Tafsir Surah an-Nisa Ayat 1 – 6 (Hak anak yatim)

Pengenalan:

Surah an-Nisa ini banyak mengandungi ayat-ayat Umur Munazimah. Ianya tentang ayat-ayat yang mengajar kita bagaimana menjalani kehidupan kita dengan masyarakat. Ianya adalah ayat-ayat asas tentang masyarakat Islam yang perlu dijaga.

Sepertimana Surah Baqarah berpasangan dengan Surah Ali Imran, Surah an-Nisa ini berpasangan dengan surah al-Maidah.

Ayat akhir surah Fatihah telah menyebut tentang empat golongan yang sesat. Surah Baqarah sebut tentang Yahudi, surah Ali Imran tentang Kristian dan surah Nisa ini tentang Munafikin. Kerana merekalah yang merosakkan masyarakat Islam. Dan golongan musyrikin pula nanti akan disebut dalam surah An’am.

Ayat-ayat Umur Munazimah dalam Surah an-Nisa itu banyaknya tentang wanita dan kanak-kanak. Banyak nanti akan disebut tentang mereka dan penjagaan hak-hak mereka. Ini adalah penting kerana golongan itu selalunya tidak mendapat hak mereka sampai mereka dijadikan barang harta yang boleh ditukar-tukar dan dipusakai. Mereka juga golongan yang paling teruk ditindas. Lebih-lebih lagi anak yatim kerana mereka kecil, lemah tubuh badan dan akal mereka. Oleh itu, banyak ayat-ayat tentang menjaga mereka.

Juga terdapat ayat-ayat Umur Munazimah mengenai rakyat dan pemimpin. Ini penting kerana banyak rakyat yang ditindas oleh pemimpin mereka. Maka dalam surah ini, para pemimpin diajar supaya jangan zalim dan jangan negara mereka ada kezaliman. Maknanya mereka sendiri jangan berlaku zalim dan pastikan rakyatnya sendiri tidak menzalimi sesiapa. Baru umat jadi baik dan boleh dakwah kepada manusia. Kerana kalau keamanan dan keadaan pemerintahan kita sendiri kacau bilau, tentu tidak boleh nak menjalankan kerja dakwah dan jihad menentang negara-negara kufar untuk menyebarkan Islam.

Hebat sekali bagaimana Allah menyusun ajaran-ajaran dalam surah an-Nisa ini. Ianya tidak ada dalam ajaran agama lain. Maka amat malang kalau orang Islam sendiri tidak tahu mengenainya. Dan memang ramai yang tidak tahu menahu bagaimana Islam mempunyai hukum dan undang-undang bermasyarakat yang amat hebat. Kebanyakan umat Islam memang tahu yang agama Islam ini adil, bagus, baik, tapi tidak tahu dengan pasti. Mereka tidak boleh beri contoh kenapa Islam dikatakan adil. Oleh kerana tidak tahu, mereka sampaikan terpaksa ambil ilmu dari tempat lain, dan tidak rujuk Qur’an pun. Maknanya, mereka belajar dengan orang kafir pula. Sampai ada yang kritik Islam dengan dengan kata Islam tidak adil sedangkan mereka tidak belajar pun apakah yang Islam kata.

Sebelum kita memulakan tafsir Surah ini, ada baiknya kita senaraikan dahulu susunan ayat-ayat dalam surah ini:

Ayat 1 – 57: menyebut 14 undang-undang Umur Munazimah tentang hak-hak asas manusia. Kebanyakannya untuk wanita dan anak yatim. Allah selit juga tentang tauhid secara ringkas.

Ayat 58 – 115: ayat-ayat Umur Munazimah juga tapi undang-undang kepada pemerintah. Ada juga dimasukkan tentang tauhid tapi lebih panjang. Ada ayat ‘Amalan Tiga Serangkai‘ untuk tolak bencana. Terdapat juga huraian tambahan hak rakyat dan pemerintah.

Ayat-ayat seterusnya pula adalah tentang Yahudi Nasara dan banyak lagi ayat tentang Munafikin.


 

Ayat 1: Ayat takhwif

يا أَيُّهَا النّاسُ اتَّقوا رَبَّكُمُ الَّذي خَلَقَكُم مِن نَفسٍ واحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنها زَوجَها وَبَثَّ مِنهُما رِجالًا كَثيرًا وَنِساءً ۚ وَاتَّقُوا اللهَ الَّذي تَساءَلونَ بِهِ وَالأَرحامَ ۚ إِنَّ اللهَ كانَ عَلَيكُم رَقيبًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

An-Nisā’: The Women.

O mankind, fear your Lord, who created you from one soul and created from it its mate and dispersed from both of them many men and women. And fear Allāh, through whom¹ you ask one another,² and the wombs.³ Indeed Allāh is ever, over you, an Observer.

  • In whose name.
  • i.e., request favors and demand rights.
  • i.e., fear Allāh in regard to relations of kinship.

MALAY

Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.

 

يا أَيُّهَا النّاسُ

Wahai sekalian manusia! 

Allah bercakap kepada manusia seluruhnya. Maknanya, Quran ini adalah untuk seluruh umat manusia. Kita sebagai orang Islam ini kenalah sampaikan kepada mereka. Kerana ramai yang tidak dilahirkan dalam agama Islam dan mereka perlu ada orang yang menyampaikan dakwah kepada mereka.

