Tafsir Surah an-Nisa Ayat 95 – 101 (Hukum Hijrah)

Ayat 95: Ada orang yang diberi uzur tidak wajib menyertai perang menentang orang kafir. Ada dua kemungkinan dimana seseorang itu dibenarkan tidak berjihad – mungkin dia menjaga perbatasan negara Islam atau memang dia uzur macam buta, tempang dan sebagainya.

Ada juga jihad fardhu kifayah, iaitu sukarela. Sebab mungkin sudah ada tentera Islam yang cukup. Yang pergi juga walaupun tidak diwajibkan kepada mereka, tentu lebih dapat pahala dari yang tidak pergi.

لا يَستَوِي القاعِدونَ مِنَ المُؤمِنينَ غَيرُ أُولِي الضَّرَرِ وَالمُجاهِدونَ في سَبيلِ اللَّهِ بِأَموالِهِم وَأَنفُسِهِم ۚ فَضَّلَ اللَّهُ المُجاهِدينَ بِأَموالِهِم وَأَنفُسِهِم عَلَى القاعِدينَ دَرَجَةً ۚ وَكُلًّا وَعَدَ اللَّهُ الحُسنىٰ ۚ وَفَضَّلَ اللَّهُ المُجاهِدينَ عَلَى القاعِدينَ أَجرًا عَظيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Not equal are those believers remaining [at home] – other than the disabled – and the mujāhideen, [who strive and fight] in the cause of Allāh with their wealth and their lives. Allāh has preferred the mujāhideen through their wealth and their lives over those who remain [behind], by degrees. And to all [i.e., both] Allāh has promised the best [reward]. But Allāh has preferred the mujāhideen over those who remain [behind] with a great reward –

MALAY

Tidaklah sama keadaan orang-orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan orang-orang yang beriman – selain daripada orang-orang yang ada keuzuran – dengan orang-orang yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah (untuk membela Islam) dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang-orang yang tinggal duduk dengan kelebihan satu darjat. Dan tiap-tiap satu (dari dua golongan itu) Allah menjanjikan dengan balasan yang baik (Syurga), dan Allah melebihkan orang-orang yang berjuang atas orang-orang yang tinggal duduk dengan pahala yang amat besar;

 

لا يَستَوِي القاعِدونَ مِنَ المُؤمِنينَ

Tidaklah sama keadaan orang-orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan orang-orang yang beriman

Ayat ini hendak memberitahu bahawa tidak sama orang yang pergi berjihad dengan mereka yang tidak pergi. Tapi mereka yang tidak pergi berjihad itu, tidaklah mereka bersalah jikalau ianya jenis jihad yang tidak wajib. Mereka yang tidak pergi itu pun mukmin juga seperti yang disebut dalam ayat ini. Mereka tidak berdosa walaupun tidak ada uzur pun.

 

غَيرُ أُولِي الضَّرَرِ

selain daripada orang-orang yang ada keuzuran

Melainkan jikalau mereka itu uzur, kerana uzur itu sudah ada sebab yang kukuh untuk tidak pergi berjihad. Jadi, ayat ini tentang mereka yang sihat, tapi tidak juga pergi berjihad.

Keuzuran itu boleh jadi macam-macam. Mungkin ada yang buta, tempang, lumpuh, sakit dan sebagainya yang tidak membenarkan dia pergi berjihad. Malah, kepada orang perempuan pun.

Mereka yang tidak dapat berjuang di jalan Allah itu pun akan mendapat pahala seperti mereka yang berjihad juga, asalkan yang menghalang mereka hanyalah kerana keuzuran mereka.

Diriwayatkan oleh Al-Bukhari yang bersumber dari Al-Barra. diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan lainnya dari Zaid bin Tsabit dan At-Thabarani dari Zaid bin Arqam dan Ibnu Hibban dari Al-Falatan bin Ashim seperti riwayat berikut: bahawa ketika turun ayat “لا يَستَوِي القاعِدونَ مِنَ المُؤمِنينَ (An-Nisa ayat 95) bersabdalah Nabi Saw: “Panggillah si anu”. Maka datanglah ia membawa tinta dengan alat tulisnya. Bersabdalah Rasulullah SAW: “Tulislah “لا يَستَوِي القاعِدونَ مِنَ المُؤمِنينَ. Di belakang Rasulullah SAW ada Ibnu Ummi Maktum, ia berkata: “Ya Rasulallah, saya buta”, maka turunlah kelanjutannya “غَيرُ أُولِي الضَّرَرِ sampai akhir ayat (An-Nisa ayat 95) sebagai pengecualian bagi orang yang berhalangan (darurat).

