Tafsir Surah an-Nisa Ayat 60 – 65 (Wajib ikut Sunnah)

Ayat 60: Ayat sebelum ini tentang suruhan merujuk kepada Allah dan RasulNya untuk menyelesaikan sesuatu permasalahan atau pertembungan pendapat. Sekarang dalam ayat ini pula, terdapat larangan untuk merujuk kepada yang selainnya.

Asbabun Nuzul ayat: ada seorang munafik (dikatakan namanya adalah Bishr) yang bertelingkah dengan seorang lelaki Yahudi. Mereka telah bermuamalah dan telah ada perselisihan antara mereka. Untuk mencari penyelesaian, mereka bersetuju untuk merujuk perkara itu kepada pihak lain. Lelaki munafik itu ajak lelaki Yahudi itu untuk jumpa pemuka Yahudi yang bernama Kaab ibn Ashraf untuk selesaikan masalah mereka itu. Lelaki Yahudi itu pula mengajak mereka berjumpa dengan Nabi Muhammad.

Kenapa lelaki munafik itu mengajak berjumpa dengan pemuka Yahudi pula, sedangkan dia mengaku dia Muslim? Ini adalah kerana dia tahu yang dia salah dan dia juga tahu yang Nabi Muhammad itu adil. Maka dia rasa dia akan ada peluang untuk memang kalau masalah mereka itu dihakimi oleh Kaab. Sedangkan lelaki Yahudi itu mengajak berjumpa dengan Nabi Muhammad kerana dia juga tahu yang Nabi Muhammad itu adil dan dia tahu yang di pihak yang benar.

Tetapi setelah mereka berbincang lanjut, mereka bersetuju untuk berjumpa dengan Nabi Muhammad. Apabila mereka berjumpa Nabi dan setelah diberikan maklumat tentang perselisihan itu, Nabi telah membuat keputusan yang berpihak kepada lelaki Yahudi itu. Malangnya, lelaki munafik itu sangsi dengan keputusan Nabi Muhammad kerana dia rasa Nabi Muhammad buat keputusan itu kerana baginda hormat kepada Yahudi sampai baginda telah buat keputusan yang tidak adil. Jadi dia telah ajak lelaki Yahudi itu jumpa Saidina Umar pula kerana dia rasa Umar lebih tegas. Dia juga rasa yang Saidina keras terhadap orang kafir, maka dia rasa dia ada peluang untuk mengubah keputusan itu.

Bila jumpa Saidina Umar, lelaki itu cepat-cepat Yahudi jelaskan kepada Umar bahawa mereka telah berjumpa dengan Nabi Muhammad dan Nabi telah memberi keputusan berpihak kepada beliau. Mendengar perkara itu dan setelah pastikan dengan lelaki munafik itu yang itulah yang terjadi, beliau telah suruh mereka tunggu. Saidina Umar telah masuk ke dalam rumah dan bawa keluar pegang dan terus bunuh munafik itu kerana pada beliau, lelaki itu sudah murtad kerana tidak puas hati dengan keputusan Nabi.

أَلَم تَرَ إِلَى الَّذينَ يَزعُمونَ أَنَّهُم آمَنوا بِما أُنزِلَ إِلَيكَ وَما أُنزِلَ مِن قَبلِكَ يُريدونَ أَن يَتَحاكَموا إِلَى الطّاغوتِ وَقَد أُمِروا أَن يَكفُروا بِهِ وَيُريدُ الشَّيطانُ أَن يُضِلَّهُم ضَلالًا بَعيدًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Have you not seen those who claim to have believed in what was revealed to you, [O Muḥammad], and what was revealed before you? They wish to refer legislation to ṭāghūt,1 while they were commanded to reject it; and Satan wishes to lead them far astray.

  • False objects of worship or those transgressors who usurp the divine right of government.

MALAY

Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad) orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada Al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (Kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakim kepada Taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada Taghut itu. Dan Syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh.

