Tafsir Surah an-Nisa Ayat 27 – 33 (Dosa besar)

Ayat 27:

وَاللَّهُ يُرِيدُ أَن يَتُوبَ عَلَيْكُمْ وَيُرِيدُ الَّذِينَ يَتَّبِعُونَ الشَّهَوَاتِ أَن تَمِيلُوا مَيْلًا عَظِيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh wants to accept your repentance, but those who follow [their] passions want you to digress [into] a great deviation.

MALAY

Dan Allah hendak (membersihkan kamu dari dosa dengan) menerima taubat kamu, sedang orang-orang (yang fasik) yang menurut keinginan hawa nafsu (yang diharamkan oleh Allah itu) hendak mendorong kamu supaya kamu menyeleweng (dari kebenaran) dengan penyelewengan yang besar bahayanya.

 

وَاللَّهُ يُرِيدُ أَن يَتُوبَ عَلَيْكُمْ

Dan Allah hendak menerima taubat kamu, 

Allah ulang lagi. Dalam jumlah ismiah pula dimana dalam susunan ayat ini, Allah meletakkan NamaNya di hadapan. Ini menunjukkan penekanan – Allah benar-benar hendak menerima taubat kita.

Allah mahu menerima taubat kita, asalkan kita ikut syariatNya yang telah diberikan. Kita telah banyak belajar hukum-hukum syariat yang telah disampaikan dalam surah ini dan surah-surah yang lain.

 

وَيُرِيدُ الَّذِينَ يَتَّبِعُونَ الشَّهَوَاتِ أَن تَمِيلُوا مَيْلًا عَظِيمًا

sedang orang-orang yang menurut keinginan syahwat hendak mendorong kamu supaya kamu menyeleweng dengan penyelewengan yang besar.

Allah mahu menerima taubat kita, tapi mereka yang ikut syahwat, ingin kita berpaling jauh dari syariat. الشَّهَوَاتِ adalah keinginan nafsu yang kuat kalau dibandingkan dengan hawa. Hawa hanyalah keinginan biasa sahaja. Mereka ingin kamu condong jauh dari kebenaran. Mereka tak puas hati kalau kita buat sesuatu yang ikut syariat agama kita. Padahal kita bukan kacau mereka pun. Tapi ada rasa dengki dan tidak puas hati kalau kita nak amal agama. Maka mereka akan kata macam-macam untuk memesongkan kita kepada kesesatan. Sebagai contoh, mereka kata agama Islam ini tindas wanita, wanita tidak boleh kerja, wanita tidak boleh pandu kereta, wanita sepatutnya tidak perlu pakai tudung dan sebagainya. Kita kena berhati-hati dengan diayah mereka. Kita mungkin terselamat, tapi bagaimana dengan keluarga kita? Anak-anak kita sekarang hidup membesar dalam suasana dimana mereka boleh mendapat maklumat yang salah dari macam-macam arah. Kalau kita

Allah nak bezakan keinginan Allah dan keinginan mereka yang ikut syahwat. Kalau tak ikut syariat, maka maknanya akan ikut syahwatlah.

 


 

Ayat 28: Ini adalah kesimpulan.

يُرِيدُ اللَّهُ أَن يُخَفِّفَ عَنكُمْ وَخُلِقَ الْإِنسَانُ ضَعِيفًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And Allāh wants to lighten for you [your difficulties]; and mankind was created weak.

MALAY

Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah.

 

يُرِيدُ اللَّهُ أَن يُخَفِّفَ عَنكُمْ

Allah hendak meringankan beban daripada kamu, 

Allah jadikan undang-undang syariat untuk meringankan kita. Kita mungkin sangka yang undang-undang ini menyusahkan kita, bukan? Tapi sebenarnya Allah nak ringankan beban kita. Ringan beban di dunia dan juga di akhirat. Kalau kita buat sesuatu ikut syariat, hidup kita akan mudah sebenarnya. Kerana hukum syariat yang diwajibkan kepada kita itu adalah sesuai untuk kita sebenarnya. Kalau kita rasa berat, maknanya kita yang ada masalah, bukan hukum itu.

