Tafsir Surah an-Nisa Ayat 80 – 86 (Beri salam)

Ayat 80: Dalam ayat sebelum ini, disebut bahawa Nabi Muhammad itu adalah seorang Rasul. Dalam ayat ini, Allah memberitahu hak seorang Rasul itu. Allah menegaskan dalam ayat ini bahawa kena taat kepada Nabi Muhammad.

مَّن يُطِعِ الرَّسُولَ فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ وَمَن تَوَلَّىٰ فَمَا أَرْسَلْنَاكَ عَلَيْهِمْ حَفِيظًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He who obeys the Messenger has obeyed Allāh; but those who turn away – We have not sent you over them as a guardian.

MALAY

Sesiapa yang taat kepada Rasulullah, maka sesungguhnya ia telah taat kepada Allah; dan sesiapa yang berpaling ingkar, maka (janganlah engkau berdukacita wahai Muhammad), kerana Kami tidak mengutusmu untuk menjadi pengawal (yang memelihara mereka dari melakukan kesalahan).

 

مَّن يُطِعِ الرَّسُولَ فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ

Sesiapa yang taat kepada Rasulullah, maka sesungguhnya ia telah taat kepada Allah;

Untuk taat kepada Allah, syaratnya kena taat kepada Rasulullah. Tidak boleh kita kata kita taat kepada Allah, tapi tidak hirau dengan apa yang Nabi sampaikan. Ini penting kerana Nabi menyampaikan apakah yang Allah suruh baginda sampaikan, bukannya perkara itu dari diri baginda sendiri. Oleh itu, kena taat sungguh-sungguh kepada Nabi. Kemudian, Nabi tambah satu lagi syarat, iaitu kena taat kepada amir (pemerintah). Kalau taat kepada amir, itu adalah tanda taat kepada Nabi.

Dari Abu Hurairah, dari Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam, beliau bersabda,

مَنْ أَطَاعَنِى فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ وَمَنْ يَعْصِنِى فَقَدْ عَصَى اللَّهَ وَمَنْ يُطِعِ الأَمِيرَ فَقَدْ أَطَاعَنِى وَمَنْ يَعْصِ الأَمِيرَ فَقَدْ عَصَانِى

Barangsiapa mentaatiku, maka ia berarti mentaati Allah. Barangsiapa yang  tidak mentaatiku berarti ia tidak mentaati Allah. Barangsiapa yang taat pada pemimpin berarti ia mentaatiku. Barangsiapa yang tidak mentaatiku berarti ia tidak mentaatiku.” (HR. Bukhari no. 7137 dan Muslim no. 1835).

 

وَمَن تَوَلَّىٰ فَمَا أَرْسَلْنَاكَ عَلَيْهِمْ حَفِيظًا

dan sesiapa yang berpaling ingkar, Kami tidak mengutusmu untuk menjadi pengawal 

Nabi tidak menjaga amalan mereka. Nabi hanya disuruh sampaikan sahaja dakwah dan ajaran kepada mereka. Kalau mereka tidak mahu terima, degil tidak mengikut ajaran, itu bukan salah Nabi. Oleh itu, janganlah kamu wahai Nabi, berdukacita atas kedegilan mereka.

Ia juga bermaksud, Nabi tidak bertanggungjawab di atas perbuatan mereka. Jadi Nabi tidak perlu bimbang yang baginda akan disoal tentang apa yang mereka lakukan kerana baginda tidak bersalah. Begitulah dengan kita, kita kena sampaikan sahaja. Kalau orang tidak mahu ikut nasihat kita, kita tidak boleh paksa mereka. Kalau mereka masih juga hendak melakukan amalan bidaah, kita tidak boleh nak halang mereka, serang majlis bidaah mereka dan sebagainya.

 


 

Ayat 81: Ayat tentang Munafikin.

وَيَقُولُونَ طَاعَةٌ فَإِذَا بَرَزُوا مِنْ عِندِكَ بَيَّتَ طَائِفَةٌ مِّنْهُمْ غَيْرَ الَّذِي تَقُولُ وَاللَّهُ يَكْتُبُ مَا يُبَيِّتُونَ فَأَعْرِضْ عَنْهُمْ وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ وَكَفَىٰ بِاللَّهِ وَكِيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they say, “[We pledge] obedience.” But when they leave you, a group of them spend the night determining to do other than what you say. But Allāh records what they plan by night. So leave them alone and rely upon Allāh. And sufficient is Allāh as Disposer of affairs.

MALAY

Dan mereka (golongan munafik) berkata: “(Kami) taat”, kemudian apabila mereka keluar dari majlismu, segolongan dari mereka memutuskan pada malam hari satu rancangan yang lain daripada (pengakuan taat) yang mereka katakan (kepadamu). Sedang Allah (perintahkan malaikat) menulis apa yang mereka rancangkan itu; maka berpalinglah (wahai Muhammad) daripada mereka, (janganlah dihiraukan apa yang mereka rancangkan), serta berserahlah kepada Allah; kerana cukuplah Allah menjadi Pembela (yang memeliharamu dari angkara mereka).