 

أَلَم تَرَ إِلَى الَّذينَ يَزعُمونَ أَنَّهُم آمَنوا بِما أُنزِلَ إِلَيكَ

Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad) orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada Al-Quran yang telah diturunkan kepadamu

Mereka sahaja perasan mereka beriman tetapi sebenarnya mereka munafik. Lafaz يَزعُمونَ dalam ayat ini bermaksud mereka itu amat yakin dalam anggapan mereka. Mereka sangka mereka telah beriman. Mereka sangka mereka beriman dengan Quran dah. Macam juga dari kalangan masyarakat kita. Kalau kita kata mereka tidak beriman dengan Quran, tentu mereka marah. Sebab mereka memang hormat betul dengan Quran. Boleh kata hari-hari baca Quran (sekurang-kurangnya surah Fatihah).

 

وَما أُنزِلَ مِن قَبلِكَ

dan kepada (Kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu

Mereka juga sangka mereka telah beriman dengan Kitab-kitab suci sebelum ini seperti Taurat dan Injil. Ini merujuk kepada puak Yahudi dan Nasrani. Mereka juga sangka mereka beriman.

 

يُريدونَ أَن يَتَحاكَموا إِلَى الطّاغوتِ

Mereka suka hendak berhakim kepada Taghut,

Mereka sangka mereka beriman, tapi dalam masa yang sama cari hukum kepada taghut. Ini merujuk kepada keinginan Bishr untuk membawa penghakiman urusan muamalah mereka itu kepada Kaab bin Ashraf.

Apabila menggunakan sumber lain selain dari Nabi dan Allah sebagai penghukum, itu dikatakan merujuk kepada Taghut.

 

وَقَد أُمِروا أَن يَكفُروا بِهِ

padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada Taghut itu. 

Sedangkan mereka kena tolak taghut. Ramai yang mengaku Muslim dan kata baca Quran dan Sunnah, tapi dalam penghakiman, ramai yang pakai sumber yang lain.

 

وَيُريدُ الشَّيطانُ أَن يُضِلَّهُم ضَلالًا بَعيدًا

Dan Syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh.

Mereka sebenarnya dibisik oleh syaitan.  Syaitan nak mereka sesat. Syaitan yang suruh mereka jauh dari Allah, jauh dari Nabi.

Kita jangan rasa ayat ini tidak kena kepada kita. Memang Nabi Muhammad sudah tidak ada di kalangan kita untuk mengadili sesuatu perselisihan. Tapi bukankah sunnah Nabi ada di kalangan kita lagi? Bukankah kita sepatutnya merujuk apakah kata-kata baginda? Tetapi berapa ramai yang tidak kisah pun dengan hadis dan sunnah Nabi tapi mereka buat keputusan dengan merujuk kepada selain nas dan menggunakan akal fikiran sahaja.

 


 

Ayat 61: Mereka yang tidak mahu berhukum dengan hukum yang disampaikan oleh Nabi adalah bersifat munafik.

وَإِذا قيلَ لَهُم تَعالَوا إِلىٰ ما أَنزَلَ اللَّهُ وَإِلَى الرَّسولِ رَأَيتَ المُنافِقينَ يَصُدّونَ عَنكَ صُدودًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when it is said to them, “Come to what Allāh has revealed and to the Messenger,” you see the hypocrites turning away from you in aversion.

MALAY

Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Marilah berhakim kepada hukum Al-Quran yang telah diturunkan oleh Allah dan kepada hukum Rasulullah,” nescaya engkau melihat orang-orang munafik itu berpaling serta menghalang (manusia) dengan bersungguh-sungguh daripada menghampirimu.

 

وَإِذا قيلَ لَهُم تَعالَوا إِلىٰ ما أَنزَلَ اللَّهُ وَإِلَى الرَّسولِ

Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Marilah berhakim kepada hukum Al-Quran yang telah diturunkan oleh Allah dan kepada hukum Rasulullah,”

Ini adalah apa yang diajak kepada mereka. Mereka diajak menggunakan hukum yang telah disampaikan oleh Allah dan apa yang disampaikan oleh Rasulullah. Begitulah yang sepatutnya.

 

رَأَيتَ المُنافِقينَ يَصُدّونَ عَنكَ صُدودًا

nescaya engkau melihat orang-orang munafik itu berpaling serta menghalang (manusia) dengan bersungguh-sungguh daripada menghampirimu.

