Tafsir Surah an-Nisa Ayat 15 – 19 (Layanan kepada wanita)

Ayat 15: Ada 14 hukum semuanya di bahagian awal surah an-Nisa ini. Ayat ini adalah hukum kelapan. Ianya berkenaan perempuan berzina. Memang surah an-Nisa ini banyak menyebut tentang menjaga hak-hak wanita. Tetapi jikalau tsabit mereka telah melakukan kesalahan, maka memang mereka boleh dihukum. Hukum ini dipakai sebelum hukum hudud diturunkan. Hukum ini telah dimansukhkan.

وَاللَّاتِي يَأْتِينَ الْفَاحِشَةَ مِن نِّسَائِكُمْ فَاسْتَشْهِدُوا عَلَيْهِنَّ أَرْبَعَةً مِّنكُمْ فَإِن شَهِدُوا فَأَمْسِكُوهُنَّ فِي الْبُيُوتِ حَتَّىٰ يَتَوَفَّاهُنَّ الْمَوْتُ أَوْ يَجْعَلَ اللَّهُ لَهُنَّ سَبِيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those who commit immorality [i.e., unlawful sexual intercourse] of your women – bring against them four [witnesses] from among you. And if they testify,1 confine them [i.e., the guilty women] to houses until death takes them or Allāh ordains for them [another] way.2

  • The witnesses must swear to actually having seen the act taking place.
  • The “other way” (i.e., penalty) was later revealed in 24:2, canceling the ruling in this verse.

MALAY

Dan sesiapa yang melakukan perbuatan keji (zina) di antara perempuan-perempuan kamu, maka carilah empat orang lelaki di antara kamu yang menjadi saksi terhadap perbuatan mereka. Kemudian kalau keterangan-keterangan saksi itu mengesahkan perbuatan tersebut, maka kurunglah mereka (perempuan yang berzina itu) dalam rumah hingga mereka sampai ajal matinya, atau hingga Allah mengadakan untuk mereka jalan keluar (dari hukuman itu).

 

وَاللَّاتِي يَأْتِينَ الْفَاحِشَةَ مِن نِّسَائِكُمْ

Dan sesiapa yang melakukan perbuatan keji (zina) di antara perempuan-perempuan kamu, 

Ayat ini berkenaan wanita yang telah berkahwin dan melakukan zina. الْفَاحِشَةَ dalam ayat ini bermaksud ‘zina’, walaupun tak disebut dengan jelas.

 

فَاسْتَشْهِدُوا عَلَيْهِنَّ أَرْبَعَةً مِّنكُمْ

maka carilah empat orang lelaki di antara kamu yang menjadi saksi terhadap perbuatan mereka.

Untuk menghukum mereka, kena cari empat orang saksi dulu. Dan saksi-saksi itu kena yang cukup syarat. Mestilah saksi itu orang Islam dan sudah akil baligh. Dan saksi-saksi itu mestilah lelaki sahaja dan tidak boleh wanita. Memang susah untuk mencari sampai empat orang saksi, dengan syarat-syaratnya, sebab sepatutnya benda ni tak jadi di khalayak ramai. Kalau dah jadi, itu menandakan masyarakat itu sudah rosak teruk, sampaikan ada empat orang saksi ada menyaksikan kejadian itu.

Dan kita kena sedar bahawa memang bukan kerja kita nak tangkap orang buat dosa zina. Dan tak elok kalau kita malukan orang. Kerana bukan mereka sahaja yang malu, tapi keluarga mereka juga. Yang penting adalah halang perkara sebegitu jadi dari awal lagi. Oleh kerana itu, kenalah dijaga keluarga kita dari melakukan perkara sebegitu. Kena diberikan pengajaran agama kepada mereka supaya mereka tahu apa yang mereka lakukan itu salah. Kena jaga pergaulan mereka supaya mereka tidak terbawa ke arah itu.

