Tafsir Surah an-Nisa Ayat 75 – 79 (Jihad)

Ayat 75: Kita masih lagi dalam bahagian ayat-ayat Suran an-Nisa ini kepada pemerintah. Sebagai pemerintah, kena pastikan orang Islam, walau di mana sahaja mereka, kena bebas dari dizalimi. Walaupun mereka duduk di luar kawasan pemerintahan Islam. Oleh kerana itu, pemerintah kena tanya khabar mereka dan tahu keadaan mereka. Entah-entah ada orang Islam yang duduk dalam negara kafir yang tertindas. Kalau mereka tertindas, atau dizalimi, kena lepaskan mereka. Dalam ayat ini, Allah menjelaskan tentang perkara itu sebagai targhib untuk melakukan jihad.

وَمَا لَكُمْ لَا تُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الرِّجَالِ وَالنِّسَاءِ وَالْوِلْدَانِ الَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا أَخْرِجْنَا مِنْ هَٰذِهِ الْقَرْيَةِ الظَّالِمِ أَهْلُهَا وَاجْعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ وَلِيًّا وَاجْعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ نَصِيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And what is [the matter] with you that you fight not in the cause of Allāh and [for] the oppressed among men, women, and children who say, “Our Lord, take us out of this city of oppressive people and appoint for us from Yourself a protector and appoint for us from Yourself a helper”?

MALAY

Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah (untuk menegakkan ugama Islam) dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas dari kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri (Makkah) ini, yang penduduknya (kaum kafir musyrik) yang zalim, dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan ugama kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang membela kami (dari ancaman musuh)”.

 

وَمَا لَكُمْ لَا تُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ

Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah

Allah memberi soalan retorik kepada orang-orang yang beriman. Allah tanya mereka kenapa mereka tidak mahu berperang? Kemudian Allah sebut kenapa mereka perlu berjihad fisabilillah.

 

وَالْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الرِّجَالِ وَالنِّسَاءِ وَالْوِلْدَانِ

orang-orang yang tertindas dari kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak,

Apa alasan kamu untuk tidak berperang, sedangkan ada umat Islam yang tertindas yang duduk dalam negara kafir harbi atau di mana-mana sahaja. Samada mereka telah ditawan dan dibawa ke sana atau dia masuk Islam semasa tinggal dalam negara kafir itu dan tidak dapat berhijrah ke negara Islam. Ini adalah kerana ada juga yang masuk Islam secara senyap-senyap. Mungkin keluarga dia sendiri yang tindas mereka.

Ada tiga golongan yang disebut dalam ayat ini: orang-orang lelaki yang lemah, perempuan dan kanak-kanak. Kerana mereka inilah yang selalu kena tindas.

 

الَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا أَخْرِجْنَا مِنْ هَٰذِهِ الْقَرْيَةِ الظَّالِمِ أَهْلُهَا

iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri ini, yang penduduknya yang zalim,

Dan mereka sentiasa berdoa kepada Allah. Allah menyebutkan apakah doa mereka. Mereka berdoa kepada Allah untuk mengeluarkan mereka dari negara yang zalim itu, yang penduduknya dan pemerintahnya mengamalkan syirik kepada Allah. Dan mereka menindas orang-orang Islam, tidak membenarkan mereka menjalankan agama seperti yang sepatutnya. Jadi mereka bukan sahaja terganggu dalam kehidupan seharian mereka, tapi dalam amal ibadat juga. Dalam keadaan begini, Khalifah tidak boleh berdiam diri.

Asalnya ayat ini tentang orang Muslim yang tidak dapat keluar dari Mekah waktu hijrah. Mereka telah masuk Islam dan mereka tidak mampu untuk keluar dari Mekah. Ini berbeza dengan mereka yang telah masuk Islam tapi tidak mahu keluar dari Mekah. Mereka itu tidak patut ditolong dan nanti akan disebut tentang mereka dalam ayat-ayat seterusnya. Tetapi, kepada mereka yang lemah, tujuan utama sekarang adalah untuk bawa mereka ke negara Islam waktu itu – Madinah.

Mereka tidak dapat berhijrah kerana mereka tidak ada kemampuan dari segi fizikal dan kewangan. Kemudian mereka pun dihalang oleh musyrikin Mekah dari berhijrah ke Madinah. Dan musyrikin Mekah telah melakukan berbagai-bagai kekejaman kepada mereka dengan tujuan hendak mengembalikan mereka kepada agama asal tok nenek mereka.