Orang munafik tidak terima penghukuman yang menggunakan ayat Quran dan sunnah. Mereka akan halang dengan keras. Mereka tidak suka selesai masalah guna wahyu. Mereka nak guna akal kerana kalau guna akal, mereka boleh ubah ikut kehendak mereka. Mereka bukan sahaja tidak mahu menggunakan hukum dari nas, tapi mereka akan menghalang orang lain dari menggunakannya juga. Itu adalah sifat orang munafik.

Tapi kalau mereka rasa hukum yang diberikan berpihak kepada mereka, mereka akan bawa juga. Tapi kalau mereka rasa macam akan berlawanan dengan kehendak mereka, mereka tidak akan bawa. Begitulah juga masyarakat kita yang munafik. Kalau nas dari agama itu bersesuaian dengan kehendak mereka, mereka akan pakai, tapi kalau tidak sesuai, mereka akan tolak…

 


 

Ayat 62: Kita kena tahu bahawa Saidina Umar ada kelebihan. Memang apa yang dia lakukan itu tidak merujuk kepada Nabi Muhammad, tapi berdasarkan pemahaman beliau dengan agama Islam. Dia memang pernah buat sesuatu yang bertepatan dengan hukum Allah walaupun hukum itu belum dikeluarkan lagi. Tetapi perbuatan beliau itu telah dibenarkan oleh wahyu selepas itu. Dalam ayat ini, Allah tidak menegur perbuatan Saidina Umar itu, malah mengiyakan apa yang telah dilakukan oleh beliau.

فَكَيفَ إِذا أَصابَتهُم مُصيبَةٌ بِما قَدَّمَت أَيديهِم ثُمَّ جاءوكَ يَحلِفونَ بِاللَّهِ إِن أَرَدنا إِلّا إِحسانًا وَتَوفيقًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So how [will it be] when disaster strikes them because of what their hands have put forth and then they come to you swearing by Allāh, “We intended nothing but good conduct and accommodation.”

MALAY

Maka bagaimana halnya apabila mereka ditimpa sesuatu kemalangan disebabkan (kesalahan) yang telah dibuat oleh tangan mereka sendiri, kemudian mereka datang kepadamu sambil bersumpah: “Demi Allah, kami tidak sekali-kali menghendaki melainkan kebaikan dan perdamaian (bagi kedua pihak yang berbalah)”.

 

فَكَيفَ إِذا أَصابَتهُم مُصيبَةٌ بِما قَدَّمَت أَيديهِم

Maka bagaimana halnya apabila mereka ditimpa sesuatu kemalangan disebabkan (kesalahan) yang telah dibuat oleh tangan mereka sendiri,

Musibah yang dimaksudkan adalah lelaki munafik itu telah dibunuh oleh Saidina Umar. Lelaki itu dibunuh kerana salah dia sendiri.

 

ثُمَّ جاءوكَ يَحلِفونَ بِاللَّهِ

kemudian mereka datang kepadamu sambil bersumpah dengan nama Allah,

Keluarga munafik kelam kabut datang jumpa Nabi sebab tak puas hati dengan perbuatan Umar. Mereka datang itu kerana hendak bela perbuatan keluarga mereka yang munafik. Sampai mereka sanggup bersumpah atas nama Allah. Ringan sekali sumpah pada lidah mereka.

 

إِن أَرَدنا إِلّا إِحسانًا وَتَوفيقًا

kami tidak sekali-kali menghendaki melainkan kebaikan dan perdamaian

Mereka bersumpah dengan nama Allah, yang kedatangan mereka untuk mengadu itu adalah untuk kebaikan dan mendapatkan perdamaian.

 


 

Ayat 63: Mereka kata mereka mahukan kebaikan dan perdamaian dalam ayat sebelum ini. Tapi dalam ayat ini, Allah beritahu tidak begitu.

أُولٰئِكَ الَّذينَ يَعلَمُ اللَّهُ ما في قُلوبِهِم فَأَعرِض عَنهُم وَعِظهُم وَقُل لَهُم في أَنفُسِهِم قَولًا بَليغًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those are the ones of whom Allāh knows what is in their hearts, so turn away from them1 but admonish them and speak to them a far-reaching [i.e., effective] word.

  • i.e., use not violence against them.