 

فَإِن شَهِدُوا فَأَمْسِكُوهُنَّ فِي الْبُيُوتِ حَتَّىٰ يَتَوَفَّاهُنَّ الْمَوْتُ

Kemudian kalau keterangan-keterangan saksi itu mengesahkan perbuatan tersebut, maka kurunglah mereka (perempuan yang berzina itu) dalam rumah hingga mereka sampai ajal matinya,

Kalau telah sabit penyaksian dari empat orang saksi itu, bolehlah dihukum mereka. Hukuman waktu ayat ini diturunkan adalah wanita-wanita itu kena penjara dalam rumah dan tidak dibenarkan keluar sampai mati.

nota: dari lafaz perkataan يَتَوَفَّاهُنَّ الْمَوْتُ itu menjadi dalil bahawa ‘wafat’ bukan bermaksud ‘maut’. Kerana ada yang kata ayat-ayat yang mengatakan ‘wafat’ bermaksud maut. Tapi kalau dilihat dari ayat ini, kalaulah ‘wafat’ itu bermaksud ‘maut’, tidaklah perlu digunakan kedua-dua perkataan itu dalam ayat yang sama. Apabila Allah menggunakan dua perkataan yang diletakkan bersama, ini menunjukkan ada perbezaan maksud antara keduanya. Kepentingan untuk tahu perbezaan itu untuk kita tidak salah faham. Sebagai contoh, apabila dikatakan Allah me’wafat’kan Nabi Isa, tidaklah bermaksud Allah mematikan Nabi Isa, tapi Allah angkat sahaja baginda ke langit. Allahu a’lam.

 

أَوْ يَجْعَلَ اللَّهُ لَهُنَّ سَبِيلًا

atau hingga Allah mengadakan untuk mereka jalan keluar

Samada mereka dihukum penjara dalam rumah atau Allah berikan jalan keluar untuk mereka dari hukum itu. Maksudnya, Allah boleh jadikan undang-undang lain dalam ayat lain.

Seperti yang kita telah sebut, hukuman yang disebut dalam ayat ini adalah hukuman pada awal Islam. Hukuman untuk lelaki dan wanita yang sudah berkahwin dan melakukan zina adalah rejam sampai mati. Dan hukuman rejam itu tsabit dalam hadis.

 


 

Ayat 16: Ini adalah ayat tentang hukuman untuk lelaki yang berliwat.

وَاللَّذَانِ يَأْتِيَانِهَا مِنكُمْ فَآذُوهُمَا فَإِن تَابَا وَأَصْلَحَا فَأَعْرِضُوا عَنْهُمَا إِنَّ اللَّهَ كَانَ تَوَّابًا رَّحِيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the two1 who commit it [i.e., unlawful sexual intercourse] among you – punish [i.e., dishonor] them both. But if they repent and correct themselves, leave them alone. Indeed, Allāh is ever Accepting of repentance and Merciful.

  • Scholars differ over whether “the two” refers to two of the same sex (i.e., homosexuals) or those of opposite sexes. In either case, later rulings outlined in the sunnah have replaced this one.

MALAY

Dan (mana-mana) dua orang di antara kamu yang melakukan perbuatan yang keji itu, (setelah sabit kesalahannya) maka hendaklah kamu menyakiti keduanya; kemudian jika mereka bertaubat dan memperbaiki keadaan diri mereka (yang buruk itu), maka biarkanlah mereka; kerana sesungguhnya Allah adalah sentiasa Menerima taubat, lagi Maha Luas rahmatNya.

 

وَاللَّذَانِ يَأْتِيَانِهَا مِنكُمْ فَآذُوهُمَا

Dan (mana-mana) dua orang di antara kamu yang melakukan perbuatan yang keji itu, (setelah sabit kesalahannya) maka hendaklah kamu menyakiti keduanya; 

Ini adalah hukuman kepada mereka yang melakukan Homoseksual. Hendaklah diseksa mereka itu. Tidak disebut di sini yang ayat ini tentang homoseksual, tapi dijelaskan dalam hadis. Dari bahasa pun, kalau digunakan lafaz يَأْتِيَانِ, ia merujuk kepada ‘dua orang lelaki’.

‘Menyakiti’ itu boleh menjadi berbagai-bagai maksud. Ada pendapat yang mengatakan mereka itu dimaki, dimalukan dan dipukul dengan capal. Dan ada juga yang mengatakan sampai dibunuh mereka itu. Apabila tidak dijelaskan, maka hukuman itu boleh ditentukan oleh pemerintah. Ada riwayat yang mengatakan pada zaman Saidina Abu Bakr, pasangan homoseksual telah dibakar.

