Tafsir Surah Ali Imran Ayat 133 – 140 (Menahan kemarahan)

Ayat 133: tabshir ukhrawi.

۞ وَسارِعوا إِلىٰ مَغفِرَةٍ مِن رَبِّكُم وَجَنَّةٍ عَرضُهَا السَّماواتُ وَالأَرضُ أُعِدَّت لِلمُتَّقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And hasten to forgiveness from your Lord and a garden [i.e., Paradise] as wide as the heavens and earth, prepared for the righteous

MALAY

Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;

 

وَسارِعوا إِلىٰ مَغفِرَةٍ مِن رَبِّكُم

Dan segeralah kamu kepada keampunan dari Tuhan kamu

Keampunan itu maksudnya kita berdoa supaya biar tidak ada dosa langsung. Kerana dosa yang menyebabkan murka Allah. Dosa juga akan menyebabkan kita masuk ke dalam neraka dan kita tidak mahu langsung ke dalam neraka walaupun sekejap mana pun.

 

وَجَنَّةٍ عَرضُهَا السَّماواتُ وَالأَرضُ

dan Syurga, yang bidangnya seluas segala langit dan bumi

Bukan hanya bersegera kepada keampunan dari Allah, tapi bersegeralah untuk mendapatkan syurga.

Allah beritahu dalam ayat ini yang syurga itu sebesar langit dan bumi. Ini adalah tashbih (perbandingan) sahaja. Allah bandingkan keluasan syurga itu supaya kita bolehlah untuk agak-agak. Sebab bagi orang Arab, tidak ada yang lebih besar dari langit dan bumi. Itu sahaja yang mereka nampak. Allah nak beri faham kepada mereka. Tapi tidaklah semestinya syurga itu benar-benar sebesar langit dan bumi. Mungkin lebih besar lagi.

 

أُعِدَّت لِلمُتَّقينَ

yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;

Kalau neraka itu disediakan untuk orang kafir, syurga itu pula disedikan untuk orang yang bertaqwa. Taqwa itu maksudnya bebas dari syirik. Juga sedar tentang Allah sentiasa memerhatikannya dan menjaga hukum yang Allah telah berikan.


 

Ayat 134: Dalam ayat sebelum ini, Allah sebut bahawa syurga itu untuk orang-orang bertaqwa. Sekarang Allah beritahu apakah sifat-sifat muttaqin itu.

الَّذينَ يُنفِقونَ فِي السَّرّاءِ وَالضَّرّاءِ وَالكاظِمينَ الغَيظَ وَالعافينَ عَنِ النّاسِ ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ المُحسِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Who spend [in the cause of Allāh] during ease and hardship and who restrain anger and who pardon the people – and Allāh loves the doers of good;

MALAY

Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;

 

الَّذينَ يُنفِقونَ فِي السَّرّاءِ وَالضَّرّاءِ

Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah,

Mereka yang sentiasa infak dalam keadaan senang dan susah. Infak adalah lawan kepada riba. Riba adalah perkara paling buruk yang boleh dilakukan dengan harta dan infak adalah perkara yang paling baik yang boleh dilakukan dengan harta.

Mereka bukan sahaja infak semasa mereka senang, tapi semasa susah juga. Mungkin senang nak infak semasa senang, tapi bagaimana kalau kita sendiri pun susah juga? Waktu itu memang menguji iman kita sungguh, bukan? Mereka yang dapat melakukannya tentulah seorang yang hebat sekali.

 

وَالكاظِمينَ الغَيظَ

dan orang-orang yang menahan kemarahannya,

Mereka yang menelan kemarahan. Memang mereka marah yang amat sangat (الغَيظَ) tapi mereka tahan kemarahan mereka itu. Kemarahan itu tidak ditunjukkan ke muka pun. Kerana ada jenis orang yang marah, tapi dia merengus atau mukanya masam atau kelat sangat. Tapi yang dimaksudkan dalam ayat ini, diwajahnya pun tidak nampak kemarahan itu. Walaupun mereka boleh hukum orang yang menyebabkan kemarahannya itu. Sebagai contoh, ada budak yang cakap tak elok kepada kita, tentu kita boleh tampar dia kerana dia budak sahaja, tapi kita tahan.

