Tafsir Surah Ghafir Ayat 1 – 7 (Doa Malaikat Pemikul Arasy)

Mukaddimah

Kita semua kena wajib taat kepada ajaran Nabi Muhammad. Ini banyak disebut dalam ayat-ayat dalam Quran dan hadis Nabi. Apa sahaja doa yang kita buat, perlu ikhlas seperti yang Nabi kita ajar. Kalau tak, tak diterima doa itu.

Yang paling penting, tidak boleh menggunakan perantaraan makhluk dalam berdoa. Seperti yang disebut di dalam Ayat ke 60 surah al-Ghafir ini. Itulah dalil yang mengatakan kita kena doa terus kepada Allah sahaja. Bukan melalui perantaraan. Kalau ada yang kata boleh berdoa guna perantaraan, maka kenalah bawa bukti yang Nabi ajar menggunakan perantaraan makhluk dalam berdoa. Allah berfirman dalam ayat 60:

وَقالَ رَبُّكُمُ ادعوني أَستَجِب لَكُم ۚ إِنَّ الَّذينَ يَستَكبِرونَ عَن عِبادَتي سَيَدخُلونَ جَهَنَّمَ داخِرينَ

Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.

 

Banyaklah kesalahan yang dilakukan manusia dalam hal berdoa ini. Sebagai contoh, pernah ada kisah seorang yang kerana hendakkan nombor ekor, telah pergi minta kepada Sami Hindu. Dia sanggup pergi kuil dan sujud kepada patung di kuil itu. Padahal dia ini tak tinggal solat. Sami itu kata tak payah sembah, angguk kepala dah cukup. Sami itu suruh dia ambil kura-kura untuk dibomohkan untuk dapat nombor ekor. Kena pula cari kura-kura warna kuning. Bila dah dapat tu, kena pula mandi junub dulu kura-kura itu. Inilah kata-kata orang Buddha kepada lelaki itu. Dan kemudian ambikkan air sembahyang kepada kura-kura itu. Dan memang lelaki itu telah buat seperti yang disuruh.
Ini semua terjadi kerana tidak tahu cara berdoa. Mereka rasa susah sangat untuk berdoa dan kena cara-cara yang spesifik dan tertib yang tertentu yang amat payah. Sedangkan, senang sahaja cara untuk berdoa.

 

Cara-cara berdoa

Mudah sahaja cara-cara untuk berdoa. Lafaz doa itu dalam bahasa Melayu pun boleh, sebab Tuhan kita ini pandai cakap Melayu. Semua bahasa Allah faham kerana Allah Maha Mengetahui. Maka, kerana kita fasih bahasa Melayu, maka baca doa dalam bahasa Melayu sahaja supaya doa kita lebih khusyuk dan kita pun faham apa yang kita minta.

Mulakan dengan memuji Allah, cara yang mudah adalah: ‘Alhamdulillahi rabbil alamin’. Atau boleh juga kalau baca al-Fatihah. Sampai kepada ayat ‘maaliki yaumiddin’. Kemudian baca selawat. Dan berdoalah lebih kurang seperti ini:

“Ya Allah ya Tuhanku, Kamulah yang mencipta tujuh langit dan tujuh bumi. Dan Kau jugalah yang mencipta diriku. Engkau memberi makan kepada semua makhluk termasuk diriku sendiri. Ya Allah yang Tuhanku, aku ni banyak berdosa ya Allah. Dan sekarang aku ada masalah besar.”

Kalau nak minta sesuatu, tak sesuai kalau nak minta terus apa yang kita hajatkan. Kenalah kita minta ampun atas segala dosa kita dahulu. Contohnya, kalau anak kita ada salah besar dengan kita, tapi terus minta duit. Takkan kita sebagai ayah nak bagi terus, bukan? Tapi kalau dia datang dengan mengaku salah dan dengan minta maaf, tentulah kita lembut hati untuk bagi sedikit wang kepadanya. Macam itulah juga kita dengan Tuhan. Dosa kita sudahlah banyak, tapi nak minta macam-macam dengan Allah. Agak-agak Tuhan nak bagi tak? Padahal dosa bertimbun-timbun. Ketahuilah, doa itu payah nak diperkenankan sebab kita tak minta ampun dulu dari segala kesalahan dan dosa kita. Maka, eloklah kita puji Allah dulu dan kemudian itu kita minta ampun. Mengakulah segala dosa-dosa kita dan minta Allah ampunkan semuanya sekali.

Sambung: “Masalah aku yang besar ya Allah, janganlah masukkan aku ke dalam neraka Kamu ya Allah.”

Sebab masalah yang paling besar adalah apabila tiba akhirat. Kita tidak tahu apakah nasib kita nanti. Apa-apa sahaja masalah kita di dunia tidak sama dengan masalah di akhirat kalau kita masuk neraka. Jadi, itulah yang nak diselesaikan dulu.

“Jadi aku minta Kau ampunkan semua sekali dosaku, dan masukkan aku ke dalam syurgaMu, ya Allah. Tapi aku juga ada masalah di dunia ini, Tuhanku. Masalah aku adalah ini dan ini….kalau Kamu makbulkan doa aku, Engkaulah Tuhan. Kalau Kamu tak mahu makbulkan, Kau masih Tuhanku. Tapi kalau Kau tak makbulkan doaku, kepada siapa lagi aku nak berdoa?”

Lihatlah begitu mudahnya doa. Kita boleh susun sendiri ayat kita itu dengan kata-kata yang kita faham. Yang penting, kita terus doa sendiri sahaja, tidak minta tolong atau upah sesiapa untuk doakan untuk diri kita. Maka kita perlu berhenti minta tolong kepada guru, tok imam, orang-orang masjid dan sebagainya. Dan jangan cebur diri menyertai pasukan yang melakukan majlis doa itu. Selalunya kita akan pergi sebagai penyempurna doa – tukang aminkan. Cukup sudah kita terlibat dalam perbuatan sebegitu. Itu bukanlah amalan dalam Islam tapi rekaan dan bidaah dalam agama.

Semua itu terjadi kerana tidak faham tentang ‘tauhid dalam berdoa’. Kalau kita dah buat selama hari ini, mengaku apa sahaja dosa tersebut dan minta selamat dari neraka. Itu yang paling penting. Tidak pernah Nabi melakukan doa sepertimana yang dilakukan oleh masyarakat kita hari ini.

 

Dalam sejarah Islam, Nabi pernah berjihad perang sebanyak 25 kali yang baginda pergi sendiri. Tidak ada satu pun Nabi melakukan majlis Solat Hajat Perdana beramai-ramai atau majlis Doa Selamat. Ada jihad yang Nabi tak pergi, di mana sahabat sahaja pergi. Dan semua sekali dalam seratus peperangan yang Nabi dan sahabat pergi. Samada jihad yang Nabi pergi, atau sahabat pergi, tidak pernah sekali mereka buat solat hajat.

Solat hajat perdana bidaah

Zaman sekarang ni setiap tahun ibu-bapa diminta hadir sekolah untuk solat hajat beramai-ramai semata-mata anak mengambil pepereksaan.

Dan semasa orang nak bunuh Nabi, tidak juga dia panggil sahabat-sahabat semua untuk berdoa ramai-ramai. Tapi sekarang, kita buat Solat Hajat berjemaah hampir setiap kali selepas Solat Jumaat. Padahal perkara seperti ini, Nabi tak pernah buat. Bayangkan apabila di Madinah, pun Nabi dan para sahabat tidak melakukan Solat Hajat untuk menentang pendita Yahudi atau sesiapa jua pun. Itulah akidah Nabi kita. Jadi kalau kita buat, maknanya kita telah buat perkara baru dalam agama yang tidak datang dari Nabi.

Jadi belajarlah cara untuk berdoa dengan betul. Jangan malu dan sombong untuk minta terus dengan Tuhan. Mintalah apa yang nak minta. Kita semua ada masalah dan kita semua ada hajat keperluan dalam kehidupan kita. Apabila ada masalah dan keperluan, kitalah sendiri minta Tuhan selesaikan. Kirim doa kepada orang lain tak boleh.

Tapi Nabi pernah cakap kepada Umar semasa Umar nak pergi umrah. “Ingatlah kami dalam doa kamu.” Nabi tak cakap doa untuk apa. Ikut apa yang Umar nak doakan. Kalau macam itu dibolehkan. Jangan beritahu maksud doa kita. Ini adalah kepada orang yang nak bermusafir. Kerana orang musafir adalah makbul doanya. Kalau cara begini, dibolehkan.

Kita perlulah mengikut apa yang telah diajar oleh Allah dan Nabi kita. Tidak boleh kita buat amalan agama yang Nabi tidak beri contoh. Sebagai contoh, katakanlah kita ini rajin ibadat, dan kita nak solat wajib buat dua kali pun tidak boleh. Kerana memang tidak pernah diajar begitu. Kalau solat sunat pula, nak buat berapa banyak pun boleh. Jadi, nak buat ibadat kena ikut apa yang Nabi ajar. Mesti kena ikut sunnah Nabi. Orang yang buat amal soleh, barulah dinamakan ‘orang soleh’. Dan amalan yang soleh itu adalah amalan yang ada contoh dari Nabi. Kalau ibadat tidak seperti yang Nabi ajar, ibadat itu tidak diterima oleh Allah. Contohnya, Majlis Tahlil tidak ada dalam syariat kerana Nabi tak pernah ajar buat sebegitu. Apabila Siti Khadijah mati, anak-anak baginda seperti Ibrahim, Qasim, Ruqyah mati, pun baginda tak buat Majlis Tahlil. Ianya adalah amalan yang sia-sia. Tidak ada pahala langsung yang boleh diharap dalam amalan bidaah sebegini. Kalau kita kata dapat pahala kalau buat amalan bidaah, itu bermakna kita telah dusta atas nama agama. Dan ini adalah masalah besar, bukan masalah kecil seperti yang banyak dianggap oleh masyarakat kita.

Imam Malik tentang bidaah nampak baik.

Kalau kita kata kita buat amalan tambahan ni nak bagi nampak lebih kemas, molek maka kita dah anggap kerja Nabi tak sempurna. Nabi ajar tak habis, benarkah begitu?

 

Jadi, majlis ibadat apa sahaja yang kita buat, mesti ada sunnah dari Nabi. Barulah kita boleh dipanggil ahli sunnah wal jamaah. Semua empat mazhab tak buat Majlis Tahlil. Mazhab Syafie di negara lain pun tak buat juga.