 

وَالمُجاهِدونَ في سَبيلِ اللَّهِ بِأَموالِهِم وَأَنفُسِهِم

dengan orang-orang yang berjihad pada jalan Allah dengan harta dan jiwanya.

Tidaklah sama mereka yang tidak pergi berjihad dengan mereka yang pergi berjihad. Tentulah ada kelebihan kepada mereka yang pergi berjihad itu.

Jihad memerlukan infak kerana tanpa kewangan, perang tidak dapat dijalankan kerana ianya memerlukan belanja yang besar.

Bukan sahaja mujahid itu mengeluarkan hartanya sahaja, tapi dia juga perlu pergi sendiri untuk menggadai nyawanya dalam menjalankan jihad itu.

 

فَضَّلَ اللَّهُ المُجاهِدينَ بِأَموالِهِم وَأَنفُسِهِم عَلَى القاعِدينَ دَرَجَةً

Allah melebihkan orang-orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang-orang yang tinggal duduk dengan kelebihan satu darjat.

Allah memberi motivasi kepada manusia untuk pergi berjihad. Iaitu mereka yang pergi berjihad fisabilillah itu mendapat derjat yang lebih tinggi dari mereka yang tidak pergi.

إِنَّ فِي الْجَنَّةِ مِائَةَ دَرَجَةٍ، أَعَدَّهَا اللهُ لِلْمُجَاهِدِينَ فِي سَبِيلِهِ، مَا بَيْنَ كُلِّ دَرَجَتَيْنِ كَمَا بَيْنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْض

“Ada seratus darjat di Syurga yang Allah telah sediakan kepada mereka yang berjuang di jalan Allah. jarak di antara dua darjat itu adalah seperti jarak antara langit dan bumi .” Sahih Bukhari.

 

وَكُلًّا وَعَدَ اللَّهُ الحُسنىٰ

Dan tiap-tiap satu (dari dua golongan itu) Allah menjanjikan dengan balasan yang baik

Golongan Mukmin yang pergi berjihad dan golongan mukmin yang tidak pergi berjihad, kedua-duanya mendapat balasan kebaikan dari Allah. Kerana yang tidak pergi berjihad pun mukmin juga.

 

وَفَضَّلَ اللَّهُ المُجاهِدينَ عَلَى القاعِدينَ أَجرًا عَظيمًا

dan Allah melebihkan orang-orang yang berjuang atas orang-orang yang tinggal duduk dengan pahala yang amat besar;

Tetapi, Allah melebihkan balasan kepada mereka yang pergi berjihad. Lebih dari mereka yang duduk tidak berjihad.

Ayat ini mengajar kita untuk berbuat lebih untuk agama, dalam hal ibadat dan kebaikan, untuk mendapatkan derjat yang lebih tinggi lagi. Kerana kita kena berusaha sebanyak yang kita mampu. Jangan buat yang wajib-wajib sahaja, tapi hendaklah disusuli dengan perkara-perkara sunat.

Ayat ini memberi dalil kepada kita bahawa jihad fisabilillah itu adalah Fardhu Kifayah. Ianya bukanlah Farhdu Ain. Kalau tentera sudah cukup, maka kewajipan itu sudah dipenuhi. Tetapi kalau ada yang kena serang, maka ianya adalah kewajipan mereka yang mampu untuk mempertahankan diri. Ataupun, kalau negara Islam yang lain kena bantu. Kalau selagi tidak cukup, maka kewajipan itu belum dipenuhi lagi.

 


 

Ayat 96:

دَرَجاتٍ مِنهُ وَمَغفِرَةً وَرَحمَةً ۚ وَكانَ اللَّهُ غَفورًا رَحيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Degrees [of high position] from Him and forgiveness and mercy. And Allāh is ever Forgiving and Merciful.

MALAY

Iaitu beberapa darjat kelebihan daripadaNya, dan keampunan serta rahmat belas kasihan. Dan (ingatlah) adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

 

دَرَجاتٍ مِنهُ

Iaitu beberapa darjat kelebihan daripadaNya,

Derjat itu adalah pemberian dari Allah sendiri. Maknanya, ianya adalah kedudukan yang istimewa. Manusia ada juga beza-bezakan darjat antara manusia, tapi itu rekaan manusia sahaja – pangkat, kedudukan, kecantikan, bangsa dan sebagainya. Tapi derjat yang dimaksudkan ini adalah dari Allah sendiri.

 

وَمَغفِرَةً وَرَحمَةً

dan keampunan serta rahmat belas kasihan. 