Walaupun asal ayat ini adalah tentang penduduk Islam yang tertindas di Mekah pada zaman Nabi, tapi ianya tidak terhad kepada zaman itu sahaja, tapi ianya terpakai untuk setiap zaman.

 

وَاجْعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ وَلِيًّا

dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin

Mereka berdoa kepada Allah untuk memberikan pemimpin kepada mereka yang dapat memberi perlindungan kepada mereka. Begitulah maksud ‘wali’ dalam ayat ini.

 

وَاجْعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ نَصِيرًا

dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang membantu kami 

Mereka juga memohon kepada Allah untuk menghantar golongan yang boleh membantu mereka membebaskan diri mereka. Itulah yang dimaksudkan adalah tentera dari negara Islam.

Oleh itu, negara Islam hendaklah mempunyai kekuatan tentera yang kuat supaya mereka boleh pergi ke negara yang zalim itu dan membebaskan penduduknya yang Islam. Kalau tidak ada semangat jihad, bagaimanakah ayat ini hendak diamalkan? Kalau tidak ada diajar tentang jihad kepada umat Islam sekarang, bagaimana ayat ini boleh dijalankan? Dan, kalau tidak ada kekuatan ketenteraan, makanya negara Islam hanya dapat melihat sahaja. Lihatlah bagaimana ada negara yang penduduknya yang Islam telah dijajah dan mereka yang muslim dipenjarakan tanpa belas kasihan. Dan ada juga negara yang menghalang umat Islamnya dari menjalankan kehendak agama. Sebagai contoh, ada negara yang tidak membenarkan umat Islam memakai tudung tutup kepala sedangkan itu adalah kewajipan wanita muslim.

Lihatlah juga keadaan negara Palestin yang entah berapa lama telah ditindas rakyatnya terang-terangan, dan entah bilakah lagi mereka akan terus tertindas. Malangnya, kita hanya dapat tengok sahaja. Ini adalah kerana semangat jihad dalam diri umat Islam telah dimatikan.

Kepada umat Islam yang tertindas di Mekah pada zaman Nabi, doa mereka telah dijawap oleh Allah apabila mereka telah dibebaskan dengan kedatangan tentera Islam semasa Pembukaan Mekah.

Ayat ini juga mengajar mereka yang tertindas di mana-mana, untuk meletakkan pengharapan kepada Allah dan berdoa kepadaNya. Ikutlah sunnah para sahabat di Mekah itu. Kerana hanya Allah sahaja yang dapat menyelamatkan mereka.

 


 

Ayat 76: Orang mukmin akan menggunakan apa sahaja yang dia ada, untuk tujuan agama. Antaranya adalah dia akan menggunakan nyawanya pada jalan Allah untuk berjihad perang. Dan ini adalah tahap kemuncak keimanan seseorang. Kerana bukan senang untuk berjihad perang. Ianya memerlukan kekuatan iman yang tinggi dan kepercayaan kepada janji Allah kepada syuhada’.

الَّذِينَ آمَنُوا يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالَّذِينَ كَفَرُوا يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ الطَّاغُوتِ فَقَاتِلُوا أَوْلِيَاءَ الشَّيْطَانِ إِنَّ كَيْدَ الشَّيْطَانِ كَانَ ضَعِيفًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those who believe fight in the cause of Allāh, and those who disbelieve fight in the cause of ṭāghūt.1 So fight against the allies of Satan. Indeed, the plot of Satan has ever been weak.
  • See footnote to 4:60.

MALAY

Orang-orang yang beriman, berperang pada jalan Allah; dan orang-orang yang kafir pula berperang pada jalan Taghut (Syaitan). Oleh sebab itu, perangilah kamu akan pengikut-pengikut Syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya Syaitan itu adalah lemah.

 

الَّذِينَ آمَنُوا يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ

Orang-orang yang beriman, berperang pada jalan Allah;

Allah memberitahu sifat orang mukmin dalam ayat ini. Mereka sanggup berperang untuk agama. Mereka tidak takut kerana mereka tahu bahawa balasan berperang pada jalan Allah adalah terbesar sekali. Mereka mendambakan janji Allah itu.

Tujuan orang Islam berjihad adalah untuk menyebarkan dakwah Islamiah dan memperkenalkan Allah kepada manusia dan supaya manusia hanya mentauhidkan Allah sahaja.

