Tafsir Surah an-Nisa Ayat 12 – 14 (Faraid)

Ayat 12: Dalam ayat sebelum ini, telah diberikan pembahagian harta pusaka kepada keturunan – samada ibubapa, anak-anak atau adik beradik. Sekarang disebutkan tentang pembahagian kepada mereka yang bukan dari keturunan tetapi hubungan kerana perkahwinan.

وَلَكُمْ نِصْفُ مَا تَرَكَ أَزْوَاجُكُمْ إِن لَّمْ يَكُن لَّهُنَّ وَلَدٌ فَإِن كَانَ لَهُنَّ وَلَدٌ فَلَكُمُ الرُّبُعُ مِمَّا تَرَكْنَ مِن بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِينَ بِهَا أَوْ دَيْنٍ وَلَهُنَّ الرُّبُعُ مِمَّا تَرَكْتُمْ إِن لَّمْ يَكُن لَّكُمْ وَلَدٌ فَإِن كَانَ لَكُمْ وَلَدٌ فَلَهُنَّ الثُّمُنُ مِمَّا تَرَكْتُم مِّن بَعْدِ وَصِيَّةٍ تُوصُونَ بِهَا أَوْ دَيْنٍ وَإِن كَانَ رَجُلٌ يُورَثُ كَلَالَةً أَوِ امْرَأَةٌ وَلَهُ أَخٌ أَوْ أُخْتٌ فَلِكُلِّ وَاحِدٍ مِّنْهُمَا السُّدُسُ فَإِن كَانُوا أَكْثَرَ مِن ذَٰلِكَ فَهُمْ شُرَكَاءُ فِي الثُّلُثِ مِن بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصَىٰ بِهَا أَوْ دَيْنٍ غَيْرَ مُضَارٍّ وَصِيَّةً مِّنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَلِيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And for you is half of what your wives leave if they have no child. But if they have a child, for you is one fourth of what they leave, after any bequest they [may have] made or debt. And for them [i.e., the wives] is one fourth if you leave no child. But if you leave a child, then for them is an eighth of what you leave, after any bequest you [may have] made or debt. And if a man or woman leaves neither ascendants nor descendants but has a brother or a sister, then for each one of them is a sixth. But if they are more than two, they share a third,¹ after any bequest which was made or debt, as long as there is no detriment [caused].² [This is] an ordinance from Allāh, and Allāh is Knowing and Forbearing.

  • These shares are divided equally between males and females.
  • This is a condition for any bequest. If it has been violated by the deceased, his bequest is not to be honored, or it may be adjusted by the executor. See 2:182.

MALAY

Dan bagi kamu satu perdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kamu jika mereka tidak mempunyai anak. Tetapi jika mereka mempunyai anak maka kamu beroleh satu perempat dari harta yang mereka tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang mereka wasiatkan dan sesudah dibayarkan hutangnya. Dan bagi mereka (isteri-isteri) pula satu perempat dari harta yang kamu tinggalkan, jika kamu tidak mempunyai anak. Tetapi kalau kamu mempunyai anak maka bahagian mereka (isteri-isteri kamu) ialah satu perlapan dari harta yang kamu tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang kamu wasiatkan, dan sesudah dibayarkan hutang kamu. Dan jika si mati yang diwarisi itu, lelaki atau perempuan, yang tidak meninggalkan anak atau bapa, dan ada meninggalkan seorang saudara lelaki (seibu) atau saudara perempuan (seibu) maka bagi tiap-tiap seorang dari keduanya ialah satu perenam. Kalau pula mereka (saudara-saudara yang seibu itu) lebih dari seorang, maka mereka bersekutu pada satu pertiga (dengan mendapat sama banyak lelaki dengan perempuan), sesudah ditunaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya; wasiat-wasiat yang tersebut hendaknya tidak mendatangkan mudarat (kepada waris-waris). (Tiap-tiap satu hukum itu) ialah ketetapan dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar.

