Tafsir Surah an-Nisa Ayat 34 – 37 (Perbalahan suami isteri)

Ayat 34: Allah lebihkan satu golongan terhadap golongan lain kerana sifat-sifat tertentu. Itu atas kejadian yang Allah jadikan. Allah dah jadikan lelaki dan wanita tidak sama. Tidak boleh persoalkan dah.

‎الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ وَبِمَا أَنفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ فَالصَّالِحَاتُ قَانِتَاتٌ حَافِظَاتٌ لِّلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ اللهُ وَاللَّاتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَاهْجُرُوهُنَّ فِي الْمَضَاجِعِ وَاضْرِبُوهُنَّ فَإِنْ أَطَعْنَكُمْ فَلَا تَبْغُوا عَلَيْهِنَّ سَبِيلًا إِنَّ اللهَ كَانَ عَلِيًّا كَبِيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Men are in charge of women¹ by [right of] what Allāh has given one over the other and what they spend [for maintenance] from their wealth. So righteous women are devoutly obedient, guarding in [the husband’s] absence what Allāh would have them guard.² But those [wives] from whom you fear arrogance – [first] advise them; [then if they persist], forsake them in bed; and [finally], strike them.³ But if they obey you [once more], seek no means against them. Indeed, Allāh is ever Exalted and Grand.

  • This applies primarily to the husband-wife relationship.
  • i.e., their husbands’ property and their own chastity.
  • As a last resort. It is unlawful to strike the face or to cause bodily injury.

MALAY

Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya. Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.

 

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ

Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, 

Lelaki adalah ketua yang bertanggungjawab dalam keluarga. Mereka sebagai pelindung dan pemimpin. Maksud lafaz قَوَّامُونَ adalah mereka yang bertanggungjawab dalam sesuatu perkara. Merekalah yang kena jaga, kena buat keputusan dan memastikan semuanya berjalan dengan lancar.

Setiap organisasi memerlukan ketua kerana kalau tidak, tentu akan kacau bilau organisai atau negara itu. Dan begitu juga dalam keluarga, ianya adalah organisasi kecil dalam masyarakat. Dan Allah telah lantik lelaki yang menjadi ketua. Dan bukan sahaja dalam keluarga, dalam mana-mana organisasi pun, secara umum, ketua yang dilantik mestilah dari lelaki. Sampai kepada ketua negara pun kenalah lelaki.

Allah telah berfirman dalam Baqarah:228

وَلِلرِّجالِ عَلَيهِنَّ دَرَجَةٌ

lelaki mempunyai satu tingkat kelebihan

Tapi, ini bukanlah dalil untuk suami mengambil kesempatan atas isteri. Kenalah ada perbincangan antara mereka dan pergaulan yang mesra. Allah telah sebut dah dalam Nisa:19

وَعاشِروهُنَّ بِالمَعروفِ

Dan bergaullah dengan mereka secara patut.

Dan Allah telah sebut dalam Baqarah:233

عَن تَراضٍ مِنهُما وَتَشاوُرٍ

dengan kerelaan keduanya dan selepas bermesyuarat

Maknanya, bukanlah buat keputusan sendiri sahaja, suami kenalah rujuk juga kepada pendapat isteri.

 

بِمَا فَضَّلَ اللهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ

oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan,

Allah jadikan setiap manusia tidak sama. Ada beza antara lelaki dan wanita. Lelaki telah dilebihkan dalam beberapa perkara yang melebihi dari wanita. Oleh kerana kelebihan itu, mereka yang layak menjadi pemimpin.

Oleh kerana Allah ciptakan wanita sedemikian rupa, mereka tidak sesuai menjadi pemimpin. Sebagai contoh, mereka tidak boleh keluar ke khalayak ramai tanpa ditemani oleh mahram atau wali mereka. Oleh kerana itu, tentu susah kalau mereka yang jadi pemimpin. Dan Allah telah jadikan fizikal mereka lemah, jadi mereka tidak boleh bekerja berat. Tugas mereka adalah sesuai di rumah sahaja.

Dengan sebab Allah telah lebihkan lelaki atas wanita, maka sebab itulah lelaki yang layak menjadi pemimpin. Kita kena ingat yang kedudukan ini Allah yang pilih. Allah dah lantik sebegitu. Maka, kita kenalah terima. Taat kepada suami kerana taat kepada Allah.

Tetapi pada zaman sekarang, dengan kerja bukan lagi berat dan wanita pun sudah ramai yang bekerja dan mendapat pendapatan dari kerja mereka, mungkin ada yang berkata ayat sebegini tidak layak lagi. Tapi, walaupun mereka boleh bekerja dan menyara hidup, mereka masih lagi tertakluk dengan kekurangan-kekurangan yang lain. Antaranya mereka tidak sesuai keluar rumah bersendirian.

 

وَبِمَا أَنفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ

dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. 

Lelaki wajib beri nafkah kepada mereka yang dibawah tanggungannya. Ayat ini menceritakan tanggung jawab lelaki, bukan hendak menceritakan sangat tentang kelebihan lelaki atas wanita sampai boleh suruh suruh isteri buat macam-macam. Ramai yang salahguna ayat ini sebagai dalil untuk menindas wanita. Kuasa yang diberikan kepada lelaki dalam keluarga atau dalam pemerintahan negara bukanlah kuasa penuh. Kena ada musyawarah untuk membuat keputusan. Samada musyawarah dalam keluarga atau dalam organisasi mana-mana pun. Dalam organisasi memang kena ada ketua. Kalau tidak ada ketua yang jelas, sudah pasti akan ada kepincangan dalam keluarga atau organisasi itu. Dan ketua itu kenalah dilantik dari lelaki.