 

فَإِن تَابَا وَأَصْلَحَا فَأَعْرِضُوا عَنْهُمَا

kemudian jika mereka bertaubat dan memperbaiki keadaan diri mereka (yang buruk itu), maka biarkanlah mereka; 

Kalau mereka sudah bertaubat, setelah dikenakan dengan hukuman, maka jangan kutuk mereka atau hina mereka. Kerana mereka yang diterima taubat, mereka itu seperti tidak ada dosa. Kalau mereka tidak ikhlas, itu adalah antara mereka dengan Allah. Kalau mereka tidak mengubah cara hidup mereka, maka kenalah mereka dinasihati lagi.

Kenalah diingati bahawa bertaubat ini hanyalah selepas dikenakan dengan hukuman. Tidaklah boleh seseorang itu kata dia bertaubat untuk mengelak dari dikenakan dengan hukuman.

Segala perbuatan yang keji yang telah disebut sebelum ini adalah kerana manusia yang jahil tentang agama. Mereka tidak mendapat pendidikan dan penerapan agama seperti yang sepatutnya, dan kerana itulah mereka hanyut sampai ke kancah melakukan perbuatan yang hina. Oleh itu, kena ajar anak-anak kita tentang agama. Jangan sampai mereka terumbang-ambing dalam kehidupan mereka. Sekarang amat senang untuk manusia nak buat salah kerana segalanya terbuka sekarang. Kita memang pada zaman yang amat mencabar sekali. Amat senang untuk melakukan kesalahan yang hina, tanpa rasa bersalah. Anak-anak kita ditunjukkan dengan berbagai-bagai perbuatan keji dalam media massa sampaikan mereka sudah rasa tidak salah kalau melakukan perkara-perkara keji itu.

Maka, ramailah yang tersilap pilih kawan dan tersilap pilih jalan. Tapi yang membuatkan masalah itu lebih besar adalah, mereka tidak tahu nak betulkan diri balik dan bertaubat. Mereka akan dicemuh dan ditolak oleh masyarakat yang memandang mereka dengan pandangan yang jijik. Sampaikan mereka rasa lebih baik kalau mereka terus sahaja bergelumang dengan dosa kerana kalau mereka mengadu kepada masyarakat pun, mereka akan ditolak pun.

Maka Allah memberitahu dalam ayat ini bahawa pintu taubat masih lagi terbuka luas. Dan kalau mereka bertaubat, kita pun kenalah melayan mereka dengan baik. Jangan hina, cemuh dan halau mereka. Kita kena terima mereka ke dalam pangkuan kita kembali supaya mereka boleh memperbetulkan mana perbuatan mereka yang salah.

 

إِنَّ اللَّهَ كَانَ تَوَّابًا رَّحِيمًا

kerana sesungguhnya Allah adalah sentiasa Menerima taubat, lagi Maha Luas rahmatNya.

Kerana Allah bersifat menerima taubat dan amat kasih kepada hambaNya. Maka kita pun kenalah ikut sifat Allah ini dengan memaafkan mereka yang telah terlanjur itu.

 


 

Ayat 17: Sebelum ini adalah ayat tentang anjuran bertaubat. Sekarang kita masuk kepada syarat-syarat taubat itu diterima. Kita kena ingat bahawa Allah boleh maafkan segala kesalahan kita. Kalau kita tidak bertaubat dan dosa tidak diampunkan, kita akan dihukum dengan dosa itu di akhirat. Entah berapa lama akan duduk di neraka. Jadi ayat ini adalah targhib (anjuran) kepada taubat dan syarat-syarat yang perlu dipenuhi.

إِنَّمَا التَّوْبَةُ عَلَى اللَّهِ لِلَّذِينَ يَعْمَلُونَ السُّوءَ بِجَهَالَةٍ ثُمَّ يَتُوبُونَ مِن قَرِيبٍ فَأُولَٰئِكَ يَتُوبُ اللَّهُ عَلَيْهِمْ وَكَانَ اللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The repentance accepted by Allāh is only for those who do wrong in ignorance [or carelessness] and then repent soon after. It is those to whom Allāh will turn in forgiveness, and Allāh is ever Knowing and Wise.

