Tafsir Surah an-Nisa Ayat 114 – 121 (Syirik)

Ayat 114: Ini adalah sambungan dari kes kecurian yang dilakukan oleh satu puak Munafik yang telah diceritakan dalam ayat-ayat sebelum ini. Ayat yang sedang kita bincangkan ini menyentuh tentang perbincangan senyap-senyap mereka untuk melakukan pembohongan. Sepatutnya mereka serahkan yang mencuri itu supaya boleh dijalankan hukum hudud dan perkara itu akan selesai. Tapi sebaliknya mereka hendak menipu.

Selalunya rancangan jahat akan dibuat malam hari. Tapi tidak semestinya hanya malam hari sahaja, kalau buat siang hari, tapi masih perbincangan yang jahat, itu pun salah juga. Bukanlah larangan total untuk mengadakan perbincangan rahsia. Kalau berbincang untuk buat kebaikan, itu dibenarkan, dan itu adalah elok.

۞ لا خَيرَ في كَثيرٍ مِن نَجواهُم إِلّا مَن أَمَرَ بِصَدَقَةٍ أَو مَعروفٍ أَو إِصلاحٍ بَينَ النّاسِ ۚ وَمَن يَفعَل ذٰلِكَ ابتِغاءَ مَرضاتِ اللَّهِ فَسَوفَ نُؤتيهِ أَجرًا عَظيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

No good is there in much of their private conversation, except for those who enjoin charity or that which is right or conciliation between people. And whoever does that seeking means to the approval of Allāh – then We are going to give him a great reward.

MALAY

Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar.

 

لا خَيرَ في كَثيرٍ مِن نَجواهُم

Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka,

Tidak ada kebaikan langsung dari kebanyakan perbincangan rahsia manusia. Lafaz نَجوا selalunya digunakan untuk perbincangan yang melibatkan tiga orang ke atas. Dan ianya adalah perbincangan yang rahsia sebab tak mahu orang tahu. Dan selalunya yang dibincangkan adalah perkara yang tidak baik, dan adanya kutuk mengutuk dalam perbincangan itu. Dan kalau ada orang nampak kita bersembang dengan orang lain secara rahsia, tentu mereka akan rasa tidak selesa dan rasa macam kita bercakap tentang mereka pula.

Dalam ayat ini, Allah kata ‘kebanyakan’ dari perbincangan rahsia itu sahaja, bukan semuanya.

 

إِلّا مَن أَمَرَ بِصَدَقَةٍ

kecuali yang menyuruh bersedekah, 

Melainkan perbincangan tertutup yang berbincang untuk sedekah. Katakanlah ada kawan kita yang jatuh susah, kena musibah malapetaka dan sebagainya. Kita pun duduk pakat dengan kawan-kawan lain untuk kumpul duit untuk beri sumbangan kepadanya. Dan memang perbincangan itu perbincangan rahsia kerana tidak mahu kawan yang kena musibah itu dengar. Kerana kita tidak mahu dia rasa malu.

 

أَو مَعروفٍ

atau berbuat kebaikan,

atau dengan tujuan untuk melakukan perkara baik yang lain yang dibenarkan oleh syarak. Ini disebut dalam bentuk yang umum sahaja. Kerana ia boleh jadi macam-macam. Ianya sesuatu yang makruf (semua orang tahu) ianya untuk kebaikan. Kita pun tahu sendiri mana yang baik, mana yang tidak, melainkan kalau bodoh sangat sampai itu pun tak tahu nak bezakan.

Sebagai contoh, kita dengan senyap-senyap pergi kepada seseorang dan nasihat dia untuk solat. Benda macam ini mungkin elok kalau dilakukan secara rahsia kerana tidak mahu memalukan sesiapa. Kerana kalau dia tidak suka ditegur di khalayak ramai, bukan dia nak ikut apa yang kita kata, tapi dia akan marah kepada kita pula kerana memalukan dia.

 

أَو إِصلاحٍ بَينَ النّاسِ

atau untuk mendamaikan di antara manusia. 

Atau nak mendamaikan mereka yang berbalah. Ada perbalahan yang terjadi antara dua puak, dua orang atau dua keluarga. Kita pun nak jadi orang tengah. Kita buat perbincangan rahsia dengan mereka, sebab tak mahu orang tahu. Ini pun dibolehkan juga. Mendamaikan sesama manusia adalah perbuatan yang amat mulia sekali.

Sabda Rasulullah s.a.w, bermaksud: “Mahukah kamu aku khabarkan amalan yang lebih tinggi darjatnya daripada puasa dan solat? Jawab para sahabat: Bahkan (Ya). Sabda baginda: mendamaikan hubungan, kerana rosaknya hubungan itu adalah pencukur (mencukur agama)” – Riwayat Abu Daud.

Dari ayat ini, kita boleh tahu yang tiga jenis perbincangan rahsia ini sahaja yang dapat pahala. Kalau selain dari itu, kebanyakannya hanya menyebabkan dosa sahaja.

 

وَمَن يَفعَل ذٰلِكَ ابتِغاءَ مَرضاتِ اللَّهِ فَسَوفَ نُؤتيهِ أَجرًا عَظيمًا

Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar.

