Tafsir Surah an-Nisa Ayat 7 – 11 (Faraid)

Ayat 7: Ini adalah hukum kelima. Ianya tentang harta peninggalan mayat. Sikit atau banyak, harga itu ada penerimanya. Maka kena dijalankan pembahagian harta itu mengikut hukum yang Allah telah tetapkan. Jangan lakukan kezaliman dengan tidak memberikan kepada mereka yang berhak. Ianya adalah zalim sebab tuan asal dah mati dah untuk memberikannya sendiri dan memastikan harta itu sampai kepada warisnya. Kita yang masih hidup inilah yang kena pastikan ianya sampai kepada mereka yang patut disampaikan.

لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

For men is a share of what the parents and close relatives leave, and for women is a share of what the parents and close relatives leave, be it little or much – an obligatory share.

MALAY

Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).

 

لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ

Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat,

Bagi lelaki ada bahagian dari harta pusaka dari yang ditinggalkan. Yang jelas, seorang anak akan mendapat harta peninggalan dari ibu dan bapanya. Tapi dalam ayat ini disebut juga dari ‘kaum kerabat’. Ianya adalah keluarga dekat yang termasuk dalam ashabul furud – mereka yang layak menerima faraid. Bukanlah semua ahli keluarga layak mendapat harta faraid itu. Kena tengok senarai yang akan diberikan nanti.

 

وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ

dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat,

Orang perempuan pun layak dapat harta pusaka dari ibubapa mereka dan dari kaum kerabat mereka. Ini adalah benda baru dalam masyarakat Arab. Dulu para wanita tidak layak dapat bahagian apa pun, malah mereka itu sendiri jadi harta. Mereka sendiri diserahkan kepada orang lain macam mereka barang sahaja. Sampai anak pun boleh warisi isteri bapanya. Tapi Islam dah mulakan dulu untuk menjaga hak-hak wanita. Kalau sekarang kita lihat orang Barat pun hendak menjaga hak-hak wanita, mereka pun baru sahaja memulakannya sedangkan Islam sudah lama buat pun. Malangnya, sekarang ada orang yang mentohmah mengatakan agama Islam menindas wanita dan tidak adil kepada mereka. Ini terjadi kerana mereka tidak belajar tentang Islam dan mereka telah ada bias terhadap agama Islam. Oleh kerana ada bias, semua yang dari Islam mereka kata buruk sahaja.

 

مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ

sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu;

Samada harta itu sedikit atau banyak, ianya perlu dibahagikan mengikut ketetapan yang Allah telah tetapkan – bukan samarata. Harta yang sedikit, buat cara sedikit dan harta yang banyak, buat cara banyak. Janganlah kalau harta itu sedikit, maka ahli keluarga buat cara senang sahaja, sampai sudah tidak ikut cara faraid pula. Ini tidak boleh. Dalam setiap pembahagian harta pusaka, kena diberikan mengikut ketetapan yang Allah telah letakkan.

 

نَصِيبًا مَّفْرُوضًا

iaitu bahagian yang telah difardhukan

Apabila dikatakan pembahagian itu fardhu, maka kenalah kita ikut dengan tepat.

Oleh kerana itu, cara pembahagian itu tidak boleh kita buat sendiri kerana telah ditetapkan oleh Allah.  Malangnya masyarakat kita ada buat kesalahan ini. Mereka telah membahagikan harta itu samarata, dengan alasan kononnya semua setuju. Tapi tidak sebenarnya. Kita sahaja yang kata semua setuju, tapi dalam hati siapa yang tahu? Mungkin di mulutnya dia setuju, kerana dia malu hendak kata tidak setuju pula kerana orang lain semua sudah setuju. Dia takut kalau dia seorang sahaja kata tidak setuju, nanti dikatakan dia tamak harta pula. Maka, dia pun cakaplah di mulutnya yang dia setuju, tapi dalam hatinya dia tidak setuju.

Tiada keberkatan dalam harta yang tidak dibahagikan dengan cara faraid. Mungkin ada yang dapat lebih banyak dari yang sepatutnya, tapi kerana tidak ada keberkatan, harta yang banyak itu akan hancur sendiri.