Ini tidak sama dengan kemarahan kepada seseorang yang kita tidak boleh balas kepada orang itu, sebab kita lemah kalau dibandingkan dengan dia. Contohnya, kita tidak boleh buat apa-apa kepada menteri kerana kita lemah kalau dibandingkan dengan dia. Ini bukan maksud yang hendak disampaikan dalam ayat ini. Ayat yang kita sedang baca ini adalah tentang mereka yang boleh buat sesuatu kepada orang yang menyebabkan kemarahannya itu, tapi dia tahan, dia ‘telan’ kemarahannya. Sebagai contoh, pekerja kita buat kita marah. Tentu kita boleh buang dia dari kerja, atau kita tengking dia, atau kita potong gaji dia, tapi kita tidak lakukan. Itulah yang dimaksudkan.

 

وَالعافينَ عَنِ النّاسِ

dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. 

Satu lagi sifat mereka yang disebut dalam ayat ini adalah mereka yang boleh memaafi kesilapan dan kecuaian orang lain. Sebab dia fikir kesudahan di akhirat nanti. Dia maafkan sahaja supaya tidak panjang cerita. Kerana kalau nak dapatkan keadilan dari orang itu juga, dia dah nak kena tunggu orang itu di Mahsyar untuk menunggu perbicaraan dijalankan dan keadilan ditegakkan; dan kalau nak kena tunggu, lambat pula dia nak masuk syurga (kalau dia seorang yang layak masuk syurga dengan awal). Jadi, dia tahu, lebih baik kalau dia terus maafkan, supaya dia pun dapat pahala kerana memaafkan kesalahan orang lain, dan dia pun tidak perlu nak tunggu lama di Mahsyar nanti, supaya dia boleh terus masuk syurga.

 

وَاللَّهُ يُحِبُّ المُحسِنينَ

Allah suka kepada hamba yang memiliki hati yang baik.

Allah beritahu yang Dia suka orang yang memiliki sifat-sifat begini.


 

Ayat 135: Sambungan kepada sifat orang-orang yang bertaqwa:

وَالَّذينَ إِذا فَعَلوا فاحِشَةً أَو ظَلَموا أَنفُسَهُم ذَكَرُوا اللَّهَ فَاستَغفَروا لِذُنوبِهِم وَمَن يَغفِرُ الذُّنوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَم يُصِرّوا عَلىٰ ما فَعَلوا وَهُم يَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those who, when they commit an immorality or wrong themselves [by transgression], remember Allāh and seek forgiveness for their sins – and who can forgive sins except Allāh? – and [who] do not persist in what they have done while they know.

MALAY

Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).

 

وَالَّذينَ إِذا فَعَلوا فاحِشَةً

Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, 

Ini adalah sifat mereka kalau mereka tergelincir melakukan dosa yang kecil. Ini adalah jenis dosa-dosa yang melibatkan kekejian seperti zina atau dosa yang boleh membawa kepada zina. Ianya sesuatu yang memalukan, yang kita malu kalau orang lain tahu. Termasuk kalau suami atau isteri kita tahu pun. Ini termasuklah kalau dosa melihat video lucah. Kerana perbuatan-perbuatan itu boleh membawa kepada perbuatan zina.

 

أَو ظَلَموا أَنفُسَهُم

atau menganiaya diri sendiri,

Atau mereka menzalimi diri mereka dengan buat dosa kecil, mungkin marah kepada orang lain kerana tidak dapat tahan seperti yang dianjurkan dalam ayat sebelum ini.

Memang semua dosa-dosa itu akan terjadi kerana Allah guna lafaz إِذا (apabila) bukan إذ (jika). Semua manusia akan tergelincir sekali sekala melakukan kesalahan dan dosa, tidak kira samada orang bertaqwa atau tidak. Bezanya, apa yang mereka buat setelah melakukan kesalahan. Ada yang bertaubat dan ada yang terus melakukan dosa itu.