 

وَالَّذِينَ كَفَرُوا يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ الطَّاغُوتِ

dan orang-orang yang kafir pula berperang pada jalan Taghut (Syaitan). 

Yang kafir degil pun akan berperang juga, tapi mereka berperang untuk jalan taghut – selain Allah. Mereka pun sanggup mati. Mereka dijanjikan dengan berbagai-bagai motivasi – perempuan, harta, nama dan sebagainya. Tujuan mereka adalah untuk menjalankan program dan propaganda syaitan. Mereka dipandu oleh syaitan dan syaitan mahu menyebarkan akidah syirik kepada manusia.

Kalau ada orang kafir yang sanggup mati untuk melawan Islam, takkan tidak ada orang Islam yang sanggup mati lawan orang kafir? Malulah kita kalau kita tidak buat apa-apa. Macam kita lebih lemah dari orang kafir pula. Sedangkan mereka dijanjikan dengan benda yang tidak benar, tapi kita dijanjikan dengan kelebihan dari Allah sendiri. Manakah janji yang lebih benar? Tentunya janji dari Allah, bukan?

 

فَقَاتِلُوا أَوْلِيَاءَ الشَّيْطَانِ

Oleh sebab itu, perangilah kamu akan pengikut-pengikut Syaitan itu, 

Maka jangan kita berdiam diri, melihat sahaja tentera kafir menyerang kita atau umat Islam yang lain. Kita kena lawan mereka yang bertemankan syaitan itu. Kita bertemankan Allah, takkan nak kalah dengan mereka pula?

 

إِنَّ كَيْدَ الشَّيْطَانِ كَانَ ضَعِيفًا

sesungguhnya tipu daya Syaitan itu adalah lemah.

Orang kafir juga merancang strategi mereka dan mereka dipandu oleh syaitan yang akan memberi idea-idea kepada mereka. Tapi rancangan syaitan itu akan jadi amat lemah kalau orang Islam lawan mereka. Syaitan itu bukannya kuat sangat. Dia hanya akan jadi kuat kalau orang Islam tidak berjuang.

Seumpama rumah yang tidak ada tuan, labah -labah boleh buat sarang. Tapi kalau ada tuan, sarang labah-labah itu senang sahaja dihapuskan.

Mana mungkin kita akan kalah dengan tentera yang dipandu oleh syaitan, sedangkan kita orang Mukmin dipandu dan dibantu oleh Allah? Dan Allah telah berjanji untuk membantu tentera Islam. Begitulah yang terjadi semasa Perang Badr. Syaitan telah menjanjikan berbagai-bagai motivasi dan berjanji untuk menolong. Tapi apabila syaitan melihat tentera Islam dibantu oleh para malaikat, mereka telah melarikan diri bertempiaran.

Tentera Islam pasti akan ditolong oleh Allah asalkan tentera Islam itu memenuhi syarat-syaratnya. Syarat-syarat tentera Islam telah disebut dalam surah Baqarah sebelum ini dan boleh rujuk di situ. Tapi, dalam ayat ini sendiri, sudah ada dua syarat yang diletakkan:

  1. الَّذِينَ ءَامَنُواْ orang-orang yang berperang itu mestilah orang-orang yang beriman
  2. يُقاتِلونَ في سَبيلِ اللَّهِ mereka itu berperang pada jalan Allah, bukan kerana hendak mendapatkan harta, meluaskan kawasan jajahan dan sebagainya, bukan.

 


 

Ayat 77: Ini adalah ayat zajrun. Ayat sebelum ini tentang arahan perang. Dalam ayat ini, disuruh jangan perang pula. Kerana ada masa untuk perang dan ada masa bertahan sahaja.

Asbabun Nuzul ayat ini: ada orang Islam yang hendak berperang. Dan mereka pun telah minta kepada Nabi Muhammad untuk berperang melawan kembali penindasan dari Musyrikin Mekah itu. Semasa mereka di Mekah, umat Islam ditindas dengan teruk oleh musyrikin Mekah. Tentu mereka ada yang hendak membalas segala penindasan yang dikenakan kepada mereka. Maka adalah di kalangan sahabat waktu itu yang mencadangkan memerangi kembali musyrikin Mekah itu. Tapi apabila disuruh berperang, mereka takut pula. Kerana mereka sudah nampak apa yang mereka perlu lalui.