Keampunan tambahan dan rahmat tambahan. Kita memang amat-amat mengharapkan dua-dua perkara ini – keampunan dan rahmat. Kalau Allah tidak ampunkan dosa kita, kita akan masuk ke dalam neraka. Dan kalau Allah tidak beri rahmat kepada kita, kita tidak akan dapat masuk ke dalam syurga, kerana kita hanya dapat masuk ke dalam syurga dengan rahmatNya sahaja.

 

وَكانَ اللَّهُ غَفورًا رَحيمًا

Dan (ingatlah) adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Allah mengingatkan kita dengan dua SifatNya – Maha Pengampun dan Maha Mengasihani. Dalam kita mengharapkan pengampunan dan rahmat dari Allah, Allah terus memberitahu yang Dia memang sudah Maha Pengampun dan Maha Mengasihani.

 


 

Ayat 97: Ini adalah hukum ke-9. Ini adalah tentang orang Islam yang tinggal di sekitar daerah Kafir Harbi. Allah perintah  Khalifah negara Islam dengan tanggungjawab untuk pastikan umat Islam tidak dizalimi walau mereka duduk di negara Kafir Harbi. Mungkin mereka tidak mampu hijrah ke negara Islam. Khalifah kena ambil tahu tentang hal mereka dan kena selalu bertanya. Kalau ada kezaliman ke atas orang Islam di negara Kafir Harbi, Khalifah kena arahkan tentera untuk menyelamatkan mereka. Kita telah belajar hal ini dalam ayat-ayat sebelum ini.

Tapi ayat ini tentang mereka yang mampu hijrah, tapi tetap tidak mahu hijrah. Hukumnya, kerana mereka mampu, mereka wajib hijrah. Mereka kena hijrah supaya boleh amalkan amalan Islam dengan sempurna. Janganlah tidak mahu hijrah ke negara Islam kerana banyak rezeki tempat mereka duduk. Itu maknanya, mereka tidak mahu hijrah kerana tamak kepada dunia dan harta. Masalahnya, bila duduk negara Kafir Harbi, banyak ibadat tidak boleh dilakukan kerana ada banyak sekatan dari pemerintah yang kafir. Apabila mereka tidak dapat menyermpurnakan amal ibadat, mereka dikira berdosa kerana lalai kerana mereka mampu untuk berhijrah tapi tidak. Kalau mereka ditanya di akhirat nanti kenapa tidak amalkan Islam dengan sempurna, alasan tidak mampu menjaga hukum Allah kerana ditindas oleh pemerintah, sudah tidak laku. Kerana bukannya mereka tidak boleh menyelamatkan diri mereka dari pemerintah zalim itu, tapi mereka yang tidak mahu.

Asbabun Nuzul ayat ini adalah tentang orang Mekah yang mampu untuk Hijrah ke Madinah tapi mereka tidak melakukannya kerana banyak rezeki di Mekah dan mereka tidak mahu kerugian kalau mereka berpindah ke Madinah.

إِنَّ الَّذينَ تَوَفّاهُمُ المَلائِكَةُ ظالِمي أَنفُسِهِم قالوا فيمَ كُنتُم ۖ قالوا كُنّا مُستَضعَفينَ فِي الأَرضِ ۚ قالوا أَلَم تَكُن أَرضُ اللَّهِ واسِعَةً فَتُهاجِروا فيها ۚ فَأُولٰئِكَ مَأواهُم جَهَنَّمُ ۖ وَساءَت مَصيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, those whom the angels take [in death] while wronging themselves1 – [the angels] will say, “In what [condition] were you?” They will say, “We were oppressed in the land.” They [the angels] will say, “Was not the earth of Allāh spacious [enough] for you to emigrate therein?” For those, their refuge is Hell – and evil it is as a destination.

  • By preferring to remain among the disbelievers, although they have the means to emigrate, in an environment where a Muslim is unable to practice his religion freely.

MALAY

Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: “Apakah yang kamu telah lakukan mengenai ugama kamu?” Mereka menjawab: “Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi”. Malaikat bertanya lagi: “Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?” Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.

 

إِنَّ الَّذينَ تَوَفّاهُمُ المَلائِكَةُ ظالِمي أَنفُسِهِم

Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri

Ini adalah tentang orang Islam yang mati dalam hal keadaan mereka yang menzalimi diri mereka kerana tidak mengamalkan Islam dengan sepenuhnya. Ini adalah kerana mereka tinggal di negara kafir yang menghalang mereka dari mengamalkan Islam. Mereka jadi begitu kerana mereka tidak berhijrah ke negara Islam. Sedangkan mereka mampu untuk berhijrah. Dan mereka dicabut nyawa oleh malaikat maut dalam keadaan begitu.

 

قالوا فيمَ كُنتُم

mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: “Apakah keadaan kamu sebelum ini?”