 

وَيَقُولُونَ طَاعَةٌ

Dan mereka (golongan munafik) berkata: “(Kami) taat”, 

Mereka yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah golongan munafik. Mereka kata urusan hidup mereka, mereka taat kepada Nabi Muhammad semata-mata. Itu cakap mereka sahaja. Begitulah, ramai manusia yang manis di bibir sahaja, tapi hati lain sama sekali.

 

فَإِذَا بَرَزُوا مِنْ عِندِكَ

kemudian apabila mereka keluar dari majlismu, 

Allah memberitahu kepada Nabi, bahawa selepas sahaja mereka keluar dari majlis duduk-duduk dengan Nabi, lain pula yang mereka buat. Masa depan Nabi, mereka kata mereka taat.

 

بَيَّتَ طَائِفَةٌ مِّنْهُمْ غَيْرَ الَّذِي تَقُولُ

segolongan dari mereka memutuskan pada malam hari rancangan yang lain daripada (pengakuan taat) yang mereka katakan

Bila beredar dari majlis Nabi, mereka buat mesyuarat lain pula. Lafaz بَيَّتَ bermaksud mereka buat mesyuarat sulit malam hari. Digunakan lafaz ini untuk memberi isyarat bahawa mesyuarat itu dijalankan dalam suasana yang rahsia. Dan dalam mesyuarat itu, mereka cakap dan berbincang lain dengan apa yang mereka katakan sebelum itu.

Ini memang selalu orang kita buat. Lepas meeting utama, ramai yang ajak kawan-kawan yang sama geng pergi kedai minum teh tarik untuk berbincang mengenai mesyuarat awal tadi. Dan kadang-kala mereka akan membincangkan perkara yang berlawanan dengan apa yang mereka cakap dalam mesyuarat utama itu.

 

وَاللَّهُ يَكْتُبُ مَا يُبَيِّتُونَ

Sedang Allah menulis apa yang mereka rancangkan itu;

Allah suruh malaikat tulis semua apa yang mereka kata dan bincangkan itu. Segala perancangan mereka dalam rekod yang disimpan oleh Allah dan akan dipertunjukkan kepada mereka nanti.

 

فَأَعْرِضْ عَنْهُمْ

maka berpalinglah daripada mereka,

Tentunya sifat mereka yang talam dua muka ini memberi kesan kepada Nabi, tapi Allah suruh berpaling dari mereka. Maknanya jangan peduli tentang mereka, jangan berasa hati, jangan sedih. Juga maafkan mereka, jangan hukum mereka, jangan buka pekung mereka kepada sahabat yang lain.

Teruskan perjuangan menegakkan dakwah. Jangan hirau musuh dalam selimut yang hendak menjatuhkan Islam atau hendak melemahkan Islam dari dalam. Itu sahaja yang boleh dilakukan kerana kalau nak perang dengan mereka, tidak boleh kerana dari segi zahir, mereka nampak sebagai orang Islam. Kalau musuh luar, bolehlah kalau kita nak perang dengan mereka. Tapi, dengan orang Munafikin, tak boleh dibunuh mereka. Kerana kita pun tidak pasti siapakah mereka. Tidak ada sesiapa yang tahu siapakah yang munafik. Jadi kalau ada orang yang tuduh orang lain sebagai munafik, itu adalah salah sama sekali. Adakah kamu Tuhan, tahu apa yang dalam hati manusia?

 

وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ وَكَفَىٰ بِاللَّهِ وَكِيلً

serta berserahlah kepada Allah; kerana cukuplah Allah menjadi Pembela

Maka, serah sahaja kepada Allah nak buat apa. Itulah maksud tawakal, iaitu serahkan segala urusan kepada Allah.

Cukuplah dengan Allah yang menguruskan hal kita. Kita kena rasa cukup dengan adanya Allah. Itu juga adalah tawakal. Kalau serah kepada Allah, tapi kita tidak yakin dengan apa yang Allah nak buat, itu belum tawakal lagi.

Oleh itu, jangan peduli dengan mereka. Yakinlah bahawa semua perkara dalam tangan Allah. Ini adalah nasihat kepada pemimpin. Sebagai pemimpin, memang akan berhadapan dengan berbagai jenis manusia dan orang bawahan. Ada orang bawahan yang mengaku mereka taat, tapi di belakang, mereka buat komplot lain pula. Dalam keadaan begitu, apa yang boleh dibuat? Serah kepada Allah sahaja.