Di awal Islam, permintaan mereka itu untuk berperang dengan musyrikin Mekah tidak diizinkan oleh Allah. Banyak kali mereka minta dan banyak kali ditolak permintaan mereka itu. Ini adalah kerana masa itu tidak sesuai lagi. Ini boleh dikira non violent movement pihak muslim. Iaitu penentangan tanpa senjata. Ianya berkesan kerana apabila mereka yang ditindas terus ditindas oleh pihak yang zalim, ianya akan membuka hati mereka yang berada di atas pagar. Kerana bukan semua musyrikin Mekah itu zalim. Ada yang tidak kisah pun dengan orang Islam, mereka cuma tidak beriman sahaja, tapi mereka tidak menindas orang Islam. Apabila mereka melihat orang-orang Islam itu ditindas dan dizalimi dengan teruk, tentu hati mereka akan berdetik dan kasihan kepada puak Islam itu. Itu membuka ruang kepada mereka untuk beriman nanti.

Oleh itu, pergerakan penentangan tanpa senjata dengan cara aman ini sudah dimulakan oleh Muslim Mekah lagi. Sekarang orang kata Mahatma Gandhi yang mula buat. Padahal ini adalah asal pergerakan Islam dan ia dikaji oleh ahli sejarah. Dan kita kena ingat bahawa 2/3 Qur’an diturunkan di Mekah.

Kenapa Allah tidak membenarkan umat Islam serang balik Musyrikin Mekah itu apabila mereka dizalimi? Mengikut kata ahli tafsir, hikmah tidak diizinkan perang waktu itu adalah kerana keimanan umat Islam waktu itu tidak lengkap lagi. Ada yang molek dah iman mereka tetapi ada yang belum lagi kemas. Waktu di Mekah adalah waktu pembinaan akhlak dan juga pembinaan akidah.

Dan juga, kalau orang Islam balas serang balik dengan kekerasan waktu itu, musyrikin Mekah akan dapat alasan yang kukuh untuk musnahkan semua sekali umat Islam. Muslim waktu itu tidak beri alasan kepada mereka yang zalim untuk serang mereka secara besar besaran. Seperti yang kita telah sebut, ada kalangan orang Mekah yang tidak menzalimi umat Islam dan mereka telah ada rasa kasihan kepada umat Islam waktu itu. Kerana mereka melihat orang-orang Islam itu tidak ada salah apa pun, tapi ditindas dengan teruk sekali oleh mereka yang jahat. Tapi, kalau umat Islam menentang balik dengan keras, itu akan digunakan sebagai alasan oleh pemuka Quraish yang jahat untuk mengajak mereka-mereka yang di atas pagar untuk sama-sama menyerang dan menghapuskan terus umat Islam.

Hanya apabila mereka telah Hijrah ke Madinah, baru dibenarkan untuk berperang. Kerana keimanan mereka telah diuji dengan terpaksa meninggalkan semuanya untuk agama, maka itu tanda yang mereka benar-benar sudah beriman. Maknanya, mereka sanggup berkorban untuk Islam dah dan sudah boleh disuruh untuk memerangi Musyrikin.

Kita boleh lihat bagaimana ayat-ayat di Madinah juga sudah bertukar sedikit. Semasa di Mekah, lafaz yang digunakan untuk merujuk kepada umat Islam adalah ‘wahai manusia’ tetapi selepas Hijrah, lafaz yang digunakan adalah ‘wahai orang-orang beriman’. Ini adalah kerana mereka sudah beriman dah.

Dari sudut penuruhan ayat Quran yang membenarkan peperangan, ia mula dibenarkan dalam surah an-Nur yang kita akan kaji nanti.

 

أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ قِيلَ لَهُمْ كُفُّوا أَيْدِيَكُمْ وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ فَلَمَّا كُتِبَ عَلَيْهِمُ الْقِتَالُ إِذَا فَرِيقٌ مِّنْهُمْ يَخْشَوْنَ النَّاسَ كَخَشْيَةِ اللَّهِ أَوْ أَشَدَّ خَشْيَةً وَقَالُوا رَبَّنَا لِمَ كَتَبْتَ عَلَيْنَا الْقِتَالَ لَوْلَا أَخَّرْتَنَا إِلَىٰ أَجَلٍ قَرِيبٍ قُلْ مَتَاعُ الدُّنْيَا قَلِيلٌ وَالْآخِرَةُ خَيْرٌ لِّمَنِ اتَّقَىٰ وَلَا تُظْلَمُونَ فَتِيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Have you not seen those who were told, “Restrain your hands [from fighting]1 and establish prayer and give zakāh”? But then when fighting was ordained for them, at once a party of them feared men as they fear Allāh or with [even] greater fear. They said, “Our Lord, why have You decreed upon us fighting? If only You had postponed [it for] us for a short time.” Say, “The enjoyment of this world is little, and the Hereafter is better for he who fears Allāh. And injustice will not be done to you, [even] as much as a thread [inside a date seed].”