Masa malaikat cabut nyawa mereka, malaikat tanya mereka, mereka dalam agama mana? Sebab banyak hukum Tuhan mereka tak buat sebab tak dapat buat. Dah tak nampak macam orang Islam pula.

 

قالوا كُنّا مُستَضعَفينَ فِي الأَرضِ

Mereka menjawab: “Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi”. 

Mereka kata mereka golongan yang tertindas di bumi kafir. Sebab itu mereka tidak dapat mengamalkan ajaran Islam dengan sempurna.

 

قالوا أَلَم تَكُن أَرضُ اللَّهِ واسِعَةً

Malaikat bertanya lagi: “Tidakkah bumi Allah itu luas, 

Selepas mereka menjawap macam itu, para malaikat tanya balik: Kenapa buat alasan?  Bukankah bumi Allah ini luas?

 

فَتُهاجِروا فيها

yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?”

Bila bumi ini luas, bukankah kamu boleh hijrah? Pergilah ke negara Islam, senang nak amal agama. Kalau pada zaman Nabi dulu, mereka sepatutunya hijrah ke Madinah, kerana Madinah dekat sahaja. Jangan beri alasan susah pula nak hijrah kerana semua yang hijrah itu susah belaka.

 

فَأُولٰئِكَ مَأواهُم جَهَنَّمُ

Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam,

Mereka tetap kena hukum dengan dimasukkan ke dalam neraka. Alasan mereka yang mereka ditindas di negara kafir itu sampai tidak boleh mengamalkan Islam dengan sempurna tidak laku dan tidak diterima.

Mereka tidak boleh guna alasan yang kena buat perkara salah kerana ikut penduduk setempat. Sebagai contoh, dalam zaman kita sekarang, katakanlah kita solat jemaah di masjid dan jemaah buat ‘salam keliling’ selepas solat jemaah itu. Jangan pula kita buat sekali dan kemudian beri alasan kena ikut sebab ramai yang buat. Kenapa nak ikut perkara yang bidaah? Kerana kalau kita tak buat pun, tidaklah kena pukul atau kena bunuh, bukan? Habis kuat pun mereka yang jahil akan jeling kita dan itu tidaklah memberi bekas dan cedera kepada kita, bukan?

Oleh itu, ayat ini tentang mereka yang tidak boleh amalkan hukum kerana ada halangan dari orang kawasan itu.

 

وَساءَت مَصيرًا

dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.

Mereka akhirnya akan dimasukkan ke dalam neraka dan ianya adalah tempat yang paling buruk.

 

Balaghah: Hazfu wa zikru. Jenis الإختزال (al-ikhtizal)

Dimana ada hazaf huruf dalam lafaz ayat Quran. Ini seumpama penggunaan shorthand. Ada hazaf dari fi’il. Dibuang huruf untuk menunjukkan peristiwa itu lebih kecil atu kurang dari segi kuantiti; atau masa kejadian itu lebih pendek. Sebagai contoh, kalaulah penggunaan al-ikhtizal ini ada dalam bahasa Melayu, kalau digunakan kalimah ‘makan’, itu bermaksud makan yang biasa. Tetapi, kalau buang huruf n dan perkataan makan itu jadi ‘maka’, maksudnya makan yang sekejap sahaja tidak seperti biasa, atau makan sikit sangat tidak seperti biasa. Tapi tidaklah penggunaan ikhtizal ini ada dalam bahasa Melayu.

Lihat kalimat تَوَفَّاهُمُ الْمَلَائِكَةُ dalam ayat ini. Dalam ayaat ini, ada ikhtizal pada kalimah تَوَفَّاهُمُ. Asalnya adalah تَتَوَفَّاهُمُ. Kenapa ada ada hazaf? Kalau tanya ulama nahu, mereka akan jawap memang boleh dihazafkan kerana sebab muwalah, iaitu apabila ada huruf berulang memang boleh dibuang salah satunya. Tapi, apa beza dengan ayat Nahl:28?

الَّذِينَ تَتَوَفَّاهُمُ الْمَلَائِكَةُ ظَالِمِي أَنفُسِهِمْ فَأَلْقَوُا السَّلَمَ مَا كُنَّا نَعْمَلُ مِن سُوءٍ بَلَىٰ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

(Iaitu) mereka yang diambil nyawanya oleh malaikat dalam keadaan mereka menganiaya diri sendiri (dengan kekufurannya).” Lalu mereka tunduk menyerah (ketika melihat azab sambil berkata): “Kami tiada melakukan sesuatu kejahatan”. (Malaikat menjawab): “Bahkan (kamu ada melakukannya); sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu telah kerjakan”.