MALAY

Mereka itulah orang-orang yang diketahui oleh Allah akan apa yang ada dalam hati mereka, oleh itu berpalinglah engkau daripada mereka, dan nasihatilah mereka, serta katakanlah kepada mereka kata-kata yang boleh memberi kesan pada hati mereka.

 

أُولٰئِكَ الَّذينَ يَعلَمُ اللَّهُ ما في قُلوبِهِم

Mereka itulah orang-orang yang diketahui oleh Allah akan apa yang ada dalam hati mereka, 

Allah tahu apa yang dalam hati mereka. Mereka bukan muslim sejati, tapi mereka munafik sebenarnya.

 

فَأَعرِض عَنهُم

oleh itu berpalinglah engkau daripada mereka,

Jangan peduli perbuatan mereka membela perbuatan orang munafik itu. Allah tahu apa yang dalam hati mereka. Berpaling dari mereka itu maksudnya, jangan hukum Saidina Umar kerana membunuh lelaki munafik itu. Puak munafik itu datang kerana mereka mengadu yang Umar telah membunuh saudara mereka dan mereka kata mereka mahu pengadilan ke atas Umar. Tapi ayat ini membebaskan Umar dari apa-apa kesalahan pun.

Ataupun, ia bermaksud: jangan hukum mereka lagi. Kerana mereka tidak buat salah apa-apa pun lagi. Yang salah itu hanyalah di dalam hati mereka dan Allah tahu apa yang di dalam hati mereka. Biarkan Allah sahaja yang menguruskan hal mereka.

 

وَعِظهُم

dan nasihatilah mereka,

Tapi jangan putus memberi nasihat kepada mereka. Sebab mereka tidak buat kesalahan. Mereka hanya mahu membela sahaja.

 

وَقُل لَهُم في أَنفُسِهِم قَولًا بَليغًا

serta katakanlah kepada mereka kata-kata yang boleh memberi kesan pada hati mereka.

Beritahu mereka dalam suasana berseorangan. Itulah maksud في أَنفُسِهِم dalam ayat ini. Asingkan mereka dari orang lain semasa memberi nasihat itu. Kerana kalau nasihat dalam suasana yang ramai, mereka tak rasa nasihat itu untuk mereka. Selalunya Nabi nasihat dalam ramai. Nabi akan beri nasihat secara umum sahaja kerana Nabi tidak mahu sesiapa rasa malu kalau Nabi sebut nama. Tapi, kalau Nabi nasihat macam itu, mungkin mereka tak rasa nasihat dan teguran itu dikenakan kepada mereka. Jadi bila jadi macam ni, kena nasihat khusus. Supaya mereka tahu yang nasihat itu memang khusus untuk mereka.

Beri nasihat biar sampai dalam hati mereka. Beri nasihat yang memberi bekas pada jiwa. Beritahu mereka yang sifat munafik yang ada pada mereka itu akan memakan diri mereka sendiri nanti. Mereka kena ubah perangai mereka.

 


 

Ayat 64: Allah nak beritahu yang Dia hantar Nabi bukan main-main. Bukanlah Nabi itu digunakan bila rasa nak pakai sahaja, masa tak suka tidak dipakai. Umar dah tahu tentang perkara itu. Itulah sebabnya dia telah membunuh lelaki yang tidak menghormati hukuman yang telah diberikan oleh baginda itu.

وَما أَرسَلنا مِن رَسولٍ إِلّا لِيُطاعَ بِإِذنِ اللَّهِ ۚ وَلَو أَنَّهُم إِذ ظَلَموا أَنفُسَهُم جاءوكَ فَاستَغفَرُوا اللَّهَ وَاستَغفَرَ لَهُمُ الرَّسولُ لَوَجَدُوا اللَّهَ تَوّابًا رَحيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We did not send any messenger except to be obeyed by permission of Allāh. And if, when they wronged themselves, they had come to you, [O Muḥammad], and asked forgiveness of Allāh and the Messenger had asked forgiveness for them, they would have found Allāh Accepting of repentance and Merciful.

MALAY

Dan Kami tidak mengutus seseorang Rasul pun melainkan supaya ia ditaati dengan izin Allah. Dan kalaulah mereka ketika menganiaya diri mereka sendiri datang kepadamu (wahai Muhammad) lalu memohon ampun kepada Allah, dan Rasulullah juga memohon ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.

