Tafsir Surah an-Nisa Ayat 20 – 23 (Hukum Nikah Kahwin)

Ayat 20: Ini adalah hukum ke 10. Ianya berkenaan hukum cerai.

وَإِنْ أَرَدتُّمُ اسْتِبْدَالَ زَوْجٍ مَّكَانَ زَوْجٍ وَآتَيْتُمْ إِحْدَاهُنَّ قِنطَارًا فَلَا تَأْخُذُوا مِنْهُ شَيْئًا أَتَأْخُذُونَهُ بُهْتَانًا وَإِثْمًا مُّبِينًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But if you want to replace one wife with another and you have given one of them a great amount [in gifts], do not take [back] from it anything. Would you take it in injustice and manifest sin?

MALAY

Dan jika kamu hendak mengambil isteri (baharu) menggantikan isteri (lama yang kamu ceraikan) sedang kamu telahpun memberikan kepada seseorang di antaranya (isteri yang diceraikan itu) harta yang banyak, maka janganlah kamu mengambil sedikitpun dari harta itu. Patutkah kamu mengambilnya dengan cara yang tidak benar dan (yang menyebabkan) dosa yang nyata?

 

وَإِنْ أَرَدتُّمُ اسْتِبْدَالَ زَوْجٍ مَّكَانَ زَوْجٍ

Dan jika kamu hendak mengambil isteri menggantikan tempat isteri

Ini pula kalau seorang suami hendak mengganti isteri baru di tempat isteri lama. Dalam bahasa mudahnya, hendak ganti isteri. Ini memberikan hukum bahawa boleh kalau hendak menceraikan isteri.

 

وَآتَيْتُمْ إِحْدَاهُنَّ قِنطَارًا

sedang kamu telahpun memberikan kepada seseorang di antaranya (isteri yang diceraikan itu) harta yang banyak, 

Ada kemungkinan seorang suami itu telah memberi harta yang banyak kepada isteri yang hendak diceraikan itu. Iaitu harta itu diberikan sebagai mahr kepada wanita itu. Memanglah kalau sedang bercinta, sedang sayang, dan hendak pula kahwin dengan wanita itu, tentu sanggup beri macam-macam.

Dalam ayat ini, digunakan lafaz قِنطَارًا. Dari segi bahasa, ia bermaksud selonggok emas. Memberi isyarat harta yang banyak. Ini menjadi dalil bahawa boleh kalau hendak memberi mahr yang mahal kepada bakal isteri. Pernah Saidina Umar melarang umatnya (waktu dia menjadi khalifah) untuk meminta atau memberi mahr yang banyak. Saidina Umar kata, kalau mahr yang banyak itu adalah baik, tentu Nabi Muhammad dah buat begitu dah. Tapi beliau kata, tidak pernah Nabi Muhammad meminta mahr yang banyak untuk mengahwinkan anaknya. Jadi, Saidina Umar telah naik ke atas mimbar dan mengumumkan had mahr setakat 400 dirham atau kurang. Sewaktu beliau turun dari mimbar, seorang wanita telah menegur beliau dengan membacakan ayat ini kepada beliau. Maka, umar pun telah mengubah keputusan beliau. Allahu a’lam.

 

فَلَا تَأْخُذُوا مِنْهُ شَيْئًا

maka janganlah kamu mengambil sedikitpun dari harta itu. 

Allah beri hukum kepada suami supaya jangan ambil balik apa yang telah diberikan. Jangan ambil walau sedikit pun, kerana ada lafaz مِنْهُ شَيْئًا.

Ini diberitahu kerana memang ada yang buat begitu. Masa sayang, masa cinta, semua sanggup diberikan. Tapi apabila sudah hendak diceraikan, mulalah minta balik apa yang telah diberikan dahulu. Mungkin kerana suami pun sudah nak kahwin orang lain, maka belanja kahwin, hadiah isteri baru kena diberikan juga. Tentu susah kalau kena cari harta lain pula. Jadi, cara paling mudah untuk mereka adalah ambil balik dari isteri lama. Tapi Allah beritahu dalam ayat ini yang mereka tidak boleh ambil balik apa yang mereka telah berikan.