Pernah ada orang Islam yang merancang untuk membunuh Saidina Ali yang menjadi Khalifah waktu itu. Rancangan itu telah disampaikan kepada Saidina Ali. Saidina Ali kata dia tak boleh buat apa-apa kerana tidak ada apa yang dilakukan oleh lelaki itu lagi. Itu cuma kata-kata lelaki itu sahaja. Akhirnya lelaki itu memang telah membuat cubaan membunuh Saidina Ali dan kena tangkap. Barulah boleh dijalankan hukum hudud kepadanya.

Maknanya, musuh dalam selimut iaitu munafik ini, kita tidak boleh buat apa-apa kepada mereka. Memang kena serah kepada Allah sahaja.


 

Ayat 82: Mungkin ada yang tertanya-tanya, kenapa mereka yang sudah duduk dengan Nabi masih tak faham tentang Islam? Sedangkan mereka duduk mendengar ajaran agama dari Nabi, melihat akhlak Nabi dan sebagainya, tapi masih tidak beriman sempurna lagi? Kalau duduk dengan Nabi pun ada yang macam itu, apatah lagi kalau duduk luar. Jadi kalau ada orang yang munafik zaman sekarang, memang tidak hairanlah.

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ وَلَوْ كَانَ مِنْ عِندِ غَيْرِ اللَّهِ لَوَجَدُوا فِيهِ اخْتِلَافًا كَثِيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then do they not reflect upon the Qur’ān?1 If it had been from [any] other than Allāh, they would have found within it much contradiction.

  • i.e., its meanings and its objective.

MALAY

Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? Kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.

 

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ

Kenapakah mereka tidak mahu memikirkan isi Al-Quran?

Kenapa sebut pasal Qur’an pula dalam menyebut tentang golongan Munafik? Kerana apa yang terjadi kepada mereka yang munafik itu adalah kerana mereka tidak tadabbur Qur’an. Mereka dengar, tapi mereka tidak tadabbur Quran. Mereka tidak meneliti Quran dan belajar apakah yang hendak disampaikan oleh Allah. Sebab itu mereka jadi munafik. Mereka tidak faham agama dengan lengkap.

Dan mereka tidak tadabbur Quran itu adalah mereka asalnya tidak percaya dengan Nabi. Apabila Nabi kata Quran itu dari Allah, kena belajar, kena tadabbur, mereka tak ambil kisah. Kerana mereka tidak percaya penuh kepada Nabi.

Ada suruhan untuk kita tadabbur Quran dalam ayat ini. Tadabbur adalah membaca ayat Quran dan memikirkan maknanya, mengambil pengajaran darinya. Bukan hanya baca sahaja dan tahu terjemahan sahaja. Kerana kalau baca terjemah sahaja, tidak akan nampak keindahan ayat-ayat Quran itu. Kerana kalau baca terjemah, mungkin akan perasan ada seperti perbezaan antara sesetengah ayat. Tapi kalau tadabbur Quran, tidak ada masalah itu. Dan untuk tadabbur, kena belajar tafsir. Sebab itu kita selalu mengingatkan pembaca untuk belajar tafsir.

Malangnya, ada ‘ustaz’ yang beritahu bahawa orang awam tidak boleh belajar Quran kerana mereka tidak akan faham. Mereka kata tafsir Quran adalah bidang ulama sahaja. Ini adalah salah sama sekali. Itu adalah bisikan dari syaitan, kerana syaitan tidak mahu manusia faham Quran.

Memang pemahaman ulama dari orang awam tidak sama. Ulama tentunya akan memahami ayat Quran lebih mendalam lagi. Tapi itu bukanlah alasan untuk menghalang orang awam untuk memahami Quran setakat yang mereka mampu. Belajar dari pemahaman yang asas, maka nanti akan menambahkan lagi ilmu kefahaman itu. Semuanya kena bermula dari mula.

 

وَلَوْ كَانَ مِنْ عِندِ غَيْرِ اللَّهِ لَوَجَدُوا فِيهِ اخْتِلَافًا كَثِيرًا

Kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.

Mereka tidak percaya kepada Nabi tentang kehebatan Quran itu. Begitu hebatnya Qur’an itu, kalau bukan ianya datang dari Allah, tentulah akan ada banyak percanggahan. Tapi tidak ada percanggahan langsung, walau sedikit pun. Ajaran yang disampaikan adalah sama sahaja dari mula sampai habis.

Quran juga tidak ada perselisihan dengan ilmu sains; juga tidak ada perselisihan dengan dunia yang nyata. Kalau bukan ianya dari Allah, tentulah kesempurnaan ini tidak dapat dicapai.

 


 

Ayat 83: Ayat zajrun. Ayat ini mengajar kita, apabila mendapat sesuatu berita, kena tahkik dahulu. Jangan terus sebar tanpa periksa. Kadang-kadang ada bahaya besar kalau terus sebar maklumat, walaupun ianya adalah berita yang benar pun. Ini adalah satu lagi masalah orang munafik, kerana mereka suka sebar berita ke khalayak ramai. Patutnya kita orang Mukmin disuruh sebar Qur’an, bukan sebar berita. Tapi munafik itu, mereka terbalik pula.

