Tafsir Surah Ali Imran Ayat 187 – 194 (Wajib menyampaikan wahyu)

Ayat 187: Ayat ini adalah teguran kepada golongan Ahli Kitab. Mereka telah sesat dari agama asal mereka. Tapi kalaulah mereka membaca kitab mereka dengan betul, mereka akan berjumpa dengan arahan untuk percaya kepada Nabi akhir zaman.

وَإِذْ أَخَذَ اللَّهُ مِيثَاقَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ لَتُبَيِّنُنَّهُ لِلنَّاسِ وَلَا تَكْتُمُونَهُ فَنَبَذُوهُ وَرَاءَ ظُهُورِهِمْ وَاشْتَرَوْا بِهِ ثَمَنًا قَلِيلًا فَبِئْسَ مَا يَشْتَرُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [mention, O Muḥammad], when Allāh took a covenant from those who were given the Scripture, [saying], “You must make it clear [i.e., explain it] to the people and not conceal it.” But they threw it away behind their backs and exchanged it for a small price. And wretched is that which they purchased.

MALAY

Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia dari orang-orang yang telah diberikan Kitab (iaitu): “Demi sesungguhnya! Hendaklah kamu menerangkan isi Kitab itu kepada umat manusia, dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya”. Kemudian mereka membuangnya ke belakang mereka, serta mereka menukarnya dengan mengambil faedah dunia yang sedikit. Maka amatlah buruknya apa yang mereka dapati dari penukaran (Kalamullah dan janjiNya) itu.

 

وَإِذْ أَخَذَ اللَّهُ مِيثَاقَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ

Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia dari orang-orang yang telah diberikan Kitab

Allah beritahu dan ingatkan kita bahawa ada perjanjian antara Allah dan Bani Israil itu. Mereka yang dari Ahli Kitab itu juga sedang membaca Quran, maka mereka pun diingatkan balik dengan perjanjian mereka.

 

لَتُبَيِّنُنَّهُ لِلنَّاسِ

“Demi sesungguhnya! Hendaklah kamu menerangkan isi Kitab itu kepada umat manusia, 

Semasa mereka diberikan dengan Kitab Suci dari Allah itu, samada Taurat atau Injil, mereka telah diarahkan untuk menjelaskan kepada manusia isi kandungan kitab itu. Antaranya di dalam Kitab Suci itu ada arahan untuk ikut Nabi akhir zaman, baru selamat. Kena beritahu perkara itu kepada umat manusia.

Janganlah pula kita sangka ayat ini untuk golongan Ahli Kitab sahaja. Ianya juga ditujukan sebagai peringatan kepada kita. Kita orang Islam pun kena menyampai dan mengajar Qur’an kepada orang lain. Tapi secara realitinya, jarang kita tengok ada pengajian Tafsir Quran di negara ini. Hanya segelintir sahaja yang belajar tafsir. Yang banyak hanya membaca sahaja. Ramai yang hari-hari baca Quran, tapi tak faham apa yang mereka baca. Padahal, kita kena faham apa yang kita baca, amalkan dan kemudian sebarkan dan ajar orang lain pula. Sekurang-kurangnya kepada anak isteri kita. Tapi kalau kita sendiri tak belajar, bagaimana kita nak ajar? Diri sendiri pun tidak lepas, bagaimana nak ajar kepada orang lain?

 

وَلَا تَكْتُمُونَهُ

dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya”. 

Bukan sahaja disuruh sampaikan, tapi ditambah lagi dengan larangan untuk menyembunyikan. Sepatutnya kalau sudah disuruh ‘sampaikan’, bermaksud secara otomatik, tentulah tidak sembunyikan, bukan? Tapi Allah tak mahu ada yang keliru, ditambah lagi dengan penekanan supaya jangan ‘sembunyikan’. Maksudnya, ini adalah perkara yang amat penting sampai diberitahu dengan cara begini.