Sesiapa yang berbuat tiga perkara itu untuk mencari redha Allah, pasti mendapat pahala besar. Maknanya, dia buat semua itu kerana ikhlas untuk Allah. Pahala besar kerana bukan senang nak buat perkara-perkara macam itu. Ada sahaja yang nak lawan tak mahu terima.

 


 

Ayat 115: Ayat takhwif ukhrawi

وَمَن يُشاقِقِ الرَّسولَ مِن بَعدِ ما تَبَيَّنَ لَهُ الهُدىٰ وَيَتَّبِع غَيرَ سَبيلِ المُؤمِنينَ نُوَلِّهِ ما تَوَلّىٰ وَنُصلِهِ جَهَنَّمَ ۖ وَساءَت مَصيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And whoever opposes the Messenger after guidance has become clear to him and follows other than the way of the believers – We will give him what he has taken1 and drive him into Hell, and evil it is as a destination.
  • i.e., make him responsible for his choice.

MALAY

Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran pertunjuk (yang dibawanya), dan ia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman, Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke dalam neraka jahanam; dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.

 

وَمَن يُشاقِقِ الرَّسولَ مِن بَعدِ ما تَبَيَّنَ لَهُ الهُدىٰ

Dan sesiapa yang menolak (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran pertunjuk

Sesiapa sahaja yang menolak ajaran Sunnah Rasulullah, setelah nyata kepadanya bahawa itulah jalan hidayat. Sesiapa sahaja, samada orang Islam atau tidak, orang yang berilmu atau tidak. Lafaz يُشاقِقِ bermaksud ‘berpecah’, macam parti politik yang selalu berpecah. Dalam ayat ini, mereka berpecah dari mengikuti Nabi dan kalau begitu, maksudnya mereka menolak.

Menentang itu boleh jadi dalam apa cara sekali pun. Mungkin ada tak suka dengan keputusan Nabi. Mungkin ada yang tidak suka Sunnah Nabi, tidak percaya kepada hadis, dan sebagainya.

Ajaran Nabi adalah ajaran yang kekal sepanjang zaman. Jadi guna alasan yang zaman Nabi lain, zaman kita lain. Perkara ibadat tidak berubah, yang berubah adalah perkara yang terlibat dengan zaman. Oleh itu, hal kehidupan kita seperti pakaian, kenderaan, tempat tinggal dan sebagainya, itu boleh ikut keadaan zaman semasa. Tapi hal ibadat, ianya tetap kekal sepanjang zaman dan tidak berubah. Solat zaman Nabi sama sahaja dengan solat zaman sekarang, tidak perlu diubah-ubah, tidak perlu ditambah-tambah.

Ada ramai yang jahil agama. Tapi ada yang setelah diberitahu kepada mereka kesalahan amalan dan fahaman mereka, mereka masih tolak juga, jadi tidak ada alasan lagi pada mereka. Mereka tidak boleh menggunakan alasan yang mereka tidak tahu, kerana mereka sudah tahu.

Ayat ini dan banyak lagi ayat-ayat lain menunjukkan kewajipan ikut sunnah Nabi, bukan hanya ikut Quran sahaja. Jadi, pegangan golongan anti-hadis yang berhujah, hanya Quran sahaja yang patut dipegang adalah berlawanan dengan apa yang disebut oleh hadis ini. Maknanya, mereka pun tidak berpegang kepada Quran juga.

 

وَيَتَّبِع غَيرَ سَبيلِ المُؤمِنينَ

dan ia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman, 

Sesudah tolak jalan Rasul, dia ikut pula jalan yang bukan jalan orang mukmin. Dia buat cara yang lain dari cara orang lain yang mukmin.

Ayat inilah dalil untuk ijmak seperti kata Imam Syafie. Kerana orang mukmin tidak akan bersetuju semua sekali pada satu jalan yang salah.

Yang paling penting, lafaz سَبيلِ المُؤمِنينَ adalah jalan para sahabat Nabi. Merekalah yang belajar sendiri dengan Nabi Muhammad, mereka amat sayang kepada baginda dan kepada agama, mereka sanggup berkorban apa sahaja, mereka telah dipilih oleh Allah untuk menjadi pembantu Nabi menyebarkan agama, maka tentulah ilmu mereka tentang agama adalah yang terbaik sekali selepas Nabi. Maka, jalan merekalah yang kita kena ikut. Jadi, amalan agama kita kenalah bandingkan dengan mereka. Adakah mereka buat Solat Hajat berjemaah? Adakah mereka buat Kenduri Arwah, adakah mereka menyambut Mawlid Nabi? Kalau mereka tak buat, tapi kita buat, kita ikut siapa sebenarnya?

 

نُوَلِّهِ ما تَوَلّىٰ

Kami akan memalingkannya ikut arah yang dia telah berpaling,

Kerana mereka telah berpaling dari jalan Nabi dan para sahabat, maka Allah terus palingkan mereka jauh dari agama yang benar. Kerana mereka yang hendak begitu. Jadi, mereka akan terus berada di jalan yang salah. Allah beri mereka nampak amalan mereka sebagai molek sahaja. Sampaikan bidaah pun mereka beri nama ‘Bidaah Hasanah’, supaya nampak molek sahaja amalan yang salah itu.