Sebagai contoh, lihat cara perkahwinan kita. Mana yang senang, cara sunnah atau cara adat Melayu yang menyusahkan? Dengan wang belanja yang mahal, kena uruskan kenduri yang besar, hantaran yang berjenis-jenis, pakaian yang melampau, pelamin yang syirik, bungan manggar, adat yang tidak bertepatan dengan syariat dan macam-macam lagi. Ikut cara yang Allah telah jadikanlah yang mudah. Kita pun sepatutnya tidak ada rasa nak kena ikut manusia yang kaya. Sepatutnya kita kena ikut kata Allah sahaja.

 

وَخُلِقَ الْإِنسَانُ ضَعِيفًا

dan manusia itu dijadikan berkeadaan lemah.

Manusia memang dilahirkan dalam keadaan lemah. Manusia tidak mampu mengurus hidup kalau tidak ada syariat dan peraturan hidup. Kerana itu Allah mudahkan kita dengan beri siap-siap apa yang perlu kita ikut. Tak payah pening kepala nak fikir-fikirkan lagi. Kerana akal kita lemah untuk memikirkan mana yang baik dan mana yang buruk.

Dan hukum yang Allah berikan adalah mudah dan boleh diamalkan. Kerana Allah tahu kita lemah dan tidak mampu buat yang lebih berat.

 


 

Ayat 29: Ini adalah hukum ke 14. Sekarang tentang Hukum Pengurusan Harta. Harta ini penting kerana ianya menjadi sumber pendapat manusia dan kalau ada ketidakpuasan hati, akan menyebabkan kekecohan, malah pembunuhan. Maka, Allah mengajar apakah yang perlu dijaga dan dipatuhi di dalam berurusan dengan harta.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ وَلَا تَقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, do not consume one another’s wealth unjustly1 but only [in lawful] business by mutual consent. And do not kill yourselves [or one another]. Indeed, Allāh is to you ever Merciful.

  • i.e., unlawfully or under false pretense.

MALAY

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.

 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah

Perkataan ‘makan’ dalam ayat ini bermaksud ‘ambil’. Dan ia juga termasuk juga makan dan minum. Jangan urus, ambil, guna, makan harta orang lain dengan cara yang salah. Cara yang salah itu boleh jadi macam-macam – curi, tipu, rampas, rasuah, riba, cara peniagaan yang salah, gharar dan sebagainya. Semua itu termasuk dalam cara-cara yang salah, cara ‘bathil’.

Malangnya, ramai yang menipu orang lain dan menggunakan bermacam-macam cara yang salah untuk mendapatkan duit. Sebagai contoh, zaman sekarang, banyak menggunakan kontrak dalam setiap perkara. Kalau kita lihat dalam kontrak, mereka akan menggunakan tulisan kecil dan banyak sangat, sampai orang awam tak tahu apa yang ditulis. Dan mereka pun tidak sempat nak baca atau malas nak baca. Tapi apabila ada masalah dengan urusan sesama mereka, penjual akan mengeluarkan kontrak atau terms of agreement, dan mereka kata: “ini semua sudah ada dalam kontrak, dan encik pun sudah tandatangan, jadi kami tidak boleh buat apa.” Maka, yang si pembeli pun terpaksalah gigit jari dan terima sahaja, kerana kalau ke mahkamah pun mereka akan kalah dan buang masa sahaja.

Banyak lagi cara urusan perniagaan dan harta yang batil yang diajar oleh Nabi Muhammad dalam sunnah. Ianya disebut secara ringkas sahaja dalam ayat ini, diperjelaskan dengan lebih terperinci oleh Nabi Muhammad. Sebab itu penting untuk kita belajar juga hadis.

