Tafsir Surah Ali Imran Ayat 174 – 180 (Panjang umur yang merugikan)

Ayat 174: Dalam ayat sebelum ini, telah disebutkan kisah bagaimana tentera mukmin telah sanggup untuk kembali ke barisan perang, walaupun mereka telah mengalami kecederaan. Mereka menunggu tentera Musyrikin Mekah yang dikatakan akan menyerang kembali Madinah. Tapi tentera Musyrikin Mekah itu ketakutan dan tidak jadi untuk meneruskan niat mereka.

فَانقَلَبوا بِنِعمَةٍ مِنَ اللَّهِ وَفَضلٍ لَم يَمسَسهُم سوءٌ وَاتَّبَعوا رِضوانَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ ذو فَضلٍ عَظيمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So they returned with favor from Allāh and bounty, no harm having touched them. And they pursued the pleasure of Allāh, and Allāh is the possessor of great bounty.

MALAY

Setelah (pergi mengejar musuh), mereka kembali dengan mendapat nikmat dan limpah kurnia dari Allah, mereka tidak disentuh oleh sesuatu bencana pun, serta mereka pula menurut keredaan Allah. Dan (ingatlah), Allah mempunyai limpah kurnia yang amat besar.

 

فَانقَلَبوا بِنِعمَةٍ مِنَ اللَّهِ وَفَضلٍ

mereka kembali dengan mendapat nikmat dan limpah kurnia dari Allah,

Apabila tentera Musyrikin Mekah tidak jadi datang, maka tentera Muslimin kembali ke Madinah dengan mendapat نِعمَةٍ pahala dari Allah. Dan bukan itu sahaja, mereka juga mendapat فَضلٍ, iaitu keuntungan perniagaan.

Lafaz فَضلٍ bermaksud ‘keuntungan perniagaan’. Ini adalah kerana, apabila penduduk sekitar mendengar berita bahawa akan ada perang semula, ramai yang datang untuk menyaksikan peperangan itu dan untuk berniaga. Kerana kalau perang, akan ada keperluan dari kedua dua belah pihak yang berperang kerana dua-dua nak makan. Tapi kerana tidak ada Musyrikin Mekah yang muncul, mereka hanya berjual beli dengan para sahabat sahaja. Itulah yang dimaksudkan mereka mendapat untung.

 

لَم يَمسَسهُم سوءٌ

mereka tidak disentuh oleh sesuatu bencana pun, 

Mereka tidak ditimpa bencana kerana tidak ada peperangan.

 

وَاتَّبَعوا رِضوانَ اللَّهِ

serta mereka pula menurut keredaan Allah.

Dan mereka mendapat redha Allah.

 

وَاللَّهُ ذو فَضلٍ عَظيمٍ

Dan (ingatlah), Allah mempunyai limpah kurnia yang amat besar.

Allah boleh beri sebanyak mana pun kurnia yang hendak diberiNya kepada makhlukNya yang taat.


 

Ayat 175: Sebelum ini telah disebut rancangan Abu Sufyan yang menggunakan rombongan Abdul Qais untuk menakutkan tentera Muslimin.

إِنَّما ذٰلِكُمُ الشَّيطانُ يُخَوِّفُ أَولِياءَهُ فَلا تَخافوهُم وَخافونِ إِن كُنتُم مُؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That is only Satan who frightens [you] of his supporters. So fear them not, but fear Me, if you are [indeed] believers.

MALAY

Sesungguhnya (pembawa berita) yang demikian itu ialah syaitan yang (bertujuan) menakut-nakutkan (kamu terhadap) pengikut-pengikutnya (kaum kafir musyrik). Oleh itu, janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepadaKu (jangan cuaikan perintahKu), jika betul kamu orang-orang yang beriman.

 

إِنَّما ذٰلِكُمُ الشَّيطانُ

Sesungguhnya (pembawa berita) yang demikian itu ialah syaitan

Golongan Abdul Qais adalah puak syaitan kerana mereka hendak menakutkan puak Islam.