Di dunia, Allah akan biarkan apa yang dia mahukan. Allah akan bagi ‘menjadi’ apa yang dia ingin lakukan. Sebagai contoh, ramai yang amalkan Selawat Syifa’ yang syirik itu. Dan mereka kata mereka berjaya menyembuhkan orang dengan Selawat itu. Allah bagi ‘menjadi’ amalan salah mereka itu. Kalau orang nak jadi sesat, Allah akan biarkan sahaja. Kerana manusia ada free will. Jadi, nampak dia boleh sahaja amalkan apa yang dia hendak amalkan, tanpa ada balasan buruk dari Allah. Jadi mereka kata: “Kalau salah, takkan berjaya apa yang kami amalkan ini, takkan Allah benarkan”. Maka, teruslah mereka berada dalam kesesatan. Ingatlah, kalau Allah ‘benarkan’, tidaklah bermakna Allah ‘redha’.

 

وَنُصلِهِ جَهَنَّمَ ۖ

dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke dalam neraka jahanam; 

Tapi ingat, di akhirat kelak dia akan dimasukkan ke neraka jahannam. Jangan dia sangka yang dia bebas nak buat apa sahaja semasa di dunia, bermakna dia bebas juga di akhirat.

 

وَساءَت مَصيرًا

dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.

Tidak ada tempat lagi yang lagi buruk dari neraka itu. Maka berhati-hatilah dengan apa pegangan kita. Jangan nak sedap mulut sahaja cakap begitu dan begini. Kena hati-hati kerana kalau silap langkah, akan masuk ke neraka. Tak takut neraka kah?

 


 

Ayat 116: Telah selesai ayat-ayat urusan pentadbiran dalam ayat sebelum ini. Sekarang Allah kembali kepada tajuk akidah pula.

Sebelum ini telah disebut berbagai-bagai jenis hukum dan dosa-dosa. Ingatlah bahawa segala jenis dosa-dosa yang telah disebut itu ada keampunan di akhirat kalau Allah mahu. Ataupun Allah boleh masukkan ke dalam neraka, dan selepas melalui azab dalam neraka, akan dikeluarkan dan dimasukkan ke dalam syurga. Tapi ada jenis dosa yang tidak ada keampunan langsung dari Allah. Maknanya, tidak ada peluang nak masuk syurga langsung.

إِنَّ اللَّهَ لا يَغفِرُ أَن يُشرَكَ بِهِ وَيَغفِرُ ما دونَ ذٰلِكَ لِمَن يَشاءُ ۚ وَمَن يُشرِك بِاللَّهِ فَقَد ضَلَّ ضَلالًا بَعيدًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, Allāh does not forgive association with Him, but He forgives what is less than that for whom He wills. And he who associates others with Allāh has certainly gone far astray.

MALAY

Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukanNya dengan sesuatu (apa jua), dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan hukum-hukumNya); dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu (apa jua), maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.

 

إِنَّ اللَّهَ لا يَغفِرُ أَن يُشرَكَ بِهِ

Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukanNya dengan sesuatu

Allah menegaskan dalam ayat ini yang Dia tidak akan mengampuni dosa syirik. Maka, amatlah bahaya kalau kita ada fahaman syirik atau mengamalkan amalan syirik semasa kita hidup dan tidak sempat minta ampun.

Maksud Allah tidak akan ampunkan adalah kalau kita tidak sempat nak minta ampun kepada Allah sebelum kita mati. Dosa syirik masih lagi boleh diampunkan, tapi orang yang buat dosa syirik itu kena minta ampun secara khusus.

Tetapi untuk minta ampun atas dosa syirik, kenalah seseorang itu tahu yang dia telah melakukan syirik. Malangnya, ramai yang tidak tahu apakah maksud tauhid dan apakah maksud syirik. Ini kerana mereka tidak belajar tafsir Quran. Maka, mereka sangka mereka buat perkara yang betul, tapi sebenarnya ianya adalah syirik.

Dan fahaman syirik adalah fahaman yang bahaya. Ianya adalah benda yang dalam akal kita, jadi manusia lain tidak tahu samada kita ada akidah syirik atau tidak. Kalau kita buat kesalahan dalam bab ibadat, orang lain boleh nampak dan kalau salah, boleh ditegur lagi. Tapi kalau benda dalam akal kita, macam mana nak tegur? Jadi, setiap umat Islam kena belajar tafsir Quran dan bandingkan fahaman mereka dengan ajaran dalam Quran. Mereka kena tahu apakah fahaman yang benar dan kemudian bandingkan, samada fahaman mereka selari atau tidak dengan Quran.

Selepas belajar apakah fahaman yang benar, dan kalau kita sebelum itu berfahaman syirik, maka bertaubatlah dan tinggalkan fahaman yang salah itu. Kembalilah kepada agama yang benar. Berdoalah kepada Allah untuk ampunkan dosa syirik kita sebelum itu. Mengakulah yang dulu kita tidak tahu, sekarang setelah belajar, baru tahu. Dosa syirik masih boleh diampunkan lagi, tapi dengan syarat, orang yang bersalah itu kena minta ampun sendiri; dan kena minta ampun semasa hidup. Kalau sudah mati, tidak ada harapan lagi – hukumannya akan kekal dalam neraka tidak keluar-keluar.