Ada pula orang yang berhujah, kalau amalan bidaah itu ikhlas, Allah akan beri pahala. Ini adalah anggapan yang salah. Belajarlah kita bagaimana Nabi Adam telah dikeluarkan dari Syurga. Syaitan telah pujuk Nabi Adam untuk makan buah yang dilarang. Dia perdaya Nabi Adam dengan kata, Allah cuma tak bagi datang dekat sahaja, tapi Allah tak larang dari makan. Dan kalau Nabi Adam makan, Nabi Adam akan kekal di syurga. Oleh kerana terpedaya dengan helah syaitan itu, maka Nabi Adam telah memakan dari pokok larangan itu. Maka, perbuatan Nabi Adam memakan pokok itu bukanlah kerana dia hendak engkar kepada Allah, tapi kerana dia hendak mendekatkan dirinya dengan Allah. Dia makan sebab nak duduk dalam syurga. Bukan dia makan untuk menentang larangan Allah. Jadi, orang kita buat semua amalan bidaah itu, sebenarnya memang nak buat ibadat. Mereka sangka itu adalah cara untuk mendekatkan diri kepada Allah. Niat kita semua baik. Tapi malangnya, ramai telah ditipu oleh syaitan. Macam Nabi Adam juga yang telah ditipu oleh syaitan.

Jadi apa alternatif kita untuk menolong orang-orang yang telah tiada? Yang perlu dibuat, sepertimana yang telah disebut di dalam hadis, adalah mendoakan mereka. Darjat mereka akan naik daripada ada dosa-dosa dengan sebab dipohonkan keampunan anak dosa-dosa itu dihapuskan. Selepas penghapusan dosa dinaikkan pula darjat.

doa anak kepada ibu bapa meninggal dunia

Dua hadis sahih tentang doa anak kepada ibubapa yang telah meninggal dunia. Doa anak-anak dapat membantu ibub-bapa di alam barzakh bukan sebab kenduri arwah atau haul atau kiriman kenduri tahlil.

Hadith lain pula: Bila meninggal anak adam, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara. Pertama, sedekah jariah termasuk amal soleh, kedua, Ilmu yang berguna. Akhir sekali adalah anak soleh yang doa kepada kita. Orang masuk neraka sebab apa? Kerana banyak dosa. Kenapa pula boleh masuk syurga? Kerana rahmat Allah taala. Ingatlah bahawa bukan kerana pahala kita kita dapat masuk syurga. Rahmat pula datang melalui amal soleh dan hati yang ikhlas murni. Masuk neraka kerana dosa. Sesiapa yang mati dan kita tak nak dia masuk neraka, kita minta Allah ampunkan dosa dia semuanya. Tapi kita sekarang ni buat terbalik. Kita kirim pahala pula. Padahal yang masalah dia adalah dosa dia. Kalau dosa semua sudah diampun, tinggal pahala sahaja pada dia. Syurgalah tempatnya. Tanggungjawab anak kepada mak ayah adalah sehingga dia mati. Cumanya kita tak tahu doa kita diterima atau tidak, jadi kita kena sentiasa minta. Cara nak suruh makbul doa adalah: istighfar daripada dosa kita dulu. Dan doalah kepada Allah: “Kesianlah mak bapak aku. Ampunkan dosa dia semua sekali.”

Katakanlah kita dapat darjat tinggi dalam syurga nanti, tapi mak ayah darjah rendah sikit, kita boleh ajak dia naik. Bapa pun boleh heret anak naik darjat. Untuk duduk sekali bersama-sama dalam syurga. Tapi, kalau dari neraka, tak boleh minta keluar. Dia sendiri pun tak ingat keluarga dia yang dalam neraka. Kalau Allah benarkan dia ingat, dia akan sedih. Dalam neraka bukan tempat untuk bersedih, jadi Allah akan lupakan dari mengingati keluarganya yang tidak masuk syurga. Janji orang yang kita hendak tolong itu tak buat syirik. Kalau buat syirik, tak boleh tolong. Seperti Nabi tak boleh tolong mak dia sendiri.

Kisah Nabi meminta Umar al Khattab untuk berdoa untuknya. Siapa Umar? Nabi pangkat tinggi suruh Umar yang rendah pangkat dari baginda untuk berdoa. Maknanya tidak ada kepentingan dan pengharapan dari Nabi kepada doa Umar itu. Tapi kita pula rasa tak kuat kalau doa sendiri. Kita tidak rasa bahawa doa kita diterima oleh Allah, maka kita minta orang lain yang kita rasa lebih alim untuk mendoakan untuk kita. Ini adalah cara yang salah.

Ada beberapa tempat yang telah disebut sebagai waktu mustajab untuk berdoa. Semasa kita bermusafir contohnya. Dalam majlis ilmu; Selepas majlis ilmu; Antara azan dan iqamah; Di masjid; Selepas solat jemaah lima waktu. Maknanya lima kali sehari makbul doa kita; Doa seorang isteri selepas melayan suaminya; sewaktu jumpa orang sakit. Lepas ziarah, contohnya selepas ziarah keluarga mati. Itu semua adalah tempat dan makbul doa dan lain-lain lagi yang tsabit dari hadis. Tapi sebab tak belajar, kita minta tok guru doakan untuk kita kerana kita tidak tahu perkara-perkara itu. Padahal Tuhan dah buka seluas-luasnya peluang untuk berdoa.

 

Pengenalan kepada Surah Ghafir

Surah ini juga dinamakan sebagai Surah Mu’min kerana ada kisah tentang lelaki mu’min dalam surah ini. Lelaki itu adalah dalam kalangan pembesar Firaun tapi beliau beriman dan menyembunyikan keimanannya. Tidak ramai yang tahu tentang kisah itu dan in sha Allah kita akan memperkenalkan beliau dalam tafsir surah ini.

Dari surah Ghafir ini sampailah kepada surah Ahqaf nanti, semuanya dimulakan dengan huruf muqattaah ‘ha mim’. Oleh kerana itu, ketujuh-tujuh surah ini dikenali sebagai ‘sab’u hawamiim‘ – tujuh ha mim’. Juga dikenali sebagai hamimaat. Ada kelebihan kepada surah-surah yang dimulakan dengan ha mim ini. Ianya mengandungi bacaan yang indah-indah dan mengandungi peringatan yang amat penting. Banyak sekali riwayat-riwayat tentang kepentingan surah-surah yang dimulai dengan ‘ha mim’ ini. Dan selepas disebut ‘ha mim’ itu, Allah terus menyebut tentang Quran. Ini kerana hendak menekankan kepentingan Quran itu. Allah menarik perhatian manusia kepada Quran dengan menggunakan huruf-huruf Muqatta’ah itu.

Surah Ghafir ini diturunkan selepas surah Zumar. Tujuan utama Surah Ghafir ini adalah untuk menjelaskan Tauhid dalam berdoa. Ia menafsirkan ayat إِيّاكَ نَستَعينُ dalam Surah Fatihah. Ada tujuh surah hendak menjelaskan potongan ayat itu sahaja, kerana penting sangat perkara itu. Allah nak bagi kita faham supaya tidak ada kekeliruan lagi. Kenapa ada tujuh surah? Surah Ghafir ini menjelaskan tentang tauhid dalam berdoa dan enam surah lagi menyentuh tentang kekeliruan yang mungkin timbul dalam doa itu. Maknanya, sampai tidak ada ruang untuk mengatakan boleh syirik dalam berdoa.

Itulah kepentingan tahu dengan jelas makna إِيّاكَ نَستَعينُ. Kena faham betul-betul. Inilah perkara paling penting dalam hawamim tujuh ini. Sampaikan untuk beri faham, Allah sampai bawa tujuh surah. Sedangkan إِيّاكَ نَعبُدُ, Allah hanya bawa satu surah sahaja iaitu Surah Zumar. Kalau nak mula mengajar, kalau boleh hendaklah mengajar hamim tujuh ini dahulu kepada anak murid. Inilah cara sahabat Nabi belajar dahulu, dimana mereka mendahulukan mana yang lebih penting. Ajar perkara yang penting dahulu biar betul-betul meresap dalam hati.

Kita teruskan dengan menjelaskan tentang doa dahulu. Manusia tidak lepas dari dua perkara:

  1. Hajat. Berbagai-bagai keperluan dan keinginan kita di dalam hidup ini dan mengharapkan ianya diberikan kepada kita.
  2. Penyelesaian kepada masalah dan musibah. Sebagai manusia, tentu ada banyak masalah yang kita akan hadapi. Apabila kita menghadapi perkara itu, kita berharap semoga ianya dapat diselesaikan.

Dalam kedua-dua perkara ini, kita bergantung kepada Allah. Kalau Allah tak beri, tentu kita tidak dapat apa yang kita hajati dan masalah tentu tidak dapat diselesaikan atau diselamatkan langsung. Tidak kira samada perkara itu kecil atau besar. Jangan kita sangka yang perkara besar sahaja kita minta kepada Allah, tapi ingatlah kena minta kepada Allah dalam semua perkara. Sebab itu Nabi ajar doa dalam perkara yang remeh temeh pun kena minta kepada Allah. Sebab itu kita kena minta kepada Allah dulu sebelum minta kepada orang lain. Mintalah kepada Allah walau pun putus tali selipar. Jangan ada ruang dalam hidup kita yang kita tidak bergantung kepada Allah. Sentiasalah doa kepada Allah dalam setiap keadaan. Kena dekat dengan Allah. Jangan dalam hajat besar sahaja kita harap kepada Allah.

Inilah tauhid dalam berdoa. Kita kena hadapkan doa kita kepada Allah dalam setiap perkara. Kalau kita tidak lafazkan, sekurang-sekurangnya minta dalam hati. Kena tawajuh semasa meminta. Jangan lafaz dengan lidah tapi hati tidak tawajuh. Ingatlah yang Allah tidak terima doa dari hati yang lalai leka.

Dakwa surah adalah dalam ayat 14.

Dakwa maksud surah ghafir

Tema atau maksud utama Surah Ghafir

فَادعُوا اللَّهَ مُخلِصينَ لَهُ الدّينَ وَلَو كَرِهَ الكافِرونَ

Oleh itu maka serulah Allah dengan mengikhlaskan doa kepadaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak menyukai.