 

وَلَكُمْ نِصْفُ مَا تَرَكَ أَزْوَاجُكُمْ إِن لَّمْ يَكُن لَّهُنَّ وَلَدٌ

Dan bagi kamu satu perdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kamu jika mereka tidak mempunyai anak.

Sekarang kita masuk bahagian Suami isteri:

Bagi suami, akan dapat separuh daripada harta isteri jika isteri tidak ada anak. Harta yang separuh lagi itu akan dibahagikan kepada yang lain mengikut bahagian masing-masing.

 

فَإِن كَانَ لَهُنَّ وَلَدٌ فَلَكُمُ الرُّبُعُ مِمَّا تَرَكْنَ

Tetapi jika mereka mempunyai anak maka kamu beroleh satu perempat dari harta yang mereka tinggalkan, 

Kalau isteri itu ada anak, samada dengan suami itu atau anak dengan suami yang lain sebelumnya, suami akan dapat 1/4 daripada bahagian harta yang ditinggalkan oleh isteri. 3/4 bahagian lagi akan dibahagikan kepada penerima yang lain mengikut bahagian masing-masing. Maknanya, kalau ada anak, bahagian suami akan berkurang separuh (daripada 1/2 jadi 1/4).

 

مِن بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِينَ بِهَا أَوْ دَيْنٍ

sesudah ditunaikan wasiat yang mereka wasiatkan dan sesudah dibayarkan hutangnya. 

Sama juga sebelum ini telah disebut, harta itu dibahagikan selepas dijelaskan wasiat dan hutang jika ada.

 

وَلَهُنَّ الرُّبُعُ مِمَّا تَرَكْتُمْ إِن لَّمْ يَكُن لَّكُمْ وَلَدٌ

Dan bagi mereka (isteri-isteri) pula satu perempat dari harta yang kamu tinggalkan, jika kamu tidak mempunyai anak. 

Untuk isteri, mereka akan dapat 1/4 dari harta suami jika suami tiada anak.

 

فَإِن كَانَ لَكُمْ وَلَدٌ فَلَهُنَّ الثُّمُنُ مِمَّا تَرَكْتُم

Tetapi kalau kamu mempunyai anak maka bahagian mereka (isteri-isteri kamu) ialah satu perlapan dari harta yang kamu tinggalkan,

Jika suami itu ada anak, isteri akan dapat 1/8 dari harta itu. Maknanya, jikalau si suami itu ada anak, bahagian isteri berkurang separuh (dari 1/4 jadi 1/8).

Bagaimana pula kalau suami yang telah meninggal itu ada isteri-isteri yang lain? Bahagian 1/4 atau 1/8 itu akan dikongsi bersama oleh isteri-isteri yang tinggal.

 

مِّن بَعْدِ وَصِيَّةٍ تُوصُونَ بِهَا أَوْ دَيْنٍ

sesudah ditunaikan wasiat yang kamu wasiatkan, dan sesudah dibayarkan hutang kamu. 

Selepas wasiat dan hutang dijelaskan. Termasuk dalam hutang yang dimaksudkan adalah mahr isteri. Jikalau mahr isteri tidak dibayar lagi, ianya perlulah diberikan dahulu.

 

وَإِن كَانَ رَجُلٌ يُورَثُ كَلَالَةً أَوِ امْرَأَةٌ وَلَهُ أَخٌ أَوْ أُخْتٌ فَلِكُلِّ وَاحِدٍ مِّنْهُمَا السُّدُسُ

Dan jika si mati yang diwarisi itu, lelaki atau perempuan, yang tidak meninggalkan anak atau bapa, dan ada meninggalkan seorang saudara lelaki  atau saudara perempuan maka bagi tiap-tiap seorang dari keduanya ialah satu perenam.