 

إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ

kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu,

Yang dibenarkan kita berurusan dan mengambil harta orang lain adalah dengan cara perniagaan. Kerana perniagaan melibatkan pertukaran barangan atau pertukaran wang sesama pihak yang terlibat. Termasuk juga dalam perkara ini adalah pemberian hadiah – kerana dalam pemberian hadiah, hanya satu pihak sahaja yang memberi. Pemberian hadiah dibenarkan malah digalakkan dalam Islam.

Dan perniagaan itu mestilah dengan syarat ada aqad persetujuan bersama. Kena dua-dua pihak setuju dan tahu apa yang mereka lakukan. Sama-sama setuju dan sama-sama mendapat kepentingan masing-masing. Ulama mengatakan dalam perniagaan dan pertukaran barangan itu, kena ada lafaz aqad dan lafaz qabul sebagai bukti kedua-dua pihak itu setuju. Begitulah Islam begitu menjaga perkara ini supaya manusia dapat hidup dengan harmoni dan tidak ada penipuan.

Perniagaan adalah bantu membantu. Satu pihak ada wang untuk diberikan dan satu pihak lagi ada barang untuk dijual. Kalau tidak ada syariat yang menetapkan perkara ini, tentu yang akan terjadi adalah rampas merampas. Rampas merampas itu tidak ada seorang pun yang suka dan ia sampai boleh membawa kepada perbunuhan kerana tidak puas hati. Sebab tidak ada yang rela orang ambil harta dia.

Perniagaan itu juga mestilah satu pihak redha dengan pihak yang lain. Kalau ada elemen paksaan, itu juga termasuk perkara yang dilarang. Sebagai contoh, kita paksa seseorang beli barang dari kita, itu adalah paksaan, walaupun kita beri barang kepadanya dan dia pun beri wang kepada kita; atau kalau kita monopoli semua barangan dapur, sampai semua kena beli dengan kita, mahu tak mahu. Itu pun tidak dikira sebagai redha kerana mereka terpaksa beli dengan kita, kalau tidak mereka akan mati kebuluran.

Perniagaan bukanlah satu-satunya cara yang halal untuk mendapatkan harta atau pendapatan. Ada lagi banyak cara-cara lain. Antaranya, dengan mendapat hadiah. Tapi disebut perniagaan dalam ayat ini kerana ianya adalah cara yang selalu digunakan dan ianya adalah cara yang paling baik untuk mendapatkan harta yang banyak.

 

وَلَا تَقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ

dan janganlah kamu bunuh diri kamu.

Apabila perniagaan tidak dijalankan dengan jujur, ekonomi masyarakat akan jadi kacau bilau, kerana ada yang terlebih kaya dan ada yang terlebih miskin. Apabila ketidakpuasan semakin tinggi, kadar jenayah akan meningkat. Ini kerana korupsi akan bermaharajalela. Akhirnya, keadaan akan menjadi semakin teruk dan akhirnya akan terjadi perbunuhan sesama sendiri jikalau benda ini tidak dikawal dengan baik.

Potongan ayat ini juga adalah sebagai satu dalil yang kita tidak boleh bunuh diri kita. Nyawa kita telah diberi oleh Allah dan kita tidak berhak untuk mengambilnya dengan tangan kita sendiri kerana kita tidak layak. Hanya Allah sahaja yang layak mengambil nyawa kita. Ada banyak hadis dari Nabi yang melarang membunuh diri. Ini adalah salah satu darinya:

من قتل نفسه بحديدة فحديدته فى يده يتوجأ بها فى بطنه فى نار جهنمخالدا مخلدا فيها أبدا ومن شرب سما فقتل نفسه فهو يتحساه فى نار جهنم خالدا مخلدافيها أبدا ومن تردى من جبل فقتل نفسه فهو يتردى فى نار جهنم خالدا مخلدا فيها أبدا

[ Barangsiapa bunuh diri dengan menggunakan besi, maka tangannya akan melukai perutnya sendiri dengan besi itu di neraka jahanam dan ia kekal di dalamnya selama-lamanya. Barangsiapa bunuh diri dengan cara minum racun, maka ia akan terus meminumnya di neraka jahanam dan ia kekal di dalamnya selama-lamanya. Dan barangsiapa melompat dari tebing untuk bunuh diri, maka ia akan terus terjatuh di neraka jahanam dan ia kekal di dalamnya selama-lamanya ] [ HR. Muslim ; 313 ]

Oleh itu, kita tidak boleh bunuh dia kita, dan kita tidak boleh bunuh orang lain. Ini jelas dan sekarang kita sudah tahu dalilnya.