 

اتَّقوا رَبَّكُمُ

Bertaqwalah kepada Tuhan kamu

Hendaklah umat manusia bertaqwa kepada Allah dengan menjaga hukum-hukum yang telah diberikanNya. Antaranya, kenalah takut kepada Allah.

Antara yang penting disebut dalam surah ini nanti adalah cara berurusan dengan manusia. Cara kita berusan dengan manusia juga memerlukan taqwa. Allah akan ajar kita bagaimana untuk berususan dengan manusia.

 

الَّذي خَلَقَكُم مِن نَفسٍ واحِدَةٍ

yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), 

Dalil kenapa kita kena bertaqwa dengan Allah adalah kerana Dia yang menjadikan kita dari tidak ada kepada ada.

Allah juga memberitahu kita yang asal kita semua sama sahaja, iaitu dari Nabi Adam.

 

وَخَلَقَ مِنها زَوجَها

dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya

Dan dari Nabi Adam itu, dijadikan ibu kita, Hawa. Oleh itu, asal kita semuanya dari dua pasangan ini.

 

وَبَثَّ مِنهُما رِجالًا كَثيرًا وَنِساءً

dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai.

Dari dua pasangan itu, kita berkembang biak sampailah sekarang. Kita semua asalnya sama. Maknanya semua manusia asal daripada dua ini sahaja, jadi kenapa zalim sesama sendiri? Semua dari anak beranak belaka. Tapi manusia jadi ada rasa benci kepada orang lain kerana bisikan syaitan. Oleh itu, jangan bezakan antara kaum. Asal sahaja kita digelar manusia, asal kita semuanya satu. Oleh itu, jangan tengok ras dan warna kulit. Inilah masalah besar yang dihadapi oleh dunia sekarang. Banyak yang membanding-bandingkan keturunan, warna kulit, asal dari mana dan sebagainya. Manusia selalunya akan mencari apakah perbezaan sesama mereka, tapi tidak mahu melihat apakah persamaan antara mereka.

 

وَاتَّقُوا اللهَ الَّذي تَساءَلونَ بِهِ

Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta

Lagi satu dalil kenapa kita kena bertaqwa kepada Allah. Kerana kepada Allah lah tempat kita meminta segala hajat. Apa-apa hal kita minta kepada Allah samada kecil atau besar. Tidak boleh meminta kepada selain dariNya. Kalau kepada Dia sahaja, kamu meminta, maka taqwalah kepadaNya, ikutlah segala hukum yang diberikanNya.

 

وَالأَرحامَ

dan rahim-rahim

Pendek sahaja potongan ayat ini. Allah merujuk kepada rahim wanita. Memberi isyarat untuk menghormati emak kita. Masa kecil kita memerlukan emak. Sikit-sikit, “emak… emak…” Tapi kenapa kita lupa dia bila dah tua? Kenapa tidak telefon dia? Kenapa kena tunggu dia telefon kita, baru kita nak bercakap? Kenapa kalau kita sibuk, kita tidak luangkan masa untuk bercakap dengan dia?

Dan bukan itu sahaja, kena hormati dan jaga mereka yang berkaitan dengan rahim. Maksud yang pertama adalah, jagalah dari memutuskan silaturrahim yang paling dekat sekali. Iaitu keluarga adik beradik. Kena jaga kerana semuanya berasal dari rahim yang satu. Inilah maksud ‘silaturrahim’. Jangan ada permusuhan sesama adik beradik, ahli keluarga yang terdekat. Ini yang penting kena jaga dahulu. Ini memang ada masalah yang besar dalam masyarakat. Kadang-kadang dengan orang lain boleh berbaik, cakap baik-baik, tolong menolong, tapi dengan adik beradik sendiri sampai tidak bertegur sapa. Ini adalah perbuatan yang teruk sekali dan melawan suruhan Allah dalam ayat ini.

Kita sebagai manusia ada hubungan yang jauh dan ada yang dekat sekali seperti adik beradik dan keluarga terdekat. Kalau boleh jaga hubungan yang dekat, semoga boleh jaga hubungan yang jauh sikit.

Dalam konteks yang lebih besar, kita semuanya berasal dari rahim yang satu – Hawa. Maka, hubungan dengan manusia lain pun kena jaga juga.

 

إِنَّ اللهَ كانَ عَلَيكُم رَقيبًا

sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.

Sesungguhnya Allah Maha Menguasai. Maksud رَقيبًا asalnya adalah ‘belakang leher’. Macam kalau kita pegang belakang leher binatang untuk  mengawalnya. Dan anak-anak kita pun kita buat begitu juga, terutama kalau berjalan di kedai mainan, kita pegang kepala dia supaya dia tidak nampak mainan di kedai itu.

Allah gunakan lafaz رَقيبًا untuk memberi maksud yang Allah kawal kita sentiasa. Dia boleh buat apa sahaja dengan kita. Dia boleh hukum kita kalau kita buat silap. Jangan ingat kita bebas.


 

Ayat 2: Undang-undang yang pertama adalah tentang anak yatim. Anak yatim adalah mereka yang hilang sokongan keluarga mereka, kerana mereka kehilangan ayah atau kehilangan ayah dan ibu. Oleh kerana mereka telah hilang tempat bergantung, maka Islam mengajar kita untuk menjaga mereka yang hilang sokongan.