Apakah hukumnya menukar ketetapan Allah itu? Kalau ada yang tukar pembahagian itu kerana dia rasa pembahagian cara Allah itu tidak adil, itu sudah murtad. Murtad bukan perkara main-main. Itu sebab kita kata, untuk keluar dari Islam, bukan kena tolak semua ayat Quran, tolak satu ayat Qur’an pun dah boleh murtad dah.

Kalau dia bahagi harta itu tidak ikut cara faraid, tapi dalam masa yang sama dia kata Allah buat dah elok dah, tapi kerana semua penerima telah bersetuju itu adalah cara yang mereka kehendaki dan dia ikut sahaja, itu berdosa besar.

Kalau nak beri sama rata juga, mungkin kita kasihan kepada adik perempuan kita yang dapat kurang dari kita, ada caranya. Mulanya bahagikan harta itu ikut cara faraid dulu, dan apabila kemudian harta itu telah jadi hak masing-masing dengan bahagian yang mereka patut terima, maka kepada mereka yang nak beri kepada sesiapa sahaja, berilah. Sebab harta itu sudah jadi hak dia, dan kalau dia nak beri semua pun boleh. Kalau dia buat begitu, dia akan dapat pahala kerana telah mengamalkan hukum Allah, dan dia akan dapat pahala sedekah kerana telah mengeluarkan hartanya untuk diberikan kepada orang lain – ahli keluarga sendiri adalah orang yang paling layak terima pemberian dari kita dahulu. Kalau dia beri sesudah dia mendapat bahagiannya, barulah ada ikhlas. Iaitu setelah harta itu jadi dia punya. Kerana kita kena ingat, disebabkan oleh harta, adik beradik boleh berkelahi, suami isteri boleh bercerai. Jadi, Allah telah mudahkan dengan memberi jalan ketetapan apakah yang perlu dilakukan. Iaitu tidak perlu kita berkelahi siapa dapat banyak mana, kerana Allah telah tetapkan siap-siap.


 

Ayat 8: Hukum keenam. Ini adalah berkenaan kaum kerabat yang bukan termasuk dalam golongan ashabul furud. Ini adalah apa yang perlu dilakukan jikalau semasa membahagikan harta pusaka itu, mereka ada datang. Samada yang datang itu adalah kaum kerabat yang jauh sikit atau anak yatim.

وَإِذَا حَضَرَ الْقِسْمَةَ أُولُو الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينُ فَارْزُقُوهُم مِّنْهُ وَقُولُوا لَهُمْ قَوْلًا مَّعْرُوفًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when [other] relatives and orphans and the needy are present at the [time of] division, then provide for them [something] out of it [i.e., the estate] and speak to them words of appropriate kindness.

MALAY

Dan apabila kerabat (yang tidak berhak mendapat pusaka), dan anak-anak yatim serta orang-orang miskin hadir ketika pembahagian (harta pusaka) itu, maka berikanlah kepada mereka sedikit daripadanya, dan berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.

 

وَإِذَا حَضَرَ الْقِسْمَةَ أُولُو الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينُ

Dan apabila kerabat (yang tidak berhak mendapat pusaka), dan anak-anak yatim serta orang-orang miskin hadir ketika pembahagian (harta pusaka) itu, 

Ada tiga golongan yang disebut dalam ayat ini: Kaum keluarga, anak-anak yatim dan orang-orang miskin. Ayat ini mengajar kita apa yang perlu kita lakukan jikalau mereka ada yang datang semasa الْقِسْمَةَ – majlis pembahagian harta pusaka. Mungkin mereka dengar yang harta pusaka akan dibahagikan pada hari itu dan mereka datang mungkin mengharap jikalau ada bahagian untuk mereka.

الْقُرْبَىٰ dalam ayat ini bermaksud kaum kerabat yang jauh sikit. Kerana kaum kerabat adik beradik yang dekat, memang sudah termasuk dalam bahagian penerima harta pusaka.

Maka, apakah yang patut kita lakukan untuk mereka?