Dakwa Surah Ghafir ini sama seperti ayat إِيّاكَ نَستَعينُ. Huruf فَ dalam ayat ini dipanggil fa fasilah. Ianya digunakan selepas diberikan hujah-hujah. Maksudnya, apabila semua dalil telah diberikan sebagai hujah kena doa hanya kepada Allah, maka kenalah doa kepada Allah sahaja. Lafaz الدّينَ dalam ayat ini adalah ‘doa’. Kerana surah ini berkenaan dengan doa dan seperti yang kita telah belajar sebelum ini, lafaz الدّينَ boleh membawa maksud kepada empat perkara, bukan hanya ‘agama’ sahaja.

Begitu pentingnya Dakwa dalam ayat ini, sampaikan semua surah-surah hamim yang lain pun Dakwanya adalah ayat 14 ini sahaja. Semua surah hamim yang lain adalah penjelasan bagi kesamaran dalam hati hamba dalam hal berdoa. Setiap satu ada kesamaran yang hendak diperbetulkan. Supaya setelah habis hamim tujuh, tidak ada langsung kemusykilan tentang doa ini. Ini adalah kelainan dalam surah hamim tujuh ini kerana selalunya satu surah akan ada Dakwanya yang khusus. Tapi dalam hamim tujuh ini, tujuh surah berkongsi satu Dakwa.

Satu lagi tema surah Ghafir ini adalah dakwah kepada Allah. Kita disuruh mengajak manusia kepada Allah. Allah mengajar kita kepentingan mengajak dan mengajar manusia kepada Allah dalam surah ini. Dan dalam sura ini juga, Allah mengajar manusia bagaimana cara untuk berdakwah. Antara perkara yang diingatkan dalam surah ini adalah, dalam berdakwah, kita kena serahkan urusan kita kepada Allah.

 

Ringkasan Surah:

Dimulai surah ini dengan empat tajuk penting sebagai muqaddimah kepada surah ini. Kemudian ada ayat targhib kepada maksud penting. Jadi kena tahu dulu susunan tajuk-tajuk itu:

Ayat 2-3: Tajuk pertama. Nak beritahu bahawa arahan kepada tauhid dalam berdoa itu adalah dari Allah sendiri. Allah sendiri yang ajar dan tuntut dari kita. Maka hendaklah kita ikut dan patuh.

Ayat 4-6: Tajuk Kedua. Hendak memberitahu kepada kita bahawa tidaklah menentang tauhid dalam doa itu kecuali mereka yang ‘kafir degil’ sahaja.

Ayat 7-9: Tajuk Ketiga. Hamba yang boleh menerima tuntutan tauhid dalam berdoa, mereka akan mendapat doa daripada malaikat. Inilah kelebihan mereka yang faham dan taat kepada tuntutan Tauhid fi Dua’.

Ayat 10-12: Tajuk Keempat. Orang yang mati dalam menolak tauhid dalam berdoa, penyesalan dan taubat mereka di akhirat tidak akan dapat membantu mereka dari azab Allah sedikit pun.

Selepas itu ayat, 13-14 adalah targhib untuk fokus kepada perkara-perkara penting itu dan ayat 14 itu sendiri adalah Dakwa surah.

 


Surah 40. Ghafir, Verse 1:

حم

Haa Miiim.

Tuhan sahaja yang tahu makna. Kita hanya dapat tahu tafsir ayat-ayat selepas ini. Kita tidak tahu apa makna ayat ini. Ayat-ayat jenis ini dinamakan ayat-ayat Muqattaah. Kita hanya boleh tafsir ayat yang selepas ayat muqattaah ini sahaja.

Ini menyedarkan kita bahawa, kalau Allah tidak memberitahu apa-apa kepada kita, kita tidak akan tahu apa-apa. Bukanlah huruf-huruf Muqattaah ini tidak ada makna. Ada maknanya, cuma kita sahaja yang tak tahu. Kerana Allah tidak memberitahu kepada kita. Nabi Muhammad pun tidak pernah menceritakan apakah maknanya. Kita tahu tidak ada maklumat tentangnya, kerana tidak ada hadis yang Nabi memberitahu maknanya. Ada perkara yang Allah tak beritahu kepada kita, termasuklah kepada Nabi Muhammad. Kalau Nabi Muhammad tahu maknanya, maka wajib bagi baginda untuk memberitahu kepada kita kerana tugas Nabi adalah menafsir Quran kepada kita.

Ini adalah satu ujian kepada orang yang alim – (orang berilmu). Ujian untuk lihat sama ada mereka boleh kata mereka ‘tidak tahu’. Untuk melihat samada mereka boleh mengaku kepada manusia bahawa mereka tidak tahu. Kerana mereka mungkin rasa malu untuk mengaku tidak tahu kalau ditanya. Takut orang hairan kenapa mereka tidak tahu, takut malu dikata begitu. Masalahnya, ada orang alim yang walaupun mereka tidak tahu dengan pasti, mereka akan jawap juga mengikut agak-agak mereka, walaupun mereka tahu maklumat itu tidak tepat. Ini mengingatkan kita kepada kisah bagaimana pernah satu rombongan dari jauh datang bertemu Imam Malik dengan membawa 18 soalan. Imam Malik hanya menjawap 3 sahaja soalan-soalan itu dan selainnya, Imam Malik jawap: ‘tidak tahu’.

Kepada kita yang tidak berilmu ini, ayat ini mengajar kita untuk mula belajar dengan ‘tidak tahu’. Dengan mempunyai fikiran yang kosong, bersedia untuk menerima ilmu. Kalau kita mulakan belajar sesuatu dengan idea lain yang sudah ada dalam fikiran kita, itu akan jadi satu gangguan kepada pemahaman kita.

Satu lagi, huruf-huruf Muqattaah ini mungkin diletakkan sebegitu rupa untuk menarik perhatian orang yang mendengar. Bangsa Arab adalah satu bangsa yang amat berbangga dengan penguasaan bahasa mereka. Penggunaan huruf Muqattaah ini tidak pernah mereka dengar. Jadi, apabila Quran menggunakan perkataan sebegini, mereka kehairanan dan mereka akan tertanya-tanya apakah yang hendak dibawa oleh ayat-ayat Quran itu. Oleh itu, mereka akan memberi perhatian kepada ayat-ayat yang seterusnya.

Oleh , kalimah Ha Mim ini adalah kalimah untuk tawajuh. Orang yang tahu bahasa Arab, apabila jumpa benda pelik sebegini yang tidak biasa dengar, dia akan tawajuh.

Kita kena ingat bahawa, walaupun bahasa Qur’an menggunakan bahasa Arab, tapi apabila ia telah menjadi kalam Allah, sudah jadi lain dan tidak sama dari bahasa Arab yang asal. Bahasa Quran adalah mukjizat dan bukanlah bahasa Arab yang biasa.

Kepada kita, walaupun kita tidak menguasai bahasa Arab, tetapi apabila kita baca huruf-huruf Muqattaah ini, ianya adalah satu penggunaan bahasa yang amat menarik perhatian kita. Kita akan rasa terpanggil untuk terus membaca ayat-ayat seterusnya. Begitulah keindahan Quran yang Allah telah jadikan untuk kita.

 


Surah 40. Ghafir, Verse 2: Ini adalah Dalil Wahyi. Untuk memberitahu kepada kita bahawa apa yang disampaikan oleh Allah tentang Tauhid dalam Berdoa ini bukanlah rekaan dari Nabi Muhammad, tapi ianya ada titah suruhan dari Allah dalam Quran sendiri. Dalil Wahyi mengajar kita untuk menggunakan dalil dalam berhujah. Kalau kita katakan sesuatu tentang agama, kenalah diberikan dalil dari nas.

تَنزيلُ الكِتابِ مِنَ اللَّهِ العَزيزِ العَليمِ

Sahih International

The revelation of the Book is from Allah , the Exalted in Might, the Knowing.

Malay

Turunnya Al-Quran ini dari Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui;

تَنْزِيلُ الْكِتَابِ مِنَ اللَّهِ

Turunnya Kitab (Quran) ini adalah dari Allah

Ayat ini mengingatkan kita bahawa Quran ini DARI Allah. Bukan dari yang selain Allah. Tidak ada perkataan yang lebih utama selain dari kalam Allah. Maka, kenalah terima Quran ini. Kalau orang lain kata ada lagi Kalam Tuhan selain dari Quran ini, maka kenalah bawakan supaya kita pun boleh tengok dan bandingkan sama-sama samada boleh pakai atau tidak.

Penurunan Quran mengambil masa selama 23 tahun. Bukan sekaligus macam kitab-kitab sebelum itu. Sebagai contoh, Kitab Taurat turun siap bertulis. Injil turun terus dan masuk ke dalam hati Nabi Isa lengkap semua kali.

 

الْعَزِيزِ

yang Maha Gagah Perkasa 

Allah memperkenalkan DiriNya dalam ayat ini. Al-Aziz bermaksud yang Maha Perkasa, yang tidak boleh dikalahkan. Dia menguasai segala-galanya.

الْعَلِيمِ

dan Maha Mengetahui.

Allah juga Maha Mengetahui. Hanya Dia sahaja yang mengetahui segala-galanya. Tidak sama ilmu Allah kalau dibandingkan dengan makhlukNya. Ilmu Allah lengkap dan merangkumi segala-galanya. Kita pun ada ilmu juga, tapi ilmu kita amat terhad.

Oleh kerana Quran itu diturunkan dari Allah yang Maha Perkasa dan IlmuNya meliputi segala-galanya, maka berikan keutamaan kepada Quran ini. Ianya bukan buku biasa. Jangan kita buat tak tahu sahaja. Jangan kita letak sahaja di pejabat dan di rak buku di rumah. Jadikanlah ia sebagai sumber rujukan kehidupan kita.

Ada dua sifat disebut dalam ayat ini. Dua sifat ini adalah kunci kepada sifat-sifat yang lain. Kalau dapat menjiwai dua sifat ini, maka akan mudah untuk menerima sifat-sifat yang lain. Dua sifat ini adalah tentang ‘kuasa’ dan tentang ‘ilmu’.

  1. Setiap hari kita ada hajat dan musibah. Kita pun mengadu kepada Allah yang memang tahu pun masalah itu kerana Dia maha mengetahui. Allah sahaja yang tahu samada ianya baik untuk kita atau tidak. Maka kita serahkan kepada Allah samada molek untuk kita atau tidak.
  2. Dan Allah sahaja yang berkuasa penuh boleh selesaikan masalah itu. Hanya Allah sahaja yang boleh menunaikan hajat kita.