 

يُخَوِّفُ أَولِياءَهُ

yang (bertujuan) menakut-nakutkan (kamu terhadap) kawan rapat mereka

Kita telah sebut bagaimana tujuan rombongan Abdul Qais itu datang adalah kerana hendak menakutkan tentera Muslimin kepada kumpulan yang sama dengan mereka أَولِياءَهُ, iaitu Musyrikin Mekah.

 

فَلا تَخافوهُم وَخافونِ إِن كُنتُم مُؤمِنينَ

Oleh itu, janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepadaKu, jika betul kamu orang-orang yang beriman.

Allah beri peringatan kepada orang Mukmin, supaya jangan takut kepada mereka tapi takut kepada Dia sahaja.

Begitulah kita, sebagai seorang Islam, jangan takut kepada musuh kita, tapi hendaklah kita takut kepada Allah sahaja. Allah akan membantu kita kalau kita taat kepadaNya.


 

Ayat 176: Masih lagi tentang orang-orang Munafik. Mereka itu ada yang dalam kalangan umat Islam tapi mereka itu kufur sebenarnya dan tidak membantu. Ayat ini mengandungi tasliah dan juga takhwif ukhrawi.

وَلا يَحزُنكَ الَّذينَ يُسارِعونَ فِي الكُفرِ ۚ إِنَّهُم لَن يَضُرُّوا اللَّهَ شَيئًا ۗ يُريدُ اللَّهُ أَلّا يَجعَلَ لَهُم حَظًّا فِي الآخِرَةِ ۖ وَلَهُم عَذابٌ عَظيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And do not be grieved, [O Muḥammad], by those who hasten into disbelief. Indeed, they will never harm Allāh at all. Allāh intends that He should give them no share in the Hereafter, and for them is a great punishment.

MALAY

Dan janganlah engkau berdukacita (wahai Muhammad), disebabkan orang-orang yang segera menceburkan diri dalam kekufuran; kerana sesungguhnya mereka tidak sekali-kali akan dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun. Allah menetapkan tidak memberi kepada mereka (balasan baik syurga) pada hari akhirat kelak, dan mereka pula beroleh azab seksa yang amat besar.

 

وَلا يَحزُنكَ الَّذينَ يُسارِعونَ فِي الكُفرِ

Dan janganlah engkau berdukacita (wahai Muhammad), disebabkan orang-orang yang segera menceburkan diri dalam kekufuran; 

Allah memberi nasihat kepada Nabi Muhammad supaya jangan berdukacita terhadap mereka yang cepat kepada kekufuran. Walaupun mereka itu sudah lama diajak kepada agama, tapi mereka tetap juga kufur. Tentulah Nabi Muhammad bersedih asalnya kerana baginda amat mengharapkan umatnya semua masuk Islam. Tapi Allah beri peringatan kepada baginda dalam ayat ini dan banyak ayat-ayat lain lagi. Biarkan sahaja mereka itu. Kalau mereka nak rosakkan agama pun, jangan sedih dan risau.

 

إِنَّهُم لَن يَضُرُّوا اللَّهَ شَيئًا

kerana sesungguhnya mereka tidak sekali-kali akan dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun.

Mereka tidak akan membahayakan Allah atau agama Islam sedikit pun. Kerana Allah akan jaga agama ini dari dirosakkan.

 

يُريدُ اللَّهُ أَلّا يَجعَلَ لَهُم حَظًّا فِي الآخِرَةِ

Allah menetapkan tidak memberi kepada mereka (balasan baik syurga) pada hari akhirat kelak,

Allah tidak ingin beri حَظًّا (bahagian) kebaikan dari akhirat kepada mereka. Walaupun mereka itu duduk dan tinggal dengan Nabi, tapi mereka masih tidak dapat hidayat.

 

وَلَهُم عَذابٌ عَظيمٌ

dan mereka pula beroleh azab seksa yang amat besar.