Dan dengan sebab harta yang mereka akan gunakan untuk memberi nafkah dan itulah juga sebab yang mereka menjadi pemimpin kepada wanita dalam keluarga mereka. Kerana merekalah yang memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak. Oleh kerana nafkah datangnya dari mereka, mereka yang kena kerja lebih, maka layaklah mereka yang menjadi pemimpin. Memang itulah yang sepatutnya dilakukan oleh lelaki. Dari nak kahwin pun dah kena beri mahr. Selepas kahwin, kena tanggung nafkah isteri. Begitu juga selepas dapat anak. Merekalah yang kena beri nafkah, baiki rumah, beri pakaian dan sebagainya. Maka mereka diberi dengan bahagian yang lebih besar dalam pembahagian harta faraid kerana kedudukan mereka sebagai penjaga keluarga.

Ayat ini juga menjelaskan kenapa orang lelaki dapat dua bahagian perempuan dalam pembahagian faraid. Kerana merekalah yang bertanggungjawab untuk menanggung dan menyara keluarga mereka: kalau wanita belum berkahwin, mereka dibawah tanggungan ayah mereka dan apabila mereka berkahwin, tanggungjawab itu jatuh ke bahu suaminya pula.

 

فَالصَّالِحَاتُ قَانِتَاتٌ حَافِظَاتٌ لِّلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ اللهُ

Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat, dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya. 

Wanita-wanita soleh (فَالصَّالِحَاتُ), pertamanya mereka akan taat (قَانِتَاتٌ) kepada perintah Allah. Rentetan dari taat kepada Allah, kena taat kepada suami pula.

Seterusnya mereka akan jaga maruah suami dan harta suami semasa suami tidak ada. Jangan cerita tentang keburukan suami kepada sesiapa pun. Ini penting kerana memang isteri tahu rahsia suami, luar dan dalam kerana mereka tinggal bersama dan suami akan menunjukkan dirinya yang sebenar dengan isteri. Malangnya, wanita sekarang kebanyakannya tidak begitu. Kalau dapat duduk bersama dengan isteri-isteri yang lain, antara yang mereka akan cakap adalah tentang keburukan suami mereka dan ketidakpuasan hati mereka.

Ayat ini juga bermaksud isteri juga jangan tayang diri depan orang. Kecantikan dan keindahan isteri itu untuk suami dia sahaja. Malangnya, sekarang, kalau isteri keluar rumah, pakai cantik dan pakai mekap. Tapi di rumah berkemban sahaja.

Mereka menjaga hukum yang Allah tetapkan untuk mereka jaga. Dalam ayat ini disentuh tentang menjaga maruah suami, harta suami dan diri mereka dari pandangan umum. Dengan taufik yang Allah beri kepadanya, mereka akan dapat jaga. Maka isteri kenalah belajar apakah yang perlu dijaga dan berdoa supaya Allah beri taufik kepada mereka. Apabila suami jaga isteri, maka isteri itu pula kenalah jaga maruah dan harta suami. Jadi, kalau hendak menjadi isteri yang soleh, kenalah tahu apakah ciri-ciri mereka. Antara sabda Nabi tentang isteri yang baik adalah:

خَيْرُ النِّسَاءِ امْرَأَةٌ إِذَا نَظَرْتَ إِلَيْهَا سَرَّتْكَ، وَإِذَا أَمَرْتَهَا أَطَاعَتْكَ، وَإِذَا غِبْتَ عَنْهَا حَفِظَتْكَ فِي نَفْسِهَا وَمَالِك

“Isteri yang terbaik ialah isteri yang menyenangkanmu apabila engkau melihatnya, mematuhimu apabila engkau menyuruhnya dan menjaga dirinya dan hartamu apabila engkau tidak ada di sampingnya.”

(Hadis Riwayat an-Nasa’i:3179)

Senang sahaja untuk isteri masuk syurga.

إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خَمْسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَفِظَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ زَوْجَهَا، قِيلَ لَهَا: ادْخُلِي الْجَنَّةَ مِنْ أَيِّ الْأَبْوَابِ شِئْت
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : “Apabila seorang wanita (isteri) itu telah melakukan sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadhan, menjaga maruahnya dan mentaati perintah suaminya, maka ia dijemput di akhirat supaya masuk Syurga mengikut pintunya mana yang ia suka (mengikut pilihannya).” (Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan Thabrani)

 

وَاللَّاتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ

Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, 

Kadang-kadang, biasalah berlaku perselisihan dalam perkahwinan. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Nusyuz adalah bila isteri sudah buat perbuatan melampau. Kalau marah-marah biasa sahaja, itu biasa, biarkan sahaja. Tapi kalau dah sampai tahap, baling-baling pinggan mangkuk, pukul suami, itu sudah nusyuz dah.

Imam Nawawi ada memberikan contoh-contoh perkara nusyuz dalam Kitab al-Majmu:

1. Menolak ajakan suami untuk bersetubuh
2. Isteri benci kepada suami
3. Tidak melakukan apa yang disuruh suami yang tidak bertentangan dengan syara’, walaupun menolak untuk membuat air kopi atau teh
4. Isteri menengking suami dengan nada suara tinggi
5. Isteri keluar rumah tanpa izin
6. Isteri melawan kata-kata suami
7. Menjauhkan diri dari suaminya / tak mahu layan suaminya
8. Meminta cerai kerana suami telah / ingin berkahwin lain
9. Isteri berkata kesat pada suami
10. Menceritakan keaiban suami kepada orang lain
11. Tidak membenarkan suami menyentuh dirinya ketika suami mahu
12. Isteri enggan berpindah ikut suami ke rumah lain di tempat lain
13. Isteri bermasam muka dengan suami
14. Membenarkan seseorang yang suami tidak suka masuk ke dalam rumah
15. Tidak mengendahkan panggilan suami
16. Mempunyai hubungan rahsia dengan lelaki lain

nota: isteri yang nusyuz tidak layak mendapat nafkah.