Jadi dua sifat ini adalah dua sifat utama dalam berdoa. Kalau kita faham dua sifat ini, maka kita tidak ada masalah untuk berdoa hanya kepada Allah kerana kita tahu, Dia lah tempat pengharapan yang paling sesuai kerana dua sifat itu. Malangnya, orang yang ada fahaman syirik dalam diri mereka, mereka rasa macam ada lagi ilah selain Allah yang ada kuasa dan ada ilmu. Maka, sebab itu mereka seru dan minta doa kepada entiti-entiti itu – samada Nabi, wali atau malaikat atau apa sahaja.

 


Surah 40. Ghafir, Verse 3: Allah terus memperkenalkan DiriNya dalam ayat ini. Ada 3 Sifat jenis Jamaliah dan 1 Sifat jenis Jalaliah. Kalau kenal Sifat-sifat ini, manusia tidak akan lari lagi dari Allah. Mereka akan menerima Allah sebagai yang sepatutnya. Kerana dari Sifat-sifat ini, kita akan kenal Allah, akan takut dengan Allah. Tapi takut kepada Allah berbeza dengan takut kepada makhluk. Kerana kalau takut kepada makhluk, kita akan lari, macam kita lari dari harimau. Tapi, berlainan kalau dengan Allah. Semakin kita takut kepada Allah, semakin kita akan mendekat dengan Allah. 

Sifat Jamaliah: Sifat yang membawa kebaikan kepada hamba. Ini adalah sifat yang dicari oleh setiap hamba.

Sifat Jalaliah: Sifat yang membawa keburukan kepada hamba. Ini adalah sifat yang amat ditakuti oleh makhluk.

غافِرِ الذَّنبِ وَقابِلِ التَّوبِ شَديدِ العِقابِ ذِي الطَّولِ ۖ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ ۖ إِلَيهِ المَصيرُ

Sahih International

The forgiver of sin, acceptor of repentance, severe in punishment, owner of abundance. There is no deity except Him; to Him is the destination.

Malay

Yang Mengampunkan dosa, dan Yang Menerima taubat; Yang Berat azabNya; Yang Melimpah-limpah kurniaNya; tiada Tuhan melainkan Dia; kepadaNyalah tempat kembali.

غَافِرِ الذَّنبِ

Yang mengampun dosa.

Allahlah yang mampu mengampun dosa makhlukNya. Apabila digunakan perkataanغَافِرِ dalam ayat ini dalam bentuk begitu, itu bermaksud yang Allah berterusan mengampun dosa hambaNya. Mungkin hamba itu melakukan dosa, kemudian telah bertaubat. Kemudian hamba itu melakukan lagi dosa yang sama dan bertaubat. Allah telah menerima taubat hambaNya itu kerana Allah bersifat al-Ghaafir.

Ini adalah Sifat Jamaliah Allah. Sifat Jamaliah ialah sifat indah, lemah lembut, cinta dan mengandungi segala yang baik. Allah boleh menutup segala dosa-dosa yang kita lakukan kalau Dia mahu. Apabila Allah tutup dosa kita, orang lain tidak tahu lagi tentang dosa kita, maka tidaklah kita malu di hadapan manusia dan makhluk yang lain. Kerana kalau orang lain tahu, tentulah kita malu.

Apabila kita menutup sesuatu, bermakna kita juga menjaganya, bukan? Sebagai contoh, kalau kita tutup kepala kita dengan helmet, bukan sahaja kepala ditutup, tapi kepala itu juga dilindungi. Begitu juga, apabila Allah tutup dosa kita, Dia melindungi diri kita dari ‘kesan’ dosa itu. Kerana dosa memberi kesan yang tidak elok kepada diri kita sebenarnya. Maka, kita memang mengharap semoga Allah menutup dosa kita dan melindungi kita dari kesan buruk dosa itu. Kerana kita tidak mahu menerima kesan buruk dari dosa itu.

Perkataan الذَّنبِ bermaksud segala jenis dosa.

Sesiapa sahaja yang meminta ampun kepadaNya, Dia akan mengampunkan dosa kita. Seperti yang Allah sebut dalam Zumar:53

۞ قُل يا عِبادِيَ الَّذينَ أَسرَفوا عَلىٰ أَنفُسِهِم لا تَقنَطوا مِن رَحمَةِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَغفِرُ الذُّنوبَ جَميعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الغَفورُ الرَّحيمُ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Dalam ayat surah Zumar ini, apabila Allah menggunakan perkataan يا عِبادِيَ , itu merujuk kepada semua hambaNya, tidak kira yang beriman atau tidak.

Begitu juga, Allah telah sebut dalam Nisa:110,

وَمَن يَعمَل سوءًا أَو يَظلِم نَفسَهُ ثُمَّ يَستَغفِرِ اللَّهَ يَجِدِ اللَّهَ غَفورًا رَحيمًا
Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Allah gunakan perkataan مَن dalam ayat ini yang bermaksud ‘sesiapa sahaja’. Ini termaksuklah kalau orang itu orang yang kafir pun. Kerana Allah telah berfirman dalam Anfal:38

قُل لِلَّذينَ كَفَروا إِن يَنتَهوا يُغفَر لَهُم ما قَد سَلَفَ وَإِن يَعودوا فَقَد مَضَت سُنَّتُ الأَوَّلينَ
Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang kafir itu, jika mereka berhenti (dari kekufurannya), nescaya akan diampunkan dosa mereka yang telah lalu, dan jika mereka kembali lagi (ingkar maka Kami akan menyeksa mereka), kerana sesungguhnya telah berlakulah kebinasaan orang-orang (yang kufur ingkar) dahulu kala.

Oleh itu, kalau orang kufur pun bertaubat, Allah akan terima taubat mereka.

Allah memang mudah memberi ampun. Kalau orang beriman tidak meminta ampun pun, tapi mereka melakukan perbuatan yang baik, Allah akan bersihkan dosanya itu. Seperti yang Allah firman dalam Hud:114

إِنَّ الحَسَناتِ يُذهِبنَ السَّيِّئَاتِ

Sesungguhnya amal-amal kebajikan itu menghapuskan kejahatan.

وَقَابِلِ التَّوْبِ

Dan Penerima Taubat. 

Satu lagi Sifat Jamaliah.

Perkataan التَّوْبِ bermaksud ‘pulang’ dari segi bahasa. Rujuk balik ke tempat asal. Oleh itu, ‘taubat’ bermaksud pulang dari melakukan maksiat dan kembali kepada mengikut arahan Allah. Dalam bahasa yang lain, ianya boleh diumpamakan seperti kita buat U-turn di jalanraya. Apabila kita sedang memandu dan kita sudah tahu yang kita sudah silap jalan, kita akan u-turn dan kembali kepada jalan yang betul, bukan? Begitulah dengan bertaubat kepada Allah. Apabila kita sedar yang kita telah melakukan kesilapan dan dosa, maka berhentilah dan ubahlah jalan kita.

Allah menerima taubat hambaNya. Walaupun dosa yang dilakukan itu adalah dosa syirik. Syirik adalah dosa yang terbesar. Tapi dosa sebesar itu pun Allah boleh maafkan dan terima taubat hambaNya. Asalkan taubat itu memenuhi syarat-syaratnya:

1. Taubat itu mestilah jujur dengan hati yang ikhlas. Dia rasa bersalah dengan kesalahan yang dilakukannya, dan dia rasa menyesal akan kesalahannya itu.

2. Tinggalkan dosa yang dilakukannya. Janganlah bertaubat, tapi lepas bertaubat, buat lagi. Itu tidak patut dilakukan dan kurang ajar dengan Allah.

3. Memohon ampun kepada Allah.

4. Berikrar dan tetap dalam hati tidak mahu melakukan kesalahan itu lagi. Kalau dia rasa macam nak buat lagi, maka itu bermaksud dia tidak rasa menyesal lagi atas kesalahan itu. Ingatlah kalau seseorang itu berikrar tidak mahu melakukan mana-mana kesalahan lagi, Allah akan membantunya.

5. Kalau kesalahan itu melibatkan orang lain, dia kena perbaiki kesalahan itu dan sekurang-kurangnya dia kena minta maaf kepada orang itu.

6. Dilakukan dalam masa yang betul. Iaitu sebelum kita mati, sebelum Malaikat Maut datang menjemput. Bila dah mati, sudah tidak diterima taubatnya itu. Dan taubat itu sepatutnya dilakukan sebaik-baik sahaja dia sedar kesalahannya itu.

7. Kalau kesalahan itu melibatkan hukum Hudud, maka Hudud perlu dijalankan.

Perkataan ‘taubat’ banyak digunakan dalam Quran dalam berbagai-bagai cara. Dalam ayat ini, digunakan perkataan التَّوْبِ . Ianya adalah bentuk taubat yang paling lemah sekali. Ada berbagai-bagai peringkat taubat manusia, ada yang biasa sahaja, dan ada yang bersungguh-sungguh. Oleh itu, Allah hendak memberitahu kita dalam ayat ini, kalau kita taubat paling lemah pun, Allah akan terima juga.

 

شَدِيدِ الْعِقَابِ

Yang Maha Keras azabNya

Allah bersifat keras bagi sesiapa yang tak mahu minta ampun dan bertaubat. Ini pula adalah Sifat Jalaliah Allah. Ini adalah sifat yang keras. Sifat Jalal ialah sifat penyiksa, pemusnah, penghukum dan segala yang menakutkan kita dan menggerunkan.

Sebelum ini telah disebut sifat Allah yang Maha Pengampun dan Penerima Taubat. Kalau kita baca dua itu sahaja, kita tentu sudah ada perasaan senang dengan Allah. Tapi jangan setakat baca itu sahaja. Jangan kita rasa Allah akan mengampun sahaja. Dalam masa yang sama, kita kena ingat yang Allah juga keras SifatNya. Apabila Allah berikan hukuman kepada mereka yang patut dapat hukuman, azab itu amat keras. Itulah mereka yang tidak meminta ampun dan taubat, tidak melakukan amalan yang baik, hanya melakukan dosa sahaja – merekalah yang patut menerima azab itu.

Kalau Allah nak kenakan kita dengan azabNya, kita tak boleh lari ke mana-mana lagi. Maka ini adalah ayat amaran.

Jangan kita sangka yang azab itu diberikan kepada orang kufur sahaja. Sepertimana Allah menerima ampun dan taubat dari semua makhlukNya samada beriman atau tidak, Allah juga boleh mengenakan azabNya yang keras kepada orang kafir dan orang Islam juga. Maka, jangan kita sangka yang kita akan selamat hanya kerana kita sudah jadi seorang Muslim. Kerana kalau kita buat salah, kita pun boleh kena azab juga.