MALAY

Sesungguhnya penerimaan taubat itu disanggup oleh Allah hanya bagi orang-orang yang melakukan kejahatan disebabkan (sifat) kejahilan kemudian mereka segera bertaubat, maka (dengan adanya dua sebab itu) mereka diterima Allah taubatnya; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

 

إِنَّمَا التَّوْبَةُ عَلَى اللَّهِ

Sesungguhnya penerimaan taubat itu disanggup oleh Allah

Taubat akan diterima Allah atas belas ihsan Allah. Maknanya, tidak wajib untuk Allah terima taubat kita. Atas kehendak Dia samada Dia nak taubat kita atau tidak. Jadi, kita kenalah berharap Allah menerima taubat kita. Kerana kalau Allah tidak terima taubat kita, maka kita kena membersihkan dosa kita di neraka dan itu adalah sesuatu yang amat malang sekali. Maka, ini juga mengajar kita, janganlah kita senang-senang buat dosa, kerana tidak semestinya Allah terima taubat kita.

 

لِلَّذِينَ يَعْمَلُونَ السُّوءَ بِجَهَالَةٍ

hanya bagi orang-orang yang melakukan kejahatan disebabkan (sifat) kejahilan

Allah boleh terima taubat dari mereka yang buat dosa kecil, atau besar, samada mereka yang buat dosa kerana lupa hukum atau tidak tahu hukum. Ataupun mereka sengaja melakukannya walaupun mereka tahu yang ianya salah. Dia tahu yang apa yang dia buat itu adalah salah, tapi dia buat perangai macam orang jahil. Itu semua termasuk dalam maksud بِجَهَالَةٍ.

Mujahid (ahli tafsir) dan lain-lain berkata : “Setiap orang yang bermaksiat (melakukan dosa) kepada Allah, baik keliru ataupun sengaja, bererti ia jahil (bodoh), hingga ia menghindari dosa tersebut. (Ath-Thabari {VIII/89})

Oleh itu, kalau kita baca sendiri sahaja ayat ini, tanpa dirujuk kepada apa yang disampaikan oleh salafussoleh, maka kita mungkin rasa bahawa yang dimaafkan adalah mereka yang buat salah kerana tidak tahu sahaja, kalau dah tahu sesuatu perkara itu berdosa, tidak diterima ampunnya. Itu adalah pemahaman yang salah. Semua orang yang melakukan dosa, dikira sebagai jahil, tidak kira samada dia tahu atau pun tidak bahawa sesuatu perbuatan itu berdosa. Ini adalah kerana sewaktu dia melakukan dosa itu, dia sedang dalam keadaan jahil. Atau, dia jahil kesan dari perbuatan dosanya itu. Dia rasa macam tidak besar sahaja kesan kepada dosa itu kepada dirinya.

 

ثُمَّ يَتُوبُونَ مِن قَرِيبٍ

kemudian mereka segera bertaubat,

Maksudnya mereka bertaubat sebelum mati. Samada dia lakukan dalam masa terdekat atau tidak. Tidak ditetapkan bilakah mereka melakukan taubat itu. Asalkan syaratnya, dilakukan sebelum mati. Kerana sebelum dia nampak Malaikat Maut yang datang untuk mengambil nyawanya, itu sudah termasuk dalam makna ‘masa yang terdekat’. Ini mafhum dari hadis Nabi.

Nabi sallAllahu `alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

“Sesungguhnya ALLAH Yang Maha Mulia lagi Maha Agung akan menerima taubat seseorang sebelum nyawanya sampai di kerongkong (sebelum sakaratul maut).”

(HR at-Turmudzi dan katanya hadith ini hasan)

Oleh itu, kalau kita baca sendiri ayat ini, tanpa belajar tafsir, mungkin kita sangka yang kita kena terus bertaubat selepas melakukan dosa itu. Takut nanti ada yang kata kalau lambat bertaubat dari dosa, terus tidak diterima. Jangan kita pandai-pandai kata taubat seseorang itu diterima atau tidak. Kerana samada diterima atau tidak, ianya adalah hak Allah.

 

فَأُولَٰئِكَ يَتُوبُ اللَّهُ عَلَيْهِمْ

mereka diterima Allah taubatnya;

Allah boleh terima taubat mereka. Tapi bukan wajib untuk Allah terima taubat itu.