Kadang-kadang syaitan akan mengambil kesempatan atas kesalahan dan dosa yang kita lakukan itu. Mereka mahu kita terus dalam melakukan dosa itu. Maka, jangan kita tertipu dengan bisikan syaitan. Syaitan gunakan kesalahan yang kita lakukan itu untuk menjauhkan kita dari Allah. Syaitan akan kata: habislah kau, Tuhan takkan sayang kepada kau lagi… Buang masa sahaja kau solat… Itu kau cuma menunjuk sahaja…baik kau tak payah solat langsung.. kalau kau bertaubat pun, nanti kau akan buat lagi dosa itu ” Ini adalah bisikan-bisikan syaitan supaya kita lemah semangat dalam agama dan lupa kepada sifat Rahmah dan menerima taubat dari manusia. Ini adalah kerana Syaitan nak menjauhkan kita dari Allah.

Kita kena ingat yang Allah itu Maha Menerima Taubat. Kalau kita lakukan kesalahan dengan banyak pun, Allah mampu menerima taubat kita, asalkan kita mahu berhenti dan terus memperbaiki diri kita. Bagaimana kalau kita melakukan kesalahan itu sekali lagi? Allah masih sanggup menerima taubat kita walaupun kita telah bertaubat atas dosa yang kita dah buat, tapi selepas bertaubat buat lagi. Asalkan semasa kita bertaubat dulu, memang kita benar-benar bertaubat. Cuma kadang-kadang, walaupun sudah benar-benar bertaubat, tergelincir juga lagi. Kalau jadi begitu, jangan putus harap dengan Allah, bertaubat sekali lagi. Tidak ada bilangan terhad yang Allah hadkan untuk kita bertaubat.

 

ذَكَرُوا اللَّهَ فَاستَغفَروا لِذُنوبِهِم

mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka

Mereka tidak tunggu lama. Tidak terus buat dosa itu. Bila mereka terlanjur, mereka akan cepat ingat kebesaran Allah, maka mereka akan takut dan terus bertaubat. Ini kerana mereka ada ilmu dan mereka tahu apakah kesalahan yang mereka lakukan dan mereka tahu apakah kesan kepada dosa yang mereka lakukan itu. Sebab orang yang tak kenal Allah tidak akan bertaubat. Mereka leka dalam melakukan dosa sampai mereka mati. Orang yang bertaqwa itu takut kepada Allah kerana mereka kenal Allah. Mereka tahu Allah boleh azab mereka bila-bila masa sahaja, termasuk mengambil nyawa mereka semasa mereka sedang melakukan dosa itu. Jadi, mereka tidak akan berterusan dalam melakukan dosa itu. Mereka akan teringat: “Kalau Allah cabut nyawa aku semasa aku di tempat maksiat ini, bagaimana nasib aku nanti?.. Ma sha Allah…”

 

وَمَن يَغفِرُ الذُّنوبَ إِلَّا اللَّهُ

dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah

Mereka terus minta ampun kepada Allah. Kerana mereka tahu yang mereka tidak ada tempat lain nak bergantung lagi dah selain Allah. Ke mana lagi mereka nak mengharap? Ada tuhan lain kah? Ada dunia lainkah yang mereka boleh pergi? Macam anak kita, kalau kita marah macam mana pun, sampai dia menangis meraung, nama kita juga dia sebut sebab dia tahu dia nak pergi ke mana? Dia tahu kitalah sahaja tempat dia bergantung, kitalah sahaja emak dan ayah dia, dan dia tidak ada tempat lain nak lari dah.

Apabila hamba minta ampun, Allah akan maafkan. Kerana apabila hamba dapat taufik untuk minta ampun, maknanya Allah yang gerakkan hati dia untuk minta ampun. Kalau Allah yang gerakkan, maknanya Allah sudah nak ampunkan. Tapi kalau Allah telah taqdirkan untuk tidak ampunkan dosa orang itu, orang itu tidak ada tergerak hati pun untuk minta ampun pun. Tanyalah kepada mereka yang sedang melakukan dosa dan tanya mereka kenapa mereka tidak minta ampun? Kerana mereka tidak teringat pun untuk minta ampun lagi.