Jika suami bimbang wujud sifat derhaka di kalangan isteri, iaitu boleh dilihat dari kata mereka atau tingkah laku mereka, maka kena beri nasihat mereka. Ingatkan kembali kepada isteri tanggungjawab isteri untuk taat kepada suami. Ada masalah besar kepada isteri itu kalau dia tidak taat kepada suaminya. Kena ingatkan kepada isteri itu kewajipannya sebagai isteri. Banyak sekali dalil suruhan supaya taat kepada suami. Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam, beliau bersabda:

لَوْ كُنْتُ آمِرًا لِأَحَدٍ أَنْ يَسْجُدَ لِأَحَدٍ لَأَمَرْتُ الْمَرْأَةَ أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا

Seandainya aku boleh memerintahkan seseorang untuk sujud kepada orang lain niscaya aku akan memerintahkan istri untuk sujud kepada suaminya.” Hadits ini diriwayatkan oleh At-Tirmidzi dan ia berkata, “Hadits ini hasan.

 

Dari Thalaq bin Ali, ia berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

أَيُّمَا رَجُلٍ دَعَا زَوْجَتَهُ لِحَاجَتِهِ فَلْتَأْتِهِ وَلَوْ كَانَتْ عَلَى التَّنُّوْرِ

Suami mana saja yang memanggil isterinya untuk memenuhi hajatnya, maka si isteri harus/wajib mendatanginya (memenuhi panggilannya) walaupun ia sedang memanggang roti di atas tungku api.”

 

Dalam kitab Shahih (Al-Bukhari) dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, ia berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

إِذَا دَعَا الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ إِلَى فِرَاشِهِ فَأَبَتْ أَنْ تَجِيْئَ، فَبَاتَ غَضْبَانَ عَلَيْهَا، لَعَنَتْهَا الْمَلاَئِكَةُ حَتَّى تُصْبِحَ

Apabila seorang suami memanggil isterinya ke tempat tidurnya, namun si isteri menolak untuk datang, lalu si suami bermalam (tidur) dalam keadaan marah kepada isterinya tersebut, niscaya para malaikat melaknat si isteri sampai ia berada di pagi hari.” Diriwayatkan oleh Abu Hatim dalam Shahih-nya dan At-Tirmidzi, ia berkata, “Hadits ini hasan

Jadi itu adalah cara pertama yang perlu dilakukan dahulu. Mungkin kena nasihat banyak kali. Jangan dah nasihat sekali, tapi isteri tak dengar, terus nak pergi ke peringkat kedua pula. Dan untuk nasihat, seorang suami itu kenalah pandai. Wanita tidak sama dengan lelaki, cara nasihat pun kenalah lain sedikit. Malangnya, lelaki banyak yang tak berapa pandai, nak nasihat orang pun tak pandai. Jadi, kenalah banyak membaca, perhati perangai orang dan isteri kita, tahu apa yang mereka suka dan sebagainya. Jangan tahu nak kahwin sahaja, tapi tak tahu nak menjaga perkahwinan.

 

وَاهْجُرُوهُنَّ فِي الْمَضَاجِعِ

dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur,

Jika masih tidak mahu dengar nasihat, walaupun sudah dibuat banyak kali, dengan berbagai-bagai cara, tapi masih tidak berhenti, maka langkah seterusnya adalah dengan mengasing tempat tidur. Maknanya tidak tidur sekatil dengan dia. Tapi pastikan masih dalam rumah yang sama. Jangan pergi duduk di hotel atau lari rumah kawan pula. Kerana kalau isteri kita terkesan dengan cara ini, nak pujuk kita balik, macam mana dia nak cari kita kalau kita tiada?

Ada juga pendapat yang mengatakan maksud ayat ini:

  • tidak mengadakan hubungan kelamin dengan mereka,
  • berbaring dengan mereka di atas katil yang sama, tapi membelakangi mereka
  • tidak bercakap langsung dengan mereka.

Ini sebenarnya adalah langkah yang sudah semakin keras dan dilakukan untuk tunjuk yang suami itu sudah marah. Sepatutnya isteri dah boleh fikir. Kalau selalunya suaminya akan tetap tidur di sebelahnya, sudah bertahun-tahun, kalau sekali tidak tidur sekali bersama, sepatutnya dia sudah terasa rindu dan lain macam. Maka, carilah suami itu dan mintalah maaf kepadanya.

 

وَاضْرِبُوهُنَّ

dan pukullah mereka 

Kalau masih tidak berubah, maka bolehlah pukul mereka. Dan apabila kita nak pukul, kena ikut syariat – tidak boleh lebih dari tiga kali dan pada tempat tertentu sahaja. Pukulan itu untuk mendidik sahaja. Dan pukulan itu adalah pukulan yang ringan. Bukan untuk menyakitkan wanita itu. Ramai yang salah guna ayat ini. Mereka yang bodoh menggunakan ayat ini untuk mengatakan mereka boleh tampar isteri mereka, tendang dan sebagainya. Itulah bahaya kalau orang bodoh yang baca Quran kerana mereka tidak faham.