Oleh itu, kita juga diingatkan supaya jangan sembunyi ayat Quran dan pengajaran di dalamnya. Malangnya, Ustaz-ustaz kita pun ada buat juga kesalahan ini. Mereka tak ajar ayat-ayat Quran dan tafsirnya, tapi mereka akan ajar pendapat manusia yang ada dalam kitab yang berbagai-bagai. Mereka tak rujuk pun apa yang disampaikan oleh Allah dalam Quran. Samada mereka sendiri tolak, atau mereka sendiri tidak belajar dan tidak tahu. Ramai yang telah diberitahu bahawa apa yang mereka lakukan itu salah, tapi mereka buat tak endah, maka itu bermaksud mereka ‘tolak’. Ada juga yang tidak tahu langsung bahawa apa yang mereka lakukan itu salah, kerana mereka sendiri tidak belajar, maka mereka itu ‘jahil’. Malangnya masyarakat kita, orang jahil yang banyak mengajar mereka. Kalau tidak percaya, tanyalah ustaz-ustaz yang mengajar antum semua, adakah ustaz-ustaz antum itu sudah habis belajar tafsir 30 juzuk?

 

فَنَبَذُوهُ وَرَاءَ ظُهُورِهِمْ

Kemudian mereka membuangnya ke belakang mereka,

Mereka buang ajaran dalam Kitab suci mereka itu. Dalam ayat ini dikatakan mereka ‘buang’. Ini adalah bahasa kiasan, bukannya mereka ambil dan buang kitab-kitab mereka itu. Maksudnya, mereka buat tak endah arahan Allah. Mereka tidak pakai ajaran yang ada dalam kitab mereka itu. Mereka sebaliknya menggunakan kata-kata atau tulisan ulama/pendita/rahib mereka, walaupun ianya berlawanan dengan Taurat atau Injil.

Begitu juga masyarakat kita, termasuk guru agama yang mengajar tanpa mengikut ajaran Quran dan Sunnah. Mereka ajar tak pakai ayat Quran dan dalil dari nas yang sahih, tapi mereka pakai pendapat manusia, pendapat yang dikeluarkan dalam kitab yang berbagai-bagai. Kalau dah pakai pendapat, dah pakai kitab, akan ada sahaja pendapat yang membolehkan sesuatu perkara. Katakan apa sahaja – kalau nak cari hujah tawasul, akan ada sahaja kitab yang kata boleh; amalan bidaah? Ada sahaja kitab yang mengatakan segala amalan itu adalah ‘Bidaah Hasanah’ dan macam-macam lagi. Mereka tolak Quran dan Sunnah, dan mereka pakai pendapat manusia.

 

وَاشْتَرَوْا بِهِ ثَمَنًا قَلِيلًا

serta mereka menukarnya dengan mengambil faedah dunia yang sedikit.

Dengan menyembunyikan isikandung Kitab Suci dan menukarkan dengan yang lain, mereka memang mendapat upah atau habuan keduniaan. Mungkin mereka juga mendapat kedudukan yang tinggi dalam masyarakat dan sebagainya. Tapi Allah kata yang itu semua adalah upah yang sedikit. Mereka mahu kehidupan yang senang dan terjamin dengan tidak ajar isi Kitab. Oleh kerana itu mereka tolak kitab ke tepi.

Bagaimana mereka dapat upah itu? Mereka akan ikut sahaja apa kehendak masyarakat. Kalau masyarakat nak fatwa atau hukum yang menyebelahi kehendak mereka, pendita atau rahib itu akan beri fatwa yang membenarkan. Maka, pendita atau rahib yang sebegini akan diberi upah atau habuan dari masyarakat.

Bagaimana pula dengan orang kita? Ustaz-ustaz yang tidak sampaikan ajaran dari Quran dan beri pendapat yang berlainan dengan kehendak Allah, seperti yang tertakluk dalam Quran, akan dipanggil untuk  mengajar. Apabila mengajar, mereka kenakan upah, disanjung tinggi, diberi penghormatan dan macam-macam lagi dalam masyarakat. Inilah ustaz-ustaz ‘Sampul Putih’. Setelah habis mengajar, diberi sampul putih yang berisi imbuhan duit.

 

فَبِئْسَ مَا يَشْتَرُونَ

Maka amatlah buruknya apa yang mereka dapati dari penukaran itu.

Apa sahaja habuan keduniaan yang mereka dapat itu adalah buruk sekali. Tidak berbaloi langsung kalau dibandingkan dengan azab yang mereka akan dapat di akhirat kelak.