وَإِذَا جَاءَهُمْ أَمْرٌ مِّنَ الْأَمْنِ أَوِ الْخَوْفِ أَذَاعُوا بِهِ وَلَوْ رَدُّوهُ إِلَى الرَّسُولِ وَإِلَىٰ أُولِي الْأَمْرِ مِنْهُمْ لَعَلِمَهُ الَّذِينَ يَسْتَنبِطُونَهُ مِنْهُمْ وَلَوْلَا فَضْلُ اللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُ لَاتَّبَعْتُمُ الشَّيْطَانَ إِلَّا قَلِيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when there comes to them something [i.e., information] about [public] security or fear, they spread it around. But if they had referred it back to the Messenger or to those of authority among them, then the ones who [can] draw correct conclusions from it would have known about it. And if not for the favor of Allāh upon you and His mercy, you would have followed Satan, except for a few.

MALAY

Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada – “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka; dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas) menurut Syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang-orang yang teguh imannya dan luas ilmunya di antara kamu).

 

وَإِذَا جَاءَهُمْ أَمْرٌ مِّنَ الْأَمْنِ أَوِ الْخَوْفِ أَذَاعُوا بِهِ

Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya;

Berita yang dimaksudkan itu boleh jadi tentang kemenangan atau kekalahan pasukan tentera Islam di medan perang. Ataupun ada berita-berita yang kedengaran datang dari luar. Orang munafik itu, apabila mereka dengar berita-berita sebegitu, mereka terus sebar ke khalayak ramai. Padahal, maklumat-maklumat dari berita itu kadang-kadang adalah maklumat yang sensitif. Kalau kita ada orang yang macam orang munafik itu, maka teruklah. Kerana apabila berita itu sudah tersebar, sudah susah nak kena jelaskan balik, nak kena kawal perasaan masyarakat yang mungkin jadi gelisah dan kelam kabut apabila mendengar berita-berita itu. Tapi sudah perangai orang munafik dah, mereka memang suka nak sebarkan berita.

Ada tak dalam kalangan masyarakat kita sekarang? Tentulah ada. Dan masalah sekarang lagi diberatkan lagi kerana dalam zaman teknologi maklumat yang canggih ini, maklumat senang sangat nak sampaikan kepada ramai orang dengan mudah. Dengan sekali tekan sahaja, entah berapa ribu orang dapat maklumat yang palsu atau  yang sensitif. Masyarakat pula kebanyakannya tidak cerdik, tak reti nak bandingkan mana maklumat yang benar dan mana maklumat yang salah. Maka, yang nak kelam kabut jadi kelam kabut, yang nak ambil kesempatan, akan ambil kesempatan dan macam-macam lagi.

Dalam Tafsir Ibn Kathir, ada disebut tentang satu hadis berkenaan asbabun nuzul ayat ini:

Diriwayatkan oleh Muslim yang bersumber dari Umar bin Khattab: bahwa ketika Nabi ‘uzlah (menjauhi) isteri-isterinya, Umar bin Khattab masuk ke masjid di saat orang-orang sedang kebingungan sambil bercerita bahwa Rasulullah Saw telah menceraikan isteri-isterinya, Umar berdiri di pintu masjid dan berteriak: “Rasulullah tidak menceraikan isterinya, dan aku telah menelitinya”. Maka turunlah ayat ini (An-Nisa ayat 83), berkenaan dengan peristiwa tersebut untuk tidak menyiarkan berita sebelum diselidiki.

Malangnya, ramai orang sekarang tidak kisah samada berita benar atau tidak. Mereka akan ‘forward’ sahaja maklumat dalam Whatsapp, Telegram dan Facebook. Ini adalah perkembangan yang tidak sihat.

 

وَلَوْ رَدُّوهُ إِلَى الرَّسُولِ وَإِلَىٰ أُولِي الْأَمْرِ مِنْهُمْ

padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada – “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) di antara mereka, 

Sebaliknya, Allah ajar kita yang sepatutnya berita-berita sensitif itu sepatutnya kena bawa kepada pemimpin. Kalau pada zaman Nabi, kena beritahu kepada Nabi atau pemimpin bawahan yang boleh menapis berita tersebut.

 

لَعَلِمَهُ الَّذِينَ يَسْتَنبِطُونَهُ مِنْهُمْ

tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka;

Lafaz يَسْتَنبِطُونَهُ iaitu ‘istinbat’ asalnya bermaksud mengambil air dari telaga yang dalam. Dalam istilah, ia digunakan untuk membaca maksud melihat kepada maklumat secara mendalam dan mengambil manfaat darinya.