Allah sebut tentang syirik selepas sebut tentang taat kepada Nabi. Ini adalah kerana ada kaitan rapat antara keduanya. Taat kepada Nabi adalah tanda taat kepada Allah kerana Nabi menyampaikan arahan Allah. Kalau tak taat kepada Nabi, sama macam tidak taat kepada Allah.

 

وَيَغفِرُ ما دونَ ذٰلِكَ لِمَن يَشاءُ

dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya

Dosa lain boleh diampuni lagi oleh Allah. Tapi kepada orang yang dikehendakiNya sahaja. Jadi, tidak wajib bagi Allah untuk mengampunkan dosa sesiapa pun. Tapi kita bolehlah mengharap kepada Rahmat Allah. Semoga Allah ampunkan dosa kita yang banyak itu. Maka, hendaklah kita selalu meminta ampun kepada Allah. Dan jangan kita berterusan dalam dosa.

 

وَمَن يُشرِك بِاللَّهِ فَقَد ضَلَّ ضَلالًا بَعيدًا

dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu (apa jua), maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.

Allah memberitahu kita bahawa dosa syirik itu amatlah bahaya. Mereka yang amal syirik atau ada fahaman syirik, mereka itu telah jauh dari kebenaran, jauh yang amat sangat. Apabila dah jalan jauh sangat, susah nak patah balik ke tempat asal. Begitulah juga dengan syirik – sesiapa yang mengamalkannya, ianya adalah satu perbuatan yang merbahaya kerana ada yang tidak kembali kerana dah pergi jauh sangat dah dari kebenaran.

 

nisaa-94-116


 

Ayat 117: Allah ambung lagi penjelasan tentang syirik. Syirik adalah yang lain dari dosa-dosa yang telah disebut sebelum ini. Apa-apa kesalahan yang disebut sebelum ini tidak sama dengan dosa syirik. Maka, kena berikan penumpuan yang lebih lagi berkenaan perkara syirik ini.

Sedikit penjelasan tentang syirik. Ada jenis Syirik I’tiqadi – iaitu fahaman dalaman. Ia berbeza dengan Syirik Amali kerana dia mungkin tidak buat pun amalan yang syirik. Ini adalah kerana Syirik I’tiqadi itu berada dalam akal kita dan hati kita, dan kerana itu, orang lain tak nampak. Tapi ia tetap syirik walaupun dia tidak melakukan amalan yang syirik pun. Mungkin orang yang ada fahaman sebegitu pun tidak tahu yang ianya adalah syirik. Tapi itu bukan alasan untuk menyelamatkan dirinya, kerana pengetahuan tentang tauhid dan syirik adalah perkara yang setiap manusia kena tahu sebagai hamba.

Dan untuk mengetahui tentang maksud tauhid dan syirik, kena dapat tahu dari kitab Allah, iaitu Quran. Itu sebab kena belajar tafsir Quran supaya boleh faham apakah yang Allah hendak sampaikan kepada kita. Kita kena ambil pengajaran tentang tauhid dan syirik dari Quran, cuma ulama ada yang buat kaedah ringkasan dari Qur’an. Tapi tidak memadai. Mereka pun kata kena belajar Qur’an. Tidak cukup baca kaedah ulama sahaja. Kaedah itu untuk mereka yang dah faham Qur’an. Ianya hanya sebagai senarai untuk mengingatkan kita kembalik kepada ayat-ayat dalam Quran dan dalil-dalil dari Quran.

Masalah orang kita, mereka tak belajar tafsir Qur’an. Mereka kata tauhid mereka dah betul sebab mereka dah belajar dari Kitab Tauhid. Masalahnya, kalau belajar tauhid dari kitab ulama sahaja tak cukup. Ini kita kena ambil perhatian sangat kerana kalau kita ada akidah syirik, dosa itu tidak akan diampun sampai bila-bila. Bila tidak akan diampun, itu bermaksud tidak akan keluar dari neraka. Ini yang kita bimbangkan kalau terjadi kepada kita atau kepada orang yang rapat dengan kita.

Tapi tauhid dan syirik adalah benda dalam hati yang orang tak nampak. Kalau orang lain nampak, mereka boleh nak tegur tapi kalau dalam hati sahaja, memang tak nampak. Maka kena belajar tafsir Qur’an supaya boleh periksa kefahaman Quran dengan fahaman kita.

Ingatlah bahawa amal ibadat yang dibuat oleh mereka yang ada akidah syirik tidak diterima. Maknanya, kalau mereka solat tak tinggal, puasa tak tinggal, sedekah sana sini dan macam-macam lagi amalan kebaikan yang mereka, tapi kalau ada akidah syirik dalam diri, segala amal ibadat mereka itu tidak diterima lagi oleh Allah. Alangkah rugi dan penatnya, setelah berusaha buat amal ibadat, tapi tidak ada pahalanya!