 

أَتَأْخُذُونَهُ بُهْتَانًا

Patutkah kamu mengambilnya dengan cara yang tidak benar

Ada yang menggunakan cara yang buruk dengan mengambil harta itu. Mungkin ada yang membuat cerita palsu untuk memburukkan bekas isterinya itu untuk membolehkan dia mengambil balik harta itu. Allah mengutuk mereka yang buat cara begitu. Jangan ambil dan lebih-lebih lagi jangan ambil dengan cara memburukkan bekas isteri itu.

Lafaz بُهْتَانًا juga bermaksud ‘tuduhan palsu’. Iaitu menuduh isterinya itu telah curang dan melakukan zina. Inilah sahaja sebab yang membolehkan seorang suami mengambil hak isterinya. Jadi, kalau dia ambil juga, itu bermakna dia sudah mengatakan yang isterinya telah curang. Dan ini sebenarnya termasuk dalam larangan Allah – Allah melarang membuat tuduhan palsu terhadap wanita yang suci. Perbuatan itu dinamakan qazf.

 

وَإِثْمًا مُّبِينًا

dan dosa yang nyata?

Dan jangan ambil dengan zalim. Kalau ambil dengan cara begitu, samada dengan memburukkan bekas isteri, atau rampas dengan cara zalim, itu adalah dosa yang nyata.

 


 

Ayat 21:

وَكَيْفَ تَأْخُذُونَهُ وَقَدْ أَفْضَىٰ بَعْضُكُمْ إِلَىٰ بَعْضٍ وَأَخَذْنَ مِنكُم مِّيثَاقًا غَلِيظًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And how could you take it while you have gone in unto each other and they have taken from you a solemn covenant?

MALAY

Dan bagaimana kamu tergamak mengambil balik pemberian itu padahal kasih mesra kamu telah terjalin antara satu dengan yang lain, dan mereka pula (isteri-isteri kamu itu) telahpun mengambil perjanjian yang kuat daripada kamu?

 

وَكَيْفَ تَأْخُذُونَهُ وَقَدْ أَفْضَىٰ بَعْضُكُمْ إِلَىٰ بَعْضٍ

Dan bagaimana kamu tergamak mengambil balik pemberian itu padahal kasih mesra kamu telah terjalin antara satu dengan yang lain,

Wahai lelaki, bagaimana kamu sanggup nak ambil pemberian kamu kepada mereka dahulu, sedangkan kamu telah bergaul mesra dengan mereka semasa kamu masih bersuami isteri dahulu. Kita layan mereka lain dengan orang lain. Ada benda yang kita buat dengan isteri itu yang tidak buat dengan orang lain. Kita meluangkan banyak masa dengan mereka. Ada benda yang kita cerita kepada mereka yang kita tidak cerita kepada orang lain. Memang mereka tidak sama macam orang lain, mereka itu sebahagian dari kita, tempat mengadu kita, melepaskan resah kita dan sebagainya. Semua benda itu kita buat kerana kita telah menikah dengan mereka dan pernikahan itu sah dengan pemberian mahr itu. Oleh kerana itu, mahr yang telah diberikan itu dah jadi hak isteri kita.

Ada pendapat yang mengatakan perkataan أَفْضَىٰ bermaksud ‘hubungan kelamin’. Maksudnya, kamu telah mengadakan hubungan kelamin dengan mereka, bagaimana kamu sanggup nak ambil balik mahr yang kamu sudah berikan itu?

 

وَأَخَذْنَ مِنكُم مِّيثَاقًا غَلِيظًا

dan mereka pula (isteri-isteri kamu itu) telahpun mengambil perjanjian yang kuat daripada kamu?

Dan kamu telah ada perjanjian serius dengan isteri kamu itu untuk hidup sama selagi nyawa masih di badan. Itu adalah perjanjian yang kuat. Apabila sudah ada perjanjian itu, dan sudah ada hubungan suami isteri, ibubapa pun tak boleh campur tangan dalam perjalanan pasangan itu. Perjanjian telah termaktub atas suami untuk jaga isteri. Maknanya, lelaki itu sudah mengambil tanggungjawab untuk menjaga wanita itu dari walinya yang asal (selalunya bapa). Dengan perjanjian itu, isteri telah menghalalkan farajnya kepada kamu untuk kamu nikmati. Kalau perjanjian itu perjanjian yang kukuh, adakah kamu berani nak pecah, wahai suami? Sedangkan perjanjian itu telah dijalankan dalam majlis pernikahan yang disaksikan oleh ramai orang?