 

Ayat 188: Sebenarnya, golongan Ahli Kitab berbangga dengan kesalahan yang mereka lakukan. Iaitu kesalahan mereka menyembunyikan berita tentang kebenaran Islam dan kedatangan Nabi Muhammad dan lain-lain yang memang ada dalam kitab mereka.

Dan dalam masa yang sama, mereka suka pula dipuji atas benda yang mereka tak buat. Maksudnya, mereka sepatutnya kena sebarkan ilmu kepada manusia, tapi mereka tak buat. Mereka cuma berbangga dengan kedudukan mereka dipandang sebagai orang yang ada ilmu. Sebab itu kalau dikatakan kepada mereka yang mereka itu ahli ilmu, Ahli Kitab, mereka suka benar. Oleh itu, mereka suka dipanggil ahli ilmu, tapi sebenarnya mereka menyembunyikan ilmu yang patut mereka sebarkan. Oleh itu, kalau kita berbangga orang panggil kita ulama, panggil kita ‘ustaz’, tapi kita tak sebar dan ajarkan ilmu agama kepada manusia, itu adalah perangai orang Yahudi.

لَا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ يَفْرَحُونَ بِمَا أَتَوا وَّيُحِبُّونَ أَن يُحْمَدُوا بِمَا لَمْ يَفْعَلُوا فَلَا تَحْسَبَنَّهُم بِمَفَازَةٍ مِّنَ الْعَذَابِ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And never think that those who rejoice in what they have perpetrated and like to be praised for what they did not do – never think them [to be] in safety from the punishment, and for them is a painful punishment.

MALAY

Jangan sekali-kali engkau menyangka (wahai Muhammad, bahawa) orang-orang yang bergembira dengan apa yang mereka telah lakukan, dan mereka pula suka dipuji dengan apa yang mereka tidak lakukan – jangan sekali-kali engkau menyangka mereka akan terselamat dari seksa, dan mereka pula akan beroleh azab yang tidak terperi sakitnya.

 

لَا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ يَفْرَحُونَ بِمَا أَتَوا

Jangan sekali-kali engkau menyangka bahawa orang-orang yang bergembira dengan apa yang mereka telah lakukan,

Apakah perlakuan jahat mereka itu? Amalan jahat mereka itu adalah menyembunyikan isi kitab mereka. Mereka rasa macam ilmu yang mereka ada itu hanya layak kepada bangsa mereka sahaja dan bangsa lain tak layak.

 

وَّيُحِبُّونَ أَن يُحْمَدُوا بِمَا لَمْ يَفْعَلُوا

dan mereka pula suka dipuji dengan apa yang mereka tidak lakukan

Perbuatan yang mereka tidak buat itu adalah mengajar kitab. Mereka tak ajar, malah mereka sembunyikan dari masyarakat. Mereka suka dipanggil Ahli Kitab sebab mereka rasa mereka dipuji sebagai orang yang mahir tentang kitab. Sedangkan sepatutnya mereka sebarkan kitab itu.

Satu pengajaran yang kita boleh ambil juga dari ayat ini adalah kita sudah tahu yang manusia memang suka dipuji tapi kita kena berhati-hati. Pujian yang berlebihan boleh merosakkan orang. Bayangkan seorang penceramah yang dipuji melambung-lambung. Masalahnya, apabila selalu dipuji, manusia akan rasa macam mereka sudah hebat, sudah tidak buat salah. Dan ini satu perasaan yang bahaya kalau ada pada orang yang berilmu. Kita yang memuji pun akan rasa macam mereka tak buat salah langsung. Kita terlalu pandang tinggi kepada mereka. Ini juga bahaya. Sepatutnya kita doakan sahaja. Iaitu kalau kita lihat seseorang yang hebat, dan kita rasa yang dia telah melakukan sesuatu yang baik, maka kita doakan supaya Allah beri keberkatan kepadanya, dan supaya Allah tetapkan dia berada di atas jalan yang benar.

 

فَلَا تَحْسَبَنَّهُم بِمَفَازَةٍ مِّنَ الْعَذَابِ

jangan sekali-kali engkau menyangka mereka akan terselamat dari seksa,

Jangan kamu sangka mereka akan selamat dari azab. Lafaz مَفَازَةٍ adalah pelepasan – lepas dari azab. Kita sudah jelaskan maksud فَازَ sebelum ini. Maknanya puak Yahudi dan mereka yang berperangai seperti yang disebut dalam ayat ini, tidak akan terlepas dari azab.