Sebaliknya, mereka akan diberi dengan azab neraka.


 

Ayat 177: Ini adalah ayat takhwif ukhrawi.

إِنَّ الَّذينَ اشتَرَوُا الكُفرَ بِالإيمانِ لَن يَضُرُّوا اللَّهَ شَيئًا وَلَهُم عَذابٌ أَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, those who purchase disbelief [in exchange] for faith – never will they harm Allāh at all, and for them is a painful punishment.

MALAY

Sesungguhnya orang-orang yang membeli (memilih) kufur dengan meninggalkan iman tidak sekali-kali mereka akan dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun, dan mereka pula beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

 

إِنَّ الَّذينَ اشتَرَوُا الكُفرَ بِالإيمانِ

Sesungguhnya orang-orang yang membeli (memilih) kufur dengan meninggalkan iman

Golongan yang sanggup ambil kufur dan jual iman. Mereka ada peluang beriman kerana duduk tinggal dengan Nabi tapi mereka tidak ambil peluang keemasan itu. Ada orang yang sudah datang dakwah kepada mereka, tapi mereka tidak mahu terima. Alangkah ruginya.

 

لَن يَضُرُّوا اللَّهَ شَيئًا

tidak sekali-kali mereka akan dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun, 

Allah tidak terkesan dengan kekufuran mereka itu. Kalau seluruh makhluk tidak beriman kepada Allah pun, tidak berkurang kehebatan dan kemulian Allah. Tidak terkesan sedikit pun. Jangan sangka yang Allah memerlukan iman makhluk.

 

وَلَهُم عَذابٌ أَليمٌ

dan mereka pula beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Walaupun Allah tidak terkesan, tapi Allah akan balas kekufuran mereka itu dengan azab seksa yang pedih.


 

Ayat 178:  Walaupun golongan Munafik itu tidak tolong Nabi dalam perang, tapi Allah tak hukum mereka terus. Allah macam tidak buat apa-apa kepada mereka. Oleh kerana itu, mereka rasa mereka sedap tidak akan kena apa-apa. Allah menempelak mereka dalam ayat ini.

وَلا يَحسَبَنَّ الَّذينَ كَفَروا أَنَّما نُملي لَهُم خَيرٌ لِأَنفُسِهِم ۚ إِنَّما نُملي لَهُم لِيَزدادوا إِثمًا ۚ وَلَهُم عَذابٌ مُهينٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And let not those who disbelieve ever think that [because] We extend their time [of enjoyment] it is better for them. We only extend it for them so that they may increase in sin, and for them is a humiliating punishment.

MALAY

Dan jangan sekali-kali orang-orang kafir menyangka bahawa Kami membiarkan (mereka hidup lama) itu baik bagi diri mereka; kerana sesungguhnya Kami biarkan mereka hanyalah supaya mereka bertambah dosa (di dunia), dan mereka pula beroleh azab seksa yang menghina (di akhirat kelak).

 

وَلا يَحسَبَنَّ الَّذينَ كَفَروا أَنَّما نُملي لَهُم خَيرٌ لِأَنفُسِهِم

Dan jangan sekali-kali orang-orang kafir menyangka bahawa Kami memberi tangguh itu baik bagi diri mereka;

Orang kafir yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah orang munafik itu. Janganlah mereka sangka dengan Allah beri tangguh azab kepada mereka, mereka sangka itu adalah kebaikan untuk mereka. Mereka tengok tidak ada kena apa-apa pun pada mereka walaupun mereka tidak tolong Rasulullah. Allah sebenarnya memberi tangguh sahaja kepada mereka. Mereka tetap akan kena azab juga nanti.

 

إِنَّما نُملي لَهُم لِيَزدادوا إِثمًا

tidak lain dan tidak bukan, Kami beri penangguhan itu kerana hanyalah supaya mereka bertambah dosa

Allah tangguhkan tidak terus beri azab kepada mereka, supaya mereka buat banyak lagi dosa, supaya Allah akan balas dengan azab lebih banyak lagi. Lebih banyak dosa yang mereka buat, lebih teruk azab yang mereka akan terima nanti. Allah kumpul sahaja dosa yang mereka lakukan itu.