Jadi akidah ada dua jenis: samada i’tiqadi atau amali – perbuatan. Menghalal atau mengharamkan sesuatu tanpa dalil adalah termasuk dalam Syirik Amali sebab sudah dilakukan sesuatu. Ini banyak yang lakukan kerana mereka telah mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram tanpa bukti. Tapi ramai yang tidak tahu kerana mereka tidak guna lafaz ‘haram’ tapi guna lafaz ‘tak boleh’ atau ‘pantang’. Bila guna lafaz macam itu, tidaklah nampak mereka keluar hukum dalam agama, tapi sebenarnya sudah keluar dah tanpa mereka sedar.

Ini amat bahaya kerana kalau kita buat keputusan yang bercanggah dengan keputusan Allah, kita dah jadi tuhan waktu itu. Kerana sepatutnya menghalal dan mengharamkan adalah hak Allah, tapi kita pandai buat sendiri, jadi tuhanlah waktu dan itu adalah syirik yang besar sekali.

Ayat ini huraikan tentang syirik i’tiqadi. Iaitu syirik yang ada dalam hati.

إِن يَدْعُونَ مِن دُونِهِ إِلَّا إِنَاثًا وَإِن يَدْعُونَ إِلَّا شَيْطَانًا مَّرِيدًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They call upon instead of Him none but female [deities], and they [actually] call upon none but a rebellious Satan,

MALAY

Apa yang mereka sembah yang lain dari Allah itu, hanyalah berhala-berhala (makhluk-makhluk yang lemah), dan mereka (dengan yang demikian) tidak menyembah melainkan Syaitan yang derhaka;

 

إِن يَدْعُونَ مِن دُونِهِ إِلَّا إِنَاثًا

Apa yang mereka sembah yang lain dari Allah itu, hanyalah berhala-berhala perempuan

Yang Musyrikin Mekah seru selain Allah itu adalah ‘perempuan’. Iaitu mereka kata malaikat adalah anak perempuan Allah. Mereka faham kalau nak selesai masalah dengan cepat, kena seru anak perempuan Allah, kerana Allah sayang anak perempuan Dia. Jadi mereka akan seru malaikat dan minta tolong kepada mereka supaya malaikat itu sampaikan kepada Allah. Inilah akidah syirik mereka. Ini memang ada disebut dalam Qur’an.

Musyrikin Mekah memang suka menisbahkan berhala mereka kepada jantina perempuan. Lat, Manat dan Uzza adalah berhala sembahan musyrikin Mekah dalam bentuk perempuan. Mereka pandai-pandai sahaja ubah. Lafaz a-Aziz jadi Uzza, lafa Ilah jadi Lat. Dan berhala-berhala itu pun dibuat dengan rupa menyerupai perempuan.

Oleh itu, fahaman Musyrikin Mekah adalah Allah ada wakil Dia. Begitulah juga akidah syirik kebanyakan manusia tentang wakil Allah. Masyarakat kita pun ada fahaman macma itu juga. Sebab itu ramai dari kalangan kita yang seru Nabi, wali dan malaikat. Sama sahaja akidah mereka dengan Musyrikin Mekah. Tapi, kerana tak belajar, mereka perasan akidah mereka dah OK, padahal tidak sama sekali.

 

وَإِن يَدْعُونَ إِلَّا شَيْطَانًا مَّرِيدًا

mereka tidak menyembah melainkan Syaitan yang derhaka;

Yang mereka seru sebenarnya bukanlah malaikat. Kerana tidak ada dalil pun yang malaikat itu anak Allah. Fahaman itu datangnya dari bisikan syaitan. Oleh itu, yang mereka seru itu sebenarnya adalah syaitan.

Syaitan akan menyebabkan mereka rasa apa yang mereka buat itu benar. Mereka akan buat bunyi kepada berhala yang dibuat. Oleh kerana mereka itu jahil, mereka senang percaya. Sedangkan yang boleh jadi berbunyi itu adalah kerana dilakukan oleh syaitan qarin yang duduk dengan manusia itu. Syaitan Qarin memang boleh bagi manusia sampai dengar bunyi-bunyi yang pelik, tapi mereka hanya boleh lakukan kepada mereka yang kufur akidah sahaja. Dan merekalah yang menjelmakan diri mereka dalam berbagai-bagai rupa kepada manusia yang kufur itu.

Begitulah yang terjadi dalam masyarakat kita yang jahil agama, lebih-lebih lagi jahil Quran. Kalau ada benda yang pelik sikit, mereka dah gelabah dan mula nak percaya. Dan adalah guru sesat yang kata ada wali itu, wali ini datang kepada mereka dalam bentuk lelaki berjubah dan sebagainya, bagi ajaran baru. Ramailah yang percaya sampailah sekarang. Sedangkan yang datang itu adalah syaitan.

Pernah dalam zaman Nabi, baginda suruh sahabat hancurkan patung berhala. Ada satu kisah, bagaimana salah satu patung itu, apabila dihancur, ada bunyi jeritan yang keluar dan kemudian ada perempuan yang keluar dari patung itu. Setelah diberitahu perkara itu kepada Nabi, baginda kata itulah syaitan yang pernah duduk dalam patung itu. Allah zahirkan untuk tunjukkan kebenaran, bahawa memang yang dipuja adalah syaitan. Memang ada dalam setiap patung yang dipuja, tapi tidak jelas kepada kita. Tapi sekali ini Allah nak zahirkan supaya menjadi pengajaran kepada kita.