Dalam satu ayat ini, ada disebut penjagaan harta dan penjagaan nyawa. Kenapa didahulukan penjagaan harta sebelum penjagaan nyawa, sedangkan tentu nyawa itu lebih penting? Ditakdimkan penjagaan harta kerana salahguna atau penipuan dalam hal harta itu lebih kerap terjadi dari pembunuhan diri atau pembunuhan orang lain.

 

إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا

Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.

Allah amat kasih kepada hambaNya dan sebab itu Dia beri syariat. Syariat itu untuk kebaikan kita supaya perjalanan sosial dan ekonomi manusia jadi teratur, semua puas hati dan tidak berlaku kacau bilau dan perbunuhan. Kalau Allah tak kasih, Allah cipta kita, tapi biarkan kita apa yang kita hendak buat. Tentulah kalau begitu, akan jadi kacau bilau, bukan?

 


 

Ayat 30:

وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ عُدْوَانًا وَظُلْمًا فَسَوْفَ نُصْلِيهِ نَارًا وَكَانَ ذَٰلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And whoever does that in aggression and injustice – then We will drive him into a Fire. And that, for Allāh, is [always] easy.

MALAY

Dan sesiapa berbuat demikian dengan menceroboh dan aniaya, maka kami akan masukkan dia ke dalam api neraka, dan balasan yang sedemikian itu adalah mudah bagi Allah, (tidak ada sesiapapun yang dapat menghalangnya).

 

وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ عُدْوَانًا وَظُلْمًا فَسَوْفَ نُصْلِيهِ نَارًا

Dan sesiapa berbuat demikian dengan menceroboh dan aniaya, maka kami akan masukkan dia ke dalam api neraka, 

Sesiapa yang yang melanggar hukum Allah, Allah akan masukkan dia ke dalam neraka. Ini adalah ancaman dari Allah. Setelah mengetahui hukum-hukum yang telah disebutkan, maka hendaklah kita berjaga-jaga dan menunaikan tanggungjawab yang dikehendaki oleh hukum itu.

Dalam ayat ini, digunakan perkataan عُدْوَانًا وَظُلْمًا (menceroboh dan zalim), memberi isyarat bahawa yang akan dimasukkan ke dalam neraka adalah mereka yang sengaja melakukan kesalahan itu. Kalau tidak sengaja, tidak termasuk dalam ancaman ayat ini.

 

وَكَانَ ذَٰلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرًا

dan balasan yang sedemikian itu adalah mudah bagi Allah, 

Senang sahaja Allah nak masukkan sesiapa sahaja yang dikehendakiNya ke dalam neraka. Kerana Allah Maha Berkuasa untuk melakukan apa sahaja yang Dia hendak. Dan Dia tidak kisah sama sekali dengan apa yang reaksi dari sesiapa pun.

Nisaa 22-30


 

Ayat 31: Dalam Quran, Allah ada memberitahu kita bahawa ada dua jenis dosa. Ada dosa syirik dan kufur yang tidak akan dimaafkan oleh Allah. Dan ada dosa yang Allah boleh ampunkan kalau Dia mahu. Ayat ini adalah tentang dosa yang Allah boleh ampunkan. Walaupun dosa itu adalah jenis dosa besar sekalipun.

Ini adalah satu konsep tentang dosa dalam Qur’an dan perkara ini disebut tiga kali dalam Qur’an. Kita adalah manusia biasa dan kadang-kadang buat dosa kecil. Kadang-kadang kita tercakap benda yang salah, terambil barang orang, ambil wuduk sekali sekala tidak sempurna kerana nak cepat, solat tak khusyuk dan macam-macam lagi.