 

وَلَهُم عَذابٌ مُهينٌ

dan mereka pula beroleh azab seksa yang menghinakan

Lafaz مُهينٌ adalah malu yang terjadi di khalayak ramai. Begitulah nanti yang mereka akan kena.


 

Ayat 179: Orang-orang Mukmin hairan kenapa mereka diuji dengan kekalahan sebegitu rupa. Sedangkan Nabi ada bersama mereka dan begitu ramai dari kalangan mereka yang mukmin seperti Abu Bakr. Allah jawap kepada mereka dalam ayat ini.

ما كانَ اللَّهُ لِيَذَرَ المُؤمِنينَ عَلىٰ ما أَنتُم عَلَيهِ حَتّىٰ يَميزَ الخَبيثَ مِنَ الطَّيِّبِ ۗ وَما كانَ اللَّهُ لِيُطلِعَكُم عَلَى الغَيبِ وَلٰكِنَّ اللَّهَ يَجتَبي مِن رُسُلِهِ مَن يَشاءُ ۖ فَآمِنوا بِاللَّهِ وَرُسُلِهِ ۚ وَإِن تُؤمِنوا وَتَتَّقوا فَلَكُم أَجرٌ عَظيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh would not leave the believers in that [state] you are in [presently] until He separates the evil from the good. Nor would Allāh reveal to you the unseen. But [instead], Allāh chooses of His messengers whom He wills, so believe in Allāh and His messengers. And if you believe and fear Him, then for you is a great reward.

MALAY

Allah tidak sekali-kali akan membiarkan orang-orang yang beriman dalam keadaan yang kamu ada seorang (bercampur aduk mukmin dan munafik, bahkan Ia tetap menguji kamu) sehingga Ia memisahkan yang buruk (munafik) daripada yang baik (beriman). Dan Allah tidak sekali-kali akan memperlihatkan kepada kamu perkara-perkara yang ghaib akan tetapi Allah memilih dari RasulNya sesiapa yang dikehendakiNya (untuk memperlihatkan kepadanya perkara-perkara yang Ghaib). Oleh itu berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasulNya; dan jika kamu beriman dan bertaqwa, maka kamu akan beroleh pahala yang besar.

 

ما كانَ اللَّهُ لِيَذَرَ المُؤمِنينَ عَلىٰ ما أَنتُم عَلَيهِ

Allah tidak sekali-kali akan membiarkan orang-orang yang beriman dalam keadaan yang kamu ada sekarang

Apakah keadaan itu? Bercampur dengan orang-orang Munafik. Allah tidak akan biarkan mereka duduk bercampur dengan orang munafik sebegitu. Kerana ada di kalangan mereka, orang yang munafik. Orang mukmin duduk dan tinggal bergaul dengan orang munafik sebab sangka mereka pun mukmin juga. Apabila ada ada ujian sebegini baru dapat tahu siapa yang munafik. Ini penting kerana orang mukmin tidak boleh bersahabat rapat dengan orang munafik. Tapi kalau tidak kenal, macam mana? Maka Allah adakan ujian sebegini untuk menzahirkan siapakah yang munafik itu.

 

حَتّىٰ يَميزَ الخَبيثَ مِنَ الطَّيِّبِ

sehingga Ia memisahkan yang buruk (munafik) daripada yang baik (beriman).

Sehinggalah Allah membezakan mana yang buruk berbanding yang baik. Dengan adanya ujian, baru tahu mana yang munafik dan mana yang beriman. Barulah sahabat yang mukmin tahu bahawa dalam kalangan mereka itu ada yang jenis munafik.