Lihatlah kalimat تَتَوَفَّاهُمُ الْمَلَائِكَةُ yang hampir sama dalam Nisa:97, tapi kenapa ianya dalam wazan yang penuh? Sedangkan kedua-dua ayat ini tentang mereka yang mengalami su’ul khotimah (akhir hidup yang buruk).

Jawapannya kerana walaupun kedua-dua ayat itu disebabkan keadaan yang hampir serupa, tapi tidaklah sama. Kalau kalimat تَوَفَّاهُمُ dalam Nisa:97 dihazafkan kerana jumlah kejadian yang termasuk dalam keadaan ini adalah terhad. Mereka itu mati su’ul khotimah iaitu mati dalam kafir kerana enggan berhijrah; ini adalah kurang kalau dibandingkan dengan mereka yang mati su’ul khotimah dalam keadaan umum.

 


 

Ayat 98: Ada yang memang tidak boleh untuk meninggalkan tempat mereka menuju ke negara Islam. Ayat ini adalah tentang mereka yang ada alasan.

إِلَّا المُستَضعَفينَ مِنَ الرِّجالِ وَالنِّساءِ وَالوِلدانِ لا يَستَطيعونَ حيلَةً وَلا يَهتَدونَ سَبيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Except for the oppressed among men, women, and children who cannot devise a plan nor are they directed to a way1 –

  • They are prevented by circumstances beyond their control.

MALAY

Kecuali orang-orang yang lemah (lagi uzur) dari kaum lelaki dan perempuan serta kanak-kanak, yang tidak berdaya upaya mencari helah (untuk melepaskan diri) dan tidak pula mengetahui sesuatu jalan (untuk berhijrah).

 

إِلَّا المُستَضعَفينَ مِنَ الرِّجالِ وَالنِّساءِ وَالوِلدانِ

Kecuali orang-orang yang lemah (lagi uzur) dari kaum lelaki dan perempuan serta kanak-kanak, 

Mereka lemah dari segi fizikal untuk berhijrah. Mereka tidak boleh meloloskan diri atau pergi sendiri ke negara Islam meninggalkan negara kafir.

 

لا يَستَطيعونَ حيلَةً

yang tidak berdaya upaya mencari helah

Mereka tidak mampu untuk mencari helah – tidak ada kemampuan untuk mencari jalan keluar. Tidak ada orang yang boleh bawa mereka pergi.

 

وَلا يَهتَدونَ سَبيلًا

dan tidak pula mengetahui sesuatu jalan

Ataupun mereka pun tidak tahu nak pergi ke mana. Tempat lain pun sama sahaja, akan kena tindas juga.

Oleh kerana mereka itu tidak mampu untuk keluar dari negara kafir itu, maka mereka ada alasan yang akan diterima oleh Allah.

Macam negara kita ini masih lagi selamat, tidak perlu pergi ke mana-mana. Memang ramai yang buat bidaah, tapi kita tidak perlu ikut mereka. Tidak membahayakan pun kalau kita tidak ikut pun – kena jegil mata dan kena kutuk sahaja – itu biasalah datang mereka yang jahil – dan jangan kita takut dengan orang yang jahil. Tetapi, kalau penduduk negara  ini paksa kita buat bidaah dan syirik, kita boleh pergi ke tempat lain. Ataupun kalau pemimpin negara ini paksa kita buat benda bidaah dan syirik, maka kita kena tinggalkan. Tapi pemimpin negara ini adalah ahli politik dan mereka tidak campur dalam urusan agama. Mereka hanya menggunakan agama untuk kepentingan mereka sahaja. Kalau ada orang yang ikut sunnah, mereka akan biarkan sahaja kerana mereka tidak mahu hilang undi dari puak Sunnah pula nanti.

 


 

Ayat 99:

فَأُولٰئِكَ عَسَى اللَّهُ أَن يَعفُوَ عَنهُم ۚ وَكانَ اللَّهُ عَفُوًّا غَفورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

For those it is expected that Allāh will pardon them, and Allāh is ever Pardoning and Forgiving.

MALAY

Maka mereka (yang demikian sifatnya), mudah-mudahan Allah maafkan mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.

 

فَأُولٰئِكَ عَسَى اللَّهُ أَن يَعفُوَ عَنهُم

Maka mereka (yang demikian sifatnya), mudah-mudahan Allah maafkan mereka.

Mudah-mudahan Allah akan ampun mereka. Maknanya, belum tentu Allah akan maafkan lagi ni. Tapi memang sudah ada alasan yang kukuh. Kalau mereka mampu, Allah tak beri ampun.

Ada juga yang mengatakan lafaz عَسَى bermaksud ‘pasti’. Pasti Allah akan ampunkan.

 

وَكانَ اللَّهُ عَفُوًّا غَفورًا

Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.