 

وَما أَرسَلنا مِن رَسولٍ إِلّا لِيُطاعَ بِإِذنِ اللَّهِ

Dan Kami tidak mengutus seseorang Rasul pun melainkan supaya ia ditaati dengan izin Allah.

Rasul mana pun diutuskan oleh Allah, merea itu diutus supaya ditaati. Oleh itu, kena ikut apa yang telah diberitahu oleh Nabi, apa yang telah dihukumkan oleh Nabi.

Ini juga menolak pendapat mereka yang kata kena pakai Quran sahaja. Ada golongan yang sesat yang mengatakan sedemikian dan ramai juga dari kalangan orang kita yang percaya. Mana boleh pakai Qur’an sahaja. Kita kena juga ikut apa yang disampaikan oleh Nabi kerana Nabi yang ajar agama kepada kita. Dalam Quran kita disuruh solat, tapi kalau kita nak solat sendiri pun tak boleh tanpa Nabi ajar kepada cara-caranya. Kalau tidak kerana panduan dari Nabi, kita nak solat dua rakaat pun tidak boleh, percayalah.

Allah sebut para Rasul itu ditaat dengan izin Allah. Maknanya, Allah yang perintah kita ikut dan taat kepada Nabi. Kalau tidak taat kepada Nabi, maknanya kita tidak taat kepada Allah.

 

وَلَو أَنَّهُم إِذ ظَلَموا أَنفُسَهُم

Dan kalaulah mereka ketika menganiaya diri mereka sendiri 

Tapi para munafik tidak taat kepada Nabi. Mereka telah hendak mendapatkan penghakiman dari pihak lain selain daripada Nabi Muhammad.

 

جاءوكَ فَاستَغفَرُوا اللَّهَ

datang kepadamu (wahai Muhammad) lalu memohon ampun kepada Allah, 

Begitu pun, kalau mereka telah buat salah, tapi mereka datang berjumpa dengan Nabi dan memohon keampunan kepada Allah, itu adalah lebih baik.

 

وَاستَغفَرَ لَهُمُ الرَّسولُ

dan Rasulullah juga memohon ampun untuk mereka, 

Kalaulah mereka jumpa Nabi selepas mereka buat salah dengan minta kehakiman selain Nabi, dan minta ampun kepada Nabi, Nabi aminkan, tentu Allah akan ampunkan.

Atau mereka kena minta maaf kepada Nabi Muhammad kerana mereka tidak datang kepada baginda untuk mendapatkan kehakiman. Atau dalam kes yang telah disebut, setelah Nabi memberi keputusan, ada yang tidak puas hati. Itu adalah kesalahan kepada Nabi Muhammad juga kerana telah menyakitkan hati Nabi Muhammad. Seumpama mengatakan yang penghakiman Nabi itu tidak adil.

 

لَوَجَدُوا اللَّهَ تَوّابًا رَحيمًا

tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.

Tentulah mereka akan diampuni oleh Allah. Itu adalah langkah yang lebih baik untuk mereka. Apabila sudah buat salah, diberi nasihat, ikutlah nasihat itu, jangan degil.

Tidak taat kepada pemerintah adalah satu kesalahan. Mereka yang munafik itu ada masalah dengan pemerintah.

 


 

Ayat 65: Kalau sesiapa yang ada masalah untuk berhukum dengan apa yang disampaikan oleh Nabi, mereka sebenarnya tidak beriman. Mereka sahaja yang kata mereka beriman tetapi sebenarnya tidak.

فَلا وَرَبِّكَ لا يُؤمِنونَ حَتّىٰ يُحَكِّموكَ فيما شَجَرَ بَينَهُم ثُمَّ لا يَجِدوا في أَنفُسِهِم حَرَجًا مِمّا قَضَيتَ وَيُسَلِّموا تَسليمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But no, by your Lord, they will not [truly] believe until they make you, [O Muḥammad], judge concerning that over which they dispute among themselves and then find within themselves no discomfort from what you have judged and submit in [full, willing] submission.

MALAY

Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.

 

فَلا وَرَبِّكَ

Maka demi Tuhanmu

Ini adalah Lafaz Tahkik. Allah bersumpah dengan KedudukanNya. Kalau Allah sampai bersumpah begitu, tentu sesuatu yang besar yang hendak diberitahu. Maka kena dengar betul-betul.