 

وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

dan mereka pula akan beroleh azab yang tidak terperi sakitnya.

Malah, mereka akan mendapat azab yang teruk yang tidak berkurangan sedikit pun.


 

Ayat 189: i’adah (kembali) tajuk tauhid. Iaitu kembali kepada kesimpulan surah ini. Inilah perkara yang paling penting, dan kerana itu Quran akan selalu kembali kepada topik ini.

وَلِلَّهِ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And to Allāh belongs the dominion of the heavens and the earth, and Allāh is over all things competent.

MALAY

Dan kepunyaan Allah jualah langit dan bumi, dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

 

وَلِلَّهِ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ

Dan kepuyaan Allah jualah langit dan bumi,

Oleh kerana itu Dia sahaja yang wajib dipuja dan disembah. Tidak boleh sembah yang lain selain Allah. Kenapa nak sembah dan buat ibadat kepada selain dari Allah sedangkan mereka tidak mempunyai kekuasaan di langit dan di bumi?

 

وَاللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Dan kerana kekuasaan dan kepunyaan alam ini adalah hakNya semata-mata, maka Dia boleh apa yang Dia hendak buat.

Allah puji DiriNya dalam ayat ini. Ayat sebelum ini tentang pujian, bukan? Diberi contoh bagaimana puak Yahudi suka dipuji. Oleh itu, Allah beritahu dalam ayat ini, kalau nak puji, pujilah Allah banyak-banyak kerana Dia yang paling layak dipuji. Siapalah kita yang suka dipuji? Kita tidak ada apa-apa. Apa sahaja kelebihan yang kita ada, semua datang dari Allah, bukan?


 

Ayat 190: Ini adalah dalil kenapa Dia sahaja layak disembah.

إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَآيَاتٍ لِّأُولِي الْأَلْبَابِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, in the creation of the heavens and the earth and the alternation of the night and the day are signs for those of understanding –

MALAY

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, adalah tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;

 

إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi,

Segala apa yang terjadi adalah atas kehendak Allah.

 

وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ

dan pada pertukaran malam dan siang,

Hari-hari kita dapat tengok siang berganti malam dan malam berganti siang. Itu semua adalah dalam perancangan Allah dan kita tidak boleh buat apa-apa pun.

 

لَآيَاتٍ لِّأُولِي الْأَلْبَابِ

adalah tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal;

Semua itu adalah tanda-tanda yang boleh difahami oleh mereka berfikiran waras. Kita hari-hari tengok perkara ini tapi mungkin tidak terfikir bahawa itu adalah tanda kepada kekuasaan Allah. Kerana kita sudah biasa tengok dan fikiran kita tidak jernih. Yang boleh nampak adalah mereka yang fikiran mereka bebas dari benda yang remeh. Masalahnya zaman sekarang, macam-maacam benda yang kita fikirkan dan kebanyakannya adalah benda yang remeh.

Ayat yang lebih panjang tentang perkara ini ada dalam Surah Baqarah. Dalam ini pendek sahaja kerana akal yang bersih akan dapat fikir panjang. Dah lama dah belajar surah Baqarah, maka sepatutnya tidak perlu disebut dengan panjang lagi.

Fikiran kita banyak benda kosong yang kita fikir. Sampaikan benda yang bagus susah nak masuk. Sebagai contoh, kita selalu sangat tengok filem-filem dan rancangan TV yang entah apa-apa. Macam orang dah biasa makanan junk, tak dapat nak hargai makanan berkhasiat macam sayuran.


 

Ayat 191: Ayat sebelum ini tentang mereka yang berfikiran waras. Maka, siapakah yang berfikiran waras? Apakah ciri-ciri mereka? Apa yang mereka fikirkan?

الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَاطِلًا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Who remember Allāh while standing or sitting or [lying] on their sides and give thought to the creation of the heavens and the earth, [saying], “Our Lord, You did not create this aimlessly; exalted are You [above such a thing]; then protect us from the punishment of the Fire.

MALAY

(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.