 

وَلَم يُصِرّوا عَلىٰ ما فَعَلوا وَهُم يَعلَمونَ

dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui

Cuma mereka tidak terus menerus dalam buat dosa. Kerana mereka mengetahui itu adalah salah. Mereka tidak terikat dengan dosa itu. Ini bahaya kerana ada orang macam tu. Mereka itu macam sudah tidak boleh tinggalkan terus dosa itu walaupun akal dan hati mereka tahu yang perbuatan mereka itu berdosa. Tapi, mereka macam sudah kena ‘ikat’. Ini kerana mereka dulunya selalu mengikut bisikan syaitan, sampaikan syaitan sudah ‘ikat’ mereka dan sudah boleh beri arahan kepada mereka.


 

Ayat 136: Ada orang yang baik dari asal lagi dan ada yang jadi baik kemudian. Pada Allah sama sahaja. Yang penting adalah penghujung hidup kita.

أُولٰئِكَ جَزاؤُهُم مَغفِرَةٌ مِن رَبِّهِم وَجَنّاتٌ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهارُ خالِدينَ فيها ۚ وَنِعمَ أَجرُ العامِلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those – their reward is forgiveness from their Lord and gardens beneath which rivers flow [in Paradise], wherein they will abide eternally; and excellent is the reward of the [righteous] workers.

MALAY

Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal.

 

أُولٰئِكَ جَزاؤُهُم مَغفِرَةٌ مِن رَبِّهِم

Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, 

Kepada kedua dua jenis golongan itu, mereka akan mendapat keampunan dari Allah. Allah amat suka memberi ampun. Dia cuma mahu kita berpaling kepadaNya sahaja. Walau berkali-kali kita meminta ampun kepadaNya, Dia tidak kisah, malah Dia lebih suka.

 

وَجَنّاتٌ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهارُ خالِدينَ فيها

dan Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; 

Sebaik-baik balasan adalah syurga. Allah beri bayangan sungai yang mengalir di bawah syurga itu, kerana manusia memang suka tinggal di kawasan yang ada air.

Kalau nikmat besar mana pun, tapi kalau kita tahu yang kita tinggal sekejap sahaja, itu bukan nikmat yang besar… Maka Allah beritahu yang ahli syurga akan kekal di syurga itu selama-lamanya.

 

وَنِعمَ أَجرُ العامِلينَ

dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal.

Lafaz وَنِعمَ bermaksud ‘takjub’. Allah sendiri yang kata, memberi isyarat bahawa syurga itu adalah nikmat yang menakjubkan ahlinya, tidak terbayang hebatnya.

العامِلينَ bermaksud orang yang buat kerja. Maknanya nak dapat syurga kena ada usaha, bukan dapat percuma. Bukan goyang kaki sahaja dan tunggu nak masuk syurga. Kita kena buat ibadah dan kena sebarkan agama ini. Bukan nak selamat seorang sahaja, tapi kena ajak dan ajar kepada orang lain lagi.


 

Ayat 137: Ini ayat takhwif duniawi. Allah telah ajar kita untuk minta ampun atas dosa-dosa kita. Tapi kadang-kadang manusia tak fikirkan dosa yang mereka sedang lakukan. Mereka lama duduk leka dalam melakukan dosa itu. Tapi apabila diuji dengan bencana, baru mereka nampak kesalahan yang mereka lakukan. Kerana apabila manusia diuji dengan bala, mereka akan kurang ego, dan mula memikirkan manakah kesalahan yang mereka lakukan. Itulah antara tujuan bala diberikan kepada manusia. Allah tidak selalu buat begitu kerana Allah nak manusia fikir sendiri. Mereka yang bijak akan dapat fikir sendiri mana yang baik dan mana yang tidak. Sebab itu Allah selalu tekankan untuk gunakan fikiran yang waras. Supaya kita tak payah tunggu bala dikenakan kepada kita baru nak bertaubat, kerana bala itu berat kepada kita.

Maka, Allah suruh kita lihat bagaimana keadaan orang-orang terdahulu yang telah ditimpa bala supaya kita beringat dan supaya kita jangan jadi macam mereka.

قَد خَلَت مِن قَبلِكُم سُنَنٌ فَسيروا فِي الأَرضِ فَانظُروا كَيفَ كانَ عاقِبَةُ المُكَذِّبينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Similar situations [as yours] have passed on before you, so proceed throughout the earth and observe how was the end of those who denied.