Kita kena jaga diri dari dosa dosa besar, jangan langsung buat, kemudian baru jaga diri kita setiap hari dari melakukan dosa-dosa kecil. Bila kita tak tahu nak bezakan mana dosa yang besar dan mana dosa yang kecil, maka kita akan kerugian yang amat sangat. Sebab itu ada orang yang jaga solat, marah orang lain kalau orang lain buat salah, tapi dalam masa yang sama, dia buat benda syirik tanpa disedari. Ini adalah kerana dia adalah seorang yang jahil sekali. Jahil kerana tidak belajar.

إِن تَجْتَنِبُوا كَبَائِرَ مَا تُنْهَوْنَ عَنْهُ نُكَفِّرْ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَنُدْخِلْكُم مُّدْخَلًا كَرِيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

If you avoid the major sins which you are forbidden, We will remove from you your lesser sins and admit you to a noble entrance [into Paradise].

MALAY

Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu, dan kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga).

 

إِن تَجْتَنِبُوا كَبَائِرَ مَا تُنْهَوْنَ عَنْهُ

Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya,

Kita memang dilarang dan ditegah dari melakukan dosa. Dan kita pun tahu yang dosa ada jenis dosa yang ‘kecil’ dan ada dosa yang ‘besar’. Tentunya dosa besar itu dikelaskan sebagai besar kerana ianya adalah kesalahan yang amat berat sekali. Itu yang pertama sekali kita kena tinggalkan. Semua dosa kena tinggalkan, tapi dosa-dosa besar itu jangan sekali-kali buat dan kalau dah buat, kena tinggalkan dengan segera. Dosa yang paling besar adalah dosa syirik. Nabi telah bersabda dalam satu hadis riwayat Bukhari dan Muslim:

عن أبي هريرة رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال‏:‏ “أجتنبوا السبع الموبقات” قالوا‏:‏ يا رسول الله وما هن‏؟‏ قال‏:‏ ‏”‏الشرك بالله، والسحر، وقتل النفس التى حرم الله إلا بالحق، وأكل الربا، وأكل مال اليتيم، والتولي يوم الزحف، وقذف المحصنات الغافلات” ‏(‏‏(‏متفق عليه‏)‏‏)‏‏.‏

Nabi Muhammad s.a.w bersabda, “Jauhilah oleh kalian tujuh dosa yang membinasakan”. Para sahabat bertanya, “Apa itu?”. Beliau menjawab, “Menyekutukan Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan benar, memakan harta anak yatim, memakan riba, melarikan diri dari peperangan, menuduh berzina wanita-wanita mukminah yang suci.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Ini adalah salah satu hadis sahaja yang menyebut tentang dosa-dosa besar itu. Ulama tidak ada kata putus tentang senarai dosa-dosa besar itu. Daripada hadis-hadis yang dibaca, kita boleh tahu bahawa bukanlah tujuh sahaja dosa besar, tapi ada banyak lagi. Ini boleh diketahui apabila kita semakin banyak belajar hadis-hadis Nabi. Antara yang boleh ditambah di sini – tidak taat kepada ibubapa, jadi saksi palsu, bunuh anak kerana takut anak itu makan rezeki kita, berzina dengan isteri jiran, menyeru selain dari Allah, memaki hamun ibubapa, memaki muslim yang lain dan sebagainya.

Ulama sampai menulis kitab untuk menjelaskan perbezaan antara dosa besar dan dosa kecil. Jadi, kita cuma dapat membincangkan dengan ringkas sahaja di sini. Antara ciri-ciri yang dikatakan dosa besar itu:

  • Dosa-dosa yang telah ada hukum hudud untuknya, contohnya zina.
  • Dosa-dosa yang Allah melaknat atasnya
  • Dosa-dosa yang dijanjikan neraka bagi mereka yang melakukannya
  • Dosa yang kesannya sama dengan dosa besar
  • Dosa yang sengaja dengan perasaan sengaja nak lawan hukum. Contohnya, kita sudah tahu yang sesuatu perbuatan itu berdosa, tapi sengaja kita buat sebab nak lawan hukum itu.
  • Dosa kecil yang dilakukan berterusan.