Ini pula jika simati tidak ada ibubapa dan anak pun tiada. Mereka yang seperti ini digelar ‘Kalalah’. Cuma ada adik beradik lelaki atau perempuan. Masing-masing akan mendapat 1/6. Ini jikalau ada seorang sahaja – maksudnya, seorang adik beradik lelaki atau seorang adik beradik perempuan. Bahagian kepada adik beradik lelaki dan adik beradik perempuan adalah sama sahaja – 1/6. Lelaki tidak mendapat dua kali ganda dari bahagian wanita dalam kes ini. Kalau ada lebih dari satu, sudah pakai pembahagian yang lain.

 

فَإِن كَانُوا أَكْثَرَ مِن ذَٰلِكَ فَهُمْ شُرَكَاءُ فِي الثُّلُثِ

Kalau pula mereka lebih dari seorang, maka mereka bersekutu pada satu pertiga

Jika adik beradik lebih dari dua, masing-masing akan berkongsi dari bahagian 1/3. Tidak kira lelaki atau perempuan, dibahagikan sama rata antara mereka. Sebagai contoh, kalau ada seorang adik lelaki dan seorang adik perempuan, mereka berdua akan berkongsi 1/3 bahagian. Dan bahagian mereka sama sahaja, lelaki tidak mendapat dua kali ganda dari perempuan.

nota: perlu ditambah dalam perkara ini, adik beradik yang dimaksudkan mestilah dari ibu yang sama. Mereka mungkin dari ayah yang berlainan, tapi kenalah dipastikan yang mereka dari ibu yang sama. Perkara ini tidak disebut dalam ayat ini, tapi ianya adalah ijmak ulama.

 

مِن بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصَىٰ بِهَا أَوْ دَيْنٍ

sesudah ditunaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya; 

Selepas wasiat dan hutang dibayar dahulu.

nota: ada susunan yang perlu dipenuhi sebelum harta itu boleh dibahagikan.

  1. Perlu diambil dari harta itu belanja untuk menguruskan jenazah.
  2. Perlu dilihat samada simati ada berhutang. Ini perlu diselesaikan dahulu. Kalau hutang melebihi harta yang ditinggalkan, maka semuanya kena dibayar kepada hutang, sampaikan tidak ada lagi harta yang boleh dibahagikan.
  3. Selepas hutang ditunaikan, barulah dilihat apakah ada wasiat yang telah dikeluarkan oleh simati. Perlu juga kita ingat, wasiat itu tidak boleh melebihi dari 1/3 dari harta simati. Kalau lebih, ia tidak dikira. Walaupun dalam susunan ayat, ‘wasiat’ disebut sebelum ‘hutang’, tapi dari segi kepentingan, hutang perlu didahulukan. Kerana hutang itu ada penuntutnya. Ulama mengatakan ‘wasiat’ disebut dahulu untuk menekankan kepentingannya. Kerana kadang-kadang, wasiat itu mudah untuk tidak dijalankan, kerana penuntutnya tidak ada. Dan mungkin pemegang amanah harta tidak mahu menjalankan wasiat itu. Maka, Allah tekankan dalam ayat-ayat Quran ini dan diletakkan di awal ayat untuk memberi peringatan kepada mereka yang memegang amanah untuk menjalankan amanah itu.
  4. Selepas dibayar ketiga-tiga bahagian yang disebut sebelum ini, maka barulah harta itu dibahagian mengikut bahagian-bahagian yang telah ditetapkan.

Nota(2): Tidak ada wasiat bagi penerima harta pusaka berdasarkan kepada hadis Nabi:

“Tidak ada wasiat bagi ahli waris” (HR. Bukhari).

 

 

غَيْرَ مُضَارٍّ

tidak mendatangkan mudarat

Tidak membahayakan pewaris lain. Maknanya kena cari dulu waris sampai dapat. Jangan beri harta tanpa dipastikan siapakah waris yang sah. Kerana ada waris berhak yang tidak diketahui, entah-entah kerana duduk jauh atau dari isteri yang lain dan sebagainya.