MALAY

Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu (contoh kejadian-kejadian berdasarkan) peraturan-peraturan Allah yang tetap; oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan (Rasul-rasul).

 

قَد خَلَت مِن قَبلِكُم سُنَنٌ

Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu peraturan-peraturan Allah yang tetap;

Sebelum ini telah berlaku azab-azab Allah yang diturunkan kepada manusia. Kalau manusia zaman sekarang sedang menderhaka, bukan mereka sahaja mula menderhaka, dari dulu lagi dah, dah banyak puak yang menderhaka.

 

فَانظُروا كَيفَ كانَ عاقِبَةُ المُكَذِّبينَ

oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan

Jalanlah di dunia dan lihat sendiri bagaimana nasib mereka. Lihatlah bagaimana kisah kaum Nabi Luth di Laut Mati itu bagaimana kisah mereka. Para sahabat juga menceritakan bagaimana mereka melalui kawasan Kaum Aad dan Tsamud.

Mereka dikenakan dengan azab kerana mereka telah mendustakan para Nabi. Maksudnya mereka tidak terima ajaran Nabi malah mengatakan Nabi berdusta dengan membawa ajaran yang baru dan bukan dari Allah.

Kita telah belajar dalam sejarah dan dalam ayat-ayat Quran bagaimana mereka telah diazab. Janganlah nak tunggu azab atau bala kena kepada kita baru nak taat kepada Allah dan ajaran Rasulullah. Itu tidak bijak namanya. Kita belajarlah dari kesalahan orang lain. Janganlah kita sangka yang itu semua adalah kisah-kisah dahulu sahaja dan tidak mungkin kena kepada kita. Itu adalah sangkaan yang amat bahaya.


 

Ayat 138:

هٰذا بَيانٌ لِلنّاسِ وَهُدًى وَمَوعِظَةٌ لِلمُتَّقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

This [Qur’ān] is a clear statement to [all] the people and a guidance and instruction for those conscious of Allāh.

MALAY

(Al-Quran) ini ialah penerangan kepada seluruh umat manusia, dan petunjuk serta pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.

 

هٰذا بَيانٌ لِلنّاسِ وَهُدًى

(Al-Quran) ini ialah penerangan kepada seluruh umat manusia, dan petunjuk

Qur’an ini adalah penjelasan yang sudah cukup sempurna kepada semua manusia. Dah lengkap dah apa yang disampaikan. Yang tidak tahu adalah mereka yang tidak belajar sahaja. Mereka tidak teringin pun hendak belajar tafsir Quran ini. Mereka tidak mendapat lagi kemanisan membaca Quran sambil memahami apa yang disampaikan oleh Quran ini. Begitu ramai dari kalangan masyarakat kita yang suka membaca Quran setiap hari, tapi tidak teringin untuk mengetahui apa yang mereka baca itu.

Oleh kerana mereka tidak tahu, mereka tidak dapat mengambil hidayah dari Quran. Mereka ambil ilmu dari tempat lain. Antaranya dari kitab-kitab karangan manusia, dari ustaz-ustaz yang pun tidak belajar tafsir Quran juga. Kalau tak percaya, tanyalah ustaz-ustaz yang mengajar anda, samada mereka sudah belajar habis tafsir Quran atau belum? Kalau mereka dah belajar, mereka belajar dengan siapa? Kalau mereka dah belajar, kenapa mereka tidak ajar tafsir Quran kepada anda, kerana ianya adalah sumber utama agama. Habiskan dulu belajar tafsir Quran 30 juzuk ini dan kemudian barulah ambil ilmu yang lain.

 

وَمَوعِظَةٌ لِلمُتَّقينَ

serta pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.

Quran juga menjadi nasihat untuk diamalkan. مَوعِظَةٌ adalah jenis nasihat yang masuk ke dalam hati. Selalu kita dengar nasihat, bukan? Tapi tidak semua masuk ke dalam hati kita. Ada nasihat yang kita dengar tak dengar sahaja. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Itu bukan dinamakan مَوعِظَةٌ.