Ada orang yang berkata kepada Ibn Abbas, bahawa dosa besar ada tujuh. Ibn Abbas jawap, bukan 7 tapi dalam tujuh ratus. Ada seorang ulama yang bernama Imam Ibn Hajr al-Makki telah menyenaraikan dosa-dosa besar dan memasukkannya ke dalam kitabnya Al-Zawajir, dan senarainya sampai 467 jenis dosa.

 

نُكَفِّرْ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ

Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu, 

Inilah yang dinamakan ‘Kaffarah’. Kalau kamu boleh menjauhi dosa besar, yang jenis syirik dan kufur, dan juga dosa-dosa besar yang lain, nescaya Allah boleh ampunkan dosa-dosa kecil yang kita lakukan. Dosa-dosa kecil itu memang susah untuk kita elakkan. Kita pun manusia, tidak sunyi dari melakukan dosa. Kadang-kadang kita tak perasan pun kita buat dosa-dosa itu. Ataupun kita tidak tahu pun yang ianya adalah satu dosa dan kita lakukan tanpa kita sedari yang ianya adalah dosa (kecil).

Tapi, kalau kita jaga diri kita dari melakukan dosa-dosa besar, Allah akan ampunkan dosa-dosa yang kecil itu. Dosa-dosa itu mudah diampunkan – ambil wudhuk, dosa gugur, bila solat, dosa gugur, bila puasa, dosa akan gugur juga dan berbagai-bagai amal kebaikan yang kita lakukan akan menggugurkan dosa-dosa itu. Tapi dosa-dosa kecil sahaja. Dan seperti yang telah disebut, kena penuhi syaratnya, iaitu tidak dilakukan dosa-dosa yang besar. Jadi, kalau kita masih lagi melakukan dosa-dosa besar, kalau kita wudhuk, solat, puasa dan sebagainya, dosa-dosa kecil itu tidak akan diampunkan. Jadi, kita hadhir ke akhirat nanti, dengan bawa dosa besar kita dan dosa-dosa kecil kita juga. Ini tidak dapat dibayangkan sama sekali!

Bukanlah dosa-dosa besar tidak boleh diampunkan terus. Tapi dosa besar kena ada tawbah dengan syarat-syarat yang perlu dipenuhi.

 

وَنُدْخِلْكُم مُّدْخَلًا كَرِيمًا

dan kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia

Tempat masuk yang mulia adalah Syurga. Inilah nikmat yang kita harap-harapkan. Itulah tujuan hidup kita. Kita hidup di dunia ini untuk mencari bekal untuk masuk ke syurga dan menikmati segala nikmat yang Allah janji untuk beri kepada kita. Semoga kita dimasukkan ke dalam syurga, ameen.

 


 

Ayat 32: Sekarang kita masuk kepada hukum mengenai harta pusaka. Dalam pembahagian Harta Pusaka, ada yang dapat lebih dan ada yang dapat kurang. Tidak boleh ada irihati kalau dapat kurang. Jangan persoal pembahagian yang Allah yang telah tetapkan.

وَلَا تَتَمَنَّوْا مَا فَضَّلَ اللَّهُ بِهِ بَعْضَكُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا اكْتَسَبُوا وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا اكْتَسَبْنَ وَاسْأَلُوا اللَّهَ مِن فَضْلِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And do not wish for that by which Allāh has made some of you exceed others. For men is a share of what they have earned, and for women is a share of1 what they have earned. And ask Allāh of His bounty. Indeed Allāh is ever, of all things, Knowing.
  • This may refer to shares of inheritance, wages and reward in the Hereafter.