Tanda-tanda taubat seseorang diterima, boleh dilihat bagaimana berubahnya kehidupan dia. Kalau dulu dia jauh dari agama, tapi sudah jadi dekat kepada agama. Apabila seseorang itu sudah datang belajar agama, itu adalah alamat telah diterima taubatnya. Kerana Allah terima taubat mereka, Allah bawa mereka untuk mendalami agama supaya tahu hukum. Inilah seperti yang dikatakan oleh ulama.

 

وَكَانَ اللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا

dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

 


 

Ayat 18: Taubat pun ada tahap. Ini adalah syarat-syarat lagi tentang taubat.

وَلَيْسَتِ التَّوْبَةُ لِلَّذِينَ يَعْمَلُونَ السَّيِّئَاتِ حَتَّىٰ إِذَا حَضَرَ أَحَدَهُمُ الْمَوْتُ قَالَ إِنِّي تُبْتُ الْآنَ وَلَا الَّذِينَ يَمُوتُونَ وَهُمْ كُفَّارٌ أُولَٰئِكَ أَعْتَدْنَا لَهُمْ عَذَابًا أَلِيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But repentance is not [accepted] of those who [continue to] do evil deeds up until, when death comes to one of them, he says, “Indeed, I have repented now,” or of those who die while they are disbelievers. For them We have prepared a painful punishment.

MALAY

Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang-orang yang selalu melakukan kejahatan, hingga apabila salah seorang dari mereka hampir mati, berkatalah ia: “Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini,” (sedang taubatnya itu sudah terlambat), dan (demikian juga halnya) orang-orang yang mati sedang mereka tetap kafir. Orang-orang yang demikian, Kami telah sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

 

وَلَيْسَتِ التَّوْبَةُ لِلَّذِينَ يَعْمَلُونَ السَّيِّئَاتِ

Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang-orang yang selalu melakukan kejahatan, 

Tidak ada taubat kepada orang yang banyak buat dosa. Asyik buat dosa sahaja tanpa bertaubat.

 

حَتَّىٰ إِذَا حَضَرَ أَحَدَهُمُ الْمَوْتُ قَالَ إِنِّي تُبْتُ الْآنَ

hingga apabila salah seorang dari mereka hampir mati, berkatalah ia: “Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini,”

Iaitu seseorang yang terus melakukan dosa tanpa bertaubat, sehingga sampai ajalnya, baru nak bertaubat waktu itu. Masa itu nyawa sudah sampai ke halqum. Ini dijelaskan dalam hadis yang telah diberikan di atas – taubatnya waktu itu tidak diterima. Kerana waktu itu dia dah nampak tempatnya samada syurga atau neraka. Kerana suasana akhirat sudah bermula. Waktu itu, tentu semua orang akan bertaubat. Tapi taubat waktu itu sudah tidak laku.

Begitulah, kalau kita baca kisah Firaun, beliau telah mengaku beriman dengan Tuhan Nabi Musa sewaktu dia sedang tenggelam dalam laut. Tapi, taubat dan imannya waktu itu tidak diterima kerana nyawanya sudah dekat.

Ini sebagai dalil bagi mengatakan yang taubat itu boleh diterima selagi mana tidak sampai ajal lagi. Jadi, kalau ada yang kata taubat itu mesti dilakukan sebaik sahaja melakukan dosa itu, itu adalah pendapat yang salah. Tapi ini bukanlah alasan untuk melengahkan taubat kita. Kerana kita tidak tahu bilakah kita akan mati, bukan? Kalau kita lengahkan, adakah kita yakin yang kita akan dapat bertaubat sebelum kita mati? Bukankah kematian itu datang tanpa memberitahu kita? Bukankah ia boleh datang secara tiba-tiba?

 

وَلَا الَّذِينَ يَمُوتُونَ وَهُمْ كُفَّارٌ

dan orang-orang yang mati sedang mereka tetap kafir. 

Tidak juga diterima taubat orang yang mati dalam syirik kepada Allah. Selepas dia mati, baru hendak bertaubat, tidak akan diterima. Walaupun dia akan mahu beri satu dunia penuh dengan emas, atau sekali ganda dari itu, pun tidak akan diterima. Ruang untuk dia bertaubat sudah tertutup.