Banyak sekali nasihat yang penuh hikmah ada dalam Quran kerana nasihat ini datang sendiri dari Allah, Tuhan yang mencipta kita. Kerana Dia yang cipta kita, maka Dia tahu apa yang kita perlukan. Tapi kalau tak belajar tafsir Quran, macam mana nak ambil nasihat yang ada dalam Quran ini?


 

Ayat 139: Ini adalah adat dalam peperangan dan dalam kehidupan kita.

وَلا تَهِنوا وَلا تَحزَنوا وَأَنتُمُ الأَعلَونَ إِن كُنتُم مُؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So do not weaken and do not grieve, and you will be superior if you are [true] believers.

MALAY

Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.

 

وَلا تَهِنوا

Dan janganlah kamu merasa lemah

Allah memberi nasihat kepada kita: jangan kecewa kalau kalah atau kecewa dalam urusan akhirat kamu sampai kamu lemah semangat. Lafaz تَهِنوا dari وهن yang bermaksud sesuatu yang sepatutnya kuat dan keras, tapi jadi lemah. Sebagai contoh, tulang itu sepatutnya keras, tapi kalau dah tua, tulang jadi reput, bukan? Allah memberi isyarat dalam ayat ini bahawa orang Islam kena kuat, bukan lemah. Ini bukan sifat seorang mukmin.

 

وَلا تَحزَنوا

dan janganlah kamu berdukacita

Dan jangan bersedih dengan apa yang terjadi. Ayat ini diturunkan selepas Perang Uhud. Ramai sahabat yang kena bunuh dalam peperangan itu. Oleh kerana itu, ramai yang menangis kesedihan yang amat sangat. Nabi Muhammad pun sedih kerana bapa saudaranya Hamzah telah terbunuh.

 

وَأَنتُمُ الأَعلَونَ إِن كُنتُم مُؤمِنينَ

padahal kamulah orang-orang yang lebih tinggi jika kamu orang-orang yang beriman.

Kamu akan sentiasa dikira tinggi dibandingkan dengan orang lain kalau kamu menjadi mukmin sebenar. Iman yang lebih penting, bukan kalah atau menang dalam perang. Kalau kita mukmin, kita akan tetap berada di atas berbanding orang-orang kafir. Walaupun kita mungkin lemah di dunia dengan keadaan umat Islam berpecah belah dan kita diperkotak katikkan oleh orang kafir, ayat ini memberi ketenangan kepada kita. Di akhirat, kita akan berada di atas, kalau kita benar-benar seorang mukmin. Bukankah yang lebih penting adalah nasib kita di akhirat, bukan di dunia ini?


 

Ayat 140: Allah timpakan kekalahan kepada orang Islam sebagai pengajaran. Allah gunakan para sahabat sebagai contoh, apa yang akan terjadi kalau orang Islam sendiri melakukan kesilapan. Memang ada antara para sahabat yang telah melakukan kesilapan semasa Perang Uhud itu. Tapi kita kena ingat, Allah sudah maafkan mereka. Tapi kalau orang seterusnya juga buat perkara yang sama, akan tetap berdosa. Kita kena ambil pengajaran dari apa yang telah dilalui oleh para sahabat. Begitulah istimewanya mereka, kerana Allah takdirkan mereka melakukan kesilapan, kemudian Allah maafkan mereka. Kerana kalau mereka tidak buat kesilapan, kita tidak tahu mana perbuatan yang salah supaya kita tidak buat.

إِن يَمسَسكُم قَرحٌ فَقَد مَسَّ القَومَ قَرحٌ مِثلُهُ ۚ وَتِلكَ الأَيّامُ نُداوِلُها بَينَ النّاسِ وَلِيَعلَمَ اللَّهُ الَّذينَ آمَنوا وَيَتَّخِذَ مِنكُم شُهَداءَ ۗ وَاللَّهُ لا يُحِبُّ الظّالِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

If a wound should touch you – there has already touched the [opposing] people a wound similar to it. And these days [of varying conditions] We alternate among the people so that Allāh may make evident those who believe and [may] take to Himself from among you martyrs – and Allāh does not like the wrongdoers –

MALAY

Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendapat luka yang sama (dalam peperangan Badar). Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.