Sebenarnya, kalau kita tidak pernah angkat tangan kepada isteri kita, sekali kita tampar lengan dia dengan dua jari, itu sepatutnya sudah memberi kesan kepada isteri itu. Sepatutnya dia sudah terasa yang suaminya itu bukan main-main, ini sudah sampai peringkat ketiga dah ni. Kalau peringkat seterusnya adalah cerai, jadi jangan nak mengada-ngada lagi.

Dan ulama meletakkan syarat dalam memukul itu pula:

1. Tidak menyebabkan luka dan patah (atau kerosakan organ dalaman)
2. Tidak berterusan dan bertalu-talu
3. Tidak pukul pada satu tempat sahaja berulang-ulang
4. Tidak pukul bahagian mukanya dan kemaluannya
5. Tidak menggunakan benda keras, seperti rotan atau kayu atau besi atau kuali.

Dilarang memukul isteri jika tidak menepati syarat-syarat ini, sebagaimana hadis:

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Adakah patut seseorang kamu memukul isterinya seperti memukul seorang hamba, kemudian dia meniduri isterinya di waktu malamnya?” [Riwayat Bukhari dan Muslim]

Ini adalah cara yang terakhir untuk menasihati mereka dan perlulah diikuti selepas diberi nasihat dan ditinggalkan tempat tidur dari mereka. Semua proses ini mengambil masa yang lama, bukan buat dalam sehari sahaja.

 

فَإِنْ أَطَعْنَكُمْ فَلَا تَبْغُوا عَلَيْهِنَّ سَبِيلًا

Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. 

Sekiranya telah taat, jangan sengaja cari alasan untuk menyusahkan dia. Kena layan dan gauli mereka dengan baik.

Begitu juga, kalau mereka itu seorang isteri yang taat kepada suami, suami tidak ada hak untuk melayan mereka dengan buruk, untuk pukul mereka atau tidak melayan mereka langsung.

 

إِنَّ اللهَ كَانَ عَلِيًّا كَبِيرًا

Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.

Jangan salahguna kuasa yang Allah telah berikan kepada lelaki. Dan ingatlah bahawa kuasa yang paling tinggi adalah Allah. Jangan rasa kuasa lelaki sebagai suami itu tinggi sangat sampai boleh langgar syarak. Kena tahu apa yang boleh buat dan apa yang tak boleh buat. Segala perbuatan kita kena ikut syariat. Tapi kalau tidak belajar, bagaimana nak tahu mana yang boleh?


 

Ayat 35: Ini adalah Hukum ke 15: Mendamaikan suami isteri perlu ikut tertib mahkamah. Dalam ayat sebelumnya, telah diberitahu langkah-langkah yang boleh diambil sekiranya ada masalah dengan isteri. Sepatutnya masalah itu diselesaikan di rumah sahaja, jangan sampai keluar dari rumah, jangan sampai orang luar tahu.

Tapi, kadang-kadang masalah tidak dapat diselesaikan. Kadang-kadang masalah bukan pada isteri, tapi pada suami. Kadang-kadang suami sahaja yang buat tidak nampak apa salahnya. Mentang-mentang dia lelaki, dia nak menang sahaja. Jangan sangka dia sebagai ketua keluarga, dia tidak ada masalah. Kadang-kadang si isteri marah itu kerana perangai suami atau perbuatan suami yang salah dan dia tidak setuju.

Oleh itu, sekiranya pertengkaran itu berlanjutan, walaupun suami tak lepaskan (cerai) tapi kita boleh agak yang sudah lama keluarga itu tidak harmoni. Tambahan pula kalau ada anak-anak, tentunya mereka yang akan merasa kesan dari pertengkaran ibu dan bapa mereka. Mereka pun sudah tidak tahu nak duduk sebelah siapa. Maka, dalam syariat ada diajar untuk lantik pendamai. Ini boleh dilakukan kerana mereka sesama sendiri tidak dapat nak selesai. Suami kena lantik wakil yang sesuai dan isteri pun kena lantik wakil yang sesuai. Luahkan perasaan tentang apa yang tak kena. Kadang-kadang nak cakap terus kepada suami atau kepada isteri tak sampai, tapi kalau dengan orang lain, boleh diberitahu.

Kadang-kadang, apabila pertelingkahan berlanjutan, keluarga kedua-dua belah pihak pun sudah tahu. Selalunya, mereka yang masuk campur dengan berlebihan. Mulalah hendak menyalahkan ahli keluarga yang sebelah sana. Ini banyak sangat terjadi sampaikan tidaklah perlu kita jelaskan di sini. Kadang-kadang kerana keluargalah yang menyebabkan pasangan itu porak peranda. Jadi, Islam mengajar cara bagaimana menyelesaikan masalah ini.

‎وَإِنْ خِفْتُمْ شِقَاقَ بَيْنِهِمَا فَابْعَثُوا حَكَمًا مِّنْ أَهْلِهِ وَحَكَمًا مِّنْ أَهْلِهَا إِن يُرِيدَا إِصْلَاحًا يُوَفِّقِ اللهُ بَيْنَهُمَا إِنَّ اللهَ كَانَ عَلِيمًا خَبِيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if you fear dissension between the two, send an arbitrator from his people and an arbitrator from her people. If they both desire reconciliation, Allāh will cause it between them. Indeed, Allāh is ever Knowing and Acquainted [with all things].

MALAY

Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah “orang tengah” (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua “orang tengah” itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi Amat mendalam pengetahuanNya.