Ada tiga kezaliman yang dikaitkan dengan anak yatim:

  1. pada harta mereka
  2. masa perkahwinan mereka
  3. pembahagian harta pusaka mereka

Hukum yang pertama ini memberitahu kita supaya jangan makan harta anak yatim. Memakan harta anak yatim adalah dosa yang amat besar. Sepatutnya kena jaga mereka, bukan ambil harta mereka.

وَآتُوا اليَتامىٰ أَموالَهُم ۖ وَلا تَتَبَدَّلُوا الخَبيثَ بِالطَّيِّبِ ۖ وَلا تَأكُلوا أَموالَهُم إِلىٰ أَموالِكُم ۚ إِنَّهُ كانَ حوبًا كَبيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And give to the orphans their properties and do not substitute the defective [of your own] for the good [of theirs]. And do not consume their properties into your own. Indeed, that is ever a great sin.

MALAY

Dan berikanlah kepada anak-anak yatim (yang telah baligh) itu harta mereka, dan janganlah kamu tukar-gantikan yang baik dengan yang buruk; dan janganlah kamu makan harta mereka (dengan menghimpunkannya) dengan harta kamu; kerana sesungguhnya (yang demikian) itu adalah dosa yang besar.

 

وَآتُوا اليَتامىٰ أَموالَهُم

Dan berikanlah kepada anak-anak yatim itu harta mereka,

Bila anak yatim itu sudah cukup matang, dah boleh jaga harta mereka sendiri, kita yang telah diamanahkan untuk menjaga harta mereka (semasa mereka kecil dan tidak mampu untuk menjaga sendiri harta itu), kena serahkan balik harta mereka. Sebelum kita berikan harta mereka semula, kita kena ajar mereka cara jaga dan urus harta dan kalau sudah nampak mereka pandai, kena serahkan balik harta mereka. Ini penting, kerana tentulah ada mereka yang jahat yang tidak menyerahkan balik harta anak yatim yang telah diamanahkan.

 

وَلا تَتَبَدَّلُوا الخَبيثَ بِالطَّيِّبِ

dan janganlah kamu tukar-gantikan yang buruk dengan yang baik;

Jangan sesekali tukar harta itu. Jangan beri harta yang buruk kepada mereka dan ambil yang molek untuk kita. Semua kena berikan kepada mereka. Berikan yang mana hak mereka. Janganlah sebab mendiang ayah budak itu ada kereta yang cantik, kita berikan kereta yang buruk kepada budak itu, dan ambil kereta yang baik. Jangan buat begitu. Masa serahkan harta itu, kena ada saksi supaya dia puas hati. Supaya boleh dijelaskan manakah harta dia sendiri dan supaya dia boleh pastikan yang tidak ada kita ambil.

 

وَلا تَأكُلوا أَموالَهُم إِلىٰ أَموالِكُم

dan janganlah kamu makan harta mereka dengan harta kamu;

‘Makan’ maksudnya ‘ambil’. Maksudnya, jangan campur harta mereka dengan harta kita, dan masa ambil belanja, ambil sekali dengan hak anak yatim itu. Lafaz إِلىٰ dalam ayat ini bermaksud مع (bersama). Sebagai contoh, jangan masukkan wang amanah itu ke dalam akaun kita. Nanti takut kita terambil duit dia pula. Amat bahaya sekali kalau dicampur. Kita kena cuba bezakan manakah harta dia dan mana harta kita supaya tidak bercampur.

 

إِنَّهُ كانَ حوبًا كَبيرًا

kerana sesungguhnya (yang demikian) itu adalah dosa yang besar.

Makan harta anak yatim adalah dosa yang sangat besar.


 

Ayat 3: Undang-undang kedua masih ada kaitan tentang anak yatim. Boleh kahwin dengan anak yatim yang kita jaga. Ada kebaikan juga kalau berkahwin dengan mereka. Iaitu supaya mereka ada wali untuk menjaga mereka. Wali adalah mereka yang bertanggungjawab dan yang menjaga seseorang. Asalnya, wali mereka adalah ayah mereka sendiri. Tapi, kalau mereka telah kehilangan ayah mereka, mereka tidak ada wali yang sah. Kalau kita rasa lebih senang untuk kita menjaga mereka (kalau berkahwin dengan mereka), maka kahwinilah mereka. Kerana kalau mereka sudah jadi isteri kita, maka ada kewajipan kita atas mereka yang kita kena penuhi. Maka, kahwin dengan mereka itu adalah kerana nak jaga mereka dengan lebih baik.

Apabila nak kahwin dengan anak yatim, jangan abaikan hak mereka sebagai isteri pula. Kena beri mahr dan hak-hak lain. Kena beri semua itu, sekalipun wali sebenar mereka tidak ada. Jangan kita ambil kesempatan pula ke atas mereka. Oleh itu, kalau rasa tidak dapat menjaga hak mereka, maka elakkan dari berkahwin dengan anak yatim.

وَإِن خِفتُم أَلّا تُقسِطوا فِي اليَتامىٰ فَانكِحوا ما طابَ لَكُم مِنَ النِّساءِ مَثنىٰ وَثُلاثَ وَرُباعَ ۖ فَإِن خِفتُم أَلّا تَعدِلوا فَواحِدَةً أَو ما مَلَكَت أَيمانُكُم ۚ ذٰلِكَ أَدنىٰ أَلّا تَعولوا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if you fear that you will not deal justly with the orphan girls, then marry those that please you of [other] women, two or three or four. But if you fear that you will not be just, then [marry only] one or those your right hands possess [i.e., slaves]. That is more suitable that you may not incline [to injustice].