 

Nisaa 7-21


 

Ayat 22: Ini adalah hukum yang ke 11. Sebelum ini telah disebut tentang perceraian dan tentunya ada menyentuh sedikit tentang perkahwinan kerana telah disebut tentang mahr dan sebagainya. Dalam ayat ini, memberitahu kita bahawa bukan semua wanita boleh dikahwini. Ada wanita yang boleh dikahwini dan ada yang tidak. Oleh kerana lebih ramai yang boleh dikahwini, Allah hanya sebut yang tak boleh dikahwini sahaja. Oleh itu, selain dari yang disebut dalam ayat-ayat ini, boleh dikahwini oleh seorang lelaki.

وَلَا تَنكِحُوا مَا نَكَحَ آبَاؤُكُم مِّنَ النِّسَاءِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَمَقْتًا وَسَاءَ سَبِيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And do not marry those [women] whom your fathers married, except what has already occurred.1 Indeed, it was an immorality and hateful [to Allāh] and was evil as a way.

  • Before Islām. After the ruling was revealed by Allāh, men were required to release those women unlawful to them (e.g., a stepmother, one of two sisters, or any wives over the limit of four). The same obligation applies to one once he has accepted Islām.

MALAY

Dan janganlah kamu berkahwin (dengan perempuan-perempuan) yang telah diperisterikan oleh bapa kamu kecuali apa yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya perbuatan itu adalah satu perkara yang keji, dan dibenci (oleh Allah), serta menjadi seburuk-buruk jalan (yang dilalui dalam perkahwinan).

 

وَلَا تَنكِحُوا مَا نَكَحَ آبَاؤُكُم مِّنَ النِّسَاءِ

Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang telah diperisterikan oleh bapa kamu

Jangan kahwin dengan emak tiri. Asalkan sudah pernah berkahwin dengan ayah kita sahaja, tidak boleh kita kahwin dengan dia, samada kalau ayah kita sudah mati atau ayah kita sudah ceraikan. Samada ayah itu sudah mengadakan hubungan kelamin dengan wanita itu atau tidak.

Kalau ayah kita telah mengadakan hubungan kelamin dengan seorang wanita tapi di luar nikah, pun tidak boleh kita menikah dengan wanita itu lagi.

 

إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ

kecuali apa yang telah berlaku pada masa yang lalu. 

Kecuali apa yang telah dilakukan pada Zaman Jahiliyah dulu. Kalau dah kahwin, biarkan sahaja. Tidak perlu diceraikan pula. Kerana ianya telah berlaku. Waktu itu pun syariat larangan ini tidak ditegakkan lagi.

 

إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَمَقْتًا وَسَاءَ سَبِيلًا

Sesungguhnya perbuatan itu adalah satu perkara yang keji, dan dibenci (oleh Allah), serta menjadi seburuk-buruk jalan

Perbuatan menikahi perempuan yang telah dinikahi oleh ayah sendiri adalah perbuatan yang amat buruk dari segi akal masyarakat. Ianya adalah perbuatan yang dikutuk dan dosa besar. Walaupun baru disebut dalam ayat Qur’an, tapi sememangnya ia adalah amalan yang buruk. Kalau Allah tak sebut pun, ianya sepatutnya dibenci oleh akal yang sihat. Kerana ianya melanggar fitrah manusia.

 


 

Ayat 23: Wanita yang haram kahwin sebab keturunan dan kerana susuan. Wanita-wanita yang disenaraikan ini tidak boleh dikahwini sampai bila-bila.