 

وَإِنْ خِفْتُمْ شِقَاقَ بَيْنِهِمَا

Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua

Orang luar yang rapat dengan mereka tentunya tahu kalau ada perkelahian antara suami isteri itu. Mereka mungkin bimbang ianya akan berlanjutan. Mereka pun boleh agak samada pertelingkahan itu akan berpanjangan atau tidak. Kalau mereka yang prihatin, mereka tidak akan berdiam diri. Mereka akan cari jalan untuk mendamaikan mereka. Beginilah yang sepatutnya dilakukan oleh orang luar. Kita memang tidak masuk campur dalam kehidupan orang lain, tapi kita kena bantu mana yang boleh.

 

فَابْعَثُوا حَكَمًا مِّنْ أَهْلِهِ وَحَكَمًا مِّنْ أَهْلِهَا

maka lantiklah pendamai dari keluarga lelaki dan seorang pendamai dari keluarga perempuan. 

Maka kita sebagai orang luar boleh lantik pendamai untuk mewakili mereka. Wakil itu dilantik untuk bercakap bagi pihak mereka. Suami dan isteri akan beritahu apakah yang tersemat di hati mereka kepada pendamai masing-masing. Kadang-kadang perkara ini kena sampai bawa ke mahkamah. Dan mahkamah yang lantik siapakah pendamai itu. Atau pun boleh dilakukan dalam keluarga sahaja.

Selalunya, suami isteri sayang sama sendiri tapi kadangkala mereka tak pandai nak berurusan atau bercakap. Ini termasuk dalam masalah komunikasi. Jadi pendamai kena pandai. Lantiklah pendamai yang berwibawa dan boleh faham apakah tugas-tugas mereka.

Ulama mengatakan, pendamai itu mestilah dipilih dari kalangan orang yang soleh dari keluarga suami dan keluarga isteri. Lafaz yang digunakan dalam ayat ini juga adalah حَكَمًا – bermaksud seseorang yang ada kebijaksaan. Oleh itu, kenalah pandai pilih. Janganlah pilih yang kaki tuduh atau kaki marah sahaja. Pilihlah yang ada pengetahuan agama sikit.

 

إِن يُرِيدَا إِصْلَاحًا يُوَفِّقِ اللهُ بَيْنَهُمَا

Jika kedua-dua pendamai bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan keduanya berpakat baik.

Jika kedua pendamai itu mahu mendamaikan dua pasangan itu, Allah akan bantu menjadikan pasangan itu berbaik semua. Allah akan buka jalan antara mereka berdua dengan memberi taufik. Dengan syarat suami isteri itu mahu dengar nasihat dari pendamai yang telah dilantik itu.

Allah tahu maksud hati pendamai. Maka pendamai kena ada niat yang betul. Ini penting kerana kadang-kadang orang luar yang bersangkutan kekeluargaan dengan mereka atau yang baik dengan mereka, mungkin tidak mahu mereka berbaik balik. Mungkin ada yang rasa, lebih baik mereka berpisah sahaja. Sebagai contoh, mungkin ada ibubapa lelaki yang rasa anak lelaki mereka lebih sesuai kalau kahwin dengan orang lain. Kadang-kadang memang ahli keluarga pandang sesuatu perkara itu lain dari apa yang dilihat oleh pasangan itu. Tapi walaupun ibubapa nampak perkahwinan itu tidak akan berjaya, hati pasangan itu kita tidak tahu. Mungkin mereka asyik berkelahi sahaja, tapi entah ada rasa sayang lagi antara mereka.

Jadi, tujuan asal kedua pendamai itu adalah untuk menyelamatkan rumahtangga itu. Tapi dari riwayat yang sampai dari Saidina Ali, beliau pernah melantik pendamai yang menyuruh pasangan suami isteri itu untuk memberi kuasa kepada kedua pendamai itu untuk membuat keputusan samada perkahwinan itu patut diteruskan atau tidak. Kerana ada kemungkinan apabila pendamai itu mengetahui kedudukan sebenar masalah yang dihadapi oleh kedua pasangan itu, mungkin mereka nampak tidak ada jalan keluar melainkan perpisahan sahaja. Kedua-kedua pendamai itu kenalah setuju atas satu keputusan.

 

إِنَّ اللهَ كَانَ عَلِيمًا خَبِيرًا

Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi Amat mendalam pengetahuanNya.

Allah Maha Tahu niat masing-masing. Allah tahu samada pendamai yang dilantik itu mahu untuk mendamaikan mereka ataupun hendak memisahkan mereka.

nota: ulama ada juga yang berpendapat bahawa penggunaan pendamai ini bukan sahaja untuk menyelesaikan masalah antara suami dan isteri tetapi boleh digunakan dalam pertelingkahan lain juga. Lebih-lebih lagi kalau pertelingkahan antara ahli keluarga. Seeloknya, pertelingkahan itu diselesaikan dalam ahli keluarga juga, tanpa dibawa ke mahkamah. Allahu a’lam.


 

Ayat 36: Allah sudahi ayat-ayat hukum dengan diberikan ayat tentang tauhid. Keutamaan tujuan utama hidup adalah kenal Allah dan mentauhidkan Allah.

Selepas sebut tentang berbaik antara suami isteri, sekarang disebut tentang berbuat baik dengan orang luar pula.

‎وَاعْبُدُوا اللهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَبِذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَالْجَارِ الْجُنُبِ وَالصَّاحِبِ بِالْجَنبِ وَابْنِ السَّبِيلِ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ إِنَّ اللهَ لَا يُحِبُّ مَن كَانَ مُخْتَالًا فَخُورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Worship Allāh and associate nothing with Him, and to parents do good, and to relatives, orphans, the needy, the near neighbor, the neighbor farther away, the companion at your side,¹ the traveler, and those whom your right hands possess. Indeed, Allāh does not like those who are self-deluding and boastful,

  • i.e., those whose acquaintance you have made. Also interpreted as the wife.