 

فَارْزُقُوهُم مِّنْهُ

maka berikanlah kepada mereka sedikit daripadanya, 

Berilah sedikit rezeki kepada mereka. Tapi, bukanlah beri dari bahagian harta yang dibahagikan itu. Tapi jamu mereka makan dari harta yang lain. Itu sebagai tanda kita syukur kita dapat harta percuma. Kerana harta yang kita dapat itu bukan harta dari usaha kita pun, dapat percuma sahaja.

 

وَقُولُوا لَهُمْ قَوْلًا مَّعْرُوفًا

dan berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.

Berilah mereka jamuan makanan dan bercakap baiklah dengan mereka. Jangan halau atau malukan mereka. Jangan hampakan mereka. Kata kepada mereka, harta pembahagian itu baru sahaja dapat, tapi kita akan beri mereka makan dan jamuan sebagai tanda syukur.

Kita katakan bahawa pemberian rezeki itu dari harta yang lain, bukan dari harta pusaka yang baru dibahagikan itu. Ditafsir begini supaya ayat ini tidak termasuk dalam ayat yang mansukh. Kerana memang ada pendapat yang mengatakan yang ayat ini sudah mansukh. Begitu pun, ada juga yang kata ayat ini tidak mansukh.

Orang kata ayat ini telah mansukh, mereka mengatakan lafaz أُولُو الْقُرْبَىٰ adalah kaum kerabat yang bukan ahlul furud, iaitu kerabat jauh. Mereka kata kalau dulu, boleh diberikan bahagian dari harta pusaka itu dan ayat itu telah dimansukhkan. Oleh itu, pada mereka, kalau beri sebahagian dari harta pusaka, ianya atas dasar sunat sahaja, kerana kalau beri atas dasar fardhu, tidak ada kerana telah dimansukhkan.

Ada juga ulama yang kata tidak mansukh. Mereka meletakkan makna yang sesuai. Mereka mengatakan yang lafaz أُولُو الْقُرْبَىٰ bermaksud kerabat yang boleh terima pusaka. Dan anak-anak yatim yang datang pun adalah mereka yang boleh terima pusaka. Dan mereka datang pun untuk ambil bahagian mereka. Kepada mereka, kita beri makan dulu dan kata kepada mereka bahawa harta yang banyak tu kena tunggu apabila mereka dah besar nanti. Oleh itu, maksud beri rezeki itu adalah jamu mereka dengan harta pusaka yang ada hak dia.

Oleh itu, kita boleh lihat ada beberapa pendapat tentang ayat ini. Kalau zaman sekarang, mungkin tidak ada. Sebab sekarang pemberian harta pusaka selalunya tertutup. Dan mereka yang patut terima harta pusaka itu telah tahu yang mereka akan dapat harta pusaka. Allahu a’lam.


 

Ayat 9: Allah beri motivasi kepada kita untuk menjaga kepentingan anak-anak yatim itu. Kerana kita pun ada anak juga. Allah beri perumpamaan: apa kata kalau kamu yang mati dan anak-anak kamu kecil lagi? Tentu kamu mahu mereka dijaga hak mereka, bukan? Maka kita kenalah jaga anak orang lain dengan baik. Kerana kalau anak kita jadi macam itu, kita pun mahu anak kita dijaga haknya.

وَلْيَخْشَ الَّذِينَ لَوْ تَرَكُوا مِنْ خَلْفِهِمْ ذُرِّيَّةً ضِعَافًا خَافُوا عَلَيْهِمْ فَلْيَتَّقُوا اللَّهَ وَلْيَقُولُوا قَوْلًا سَدِيدًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And let those [executors and guardians] fear [injustice] as if they [themselves] had left weak offspring behind and feared for them. So let them fear Allāh and speak words of appropriate justice.

MALAY

Dan hendaklah takut orang-orang (yang menjadi penjaganya), yang jika ditakdirkan mereka pula meninggalkan anak-anak yang daif (yatim) di belakang mereka, (tentulah) mereka akan merasa bimbang terhadap (masa depan dan keselamatan) anak-anak mereka; oleh itu hendaklah mereka bertaqwa kepada Allah, dan hendaklah mereka mengatakan perkataan yang betul (menepati kebenaran).