 

الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ

(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring,

Maknanya, mereka ingat kepada Allah dalam semua keadaan. Maksud ‘ingat Allah’ adalah dengan jaga hukum. Iaitu mereka akan sentiasa jaga hukum syariat dalam semua keadaan. Setiap ketaatan yang kita buat, adalah dikira ‘zikir’ kepada Allah. Macam kalau kita sedang puasa, kita tak buat apa pun, tapi dikira zikir kepada Allah. Kerana kita sedang tunaikan hukum Allah.

Maknanya, bukanlah berzikir itu adalah zikir meratib sahaja. Zikr dalam Qur’an disebut sebagai amalan hati. Yang penting, kita ingat siapa Allah dan kita taat kepadanya. Ini penting, kerana ada pihak-pihak yang salah faham, hanya menghadkan zikir kepada ‘ratiban’. Mereka sangka ayat ini adalah dalil bahawa boleh buat amalan zikir waktu duduk, waktu baring dan waktu diri. Sampaikan digunakan ayat ini digunakan sebagai dalil untuk membolehkan zikir menari! Kita pun tidak tahulah dari mana mereka boleh dapat dalil yang mengarut sebegini. Sudahlah amalan itu adalah amalan yang bidaah, mereka pakai dalil yang tidak kena mengena langsung. Begitulah kalau ada puak yang jahil, tidak belajar tafsir, maka mereka akan pakai sahaja ayat mana-mana yang ‘agak-agak’ kena.

Oleh itu, tinggalkan mereka dan jangan buang masa lagi dengan mereka. Kalau ada kesempatan, ajak mereka belajar agama dengan benar. Masalahnya, mereka itu telah disibukkan oleh syaitan dengan amalan-amalan salah, sampaikan tidak ada masa nak belajar. Jadi, mereka terus melakukan amalan salah tanpa ilmu. Mereka sangka mereka ada banyak ilmu, padahal, mereka itu dapat ilmu khayalan sahaja.

Makna lafaz ‘Zikr’ adalah ‘ingat’, dan ingat itu adalah perkara yang kita sudah tahu. Bukan benda baru. Sebab itu kita selalu melakukan tazkirah, iaitu mengingatkan perkara yang kita sudah tahu pun. Oleh itu, janganlah kisah kalau kita diberitahu perkara yang sama berulang-ulang kerana itu adalah untuk megingatkan kita dengan perkara yang kita sudah tahu. Kerana kita manusia adalah jenis pelupa, maka kita kena diingatkan selalu.

Amalan zikir paling baik dilakukan dengan cara yang Nabi ajar. Yang pertama, solat itu pun adalah zikir. Begitu juga dengan membaca Quran. Ini dua zikir yang paling baik. Dan selain dari itu, kita boleh amalkan zikir masnun. Iaitu lafaz-lafaz zikir dan doa yang Nabi Muhammad sendiri sudah ajar kita. Boleh dikatakan ada lafaz-lafaz doa untuk setiap keadaan. Ini akan mendekatkan kita dengan Allah. Kerana dalam setiap keadaan, ada doa yang tertentu. Dan zikir-zikir itu mempunyai elemen tauhid jadi selalu mengingatkan kita kepada tauhid.

Jangan amalkan zikir yang tidak datang dari Nabi. Atau dengan cara yang bukan ajaran dari Nabi. Pertamanya, janganlah cuba untuk menyertai pergerakan tarekat langsung. Kalau ada saudara mara kita yang baru nak belajar pun, larang mereka dan tegah mereka. Kerana kalau sudah masuk dalam tarekat, sudah pasti akan ada amalan zikir yang bukan dari ajaran Nabi. Kalau sudah mula belajar, akan terbelenggu dengan amalan-amalan yang salah.

 

وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ

dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi

Mereka juga sentiasa berfikir menggunakan panduan dari kitab Allah, dengan melihat kepada kejadian langit dan bumi. Kena pakai panduan dari Quran, kerana kalau kita lihat sendiri, jarang seseorang akan capai kepada Allah. Tapi apabila kita diberitahu yang Allah lah yang menjadikan alam ini, maka kita terpimpin membawa kepada terfikir kepada Allah. Apabila lihat alam, kita teringat bahawa Allah lah yang menjadikannya. Apa-apa terjadi kita akan teringat ayat-ayat Qur’an. Kerana akan ada sahaja perkara yang berkenaan dengan Qur’an. Tengok gunung, ada ayat tentang gunung. Tengok langit, ada ayat tentang langit; hujan; orang sedang marah; dan macam-macam lagi. Quran telah sentuh semua perkara.