Berita-berita yang mereka dengar itu sepatutnya dibawakan kepada para pemimpin kerana merekalah yang dapat buat keputusan samada berita itu boleh sebar kepada umum atau tidak. Bukan semua boleh sebar. Ini penting untuk menjaga keamanan negara kita.

Tapi sebar Qur’an memang dah kena buat dah. Jangan terbalik pula. Kalau Quran, memang kena sebar, tak payah nak tunggu keputusan dari kerajaan pun.

Nota: ayat ini juga boleh digunakan sebagai dalil untuk manusia merujuk kepada ulama untuk memberi hukum kepada sesuatu perkara. Kalau ada masalah dalam masyarakat, dalam hukum yang kita tidak tahu halal haramnya, perkara itu sepatutnya dibawa kepada ulama supaya mereka boleh memberikan keputusan mereka. Dalam zaman sekarang yang ada banyak perkara baru, tentulah tidak semua perkara telah disebut oleh Nabi dalam sunnahnya. Maka, perkara itu hendaklah dibawa kepada ulama yang layak untuk mereka melakukan ijtihad. Pertama kena cari adalah dalil dari Quran dan hadis, dan kalau tiada, ulama mujtahid kena buat qiyas. Iaitu, ulama akan istinbat hukum dari nas yang ada, mencari apakah hukum yang paling rapat dengan keadaan semasa. Perkara ini dibincangkan dalam usul fiqh dan ianya terlalu panjang untuk dibincangkan di sini.

Ijtihad ulama bukanlah ketetapan yang pasti tepat. Kerana mereka membuat keputusan itu berasaskan kepada ilmu mereka yang ada. Ia mungkin benar dan mungkin salah. Tapi itulah sahaja yang boleh dilakukan kalau tidak ada nas dari Quran dan Sunnah. Allahu a’lam.

 

وَلَوْلَا فَضْلُ اللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُ

dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu,

Kita amat beruntung kerana Allah telah memberi limpah kurnia dan RahmatNya kepada kita. Yang dimaksudkan adalah Allah telah beri Qur’an dan Nabi Muhammad kepada kita. Allah ingatkan nikmat pemberianNya kepada kita, supaya kita beringat dan bersyukur kepadaNya.

 

لَاتَّبَعْتُمُ الشَّيْطَانَ إِلَّا قَلِيلًا

tentulah kamu menurut Syaitan kecuali sedikit sahaja

Kalau kita tidak diberikan dengan limpah kurnia dan Rahmat Allah, tentu kita dalam dunia ini akan ikut syaitan sahaja. Memang hati manusia cenderung kepada kesyirikan kerana syaitan akan mengambil peluang sahaja untuk menyesatkan kita. Tapi kalau kita berlandaskan Quran dan Sunnah dari Nabi, kita akan selamat.

Ayat ini asalnya tentang menyebar maklumat dan sekarang disebut tentang syaitan pula. Ini juga hendak memberitahu kita yang sebarkan maklumat ini adalah kerja syaitan. Maka, jangan ikut kerja syaitan.

 


 

Ayat 84: Ini adalah ayat targhib kepada jihad. Ayat ini ditujuka kepada pemerintah sebab ayat ini asalnya ditujukan kepada Nabi dan Nabi adalah pemerintah umat Islam semasa hayat baginda.

فَقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ لَا تُكَلَّفُ إِلَّا نَفْسَكَ وَحَرِّضِ الْمُؤْمِنِينَ عَسَى اللَّهُ أَن يَكُفَّ بَأْسَ الَّذِينَ كَفَرُوا وَاللَّهُ أَشَدُّ بَأْسًا وَأَشَدُّ تَنكِيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So fight, [O Muḥammad], in the cause of Allāh; you are not held responsible except for yourself. And encourage the believers [to join you] that perhaps Allāh will restrain the [military] might of those who disbelieve. And Allāh is greater in might and stronger in [exemplary] punishment.1

  • Allāh is able to defeat them in such a way as to deter others from attempting anything similar.

MALAY

Oleh itu, berperanglah (wahai Muhammad) pada jalan Allah (untuk membela Islam dari pencerobohan musuh); engkau tidak diberati selain daripada kewajipanmu sendiri. Dan berilah peransang kepada orang-orang yang beriman (supaya turut berjuang dengan gagah berani). Mudah-mudahan Allah menahan bahaya serangan orang-orang yang kafir itu. Dan (ingatlah) Allah Amatlah besar kekuatanNya dan Amatlah berat azab seksaNya.

 

فَقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ

Oleh itu, berperanglah (wahai Muhammad) pada jalan Allah

Ayat ini adalah targhib kepada kita. Pemerintah Islam kena bersiap sedia untuk menjalankan jihad qital. Seorang pemimpin kena ada jiwa untuk memerangi orang kafir. Asal suruhan jihad ini ditujukan kepada Nabi. Ini adalah kerana Nabi Muhammad yang diwajibkan untuk berperang dan tidak diwajibkan lagi kepada umat Islam yang lain pada masa ayat ini diturunkan.

