah juga. Yang minta macam-macam itu adalah mereka yang memang tidak mahu beriman. Kerana ada kalangan mereka yang baik, terus beriman apabila diberikan dengan dalil-dalil yang terang nyata.

 

فَأَخَذَتهُمُ الصّاعِقَةُ بِظُلمِهِم ۚ

Lalu mereka disambar oleh petir dengan sebab kezaliman mereka

Mereka telah dikenakan dengan azab itu kerana kezaliman mereka – maknanya ini adalah jenis soalan yang zalim. Kisah ini ada disebut dalam Surah Baqarah.

 

ثُمَّ اتَّخَذُوا العِجلَ مِن بَعدِ ما جاءَتهُمُ البَيِّناتُ

kemudian mereka pula menyembah (patung) anak lembu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas

Bukan itu sahaja, kaum Yahudi itu telah menyembah anak patung sapi betina. Itu sudah terang-terang adalah perbuatan yang syirik.

 

فَعَفَونا عَن ذٰلِكَ

lalu Kami maafkan mereka dari perbuatan yang sedemikian itu

Walaupun perbuatan mereka itu amat berat, tapi mereka dimaafkan selepas mereka bertaubat. Tapi, mereka kena bunuh diri mereka supaya taubat mereka diterima. Itu adalah syariat pada waktu itu. Walaupun mereka teruk sangat, tapi Allah masih terima maaf mereka. Allah nak beritahu kepada mereka yang degil, pintu taubat masih terbuka. Jangan lepaskan peluang itu. Kalau sebelum ini kamu telah melakukan kesalahan, hatta kesalahan syirik pun, pintu taubat masih terbuka.

 

وَآتَينا موسىٰ سُلطانًا مُبينًا

Dan Kami telah memberi kepada Nabi Musa kekuasaan yang nyata

Allah beritahu yang Dia telah beritahu authoriti kenabian kepada Nabi Musa. Walaupun mereka buat perkara-perkara yang salah, tapi apabila dikeluarkan hukum dari Tuhan melalui Nabi Musa, mereka patuh  juga. Sebagai contoh, arahan untuk membunuh diri mereka kerana mereka telah menyembah patung anak sapi, dan juga mereka kena memusnahkan patung itu. Mereka taat juga kerana Nabi Musa ada autoriti. Dan dalam masa yang sama,juga  Allah nak beritahu yang Dia juga berikan authoriti kepada Nabi Muhammad. Kalau mereka terima Nabi Musa sebagai seorang Nabi, maka mereka kenalah juga terima Nabi Muhammad sebagai Nabi.

 


 

Ayat 154:

وَرَفَعنا فَوقَهُمُ الطّورَ بِميثاقِهِم وَقُلنا لَهُمُ ادخُلُوا البابَ سُجَّدًا وَقُلنا لَهُم لا تَعدوا فِي السَّبتِ وَأَخَذنا مِنهُم ميثاقًا غَليظًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We raised over them the mount for [refusal of] their covenant; and We said to them, “Enter the gate bowing humbly”; and We said to them, “Do not transgress on the sabbath”; and We took from them a solemn covenant.

MALAY

Dan Kami telah mengangkat “Gunung Tursina” ke atas mereka disebabkan (mereka ingkar akan) perjanjian setia mereka (mematuhi hukum-hukum Taurat), dan Kami perintahkan mereka: “Masuklah kamu melalui pintu (negeri) itu dengan merendah diri” dan Kami juga perintahkan mereka: “Janganlah kamu melanggar perintah larangan yang ditentukan pada hari Sabtu”, dan Kami telah mengambil daripada mereka perjanjian setia yang teguh (yang mewajibkan mereka mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya).

 

وَرَفَعنا فَوقَهُمُ الطّورَ بِميثاقِهِم

Dan Kami telah mengangkat “Gunung Tursina” ke atas mereka disebabkan perjanjian setia mereka

Kerana mereka umat yang degil, Allah telah angkat Bukit Thursina atas mereka, untuk memaksa mereka memegang perjanjian dengan Allah. Kalaulah mereka tidak terima perjanjian itu, mereka akan dihempap dengan bukit itu. Begitu sekali Allah kena buat sebegitu dengan mereka, sebab mereka memang umat yang degil. Kerana telah diangkat gunung di atas kepala mereka, tentulah mereka sujud tunduk kepada Allah, tapi dalam masa yang sama, kepala mereka terdongak ke atas kerana takut gunung itu menimpa mereka.

 

وَقُلنا لَهُمُ ادخُلُوا البابَ سُجَّدًا

dan Kami perintahkan mereka: “Masuklah kamu melalui pintu (negeri) itu dengan merendah diri”

Dan kemudian mereka telah diarahkan untuk memasuki Kota yang telah dijanjikan kepada mereka, tapi kenalah masuk dengan merendahkan diri. Tapi ini pun mereka buat main-main. Dalam riwayat disebut mereka masuk dengan punggung dahulu. Ini kerana mereka memang bangsa yang degil.

 

وَقُلنا لَهُم لا تَعدوا فِي السَّبتِ

dan Kami juga perintahkan mereka: “Janganlah kamu melanggar perintah larangan yang ditentukan pada hari Sabtu”, 

Dan mereka juga telah diberi larangan dari bekerja pada hari Sabtu. Selepas mereka telah masuk ke dalam Kota tempat mereka yang telah dijanjikan, mereka telah diarahkan untuk menumpukan hari Sabtu untuk hanya beribadat. Mereka tidak dibenarkan bekerja pada hari itu. Tapi ada yang kerja menangkap ikan telah mencari helah. Mereka telah menahan pukat pada hari Jumaat dan mengangkat pukat itu pada hari Ahad. Jadi nampak macam mereka tidak buat kerja, tapi sebenarnya mereka telah cari helah untuk tidak taat kepada arahan itu. Ini kerana memang mereka degil.

 

وَأَخَذنا مِنهُم ميثاقًا غَليظًا

dan Kami telah mengambil daripada mereka perjanjian setia yang teguh

Yang telah disebut di atas adalah semua perjanjian yang telah dimeteri dengan Yahudi. Perkataan ميثاقًا bermaksud perjanjian yang sangat kuat. Sampaikan Allah angkat gunung atas kepala mereka kerana nak suruh mereka ikut. Waktu itu memang mereka terima. Tapi kemudian mereka derhaka. Allah hendak menceritakan apakah yang tidak kena dengan Bani Israil itu. Dan kerana kedegilan mereka itu, kedudukan mereka sebagai orang Islam telah ditarik balik dan telah diberikan kepada Bangsa Arab dari keturunan Nabi Ismail.

Ini mengajar kita, kalau kita pun tidak menjaga amanah agama yang telah diberikan kepada kita ini, kita boleh sahaja ditukar oleh Allah. Allah boleh tarik kelebihan kita ini dan diberikan kepada orang lain, bangsa lain atau makhluk lain. Tidak mustahil bagi Allah.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


 

Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 004: an-Nisa, Tafsir. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s