 

رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَاطِلًا

“Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, 

Apabila dia sudah fikir tentang alam dan kaitannya dengan Allah, dia akan kata begini. Tidaklah Allah jadikan alam ini sia-sia kerana langit dan bumi adalah bekas atau tempat untuk uji kami semua. Maknanya, ada tujuan alam ini dijadikan. Allah yang mempunyai sifat yang maha mulia tidak akan buat sesuatu yang sia-sia. Kita akan dapat pemahaman ini apabila kita telah kenal Allah dari apa yang kita belajar dari Quran.

Lihatlah bagaimana Islam mengimbang antara ‘zikir’ dan ‘fikir’. Tidaklah kita disuruh terlalu banyak berzikir sampai jadi macam tarekat. Tidaklah juga disuruh hanya berfikir sahaja tanpa ada zikir seperti golongan intelektual yang tiada roh agama. Itulah antara maksud Islam itu adalah ‘umat pertengahan’.

 

سُبْحَانَكَ

Maha Suci Engkau,

Orang itu membenarkan yang Allah suci dari segala cacat cela dan suci dari perlu kepada perantara dalam permohonan doa.

 

فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

maka peliharalah kami dari azab neraka.

Akhir sekali dia akan meminta supaya dijauhkan dari neraka. Kerana apabila sudah belajar dan tahu apakah sifat neraka itu, tidak ada sesiapa yang mahu untuk masuk neraka. Langsung tidak mahu dengar, lihat atau dengar bunyi neraka pun.


 

Ayat 192: Sekarang diberitahu kenapa kita tidak mahu masuk ke dalam neraka.

رَبَّنَا إِنَّكَ مَن تُدْخِلِ النَّارَ فَقَدْ أَخْزَيْتَهُ وَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ أَنصَارٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Our Lord, indeed whoever You admit to the Fire – You have disgraced him, and for the wrongdoers there are no helpers.

MALAY

Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya, dan orang-orang yang zalim tidak akan beroleh seorang penolong pun;

 

رَبَّنَا إِنَّكَ مَن تُدْخِلِ النَّارَ فَقَدْ أَخْزَيْتَهُ

Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya, 

Sesiapa yang dimasukkan ke dalam neraka adalah dihina. أَخْزَيْتَهُ dari kalimah أخزي yang maksudnya buka kesalahan seorang di hadapan orang lain (memalukan orang). Walaupun mereka mulia semasa di dunia, tapi di neraka, mereka akan dihinakan dengan teruk sekali.

 

وَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ أَنصَارٍ

dan orang-orang yang zalim tidak akan beroleh seorang penolong pun;

Ayat ini memberitahu kepada kita yang tidak ada syafaat yang akan membantu mereka yang zalim. Banyak agama salah faham tentang perkara ini. Mereka sangka tuhan-tuhan selain Allah yang mereka sembah itu akan dapat menyelamatkan mereka di akhirat kelak. Allah tolak pemahaman mereka.

Begitu juga, dengan sembahan-sembahan orang kita yang memuja ilah-ilah yang lain seperti Syeikh Abdul Qadir Jailani dan sebagainya. Mereka itu sangka dengan memuja-muja para wali, Nabi dan malaikat, mereka akan diselamatkan di akhirat kelak, tapi tidak sebenarnya.


 

Ayat 193: Ini adalah sambungan kata-kata mereka. Ayat ini tentang risalah (kenabian). Ingatlah bahawa kita hanya dapat faham agama melalui Nabi dan ajaran yang disampaikan olehnya.

رَّبَّنَا إِنَّنَا سَمِعْنَا مُنَادِيًا يُنَادِي لِلْإِيمَانِ أَنْ آمِنُوا بِرَبِّكُمْ فَآمَنَّا رَبَّنَا فَاغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَكَفِّرْ عَنَّا سَيِّئَاتِنَا وَتَوَفَّنَا مَعَ الْأَبْرَارِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Our Lord, indeed we have heard a caller [i.e., Prophet Muḥammad ()] calling to faith, [saying], ‘Believe in your Lord,’ and we have believed. Our Lord, so forgive us our sins and remove from us our misdeeds and cause us to die among the righteous.