  • Before permission was given by Allāh.

MALAY

Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad), akan orang-orang yang (pernah) dikatakan kepada mereka: “Tahanlah tangan kamu (daripada bertindak melancarkan perang yang belum diizinkan), dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat”. (Mereka meminta juga hendak berperang), kemudian apabila mereka diperintahkan berperang, tiba-tiba sepuak di antara mereka merasa gerun kepada manusia sama seperti mereka merasa gerun kepada (azab) Allah atau lebih gerun lagi. Lalu mereka (merayu kepada Allah dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, mengapa Engkau wajibkan kami berperang (pada saat ini)? Mengapa Engkau tidak biarkan kami hingga ke tempoh yang singkat (iaitu akhir hayat kami)?” Katakanlah (wahai Muhammad): “Harba benda yang menjadi kesenangan di dunia ini adalah sedikit sahaja, (dan akhirnya akan lenyap), dan (balasan) hari akhirat itu lebih baik lagi bagi orang-orang yang bertaqwa (kerana ia lebih mewah dan kekal selama-lamanya), dan kamu pula tidak akan dianiaya sedikit pun”.

 

أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ قِيلَ لَهُمْ كُفُّوا أَيْدِيَكُمْ

Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad), akan orang-orang yang (pernah) dikatakan kepada mereka: “Tahanlah tangan kamu

Allah sedang memperkatakan tentang mereka yang telah disuruh untuk tahan tangan mereka dari berperang semasa di Mekah dahulu.

 

وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ

dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat”

Mereka dilarang dari melancarkan serangan balas, sebaliknya mereka disuruh untuk buat amal ibadat solat dan mengeluarkan zakat kerana amal ibadat itu boleh kuatkan dalaman mereka. Kerana amalan luaran datang dari dalaman diri manusia. Musuh paling besar adalah dalam diri. Kalau mereka boleh kuatkan dalam diri mereka sampai boleh mengerjakan solat dan mengeluarkan zakat, itu adalah satu kejayaan diri.

Maka kena usaha dengan tegakkan solat dan zakat. Supaya hubungan dengan Allah jadi kuat dengan ibadat solat dan hubungan dengan manusia dikuatkan dengan ibadat zakat. Allah berikan dua contoh ibadat, satu menguatkan hubungan dengan Allah dan satu menguatkan hubungan dengan manusia.

 

فَلَمَّا كُتِبَ عَلَيْهِمُ الْقِتَالُ

kemudian apabila mereka diperintahkan berperang, 

Dulu semasa mereka di Mekah, mereka beriya-iya untuk membalas kezaliman yang dilakukan oleh Musyrikin Mekah. Tetapi apabila diturunkan ayat-ayat arahan perang, mereka jadi lain pula. Apa yang lainnya?

 

إِذَا فَرِيقٌ مِّنْهُمْ يَخْشَوْنَ النَّاسَ

tiba-tiba sepuak di antara mereka merasa gerun kepada manusia

Ada pula golongan munafik yang takut dengan orang kafir. Mereka takut pula kepada manusia sedangkan manusia tidak boleh melakukan apa-apa pun tanpa kebenaran dari Allah. Dulu mereka beriya-iya nak melawan musyrikin Mekah, tapi apabila arahan sudah keluar, mereka takut pula.

 

كَخَشْيَةِ اللَّهِ أَوْ أَشَدَّ خَشْيَةً

sama seperti mereka merasa gerun kepada Allah atau lebih gerun lagi.

Mereka takut kepada orang kafir itu sama macam mereka takut kepada Allah.

Dan malah, Allah kata mereka lebih kepada orang kafir itu lebih dari mereka takut kepada Allah.

 

وَقَالُوا رَبَّنَا لِمَ كَتَبْتَ عَلَيْنَا الْقِتَالَ

mereka berkata: “Wahai Tuhan kami, mengapa Engkau wajibkan kami berperang?