MALAY

Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.

 

وَإِن خِفتُم أَلّا تُقسِطوا فِي اليَتامىٰ

Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim

Kita boleh berkahwin dengan perempuan anak yatim. Apabila berkahwin dengan mereka, kita kena jaga mereka sebagai isteri dan kena penuhi syarat-syarat sebagai suami. Tapi ayat ini memberitahu kita, kalau kita bimbang tidak boleh berlaku adil terhadap anak yatim itu, janganlah kahwini mereka. Sebaliknya, peliharalah sahaja sebagai amanah kita.

 

فَانكِحوا ما طابَ لَكُم مِنَ النِّساءِ

maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan

Kalau kamu takut tidak dapat berlaku adil kalau kahwin dengan anak perempuan yang yatim itu, janganlah kahwini mereka. Sebaliknya, kita boleh kahwin mana-mana isteri yang sesuai yang bukan anak yatim. Banyak lagi wanita lain. Pilihlah mana yang berkenan di hati.

 

مَثنىٰ وَثُلاثَ وَرُباعَ

dua, tiga atau empat.

Ayat ini yang banyak orang lelaki hafal. Memang ayat ini memberitahu bahawa seorang lelaki boleh kahwin sampai empat. Dan orang perempuan tidak boleh buat apa, kerana ianya memang ada dalam hukum yang ditetapkan oleh Allah. Kena redha sahaja lah, jangan lawan ayat Quran pula. Dan jangan ditafsir dengan macam-macam alasan yang lain. Memang orang lelaki boleh kahwin sampai empat, tidak syak lagi.

Hanya setakat empat sahaja. Bukannya campur semua. Sebab ada yang 2+3+4+1=10. Jadi, mereka kata boleh kahwin sampai sepuluh! Dan memang ada yang buat begitu pun. Itu adalah ajaran sesat yang tafsir ayat Quran ikut sedap hati sendiri sahaja.

Ayat ini bukanlah ayat suruhan untuk lelaki kahwin sampai empat pula. Ianya hanya membenarkan sahaja seorang lelaki mengamalkan poligami. Dan sebenarnya, Islam telah menghadkan bilangan kepada empat sahaja. Kerana zaman sebelum itu, seorang lelaki tidak ada had untuk kahwin berapa banyak perempuan pun. Cuma Islam sahaja yang hadkan. Tapi tidaklah Islam hadkan sampai satu sahaja, kerana ada keperluan untuk lelaki kahwin lebih dari satu. Cuma Islam tidak benarkan kahwin sampai banyak sangat. Jadi, kalau kita lihat, sebenarnya Islam yang mengurangkan bilangan isteri, bukannya menambah. Jangan kita baca ayat ini sahaja, tapi kenalah lihat kepada sejarah tamadun manusia juga.

Sebagai tambahan, kita boleh lihat bagaimana kebenaran berkahwin lebih dari satu ini dapat menjadi jalan penyelesaian kepada permasalahan masyarakat sekarang. Sepertimana yang kita tahu, ramai kalangan wanita yang tidak berkahwin kerana bilangan wanita sudah lebih ramai dari bilangan lelaki. Kalau seorang lelaki hanya boleh kahwin satu wanita sahaja, tentu dari segi matematik, ramai wanita yang tidak akan ada peluang langsung untuk menikmati nikmat kehidupan berumahtangga. Sedangkan semua wanita tentunya hendak kepada kehidupan berkeluarga, bukan? Kalau kita tolak kebenaran yang Allah berikan dalam ayat ini, bagaimana lagi cara untuk menyelesaikan masalah kekurangan suami untuk menjadi suami kepada wanita? Adakah kita biarkan sahaja wanita-wanita itu tanpa suami? Ini adalah perkara yang kita perlu fikirkan.

 

فَإِن خِفتُم أَلّا تَعدِلوا فَواحِدَةً

Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil, maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja,

Cuma kalau bimbang tidak boleh berlaku adil, tidak dapat menyempurnakan hak yang wajib, maka pilih satu sahaja.

Lihatlah bagaimana agama mengajar berlaku adil kepada seorang lelaki. Sebenarnya, kalau kita lihat, Islam menyuruh kita kahwin dengan seorang sahaja. Kerana memang payah nak berlaku adil sebenarnya. Kerana kadang-kadang dengan seorang sahaja sudah tidak mampu berlaku adil, apatah lagi kalau sampai empat! Tapi kita tidak nafikan ada lelaki yang memang boleh berlaku adil kepada kesemua isteri-isteri mereka. Maka, kita kenalah ukur kehendak keadilan ini dengan diri kita dahulu. Jangan nak sedap badan sahaja untuk merasa kahwin lebih dari satu, tapi tidak mampu berlaku adil. Kena belajar apa yang perlu dilakukan sebagai seorang suami yang beristeri lebih dari satu.

Sikap adil yang dituntut dari seorang suami adalah adil dalam:

  1. jadual bermalam, iaitu giliran isteri
  2. adil dalam memberi nafkah makanan, minuman dan pakaian.
  3. tempat tinggal

Di sini yang dituntut bukanlah adil dalam kecenderungan hati, sebab manusia tidak mampu menyamakan kecenderungan hatinya. Ada isteri yang kita lebih sayang dari isteri yang lain. Sebagai contoh, Nabi Muhammad pun lebih sayang kepada isterinya Aisyah kalau dibandingkan dengan isteri-isteri yang lain.