Begitu juga, kita pun kena pakai cara ini juga. Khalifah kena pandai cam siapakah yang munafik dalam rakyat mereka. Supaya Khalifah tahu yang mana yang tidak boleh dijadikan teman rapat, tidak boleh diajak berjihad dan tidak boleh diberi kerja penting dalam kerajaan, sehinggalah mereka itu ditarbiyah. Ini adalah kerana bahaya kalau mereka ada dalam kalangan umat Islam kerana mereka akan merosakkan masyarakat.

 

وَما كانَ اللَّهُ لِيُطلِعَكُم عَلَى الغَيبِ

Dan Allah tidak sekali-kali akan memperlihatkan kepada kamu perkara-perkara yang ghaib

Allah tidak memberitahu perkara ghaib kepada manusia. Dalam ayat ini, ia tentang orang munafik. Kemunafikan manusia adalah perkara ghaib kerana ianya adalah benda dalam hati dan kita tidak boleh baca hati manusia. Paling kuat adalah kalau kita kata seseorang itu ada perangai munafik, itu sahaja. Jadi, kalau ada sesiapa yang tuduh orang lain sebagai munafik, itu adalah perkara yang amat teruk sekali. Kerana mereka seumpama mengatakan mereka ada pengetahuan ghaib pula. Sedangkan dalam ayat ini, Allah memberitahu perkara itu tidak diberikan kepada manusia biasa.

 

وَلٰكِنَّ اللَّهَ يَجتَبي مِن رُسُلِهِ مَن يَشاءُ

akan tetapi Allah memilih dari RasulNya sesiapa yang dikehendakiNya

Akan tetapi, Allah pilih dari kalangan rasulNya untuk disampaikan perkara ghaib. Allah beritahu perkara yang perlu sahaja. Bukanlah semua perkara ghaib itu diketahui oleh Nabi. Ini pun ada masalah pemahaman juga dalam masyarakat kita. Mereka ada yang kata Nabi Muhammad tahu perkara ghaib. Padahal, apa sahaja perkara ghaib yang Nabi tahu, itu hanyalah diberitahu oleh Allah. Dan Allah beritahu perkara yang Nabi perlu tahu sahaja, bukan semua pun.

Maksud ayat ini, Nabi Muhammad sahaja yang tahu siapakah yang munafik dari kalangan umat baginda. Ini adalah kerana pengetahuan itu disampaikan oleh Allah. Itu pun mereka yang sudah pasti akan mati dalam nifak. Kalau ada yang munafik tapi akan bertaubat, nama-nama mereka Allah tidak beritahu. Kerana mereka ada peluang untuk masuk Islam nanti.

 

فَآمِنوا بِاللَّهِ وَرُسُلِهِ

Oleh itu berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasulNya;

Beriman kepada rasul digunakan lafaz dengan lafaz رُسُلِهِ (bentuk jamak) bermakna kita disuruh beriman dengan semua Rasul, bukan hanya Nabi Muhammad sahaja. Jangan jadi seperti Yahudi yang tidak percaya kepada Nabi Isa dan Nabi Muhammad; dan jangan jadi seperti puak Kristian yang tidak terima Nabi Muhammad sebagai Rasul.

Maksud ayat ini adalah, semua umat hanya dapat tahu perkara ghaib dari Nabi mereka masing-masing.

 

وَإِن تُؤمِنوا وَتَتَّقوا فَلَكُم أَجرٌ عَظيمٌ

dan jika kamu beriman dan bertaqwa, maka kamu akan beroleh pahala yang besar.

Ini adalah janji Allah kepada mereka yang beriman dan bertaqwa. Allah akan beri syurga kepada mereka. Maka, hendaklah kita beriman bersungguh-sungguh dan bertaqwa. Bertaqwa maksudnya menjaga hukum yang Allah berikan kepada kita.


 

Ayat 180: Ayat tentang golongan munafik lagi. Ini tentang mereka yang tidak mahu infak harta untuk Jalan Allah.