 

أُولَٰئِكَ أَعْتَدْنَا لَهُمْ عَذَابًا أَلِيمًا

Orang-orang yang demikian, Kami telah sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Mereka akan disedikan dengan azab seksa di neraka adan mereka akan kekal dalam neraka.

Oleh itu, hendaklah kita melakukan taubat kita sebelum kita mati. Tapi kerana kita tidak tahu bila kita akan mati, maka hendaklah kita terus bertaubat dari masa ke semasa. Amalkan bertaubat dengan Allah selalu.

 


 

Ayat 19: Ini adalah hukum ke 9. Seperti yang kita telah sebut, semasa zaman jahiliyah, perempuan adalah seperti harta. Mereka boleh dipusakai seperti harta juga. Sampaikan ada adik beradik yang berebut janda adik beradik mereka sendiri. Bukan itu sahaja, mereka itu betul-betul seperti harta, sampai boleh jual pula kepada orang lain. Itu tidak patut berlaku, maka Allah beri hukum mengenai perkara ini.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَحِلُّ لَكُمْ أَن تَرِثُوا النِّسَاءَ كَرْهًا وَلَا تَعْضُلُوهُنَّ لِتَذْهَبُوا بِبَعْضِ مَا آتَيْتُمُوهُنَّ إِلَّا أَن يَأْتِينَ بِفَاحِشَةٍ مُّبَيِّنَةٍ وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ فَإِن كَرِهْتُمُوهُنَّ فَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَيَجْعَلَ اللَّهُ فِيهِ خَيْرًا كَثِيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, it is not lawful for you to inherit women by compulsion.1 And do not make difficulties for them in order to take [back] part of what you gave them2 unless they commit a clear immorality [i.e., adultery]. And live with them in kindness. For if you dislike them – perhaps you dislike a thing and Allāh makes therein much good.
  • The deceased man’s heirs have no rights of marriage or otherwise over his widow.
  • At the time of marriage as mahr.

MALAY

Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan, dan janganlah kamu menyakiti mereka (dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian dari apa yang kamu telah berikan kepadanya, kecuali (apabila) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).

 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَحِلُّ لَكُمْ أَن تَرِثُوا النِّسَاءَ كَرْهًا

Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan,

Orang beriman diingatkan dalam ayat ini bahawa tidak halal memperolehi wanita dengan cara pusaka. Wanita ada hak dan mereka tidak boleh dijadikan seperti barang dagangan. Nak kahwini mereka yang telah kehilangan suami memang boleh, tapi kenalah buat dengan cara benar. Tidak boleh paksa mereka melakukan sesuatu yang mereka tidak mahu.

Sebelum itu pada zaman Jahiliyah, wanita boleh diwarisi oleh ahli keluarga simati. Mereka boleh kahwini wanita itu, atau kahwinkan dengan orang lain, atau halang mereka dari kahwin dengan sesiapa pun. Itu adalah perbuatan yang buruk sekali. Sampaikan ada yang kahwini ibu tiri mereka sendiri.

Zaman sekarang memang tidak ada lagi pewarisan macam itu. Tapi ada atau tidak seseorang wanita itu disuruh melakukan perkara yang mereka tidak mahu? Macam dulu, ada ibubapa yang paksa anak mereka kahwin dengan orang yang mereka hendak. Mungkin kerana ibubapa itu berkawan baik dengan keluarga si lelaki dan sebagainya. Atau ada yang hendak berbesan dengan orang kaya, maka mereka paksa anak mereka berkahwin dengan lelaki anak orang kaya itu.

Potongan ayat ini sahaja, kalau difahami akan memberikan banyak kelapangan kepada wanita. Pada zaman Jahiliyah dulu, wanita itu sendiri adalah seperti harta. Kalau dirinya sendiri dianggap seperti harta, apatah lagi tentang harta-harta yang lain? Tentunya mereka dianggap tidak layak untuk memiliki harta langsung. Kalau mereka ada harta pun, harta itu akan dikira sebagai harta suami atau harta suami mereka. Begitulah layanan masyarakat Arab Jahiliyah terhadap wanita. Mereka dilayan dengan buruk sendiri. Dan Islam lah yang membebaskan mereka dari kekangan buruk ini. Amalan sebegini bukan sahaja di dalam masyarakat Arab sahaja tapi di mana-mana tempat di dunia. Di waktu masyarakat dunia memandang rendah kedudukan wanita, Islamlah yang membebaskan mereka. Lalu bagaimana orang boleh kata yang Islam ini menindas wanita?