 

ذِي الطَّوْلِ

Yang mempunyai kurnia yang luas. 

Ini adalah Sifat Jamaliah sekali lagi. Perkataan الطَّوْلِ asalnya bermaksud ‘panjang’. Bermaksud seseorang yang boleh menjangkau jauh. Ditafsir dalam ayat ini sebagai ‘mempunyai kurniaan yang banyak’. Bukan sahaja Dia banyak kelebihan, tetapi Dia juga banyak memberi kelebihan dan kurniaan itu kepada manusia. Tidaklah Allah simpan sahaja. Allah amat banyak memberi. Lihatlah sekeliling kita, betapa banyaknya nikmat yang Allah telah berikan kepada makhlukNya. Dari kita lahir sampai hujung hayat kita, entah berapa banyak nikmat dan rezeki yang Allah telah berikan.

Nikmat yang paling besar yang Allah telah berikan kepada kita adalah hidayah yang ada dalam Quran ini.

Dalam ayat ini disebut empat sifat Tuhan. Tiga sifat lembut mengatasi satu sifat yang keras. Sifat Jaliliah dikepung oleh sifat Jamaliah. Maka, sifat belas kasihan Allah itu mengatasi sifat kerasNya. Seperti satu hadis

Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Tatkala Allah menciptakan para makhluk, Dia menulis dalam kitab-Nya, yang kitab itu terletak di sisi-Nya di atas ‘Arsy, “Sesungguhnya rahmat-Ku lebih mengalahkan kemurkaan-Ku.” (HR. Bukhari no. 6855 dan Muslim no. 2751

Oleh itu, wahai hamba Allah, kenapa lagi lari dari Allah? Dekatilah Allah dengan sebaik-baiknya.

 

لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُو

Tiada ilah lagi melainkan Dia.

Sepertimana yang telah diberitahu dalam Usul Tafsir, ilah adalah tempat harapan hati hamba, tempat tumpangan hati hamba dalam pengharapan. Tidak ada pengharapan yang khas melainkan kepada Allah sahaja. Maka jangan jadikan keris, cincin, burung hantu dan lain-lain sebagai ilah. Selalunya, kita hanya kata berhala sahaja ilah. Tapi ilah itu boleh juga dalam bentuk tok guru, tok wali, malaikat, Nabi dan sebagainya.

Ini adalah suruhan kepada tauhid. Dan oleh kerana surah ini adalah tentang Tauhid dalam Doa, maka Tauhid yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Tauhid dalam Doa. Doa tidak boleh ditujukan kepada selain Allah kerana doa terutama dalam perkara luar asbab, hanya boleh diminta kepada Allah sahaja. Sebagai contoh, dalam meminta berkat, hanya boleh minta kepada Allah sahaja, kerana berkat adalah adalah perkara luar asbab. Dan kerana berkat itu milik Allah sahaja. Dia yang membahagikan berkat kepada makhlukNya.

Hanya ikhtiar sahaja yang boleh dikira perkara dalam asbab, tapi itu pun tidak boleh bergantung harap kepada asbab itu. Sebagai contoh, kita boleh minta doktor tolong sembuhkan penyakit kita, tapi kita tidak boleh berharap kepada doktor itu, kerana dia hanya boleh usaha sahaja, sedangkan kesembuhan datangnya dari Allah.

 

إِلَيْهِ الْمَصِيرُ

Kepada Dialah kembalian kamu.

Samada kamu puja Allah atau tidak, samada sembah atau tidak, samada minta ampun kepadaNya ataupun tidak, semua kita akan kembali kepadaNya nanti. Maknanya, kita tidak boleh lari ke mana dah selepas kita mati, pasti akan bertemu dengan Allah dan mengadap Allah sahaja.

Hanya kepadaNya sahaja kita akan kembali. Kita tidak bertemu dengan tuhan-tuhan yang lain. Orang kafir sangka, apabila mereka mati nanti, mereka akan dibawa bertemu dengan tuhan mereka – Buddha, Siva, Jesus dan sebagainya. Tidak. Kita semua akan dikembalikan terus kepada Allah. Golongan sesat pula, ada yang sangka pujaan mereka seperti Imam Huseein, Syeikh Abdul Qadir Jalani dan sebagainya akan suruh mereka duduk belakang mereka dan mereka akan memberi syafaat kepada mereka, tapi tidak sama sekali. Semua kita akan mengadap Allah dan kena jawap atas segala perbuatan kita.

Kalau di akhirat nanti, kita akan dikembalikan kepada Allah, maka dalam dunia ini, kenalah kita selalu merujuk kepada Allah. Kalau kita ada persoalan dalam hal agama, lihatlah apa yang Allah telah sebut dalam Quran dan apa yang Nabi telah terangkan dalam hadis yang sahih. Kalau kita hendak buat keputusan, mintalah pertolongan Allah untuk menolong kita didalam buat keputusan. Kalau kita ada masalah, maka mohonlah pertolongan kepada Allah. Hadapkan wajahmu kepada Allah. Maknanya, bukan di akhirat sahaja kita pergi kepada Allah, dalam dunia pun kita kena rujuk kepada Allah.

 


Surah 40. Ghafir, Verse 4Ini adalah tajuk kedua. Kita telah diberitahu dengan Sifat-sifat Allah dalam ayat yang sebelum ini. Sepatutnya, selepas kita tahu Sifat-sifat Allah sebegitu, sepatutnya kita taat kepada Dia sahajalah, bukan? Tapi kenapa dalam alam ini, dari dulu sampai sekarang, ramai yang tidak taat? Allah jawap dalam ayat ini.  

ما يُجادِلُ في آياتِ اللَّهِ إِلَّا الَّذينَ كَفَروا فَلا يَغرُركَ تَقَلُّبُهُم فِي البِلادِ

Sahih International

No one disputes concerning the signs of Allah except those who disbelieve, so be not deceived by their [uninhibited] movement throughout the land.

Malay

Tidak ada yang membantah mengenai ayat-ayat Allah melainkan orang-orang yang kafir. Oleh itu janganlah engkau (wahai Muhammad) diperdayakan oleh kebebasan mereka bergerak dengan berulang alik dari sebuah bandar ke bandar yang lain.

 

 

مَا يُجَادِلُ فِي آيَاتِ اللَّهِ

Tidak ada manusia yang membantah tentang ayat-ayat Allah.

Ayat-ayat Allah adalah dalil-dalil yang dikeluarkan oleh Allah. Tak kira mana-mana ayat pun. ‘Ayat-ayat Allah’ itu luas. Bukan hanya ayat-ayat Quran sahaja. Alam yang luas ini juga termasuk dalam ‘ayat-ayat Allah’.

Bagaimanakah cara mereka berdebat tentang ayat-ayat Allah itu? Sebagai contoh, ada yang buat kajian tentang kesilapan-kesilapan yang ada dalam ayat-ayat Quran. Mereka kata contoh-contoh saintifik yang diberikan oleh Quran itu salah; kalau ayat yang menceritakan tentang alam, mereka berdebat mengatakan yang alam ini dijadikan dengan cara sendiri, tidak ada Tuhan yang menjadikannya. Mereka pun beri dalil-dalil saintifik yang tidak boleh dipastikan.

Kenapa yang menentang ayat-ayat Quran, berdebat tentangnya? Iaitu apabila mereka tidak mahu mengikutinya. Termasuk dalam hal ini adalah orang-orang Islam pun. Mereka mengaku sahaja beragama Islam tapi mereka tidak menjadikan Quran itu sebagai pedoman. Apabila dibacakan ayat-ayat Quran, mereka menolaknya kerana ianya tidak sama dengan apa yang diajar oleh guru-guru mereka.

 

إِلَّا الَّذِينَ كَفَرُوا

melainkan orang kafir sahaja.

Orang yang kafir sahaja yang membantah dan berdebat tentang ayat Allah. Sudah biasa kita dengar orang melawan ayat Quran kalau didakwahkan kepadanya. Termasuk orang Islam pun. Mereka akan kata: “betul dah ayat yang kau baca itu, tetapi….” Itu maknanya mereka menolak ayat Allah. “Tapi….” itu adalah cara menolak yang digunakan oleh masyarakat kita dengan paling lembut sekali.

Tetapi bagaimana pula orang Islam boleh jadi kafir sedangkan mereka itu muslim? Kekeliruan itu timbul kalau kita terjemah perkataan ‘kufur’ itu hanya merujuk kepada orang bukan Islam. Ianya akan lebih jelas kalau kita terjemah perkataan ‘kufur’ dengan maksud ‘engkar’. Oleh itu, orang Islam pun boleh jadi engkar dengan ayat-ayat Quran juga. Kita pun tahu bagaimana ada manusia yang nampak sahaja pada zahirnya Islam, tapi pada hakikatnya mereka tidak Islam. Allah sahaja yang tahu samada mereka kufur atau tidak, tapi tanda-tandanya kita boleh lihat.

Apabila mereka cakap begitu, sebenarnya mereka menolak ayat Quran. Cuma mereka tidak terus berkata yang mereka menolak ayat-ayat itu. Mereka berdolak dalih dalam kata-kata mereka. Jadi, kalau kita dengan mereka, kita kena tukar cara dakwah kita. Takut mereka akan jadi semakin kufur lagi kalau apabila kita memberi penerangan dari Quran kerana takut mereka melawan lagi. Kerana, sesiapa yang lawan ayat Quran, maka mereka akan kufur. Kita kasihan kepada mereka.

Orang Islam dan yang beriman akan terus percaya dan terima ayat-ayat Quran. Walaupun mungkin mereka tidak faham lagi ajaran dari ayat-ayat itu. Tapi mereka terus terima ianya sebagai kebenaran. Cuma mereka kena belajar untuk memahami apakah yang dimaksudkan oleh ayat itu dan apakah yang perlu kita lakukan. Allah telah sebut dalam Ahzab:36 –

وَما كانَ لِمُؤمِنٍ وَلا مُؤمِنَةٍ إِذا قَضَى اللَّهُ وَرَسولُهُ أَمرًا أَن يَكونَ لَهُمُ الخِيَرَةُ مِن أَمرِهِم ۗ وَمَن يَعصِ اللَّهَ وَرَسولَهُ فَقَد ضَلَّ ضَلالًا مُبينًا
Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.