MALAY

Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurniaNya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

 

وَلَا تَتَمَنَّوْا مَا فَضَّلَ اللَّهُ بِهِ بَعْضَكُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ

Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu melebihi sebahagian yang lain

Ini adalah sambungan tentang bahagian dari harta pusaka yang Allah telah tetapkan. Allah yang tetapkan, jadi kita tidak ada hak nak persoal. Berdosa kalau tak puas hati.

Ini juga mengajar kita jangan bandingkan apa yang kita dapat dengan orang lain. Pemberian yang Allah berikan kepada orang tidak sama. Ada yang lebih, ada yang kurang. Kadang-kadang ada yang pandai, tapi tak cantik dan macam-macam lagi yang kita kurang. Kalau kita kurang pada satu bahagian, kita lebih pada bahagian yang lain pula.

Tapi memang manusia ramai yang tidak puas hati. Ini adalah penyakit dalam emosi manusia. Ramai yang selalu banding-bandingkan diri mereka dengan orang lain. Akhirnya tak puas hati. Padahal segala apa yang orang itu ada dan apa yang dia ada, Allah yang beri, bukan? Kalau merungut dan bandingkan kekurangan yang ada pada diri kita, itu maknanya kita tak bersyukur dengan pemberian Allah. Sedangkan Allah selalu ingatkan kita untuk bersyukur kepada Nya.

Tetapi, ini tidaklah melarang kita dari cuba mencapai tahap kebaikan yang ada pada orang lain. Kalau kita nampak seseorang itu pandai dan berilmu, kita boleh cuba untuk jadi macam dia dengan belajar dan berusaha untuk mencapai tahap kepandaian orang itu.

 

لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا اكْتَسَبُوا

orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan,

Lelaki ada bahagian yang mereka boleh ikhtiar sendiri untuk dapat lebih. Kalau nak dapat lebih, kena usaha. Kalau nak pandai, kena belajar lebih; kalau nak dapat rezeki lebih, kena usaha cari pendapatan;

Begitu juga, seorang lelaki boleh melakukan usaha untuk mendapatkan lebih banyak pahala.

 

وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا اكْتَسَبْنَ

dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; 

Perempuan pun boleh ikhtiar juga. Semua ada usaha masing-masing yang boleh dilakukan dalam rangka ikhtiar. Kerana Allah mahu kita ada usaha, tidaklah tunggu sahaja rezeki atau kepandaian datang sendiri. Daripada fikir apa yang kurang pada diri sendiri, lihatlah apa yang kita boleh buat dan jalankan usaha dan ikhtiar itu.

Perempuan janganlah rasa rugi dilahirkan sebagai perempuan pula. Ada yang rasa susah jadi perempuan kerana pada mereka, banyak benda yang mereka tak boleh buat kerana mereka dilahirkan lemah. Mereka tidak dapat pergi ke medan perang dan mereka tidak ada solat berjemaah di masjid, contohnya. Sedangkan mereka ada kelebihan sendiri. Sebagai contoh, lelaki tidak boleh lahirkan anak. Allah beri kepada setiap jantina peluang untuk buat pahala asalkan mereka mahu berusaha.

Maknanya, kesimpulannya manusia boleh usaha untuk dapat rezeki lebih, dapat anugerah yang lebih, tapi dalam hal harta pusaka ini, tidak ada usaha untuk mendapatkan lebih lagi dari bahagian harta pusaka itu kerana telah ditetapkan oleh Allah bahagian masing-masing.

 

وَاسْأَلُوا اللَّهَ مِن فَضْلِهِ

dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurniaNya. 

Kita semua kena minta kepada Allah untuk dapat rezeki yang lebih, kepandaian yang lebih, atau apa-apa sahaja. Itu dalam hal lain, cuma dalam bahagian faraid ini telah ditetapkan.

Tetapi, sebaiknya, kita tidak perlu meminta sesuatu yang khusus. Seeloknya, kita hanya meminta supaya Allah beri keberkatan kepada kita. Kerana kita tidak tahu manakah yang baik untuk diri kita. Sebagai contoh, kalau kita minta supaya Dia beri kita jadi orang yang kaya, kita pun tidak tahu samada kekayaan itu menjadi kebaikan untuk kita atau bahana untuk kita.