Dalam ayat ini, perkataan كَرْهًا (secara paksa) digunakan. Adakah ini bermaksud yang kalau wanita itu setuju untuk dimiliki oleh orang lain, itu diterima? Tentu tidak. Allah bukan hanya meletakkan syarat sahaja di sini. Bukanlah maksud Allah, yang tidak boleh adalah kalau dipaksa sahaja, tapi kalau dia rela, boleh pula. Tidak begitu. Allah memberitahu dalam ayat ini, bahawa tidak ada mana-mana wanita yang mahu diperlakukan sedemikian. Kalau mulut dia kata rela pun, tidaklah wanita itu dalam keadaan waras.

Allah juga menggunakan lafaz لَا يَحِلُّ (tidak halal) dalam ayat ini, memberi hukum bahawa perkahwinan yang sebegitu bukan sahaja dilarang, tapi ianya tidak sah, tidak halal. Jadi, ia bukan sahaja berdosa, tapi tidak sah. Ini lebih berat lagi dari hanya dilarang sahaja. Kerana ada perkara yang dilarang, tapi ianya masih sah lagi. Sebagai contoh, suami dilarang untuk menceraikan isterinya sewaktu isterinya dalam haidh, tapi perceraian itu masih sah lagi (mengikut sesetengah pendapat).

Apabila perkahwinan sebegitu tidak sah, bermakna ada kesan kepada keluarga itu. Sebagai contoh, anak yang lahir dari perkahwinan itu tidak boleh dianggap sebagai anak yang sah dan tidak layak untuk menerima harta pusaka.

 

وَلَا تَعْضُلُوهُنَّ لِتَذْهَبُوا بِبَعْضِ مَا آتَيْتُمُوهُنَّ

dan janganlah kamu menyakiti mereka kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian dari apa yang kamu telah berikan kepadanya,

Ada yang menyusahkan wanita itu setelah wanita itu kehilangan suami. Sebagai contoh, mereka halang atau menyusahkan wanita-wanita itu untuk kahwin dengan orang lain. Kenapa mereka buat begitu? Untuk mereka ambil duit yang dijadikan mahr oleh bekas suaminya. Mereka kata, kalau wanita itu nak kahwin dengan orang lain, kena pulangkan duit mahr atau pemberian dari suaminya yang telah meninggal itu.

Atau mereka halang wanita itu dari kahwin dengan orang lain yang luar dari keluarga mereka, kerana kalau wanita itu kahwin lain, dia akan bawa harta itu keluar dari keluarga.

Atau mereka letak syarat kepada mana-mana lelaki yang hendak kahwin dengan janda itu, kalau nak kawin dengan wanita itu, mahr kena beri kepada mereka, bukannya wanita itu. Contoh-contoh ini, atau apa-apa sahaja cara yang boleh difikirkan oleh mereka yang tidak berhati perut, adalah sama sekali. Ianya adalah dosa besar.

Ayat ini juga boleh bermaksud sebagai saranan kepada seorang suami, jangan susahkan isteri mereka kerana nak isteri mereka pulangkan balik mahr yang telah diberikan kepada mereka. Mungkin ada suami yang jahat, yang sudah tidak suka isteri mereka, maka mereka ganggu dan kacau kerana mahu isteri mereka itu pulangkan mahr yang diberikan dulu. Mungkin dulu mereka beri rumah atau kereta sebagai mahr, tapi sekarang nak balik rumah atau kereta itu.

Ada suami yang sudah tidak suka isterinya, maka mereka layan isterinya itu dengan buruk. Dengan tujuan supaya wanita itu meninggalkan dia. Tapi, kalau nak tinggalkan, kena beri balik mahr yang telah diberikan dulu.

Cara-cara mengambil balik mahr yang telah diberikan ini adalah salah dan kalau kita baca dari potongan ayat yang di atas, ianya tidak ‘sah’, tidak ‘halal’. Maka, harta yang diambil balik dari wanita itu bukanlah harta lelaki itu. Ianya adalah harta yang haram.