MALAY

Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri;

 

وَاعْبُدُوا اللهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا

Dan hendaklah kamu menghambakan diri kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua;

Allah mulakan ayat ini dengan suruhan kena hambakan diri kepada Allah. Jangan lakukan syirik kepada Allah. Ini adalah kerana syirik adalah dosa yang paling besar sekali dan boleh menyebabkan seseorang itu kekal dalam neraka.

Ayat-ayat sebelum ini banyak mengandungi suruhan dan hukum-hukum tentang bermasyarakat, tentang hubungan dengan keluarga, suami isteri dan sebagainya. Segala hukum-hukum itu hanya akan dapat dijalankan oleh mereka yang beriman dan takut kepada Allah. Kalau dengan Tuhan pun mereka tidak takut, tentu mereka tidak takut nak langgar hukum-hukum yang telah diberikan itu. Maka, kerana itu tauhid diletakkan di awal-awal ayat ini.

Tapi, untuk mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan syirik, kenalah belajar tentang apakah yang dimaksudkan dengan syirik itu. Tidak akan faham syirik kalau tidak tahu tentang maksud tauhid. Ramai orang Islam yang melakukan syirik tapi mereka tidak tahu yang mereka sedang melakukan syirik. Ini adalah kerana mereka tidak tahu.

 

وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا

dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa,

Selepas sebut tentang syirik, Allah terus sebut tentang ibubapa. Ini menunjukkan kepentingan berbuat baik kepada ibubapa. Selalu Allah buat begini dan dari segi balaghah, ini adalah amat penting.

Dan lihatlah bagaimana Allah menggunakan lafaz yang lengkap apabila menyebut tentang berbuat baik kepada ibubapa. Sedangkan kalau kita baca orang-orang yang kita buat baik selepas ini, disebut dengan ringkas sahaja. Ini juga menunjukkan kepentingan dan ketinggian budi berbuat baik dengan ibubapa.

Tentunya kasih sayang yang paling tinggi adalah dari Allah – Allah beri kita kasih sayang dan macam-macam kepada kita. Tapi selepas Allah, siapakah yang paling berjasa dan paling sayang kepada kita? Tentunya ibubapa bukan? Kerana itulah selepas disebut tentang tauhid kepada Allah, terus disebut berbuat baik kepada ibubapa.

Ayat ini memberitahu berbuat baik kepada ibubapa? Apakah maksudnya? Tentu banyak perkara yang perlu kita lakukan dan susah untuk kita senaraikan semuanya. Secara dasarnya, kita hendaklah menggembirakan hati mereka. Kalau perkara itu menggembirakan hati mereka, maka kenalah kita lakukan asalkan tidak melanggar syariat. Walaupun mereka tidak menjalankan tugas mereka sebagai ibubapa dengan baik, kita sebagai anak masih tetap kena berbuat baik kepada mereka. Kalau begitu pun kita kena buat baik kepada mereka, apatah lagi kalau mereka telah menjalankan tugas mereka dengan baik?

 

وَبِذِي الْقُرْبَىٰ

dan kaum kerabat,

Kena berbuat baik dengan ahli keluarga kita. Kena bercakap baik dengan mereka, bertanya khabar tentang mereka dan sebagainya. Kalau ada masalah, kena tolong mereka. Malangnya, kadang-kadang orang kita kalau dengan orang lain, mereka boleh berbuat baik, tapi kalau dengan keluarga sendiri kadang-kadang bergaduh sampai tidak mengaku keluarga pun ada.

 

وَالْيَتَامَىٰ

dan anak-anak yatim,

Selalu anak-anak yatim disebut dalam ayat Quran dan terutama sekali dalam surah ini. Ini adalah kerana mereka perlu dijaga kerana mereka telah kehilangan tempat bergantung, maka Islam menganjurkan kita untuk membantu mereka.

Tapi, kalau kita tidak tahu siapakah anak yatim dari kalangan masyarakat kita, macam mana kita nak bantu mereka? Adakah kita hanya bantu mereka semasa bulan Ramadhan dan semasa Hari Raya sahaja dengan beri mereka makan buka puasa dan belikan baju raya sahaja? Bagaimana dengan hari-hari yang lain? Maka, kerana itu kita kenalah tahu siapakah anak-anak yatim dalam masyarakat kita, barulah boleh nak bantu mereka.

 

وَالْمَسَاكِينِ

dan orang-orang miskin, 

Kadang-kadang kita tidak kenal pun orang miskin dalam masyarakat kita. Ini adalah kerana kita tidak bercampur dengan masyarakat sekeliling. Kita sampai tidak tahu siapakah yang memerlukan pertolongan. Kerana mungkin ada orang miskin yang segan untuk meminta, maka kitalah yang kena tahu siapakah mereka dan apa masalah mereka dan tolong mereka tanpa mereka meminta kepada kita.

 

وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَىٰ

dan jiran tetangga yang dekat,

Lihatlah betapa indahnya Islam. Kepada jiran tetangga pun kita kena berbuat baik. Ini adalah jiran yang duduk betul-betul di sebelah rumah kita.

 

وَالْجَارِ الْجُنُبِ

dan jiran tetangga yang jauh,

Bukan sahaja jiran yang dekat, tapi dengan jiran yang jauh juga kita kena berbuat baik. Ini jiran yang duduk jauh sedikit.