Orang Islam tidak ada pilihan lain lagi selain dari terima apa sahaja arahan dari Allah dan Rasulullah.

 

Oleh itu, yang menentang ayat-ayat Allah adalah orang yang kafir degil. Mereka sengaja menutup kebenaran walaupun mereka sudah tahu manakah yang benar. Itulah mereka yang menolak cara berdoa yang tidak ada dalil. Tidak ada dalil pun mereka nak buat juga. Merekalah jenis yang menggunakan tawasul kepada Nabi, wali dan malaikat, walaupun cara-cara itu tidak pernah diajar oleh Nabi.

 

فَلَا يَغْرُرْكَ

Maka jangan kamu berasa heran/terpesona/tertipu

Seperti yang telah disebut sebelum ini, ramai dari kalangan hamba yang tidak taat kepada Allah. Kenapa? Kerana mereka terpedaya dengan kehidupan dunia sekarang.

Maka, orang Mukmin jangan terpedaya dengan dunia. Jangan terikut-ikut dengan mereka yang terpedaya itu. Jangan kita tertipu dengan mereka, dengan kata-kata mereka, dengan kesenangan yang mereka ada. Selalunya yang menentang ayat-ayat Quran itu akan memberikan hujah-hujah yang boleh menyebabkan kita keliru. Kerana mereka selalunya orang-orang terpelajar, saintis dan sebagainya, yang selalunya pandai berkata-kata dan menggunakan fakta-fakta sains untuk menyokong dakwaan mereka. Tapi Allah mengingatkan kita dalam ayat ini supaya kita jangan tertipu. Mereka sebenarnya tidak mempunyai pengetahuan, seperti firman Allah dalam Hajj:3

وَمِنَ النّاسِ مَن يُجادِلُ فِي اللَّهِ بِغَيرِ عِلمٍ وَيَتَّبِعُ كُلَّ شَيطانٍ مَريدٍ
Dan ada di antara manusia yang membantah perkara-perkara yang berhubung dengan Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan, dan ia menurut tiap-tiap syaitan yang telah sebati dengan kejahatan.

Sebagai contoh, mereka hanya memperkatakan perkara luaran sahaja tanpa melihat apakah yang ada di sebalik ayat-ayat Quran dan tanda-tanda dalam alam itu.

Atau ada yang mengejek ayat Quran dengan mengambil satu ayat dan membandingkan dengan ayat lain dan mengatakan ayat-ayat itu tidak sama dan berlawanan. Mereka berkata begitu kerana mereka jahil dengan Quran. Mereka hanya melihat dengan akal yang cetek sahaja.

 

تَقَلُّبُهُمْ فِي الْبِلَادِ

dengan kamu melihat bebasnya mereka berulang-alik atas muka bumi.

Kadang-kadang kita mungkin terpesona dan terpedaya dengan kelebihan yang ada pada mereka yang menolak ayat-ayat Allah itu. Contohnya, kita boleh lihat bagaimana orang-orang yang kafir itu bebas bergerak ke sana dan ke sini. Kenderaan mereka pun lebih mewah. Macam tiada masalah apa-apa. Walaupun mereka engkar kepada Allah, tapi Allah bebaskan mereka di dunia. Biasanya orang yang engkar ni, Allah beri rezeki yang banyak. Semakin mereka engkar, semakin mereka diberi rezeki. Allah beri mereka kemewahan dan kesenangan dalam dunia sebab Allah nak azab mereka nanti dalam neraka.

Sepertimana Musyrikin Mekah yang kaya raya itu menentang ayat-ayat Quran dan Nabi Muhammad, dan mereka diikut oleh mereka yang terpesona dan terpedaya dengan kekayaan dan kekuasaan yang mereka ada. Mereka itu boleh mengembara merata-rata tempat di dunia kerana mereka kaya.

Jangan kita terpedaya dan tertipu dengan kemewahan yang ada pada mereka itu. Itu hanyalah kesenangan sementara sahaja. Itu bukanlah neraca kejayaan atau benarnya mereka. Seperti yang Allah telah firmankan dalam Ali Imran:196-197

لا يَغُرَّنَّكَ تَقَلُّبُ الَّذينَ كَفَروا فِي البِلادِ
Jangan sekali-kali engkau (wahai Muhammad) terpedaya oleh usaha gerakan orang-orang yang kafir di dalam negeri (yang membawa keuntungan-keuntungan kepada mereka).
مَتاعٌ قَليلٌ ثُمَّ مَأواهُم جَهَنَّمُ ۚ وَبِئسَ المِهادُ
(Semuanya) itu hanyalah kesenangan sementara yang sedikit, (akhirnya akan lenyap), kemudian tempat kembali mereka neraka Jahannam: dan itulah seburuk-buruk tempat ketetapan.

Ayat ini juga memberitahu supaya jangan hairan dengan perbuatan orang kafir itu. Nabi ada mendengar bagaimana Musyrikin Mekah berulang alik sesama mereka, menjalankan mesyuarat bagaimana hendak menjatuhkan baginda dan dakwah baginda. Baginda juga ada mendengar bagaimana Musyrikin Mekah ada berjumpa dengan puak Yahudi di Yathrib (nama lama untuk Madinah) untuk mendapatkan nasihat dari mereka bagaimana hendak mengalahkan hujah baginda. Allah nak beritahu Nabi dalam ayat ini, supaya jangan hairan dan takut dengan perancangan mereka.

Ayat ini juga mengajar kita supaya jangan hairan dan terkesan dengan kisah-kisah bagaimana musuh-musuh Islam hendak menjatuhkan Islam. Banyak kisah-kisah kita dengar dari conspiracy theory bagaimana mereka merancang bermacam-macam cara. Allah suruh Nabi jangan risau, begitu juga kita. Cuma buat kerja kita, jalankan ibadat kita, teruskan dakwah tentang wahyu ini kepada manusia. Allah akan menjaga kita dari rancangan mereka.

 


Surah 40. Ghafir, Verse 5: Allah memberi contoh, kedegilan umat-umat yang terdahulu. Nak beritahu kepada Nabi dan pembawa ajaran tauhid, bukan Musyrikin Mekah sahaja yang menolak Dakwa Tauhid, tapi umat-umat sebelum itu lagi. Allah memberi contoh pada zaman Nabi Nuh a.s. Kaumnya dulu pun menentang ayat-ayat Allah. 

كَذَّبَت قَبلَهُم قَومُ نوحٍ وَالأَحزابُ مِن بَعدِهِم ۖ وَهَمَّت كُلُّ أُمَّةٍ بِرَسولِهِم لِيَأخُذوهُ ۖ وَجادَلوا بِالباطِلِ لِيُدحِضوا بِهِ الحَقَّ فَأَخَذتُهُم ۖ فَكَيفَ كانَ عِقابِ

Sahih International

The people of Noah denied before them and the [disbelieving] factions after them, and every nation intended [a plot] for their messenger to seize him, and they disputed by [using] falsehood to [attempt to] invalidate thereby the truth. So I seized them, and how [terrible] was My penalty.

Malay

Sebelum mereka, kaum Nabi Nuh dan puak-puak yang bergabung – sesudah kaum Nabi Nuh itu – telah mendustakan (Rasul-rasulnya), dan tiap-tiap umat di antaranya telah merancangkan rancangan jahat terhadap Rasul mereka untuk menawannya (dan membinasakannya); dan mereka pula telah membantah dengan perkara yang salah untuk menghapuskan kebenaran dengan perkara yang salah itu; sebab itu Aku binasakan mereka. Maka (lihatlah) bagaimana kesan azabKu!

 

 

كَذَّبَتْ قَبْلَهُمْ

Telah berdusta orang-orang sebelum mereka.

Maknanya bukan Musyrikin Mekah sahaja yang mula berdusta dan menentang ayat Allah. Dulu lagi dah ramai yang mendustakan ayat-ayat Allah.

Begitu juga, kalau ada yang menentang ayat-ayat Allah zaman sekarang, tidak menghairankan kerana dari dulu lagi dah ada orang yang menentang. Perkara yang sama sahaja yang berulang.

 

قَوْمُ نُوحٍ وَالْأَحْزَابُ مِن بَعْدِهِمْ

dari kalangan Kaum Nabi Nuh dan puak-puak selepas kaum Nabi Nuh.

Allah beri contoh apa yang terjadi kepada kaum Nabi Nuh. Itulah mula penentangan kepada tauhid dalam sejarah Islam. Dan selepas mereka dimatikan semuanya dan selepas itu hanya tinggal mereka yang beriman sahaja, lama kelamaan lahir lagi golongan yang menentang tauhid. Seperti kaum Aad, Tsamud, Luth dan Madyan dan sebagainya. Allah hendak memberitahu kepada Nabi Muhammad dan pendakwah-pendakwah sekarang bahawa bukanlah sekarang baru manusia menentang ayat-ayat Allah tapi dari dahulu lagi.

 

وَهَمَّتْ كُلُّ أُمَّةٍ بِرَسُولِهِمْ

Kuat azam setiap umat kepada rasul-rasul mereka

Mereka mempunyai keazaman yang kuat untuk melakukan sesuatu yang tidak baik kepada rasul-rasul mereka.

 

لِيَأْخُذُوهُ

untuk tangkap rasul

Kaum-kaum yang menentang ayat-ayat Allah telah merancang untuk menangkap rasul-rasul itu supaya mereka tidak dapat meneruskan dakwah mereka. Ada juga yang telah berjaya membunuh rasul-rasul mereka. Mengikut satu riwayat, sebanyak lebih kurang 70 ribu nabi-nabi telah dibunuh. Kalau pendakwah, lagi ramai telah dibunuh. Pada mereka yang jahat itu, kalau nak berhujah susah sangat, maka elok bunuh sahaja, habis cerita.

Musyrikin Mekah juga hendak menangkap dan membunuh Nabi Muhammad. Mereka telah membuat perancangan dengan semua puak di tanah Arab. Mereka lakukan begitu supaya Bani Hashim tidak dapat mengambil tindakan balas kerana ramai sangat puak yang bersekongkol membunuh Nabi. Mereka tidak berani nak buat sendirian kerana takut kalau satu puak sahaja yang bunuh Nabi, maka puak Bani Hashim akan serang balas. Tetapi rancangan mereka telah digagalkan oleh Allah.

Zaman sekarang, pembunuhan ulama-ulama yang menegur kesalahan yang dilakukan manusia masih lagi berlaku dan akan terus berlaku.