Allah ingatkan kita dengan SifatNya yang Maha Beri Maaf dan Maha Mengampun. Jadi, ada kemungkinan Allah akan ampunkan.

 


 

Ayat 100: Ini adalah ayat targhib kepada hijrah. Allah beri dorongan kepada manusia untuk jihad kepada tempat yang lebih baik. Ini penting kerana dalam fikiran manusia, hijrah itu tentu susah. Memang bukan senang nak berpindah dari tempat yang kita sudah biasa duduk ke tempat yang belum tentu lagi. Sudahlah jauh, nanti sampai ke sana, tidak tahu apa yang akan terjadi. Dalam ayat ini, Allah hendak beritahu kelebihan hijrah. Agama akan selamat, dan dunia pun akan selamat juga. Asalkan hijrah kerana agama sahaja, Allah akan beri kemudahan dan kebaikan dan ini adalah janji Dia.

Apa yang hendak dirisaukan sangat tentang berpindah tempat? Orang lain selalu sahaja berpinda kerana hendak cari rezeki dan tidak ada masalah pun. Oleh itu, dalam fikiran kita, kita kena tahu yang bukan ada masalah sangat nak pindah. Dah banyak dah yang orang yang hijrah kerana hendak mencari kesenangan dunia. Sekarang Allah suruh hijrah kerana agama, dan itu adalah lebih baik dari hijrah kerana dunia.

۞ وَمَن يُهاجِر في سَبيلِ اللَّهِ يَجِد فِي الأَرضِ مُراغَمًا كَثيرًا وَسَعَةً ۚ وَمَن يَخرُج مِن بَيتِهِ مُهاجِرًا إِلَى اللَّهِ وَرَسولِهِ ثُمَّ يُدرِكهُ المَوتُ فَقَد وَقَعَ أَجرُهُ عَلَى اللَّهِ ۗ وَكانَ اللَّهُ غَفورًا رَحيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And whoever emigrates for the cause of Allāh will find on the earth many [alternative] locations and abundance. And whoever leaves his home as an emigrant to Allāh and His Messenger and then death overtakes him – his reward has already become incumbent upon Allāh. And Allāh is ever Forgiving and Merciful.

MALAY

Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

 

وَمَن يُهاجِر في سَبيلِ اللَّهِ

Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah

Iaitu mereka yang berhijrah untuk agama mereka – untuk menyelamatkan agama mereka. Kerana kalau di tempat asal mereka, mereka tidak dapat mengamalkan agama Islam dengan sempurna, maka mereka wajib untuk meninggalkan tempat mereka dan pergi ke tempat yang aman untuk mengamalkan agama Islam.

 

يَجِد فِي الأَرضِ مُراغَمًا كَثيرًا وَسَعَةً

nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; 

Kalau mereka berniat dan berusaha untuk hijrah kerana menjaga agama, Allah akan bantu mereka. Nescaya mereka akan jumpa tempat tinggal yang sangat banyak untuk diduduki. Malahan Allah boleh bagi tempat yang lebih luas dari tempat asal dia. Dan juga dia akan dapati kelapangan rezeki.

Tidak ada sesiapa yang pernah kecewa dari janji Allah ini. Nabi Ibrahim telah berhijrah dari Iraq ke Syiria, tempat yang lebih baik; Nabi Musa dan Bani Israil telah berhijrah dari Mesir ke tempat yang lebih baik; dan Nabi Muhammad dan para Sahabat juga telah berhijrah dari Mekah ke Madinah yang kita pun tahu tempat yang lebih baik untuk mereka untuk mengembangkan agama Islam.

 

وَمَن يَخرُج مِن بَيتِهِ مُهاجِرًا إِلَى اللَّهِ وَرَسولِهِ

dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya,

Ini mengajar kita bahawa hijrah yang dikehendaki adalah kerana Allah dan kerana hendak mengikut sunnah Rasulullah. Kena betulkan niat – bukannya kerana mencari harta, bukannya kerana hendak menyelamatkan diri dari kesalahan yang telah dilakukan di tempat asal atau apa-apa sahaja sebab yang bukan kerana agama.

 

ثُمَّ يُدرِكهُ المَوتُ

kemudian ia mati

Kemudian dia mati, tidak sempat sampai ke destinasinya; tidak sempat sampai ke negara Islam; tidak sempat sampai ke tempat yang dia boleh nak amalkan Islam itu. Semuanya dalam taqdir Allah, Allah yang tetapkan dia tidak sampai.

Kalau tak sempat sampai pun tidak mengapa. Asalkan keluar dari rumah sahaja.

 

فَقَد وَقَعَ أَجرُهُ عَلَى اللَّهِ

maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. 