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ وَخَالَاتُكُمْ وَبَنَاتُ الْأَخِ وَبَنَاتُ الْأُخْتِ وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ وَرَبَائِبُكُمُ اللَّاتِي فِي حُجُورِكُم مِّن نِّسَائِكُمُ اللَّاتِي دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُوا دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ وَحَلَائِلُ أَبْنَائِكُمُ الَّذِينَ مِنْ أَصْلَابِكُمْ وَأَن تَجْمَعُوا بَيْنَ الْأُخْتَيْنِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Prohibited to you [for marriage] are your mothers, your daughters, your sisters, your father’s sisters, your mother’s sisters, your brother’s daughters, your sister’s daughters, your [milk] mothers who nursed you, your sisters through nursing, your wives’ mothers, and your step-daughters under your guardianship [born] of your wives unto whom you have gone in. But if you have not gone in unto them, there is no sin upon you. And [also prohibited are] the wives of your sons who are from your [own] loins, and that you take [in marriage] two sisters simultaneously, except for what has already occurred.1 Indeed, Allāh is ever Forgiving and Merciful.

  • See previous footnote.

MALAY

Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telahpun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya). Dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu. Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

 

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ

Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, 

Emak ke atas – termasuk nenek, moyang.

 

وَبَنَاتُكُمْ

dan anak-anak kamu, 

Anak ke bawah – termasuk cucu, cicit.

Termasuk juga dalam larangan ini, anak yang lahir dari hubungan zina kita dengan ibunya. Katakanlah kita telah melakukan seks dengan seorang wanita dan wanita itu telah melahirkan anak perempuan. Kita tidak boleh berkahwin dengan anak perempuan itu kerana anak itu adalah anak kita, bukan?

 

وَأَخَوَاتُكُمْ

dan saudara-saudara kamu, 

Iaitu adik beradik perempuan.

Termasuk dalam larangan ini adalah berkahwin dengan adik beradik tiri, samada sama bapa, lain ibu, atau sama ibu, lain bapa.

 

وَعَمَّاتُكُمْ

dan saudara-saudara bapa kamu,

Emak saudara belah ayah

 

وَخَالَاتُكُمْ

dan saudara-saudara ibu kamu

Emak saudara belah ibu

 

وَبَنَاتُ الْأَخِ

dan anak-anak saudara kamu yang lelaki,

Anak saudara dari adik beradik lelaki

 

وَبَنَاتُ الْأُخْتِ

dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, 

Anak saudara dari adik beradik perempuan

 

وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ

dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, 

Ibu susuan. Syarat menjadi ibu susuan adalah minum susu sampai lima kali kenyang. Dan ada juga pendapat tambahan yang mengatakan anak itu perlulah disusui semasa dalam lingkungan umur dua tahun, mengambil dalil dari ayat 2:223.

 

وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ

dan saudara-saudara susuan kamu, 

Ini dipanggil ‘adik beradik susuan’. Yang sama-sama menyusu dengan ibu yang sama.

Masalah yang timbul adalah kalau tidak tahu menahu tentang adik beradik susuan. Kerana yang menyusu itu tentulah semasa dia kecil. Jadi dia pun tidak tahu siapakah ibu susuan dia, siapakah adik beradik susuan dia. Masalah timbul jikalau sudah berkahwin dan tiba-tiba ada pula orang yang kata, sebenarkan pasangan itu adalah adik beradik susuan. Ulama meletakkan syarat, kena ada dua saksi untuk memastikan perkara ini. Tapi kalau kita hendak berjaga-jaga, kalau ada seorang sahaja yang cakap kita sebenarnya adik beradik susuan dengan isteri kita, sebaiknya diambil langkah berjaga-jaga dengan menceraikan isteri kita itu. Allahu a’lam.

 

وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ

dan ibu-ibu isteri kamu,

Ibu Mertua. Jadi haram walaupun tidak mengadakan hubungan kelamin pun dengan isteri kita.

 

وَرَبَائِبُكُمُ اللَّاتِي فِي حُجُورِكُم مِّن نِّسَائِكُمُ اللَّاتِي دَخَلْتُم بِهِنَّ

dan anak-anak tiri yang dalam pemeliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri;

Anak tiri. Ini adalah anak-anak dari isteri yang dalam pemeliharaan kita kerana kita telah berkahwin dengan ibu mereka. Dan kita telah melakukan hubungan kelamin dengan ibu mereka. Iaitu yang kamu telah bersetubuh dengan mereka. Kalau setakat akad sahaja, boleh lagi.