Mereka sanggup berkata kepada Allah, kenapa cepat sangat fardhukan perang kepada mereka?

 

لَوْلَا أَخَّرْتَنَا إِلَىٰ أَجَلٍ قَرِيبٍ

Mengapa Engkau tidak biarkan kami hingga ke suatu tempoh yang sedikit lagi?”

Mereka kata lagi, kenapalah Allah tak tunda sedikit masa lagi sampai mereka sedia. Inilah kata sebahagian dari orang Islam. Bukanlah semua kata begitu, kerana yang majoriti dari umat Islam sudah bersedia.

 

قُلْ مَتَاعُ الدُّنْيَا قَلِيلٌ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Harba benda yang menjadi kesenangan di dunia ini adalah sedikit sahaja,

Nabi Muhammad disuruh untuk memberitahu mereka bahawa mereka jadi begitu sebab nak hidup selesa di dunia sahaja. Dulu semasa di Mekah dan mereka ditindas, mereka memang ada rasa yang tinggi untuk melawan balik. Tapi bila dah hidup senang sedikit di Madinah, mulalah mereka rasa senang sikit kerana sudah hidup tanpa gangguan lagi. Sudahlah mereka lupa semangat mereka untuk membalas kekejaman Musyrikin Mekah itu dulu.

Tapi Allah nak ingatkan bahawa kesenangan di dunia ini sedikit sahaja. Yang mereka hendak kejar itu adalah kesenangan yang sedikit dan sudahlah sedikit, sekejap pula. Ianya akan hilang begitu sahaja nanti. Ianya tidak kekal.

 

وَالْآخِرَةُ خَيْرٌ لِّمَنِ اتَّقَىٰ

dan (balasan) hari akhirat itu lebih baik lagi bagi orang-orang yang bertaqwa

Dan Allah hendak bandingkan akhirat dengan dunia. Duni itu tidak kekal dan sedikit sedangkan akhirat dan syurga itu lebih baik, lebih banyak nikmatnya dan lebih kekal. Kerana itu, hendaklah akhirat yang dikejar, bukannya dunia.

 

وَلَا تُظْلَمُونَ فَتِيلًا

dan kamu pula tidak akan dianiaya sedikit pun

Allah akan balas semua sekali kebaikan yang telah dilakukan oleh orang mukmin. Tidak ada yang tidak dibalas. Kerana kalau ada yang tidak dibalas, itu adalah satu kezaliman dan Allah tidak akan zalim sedikit. Walaupun zalim yang sebesar benang pada butir kurma. Maknanya, langsung tidak ada langsung kezaliman.

Oleh itu, jangan kamu berbelah bahagi lagi untuk menjalankan jihad, kerana segala pengorbanan kamu untuk menjalankan jihad itu akan dibalas oleh Allah.

 


 

Ayat 78: Allah pecah rahsia mereka – mereka tidak mahu perang kerana mereka takut mati. Tapi Allah ingatkan yang kematian itu tetap akan berlaku. Sampai masa, mereka akan mati juga, tidak ada sesiapa yang dapat elak dari mati. Samada mereka berjihad atau tidak, mereka akan tetap mati. Tapi kalau mati semasa jihad fisabilillah, mereka mati atas jalan Allah dan akan mendapat balasan yang tidak ada tandingannya.

أَيْنَمَا تَكُونُوا يُدْرِككُّمُ الْمَوْتُ وَلَوْ كُنتُمْ فِي بُرُوجٍ مُّشَيَّدَةٍ وَإِن تُصِبْهُمْ حَسَنَةٌ يَقُولُوا هَٰذِهِ مِنْ عِندِ اللَّهِ وَإِن تُصِبْهُمْ سَيِّئَةٌ يَقُولُوا هَٰذِهِ مِنْ عِندِكَ قُلْ كُلٌّ مِّنْ عِندِ اللَّهِ فَمَالِ هَٰؤُلَاءِ الْقَوْمِ لَا يَكَادُونَ يَفْقَهُونَ حَدِيثًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Wherever you may be, death will overtake you, even if you should be within towers of lofty construction. But if good comes to them, they say, “This is from Allāh”; and if evil befalls them, they say,1 “This is from you.” Say, “All [things] are from Allāh.” So what is [the matter] with those people that they can hardly understand any statement?

  • Addressing the Prophet ().