 

وَجَادَلُوا بِالْبَاطِلِ

Dan mereka berhujah dengan menggunakan hujah yang batil.

Musyrikin Mekah menggunakan proganda yang berbagai-bagai untuk menjatuhkan dakwah Nabi Muhammad. Mereka kata Nabi penipu, ahli sihir, penyair, belajar dari orang lain dan macam-macam lagi.

Begitulah dalam masyarakat kita banyak sekali hujah-hujah batil. Iaitu hujah yang dikeluarkan tanpa dalil yang sah. Hujah menggunakan akal semata-mata. Itu adalah hujah-hujah palsu sahaja. Perkataan seperti: “Takkanlah begitu…”. “Saya rasa…”. Dan macam-macam hujah lagi dikeluarkan mereka. Mereka menggunakan logik akal untuk mereka perkara baru dalam agama – agak-agaknya ini boleh kah?

Ini juga mengajar kita bagaimana berhujah dengan orang-orang yang menentang Islam. Mereka akan menggunakan hujah-hujah batil. Mereka akan mereka-reka fakta. Maka kita kena periksa apa yang mereka kata. Mereka sanggup untuk mengeluarkan fakta yang tidak benar, hanya untuk memenangi hujah itu.

Begitu juga dengan orang-orang ahli bidaah. Apabila kita berhujah dengan mereka, ada yang menggunakan fakta yang tidak benar. Mereka kata ada dalam kitab sekian-sekian ulama itu kata bidaah itu elok dan sebagainya. Sebagai contoh, pernah ada dalam internet bagaimana ahli bidaah ada mengatakan yang Imam Ibnu Taimiyyah mengatakan dalam kitabnya yang menyambut Maulid Nabi adalah baik. Tapi apabila diperiksa sendiri kitab itu, tidaklah kata-kata beliau begitu tapi sebaliknya.

 

لِيُدْحِضُوا بِهِ الْحَقَّ

kerana dengan hujah batil itu, mereka nak memesong kebenaran

Mereka yang menetang kebenaran hendak memesong kebenaran dengan menggunakan hujah batil. Hujah bathil adalah hujah yang tidak ada asas dari nas yang sahih.

Beginilah yang banyak terjadi dalam zaman sekarang. Ramai yang mengamalkan bidaah dalam amalan mereka. Mereka memberi hujah mengatakan apa yang mereka lakukan itu adalah ‘bidaah hasanah.’ Iaitu mereka kata ianya adalah bidaah yang baik. Mereka tidak tahu bahawa sebenarnya, semua bidaah adalah sesat. Berbagai-bagai hujahlah yang mereka ketengahkan dan hujah-hujah itu tidak datang dari nas, dan kalau datang dari nas, mereka pesongkan maksudnya dari maksud asal. Mereka akan tafsir nas-nas itu ikut fahaman mereka sendiri sedangkan itu bukanlah fahaman salafussoleh. Sedangkan kita kena pakai fahaman nas-nas itu dengan fahasan salafussoleh kerana mereka yang lebih kenal agama dari kita.

 

فَأَخَذْتُهُمْ

maka Allah azab mereka.

Mereka diazab kerana melawan Rasul dengan hujah akal. Allah tidak akan biarkan mereka begitu sahaja. Kalau menentang ayat-ayat Allah, Allah akan mengazab mereka dengan azab yang teruk.

 

فَكَيْفَ كَانَ عِقَابِ

Alangkah dahsyatnya azab

Alangkah berat azab Allah itu. Tidak terperi beratnya.

 


Surah 40. Ghafir, Verse 6:

وَكَذٰلِكَ حَقَّت كَلِمَتُ رَبِّكَ عَلَى الَّذينَ كَفَروا أَنَّهُم أَصحابُ النّارِ

Sahih International

And thus has the word of your Lord come into effect upon those who disbelieved that they are companions of the Fire.

Malay

Dan demikianlah juga tetapnya hukuman Tuhanmu terhadap orang-orang yang kafir, kerana sesungguhnya mereka ialah ahli neraka.

 

 

وَكَذَٰلِكَ حَقَّتْ كَلِمَتُ رَبِّكَ عَلَى الَّذِينَ كَفَرُوا

Dan kerana itu, sudah tetap keputusan Tuhan kamu kepada orang-orang yang engkar, kafir itu

Perkataan كَذَٰلِكَ dalam ayat ini, bermaksud ‘kerana itu’. Kerana degil dan membantah itulah yang tsabit mereka kena masuk neraka. Telah tetap keputusan Allah ke atas mereka yang tidak menerima ayat-ayat Allah itu. Tidak akan berubah ketetapan Allah itu. Ada dalam hadis, bagaimana 999 dari 1,000 orang manusia akan dimasukkan ke dalam neraka.

 

أَنَّهُمْ أَصْحَابُ النَّارِ

Sesungguhnya mereka itu adalah pemilik geran neraka yang sebenar.

Mungkin ada orang Islam yang akan masuk neraka, iaitu mereka yang mempunyai banyak dosa. Tapi mereka bukan ‘ashab neraka’ ataupun pemegang geran kekal neraka. Mereka dikenali sebagai golongan Jahannamiyyun – orang yang pernah tinggal dalam neraka. Dosa mereka sahaja banyak yang menyebabkan mereka akan masuk neraka untuk dicuci dosa mereka.

Jadi kalau ibu bapa tak solat macam mana? Macam mana kita nak buat untuk tolong mereka? Doa sahaja boleh kita lakukan. Tidak ada Solat Iring, tolong qada solat mereka atau sebagainya. Perbuatan kirim pahala tidak sampai pahala itu kepada mereka. Tidak dapat tolong mereka di akhirat kelak.

Kalau dia minum arak, macam mana pula? Doa juga. Sama juga kalau dia berzina atau dosa-dosa lain. Doa sahaja yang boleh tolong. Kecuali kalau dia berbuat syirik. Kalau dia melakukan syirik, kita pun tidak boleh berdoa untuknya. Malah, salah untuk kita berdoa untuk mereka. Contohnya kalau mereka melakukan majlis tepung tawar semasa kenduri kahwin. Itu adalah perbuatan syirik. Maka jangan buat perkara itu. Pulut kuning pemujaan yang dibuat oleh orang kita semasa kenduri kahwin itu adalah haram untuk dimakan. Lagi haram lagi dari makan babi.

Bertaubatlah kalau kita pernah melakukan perkara itu dulu. Jangan degil dengan kebenaran yang Allah telah tunjukkan. Tolonglah beritahu kepada mereka yang melakukannya. Kalau kita boleh basmi satu perkara salah sahaja, pahalanya adalah jihad seratus kali mati.

Macam-macam perkara syirik yang masyarakat kita lakukan. Contohnya, ada satu majlis selepas mengandung, iaitu majlis ‘golek perut’. Gunanya adalah untuk tahu anak yang akan dilahirkan adalah anak lelaki atau anak perempuan. Ini adalah syirik, kerana Allah sahaja yang tahu apakah anak yang akan lahir. Kalau pakai scan di hospital pun, mereka boleh agak-agak sahaja, tapi tidak semestinya tepat.

Selepas bersalin, jangan kita mengamalkan pantang-pantang. Ada istilah Melayu yang mengatakan perempuan selepas bersalin itu ‘dalam pantang’. Itu dalam syirik kepada Allah. Kita kata mereka tak boleh makan sesetengah makanan. Contohnya, perempuan Melayu yang baru bersalin tak boleh makan ayam. Padahal, orang Cina pula digalakkan untuk makan ayam. Berpantang adalah perbuatan syirik kepada Allah kerana kita mengharamkan benda yang halal dimakan. Kalau doktor beritahu tidak boleh makan, tidak mengapa. Kerana mereka telah melakukan kajian tentang buruk baiknya sesuatu makanan itu. Tapi kalau ikut kata orang lain, tidak boleh. Orang yang tak layak, kita tak boleh nak ikut.

Contoh lagi satu, budak bersunat tak boleh makan telur dan sebagainya. Kalau dimakan jadi bentan. Tak boleh nak beritahu dan larang kepada anak kita untuk makan. Tidak semestinya anak kita akan mewarisi alergik kita itu. Satu lagi contoh di Kelantan, semua keturunan Wan tidak boleh makan ikan kacang (barracuda). Dan kalau belajar silat pula, tak boleh makan sesuatu makanan tertentu. Jadi ingatlah, kalau nak larang makan sesuatu benda, kena dapatkan pengesahan dari doktor. Dan kena dapat dari doktor yang pakar tentang sesuatu perkara itu. Kerana mereka berdasarkan kepada ilmu sains yang berdasarkan kajian.

Sekiranya kita ada syak wasangka tentang ayat Quran, maka hendaklah tanya kepada ustaz yang mengajar tafsir Quran. Jadi kena tanya kepada ahli yang mengetahui.

Majlis tahnik (belah mulut) pun ada syirik juga. Tahnik memang sunnah dari Nabi. Nabi ambil buah kurma, Nabi gigit dengan giginya, dan masukkan dalam mulut bayi dan sentuh di lelangit. Biarkan budak itu hisap manisan. Itu yang sunnah. Menggunakan air zam zam adalah sunnat kalau ada. Ada masanya Nabi tidak menggunakan air zam-zam sebab kalau di Madinah, tiada air zam-zam. Boleh juga gunakan apa sahaja buah yang manis. Yang tak boleh nak tambah dalam perbuatan ini adalah menggunakan cincin. Masyarakat kita menambah penggunaan cincin emas atau perak dalam majlis tahnik ini. Kalau perempuan, mereka kata kalau guna cincin emas, besar nanti akan jadi kaya. Fahaman itu adalah fahaman syirik. Untuk yang lelaki, sebab lelaki tak boleh pakai emas, mereka bertahnik dengan cincin perak. Kemudian, ada pula yang pakai garam. Untuk menjadikan masin mulut supaya besar nanti boleh jadi tok guru. Dan ada pula yang guna gula batu untuk maniskan mulut. Ini adalah fahaman yang syirik kepada Allah dalam upacara ibadat. Sebab tahnik itu ibadat tapi dicampurkan dengan perkara yang salah. Maka nasihatlah kepada mereka yang tidak tahu.

Yang kita patut buat adalah sembelih akikah. Sembelihlah kambing atau biri-biri. Dua ekor kalau lelaki dan seekor kalau perempuan. Nabi pernah buat aqiqah untuk Saidina Husain seekor untuknya dan seekor untuk Saidina Hassan.