Walaupun dia tidak sempat sampai ke destinasi, tapi sudah pasti dia akan dapat pahala dari Allah. Ini juga janji yang dia akan pasti selamat di akhirat. Kerana dia telah melakukan usahanya. Allah hanya hendak lihat usaha sahaja, bukan kejayaan.

Daripada Abu Said al-Khudri r.a., bahawa Nabiyullah SAW bersabda: “Sebelum zaman kamu ini, pernah ada seorang lelaki yang telah membunuh seramai 99 (sembilan puluh Sembilan) orang manusia, kemudian dia bertanyakan mengenai perkara itu kepada seorang yang paling alim pada zaman itu. Selepas ditunjukkan kepadanya seorang rahib (pendeta). Dia pun berjumpa rahib tersebut. Dia memberitahu: “Aku telah membunuh seramai sembilan puluh sembilan orang manusia, adakah taubatku masih diterima?” Rahib tersebut menjawab: “Tidak!”

Mendengar jawapan itu, dia tidak puas hati, terus naik marah lalu membunuh rahib tersebut dan genaplah jumlah seratus orang manusia yang telah dibunuhnya.

Namun niatnya ingin bertaubat tetap teguh. Tanpa putus asa dia mencari lagi seseorang yang paling alim pada zaman itu. Kemudian lalu ditunjukkan kepadanya seorang yang alim, dia terus berjumpa orang alim tersebut dan berkata: “Aku telah membunuh seramai seratus orang manusia. Adakah taubatku masih diterima?”

Orang alim tersebut menjawab: “Ya! Siapakah yang menghalang seseorang dari bertaubat?”

“Sekarang, pergilah kamu ke tempat ini dan ini, kerana di sana terdapat ramai orang yang beribadah kepada Allah. Kamu beribadatlah kepada Allah bersama mereka dan jangan pulang ke tempat kamu kerana tempatmu itu adalah tempat yang teruk.”sambung orang alim itu lagi.

Lelaki tersebut beredar menuju ke tempat yang dinyatakan. Ketika berada di pertengahan jalan, tiba-tiba maut datang menjemputnya dan dia pun meninggal dunia.

Melihat kejadian itu, menyebabkan Malaikat pembawa rahmat dan Malaikat Azab (malaikat yang ditugaskan menyeksa) bertelingkah mengenainya.

Malaikat Rahmat berkata: “Dia datang dalam keadaan sudah bertaubat dan menghadapkan hatinya secara ikhlas kepada Allah.”

Manakala Malaikat Azab pula berkata: “Benar, namun dia tidak pernah melakukan kebaikan.”

Lalu datanglah malaikat lain yang menyerupakan dirinya dalam bentuk manusia. Lalu dia menjadikan dirinya sebagai pemisah antara malaikat-malaikat yang berselisih tadi, iaitu dijadikan hakim pemutusnya untuk mengadili pertengkaran mereka dan untuk menetapkan mana yang betul.

Malaikat itu berkata, “Kalau begitu, ukurlah jarak kamu. Jarak di antara dua tempat, dari sini ke tempat yang ditinggalkan lelaki ini dan ke tempat yang hendak ditujunya; ke tempat mana yang lebih dekat, bererti dialah yang berhak ke atas orang ini.”

Kedua-dua malaikat tersebut lalu sama-sama mengukur dan setelah di ukur, ternyata mereka dapati kedudukan mayat lelaki tersebut lebih hampir dengan tempat tujuannya untuk melaksanakan taubat iaitu tempat yang dihuni oleh orang-orang soleh, beerti ia termasuk di kalangan mereka. Maka akhirnya, lelaki tersebut berhak diambil oleh Malaikat Rahmat.”

(Hadis Riwayat Muttafaq Alaih)

 

وَكانَ اللَّهُ غَفورًا رَحيمًا

Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Allah akan ampunkan segala dosa dia. Dan Allah akan beri rahmat kepada mereka.

 


 

Ayat 101: Ini adalah hukum ke-10. Iaitu apabila hendak solat dalam musafir. Sebelum ini telah disebut tentang jihad dan juga Hijrah. Kedua-duanya tentu melibatkan perjalanan yang jauh. Perjalanan yang jauh tentulah menyusahkan, tambahan lagi kalau di dalam waktu peperangan, kerana dalam perang, ada ketakutan dalam hati yang pihak musuh boleh serang bila-bila.

Ada keringanan dalam ibadat semasa kita di dalam musafir dan Allah beri keringanan ini kepada sesiapa yang bersusah payah bermusafir dalam menegakkan tauhid. Kalau sampai berperang dengan musuh, akan lebih ringan lagi. Maknanya, dalam apa keadaan pun, solat tidak boleh ditinggalkan, tapi boleh diringankan.