MALAY

Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada iman, katanya: `Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu ‘, maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti;

 

رَّبَّنَا إِنَّنَا سَمِعْنَا مُنَادِيًا يُنَادِي لِلْإِيمَانِ

Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru yang menyeru kepada iman, 

Mereka mengaku yang telah sampai penyeru tauhid kepada mereka. Penyeru tauhid itu adalah Nabi dan para pengikut Nabi. مُنَادِيًا bermaksud seseorang yang menyeru dari jauh. Memang Nabi Muhammad itu jauh dari kita. Tapi kita masih dengar seruan Nabi kerana disampaikan oleh penyeru tauhid yang meneruskan dakwah baginda.

 

أَنْ آمِنُوا بِرَبِّكُمْ

katanya: `Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu ‘,

Inilah apa yang disampaikan oleh Nabi dan penyeru tauhid itu – mengajak kepada beriman dengan Allah. Ini adalah ringkasan dakwah mereka. Tentunya banyak lagi seruan dan ajaran dari mereka. Tapi diringkas keseluruhan ajakan itu terletak dalam beriman kepada Allah.

 

فَآمَنَّا

maka kami pun beriman. 

Mereka mengaku telah beriman dan ikuti seruan. Begitulah yang sepatutnya kita lakukan.

 

رَبَّنَا فَاغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا

Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami,

Walaupun mereka telah mengaku beriman, tapi mereka masih lagi memohon keampunan kepada Allah. Orang yang beriman memang kena sentiasa merisaukan tentang dosa-dosa mereka dan sentiasa kena meminta ampun di atas dosa-dosa mereka. Kerana kalau namanya manusia, tentulah ada sahaja dosanya.

 

وَكَفِّرْ عَنَّا سَيِّئَاتِنَا

dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami,

Dan mereka minta supaya Allah tutup segala kesalahan mereka beri hilang, jangan ditunjukkan kepada sesiapa pun. Kerana amat malu sekali jikalau segala kesalahan itu dipertontonkan di khalayak ramai di akhirat kelak.

 

وَتَوَفَّنَا مَعَ الْأَبْرَارِ

dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti;

Mereka minta supaya dimatikan mereka bersama orang-orang yang baik iaitu ahli syurga. Ia juga juga bermaksud mereka minta supaya mereka dimasuk dalam golongan mereka yang baik dan berbakti itu. Ataupun ia bermaksud supaya mereka diambil nyawa mereka semasa mereka bersama dengan golongan itu.


 

Ayat 194:

رَبَّنَا وَآتِنَا مَا وَعَدتَّنَا عَلَىٰ رُسُلِكَ وَلَا تُخْزِنَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنَّكَ لَا تُخْلِفُ الْمِيعَادَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Our Lord, and grant us what You promised us through Your messengers and do not disgrace us on the Day of Resurrection. Indeed, You do not fail in [Your] promise.”

MALAY

Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui Rasul-rasulMu, dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat; sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji”.

 

رَبَّنَا وَآتِنَا مَا وَعَدتَّنَا عَلَىٰ رُسُلِكَ

Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui Rasul-rasulMu,

Mereka memohon supaya diberikan mereka dengan apa yang dijanjikan olehNya melalui Rasul-rasulNya. Ia bermaksud syurga yang dijanjikan. Janji itu adalah, sesiapa yang ikut ajaran kitab akan diberi syurga dan siapa yang melanggar, akan diberi neraka.

Ini mengajar kita, tidak salah kalau mengharap syurga. Kerana syurga itu sendiri dijanjikan oleh Allah dan disampaikan janji itu oleh Nabi Muhammad. Janganlah jadi seperti golongan tarekat yang kononnya buat ibadah bukan kerana syurga. Kononnya mereka ikhlas sampaikan tidak mengharap syurga. Mereka kata, kalau Allah masukkan mereka ke dalam neraka pun, mereka redha. Itu semua adalah kata-kata khalayan sahaja dari guru mereka yang khayal juga.

 

وَلَا تُخْزِنَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ

dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat; 

Jangan malukan kami. Kami tak mahu dosa-dosa kami ditunjukkan kepada khalayak ramai.

 

إِنَّكَ لَا تُخْلِفُ الْمِيعَادَ

sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji”.

Allah pasti tidak memungkiri janjiNya.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 003: Ali Imran. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s