وَلا يَحسَبَنَّ الَّذينَ يَبخَلونَ بِما آتاهُمُ اللَّهُ مِن فَضلِهِ هُوَ خَيرًا لَهُم ۖ بَل هُوَ شَرٌّ لَهُم ۖ سَيُطَوَّقونَ ما بَخِلوا بِهِ يَومَ القِيامَةِ ۗ وَلِلَّهِ ميراثُ السَّماواتِ وَالأَرضِ ۗ وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ خَبيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And let not those who [greedily] withhold what Allāh has given them of His bounty ever think that it is better for them. Rather, it is worse for them. Their necks will be encircled by what they withheld on the Day of Resurrection. And to Allāh belongs the heritage of the heavens and the earth. And Allāh, with what you do, is [fully] Acquainted.

MALAY

Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahanNya – menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalongkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak. Dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan (isi) langit dan bumi. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerjakan.

 

وَلا يَحسَبَنَّ الَّذينَ يَبخَلونَ بِما آتاهُمُ اللَّهُ مِن فَضلِهِ هُوَ خَيرًا لَهُم

Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahanNya – menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. 

Ayat ini memberitahu kita, orang yang kedekut untuk infak di Jalan Allah pun dikira munafik juga. Mereka sangka dengan mereka tidak beri infak itu, ianya baik untuk mereka. Kerana mereka rasa duit mereka jimat, tak rugi keluar. Allah beritahu dalam ayat ini, jangan mereka sangka apa yang mereka simpan itu baik untuk mereka.

Lihatlah bagaimana dalam ayat ini, Allah ingatkan bahawa harta yang mereka ada itu adalah pemberian dari Allah. Kalau bukan Allah yang beri, dari mana lagi mereka dapat? Mereka mungkin sangka mereka dapat dari usaha mereka, tapi sebenarnya Allah yang beri kepada mereka. Maka, kalau Allah yang beri, kenapa nak kedekut kalau Allah minta?

 

بَل هُوَ شَرٌّ لَهُم

Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. 

Ianya sebenarnya teruk untuk mereka. Mereka sahaja yang sangka ianya baik, tapi sebenarnya teruk dan membahayakan untuk mereka.

 

سَيُطَوَّقونَ ما بَخِلوا بِهِ يَومَ القِيامَةِ

Mereka akan dikalongkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak.

Kerana apabila harta tidak diinfakkan, harta itu akan jadi kalung mereka di neraka kelak. Kalung itu pula dalam bentuk ular yang membelit leher mereka. Tidak dapat dibayangkan bagaimana harta yang di dunia ini akan jadi ular, tapi begitulah dari riwayat yang sampai kepada kita.

 

وَلِلَّهِ ميراثُ السَّماواتِ وَالأَرضِ

Dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan (isi) langit dan bumi.

Allah nak tempelak mereka, kenapa kamu tak mahu infak kerana kalau infak, harta itu akan jadi harta yang sebenar untuk kamu. Kerana harta itu akan menunggu di akhirat kelak.

Dan kalau tak infak dan kamu mati, harta itu akan diwarisi oleh orang lain dan sudah bukan milik kamu lagi. Akhirnya ia pulang kembali kepada Allah kerana Allah memiliki segalanya. Segala harta yang kita ada akan diwarisi semuanya oleh Allah. Harta kita akan diwarisi oleh anak cucu kita apabila kita mati, kemudian apabila mereka mati, akan diwarisi pula oleh anak cucu mereka pula dan seterusnya. Akhirnya, apabila semua sudah mati, akan diwarisi oleh Allah juga. Sedangkan, kalau kita infak semasa kita hidup, ianya akan kekal menjadi hak kita selama-lamanya.

 

وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ خَبيرٌ

Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerjakan. 

Apa yang kamu buat walau apa pun, termasuk apa yang kamu lakukan dengan harta yang kamu tak infak itu, Allah tahu apa kamu buat dengannya. Katakanlah kita tidak infak, bukan kita guna untuk kebaikan pun, tapi kita gunakan untuk buang duit sahaja, bukan?

Maulana Hadi: Ali Imran 160-180

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 003: Ali Imran and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s