 

اللَّهَ كَانَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمًا

Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Allah Maha Tahu siapakah yang layak dapat dalam dunia ini; Allah tahu siapa yang layak dapat harta yang banyak; Allah tahu siapa yang layak dapat pahala yang banyak; Allah tahu siapa yang layak masuk syurga dan siapa yang layak masuk neraka.

Allah dengan segala kebijaksaan dan ilmuNya, tahu apa yang kita perlukan. Kita kena percaya bahawa apa yang Allah telah berikan kepada kita adalah apa yang sesuai untuk kita. Kita tidak patut rasa kurang atau rasa tidak cukup dengan apa yang kita ad.

 


 

Ayat 33:

وَلِكُلٍّ جَعَلْنَا مَوَالِيَ مِمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَالَّذِينَ عَقَدَتْ أَيْمَانُكُمْ فَآتُوهُمْ نَصِيبَهُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ شَهِيدًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And for all, We have made heirs to what is left by parents and relatives. And to those whom your oaths have bound [to you] – give them their share.1 Indeed Allāh is ever, over all things, a Witness.

  • By bequest, as only those relatives mentioned in verses 11 and 12 inherit fixed shares.

MALAY

Dan bagi tiap-tiap (lelaki dan perempuan yang telah mati), kami telah tetapkan orang-orang yang berhak mewarisi peninggalannya iaitu ibu bapa dan kerabat yang dekat. Dan mana-mana orang yang kamu telah membuat ikatan setia dengan mereka (untuk bantu-membantu dalam masa kecemasan dan kesusahan) maka berikanlah kepada mereka bahagiannya. Sesungguhnya Allah sentiasa Menyaksikan tiap-tiap sesuatu.

 

وَلِكُلٍّ جَعَلْنَا مَوَالِيَ مِمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ

Dan untuk semua, Kami telah tetapkan orang-orang yang berhak mewarisi peninggalannya iaitu ibu bapa dan kerabat yang dekat.

Masing-masing manusia telah ditetapkan pewaris-pewaris. Ada bahagian masing-masing dari yang ditinggalkan. Apa sahaja yang ditinggalkan oleh manusia, akan ada yang akan mewarisinya.

 

وَالَّذِينَ عَقَدَتْ أَيْمَانُكُمْ فَآتُوهُمْ نَصِيبَهُمْ

Dan mana-mana orang yang kamu telah membuat ikatan setia dengan mereka maka berikanlah kepada mereka bahagiannya. 

Jika telah berlaku sumpah setia untuk tolong menolong, boleh kalau wasiatkan sebahagian dari harta kita itu. Semasa Zaman Jahiliyah, seseorang itu boleh duduk dalam kabilah yang bukan dia dilahirkan. Kadang-kadang mereka duduk dalam kabilah isteri atau kabilah suami. Sampai adakalanya mereka tukar nama mereka dan ambil nama kabilah suami atau isteri. Ini adalah sistem masyarakat Arab. Apabila mereka masuk ke dalam kabilah yang lain, akan ada sumpah setia untuk duduk dalam kabilah itu dan perjanjian untuk sama-sama duduk dan sama-sama tolong menolong.

Dalam keadaan macam itu, boleh beri kepada mereka bahagian dari harta sebagai bantuan dan pertolongan. Tapi bukan dari bahagian faraid. Pusaka kita tidak boleh sampai kepada mereka walaupun kita duduk dalam kabilah mereka.

 

إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ شَهِيدًا

Sesungguhnya Allah sentiasa Menyaksikan tiap-tiap sesuatu.

Allah sentiasa melihat apa yang kita lakukan. Dan Dia akan membalas segala kesalahan kita. Maknanya, kalau kita mewariskan harta kita kepada mereka yang tidak patut mendapatnya, Allah melihat apa yang kita lakukan.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


 

Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 004: an-Nisa and tagged , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s