 

وَلْيَخْشَ الَّذِينَ لَوْ تَرَكُوا مِنْ خَلْفِهِمْ ذُرِّيَّةً ضِعَافًا خَافُوا عَلَيْهِمْ

Dan hendaklah takut orang-orang, yang jika ditakdirkan mereka pula meninggalkan anak-anak yang lemah di belakang mereka, (tentulah) mereka akan merasa bimbang terhadap (masa depan dan keselamatan) anak-anak mereka; 

Kita hendaklah bimbang memikirkan siapa yang akan jaga anak kita yang lemah kalau kita sudah tiada nanti. Kalau kita tidak jaga hak anak orang lain, siapa pula yang akan jaga hak anak kita kalau kita tiada nanti? Oleh itu, penjagaan harta anak-anak yatim mestilah dijaga oleh semua orang. Kerana semua orang ada anak juga, dan ada kemungkinan kita mati sebelum anak-anak itu membesar dan belum mampu untuk menjaga diri mereka. Ini adalah pengajaran pertama.

Pengajaran kedua, kita hendaklah risaukan keadaan anak-anak kita selepas kita tiada nanti. Kalau mereka kecil dan tidak mampu mencari rezeki sendiri, apakah nanti nasib mereka? Maka, tinggalkanlah sesuatu dalam bentuk harta kepada mereka, jangan biarkan mereka tidak ada harta langsung. Ayat ini ditujukan kepada mereka yang mahu infak harta mereka lebih dari 1/3. Sedangkan mereka ada anak-anak kecil yang memerlukan keperluan. Dikatakan bahawa asbabun nuzul ayat ini adalah kisah Sa’ad bin Abi Waqas yang mahu memberikan keseluruhan hartanya dalam wasiat. Sabda Rasulullah s.a.w. kepada Sa’ad bin Abi Waqas yang bermaksud:

“Sepertiga dan sepertiga itu sudah banyak, sesungguhnya lebih baik bagi kamu meninggalkan warismu dalam keadaan kaya daripada meninggalkan mereka dalam keadaan miskin yang meminta-minta kepada orang lain.” (Riwayat Muslim).

 

فَلْيَتَّقُوا اللَّهَ

oleh itu hendaklah mereka bertaqwa kepada Allah,

Maksudnya, kenalah lihat ketetapan yang Allah telah letakkan kepada kita. Kita kena pastikan hak-hak penerima harta itu sampai kepada mereka. Kalau kita lihat ada kekurangan di mana-mana, hendaklah kita tegur. Samada kita lihat seseorang tidak menjalankan tugasnya menjaga harta, membahagikan harta, malah kalau kita nampak seseorang memberi hartanya terlalu banyak sampaikan boleh menyebabkan warisnya tidak tinggal apa-apa. Kita kena ambil tindakan kalau perkara itu berlaku di depan mata kita.

 

وَلْيَقُولُوا قَوْلًا سَدِيدًا

dan hendaklah mereka mengatakan perkataan yang betul 

قَوْلًا سَدِيدًا bermaksud ucapan baik yang menepati syariat. Berkatalah dengan baik kepada mereka. Ini adalah hukum kepada mereka yang menjaga anak-anak yatim. Kerana apabila ibubapa meninggal, maka hartanya itu akan diuruskan oleh walinya atau mereka yang telah diamanahkan oleh mahkamah untuk menjaga harta itu. Mereka yang memegang amanah itu, kena urus harta itu dengan baik.

Yang penting, kena takut kepada Allah. Kerana Allah melihat apa yang kita lakukan. Dan dalam masa yang sama, wali kena jelaskan kepada anak-anak yatim bahawa mereka hanya menjaga harta itu sahaja dan akan memulangkan harta itu kepada anak yatim itu apabila sudah sampai masanya. Sekarang tidak boleh lagi kerana belum sesuai. Kata-kata ini adalah contoh kata-kata yang menepati syariat.

Kata سَدِيدًا berasal dari katadasar yang bermaksud ‘dinding’. Kalau dinding rumah kita, kita akan jaga dan kalau ada lubang, kita akan tampal supaya tidak retak. Jadi قَوْلًا سَدِيدًا telah menjadi satu makna yang membawa maksud kata-kata yang jelas, tepat, tidak bengkang bengkok, tidak retak dan tidak ada lubang padanya.