 

Ghafir ayat 7 doa para malaikatSurah 40. Ghafir, Verse 7: Ini adalah tentang orang yang sanggup menerima tauhid dalam setiap keadaan. Ini sebenarnya bukanlah mudah kerana tentu ada ujian dan tentangan dari manusia. Menjadi orang pelik kerana tegar di jalan sunnah dalam masyarakat yang mengamalkan budaya atok-nenek memang mencabar. Mereka yang menerima ujian itu adalah mereka yang menjalankan kerja menyampaikan wahyu Allah kepada manusia yang lain. Kalau duduk senyap tak buat kerja, memang tidak akan kena ganggu, kena keji dan sebagainya. Tapi, kalau buat seperti yang sepatutnya, memang akan kena ujian.

Kepada mereka yang berjaya melepasi ujian itu, mereka akan dapat doa malaikat. Allah memberi doa para malaikat ini sebagai penawar hati dan penyejuk hati kepada penyebar tauhid. Maknanya, tidak mengapalah kalau menerima ujian itu, kerana mendapat doa dari para malaikat itu. Malaikat itu mendoakan kepada manusia yang beriman sempurna kerana apabila Allah sayang kepada hambaNya, maka malaikat pun kena sayang juga kepada hamba itu. Ini adalah doa malaikat untuk orang-orang mukmin:

الَّذينَ يَحمِلونَ العَرشَ وَمَن حَولَهُ يُسَبِّحونَ بِحَمدِ رَبِّهِم وَيُؤمِنونَ بِهِ وَيَستَغفِرونَ لِلَّذينَ آمَنوا رَبَّنا وَسِعتَ كُلَّ شَيءٍ رَحمَةً وَعِلمًا فَاغفِر لِلَّذينَ تابوا وَاتَّبَعوا سَبيلَكَ وَقِهِم عَذابَ الجَحيمِ

Sahih International

Those [angels] who carry the Throne and those around it exalt [ Allah ] with praise of their Lord and believe in Him and ask forgiveness for those who have believed, [saying], “Our Lord, You have encompassed all things in mercy and knowledge, so forgive those who have repented and followed Your way and protect them from the punishment of Hellfire.

Malay

Malaikat yang memikul Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji TuhanNya; dan beriman kepadaNya; serta mereka memohon ampun bagi orang-orang yang beriman (dengan berdoa merayu): “Wahai Tuhan kami! RahmatMu dan IlmuMu meliputi segala-galanya; maka berilah ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta menurut jalanMu, dan peliharalah mereka dari azab neraka.

 

 

الَّذِينَ يَحْمِلُونَ الْعَرْشَ

Malaikat-malaikat yang memikul Arash

Arash Allah adalah ciptaan yang paling hebat dan paling besar. Tidak ada sesiapa yang tahu apakah hakikat Arash itu kecuali Allah taala. Yang kita dapat tahu daripada ayat ini, ada malaikat-malaikat yang ditugaskan untuk memikul Arash itu. Mereka dikenali sebagai Hamalatul Arsh. Ada lapan malaikat yang ditugaskan untuk memikul Arash itu. Dalam al-Haqqah:17, Allah berfirman,

وَالمَلَكُ عَلىٰ أَرجائِها ۚ وَيَحمِلُ عَرشَ رَبِّكَ فَوقَهُم يَومَئِذٍ ثَمانِيَةٌ
Sedang malaikat-malaikat (ditempatkan) mengawal segala penjurunya, dan Arasy Tuhanmu pada saat itu dipikul oleh lapan malaikat di atas malaikat-malaikat yang mengawal itu.

Dalam ayat ni, disebut bagaimana pada Hari Mahsyar, ada lapan malaikat yang memikul Arash itu. Arash itu adalah ciptaan Allah yang paling dekat dengan Allah. Jadi, malaikat-malaikat yang memikulnya tentulah malaikat-malaikat yang hebat-hebat kerana diberikan dengan kelebihan itu.

 

وَمَنْ حَوْلَهُ

Dan malaikat-malaikat yang di sekeliling Arash

Allah memperkatakan bukan sahaja tentang malaikat-malaikat yang memikul Arash tapi malaikat-malaikat yang di sekeliling Arash itu. Ada malaikat-malaikat yang berada berdekatan dengan Arash.

Jadi, ini semua adalah malaikat-malaikat yang terpilih. Apakah yang mereka lakukan?

 

يُسَبِّحُونَ بِحَمْدِ رَبِّهِمْ

mereka senantiasa bertasbih memuji Tuhan mereka

Mereka berterusan bertasbih dan membersihkan Allah dari kata-kata makhluk yang tidak patut tentang Allah. Maknanya, mereka pun berfahaman tauhid juga. Kerana mereka menidakkan segala fahaman-fahaman syirik yang dikatakan oleh makhluk yang musyrik. Mereka terus-menerus mengatakan yang Allah tidak begitu. Allah tidak seperti yang disyirikkan oleh makhlukNya.

 

وَيُؤْمِنُونَ بِهِ

dan mereka itu beriman dengan Allah Taala

Mereka beriman benar-benar dengan Allah. Mereka juga mengamalkan tauhid. Jadi, kalau makhlukNya yang lain tidak beriman, ada Allah kisah? Tidak langsung. Kerana Allah tidak memerlukan keimanan manusia. Tidak berkurang kehebatan Allah kalau manusia dan jin tidak beriman. Terdapat malaikat-malaikat yang bertugas dan beribadat dan beriman kepada Allah dengan tidak ada rasa lemah dan bosan.

Kalau kita pun mengamalkan tauhid, kita pun akan termasuk dalam kalangan mereka.

 

وَيَسْتَغْفِرُونَ لِلَّذِينَ آمَنُوا

Dan sentiasa meminta ampun bagi orang-orang yang beriman

Inilah kelebihan mereka yang beriman kepada Allah. Malaikat-malaikat itu meminta ampun bagi pihak mereka yang beriman sempurna, tidak melakukan syirik. Mereka itu adalah malaikat-malaikat yang rapat dengan Allah dan mereka meminta ampun untuk pihak orang yang beriman! Alangkah hebatnya kedudukan mereka yang beriman.

Apakah kata-kata mereka?

 

رَبَّنَا وَسِعْتَ كُلَّ شَيْءٍ رَّحْمَةً وَعِلْمًا

Mereka berkata: “Wahai Tuhan kami, sesungguhnya rahmatMu dan ilmuMu meliputi segala sesuatu”

Tidak ada yang di luar dari rahmat dan ilmu Allah. Apakah maksud ini? Sebagai contoh, kerana rahmat Allahlah orang yang kufur dapat makan, dapat harta, boleh buat macam-macam. Kalau tidak kerana rahmat Allah, mereka tidak akan dapat apa-apa dari dunia ini. Allah maha berkuasa untuk melakukan sesuatu apa pun, sampaikan kalau Allah mahu memberikan RahmatNya kepada sesiapa, tidak ada sesiapa yang boleh halang.

Tidak ada apa yang di luar dari ilmu Allah. Tidak ada apa-apa perkara pun yang Allah tidak tahu. Malaikat mengaku yang hanya Allah sahaja yang tahu segala-galanya. Allah sahaja yang tahu siapakah yang layak mendapat rahmat atau tidak, kerana ilmu Allah itu luas. Mereka mengaku mereka tidak tahu sebagaimana Allah.

 

فَاغْفِرْ لِلَّذِينَ تَابُوا

“Maka berilah ampun kepada orang-orang yang bertaubat”

Mereka memohon kepada Allah supaya memberi ampun kepada mereka yang bertaubat. Walaupun Allah Maha Tahu apakah perbuatan dan kesalahan manusia, malaikat-malaikat itu masih lagi meminta ampun untuk pihak mereka yang bertaubat.

Taubat apakah yang dimaksudkan? Oleh kerana surah ini adalah tentang Tauhid dalam doa, maka taubat yang dimaksudkan adalah taubat dari melakukan kesalahan dalam berdoa – sebelum itu mungkin mereka tidak terus berdoa kepada Allah, tapi menggunakan perantaraan dalam berdoa. Mereka sudah tahu bahawa itu adalah salah, setelah mempelajari wahyu Allah, baru mereka tahu dan mereka telah bertaubat dari kesilapan itu. Kalau tidak belajar wahyu, bagaimanalah agaknya manusia nak tahu bahawa salah kalau mengamalkan tawasul dalam doa?

 

وَاتَّبَعُوا سَبِيلَكَ

“Dan orang-orang yang mengikuti jalanMu”

Setelah mereka bertaubat, mereka menerima tauhid dan mempunyai fahaman tauhid. Mereka sudah mula ikut jalan syariat seperti yang dikehendaki oleh Allah sebagaimana yang disampaikan di dalam wahyuNya. Ini juga memerlukan pembelajaran tafsir dan sunnah untuk mengetahui apakah yang perlu dilakukan dan apakah yang perlu ditinggalkan. Maka, mereka telah mula belajar dan mengamalkan syariat seperti yang sepatutnya.

 

وَقِهِمْ عَذَابَ الْجَحِيمِ

“Dan jauhilah mereka dari azab neraka jahanam”

Mereka juga berdoa kepada Allah untuk menyelamatkan orang-orang mukmin itu dari neraka. Oleh kerana malaikat-malaikat itu adalah malaikat yang rapat dengan Allah, maka tentunya doa mereka makbul.

Sebenarnya Allah hendak beritahu bahawa mereka yang ikut jalan tauhid adalah selamat. Doa malaikat sebagai isyarat sahaja. Kalau para malaikat itu tidak berdoa untuk mereka pun, mereka akan selamat.

Kenapa agaknya para malaikat itu mendoakan untuk orang yang beriman itu? Apakah yang mereka akan dapat? Tidak ada apa. Tapi mereka ikhlas berdoa kepada mereka yang beriman, bertaubat, ikut jalan Allah. Ini juga menunjukkan kelebihan mereka yang melakukan ketiga-tiga perkara itu. Apabila manusia dan jin melakukan ketiga-tiga perkara itu, makhluk-makhluk lain pun sayang kepada mereka. Iman yang ada dalam hati adalah penaut kasih antara makhluk.

Ini juga mengajar kita supaya mendoakan juga kepada orang-orang lain yang beriman. Kerana tautan kasih antara yang beriman itu memang telah ada.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


 

Rujukan: 

Maulana Hadi

Ustaz Rosman Abd Hamid

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 040: Ghafir, Tafsir. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s