Lafaz عدل juga bermaksud membuat keputusan dengan betul. Malangnya, ramai para suami yang kahwin lebih dari satu isteri tidak menjaga keadilan syarak yang dituntut oleh agama. Mereka tinggal lebih lama di rumah isteri yang mereka suka, nafkah pun tidak diberi sama rata dan sebagainya. Ini dilarang oleh syarak. Ini yang menyebabkan para wanita marah dengan lelaki yang berpoligami. Mereka kena ingat kepada sabda Nabi:

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

مَنْ كَانَتْ لَهُ امْرَأَتَانِ فَمَالَ إِلَى إِحْدَاهُمَا جَاءَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَشِقُّهُ مَائِلٌ

Siapa yang memiliki dua orang isteri lalu ia cenderung kepada salah seorang di antara keduanya, maka ia datang pada hari kiamat dalam keadaan badannya miring.” (HR. Abu Daud no. 2133, Ibnu Majah no. 1969, An Nasai no. 3394. Syaikh Al Albani menyatakan hadits tersebut shahih sebagaimana dalam Shahih At Targhib wa At Tarhib no. 1949)

Maknanya, lelaki yang tidak adil dengan isteri-isterinya, mereka akan bangkit di akhirat kelak dengan tubuh mereka senget sebelah. Kalau orang tengok ada lelaki yang sebegitu, maka tahulah yang lelaki itu tidak adil kepada isteri-isterinya.

 

أَو ما مَلَكَت أَيمانُكُم

atau hamba-hamba perempuan yang kamu miliki.

Kalau satu isteri pun tidak mampu berlaku adil, maka tidak perlu kahwin dengan wanita merdeka, tapi kahwin dengan hamba sahaya. Kerana kalau kahwin dengan wanita yang berstatus hamba, hukum kewajipan terhadap mereka berlainan. Tidak sama dengan kahwin dengan wanita biasa. Banyak perkara bebas sedikit. Kita akan belajar tentang perkara ini nanti.

Dibenarkan mengadakan hubungan seksual dengan hamba perempuan yang dimiliki dengan syarat-syarat tertentu. Hamba yang dibenarkan miliki adalah mereka yang ditangkap dalam peperangan (jihad) dan dibahagikan kepada mujahidin. Selain dari itu, seseorang tidak boleh dijadikan hamba. Hukum berkenaan hamba tidak pernah dimansukh. Muslim sekarang tidak memiliki hamba kerana kita sekarang tidak lagi terlibat dalam jihad.

Mungkin ada yang rasa hairan kenapa ada hukum hamba dalam Islam. Kita kena sedar yang bukan agama Islam yang memulakan ada hamba. Islam cuma mengawal dan menguruskan untuk menjaga hak-hak hamba itu sebagai manusia. Pertamanya, tidak mudah untuk memiliki hamba dalam Islam. Ianya hanya melalui peperangan sahaja. Dan bukanlah Islam juga yang memulakan perkara ini. Kalau berperang dengan agama lain dan mereka ambil orang kita sebagai hamba, kenapa kita tidak boleh lakukan perkara yang sama?

Dan kita jangan lupa yang Islam menggalakkan supaya hamba itu dibebaskan. Ada banyak keadaan di mana hamba yang dimiliki dibebaskan kerana kesalahan agama. Sebagai contoh, kalau mengadakan hubungan seks semasa berpuasa, maka kafarahnya adalah membebaskan hamba. Dan ada banyak lagi hukum-hukum lain yang menyuruh membebaskan hamba.

Dan kalau seorang tuan itu mengadakan hubungan seks dengan hambanya dan hamba itu melahirkan anak, maka wanita itu secara otomatik akan dibebaskan kerana anaknya itu seorang yang bebas.

 

ذٰلِكَ أَدنىٰ أَلّا تَعولوا

Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.

Kahwin seorang sahaja atau kahwin dengan wanita hamba, adalah cara paling mudah untuk tidak berlaku zalim. Yang Allah mahu adalah kita tidak zalim. Kalau kahwin ramai, tapi zalim, baik tidak payah. Kerana zalim itu dosa. Oleh kerana itulah kita katakan yang Islam sebenarnya menjurus kepada seorang lelaki hanya memperisterikan seorang wanita sahaja.


 

Ayat 4: Ini adalah hukum ketiga. Tentang hukum perkahwinan. Seorang wanita yang dikahwini, walau bukan anak yatim, kena diberikan mahr (maskahwin) kepada mereka.

وَآتُوا النِّساءَ صَدُقاتِهِنَّ نِحلَةً ۚ فَإِن طِبنَ لَكُم عَن شَيءٍ مِنهُ نَفسًا فَكُلوهُ هَنيئًا مَريئًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And give the women [upon marriage] their [bridal] gifts¹ graciously. But if they give up willingly to you anything of it, then take it in satisfaction and ease.²

  • The obligatory bridal gift (mahr).
  • Knowing that it is lawful.

MALAY

Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.

 

وَآتُوا النِّساءَ صَدُقاتِهِنَّ نِحلَةً

Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin mereka sebagai pemberian.

Lafaz صَدُقاتِهِنَّ diambil dari lafaz صدق yang bermaksud ‘benar’. Pemberian mahr itu menjadikan pernikahan itu benar. Menjadikan pernikahan itu sah di sisi syarak. Dalam bahasa Melayu kita, mahr itu dipanggil ‘maskahwin’.