Ayat ini boleh juga bermaksud, kalau ada anak yatim yang tanya kita, adakah kita dapat harta pusaka, jangan pusing kata tak dapat pula. Beritahulah dengan benar. Dalam ayat sebelum ini, telah disebut bagaimana kadang-kadang anak-anak yatim dan keluarga ada datang apabila mereka tahu yang ada majlis pembahagian harta pusaka. Beritahulah yang kita memang ada dapat harta pusaka, nanti kita beri kepadanya sedikit, kalau dia tidak layak dapat harta itu. Kerana anak yatim selalunya orang susah dan mengharap bantuan dari kita. Mungkin dia ada dengar kita dapat harta percuma, maka dia mengharap kalau dapat sedikit infak dari kita.

Persoalan sekarang, adakah kita tahu anak-anak yatim dalam kalangan masyarakat kita? Kalau masyarakat kita tidak rapat dan tidak bersuai kenal dengan orang dalam kariyahnya, macam mana nak tahu mana satu anak yatim? Sebab itu kena bercakap-cakap dan bertanya khabar dengan masyarakat sekeliling kita. Tanya khabar mereka, ambil tahu keperluan mereka. Bantulah mereka dimana kita boleh bantu. Jangan takat angkat tangan sahaja bagi salam sahaja. Jangan tunggu mereka datang meminta-minta kepada kita kerana mereka pun tentu malu nak cakap dan meminta-minta kepada kita. Kita yang kena mulakan beri pertolongan. Macam dalam ayat sebelum ini, tidak disebut pun mereka minta, cuma disebut mereka hadir sahaja semasa majlis pemberian harta pusaka itu. Kitalah yang kena faham sendiri.


 

Ayat 10: takhwif ukhrawi kepada mereka yang memakan harta anak yatim dengan cara yang zalim.

إِنَّ الَّذِينَ يَأْكُلُونَ أَمْوَالَ الْيَتَامَىٰ ظُلْمًا إِنَّمَا يَأْكُلُونَ فِي بُطُونِهِمْ نَارًا وَسَيَصْلَوْنَ سَعِيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, those who devour the property of orphans unjustly are only consuming into their bellies fire. And they will be burned in a Blaze [i.e., Hellfire].

MALAY

Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala.

 

إِنَّ الَّذِينَ يَأْكُلُونَ أَمْوَالَ الْيَتَامَىٰ ظُلْمًا

Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, 

Mereka dikatakan makan dengan cara yang zalim sebab mengambil dengan cara salah. Bukanlah langsung tidak boleh makan harta itu sebab ada cara yang adil. Ini disebut dalam ayat-ayat yang lain.

 

إِنَّمَا يَأْكُلُونَ فِي بُطُونِهِمْ نَارًا

sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka;

Mereka yang memakan harta anak yatim dengan cara yang zalim itu diibaratkan dalam ayat ini seperti menelan api neraka. Kita kena ingat, apabila disebut ‘makan api’, ianya lebih teruk kalau dibandingkan dengan dikenakan dengan api yang di luar. Kerana apabila makan, bermaksud ia masuk ke dalam perut.

Mereka yang memakan yang mengambil harta anak yatim dengan cara yang salah, tidak akan berkat harta itu.

 

وَسَيَصْلَوْنَ سَعِيرًا

dan mereka akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala.

Mereka pasti akan masuk neraka kerana kalau dah makan api neraka, tentulah makan api neraka itu di dalam neraka.

An Nisaa 1-10


 

Ayat 11: Ayat ini adalah hukum ketujuh, iaitu tentang pembahagian harta pusaka.