 

لَا تُكَلَّفُ إِلَّا نَفْسَكَ

engkau tidak diberati selain daripada kewajipanmu sendiri.

Apa-apa sahaja suruhan dari Allah kepada manusia adalah tanggungjawab yang mampu ditanggung oleh mereka yang disuruh. Allah tidak memberati hambaNya melebihi dari kemampuan hambaNya.

Allah wajibkan Nabi untuk berjihad. Jangan hirau mereka yang tidak mahu berjihad. Kalau baginda kena pergi sendiri, maka pergi sendiri.

 

وَحَرِّضِ الْمُؤْمِنِينَ

Dan berilah peransang kepada orang-orang yang beriman

Kena beri semangat kepada orang mukmin lain untuk berperang di jalan Allah. Bagi mereka bersemangat. Seorang pemimpin kena bagi dorongan kepada rakyatnya. Ini adalah kerana jihad qital tidak wajib atas mereka pada waktu ayat ini diturunkan.

Banyaklah hadis-hadis dari Nabi tentang kelebihan jihad ini. Antaranya:

Dari Qatadah yang berkata: Saya mendengar Anas bin Malik menyampaikan dari Nabi SAW yang bersabda:“Tiada seorangpun yang dapat memasuki syurga melainkan ia suka dikembalikan ke dunia. Baginya tiada satupun yang bermakna di muka bumi selain dari mati syahid. Oleh kerana itu ia mengharapkan dapat kembali ke dunia supaya ia dibunuh sepuluh kali setelah mengetahui kemuliaan (mati syahid)”. (Sahih Muslim No. 4976)

 

عَسَى اللَّهُ أَن يَكُفَّ بَأْسَ الَّذِينَ كَفَرُوا

Mudah-mudahan Allah menahan bahaya serangan orang-orang yang kafir itu. 

Allah memberi isyarat bahawa Allah akan mematahkan serangan orang kafir. Dan memang dalam ayat-ayat yang lain, Allah telah berjanji akan membantu tentera Islam asalkan mereka mematuhi syarat-syarat ketenteraan. Kita telah belajar syarat-syarat itu.

 

وَاللَّهُ أَشَدُّ بَأْسًا وَأَشَدُّ تَنكِيلًا

Dan (ingatlah) Allah Amatlah besar kekuatanNya dan Amatlah berat azab seksaNya.

Allah nak ingatkan yang Dia lebih kuat dan hebat dari sesiapa pun termasuklah dari tentera orang kafir. Dan Allah akan duduk di sebelah pihak tentera mukmin. Jadi, apa lagi yang hendak ditakutkan?

تَنكِيلًا maksudnya menjadikan seseorang sebagai peringatan kepada orang lain. Macam undang-undang Hudud dijalankan dengan keras supaya orang lain tak mahu nak buat. Sebab orang lain tengok apakah hukuman yang dikenakan kepada orang yang telah sabit kesalahan mereka, ada yang kena potong tangan dan ada yang kena pancung, mereka pun sudah takut untuk melakukan kesalahan-kesalahan itu. Begitu juga dengan tentera kafir. Allah boleh jadikan mereka kalah teruk sampaikan mereka itu menjadi peringatan kepada musuh orang Islam yang lain, sampai mereka tidak berani nak melawan tentera Islam lagi.

 


 

Ayat 85: Khalifah kena menggalakkan rakyatnya untuk berperang menentang orang kafir. Tapi orang-orang lain selain dari Khalifah juga digalakkan untuk beri dorongan kepada orang lain untuk berjihad. Perbuatan itu adalah perbuatan yang amat mulia dan akan diberi pahala.

مَّن يَشْفَعْ شَفَاعَةً حَسَنَةً يَكُن لَّهُ نَصِيبٌ مِّنْهَا وَمَن يَشْفَعْ شَفَاعَةً سَيِّئَةً يَكُن لَّهُ كِفْلٌ مِّنْهَا وَكَانَ اللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ مُّقِيتًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Whoever intercedes for a good cause will have a share [i.e., reward] therefrom; and whoever intercedes for an evil cause will have a portion [i.e., burden] therefrom. And ever is Allāh, over all things, a Keeper.1

  • Providing, protecting, witnessing, keeping precise records and capable of recompense.

MALAY

Sesiapa yang memberikan syafaat yang baik nescaya ia akan memperoleh bahagian (pahala) daripadanya; dan sesiapa yang memberikan syafaat yang buruk, nescaya ia akan mendapat bahagian (dosa) daripadanya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

 

مَّن يَشْفَعْ شَفَاعَةً حَسَنَةً يَكُن لَّهُ نَصِيبٌ مِّنْهَا

Sesiapa yang memberikan syafaat yang baik nescaya ia akan memperoleh bahagian (pahala) daripadanya; 

Syafaat dalam ayat ini adalah memberi pertolongan atau sumbangan. Iaitu memberi dorongan kepada orang lain untuk pergi berjihad. Akan dapat pahala orang yang berjihad juga nanti kerana dia yang telah mengajak dan menggalakkan orang itu berperang.