Perkataan نِحلَةً digunakan apabila memberikan hadiah atau pemberian kepada perempuan. Ianya adalah hadiah kasih sayang. Selalunya kita beri hadiah sebagai tanda kita kasih kepada mereka. Oleh kerana itu, pemberian mahr itu mestilah diberikan dengan mesra. Tidak dengan perasaan kedekut dan benci.

Pemberian mahr itu penting kerana ianya adalah hak seorang isteri, bukan wali. Ianya untuk mereka gunakan, terutama jikalau perlu. Kalau apa-apa terjadi, itulah yang mereka akan gunakan sebagai sara hidup mereka. Perempuan kena pandai dalam perkara ini. Janganlah ‘tidak kisah’ sangat. Kalau tidak kisah, tentulah lelaki suka. Tapi apa kata kalau terjadi apa-apa, kepada siapa kamu nak bergantung?

Malangnya orang kita letak mahr yang tinggi sangat. Selalunya dilakukan oleh para wali. Macam nak jual anak pula. Maka lelaki yang hendak berkahwin itu terpaksalah setuju juga. Tapi kadang-kadang mereka beri dalam keadaan paksa rela. Maka kita kenalah letakkan mahr yang sesuai kepada pasangan. Maknanya, kalau sudah beri tanpa kerelaan hati, tidaklah diberi dengan ‘mesra’.

Dan yang malangnya, itu bukanlah ‘mahr’, tapi ‘belanja hangus’. Iaitu wang itu digunakan untuk membayar perbelanjaan perkahwinan yang tinggi. Kalau hendak ditegur tentang majlis perkahwinan orang kita, terlalu banyak yang hendak ditegur, dan saya rasa, sudah banyak ditulis oleh orang-orang lain.

Mahr itu sepatutnya menjadi hak seorang isteri. Oleh itu, sepatutnya wang itu disimpan oleh wanita itu sebagai hartanya. Bolehlah digunakan sebagai belanja atau digunakan sebagai kegunaan emergency jikalau ada apa-apa yang terjadi kepada suaminya. Tapi kalau mahr itu 12.50 sahaja, apalah gunanya?

 

فَإِن طِبنَ لَكُم عَن شَيءٍ مِنهُ نَفسًا

Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya

Kalau wanita beri kepada kita balik, itu hak dia. Kerana itu hak dia. Kerana mahr itu adalah hartanya dan dia boleh buat apa yang dia suka dengan pemberian mahr itu. Mungkin kerana dia hendak membantu suami yang dalam kesempitan wang. Asalkan dia memberi dari kerelaan hatinya dan bukan kerana paksaan.

 

فَكُلوهُ هَنيئًا مَريئًا

maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, senang hati.

Kalau si isteri dengan rela hati hendak memberi kepada suaminya, maka seorang suami boleh ambil balik pemberiannya itu. Ini tidak dikira ‘buruk siku’ – tidak termasuk larangan mengambil balik hadiah yang telah diberi.

Lafaz هَنيئًا dikenakan untuk sesuatu yang kita dapat tanpa usaha dari kita. Macam hadiah, ia bukanlah dari usaha kita tapi orang hendak beri. Oleh itu terima hadiah pemberian si isteri itu dengan senang hati, jangan jual mahal. Perkataan مَريئًا pula adalah rongga tenggorokan dari tekak ke perut. Maksudnya ambillah pemberian itu dengan berselera dan gembira. Senang hati kerana tidak ada tegahan syariat.


 

Ayat 5: Ini hukum keempat. Kembali kepada pengurusan harta anak yatim. Jangan serahkan harta anak yatim itu sehingga dia sudah boleh uruskan harta dia sendiri. Mungkin kita diamanahkan dengan harta anak yatim yang kecil lagi atau dia dah besar tapi tidak pandai uruskan sendiri. Ini jenis orang yang apabila diberi duit banyak sikit, dia akan habiskan begitu sahaja. Orang sebegini tidak boleh diberikan hartanya lagi walaupun itu adalah hartanya sendiri. Tetapi apabila dia sudah bersedia dan pandai menjaga hartanya itu, maka perlulah diserahkan. Dan semasa serah harta itu kena cari saksi supaya mereka puas hati yang kita telah berlaku adil.

وَلا تُؤتُوا السُّفَهاءَ أَموالَكُمُ الَّتي جَعَلَ اللهُ لَكُم قِيامًا وَارزُقوهُم فيها وَاكسوهُم وَقولوا لَهُم قَولًا مَعروفًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And do not give the weak-minded your property,¹ which Allāh has made a means of sustenance for you, but provide for them with it and clothe them and speak to them words of appropriate kindness.

  • Although it is their property, Allāh (subḥānahu wa ta‘ālā) refers to it in the collective sense, reminding us that all wealth is provided by Him for the maintenance of the community as well as of individual members.

MALAY

Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya akan harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang Allah telah menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan kehidupan kamu; dan berilah mereka belanja dan pakaian dari pendapatan hartanya (yang kamu niagakan), dan juga berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.