يُوصِيكُمُ اللَّهُ فِي أَوْلَادِكُمْ لِلذَّكَرِ مِثْلُ حَظِّ الْأُنثَيَيْنِ فَإِن كُنَّ نِسَاءً فَوْقَ اثْنَتَيْنِ فَلَهُنَّ ثُلُثَا مَا تَرَكَ وَإِن كَانَتْ وَاحِدَةً فَلَهَا النِّصْفُ وَلِأَبَوَيْهِ لِكُلِّ وَاحِدٍ مِّنْهُمَا السُّدُسُ مِمَّا تَرَكَ إِن كَانَ لَهُ وَلَدٌ فَإِن لَّمْ يَكُن لَّهُ وَلَدٌ وَوَرِثَهُ أَبَوَاهُ فَلِأُمِّهِ الثُّلُثُ فَإِن كَانَ لَهُ إِخْوَةٌ فَلِأُمِّهِ السُّدُسُ مِن بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِي بِهَا أَوْ دَيْنٍ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ لَا تَدْرُونَ أَيُّهُمْ أَقْرَبُ لَكُمْ نَفْعًا فَرِيضَةً مِّنَ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh instructs you concerning your children [i.e., their portions of inheritance]: for the male, what is equal to the share of two females. But if there are [only] daughters, two or more, for them is two thirds of one’s estate.1 And if there is only one, for her is half. And for one’s parents, to each one of them is a sixth of his estate if he left children. But if he had no children and the parents [alone] inherit from him, then for his mother is one third. And if he had brothers [and/or sisters], for his mother is a sixth,2 after any bequest he [may have] made or debt.3 Your parents or your children – you know not which of them are nearest to you in benefit. [These shares are] an obligation [imposed] by Allāh. Indeed, Allāh is ever Knowing and Wise.

  • Literally, “that which he left.”
  • Although the siblings themselves do not inherit in this case.
  • Based upon prophetic ḥadīths, scholars have ruled that debt takes precedent over a bequest, that a bequest may not include any who inherit by law, and that the total bequest may not be more than one third of one’s estate. After the fulfillment of debts and bequests (if any), the remainder of the estate is to be divided according to the ordinances in this sūrah.

MALAY

Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi jika hanya ada anak-anak perempuan itu dua atau lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh si mati. Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah satu perdua (separuh) harta itu. Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: satu perenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak. Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah satu pertiga. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah satu perenam. (Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya. lbu-bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antaranya yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

 

يُوصِيكُمُ اللَّهُ فِي أَوْلَادِكُمْ لِلذَّكَرِ مِثْلُ حَظِّ الْأُنثَيَيْنِ

Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan.

Seorang anak lelaki mendapat seperti dua bahagian perempuan. Kalau perempuan dapat seribu ringgit, anak lelaki akan dapat dua ribu. Formula: kalau ada seorang anak lelaki dan dua anak perempuan, maka harta itu dibahagikan empat bahagian – lelaki ambil dua bahagian dan setiap seorang anak perempuan akan ambil satu bahagian.

Lihatlah dalam ayat ini, Allah kata: lelaki dapat dua bahagian wanita. Ini menunjukkan wanita juga dapat bahagian dari harta pusaka itu. Arab Jahiliyah hanya memberi pusaka kepada anak lelaki sahaja. Cuma kenapa bahagian perempuan itu separuh sahaja dari bahagian lelaki akan dijelaskan kemudian.

Ini adalah kalau ada anak lelaki dan juga ada anak perempuan.

 

فَإِن كُنَّ نِسَاءً فَوْقَ اثْنَتَيْنِ فَلَهُنَّ ثُلُثَا مَا تَرَكَ

Tetapi jika hanya ada anak-anak perempuan itu dua atau lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh si mati.

Sekiranya anak itu perempuan belaka, dua atau lebih, mereka akan mendapat dua pertiga dari harta keseluruhan harta yang ditinggalkan.

 

وَإِن كَانَتْ وَاحِدَةً فَلَهَا النِّصْفُ

Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah satu perdua (separuh) harta itu.

Jika anak itu perempuan seorang, dia akan dapat separuh dari harta.

Sekian tentang bahagian anak.

 

وَلِأَبَوَيْهِ لِكُلِّ وَاحِدٍ مِّنْهُمَا السُّدُسُ مِمَّا تَرَكَ إِن كَانَ لَهُ وَلَدٌ

Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: satu perenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak. 

Sekarang Allah menyebut tentang bahagian ibubapa pula. Ada tiga jenis bahagian yang telah telah ditetapkan. Pertama, jikalau simati itu (anak mereka) ada anak. Ibu dan bapa masing-masing akan dapat 1/6 dari pusaka sekiranya simati itu ada anak. Ini yang pertama – kalau simati ada anak.