Allah gunakan lafaz نَصِيبٌ (bahagian) dalam potongan ayat ini kerana lafaz نَصِيبٌ digunakan untuk bahagian yang bagus, yang boleh diambil manfaat.

Syafaat juga adalah dalam bentuk recommendation. Kita beri sokongan kepada orang lain untuk dia dapat kerja, kahwin, diselamatkan dari hukuman dan sebagainya. Kerana kita kita mungkin kenal orang itu dan kita mahukan kebaikan untuknya, maka kita beri surat sokongan kepadanya untuk dapat kerja; atau kita berikan namanya sebagai orang yang layak dijadikan isteri atau suami; atau kita beri pertolongan dalam bentuk hujah untuk melepaskan seseorang dari sesuatu hukuman. Mungkin kita kenal dia sebagai seorang yang baik, tidak akan melakukan kesalahan yang besar, maka kita berhujah di depan hakim untuk mengurangkan hukuman yang telah ditetapkan untuknya. Ini juga bagus. Dan berbagai-bagai jenis syafaat lagi.

 

وَمَن يَشْفَعْ شَفَاعَةً سَيِّئَةً يَكُن لَّهُ كِفْلٌ مِّنْهَا

dan sesiapa yang memberikan syafaat yang buruk, nescaya ia akan mendapat bahagian (dosa) daripadanya.

Sebaliknya kalau itu beri ajakan negatif, halang orang lain dari pergi jihad, atau goda orang lain jangan pergi jihad, dia akan pikul dosa orang itu. Mungkin ada orang yang menakut-nakutkan orang lain dari berjihad. Ini adalah perbuatan yang buruk sekali. Sepatutnya beri galakan, tapi ada orang yang takutkan pula orang lain dari berjihad.

Allah gunakan lafaz كِفْلٌ (bahagian) dalam ayat ini sedangkan dalam bahagian pertama, digunakan lafaz نَصِيبٌ. Inilah adalah kerana lafaz كِفْلٌ digunakan untuk bahagian yang umum, baik atau buruk, sedangkan lafaz نَصِيبٌ digunakan hanya untuk bahagian yang baik sahaja. Bagaimanapun, lafaz selalu digunakan untuk merujuk kepada bahagian yang buruk.

Di atas adalah kalau kita baca ayat ini berkenaan dengan jihad. Tapi bunyi ayat ini adalah umum juga. Maka, ia juga boleh termasuk perbuatan memberi recommendation yang baik. Berdasarkan sebab yang benar dan niat yang baik. Sebagai contoh, ada yang nak dapatkan kerja, nak kahwin dan sebagainya, dan dia mendapatkan pendapat dari kita. Dalam hal sebegini, kita kena beri recommendation yang baik. Memang maksud ‘syafaat’ adalah recommendation. Orang tanya pendapat kita, kita kata orang itu baik, boleh dipercayai dan sebagainya.

Tapi jangan kita kata seseorang tidak baik hanya kerana kita tak suka orang itu. Contoh ada orang yang nak kahwin kita cakap jangan kahwin dengan orang itu kerana kita tidak suka dia. Itu adalah syafaat yang salah. Begitu juga, kalau orang itu tidak baik, kena beritahu orang itu tidak sesuai – janji kita bercakap yang benar.

Syafaat begini penting kerana orang memerlukan maklumat tentang orang lain sebab mereka tidak kenal. Mereka tidak dapat membuat keputusan kalau mereka tidak mendapat maklumat yang benar. Maka, kita sendiri pun kadang-kadang akan memerlukan maklumat sebegini, maka kita hendaklah juga memberi maklumat yang betul kepada orang lain. Sama-sama tolong menolong.

 

وَكَانَ اللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ مُّقِيتًا

Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Allah kata dia yang jaga semua kerana Allah Maha Berkuasa. Walau kita beri maklumat palsu, Allah boleh selamatkan orang itu dari maklumat palsu kita itu. Cuma orang itu selamat dari syafaat kita yang salah, tapi kita tidak akan selamat kerana memberi maklumat yang salah. Kita akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

Lafaz muqeet juga bermaksud Allah melihat. Allah tahu apa isi hati kita semasa kita buat recommendation itu. Samada kita buat ikhlas atau tidak, untuk kebaikan atau tidak, semuanya Allah tahu.

Nisaa 71-85


 

Ayat 86: Ayat sebelum ini tentang jihad dimana Khalifah kena ajak rakyat berjihad. Dia ada buat perkiraan berapa bilangan tentera yang perlu, dan dia akan hantar wakil ke kawasan-kawasan orang Islam untuk buat penjelasan kepada kawasan-kawasan itu. Ayat ini memberitahu kita, bila kedatangan wakil Khalifah ajak berjihad, sambutlah dengan baik dan hantarlah tentera seperti yang diminta.

وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ حَسِيبًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when you are greeted with a greeting, greet [in return] with one better than it or [at least] return it [in a like manner]. Indeed Allāh is ever, over all things, an Accountant.

MALAY

Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu.

 

وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا

Dan apabila kamu diberikan ucapan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, 

Apabila kamu diberi ucapan yang baik iaitu ajakan dan nasihat yang baik untuk berjihad, maka balaslah dengan hantar orang yang lebih ramai dari yang dipinta oleh khalifah.

Lafaz تَحِيَّةٍ dari ayat ini diambil dari lafaz حيي yang bermaksud ‘hidup’ – hayat. Ianya digunakan sebelum ucapan assalamualaikum diperkenalkan. Sebelum Islam, masyarakat Arab memberi ucapan hayyakAllah sesama mereka. Ianya bermaksud ‘semoga Allah memberi hayat kepada kamu’. Maknanya, kita mendoakan orang itu semoga hidupnya panjang. Ianya adalah kata-kata aluan. Tidak digunakan lafaz salam dalam ayat ini kerana mungkin kita dapat ucapan dari orang kafir. Kalau mereka ucapkan kata-kata aluan yang baik kepada kita, kita pun kena balas juga dengan baik. Islam bukanlah agama yang mengajar kurang ajar kepada orang lain, walaupun kepada orang bukan Islam. Islam mengajar kita berbaik-baik dengan semua orang. Tambahan lagi, tidak ada kurangnya kalau kita berbaik dengan orang kafir pun. Kerana kita nanti pun kena berdakwah kepadanya juga. Kalau dalam hal berbalas ucapan selamat pun kita tidak dapat berbaik-baik, bagaimana orang itu mahu mendengar dakwah kita, bukan?

Oleh itu, ayat ini mempunyai dua maksud. Satu, bermaksud panggilan perang dan satu lagi adalah ucapan selamat kepada kita. Kalau berkenaan panggilan perang, maka kita disuruh untuk sambutlah panggilan itu dengan baik. Kalau Khalifah mahu 100 orang dari kawasan kita, berilah lebih lagi dari yang diminta.

Kalau tentang ucapan salam, maka ucaplah dengan yang lebih baik dari itu. Kalau orang yang beri salam kepada kita itu ucap, assalamualaikum, maka balaslah dengan lebih lagi – waalaikum salam warah matullahi dan seterusnya.

 

أَوْ رُدُّوهَا

atau balaslah dia

Atas balaslah dengan ucapan yang sama baik. Iaitu kalau diberi salam assalamualaikum, sekurang-kurangnya jawaplah waalaikum salam. Ini adalah kewajipan. Kalau kita balas dengan dengan lebih baik, itu adalah lebih baik, tapi wajib kita balas dengan ucapan yang sama sekurang-kurangnya.

Dan kalau tentang panggilan perang, maka berilah seperti yang diminta oleh pemerintah. Kalau pemerintah minta 100 orang, maka berilah 100 orang.

 

إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ حَسِيبًا

Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu.

Allah memberitahu kita dalam ayat ini, yang Dia menghitung semua sekali. Benda kecil macam salam pun Allah kira juga. Dan kalau kita balas permintaan pemerintah apabila beliau minta bantuan perang, itu pun Allah kira juga.

Beri salam ini penting kerana kita sewaktu kita beri salam itu, kita sebenarnya mendoakan orang lain. Oleh itu, kena cakap salam itu dengan ikhlas. Dan kena faham apa yang kita cakap. Janganlah pula kita beri salam, tapi cakap dengan nada marah. Itu adalah salah sama sekali. Itu dilakukan oleh mereka yang tidak faham konsep salam itu. Ini banyak terjadi sebab kebanyakan manusia melihat perkara itu sebagai adat sahaja dah. Ada yang marah orang, berkelahi dengan orang, memaki orang lain, tapi dalam masa yang sama, bagi salam juga. Ini tidak kena sama sekali. Kalau kita sudah beri salam kepada orang, maknanya orang itu selamat dari tangan kita dan mulut kita. Mereka selamat dari disakiti oleh kita. Jadi, kalau kita beri salam, tapi kemudian kita sakiti tubuh badan atau perasaanya, itu tidak molek sama sekali.

Daripada Abdillah bin Amr bin al-‘As RA, sesungguhnya seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah SAW, “Manakah amalan yang paling baik di dalam Islam?” lalu Baginda menjawab, “Hendaklah engkau memberi makan dan memberi salam kepada orang yang engkau sudah kenal dan juga kepada orang yang belum engkau kenal.” (Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 004: an-Nisa and tagged , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s