Ibn Abbas mengatakan, وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَىٰ adalah jiran yang juga kaum kerabat kita dan وَالْجَارِ الْجُنُبِ adalah jiran yang bukan kaum kerabat kita. Begitu pentingnya jiran tetangga sampai Nabi pernah bersabda:

مَا زَالَ جِبْرِيْلُ يُوْصِيْنِى بِالجَار حَتَّى ظَنَنْتُ أَنَّهُ سَيُوَرّثَهُ

“Jibril sentiasa mengingatkan kepadaku supaya berbuat baik kepada jiran sehinggalah aku merasakan jiran itu akan layak mewarisi dariku.” Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim

Ada juga pendapat yang mengatakan ‘jiran yang dekat’ adalah jiran yang muslim dan ‘jiran yang jauh’ adalah jiran yang bukan Islam. Kalau begitu, jiran yang bukan Islam pun berhak mendapat layanan yang baik dari kita juga. Janganlah kerana mereka itu kafir, kita tidak layan mereka dengan baik.

Hadith Rasulullah SAW juga ada menyebut bahawa terdapat beberapa kategori jiran di dalam hadith Baginda SAW iaitu:

اَلْجِيْرَانُ ثَلاَثَةٌ جَارٌلَهُ حَقٌ وَاحِدٌ وَجَارٌلَهُ حَقًانِ وَجَارٌلَهُ ثَلَاثَةٌ حُقُوْقِ فَااَلْجَارُلَهُ ثَلَاثَةُ حُقُوقٍ اَلْجَارُ اَلْمُسْلِمُ ذُو اَلْرَّحِمِ فَلَهُ حَقُّ اَلْجَوَارِ وَحَقَّ اَلاءِسْلَامِ وَحَقُّ اَلْرَّحِمِ وَأَمَّا اَلّذِى لَهُ حَقَّانِ فَالْجَارُ اَلْمُسْلِمُ فَلَهُ حَقُّ اَلْجَوَارِ وَحَقُّ اَلاءِسْلَامِ وَأَمَّا الَّذِى لهُ حَقٌ وَاحَدٌ فَالْجَارُ اَلْمُشْرِكُ

Maksudnya: “Jiran itu ada tiga golongan, ada jiran yang hanya mempunyai satu hak dan ada jiran yang mempunyai dua hak dan ada jiran yang mempunyai tiga hak. Jiran yang mempunyai tiga hak itu ialah jiran yang Muslim dan yang mempunyai hubungan kekeluargaan. Maka ia mempunyai hak sebagai jiran, hak sebagai Muslim dan hak sebagai keluarga. Jiran yang mempunyai dua hak ialah jiran yang Muslim. Ia mempunyai hak sebagai seorang Muslim. Jiran yang mempunyai satu hak ialah jiran yang musyrik” Hadith Riwayat : Abu Na’im dan Ibnu ‘Adiy

 

وَالصَّاحِبِ بِالْجَنبِ

Sahabat yang bermusafir bersama.

Atau sahabat sama dalam pekerjaan atau sama-sama belajar dengan kita. Termasuk juga pasangan hidup yang hidup dengan kita. Mereka itu rapat dengan kita kerana mereka sentiasa bersama dengan kita untuk jangka masa yang lama.

Termasuk juga dalam perkara ini adalah mereka yang bermusafir bersama dengan kita. Mungkin untuk musafir yang lama berhari-hari atau sekejap seperti mereka yang duduk dalam bas dan LRT dengan kita. Hendaklah kita bersopan santun kepada mereka dan buat apa yang patut.

Lihatlah bagaimana indahnya Islam menganjurkan berbuat baik dengan orang-orang itu. Bayangkan bagaimana masyarakat kita akan jadi kalau semua buat macam ni. Tidakkah nanti akan aman dan harmoni masyarakat kita?

 

وَابْنِ السَّبِيلِ

dan orang musafir, 

Kena bantu orang musafir yang putus bekal. Disebut musafir yang putus bekal kerana ada musafir yang banyak bekal mereka. Tapi ada yang tidak cukup bekalan atau bekalan mereka hilang atau kena curi. Jadi kena tahu siapakah mereka ini. Kalau kita bercampur gaul dengan masyarakat di sekeliling kita, kita akan tahu siapakah yang musafir kerana kita tidak kenal mereka. Kalau tidak kenal mereka, ada kemungkinan mereka adalah musafir.

 

وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ

dan juga hamba yang kamu miliki.

Lihatlah bagaimana dengan hamba sahaya pun kita disuruh buat baik dengan mereka. Jangan hina mereka, jangan seksa mereka, jangan salah guna mereka. Zaman sekarang memang tidak ada hamba sahaya lagi tapi kita bukankah ada orang gaji? Berbuat baiklah dengan mereka. Jangan suruh mereka buat kerja yang tidak patut-patut, jangan pandang mereka sebagai orang yang kelas bawahan dari kita.

 

إِنَّ اللهَ لَا يُحِبُّ مَن كَانَ مُخْتَالًا فَخُورًا

Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri;

Ingatlah yang Allah tidak suka orang yang sombong lagi bangga diri. Kalau tidak berbaik dengan orang lain, itu tanda yang orang itu sombong sebenarnya. مُخْتَالًا ada kena mengena dengan khayal – dia sahaja yang khayal dia tinggi dari orang lain. Tak benar pun kerana pada Allah sama sahaja. Kadang-kadang kita mendapat kedudukan yang tinggi sedikit dari orang lain pun kerana kita dilahirkan dalam keluarga yang kaya, atau Allah telah bantu kita mendapatkan kelebihan-kelebihan itu. Maknanya, bukan kita hebat pun.