 

إِن يَمسَسكُم قَرحٌ

Jika kamu mendapat luka (tercedera),

Semua itu adalah salah satu perkara yang telah berlaku. Kalau berlaku kecederaan atau kekalahan dalam Uhud, ada hikmahnya yang tersirat, yang Allah gunakan para sahabat untuk ajar orang lain.

Memang para sahabat telah banyak mendapat kecederaan, malah ada 70 orang dari mereka yang mati.

 

فَقَد مَسَّ القَومَ قَرحٌ مِثلُهُ

sesungguhnya kaum (musyrik) itu telah mendapat luka yang sama

Allah ingatkan para sahabat bahawa kekalahan seperti ini telah berlaku kepada orang Kafir Mekah pada tahun sebelumnya. Tahun ini orang Islam pula yang kena.

 

وَتِلكَ الأَيّامُ نُداوِلُها بَينَ النّاسِ

Dan demikian itulah keadaan hari-hari, kami gilirkan antara sesama manusia

Hari-hari yang menang dan kalah itu Allah gilirkan antara manusia untuk menguji manusia. Tidaklah orang Islam sentiasa sahaja menang. Kadang-kadang orang Islam menang, kadang-kadang kalah. Ini perkara biasa. Macam orang kata: hidup umpama roda, kadang duduk di atas, kadang duduk di bawah.

 

وَلِيَعلَمَ اللَّهُ الَّذينَ آمَنوا

dan supaya nyata bagi Allah, siapa yang sebenarnya beriman

Tujuannya, untuk Allah bezakan siapa yang betul-betul beriman dan jaga hukum. Allah memang dah tahu siapa beriman dan tidak, tapi Allah nak tunjukkan kepada manusia. Jangan kita salah faham dengan ayat ini, dengan mengatakan Allah buat begitu untuk Allah tahu siapa yang beriman. Kerana Allah sudah tahu siapa yang beriman dan tidak. Cuma Allah nak zahirkan kepada manusia yang lain. Allah nak zahirkan kepada orang mukmin, siapakah diantara orang yang mengaku Islam itu yang benar-benar mukmin atau munafik.

 

وَيَتَّخِذَ مِنكُم شُهَداءَ

dan juga supaya Allah mengambil sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. 

Dan dengan mati itulah baru Allah boleh jadikan ada Muslim yang mati syahid. Kalau tak mati-mati, pergi perang asyik menang sahaja, nanti tidak ada yang mati syahid pula. Mati syahid sepatutnya menjadi cita-cita setiap orang Islam. Kerana ianya adalah pengakhiran kehidupan yang amat hebat kerana orang yang mati syahid, boleh terus masuk ke syurga. Mereka tidak perlu tunggu di Mahsyar macam orang-orang yang biasa. Tunggu di Mahsyar itu pun sudah satu azab juga sebenarnya, kerana menunggu dalam keadaan yang tidak selesa dan entah berapa lama. Sedangkan kalau mati syahid, terus masuk syurga dan menikmati nikmat dalam syurga itu. Orang lain sedang tunggu di Mahsyar, para syuhada’ sedang sedap-sedap di syurga. Apabila mahkamah pengadilan Allah ditegakkan setelah entah berapa puluh ribu tahu di Mahsyar, barulah dikeluarkan sekejap para syuhada’ itu untuk dibacakan amalan mereka. Kemudian akan dimasukkan semula ke dalam syurga. Tidakkah ini yang kita hendak?

 

وَاللَّهُ لا يُحِبُّ الظّالِمينَ

Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.

Allah tidak suka golongan zalim. Orang kafir adalah orang yang melakukan kezaliman yang paling tinggi, iaitu mereka syirik kepada Allah. Zalim adalah tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Mana lagi berat dari tidak meletakkan Allah di tempat yang tertinggi dalam kehidupan kita?

Allah memang tidak suka kepada orang yang zalim. Bukanlah Allah beri kemenangan kepada kufar itu kerana Allah suka kepada mereka, tidak langsung. Jadi Allah tidak mahu kita salah anggap. Allah tetap sayang dan kasih kepada orang mukmin dan orang Islam. Tapi Allah jadikan muslim kadang menang dan kadang kalah kerana sebab-sebab yang telah disebut di atas dan selepas ini.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 003: Ali Imran and tagged . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s