MALAY

Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh. Dan kalau mereka beroleh kebaikan (kemewahan hidup), mereka berkata: “Ini adalah dari sisi Allah”, dan kalau pula mereka ditimpa bencana, mereka berkata:” Ini adalah dari (sesuatu nahas) yang ada padamu”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah (berpunca) dari sisi Allah”. Maka apakah yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami perkataan (nasihat dan pengajaran)?

 

أَيْنَمَا تَكُونُوا يُدْرِككُّمُ الْمَوْتُ

Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu

Lafaz يُدْرِككُّمُ bermaksud sesuatu yang mendatangi kita sedikit demi sedikit. Begitulah Allah memberikan gambaran kematian itu menghampiri kita sedikit demi sedikit. Tidak ada sesiapa pun yang dapat melarikan diri dari kematian. Lambat laun setiap dari kita akan mati. Tidak kira bagaimana mana kita jaga makan kita, makan vitamin, pergi bersukan dan sebagainya, lama-lama akan mati. Samada cepat atau lambat sahaja.

 

وَلَوْ كُنتُمْ فِي بُرُوجٍ مُّشَيَّدَةٍ

sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh. 

Walaupun kita menyorok dalam kubu yang dikukuhkan dan tinggi. Mati pasti datang. Malangnya, kalau kita tidak mati semasa menjalankan jihad fisabilillah, ada kemungkinan kita mati bukan di jalan Allah.

 

وَإِن تُصِبْهُمْ حَسَنَةٌ يَقُولُوا هَٰذِهِ مِنْ عِندِ اللَّهِ

Dan kalau mereka beroleh kebaikan, mereka berkata: “Ini adalah dari sisi Allah”,

Ada golongan munafik yang dapat keuntungan dan kemenangan dalam peperangan sebab dapat ghanimah. Mereka kata itu semua dari Allah. Memang betul pun apa yang mereka cakap itu. Tapi tujuan mereka cakap itu adalah untuk menidakkan Nabi Muhammad. Mereka nak kata: “alah, menang tu sebab Allah bagi menang jer…” Ini adalah kerana mereka tidak menghormati Nabi Muhammad. Orang munafik tidak ada masalah pakai nama Allah dalam hujah mereka.

‘Kebaikan’ dalam ayat ini, boleh juga bermaksud segala nikmat yang mereka dapat: perniagaan yang berjaya, tanaman yang subur yang membuahkan hasil, keluarga yang besar dan macam-macam lagi. Mereka kata itu semua dari Allah.

 

وَإِن تُصِبْهُمْ سَيِّئَةٌ يَقُولُوا هَٰذِهِ مِنْ عِندِكَ

dan kalau pula mereka ditimpa bencana, mereka berkata:” Ini adalah dari yang ada padamu”. 

Kalau kena musibah, mereka kata itu adalah salah atau sial Nabi sebab salah buat perkiraan. Mereka salahkan Nabi pula. Mereka kata segala kesusahan itu mereka dapat kerana mereka sokong Nabi dan masuk Islamlah yang boleh jadi macam itu.

 

قُلْ كُلٌّ مِّنْ عِندِ اللَّهِ

Katakanlah: “Semuanya itu adalah dari sisi Allah”.

Semuanya dari Allah, kalah menang, senang susah, semuanya dari Allah. Apa-apa sahaja yang terjadi adalah dari perancangan Allah, bukan?

 

فَمَالِ هَٰؤُلَاءِ الْقَوْمِ لَا يَكَادُونَ يَفْقَهُونَ حَدِيثًا

Maka apakah yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami perkataan?

Kenapa dengan mereka ini? Mereka itu hampir hampir tidak dapat memahami agama. Segala nasihat dan ajaran yang diberikan kepada mereka, mereka tak boleh nak terima dan masukkan dalam akal mereka. Mereka macam tak faham apa-apa. Walaupun Nabi ada dalam kalangan mereka, mereka masih tidak faham agama. Ada yang tidak kena dengan akal mereka.

 


 

Ayat 79:

مَّا أَصَابَكَ مِنْ حَسَنَةٍ فَمِنَ اللَّهِ وَمَا أَصَابَكَ مِن سَيِّئَةٍ فَمِن نَّفْسِكَ وَأَرْسَلْنَاكَ لِلنَّاسِ رَسُولًا وَكَفَىٰ بِاللَّهِ شَهِيدًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

What comes to you of good is from Allāh, but what comes to you of evil, [O man], is from yourself.1 And We have sent you, [O Muḥammad], to the people as a messenger, and sufficient is Allāh as Witness.