Jangan mendatangkan mudharat juga kepada penerima harta pusaka. Jangan ada yang datang dan bawa persaksian palsu tentang wasiat dari simati atau mengatakan ada hutang padahal tidak ada – ini adalah dua contoh bagaimana mudharat boleh dilakukan.

Malah, banyak lagi cara-cara yang boleh dilakukan dalam bentuk mudharat. Mungkin simati sebelum dia mati, dia kata dia ada hutang dengan seseorang, supaya hartanya itu tidak jauh kepada penerima harta pusaka; atau dia berikan wasiat yang lebih dari 1/3. Ini adalah contoh-contoh simati sendiri yang melakukan sesuatu yang boleh memberi mudharat. Memang tidak patut kerana dia pun sudah hendak meninggalkan dunia ini, sepatutnya dia tidaklah melakukan perkara-perkara yang sedemikian. Maka, Allah beri ingat dalam hal ini.

 

وَصِيَّةً مِّنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَلِيمٌ

ketetapan dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar.

Ketetapan itu semua datangnya dari Allah, maka kenalah diikuti. Allah maha tahu apa yang patut diberikan kepada siapa dalam bahagian apa.

Allah juga tahu apa yang kita lakukan, kalau-kalau kita melakukan mudharat kepada sesiapa pun. Semuanya tidak akan terlepas dari pengetahuan Allah.

Allah juga kata Dia bersifat حَلِيمٌ. Maksudnya Allah Maha Penyabar dari menghukum seseorang atau memberi azab semasa di dunia ini. Allah sanggup tunggu untuk beri azab itu di akhirat kelak. Jadi, janganlah ada yang rasa selamat kalau dia dapat bahagian harta yang dia tidak patut dapat kerana dia pandai berlakon atau pandai merancang. Memang dia mungkin akan dapat harta yang banyak, dan tidak kena apa-apa pun di dunia ini, tapi dia kenalah ingat yang kalau dia tidak kena balasan di dunia, akan ada azab yang menantinya di akhirat kelak.


 

Ayat 13: Selepas Allah memberi cara-cara pembahagian harta pusaka, maka Allah terus memberi ayat tentang balasan baik kalau ikut dan ancaman yang berat kalau tidak mengikutinya.

تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ وَمَن يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ يُدْخِلْهُ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا وَذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

These are the limits [set by] Allāh, and whoever obeys Allāh and His Messenger will be admitted by Him to gardens [in Paradise] under which rivers flow, abiding eternally therein; and that is the great attainment.

MALAY

Segala hukum yang tersebut adalah batas-batas (Syariat) Allah. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam Syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan itulah kejayaan yang amat besar.

 

تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ

Segala hukum yang tersebut adalah batas-batas (Syariat) Allah.

Banyak sudah ayat-ayat tentang Faraid yang telah disampaikan. Maklumat lebih lanjut telah diberitahu oleh Nabi dalam hadis. Kemudian ianya telah dikaji oleh ulama sampaikan ilmu tentang pembahagian harta pusaka ini telah menjadi satu bidang ilmu yang khusus. Tidaklah dapat diterangkan dengan seksama dalam penulisan kita ini, maka kenalah merujuk kepada mereka yang tahu apabila hendak mendapatkan ketetapan yang tepat.

 

وَمَن يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ يُدْخِلْهُ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا

Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam Syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; 

Kalau boleh ikut peraturan ini, Allah janji boleh masuk syurga. Kerana apabila mengikutinya, bermakna kita mengikuti Allah dan RasulNya.

 

وَذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

dan itulah kejayaan yang amat besar.

Kejayaan yang besar adalah apabila terselamat dari masuk neraka.


 

Ayat 14: Kemudian Allah beri ancaman yang berat kepada mereka yang tidak mengikuti ketetapan pembahagian harta itu.