Perlu ditambah di sini, yang dilarang bukan sahaja mengambil balik mahr yang diberi, tapi dilarang juga buat tak tahu tentang mahr yang telah dijanjikan. Ini adalah kerana, kadang-kadang ada mahr yang dijanjikan tapi tidak diberi lagi. Sang isteri masih lagi layak untuk mendapat mahr itu. Suami masih lagi hutang kepada isterinya itu.

 

إِلَّا أَن يَأْتِينَ بِفَاحِشَةٍ مُّبَيِّنَةٍ

kecuali jika mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. 

Jangan ambil harta mereka atau susahkan, melainkan perempuan itu melakukan dosa besar yang keji. Dan dosa keji itu dilakukan di khalayak ramai. Allah tambah lafaz مُّبَيِّنَةٍ yang bermaksud dosa yang jelas dan orang lain pun tahu. Kerana kalau disebut dosa sahaja, mungkin mereka yang berhati busuk itu boleh menuduh perempuan itu telah melakukan dosa keji walaupun mereka tak buat.

Oleh itu, kalau seorang suami itu dapat membuktikan bahawa isterinya telah melakukan zina secara terbuka, sudah ada empat saksi, maka bolehlah kalau nak ambil balik mahr yang telah diberikan itu.

 

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. 

Hendaklah seorang suami hidup dengan isterinya itu dengan cara yang baik. Bukan sahaja dia kena memenuhi keperluan biasa seperti makan, minum, pakaian dan sebagainya, tapi kena hidup dengan kemesraan. Ini pun penting juga kerana kalau kita layan isteri kita dengan tidak mesra, mereka akan tertekan perasaan. Seorang wanita tentunya memerlukan seorang suami yang dicintainya dan dia pun mencintai suaminya itu. Contohilah Nabi Muhammad dalam perkara ini. Sabda baginda:

خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لِأَهْلِهِ، وَأَنَا خَيْرُكُمْ لِأَهْلِي

“Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap keluarganya. dan aku adalah yang terbaik terhadap keluargaku….” (HR. Tirmidzi)

Tujuan baginda berkata begitu bukan hendak meninggikan diri, tapi baginda hendak mengajar kita bagaimana cara untuk melayan keluarga dan isteri. Apabila Nabi berkata begitu, tahulah kita bahawa kita kena lihat bagaimana cara baginda melayan keluarga baginda. Banyaklah kisah-kisah dari hadis yang sahih bagaimana baginda melayan isteri-isteri baginda dan keluarga baginda. Perkara-perkara ini sepatutnya diketahui oleh kita supaya kita juga boleh ikut perbuatan Nabi dalam bekeluarga juga, bukan hanya dalam amal ibadat.

 

فَإِن كَرِهْتُمُوهُنَّ

Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka

Kalau ada kemungkinan kamu sudah tidak menyukai mereka kerana tabiat mereka. Ini biasalah terjadi kerana kita semua manusia, tidak sempurna. Mula-mula kahwin, amat sayang sekali, semua boleh bertolak ansur, apa sahaja isteri buat, cantik dan molek belaka. Tapi lama-lama, entah apa yang terjadi, suami sudah tidak suka dengan isterinya itu.

 

فَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَيَجْعَلَ اللَّهُ فِيهِ خَيْرًا كَثِيرًا

boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak

Allah nak ingatkan kepada kita, boleh jadi apa yang kita tidak suka itu ada kebaikan untuk kita. Mungkin Allah jadikan wanita itu kebaikan untuk kita dari segi pahala. Dia mungkin degil dalam agama contohnya, tapi kalau kita didik dia sampai jadi baik, kita boleh dapat pahala. Kalau kita sabar dengan dia pun dapat pahala juga. Tengoklah berbagai-bagai kebaikan yang boleh ada, asalkan kita buka mata kita kepada segala kemungkinan itu. Janganlah terus nak ceraikan sahaja isteri itu. Kalau cerai isteri ini dan kahwin dengan isteri lain, tentu ada masalah lain pula. Manusia tidak sempurna, bukan? Atau, kalau kita tidak suka isteri kita itu, entah anak yang lahir dari rahimnya itu memberi banyak kebaikan kepada kita. Macam-macam boleh jadi.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


 

Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 004: an-Nisa and tagged , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s