Syaitan disebut dalam ayat ini bersifat مَّرِيدًا. Maksudnya ‘yang memberontak’. Tahu benda itu salah tapi nak buat juga. Itulah sifat Syaitan. Mereka juga yang bersifat buat kesalahan bersungguh-sungguh. Begitulah juga sifat ramai dari kalangan orang kita. Kita dah bagitahu mana yang salah dan mana yang syirik, tapi mereka masih juga nak buat. Dah masuk sifat syaitan dalam diri mereka.

 


 

Ayat 118: Oleh kerana buruknya sifat syaitan itu, maka Allah melaknat mereka.

لَّعَنَهُ اللَّهُ وَقَالَ لَأَتَّخِذَنَّ مِنْ عِبَادِكَ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Whom Allāh has cursed. For he had said, “I will surely take from among Your servants a specific portion.

MALAY

Yang telah dilaknat oleh Allah, dan yang telah mengatakan: “Demi sesungguhnya, aku akan mengambil dari kalangan hamba-hambaMu, bahagian yang tertentu (untuk menjadi pengikutku);

 

لَّعَنَهُ اللَّهُ

Yang telah dilaknat oleh Allah, 

Allah laknat syaitan. Mereka tidak ada peluang untuk bertaubat dan jadi baik. Jadi, kalau kita pun ikut syaitan juga, kita pun akan mengalami nasib yang sama.

 

وَقَالَ لَأَتَّخِذَنَّ مِنْ عِبَادِكَ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا

dan yang telah mengatakan: “Demi sesungguhnya, aku akan mengambil dari kalangan hamba-hambaMu, bahagian yang tertentu

Kemudian Allah membuka rahsia syaitan supaya tahu dan boleh berhati-hati. Syaitan kata dia akan ambil sebahagian dari kalangan hamba Allah. Sebahagian yang mana? Itulah golongan yang jahil yang tidak faham wahyu. Mereka yang telah ditetapkan untuk jadi ahli neraka. Maksud مَّفْرُوضًا adalah mereka yang telah ditetapkan. Syaitan akan ambil kebanyakan dari golongan manusia untuk duduk bersamanya dalam neraka. Semoga kita tidak termasuk dalam golongan ini.

Dan dari hadis Nabi, memang yang masuk neraka lebih ramai dari yang masuk syurga. Malah, hanya 1 dari 1,000 orang sahaja yang masuk syurga. Seperti sabda Nabi:

“Allah berfirman: “Wahai Adam!” maka ia menjawab: “Labbaik wa sa’daik” kemudian Allah berfirman: “Keluarkanlah dari keturunanmu delegasi neraka!” maka Adam bertanya: “Ya Rabb, apakah itu delegasi neraka?” Allah berfirman: “Dari setiap 1000 orang 999 di neraka dan hanya 1 orang yang masuk surga.” Maka ketika itu para sahabat yang mendengar bergemuruh membicarakan hal tersebut. Mereka bertanya: “Wahai Rasulullah siapakah di antara kami yang menjadi satu orang tersebut?” Maka beliau bersabda: “Bergembiralah, karena kalian berada di dalam dua umat, tidaklah umat tersebut berbaur dengan umat yang lain melainkan akan memperbanyaknya, yaitu Ya’juj dan Ma’juj. Pada lafaz yang lain: “Dan tidaklah posisi kalian di antara manusia melainkan seperti rambut putih di kulit sapi yang hitam, atau seperti rambut hitam di kulit sapi yang putih.” (HR. Bukhari dan Muslim)

 


 

Ayat 119: Allah sambung kata-kata syaitan lagi:

وَلَأُضِلَّنَّهُمْ وَلَأُمَنِّيَنَّهُمْ وَلَآمُرَنَّهُمْ فَلَيُبَتِّكُنَّ آذَانَ الْأَنْعَامِ وَلَآمُرَنَّهُمْ فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ اللَّهِ وَمَن يَتَّخِذِ الشَّيْطَانَ وَلِيًّا مِّن دُونِ اللَّهِ فَقَدْ خَسِرَ خُسْرَانًا مُّبِينًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And I will mislead them, and I will arouse in them [sinful] desires, and I will command them so they will slit the ears of cattle, and I will command them so they will change the creation of Allāh.” And whoever takes Satan as an ally instead of Allāh has certainly sustained a clear loss.

MALAY

“Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah”. Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata.

 

وَلَأُضِلَّنَّهُمْ

“Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka

Syaitan akan sesatkan bahagian manusia yang telah ditetapkan akan duduk dengan dia di neraka kelak. Dalam hadis, ada dikatakan bagaimana 999 dari 1,000 manusia akan duduk dalam neraka.

Sesat yang pertama adalah dari segi akidah. Kalau dapat sesatkan manusia dari segi akidah, itu adalah pencapaian yang amat tinggi sekali. Kerana mereka yang sesat akidah, akan duduk di neraka selama-lamanya.