 

لا يُؤمِنونَ حَتّىٰ يُحَكِّموكَ فيما شَجَرَ بَينَهُم

Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka,

Mereka sebenarnya tidak beriman, sehinggalah mereka melantik Nabi Muhammad menjadi hakim untuk menyelesaikan sebarang perselisihan antara mereka. Lafaz شَجَرَ yang dari suduh bahasa bermakna ‘pokok’ memberi isyarat kepada apa-apa perkata baru yang timbul. Kerana pokok akan bercambah dan mengeluarkan dahan baru, bukan?

Jadi, ini adalah hukum yang universal: Tidak dikira beriman sehinggalah kita menjadikan Nabi sebagai penghukum. Allah tak kata Qur’an pun dalam ayat ini. Kerana kena ikut cara Nabi faham Qur’an. Kerana kalau kata ikut ‘Quran’ sahaja, ada yang pakai ayat Quran tapi mereka tafsir ikut faham mereka sahaja dan kata mereka kononnya ikut Quran. Bukan begitu.. kita kena faham Quran sebagaimana yang Nabi faham. Dan Nabi dah ajarkan kepada sahabat yang menyampaikan kepada kita pemahaman itu.

 

ثُمَّ لا يَجِدوا في أَنفُسِهِم حَرَجًا مِمّا قَضَيتَ

kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan,

Bukan sahaja kena ambil Nabi sebagai penghakim, tapi setelah Nabi buat keputusan, kena terima tanpa sukar. Kadangkala ada yang pergi jumpa Nabi tapi berat nak terima. Sebagaimana kisah Bishr yang munafik itu. Dia telah pergi dah jumpa Nabi minta selesaikan perbalahan antara beliau dan lelaki Yahudi itu, tapi apabila sudah diberi keputusan oleh Nabi, dia tidak puas hati. Ini adalah salah.

Ada orang yang tidak puas dengan keputusan dan sunnah Nabi. Sebagai contoh, Nabi telah menyampaikan kelonggaran untuk menggunakan tayamum jikalau tiada air atau dalam sakit. Tapi kalau ada sesiapa yang rasa tak selesa dengan apa yang disampaikan Nabi itu, maknanya dia ada masalah dengan iman dia. Kena jaga-jaga kalau begitu.

Begitu juga, kita dalam beramal, kena cari amalan yang dilakukan oleh Nabi dan para sahabat. Kalau ada rasa macam amalan baginda tidak lengkap, tidak cukup, sampai nak kena pakai amalan yang tidak ada dalil dari perbuatan baginda, ini pun menunjukkan ada masalah dengan iman. Itulah sebabnya, kalau sesiapa dari masyarakat yang melakukan amalan bidaah, mereka sebenarnya ada masalah iman. Mereka rasa tidak cukup dengan apa yang Nabi telah amalkan.

 

وَيُسَلِّموا تَسليمًا

dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.

Bukan sahaja kena jadikan Nabi sebagai penghukum dan terima dengan senang hati segala keputsan dari baginda, tapi kita kena terima keputusan Nabi sepenuhnya. Itulah maksud sallama. تَسليمًا adalah perkataan dalam bentuk maf’ul mutlak. Tidak boleh tinggal sedikitpun.

Sekarang Nabi sudah tiada tapi hadis dan sunnah baginda ada lagi. Maka apa-apa perselisihan sekarang pun kena rujuk kepada hadis. Kena cari apa yang Nabi telah putuskan sebelum ini. Maka, kenalah rujuk kepada mereka yang tahu tentang hadis dan sunnah. Jangan tanya kepada ustaz yang tak berapa faham atau tidak belajar tafsir Quran dan hadis. Memang kita ada banyak ustaz dalam negara ini, tapi kebanyakan dari mereka tak belajar pun tafsir Quran dan hadis. Jadi macam mana mereka nak beri keputusan berdasarkan apa yang Nabi telah putuskan, sedangkan mereka sendiri tidak tahu? Janganlah sebab mereka digelar ‘ustaz’ sahaja, terus mereka diterima pakai. Kena hati-hati.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


 

Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 004: an-Nisa and tagged , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s