  • As a result of your mistakes or sins.

MALAY

Apa jua kebaikan (nikmat kesenangan) yang engkau dapati maka ia adalah dari Allah; dan apa jua bencana yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri. Dan Kami telah mengutus engkau (wahai Muhammad) kepada seluruh umat manusia sebagai seorang Rasul (yang membawa rahmat). Dan cukuplah Allah menjadi saksi (yang membuktikan kebenaran hakikat ini).

 

مَّا أَصَابَكَ مِنْ حَسَنَةٍ فَمِنَ اللَّهِ

Apa jua kebaikan yang engkau dapati, ia adalah dari Allah;

Apa sahaja kebaikan yang kita dapat dalam dunia ini, sebenarnya ia dari Allah. Allah yang beri kepada kita kerana sifat RahmanNya. Sebenarnya kita tak layak dapat apa-apa pun sebab kita ini hamba, kita ini papa. Kita ini hamba yang hina, yang boleh mengharap sahaja, dan kalau kita tidak dapat apa-apa, kita tidak boleh nak marah kepada Allah.

Jangan juga kita kata yang kita dapat segala nikmat itu kerana amal ibadat kita dan kita layak dapat segalanya itu. Pertama, kita buat ibadat itu pun kerana taufik dari Allah juga, bukan dari kita. Dan kedua, mana mungkin segala nikmat itu disamakan dengan ibadat kita. Betapa banyak ibadat pun yang kita lakukan, tidak mungkin dapat menyamai segala nikmat yang kita dapat itu. Walaupun kita beribadat sepanjang hidup kita, kita tidak akan dapat hendak membalas nikmat satu mata yang Allah berikan kepada kita, apatah lagi segala nikmat-nikmat lain yang tidak dapat dikira langsung itu.

Begitu juga, jangan kita sangka yang kita akan dapat masuk syurga kerana amal kita. Kerana amal kita tidak cukup untuk membalas segala nikmat syurga itu. Ini seperti satu hadis yang Nabi sampaikan:

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Tidak ada seorang pun yang masuk syurga kerana amalannya.” Para sahabat bertanya; “Begitu juga dengan engkau wahai Rasulullah?” Beliau bersabda: “Ya, kecuali bila Allah melimpahkan kurnia dan rahmat-Nya padaku, oleh kerana itu berlaku luruslah dan bertaqarublah dan janganlah salah seorang dari kalian mengharapkan kematian, jika dia orang baik semoga saja boleh menambah amal kebaikannya, dan jika dia orang yang buruk (akhlaknya) semoga boleh menjadikannya dia bertaubat.” (Sahih Bukhari, no. 5241)

 

وَمَا أَصَابَكَ مِن سَيِّئَةٍ فَمِن نَّفْسِكَ

dan apa jua bencana yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri.

Musibah yang menimpa diri kita dari jenis segala kesusahan adalah dari kesilapan kita sendiri. Allah nak beri ujian dan pengajaran kepada umat manusia dengan memberikan kesusahan itu. Tapi kalau kita sabar dan menerima kesusahan dan musibah itu, kita akan dibersihkan dari dosa kita. Lihatlah sabda Nabi tentang perkara ini:

Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya, melainkan Allah akan mengugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang mengugurkan daun-daunnya”. (HR. Bukhari no. 5660 dan Muslim no. 2571).

 

وَأَرْسَلْنَاكَ لِلنَّاسِ رَسُولًا

Dan Kami telah mengutus engkau (wahai Muhammad) kepada seluruh umat manusia sebagai seorang Rasul 

Allah telah pilih Nabi sebagai rasul kepada seluruh dunia. Ini adalah dalil yang Nabi Muhammad adalah Rasul untuk sekelian manusia ini. Dari mula baginda menjadi Nabi sampailah ke Hari Kiamat nanti.

 

وَكَفَىٰ بِاللَّهِ شَهِيدًا

Dan cukuplah Allah menjadi saksi

Cukuplah Allah sebagai saksi bahawa Nabi Muhammad adalah Nabi dan Rasul untuk sekelian manusia. Walaupun ramai yang tidak terima, itu tidak kisah kerana Allah telah menjadi saksi atas perkara itu.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

 


 

Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 004: an-Nisa and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s