 

وَلَأُمَنِّيَنَّهُمْ

dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, 

Kemudian, syaitan akan bisikkan khayalan-khayalan. Angan-angan untuk mendapatkan sesuatu kelebihan, pahala dan sebagainya. Inilah yang banyak terjadi kepada ahli tarekat. Mereka telah disesatkan dengan kepercayaan kononnya mereka akan dapat kelebihan tertentu. Padahal tidak ada pun amalan dan kelebihan yang dikatakan oleh guru mereka kerana mereka pakai hadis palsu yang bertentangan dengan wahyu. Hadis palsu itu dari bisikan syaitan. Mereka pakai hadis palsu itu kerana mereka telah disesatkan oleh syaitan awal-awal lagi.

Maknanya, syaitan akan bisikkan khayalan kepada mereka yang mereka akan mendapat kelebihan-kelebihan istimewa. Pahala sebesar langit dan bumilah, naik tingkatan maqam tinggilah, dan macam-macam lagi. Ketahuilah, kelebihan-kelebihan yang dikatakan itu sebenarnya dibisikkan oleh syaitan, bukannya dari Allah. Untuk kenal mana yang benar, kena bandingkan dengan wahyu samada dari Quran atau dari Hadis Nabi yang sahih. Tapi malangnya, mereka yang belajar tarekat dan tasawuf itu, kebanyakannya tak belajar wahyu pun, mereka hanya dengar kata guru mereka sahaja. Guru mereka pula dapat ilmu dari mimpi dan khayalan sahaja.

Untuk orang biasa, dia akan bisikkan dengan harapan yang berbagai – dapat itu dan dapat ini. Akan jadi kaya, akan jadi terkenal, dan macam-macam lagi. Dan untuk mendapatkan semua itu sampai sanggup buat dosa dan zalim kepada orang. Itu semua dari bisikan syaitan. Syaitan hendak sangat kita buat perkara yang salah.

Itulah jenis syirik i’tiqadi. Selepas ini syirik amali pula. Ayat ini menceritakan kedua-dua bahagian syirik.

 

فَلَيُبَتِّكُنَّ آذَانَ الْأَنْعَامِ

dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka tebuk telinga binatang-binatang ternak,

Selepas mereka ikut bisikan syaitan, manusia akan ikut arahan syaitan dan tinggalkan wahyu dari Qur’an dan sunnah. Mereka buat ilmu sendiri. Ini banyak terjadi.

Syaitan boleh perintah manusia yang lemah akidah mereka melalui bisikan. Syaitan sebenarnya susah nak bisik masuk kepada manusia sebab ada pengawal dari malaikat. Tapi apabila manusia lalai leka, akidah sudah rosak, malaikat akan tinggalkan manusia itu dan syaitan boleh masuk.

Syaitan akan suruh mereka tebuk lubang pada telinga binatang ternak. Ini merujuk kepada fahaman Musyrikin Mekah dahulu. Setelah akidah mereka rosak, mereka akan buat amalan syirik pula. Ada binatang ternak mereka yang diserahkan kepada wakil Allah seperti Nabi, wali, jin dan malaikat. Mereka tebuk binatang itu sebagai tanda ianya untuk wakil Allah. Supaya binatang itu tidak diganggu sampai mati. Binatang yang sebegitu tidak boleh dimakan sampai mati sendiri. Maknanya, kalau ada orang nampak binatang itu dengan telinga tertebuk, mereka tak kacau. Macam zaman sekarang, kita boleh tengok bagaimana agama Hindu memuliakan lembu. Sampai mereka tidak kacau lembu yang jalan berkeliaran. Mereka tak tangkap dan mereka tak makan.

Maknanya, syaitan akan suruh manusia reka perkara baru dalam agama. Zaman sekarang kita boleh tengok ramai manusia yang jahil yang pakai logo capal, lambang capal, kopiah capal dan macam-macam lagi. Kononnya dengan pakai logo dan lambang capal itu, mereka akan dapat berkat, akan dapat kelebihan-kelebihan.

 

وَلَآمُرَنَّهُمْ فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ اللَّهِ

dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah”.

Dan syaitan akan suruh mereka sehingga mereka ubahsuai agama Allah. Ibn Abbas lafaz خَلْقَ اللَّهِ bermaksud ‘agama Allah’. Mereka reka amalan syirik dan bidaah dan mereka kata itu adalah sebahagian dari agama, tanpa diberikan dalil. Mereka juga menghalal dan mengharamkan makanan atau apa-apa sahaja, dengan itu mereka telah ambil tugas Allah.

Kalau terjemah خَلْقَ اللَّهِ dalam maksud biasa, ia mengenai mengubah kejadian yang Allah telah tetapkan. Macam zamaan sekarang, ramai lelaki jadi perempuan dan perempuan jadi lelaki. Kerana mereka tidak setuju dengan apa yang Allah telah jadikan. Maka mereka telah ubah-ubah mana yang mereka tak suka. Begitu juga, ada yang pakai tattoo. Kulit elok-elok comel, mereka rosakkan dengan pakai tattoo dan sebagainya. Perempuan pula ada yang tukar rambut asal mereka, ada yang buang kening dan sebagainya. Ada yang tidak suka dengan warna mata mereka dan pakai contact lense untuk warna mata mereka jadi warna mata yang lain dan macam-macam lagi perubahan yang manusia jalankan kepada diri mereka. Kalau mereka cacat dan jadikan baik semula seperti orang biasa, itu dibenarkan.