Ayat ini menyebut lafaz فِي حُجُورِكُم (dalam pemeliharaan kamu). Adakah ini bermaksud kalau wanita itu anak isteri kita, tapi bukan kita yang jaga dia, kita boleh berkahwin dengan dia? Jumhur ulama berpendapat tidak boleh berkahwin walaupun bukan dalam pemeliharaan kita, asalnya ianya adalah anak kandung dari isteri kita. Dalilnya, ada satu riwayat dimana baginda ditawarkan berkahwin dengan anak Umm Salamah, isteri baginda dan baginda kata tidak boleh.

Lafaz مِّن نِّسَائِكُمُ adalah lafaz yang umum, kerana tidak disebut yang wanita itu adalah isteri kita. Jadi, kalau ada wanita yang kita tidak bernikah dengannya pun, tapi kita telah mengadakan hubungan seksual dengan dia, mungkin kerana zina atau kerana kita sangka dia isteri kita waktu itu, anak-anak wanita itu sudah tidak halal bagi kita lagi.

 

فَإِن لَّمْ تَكُونُوا دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ

tetapi kalau kamu belum campuri mereka, maka tiadalah salah kamu 

Kalau tidak sentuh lagi emak mereka, masih boleh lagi nak menikah dengan anak bekas isteri itu. Asalkan kenalah ceraikan dulu emaknya.

 

وَحَلَائِلُ أَبْنَائِكُمُ الَّذِينَ مِنْ أَصْلَابِكُمْ

Dan isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu. 

Kita tidak boleh berkahwin dengan bekas menantu. Iaitu bekas isteri anak lelaki kandung kita.

Allah tekankan yang menantu yang tidak boleh dikahwini adalah isteri anak kandung مِنْ أَصْلَابِكُمْ. Kalau bekas isteri anak angkat kita, tidak mengapa. Ini penting kerana Nabi Muhammad telah berkahwin dengan bekas isteri anak angkat baginda – Zayd. Apabila baginda berkahwin dengan Zainab, bekas isteri Zayd, puak Musyrikin Mekah mengutuk baginda kerana kahwin dengan menantu sendiri. Tapi Allah menekankan dalam surah Ahzab bahawa anak angkat bukanlah anak kandung dan tidak sama dengan anak kandung.

 

وَأَن تَجْمَعُوا بَيْنَ الْأُخْتَيْنِ

Dan menghimpunkan dua beradik sekali

Haram himpun adik beradik. Maksudnya tidak boleh kahwin adik beradik. Sudah kahwin kakak dia, nak menikah dengan adik dia pula. Ini tidak boleh – haram. Samada adik beradik dari keturunan atau kerana mereka adik beradik susuan.

Kalau telah pernah berkahwin dengan dua adik beradik semasa belum Islam, dan apabila masuk Islam, kena pilih satu sahaja dan kena ceraikan satu lagi. Ini berdasarkan dari hadis, bagaimana Nabi suruh sahabat yang ada isteri dua beradik untuk menceraikan salah seorang.

Tetapi, kalau kita sudah menceraikan salah seorang dari adik beradik itu, dan waktu iddah pun sudah tamat, maka bolehlah kita berkahwin dengan adik beradiknya. Dalam adat Melayu, ini dipanggil ‘ganti tikar’. Ini dibolehkan. Yang tidak boleh adalah menghimpukan keduanya dalam waktu yang sama.

 

إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ

kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. 

Perbuatan dosa di atas, kalau pernah dilakukan pada zaman Jahiliyah, ianya dimaafkan kerana hukum belum tertegak lagi. Cuma jangan diteruskan lagi. Jangan buat lagi dan kalau kita ada perkahwinan yang termasuk dalam senarai yang diatas, perkahwinan itu hendaklah ditamatkan.

 

إِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا

Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Allah maha pengampun. Segala kesalahan yang dilakukan sebelum Islam dimaafkan.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


 

Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 004: an-Nisa and tagged , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s