 

فَإِن لَّمْ يَكُن لَّهُ وَلَدٌ وَوَرِثَهُ أَبَوَاهُ فَلِأُمِّهِ الثُّلُثُ

Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah satu pertiga. 

Ini adalah situasi kedua hak ibubapa. Kalau yang mati itu tidak ada anak, maknanya cucu tiada, emak dapat 1/3 dan selebihnya diberikan kepada ayah – maknanya, bapa akan dapat dua kali ganda dari bahagian ibu – sama dengan hukum lelaki akan dapat dua bahagian perempuan.

Ini pun sekiranya yang mati itu tiada adik beradik. Maknanya, ini adalah situasi dimana hanya ibubapa sahaja yang layak mewarisi harta itu.

 

فَإِن كَانَ لَهُ إِخْوَةٌ فَلِأُمِّهِ السُّدُسُ

Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah satu perenam.

Kalau yang mati itu ada adik beradik, anak tiada, emaknya dapat 1/6 dan dan ayah akan dapat 2/3 dari harta itu. Maknanya kalau ada adik beradik, bahagian ayah tidak berkurang, tapi bahagian ibu yang berkurang. Kerana kalau tiada adik beradik, ibu itu patut dapat 1/3 tapi apabila ada adik beradik, tukar jadi 1/6 bahagian pula.

Adik beradik itu tidak kira adik beradik sama emak dan ayah atau adik beradik tiri – datang dari lain emak atau lain ayah.

 

مِن بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِي بِهَا أَوْ دَيْنٍ

sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya.

Pembahagian yang telah ditetapkan di atas, akan dibahagikan mengikut bahagian masing-masing selepas diberikan wasiat kalau ada, ataupun bayar hutang dahulu.

Balaghah: Qur’an sebut (ditakdimkan) ‘wasiat’ dahulu. Kerana wasiat pun kena jaga juga. Kerana tidak ada orang yang tuntut wasiat itu. Tapi hutang lebih penting lagi kerana pemiutang ada hak atas harta itu. Maknanya, kena bayar hutang dulu, kemudian berikan wasiat, dan kemudian baru dibahagikan mengikut bahagian. Walaupun dalam ayat ini dan ayat-ayat lain, disebut ‘wasiat’ dahulu, tapi dari segi amalan, kena bayar ‘hutang’ dahulu. Qur’an sebut wasiat dahulu kerana wasiat itu yang selalu dilupa oleh manusia. Maka Allah letak awal supaya memberi ingat kepada manusia.

 

آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ لَا تَدْرُونَ أَيُّهُمْ أَقْرَبُ لَكُمْ نَفْعًا

lbu-bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antaranya yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu

Antara ibubapa atau anak-anak, kita tidak tahu siapakah yang memberi untung kepada kita selepas kita mati nanti. Allah lebih tahu. Sebab itu Allah sudah beri pembahagian termasuk kepada ibubapa sekali. Allah tahu siapa yang lebih layak terima. Kalau ikut diri kita sendiri, mungkin nak beri hanya kepada anak-anak sahaja atau ada yang nak beri kepada ibubapa sahaja. Allah ada hikmah kenapa diberikan sebegitu rupa. Allah telah mengubah amalan jahiliyah dimana, harta hanya diberikan kepada anak-anak ke bawah, dan hanya diberikan kepada ibubapa jikalau ada wasiat. Allah ubah perbuatan itu dengan menetapkan bahagian khusus untuk ibubapa juga.

 

فَرِيضَةً مِّنَ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًا

ketetapan dari Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Pembahagian ini adalah ketetapan dari Allah dan tidak boleh ubahsuai. Jangan memandai nak ubah. Allah telah beri pembahagian ini kerana Allah yang Maha Mengetahui siapa yang patut dapat, dan Allah Maha Bijaksana dalam menentukan pembahagian itu.

Lalu, kalau ada manusia yang mengubah ketetapan ini, sengaja nak pakai formula yang baru, mereka telah mengubah ketetapan dari Allah dan itu samada jadi murtad, atau boleh jadi dosa besar.

faraid

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 004: an-Nisa and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s