Contoh, kalau musafir kerana Allah, solat yang empat sudah jadi dua rakaat. Kalau musuh di depan, sampai boleh solat sambil berjalan atau bergerak apa sahaja.

وَإِذا ضَرَبتُم فِي الأَرضِ فَلَيسَ عَلَيكُم جُناحٌ أَن تَقصُروا مِنَ الصَّلاةِ إِن خِفتُم أَن يَفتِنَكُمُ الَّذينَ كَفَروا ۚ إِنَّ الكافِرينَ كانوا لَكُم عَدُوًّا مُبينًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when you travel throughout the land, there is no blame upon you for shortening the prayer,1 [especially] if you fear that those who disbelieve may disrupt [or attack] you.2 Indeed, the disbelievers are ever to you a clear enemy.

  • The four rak‘ah prayers are shortened to two rak‘ahs.
  • The example of the Prophet () and his companions illustrates that fear is not a condition for this allowance, merely travel.

MALAY

Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa “mengqasarkan” (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu.

 

وَإِذا ضَرَبتُم فِي الأَرضِ

Dan apabila kamu musafir di muka bumi,

Musafir ini banyak jenis. Ada musafir untuk menegakkan agama Allah (dakwah) dan ada musafir yang biasa. Asal nama musafir sahaja, hukum yang akan disebutkan dalam ayat ini akan terpakai.

 

فَلَيسَ عَلَيكُم جُناحٌ أَن تَقصُروا مِنَ الصَّلاةِ

maka kamu tidaklah berdosa “mengqasarkan” (memendekkan) sembahyang

Apabila dalam musafir, kita boleh qasar solat jadi pendek. Iaitu solat yang empat rakaat jadi dua rakaat. Solat yang selain dari itu tidak ada Qasar. Jangan pula qasarkan solat subuh dua rakaat jadi satu rakaat pula; atau solat maghrib jadi satu setengah rakaat pula.

Solat Qasar adalah ‘hadiah’ yang telah diberikan oleh Allah, maka kita hendaklah melakukannya. Sabda Rasullah SAW  maksudnya:

“Sesungguhnya Allah suka dilaksanakan rukhsah (keringanan) yang diberikan olehNya seperti Allah membenci  dilakukan maksiat kepadaNya”. (Hadis riwayat Ahmad).

 

إِن خِفتُم أَن يَفتِنَكُمُ الَّذينَ كَفَروا

jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. 

Dalam ayat ini, seperti kemudahan ini diberikan jikalau bimbang diserang oleh musuh kafir. Tetapi, dalam perbuatan Nabi dan sahabat, kita boleh lihat bagaimana syarat ini bukan sahaja dalam keadaan takut, malah boleh dilakukan dalam keadaan aman juga, asalkan dalam musafir.

Ya’laa bin Umayyah berkata: Aku pernah bertanya kepada Umar al-Khattab radiallahu-anhu berkenaan firman Allah – “maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir” ; sedangkan pada masa sekarang manusia telahpun berada dalam keadaan aman.

Umar menjawab: Aku sendiri pernah merasa hairan juga seperti kamu, oleh itu aku telah bertanya kepada Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam tentang hal ini lalu beliau bersabda: Itu adalah sedeqah yang diberikan oleh Allah Azza wa Jalla kepada kalian, maka terimalah sedekahNya itu. Maksud hadith riwayat Imam Muslim, Tirmizi, Ibnu Majah dan Abu Daud, Sunan Abu Daud

Jadi, kalau kita tidak mengqasar solat, ianya seperti kita tidak suka dengan pemberidan dari Allah itu. Malangnya, ramai yang tidak mengqasar solat mereka kerana tidak faham anjuran ini. Mereka rasa macam tidak perlu untuk mengqasar solat kerana mereka rasa tidak susah dalam perjalanan mereka. Tidak kurang juga yang tidak qasar kerana tidak tahu ‘lafaz niat’nya. Ini adalah kerana masyarakat kita telah diajar, kena lafaz niat dalam solat dan lafaz niat itu susah pula. Sampaikan mereka yang tidak menghafalnya, rasa baik mereka solat penuh sahaja. Ini adalah salah sekali. Tidak ada lafaz niat dalam solat dan mereka yang mengajarkan perkara itu telah menyusahkan umat dan telah menyebabkan ada amal ibadat yang tidak dilakukan oleh manusia.

 

 إِنَّ الكافِرينَ كانوا لَكُم عَدُوًّا مُبينًا

Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu.

Mereka adalah musuh kita kerana mereka menentang agama Allah.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


 

Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 004: an-Nisa and tagged , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s