 

وَلا تُؤتُوا السُّفَهاءَ أَموالَكُمُ الَّتي جَعَلَ اللهُ لَكُم قِيامًا

Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya akan harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang menjadi kehidupan; 

Peliharalah harta yang kamu telah dilantik jadi penjaga. Selalunya dilantik oleh mahkamah. Kerana kadang-kadang seorang anak yatim ada harta yang ditinggalkan oleh walinya, tapi kerana dia tidak cukup umur dan tidak cukup akal lagi untuk menjaganya, mahkamah akan melantik seorang penjaga untuk mengurus harta itu.

Jangan serahkan harta anak-anak yatim itu kalau mereka belum bersedia lagi. Kerana kalau diberikan juga, mereka akan habiskan harta itu, kerana akal mereka tidak dapat menjaganya. Samada mereka ditipu kerana mereka bodoh ataupun mereka akan kehabisan harta mereka kerana mereka boros dan tidak tahu menilai harta.

Lafaz قِيامًا bermaksud asas kehidupan. Jikalau diberikan kepada yang tidak tahu menjaganya, maka harta itu akan habis dan tidak dapat digunakan untuk menyambung kehidupan.

 

وَارزُقوهُم فيها وَاكسوهُم

dan berilah mereka belanja dan pakaian dari pendapatan hartanya

Janganlah tidak beri langsung dari harta yang ditinggalkan kepada mereka. Gunakanlah sedikit dari harta itu untuk makan dan pakaian mereka. Kena beri untuk yang perlu sahaja.

 

وَقولوا لَهُم قَولًا مَعروفًا

dan juga berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.

Tapi kita berkomunikasilah dengan baik dengan mereka. Jika anak itu minta supaya diberikan hartanya kepadanya, kenalah jawap dengan ucapan yang baik yang mereka senang untuk dengar. Beritahulah yang harta itu memang harta mereka tapi tak sesuai lagi untuk diberi lagi kepada mereka. Janganlah berkata dengan kasar kepada mereka.


 

Ayat 6: Sebelum beri harta itu, kena uji mereka samada mereka sudah layak untuk mengurusnya.

وَابتَلُوا اليَتامىٰ حَتّىٰ إِذا بَلَغُوا النِّكاحَ فَإِن آنَستُم مِنهُم رُشدًا فَادفَعوا إِلَيهِم أَموالَهُم ۖ وَلا تَأكُلوها إِسرافًا وَبِدارًا أَن يَكبَروا ۚ وَمَن كانَ غَنِيًّا فَليَستَعفِف ۖ وَمَن كانَ فَقيرًا فَليَأكُل بِالمَعروفِ ۚ فَإِذا دَفَعتُم إِلَيهِم أَموالَهُم فَأَشهِدوا عَلَيهِم ۚ وَكَفىٰ بِاللَّهِ حَسيبًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And test the orphans [in their abilities] until they reach marriageable age. Then if you perceive in them sound judgement, release their property to them. And do not consume it excessively and quickly, [anticipating] that they will grow up. And whoever, [when acting as guardian], is self-sufficient should refrain [from taking a fee]; and whoever is poor – let him take according to what is acceptable. Then when you release their property to them, bring witnesses upon them. And sufficient is Allāh as Accountant.

MALAY

Dan ujilah anak-anak yatim itu (sebelum baligh) sehingga mereka cukup umur (dewasa). Kemudian jika kamu nampak dari keadaan mereka (tanda-tanda yang menunjukkan bahawa mereka) telah cerdik dan berkebolehan menjaga hartanya, maka serahkanlah kepada mereka hartanya; dan janganlah kamu makan harta anak-anak yatim itu secara yang melampaui batas dan secara terburu-buru (merebut peluang) sebelum mereka dewasa. Dan sesiapa (di antara penjaga harta anak-anak yatim itu) yang kaya maka hendaklah ia menahan diri (dari memakannya); dan sesiapa yang miskin maka bolehlah ia memakannya dengan cara yang sepatutnya. Kemudian apabila kamu menyerahkan kepada mereka hartanya, maka hendaklah kamu adakan saksi-saksi (yang menyaksikan penerimaan) mereka. Dan cukuplah Allah sebagai Pengawas (akan segala yang kamu lakukan).

 

وَابتَلُوا اليَتامىٰ حَتّىٰ إِذا بَلَغُوا النِّكاحَ

Dan ujilah anak-anak yatim itu (sebelum baligh) sehingga mereka cukup umur (dewasa) sampai boleh menikah. 

Anak-anak yatim itu kena diuji dulu dalam urusan harta. Cuba beri lebih sikit perbelanjaan kepada mereka dan lihat samada mereka habiskan atau tidak. Ini akan menunjukkan samada mereka boros atau tidak. Kalau dia tidak pandai lagi, tentu diberi sedikit, habis, diberi banyak pun habis juga. Kemudian uji samada mereka boleh bekerja atau tidak. Berikan sedikit tanggungjawab pekerjaan dan lihat samada dia boleh buat atau tidak. Ujilah dia dari masa ke semasa sehingga cukup umur nak kahwin. Itu adalah satu tanda umur yang seseorang itu sudah dewasa.

 

فَإِن آنَستُم مِنهُم رُشدًا فَادفَعوا إِلَيهِم أَموالَهُم

Kemudian jika kamu nampak dari keadaan mereka (tanda-tanda yang menunjukkan bahawa mereka) telah cerdik dan berkebolehan menjaga hartanya, maka serahkanlah kepada mereka hartanya; 

Kata آنَستُم bermaksud sesuatu perkara yang kita boleh nampak di luar sahaja. Kerana kita tidak tahu hati manusia. Oleh itu kita hanya boleh uji kecerdikan anak-anak yatim itu setakat yang boleh sahaja, iaitu di luaran sahaja. Lafaz رُشدًا maksudnya bijak, termasuklah antaranya, bijak mengurus harta. Kita boleh lihat dari pengamatan kita.