Menurut hadits sahih riwayat Bukhari dan Muslim (muttafaq alaih):

لعن الله الواشمات والموتشمات ، والمتنمصات ، والمتفلجات للحسن ، المغيرات خلق الله

Artinya: Allah melaknat wanita yang menyambung rambutnya, melakukan tato di wajahnya (mutawasshimah), menghilangkan rambut dari wajahnya, menyambung giginya, demi kecantikan, mereka telah merubah ciptaan Allah.

 

وَمَن يَتَّخِذِ الشَّيْطَانَ وَلِيًّا مِّن دُونِ اللَّهِ

Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, 

Iaitu mereka ikut bisikan dan arahan dari syaitan itu.

 

فَقَدْ خَسِرَ خُسْرَانًا مُّبِينًا

maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata.

Mereka akan mendapat kerugian di dunia dan di akhirat nanti. Di dunia, mereka buat perkara yang sia-sia dan di akhirat kelak, mereka akan dimasukkan ke dalam neraka.

 


 

Ayat 120:

يَعِدُهُمْ وَيُمَنِّيهِمْ وَمَا يَعِدُهُمُ الشَّيْطَانُ إِلَّا غُرُورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He [i.e., Satan] promises them and arouses desire in them. But Satan does not promise them except delusion.

MALAY

Syaitan sentiasa menjanjikan mereka (dengan janji-janji indah) serta memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong; dan apa yang dijanjikan oleh Syaitan itu tidak lain hanyalah tipu daya semata-mata.

 

يَعِدُهُمْ وَيُمَنِّيهِمْ

Syaitan sentiasa menjanjikan mereka (dengan janji-janji indah) serta memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong; 

Syaitan memberi janji bahawa ada kebaikan dalam amalan yang salah. Mereka bisik kata banyak pahala mereka akan dapat kalau buat amalan syirik dan amalan bidaah. Mereka akan ajar akidah yang salah dan bisikkan ganjaran palsu;

Dan syaitan beri harapan palsu kepada manusia dalam kehidupan mereka dengan kejayaan dunia sampai mereka lupa akhirat. Mereka akan beri manusia berangan, dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya. Tapi manusia akan kejar, kejar, sepanjang hidup dia tapi tak dapat. Itulah bahaya materialism. Iaitu mementingkan kebendaan – sekarang manusia mementingkan pakaian yang dipakai, kereta yang cantik, rumah yang besar… dan sebagainya. Itu sahaja yang mereka fikirkan dan banggakan. Tujuannya? Supaya manusia terikat dengan dunia dan lupa akhirat. Kerana untuk mendapatkan segala kecantikan dunia itu, memerlukan luang ada yang banyak sampai tidak belajar. Kemudian sibuk nak jaga harta sampai tidak sempat nak belajar. Dan apabila sudah kaya, terbukalah peluang untuk buat dosa yang berjenis-jenis, sebab duit dah banyak dan peluang sudah ada. Macam-macam yang boleh syaitan tipu manusia. Maka, kenalah berhati-hati. Bukan tidak boleh mencapai kejayaan dunia, tapi jangan sampai kejayaan dunia itu menyesatkan dan menjerumuskan kita ke dalam neraka.

 

وَمَا يَعِدُهُمُ الشَّيْطَانُ إِلَّا غُرُورًا

dan apa yang dijanjikan oleh Syaitan itu tidak lain hanyalah tipu daya semata-mata.

Yang dijanjikan syaitan adalah penipuan semata-mata. Syaitan hendak kita jadi lalai. Ghurur adalah penipuan yang berjaya dilakukan jikalau kita lalai. Maka, jangan lalai. Dia ajak kita ikut jalan dia, tapi nanti di akhirat dia akan berpidato mengatakan memang dia telah menipu kita. Ini ada disebut dalam Ibrahim:22.

Nak tahu samada janji dari syaitan itu benar atau tidak, kena bandingkan dengan nas sahih. Kalau ada kawan kata amalan itu ini dapat begitu begini, minta dia dalil. Kalau tak boleh beri dalil, beritahu dia, tak payahlah nak amal sangat. Amalkan sahaja amalan yang sudah pasti sahaja.

 


 

Ayat 121:

أُولَٰئِكَ مَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ وَلَا يَجِدُونَ عَنْهَا مَحِيصًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The refuge of those will be Hell, and they will not find from it an escape.

MALAY

Mereka itu, tempat akhirnya ialah neraka jahanam, dan mereka pula tidak akan dapat melarikan diri daripadanya.

 

أُولَٰئِكَ مَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ

Mereka itu, tempat akhirnya ialah neraka jahanam, 

Apabila terpedaya dengan bisikan dan janji syaitan, dia akan masuk neraka jahannam. Memang itulah yang dikehendaki oleh syaitan.

 

وَلَا يَجِدُونَ عَنْهَا مَحِيصًا

dan mereka pula tidak akan dapat melarikan diri daripadanya.

Apabila sudah masuk dalam neraka, takkan jumpa jalan keluar dan tempat berlindung.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


 

Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 004: an-Nisa, Tafsir and tagged , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s