وَمَن يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَيَتَعَدَّ حُدُودَهُ يُدْخِلْهُ نَارًا خَالِدًا فِيهَا وَلَهُ عَذَابٌ مُّهِينٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And whoever disobeys Allāh and His Messenger and transgresses His limits – He will put him into the Fire to abide eternally therein, and he will have a humiliating punishment.

MALAY

Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan RasulNya, dan melampaui batas-batas SyariatNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekallah dia di dalamnya, dan baginya azab seksa yang amat menghina.

 

وَمَن يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَيَتَعَدَّ حُدُودَهُ يُدْخِلْهُ نَارًا

Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan RasulNya, dan melampaui batas-batas SyariatNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, 

Kalau tidak menepati ketetapan yang Allah dan RasulNya telah berikan, itu dikira derhaka. Hasilnya mereka akan dimasukkan ke dalam api neraka.

 

خَالِدًا فِيهَا وَلَهُ عَذَابٌ مُّهِينٌ

kekallah dia di dalamnya, dan baginya azab seksa yang amat menghina.

Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dan akan kekal di dalamnya! Adakah ini berbaloi dengan apa yang mereka dapat dari hasil mereka menolak ayat-ayat Faraid itu?

Ini adalah perkara yang amat berat sekali. Kena lihat apakah sebab yang tidak ikut itu tidak mahu membahagi mengikut undang-undang Faraid.

  1. Mungkin ada yang tidak percaya pembahagian pusaka sepertimana yang Allah ajar ini adil. Oleh kerana itu mereka nak buat cara mereka sendiri yang mereka sangka lebih adil. Mereka boleh beri macam-macam alasan. Mungkin mereka kata, sekarang dunia sudah moden, keperluan lelaki dan wanita sudah sama, maka kena beri samarata. Ini adalah menolak hukum Allah dan hukumnya adalah jatuh murtad. Memang banyak yang murtad kerana Faraid ini. Ini semua adalah kerana jahil, tidak tahu tentang hukum Allah dan yang terdapat di dalamnya. Amat malang sekali kerana mereka kekal dalam neraka. Padahal, mereka bukan tolak semua ayat pun tapi tentang Faraid sahaja. Apabila sudah dikira murtad, mereka akan kekal di neraka, sama macam orang kafir juga.
  2. Tapi kalau dia tahu tentang hukum Faraid ini, tapi dia tidak jalankan kerana tak mampu buat, mungkin kerana desakan ahli keluarga atau undang-undang negaranya, maka itu adalah dosa besar dan harta tidak berkat.

Maka, ini adalah satu perkara yang nampak kecil sahaja kerana beberapa ayat sahaja, tapi kesannya amat buruk kalau mengengkarinya. Bayangkan, ada satu negeri di negara kita ini yang memang dahulu dan mungkin sampai sekarang terus tolak hukum Faraid ini dan pakai hukum pembahagian harta cara lain – Hukum Perpatih. Manakah Tok Muftinya yang tidak membetulkan perkara ini?

Inilah bahaya kalau jahil agama. Sebab itu dikatakan tidak akan masuk syurga mereka yang jahil agama. Kerana syaitan akan menyesatkan mereka dengan berbagai cara supaya mereka buat perkara yang boleh memurtadkan mereka. Dan cara yang paling mudah adalah dengan hal harta. Kerana manusia memang amat suka kepada harta, sanggup berbunuhan kerana harta. Kalau ada peluang untuk dapat lebih, mereka akan gunakan dan kadang-kadang sampai menolak undang-undang Allah. Kalau dah terbuat, sekarang baru tahu sebab baru belajar tafsir ini, maka bertaubatlah. Tapi kalau tak belajar langsung? Berapa ramai yang tidak belajar langsung, tapi hanya ikut kata-kata orang sahaja? Nauzubillah min zaalik.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 004: an-Nisa and tagged . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s