 

وَلا تَأكُلوها إِسرافًا وَبِدارًا أَن يَكبَروا

dan janganlah kamu makan harta anak-anak yatim itu secara yang melampaui batas dan secara terburu-buru (merebut peluang) sebelum mereka dewasa. 

Jangan ambil dari harta itu lebih dari yang patut. Islam membenarkan mereka yang diamanahkan untuk menjaga harta anak yatim untuk mengambil dari harta itu kerana ada yang penjaga pun miskin juga. Dan apabila dia sudah diamanahkan untuk menjaga harta itu, dia sudah tidak boleh bekerja seperti biasa. Maka, dalam keadaan itu, Allah izinkan untuk mengambil dari harta itu untuk keperluan hidup, tapi kena patut-patut. Lebih kurang tidak apa. Cuma jangan berlebihan. Jangan kita bermewah pula dengan harta yang asalnya bukan hak kita pun, tapi hak anak yatim. Ingatlah yang itu adalah harta anak yatim dan telah disebut bahawa mengambil darinya adalah dosa besar. Cuma Islam membenarkan mengambil yang sekadar patut sahaja.

Janganlah kamu ambil cepat-cepat sebelum serah harta itu kepada mereka. Jangan ada yang fikir nak ambil peluang sementara boleh. Iaitu sebelum anak yatim itu dewasa. Ini kerana ada yang teringat yang setahun lagi anak itu akan dewasa, maka nak kena cepat-cepat ambil harta itu dalam masa setahun ini. Ini adalah satu kesalahan. Allah tahu apa yang ada dalam hati kita.

 

وَمَن كانَ غَنِيًّا فَليَستَعفِف

Dan sesiapa yang kaya, maka hendaklah ia menahan diri

Kalau penjaga harta anak yatim itu sendiri sudah kaya, tidaklah perlu ambil dari harta anak yatim itu untuk kehidupan dia. Maknanya, biarkan supaya semua harta anak yatim itu untuk dia sahaja, jangan ambil sedikit pun. Kenapa perlu nak ambil lagi kalau kaya, kerana sudah ada harta sendiri, bukan? Bagaimana nak tahu sudah kaya? Iaitu dia sendiri kena keluarkan zakat. Kalau diri sendiri pun keluarkan zakat, itu sudah dikira orang kaya.

 

وَمَن كانَ فَقيرًا فَليَأكُل بِالمَعروفِ

dan sesiapa yang miskin maka bolehlah ia memakannya dengan cara yang sepatutnya.

Kalau penjaga amanah itu seorang yang miskin, maka bolehlah dia ambil tapi dengan cara yang baik dan yang patut sahaja. Allah tidak menyebut berapa jumlah boleh ambil. Tidak ditetapkan, cuma Allah sebut بِالمَعروفِ – maksudnya yang telah ‘diketahui’. Maknanya, diri sendiri pun sudah tahu yang itulah jumlah yang sesuai. Mengikut keadaan tempat dan keperluan. Kita sendiri kena tanya diri kita. Kalau nak ambil banyak dan terlebih, bolehkah kita jawap depan Allah taala nanti, kenapa kita ambil banyak itu? Kerana tidak ada orang yang jaga dan kawal diri kita, kita yang kena kawal diri kita sendiri. Dan kita kena ingat yang kita akan menjawap di hadapan Allah taala nanti.

 

فَإِذا دَفَعتُم إِلَيهِم أَموالَهُم فَأَشهِدوا عَلَيهِم

Kemudian apabila kamu menyerahkan kepada mereka hartanya, maka hendaklah kamu adakan saksi-saksi (yang menyaksikan penerimaan) mereka.

Bila tiba waktu untuk serahkan harta itu kepada anak yatim itu, hendaklah dicari dua saksi. Ini adalah sunat. Supaya anak-anak yatim itu puas hati dan tidak ada sangka buruk terhadap penjaga harta. Jangan nanti budak itu kata kita tidak beri harta dia pula. Boleh dibentangkan berapa banyak yang telah digunakan, berapa banyak yang tinggal, berapa banyak yang telah dilaburkan dan maklumat-maklumat lain.

 

وَكَفىٰ بِاللَّهِ حَسيبًا

Dan cukuplah Allah sebagai Pengawas

Allah melihat segala apa yang kita lakukan. Allah sudah cukup untuk menghitung berapa yang patut dipulangkan. Allah lah sebaik-baik saksi. Ambil saksi dari manusia itu sebagai syarat sahaja. Kerana saksi itu tidak tahu sebenarnya apa yang kita lakukan, tapi Allah tahu segala-galanya, kecil dan besar. Allah nak beritahu bahawa sebagai penjaga, kita kena jujur dan ikhlas. Kerana Allah sentiasa mengawasi apa yang kita lakukan dengan harta itu. Allah lebih hebat dari akauntan atau auditor kerana semua dalam pengiraanNya. Jangan kita sangka yang kita boleh buat apa sahaja yang kita hendak dengan harta anak-anak yatim itu.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Mutiara al-Quran

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 004: an-Nisa and tagged . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s