‎فَخُورًا adalah bangga yang terlebih. Dia dah capai sesuatu dan dia rasa sombong. Terlebih bangga. Kerana bangga sikit-sikit itu tidak mengapa. Sebagai contoh, kita bangga dengan anak-anak kita.

Dua sebab inilah yang menyebabkan orang boleh pandang rendah kepada orang lain.

Nabi pernah bersabda:

لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ قَالَ رَجُلٌ إِنَّ الرَّجُلَ يُحِبُّ أَنْ يَكُونَ ثَوْبُهُ حَسَنًا وَنَعْلُهُ حَسَنَةً قَالَ إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ

“Tidak akan masuk surga seseorang yang di dalam hatinya terdapat kesombongan sebesar biji sawi.” Ada seseorang yang bertanya, “Bagaimana dengan seorang yang suka memakai baju dan sandal yang bagus?” Beliau menjawab, “Sesungguhnya Allah itu indah dan menyukai keindahan. Sombong adalah menolak kebenaran dan meremehkan orang lain. (HR. Muslim no. 91)

Sampai setakat ayat ini, Allah telah mengajar kita ‘Amalan Tiga Serangkai’. Ada tiga perkara yang perlu dilakukan oleh manusia untuk menyelamatkan diri dari azab akhirat.

  1. Jangan berbuat zalim (disebut dalam ayat 1 – 35)
  2. Jangan melakukan syirik (disebut dalam ayat 36 ini)
  3. Berbuat baik kepada yang lain (disebut dalam ayat 36 ini juga).

 

Ayat 37: Ayat zajrun mengenai infak. Sambungan sifat orang yang sombong. Dalam ayat sebelum ini, disebut berbuat baik kepada berbagai-bagai jenis golongan. Antara perkara yang perlu dilakukan untuk berbuat baik kepada mereka adalah dengan memberikan bantuan kewangan kepada mereka. Tapi orang-orang yang sombong itu, sudahlah mereka sombong, tapi mereka kedekut pula untuk membantu orang lain.

‎الَّذِينَ يَبْخَلُونَ وَيَأْمُرُونَ النَّاسَ بِالْبُخْلِ وَيَكْتُمُونَ مَا آتَاهُمُ اللهُ مِن فَضْلِهِ وَأَعْتَدْنَا لِلْكَافِرِينَ عَذَابًا مُّهِينًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Who are stingy and enjoin upon [other] people stinginess and conceal what Allāh has given them of His bounty – and We have prepared for the disbelievers a humiliating punishment –

MALAY

Iaitu orang-orang yang bakhil dan menyuruh manusia supaya bakhil serta menyembunyikan apa-apa jua yang Allah berikan kepada mereka dari limpah kurniaNya. Dan (sebenarnya) Kami telah sediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang amat menghina;

 

الَّذِينَ يَبْخَلُونَ

Iaitu orang-orang yang bakhil

Inilah sambungan kepada sifat orang yang sombong dan membanggakan diri. Ini adalah sifat tambahan untuk mereka. Mereka bakhil untuk mengeluarkan infak. Padahal mereka ada harta dan memang mampu untuk infak. Mereka sombong dan bangga diri itu pun sebab mereka ada hartalah.

 

وَيَأْمُرُونَ النَّاسَ بِالْبُخْلِ

dan menyuruh manusia supaya bakhil

Sudahlah dia bakhil, dia galakkan orang lain pun jadi kedekut juga dengan lidah dan perbuatan mereka. Kenapa mereka nak orang lain pun bakhil juga? Sebab kalau orang beri infak, nampaklah mereka sahaja yang tak beri. Kalau semua orang tak beri, tidaklah nampak buruk perangai dia. Jadi dia kena tahan orang lain dari beri. Maka dia beri nasihat kepada orang lain supaya berjimat, kena simpan duit, ekonomi tak berapa bagus sekarang dan macam-macam lagi. Yang sebenarnya, dia yang bakhil.

 

وَيَكْتُمُونَ مَا آتَاهُمُ اللهُ مِن فَضْلِهِ

serta menyembunyikan apa-apa jua yang Allah berikan kepada mereka dari limpah kurniaNya. 
Bila ada orang datang meminta kepadanya, dia sorok harta yang dia ada, tak bagi nampak dia ada banyak harta. Sebab dia takut kalau orang tahu dia ada duit, nanti akan datang meminta lagi. Maka, dia pun buat ceritalah yang dia pun ada masalah sekarang, anak sakit, isteri sakit, rumah nak kena baiki dan macam-macam lagi.

 

وَأَعْتَدْنَا لِلْكَافِرِينَ عَذَابًا مُّهِينًا

Dan Kami telah sediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang amat menghina;

Apakah balasan yang akan disediakan untuk mereka? Azab yang menghinakan mereka. Mereka dikatakan kafir kerana mereka kufur nikmat. Perkataan ‘kufr’ dari segi bahasa bermaksud ‘tutup’. Mereka tutup nikmat yang Allah beri kepada mereka, tak bagi orang lain nampak. Sepatutnya dengan nikmat yang Allah berikan kepada mereka itu, mereka kena infakkan, tapi mereka sorok.

Manusia bukan dikira kedekut dari segi harta sahaja, tapi kalau tidak sampaikan ilmu juga dikira kedekut. Ada ulama mengatakan ayat ini berkenaan orang Yahudi yang menyembunyikan ilmu tentang kedatangan Nabi Muhammad dari masyarakat.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Mutiara al-Qur’an.

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 004: an-Nisa and tagged . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s